Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Rapid Penang sediakan transaksi pembayaran justPay

    Rapid Penang sediakan transaksi pembayaran justPay

    Bagi menyokong hala tuju aspirasi pendigitalan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan melaksanakan projek perintis bagi sistem percubaan pembayaran terbuka bagi perkhidmatan bas Rapid Penang.

    Dengan memilih sistem pembayaran terbuka justPay, ia bakal menyediakan satu alternatif mod pembayaran tambang dengan menyediakan kaedah pembayaran melalui teknologi kod QR (Quick Response) dan aplikasi e-Wallet.

    Proses ujian terhad ini hanya dilakukan di dua laluan iaitu laluan 101 (Weld Quay–Teluk Bahang) dan laluan 613 (Penang Sentral-Padang Serai) bermula 18 Jun dan dijangka selesai pada 17 Ogos 2022.

    Menurut Muhammad Yazurin Sallij, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, “Ujikaji prototaip aplikasi justPay ini telah pun dijalankan beberapa bulan yang lepas. Oleh yang demikian, fasa seterusnya merupakan Proof of Concept yang akan melibatkan sampel yang lebih ramai iaitu para pelanggan Rapid Penang digalakkan untuk mencuba dan menguji keupayaan serta fungsi aplikasi ini. Segala komen dan peluang penambahbaikan akan diambil kira sebelum sistem ini digunapakai sepenuhnya.”

    Rapid Penang sediakan transaksi pembayaran justPay

    Bagi menggunakan sistem pembayaran justPay, pengguna perlu memuat turun aplikasi berkenaan menerusi Google Play Store atau Apple App Store. Kemudian pengguna perlu mendaftarkan nombor talian telefon yang sah dan memasukkan nombor OTP (One Time Password) yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas sebagai pengesahan serta menetapkan kata laluan.

    Menerusi aplikasi ini, pengguna boleh menambah nilai melalui fungsi tambah nilai melalui perbankan internet. Kemudian, pengguna perlu memilih ikon TransitPay, dan seterusnya kod QR akan dipaparkan.

    Seterusnya, pengguna perlu mengimbas kod QR ke peranti yang disediakan semasa menaiki dan menurun dari bas bagi merekod lokasi hentian bas yang dinaiki. Di mana pembayaran tambang akan dilakukan melalui imbasan kod QR ke peranti semasa turun dari bas dan bayaran tambang bas akan ditolak terus daripada dompet digital justPay.

    Aplikasi justPay dibangunkan melalui kolaborasi antara Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE – anak syarikat Prasarana) dan Community Marketplace Technology Sdn Bhd. Para penumpang boleh melayari laman media sosial Rapid Penang untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai projek perintis ini.

     
     
  • Kawasaki Versys 650 baharu masuk M’sia tahun depan

    Kawasaki Versys 650 baharu masuk M’sia tahun depan

    Sejak diperkenalkan kali pertama kepada pasaran kita, Kawasaki Versys 650 sememangnya agak popular dan mendapat sambutan ramai. Model ini sudah beberapa kali diberi naik taraf, dan yang paling baru didedahkan semasa pameran EICMA tahun lepas.

    Model ini masih belum tiba di Malaysia, tetapi Kawasaki yang kini berada di bawah Modenas menyatakan ada berita baik untuk mereka yang menunggunya. Ia akan tiba di negara kita tahun hadapan! Memandangkan ia berkapasiti 650 cc, kita boleh menjangkakan ia akan dipasang di dalam negara (CKD) dan ditawarkan dengan harga yang menarik.

    Walaupun nampak seakan sama, Versys 650 baru ini sebenarnya menggunakan semua panel badan yang baru, termasuklah lampu hadapan yang kini menggunakan LED. Kemudiannya, penghadang angin boleh laras secara manual disediakan secara standard, dan di sebaliknya terdapat panel instrumen TFT baru bersaiz 4.3 inci

    Dalam keadaan asal, skrin ini boleh menunjukkan pelbagai informasi penting melalui paparan berwarna, dan ia juga boleh disambungkan kepada telefon bimbit secara bluetooth menggunakan aplikasi RIDEOLOGY. Sekiranya ada panggilan atau mesej, notifikasi akan dipaparkan pada skrin.

    Sistem keselamatan motosikal ini juga telah dinaik taraf, dengan kini ia mendapat kawalan cengkaman KTRC. Dua mod disediakan pada sistem ini bagi membenarkan penunggang menyesuaikannya dengan tunggangan dan keadaan, dan ia juga boleh ditutup sepenuhnya jika mahu.

    Bahagian lain Versys 650 masih dikekalkan sama, termasuklah enjin dua silinder DOHC 649 cc bersama kotak gear enam kelajuan, menghasilkan kuasa 649 cc dan 61 Nm tork. Suspensi menggunakan fork teleskopik 41 mm tanpa sebarang pelarasan di hadapan, dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang.

     
     
  • Tambang percuma untuk MRT,LRT, KL Monorail, BRT dan bas selama sebulan bermula hari ini – PM

    Tambang percuma untuk MRT,LRT, KL Monorail, BRT dan bas selama sebulan bermula hari ini – PM

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru sahaja membuat pengumuman mengejut sebentar tadi – mulai hari ini, kesemua jaringan pengangkutan awam kendalian Rapid KL akan menawarkan tambang percuma selama sebulan! Pengumuman itu dibuat ketika beliau melancarkan Fasa pertama bagi MRT Laluan Putrajaya yang bakal dibuka kepada umum mulai jam 3 petang ini.

    Ini bermaksud bermula hari ini, semua jaringan pengangkutan awam kendalian Rapid KL iaitu tren MRT, LRT dan KL Monorail, serta perkhidmatan bas Rapid KL, bas perantara dan Sunway BRT tidak akan dikenakan sebarang bayaran tambang selama sebulan.

    MRT Laluan Putrajaya bagi fasa pertama ini melibatkan jajaran sepanjang 17.5 km dan memiliki keseluruhan 12 stesen, dengan sembilan stesen baharu yang menyertai tiga stesen sedia ada yang bersambung dengan MRT Laluan Kajang.

    Tiga stesen sedia ada adalah Kwasa Damansara, Kampung Selamat dan Sungai Buloh. Dari setsen berkenaan, laluan akan melalui MRR2 ke Kepong. Stesen baharu yang terlibat ialah Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, Sri Delima dan Kampung Batu.

    Kwasa Damansara merupakan stesen terminal dan pertukaran dengan MRT Laluan Kajang. Manakala dua stesen yang turut disambungkan dengan perkhidmatan KTM Komuter ialah Sungai Buloh dan Sri Damansara Timur. Di mana stesen Sri Damansara Timur (yang dinamakan sebagai SD) terletak berhampiran KTM Komuter Kepong Sentral, bertentangan dengan Desa Mall.

    Tujuh daripada kesemua stesen yang disebutkan ini memiliki fasiliti parkir. Jarak perjalanan dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu di Jalan Ipoh dianggarkan sekitar 24 minit. Laluan baharu ini melibatkan 20 set tren tanpa pemandu, setiap satunya dengan empat gerabak dengan kapasiti 1,200 penumpang. Perkhidmatan tren ini juga disertakan dengan kemudahan bas perantara, dengan 13 laluan, juga bermula hari ini.

     
     
  • Modenas kembangkan rangkaian pengedar dan servis Kawasaki di Malaysia untuk keselesaan pengguna

    Modenas kembangkan rangkaian pengedar dan servis Kawasaki di Malaysia untuk keselesaan pengguna

    Selepas mengambil alih sepenuhnya pengedaran motosikal jenama Kawasaki di Malaysia, Modenas melalui Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) mahu memastikan mereka bukan setakat membangunkan rangkaian pengedar, tetapi juga servis dan alat ganti untuk pengguna.

