Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Nissan X-Trail T32 talaan Impul dilancarkan di Malaysia – RM140k hingga RM168k, empat varian ditawarkan

    Nissan X-Trail T32 talaan Impul dilancarkan di Malaysia – RM140k hingga RM168k, empat varian ditawarkan

    Pengedar Nissan di Malaysia, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah melancarkan Nissan X-Trail talaan Impul untuk pasaran Malaysia. Model istimewa ini menerima pelbagai peralatan tingkat taraf dari badan penala berkenaan yang sebahagiannya pernah ditayangkan pada Tokyo Auto Salon 2019.

    Untuk penggayaan luaran, X-Trail ini diberikan Aerokit Impul yang terdiri dari apron bampar dua tona untuk bahagian hadapan dan belakang, bersama set skrit sisi. Ia turut hadir dengan gril dan spoiler bumbung lebih besar Impul dalam kemasan hitam berkilat.

    Rupa luaran X-Trail istimewa ini dilengkapkan dengan rim Impul Aura SX-50 18-inci, yang dibaluti dengan tayar Continental ContiMaxContact MC6 bersaiz 235/55R18. Jika anda perasan, X-Trail Impul ini juga kelihatan lebih rendah, kerana ia diberikan spring sport Impul yang turut memberikan respon pengendalian lebih baik. Pada bahagian dalaman, X-Trail Impul ini menerima upholsteri kulit Nappa berwarna Maroon.

    Nissan X-Trail T32 talaan Impul dilancarkan di Malaysia – RM140k hingga RM168k, empat varian ditawarkan

    Pakej talaan Impul ini ditawarkan untuk X-Trail dalam varian 2.0L Hybrid, 2.5L 4WD, 2.0L 2WD MID dan 2.0L 2WD – anda perlu menambah RM11,000 dari harga asas model-model tersebut. Oleh itu, harga atas jalan tanpa insuran dengan pengecualian SST untuk setiap varian dengan pakej talaan Impul ini adalah seperti berikut:

  • 2.0L 2WD – RM139,630
  • 2.0L 2WD MID – RM150,643
  • 2.5L 4WD – RM157,731
  • 2.0L Hybrid – RM168,451
  • Untuk mereka yang membeli kit asli dan dipasang di kilang ini, X-Trail Impul tersebut akan menerima perlindungan waranti kenderaan selama lima-tahun tanpa had perbatuan dan juga waranti aksesori selama tiga-tahun atau 100,000 km (yang mana sampai dahulu).

    Walau bagaimanapun, pemilik X-Trail sedia ada turut boleh mendapatkan pakej Impul ini secara berasingan dan harga setiap komponen adalah seperti berikut:

  • Aerokit Impul (spoiler hadapan dan belakang bersama skirt sisi) – RM5,600
  • Rim Impul 18-inch Aura SX-50 (satu set, empat unit) – RM5,800
  • Tayar Continental ContiMaxContact MC6 (235/55 R18, empat unit) – RM2,800
  • Impul Sports Springs – RM1,100
  • Spoiler belakang hitam berkilat – RM800
  • Kemasan gril hadapan hitam berkilat – RM700
  • Nissan X-Trail talaan Impul ini akan dipamerkan di bilik-bilik pameran Nissan terpilih ketika karnival Nissan X-Trail Tuned by Impul, bermula 18 Julai nanti.

     
     
  • Harga minyak 4-10 Julai – Kesemuanya turun harga!

    Harga minyak 4-10 Julai  – Kesemuanya turun harga!

    Okay berita baik untuk kita semua terutamanya yang bercadang mahu berjalan jauh pada hujung minggu ini. Bagi minggu bertarikh 4 hingga 10 Julai 2020, Kementerian Kewangan memaklumkan harga bagi ketiga-tiga bahan api utama di negara ini turun selepas tujuh minggu ia mengalami peningkatan harga.

    Bagi petrol RON97, harganya turun sebanyak 4 sen seliter iaitu daripada RM1.99 seliter kepada RM1.95 seliter. Manakala untuk RON95 pula, daripada RM1.69 seliter, menjadi RM1.65 seliter iaitu juga melibatkan penurunan harga sebanyak 4 sen seliter.

    Untuk diesel pula, ia melibatkan penurunan harga sebanyak 2 sen seliter iaitu RM1.84 seliter bagi gred Euro 2M dan RM1.94 seliter bagi Euro 5. Kesemua harga baharu ini efektif bermula 12 tengahmalam ini sehingga Jumaat hadapan, 10 Julai 2020.

    Menurut Kementerian Kewangan, penurunan harga ini disebabkan perubahan harga minyak yang diproses (refined product), selari dengan harga minyak mentah dunia pada masa ini.

     
     
  • Teaser Honda City dengan Alexa Remote disiar di India

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Honda City generasi baharu akan dilancarkan di India pada bulan ini, dan ia nampaknya menerima lebih banyak perincian premium berbanding model pasaran Thailand yang telahpun dilancarkan hujung tahun lalu. Antara kelengkapan lebih baik di terima City India berkenaan adalah fungsi Alexa Remote seperti yang disiarkan dalam satu video teaser.

    Dengan kata mudah, Alexa Remote ini berfungsi seakan sama dengan sistem “Hi Proton” pada Proton X70 iaitu membolehkan berberapa fungsi kereta seperti tingkap berkuasa dan penghawa dingin beroperasi dengan menggunakan arahan suara.

    Selain Alexa Remote, ciri lain yang lebih baik pada City pasaran India ini termasuk paparan instrumen separa digital yang dibintangi oleh meter digital tujuh-inci pada bahagian sepatutnya ditempatkan meter analog, bersama satu paparan pelbagai info bersaiz kecil di tengah.

