Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ford sepadukan Waze untuk iOS ke sistem SYNC 3

    Ford sepadukan Waze untuk iOS ke sistem SYNC 3

    Tidak lama lagi Ford bakal memperkenalkan sistem integrasi bagi membolehkan aplikasi navigasi Waze untuk “dipancarkan” ke skrin sistem infotaimen SYNC 3 jenama berkenaan, menurut laporan The Verge. Usaha berkenaan akan membolehkan skrin pemain utama tersebut mendapatkan akses penuh terhadap Waze, termasuk peta serta informasi berkenaan trafik semasa, halangan, amaran polis dan lain-lain.

    Bagi membolehkan ia berfungsi, pengguna perlu mempunyai aplikasi Waze pada telefon yang mempunyai iOS 11.3 (atau terkini) dan juga sistem SYNC 3 versi 3.0 (atau terkini). Waze tidak akan berfungsi menerusi Apple CarPlay (kerana Apple mahukan anda menggunakan Apple Maps), sebaliknya akan beroperasi menerusi SYNC 3 melalui AppLink Ford – sistem dari Ford sendiri yang beroperasi seakan CarPlay.

    Menurut The Verge lagi, ketika anda menggunakan sistem ini, Waze perlu untuk beroperasi pada telefon, dan ia akan memancarkan aplikasi tersebut ke skrin SYNC 3 menerusi Ford Applink, dan bukan bersepadu sepenuhnya dengan Apple CarPlay. Sistem tersebut kini dalam peringkat ujian beta dan dilaporkan mengalami sedikit masalah, namun dijangka akan diselesaikan pada peringkat ujian seterusnya.

    “Selain itu, ikon-ikon adalah besar dan berwarna-warni. Interface adalah ringkas untuk memberikan navigasi, dan ia juga berfungsi dengan kawalan suara,” menurut laporan berkenaan. Setakat ini, hanya pengguna Android yang boleh menggunakan sistem ‘screen mirroring’ untuk menggunakan Waze pada skrin infotainmen mereka.

    Sehingga Mei 2017, Malaysia merupakan pengguna Waze paling tinggi di rantau ASEAN. Jadi penghasilan sistem ini untuk pengguna iOS semestinya sangat releven di negara kita.

     
     
  • GST-Sifar: Triumph siarkan harga, turun hingga RM6k

    GST-Sifar: Triumph siarkan harga, turun hingga RM6k

    Selain kereta, pengedar motosikal terutamanya model berkuasa tinggi juga kini menyiarkan harga tanpa GST yang akan diguna dari tempoh 1 Jun 2018, hinggalah satu masa yang akan diberitahu kelak. Melalui jadual di bawah, anda akan dapat melihat harga untuk motosikal Triumph, serta perbezaannya dengan harga semasa GST 6% dilaksanakan.

    Model yang disenaraikan ini bukan sahaja model baru, malah termasuk juga model tahun 2014 dan 2015 yang dijual pada harga promosi. Supaya anda lebih jelas, bermula dari Street Triple S hinggalah Bonneville Bobber adalah model baru, manakala selebihnya adalah model promosi.

    Walaupun seperti yang kita tahu, kadar GST yang dikenakan adalah pada tahap 6%, tetapi pengurangan yang dibuat oleh Triumph Motorcycles Malaysia ada yang berjumlah lebih daripada itu untuk model baru. Seperti yang anda boleh lihat, harga untuk Street Triple R LRH dan Tiger 800 XR ABS adalah sama dengan caj GST dikenakan, iaitu RM59,900, tetapi apabila GST dimansuhkan, Street Triple mendapat pengurangan RM3,000 manakala Tiger 800 XR RM5,000.

    GST-Sifar: Triumph siarkan harga, turun hingga RM6k

    Jumlah pengurangan paling besar adalah pada model Bonneville Bobber, iaitu RM6,000, menjadikan harganya tanpa GST adalah RM68,900. Motosikal baru paling mahal yang berada dalam senarai ini adalah Thruxton R, dan harga tanpa GST menyaksikan pengurangan sebanyak RM5,000 menjadi RM78,900.

