Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • PKP 2.0:Pembuatan auto adalah penting, perlu beroperasi; nilai eksport RM10b, 700k pekerja – MARii

    PKP 2.0:Pembuatan auto adalah penting, perlu beroperasi; nilai eksport RM10b, 700k pekerja – MARii

    Institut Automotif, Robotik dan IoT (MARii) mengatakan sokongan terhadap langkah bagi sektor automotif di negara ini kembali beroperasi dengan kadar segera walau pun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan fasa kedua (PKP 2.0) ini. Ia adalah sangat penting memandangkan sumbangan besar industri untuk ekonomi negara, ujar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MARii, Datuk Madani Sahari.

    Katanya, sektor ini telah menyumbang sebanyak RM13.1 bilion menerusi pasaran eksport pada tahun 2019 dan memiliki lebih 700,000 tenaga kerja, turut menunjukkan prestasi yang baik tahun lalu walaunpun berhadapan dengan pandemik Covid-19, yang mengakibatkan banyak gangguan dan penurunan pengeluaran.

    Di sebalik semua cabaran ini, eksport alat ganti dan komponen ke pasar serantau telah melebihi sasaran RM10 bilion pada akhir Oktober, dan Madani mengatakan bahawa pentingnya momentum itu berlanjutan, kerana jika ditunda (pembukaan semula operasi pengilangan) yang agak lama, ia akan memberikan kesan negatif terhadap industri.

    Pada awal PKP 2.0 dilaksanakan, Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa (MITI) telah memutuskan industri pembuatan automotif dibenarkan untuk beroperasi dalam tempoh tersebut. Walau bagaimana pun, selepas 24 jam, ia telah dibatalkan, di mana semua kilang pemasangan dan kemudahan pembuatan komponen kini tidak lagi dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP. Walau bagaimana pun, bilik pameran, pusat servis dan bengkel automotif dibenarkan beroperasi seperti biasa.

    Madani berkata industri pembuatan automotif telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, sesuai dengan saranan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Pemain industri termasuk dari OEM hingga ke pengeluar komponen, telah mempraktikkan tahap automasi yang ketat dan amalan pengeluaran yang ditetapkan, yang membolehkan mereka mematuhi semua SOP yang digariskan dengan lebih baik.

    Tambahnya lagi, MARii akan terus membantu dalam sebarang perbincangan dan mencari jalan penyelesaian terbaik antara pihak berkuasa dengan industri. Selain membantu mencari penyelesaian untuk membantu industri dalam memerangi Covid-19. Beliau turut menambah, sejak bermulanya penyebaran wabak ini, pihaknya telah terlibat dalam inisiatif pengurusan kesihatan seperti mana yang diarahkan oleh kerajaan, ini termasuklah membangunkan Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 (CIMS).

    Ia juga telah membangunkan aplikasi pengesanan kontak ImmuSafe, di mana aplikasi ini direka spesifik untuk pengurusan kesihatan di antara industri yang beroperasi sepanjang tempoh pandemik. Pada September tahun lalu, institut ini juga telah mengumumkan kebolehupayaan kit ujian Covid-19 multi-antigen ImmuSafe, yang dibangunkan bersama Sengenics.

     
     
  • Stefan Sielaff letak jawatan sebagai ketua pereka Bentley, dilaporkan berpindah ke Geely Design

    Stefan Sielaff letak jawatan sebagai ketua pereka Bentley, dilaporkan berpindah ke Geely Design

    Selepas enam tahun bertugas sebagai ketua pereka Bentley, Stefan Sielaff meletakkan jawatan tersebut dan akan digantikan oleh Andreas Mindt bermula 1 Mac ini. Mindt sekarang ini merupakan ketua pereka bahagian luaran untuk Audi, berpengalaman selama 25-tahun dalam rekaan automotif.

    “Saya gembira untuk mengalu-alukan Andreas ke Bentley dan tidak sabar untuk bekerjasama dengan rapat dalam situasi perniagaan yang sedang kritikal, tetapi mengujakan buat masa sekarang. Kerja keras bermula sekarang kerana kami sedang memacu halatuju kami ke arah elektrifikasi penuh menjelang 2030,” kata Matthias Rabe, ahli lembaga kejuruteraan Bentley.

    “Dengan pengalaman kreatif Andreas dalam menghasilkan rekaan kereta elektrik yang progresif, serta minat terhadap Bentley dan Kumpulan Volkswagen, beliau adalah pengganti sempurna yang sesuai untuk membantu kami mencapai cita-cita sebagai peneraju mobiliti mewah yang lestari,” tambahnya lagi.

    Stefan Sielaff letak jawatan sebagai ketua pereka Bentley, dilaporkan berpindah ke Geely Design

    Menerut laporan dari Automotive News, Form Trends dan Business Insider Germany, Sielaff bakal memulakan tugasnya sebagai ketua pereka Geely Design selepas ini, bagi menggantikan Peter Horbury. Namun perkara tersebut belum diumumkan secara rasmi oleh Geely sendiri.