    Juga, City generasi baharu di India ini menerima sistem kamera pemantau titik buta Honda Lanewatch. Pada pasaran lain termasuk Malaysia dan Thai, sistem Lanewatch yang terdiri dari satu kamera diletakkan pada cermin sisi sebelah penumpang (dipaparkan pada skrin infotainmen utama) ini biasanya hanya diberikan pada model-model besar seperti Civic, Accord dan CR-V.

    Walau bagaimanapun, pasaran India tidak akan menerima enjin 1.0 liter VTEC Turbo seperti di Thailand, tetapi hadir dengan pilihan dua enjin iaitu 1.5L NA i-VTEC dengan kuasa 121 PS/145 Nm dan juga enjin 1.5 liter diesel i-DTEC yang kini telahpun menepati tahap emisi Bharat 6 (BS-VI), berkuasa 100 PS/200 Nm.

    Ketika dilancarkan nanti, model petrol akan ditawarkan dengan pilihan sama ada kotak gear CVT automatik atau manual enam-kelajuan, manakala model diesel seperti sebelum ini hanya tampil dengan transmisi manual enam-kelajuan.

    GALERI: Imej awalan Honda City 2020 pasaran India

     
     
  • Dodge Durango SRT Hellcat – SUV paling berkuasa di dunia dengan enjin HEMI V8 6.2 liter berkuasa 710 hp

    Dodge Durango SRT Hellcat – SUV paling berkuasa di dunia dengan enjin HEMI V8 6.2 liter berkuasa 710 hp

    Di Amerika Syarikat, Dodge Durango telah diberikan pembaharuan bagi model tahun 2021 dan ia menyaksikan pengenalan varian baru SRT Hellcat. Daripada nama ini anda sepatutnya sudah tahu ia adalah satu versi prestasi dan bukan setakat itu, ia sekarang adalah SUV produksi paling berkuasa di dunia.

    Enjin yang digunakan pada Durango SRT Hellcat adalah unit HEMI V8 6.2 liter supercharge yang mampu menghasilkan kuasa 710 hp dan 875 Nm tork. Bagi jumlah tork, ia sama seperti Jeep Grand Cherokee Trackhawk, tetapi jumlah kuasanya 3 hp lebih tinggi untuk merampas takhta daripada SUV tersebut.

    Kalau dibandingkan dengan pesaing Jerman pula, kuasa yang ditawarkan oleh Dodge turut mengalahkan BMW X5 M Competition (617 hp dan 750 Nm), Mercedes-AMG GLE 63 S 4Matic+ (603 hp dan 850 Nm) serta Porsche Cayenne Turbo (542 hp dan 770 Nm). Jumlah kuasa Cayenne Turbo S E-Hybrid adalah hampir, iaitu 671 hp dan 900 Nm.

    Untuk mencapai jumlah kuasa setinggi itu, Dodge Durango SRT Hellcat menggunakan supercharger 2.38 liter dengan rotor twin-screw yang mampu berpusing sehingga 14,600 rpm dan memberikan tekanan boost sehingga 11.6 psi. Bagi memastikan sistem ini dapat bertahan, sistem penyejuk bersepadu dipasang pada supercharger tersebut dan ia terdiri daripada pam air, coolant reservoir serta penukar haba untuk mengekalkan suhu ruang kemasukan udara di bawah 60 darjah celsius.

    Dodge Durango SRT Hellcat – SUV paling berkuasa di dunia dengan enjin HEMI V8 6.2 liter berkuasa 710 hp

    Enjin ini juga dipertingkat dengan bahagian dalam yang diperkuat (crankshaft, connecting rod dan piston), penyerap crankshaft talaan khas yang telah diuji sehingga 13,000 rpm, penyuntik minyak untuk menyejukkan piston, head aluminium, injap ekzos penyejukan sodium serta injap intake hollow-stem. SUV ini juga dipasang dengan skup untuk menyampaikan udara kepada throttle body 92 mm serta dua pam minyak high-flow dengan tekanan boleh ubah.

    Dari enjin, kuasa disampaikan kepada roda melalui transmisi automatik TorqueFlite 8HP95 lapan kelajuan yang sama seperti Trackhawk, sistem pacuan semua roda serta tayar Pirelli Scorpion Zero 295/45 (juga boleh didapati dengan tayar Pirelli P-Zero).

    Untuk aspek prestasi, Durango SRT Hellcat boleh memecut 0-96 km/j (0-60 bsj) dalam masa cuma 3.5 saat, melengkapkan pecutan suku batu dalam masa 11.5 saat dan mencapai laju maksimum 290 km/j. Dodge juga memberitahu SUV ini boleh melengkapkan satu pusingan 3.4 km dengan masa 1.5 saat lebih pantas berbanding Durango SRT 392 2020, atau bersamaan dengan jarak sembilan buah kereta selepas satu pusingan.

    Selain kuasa, model ini juga dipasang dengan suspensi dipertingkat, yang lebih responsif dengan penambahan kawalan rebound 20% dan tapak atas penyerap belakang 18% lebih keras. Syarikat ini juga mendakwa Durango SRT Hellcat lebih responsif apabila menyerang selekoh dan kurang understeer serta olengan badan.

    Pada bahagian brek, ia dipasang dengan unit prestasi tinggi Brembo yang terdiri daripada cakera 400 mm dan angkup enam piston di hadapan, manakala di belakang menggunakan cakera 350 mm dan angkup empat piston. Masa yang dicatat untuk memberhentikan kenderaan dari 96 km/j dikatakan cuma 35 meter.

    Sekiranya diperhatikan, Durango SRT Hellcat tidak mempunyai lampu kabus di hadapan kerana bahagian itu telah digunakan sebagai laluan udara untuk menyejukkan enjin. Bahagian hadapan juga dipasang dengan splitter, rim menggunakan unit 20 inci dan di belakang terdapat spoiler yang mampu menghasilkan daya tolakan ke bawah sebanyak 181 kg pada kelajuan maksimum.

