Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz Concept EQ dipertontonkan dalam EQ Brand Exhibition di Desa Park City, Kuala Lumpur

    Mercedes-Benz Concept EQ dipertontonkan dalam EQ Brand Exhibition di Desa Park City, Kuala Lumpur

    Mercedes-Benz Concept EQ membuat penampilan pertamanya di peringkat Asia Tenggara – dalam acara Mercedes-Benz EQ Exhibition, yang bakal bermula esok.

    Model konsep, yang turut dikenali sebagai Generation EQ ini dipertontonkan di Paris Motor Show pada 2016, merupakan pendedahan bagi hala tuju elektrifikasi pengeluar kereta terbabit dan membantu untuk meningkatkan lagi kesedaran terhadap EQ Power oleh MBM di negara ini. Selepas ini, EV tersebut akan dipamerkan di Singapura sebelum meninggalkan rantau ini.

    Model empat-tempat duduk yang diprebiu sebagai EQC SUV ini akan hadir di pasaran dunia pada 2019 – dijanakan oleh dua motor elektrik, yang diletakkan di gandar hadapan dan belakang, dengan kuasanya disalurkan ke bateri yang ditempatkan di lantai kenderaan.

    Larasan pacuan semua-roda elektrik ini mampu menghasilkan keseluruhan kuasa sehingga 300 kW (402 hp) dan tork 700 Nm, membenarkan kenderaan ini dipacu dari 0-100 km/j hanya di bawah lima saat. Mengenai operasinya, kenderaan dengan sifar-emisi ini mampu dipacu sehingga 500 km.

    Model konsep SUV ini akan dipamerkan di The Waterfront di Desa Park City, KL, bermula esok sehingga 7 Mei ini, pada jam 10 pagi hingga 6 petang setiap hari.

    Acara ini bakal dibuka kepada orang ramai, bukan sahaja mempertontonkan Concept EQ, bahkan model EQ Power hybrid, Mercedes-Benz EQ Power C 350 e dan EQ Power E 350 e, serta model lain dalam barisan tempatan.

    MBM turut memperkenalkan stesen pengecasan EV ke-empat di Lembah Klang. Fasiliti baharu ini mempunyai dua petak stesen pengecasan EV, terletak di The Waterfront, Desa Park City, menyertai fasiliti EQ sedia ada yang terdapat di Bangsar Shopping Centre, Sunway Pyramid dan Pavilion KL.

    GALERI: Mercedes-Benz Concept EQ

    GALERI: Mercedes-Benz EQ Brand Exhibition, Waterfront, Desa Park City

     
     
  • Volvo XC40 dilancarkan di Australia, dari RM142k

    Volvo XC40 dilancarkan di Australia, dari RM142k

    Australia telah menerima kehadiran Volvo XC40 di pasaran mereka, dengan penawaran dua varian bagi SUV kompak ini iaiti D4 diesel dan T5 petrol, bersama kekemasan Momentum dan R-Design. Malah turut ditawarkan versi edisi terhad Launch Edition, yang didatangkan dengan kit tambahan. Harga bermula dari AUD47,990 (RM142,216) sehingga AUD59,740 (RM177,036), menurut CarAdvice.

    Kedua-duanya dipadankan dengan enjin pengecas turbo empat-silinder dengan transmisi automatik lapan-kelajuan AW TG-81SC serta pacuan semua-roda secara standard. Bagi T5, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 252 hp dan tork 350 Nm, manakala D4 pula sekitar 190 hp dan 400 Nm.

    Elemen standard bagi Momentum termasuklah roda aloi 18-inci, lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang “Thor’s Hammer”, upholstery fabrik, tempat duduk pemandu berkuasa dengan sokongan belakang, kluster instrumen digital 12.3-inci, sistem audio lapan-pembesar suara, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh Sensus bersama Apple CarPlay dan Android Auto Support, serta pengecas telefon tanpa wayar.

    Manakala R-Design pula dilengkapi gaya yang lebih menarik, ditambah pula dengan padanan gril hitam berkilat, paip ekzos berkembar, roda aloi hitam potongan-berlian 20-inci, dua tona cat, lencana R-Design, tekstil R-Design Nubuck dan upholstery kulit Nappa dengan headliner hitam, casis sport, roda stereng R-Design dengan pedal penukar gear dan tuil gear R-Design.

    Elemen tambahan untuk R-Design termasuklah tempat duduk hadapan larasan kuasa, Active Bending Light, kemasukan tanpa kunci, tailgate berkuasa dengan fungsi bukaan pergerakan dan sistem pencahayaan ambien dalaman yang dipertingkatkan.