    Setakat ini, 20 pengedar dan Kawasaki Service Point sudah dilantik di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, dan ia akan ditambah lagi menjadi 40 pada tahun hadapan. Hampir semua pengedar ini adalah memang pengedar Kawasaki sebelum ini, dan mereka mempunyai pengalaman dengan motosikal jenama tersebut.

    Jika EMOS menggunakan rangkaian pengedar motosikal Modenas, jumlah ini mungkin dapat bertambah dengan lebih banyak dan pantas, tetapi menurut CEO Modenas, Roslan Roskan, ia tidak mudah kerana mereka perlu mendapatkan persetujuan daripada pengedar itu terlebih dahulu (bukan semua pengedar Modenas mahu menguruskan motosikal berkapasiti tinggi) dan memberi latihan kepada mekanik atau juruteknik mereka.

    Untuk alat ganti, Modenas kini mempunyai lebih 80,000 alat ganti dalam senarai, dan ia bukan sahaja untuk model motosikal yang terkini, tetapi juga pergi ke belakang sehingga tahun 1992. Timbalan Pengurus Besar Modenas, Yusmey Yusoff juga memberitahu sekiranya ada pemilik mahu mendapatkan alat ganti tertentu, untuk apa sahaja motosikal Kawasaki, mereka boleh membuat tempahan melalui Modenas. Walaubagaimanapun, ia tertakluk kepada ketersediaan alat ganti itu di Kawasaki Jepun.

    Senarai pengedar Kawasaki di bawah EMOS:

    Utara

    • Bikers Gallery – Alor Setar, Kedah
    • EL Chong Motor Trading – Sungai Bakap, Pulau Pinang
    • Sheng Fatt Motor – Georgetown, Pulau Pinang
    • Hot Bike – Georgetown, Pulau Pinang

    Pantai Timur

    • KK Superbike – Temerloh, Pahang

    Tengah

    • Eang Chun Motor – Setapak, Kuala Lumpur
    • Apex Motorsports – Batu Caves, Selangor
    • Serdang Motorcycle – Seri Kembangan, Selangor
    • Seri Gading Enterprise – Shah Alam, Selangor
    • Chear Motor (Shah Alam) – Shah Alam, Selangor
    • Soon Heng Bikers – Cheras, Selangor
    • MotorSim – Batu Caves, Selangor
    • KMSB Solutions – Shah Alam, Selangor
    • Puncak Alam Motoworld – Petaling Jaya, Selangor

    Selatan

    • Zong Heng Motors – Bukit Baru, Melaka
    • BZ TOP Automobile – Durian Daun, Melaka
    • Qbee Superbike Centre – Johor Bahru, Johor
    • Tong Ban Seng Motor – Kuala, Johor

    Sabah/Sarawak

    • Ghee Hua Co. – Kuching, Sarawak
    • Inti Deras Motors – Kota Kinabalu, Sabah
     
     
  • MRT Laluan Putrajaya Fasa 1 mula dibuka hari ini, jam 3 petang – 17.5 km, 12 stesen, Kwasa D’sara-Kg Batu

    MRT Laluan Putrajaya Fasa 1 mula dibuka hari ini, jam 3 petang – 17.5 km, 12 stesen, Kwasa D’sara-Kg Batu

    Fasa pertama bagi MRT Laluan Putrajaya bakal dibuka kepada umum mulai jam 3 petang ini. Laluan berkenaan akan dilancarkan oleh Perdana Menter Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan acara perasmiannya boleh ditonton menerusi www.jomnaikmrt.com.

    MRT Laluan Putrajaya bagi fasa pertama ini melibatkan jajaran sepanjang 17.5 km dan memiliki keseluruhan 12 stesen, dengan sembilan stesen baharu yang menyertai tiga stesen sedia ada yang bersambung dengan MRT Laluan Kajang.

    Tiga stesen sedia ada adalah Kwasa Damansara, Kampung Selamat dan Sungai Buloh. Dari setsen berkenaan, laluan akan melalui MRR2 ke Kepong. Stesen baharu yang terlibat ialah Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, Sri Delima dan Kampung Batu.

    Klik untuk besarkan

    Kwasa Damansara merupakan stesen terminal dan pertukaran dengan MRT Laluan Kajang. Manakala dua stesen yang turut disambungkan dengan perkhidmatan KTM Komuter ialah Sungai Buloh dan Sri Damansara Timur. Di mana stesen Sri Damansara Timur (yang dinamakan sebagai SD) terletak berhampiran KTM Komuter Kepong Sentral, bertentangan dengan Desa Mall.

    Tujuh daripada kesemua stesen yang disebutkan ini memiliki fasiliti parkir. Jarak perjalanan dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu di Jalan Ipoh dianggarkan sekitar 24 minit. Laluan baharu ini melibatkan 20 set tren tanpa pemandu, setiap satunya dengan empat gerabak dengan kapasiti 1,200 penumpang. Perkhidmatan tren ini juga disertakan dengan kemudahan bas perantara, dengan 13 laluan, juga bermula hari ini.

    Manakala fasa kedua bagi MRT Laluan Putrajaya pula dijangka akan mula beroperasi pada Januari 2023. Apabila siap kelak, ia melibatkan jarak keseluruhan mencecah 57.7 km dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral.

     
     
  • Volkswagen ID.4 Pro 4Motion diperkenalkan di Eropah – AWD dwi-motor dengan 265 PS, jarak EV 517 km

    Volkswagen ID.4 Pro 4Motion diperkenalkan di Eropah – AWD dwi-motor dengan 265 PS, jarak EV 517 km

    Volkswagen telah menambah satu lagi varian dalam barisan ID.4 dengan memperkenalkan ID.4 Pro 4Motion di Eropah. Berasaskan ID.4 Pro Performance, ia ditambahkan dengan ciri baharu termasuk elektrik kedua pada gandar hadapan untuk pacuan semua-roda dan hasilnya telah membuatkan ia lebih berkuasa, walau pun masih tidak dapat menandingi varian tertinggi ID.4 GTX 4Motion.

    Harga yang ditawarkan bermula dari 49,020 euro (RM225,377) di Jerman, ID.4 Pro 4Motion menghasilkan keseluruhan kuasa mencecah 265 PS (261 hp atau 195 kW) dan boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.9 saat, iaitu tujuh persepuluh saat berbanding GTX, tapi berkongsi kelajuan maksimum yang sama iaitu 180 km/j.

    Untuk motor elektrik – 204 PS (201 hp atau 150 kw) di belakang dan 109 PS (107 hp atau 80 kW) di hadapan – dipacukan oleh bateri lithium-ion 77-kWh yang membolehkan ia mencatat jarak sehingga 517 km bagi pengecasan tunggal mengikut standard WLTP. Berbanding GTX yang mencatatkan jarak lebih kurang (480 km) tetapi diberikan lebih kuasa mencecah 299 PS (295 hp atau 220 kW).

    Untuk pengecasan, varian baharu ini menyokong penggunaan DC (sambungan CCS2) sehingga 135 kW, dengan tahap pengecasan dari 5-80% dalam hanya 36 minit, mencecah jarak sehingga 337 km. Tidak seperti GTX, Pro 4Motion sesuai untuk pelanggan yang yang kerap melakukan pemanduan off-road ringan dan memerlukan sedikit kekuatan tambahan untuk menunda, kedua-duanya dikendalikan oleh AWD – berat treler maksimum meningkat 200 kg kepada 1,400 kg untuk kecerunan 8% berbanding dengan Pro Performance.

     
     
  • Harga minyak 16-22 Jun – RON97 naik 11 sen

    Harga minyak 16-22 Jun – RON97 naik 11 sen

    Sekali lagi harga bagi petrol RON 97 dilaporkan mengalami kenaikan, dan untuk minggu bertarikh 16 hingga 22 Jun 2022, ia naik sebanyak 11 sen seliter, kini menjadi RM4.83 seliter berbanding RM4.72 seliter minggu sebelum ini. Ia merupakan harga tertinggi yang pernah dicatatkan setakat ini.

