Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volkswagen Fest 2018 – 12 hingga 14 Okt di SCCC

    Volkswagen Fest 2018 – 12 hingga 14 Okt di SCCC

    Volkswagen Fest 2018 buat kali kedua bakal kembali dan akan diadakan pada 12 hingga 14 Oktober dari jam 10 pagi hingga tengah malam (hingga 10 malam untuk 14 Okt sahaja) di Setia City Convention Centre, Setia Alam. Dibawakan khas oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), ia bakal menyaksikan para peminat Volkswagen dari semua latar belakang meraikan kecintaan mereka terhadap jenama ini. Fokus utama festival pada tahun ini adalah pengenalan rangkaian model edisi khas serta Program Kesetiaan Pelanggan Volkswagen.

    Selama tiga hari, para pengunjung berpeluang untuk memandu uji pelbagai model Volkswagen, menikmati rebat dan tawaran istimewa ke atas kereta baharu serta yang telah didaftarkan. Terdapat juga baucar petrol percuma bernilai RM3,000 ke atas kereta terpakai yang terpilih, selain “Starbuys” untuk model Vento yang ditawarkan pada harga serendah RM55,888 dan Golf GTI serendah RM188,888.

    Bukan itu sahaja, mereka yang berminat untuk membeli kereta baharu Volkswagen boleh mengambil kesempatan di atas Skim Perlindungan Harga yang sedang berlangsung sekarang dan sah ke atas semua kereta yang didaftarkan sebelum 30 November ini. Selain itu, bagi memudahkan mereka yang ingin menjual kereta sedia ada untuk mendapatkan sebuah Volkswagen, terdapat perkhidmatan penilaian kenderaan secara percuma dan pemeriksaan pinjaman pantas oleh sebuah bank bagi membantu urusan permohonan pembiayaan sewa beli mereka.

    Pemilik kenderaan Volkswagen yang mengunjungi festival boleh mendapatkan pemeriksaan 20 poin di gerai selepas jualan khas, yang turt menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan khidmat pelanggan. Sebagai tambahan, Volkswagen akan menawarkan keahlian selepas jualan istimewa kepada 200 pemilik terawal yang kereta mereka berusia empat tahun dan ke atas.

    Selain itu, pelbagai program menarik yang turut diadakan termasuk perhimpunan kereta-kereta Volkswagen, tayangan filem pada 12 Oktober, jam 8.30 malam yang menyaksikan model ikonik Volkswagen Beetle membintangi filem Herbie Fully Loaded (2005). Tidak ketinggalan, sebuah mini konsert oleh kumpulan muzik terkenal tempatan seperti Paperplane Pursuit, Talitha Tan dan Bunkface pada 13 Oktober bermula jam 7.45 malam, dan banyak lagi.

     
     
  • Hyundai Tucson facelift – teaser pasaran M’sia disiar

    Hyundai Tucson <em>facelift</em> – <em>teaser</em> pasaran M’sia disiar

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah menyiarkan imej teaser di laman Facebook mereka untuk SUV baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Barisan model-model SUV baharu Hyundai – Santa Fe dan Kona – kini menampilkan muka yang hampir serupa, namun dari saiz dan bayangan badan, serta tiada lampu nyalaan siang tirus mukanya, model yang akan dilancarkan ini adalah SUV segmen-C, Tucson facelift.

    Model ini telah diperkenalkan pada New York International Auto Show 2018 yang berlangsung Mac lalu. Ia diberikan berberapa perubahan kecil pada bahagian luar, namun di dalam kabin, Tucson facelift diberikan rekaan baharu pada bahagian atas papan pemuka. Ia direka seakan Santa-Fe generasi keempat dengan rekaan skrin terapung dan berberapa elemen lain.

    Untuk pasaran Amerika, Tucson facelift dijana enjin 2.0 liter berkuasa 164 hp/205 Nm dan 2.4 liter NA berkuasa 181 hp/237 Nm. Enjin 2.4 liter tersebut kini menggantikan model yang dijana enjin 1.6 liter turbo T-GDI terdahulu, manakala kedua-dua pilihan janakuasa digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik.

    Pasaran lain masih kekal dengan pilihan enjin 1.6 liter petrol turbo berkenaan yang mampu menjana 174 hp (dengan transmisi enam-kelajuan manual atau tuuh kelajuan auto DCT, FWD atau AWD) serta pilihan enjin turbodiesel.

    Bagi pasaran Eropah pula, enjin turbodiesel berkuasa 186 PS turut digandingkan dengan sistem hibrid ringkas 48-volt sama seperti Kia Sportage facelift. Sistem tersebut terdiri dari generator penghidup, penukar voltan rendah DC/DC, unit inverter dan juga bateri lithium-ion 0.44 kWh yang mampu memberikan tujahan elektrik sehingga 12 kW (16 hp) ketika SUV ini dipecut agresif.

    Bagi spesifikasi pasaran Malaysia, kita masih lagi perlu menunggu hari pelancarannya, dan mungkin lebih pendedahan akan disiarkan dalam teaser selanjutnya.