    Untuk pengetahuan anda juga, harga ini tidak termasuk kos pendaftaran, insurans serta cukai jalan. Selain daripada itu, bayaran tambahan untuk warna premium juga masih dikenakan jika ia adalah pilihan anda.

     
     
  • GALERI: BMW Motorrad HP4 Race 2018 – RM491,420

    GALERI: BMW Motorrad HP4 Race 2018 – RM491,420

    BMW Motorrad HP4 Race mungkin motosikal paling mahal yang pernah kita saksikan setakat ini, yang dikeluarkan oleh BMW. Hal itu tentunya bersebab — ia merupakan jentera litar yang menampilkan tahap kejuruteraan tertinggi oleh BMW terhadap sesebuah motosikal yang pernah dihasilkan syarikat itu – memberi saingan kepada kehadiran jentera-jentera lain seperti Ducati 1299 Superleggera dan Honda RC213V-S.

    Model ini sebenarnya sudah pernah dipertontonkan untuk khalayak di Malaysia tahun lalu, dan kali ini sebuah lagi unit sebenar untuk pasaran tempatan dipamerkan untuk mereka yang mungkin berminat untuk memilikinya. Oktober tahun lalu, harga yang dikenakan padanya ialah RM520,900. Tetapi, dengan kadar sifar GST yang diumumkan, harganya kini RM29,480 lebih murah.

    Enjinnya menggunakan spesifikasi unit empat silinder 999 cc padanya adalah sama seperti jentera lumba yang digunakan dalam Endurance dan World Superbike Championship (WSBK), mampu menghasilkan 215 hp pada 13,900 rpm dan 120 Nm tork pada 10,000 rpm. Tahap rpm tertinggi juga ditingkatkan menjadi 14,500, daripada 14,200 rpm pada model S 1000 RR. Kotak gear enam kelajuan yang digunakan adalah unit lumba dengan nisbah yang rapat.

    Selain enjin dan elektronik yang mempunyai persamaan kategori seperti jentera lumba pasukan BMW, bahagian suspensi pula lebih berprestasi, sama seperti unit seperti yang digunakan dalam WSBK dan MotoGP, iaitu fork Ohlins FGR-300 serta batang spring Ohlins TTX 36 GP. Bahagian lain yang menggunakan unit sama seperti jentera lumba adalah termasuk lengan ayun dan brek dengan piston titanium.

    Di sebalik panel badan motosikal ini, terdapat kerangka serta rim gentian karbon sepenuhnya, dan ini menjadikan HP4 Race sebagai motosikal pertama di dalam dunia yang menggunakan bahagian seperti itu. Ini sekaligus menjadikan ia lebih ringan, iaitu secara keseluruhannya cuma 172 kg (berat basah).

    Menjadikan jentera ini lebih istimewa, setiap satu daripadanya dipasang dengan tangan, dan dikeluarkan dalam jumlah yang terhad, iaitu 750 unit sahaja untuk seluruh dunia. Dan kalau anda belum tahu, ia sebenarnya hanya untuk kegunaan di dalam litar, dan tidak boleh di daftarkan untuk kegunaan atas jalan raya. Kiranya ini jentera untuk melepas gian dalam litar sahaja.

    Gabungan warna Lightwhite uni/Racingblue metallic/Racingred unik pada HP4 Race adalah warna HP Motorsport yang baru dan motosikal ini didatangkan dengan jaminan dua tahun tanpa had batuan.

     
     
  • Laksana MBO terhadap pemegang konsesi tol agar jalan raya, lebuhraya percuma – Ahli Parlimen Subang

    Laksana MBO terhadap pemegang konsesi tol agar jalan raya, lebuhraya percuma – Ahli Parlimen Subang

    Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menyarankan agar Kerajaan Pakatan Harapan melaksanakan pembelian oleh pengurusan (MBO) terhadap syarikat konsesi lebuh raya bertol supaya jalan raya dan lebuh raya adalah percuma yang memberikan manfaat kepada rakyat dan bukannya digunakan untuk membuat keuntungan.

    Katanya, jika digabungkan dengan semakan semula kadar tol yang akan diumumkan awal minggu depan, akan mengurangkan lagi beban kewangan rakyat untuk jangka panjang. Di mana MBO itu boleh dilaksanakan dalam masa setahun atau dua tahun akan datang apabila kerajaan baharu ini mengukuhkan kedudukan kewangannya, laporan Bernama.

