Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda CRF450L, CRF250RX 2019 terima peningkatan

    Honda CRF450L, CRF250RX 2019 terima peningkatan

    Baru-baru ini ketika acara MXGP di Belanda, Honda memperkenalkan barisan motosikal dengan kemaskini bagi tahun 2019 – yang dimaksudkan ialah Honda CRF450L dan CRF250RX 2019, disertai juga dengan barusan motosikal CRF enduro yang lain. Untuk menawarkan ketahanan dan kemudahan penggunaan dalam cara tunggangan dual-purpose, model CRF450L menggunakan asas yang sama dari moto-cross CRF450R.

    Sah sepenuhnya untuk penggunaan di atas jalan raya dan turut dilengkapi dengan tongkat, CRF450L mempunyai tangki minyak yang lebih besar untu memberikan lebih jarak tunggangan. Selain itu, ia turut dilengkapi lampu LED dan enjin silinder tunggal yang ditala untuk memberikan lebih kuasa pada rpm yang lebih rendah. Jarak servis enjin ini adalah setiap 32,000 km.

    Lagi model baru dalam genre yang sama dari Honda ialah model CRF250RX yang menggunakan CRF250R sebagai asas awalnya. Model ini direka untuk tunggangan litar cross tertutup. Sama seperti CRF450L, CRF250RX didatangkan dengan rim belakang 18-inci, tangki minyak dengan kapasiti 8.5 liter serta launch control tiga peringkat dari HRC.

    Honda CRF450L, CRF250RX 2019 terima peningkatan

    Dua lagi model CRF450R dan CRF450RX juga dilengkapi dengan launch control tiga peringkat yang sama dari HRC serta pemegang Renthal. CRF450R menerima penambahan janaan 2.5 hp dan 2 Nm hasil daripada bahagian cylinder head, bahagian kemasukan udara serta ekzos yang diperkemas.

    Bagi kemaskini 2019, Honda CRF250R menerima power pump di bahagian bawahnya melalui penggunaan throttle body dengan diameter 2 mm lebih kecil serta bahagian cam, profil kemasukan udara dan ekzos yang dipertingkat. Honda CRF250R turut menerima ciri launch control tiga peringkat HRC sebagai tambahan kepada tiga mod tunggangan sedia ada. Ia juga dilengkapi dengan kaliper brek dua-piston baru, pemegang boleh laras Renthal serta rim hitam.

     
     
  • Mazda 3 2019 – imej illustrasi luar dan dalam tersebar

    Mazda 3 2019 – imej illustrasi luar dan dalam tersebar

    Mazda 3 generasi berikutnya dikhabarkan bakal membuat kemunculan sulungnya di Los Angeles Auto Show Disember ini, namun portal Carscoops sudahpun memperolehi berberapa illustrasi model berkenaan dan menyiarkannya di laman mereka.

    Illustrasi tersebut berkemungkinan adalah dari buku manual pemilik, brosur ataupun katalog alat ganti, dan ia memaparkan imej lengkap rekaan bahagian luaran dan dalaman. Mazda 3 2019 ini nampaknya menampilkan banyak ciri yang diambil dari model Kai Concept yang muncul pada Tokyo Motor Show tahun lalu.

    Muka Mazda 3 terbaharu ini hampir seiras dengan Mazda 6 facelift, diberikan gril hadapan dengan kemasan keliling yang tebal, serta lampu hadapan yang lebih tirus. Penutup bonet hadapan pula tidak dilunjurkan terus hingga ke gril dan lampu hadapan, sebaliknya dianjak kebelakang sedikit, seperti Mercedes-Benz A-Class generasi baharu.

    Model generasi berikutnya tersebut masih mengekalkan bentuk asas Mazda 3 sedia ada jika dilihat dari sisi – menampilkan bonet hadapan yang panjang dan bahagian belakang yang pendek. Di belakang pula, lampu tirus ‘two-piece’ masih kekal, namun dia diberikan grafik dua gelang di dalamnya seperti pada model konsep Kai. Kedudukan nombor pendaftaran pula dipindahkan ke bahagian bampar.

    Papan pemuka baharu diberikan pada bahagian kabin dengan paparan instrumen (berkemungkinan dari jenis digital) diapit oleh liang penghawa dingin, manakala suis kawalan dan juga liang udara untuk penumpang terletak pada tingkat tengah. Skrin infotaimen pula kini diletakkan berdiri pada bahagian tengah atas.

    Mazda 3 2019 ini bukan sekadar berubah dari segi rupa. Menurut Mazda, mereka akan membekalkan pelbagai perubahan teknologi menerusi model berkenaan, terutamanya penggunaan enjin petrol SkyActiv-X, iaitu enjin dengan gabungan teknologi sistem nyalaan pencucuhan dengan sistem nyalaan mampatan seperti enjin diesel bagi memberikan kadar efisien yang lebih tinggi. Ia juga dibina berasaskan platform baharu yang lebih tegar, namun sistem suspensi multilink di belakang akan digantikan dengan torsion beam yang didakwa akan meningkatkan keselesaan dan pengendalian.

