Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • UMW Toyota jual 7,579 unit kenderaan pada Mei 2022 — naik 9.1% dari April, YTD naik 8.7% jadi 36,972 unit

    UMW Toyota  jual 7,579 unit kenderaan pada Mei 2022 — naik 9.1% dari April, YTD naik 8.7% jadi 36,972 unit

    Bagi Mei 2022, UMW Toyota Motor (UMWT) telah menjual sebanyak 7,579 kenderaan, dengan 7,442 unit daripadanya merupakan model Toyota, sementara baki 137 unit adalah model Lexus. Angka terbaru ini mewakili peningkatan sebanyak 633 unit, atau 9.1%, berbanding bulan April 2022 ketika syarikat itu menyerahkan 6,946 unit (6,868 Toyota, 78 Lexus).

    Bagi tempoh sama setakat ini, serahan yang dilakukan sepanjang Mei tahun ini hanya kurang sedikit (16 unit) berbanding Mei tahun lalu. Walaupun begitu, jumlah jualan tahunan setakat ini (YTD) bagi UMWT hampir 9% lebih tinggi pada 2022 dengan 36,972 unit berbanding 34,026 unit pada 2021.

    UMWT mendakwa jualan menggalakkan itu tetap berlaku walaupun jangkaannya jualan kenderaan di Malaysia akan perlahan sepanjang baki tahun ini. Ini disebabkan gangguan bakalan semikonduktor global, yang telah menyebabkan pengeluar sukar untuk meningkatkan produksi bagi memenuhi permintaan.

    UMW Toyota  jual 7,579 unit kenderaan pada Mei 2022 — naik 9.1% dari April, YTD naik 8.7% jadi 36,972 unit

    Selain itu, berakhirnya pengecualian SST selepas Jun 2022 akan memberi kesan kepada jualan, walaupun sesetengah pelanggan ingin memanfaatkan harga semasa kenderaan, yang telah membantu meningkatkan jualan sebelum ini.

    “Ketika kami bersiap untuk separuh kedua tahun ini, kami di UMW Toyota sangat menghargai sokongan yang telah diterima daripada pelanggan. Sentiasa menjadi polisi kami untuk memberi keutamaan kepada pelanggan terlebih dahulu dan kami sentiasa bersedia untuk melanjutkan bantuan kami kepada peminat Toyota dalam menempuh waktu yang tidak menentu ketika ini,” ujar Presiden UMWT, Ravindran Kurusamy.

    “Kami ingin terus menerapkan keyakinan dalam setiap produk kami dan kemampuan untuk melayani permintaan pelanggan, disokong oleh teknologi automotif canggih Toyota serta ciri keselamatan pada semua produk. Semoga keadaan lebih baik menanti di hadapan,” tambah beliau.

     
     
  • Toyota Vios 2023 dibayangkan oleh Theophilus Chin — rekaan dari Corolla untuk model generasi baru

    Toyota Vios 2023 dibayangkan oleh Theophilus Chin — rekaan dari Corolla untuk model generasi baru

    Selepas mula dilihat bulan lalu, dan sekali lagi minggu lepas, Toyota Vios 2023 kini menerima pula sentuhan dan bayangan digital oleh Theophilus Chin, yang telah memberikan penafsirannya tentang bagaimana rupa dan penampilan sedan segmen B Toyota ini akan dizahirkan.

    Penampakan model generasi baru Vios ini minggu lalu telah memberikan sedikit petunjuk, walaupun masih mengenakan pelekat samaran. Antara yang dapat dikesan adalah gril besar yang mirip digunakan pada Corolla 2023, terutama pada bahagian jalur lintang grilnya.

    Dalam video ini, Theophilus menampilkan rekaan yang sepertinya mempertemukan wajah depan Corolla, dengan memanfaatkan siluet keseluruhan Volkswagen Virtus, sebuah sedan segmen B dari pengeluar Jerman itu yang dijual antaranya di Brazil dan India.

    Di bahagian sisi, Theo menjadikan rekaan bayangannya ini dengan cermin sisi dengan yang terletak lebih tinggi pada pintu, seperti Vios yang dilihat di Thailand sebelum ini, menggantikan unit sama dari Corolla yang menjadi rujukan awal rendisinya ini.

    Di belakang, Theo menggabungkan rekaan lampu balakang Corolla sedan dengan Virtus, dengan tambahan kemasan yang menghubungkan kedua lampu berkenaan, berbeza daripada Vios ujian yang dilihat di Thailand itu. Bukaan di bahagian sudut bawah bampar belakang turut diterapkan sekali.

    Toyota Vios 2023 dibayangkan oleh Theophilus Chin — rekaan dari Corolla untuk model generasi baru

    Dijangka membuat penampilan sulung di Thailand Ogos nanti, Toyota Vios generasi terbaru itu didakwa akan ditawarkan dalam dua pilihan enjin di sana — 1.2 liter NA empat-silinder petrol dan juga enjin baru 1.5 liter hibrid.

    Enjin 1.2 liter berkenaan dijangka akan menjadi penawaran spesifik kepada Thailand memandangkan itu had sesaran kapasiti bagi enjin kereta eco di pasaran itu, dan enjin 1.5 liter petrol mungkin akan diteruskan untuk penawaran Vios/Yaris dipasaran lain.

    Bagaimana dengan rekaan ini, nampak meyakinkan dan menjadikan Vios lebih matang atau sebaliknya?

     
     
  • Operasi LRT, MRT untuk stesen terlibat dilanjutkan sempena Malaysia VS Bangladesh malam ini

    Operasi LRT, MRT untuk stesen terlibat dilanjutkan sempena Malaysia VS Bangladesh malam ini

    Walau pun Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah mengeluarkan kenyataan yang mengguris perasaan peminat pasukan Malaysia berhubung kekalahan menentang Bahrain hujung minggu lalu, namun rasanya malam ini, demi perlawanan bola sepak Kelayakan Piala AFC menentang Bangladesh, pasti ramai penyokong Harimau Malaya tetap akan ke Stadium Bukit Jalil.

    Justeru, bagi orang ramai yang ke stadium berkenaan pada malam ini dan memilih untuk menaiki tren LRT, jangan khuatir, Rapid Rail Sdn Bhd telah mengumumkan waktu operasi bagi perkhidmatan terbabit akan dilanjutkan.

    “Bagi pengguna perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, tren terakhir menuju ke Sentul Timur akan berlepas pada jam 12.03 tengah malam. Manakala tren terakhir menuju ke Putra Heights pula berlepas pada jam 12.44 tengah malam.

    “Bukan itu sahaja, tren tambahan juha akan disediakan bagi membawa penumpang setelah selesai perlawanan. Kemudian, penumpang boleh meneruskan perjalanan ke LRT Laluan Kelana Jaya di Stesen Masjid Jamek dan ke MRT Laluan Kajang di Stesen Plaza Rakyat,” ujar Rapid Rail menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Honda HR-V 2022 ditampilkan di beberapa bilik pameran di KL dan Selangor hujung minggu ini

    Honda HR-V 2022 ditampilkan di beberapa bilik pameran di KL dan Selangor hujung minggu ini

    Menjelang pelancarannya tidak lama lagi, Honda HR-V 2022 bakal ditampilkan di beberapa bilik pameran terpilih di sekitar KL dan Selangor pada hujung minggu ini. Sebanyak lima wakil pengedar bakal mengendalikan sesi pra-tonton HR-V generasi ketiga ini untuk pelanggan meraka iaitu pada 18-19 Jun ini.

    Walau bagaimana pun, difahamkan, beberapa varian yang bakal dipamerkan ini ialah unit pra-produksi, yang akan dipasang di kilang Honda di Melaka. Bagi pelanggan yang berminat untuk menyertai sesi pra-tonton ini, dinasihatkan agar menghubungi wakil pengedar yang terpilih (nombor telefonnya turut disertakan di bawah) untuk temujanji dan menempah slot kehadiran bagi mengelakkan kesesakan.

    Tapi jangan terkejut, sekiranya anda dikehendaki menyerahkan telefon bimbit atau sebarang peranti perakam imej sebaik tiba di bilik pameran terbabit. Tiada sesi fotografi atau videografi dibenarkan. Ini perkara biasa kalau melibatkan pra-tonton untuk pihak media, sama konsep turut dilaksanakan bagi orang ramai yang berpeluang menyertai sesi sedemikian. Dan, disebabkan model yang dipamerkan ini melibatkan unit pra-produksi, maka ada beberapa ciri yang masih belum dimuktamadkan.