    Model facelift ini juga menyaksikan penggunaan gril yang mirip seperti model Charger, dipadankan bersama lampu utama yang lebih nipis dan lampu belakang LED. Pada bahagian dalam pula, perubahannya termasuk pada bahagian ruang konsol tengah yang lebih besar dan bahagian tengah papan pemuka yang diubah untuk menempatkan skrin sesentuh 10.1 inci untuk sistem infotainmen Uconnect 5.

    Dodge Durango SRT Hellcat – SUV paling berkuasa di dunia dengan enjin HEMI V8 6.2 liter berkuasa 710 hp

    Varian lain bagi Durango iaitu SXT, GT, Citadel, R/T dan SRT 392 turut menyaksikan beberapa perubahan. Varian R/T dengan pakej Tow N Go dan SRT 392 mempunyai kemampuan menunda terbaik dalam kelasnya iaitu sehingga 3,946 kg. Pakej Tow N Go didatangkan dengan barangan standard SRT Hellcat seperti bampar, kemasan fender, rim 20 inci, brek Brembo, suspensi adaptif serta LSD.

    Untuk enjin pula, SRT 392 menggunakan unit HEMI V8 6.4 liter 475 hp dan 637 Nm tork manakala R/T dan Citadel pula menggunakan unit HEMI V8 5.7 liter 360 hp dan 529 Nm. Citadel juga mendapat pilihan enjin V6 Pentastar 3.6 liter 295 hp dan 352 Nm sama seperti varian SXT dan GT. Transmisi standard adalah unit automatik lapan kelajuan dan pemilik boleh memilih sama ada mahukan pacuan roda belakang atau semua roda.

    Ciri keselamatan penuh diberikan pada SUV ini termasuk Adaptive Cruise Control, Blind-Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Detection, Forward Collision Warning dengan brek aktif, Advanced Brake Assist dan Lane Departure Warning LaneSense dengan Lane Keep Assist.

    GALERI: Dodge Durango SRT Hellcat 2021

    GALERI: Dodge Durango R/T Tow N Go 2021

    GALERI: Dodge Durango Citadel 2021

     
     
  • Nissan Magnite – teaser SUV segmen B baru disiar di India, pendedahan rasmi akan dibuat 16 Julai di Jepun

    Nissan Magnite – teaser SUV segmen B baru disiar di India, pendedahan rasmi akan dibuat 16 Julai di Jepun

    Di India, Nissan telah mengeluarkan dua gambar teaser sebuah SUV kompak segmen B yang digelar sebagai Magnite dan diberitahu akan tiba tidak lama lagi. Tetapi sebelum itu, SUV ini akan didedahkan secara rasmi terlebih dahulu di Jepun pada 16 Julai ini.

    Berdasarkan bentuk rim dan tayar model di dalam gambar tersebut, ia nampak seperti sebuah model konsep dan ciri rekaan lain yang boleh dilihat adalah seperti kemasan plastik keliling lengkung roda yang mempunyai bentuk berpetak, lampu DRL berbentuk L pada bucu bampar serta gril yang lebih seperti model Datsun moden (bukan V-Motion).

    Kedudukan SUV ini juga kelihatan lebih tinggi dan mempunyai jarak kelegaan yang banyak dengan roda. Menambahkan ciri ranggi, bahagian bawah bamparnya dipasang dengan kemasan pelindung seperti diffuser dan rekaan sama mungkin akan dipakai di belakang.

    Nissan Magnite – teaser SUV segmen B baru disiar di India, pendedahan rasmi akan dibuat 16 Julai di Jepun

    Satu lagi gambar yang didedahkan lebih fokus kepada bahagian lampu hadapan. Ia menunjukkan lampu nipis dan berbentuk tajam pada SUV baru ini akan dilengkapi dengan unit LED penuh yang bukan sahaja memberikan penampilan lebih garang, tetapi juga pencahayaan yang lebih terang.

    Perincian teknikal SUV ini masih tidak diketahui tetapi ia boleh dijangka menggunakan enjin seperti Renault Triber yang menggunakan platform CMF-A+ sama iaitu unit tiga silinder 1.0 liter dengan kuasa sekitar 72 hp dan 96 Nm tork. Versi turbo bagi enjin sama juga berkemungkinan ditawarkan kepada pasaran.

     
     
  • Polis cadang guna POCA untuk cegah aktiviti lumba haram, penganjur boleh dihukum buang daerah

    Polis cadang guna POCA untuk cegah aktiviti lumba haram, penganjur boleh dihukum buang daerah

    Aktiviti lumba haram masih berleluasa di negara ini, biar pun pihak berkuasa kerap kali mengadakan operasi mencegah dan memberkas mereka yang terlibat dengan perkara tidak bermoral ini. Bagai tidak gentar dengan hukuman sedia ada, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bercadang menggunakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 terhadap penganjur lumba haram.

    Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Azisman Alias, di bawah akta tersebut, penganjur perlumbaan haram boleh dikenakan hukuman buang daerah, laporan Bernama.

    “Tindakan POCA ini juga mampu memberikan kesedaran kepada mereka sebelum berbuat sesuatu yang melanggar undang-undang.

    “Lagi pun semua pesalah yang menunggang motosikal secara berbahaya seperti merempit yang ditahan juga akan direkodkan di dalam sistem Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya orang ramai lebih berhati-hati daripada terjerumus dengan aktiviti itu,” katanya.

    Tambahnya lagi, apabila dikenakan hukuman sedemikian, rekod itu akan memberikan reputasi buruk terhadap pesalah terutama golongan muda yang terlibat dalam kegiatan haram tersebut.