    Harga baharu yang diumumkan ini efektif mulai 12 tengahmalam ini sehingga Rabu hadapan 22 Jun 2022.

    Bagi petrol RON 95 pula, harganya yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan sejak lebih setahun yang lalu iaitu pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20 yang masih dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Kementerian Kewangan berkata, kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Perodua Alza D27A terbaru dalam teaser buat pertama kali — asas dari Toyota Avanza, enjin Dual VVT-i

    Perodua Alza D27A terbaru dalam teaser buat pertama kali — asas dari Toyota Avanza, enjin Dual VVT-i

    Walaupun belum ada apa-apa pengumuman rasmi daripada Perodua, bahang dari model MPV terbarunya yang bakal menggantikan Alza semakin terasa. Sudah banyak juga berita berkaitannya yang sudah boleh kita jangkakan, termasuk dengan membandingkan penawaran kembarnya di Indonesia, seperti Daihatsu Xenia dan Toyota Avanza terkini.

    Dalam hantaran terbaru di laman Facebook rasmi Perodua, satu imeh terbaru MPV ini ditunjuk samar-samar, dengan tulisan “Inspired By Perodua Smart Build”, menunjukkan bahagian sisi kenderaan berkenaan dalam gelap. Jika ada yang terlepas pandang, Perodua Alza D27A 2022 telah dibuka untuk tempahan dan beberapa perinciannya juga sudah boleh diramalkan.

    Model baru ini turut ditampilkan dalam sebuah video dengan tema teknologi yang sama, dengan beberapa bahagian boleh dilihat dengan jelas. Misalnya lampu utama dengan reflektor LED dengan jalur lampu melintang dalam klusternya — yang mungkin menjadi lampu isyarat juga. Lampu kabus pula tidak kelihatan bulat seperti pada Avanza, sebaliknya dalam bentuk bersegi.

    Perodua Alza D27A terbaru dalam teaser buat pertama kali — asas dari Toyota Avanza, enjin Dual VVT-i

    Di belakang, lampu belakang nampak mirip lampu pada Avanza, dengan bentuk L serta klusternya dihubung oleh perincian kemasan dengan logo Perodua di tengah. Bahagian dalaman pula kemungkinan ia akan mirip dengan apa yang ada pada Avanza.

    Alza baru ini dijangka akan menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), ama seperti Ativa CKD serta Toyota Avanza/Daihatsu Xenia terbaru. Ia juga akan lebih besar berbanding model lamanya, walaupun jarak antar rodanya kekal 2,750 mm — lebih panjang daripada Proton Exora (+20 mm) tetapi lebih pendek daripada Mitsubishi Xpander (-25 mm).

     
     
  • Hanya 18% kenderaan yang ditunda ketika banjir memiliki pelindungan insurans bencana alam – AXA

    Hanya 18% kenderaan yang ditunda ketika banjir memiliki pelindungan insurans bencana alam – AXA

    Bencana alam yang menimpa negara ini khususnya banjir bagaikan tiada penyudah mahu pun jalan penyelesaian. Kini bukan sahaja di kawasan luar bandar, bahkan di bandar besar termasuk pusat bandar Kuala Lumpur juga sering kali dilanda banjir besar sehingga menenggelamkan banyak harta benda termasuk kenderaan.

    Walau bagaimana pun, kesedaran terhadap pentingnya mengambil insurans perlindungan bencana alam untuk kenderaan dilihat masih rendah di kalangan masyarakat kita. Buktinya, salah sebuah syarikat insurans terkemuka, AXA, menyatakan bahawa ketika bencana banjir besar yang melanda negara pada hujung tahun lalu, hanya sekitar 18% kenderaan yang ditunda memiliki perlindungan insurans untuk banjir. Ini bermakna lebih 80% pelanggan AXA tidak mengambil pilihan perlindungan khas termasuk banjir.

    Statistik dari Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) turut menunjukkan hanya 4% daripada rakyat Malaysia yang telah membeli perlindungan insurans banjir.

    Hanya 18% kenderaan yang ditunda ketika banjir memiliki pelindungan insurans bencana alam – AXA

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AXA lagi, berbanding tahun lalu, sekitar 3.9% pemegang polisi motor AXA telah menambah perlindungan banjir untuk polisi insurans kenderaan mereka untuk tahun ini.

    Emmanuel Nivet selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AXA berkata, “Pada hakikatnya, seseorang hanya sedar tentang kepentingan perlindungan insurans selepas berlakunya sesuatu insiden bila mereka tidak menerima sebarang pampasan atau tidak mempunyai cara untuk menggantikan kerugian atau kerosakan mereka.

    “Pemikiran seperti ini mesti diubah kerana insurans bukan mengenai ramalan atau pelaburan, tetapi langkah bersedia terhadap risiko luar jangkaan dan memastikan perlindungan kewangan dan ketenangan minda.”

    Hanya 18% kenderaan yang ditunda ketika banjir memiliki pelindungan insurans bencana alam – AXA

    Mungkin ada yang menganggap kenyataan yang dikeluarkan oleh CEO AXA ini hanya sekadar untuk ‘memancing’ agar orang ramai memasukkan perlindungan banjir dan bencana alam ke dalam polisi mereka. Namun, hakikatnya, ada kebenaran di sebalik kata-kata itu. Untuk membaik pulih kenderaan yang ditenggelami banjir, ia melibatkan kos yang sangat besar. Maka, dengan adanya polisi insurans yang ditambah dengan tuntutan banjir, sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan bebanan kewangan yang dihadapi.

    Sebenarnya tidak banyak kos tambahan yang diperlukan untuk menambah perlindungan banjir dalam polisi insurans kenderaan anda. Lihat senarai di atas yang melibatkan beberapa syarikat insurans yang menawarkan polisi ini di negara kita.

    Contohnya, jika anda menginsurans kenderaan anda dengan nilai RM50,000, anda cuma perlu membayar kos tambahan sebanyak RM75 seperti mana yang ditetapkan oleh syarikat insurans MPI Generali. Untuk syarikat lain seperti Allianz, AXA, MSIG dan Tokio Marine, kos tambahan sebanyak RM100 dikenakan.

    Jadi, tak rugi untuk anda menyediakan sedikit bajet bagi menampung kos tambahan untuk menambah polisi motor komprehensif kenderaan anda untuk perlindungan banjir dan bencana alam yang lain termasuk tanah runtuh, pokok tumbang yang terkena kenderaan anda dan sebagainya. Ia bagaikan keperluan masa kini kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa akan datang. Bagaikan pepatah yang menyatakan, “sediakan payung sebelum hujan”.

     
     
  • Daihatsu Gran Max MC 2022 kini di M’sia – dari RM74k, ada tingkap kuasa, pemain Android, kamera undur

    Daihatsu Gran Max MC 2022 kini di M’sia – dari RM74k, ada tingkap kuasa, pemain Android, kamera undur

    Daihatsu Malaysia hari ini secara rasmi telah pun melancarkan Daihatsu Gran Max Euro 4 minor change (MC) 2022 ke pasaran tempatan. Model ini adalah versi kemaskini Gran Max 1.5L Euro 4 yang dilancarkan Mac tahun lalu, dan kini trak pikap dan van panel berkenaan menerima pelbagai lagi perincian lebih baik.

    Peningkatan utama untuk Gran Max 2022 ini adalah melibatkan sistem infotainmen dan perincian elektrikal. Untuk infotainmen, Gran Max kini menerima pemain utama 2-DIN dengan skrin sesentuh tujuh-inci, yang beroperasi dengan Android 10.0. Media, bersama perincian lain termasuk radio, audio MP3, AUX dan USB.

    Dengan skrin sesentuh tersebut juga membolehkan Gran Max kini dilengkapi dengan kamera undur. Model komersil ini juga kini dilengkapi dengan port USB cas pantas yang terletak di bahagian bawah papan pemuka, serta sistem tingkap kuasa (akhirnya!).