    Sielaff dilaporkan akan memulakan tugasnya di Gothenburg, Sweden selepas bercuti yang dijangka selama tiga bulan, dan selepas itu akan ke ibu pejabat Geely di Shanghai, China.

    Dalam masa yang sama, Peter Horbury masih memantau pembangunan rekaan jenama-jenama di bawah Geely Auto Group serta studio-studio rekaan syarikat tersebut di Shanghai, China, Gothenburg, Sweden; Barcelona, Sepanyol; California, Amerika Syarikat; Kuala Lumpur, Malaysia dan Coventry, England.

    Stefan Sielaff letak jawatan sebagai ketua pereka Bentley, dilaporkan berpindah ke Geely Design

    Pereka dari British yang terkenal dengan memperbaharui rekaan Volvo dari ‘berkotak’ menjadi lebih dinamik pada S60 generasi pertama menerusi konsep ‘ReVolvolution’ berkenaan bakal menyambut hari lahir yang ke-70 tahun dalam masa berberapa minggu lagi, dan bakal bersara selepas menyerahkan tugasnya kepada Sielaff. Horbury mula berkhidmat dengan Geely bermula 2011.

    Bagi Stefan Sielaff pula, beliau dikenali dalam dunia rekaan global dengan menghasilkan rekaan EXP 100 GT dan kemudian dijelmakan sebagai model terhad Bentley Mulliner Bacalar. Ketika khidmatnya bersama Bentley, jenama tersebut turut memperkenalkan model-model seperti Continental, Flying Spur dan juga Bentayga yang disegarkan semula.

    Sebelum menyertai Bentley, Sielaff merupakan pengarah rekaan di Pusat Rekaan Volkswagen di Postdam, Jerman dan sebelum itu, beliau adalah pereka di berberapa jenama di bawah Volkswagen Group seperti Audi. Sielaff yang berasal dari Jerman dan kini telah berusia 59-tahun juga pernah bertugas sebagai pereka dalaman untuk kumpulan Daimler-Chrysler.

     
     
  • Honda HR-V bakal mengakhiri produksi di Eropah

    Honda HR-V bakal mengakhiri produksi di Eropah

    Selepas tujuh tahun dalam jualan, Honda akhirnya akur dengan keputusan untuk mengakhiri produksi bagi model HR-V di Eropah, langkah yang bertepatan dengan perubahan peraturan real-world driving emissions (RDE2) yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2021. Ia juga adalah bagi memberi laluan untuk model generasi ketiga yang diolah secara lebih radikal yang bakal diperkenalkan pada tahun ini juga, menurut laporan Autocar.

    Di Eropah, HR-V generasi kedua sepatutnya dipadankan dengan pilihan enjin sama ada 1.5 liter petrol atau pun 1.6 liter diesel. Walau bagaimana pun, kedua-dua enjin berkenaan ternyata tidak akan ditawarkan untuk model generasi yang akan datang, kerana pengeluarnya telah memutuskan untuk menampilkan penjana kuasa elektrifikasi. Ini kerana Honda telah berjanji untuk tidak meneruskan model dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) di Eropah menjelang 2022.

    Tidak banyak makluman yang diketahui bagi HR-V versi baharu tersebut, walau bagaimana pun pastinya imejnya bakal jauh berbeza berbanding model semasa. Untuk bahagian hadapannya, ia diberikan lampu utama yang lebih nipis, dengan lampu nyalaan siang ‘uptick’ yang diposisikan di sepanjang bahagian atas lampunya.

    Honda HR-V bakal mengakhiri produksi di Eropah

    Selain itu, ia turut menampilkan rekaan gril enam-poin baharu dengan palang melintang yang lebih nipis, di mana motif rekaannya tidak kelihatan pada mana-mana model Honda yang terbaharu. Paling menarik, potongan intake pada bawah bampar hadapan (bentuknya) agak hampir sama dengan model semasa HR-V, manakala hujung bonet belakang yang melunjur ke arah A-pillar dikekalkan. Nampak ada sedikit persamaan dengan imej render yang dihasilkan oleh Theopilus Chin pula.

    Cermin sisi pula kini telah ditempatkan pada pintu, sementara lampu belakang LED pula lebih nipis. Lain-lain ciri termasuklah antena sirip jerung, dengan bukaan yang lebih bulat. Ada laporan turut menyebut ukuran dimensi bagi SUV baharu ini juga dipertingkatkan.

    Ia mungkin melibatkan bahagian jarak roda yang lebih panjang, sekaligus memberikan ruang kabin yang lebih luas termasuk dipertingkatkan ruang kepala yang turut disumbangkan oleh garisan bumbung yang lebih rata. Selain itu, ruang kaki juga dipertingkatkan untuk keselesaan yang lebih optimum.