    Honda HR-V 2022 ditampilkan di beberapa bilik pameran di KL dan Selangor hujung minggu ini

    Senarai pengedar yang mengambil bahagian – klik untuk besarkan

    Pada Khamis lalu, Honda Malaysia telah mengumumkan tempahan HR-V baharu ini mula dibuka. Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Honda Malaysia, HR-V pasaran Malaysia sah akan ditawarkan dengan dua pilihan rangkaian kuasa iaitu petrol sepenuhnya dan hibrid e:HEV – sama seperti City dan City Hatchback, versi hibrid elektrik tersebut menampilkan teknologi intelligent-Multi Mode Drive (i-MMD) dan tampil dengan penggayaan paling sporty iaitu RS.

    Tapi, versi bukan-hibrid petrol juga akan ditawarkan. Walau bagaimana pun, spesifikasi penuhnya masih belum didedahkan. Mungkin ia juga didatangkan dengan pilihan enjin 1.5L naturally-aspirated i-VTEC (121 PS/145 Nm, sama seperti City sedan dan hatchback) dan 1.5L VTEC Turbo dengan 177 PS/240 Nm.

    Dijangkakan, varian yang bakal ditawarkan adalah gred S (1.5 NA), E dan V (1.5T) dan e:HEV RS. Honda Malaysia juga mengesahkan ia bakal diberikan Honda Sensing, bukaan tailgate bebas-tangan, lampu membelok LED di hadapan dan kawalan penghidup enjin. Kit lengkap hanya akan diketahui apabila ia dilancarkan kelak.

    Untuk yang berada di luar KL dan Selangor, kena lihat jadual yang diberikan, bila HR-V ini bakal ditayang berhampiran tempat anda dan jangan lupa tempah slot kehadiran anda.

    GALERI: Honda HR-V RS e:HEV 2022 pasaran Thailand

     
     
  • Beli kereta terpakai di Malaysia – bagaimana anda boleh elak kenderaan banjir & perbatuan yang diubah?

    Beli kereta terpakai di Malaysia – bagaimana anda boleh elak kenderaan banjir & perbatuan yang diubah?

    Membeli kereta terpakai seharusnya menjadi perkara yang ringkas dan mudah, tetapi ia mungkin boleh berubah menjadi perkara sebaliknya. Jika anda bernasib baik, anda akan menemui kenderaan terpakai tanpa sebarang isu dan tidak diusik, namun dalam kebanyakkan masa, ia biasanya tidak seperti itu.

    Biasanya pembeli kereta terpakai akan menghadapi pelbagai masalah, melainkan anda benar-benar tahu apa yang anda cari. Antara perkara yang kerap terjadi adalah anda tidak dapat mengenalpasti petanda-petanda, masalah dan juga isu yang berpotensi, yang kebanyakkannya boleh disorokkan pada pandangan mata kasar.

    Contohnya, kenderaan yang pernah ditenggelami banjir. Memandangkan kini banyak kereta yang mengalami masalah tersebut akibat banjir kilat yang kerap berlaku kebelakangan ini, ia menjadi kegusaran paling besar terhadap ramai pembeli apabila hendak membeli kereta terpakai, membuatkan mereka tertanya-tanya adakah unit yang menarik minat mereka itu bebas dari kerosakan sedemikian. Lagipun, dengan kerja pembaikan, masalah tersebut boleh disorokkan dari pandangan orang biasa, cukup membolehkan mereka tidak dapat membezakannya dengan kereta tanpa masalah yang sama.

    Inilah antara sebab mengapa sekiranya anda membeli kereta terpakai dari pengedar yang mempunyai reputasi, dipercayai, yang mampu memberikan pengesahan keadaan kereta yang bebas dari kerosakan sedemikian, akan memberikan perbezaan yang besar, kerana ia akan menyisihkan sebarang tekaan yang perlu dibuat, dan yang paling penting, kebimbangan anda.

    Satu syarikat yang menjanjikan tiada langsung kereta yang pernah ditenggelami banjir dalam inventorinya adalah myTukar. Syarikat ini menggunakan proses dan pemeriksaan yang ketat bagi menjamin kenderaan yang dijual di bawah namanya tidak pernah terlibat dalam banjir.

    Ini melibatkan pemeriksaan 160-poin yang ketat, bermula dari memahami keseluruhan sejarah kereta tersebut sehingga kepada pemeriksaan terhadap setiap sudut dan celah di bawah hud – tiada yang ketinggalan bagi memastikan semua kereta adalah bebas dari kemalangan besar dan banjir, supaya anda mendapat pemanduan yang berkualiti.

    Pemeriksaan ekstensif 160-poin tersebut termasuk pemeriksaan terhadap enjin, stereng, brek & suspensi, transmisi & klac, luaran & dalaman, serta bawah badan & bawah hud. Jika pembetulan atau pembaikan perlu dibuat, ia akan dibuat oleh myTukar Refurbishment Centre, yang akan memastikan bahawa pembaikan dan penukaran alat ganti dibuat dengan betul bagi membuatkan kereta tersebut baik seperti baru.

    Refurbishment Centre yang canggih tersebut menjalankan kerja-kerja yang terperinci dan ketat pada kedua-dua bahagian dalaman dan luaran, termasuk pembetulan badan & cat serta proses perincian & kebersihan, bagi memenuhi standard “myTukar Certified Pre-Owned”. Selepas siap, kenderaan tersebut akan menerima lencana myTukar Certified.

    Beli kereta terpakai di Malaysia – bagaimana anda boleh elak kenderaan banjir & perbatuan yang diubah?

    Satu lagi isu yang diketahui diamalkan oleh pengedar kereta terpakai adalah mengubah bacaan meter perbatuan, di mana pembeli tidak dapat memastikan perkara ini. Di sini, myTukar menyerlah dengan mengisytiharkan secara terbuka bahawa kereta yang dijual semuanya menunjukkan perbatuan asal. Syarikat tersebut memberikan jaminan bahawa bacaan perbatuan pada semua kereta myTukar Certified tidak diubah, bermaksud apa yang anda lihat pada odometer adalah jarak perjalanan sebenar yang telah dicatatkan oleh kereta tersebut.

    Selain itu, syarikat ini juga menawarkan ketenangan fikiran kepada pembeli dengan melengkapkan setiap kenderaan yang dijual dengan waranti dan perkhidmatan percuma, membezakannya daripada pengedar kereta terpakai lain. Kereta terpakai sering dijual dalam keadaan “seadanya”, biasanya tanpa jaminan atau perkhidmatan selepas jualan yang ditawarkan.

    Bagaimanapun, semua kereta myTukar Certified didatangkan dengan jaminan lanjutan setahun yang meliputi kedua-dua enjin dan kotak gear, serta servis percuma 2X. Standard untuk setiap kereta yang dijual, ini memberikan ketenangan fikiran kepada pelanggan dan menjadikan pemilikan kereta mereka mudah, kerana kitaran penyelenggaraan kereta dan kerumitan yang datang bersamanya dijaga oleh myTukar.

    Selain daripada semua ciri peneraju segmen ini, myTukar juga menawarkan polisi jaminan pulangan wang lima hari jika anda tidak berpuas hati dengan pembelian anda, tanpa sebarang soalan. Semua ini menjadikan pembelian kenderaan daripada syarikat tersebut benar-benar bebas kebimbangan.

    myTukar AutoFair 2022 – pembelian tanpa kebimbangan, dengan pelbagai hadiah

    Beli kereta terpakai di Malaysia – bagaimana anda boleh elak kenderaan banjir & perbatuan yang diubah?

    Jika anda sedang mencari pembelian tanpa kebimbangan, anda boleh hadir ke myTukar Auto Fair 2022 yang berlangsung di myTukar Retail Experience Centre – Plentong, Johor Bahru pada 17 hingga 19 Jun ini. Selain daripada pelbagai jenis kereta untuk dipilih, terdapat juga banyak hadiah disediakan untuk pembeli.

    Buat pembelian kenderaan di acara itu dan anda boleh memenangi salah satu daripada 10 pasang tiket tajaan sepenuhnya semua perbelanjaan untuk menyaksikan Liverpool menentang Manchester United di Bangkok. Tempah kenderaan anda selewat-lewatnya pada 19 Jun dan terima selewat-lewatnya pada 30 Jun, jawab kuiz dengan betul apabila anda mendapat panggilan telefon, dan anda mungkin dalam perjalanan ke Thailand untuk menonton perlawanan persahabatan itu. Jika anda mendaftarkan minat anda sebelum acara di sini, anda akan mendapat peluang tambahan untuk bertanding bagi mendapatkan tiket ke perlawanan secara langsung tersebut.

    Anda akan menerima tawaran istimewa tambahan apabila anda membeli kereta anda di acara tersebut, seperti kadar faedah pinjaman serendah 1.88% untuk 100 tempahan PERTAMA serta peluang memenangi baucar bernilai sehingga RM1,000 dengan promo Putar & Menang.