    GALERI: Mazda Kai Concept di Tokyo Motor Show 2017

     
     
  • Toyota Passo facelift terima gril hadapan yang besar

    Toyota Passo facelift terima gril hadapan yang besar

    Diperkenalkan pada 2016, Toyota Passo telah pun diberikan peningkatan yang sederhana, dengan penambahbaikan yang lebih estetika. Perubahan yang lebih besar hanyalah untuk model Moda yang lebih bergaya, di mana ia menerima gril hadapan yang besar, lampu kabus berbentuk-L dan warna baharu Brilliant Copper Crystal Mica sebagai pilihan.

    Model pertengahan G Package juga menerima pakej luaran pilihan termasuk roda aloi 10-jejari baharu, lampu posisi LED tambahan pada lampu kabus, upholstery kulit separuh sintetik dan tombol gear balutan kulit. Sementara itu, model standard X pula tidak berubah, dengan jaluran perak pada bahagian gril sebagai satu-satunya elemen tambahan baharu.

    Toyota Passo facelift terima gril hadapan yang besar

    Selain itu, Toyota turut menambah sistem keselamatan aktif baharu Smart Assist III, di mana ia merangkumi pengesan pejalan kaki untuk sistem brek kecemasan sendiri (AEB) dan lampu tinggi auto. Pengesan parkir hadapan dan belakang juga diletakkan sebagai ciri standard, sementara sistem kamera 360-darjah ditawarkan secara pilihan bagi varian Moda dengan sistem navigasi.

    Bahagian mekanikal tidak berubah, Passo masih dijanakan enjin yang sama iaitu 1.0 liter 1KR-FE tiga-silinder petrol seperti sebelum ini, dengan hamburan kuasa 69 PS pada 6,000 rpm dan 92 Nm pada 4,400 rpm serta dipadankan dengan transmisi CVT sahaka. Pilihan sama ada pacuan semua- atau roda-hadapan juga ditawarkan.

     
     
  • Toyota C-HR kolaborasi Adidas Japan untuk Thailand

    Toyota C-HR kolaborasi Adidas Japan untuk Thailand

    Toyota Thailand telah bekerjasama dengan Adidas Japan untuk menghasilkan barisan produk dengan pertukaran jenama antara kenderaan Toyota C-HR dan barangan sukan Adidas. Tema untuk produk istimewa ini adalah “Disrupt to Create”.

    Pada C-HR, “rekaan inspirasi Adidas” digunakan padanya dan dihasilkan dalam dua warna iaitu hitam dan putih, dengan bahagian bawah bawah kenderaan tersebut dicat warna kontras seperti kasut Adidas.

    Kedua-duanya juga menggunakan rim berwarna hitam dengan bunga dalamnya berwarna putih, jalur merah pada bahagian bawah side skirt dan bampar, serta grafik jalur pada bahagian fender serta pintu belakang. Logo Adidas boleh dilihat berada di bawah lencana C-HR di tepi dan berhampiran lampu belakang.

    Setakat ini tidak dinyatakan sama ada C-HR Adidas ini akan dijual atau tidak, tetapi kolaborasi antara dua syarikat ini juga telah menghasilkan 1,200 set barangan Adidas dengan penjenamaan C-HR yang pastinya menarik perhatian pemilik crossover ini. Dalam set itu terdapat sepasang kasut Adidas Adizero Japan Boost, jaket Adidas Climalite dan beg galas 30 liter. Untuk kasut terdapat pilihan warna hitam atau putih tetapi barangan lain semuanya hitam sahaja.

    Di Thailand, C-HR ditawarkan dengan sama ada enjin 1.8L NA (seperti negara kita) atau hibrid 1.8L. Harganya pula bermula dari 979,000 baht (RM124,393) hingga 1.159 juta baht (RM147,327). Untuk mengetahui bagaimana pemanduan kenderaan ini, baca laporan pandu uji kami di sini.

     
     
  • Mitsubishi Malaysia catat pertumbuhan jualan untuk tempoh separuh pertama tahun kewangan 2018

    Mitsubishi Malaysia catat pertumbuhan jualan untuk tempoh separuh pertama tahun kewangan 2018

    Mitsubishi Motor Malaysia (MMM) hari ini mengumumkan bahawa prestasi jualan mereka untuk separuh pertama tahun kewangan (FY 2018) syarikat berkenaan iaitu dari April hingga September mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan. Dalam tempoh tersebut, MMM telah berjaya menghantar sejumlah 4,788 unit kenderaan kepada pelanggannya, atau 66% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu (FY 2017).

    Angka jualan yang meningkat mendadak ini disumbangkan oleh dua modelnya iaitu trak pikap Mitsubishi Triton dan juga SUV segmen-C Outlander. Triton berjaya dijual sebanyak 3,120 unit manakala Outlander pula dijual sebanyak 1,345 unit. Catatan jualan untuk kedua-dua model ini juga dilihat sangat signifikant dimana peningkatannya adalah sebanyak 482% berbanding April-September FY 2017.

    “Lewat tahun lalu, kami telah mengatur semula varian dalam barisan model Triton bagi memberikan keuntungan kepada pelanggan kami bukan sahaja dalam aspek pengendalian, prestasi dan keselamatan, malah turut termasuk harga yang lebih mampu milik bagi memenuhi permintaan pelanggan yang berbeza-beza. Hasil jualan yang positif ini turut disumbangkan oleh tempoh cuti cukai dari Jun-Ogos 2018,” kata CEO MMM Tomoyuki Shinnishi.