    “Sama ada kita mampu untuk membeli syarikat tol ini dan menjadikan ianya percuma, ia adalah isu kebijaksanaan fiskal dan apakah seharusnya menjadi keutamaan ekonomi. Melalui semakan semula kadar tol, pengguna seharusnya membayar lebih rendah dan ‘ia sekurang-kurangnya permulaan’ dalam mengurangkan beban rakyat,” katanya.

    Akhir minggu lalu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang bertindak sebagai ahli Majlis Penasihat Kerajaan berkata, pihaknya akan membuat pengumuman berkenaan konsesi tol seluruh negara pada minggu ini.

    “Keputusan akan dilakukan secepat mungkin kerana mereka (pemegang kepentingan) sepatutnya perlu kembali kepada kami minggu hadapan. Usaha adalah sangat, sangat tegang buat masa sekarang,” ujar Zeti mengenai hal ini.

     
     
  • MRT3, HSR kemungkinan besar ditangguh – laporan

    MRT3, HSR kemungkinan besar ditangguh – laporan

    Kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan dikatakan berkemungkinan besar akan menangguhkan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-Singapura) dan projek Transit Aliran Massa laluan tiga (MRT3) Lembah Klang. Ini adalah untuk membolehkan kerajaan mengkaji semula projek-projek mega dalam sektor pembinaan.

    Laporan The Star menyebut, berbanding dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), MRT1, MRT2 serta projek Lebuh Raya Pan Borneo, ke­dua-dua projek berkenaan belum lagi dimulakan.

    Menurut sumber yang memberitahu akhbar terbabit, ini bermakna tidak ada sebarang pembiayaan telah dikeluarkan bagi kedua-dua projek HSR dan MRT3 dan ini menjadikannya lebih mudah untuk ditangguhkan. Difahamkan, bagi membina HSR KL-Singapura itu melibatkan kos sebanyak RM60 bilion, manakala RM45 bilion pula bagi MRT3.

    Katanya lagi, daripada kesemua projek yang sedang berjalan, ECRL adalah projek mega kedua terbesar yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini, selain kedua-dua fasa satu dan dua MRT yang melibatkan kos sebanyak RM70 bilion, manakala projek Lebuh Raya Pan Borneo bernilai RM32 bilion.

    “Projek-projek ini adalah sebahagian dari perbelanjaan tersembunyi kerajaan atau apa yang kita sebut dalam istilah kewangan sebagai ‘item luar kunci kira-kira’,” katanya.

    Walau bagaimana pun, kerajaan ba­haru mengesahkan bahawa projek Lebuh Raya Pan Borneo akan tetap disiapkan dan merupakan antara projek yang diberi ke­utamaan.

     
     
  • Kemudahan pengecas EV kini ada di R&R Ayer Keroh

    Kalau anda memandu kereta elektrik atau plug-in hybrid, ini ada berita baik. PLUS Malaysia telah mengumumkan bahawa kemudahan mengecas kenderaan EV kini disediakan di R&R Ayer Keroh, di laluan arah Selatan.

    Pengecas berkenaan yang boleh digunakan secara percuma, terletak di tempat parkir berdekatan Baskin Robbins. Ia telah berada di sana sejak Mac lalu untuk percubaan, dan kini terbuka untuk kegunaan umum.

    Kemudahan ChargEV ini merupakan yang pertama menggunakan kuasa solar di Malaysia; ini bermaksud sumber kuasanya adalah 100% dari tenaga diperbaharui. Pengecas berkenaan diletakkan antara dua ruang parkir yang ada; satu sisi dengan soket pengecas 22 kW AC Type 2 dan satu lagi pula dengan pengecas 50 kW DC Chademo.

    Ini merupakan satu perkembangan yang sangat baik. Jika anda perlu menggunakannya, jangan lupa untuk bertimbang rasa kepada pemandu lain yang mungkin mahu menggunakannya juga. Dan, lebih penting, sekiranya anda memandu kenderaan hibrid biasa atau kereta jenis lain, janganlah menghalang atau menggunakan ruang parkir berkenaan.