    Tiada perubahan pada aspek rangkaian kuasa di mana Gran Max masih menerima enjin petrol NA 1.5 liter empat-silinder berkuasa 97 hp dan tork maksima 134 Nm. Transmisi manual lima-kelajuan ditawarkan untuk semua versi badan, namun hanya versi van panel hadir dengan pilihan kotak gear automatik empat-kelajuan.

    Kelengkapan keselamatan yang dibekalkan termasuk sistem brek ABS, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Sistem Penunjuk Kecemasan (ESS), dua beg udara dan juga penderia parkir belakang.

    Kapasiti beban untuk pikap Gran Max adalah 800 kg, dengan panjang ruang kargo belakang 2,480 mm bersama dinding sisi 360 mm, serta dibekalkan dengan 20 cangkuk tali bagi memastikan kargo di bawa dengan selamat. Manakala van panel pula mempunyai kapasiti beban 750 kg, dengan ruang kargo kabin belakang menampilkan panjang 2,075 mm, bersama pintu gelangsar dengan akses seluas 620 mm serta jarak kelegaan tanah 620 mm.

    Daihatsu Gran Max Euro 4 MC 2022 ini dijual pada harga bermula RM74,498 untuk versi pikap dengan kotak gear manual, diikuti van panel (MT) berharga RM74,736 dan panel van dengan kotak gear automatik dijual pada harga RM78,836. Harga-harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, efektik bermula Jun 2022.

     
     
  • Putrajaya bakal dapat monorel maglev; akan diintegrasikan dengan sistem pengangkutan yang lain

    Putrajaya bakal dapat monorel maglev; akan diintegrasikan dengan sistem pengangkutan yang lain

    Monorel Rapid KL

    Baru-baru ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) telah diberikan taklimat mengenai sistem rel maglev (keretapi laju) untuk dilaksanakan di Putrajaya.

    Taklimat ini adalah sebahagian dari kunjungan beberapa para pemain industri rel Korea Selatan termasuk Hyundai Corp yang diwakili oleh wakilnya di Malaysia, Park Geunhwa, Ketua Hyundai Rotem Malaysia, Min Jun Sung, Pengarah Urusan Kanan Keretapi EP Korea, Yoo Jai Tark dan Pengerusi Maglev MKC, Chung Dong Wan. Turut hadir ialah CEO KTM Berhad Rani Hashim dan juga Ketua Pengarah Keretapi Bahagian Darat Unit Rel MOT, Shahriman Shafein.

    Menurut menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong, MOT akan mengadakan perbincangan lanjut tidak lama lagi dengan Kementerian Wilayah Persekutuan mengenai pembangunan monorel maglev di Putrajaya serta integrasinya dengan sistem rel dan pengangkutan lain.

    Putrajaya bakal dapat monorel maglev; akan diintegrasikan dengan sistem pengangkutan yang lain

    Tren Kelas 91 buatan Hyundai Rotem turut digunakan oleh KTM bagi perkhidmatan ETS

    Menerusi perkongsiannya di laman Facebook, Wee turut berkata, KTMB telah lama menjalinkan hubungan dengan Hyundai Rotem sehingga membuahkan hasil kerana mereka masih menggunakan kaedah pembuatan kereta api Kelas 83 dan 91 sebagai bukti ketahanan dan kebolehpercayaan mereka dengan sokongan dan kepakaran hebat dari Korea. Malah tren Kelas 91 juga digunakan untuk pengendali rel ETS.

    “MOT juga dalam proses untuk membawa lebih banyak rakan kongsi yang berpengalaman dan berpengetahuan ke Pusat Kecemerlangan Rel Kebangsaan (NRCOE). Sehubungan itu, MOT sedang mengusahakan butiran lengkap untuk bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Rel Korea (Korea Railroad Research Institute-KRRI) bagi meningkatkan pengetahuan dari sudut teknikal sektor keretapi,” kata Wee.

     
     
  • myTukar Auto Fair 2022 di Johor — SUV Mazda CX-3 dari RM1,174 sebulan; CX-5 dari RM1,387 sebulan!

    myTukar Auto Fair 2022 di Johor — SUV Mazda CX-3 dari RM1,174 sebulan; CX-5 dari RM1,387 sebulan!

    myTukar Auto Fair 2022 bakal berlangsung hujung minggu ini, bermula 17 hingga 19 Jun bertempat di myTukar Retail Experience Centre – Plentong, Johor Bahru. Bagi mereka yang ingin memberi kereta tetapi tak mahu tunggu lama untuk mendapatkan kereta baru ketika ini, ada banyak pilihan kereta terpakai yang tersedia untuk dinilai, dengan harga yang tentunya menarik.

    Antara model yang akan dipamer adalah dua SUV Mazda ini, yang berada dalam keadaan sangat baik dan baru. Mazda CX-3 2018 yang dilihat ini adalah versi facelift, diperkenalkan di Malaysia dalam tahun yang sama dan kini ada dijual melalui myTukar pada harga RM107,100. Ini membawa kepada ansuran bulanan dari hanya RM1,174*.

    Sama seperti semua kenderaan dengan myTukar Certified, CX-3 ini telah menjalani pemeriksaan 160-poin dan lulus dengan cemerlang, dengan enjin, transmisi, bateri, suspensi, tayar, brek dan pendingin hawa semuanya tanpa sebarang masalah. Bacaan diagnostik juga tidak menunjukkan sebarang kerosakan, sementara keadaan luaran dan dalamannya hampir sempurna, melainkan ada kesan kecil di cermin depan dan calar kecil di cermin sisi dan tombol gear.

    Versi facelift ini datang dengan gril baru, begitu juga dengan lampu belakang serta perincian krom tambahan serta rim 18-inci. Warna premium Snowflake White Pearl juga menawan. Di dalam, corong pendingin lebih kurus, serta ada brek parkir elektronik dengan situasi penebat bunyi yang lebih baik untuk keselesaan. Balutan kerusi yang sebahagiannya suede memberikan sentuhan premium untuk kabinnya.

    myTukar Auto Fair 2022 di Johor — SUV Mazda CX-3 dari RM1,174 sebulan; CX-5 dari RM1,387 sebulan!

    CX-3 juga ada ciri yang lengkap, antaranya lampu utama LED, sistem tanpa kunci, butang penghidup enjin, kerusi pemandu larasan elektrik dengan memori, pendingin automatik, head-up display, skrin sentuh tujuh-inci dan kamera undur. Kuasa pula datang dari enjin 2.0 liter NA dengan janaan 154 PS dan 204 Nm tork, diganding bersama transmisi automatik enam-kelajuan.

    Kalau mencari sesuatu yang lebih besar pula, ada SUV CX-5, dalam generasinya yang kedua dengan enjin 2.0 liter dan warna Soul Red Crystal. Juga dikeluarkan pada 2018, ia kini dijual melalui myTukar pada harga RM126,500, atau hanya RM1,387 sebulan*.

    Model ini juga lulus dengan cemerlang bagi pemeriksaan 160-poin yang dilakukan, tiada sebarang masalah mekanikal atau elektronik. Luaran dan dalaman kereta ini berada dalam keadaan sangat baik, dengan hanya sedikit kesan pada cermin utama, gril dan lampu kirinya sahaja sepanjang empat tahun ia digunakan.

    Warna merahnya menyerlahkan rekabentuk badan SUV ini tanpa sebarang cacat cela, dan di dalam, kerusinya menerima balutan kulit hitam. Ada banyak juga kelengkapan seperti i-Activesense untuk bantuan pemandu dengan ciri seperti AEB, peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik di belakang. Sistem janaan pula sama dengan CX-3, cuma output yang sedikit berbeza dengan 164 PS dan 210 Nm.