    Mitsubishi Malaysia catat pertumbuhan jualan untuk tempoh separuh pertama tahun kewangan 2018

    “Kami juga sukacita untuk berkongsi bahawa Triton masih lagi, satu-satunya pikap yang menawarkan waranti sehingga 200,000 km atau lima tahun. Ini bermaksud pelanggan kami boleh berjalan lebih jauh dengan lebih ketenangan fikiran,” tambahnya.

    Bagi Outlander pula, pengenalan SUV berkenaan dalam versi CKD September tahun lalu – bermula dengan model 2.0 liter AWD dan model 2.4 liter AWD pada Januari 2018 – juga antara sebab mengapa SUV tersebut mencatatkan prestasi jualan yang begitu baik.

    “MMM secara keseluruhan dilihat sangat positif pada masa depan. Kami berterima kasih kepada pelanggan untuk sokongan mereka terhadap jenama Mitsubishi. Untuk keyakinan dan kepuasan pelanggan terhadap produk dan servis kami, MMM komited untuk terus memberikan hanya yang terbaik,” jelas Shinnishi.

     
     
  • Jaguar E-Pace bakal muncul di M’sia pada PACE 2018

    Jaguar E-Pace bakal muncul di M’sia pada PACE 2018

    SUV kompak Jaguar yang lebih kecil dari F-Pace iaitu E-Pace bakal di prebiu untuk pasaran Malaysia semasa berlangsungnya Premium Auto Car Expo (PACE) 2018 di Pusat Konvensyen Setia City bermula 3 hingga 4 November ini. Model yang telah diperkenalkan pada Julai tahun lalu tersebut merupakan wakil Jaguar untuk berhadapan dengan model-model seperti Audi Q3, BMW X1` dan Mercedes-Benz GLA.

    Walaupun ia adalah sebuah SUV, rekaan luaran E-Pace ini sebenarnya diinsprasikan dari kereta sport ikonik Jaguar iaitu F-Type terutamanya pada bahagian lampu dan gril hadapan serta lampu belakang. Berbanding F-Pace, adiknya ini menampilkan rupa yang lebih bulat, manakala dari segi saiz pula E-Pace direka dengan dimensi 4,395 mm panjang (jarak roda 2,681 mm) berbanding abangnya 4,731 mm panjang (jarak roda 2,874 mm).

    Walaupun kecil, kabin E-Pace ini tetap sebuah Jaguar sebenar dengan penampilan sistem infotaimen Touch Pro bersama skrin sesentuh 10.1-inci, paparan instrumen digital 12.3-inci dan juga panel kawalan penghawa dingin seperti pada Range Rover Velar.

    Bagi pasaran global, E-Pace ditawarkan dengan pilihan enjin diesel dan petrol. Namun untuk pasaran Malaysia, ia berkemungkinan besar hanya diberikan pilihan enjin petrol iaitu 2.0 liter turbo Ingenium. Enjin ini juga pada pasaran lain ditawarkan dalam dua talaan; sama ada 249 PS/365 Nm atau 300 PS/400 Nm, digandingkan bersama kotak gear sembilan-kelajuan automatik ZF dan sistem AWD. Manakala di Thailand, E-Pace hadir dengan enjin 2.0 liter Ingenium turbodiesel (150 PS/365 Nm) bersama transmisi yang sama.

    GALERI: Jaguar E-Pace

     
     
  • VPCM lancarkan program kesetiaan Volkswagen Cares

    VPCM lancarkan program kesetiaan Volkswagen Cares

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah melancarkan satu program kesetiaan pelanggan yang dipanggil sebagai “Volkswagen Cares”. Kunci utama untuk inisiatif ini adalah aplikasi Volkswagen Cares yang menggunakan platform baru untuk meningkatkan servis selepas jualan, mendekati pelanggan dan meningkatkan lagi pengalaman pemilikan kenderaan Volkswagen.

    Aplikasi ini datang dengan pelbagai ciri untuk servis jualan dan selepas jualan, yang termasuk tawaran servis, ganjaran untuk pemilik, video pembelajaran dan tips, kemas kini acara dan khidmat bantuan tepi jalan 24 jam. Aplikasi ini boleh didapati untuk kedua-dua platform iOS dan Android, dan boleh dimuat turun oleh sesiapa sahaja untuk mendapatkan pelbagai tawaran, menonton video dan pelbagai ciri lain.

    Satu lagi perkara penting dalam Volkswagen Cares adalah Volkswagen Care Plus (VCP), iaitu satu program untuk pemilik kenderaan Volkswagen yang sudah berusia lima tahun ke atas. Dengan sekali bayaran RM138, ahli VCP akan mendapat manfaat termasuk baucar diskaun servis 20%, sambungan bantuan tepi jalan dua tahun dan baucar barangan RM100. Mereka yang berminat boleh mendaftar di mana-mana pengedar Volkswagen dan akan menerima kad keahlian.

     
     
  • “Lexus Alphard” – MPV yang lebih mewah, selesa bakal dihasilkan dan ditawarkan untuk pasaran Asia?

    “Lexus Alphard” – MPV yang lebih mewah, selesa bakal dihasilkan dan ditawarkan untuk pasaran Asia?

    Toyota Alphard sememangnya direka sebagai MPV yang lebih mewah dari model MPV-MPV lain dalam pasaran. Namun divisi mewah Toyota -Lexus- menyatakan mereka berhasrat untuk menghasilkan Alphard dalam versi mereka kerana setakat ini Lexus hanya mempunyai sedan dan SUV dalam barisan model-modelnya.