    Bukan itu sahaja, terdapat juga hadiah cabutan bertuah eksklusif bernilai RM12,000 untuk dimenangi. Ini termasuk iPhone 13, iPad, konsol PlayStation 5, Android SmartTV, vakum robot Xiaomi Mi serta jet air Karcher, vakum Karcher dan mesin kopi Nescafe Dolce Gusto.

    Beli kereta terpakai di Malaysia – bagaimana anda boleh elak kenderaan banjir & perbatuan yang diubah?

    Selain itu, seperti yang dinyatakan sebelum ini, setiap pembelian myTukar termasuk jaminan lanjutan setahun percuma dan dua janji temu servis percuma. Segala-galanya dari Pemeriksaan Puspakom, pendaftaran JPJ, permohonan pinjaman, hingga urusan insurans diuruskan oleh syarikat. Dan, sekiranya anda menghadapi masalah atau hanya mengubah fikiran anda tentang kenderaan, anda boleh mengembalikannya dengan polisi jaminan wang dikembalikan selama 5 hari syarikat – tiada soalan ditanya.

    Anda boleh menukar-beli kereta semasa anda di myTukar Auto Fair 2022 – pakar produk syarikat akan dapat memberikan anda tawaran tukar-beli segera dengan nilai maksimum untuk kenderaan anda pada acara tersebut. Lawat laman web myTukar untuk mula melayar!

    Trak makanan akan disediakan pada acara berkenaan, membolehkan pengunjung membeli makanan dan minuman. Prosedur pencegahan Covid-19 akan dilaksanakan – topeng muka perlu dipakai sepanjang masa, tetapi penjarakan fizikal tidak diwajibkan. Krew dan kakitangan acara akan kerap membersihkan keseluruhan tempat serta peralatan dan permukaan yang kerap disentuh seperti kereta, kemudahan kegunaan orang ramai, dan lain-lain untuk memastikan aspek keselamatan dikekalkan.

    Maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi acara myTukar. Datang ke Pameran Auto myTukar 2022 pada 17-19 Jun ini, dari 9.30 pagi hingga 8 malam setiap hari. Anda juga boleh menghubungi kami menerusi:

    Telefon : 03-7890 4499
    WhatsApp : +6018-2249999
    Email: [email protected]

    myTukar Retail Experience Centre – Plentong, JB
    Jalan Masai Lama,
    Taman Perindustrian Plentong
    81750 Johor Bahru, Johor.

     
     
  • Jaguar XF facelift 2022 di M’sia – 2.0L R-Dynamic, Active Noise Cancellation, dari RM499k termasuk SST

    Jaguar XF facelift 2022 di M’sia – 2.0L R-Dynamic, Active Noise Cancellation, dari RM499k termasuk SST

    Jaguar Land Rover Malaysia telah mula membuka tempahan bagi generasi kedua Jaguar XF facelift, yang menawarkan varian 2.0L R-Dynamic, berharga dari RM498,800 termasuk SST 100%, sebelum cukai jalan, pendaftaran dan insurans.

    Ia dilengkapi dengan enjin 2.0 liter Ingenium pengecas turbo empat-silinder petrol yang mampu menghasilkan 250 PS dan tork 365 Nm, pacuan disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan. Sekaligus membolehkan ia dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.1 saat. Kawalan transmisi juga disokong menerusi pedal penukar gear yang terletak di belakang roda stereng.

    Berbanding model pre-facelift yang dilancarkan di Malaysia pada 2016, perubahan besar yang dilakukan terhadap generasi kedua XF ini melibatkan ruang dalaman yang diberi suntikan lebih sedar, di mana ia ditampilkan dengan skrin sesentuh infotainmen Pivi Pro 11.4-inci yang lebih besar diposisikan di bahagian tengah papan pemuka.

    Ia juga adalah 48% lebih besar dan tiga kali ganda lebih terang berbanding peranti sebelumnya. Malahan struktur menu juga lebih mudah untuk dikendalikan. Selain itu, ia juga menampilkan kesepaduan telefon pintar yang disokong oleh Apple CarPlay dan Android Auto, dan papan pemuka termasuk dengan pengecas telefon pintar. Bukan itu sahaja, ia juga diberikan sistem audio Meridian yang turut menawarkan fungsi active noise cancellation.

    Bagi aspek ciri keselamatan, untuk XF facelift di Malaysia, ia diberikan bantuan pemandu yang menampilkan brek kecemasan sendiri, bantuan kekal lorong, kawalan kelajuan adaptif serta Driver Condition Monitor. Selain itu, pendingin hawa untuk Jaguar XF 2022 juga diberikan cabin air ionisation dengan penapis PM2.5 untuk menangkap zarah halus dan alergen bawaan udara.

    Seperti yang dinyatakan, Jaguar XF facelift 2022 ini ditawarkan dengan harga bermula RM498,800 termasuk SST 100%, sebelum cukai jalan, pendaftaran dan insurans. Tempahannya juga telah mula dibuka.

    GALERI: Generasi kedua Jaguar XF facelift

     
     
  • Kia EV6 2022 versi M’sia – pengedar dedah spesifikasi; jarak 506 km, bateri 77.4 kWh, AWD, dijangka RM300k

    Kia EV6 2022 versi M’sia – pengedar dedah spesifikasi; jarak 506 km, bateri 77.4 kWh, AWD, dijangka RM300k

    Susulan pra-tonton Kia EV6 di Malaysia pada bulan lalu, baru-baru ini, pengedar tempatan telah mendedahkan lebih banyak perincian untuk kenderaan elektrik (EV) yang bakal dijual di sini pada tahun ini. EV6 pertama kali ditampilkan secara rasmi di peringkat dunia pada Mac 2021 dan ia dibangunkan dengan senibina Electric-Global Modular Platform (E-GMP) yang sama seperti Hyundai Ioniq 5.

    Menurut entri yang dimuatnaik oleh pengedar di Facebook, EV6 bakal ditawarkan dengan penjana kuasa Long Range dan versi GT-Line, sama seperti varian yang dipertontonkan. Penjana kuasa ini menyaksikan gandingan dua motor elektrik untuk pacuan semua-roda yang mampu menghasilkan keseluruhan output mencecah 325 PS (321 hp atau 239 kW) dan tork 605 Nm, di mana ia mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.2 saat dan kelajuan maksimum mampu dicapai hingga 183 km/j.

    Motor elektrik berkenaan dikuasakan dari bateri lithium-ion 77.4 kWh dan mampu memberikan jarak sehingga 506 km bagi pengecasan penuh mengikut standard WLTP. Untuk pengecasan, EV menyokong pengecas AC (sambungan Type 2) 11 kW, dengan pengecasan penuh mengambil masa sekitar tujuh jam. Ia juga menyokong pengecasan DC (sambungan CCS2) pada 350 kW, dengan tahap pengecasan 10-80% hanya sekitar 18 minit.

    Kia EV6 2022 versi M’sia – pengedar dedah spesifikasi; jarak 506 km, bateri 77.4 kWh, AWD, dijangka RM300k

    Sementara itu, luaran GT-Line menampilkan perincian luaran seperti pelindung ruang roda yang diwarnakan dengan warna badan, serta apron hadapan lebih agresif dengan serlahan hitam berkilat. Apron belakang juga berbeza dari versi Wind biasa, serta diberikan rim 20-inci bersama tayar 255/45R20. Kemasan hitam juga diberikan pada sudut pemantul, dengan dashed pins disepadukan pada lampu undur.

    Bagi sesiapa yang berminat, sudah boleh menempah EV6 ini, dan penghantarannya dijangka bermula pada September atau Oktober tahun ini, itu kata pengedar. EV6 GT-Line Long Range AWD dijangka ditawarkan pada harga RM300,000 dan didatangkan dengan waranti lima-tahun/150,000 km dan waranti bateri pula tujuh-tahun/150,000 km.

    Jika anda mempersoalkan harganya, memang benar EV6 adalah lebih mahal berbanding model spesifikasi penuh Hyundai Ioniq 5 Max yang berharga RM269,888 dan termasuk dengan lanjutan waranti bernilai RM10,000 dan pakej servis (waranti lima-tahun, 100,000 km; pakej servis percuma tiga-tahun, 50,000 km; waranti bateri enam-tahun, 160,000 km).

    Kia EV6 2022 versi M’sia – pengedar dedah spesifikasi; jarak 506 km, bateri 77.4 kWh, AWD, dijangka RM300k

    Dibandingkan dengan spesifikasi, Inoniq 5 Max menampilkan pek bateri 72.6-kWh yang mampu memberikan jarak 430 km untuk pengecasan penuh, sementara penjana kuasa AWD dwi-motornya boleh menghamburkan 305 PS (302 hp atau 225 kW) dan 605 Nm. Bagi aspek prestasi, Ioniq 5 mengambil masa sekitar 5.2 saat bagi mencapai pecutan 0-100 km/j dan boleh mencecah 185 km/j bagi kelajuan maksimum.