     
     
  • GST-Sifar: Harga Lexus sehingga RM82k lebih murah

    GST-Sifar: Harga Lexus sehingga RM82k lebih murah

    UMW Toyota Motor telah pun mengumumkan harga untuk divisi mewahnya iaitu Lexus sempena Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikadarkan pada sifar peratus bermula 1 Jun ini. Harga baharu ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan ianya terpakai bermula bulan hadapan sehingga Cukai Jualan dan Perkhidmatan diperkenalkan semula dalam masa 2 ke 3 bulan dari sekarang.

    Menerusi harga baharu tersebut, pelanggan bakal menerima penjimatan serendah RM16,815 jika membeli model IS 300 Premium (dari RM297,800 menjadi RM280,985) sehingga RM82,328 jika membeli sedan mewah Lexus LS 500h (dari RM1,459,000 menjadi RM1,376,672).

    GST-Sifar: Harga Lexus sehingga RM82k lebih murah

    Untuk SUV pula, model asas NX 300 Urban akan dijual pada harga bawah RM300,000, turun RM17,610 kepada RM294,290. Manakala untuk kereta sport ‘Black Panther’ Lexus LC 500 coupe turun di bawah RM900,000, dijual pada harga RM887,434 atau RM52,599 lebih murah. Kesemua model Lexus yang dijual oleh UMW Toyota diberikan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan.

    Jika anda perasan, tiada lagi model ES pada jadual harga diatas. Ini berkemungkinan kerana model generasi sedia ada tidak lagi dijual dan bakal digantikan dengan model baharu generasi ke-tujuh tidak lama lagi.

     
     
  • Ford MS-RT Transit Custom – Van komersil sporty istimewa, dengan rupa diinspirasikan dari jentera rali

    Ford MS-RT Transit Custom – Van komersil sporty istimewa, dengan rupa diinspirasikan dari jentera rali

    Selepas menghasilkan Ford Transit R-Spec Edition, MS-RT -gabungan penala Van-Sport dan pasukan M-Sport (yang mengendalikan pasukan rali dunia Ford)- kini menghasilkan sebuah lagi van yang diinspirasikan dari jentera rali digelar Ford MS-RT Transit Custom.

    Seperti namanya, van ini menampilkan rupa yang lebih agresif seakan kereta rali sebenar dengan pemadanan gril dan juga bampar hadapan baharu bersama lampu kabus bersepadu, diffuser hadapan, fender flare bagi menampakkan badannya lebih lebar, diffuser belakang dan juga spoiler belakang.

    Van ini juga menerima rim aloi Anthracite berdiameter 18-inci dari OZ Racing yang dibaluti tayar Hankook Ventus S1 Evo istimewa dengan kadar bebanan 103 XL. Badan van ini juga direndahkan menerusi pemadanan spring dari Eibach, dan juga diberikan sistem ekzos sport dengan dua tip bagi melengkapkan rupanya.

    Pada bahagian kabin pula, van istimewa ini dipadankan dengan tempat duduk sport balutan kulit Nappa dan sued, roda stereng rata di bawah dengan kemasan gentian karbon dan juga karpet-karpet kaki MS-RT bersama jam pada papan pemuka yang diinspirasikan dari kereta rali.

    Ford menyediakan pelbagai versi untuk dipilih bagi van ini termasuk panel van dua-tempat duduk, panel van tiga-tempat duduk, double cab lima-tempat duduk serta double cab enam-tempat duduk. Anda turut boleh memilih sama ada dari versi jarak roda panjang atau pendek dan juga model dengan pintu tailgate tunggal atau dua.

    Namun tidak seperti Transit R-Spec Edition yang menerima talaan enjin, Ford MS-RT Transit Custom ini masih lagi digerakkan oleh enjin turbodiesel standard 2.0 liter EcoBlue TDCi berkuasa 168 hp/405 Nm dengan pilihan kotak gear enam-kelajuan manual atau enam kelajuan automatik.

    Ford MS-RT Transit Custom – Van komersil sporty istimewa, dengan rupa diinspirasikan dari jentera rali

    “MS-RT Transit Custom baharu ini membawa sebuah van yang sememangnya cemerlang kepada sesuatu yang benar-benar istimewa, yang membuatkan pemiliknya lebih menghargai, dan perniagaan yang menggunakannya akan membuatkan jenama mereka lebih menyerlah,” kata pengarah pengasas MS-RT, Ed Davies.