    GALERI: Hyundai Tucson facelift pasaran Eropah

     
     
  • MRT2: Kos kerja atas tanah jimat 23% berbanding kos asal RM22.64b, kontrak MMC-Gamuda ditamatkan

    MRT2: Kos kerja atas tanah jimat 23% berbanding kos asal RM22.64b, kontrak MMC-Gamuda ditamatkan

    Menteri Kewangan Lim Guan Eng memaklumkan kos pembinaan untuk kerja-kerja atas tanah bagi Projek Tren Aliran Transit Massa 2 (MRT 2) laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) berjaya dijimatkan sebanyak 23 peratus atau RM5.22 bilion berbanding kos asal sebanyak RM22.64 bilion, laporan Berita Harian.

    Beliau berkata, penjimatan itu dicapai melalui pengurangan kos dan rasionalisasi skop kerja yang mana ia masih mengekalkan kesemua stesen atas tanah.

    “Kementerian Kewangan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan, agensi kerajaan seperti Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) serta pihak swasta telah menjalankan rundingan pengurangan kos terhadap Projek MRT2 sejak bulan Mei lalu. Malah, sebuah firma jururunding kejuruteraan turut dilantik bagi menjalankan kajian rasionalisasi kos tersebut,” ujarnya.

    Susulan daripada kajian tersebut, Jemaah Menteri pada 3 Oktober lalu menerima tawaran daripada MMC-Gamuda selaku rakan kongsi penyerahan projek (PDP) projek itu bagi melaksanakan kerja pembinaan atas tanah MRT2. Walau bagaimana pun, memandangkan MMC-Gamuda gagal mencapai persetujuan dan penyelesaian untuk kos kerja-kerja bawah tanah, maka kerajaan memutuskan supaya kontrak kerja-kerja bawah tanah ditamatkan.

    MRT2: Kos kerja atas tanah jimat 23% berbanding kos asal RM22.64b, kontrak MMC-Gamuda ditamatkan

    “Kerja-kerja yang masih belum disiapkan akan ditender semula melalui kaedah tender terbuka antarabangsa. Jemaah Menteri mengambil keputusan tersebut setelah mempertimbangkan penjimatan tambahan yang akan diperoleh melalui tender terbuka berbanding dengan tawaran oleh pihak kontraktor,” katanya.

    Tambahnya lagi, keputusan itu dibuat kerana kerajaan mahu mendapatkan nilai penjimatan bagi semua perbelanjaan kerajaan, terutama apabila sesuatu projek tersebut membabitkan pinjaman yang besar. Di mana penjimatan berjumlah berbilion ringgit dapat mengurangkan beban hutang dan faedah yang perlu ditanggung oleh kerajaan di mana akhirnya ia perlu dibiayai melalui pengenaan cukai ke atas rakyat pada masa hadapan.

    “Penjimatan kos projek ini juga akan mengurangkan kadar tambang yang perlu dibayar oleh pengguna MRT, sekali gus meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di kalangan penduduk di Lembah Klang,” jelasnya.

    MRT 2 laluan SSP ini mula dibina pada September 2016 dan dijangka siap pada Julai 2022. Ia bakal memiliki 35 stesen, termasuk 11 stesen bawah tanah, dengan laluan sepanjang 52.2 kilometer (km).

     
     
  • Mercedes-AMG E53 4Matic+ dipertonton di Malaysia

    Mercedes-AMG E53 4Matic+ dipertonton di Malaysia

    Sewaktu pengumumam keputusan prestasi bagi suku ketiga tahun 2018, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut mempertontonkan Mercedes-AMG E 53 4Matic+, iaitu salah satu daripada enam model baharu yang akan diperkenalkan pada suku keempat ini. Hadir dalam pilihan sedan atau coupe, model AMG ini adalah bagi menggantikan E 43.

    Perbezaan terbesar dalam pengenalan bagi model AMG pertama dengan penjana kuasa hibrid sederhana EQ Boost – yang turut didapati pada model CLS 53 – bagi menggantikan unit lama 3.0 liter pengecas-berkembar V6. WAlaupun enjin bahagi ini lebih kurang sama dalam kapasiti, ia kini hadir dengan enam-silinder dan menggunakan pemampat elektrik untuk membekalkan ekzos konvensional-berkuasa turbo, mengurangkan turbo lag dan hasilnya ditambah dengan 34 hp ke 435 hp dan tork 520 Nm.

    Pemampat ini dikuasakan oleh motor generator/elektrik 48-voltan, yang menyalurkan tambahan 22 PS dan 250 Nm bagi pecutan jika diperlukan. Penjana kuasa ini turut digabungkan dengan transmisi automatik AMG Speedshift TCT 9G sembilan-kelajuan dan sistem pacuan semua AMG Performance 4Matic+, yang membolehkan coupe dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.4 saat, dan sedan pula hanya 0.1 saat lebih perlahan iaitu 4.5 saat. Sistem ekzos AMG Performance dengan injap bolehalih juga ditampilkan.

    Mercedes-AMG E53 4Matic+ dipertonton di Malaysia

    Kedua-dua versi sedan dan coupe turut dilengkapi suspensi udara AMG Ride Control+ dengan Adaptive Damping System Plus (ADS+), dan menerima kadar gegelung yang lebih tinggi untuk mengurangkan olengan badan dan menambah kestabilan di selekoh. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan steering knuckles khas dan load bearing joints di hadapan, yang bekerjasama bagi meningkatkan negative camber untuk menambah baik dinamik. Brek yang besar didatangkan dengan kaliper empat-omboh di hadapan.