    Kalau inginkan kereta lain, jangan risau. Ada banyak lagi pilihan yang tersedia untuk anda di myTukar Auto Fair 2022. Semuanya lulus myTukar Certified dan melalui pemeriksaan 160-poin, dan dipastikan bebas daripada kemalangan teruk, kebakaran dan kerosakan akibat banjir. Setiap pembelian myTukar datang dengan lanjutan jaminan PERCUMA selama setahun dan dua temujanji servis PERCUMA — perkara yang jarang ditawarkan untuk kereta terpakai.

    myTukar Auto Fair 2022 di Johor — SUV Mazda CX-3 dari RM1,174 sebulan; CX-5 dari RM1,387 sebulan!

    Selain itu, setiap pembelian myTukar disertakan sekali dengan lanjutan jaminan selama setahun dan dua servis percuma, tawaran yang jarang diberikan untuk kereta terpakai. Dan, sekiranya anda berdepan sebarang masalah atau bertukar fikiran tentang kenderaan yang dibeli, anda hanya perlu pulangkannya tanpa sebarang pertanyaan diajukan kepada anda — melalui polisi jaminan pulangan wang lima-hari yang diberikan. Semak senarai panjang kereta yang ada di sini.

    myTukar Experience Centres merupakan pusat sehenti yang memastikan perjalanan anda untuk membeli kenderaan berlangsung dengan mudah dan tidak rumit. Semua urusan dari pemeriksaan Puspakom, pendaftaran JPJ, permohonan pinjaman hinggalah kepada insuran, semuanya diuruskan oleh syarikat ini.

    Pelanggan juga boleh trade-in kenderaan mereka di myTukar Auto Fair 2022 — nilai maksimum dan tawaran trade-in menarik boleh ditentukan terus oleh petugas berpengalaman di acara ini nanti.

    Dengan pembelian kenderaan di acara berkenaan, anda juga berpeluang memenangi satu daripada 10 pasang tiket yang ditanggung sepenuhnya untuk menonton Liverpool menentang Manchester United di Bangkok. Tempah kenderaan anda sebelum 19 Jun dan dapatkannya sebelum 30 Jun, jawab soalan kuiz bila anda menerima panggilannya, dan anda mungkin bertuah untuk ke Thailand menonton perlawanan persahabatan itu. Jika anda mendaftarkan minat untuk hadir ke acara berkenaan di sini, anda akan mendapat peluang tambahan untuk hadiah berkenaan.

    myTukar Auto Fair 2022 di Johor — SUV Mazda CX-3 dari RM1,174 sebulan; CX-5 dari RM1,387 sebulan!

    Tambahan pula, anda akan menerima tawaran istimewa jika anda membeli kenderaan di acara ini, seperti pinjaman dengan kadar faedah serendah 1.88% bagi 100 tempahan pertama serta peluang untuk menang baucar bernilai sehingga RM1,000 melalui promosi Spin & Win.

    Tidak lupa juga ada hadiah bernilai RM12,000 untuk cabutan bertuah eksklusif untuk dimenangi. Ini termasuklah iPhone 13, sebuah iPad, sebuah konsol Playstation, SmarTV Android, pembersih hampagas Xiomi Mi Robot serta pam air Karcher dan mesin kopi Nescafe Dolce Gusto.

    Untuk hidangan pula, trak makanan akan turut berada di lokasi, jadi pengunjung boleh menikmati makanan dan minuman pilihan mereka dengan mudah. Prosedur penghindaran Covid-19 juga perlu diamalkan — pelitup muka adalah wajib sepanjang masa, tetapi penjarakan fizikal tidak lagi wajib. Kru acara akan kerap membersihkan keseluruhan lokasi serta permukaan yang kerap disentuh seperti kereta dan kemudahan umum untuk memastikan keselamatan terjamin.

    Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman web rasmi myTukar. Berkunjung ke myTukar Auto Fair 2022 pada 17-19 Jun ini, bermula 9.30 pagi hingga 8 malam setiap hari. Anda juga boleh menghubungi saluran berikut:

    Telefon: 03-7890 4499
    WhatsApp: +6018-2249999
    Emel: [email protected]

    myTukar Retail Experience Centre – Plentong, JB
    Jalan Masai Lama,
    Taman Perindustrian Plentong
    81750 Johor Bahru, Johor.

    GALERI: Mazda CX-3 2.0 Skyactiv-G 2WD 2018 di myTukar Auto Fair 2022

    GALERI: Mazda CX-5 2.0 Skyactiv-G High 2WD 2018 di myTukar Auto Fair 2022

     
     
  • Skoda Fabia RS Rally2 didedahkan – guna enjin EA888 TSI 1.6L Turbo, 289 hp/430 Nm, lebih lebar dan stabil

    Skoda Fabia RS Rally2 didedahkan – guna enjin EA888 TSI 1.6L Turbo, 289 hp/430 Nm, lebih lebar dan stabil

    Selepas kejayaan Fabia R5 dan Fabia Rally2 evo mendominasi rali kelas R5/Rally2 di seluruh dunia, Skoda kini memperkenalkan versi terbaharu jentera rali Fabia untuk kelas berkenaan dan juga program perlumbaan pelanggannya – memperkenalkan, Skoda Fabia RS Rally2!

    Jentera terkini ini dibina berasaskan Fabia produksi jalan raya generasi keempat yang muncul pada tahun lalu. Jadi ia kini tampil dengan kerangka baharu yang lebih berpotensi, bersama unit rangkaian kuasa yang juga baru dibangunkan, berbeza dari jentera sebelum ini.

    Dengan kerangka badan baharu, Fabia RS Rally2 ini dapat dihasilkan lebih lebar serta menampilkan jarak roda lebih jauh berbanding Fabia Rally2 evo sebelumnya. Ini membolehkan jurutera mengoptimakan karekteristik pengendaliannya, menghasilkan bahagian belakang yang lebih stabil. Jarak roda lebih jauh pula membolehkan tangki bahan api diatur semula bagi mendapatkan nisbah berat hadapan dan belakang yang lebih seimbang, manakala ruang enjin yang lebih luas membolehkan ia menerima unit intercooler bagi sistem turbo yang juga lebih besar.

    Walaupun tiada sebarang perubahan diumumkan oleh FIA terhadap regulasi Rally2, dan enjin dari jentera sebelum ini terbukti sangat kompetitif, Skoda Motorsport tetap membangunkan enjin baharu untuk jentera Fabia RS Rally2 ini. Enjin baharu berkenaan diasaskan dari enjin produksi EA888 2.0 TSI dari model produksi seperti Skoda Kodiaq vRS, dan sudah tentu ia enjin yang sama digunakan oleh Volkswagen Golf GTI dan Golf R.

    Skoda Fabia RS Rally2 didedahkan – guna enjin EA888 TSI 1.6L Turbo, 289 hp/430 Nm, lebih lebar dan stabil

    Namun bagi memenuhi undang-undang Rally2 FIA, kapasiti enjin berkenaan perlu diturunkan kepada 1.6 liter (sama seperti kes enjin 4B11 dari Proton Inspira yang perlu diturunkan dari 2.0L ke 1.6L untuk dipadankan pada jentera rali Proton Iriz R5).

    Enjin baharu ini menampilkan port kemasukan dan ekzos yang direka semula, omboh serta kebuk pembakaran yang dioptimakan, serta rekaan semula dibuat pada sistem injap bervariasi dan sistem pelinciran bagi mendapatkan proses pembakaran lebih baik.

    Sistem ekzos dan pengecas turbo turut menerima sentuhan semula dari jurutera, manakala sistem intercooler yang lebih inovatif dan litar penyejukan dibangunkan semula bagi mendapatkan kapasiti penyejukkan yang lebih besar. Enjin berkenaan turut menerima perisian baharu untuk sistem pengurusan enjin, serta unit restrictor turbo kekal dengan diameter 32 mm mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh FIA. Kesemua ini membolehkan enjin berkenaan menghasilkan kuasa sekitar 289 hp dengan tork maksima 430 Nm.