    Secara keseluruhannya terdapat empat varian; T5 Momentum, T5 R-Design, D4 Momentum dan D4 R-Design, dengan versi Launch Edition ditawarkan dengan unit terhad bagi setiap satu daripadanya. Untuk Momentum Launch Edition, ia ditawarkan dengan bumbung matahari, lampu utama LED dengan Active Bening Light, kawalan kelajuan adaptif dengan Pilot Assist, sistem bunyi Harman Kadron dan tempat duduk hadapan dengan fungsi haba.

    Senarai kit lain termasuk roda aloi potongan-berlian lima-jejari 19-inci, kamera 360-darjah, kusyen tambahan untuk tempat duduk hadapan, Park Assist Pilot, kemasukan tanpa kunci, tailgate berkuasa, larasan elektronik bagi tempat duduk hadapan dan upholstery kulit.

    Manakala untuk R-Design Launch Edition pula, turut menerima bumbung matahari, tempat duduk hadapan dengan fungsi haba, kawalan kelajuan adaptif dengan Pilot Assist, Park Pilot Assist, sistem camera 360-darjah dan sistem bunyi Harman Kardon. Sesetengah daripada elemen ini juga dijadikan pilihan untuk standard bukan Launch Edition XC40.

     
     
  • Ford Ranger catat 9% lonjakan jualan di Malaysia

    Ford Ranger catat 9% lonjakan jualan di Malaysia

    Sime Darby Auto Connexion (SDAC) telah mengumumkan lonjakan jualan sebanyak 9% telah dicatatkan oleh Ford Ranger bagi rekod suku pertama di Malaysia, iaitu telah terjual sebanyak 1,451 unit. Prestasi suku tahun yang kukuh itu membantu Ranger meningkatkan penguasaan pasarannya dalam segmen trak pikap kepada 15.3%, naik 1.3% berbanding suku pertama tahun lalu.

    Ranger terus menjadi model paling laris Ford di Malaysia dan antara trak pikap yang paling laku di pasaran, berikutan permintaan yang semakin kukuh ke atas seluruh rangkaian modelnya.

    “Reka bentuk Ranger yang berani, selain aspek versatiliti, keselamatan dan kemampuan yang tiada tandingan nyata membantu meningkatkan popularitinya di Malaysia. Kami yakin bahawa Ranger akan memacu momentum jualan kami di Malaysia. Kami juga merancang untuk memperkenalkan lebih banyak kenderaan global Ford, selain terus meningkatkan aspek pengalaman pemilikan serta khidmat pelanggan,” ujar Pengarah Urusan SDAC Syed Ahmad Muzri Syed Faiz.

    Barisan Ranger di Malaysia kini ditambahkan dengan model baharu 2.2L WildTrak yang diperkenalkan pada pertengahan April lalu. Pelancaran untuk tahun ini juga melibat pilihan warna baharu bagi 2.2L FX4 dan juga 3.2L WildTrak.

    Bagi menyokong jumlah pelanggan Ford yang pantas berkembang di Malaysia, Ford dan SDAC dilihat terus meluaskan rangkaian pengedarnya di seluruh negara, iaitu di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Baru-baru ini, Ford dan SDAC mengumumkan pembukaan pusat jualan, servis dan alat ganti baharu Ford di Sarawak, Sime Darby Auto Connexion (Kuching).

    GALERI: Ford Ranger 2.2L WildTrak

     
     
  • Grab jalin kerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi menawarkan pengangkutan ke hospital kerajaan

    Grab jalin kerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi menawarkan pengangkutan ke hospital kerajaan

    Grab Malaysia telah mengumumkan perjanjian kerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi membantu pesakit dan pelawat untuk mendapatkan pengangkutan yang lebih efisien ke beberapa buah hospital kerajaan terpilih di seluruh negara. Program ini terdorong dek masalah parkir yang kian meruncing di kebanyakan hospital kerajaan, di samping mungkin ada juga para pesakit atau pelawat yang mengalami kesulitan untuk mendapatkan pengangkutan.

    Kerjasama ini telah diumumkan oleh Dato’ Mohd Shafiq Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan, di Hospital Serdang, baru-baru ini. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Hal Ehwal Awam dan Kerajaan Grab Malaysia Amri Sham.

    Menurut Grab, terdapat aturan telah diselaraskan bagi orang awam yang ingin menggunakan perkhidmatan ini iaitu mereka perlu memilih tempat untuk diambil dari mana-mana lokasi dan diturunkan iaitu di mana-mana hospital yang terpilih. Kemudian gunakan kod promo eksklusif yang diberi untuk pengguna Grab yang baharu atau sedia ada, dengan menerima potongan masing-masing sebanyak RM4 untuk empat kali pengangkutan dan juga diskaun RM4 untuk dua kali pengangkutan.