    E 53 sedang juga sangat berbeza dengan 43 yang lama, menampilkan diffuser belakang yang direka semula disambung dengan paip ekzos bulat, dengan roda aloi dua-tona 20-inci baharu. Ia juga mengekalkan pakej luaran AMG Line dengan bampar hadapan dan ambang sisi yang lebih agresif, serta spoiler belakang yang kecil dengan gril berlencana AMG bersama pin krom. Manakala coupe pula serba baharu termasuk gril dwi-palang.

    Di dalamnya, ekdua-dua model dilengkapi dengan roda stereng leper-di bawah dengan kemasan kulit Nappa baharu (dengan cengkaman gentian mikro Dinamica pada coupe) dari C-Class facelift, bersama tempat duduk upholstery sport AMG balutan Nappa, dengan coupe ditampilkan bersama jahitan merah dan juga tali pinggang keledar merah. Malah model dua-pintu juga menerima kemasan aluminium untuk papan pemuka berbanding gentian karbon pada sedan.

    Mercedes-AMG E53 4Matic+ dipertonton di Malaysia

    Elemen standard bagi kedua-dua versi termasuklah lampu utama Multibeam LED, kemasukan tanpa kunci, kawalan suhu auto tiga-zon, tempat duduk hadapan boleh laras-berkuasa dengan haba dan memori, pencahayaan ambien 64-warna, pewangi Air Balance, bumbung matahari panoramik, tirai cermin belakang, bukaan bootlid bebas-tangan, Widescreen Cockpit dengan paparan berkembar 12.3-inci, navigasi Comand Online, pengecas tanpa wayar Qi dan sistem bunti Burmester 13-pembesar suara. Pilihan bagi coupe ditambah dengan paparan utama, sementara sedan pula menerima tirai bagi tingkap sisi belakang.

    Untuk aspek keselamatan, kedua-dua model dilengkapi dengan pakej Bantuan Pemanduan, termasuk kawalan kelajuan adaptif Distronic, Bantuan Kekal Lorong Aktif, Bantuan Titik Buta Aktif dan Bantuan Stereng Mengelak. Selain itu, ia turut menampilkan Bantuan Parkir Aktif dan kamera 360-sudut.

    GALERI: Mercedes-AMG E53 4Matic+ sedan

    GALERI: Mercedes-AMG E53 4Matic+ coupe

     
     
  • Kerajaan rancang tarik lesen seumur hidup bagi mereka yang bersalah memandu secara melulu

    Kerajaan rancang tarik lesen seumur hidup bagi mereka yang bersalah memandu secara melulu

    Hukuman sedia ada yang dikenakan terhadap mereka yang memandu secara melulu adalah terlalu ringan, kata menteri pengankutan Anthony Loke, serta beliau mahu agar mereka yang menyebabkan kematian dan didapati bersalah atas kesalahan tersebut diharamkan untuk memandu seumur hidup, lapor Malay Mail.

    “Seksyen 41(1) dari akta (Akta Pengangkutan Jalan 1987) menghukum pemandu yang memandu secara melulu yang menyebabkan kematian dengan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih dari 10 tahun, dan denda tidak lebih dari RM5,000 dam tidak lebih dari RM20,000,” katanya, dan menambah bahawa seksyen 41(3) akan membolehkan pesalah digantung lesen memandu untuk tempoh tiga tahun bagi kesalahan pertama, dan 10 tahun untuk kesalahan kali kedua.

    “Walau bagaimanapun saya secara peribadi merasakan hukuman-hukuman ini terlalu ringan. Nyawa tidak boleh diganti, dan mereka yang menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu ini lesen mereka perlu digantung sepenuhnya dan diharamkan terus dari memandu semula,” katanya.

    Walau bagaimanapun, sebelum perkara ini dapat dilakukan, akta mesti dipinda terlebih dahulu, di mana kajian kebolehlaksanaan perlu dilakukan. “Serentak dengan ini, kami perlu mendapatkan input dari pihak lain di luar kementerian, termasuk NGO-NGO dan badan-badan keselamatan jalanraya. Jadi untuk masa sekarang, ia masih lagi pada peringkat permulaan, dan perlu lebih pembangunan sebelum kami mengambilkira untuk membentangkan perkara ini di parlimen,” kata Loke.

    Sabtu lalu, sebuah treler hilang kawalan berdekatan Terowong Menora di Lebuhraya Utara Selatan, menyebabkan kematian seramai lima orang. Permit untuk kesemua 28 kenderaan yang dimiliki oleh syarikat lori yang berpangkalan di Gurun tersebut kini telah digantung selama dua minggu bagi membolehkan kementerian pengangkutan menjalankan audit terhadap syarikat berkenaan. Hasil audit tersebut mungkin akan menyebabkan lesen mereka dibatalkan, menurut The Star.

    “Saya ambil tindakan tegas ini bagi memberikan mesej kepada semua syarikat dan pengendali kenderaan. Anda perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan jalan raya apabila anda di atas jalan raya. Kita tidak boleh mengambil mudah hal keselamatan. Ini perlu dihentikan. Apabila pemandu menyebabkan kematian di atas jalan raya, syarikat juga perlu bertanggungjawab,” tegas Loke.