    MPV mewah berkenaan disasarkan akan dibawa ke pasaran terpilih, khususnya Asia. Dalam laporan Auto Industriya, Presiden Lexus Manila Raymond Rodriguez menyatakan bahawa hanya masa yang akan menentukan bila Lexus bakal melancarkan MPV tersebut. “[Toyota] Alphard versi Lexus sebenarnya dalam senarai apa yang saya mahukan,” katanya.

    Jika dilihat dari sudut pasaran Filipina, Rodriguez berkata “Lexus Alphard” bakal menjadi produk hangat dikalangan pelanggan, berdasarkan angka jualan dan tempoh menunggu Toyota Alphard itu sendiri. MPV dari Lexus yang dibina jauh lebih mewah dan selesa bakal membolehkan Lexus Manila mengambil sebahagian pasaran van-van dari Mercedes-Benz.

    Buat masa sekarang, tiada lagi bayangan imej-imej lakaran mahupun unit prototaip muncul bagi menandakan MPV Lexus berkenaan sedang di bina. Namun sekiranyaia benar-benar muncul, anda boleh bayangkan bagaimana spesifikasi Alphard tersebut berdasarkan model-model Lexus sedia ada.

     
     
  • KLIMS 2018: Kembali selepas lima tahun – tiket RM20 tawar hadiah Toyota C-HR, Honda City, Perodua Myvi

    KLIMS 2018: Kembali selepas lima tahun – tiket RM20 tawar hadiah Toyota C-HR, Honda City, Perodua Myvi

    hdr

    Pameran Permotoran Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) akan membuat penampilan semula tahun ini selepas lima tahun menyepi. Kali terakhir ia dianjurkan ialah pada tahun 2013 lalu.

    Bertemakan “Beyond Mobility” untuk kali ini, KLIMS18 akan menjadi pentas pelancaran pelbagai kenderaan penumpang, motosikal, kereta konsep, kenderaan perdagangan dan produk-produk automotif lainnya, seperti yang dijelaskan oleh Presiden Persatuan Automtotif Malaysia, Datuk Aishah Ahmad.

    Pameran ini akan berlangsung dari 23 November higga 2 Disember 2018, bertempat di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Jalan Duta. Pintu akan dibuka bermula dari 11 pagi hingga 10 malam pada hari biasa, sementara pada hujung minggu pula pada 10 pagi hingga 10 malam.

    KLIMS 2018: Kembali selepas lima tahun – tiket RM20 tawar hadiah Toyota C-HR, Honda City, Perodua Myvi

    Dengan tiket masuk RM20 (hari biasa) dan RM25 (hujung minggu) yang dikenakan, setiap pengunjung akan berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik yang ditawarkan, antaranya sebuah Toyota C-HR, Honda City dan Perodua Myvi.

    Pelajar dan kanak-kanak di bawah 12 tahun pula hanya akan dikenakan tiket RM5 sepanjang tempoh pameran berlangsung. Bagi yang datang bersama keluarga; jika ada anak-anak seramai lima orang yang berusia 12 tahun ke bawah, pakej keluarga RM40 atau RM50 (hujung minggu) ada ditawarkan.

    “Pengunjung ke KLIMS18 akan menikmati sebuah pameran yang berbeza jika dibandingkan dengan penganjurannya yang sebelum ini. Banyak tarikan terbaru seperti kenderaan yang dibangunkan serta dibayangkan oleh pelajar-pelajar di pusat pengajian tinggi, pameran kenderaan eksotik, limosin terpanjang di Malaysia dan kenderaan kustom tempatan. Tempat baru bagi acara ini di MITEC juga akan membawakan kelainan tersendiri,” ujar Aishah.

    KLIMS 2018: Kembali selepas lima tahun – tiket RM20 tawar hadiah Toyota C-HR, Honda City, Perodua Myvi

    Jika anda ingin membeli tiket awal untuk merancang kunjungan ke pameran ini, tiket-tiket telah mula dijual secara atas talian melalui Air Asia Red Tix. Dengan cara ini, pengunjung juga layak mendapat satu penyertaan bagi cabutan bertuah yang akan diadakan setiap dua minggu untuk memenangi tiket pergi balik AirAsia ke Bangkok, Hong Kong, Bali, Taipei, Jakarta dan Shanghai.

    Di samping itu, setiap pembelian tiket masuk ke KLIMS’18 secara dalam talian juga layak menyertai cabutan utama untuk tiket pergi balik AirAsia ke Tokyo. Jadi, macam mana? Sudah boleh merancang untuk datang dan memeriahkan acara ini nanti dan siapa tahu anda bernasib baik untuk memenangi hadiah-hadiah yang ditawarkan.

     
     
  • Melaka akan dipertimbang sebagai pusat operasi kereta nasional ketiga – Kerajaaan Persekutuan

    Melaka akan dipertimbang sebagai pusat operasi kereta nasional ketiga – Kerajaaan Persekutuan

    Seperti yang diketahui, kerajaan sedang serius terhadap projek kereta nasional baharu (NNCP) yang dijangka bakal muncul pada tahun 2020. Pastinya, projek ini memerlukan asas untuk bertapak, dan untuk itu Melaka telah menawarkan diri bagi dijadikan hab produksi projek tersebut.