    Sebagai tambahan bagi kod promo tersebut, pengguna Grab juga boleh mendapat manfaat daripada pelbagai ciri Grab termasuklah GrabChat iaitu kemudahan komunikasi dengan pemandu mereka, selain GrabReward yang menawarkan mata ganjaran yang boleh ditebus bagi pengangkutan secara percuma.

    Terdapat 16 hospital yang mengambil bahagian dalam program telah pun berlangsung sejak April lalu iaitu Hospital Ampang, Hospital Kajang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang, Hospital Serdang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Putrajaya, Hospital Queen Elizabeth, Hospital Queen Elizabeth II, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Hospital Sultanah Aminah, Hospital Georgetown Pulau Pinang, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Tuanku Jaafar dan Hospital Sultanah Bahiyah.

    Untuk maklumat lanjut mengenai program ini, sila layari https://www.grab.com/my/grab-x-ministry-of-health/

     
     
  • BMW buka kilang pemasangan enjin di Kulim secara rasmi, dioperasikan oleh Sime Darby Auto Engineering

    BMW buka kilang pemasangan enjin di Kulim secara rasmi, dioperasikan oleh Sime Darby Auto Engineering

    sdr

    BMW Group Malaysia dan Sime Darby Auto Engineering (SDAE) iaitu divisyen Sime Darby Motors hari ini telah membuka kilang pemasangan enjin SDAE di Kulim, Kedah secara rasmi.

    Kilang ini akan membekalkan tiga jenis enjin iaitu B38 petrol tiga-silinder 1.5 liter turbo, B48 petrol empat-silinder 2.0 liter turbo dan juga B47 diesel empat-silinder 2.0 liter turbo. Enjin-enjin berkenaan akan dibekalkan untuk model-model CKD BMW Malaysia seperti Mini Countryman Cooper S Sport, dan juga model-model hibrid termasuk Mini Countryman plug-in hybrid, BMW 330e M Sport, 530e Sport, 740Le xDrive dan X5 xDrive 40e.

    Buat masa ini, kilang ini mampu menghasilkan 12 unit enjin sehari, dan produksi tersebut bakal dinaikkan kepada 40 unit sehari menjelang Julai 2019.

    Dibangunkan di kawasan seluas 6 ekar, fasiliti dengan keluasan 8,500 meter persegi ini dibina dengan jumlah pelaburan melebihi RM 132 juta oleh SDAE. Kilang pemasangan enjin terbaharu ini bukan sahaja memberi sokongan terhadap permintaan oleh BMW Group Malaysia bagi kenderaan yang dipasang di dalam negara, malah membantu inisiatif pengeksportan BMW ke pasaran serantau.

    BMW buka kilang pemasangan enjin di Kulim secara rasmi, dioperasikan oleh Sime Darby Auto Engineering

    cof

    Dilengkapi dengan inovasi pemasangan enjin yang terbaharu, fasiliti tersebut mempunyai peralatan pemasangan EST, kelengkapan Teknologi Dosing dan Bonding (DoboTech), membuat nombor enjin, pengisian minyak enjin serta mesin ujian untuk larasan injap hidraulik, ujian kebocoran, serta ujian prestasi.

    Fasiliti terbaharu ini juga mengambil 60 pekerja tambahan yang sejajar dengan komitmennya untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan prospek kerjaya dalam pasaran pekerjaan tempatan di kawasan Teknologi Tinggi Kulim.

    “Saya berbesar hati untuk merasmikan pembukaan Fasiliti Pemasangan Enjin milik Sime Darby Auto Engineering yang terbaharu di Kulim, Kedah pada hari ini. Fasiliti pemasangan enjin baharu ini yang dibangunkan melalui kerjasama dan inisiatif Sime Darby Motors bersama BMW Group bukan sahaja akan merangsangkan persaingan di dalam negara dan rantau berhampiran, malah ia juga akan mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan kemahiran kompetensi teknikal untuk warga Malaysia.” kata B Datin K. Talagavathi, Timbalan Setiausaha Agung (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika majlis perasmian ini berlangsung

    Tambah beliau lagi, pembangunan fasiliti terbaharu ini serta kilang pemasangan dan Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau di Johor oleh BMW Group menggalakkan pertukaran pengetahuan teknologi, secara tidak langsung mewujudkan lebih banyak lagi tenaga kerja yang inovatif dan berbakat sejajar dengan aspirasi transformasi yang ingin dicapai oleh Malaysia.