     
     
  • Ford Everest facelift kini di Malaysia – dari RM228,888

    Ford Everest facelift kini di Malaysia – dari RM228,888

    Sime Darby Auto Connexion telah melancarkan Ford Everest facelift untuk pasaran Malaysia. Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu 2.0L Trend AWD 10AT yang dijual pada harga RM228,888 tidak termasuk insurans dan varian lebih tinggi, 2.0L Bi-turbo Titanium AWD 10AT pada harga RM258,888.

    Perubahan paling besar untuk model ini adalah kemasukan enjin turbodiesel dari keluarga Panther yang menggantikan enjin Puma yang terdiri daripada unit 2.2L dan 3.2L Duratorq sebelum ini. Kedua-dua varian Everest facelift ini menggunakan enjin 2.0 liter tetapi talaan kuasanya berlainan.

    Untuk varian Trend, ia datang dengan pengecas turbo tunggal, menghasilkan kuasa 180 PS dan 420 Nm tork – lebih tinggi berbanding 160 PS dan 385 Nm daripada enjin 2.2L Duratorq sebelum ini. Sementara itu, varian Titanium pula menggunakan dua pengecas turbo, menghasilkan kuasa 213 PS dan 500 Nm tork – enjin 3.2L Duratorq sebelum ini menghasilkan 200 PS dan 470 Nm tork.

    Ford Everest facelift kini di Malaysia – dari RM228,888

    Satu-satunya transmisi yang digunakan untuk kedua-dua varian ini adalah unit automatik 10 kelajuan Getrag 10R80 yang menggantikan unit enam kelajuan 6R80 sebelum ini. Selain itu, Everest facelift juga dilengkapi dengan Terrain Management System (TMS) yang menyediakan empat mod pemanduan iaitu Road, Sand, Snow dan Rock, serta differential belakang dengan sistem kunci elektronik.

    Seperti yang boleh dilihat pada nama variannya, sistem pacuan empat roda datang secara standard, bersama sistem offroad lain seperti hill descent control dan hill launch assist. Ciri lain kenderaan ini adalah jarak dari tanah 225 mm, boleh meredah air (water wading depth) sehingga 800 mm, sudut kecondongan hadapan 30 darjah dan 25 darjah di belakang.

    Melihat kepada kelengkapan pula, varian Trend datang dengan rim 18 inci (tayar 265/60), lampu utama xenon automatik dengan DRL LED, lampu belakang LED, lampu kabus depan dan belakang, pengelap cermin automatik dengan pengesan hujan serta penutup bahagian belakang kuasa elektronik.

    Ford Everest facelift kini di Malaysia – dari RM228,888

    Masuk ke bahagian dalam, anda akan dapat melihat sistem kawalan pendingin hawa dua zon, corong pendingin hawa belakang dengan pengawal kipas, panel instrumen TFT empat inci, sistem masuk dan pemula enjin tanpa kunci, tempat duduk, stereng, tombol gear dan kulit pintu yang dibalut dengan kulit, sistem audio 10 pembesar suara, sistem infotainmen SYNC 3 dengan Android Auto dan Apple CarPlay serta skrin sesentuh lapan inci.

    Varian Titanium sudah tentu mempunyai spesifikasi yang lebih tinggi, bermula dengan rim 20 inci (tayar 265/60), pemegang pintu serta cermin sisi krom (dengan lampu bawah pintu) serta bumbung panoramik. Ia juga datang dengan soket pengecas 230 V/150 W, lampu suasana serta sentuhan satu kali untuk menaik dan menurunkan semua tingkap.

    Sebagai tambahan, anda juga akan mendapat tempat duduk larasan kuasa lapan arah di hadapan, tempat duduk baris ketiga yang boleh dilipat dengan menekan butang elektronik – satu peningkatan berbanding varian Trend. Walaubagaimanapun, senarai sistem keselamatan pada kedua-dua varian hampir sama dengan adanya tujuh beg udara, ESC dengan kawalan cengkaman, roll stability control, ABS dan EBD.

    Perbezaan di antara keduanya adalah Titanium datang dengan pengesan jarak depan dan belakang (Trend cuma mendapat pengesan di belakang), serta Blind Spot Information System (BLIS) dengan cross-traffic alert. Selain itu, Everest facelift di Malaysia juga tidak mempunyai Autonomous Emergency Braking (AEB) dengan pengesan pejalan kaki dan kenderaan, adaptive cruise control (ACC) serta Lane Keeping System (LKS) seperti di Thailand. Semua varian walaubagaimanapun menerima taraf lima bintang dalam ASEAN NCAP.

    Untuk varian Trend, ia disediakan dalam pilihan warna Meteor Grey dan Shadow Black manakala Titanium pula ditawarkan dalam warna Diffused Silver dan Sunset. Jaminan yang diberikan adalah selama tiga tahun atau 100,000 km.

     
     
  • Toyota pertahan gelaran jenama auto paling berharga di dunia dalam Interbrand Best Global Brand 2018

    Toyota pertahan gelaran jenama auto paling berharga di dunia dalam Interbrand Best Global Brand 2018

    Toyota berjaya mengekalkan kedudukan teratasnya sebagai jenama paling berharga sektor automotif dalam senarai Interbrand Best Global Brands 2018 dengan nilai jangkaannya sekitar US$53.404 bilion atau meningkat 6% berbanding tahun lalu. Secara keseluruhan, Toyota berada di tempat ketujuh di belakang jenama lain seperti Apple, Google, Amazon, Microsoft, Coca Cola dan Samsung.