    Kuasa berkenaan dipindahkan ke kotak gear sequential 5-kelajuan (tanpa pedal penukar pada setereng, hanya tuil tangan biasa), dan dihubungkan kepada sistem pacuan semua roda – diberikan differential terkunci pada setiap gandar hadapan dan belakang, tanpa differential tengah dan tanpa sebarang sistem agihan tork aktif. Menurut Skoda Motorsport, nisbah gear rapat yang diberikan pada transmisi Fabia RS Rally2 ini masih membolehkan ia mencapai kelajuan maksima sekitar 200 km/j.

    Seperti juga kategori tertinggi Kejohanan Rali Dunia (WRC) Rally1, kategori Rally2 untuk WRC2 juga kini sudah mula menggunakan bahan api bio 100% mampan. Jadi selain dari tangki minyak yang direka untuk bahan api perlumbaan fosil, Fabia RS Rally2 ini juga boleh dipilih untuk dilengkapkan dengan tangki bahan api bio berkapasiti 82.5 liter. Tangki istimewa tersebut menampilkan bahan kedap dari busa bagi mengelakkan ia bocor, serta diberikan pelindung yang diperbuat komposit Karbon/Kevlar dan lapisan penyerap di bahagian bawah.

    Kerangka baharu ini juga membolehkan ia menerima bentangan suspensi lebih baik. Skoda Fabia RS Rally2 ini menampilkan suspensi jenis Topang McPherson pada gandar hadapan dan belakang yang lebih keras dari sebelum ini, manakala penyerap hentak pula menawarkan strok pergerakan yang lebih jauh serta daya geseran yang lebih baik.

    Bagi tetapan rali pada permukaan tar, Fabia RS Rally2 ini dibekalkan dengan rim 18-inci bersama brek dengan cakera 355 mm di hadapan dan cakera 300 mm di belakang. Manakala untuk tetapan rali permukaan batu kerikil pula, ia menerima rim 15-inci bersama set brek dengan cakera 300 mm untuk hadapan dan belakang.

    Skoda Fabia RS Rally2 didedahkan – guna enjin EA888 TSI 1.6L Turbo, 289 hp/430 Nm, lebih lebar dan stabil

    Dalam kabin, kedua-dua pemandu dan juruarah menerima pelindungan dari roll cage baharu, dibina dari tiub logam krom-molybdenum berkekuatan tinggi sepanjang 35.8 meter. Pemandu pula menerima roda stereng yang mempunyai butang terus untuk kawalan seperti butang penghidup enjin, yang memudahkan enjin dihidupkan semula jika ia termati ketika berlumba.

    Malah Fabia RS Rally2 ini juga menerima paparan instrumen yang lebih besar serta boleh memainkan semula video informasi serta operasi lebih intuitif ketika rali, serta panel kawalan utama baharu dengan skrin sesentuh dan sistem intercom bersepadu.

    Menurut Skoda, model produksi Skoda Fabia generasi baharu ini sudahpun memberikan aspek aerodinamik yang cukup baik, dengan pekali seretan terbaik dalam kelasnya. Oleh itu, Skoda Motorsport sudahpun mempunyai kelebihan kerana rekaan asas yang mereka terima sangat berpotensi untuk dijadikan kereta rali.

    Skoda Fabia RS Rally2 didedahkan – guna enjin EA888 TSI 1.6L Turbo, 289 hp/430 Nm, lebih lebar dan stabil

    Malah, sebahagian aspek aerodinamik model produksi turut dibawa kepada kereta rali ini misalnya tirai udara pada bampar hadapan yang mampu mengalirkan udara dari hadapan kepada bahagian badan dan roda seterusnya meningkatkan downforce pada bahagian skirt sisi serta mengelakkan udara dari mengalir ke bawah badan.

    Berbanding model standard, jentera rali ini sudah tentu menerima kelengkapan aerodinamik lebih agresif termasuk splitter hadapan, fender hadapan dan belakang yang lebih lebar dan spoiler belakang baharu bersama Gurney Flap pada penghujung sayap – hasilnya, Fabia RS Rally2 ini downforce hampir sekali ganda lebih kuat berbanding Fabia Rally2 evo sebelum ini.

    “Beberapa elemen aerodinamik dari model produksi telah membuktikan ia bernilai untuk kereta rali. Dengan model ini, kami telah menumpukan lebih perhatian kepda aeodinamik berbanding model sebelumnya, dan kami membuat penilaian ketat untuk setiap perincian. Matlamat kami: Downforce lebih besar untuk kelajuan ketika membelok yang lebih tinggi dan menambahbaik pengendalian, dalam masa yang sama mempertingkatkan keberkesanan aerodinamik jentera ini,” kata Lukáš Vojík, pakar aerodinamik dari Pembangunan Teknikal di Skoda Auto.

     
     
  • Touch n Go eWallet kini boleh bayar teksi di S’pura

    Touch n Go eWallet kini boleh bayar teksi di S’pura

    Jika anda berkunjung ke Singapura, anda kini boleh membayar tambang teksi yang dikendalikan oleh ComfortDelGro, dengan menggunakan Touch n Go eWallet. Ia adalah hasil kerjasama dengan Alipay+, yang merupakan pembayaran digital rentas sempadan global dan penyelesaian pemasaran yang dikendalikan oleh Ant Group.

    “Ini adalah permulaan untuk memgembangkan perkhidmatan pembayaran kami ke Singapura. ComfortDelGro ialah pengendali rangkaian teksi terbesar di Singapura, mengendalikan kira-kira 9,000 teksi di seluruh bandar. Kami melihat ini sebagai peristiwa penting untuk mengembangkan kaedah pembayaran kami ke Singapura dan kami amat berbesar hati kerana dapat membawa pengguna kami menikmati kemudahan tambahan ini,” kata Alan Ni, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital.

    Tambah beliau, “Selepas sempadan negara dibuka semula dan perjalanan antarabangsa juga boleh dilakukan, saya jangka pengguna kami bakal menikmati penggunaan eWallet secara lebih meluas memandangkan kini ia turut diterima di Singapura, dengan cara yang sama mereka menggunakannya di Malaysia. Kami juga akan terus mengembangkan lagi rangkaian ini pada masa akan datang.”

    TnG berkata, dalam tempoh pra-Covid, lebih 350,000 pengguna merentasi Malaysia dan Singapura setiap hari menggunakan Tambak Johor, dan kerjasama dengan Alipay+ dilihat tepat pada masanya.

    Terkini, ada promosi khas turut dianjurkan buat pengguna Touch n Go eWallet. Bermula kini sehingga 25 Jun ini, pengguna layak mendapat diskaun (RM4 hingga RM6) bila menggunakan teksi ComfortDelGro dan membayar tambang dengan menggunakan eWallet. Diskaun diberikan adalah berbeza setiap minggu dan dihadkan untuk 300 transaksi pertama setiap hari.

     
     
  • Kawasaki ZX-25R akan tiba di Malaysia tahun hadapan

    Kawasaki ZX-25R akan tiba di Malaysia tahun hadapan

    Baru sebentar tadi kami siarkan berita model-model CKD dan CBU Kawasaki yang akan tiba di Malaysia, dan kami dapat lihat ada yang memberi komen bertanya tentang satu model 250 cc yang cukup menarik, iaitu ZX-25R. Ini dia maklumat yang kami terima – ia akan tiba di negara kita pada tahun hadapan!

    Perkara ini dinyatakan sendiri oleh CEO Modenas, Roslan Roskan, dan beliau turut menambah bahawa bukan kita sahaja yang teruja dengan model ini, malah Kawasaki juga bersemangat untuk memperkenalkannya kepada pasaran Malaysia.

    Menariknya berkenaan ZX-25R, ia adalah sebuah motosikal 250 cc yang dihasilkan dengan fokus kepada prestasi, bermula dengan enjin empat strok empat silinder 249.8 cc DOHC penyejukan cecair yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 51 PS pada 15,500 rpm (dengan ram air) dan 22.9 Nm tork pada 14,500 rpm. Laju maksimum yang diberitahu adalah 197 km/j.