     
     
  • Henry Ford nafikan hak George Selden kutip royalti paten kereta dari semua pengeluar automotif Amerika

    Henry Ford nafikan hak George Selden kutip royalti paten kereta dari semua pengeluar automotif Amerika

    A celebration of the 150th anniversary of the birth of company founder Henry Ford will be held throughout 2013. Go to www.henryford150.com for an interactive timeline of Ford’s life, tours, a calendar of 2013 events and information about efforts to preserve Henry FordÕs heritage. (12/11/2012)

    Pengasas Ford Motor Company, Henry Ford

    Sehari dua ini, kecoh di media sosial berkenaan seorang usahawan yang menghantar permohonan cap dangangan kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk jenama “Harimau Menangis” bagi produk makanan berasaskan daging yang dijualnya. Dah tentu perkara ini mengundang rasa tidak puas hati ramai pihak kerana nama makanan tersebut bukan hasil ilham usahawan berkenaan serta ia sudah digunakan sekian lama oleh ramai peniaga, dan mereka mungkin akan disaman jika terus menggunakan nama tersebut.

    Selepas membaca berita-berita tentang pertikaian ini, ia mengingatkan penulis kepada satu kes yang pernah berlaku dalam industri automotif lebih 100 tahun dahulu yang kedengaran hampir sama dengan kes nama Harimau Menangis ini.

    Tahukah anda ketika peringkat awal industri automotif di Amerika Syarikat dahulu, paten untuk kereta telah didaftarkan oleh seorang individu, dan selepas itu setiap syarikat yang menghasilkan kereta dan menjualnya perlu membayar royalti kepada individu berkenaan? Dan kemudian perkara ini telah diselesaikan oleh pengasas Ford Motor Company iaitu Henry Ford.

    Individu yang dimaksudkan tersebut bernama George Selden, seorang pencipta dan juga peguam yang berasal dari New York, Amerika Syarikat, lahir pada 14 September 1846. Selepas melihat enjin yang dihasilkan oleh seorang lagi pencipta iaitu George Bryton pada tahun 1878, Selden mendapat inspirasi untuk menghasilkan kenderaan menggunakan enjin berkenaan.

    Lukisan paten asal Road Engine oleh George Seldon

    George Selden meghasilkan enjin dengan kitaran Bryton tersebut dalam kapasiti lebih kompak bagi memadankannya pada kenderaan rekaannya. Enjin berkenaan siap dihasilkan pada tahun 1878, lapan tahun sebelum Karl Benz memperkenalkan kereta produksi pertama di dunia iaitu Benz Patent Motorwagen di Jerman pada 1885. Kemudian Selden mula memfailkan paten untuk kereta rekaannya itu dengan nama “Road Engine” pada tahun 1879 dan kemudian ia terus diperbaharui dari tahun ke tahun, dan kemaskini kali terakhir rekaan tersebut adalah pada 5 November 1895.

    Selden ada menghasilkan kereta tersebut dalam bentuk prototaip sebenar, namun ia tidak pernah dikilangkan dan dijual dalam pasaran. Sebaliknya, Seldon menjual hak milik paten keretanya itu kepada William Whitney, pemilik syarikat Electric Vehicle Company (EVC), yang mahu memproduksi teksi dengan kuasa elektrik berdasarkan paten berkenaan.

    Dalam perjanjian bersama EVC, Selden meletakkan syarat bahawa beliau mahukan royalti US$15 untuk setiap kereta yang dijual oleh EVC, atau bayaran minima sebanyak US$5,000 setahun. Dalam masa yang sama, industri automottif di Amerika Syarikat ketika sebenarnya sudah bermula di mana syarikat jenama seperti Studebaker, Oldsmobile dan pelbagai lagi telah memulakan perniagaan mereka.

    George Selden dan EVC mengambil kesempatan ke atas industri yang sedang berkembang tersebut kerana mereka memegang paten asal sebuah kenderaan beroda empat yang digerakkan oleh enjin. Secara asasnya, untuk setiap unit kereta baru yang dijual dalam pasaran Amerika Syarikat ketika itu, Seldon dan EVC berhak untuk mendapatkan royalti mereka.

    Henry Ford nafikan hak George Selden kutip royalti paten kereta dari semua pengeluar automotif Amerika

    While other auto makers wanted to design luxury cars Henry Ford designed a car that anyone could afford. Here he is standing by that very car. From the collections of The Henry Ford and Ford Motor Company.

    Henry Ford bersama Ford Model T

    Winton Motor Carriage Company adalah ‘mangsa’ pertama yang dipilih oleh Selden dan EVC kerana syarikat tersebut menghasilkan kereta yang paling laris di negara berkenaan pada tahun 1900. Melihat apa yang terjadi pada Winton, jenama-jenama lain mula menubuhkan Manufacturer’s Mutual Association (MMA), dengan tujuan untuk membuat rundingan bersama George Selden dan EVC bagi mendapatkan kadar bayaran royalti yang lebih rendah.

    Namun Ford Motor Company yang diasaskan oleh Henry Ford tidak menyertai persatuan berkenaan. Ini kerana Henry Ford menentang bayaran royalti tersebut kerana mendakwa kereta-kereta yang syarikatnya hasilkan melalui proses R&D sendiri dan jauh lebih maju dari rekaan asal yang dibuat oleh Selden dahulu.