    Cik Ilka Horstmeier, Timbalan Presiden Kanan Enjin Produksi dan Janakuasa Elektrik BMW Group pula berkata, “Hari ini merupakan hari yang istimewa: bersama SDAE, kita berjaya menubuhkan fasiliti pemasangan enjin yang baharu untuk enjin BMW di Malaysia. Kerjasama utuh yang dijalin dengan rakan niaga kami membuahkan hasil melalui pemasangan enjin 3- dan 4-silinder, di samping enjin diesel 4-silinder, serta enjin pembakaran 3- dan 4-silinder untuk kenderaan elektrik Plug-In Hybrid.”

    “Sejak sekian lama, Malaysia telah memainkan peranan sebagai rakan kongsi strategik bagi BMW Group di rantau Asia Tenggara, dan kepentingan negara ini dicerminkan melalui prestasi syarikat kami yang sejajar dengan pencapaian kami di seluruh dunia. Pada suku pertama tahun 2018, BMW Group berada dalam landasan yang disasarkan untuk mencapai jualan pemecahan rekod selama lapan tahun berturut-turut dengan penjualan kenderaan sebanyak 604,629 unit di seluruh dunia, ia melakarkan peningkatan sebanyak 3% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2017,” kata En. Harald Hoelzl, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia.

    Tambah Hoelzl, “Prestasi positif yang dikecapi di seluruh dunia juga turut dicerminkan di Malaysia, dimana BMW Group Malaysia mengecapi peningkatan jualan sebanyak 15% bagi kenderaan seperti BMW, MINI dan BMW Motorrad di dalam negara, dengan catatan penjualan sebanyak 3,000 unit kenderaan pada suku pertama tahun 2018.

     
     
  • Pas percuma bagi tayangan istimewa filem Deadpool 2 untuk dimenangi melalui peraduan Driven Movie Night

    Pas percuma bagi tayangan istimewa filem Deadpool 2 untuk dimenangi melalui peraduan <em>Driven Movie Night</em>

    Driven Movie Night kembali lagi untuk tahun 2018! Kali ini, kami akan memberi peluang kepada anda untuk menjadi antara yang terawal menonton filem Deadpool 2, ihsan dari 20th Century Fox Malaysia! Kami sedang mencari pemenang-pemenang bertuah untuk menyertai kami bagi tayangan istimewa berkenaan, yang akan berlangsung pada 15 Mei nanti, jam 9.00 malam bertempat di GSC 1 Utama, Petaling Jaya.

    Keseluruhannya, terdapat 20 pasang tiket menanti anda, atau bersamaan 40 pas percuma semuanya. Apa yang perlu anda lakukan ialah tonton sedutan filem berkenaan (trailer) di bawah dan jawab dua soalan mudah. Anda perlu cepat, kerana peraduan akan ditutup pada Jumaat, 11 Mei 2018.

    Watak kegemaran ramai dari Marvel ini kini kembali, tentunya dengan lebih bayak kejutan. Ketika di dalam misi merbahaya, Deadpool dipaksa untuk memikirkan tentang persahabatan, keluarga dan apa erti sebenarnya menjadi seorang hero – dalam masa yang sama beliau beraksi menewaskan lawan-lawannya yang ada. Kerana, kadangkala, untuk melakukan sesuatu yang betul, taktik kotor perlu digunakan.

    Untuk mengetahui pengakhiran kisah ini, sertai peraduan ini sekarang.

    *Peraduan ditutup pada Jumaat, 11 Mei 2018. Para pemenang akan diumumkan di paultan.org dan dimaklumkan melalui emel dan SMS pada Isnin, 14 Mei 2018. Keputusan adalah muktamad, dan sebarang bantahan tidak akan dilayan. Tayangan filem akan diadakan pada 9.15pm, 15 Mei di GSC 1 Utama di Petaling Jaya, dan pemenang perlu mengambil pas mereka dilokasi berkenaan sejam sebelum tayangan bermula. Disebabkan lokasi tayangan, peraduan ini dibuka untuk mereka yang tinggal di Lembah Klang sahaja.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia pilih Desa Park City sebagai lokasi ke-empat bagi fasiliti pengecasan EV baharu

    Mercedes-Benz Malaysia pilih Desa Park City sebagai lokasi ke-empat bagi fasiliti pengecasan EV baharu

    Pagi ini Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah melancarkan stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) ke-empat di Lembah Klang. Fasiliti terbaharu yang terletak di The Waterfront, Desa Park City ini dilengkapi dengan dua petak pengecasan. Selain di Desa Park City, MBM telah pun melancarkan fasiliti yang sama di Bangsar Shopping Centre, Sunway Pyramid dan Pavillion KL.