    Menurut Davies lagi, kesemua van istimewa ini akan disiapkan dengan tangan di kilang MS-RT yang terletak di Pontypool, Wales Selatan. Ford MS-RT Transit Custom ini dijual di pasaran UK pada harga bermula £32,995 (RM176k).

     
     
  • GST-Sifar: MINI catat penurunan harga hingga RM19k

    GST-Sifar: MINI catat penurunan harga hingga RM19k

    BMW Group Malaysia telah mengeluarkan senarai harga baru bagi barisan model MINI bermula 1 Jun nanti, apabila GST dikenakan pada kadar sifar peratus. Harga berkenaan akan kekal sehinggalah pengenalan semula SST, yang menurut Tun Daim Zainuddin sebagai Ketua Penasihat Kerajaan PH, akan dapat dilaksanakan dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.

    Maka, jendela waktu yang ada ini membolehkan pelanggan untuk membeli kenderaan tanpa dikenakan kedua-dua cukai berkenaan. Dengan itu, barisan kenderaan MINI di Malaysia juga mencatatkan banyak penjimatan, sekiranya ada yang berhasrat untuk memilikinya dalam tempoh berkenaan.

    Tanpa GST, harga baru MINI 5-Pintu Urbanite Edition mencatatkan penjimatan bermula RM11,241, hinggalah kepada model MINI John Cooper Works Countryman yang mencatatkan penjimatan tertinggi sehingga RM19,707.

    GST-Sifar: MINI catat penurunan harga hingga RM19k

    Bagaimanapun, akan terdapat sedikit perbezaan pada pengurangan harga berkenaan, kerana ada model-model yang mencatatkan bukan pada kadar 6% sepenuhnya. Ini kerana, GST 6% hanya dikenakan pada harga jualan kenderaan (bagi model CBU, yuran pemeriksaan Puspakom), sebelum perkara-perkara lain yang tidak dikenakan GST (seperti cukai jalan, yuran pendaftaran dll) ditambah.

    Pembelian kenderaan MINI dari saluran rasmi juga akan didatangkan dengan jaminan empat-tahun tanpa had perbatuan dengan servis berjadual percuma dan keahlian MINI Black Card.

     
     
  • GST-Sifar: Harga model Nissan turun sehingga RM9.4k

    GST-Sifar: Harga model Nissan turun sehingga RM9.4k

    Sempena Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dikadarkan pada sifar peratus bermula 1 Jun ini, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah mengumumkan harga baharu bagi kenderaan-kenderaan jenama Nissan. Harga baharu ini sudah tentu, akan berkuatkuasa bermula 1 Jun sehingga Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diumumkan mula dikenakan semula kelak yang dijangka dalam 2,3 bulan dari sekarang, menurut ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

    Harga baharu yang diumumkan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran. Penjimatan bermula serendah RM3,860 jika anda membeli Almera 1.5E manual sehingga RM9,419 untuk X-Trail 2.5L Premium Impul. Nissan Almera 1.5E manual berkenaan akan dijual pada harga hanya RM64,639 setelah GST dikenakan pada kadar sifar (RM68,500 pada harga semasa), manakala X-Trail 2.5L Premium Impul pula dijual pada harga RM158,180 bermula bulan hadapan, berbanding RM167,600 sekarang.

    GST-Sifar: Harga model Nissan turun sehingga RM9.4k

    Klik untuk besarkan

    Jika anda membuat perkiraan berdasarkan jadual diatas, pengurangan harga tersebut tidaklah tepat sehingga 6%. Ini kerana GST hanya melibatkan harga jualan, dan tidak termasuk bayaran proses lain seperti bayaran pemeriksaan Puspakom untuk model CBU, bayaran pendaftaran dan pelbagai lagi.

    Sebelum ini juga, ETCM telah mengumumkan pelan perlindungan harga yang akan diperkenalkan sama seperti yang diumumkan oleh Motor Image bagi kenderaan-kenderaan jenama Subaru. Program tersebut akan melindungi perbezaan harga sekiranya harga kenderaan mula naik kerana peralihan dari GST ke SST dengan memberikan jaminan pulangan wang berdasarkan perbezaan harga tersebut.