    Ini menyebabkan Selden dan EVC mengheret Ford ke mahkamah pada tahun 1903 bagi menuntut bayaran royalti mereka. Perbicaraan berkenaan berlangsung selama lapan tahun, dan dalam salah satu catatan dari dokumen rekod setebal 14,000 muka perbicaraan berkenaan, Ford ada menyatakan bahawa “adalah sangat tepat untuk mengatakan bahawa George Selden tak pernah memajukan industri automobil dalam satu perkara sekalipun… dan ia mungkin akan lebih maju sekarang walaupun dia tidak pernah lahir.”

    Henry Ford nafikan hak George Selden kutip royalti paten kereta dari semua pengeluar automotif Amerika

    1932: A new V-8 engine now powered Ford automobiles lighter, less expensive, and more powerful than competing V-8s. Wildly popular, it is the last product innovation in which Henry Ford plays a direct role. (7/24/13)

    Walau bagaimanapun, Ford tetap kalah dalam kes itu kerana mahkamah menegaskan bahawa paten yang difailkan oleh George Selden tersebut adalah terpakai untuk semua automobil yang digerakkan oleh enjin yang beroperasi menggunakan wap petrol.

    Namun, Henry Ford tidak berputus asa dan selepas itu menang dalam rayuannya di mahkamah pada 10 Januari 1910. Ford menang kerana mahkamah menerima hujahnya bahawa kereta-kereta baharu yang dihasilkan pada waktu itu adalah lebih maju dengan menggunakan enjin kitaran empat-lejang Otto (masih digunakan oleh kebanyakkan enjin petrol kereta-kereta sekarang), berbanding enjin kitaran Bryton pada paten George Selden tersebut.

    Dan dengan kemenangan yang kecapi oleh Ford tersebut, maka ia bukan sahaja mengakhiri tuntutan royalti Selden terhadap Ford, malah seluruh industri automotif Amerika Syarikat terlepas dari cengkaman bayaran royalti berkenaan.

     
     
  • Cadillac Celestiq akan buat penampilan di CES 2021

    Cadillac Celestiq akan buat penampilan di CES 2021

    General Motors (GM) ada beberapa benda yang akan diperkenalkan waktu acara digital Consumer Electronics Show (CES) 2021 dan ini termasuklah penampilan awal kereta konsep Cadillac Celestiq. Model ini akan menjadi sedan elektrik perdana GM, dan menggunakan platform Ultium yang sama seperti SUV Lyriq dan beberapa lagi model dari jenama Chevrolet, GMC dan Buick.

    Menurut Cadillac, Celestiq akan menunjukkan “keberadaan yang dramatik, rendah diri dan perkadaran badan lebih ke belakang,” dengan penekanan kepada kemewahan dan teknologi. Antara ciri utamanya adalah termasuk penggerak elektrik pacuan empat roda, stereng empat roda dan bumbung kaca yang besar.

    Untuk bumbung itu, ia telah ditunjukkan di dalam satu video, dan menggunakan kaca canggih. Berdasarkan demonstrasi yang ditunjuk, pemandu dan penumpang boleh mengawal bahagian masing-masing sama ada mereka mahukan cermin bumbung itu gelap atau terang.

    Selain daripada itu, pada papan pemuka model ini juga terdapat satu skrin panjang yang bersambung dari tiang kiri hingga ke tiang kanan. Bagi penumpang belakang, mereka disediakan dengan skrin paparan sendiri serta satu lagi skrin di bahagian tengah untuk mengawal tempat duduk dan tetapan hiburan.

    Pada bahagian luaran, Celestiq akan menggunakan beberapa ciri seperti Lyriq, termasuk gril yang menyala, lampu penanda nipis, lampu utama menegak di penjuru serta lampu belakang dengan pencahayaan unik. Ia turut dilapor akan menggunakan bentuk fastback dan mempunyai saiz yang besar.

     
     
  • Scorpio Electric dari Singapura tunjuk model prototaip

    Scorpio Electric dari Singapura tunjuk model prototaip

    Scorpio Electric, yang merupakan sebuah syarikat pengeluar motosikal elektrik dari Singapura telah memperkenalkan model prototaip pertama mereka yang dipanggil sebagai X Model. Tempahan awal untuk model ini diberitahu akan dibuka dalam tahun ini.

    Perincian teknikal skuter elektrik ini masih belum didedahkan tetapi Scorpio Electric ada memberitahu mereka mensasarkan kelajuan lebih 100 km/j dan jarak gerak sekitar 200 km. Daripada gambar yang disiarkan, motor elektriknya kelihatan seperti berada di tengah dan menggunakan sistem tali sawat untuk menghantar kuasa ke belakang.

    Berapa kuasa bateri yang digunakan juga tidak diberitahu, tapi kami menjangkakan ia adalah unit lithium ion seperti kebanyaan motosikal elektrik lain dan boleh dicabut keluar untuk memudahkan pengguna mengecasnya. Bergantung kepada besarnya, masa yang diperlukan untuk cas penuh mungkin antara enam hingga lapan jam menggunakan soket rumah biasa.

    Scorpio Electric dari Singapura tunjuk model prototaip

    Scorpio X Model juga diberitahu akan dilengkapi dengan sambungan kepada telefon pintar dan aplikasi mudah alih, yang membolehkan pengguna mengaktifkan fungsi keselamatan, navigasi, mengetahui lokasi serta amaran sekiranya ada sebarang masalah.