    Polis cadang guna POCA untuk cegah aktiviti lumba haram, penganjur boleh dihukum buang daerah

    “Jadi apabila anak muda yang mempunyai rekod kesalahan berkaitan rempit atau berkaitan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya, adalah sukar untuk mereka memohon pekerjaan satu hari nanti kerana dikhuatiri akan ditolak disebabkan rekod yang mereka ada,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati semua pihak, terutama anak muda, supaya sedar dan berhati-hati agar tidak terjebak dalam kegiatan seperti ini.

    Azisman juga berkata polis akan meningkatkan pemantauan terhadap mana-mana bengkel atau individu yang didapati terlibat dalam aktiviti mengubah suai motosikal tanpa mengikut spesifikasi yang dibenarkan.

    “Kita difahamkan ada juga yang mengubah motosikal mereka sehingga tidak mempunyai brek demi untuk membuat aksi yang berbahaya,” katanya.

    Beliau memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung kegiatan seperti lumba haram kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

     
     
  • Proton perincikan servis Joox bagi sistem infotainmen GKUI; pilihan lebih 30 juta lagu, akaun asas dan VIP

    Proton perincikan servis Joox bagi sistem infotainmen GKUI; pilihan lebih 30 juta lagu, akaun asas dan VIP

    Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, servis streaming muzik atas talian untuk sistem infotainmen GKUI (“Hi Proton”) untuk model seperti X70 serta varian Premium untuk Persona, Iriz dan Exora telah berpindah ke aplikasi Joox bermula 27 Mac lalu.

    Jika anda belum mengemaskini sistem infotainmen GKUI anda, berkemungkinan besar fungsi untuk streaming online tersebut tidak boleh digunakan buat masa sekarang. Tidak perlu untuk ke mana-mana pusat servis Proton untuk mengemaskini perisian tersebut, kerana anda boleh buat sendiri di rumah atau di mana-mana dengan proses kemaskini over-the-air (OTA) dan panduannya boleh dirujuk pada PAUTAN INI.

    Joox adalah aplikasi streaming muzik online sama seperti Spotify yang menawarkan muzik tanpa had dengan pilihan lebih dari 30 juta lagu. Oleh itu, ia ditawarkan dalam dua pilihan iaitu dalam versi percuma tetapi fungsinya dihadkan, atau langganan VIP untuk menerima akses penuh.

    Proton perincikan servis Joox bagi sistem infotainmen GKUI; pilihan lebih 30 juta lagu, akaun asas dan VIP

    Untuk versi percuma (ditandakan dengan ikon berwarna kelabu di sebelah nama akaun anda), anda hanya boleh memainkan lagu dengan turutan shuffle, alih ke lagu seterusnya (tiga kali alih akan diikuti dengan iklan), dan memilih sehingga 50 lagu menggunakan akaun anda dengan aplikasi Joox pada telefon pintar anda.

    Selain akan menerima siaran iklan, versi percuma ini juga hanya diberikan kualiti streaming lebih rendah, ruang simpanan lagu terhad serta anda tidak dapat memainkan lagu tertentu dan tidak boleh menggunakan berberapa fungsi seperti mainkan semula lagu sebelumnya atau mencari lagu seterusnya.

    Jika anda memilih untuk melanggan akses VIP, semua sekatan fungsi dan lagu tadi akan dibuka. Akses tersebut memerlukan anda membayar yuran langganan sebanyak RM12.90 sebulan, dan buat masa ini ia ditawarkan dengan diskaun 20% dengan bayaran hanya RM9.90 sempena promosi dalam masa terhad.

    Proton perincikan servis Joox bagi sistem infotainmen GKUI; pilihan lebih 30 juta lagu, akaun asas dan VIP

    Anda juga boleh memilih pakej langganan untuk 12-bulan dengan bayaran RM109.90, atau mana-mana pakej dengan tempoh lebih pendek ditawarkan di laman rasmi Joox. Sebagai perbandingan, servis sama yang ditawarkan oleh Spotify iaitu Spotify Premium memerlukan anda membayar kos langganan RM14.90 sebulan, tanpa pilihan langganan tahunan.

    Bagi mendapatkan aplikasi Joox untuk telefon pintar anda, ia hanya perlu dimuat turun menerusi Google Play Store, Apple App Store atau Huawei App Gallery bergantung jenis telefon anda. Kemudian anda perlu mendaftar akaun sebelum aplikasi tersebut dapat dihubungkan kepada aplikasi Joox pada sistem infotaimen dalam kereta Proton anda.

    Dengan akaun yang telah dihubungkan, semua lagu yang telah dipilih menerusi telefon pintar boleh dimainkan terus pada sistem infotaimen tersebut. Walau bagaimanapun, jika anda mahu menambah atau membuang lagu, ia perlu dibuat menerusi telefon pintar. Khas buat pengguna iPhone, lagu dari iTunes turut boleh diimport terus ke Joox.

    Proton perincikan servis Joox bagi sistem infotainmen GKUI; pilihan lebih 30 juta lagu, akaun asas dan VIP

    Lagu yang telah dipilih berkenaan kemudian boleh dimuat turun terus ke sistem infotainmen kereta. Ini membolehkan anda mendengarnya tanpa ganguan walaupun ketika tiada data internet.

    Menurut Proton dalam FAQ sistem ini, jika anda mendengar lagu menggunakan internet, ia akan menelan data pada sistem infotainmen tersebut – secara purata, lagu dengan durasi empat-minit dalam kualiti sederhana akan menggunakan data sekitar 3 MB.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI Mk8 GTC didedahkan – jentera lumba sebenar binaan VW Motorsport Afrika Selatan

    Volkswagen Golf GTI Mk8 GTC didedahkan – jentera lumba sebenar binaan VW Motorsport Afrika Selatan

    Model produksinya baru sahaja didedahkan pada Februari lalu, kini Volkswagen Golf Mk8 telah pun dijelmakan dalam versi jentera lumba sebenar. Ia dihasilkan oleh Volkswagen Motorsport Afrika Selatan untuk berlumba dalam kejohanan Global Touring Cars (GTC) di negara berkenaan, dalam kategori utama GTC1, namun versi produksi sebenar hanya akan dijual di pasaran tersebut pada tahun hadapan.