    Pada bahagian transmisi, model ini menggunakan unit enam kelajuan bersama klac jenis assist and slipper, sementara kelengkapan lain juga berspesifikasi tinggi, termasuk dua mod tunggangan, kawalan cengkaman KTRC, throttle valve elektronik, kerangka trellis serta suspensi yang terdiri daripada fork USD SFF-BP 37 mm tanpa pelarasan di hadapan dan monoshock Horizontal Back-link dengan pelarasan pra beban di belakang.

    Brek pula menggunakan unit cakera tunggal 310 mm berserta angkup monoblock di hadapan dan cakera 220 mm di belakang. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 182 kg, dan ia datang dengan tangki bahan api 15 liter.

    Harga apabila ia masuk ke pasaran Malaysia nanti masih belum diberitahu, tetapi sebagai rujukan, ia dijual pada harga RM28,427 di Indonesia, RM36,450 di Thailand dan RM35,692 di Filipina. Untuk membuat jangkaan, mungkin kita perlu menunggu terlebih dahulu Ninja 250 ABS dilancarkan tidak lama lagi.

     
     
  • Modenas bungkus projek “supermoped”, tapi masih bangunkan kapcai atas 150 cc dengan Kawasaki

    Modenas bungkus projek “supermoped”, tapi masih bangunkan kapcai atas 150 cc dengan Kawasaki

    Modenas Kriss Concept rekaan Saharuddin Busri

    Apa pun yang ada dengar tentang “supermoped” Modenas sebelum ini, semuanya sudah berakhir. Perkara ini dijelaskan sendiri oleh CEO Modenas, Roslan Roskan dalam satu majlis bersama media di Gurun, Kedah. Walaubagaimanapun, ia tidak bermakna Modenas melupakan terus segmen ini.

    Modenas sedar, segmen motosikal 150 cc dan ke atas adalah sangat besar dan mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk bersaing di dalamnya. Selain daripada itu, Roslan juga menjelaskan, Modenas kini dalam proses untuk memperkenalkan semula kapcai Modenas berkapasiti 150 cc ke atas.

    Memandangkan sekarang hampir separuh pegangan saham dalam Modenas dipegang oleh Kawasaki, pasti ramai yang menjangkakan campur tangan Kawasaki dalam pembangunan kapcai berprestasi ini. Itu memang benar, dan Roslan sendiri memberitahu, mereka mahukan kapcai ini mempunyai identiti seperti Kawasaki.

    Modenas bungkus projek “supermoped”, tapi masih bangunkan kapcai atas 150 cc dengan Kawasaki

    Ketua bahagian rekaan Kawasaki Heavy Industries Ltd., Keishi Fukumoto

    Malangnya, Kawasaki sekarang lebih banyak memberi tumpuan kepada pembangunan dan pengeluaran motosikal berkuasa tinggi berbanding yang berkuasa rendah. Kita boleh berkata, kalau begitu, mengapa tidak ambil sahaja enjin 250 cc dan turunkan kapasitinya kepada bawah 200 cc? Salah seorang wakil Kawasaki yang turut hadir dalam majlis sama memberitahu, ia tidak semudah itu, dan akan menyebabkan kos kapcai tersebut menjadi tinggi (kerana enjin itu sendiri berspesifikasi tinggi).

    Namun, apa yang diberitahu dengan jelas adalah kapcai ini turut menerima sentuhan daripada pereka Kawasaki dari Jepun, termasuklah Keishi Fukumoto, yang telah datang ke Malaysia untuk proses-proses akhir pengesahan rekaannya. Pendapat kami, prototaip kapcai tersebut mungkin sudah ada, tetapi semasa lawatan ke dalam kilang, tiada sebarang bayang atau kesannya lagi.

    Roslan masih tidak membuka mulut berkenaan spesifikasi kapcai berprestasi ini, tetapi beliau ada menyatakan bahawa Kawasaki juga tidak cuma menggunakan enjin atau kelengkapan keluaran mereka sendiri, dan disebabkan itu, mereka juga boleh memilih barangan dari pembekal tertentu. Sebagai pengeluar motosikal tempatan, kita boleh menjangkakan harga berada di bawah RM10k.

     
     
  • Pemasangan rasuk jambatan di NKVE di Jln Duta-Bkt Lanjan – penutupan sementara, 10mlm- 5pg, 14-16 Jun

    Pemasangan rasuk jambatan di NKVE di Jln Duta-Bkt Lanjan – penutupan sementara, 10mlm- 5pg, 14-16 Jun

    Ini ada makluman buat pengguna Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE). Ada kerja pemasangan rasuk jambatan di lebuhraya berkenaan iaitu KM23.9, di antara plaza tol Jalan Duta dan Bukit Lanjan.

    Kerja-kerja pemasangan struktur berkenaan dilaksanakan pada jam 10 malam hingga 5 pagi, bermula hari ini, 14 Jun sehingga Khamis ini (16 Jun 2022).

    Kedua-dua arah akan terlibat dengan penutupan sementara di laluan berkenaan, tetapi tidak membabitkan penutupan penuh. Aliran trafik akan dikawal dan dilepaskan secara stop and go. Sila ikuti papan tanda jalan dan arahan kru yang bertugas. Apa pun sila rancang perjalanan anda dan berhati-hati dalam pemanduan.

     
     
  • Kawasaki sedia perkenal empat model CKD dan empat model CBU di Malaysia tahun ini, lebih mampu milik

    Kawasaki sedia perkenal empat model CKD dan empat model CBU di Malaysia tahun ini, lebih mampu milik

    Sejak pengedaran motosikal Kawasaki diambil alih oleh Modenas melalui Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), ramai yang tertanya-tanya bila model jenama Jepun tersebut dapat ditawarkan kepada pasaran. Kini, kita sudah ada jawapannya.

    Dalam satu majlis bersama pengurusan Modenas di kilang mereka di Gurun, Kedah, ketua pegawai eksekutif Modenas, Roslan Roskan memberitahu, syarikat bersedia untuk memperkenalkan empat model pemasangan tempatan (CKD) dan empat model import (CBU) Kawasaki kepada pasaran Malaysia dalam tahun ini.

    Pengeluaran untuk dua motosikal yang dimaksudkan juga sudah bermula dan kami dapat melihat depan mata sendiri Ninja 250 ABS dan Z250 ABS. Ini adalah model yang menggunakan asas daripada model tahun 2018, yang bermakna ia menggunakan enjin dua silinder selari DOHC 249 cc berkuasa 39 hp dan 23.5 Nm tork. Ia dijangka dapat berada di wakil pengedar Kawasaki menjelang hujung bulan Julai ini.

    Kawasaki sedia perkenal empat model CKD dan empat model CBU di Malaysia tahun ini, lebih mampu milik

    Bagi Ninja 250 ABS, grafik yang digunakan hampir sama seperti model yang dipamerkan pada tahun 2020, sementara Z250 ABS pula menggunakan warna merah gelap. Selepas dua model ini, Modenas akan mengeluarkan pula Ninja 250 tanpa ABS – jangkaan kami, ia adalah untuk menjadikannya sebagai satu pilihan yang lebih mampu milik.

    Satu lagi model CKD yang akan dilancar tahun ini tidak diberitahu, tetapi semasa lawatan ke dalam kilang (gambar tidak boleh diambil, dan hanya akan disediakan oleh Modenas), kami dapat melihat gambar Vulcan S, Z900 dan Z900 SE.

    Roslan turut menjelaskan bahawa model yang dipasang dalam negara cumalah model berkapasiti bawah 650 cc, sementara yang lebih tinggi pula akan diimport. Untuk tahun ini, empat model import berada dalam perancangan untuk pengenalan kepada pasaran Malaysia.

    Kawasaki sedia perkenal empat model CKD dan empat model CBU di Malaysia tahun ini, lebih mampu milik

    Ia diberitahu adalah Versys 1000 SE, ZX-10R, ZX-6R dan juga Ninja 1000. Semua pilihan ini dibuat setelah wakil daripada Kawasaki melihat dan membuat kajian terhadap penggunaan dan penerimaan motosikal di dalam negara kita.