    Kelengkapan lain yang boleh dilihat pada model ini adalah termasuk fork USD warna emas, monoshock di belakang, brek cakera depan dan belakang serta panel instrumen TFT-LCD. Harga masih tidak diketahui tetapi ada laporan yang mengatakan ia akan berada sekitar 10,000 SGD (RM30,450) tidak termasuk cukai dan COE.

     
     
  • Moto Guzzi V9 Roamer dan V9 Bobber diperbaharui

    Moto Guzzi V9 Roamer dan V9 Bobber diperbaharui

    Bagi tahun 2021 ini, Moto Guzzi telah membuat keputusan memperbaharui model V9 Roamer dan V9 Bobber, dengan yang utama adalah pada bahagian enjin. Model ini sekarang menggunakan enjin v-twin 850 cc daripada V85 TT, bagi menggantikan unit 744 cc sebelum ini, mampu menghasilkan kuasa 65 hp dan 73 Nm tork.

    Selain daripada itu, bahagian headstock model ini turut diperkuat demi menghasilkan tunggangan yang lebih stabil, manakala peletak kaki pula diletakkan dengan getah supaya lebih selesa. ABS dan kawalan cengkaman MGCT datang secara standard pada V9 (kawalan cengkaman boleh ditutup jika mahu).

    Melihat kepada V9 Bobber, beberapa lagi peningkatan diberi, termasuk panel tepi aluminium serta fender yang lebih pendek. Ia juga menggunakan tayar yang lebih tebal di hadapan berbanding V9 Roamer dan kebanyakan bahagian diwarnakan hitam termasuk ekzos.

    Moto Guzzi V9 Roamer dan V9 Bobber diperbaharui

    Moto Guzzi V9 menggunakan kotak gear enam kelajuan dan kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui sistem syaf. Peningkatan lain yang diterima untuk tahun 2021 adalah panel instrumen digital baru serta semua lampu jenis LED.

    Pilihan warna terang yang ditawarkan pada model V9 sebelum ini telah diganti dengan pilihan Grigio Lunare untuk V9 Roamer dan Nero Essenziale matte untuk V9 Bobber.

     
     
  • Proton Saga dilancar di Nepal; 1,299 cc, ESP, RM122k

    Proton Saga dilancar di Nepal; 1,299 cc, ESP, RM122k

    Proton kini terus memperluaskan capaian jualannya ke pasaran global dengan pengenalan model Saga di Nepal. Ia menjadi negara kelima menerima sedan berkenaan, selepas Brunei, Pakistan, Kenya dan Mesir sebelum ini.

    Ditawarkan dalam dua varian di sama, Saga dijual pada harga 3,550,000 rupees (RM122,700) bagi varian 1.3 Standard MT dan 3,950,000 rupees (RM136,600) bagi 1.3 Premium AT. Harga yang mahal ini disebabkan oleh struktur cukai yang dikenakan di sana, yang mengenakan duti import kenderaan hampir 200%.

    Saga yang dipasarkan di sana serupa dengan penampilan, spesifikasi dan prestasi dengan versi yang ada di Malaysia, dengan hanya melibatkan dua perbezaan utama. Sama seperti di Mesir dan Pakistan, sedan ini diberikan peningkatan dari sudut sistem pendingin hawa dengan kawalah arah aliran udara (dail ketiga kita di sini hanya untuk pengawal pengitaran udara) dan pemanas.

    Proton Saga dilancar di Nepal; 1,299 cc, ESP, RM122k

    Ia juga hadir dengan kapasiti enjin yang sedikit lebih kecil, 1,299 cc bagi versi enjin 1.3 liter NA VVT empat-silinder. Ini menjadikan outputnya juga sedikit lebih rendah, dengan 91 PS (kurang 4 PS) pada 5,750 rpm dan 117 Nm (kurang 3 Nm) pada 4,000 rpm. Ia bagaimanapun tetap menggunakan kotak gear lima-kelajuan manual atau automatik empat-kelajuan yang sama.

    Selebihnya, ia adalah kereta yang sama; versi Standard manual datang dengan lampu utama halogen, spoiler belakang, rim 14-inci besi dengan penutup, larasan tinggi-rendah untuk stereng, tempat duduk fabrik, head unit dengan Bluetooth, dua pembesar suara, sensor parkir belakang, dua beg udara serta ABS dengan EBD dan Brake Assist.

    Versi Premium pula ditambah dengan DRL LED, rim 15-inci aloi dua tona, stereng multi-fungsi, lampu boot, skrin sentuh tujuh-inci berdasarkan Android, empat pembesar suara, tambahan dua slot pengecas USB, kamera undur dan kawalan kestabilan.