    Kerajaan persekutuan akan mempertimbangkannya, kata Menteri Pembangunan Usahawan, YB Mohd Redzuan Yusof yang turut menambah bahawa lokasi yang dipilih haruslah mempunyai infrastruktur dan usahawan yang cukup. “Di Melaka, saya rasa Alor Gajah adalah tempat yang sesuai,” katanya kepada wartawan pada Sabtu lalu.

    Mohd Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah (juga di mana terletaknya kilang Honda Malaysia) menyatakan bahawa dua syarikat yang tersenarai dalam projek NNCP ini juga beroperasi di Melaka iaitu; syarikat penyelidikan komposit dan aero angkasa Composites Technology Research Malaysia (CTRM) dan pengeluar semikonduktor SilTerra.

    “Jika lebih usahawan Melaka mahu membangun bersama, ia boleh jadi salah satu destinasi yang boleh dipromosikan kepada pelabur, tetapi terpulang kepada pelabur-pelabur bagi membuat keputusan dan kami tidak boleh memaksa mereka. Apa yang ada dalam negeri adalah sesuai dengan kereta nasional baharu, yang mana akan menggunakan material-material yang lebih maju,” katanya.

    Melaka akan dipertimbang sebagai pusat operasi kereta nasional ketiga – Kerajaaan Persekutuan

    “Untuk projek kereta nasional baharu ini, kita telah pun mempunyai industri sesuai yang boleh dibangunkan kepada hab industri automotif,” kata pengerusi komiti industri, perdangangan dan pelaburan Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen, dan turut menambah bahawa kerajaan negeri kini sedang membuat persediaan bagi membawa wakil kerajaan pusat untuk melawat lokasi sesuai atau menghantar wakil negeri ke Putrajaya bagi menerangkan pilihan yang ada di Melaka.

    Awal bulan ini, Mohd Redzuan telah pun mengumumkan garis masa bagi projek kereta nasional ketiga ini di mana nama bagi kereta berkenaan akan diumumkan akhir tahun ini, manakala prototaipnya akan dijangka akan disiapkan pada awal tahun hadapan, dan kemunculannya model produksinya akan keluar pada tahun 2020. Kereta tersebut dijangka akan menampilkan kebolehan semi-autonomous serta ciri-ciri keselamatan terkini, dan masih dikategorikan sebagai mampu milik.

    Pengumuman projek NNCP ini adalah serentak jemputan Kementerian Perdangangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kepada sektor swasta untuk projek berkenaan, dan hari terakhir untuk menghantarnya adalah hari ini. Menterinya, Darell Leiking mengatakan bahawa NNCP ini akan menyaksikan penglibatan ASEAN dan tidak akan bersaing dengan Proton dan Perodua minggu lalu.

     
     
  • Ducati Multistrada 1260 Enduro sedia lebih kepuasan

    Ducati Multistrada 1260 Enduro sedia lebih kepuasan

    Pada tahun 2016, Ducati telah memperkenalkan buat pertama kali versi Enduro bagi Multistrada mereka, dan sehingga kini trend itu diikuti. Terbaru, versi Enduro untuk Multistrada 1260 pula diperkenalkan. Daripada namanya, anda boleh tahu ini adalah sebuah motosikal yang menggunakan asas daripada Multistrada 1260, yang dilancarkan di negara kita beberapa minggu yang lepas.

    Oleh itu, kelebihan utama Multistrada 1260 Enduro berbanding model sebelum ini sudah tentu adalah enjinnya, di mana ia menggunakan unit 1262 cc Testastretta DVT yang mempunyai kuasa 158 hp/129.5 Nm tork dan ia mempunyai pelbagai peningkatan yang menjadikannya lebih lancar dan berkuasa pada tahap rpm rendah.

    Pemilik juga dapat menikmati penukaran gear yang lancar pada transmisi enam kelajuan Multistrada 1260 Enduro ini tanpa menggunakan klac kerana ia dilengkapi dengan Ducati Quick Shift (DQS) yang boleh digunakan untuk turun dan naik gear. Turut disediakan adalah pilihan mod tunggangan untuk memastikan kawalan yang mudah mengikut keadaan.

    Sistem elektronik lain yang diberikan secara standard pada Multistrada 1260 Enduro adalah termasuk Bosch Cornering ABS, Cornering Lights, Wheelie Control, Traction Control dan Vehicle Hold Control, manakala panel instrumen pula menggunakan skrin TFT 5.0 inci yang lengkap dengan Ducati Multimedia System (DMS) dan juga boleh disambung kepada Ducati Link App.

    Untuk model baru ini, Ducati turut mengubah ergonomiknya, dengan bahagian pemegang, tempat duduk dan jarak dari tanah yang lebih rendah, manakala suspensi Sachs elektronik semi aktifnya juga dilaras kembali untuk memberikan lebih keselesaan dan kepuasan kepada pelbagai jenis penunggang di pelbagai tempat.

    Sebagai sebuah model Enduro, sudah tentu model ini menggunakan rim jenis lidi – 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dan didatangkan dengan tangki bahan api 30 liter. Multistrada 1260 Enduro hanya akan didedahkan di depan khalayak ramai waktu pameran EICMA di Milan, dan memasuki pasaran awal tahun 2019. Ada dua warna yang ditawarkan untuknya iaitu merah dan coklat cair.