    Berhubung dengan perkongsian platform EV, EV6 memiliki saiz yang berbeza dengan Hyundai, dengan ukuran 4,695 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,550 mm tinggi dan jarak roda 2,900 mm. Untuk Ioniq 5 pula, ia berukuran 4,635 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,605 mm tinggi dan jarak rodanya 3,000 mm.

    Buat masa ini, kita perlu menantikan pengesahan rasmi dari Dinamikjaya Motors, anak syarikat Bermaz Auto (BAuto) dan pengedar rasmi Kia d Malaysia, sebelum dapat mengesahkan apa yang pengedar dedahkan ini.

    GALERI: Pra-tonton Kia EV6 GT-Line Long Range AWD di Malaysia

     
     
  • DSR hasilkan semula bonet depan gentian karbon Proton Satria Neo; bermula RM2,432, stok terhad

    DSR hasilkan semula bonet depan gentian karbon Proton Satria Neo; bermula RM2,432, stok terhad

    Pakar restorasi jentera-jentera legenda Proton, Dream Street Restoration mengumumkan bahawa mereka kini menghasilkan semula bonet hadapan dari material gentian karbon khas untuk Proton Satria Neo, sama seperti komponen yang dihasilkan oleh Proton R3 untuk model edisi terhad Satria Neo R3 Lotus Racing.

    Menurut DSR, bonet hadapan berkenaan dihasilkan dari lapisan Karbon Basah tenunan berkembar (twin weave wet carbon) bersama lapisan gentian kaca. Ia juga telah melepasi ujian pembangunan CMSS (ujian komponen material) Proton yang sama seperti penghasilan bonet hadapan Satria Neo R3 Lotus Racing sebelum ini.

    Ujian CMSS tersebut terdiri dari tiga ujian utama iaitu ujian membengkok (bending test) untuk simulasi pelanggaran, ujian haba (heat test) untuk mengelakkan ia meleding dalam suhu tinggi, serta ujian semburan pasir (sand blast test) bagi memastikan kualiti dan kekuatannya.

    DSR hasilkan semula bonet depan gentian karbon Proton Satria Neo; bermula RM2,432, stok terhad

    Berat keseluruhan bonet gentian karbon ini ditimbang hanya 6 kg, berbanding 12 kg untuk bonet logam asal. Sekali lagi diingatkan, ia sesuai untuk dipasang untuk semua varian Satria Neo.

    Bonet ini juga hanya dihasilkan dalam jumlah yang terhad, dengan harga RM3,040. Namun untuk pelanggan awal, ia ditawarkan pada harga istimewa RM2,432 buat masa sekarang. Ia boleh dibeli terus di fasiliti Dream Street Restoration yang terletak di No. 13, Jalan TS 6/4, Taman Industri Subang, Subang Jaya, atau boleh berhubung menerusi laman Facebook rasmi DSR pada PAUTAN INI.

     
     
  • Jawatan pengurus Tesla Singapura digugur susulan pengurangan tenaga kerja globalnya sebanyak 10%

    Jawatan pengurus Tesla Singapura digugur susulan pengurangan tenaga kerja globalnya sebanyak 10%

    Baru-baru ini tular bahawa Tesla kini sedang mengambil langkah untuk mengurangkan 10% dari tenaga kerjanya di seluruh dunia. Dan nampaknya pengurangan tersebut bukan hanya melibatkan pekerja yang memegang jawatan-jawatan rendah, malah turut menjejaskan pangkat-pangkat besar.

    Antara yang terkesan adalah rakyat Perancis yang memegang jawatan sebagai pengurus bagi Tesla Singapura, Christopher Bousigues. Menurut laporan Straits Times, Bousigues menyatakan tindakan Tesla untuk menggugurkan jawatannya itu adalah sebahagian langkah yang diambil berhubung pengurangan tenaga kerja seperti amaran yang disebut oleh bos besar pembuat kereta elektrik tersebut, Elon Musk awal bulan ini.

    Bousigues baru sahaja dilantik bagi menjawat jawatan tersebut kira-kira setahun yang lalu. Beliau yang sebelum ini berkhidmat dengan syarikat seperti firma perisian SAP dan Microsoft telah mengumumkan bahawa jawatannya telah digugurkan oleh Tesla menerusi akaun LinkedIn peribadinya hujung minggu lalu.

    “Tesla telah mengumumkan pengurangan tenaga kerja sehingga 10%. Peranan saya telah dipilih untuk digugurkan seperti hari ini,” tulisnya dan menambah bahawa beliau tetap bangga kerana telah terpilih sebagai pengurus peringkat negara pertama Tesla di Asia Tenggara, serta mewujudkan perniagaan jenama tersebut di di Singapura.

    “Dalam tahun sebelum ini, pasukan dan saya telah membina perniagaan dari asas, menjadikan Model 3 sebagai sesuatu yang boleh dilihat dengan mudah dalam lanskap kereta Singapura, mewujudkan dua bilik pameran, satu pusat servis (yang selesa saya gelar sebagai Permata Asia), membangunkan jaringan tujuh supercharger merentas pulau serta berjaya melancarkan Model Y semalam (Jumaat lalu) dengan maklum balas yang memberangsangkan,” tulisnya lagi.

    Jawatan pengurus Tesla Singapura digugur susulan pengurangan tenaga kerja globalnya sebanyak 10%

    Bousigues menyatakan bahawa beliau tidak perlu merahsiakan berkenaan kehilangan jawatannya ini. “Apabila perkara seperti ini berlaku, anda akan berfikir apa tindakan terbaik yang perlu diambil, dan sama ada untuk terus bertindak pintar atau mendiamkannya.”

    “Akhirnya, saya tidak dilatih seperti itu. Ketelusan dan kejujuran amat penting saya, jadi berkongsi berita ini dirasakan seperti perkara yang betul untuk dilakukan dengan jaringan kenalan saya. Saya sangat percaya bahawa apabila satu pintu ditutup, pintu yang lebih besar di tempat lain akan terbuka,” jelasnya.

    Laporan akhbar ini menyebut sumber yang rapat dengan perkara ini memberitahu bahawa Tesla Singapura tidak akan mempunyai pengurusnya sendiri selepas jawatan Bousigues tersebut digugurkan. Segala urusan operasi Tesla Singapura selepas ini akan dipantau oleh pejabat Tesla Hong Kong, sama seperti situasi bagaimana Audi Malaysia yang diuruskan oleh Singapura, dan operasi Mercedes-Benz Indonesia yang dipantau oleh Malaysia.

    Awal bulan ini Elon Musk membuat pengumuman mengejut dengan memberikan amaran kepada semua stafnya agar kembali bekerja di pejabat atau meninggalkan terus syarikat itu. Musk turut memberikan amaran berkenaan risiko kemelesetan dan memberitahu pekerjanya bahawa beliau akan mengurangkan 10% dari tenaga kerja Tesla di seluruh dunia.

    Dalam email yang dihantar kepada semua pekerjanya, Musk menyatakan bahawa beliau mempunyai “rasa sangat tidak sedap hati” berkenaan ekonomi, dan syarikatnya akan mengurangkan jumlah pekerja kerana ia telah menjadi “terlebih staf di banyak tempat.” Sehingga akhir 2021, Tesla dilaporkan mempunyai sekitar 100,000 orang pekerja di seluruh dunia.

     
     
  • myTukar Auto Fair 2022 di Johor — Mercedes GLA200 dari RM1.9k sebulan; MINI Cooper S Countryman dari RM2.1k sebulan

    myTukar Auto Fair 2022 di Johor — Mercedes GLA200 dari RM1.9k sebulan; MINI Cooper S Countryman dari RM2.1k sebulan

    Permintaan untuk kereta sentiasa tinggi, dan untuk kereta baru, permintaannya kini mengatasi bekalan — ini menjadikan tempoh menunggunya lebih lama untuk mendapatkan kereta yang diinginkan.

    Mujur bakal berlangsung myTukar Auto Fair 2022 bertempat di myTukar Retail Experience Centre – Plentong, Johor Bahru dari 17-19 Jun ini yang menawarkan barisan kenderaan yang sedia ada kepada pelanggan. Antara yang bakal ditawarkan ialah dua model daripada pengeluar Eropah ini — Mercedes-Benz GLA200, dan MINI Cooper S Countryman.

    Bagi Mercedes-Benz GLA200, model contoh yang ada ini disenaraikan pada harga RM173,800 atas jalan tidak termasuk insuran, dengan bacaan odometernya 58,766 km. Dalam warna Canyon Beige, unit ini boleh dibiayai dari hanya RM1,905 sebulan*.