    Stesen pengecasan di Desa Park City ini merupakan yang pertama diletakkan di luar bangunan. Menurut timbalan presiden jualan dan pemasaran MBM Mark Raiune, pihaknya mempunyai perancangan utnuk memperkenalkan lebih banyak lokasi pengecasan di luar bangunan seperti ini, dan bukan setakat di pusat membeli-belah sahaja.

    “Tidak dinafikan stesen pengecasan di pusat membeli-belah lebih memudahkan pengguna Mercedes-Benz EQ Power Hybrid, tetapi mungkin pemilihan lokasi sama da di kawasan perumahan atau pun bangunan pejabat bakal menjadi pilihan untuk menempatkan stesen pengecasan ini pada masa akan datang,” ujarnya memberitahu paultan.org ketika ditemui dalam EQ Brand Exhibition, yang bermula esok.

    EQ Brand Exhibition yang dibuka kepada orang ramai, bukan setakat menampilkan model EQ Power hibrid iaitu Mercedes-Benz EQ Power C 350 e dan EQ Power E 350 e, malah turut akan mempamerkan Concept EQ. Menurut kajian Generation EQ yang dijalankan, ia akan mengetengahkan hala tuju kenderaan elektrik oleh pengeluar terbabit termasuk mewujudkan lebih banyak kesedaran terhadap EQ oleh MBM di negara ini.

    Model konsep SUV elektrik ini akan dipamerkan di acara terbabit yang berlangsung dari 4 hingga 7 Mei ini di The Waterfront, Desa Park City, dari jam 10 pagi hingga 6 petang setiap hari.

     
     
  • Semua jalan kampung di Malaysia bakal guna teknologi berasaskan getah akhir 2019 – Ismail Sabri

    Semua jalan kampung di Malaysia bakal guna teknologi berasaskan getah akhir 2019 – Ismail Sabri

    Selepas Kampung Desa Temu Jodoh ke Kampung Kwong Sai, Johor Bahru menjadi jalan raya pertama di negara ini menggunakan teknologi Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA), Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan semua jalan kampung di seluruh negara akan dibangun menggunakan teknologi berasaskan getah selewat-lewatnya tahun depan.

    Katanya, cadangan pembinaan jalan kampung melibatkan laluan sepanjang 300 kilometer (km) menggunakan kaedah Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA) atau Rubberised Road itu akan dimulakan sejurus kajian akhir yang sedang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) ke atas kualiti jalan menggunakan getah bekuan dalam campuran asfalt itu dimuktamadkan sedikit masa lagi, menurut laporan Bernama.

    “Pembinaan jalan berasaskan getah yang dibangunkan melalui kajian bersama antara kementerian dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) itu juga bertujuan mengoptimumkan penggunaan bahan komoditi itu. Selepas JKR memberi perakuan ke atas kualiti dan ketahanan jalan hasil teknologi ini, kami akan pastikan seluruh jalan kampung dibina menggunakan kaedah Rubberised Road,” katanya.

    Semua jalan kampung di Malaysia bakal guna teknologi berasaskan getah akhir 2019 – Ismail Sabri

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan jalan menggunakan kaedah CMA di Kampung Paya Tateh, Triang sepanjang 1. 25 km dengan kos RM206,460 semalam.

    Tambahnya lagi, selain Paya Tateh, projek rintis menggunakan teknologi itu melibatkan peruntukan sebanyak RM5 juta dan turut dilaksanakan di 12 kampung lain membabitkan jarak sepanjang 17.7 km. Projek yang dimulakan sejak awal tahun ini itu, telah siap semuanya, sekali gus memberi manfaat kepada hampir 3,000 penduduk kampung berkenaan.

    “Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang menggunakan kaedah itu yang setiap kilometer jalan memerlukan getah beku sebanyak 4.2 metrik tan. Walaupun harga Rubberised Road lebih mahal iaitu antara RM45 hingga RM53 semeter persegi berbanding harga jalan premix RM25 hingga RM30 bagi satu meter persegi, tetapi kami yakin harga tersebut akan menjadi lebih kompetitif selepas penggunaanya yang lebih meluas selepas ini,” sambungnya lagi.

     
     
  • GALERI: Kia Grand Carnival 2.2D SX – RM188,888

    GALERI: Kia Grand Carnival 2.2D SX – RM188,888

    Diperkenalkan pada bulan lepas, Kia Grand Carnival 2.2D SX merupakan varian baharu bagi MPV pemasangan tempatan ini. Galeri penuh ini memberikan lebih terperinci daripada sudut visual untuk anda, di mana varian ini dijual pada harga atas jalan RM188,888 tidak termasuk insurans.