     
     
  • Volkswagen perkenal edisi khas ‘JOIN’ untuk Polo, Vento, Tiguan dan Passat – hanya dijual di Lazada

    Volkswagen perkenal edisi khas ‘JOIN’ untuk Polo, Vento, Tiguan dan Passat – hanya dijual di Lazada

    Sempena berlangsungnya Volkswagen Fest di Setia Alam minggu ini, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan edisi khas ‘JOIN’ untuk model hatchback Polo, sedan segmen-B Vento, SUV Tiguan dan juga sedan segmen-D Passat.

    JOIN ini sebenarnya adalah pakej aksesori dan ia hanya boleh di tambah jika anda memilih Polo, Vento Comfortline dan Highline, Tiguan Highline dan Passat Comfortline. Untuk Polo, ia akan diberikan aksesori JOIN yang terdiri dari scuff plate sisi, kemasan pada penutup bonet belakang, spoiler belakang berwarna hitam, kemasan sisi, tempat duduk balutan kulit, lapisan filem penapis cahaya cermin VW dan juga logo ‘JOIN’ pada tiang-B.

    Polo JOIN ini masih dijana enjin petrol NA 1.6 liter MPI berkuasa 105 PS/153 Nm, digandingkan bersama kotak gear enam-kelajuan automatik konvesional. Empat warna ditawarkan untuk Polo JOIN ini iaitu Candy White, Carbon Steel Grey, Flash Red dan Reflex Silver.

    Untuk Vento JOIN pula, ia diberikan kemasan pada bonet belaakng, spoiler belakang, kemasan sisi (semuanya berwarna hitam), scuff plate sisi, tempat duduk kulit serta filem penapis cahaya cermin VW. Vento Comfortline dijana enjin 1.6 liter MPI sama seperti Polo, manakala varian tertinggi Highline menerima enjin petrol turbo 1.2 liter TSI berkuasa 105 PS dan tork maksima 175 Nm, digandingkan dengan kotak gear DSG automatik tujuh-kelajuan.

    Warna yang ditawarkan untuk Vento JOIN adalah Candy White dan Carbon Steel Grey bagi varian Comfortline, manakala Carbon Steel Grey dan Deep Black untuk varian Highline.

    Bagi SUV segmen-C Tiguan Highline pula, pakej JOIN ini akan diberikan tambahan aksesori termasuk “elemen rekaan hadapan” (kemasan berwarna perak pada bahagian bawah bampar), spoiler belakang (hitam), kemasan pintu tailgate belakang, tip ekzos krom, pelindung load lip, footboard dan lapisan filem penapis cahaya cermin VW.

    Volkswagen perkenal edisi khas ‘JOIN’ untuk Polo, Vento, Tiguan dan Passat – hanya dijual di Lazada

    Tiguan Highline JOIN dijana enjin petrol turbo 1.4 liter TSI berkuasa 150 PS/250 Nm, digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik DSG enam-kelajuan untuk memacu roda hadapan. Warna yang ditawarkan untuk SUV ini adalah Deep Black, Pure White dan Tungsten Silver.

    Akhir sekali, Passat Comfortline JOIN pula diberikan dengan aksesori seperti pedal sport aluminium, scuff plate sisi, rim aloi 18-inci “Marseille” baharu, dan lapisan filem penapis cahaya cermin VW. Sedan ini dikuasakan oleh enjin petrol turbo 1.8 liter TSI menjana 180 PS/250 Nm, digandingkan dengan kotak gear DSG automatik tujuh-kelajuan . Warna badan yang ditawarkan adalah Deep Black, Manganese Grey, Pure White dan Reflex Silver.

    Menurut VPCM, pakej JOIN untuk Polo dan Vento adalah bernilai RM7,000, Tiguan RM 10,000 dan Passat pula RM12,000. Manakala harga penuh pula ialah; RM81,990 untuk Polo JOIN, RM91,690 untuk Vento Comfortline JOIN, RM98,490 untuk Vento Highline JOIN, RM175,990 untuk Tiguan Highline JOIN dan RM188,690 untuk Passat Comfortline JOIN. Harga yang dinyatakan ini adalah sebelum promosi, pendaftaran dan insuran.

    Volkswagen perkenal edisi khas ‘JOIN’ untuk Polo, Vento, Tiguan dan Passat – hanya dijual di Lazada

    Skim perlindungan harga selepas SST VPCM masih lagi berjalan sehingga 30 November ini. Jika anda berminat, 25 unit model-model dalam rangkaian JOIN ini akan dijual di aplikasi beli-belah dalam talian Lazada. Bermula 12 hingga 30 Oktober, pelanggan ditawarkan model-model berkenaan pada harga biasa namun menerima pakej JOIN secara percuma.

    Bayaran tempahan diperlukan untuk mereka yang berhajat untuk membeli barisan model berkenaan dengan jumlah RM799 untuk Polo dan Vento, atau RM 1,699 untuk Tiguan dan Passat di Lazada. Wakil VW akan menghubungi anda selepas itu bagi melengkapkan pembelian dan perkara-perkara lain yang berkaitan.