    Proton Saga 1.3 Standard AT 2019

     
     
  • PKP 2.0: Bas, tren boleh beroperasi seperti biasa, kapasiti penuh – 2 penumpang untuk teksi, e-hailing

    PKP 2.0: Bas, tren boleh beroperasi seperti biasa, kapasiti penuh – 2 penumpang untuk teksi, e-hailing

    Susulan Perintah Kawalan Pergerakan kali kedua (PKP 2.0) yang sedang berlangsung selama dua minggu sehingga 26 Jan 2021, kerajaan telah mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) bagi pengangkutan awam di seluruh negara, dengan sedikit perubahan kecil berbanding PKP yang terdahulu.

    Semua perkhidmatan bas dan tren dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa dengan kapasiti penuh bagi penumpang, kecuali Sabah. Untuk bas, ini termasuklah bus pengangkutan awam (bas ekspres, bas berhenti-henti dan bas mini), dan juga bas sewaan serta bas kilang dan pelancong (yang telah menerima kebenaran beroperasi dengan kapasiti penuh penumpang sejak Jun lalu).

    Walau bagaimana pun, bagi Sabah, bas sekolah dan pengangkutan awam hanya dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 50%, dan jarak perjalanan antara daerah juga dihadkan.

    Bagi perkhidmatan rel pula, untuk KTM (ETS, antara-bandar dan Komuter) dan Prasarana/Rapid Rail (MRT, LRT dan Monorel), termasuk juga KLIA ERL, ia juga boleh beroperasi seperti biasa. dengan waktu operasi bagi perkhidmatan rel bermula jam 5 pagi hingga 12 tengah malam, walau bagaimana pun untuk membawa penumpang pula dari jam 6 pagi hingga 11 malam.

    Terdahulu, Prasarana mengumumkan semua perkhidmatan Rapid KL bagi bas dan rel akan terus beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh PKP 2.0 dan ia juga akan mengikut kekerapan yang dikemaskinikan pada 29 Disember tahun lalu.

    Sementara itu, bagi perkhidmatan teksi dan e-hailing pula hanya dibenarkan membawa penumpang maksimum dua orang sahaja dan boleh mengambil penumpang dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam, sama seperti ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, KL dan Putrajaya pada Oktober lalu.

     
     
  • Volkswagen Golf Mk8 – 56,000 unit dipanggil semula kerana masalah perisian infotainmen, kamera undur

    Volkswagen Golf Mk8 – 56,000 unit dipanggil semula kerana masalah perisian infotainmen, kamera undur

    Volkswagen akan memanggil semula 56,000 unit Golf generasi ke-lapan bagi menyelesaikan isu pada sistem infotainmen dan kamera undur hatchback berkenaan, lapor Automotive News Europe. Model yang terlibat adalah unit-unit yang dibuat sehingga bulan Julai 2020, namun jurucakap VW menyatakan bahawa panggilan semula ini bukanlah mandatori, sebaliknya adalah “pembaikan sukarela”.

    Langkah ini adalah lanjutan dari panggilan semula sebelum ini yang turut melibatkan isu perisian untuk Golf Mk8 tersebut tahun lalu – melibatkan fungsi panggilan kecemasan yang (disyaratkan oleh Kesatuan Eropah pada 2018), yang mungkin boleh terjejas kerana peralihan data yang tidak betul, juga dilaporkan oleh Automotive News Europe.

    Volkswagen Golf masih menjadi antara model paling laris di Eropah dengan jualan 312,000 unit di benua berkenaan sepanjang 2020. Ia turut menjadi model paling laris di Jerman dengan jualan 133,900 unit. Golf generasi ke-lapan ini telah pun diperkenalkan dari versi standard sehinggalah model-model berprestasi seperti GTI, GTD, GTE dan juga model R AWD.

    Volkswagen Golf Mk8 – 56,000 unit dipanggil semula kerana masalah perisian infotainmen, kamera undur

    Bukan hanya Golf sahaja dipanggil semula, malah model hatchback elektrik sepenuhnya Volkswagen ID.3 turut berhadapan berberapa masalah perisian. Pada Februari 2019, ID.3 dilaporkan dipadankan dengan perisian yang belum lengkap, yang dikesan oleh VW sendiri selepas kereta berkenaan keluar dari kilang. Menurut laporan Manager Magazin, sekitar 20,000 ID.3 terlibat dalam masalah tersebut ketika itu.

    Isu perisian pada model elektrik sepenuhnya berkenaan dilaporkan masih berterusan sehingga 2020, di mana berberapa pihak dalaman Volkswagen mengaku bahawa asas perisian pada kereta tersebut telah dibangunkan terlalu tergesa-gesa menyebabkan masalah komunikasi antara komponen-komponen dalam kereta tersebut.

     
     
  • Touch ‘n Go terima status Pengendali Pasaran yang Diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

    Touch ‘n Go terima status Pengendali Pasaran yang Diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

    Kumpulan Touch ‘n Go (TNG) mengumumkan anak syarikatnya, TNG Digital Sdn Bhd (TNGD), telah diberi kelulusan bersyarat oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk beroperasi sebagai Pengendali Pasaran yang Diiktiraf (RMO).

    Kelulusan bersyarat yang diberikan oleh SC ini akan membolehkan syarikat tersebut mengurus pengendalian serta mengedarkan produk pasaran modal secara langsung, termasuk dana unit amanah pasaran wang melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet tanpa melibatkan aplikasi pihak ketiga.