     
     
  • KTMB umum jadual waktu baharu komuter mulai 3 Jun

    Klik untuk besarkan

    KTM Berhad (KTMB) telah mengumumkan, mulai 3 Jun ini, jadual waktu dan tempoh operasi pekhidmatan KTM Komuter akan mengalami perubahan berikutan Projek Menaiktaraf Infrastruktur dan Sistem Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) yang akan memasuki pelaksanaan fasa baharu.

    Justeru, rombakan terhadap jadual waktu bagi KTM Komuter perlu disusun semula demi kelancaran operasi dan kemudahan para penggunanya. Walau bagaimana pun, KTMB tidak memaklumkan sampai bilakah perubahan jadual tersebut dilaksanakan.

    Sebarang makluman atau pertanyaan, sila layari www.ktmb.com.my atau hubungi pusat panggilan KTMB di talian 03-2267 1200.

     
     
  • MV Agusta sertai perlumbaan Moto2 tahun hadapan?

    MV Agusta sertai perlumbaan Moto2 tahun hadapan?

    Kali terakhir MV Agusta menyertai perlumbaan MotoGP adalah 42 tahun yang lepas, dengan mencatat 275 kemenangan GP dari kategori 125 hinggalah 500. Tapi nampaknya seperti jenama pengeluar motosikal dari Itali tersebut berpeluang menambah koleksi gelaran yang dimiliki kerana menurut laporan sebuah laman web terkemuka, GPOne.com, mereka akan menyertai kategori Moto2 tahun hadapan.

    Dalam laporan tersebut, MV Agusta dinyatakan akan bekerjasama dengan Team Forward, dan perkara ini disahkan sendiri oleh pengetua Team Forward iaitu Cuzari Giovanni kepada GPOne.com. Perjanjian yang dibuat antara Team Forward dengan MV Agusta ini adalah untuk tempoh empat tahun dan mereka boleh menyambungnya selepas itu jika mahu.

    MV Agusta sertai perlumbaan Moto2 tahun hadapan?

    Antara sebab yang dikatakan dapat menarik perhatian MV Agusta untuk kembali menyertai kejuaraan berprestij ini adalah pada tahun hadapan, kesemua jentera Moto2 akan menggunakan enjin tiga silinder dari Triumph. Walaupun ini bukan enjin mereka sendiri, MV Agusta mempunyai banyak pengetahuan tentang enjin tiga silinder kerana kebanyakan motosikal mereka menggunakan tetapan itu.

    Tambah pengarah teknikal bahagian penyelidikan dan pembangunan MV Agusta, Brian Gillen, beliau sendiri akan mengetuai projek ini, termasuk untuk rekaan kerangka, manakala syarikat Sutter pula akan bekerjasama untuk menghasilkan lengan ayun.

     
     
  • Hafizh Syahrin dapat tempat ke-12 MotoGP Perancis, Khairul Idham Pawi berjaya pungut mata pertama

    Hafizh Syahrin dapat tempat ke-12 MotoGP Perancis, Khairul Idham Pawi berjaya pungut mata pertama

    Pusingan kelima perlumbaan MotoGP yang berlangsung di Perancis hujung minggu lalu menyaksikan pelumba negara, Hafizh Syahrin memungut lagi empat mata selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-12. Keseluruhannya kini Hafizh berada di tempat ke-17 dengan mata terkumpul 13.

    Untuk perlumbaan di Perancis ini, Hafizh memulakan perlumbaan di petak ke-14 namun turun sehingga ke kedudukan ke-18 di awal perlumbaan. Walaubagaimanapun, beliau berjaya memotong beberapa pelumba dan ada juga pelumba yang berada di kelompok hadapan yang terjatuh.

    Antaranya termasuk rakan sepasukan Hafizh iaitu Johann Zarco, Andrea Dovizioso, Andrea Iannone dan Tito Rabat. Turut gagal menamatkan perlumbaan di Perancis ini adalah Scott Redding dan Alvaro Bautista.