    GALERI: Volkswagen Polo Join

    GALERI: Volkswagen Vento Join

    GALERI: Volkswagen Passat Join

    GALERI: Volkswagen Tiguan Join

     
     
  • PANDU UJI: Ferrari GTC4Lusso – V12, 680 hp/697 Nm dan 0-100 km/j 3.4 saat; boleh beri lebih keselesaan?

    PANDU UJI: Ferrari GTC4Lusso – V12, 680 hp/697 Nm dan 0-100 km/j 3.4 saat; boleh beri lebih keselesaan?

    Ferrari GTC4 Lusso pertama kali diperkenalkan diperingkat global pada Mac 2016. September tahun yang sama, satu daripada variannya tiba terlebih dahulu di Malaysia – dalam versi 3.9 liter V8 turbo GTC4Lusso T. Kini, kedua-dua varian ada ditawarkan oleh pengedarnya, Naza Italia untuk pelanggan di sini.

    Selain daripada reka bentuk shooting brake yang ditampilkan, ada satu lagi kelainan yang menjadi teras kepada pengenalan model terbabit; untuk sekian kalinya, Ferrari cuba untuk memperkenalkan sebuah kereta sport dengan empat tempat duduk – yang berfungsi sewajarnya, dan mampu menempatkan dua penumpang dewasa dengan selesa di tempat duduk belakang.

    Bagi sebuah kereta sport yang sinonim dengan keterbatasan ruang penumpang, hal ini mungkin sesuatu yang wajar diperkatakan. Jadi, bagaimana dengan persembahan keseluruhan model yang menggantikan Ferrari FF ini? Adakah ia mampu untuk membawa sisi yang lebih baik, misalnya dari segi pemanduan dan juga aspek kepenggunaan selain daripada rupa paras dan imej yang sudah ramai yang sedia maklum tentangnya?

    Untuk melihat dengan lebih dekat, serta untuk belajar serba-sedikit tentang model ini, kami meluangkan masa dalam satu sesi pandu uji singkat dari Kuala Lumpur ke Ipoh untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentangnya. Dan, model yang kami pandu ialah Ferrari GTC4Lusso V12, bukannya versi Ferrari GTC4Lusso T (V8, turbo).

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Mazda mahu perkenalkan semula enjin rotary pada EV – kenapa, apa kelebihannya, Mazda 3 model pertama?

    Mazda mahu perkenalkan semula enjin rotary pada EV – kenapa, apa kelebihannya, Mazda 3 model pertama?

    Mazda telah menyiarkan perincian lanjut berkenaan rancangan masa hadapan syarikat dalam satu taklimat yang diadakan baru-baru ini, dengan menyentuh topik berkaitan ‘Sustainable Zoom-Zoom 2030’. Ini termasuklah kemunculan semula enjin rotary sebagai penambah jarak untuk kenderaan elektrik (mereka panggilnya sebagai xEV).

    Mengimbas kembali informasi yang ada sebelum ini, Mazda telah pun memberitahu beberapa teknologi yang sedang dibangukan seperti enjin penyalaan mampatan Skyactiv-X, SkyActiv-Vehicle Architecture dan juga fasa kedua untuk falsafah rekaan Kodo mereka.

    Syarikat dari Jepun ini juga mensasarkan pengurangan emisi karbon daripada kenderaan mereka sehingga 50% daripada tahap yang dicatat pada tahun 2010 menjelang 2030, dan 90% menjelang 2050. Walaupun begitu, mereka masih tidak percaya enjin pembakaran dalaman akan pupus dalam masa terdekat, jadi ia tidak mengganggu sasaran mereka. Mazda seterusnya melibatkan diri dalam penyelidikan bahan api bio alga dengan pakar akademik dan Institut Teknologi Jepun.

    Berikutan pengkomersialan enjin Skyactiv-X, semua kenderaan Mazda akan mempunyai bantuan sistem elektrik, dengan 95% daripadanya adalah jenis hibrid, manakala selebihnya adalah kenderaan elektrik penuh (EV). Langkah seperti ini perlu dilakukan untuk pasaran seperti Amerika Syarikat, Eropah dan China, di mana peraturan emisinya adalah lebih ketat dan semakin meningkat.

    Mazda memberitahu, kenderaan EV mereka akan dibangunkan sepenuhnya oleh syarikat sendiri dengan mengikut tiga konsep penting, dan yang pertama adalah “keseronokan memandu”. Kita juga sudah mendengar banyak kali tentang falsafah ‘Jinba-Ittai’ syarikat itu, dan mereka mahu menjadikannya realiti dengan memberikan penyatuan rasa antara pemandu dengan kenderaan EV tersebut.

    Salah satu cara untuk mencapai perkara ini adalah dengan meletakkan teknologi G-Vectoring Control (GVC). Pada kenderaan enjin pembakaran dalaman biasa (ICE), GVC mengawal tingkah laku kenderaan dengan mengurangkan tork enjin, tapi pada kenderaan EV, ia juga mengawal sistem penjanaan semula kuasa brek. Model EV juga akan menerima sistem torque vectoring by brake GVC Plus seperti yang terdapat pada CX-5 terbaru.

    Mazda mahu perkenalkan semula enjin rotary pada EV – kenapa, apa kelebihannya, Mazda 3 model pertama?