    Selepas ini, lebih banyak lagi model akan diperkenalkan, sehinggalah H2R dan Z H2. Walaubagaimanapun, untuk dua model hypersport ini, rangkaian pengedar dan servis selepas jualan Kawasaki di Malaysia perlulah menjadi lebih matang terlebih dahulu.

    Satu lagi perkara berkenaan yang dinyatakan, Modenas dengan adanya kemampuan dan kemahiran sendiri untuk memasang motosikal, mereka mensasarkan harga yang lebih mampu milik berbanding sebelum ini.

     
     
  • Masyarakat di Sabah diminta sabar dengan keadaan jalan daif; k’jaan tidak boleh kecualikan cukai jalan

    Masyarakat di Sabah diminta sabar dengan keadaan jalan daif; k’jaan tidak boleh kecualikan cukai jalan

    Masyarakat di Sabah diminta bersabar dengan keadaan jalan yang daif dan banyak kerosakan di negeri itu, terutamanya yang menghubungkan Sandakan dan Telupid, jika mahu terus menggunakan jalan bebas tol. Itulah kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin seperti yang dilaporkan oleh The Vibes.

    Beliau berkata sedemikian sebagai maklumbalas terhadap kekecewaan yang diluahkan oleh pengguna jalan raya di Sabah yang terpaksa meredah jalan yang serba daif sepanjang 6.4 km itu. Beliau turut berkata, jalan terbabit tidak akan dibaikpulih memandangkan projek Lebuhraya Pan Borneo dijangka akan siap dalam tempoh dua tahun lagi. Walau bagaimana pun, pengguna jalan raya di negeri terbabit turut memohon untuk dikecualikan bayaran cukai jalan sehingga lebuhraya baharu itu siap sepenuhnya, memandangkan keadaan jalan raya yang rosak teruk.

    Keadaan jalan yang semakin rosak teruk sehingga penduduk tempatan menggelarkannya “jalan bulan” merujuk kepada permukaannya yang berlopak-lopak. Difahamkan, peruntukan sebanyak RM256 juta telah diperoleh untuk membaikpulih jalan tersebut, tetapi ia (baikpulihnya) hanya untuk waktu yang singkat kerana jangka hayat jalan itu telah tamat pada tahun 2018, dan ia memerlukan pembinaan semula dari peringkat asas, ujar Bung Moktar.

    Masyarakat di Sabah diminta sabar dengan keadaan jalan daif; k’jaan tidak boleh kecualikan cukai jalan

    “Ya, perkara ini menjadi tular (menerusi media sosial). Saya sering dimarahi oleh orang ramai saban hari berhubung dengan keadaan jalan ini. Tetapi saya fikirkan, adalah rugi membelanjakan RM200 juta untuk jalan yang akan kembali rosak. Jadi, saya berharap orang Sabah teruslah bersabar,” katanya.

    Dalam masa yang sama, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Sion berkata kerajaan Malaysia tidak boleh sewenang-wenangnya memberikan pengecualian cukai jalan untuk masyarakat di Sabah kerana kerajaan negeri memperoleh sebanyak RM3 bilion dari aliran pendapatan.

    “Saya memahami pemasalahan yang dihadapi oleh masyarakat di Sabah, tetapi ini melibatkan polisi kerajaan pusat. Kami akan berbincang sekali lagi mengenai isu ini dengan kerajaan negeri Sabah dan juga Jabatan Kerja Raya Sabah, (walau bagaimana pun), kami faham, jika Sabah memohonnya (pengecualian cukai jalan), Sarawak juga akan buat perkara yang sama,” ujar Wee. Pada masa ini, hanya OKU sahaja yang diberi pengecualian daripada membayar cukai jalan, kata menteri terbabit.

     
     
  • Toyota Urban Cruiser Hyryder (D22) tertiris di India – rekaan seakan Perodua X-Concept; kebetulan ke?

    Toyota Urban Cruiser Hyryder (D22) tertiris di India – rekaan seakan Perodua X-Concept; kebetulan ke?

    Toyota Urban Cruiser Hyryder dikhabarkan bakal didedahkan di India pada 1 Julai nanti – ia adalah SUV segmen-B yang dibangunkan di India, khas untuk pasaran negara tersebut bagi berhadapan terus dengan Hyundai Creta. Sebelum ia membuat kemunculan sulung, imej SUV tersebut telah pun tertiris dan disiarkan oleh laman Team BHP.

    Namun apa yang menarik perhatian kami, bahagian muka Toyota Urban Cruiser Hyryder berkenaan menampilkan rekaan seakan model konsep Perodua X-Concept, terutamanya pada lampu LED yang tirus yang bersambung terus dengan gril hadapan! Adakah ini kebetulan atau ada sesuatu sedang berlaku?

    Toyota Urban Cruiser Hyryder ini diberikan kod projek D22. Ia adalah model lanjutan dari Toyota Urban Cruiser yang dilancarkan pada tahun 2020, iaitu SUV paling kecil Toyota untuk pasaran India dengan panjang tidak sampai empat meter, dan ia sebenarnya diasaskan dari Maruti Suzuki Vitara Brezza.

    Segmen SUV dengan saiz sub-4 meter Di India sebenarnya agak kompetitif, dengan saingan seperti Kia Seltos, Volkswagen Taigun, Skoda Kushaq, MG Hector dan model tempatan Tata Harrier.

    Perodua X-Concept

    Manakala untuk Urban Cruiser Hyryder baharu ini, ia sebenarnya dihasilkan lebih besar dengan panjang melebihi empat meter, dan akan dijual satu segmen lebih tinggi berbanding Urban Cruiser. Menurut apa yang ditulis oleh Team BHP, Hyryder ini diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dalam varian TNGA-B yang “telah dilokalisasikan”. Malah selepas ini, ia turut akan dihasilkan untuk versi Maruti Suzuki.

    Laman tersebut turut menyatakan bahawa Hyryder bakal ditawarkan dengan dua pilihan enjin. Yang pertama adalah enjin petrol 1.5 liter dengan sistem hibrid ringkas menghasilkan kuasa 102 hp, yang kedua pula adalah enjin petrol 1.5 liter dengan sistem hibrid penuh menghasilkan 114 hp.

    Enjin dengan sistem hibrid ringkas ditawarkan dengan kotak gear manual dan automatik, manakala versi dengan sistem hibrid penuh hanya menerima transmisi CVT. Tiada pilihan enjin diesel ditawarkan untuk Toyota Urban Cruiser Hyryder ini.

    Lakaran digital bayangan SUV Perodua berasaskan platform DNGA-B oleh Theophilus Chin

    Seperti yang kita tahu, Perodua merupakan salah satu ahli di bawah kumpulan Toyota, dan ia sudahpun mempunyai model-model kembar bersama seperti Toyota Rush/Daihatsu Terios/Perodua Aruz. Malah model terkini pakatan berkenaan yang menggunakan platform generasi baharu berasaskan TNGA iaitu Daihatsu New Global Architecture (DNGA) – kembar Toyota Raize/Daihatsu Rocky/Perodua Ativa juga telah berada dalam pasaran.

    Baru-baru ini juga Perodua dikatakan sedang membangunkan SUV segmen-B yang lebih besar dari Ativa, diasaskan dari platform DNGA-B. SUV misteri berkenaan dikatakan mempunyai dimensi panjang 4,320 mm, lebar 1,770 mm dan tinggi 1,685 – saiz yang agak sama dengan Hyundai Creta iaitu lawan terus kepada Toyota Urban Cruiser Hyryder di India.

    Jadi dengan rupa muka yang ada iras-iras Perodua X-Concept yang didedahkan pada KLIMS 2018, adakah Toyota Urban Cruiser Hyryder akan ada bau-bau bacang dengan SUV baharu Perodua nanti?

    GALERI: Perodua X-Concept di KLIMS 2018