    Jentera baharu ini dihasilkan untuk menggantikan VW Jetta GTC yang telah digunakan selama empat tahun dan kini tidak lagi dijual dalam pasaran berkenaan, serta Golf Mk8 GTI ini turut dipilih kerana ia adalah model prestasi baharu dari jenama tersebut.

    Lima jenama akan bertanding dalam kejohanan GTC berkenaan, dan kesemua jentera yang berlumba perlu menggunakan komponan casis, suspensi, tayar, unit janakuasa bersama kotak komputer enjin dan juga lain-lain komponen yang sama. Oleh itu, VW Golf Mk.8 GTI GTC ini dijana oleh enjin berkuasa 270 hp dan juga kotak gear enam-kelajuan sequential dari M-Trac yang dihasilkan di Afrika Selatan.

    Volkswagen Golf GTI Mk8 GTC didedahkan – jentera lumba sebenar binaan VW Motorsport Afrika Selatan

    Menurut ketua Volkswagen Motorsport, Mike Rowe, jentera lumba Golf GTI Mk8 GTC baharu ini dihasilkan dengan casis tubular chrome moly yang lebih ringan dan tegar dari jentera GTC generasi sebelumnya.

    “Walaupun hanya lima pengeluar yang bertanding dalam siri GTC, ia adalah salah satu siri perlumbaan litar paling premier di Afrika kerana ia sangat kompetitif. Ia adalah kejuaraan yang sukar untuk dimenangi, jadi mengutip mata dengan konsisten dalam setiap pusingan adalah sangat penting,” tambahnya lagi.

     
     
  • Monorel bakal dapat tujuh tren baharu mulai Mac 2021

    Monorel bakal dapat tujuh tren baharu mulai Mac 2021

    Rapid Rail Sdn Bhd, anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad, yang merupakan pengendali perkhidmatan monorel Rapid KL telah mengesahkan bakal menerima tujuh tren empat gerabak baharu secara berperingkat pada tahun hadapan, sekali gus menjanjikan para penumpang perjalanan yang lebih selesa dan waktu menunggu yang lebih singkat.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya Abdul Hadi Amran berkata set tren itu adalah antara tujuh set tren empat gerabak yang akan dibekalkan oleh Scomi Transit Projects Sdn Bhd kepada Rapid Rail bermula Mac hingga Disember 2021.

    Tujuh set ini merupakan sebahagian daripada 12 set tren empat gerabak yang dibekalkan oleh Scomi dan kini sedang menjalani proses pemeriksaan dan pemasangan komponen-komponen penting di depoh berkenaan sebelum menjalani proses ujian dan persijilan daripada badan-badan berwajib.

    Selain meningkatkan kapasiti khususnya ketika waktu puncak pagi dan petang, tren monorel empat-gerabak baharu berupaya meningkatkan lagi keselesaan para penumpang, di samping mengekalkan kekerapan tren pada purata lima minit. Tren dua-gerabak mempunyai kapasiti 214 penumpang, manakala tren empat-gerabak boleh memuatkan sehingga 430 penumpang.

    Dengan rangkaian sepanjang 8.6km dan 11 stesen yang strategik di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, perkhidmatan monorel, yang dikendalikan oleh Rapid Rail, memberikan keselesaan kepada warga kota untuk bergerak tanpa terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas sambil dapat menikmati keindahan bandaraya Kuala Lumpur.

     
     
  • Honda Civic facelift 2020 duduki carta teratas segmen-C – lebih 6,500 tempahan; 2,900 telah dihantar

    Honda Civic facelift 2020 duduki carta teratas segmen-C – lebih 6,500 tempahan; 2,900 telah dihantar

    Honda Civic facelift 2020 yang dilancarkan pada Februari lalu, kini kekal menduduki carta teratas bagi kenderaan segmen-C. Menurut Honda Malaysia, lebih 2,900 unit Civic telah pun dihantar kepada para pelanggan di seluruh negara, mewakili jangkaan perkongsian pasaran sebanyak 70%.

    Buat masa ini, model Honda ketiga terlaris di Malaysia, dengan bahagian sentral telah menyumbang sebanyak 44% daripada keseluruhan jualan, diikuti 17% dari bahagian selatan dan 15% pula di bahagian utara. Manakala White Orchid Pearl menjadi warna paling popular, dengan 42% pelanggan telah memilih warna berkenaan.

    Sehingga Jun 2020, Honda Malaysia telah merekodkan lebih 6,500 unit tempahan bagi Civic baharu ini, dan tempoh masa menunggu dianggarkan sekitar satu bulan. Jualan juga meningkat hasil pengecualian cukai jualan, yang menyaksikan harga bagi Civic pemasangan tempatan ini turun sehingga RM5,000.

    CEO dan Pengarah Urusan Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, “Walau pun Malaysia sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kebanyakan perniagaan masih terus beroperasi mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh kerajaan. Semua industri, termasuk industri automotif, bersemangat untuk membantu negara menuju ke arah pemulihan ekonomi.”

    GALERI: Honda Civic 1.8S 2020

    GALERI: Honda Civic 1.5 TC Modulo 2020

    GALERI: Honda Civic 1.5 TC-P 2020

     
     
  • Volvo panggil semula 2.18 juta kereta – masalah pada tali pinggang keledar, hanya 5 unit di M’sia terjejas

    Volvo panggil semula 2.18 juta kereta – masalah pada tali pinggang keledar, hanya 5 unit di M’sia terjejas

    Volvo akan memanggil semula sejumlah 2.18 juta kenderaan jenamanya di seluruh dunia berhubung masalah kabel keluli yang mungkin terjejas seterusnya menyebabkan fungsi tali pinggang keledar akan menjadi kurang berkesan, lapor Automotive News Europe.