    Seperti varian asas 2.2D KX, SX turut menampilkan enjin 2.2 liter empat-silinder turbodiesel dengan hamburan kuasa 190 hp pada 3,800 rpm dan tork 440 Nm antara 1,750 hingga 2,750 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dengan pacuannya disalurkan ke roda hadapan.

    Elemen yang dipertonjolkan oleh SX ini termasuklah lampu utama projektor HID (dengan lampu posisi LED) berbandng unit halogen pada KX. Selain itu, ia turut didatangkan dengan roda aloi Chrome Sputtering 19-inci, yang dipertingkatkan dari set 18-inci pada KX, selain chrome pin pada gril hadapan. Pilihan warna termasuk dua tona baharu – Blackberry, yang menggantikan Titanium Brown dan Silky Silver – eksklusif untuk SX.

    Di dalamnya pula, SX didatangkan dengan tempat duduk yang dibalut kulit dua tona warna burgundy, sistem audio dengan skrin sesentuh lapan-inci yang boleh disambung dengan Android Auto dan Apple CarPlay dan panel instrumen berserta skrin TFT LCD tujuh inci-untuk pemandu.

    Lain-lain elemen standard termasuk pintu gelangsar belakang, roda stereng dengan fungsi haba, kemasukan tanpa kunci dan butang push start dan camera pandang-belakang. Elemen unik bagi SX termasuklah tempat duduk hadapan berkuasa dengan 12-hala dan alas konsol tengah gelangsar untuk barisan kedua.

    Harga seperti yang disebutkan di atas adalah termasuk waranti pengeluar lima-tahun/perbatuan tanpa had dan skim ‘Value S’. Untuk mengetahui lebih terperinci mengenai varian ini, sila layari Carbase.my.

    Ikuti ulasan pandu uji Kia Grand Carnival DI SINI.

     
     
  • Harga bahan api 3-9 Mei – masih kekal tidak berubah

    Harga bahan api 3-9 Mei – masih kekal tidak berubah

    Seperti yang dijangka, harga bahan api bagi tempoh seminggu ke hadapan, dari 3 hingga 9 Mei, masih kekal seperti minggu-minggu sebelum ini.

    Ini menjadikan harga bahan api petrol bagi RON 95 masih lagi dijual pada harga RM2.20 seliter, manakala petrol RON 97 pula dijual pada harga RM2.47 seliter. Bagi bahan api diesel pula, Euro 2M akan dijual pada harga RM2.18 seliter, diikuti RM2.28 seliter bagi diesel Euro 5.

    Harga kekal seperti ini dijangka akan berterusan sehingga selepas tempoh Pilihanraya Umum ke-14 nanti, walaupun harga minyak dipasaran dunia ketika ini semakin meningkat.

     
     
  • Borgward jalin persetujuan dengan Go Bremen Motors

    Borgward jalin persetujuan dengan Go Bremen Motors

    Borgward dan sebuah syarikat tempatan, Go Bremen Motors telah menandatangi persetujuan yang bakal menyaksikan syarikat tempatan itu akan mengilang dan mengedarkan model kenderaan Borgward untuk pasaran Malaysia serta beberapa pasaran lain Asean yang terpilih. Perjanjian itu dimeterai pada 29 April lalu ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow 2018.

    Rundingan antara kedua-dua belah pihak telah bermula sejak Januari 2017, dan diteruskan dengan beberapa siri perbincangan selepas itu yang membawa kepada persetujuan untuk menandatangani sebuah MoU pada September 2017, sekaligus membuka jalan kepada Go Bremen untuk melanjutkan usahanya pada tahun yang sama.

    Dua model terawal yang akan diperkenalkan di Malaysia nanti ialah Borgward BX7 dan BX5, yang turut dipertontonkan pada pameran berkenaan. Menurut syarikat itu pengenalan rasmi jenama dan model-model terlibat kemungkinan akan dilakukan pada suku ketiga 2018.

    Borgward jalin persetujuan dengan Go Bremen Motors

    Borgward asalnya merupakan sebuah jenama berasal dari Jerman, yang beroperasi sejak tahun 1919 lagi. Namun, pada 1961, syarikat berkenaan menghentikan oeprasinya. Kemudian, pada tahun 2015, sebuah syarikat dari China Beiqi Foton Motor yang merupakan anak syarikat BAIC Group menghidupkan semula jenama ini – Borgward BX7, yang dipamer ketika Frankfurt Motorshow 2015 menjadi titik mula kepada kebangkitan itu.