    Topik yang paling menjadi perhatian sudah tentu adalah enjin rotary. Sebelum ini kita sudah diberitahu sistem rotary ini akan digunakan sebagai penambah jarak, tapi kenapa? Menurut Mazda, pergerakan berputar rotor (pada enjin rotary) membenarkan enjin tersebut disepadukan dengan motor elektrik yang mempunyai struktur berpusing yang hampir sama. Ini seterusnya menjadikan rekaannya lebih kompak dan ringan, serta lebih kebebasan untuk mereka ruang enjin.

    Selain daripada itu, enjin rotary juga tidak mempunyai sistem injap, lebih seimbang, menawarkan pembakaran lebih lancar dan mempunyai struktur yang lebih ringkas. Semua karekter ini menghasilkan gegaran serta bunyi yang rendah pada pelbagai frekuensi – NVH lebih bagus.

    Tambah Mazda lagi, enjin rotary akan menjadi asas untuk xEV mereka, dengan kombinasi generator, bateri serta tangki bahan api yang berbeza, seterusnya membenarkan mereka menawarkannya dalam pelbagai jenis xEV seperti hibrid, plug-in hybrid atau range extender, tetapi masih menggunakan pakej kenderaan yang sama.

    Mazda mahu perkenalkan semula enjin rotary pada EV – kenapa, apa kelebihannya, Mazda 3 model pertama?

    Aspek serba boleh ini juga membenarkan tahap penggunaan elektrik yang berbeza, bergantung kepada campuran tenaga untuk pasaran tertentu. Sebagai contoh, negara yang menggunakan elektrik daripada sumber asli, tapi kekurangan infrastruktur mengecas kenderaan boleh memilih kenderaan range extender manakala negara yang bergantung kepada tumbuhan boleh memilih plug-in hybrid atau hibrid lain memandangkan ia lebih bermanfaat untuk mengurangkan emisi karbon.

    Mazda juga mendakwa enjin rotary mereka boleh digunakan dengan pelbagai jenis bahan api, termasuk gas petroleum cecair (LPG), gas asli termampat (CNG) dan juga hidrogen, sekaligus meluaskan lagi penggunaannya. Mereka juga memberitahu, EV dengan enjin rotary boleh digunakan sebagai generator dalam keadaan kecemasan, dikuasakan oleh LPG.

    Melihat kepada topik ketersambungan pula, kenderaan masa hadapan Mazda akan ditawarkan dengan kemudahan digital seperti telefon pintar yang disokong oleh servis telematik dan peranti komunikasi dalaman yang mengambil manfaat daripada gabungan mereka dengan Toyota.

    Berkenaan bila kita akan dapat melihat teknologi ini, Mazda memberitahu mereka sudah pun memulakan kerja untuk EV dan ujian pertama dirancang berlaku tahun hadapan dan pelancaran pada tahun 2020. Berita yang lebih menarik, Mazda ada memberi tanda model terawal yang akan memuatkan teknologi baru ini seperti Mazda 3, tetapi kita harus menunggu, mungkin waktu Los Angeles Auto Show bulan hadapan untuk mengetahui selanjutnya.

     
     
  • Kawasaki ZX-6R diperbaharui – 136 PS, 70.8 Nm tork

    Kawasaki ZX-6R diperbaharui – 136 PS, 70.8 Nm tork

    Walaupun dijadualkan tampil secara rasmi di khalayak ramai semasa pameran AIMExpo di Las Vegas hujung minggu ini, Kawasaki telah mendedahkan awal model supersports mereka yang diperbaharui iaitu ZX-6R 2019. Penampilannya kini mirip seperti model sports Kawasaki yang lain dan semua lampunya menggunakan unit LED.

    Enjin yang digunakan padanya masih lagi unit empat silinder sebaris berpenyejukan cecair 636 cc, dan kini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 130 PS pada 13,000 rpm (136 PS apabila Ram Air beroperasi) dan tork berada pada tahap 70.8 Nm pada 11,000 rpm. Enjin ini juga mempunyai throttle body bersaiz 38 mm.

    Antara kelengkapan baru yang dilengkapkan pada model ini adalah klac jenis Assist & Slipper, yang dapat memberikan tarikan tuil yang lebih ringan dan mengelakkan tayar belakang meloncat (hopping) apabila gear diturunkan secara agresif.

    Selain daripada itu, quickshifter yang boleh digunakan untuk menaikkan gear juga diberikan secara standard pada ZX-6R 2019, dan nisbah gear transmisi enam kelajuannya dirujuk semula untuk memberikan tindak balas yang lebih baik pada tahap rpm rendah.

    Pada bahagian suspensi, motosikal ini menggunakan unit yang boleh dilaras sepenuhnya depan dan belakang, dengan unit fork Showa Separate Function Fork – Big Piston (SFF-BP) 41 mm di hadapan dan monoshock yang disambung dengan Uni-Trak di belakang. Brek menggunakan set berkembar cakera 310 mm serta angkup Nissin empat piston di hadapan.

    Kelengkapan lain yang ada pada ZX-6R 2019 adalah termasuk Kawasaki Traction Control (KTRC), tiga mod tunggangan, panel instrumen LCD/analog, kerangka aluminium twin-spar, tangki bahan api 17 liter, tinggi tempat duduk 830 mm dan berat keseluruhan 196 kg. Di Amerika Syarikat, ia dijual pada harga 10,999 USD (RM45,686) untuk versi dengan ABS dan ditawarkan dalam dua pilihan warna.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025