    Panggilan semula ini akan melibatkan 412,000 unit di Sweden, 308,000 unit di Amerika Syarikat, 245,000 unit di China, 178,000 unit di Jerman, dan 169,000 unit di United Kingdom. Model-model Volvo yang terlibat dalam panggilan semula ini adalah S60, S60L, S60CC, V60, V60CC, XC60, V70, XC70, S80 dan S80L yang dihasilkan dari tahun 2006 hingga 2019.

    Sebanyak lima unit Volvo di Malaysia tersenarai dalam panggilan semula berkenaan di mana kesemuanya adalah model yang diimport ke sini secara persendirian dan untuk kegunaan kedutaan. Walaupun ia tidak dijual oleh pengedar rasmi, kesemua pemilik kereta tersebut turut akan dihubungi terus oleh Volvo pada bulan ini.

    Para pemilik kereta yang terjejas ini akan diminta untuk membawa Volvo mereka ke pengedar terdekat bagi menggantikan kabel keluli tersebut dengan pendakap tetap. Komponen asal dan juga gantian berkenaan kedua-duanya dihasilkan oleh pembekal komponen automotif dari Sweden iaitu Autoliv.

    Volvo turut menyatakan setakat ini masih lagi belum ada kemalangan atau kecederaan dilaporkan disebabkan komponen yang terjejas ini.

    “Kami telah mengesan kabel ini akan haus dan lusuh dalam keadaan tertentu. Ini merupakan masalah yang jarang berlaku. Ini mungkin akan menyebabkan kabel tersebut rosak, menyebabkan fungsi menahan pada tali pinggang keledar tersebut berkurangan,” kata jurucakap Volvo Stefan Elftstrom yang dipetik oleh AP ketika dia bercakap dalam satu siaran radio Sweden.

     
     
  • Kerajaan baharu teruskan projek kereta nasional ketiga – Perodua dan Daihatsu perlu berikan taklimat

    Kerajaan baharu teruskan projek kereta nasional ketiga – Perodua dan Daihatsu perlu berikan taklimat

    Imej bayangan kereta nasional ketiga dihasilkan oleh Theophilus Chin berdasarkan teaser yang ditunjukkan Februari lalu

    Walaupun berlaku kemelut politik yang menyebabkan negara berubah tampuk pemerintahan, projek yang dimulakan oleh kerajaan terdahulu iaitu projek kereta nasional baharu (NNCP) tetap akan diteruskan oleh kerajaan baharu, lapor Berita Harian.

    Perkara ini diumumkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan beliau meminta Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan Daihatsu untuk memberi taklimat serta membentangkan kertas kerja kepada kerajaan mengenai kaedah kedua syarikat automotif itu dapat membantu membangunkan projek tersebut.

    “Ini adalah demi keperluan untuk mengembangkan sektor automotif negara. Saya juga mencadangkan kepada pengurusan (Dreamedge) untuk memberikan taklimat mengenai kemajuan kereta nasional ketiga.

    “Ini kerana kita sudah mengenal pasti platform dan pelaksanaannya. Perkara ini perlu diperjelaskan,” katanya selepas majlis memorandum persefahaman (MoU) antara Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dengan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd, Perodua Suppliers Association (P2SA) dan Perodua Dealers Association (PDA).

    Kerajaan baharu teruskan projek kereta nasional ketiga – Perodua dan Daihatsu perlu berikan taklimat

    Menurut Azmin lagi Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP2020) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamed pada Februari lalu turut akan diteruskan kerana ia adalah agenda dan rangka kerja untuk industri automotif masa hadapan.

    Dalam perkembangan sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata cadangan Menteri Kanan itu akan disempurnakan oleh pihaknya secepat mungkin. Beliau turut menjelaskan cadangan kertas kerja itu juga tidak semestinya merangkumi projek kereta nasional baru sahaja tetapi membabitkan ekosistem industri secara keseluruhan.

    “Kita akan bentangkan kepada kerajaan bagaimana Perodua dapat membantu ekosistem automotif tempatan, bukan saja tertumpu kepada kereta nasional ketiga.

    “Ia merangkumi ekosistem dari tenaga kerja hinggalah teknologi serta vendor,” katanya.

    Teaser dari Dreamedge sendiri yang ditunjukkan pada Februari lalu

    Perkara ini juga selari dengan apa yang dinyatakan oleh CEO MARii Datuk Madani Sahari Mac lalu. Menurutnya NNCP tidak akan dihentikan kerana ia bukan projek yang menerima dana kerajaan, tetapi projek dengan dana swasta, dan NAP 2020 memberikan berberapa insentif untuk projek sebegini.

    Menurut Datuk Madani lagi, DreamEdge mahu mendedahkan prototaip kereta baharu mereka pada acara Malaysia Autoshow 2020 – pada awalnya dirancang akan berlangsung pada April ini, tetapi ditangguhkan ke Julai nanti kerana wabak virus COVID-19 yang masih belum reda.

    Projek NNCP ini disuarakan oleh Tun Dr Mahathir pada Jun 2018, dan selepas berberapa perbincangan dan penilaian, Ogos tahun lalu DreamEdge telah diumumkan untuk menerajui projek ini.

    Kerajaan baharu teruskan projek kereta nasional ketiga – Perodua dan Daihatsu perlu berikan taklimat

    Menerusi apa yang dikongsikan oleh CEO DreamEDGE, Khairil Adri Adnan, ketika pengumuman awalan pada Ogos tahun lalu, syarikatnya setakat ini merancang untuk mengeluarkan sebuah kereta sedan hibrid segmen B besar sebagai model pertama. Teknologi utama yang terlibat di dalam projek ini pula dimaklumkan akan diperoleh atau disokong oleh Daihatsu Jepun. Walau bagaimanapun, teknologi spesifik yang bakal digunakan berkenaan masih belum diperincikan.