    Hafizh Syahrin dapat tempat ke-12 MotoGP Perancis, Khairul Idham Pawi berjaya pungut mata pertama

    Sementara itu, melihat kepada kategori Moto2 pula, seorang lagi pelumba negara, Khairul Idham Pawi turut menunjukkan prestasi baik apabila berjaya memungut mata pertama beliau musim ini selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-15. Secara keseluruhannya, Khairul berada di kedudukan ke-25 setakat pusingan kelima ini.

    Pengganti Zulfahmi Khairuddin yang berlumba untuk pasukan SIC Racing Team, iaitu Niki Tuuli sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-22, manakala Adam Norrodin yang berlumba dalam kategori Moto3 pula gagal menamatkan perlumbaan.

     
     
  • SST bakal kembali dalam masa 2-3 bulan – Tun Daim

    SST bakal kembali dalam masa 2-3 bulan – Tun Daim

    Kami telah memberikan senarai harga yang dikeluarkan oleh jenama-jenama automotif seperti Toyota, Volkswagen, Subaru dan BMW sempena kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang ditetapkan pada kadar sifar bermula 1 Jun ini. Namun harga tersebut tidak akan kekal lama kerana Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan kembali selepas ini.

    Menurut laporan The Edge, salah seorang Ahli Majlis Penasihat kerajaan, Tun Daim Zainuddin menyatakan cukai tersebut akan dikenakan kembali tidak lama lagi. “SST akan diperkenalkan semula dalam masa dua, tiga bulan lagi,” katanya ketika sidang media yang diadakan baru-baru ini.

    Tun Daim masih lagi belum menyatakan tempoh yang spesifik, namun sementara ia dirangka semula, rakyat akan menikmati cukai GST pada kadar sifar peratus dan bukan lagi 6% bermula 1 Jun ini.

    Menurutnya lagi, pengenalan SST ini dijangka akan mengembalikan kutipan RM30 bilion, menggantikan pendapatan dari kutipan GST. Walau bagaimanapun, jumlah kadar untuk SST baharu berkenaan belum lagi dinyatakan (sebelum ini SST dikenakan pada kadar 10%).

    Jadi, sebelum SST ini dikenakan semula, ini adalah masa yang paling sesuai sekiranya anda mahu membeli kereta baharu. Adakah SST akan menyebabkan harga kereta naik dari harga yang dikenakan semasa ‘zaman GST’? Itu hanya diketahui setelah mekanisma baharu cukai SST tersebut diumumkan kerajaan kelak.

     
     
  • GST-Sifar: Proton tawar pilihan rebat, baucar servis

    GST-Sifar: Proton tawar pilihan rebat, baucar servis

    Sebelum ini Proton mengumumkan mereka hanya memberikan baucar servis kepada pelanggan yang mendaftar kereta baharu mereka bermula 16 Mei hingga 31 Mei ini sebagai respon terhadap langkah kementerian kewangan yang menetapkan kadar GST kepada 0%. Namun hari ini, pengeluar automotif nasional tersebut mengumumkan bahawa inisiatif tersebut turut akan memberikan pilihan rebat tunai kepada pelanggan.

    “Semalam, Proton mengumumkan satu inisiatif yang menawarkan faedah kepada pembeli kereta Malaysia untuk membayar pada harga kadar sifar GST sebelum ianya berkuatkuasa. Hari ini, syarikat memberikan pelanggan pilihan untuk mereka menerima faedah ini, sama ada dalam bentuk baucar perkhidmatan atau rebat tunai. Tidak ada sebab untuk menunggu hingga 1 Jun 2018 untuk membeli Proton baharu kerana kami telah memberikan penjimatan yang lebih awal,” kata Abdul Rashid Musa, Naib Presiden Jualan & Pemasaran Proton.

    Menerusi tawaran ini, nilai rebat tunai yang ditawarkan adalah sama dengan perbezaan harga antara harga kereta semasa dengan harga setelah GST dikadarkan pada sifar peratus.

    Selain itu, Proton turut menawarkan diskaun 6% menerusi program servis berkala Proton Customer Care (kos buruh dan alat ganti servis berkala sahaja) kepada semua pemilik Proton yang membawa kereta mereka untuk diservis di pusat servis bertauliah Proton. Inisiatif servis ini akan bermula dari 19 Mei hingga 31 Mei.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025