    Nilai untuk Mercedes-Benz juga meningkat tahun ini kepada US$48.601 bilion atau 2% lebih tinggi berbanding tahun lalu, sekaligus memotong kedudukan Facebook untuk berada di tempat kelapan, satu tangga di bawah Toyota. Walau bagaimanapun, hanya kedua-dua jenama automotif – Toyota dan Mercedes-Benz – ini sahaja yang berjaya untuk menduduki carta 10 terbaik dalam senarai 100 jenama paling bernilai di dunia berkenaan.

    Bagi jenama lain, BMW kekal di tempat ke-13 tetapi nilainya merosot 1% kepada US$41.006 bilion, manakala Honda meningkat kepada US$23.682 bilion dengan kenaikan 4%, kini di tempat ke-20. Ford di tempat ke-35 dengan nilai US$13.995 bilion (+3%) dam Hyundai di tempat ke-36 dengan US$13.535 bilion (+3%). Nissan, Volkswagen dan Audi pula bersusun ditempat ke-40, 41 dan 42.

    Porsche berada di kedudukan ke-52 dengan nilai US$10.707 bilion (+6%), Kia di kedudukan ke-71 dengan US$6.925 billion (+4%) dan Land Rover pada kedudukan ke-78 dengan US$6.221 bilion (+2%).

    Jenama kereta sport dari Itali, Ferrari dinamakan sebagai jenama automotif yang mencatatkan pertumbuhan tahun ini dengan kenaikan nilai sebanyak 18% kepada US$5.76 billion namun masih berada pada kedudukan ke-80 secara keseluruhan. Jenama lain yang turut tersenarai adalah MINI dengan US$5.254 bilion (+3%), Harley Davidson dengan US$5.161 bilion (-9%) dan Subaru dengan US$4.214 bilion.

    Bagi disenaraikan dalam Interbrand Best Global Brand ini, syarikat perlulah memenuhi berberapa terma, di mana 30% dari pendapatannya mestilah datang dari luar negara asalnya. Jenama-jenama tersebut juga perlu mempunyai penampilan yang signifikant di Asia, Eropah, Amerika Utara dan juga mempunyai liputan geografi yang luas di pasaran penting baharu.

    Mereka juga perlu mempunyai data awam yang mencukupi untuk prestasi kewangan jenama, dan mana-mana keuntungan ekonomik perlu dijangka akan positif dalam tempoh jangka masa panjang, memberikan pulangan lebih tinggi dari kos modal jenama berkenaan. Akhir sekali, jenama tersebut perlu mempunyai profil awam dan dikenali oleh kebanyakkkan ekonomi di dunia.

     
     
  • Yamaha MT-15 muncul di Thailand – enjin VVA 155 cc

    Yamaha MT-15 muncul di Thailand – enjin VVA 155 cc

    Semasa perlumbaan MotoGP yang berlangsung di Buriram, Thailand hujung minggu lepas, Yamaha Thailand telah mempertontonkan sebuah model baru yang menggunakan nama MT-15. Walaupun kelihatan hampir sama seperti M-Slaz 150 yang sudah dijual di negara itu, MT-15 ini sebenarnya adalah berbeza.

    Seperti yang anda boleh lihat melalui video yang didapati daripada Yamaha Society Thailand di bawah (bermula minit 24:20), MT-15 menggunakan gaya rekaan sama seperti model terbaru MT yang lain seperti MT-07, MT-09 dan MT-10 dan bentuk tempat duduknya juga berbeza jika dibandingkan dengan M-Slaz (satu unit, sementara pada M-Slaz terpisah dua).

    Spesifikasi terperinci motosikal ini masih belum disiarkan oleh Yamaha Thailand, memandangkan ini cuma pra tonton awal, tapi kami menjangkakan ia menggunakan asas daripada model sports R15 kerana banyak bahagian yang kelihatan sama.

    Ini termasuklah lengan ayun aluminium, klac jenis slipper dan assist, meter LCD negatif serta fork jenis upside down di hadapan. Namun yang lebih penting adalah enjin – MT-125 ini diberitahu menggunakan enjin 155 cc dengan sistem Variable Valve Actuation (VVA). Pada R15, enjin ini mampu menghasilkan kuasa 19.3 hp dan 15 Nm tork.

    Mengambil kira model FZ150i sudah agak lama dalam pasaran Malaysia dan seperti sudah tiba waktu untuk penggantinya masuk, mungkinkah Malaysia akan menerima MT15 ini? Kalau betul, mungkin kita perlu menunggu waktu ia masuk ke pasaran Indonesia terlebih dahulu. Pendapat anda bagaimana?

     
     
  • SST: 17 model Mazda kini dengan harga lebih rendah

    SST: 17 model Mazda kini dengan harga lebih rendah

    Bermaz telah mengumumkan senarai harga terbaru bagi barisan kenderaan edaran syarikt itu di Malaysia selepas pelaksanan SST. Hampir semua model menyaksikan penurunan harga berbanding semasa GST dahulu.

    Perbezaan harga paling kecil adalah bagi model Mazda 2 yang dijual pada harga RM74,670 bagi spesifikas pertengahan manakala RM92,670 bagi versi LED spesifikasi penuh – kini masing-masing turun sebanyak RM196 dan RM213 berbanding sebelumnya. Mazda 3 pula menyaksikan penurunan harga lebih daripada RM1,900 bagi semua varian.