    BX7 merupakan sebuah SUV tujuh-tempat duduk (turut ditawarkan sebagai lima-tempat duduk) memiliki dimensi 4,715 mm panjang, 1,911 mm lebar dan 1,690 mm tinggi, dengan jarak rodanya 2,780 mm panjang. Ia menggunakan enjin 2.0 liter turbo dengan janaan 224 PS pada 5,500 rpm dan tork 300 Nm dari 1,500 hingga 4,500 rpm untuk pasaran di China.

    Borgward jalin persetujuan dengan Go Bremen Motors

    BX5 pula lebih kecil, dengan dimensi 4,490 mm panjang, 1,877 mm lebar dan 1,675 mm tinggi, dengan 2,685 mm bagi jarak antara roda. Di China, difahamkan unit ini hadir dengan pilihan enjin 1.4 liter turbo atau 1.8 liter turbo (190 PS/280 Nm).

    Apa pun, perincian spesifikasi bagi model yang akan dipasarkan di Malaysia masih lagi belum disahkan setakat ini. Sama-sama kita nantikan sebaik sahaja jenama ini dan dua model berkenaan dilancarkan secara rasmi nanti. Sementara itu, tonton video yang kami sediakan untuk melihat dengan lebih dekat model BX7 dan BX5 ini.

    GALERI: Borgward BX7

    GALERI: Borgward BX5

     
     
  • SPYSHOT – Toyota Supra generasi baharu kini mula diuji dengan rim produksi, hampir ke bentuk sebenar

    SPYSHOT – Toyota Supra generasi baharu kini mula diuji dengan rim produksi, hampir ke bentuk sebenar

    Nampaknya unit-unit prototaip Toyota Supra generasi baharu yang sedang diuji kini menghampiri bentuk produksi sebenarnya. Gambar intipan terbaharu yang kami terima memperlihatkan kereta berkenaan kini menggunakan pelekat penyamaran yang semakin ringan dan mula mengenakan rim produksi sebenar.

    Seperti model konsep perlumbaan Gazoo Racing Supra yang membuat kemunculan di Geneva Motor Show Mac lalu, kereta ini sememangnya direka hampir sama dengan model konsep Toyota FT-1. Dapat dilihat pada portotaip kali ini, ia diberikan lampu hadapan LED yang terdiri dari enam projektor kecil.

    Pada bahagian belakang pula, perincian yang dapat dilihat adalah pada bampar belakangnya – diberikan kemasan seperti diffuser, lampu kabus pada bahagian tengah serta turut menempatkan perumah untuk dua tip ekzos bulat di kiri dan kanan.

    Yang menampakkan unit kali ini begitu hampir dengan versi produksi adalah rim yang dipadankan – ia kini diberikan rim dengan lima jejari berkembar kemasan dua-tona serta menampilkan offset yang ‘ngam’ dengan badannya, dibaluti tayar 255/35.

    SPYSHOT – Toyota Supra generasi baharu kini mula diuji dengan rim produksi, hampir ke bentuk sebenar

    Tiada gambar dalaman untuk set gambar kali ini, namun sebelum ini telah didedahkan rekaan kabin untuk Supra juga mula berbeza dengan kembarnya iaitu BMW Z4.

    Supra generasi baharu dibina bersama oleh Toyota dan BMW dimana pengeluar dari Jerman berkenaan membangunkan roadster Z4 generasi terkini di atas platform kereta sport yang sama sejak 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z4 dan Supra dilakukan secara berasingan.

    Walau bagaimanapun, tidak seperti apa yang terjadi pada kembar Toyota 86 dan Subaru BRZ, rekaan Supra ini jelas berbeza dari BMW Z4 yang tampil dengan bentuk badan roadster. Ogos tahun lalu, BMW telah pun mendedahkan model BMW Concept Z4 di Pebble Beach Concours D’Elegance, yang memberikan gambaran paling hampir bagaimana rupa versi produksi sebenar nanti.

    SPYSHOT – Toyota Supra generasi baharu kini mula diuji dengan rim produksi, hampir ke bentuk sebenar

    Sebelum ini juga CEO BMW Group Australia Marc Werner pernah memberitahu portal CarAdvice bahawa kedua-dua kereta tersebut bukan hanya berbeza dari segi rekaan, malah pemanduan antara kedua-duanya adalah berbeza sama sekali dan purist BMW sedia ada jangan risau kerana Z4 generasi seterusnya itu masih lagi sebuah “ultimate driving machine“ sebenar.