    Seperti semua kenderaan yang di bawah myTukar Certified, GLA200 ini telah menjalani pemeriksaan 160-poin untuk kelegaan pelanggan; sistem pendinginnya, suspensi dan bateri semua telah disahkan, begitu juga dengan diagnostik dalaman yang tidak menunjukkan sebarang masalah, sementara isu lain berkaitan sistem janaan, tayar dan brek telah dikesan dan diselesaikan — hanya ada sedikit kekurangan pada cermin depan dan juga kerusi depan.

    myTukar Auto Fair 2022 di Johor — Mercedes GLA200 dari RM1.9k sebulan; MINI Cooper S Countryman dari RM2.1k sebulan

    GLA200 generasi X156 ini dilengkapi dengan lampu utama LED High Performance dengan bantuan lampu tinggi adaptif, dan turut juga ada sokongan untuk Apple CarPlay dan Android Auto, kamera undur dan paparan infotainmen lapan-inci. Balutan kerusi adalah gabungan antara kulit tiruan Artico dan fabrik Maringa warna hitam, dengan kemasan aluminium.

    Model ini menggunakan enjin 1.6 liter turbocas yang menghasilkan 154 hp dan 250 Nm tork, menghantar kuasa melalui transmisi automatik tujuh-kelajuan serta menggunakan rim 19-inci.

    Jika inginkan lebih prestasi pula, MINI Cooper S Countryman 2019 dengan bacaan odometer 13,120 km ini mungkin untuk anda, dijual pada harga RM195,800 atas jalan tidak termasuk insuran. Dalam warna Chilli Red, unit ini boleh dibiayai dari RM2,146 sebulan*.

    Ia juga disahkan oleh myTukar Certified, dan telah melalui pemerikasaan 160-poin untuk kelegaan fikiran pelanggan. Sama seperti GLA200 di atas, sistem pendingin hawa, suspensi, janaan kuasa, bateri, tayar dan brek serta diagnostik yang sihat telah dipastikan, dengan hanya sedikit cela dari sudut kosmetik.

    myTukar Auto Fair 2022 di Johor — Mercedes GLA200 dari RM1.9k sebulan; MINI Cooper S Countryman dari RM2.1k sebulan

    Cooper S Countryman generasi F60 ini menggunakan enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol yang menghasilkan 189 hp dan 280 Nm tork, dihantar melalui transmisi automatik lapan-kelajuan. Ia menggunakan rim 18-inci dengan tayar bersaiz 225/50.

    Di dalam, model ini dilengkapi dengan skrin sentuh 6.5-inci untuk infotainmen, kawalan pendingin dua-zon dan kerusi balutan kulit hitam Cross Punch Carbon dengan kemasan dalaman Hazy Grey. Apple CarPlay tanpa wayar juga tersedia.

    Ada banyak lagi model kenderaan yang akan ditawarkan dalam acara myTukar Auto Fair 2022. Pemeriksaan 160-poin pula akan memastikan setiap kenderaan dengan myTukar Certified adalah bebas daripada kemalangan teruk, kebakaran dan kerosakan akibat banjir.

    Selain itu, setiap pembelian myTukar datang dengan lanjutan jaminan PERCUMA selama setahun dan dua temujanji servis PERCUMA — perkara yang jarang ditawarkan untuk kereta terpakai.

    Selain itu, setiap pembelian myTukar disertakan sekali dengan lanjutan jaminan selama setahun dan dua servis percuma, tawaran yang jarang diberikan untuk kereta terpakai. Dan, sekiranya anda berdepan sebarang masalah atau bertukar fikiran tentang kenderaan yang dibeli, anda hanya perlu pulangkannya tanpa sebarang pertanyaan diajukan kepada anda — melalui polisi jaminan pulangan wang lima-hari yang diberikan. Semak senarai panjang kereta yang ada di sini.

    myTukar Experience Centres merupakan pusat sehenti yang memastikan perjalanan anda untuk membeli kenderaan berlangsung dengan mudah dan tidak rumit. Semua urusan dari pemeriksaan Puspakom, pendaftaran JPJ, permohonan pinjaman hinggalah kepada insuran, semuanya diuruskan oleh syarikat ini.

    Pelanggan juga boleh trade-in kenderaan mereka di myTukar Auto Fair 2022 — nilai maksimum dan tawaran trade-in menarik boleh ditentukan terus oleh petugas berpengalaman di acara ini nanti.

    Dengan pembelian kenderaan di acara berkenaan, anda juga berpeluang memenangi satu daripada 10 pasang tiket yang ditanggung sepenuhnya untuk menonton Liverpool menentang Manchester United di Bangkok. Tempah kenderaan anda sebelum 19 Jun dan dapatkannya sebelum 30 Jun, jawab soalan kuiz bila anda menerima panggilannya, dan anda mungkin bertuah untuk ke Thailand menonton perlawanan persahabatan itu. Jika anda mendaftarkan minat untuk hadir ke acara berkenaan di sini, anda akan mendapat peluang tambahan untuk hadiah berkenaan.

    myTukar Auto Fair 2022 di Johor — Mercedes GLA200 dari RM1.9k sebulan; MINI Cooper S Countryman dari RM2.1k sebulan

    Tambahan pula, anda akan menerima tawaran istimewa jika anda membeli kenderaan di acara ini, seperti pinjaman dengan kadar faedah serendah 1.88% bagi 100 tempahan pertama serta peluang untuk menang baucar bernilai sehingga RM1,000 melalui promosi Spin & Win.

    Tidak lupa juga ada hadiah bernilai RM12,000 untuk cabutan bertuah eksklusif untuk dimenangi. Ini termasuklah iPhone 13, sebuah iPad, sebuah konsol Playstation, SmarTV Android, pembersih hampagas Xiomi Mi Robot serta pam air Karcher dan mesin kopi Nescafe Dolce Gusto.

    Untuk hidangan pula, trak makanan akan turut berada di lokasi, jadi pengunjung boleh menikmati makanan dan minuman pilihan mereka dengan mudah. Prosedur penghindaran Covid-19 juga perlu diamalkan — pelitup muka adalah wajib sepanjang masa, tetapi penjarakan fizikal tidak lagi wajib. Kru acara akan kerap membersihkan keseluruhan lokasi serta permukaan yang kerap disentuh seperti kereta dan kemudahan umum untuk memastikan keselamatan terjamin.

    Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman web rasmi myTukar. Berkunjung ke myTukar Auto Fair 2022 pada 17-19 Jun ini, bermula 9.30 pagi hingga 8 malam setiap hari. Anda juga boleh menghubungi saluran berikut:

    Telefon: 03-7890 4499
    WhatsApp: +6018-2249999
    Emel: [email protected]

    myTukar Retail Experience Centre – Plentong, JB
    Jalan Masai Lama,
    Taman Perindustrian Plentong
    81750 Johor Bahru, Johor.

     
     
  • Lebuhraya Pan Borneo – 20 daripada 25 seksyen di bawah Fasa 1 untuk Sarawak dijangka siap tahun ini

    Lebuhraya Pan Borneo – 20 daripada 25 seksyen di bawah Fasa 1 untuk Sarawak dijangka siap tahun ini

    Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, sebanyak 20 daripada 25 seksyen di bawah Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini, laporan Bernama.

    Beliau menambah, lima seksyen yang masih berbaki iaitu Bukit Begunan, Spaoh, Lambir, Tatau dan Sarikei kini menghadapi beberapa masalah termasuk kekurangan tenaga kerja dan juga pengolahan reka bentuk. Walau bagaimana pun, lima seksyen itu dijangka siap pada April tahun hadapan.

    “Sebagai contoh, untuk Bukit Begunan di Sri Aman, ia sedikit mencabar kerana keadaan tanahnya tidak sesuai dengan reka bentuk. Jadi kita perlu meneliti semula reka bentuknya kerana sebelum ini berlaku runtuhan,” ujarnya.

    Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo telah bermula sejak tahun 2015 dan sehingga kini telah siap sebanyak 85%. Pada akhir Mei lalu, Fadillah memberitahu Bernama, 19 daripada 35 pakej kerja di bawah Fasa 1 untuk projek Pan Borneo Sabah akan menggunakan peruntukan daripada kerajaan persekutuan. Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah-Sarawak ini adalah sepanjang 2,325 km, dengan 786 km adalah di bawah jajaran Sarawak.

     
     
  • Hyundai Grand Starex 2022 terima kemaskini luaran, kit badan, warna Moonlight; harga sama, stok terhad

    Hyundai Grand Starex 2022 terima kemaskini luaran, kit badan, warna Moonlight; harga sama, stok terhad

    Hyundai Grand Starex diberikan tingkat taraf kecil untuk model 2022. MPV 11-tempat duduk tersebut kini datang dengan pilihan warna badan Moonlight (biru gelap) baharu, kit badan dengan rekaan lebih ringkas dari sebelum ini, lampu belakang ‘kristal’ baharu serta spoiler belakang baharu yang tampil dengan lampu brek.

    Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu Executive Plus dan Executive Plus dengan Telematics – kedua-duanya masih dijana oleh enjin turbodiesel 2.5 liter CRDi VGT berkuasa 170 PS/441 Nm. Kotak gear juga masih sama iaitu unit transmisi automatik lima-kelajuan bersama Shiftronic bagi memacu sepenuhnya roda belakang.

    Varian Executive Plus dijual pada harga tanpa insuran RM163,888 dengan pengecualian SST, manakala Executive Plus dengan Telematics pula adalah RM2,000 lebih mahal iaitu RM165,888. Sistem telematik pada varian tertinggi tersebut menawarkan enam servis termasuk Pengesan Kemalangan Automatik, Bantuan Kecemasan, Bantuan Kerosakan, Bantuan Servis, Connected Security Features (menerusi aplikasi telefon pintar) dan juga Pengesan Kenderaan Dicuri.

    “Grand Starex merupakan salah satu model paling laris kami selepas Kona dan Elantra kerana saiz, prestasi dan juga harganya yang mampu milik. Dengan berbaki unit yang terhad, mereka yang telah terpikat dengan Grand Starex seharusnya buat tempahan secepat mungkin,” kata Pengarah Urusan Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM), Low Yuan Lung. Beliau menambah bahawa model ini agak popular dikalangan pengendali perniagaan dan juga mereka yang mempunyai keluarga besar.

    Hyundai Grand Starex 2022 terima kemaskini luaran, kit badan, warna Moonlight; harga sama, stok terhad

    HSDM turut menyatakan antara perincian lain yang ada pada Grand Starex ini termasuk “tempat duduk baris kedua yang boleh dipusing, sejumlah perincian keselamatan dan juga monitor paparan pada bumbung.” MPV ini juga dilindungi waranti selama lima tahun atau 300,000 km.

    Sebelum ini HSDM ada menyatakan bahawa Grand Starex akan terus dijual walaupun model generasi baharu Staria Premium sudahpun dilancarkan di Malaysia. Kedua-duanya dikelaskan dalam kategori berbeza di mana Staria Premium berada pada kelas mewah, manakala Starex untuk segmen lebih mampu milik.

    Walau bagaimanapun, dengan kenyataan “hanya berbaki unit yang terhad” dari HSDM tersebut, ada kemungkinan penjualan Grand Starex mungkin akan dihentikan selepas ini.

     
     
  • BMW G310 RR 2022 – teaser disiar, tidak banyak beza berbanding TVS Apache RR 310 di India, 312 cc

    BMW G310 RR 2022 – teaser disiar, tidak banyak beza berbanding TVS Apache RR 310 di India, 312 cc

    Selepas mengeluarkan motosikal berkapasiti rendah G310 R dan G310 GS pada tahun 2015 yang lalu, ramai menyangkakan ia akan disusuli oleh versi sport fairing penuh G310 RR. Ternyata ia mengambil masa yang agak lama kerana baru sekarang BMW bersedia untuk mengeluarkan motosikal tersebut, dengan teaser untuknya sudah pun ditunjukkan, dan nama yang disahkan sebagai G310 RR.

    Bukan lagi rahsia, G310 R dan G310 GS sebelum ini memang sudah diketahui menggunakan motosikal jenama TVS dari India sebagai asas. Begitu juga dengan G310 RR baru ini. Dijangkakan juga, tidak banyak yang akan diubah oleh BMW untuk model mereka sendiri kerana melihat daripada teaser, hampir semua bahagian adalah sama.

    Ini termasuklah panel-panel badan, lampu belakang dan hadapan, rim, bentuk tangki, penghadang angin hadapan, fender dan juga ekzos. Namun yang pastinya, lencana serta grafik untuk G310 RR ini akan diubah mengikut konsep jentera BMW.

    Spesifikasi teknikal juga dijangka tidak berbeza, dan jika melihat kepada TVS Apache 310 RR, ia dipacu oleh enjin empat strok satu silinder penyejukan cecair 312.2 cc, bersama padanan kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan 34 PS pada 9,700 rpm dan 27.2 Nm tork pada 7,700 rpm. Motosikal ini juga datang dengan empat mod tunggangan iaitu Rain, Urban, Sport dan Track.

    Tiada pelarasan untuk bahagian suspensi, dan ia melibatkan fork USD di hadapan dan monoshock dengan tabung gas di belakang. Rim bersaiz 17 inci dan dibalut tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang. Kedua-dua bahagian hadapan dan belakang mendapat brek cakera, dan dilengkapi dengan ABS yang mempunyai dua mod.

    Berat keseluruhan Apache 310 RR adalah 174 kg, dan ia datang dengan tangki bahan api berkapasiti 11 liter. Menariknya tentang Apache 310 RR ini, ia turut dilengkapi dengan panel instrumen TFT berwarna penuh, yang boleh disambung kepada telefon pintar, dan memaparkan pelbagai informasi serta fungsi termasuk data tunggangan, tarikan G, analisis corak tunggangan serta pelbagai lagi.

    GALERI: TVS Apache RR 310 di India

     
     
  • Lebih banyak kenderaan berbanding orang di M’sia ketika ini? Tidak tepat, itu statistik sejak 1946

    Lebih banyak kenderaan berbanding orang di M’sia ketika ini? Tidak tepat, itu statistik sejak 1946

    Minggu lalu dilaporkan, kini terdapat sejumlah 33.3 juta unit kenderaan berdaftar di Malaysia, dengan peningkatan tahunan sebanyak sejuta kenderaan sejak 2019. Angka berkenaan adalah lebih besar berbanding jumlah populasi di negara ini, dengan 32.6 juta orang. Angka itu dikatakan sebagai punca kenapa kesesakan jalan raya menjadi lebih teruk sejak kebelakangan ini.

    Bagaimanapun, bekas menteri pengangkutan, Liow Tiong Lai berkata dakwaan itu adalah berlebihan dan tidak menggambarkan jumlah kenderaan ketika ini kerana apa yang dilaporkan itu adalah jumlah terkumpul kenderaan berdaftar sejak tempoh pemerintahan British di sini, lapor FMT.

    Katanya dakwaan dalam berita itu tidak menggambarkan situasi sebenar, menekankan keyakinannya bahawa angka kenderaan di atas jalan ketika ini tidak melebihi jumlah populasi ketika ini. “Tajuk laporan berkenaan sangat mengelirukan. Tidak mungkin angka kenderaan adalah lebih banyak berbanding populasi di Malaysia,” jelasnya.

    Lebih banyak kenderaan berbanding orang di M’sia ketika ini? Tidak tepat, itu statistik sejak 1946

    Kalaupun negara ini mempunyai rekod 33 juta kenderaan berdaftar dalam sistem, ia adalah jumlah keseluruhan yang dikumpul sejak 7.5 dekad lalu. November tahun lalu, Ketua Pengarah JPJ, Zailani Hashim memaklumkan yang jabatan itu telah mendaftarkan sebanyak 33.05 juta kenderaan dalam tempoh 75 tahun, sejak badan itu dimulakan pada 1 April 1946 sebagai pendaftar dan pemeriksa kenderaan bermotor.

    Liow menggesa kerajaan untuk menjelaskan tentang perkara ini, dan berkata JPJ sepatutnya menyediakan angka yang betul untuk mengelak kekeliruan ini. “Fakta perlu di ketengahkan. JPJ boleh guna rekod pembaharuan cukai jalan terkini untuk mengesahkan angka berkenaan,” jelasnya. Beliau menambah, JPJ juga sepatutnya melaksanakan “sijil kematian” bagi kenderaan yang sudah tidak aktif, agar angka kenderaan sebenar boleh dikenal pasti.

    Lebih banyak kenderaan berbanding orang di M’sia ketika ini? Tidak tepat, itu statistik sejak 1946

    Pandangan Liow ini turut disokong oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Abd Ghafar Yusof yang berkata statistik berkenaan datangnya sejak tempoh sebelum merdeka dan kerap digunakan untuk angka keseluruhan kenderaan di negara ini — itu berlangsung dan diamalkan hinggalah tarikh persaraannya.

    “Saya tak faham kenapa angka itu masih digunakan hingga hari ini. Angka besar ini kerap digunakan untuk menggambarkan nisbah kematian jalan raya berbanding jumlah kenderaan di negara ini,” ujarnya. Ghafar juga berkata, kaedah ini tidak mencerminkan situasi sebenar tentang indeks keselamatan jalan raya dengara ini, dan telah berulang kali meminta kementerian pengangkutan menggunakan jumlah kenderaan berdasarkan jumlah pembaharuan cukai jalan raya terkini sebagai nisbah kepada jumlah kemalangan dan kematian di jalan raya agar lebih tepat.