    SST: 17 model Mazda kini dengan harga lebih rendah

    Bagi Mazda 6, hanya model sedan 2.0 mengalami penurunan harga berbanding sewaktu dikenakan GST, sementara varian 2.5 liter petrol dan 2.2 liter diesel melibatkan kenaikan harga. Model CX-3 dan CX-5 pula lebih murah berbanding dahulu, tetapi CX-9 adalah sebaliknya.

    Menarik untuk mereka yang idamkan MX-5 RF, harga dengan SST bagi versi manual dan automatiknya kini adalah RM13,621 dan RM13,921 lebih murah. Dengan kedua-duanya kini dijual pada harga RM222,277, ia bahkan lebih rendah jika dibandingkan dengan harga ketika tempoh cuti cukai dahulu.

     
     
  • Sultan Johor dekati dan pandu uji SUV Proton X70

    Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memang dikenali sebagai penggemar kenderaan dan memiliki koleksi yang pelbagai. Dengan latar ini, maka beliau menjadi antara yang terawal diberi peluang untuk mencuba SUV pertama Proton X70.

    Daripada laman Facebook rasminya, disiarkan beberapa gambar yang menunjukkan Sultan Ibrahim sedang meninjau dan mencuba sendiri Proton X70 dari dekat. Baginda mendekati model terbabit pagi ini di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru. Selain itu, taklimat ringaks turut disampaikan berkaitan model ini oleh CEO Proton Edar, Abdul Rashid Musa selama sejam.

    Baginda kemudiannya memandu uji sendiri Proton X70 berkenaan, yang difahamkan dari spesifikasi Executive AWD dalam warna Cinnamin Brown, lengkap dengan kemasan dalaman kulit berwarna hitam. Executive AWD merupakan satu daripada empat varian yang akan ditawarkan, terdiri daripada Standard 2WD, Executive 2WD dan Premium 2WD. Semuanya dikuasakan oleh enjin 1.8 liter turbo dengan janaan 181 hp/285 Nm, dengan transmisi automatik enam-kelajuan.

    Dipertontonkan September lalu, Proton X70 akan dilancarkan November nanti, selepas siri jelajah pra-tonton ke seluruh negaranya selesai pada 4 November nanti. Perincian lanjut akan ada di sini.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia umum prestasi Q3 2018 – 10,143 unit terjual, meningkat 16% berbanding 2017

    Mercedes-Benz Malaysia umum prestasi Q3 2018 – 10,143 unit terjual, meningkat 16% berbanding 2017

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah mengumumkan prestasi suku ketiga (Q3) bagi 2018 yang menyaksikan rekod yang sangat memberangsangkan, iaitu sebanyak 10,143 unit kenderaan telah pun dijual bagi tahun ini. Malah ia turut mencatatkan perkongsian pasaran sebanyak 2.5%, meningkat sebanyak dua peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Sekaligus mengekalkan kedudukan MBM sebagai jenama gaya hidup mewah yang mendahului pasaran di bawah segmen yang sama di pasaran Malaysia.

    Menurut timbalan presiden jualan dan pemasaran MBM, Mark Raine, bagi keseluruhan suku ketiga tahun ini, model limosin pemasangan tempatan (CKD) termasuk C-Class, E-Class dan S-Class, telah mencatatkan jualan sebanyak 6,344 unit, iaitu meningkat sebanyak 21% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Manakala jualan untuk model kompak premium seperti A-Class, B-Class, GLA dan CLA pula turut mencatatkan peningkatan sebanyak empat peratus iaitu sebanyak 1,268 unit.

    “Begitu juga dengan SUV premium yang turut mencatatkan peningkatan sebanyak 3.4% berbanding tempoh yang sama tahun lalu, dan telah terjual sebanyak 1,960 unit bagi suku ketiga 2018. Bukan itu sahaja, keghairahan rakyat Malaysia terhadap jentera berprestasi tinggi juga tidak dinafikan, apabila barisan model prestasi kami berjaya terjual sebanyak 479 unit, manakala 570 unit pula untuk barisan Dream Cars iaitu meningkat sebanyak 40%,” ujar Mark yang tidak menafikan faktor 0% cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sepanjang Mei hingga 31 Ogos lalu banyak mendorong peningkatan jualan model Mercedes-Benz di Malaysia.

    Mercedes-Benz Malaysia umum prestasi Q3 2018 – 10,143 unit terjual, meningkat 16% berbanding 2017

    Malah sepanjang suku ketiga 2018, MBM telah melancarkan banyak model baharu dan yang dipertingkatkan. Ini termasuklah CLA 200 Night Edition, GLA 200 Night Edition, E-Class Cabriolet A238, S-Class, E200, E250 Avantrgarde dan Exclusive, E 300 AMG Line W213, Maybach S 560 dan 650, AMG S 63 Coupe, S 560 Cabriolet, CLS 450 dan AMG GT C.

    MBM turut memaklumkan untuk suku keempat 2018, akan ada beberapa model baharu dan dipertingkatkan yang akan dilancarkan iaitu satu daripadanya model kompak, satu model limosin, tiga model SUV dan satu model Dream Cars.