    “Status RMO ini akan membolehkan kami menawarkan kepelbagaian produk digital yang inovatif kepada pengguna kami dan pada suku pertama tahun ini, produk kewangan yang berbentuk pelaburan akan dilancarkan.

    Touch ‘n Go terima status Pengendali Pasaran yang Diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

    Ia bertujuan memberi kelainan dan membolehkan pengguna kami menikmati perkhidmatan pelaburan asas dengan serendah RM10,” kata Effendy Shahul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan TNG.

    Penginovasian ini direalisasikan dengan adanya kerjasama di antara TNG dengan Principal Asset Management (Principal), salah satu syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia. Usahasama ini adalah hasil gabungan pembangunan dasar, teknologi dan kepakaran data oleh Touch ‘n Go eWallet dengan kepakaran Principal di dalam strategi pelaburan serta pengurusan dana.

    Touch ‘n Go telah diberikan kelulusan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 2018 untuk memberikan dan menawarkan perkhidmatan e-wallet di negara ini. Selain pembayaran transaksi tanpa tunai di plaza tol dan beberapa premis perniagaan lain, perkhidmatan e-wallet kini juga boleh digunakan untuk membayar caj parkir termasuk di kawasan seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

     
     
  • PKP 2.0: JAWI akan sediakan ruang solat untuk musafir dan yang bertugas dalam perkhidmatan perlu

    PKP 2.0: JAWI akan sediakan ruang solat untuk musafir dan yang bertugas dalam perkhidmatan perlu

    Antara masalah yang timbul ketika Perintah Kawalan Pergerakan ini adalah kesukaran untuk menunaikan solat di tempat awam kerana masjid dan surau-surau di tempat awam termasuk di stesen minyak ditutup.

    Menyedari kesulitan ini terutamanya untuk mereka yang bermusafir dan yang masih bertugas dalam perkhidmatan perlu (essential service) seperti pemandu teksi dan e-hailing, penghantar makanan dan sebagainya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menyediakan ruang solat untuk mereka yang memerlukan ini.

    Perkara tersebut disebut oleh JAWI menerusi ciapan di laman Twitter rasmi mereka, dalam bebenang berkenaan SOP terkini berkaitan pengimarahan masjid, surau Jumaat dan surau yang telah di keluarkan.

    Walau bagaimanapun, harus diingat, ini adalah inisiatif JAWI bagi kawasan Wilayah Persekutuan sahaja, tidak termasuk negeri-negeri lain yang terlibat dengan PKP kali ini.

     
     
  • VIDEO: Teaser Hyundai Kona N, SUV untuk litar!

    Kini secara rasmi, Hyundai Kona N bukan lagi sekadar cerita-cerita kosong – jenama dari Korea berkenaan telah pun mendedahkan prototaip yang masih dengan pelekat penyamaran SUV segmen-B yang disuntik steroid tersebut sebagai teaser sebelum pendedahan model produksi sebenarnya tidak lama lagi!

    Dalam video yang disiarkan, Hyundai Kona N berkenaan didedahkan turut diberikan sistem ekzos yang memberikan bunyi letupan seperti tembakan senapang, sama macam hot-hatch i30 N dan Veloster N. Dan Hyundai turut menegaskan bahawa “Ya, ia memang model N.”

    Dan walaupun Kona N ini sebuah jentera yang memang dihasilkan untuk keseronokan memandu di litar, ia masih lagi bersifat praktikal seakan Kona biasa yang membolehkan anda membawanya untuk ke membeli barangan keperluan di pasar raya serta berkhemah di kawasan pedalaman.

    VIDEO: <em>Teaser</em> Hyundai Kona N, SUV untuk litar!

    Namun masih belum diumumkan secara rasmi sebarang perincian teknikal untuk Kona N ini, tetapi berdasarkan laporan-laporan sebelum ini model tersebut akan dijana oleh enjin 2.0 liter turbo dan ditawarkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan kelajuan.

    Jadi boleh dijangka, ia akan mengggunakan enjin yang sama seperti Veloster N dan i30 N. Dalam versi facelift terkini untuk kedua-dua hot-hatch berkenaan, model standard akan terus menjana 250 PS/353 Nm, manakala versi dengan Performance Pack pula ditala bagi mendapatkan kuasa 280 PS/392 Nm.

    Manakala untuk transmisi, ia turut mungkin akan mengambil kotak gear N DCT yang sama seperti dua hot-hatch N berkenaan yang dibangunkan sendiri oleh Hyundai, serta menampilkan fungsi seperti N Grin Shift, N Power Shift dan N Track Sense Shift. Hyundai juga mengesahkan fungsi Launch Control turut dibekalkan pada Kona N ini.

    Walaupun keseluruhan panel badan unit prototaip Kona N ini dibalut dengan pelekat penyamaran, jelas ia diberikan penampilan lebih garang berbanding Kona biasa menerusi apron pada bampar hadapan yang lebih agresif, skirt sisi lebih labuh dua tip ekzos oval yang lebih besar. Kona N ini juga nampaknya turut menerima rim lebih besar bersama tayar ultra prestasi tinggi Pirelli P Zero.