     
     
  • Tempoh pengecualian SST untuk pembelian kereta baharu mungkin dipanjangkan – Wee Ka Siong

    Tempoh pengecualian SST untuk pembelian kereta baharu mungkin dipanjangkan – Wee Ka Siong

    Seperti yang kita tahu, insentif pengecualian cukai servis dan jualan (SST) untuk pembelian kereta baharu bakal tamat pada 30 Jun ini. Namun menurut laporan The Star, menteri pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong menyatakan bahawa insentif tersebut mungkin akan disambung bagi menyokong pemulihan industri automotif yang menghadapi pelbagai cabaran sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

    “Kerajaan kini sedang mempertimbangkan cadangan untuk memanjangkan pengecualian tersebut, dan keputusannya akan diumumkan tak lama lagi,” kata Wee dalam kenyataan ketika mesyuarat agong tahunan Persekutuan Persatuan-persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM).

    Sebelum ini Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan Perodua sudahpun membuat permohonan kepada kerajaan agar insentif pengecualian SST berkenaan disambung lagi selepas 30 Jun nanti.

    Sehingga kini, tempoh pengecualian SST berkenaan telah pun disambung semula sebanyak tiga kali sejak ia diperkenalkan buat pertama kali pada 5 Jun 2020. Ia sepatutnya tamat pada 31 Disember 2020, namun ia dilanjutkan sehingga ke Jun 2021. Ia kemudiannya dilanjutkan lagi hingga ke Disember 2021, dan pada pembentangan Bajet 2022 ia kemudiannya sekali lagi diumum dilanjutkan sehingga ke 30 Jun 2022.

    Tempoh pengecualian SST untuk pembelian kereta baharu mungkin dipanjangkan – Wee Ka Siong

    Pengecualian cukai SST diberikan sepenuhnya untuk model-model pemasangan tempatan (CKD), manakala model-model yang diimport sepenuhnya (CBU) hanya diberikan potongan cukai SST sebanyak 50%. Namun insentif ini tidak diberikan untuk mereka yang membeli trak pikap kerana kenderaan tersebut diklasifikasikan sebagai kenderaan perdagangan.

    Dalam acara tersebut, presiden FMCCAM Datuk Tony Khor turut menggesa kerajaan agar melanjutkan pengecualian SST berkenaan selepas 30 Jun. Menurutnya pengeluar-pengeluar kenderaan kini terpaksa menunda penghantaran kereta baharu kepada pelanggan kerana masalah yang berlaku pada rantaian pembekalan komponen serta bekalan mikrocip yang terjejas.

    Sekiranya tarikh akhir pengecualian cukai jualan ini dilanjutkan lagi ia mungkin akan menarik lebih ramai pembeli kereta, tambah Khor. Namun Wee pula menyatakan sebelum ini, keputusan sama ada tempoh insentif ini akan dipanjangkan atau tidak hanya boleh dibuat oleh kementerian kewangan.

    Tempoh pengecualian SST untuk pembelian kereta baharu mungkin dipanjangkan – Wee Ka Siong

    Dalam perkembangan lain, Khor turut mencadangkan agar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempertimbangkan kemungkinan untuk menyediakan perkhidmatan yang membolehkan kereta terpakai terus diserah kepada pelanggan sebaik sahaja pinjaman diluluskan. Beliau turut meminta agar JPJ membuat penilaian semula terhadap struktur cukai jalan bagi kereta yang telah berusia.

    “FMCCAM turut membuat cadangan kepada JPJ agar mempertimbangkan kadar cukai jalan sehingga 75% bagi kenderaan yang berusia lebih 15 tahun atau lebih, 50% untuk kenderaan yang lebih 10 tahun dan 25% kenderaan lebih dari lima-tahun,” katanya.

    “Kami mengalu-alukan inisiatif yang akan membantu pemulihan ekonomi, dan kami akan meneliti perkara itu untuk melihat sama ada kementerian pengangkutan boleh membantu memudahkan cadangan ini. Mengenai cadangan mengurangkan cukai jalan bagi kereta yang berumur lebih daripada 10 tahun, perkara itu mesti dilihat secara holistik bagi memastikan hasilnya memberi manfaat kepada majoriti,” ujar Wee.

     
     
  • JPJ P. Pinang tahan kereta guna lampu HID haram

    JPJ P. Pinang tahan kereta guna lampu HID haram

    Hujung minggu baru-baru ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang telah mengadakan Ops Lampu HID (High Intensity Discharge) di daerah Butterworth. Ia adalah bagi mengesan kenderaan yang memasang lampu HID atau lampu yang mempunyai gas xenon tetapi tidak mempunyai filamen berserta dua unit Ballast yang dipasang secara retrofit tanpa kebenaran.

    Menurut JPJ, pemasangan lampu secara retrofit ini boleh menyebabkan gangguan penglihatan kepada pemandu lain. Dimana ia boleh menyebabkan silau berlebihan dan menjadi lebih bahaya pada waktu hujan serta menimbulkan ketidakselesaan kepada pemandu dari arah bertentangan.

    “Penguatkuasaan kesalahan di bawah Kaedah 94 C&U (Construction and Use) 1959 ini dilaksanakan berikutan banyak maklumbalas yang diterima dari rakan- rakan FB JPJ Negeri Pulau Pinang berkenaan kesalahan lampu putih (HID) yang menyebab ketidakselesaan semasa pemanduan.

    “Kami mengambil maklum perkara tersebut dan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan bagi menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya semasa memandu,” ujar kenyataan yang dikeluarkan.

    Bagi pemilik kenderaan yang didapati menggunakan lampu jenis ini diberikan tempoh 10 hari untuk memasang semula lampu asal yang mengikut spesifikasi yang dibenarkan. Jika gagal berbuat demikian, pemilik boleh dikompaun sehingga RM2,000 atau dipenjara sehingga enam bulan di bawah Seksyen 119 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

     
     
  • Nissan Serena facelift 2022 dibuka tempahan di Malaysia – dua varian, harga bermula dari RM150,000

    Nissan Serena facelift 2022 dibuka tempahan di Malaysia – dua varian, harga bermula dari RM150,000

    Nissan Serena facelift generasi-C27 kini telah pun dibuka tempahannya di Malaysia, menerusi laman web Nissan Malaysia. Harganya bermula dari RM150,000, dengan menawarkan dua varian iaitu 2.0L Highway Star dan 2.0L Premium Star Package (yang berharga di bawah RM165k).

    Dijanakan oleh enjin yang sama iaitu unit MR20DD 2.0 liter suntikan-terus empat-silinder petrol dengan hamburan kuasa 150 PS dan tork 200 Nm, MPV ini turut dipadankan dengan continuously variable transmission (CVT), dan juga motor berkuasa 2.6 PS/48 Nm sebagai starter dan generator, yang turut mengendalikan sistem idle stop, pemulihan kuasa enjin dan bantuan pemanduan.

    Model facelift 2022 ini turut ditambahkan dengan ciri keselamatan aktif yang merangkumi brek kecemasan sendiri, amaran ketibaan lorong dan amaran titik buta serta kepekaan trafik lintasan belakang.

    Ia menyertai kelengkapan keselamatan aktif lain buat Serena 2022 yang terdiri daripada bantuan mula mendaki, kawalan kestabilan kenderaan (VDC), kawalan cengkaman, ABS, EBD dengan bantuan brek, cagak ISOFIX untuk barisan kedua tempat duduk, perakam video dwi-saluran (hadapan dan belakang) secara standard untuk varian Premium, namun ciri tersebut adalah pilihan bagi model asas 2.0L Highway Star. Untuk keselamatan pasif, kedua-dua varian menerima enam beg udara.

    Bagi memberikan kemudahan yang lebih optimum, Serena 2022 ini turut ditampilkan dengan larasan tailgate “dwi pintu belakang”, pintu gelangsar bebas-bukaan tangan dengan boleh dioperasi secara pergerakan tendangan (kick motion) untuk kedua-dua belah pintu, serta tujuh port USB.

    Untuk tempat duduknya pula, Serena 2022 menawarkan teknologi Sifar Graviti untuk barisan hadapan dan kedua, yang boleh dilaras sehingga 13 konfigurasi, di mana barisan kedua turut menampilkan tempat duduk ‘kapten’ dan barisan ketiga boleh menawarkan larasan gelangsar di mana ia boleh ditolak ke tepi bagi menambahkan ruang kargo sekiranya tiada penumpang duduk di situ.