    Selain itu, rangkaian pengedar MBM juga turut mencatatkan peningkatan sebanyak 16%, dengan telah menyelenggara sebanyak 109,927 kenderaan di 31 pusat servis di seluruh negara. Malahan ini telah mencatatkan indeks perkhidmatan pelanggan (CSI) tertinggi di Asia Tenggara. Bukan itu sahaja, bagi kedudukan kewangan, Mercedes-Benz Services Malaysia (MBSM) telah mencapai porrtfolio perkhidmatan melebihi RM2.5 bilion, dan buat masa ini telah menawarkan pinjaman kewangan untuk empat bagi setiap 10 kenderaan Mercedes yang dijual di Malaysia.

     
     
  • Petrol RON 95 Euro 4M ditangguh ke Januari 2020

    Petrol RON 95 Euro 4M ditangguh ke Januari 2020

    Pengenalan petrol RON 95 Euro 4M akan ditangguh sehingga Januari 2020. Perkara ini terkandung di dalam satu kenyataan terbaru yang dikeluarkan oleh KPDNHEP. Terdahulu, pengenalan minyak petrol dengan standard yang lebih tinggi ini dijangka akan berlaku pada Oktober 2018, dengan syarikat seperti Petron telah bersedia untuk memulakannya.

    Dari kenyataan rasmi itu lagi, keputusan penangguhan itu adalah disebabkan oleh syarikat-syarikat petroleum memerlukan lebih masa untuk membuat persediaan. Ini adalah untuk memastikan bekalan petrol RON 95 Euro 4M mencukupi dalam pasaran tanpa memberi kesan kepada harga jualan yang perlu di bayar oleh pengguna.

    Dalam hal berkaitan, kementerian juga menyatakan akan mula menyelaraskan harga RON 95 Euro 4M, dengan kerja-kerja peralihan kepada minyak dengan standard baru ini dilakukan secara berperingkat di depot-depot dan stesen-stesen minyak dalam tempoh enam bulan bermula Julai 2019.

    Euro 4M mempunyai kandungan sulfur yang lebih rendah, iaitu 50 ppm (parts per million) berbanding 500 ppm yang ada pada Euro 2M ketika ini. Kandungan sulfur yang lebih rendah ini bermaksud ia lebih bersih dan lebih baik untuk enjin.

    Petrol RON 95 Euro 4M ditangguh ke Januari 2020

    Standard baru untuk bahan api petrol ini adalah sebahagiand daripada rancangan kementerian yang diperkenalkan pada 2006 bertujuan untuk meningkatkan kualiti bahan api, dalam usaha yang terkandung di dalam Dasar Teknologi Hijau 2009.

    Pada 18 Ogos 2014, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan standard bahan api seperti berikut: RON 97 Euro 4M petrol pada 1 September 2015; RON 95 Euro 4M pada 1 Oktober 2018; diesel Euro 5 pada 1 September 2020 dan petrol Euro 5 pada 1 September 2025.

    Setakat ini, pengguna sudah boleh mendapatkan RON 97 Euro 4M (diperkenalkan pada September 2015) dan diesel Euro 5, yang dilaksanakan lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan sebelum itu.

     
     
  • UMWT panggil semula Toyota Prius XW30 – perisian hibrid sejumlah 6,160 unit di M’sia perlu dikemaskini

    UMWT panggil semula Toyota Prius XW30 – perisian hibrid sejumlah 6,160 unit di M’sia perlu dikemaskini

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan kempen servis khas atau panggilan semula terhadap Toyota Prius generasi ketiga (XW30) bagi mengemaskini perisian hibrid pada kereta tersebut.

    Panggian semula kali ini melibatkan sejumlah 6,160 unit Prius yang dijual oleh UMWT dan diproduksi dari 2009 hingga 2013, yang “akan bertindak sebagai langkah pembaikan tambahan untuk kereta-kereta terlibat dalam panggilan semula yang diumumkan pada 2014.”

    Walau bagaimanapun, UMWT tidak menyatakan dengan lebih spesifik berkenaan perkara ini, namun dalam laporan-laporan sebelum ini, Toyota pernah melakukan panggilan semula terhadap 2.4 juta kenderaan hibrid mereka di seluruh dunia yang di produksi antara Oktober 2008 hingga November 2014. Masalah pada sistem berkenaan boleh menyebabkan kereta kehilangan kuasa.

    “Sementara stereng kuasa dan brek masih lagi boleh beroperasi, kenderaan yang mati ketika dipandu pada kelajuan lebih tinggi boleh menyebabkan risiko kemalangan,” kata UMWT dalam kenyataannya dan menambah “pembaikkan yang dibuat sebelum ini (panggilan semula pada 2014 dan 2015) tidak menjangkakan keadaan baharu yang dikenalpasti dalam panggilan semula kali ini.” Walau bagaimanapun tiada lagi sebarang kes yang dilaporkan di Malaysia.

    UMWT akan memberitahu kesemua pemilik kenderaan yang terlibat bagi mengemaskini program kotak komputer mereka tanpa sebarang cas. Proses pembaikkan ini akan mengambil masa sekitar satu jam.

     
     
  • Omar Jumiran menang tempat kedua pertandingan motosikal kustom dunia AMD Championship di Jerman

    Omar Jumiran menang tempat kedua pertandingan motosikal kustom dunia AMD Championship di Jerman

    Dalam dunia ubah suai motosikal Malaysia, nama Omar Jumiran dan jenama beliau, Eastern Bobber bukanlah lagi asing. Beliau terkenal dengan hasil kerja yang tersendiri, dan mungkin ada yang tidak dapat menghadam hasil akhirnya. Tahun lepas, Omar telah muncul untuk satu pertandingan tempatan, membawa jentera yang dinamakan sebagai Bone X dan membolot gelaran juara.