    Namun dalam laporan dari Affin Hwang Investment Bank pada Disember 2019, kereta ini akan dijana sama ada dengan enjin pembakaran dalaman konvensional atau unit penjana hibrid petrol elektrik, dan dijangka akan diberikan pelbagai teknologi terkini seperti sistem-sistem terhubung serta teknologi bantuan pemanduan. DreamEdge tidak mempunyai kilang sendiri, tetapi ia akan dihasilkan secara kontrak, dengan khabar menyatakan bahawa ia akan dibina oleh subsidiari Daihatsu iaitu Perodua.

    Konsep rekaan dan pembangunan projek ini akan diterajui oleh DreamEdge, bersama rakan teknologinya iaitu Daihatsu – yang telah mengesahkan pembabitannya pada Oktober lalu – yang akan membangunkan unit janakuasa serta membekalkan platform. Walau bagaimanapun, DreamEdge telah menegaskan dalam mesyuarat dengan Affin Hwang berkenaan kereta tersebut bukan satu lagi model rebadge Daihatsu.

    Kerajaan baharu teruskan projek kereta nasional ketiga – Perodua dan Daihatsu perlu berikan taklimat

    Menurut laporan dari Affin Hwang lagi, garis masa pendedahan kereta ini juga telah dirombak semula – prototaip penuh kereta ini akan didedahkan pada pertengahan tahun 2020, manakala produksi penuh akan berjalan pada separuh pertama 2022 – lebih lewat setahun dari yang dijangka. DreamEdge turut mensasarkan untuk menjual sekurang-kurangnya 3,000 unit kereta ini pada tahun pertama produksinya nanti.

    Ketika majlis pelancaran Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 bulan lalu, DreamEdge telah pun meletakkan teaser prototaip kereta berkenaan untuk tatapan orang ramai – diletakkan dalam kotak gelap dan hanya mendedahkan bahagian lampu hadapan dan belakang.

    DreamEdge menyifatkan kereta ini sebagai “akan memberikan keseronokan memandu, mesra keluarga, penggunaan bahan api yang sangat jimat dan bernilai untuk wang,” dan ” menerima rekaan moden dan furistik, lengkap dengan fungsi terhubung terkini dan juga sistem bantuan pemanduan terkini,” serta “akan dihasilkan dan meningkatkan kebolehan R&D tempatan, meningkatkan kebolehan jurutera tempatan dan mewujudkan bakat yang berkemahiran tinggi.”

     
     
  • BMW Motorrad perkenalkan Active Cruise Control untuk motosikal – boleh kawal jarak secara automatik

    BMW Motorrad perkenalkan Active Cruise Control untuk motosikal – boleh kawal jarak secara automatik

    Sistem cruise control yang bukan sahaja boleh membantu kenderaan mengekalkan kelajuan secara sendiri, tetapi juga boleh mengawal jarak dengan kenderaan di hadapan sudah lama ditawarkan pada kereta tetapi pada motosikal ia masih belum lagi menjadi satu kebiasaan.

    Kini, BMW Motorrad menyatakan mereka sudah membangunkan sistem yang digelar sebagai Active Cruise Control bersama Bosch, dan tidak lama lagi akan memberikan penunggang satu pengalaman baru yang lebih selesa.

    Sistem ACC ini boleh dikawal oleh penunggang menggunakan butang yang terdapat di bahagian kiri pemegang dan tanda operasinya akan ditunjukkan pada panel instrumen TFT di hadapan bagi memudahkan pengguna. Walaubagaimanapun, ACC ini hanya boleh dipakai untuk mengesan kenderaan yang bergerak dan bukannya yang berhenti terus.

    BMW Motorrad perkenalkan Active Cruise Control untuk motosikal – boleh kawal jarak secara automatik

    Setelah menetapkan kelajuan yang dimahukan, penunggang juga boleh menetapkan jarak dengan kenderaan di hadapan dan setelah itu, melalui unit radar yang dipasang, sistem ini akan mengekalkannya selagi tidak dipadamkan (boleh dipadam oleh penunggang pada bila-bila masa dengan menekan butang, mengawal pendikit atau membrek).

    Bagi mengikut jarak yang telah ditetapkan, sekiranya kenderaan di hadapan bergerak lebih perlahan, sistem ini juga akan membrek sendiri supaya jarak tersebut masih sama. Jarak motosikal dengan kenderaan hadapan boleh dipilih dalam tiga tahap.

    Selain daripada itu, pengguna juga boleh memilih dua lagi tetapan untuk ACC ini iaitu Comfortable atau pun Dynamic, di mana kedua-duanya mempunyai karekter kawalan yang berbeza. Sekiranya ada selekoh pula, sistem ini akan memperlahankan sedikit motosikal supaya bersesuaian dengan sudut condong motosikal yang selamat.

     
     
  • Suzuki Across 2021 kini ditampilkan — RAV4 PHEV

    Suzuki Across 2021 kini ditampilkan — RAV4 PHEV

    Kerjasama Toyota-Suzuki nampaknya telah membuahkan hasilnya yang pertama. Perkenalkan, Suzuki Across 2021, sebuah SUV segmen C yang menggunakan asas daripada Toyota RAV4. Buat masa ini, Suzuki Across hanya ditawarkan dalam versi plug-in hibrid, menggunakan teknologi yang sama pada RAV4 Prime.

    Dari segi rekaan, Across wajah depan Across lebih banyak lengkungan dengan lampu utama LED yang lebih tirus, DRL LED yang unik serta gril bentuk hexagon. Model paling lengkap ini menggunakan rim 19-inci aloi, dengan enam pilihan warna badan – White Pearl Crystal Shine, Silver Metallic, Attitude Black Mica, Sensual Red Mica, Grey Metallic dan Dark Blue Mica. Aspek luaran yang lain kekal seperti RAV4 asal.