    “Kami teruja untuk mengembangkan resipi kejayaan yang kami bangunkan dengan i30 N dan, yang terbaru, dengan i20 N kepada antara SUV kami yang paling popular dalam pasaran sekarang: Kona. Tambahan Kona ke dalam keluarga N akan membawa jenama berprestasi tinggi ini ke tahap seterusnya,” kata Andreas-Christoph Hofmann, naib presiden pemasaran dan produk Hyundai Motor Europe.

     
     
  • Skuter elektrik Silence e-moto masuk pasaran UK

    Skuter elektrik Silence e-moto masuk pasaran UK

    Satu lagi model skuter elektrik diperkenalkan di United Kingdom (UK), iaitu Silence e-moto. Ia ditawarkan dalam beberapa versi dengan jarak gerak antara 45 km hingga 127 km dan harga antara 2,695 pounds sterling (RM14,925) hingga
    4,695 pounds sterling (RM26,000).

    Model paling asas adalah S02 LS, di mana ia menggunakan bateri lithium ion 2 kWh dan motor elektrik 1.5 kW. Bateri model ini mempunyai berat 27 kg, dan mengambil masa antara tiga hingga empat jam untuk dicas penuh sebelum boleh memberikan jarak gerak 45 km dan laju maksimum 50 km/j.

    Model paling tinggi pula adalah Silence S01, di mana ia menggunakan pek bateri 5.6 kWh dan motor elektrik 7 kW, untuk memberikan jarak gerak 127 km dan laju maksimum 100 km/j. Bateri model ini mencatat berat 40 kg dan memerlukan masa antara enam hingga lapan jam untuk dicas penuh (menggunakan soket kuasa biasa di rumah).

    Menariknya tentang skuter elektrik ini, baterinya yang terletak rendah di bahagian tengah boleh dicabut dan dilengkapi dengan roda demi memudahkan pengguna membawanya ke rumah atau pejabat untuk dicas. Kemudiannya, ia turut mempunyai sistem sambungan kepada aplikasi di telefon pintar Android dan iPhone.

    Selain fungsi memeriksa status bateri dan mengunci motosikal, aplikasi ini turut membolehkan pengguna berkongsi kod kunci dengan orang lain dan membenarkan mereka menghidupkan motosikal tanpa kunci sebenar. Turut dipasang adalah pengesan GPS dan pemilik boleh melihat kedudukan motosikal melalui telefon pintar.

    Perincian lain skuter elektrik Silence adalah brek jenis kombinasi (seperti CBS pada skuter Honda), gear undur, panel paparan LCD dan tiga mod tunggangan iaitu City, Eco dan Sport.

     
     
  • Honda HR-V 2021: Skrin 7-inci, Apple CarPlay dan Android Auto kini standard, lampu LED untuk hibrid

    Honda HR-V 2021: Skrin 7-inci, Apple CarPlay dan Android Auto kini standard, lampu LED untuk hibrid

    Honda Malaysia telah memperkenalkan model HR-V dengan kemaskini. Semua empat varian yang ada kini menerima skrin tujuh-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto. Selain itu, tambahan dua lagi slot USB turut diberikan di konsol tengah.

    Bagi varian HR-V Sport i-DCD, ia kini menerima lebih banyak penambahbaikan. Aspek luaran kini turut menerima lampu utama LED, lampu kabus LED dan lampu belakang LED kombinasi (versi lebih bergaya, yang dikongsi dengan barian V dan RS). Warna Orchid White Pearl sedia ada juga tidak lagi ditawarkan, dan akan digantikan dengan warna Platinum White Pearl. Varian ini turut akan menerima stereng tiga-jejari balutan kulit yang baru.

    HR-V ditawarkan dalam empat varian seperti berikut; E (RM104k), Hybrid i-DCD, V (RM113,422), dan RS (RM118,582). Ambil maklum bahawa ini adalah harga dengan pengecualian SST sehingga 30 Jun 2021. Honda Malaysia bagaimanapun belum mengumumkan harga terbaru bagi varian Hybrid i-DCD.

    Honda HR-V 2021: Skrin 7-inci, Apple CarPlay dan Android Auto kini standard, lampu LED untuk hibrid

    Sepanjang tahun 2020, HR-V menyumbang sehingga 17% daripada jualan keseluruhan Honda Malaysia, dengan varian V menjadi yang paling popular (41%). Passion Red Pearl menjadi warna yang paling popular, meliputi 30% permintaan daripada semua pembelian. Pengeluarnya juga menyifatkan HR-V kekal sebagai SUV kompak bukan-nasional terlaris dengan pegangan pasaran 73% setakat November 2020.

    Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata; “Honda Malaysia gembira untuk memperkenalkan HR-V yang dipertingkatkan ini untuk pasaran tempatan. Penawaran terbaru ini adalah hasil daripada maklum balas pelanggan yang ingin kami penuhi dari semasa ke semasa. Antaranya ialah ciri Apple CarPlay.”

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024