    Hadiah utama yang dimenangi oleh Omar dalam pertandingan itu adalah peluang untuk berentap pula dalam pertandingan motosikal kustom tersohor di dunia iaitu AMD World Championship di Jerman tahun ini. Masanya sudah tiba, dan apabila keputusannya diumumkan, Omar menaikkan nama Malaysia apabila diumumkan sebagai pemenang tempat kedua kategori ‘Freestyle’.

    Banyak lagi kategori lain yang dipertandingkan dalam pertandingan yang digelar sebagai pertandingan paling berprestij bagi motosikal kustom ini, tetapi kategori freestyle adalah yang utama kerana pembina bebas membuat apa sahaja pada motosikal dan tiada had untuk menunjukkan kreativiti serta kepakaran kejuruteraan.

    Omar dipilih sebagai pemenang tempat kedua adalah sesuatu yang besar, kerana beliau adalah orang pertama dari Malaysia yang bertanding dalam AMD, dan untuk tahun ini, beliau juga adalah satu-satunya peserta Asia yang dapat memenangi hadiah.

    Antara perkara yang menjadi perhatian pada Bone X adalah hampir keseluruhan motosikal dibuat menggunakan tangan dan Omar mempunyai rekaan yang dicipta sendiri dan tidak pernah digunakan pada sebarang motosikal di dunia. Daripada temu ramah kami dengan Omar sebelum ini, ia adalah bahagian spring di tengah motosikal, yang menjadi bahagian utama yang menyambungkannya dengan suspensi unik depan dan belakang. Ketahui selebihnya mengenai Bone X dalam artikel ini, dan tonton video di bawah (minit 48:40) untuk menyaksikan Omar naik ke atas pentas untuk menerima hadiah.

    GALERI: Eastern Bobber Bone X

     
     
  • BMW F850GS dipertonton di Malaysia – pelancaran pada bulan November, import dari Berlin, Jerman

    BMW F850GS dipertonton di Malaysia – pelancaran pada bulan November, import dari Berlin, Jerman

    Semasa acara Nightfuel yang berlangsung di Johor Bahru, BMW Motorrad Malaysia telah mempertontonkan sebuah model adventure kelas pertengahan baru iaitu F850GS. Model ini hanya dijangka akan dilancarkan di pasaran pada bulan November ini dan harganya masih belum ditetapkan.

    Melihat kepada penampilan, F 850 GS baru ini adalah lebih dinamik dan maskulin, tetapi masih mengekalkan ciri ikonik GS yang sudah dikenali seperti penghadang tayar hadapan yang dipanggil sebagai ‘paruh’ (beak). Bukan setakat gaya, bentuk motosikal ini juga dijadikan lebih baik dengan bahagian belakang yang lebih kurus serta kurang bahagian tajam supaya penunggang tidak terganggu. Penghadang angin depan standard tidak boleh dilaras tetapi boleh ditukar dengan pilihan aksesori.

    Untuk mendapatkan kuasa yang lebih baik, enjin dua silinder pada model ini telah diperelok dan kini mempunyai kapasiti 853 cc, mampu menghasilkan kuasa sebanyak 95 hp pada 8,250 rpm dan 92 Nm tork pada 6,250 rpm. Kotak gear pula adalah unit enam kelajuan dengan klac anti-hopping yang menghasilkan tarikan lebih ringan.

    Dalam keadaan standard, F 850 GS didatangkan dengan dua pilihan mod tunggangan iaitu Rain dan Road. Sekiranya mahukan perlarasan yang lebih lagi, pengguna boleh mendapatkan pakej Pro yang memberikan tambahan tiga lagi mod iaitu Dynamic, Enduro dan Enduro Pro. Ciri ini apabila digabungkan dengan brek ABS dan Automatic Stability Control (ASC) yang datang secara standard membolehkan motosikal disesuaikan dengan keadaan jalan, termasuk offroad.

    Sebagai sebuah motosikal yang dikenali untuk kegunaan jelajah dan offroad, F 850 GS didatangkan dengan suspensi yang panjang – fork teleskopik USD 43 mm dengan jarak gerak 204 mm di hadapan dan monoshock yang boleh dilaras untuk pra beban, lantunan dan serapan dengan jarak gerak 219 mm di belakang. Rim pula adalah jenis lidi 21 inci di hadapan dan 17 inci di belakang.

    BMW F850GS dipertonton di Malaysia – pelancaran pada bulan November, import dari Berlin, Jerman

    Bahagian panel instrumen juga telah dinaik taraf untuk model baru ini dan ia boleh didapatkan dengan pakej Connectivity tambahan, di mana panel paparan 6.5 inci TFT warna penuh padanya dapat disambungkan dengan pelbagai fungsi seperti menjawab telefon, mendengar muzik dan pelbagai lagi.

    Apabila tiba dalam pasaran Malaysia nanti, pembeli boleh memilih tiga warna untuk F 850 GS iaitu Pollux, Light White, Racing Red dan Lupin Blue. Selain itu, ia juga akan ditawarkan dengan pelbagai aksesori rasmi BMW Motorrad serta pakej sama ada Comfort, Touring, Dynamic atau Lights.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025