    Varian asas Highway Star diberikan fabrik upholstery dengan kemasan kulit buatan sebagai pilihan, sementara Premium Highway Star Package pula ditampilkan dengan gabungan kemasan kulit Nappa sama ada warna hitam atau coklat. Turut diberikan sistem pendingin hawa dwi-zon, dengan suis kawalan yang turut diberikan pada barisan kedua dan ketiga.

    Selain itu, varian asas 2.0L Highway Star turut diberikan unit infotainmen 6.75-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sementara Premium pula menawarkan set kesepaduan telefon pintar menerusi paparan skrin sesentuh sembilan-inci. Sistem bunyi dengan enam-pembesar suara diberikan untuk kedua-dua varian, selain paparan warna sepenuhnya bersaiz tujuh-inci untuk bahagian pemandu.

    Nissan Serena facelift 2022 akan ditawarkan dengan tujuh pilihan warna iaitu Brilliant White, Tungsten Silver dan Diamond Black untuk Highway Star, dan kemasan dua-tona dengan kontras Diamond Black untuk bumbung dan tiang bersama tiga warna pilihan yang disebut, serta tambahan rona Radiant Red bagi varian Premium.

    GALERI: Nissan Serena facelift C27

     
     
  • MOT teliti permohonan pemilik kenderaan persendirian di Sabah yang minta dikecualikan bayaran cukai jalan

    MOT teliti permohonan pemilik kenderaan persendirian di Sabah yang minta dikecualikan bayaran cukai jalan

    Disebabkan keadaan jalan di Sabah yang daif agak menyedihkan, pemilik kenderaan persendirian di negeri terbabit membuat permohonan kepada Kementerian Pengangkutan untuk diberikan pengecualian bayaran cukai jalan.

    Perkara ini disahkan sendiri oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang menyatakan pihaknya sedang meneliti permohonan terbabit, laporan Harian Metro.

    Katanya, kementerian memahami hasrat pengguna jalan raya di Sabah, walau bagaimana pun, beliau tidak mahu menjanjikan apa-apa, tetapi akan membawa isu itu ke kementerian serta pihak berkaitan.

    “Saya akan bincang dengan pihak kementerian dan melihat implikasinya. Saya akan bincang dengan kerajaan negeri, Menteri Kerja Raya Sabah dan lihat macam mana kita nak buat. Kena lihat secara menyeluruh dan saya faham apa permintaan itu.

    “Saya tidak akan berjanji bulan dan bintang, ini tertakluk kepada kemampuan kewangan negara,” katanya.

    Baru-baru ini, media melaporkan pengguna jalan raya di Sabah mahukan pengecualian cukai jalan
    sementara menunggu pembinaan Lebuhraya Pan Borneo siap. Ini berikutan keadaan jalan raya di negeri tersebut yang agak daif.

     
     
  • Yamaha MT-15 pasaran Malaysia disediakan dalam tiga warna baru – spesifikasi tidak berubah, RM12,298

    Yamaha MT-15 pasaran Malaysia disediakan dalam tiga warna baru – spesifikasi tidak berubah, RM12,298

    Selepas dilancarkan buat kali pertama untuk pasaran Malaysia pada tahun 2020, Yamaha MT-15 sudah pernah diberi perubahan grafik dan warna pada tahun 2021. Kini, sekali lagi ia disegarkan semula dengan pilihan tiga warna baru iaitu Icon Blue, Midnight Black dan Cyan Storm. Harganya meningkat sedikit menjadi RM12,298, berbanding RM11,988 pada tahun lalu.

    Bagi kesemua warna baru ini, ia masih mendapat fork hadapan USD yang berwarna emas, sementara rim 17 inci yang masing-masing dibalut tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang dicat menggunakan warna sama seperti warna utama badan iaitu biru untuk Icon Blue, hitam untuk Midnight Black dan cyan untuk Cyan Storm.

    Bahagian lain motosikal masih tidak berubah, bermula dengan enjin satu silinder suntikan bahan api 155 cc SOHC dengan teknologi VVA dan penyejukan cecair, dan ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm.

    Penukaran gear dijadikan lancar dan berkesan dengan penggunaan klac jenis assist & slipper sementara lampu hadapan pula menggunakan unit LED. Pada bahagian kokpit terdapat panel meter digital LCD.

    Kedua-dua brek hadapan dan belakang adalah jenis cakera, sementara perincian lain adalah termasuk tangki 10.4 liter, pemula enjin elektrik, meter digital, berat 133 kg, lampu depan dan belakang LED, tinggi tempat duduk 810 mm serta jarak dari tanah 155 mm.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing rangkul gelaran juara Le Mans 24 Jam kali ke-5 berturut-turut; 1-2 4-kali berturut-turut!

    Toyota Gazoo Racing rangkul gelaran juara Le Mans 24 Jam kali ke-5 berturut-turut; 1-2 4-kali berturut-turut!

    Toyota Gazoo Racing sekali lagi menamatkan perlumbaan ketahanan Le Mans 24 Jam tahun ini di tempat pertama, membolehkan pasukan berkenaan mempertahankan gelaran tersebut buat tahun kelima berturut-turut. Malah perlumbaan tahun ini juga menyaksikan sayap perlumbaan jenama Jepun tersebut buat kali keempat berturut-turut menamatkan Le Mans 24 Jam dengan kemenangan 1-2!

    Tahun ini gandingan Sébastien Buemi, Brendon Hartley dan Ryo Hirakawa yang memandu jentera Hypercar GR010 Hybrid #8 merangkul gelaran untuk Toyota berkenaan selepas melewati garisan penamat setelah cukup 24 Jam berlumba dengan jumlah pusingan 380 lap di litar Circuit de la Sarthe tersebut semalam.

    Manakala gandingan juara tahun lalu iaitu Mike Conway, Kamui Kobayashi dan José María López yang memandu GR010 Hybrid #7 menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan ketinggalan 2 minit 1.222 saat di belakang. Podium Le Mans 24 Jam 2022 ini dilengkapkan oleh gandingan Ryan Briscoe, Richard Westbrook dan Franck Mailleux dari pasukan Glickenhaus Racing, namun jentera Glickenhaus SCG 007 LMH #709 mereka tertinggal 5 lap di belakang juara.

    Toyota Gazoo Racing rangkul gelaran juara Le Mans 24 Jam kali ke-5 berturut-turut; 1-2 4-kali berturut-turut!

    Secara keseluruhan, aksi perlumbaan tahun ini di dominasi dua jentera Toyota Gazoo Racing berkenaan di mana kedudukan pendahulu perlumbaan bertukar beberapa kali antara kedua-duanya. Situasi tersebut berterusan dalam masa 16-jam pertama, dengan perbezaan masa antara kedua-duanya hanya sekitar beberapa saat.

    Namun pada lap yang ke-256, jentera GR101 #7 yang sedang mendahului, ketika itu dipandu oleh José María López mengalami masalah berkenaan motor elektrik untuk gandar hadapan. José berjaya melakukan reset semula terhadap sistem dan kemudian kembali ke pit. Krew pasukan berkenaan kemudiannya melakukan reset yang lebih menyeluruh, membolehkan ia berfungsi sempurna kembali selepas itu.

    Masalah berkenaan membolehkan kereta #8 yang dipandu Brendon Hartley mengambil kedudukan pendahulu dengan selesa hampir satu lap penuh di hadapan, namun ia tidak mematahkan semangat José untuk terus mengejar kembali. José kemudiannya berjaya mencatatkan masa terpantas pada setengah jam sebelum perlumbaan berakhir, dan berjaya merapatkan kedudukan dengan pendahulu.

    Toyota Gazoo Racing rangkul gelaran juara Le Mans 24 Jam kali ke-5 berturut-turut; 1-2 4-kali berturut-turut!

    Toyota berjaya mempertahankan gelaran juara mereka di Le Mans 24 Jam ini dengan mudah sejak tahun 2018, selepas dua pencabar utama dalam kategori tertinggi perlumbaan tersebut menarik diri; Audi pada 2016, diikuti Porsche pada 2017.

    Keputusan yang di capai ini membolehkan Toyota Gazoo Racing memungut mata maksima penuh di Le Mans untuk kejuaraan World Endurance Championship (WEC) musim 2022. Kini Toyota Gazoo Racing berada di tempat pertama kategori pengeluar dengan kelebihan 22 mata berbanding pasukan Alpine di tempat kedua selepas tiga perlumbaan.

    Manakala untuk kategori pelumba, gandingan kereta #8 Toyota kini menjadi pendahulu kejuaraan dengan kelebihan hanya tiga mata berbanding gandingan Nicolas Lapierre, André Negrão dan Matthieu Vaxivière dari pasukan Alpine. Gandingan pemandu jentera #7 Toyota pula berada di tempat ketiga dengan ketinggalan 20 mata. Pusingan seterusnya WEC akan berlangsung 10 Julai ini di Monza.