    Bahagian dalaman juga dipinjam sepenuhnya seperti yang ada pada RAV4. Perbezaannya cuma lencana pada stereng menggunakan nama Suzuki. Di tengah, sebuah paparan skrin sentuh sembilan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta fungsi Mirrorlink bagi telefon yang serasi. Turut ada ciri pintar tanpa kunci, Push Start, kluster instrumen Optitron, kawalan pendingin hawa dua zon dengan corong belakang serta tempat duduk balutan kulit sebagai standard.

    Suzuki Across 2021 kini ditampilkan — RAV4 PHEV

    Across dijana oleh sistem kuasa yang sama pada RAV4 Prime – terdiri daripada enjin 2.5 liter A25A-FXS Dynamic Force kitaran Atkinson, menghasilkan 176 hp dan 228 Nm. Enjin ini disertai oleh motor elektrik berkuasa untuk menghasilkan 302 hp, membolehkan SUV ini memecut 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat.

    Bateri lithium-ion berkapasiti tinggi 18.1kWh (50.9 Ah) pula menawarkan jalan perjalanan elektrik sepenuhnya sejauh 60 km (kitaran WLTP). Ia juga menerima sistem 4×4 elektronik E-Four dari Toyota, yang menggunakan motor 40 kW sendiri di belakang yang berfungsi bersama motor depan untuk mengagihkan nisbah tork depan:belakang antara 100:0 hingga 20:80.

    Ciri keselamatan juga mantap. Across datang lengkap dengan bantuan seperti Pre-Collision System (PCS), Lane Tracing Assist (LTA) dan Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) sebagai ciri standard, serta termasuk fungsi Road Sign Assist (RSA), Blind Spot Monitor (BSM) dan Rear Crossing Traffic Alert (RCTA). Pasaran Eropah akan menerima model ini pada penghujung September 2020.

     
     
  • Citroen C4 2021 – gaya tersendiri, ada varian elektrik

    Citroen C4 2021 – gaya tersendiri, ada varian elektrik

    Citroen kembali ke dalam pasaran hatchback segmen C apabila memperkenalkan C4 baru untuk menggantikan C4 Cactus. Model ini banyak mendapat gaya rekaan sebuah SUV serta cermin belakang menjunam yang dikatakan mengambil inspirasi daripada model GS tahun 70-an.

    Kedudukan kenderaan ini ditinggikan sedikit menjadi 156 mm dari tanah sementara panjang adalah 4,360 mm, lebar 1,800 mm, tinggi 1,525 mm dan jarak roda 2,670 mm. Rupanya pula cukup unik dengan lampu bertingkat dan pencahayaan LED yang membentuk seperti panah di depan dan belakang.

    Pergi ke bahagian tepi, C4 baru masih menggunakan kemasan plastik di keliling lengkung roda dan bawah pintu sebagai perlindungan tambahan sementara spoiler di bahagian belakang pula membahagikan cermin belakang kepada dua bahagian. Rekaan ini menurut Citroen mengingatkan kembali kepada model asal C4 Coupe.

    Walaupun bahagian luar kenderaan ini agak unik, bahagian dalamnya pula lebih ringkas dan tidak begitu menonjol. Pada bahagian tengah papan pemuka terdapat skrin infotainmen kapasitif 10 inci manakala di hadapan pemandu pula terdapat satu lagi skrin instrumen digital. Kawalan pendingin hawa yang sebelum ini menggunakan skrin sesentuh telah ditukar kembali menggunakan tombol biasa.

    Tempat duduk Advanced Comfort pada C4 baru ini menggunakan rekaan fabrik baru manakala stereng yang mempunyai bahagian atas dan bawah yang rata pula dipasang dengan pedal penukar gear baru. Bahagian but boleh memuatkan barangan sehingga 380 liter dan apabila tempat duduk dilipat, ia menyediakan ruang 1,250 liter.

    Satu ciri baru yang menarik pada C4 ini adalah Dashboard Tray. Ia boleh digunakan bersama Smart Pad Support untuk meletakkan tablet atau pad bagi kegunaan penumpang hadapan, namun kami tidak pasti bagaimana pula kesannya kepada operasi beg udara yang terletak di belakangnya. Pembeli juga boleh mendapatkan kereta ini dengan kelengkapan lain seperti bumbung panoramik, head-up display, pengecas Qi, perakam video dan pemanas pada roda stereng.

    Citroen C4 2021 – gaya tersendiri, ada varian elektrik

    Pilihan enjin yang disediakan pada C4 baru ini terdiri daripada unit petrol tiga silinder 1.2 liter Puretech turbo dalam tiga talaan iaitu 100 hp, 130 hp dan 155 hp manakala satu lagi enjin adalah diesel empat silinder 1.5 liter BlueHDi turbo 110 hp atau 130 hp. Kedua-dua enjin ini boleh dipilih dengan transmisi manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan.

    Melalui C4 ini juga, Citroen buat pertama kalinya akan menawarkan model elektrik penuh pada kenderaan penumpang mereka, dan ia dipanggil sebagai ë-C4. Model ini digerakkan oleh motor elektrik 136 hp/260 Nm yang mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 50 kWh dan mampu memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.7 saat dan laju maksimum 150 km/j. Dengan cas penuh, ia boleh pergi sehingga 350 km.

    Apabila menggunakan pengecas AC single phase, baterinya akan mengambil masa tujuh jam setengah untuk penuh manakala apabila menggunakan pengecas three phase 11 kW pula ia memerlukan masa lima jam. Jika menggunakan pengecas pantas DC 100 kW di stesen pengecas awam pula, jarak penggunaan 10 km akan meningkat bagi setiap minit dan mencapai tahap 80% dalam masa 30 minit.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024