    Namun sehingga kini, tiada lagi perincian teknikal menyeluruh dari Toyota berkenaan Supra tersebut. Tetapi, ketua jurutera Tetsuya Tada (yang juga bertanggungjawab dalam projek Toyota 86 sebelum ini) mengesahkan Supra generasi baharu ini direka dengan titik graviti lebih rendah dari 86, mempunyai nisbah berat 50:50 dan difokuskan lebih terhadap pengendalian – berbeza dari Supra JZA80 dengan enjin 2JZ-GTE yang dilihat sebagai pemusnah supercar di laluan lurus.

    Tada juga menjelaskan bahawa Supra generasi baharu ini tidak akan hadir dengan kotak gear manual – dijangka mungkin akan diberikan kotak gear automatik lapan-kelajuan dari ZF seperti Z4 atau kotak gear automatik klac berkembar.

     
     
  • GALERI: Toyota Corolla Hatchback 2019 untuk US

    GALERI: Toyota Corolla Hatchback 2019 untuk US

    Ini merupakan Toyota Corolla Hatchback 2019 serba baharu untuk pasaran Amerika Syarikat (US). Kembar kepada Auris telah ditampilkan buat pertama kalinya pada Mac lalu dan dijangka akan memulakan penjualannya di Amerika Utara pada musim panas ini bagi menggantikan Corolla iM, dengan menawarkan dua varian iaitu SE dan XSE.

    Dibina dengan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), larasan suspensi Corolla ini termasuk dengan topang MacPherson di hadapan dan multi-links di belakang dengan palang penstabilan. Ketegaran kilasannya telah dipertingkatkan iaitu sebanyak 60% berbanding model sebelumnya.

    Di bawah bonetnya terletak enjin baharu M20A-FKS 2.0 liter Dynamic Force naturally-aspirated empat-silinder petrol dengan hamburan kuasa 168 hp dan tork 205 Nm. Secara fizikalnya, ia adalah lebih ringan dan lebih kecil berbanding enjin 1.8 liter sebelum ini, didatangkan dengan sistem port suntikan terus Toyota D-45 serta VVT-iE electric variable valve timing pada bahagian pengambilan (VVT-i untuk ekzos).

    Enjin ini turut didatangkan dengan Direct Shift-CVT (Toyota USA menggelarkannya Dynamic-Shift CVT) atau Intelligent Manual Transmission (iMT) enam-kelajuan.

    GALERI: Toyota Corolla Hatchback 2019 untuk US

    Bagi penggayaannya, Corolla mengalami olahan yang agak radikal berbanding model sebelumnya, dengan garisan yang lebih agresif termasuk yang ditonjolkan ialah lampu utama LED dan lampu belakang berbentuk-J secara standard bagi semua gred, tetapi varian XSE CVT didatangkan dengan Sistem Pencahayaan Hadapan Adaptif (AFS).

    Lain-lain elemen yang eksklusif untuk XSE termasuklah roda 18-inci, lampu kabus LED, gril hadapan krom dan spoiler belakang. Pilihan warna termasuklah Blue Flame, Blizzard Pearl, Silver Metallic, Midnight Black, Galactic Aqua Mica, Scarlet dan Oxide Bronze, sementara saiz rodanya dari 16- hingga 18-inci, bergantung pada pilihan gred.

    Bagi elemen dalamannya, SE didatangkan dengan skrin sesentuh multimedia lapan-inci, sistem informasi Entune 3.0 Audio, enam pembesar suara, kekemasan hitam pekat dan perak serta jahitan kontras, kawalan suhu zon-tunggal, brek parkir elektronik, sistem SmartKey dan dua port USB di hadapan.

    GALERI: Toyota Corolla Hatchback 2019 untuk US

    Sementara XSE pula dihadirkan dengan kawalan suhu dwi-zon, tempat duduk balutan kombinasi kulit, tempat duduk hadapan dengan lapan-cara larasan dengan fungsi haba, jahitan unik pada panel instrumen dan pintu serta paparan pelbagai-info TFT tujuh-inci. Entune 3.0 Audio Plus juga standard bagi XSE (pilihan untuk SE CVT), ditambah dengan servis yang berkaitan. Manakala Entune 3.0 Audio Premium juga hadir sebagai pilihan, dengan fungsi tambahan dan sistem audio JBL lapan-pembesar suara.

    Bagi aspek keselamatan, Toyota Safety Sense (TSS) 2.0 hadir secara standard buat Corolla Hatchback, dan didatangkan dengan sistem berikut: Sistem Pra-Pelanggaran dengan Pengesan Pejalan Kaki, Kawalan kelajuan Radar Dinamik Kelajuan Penuh (Full-Speed DRCC), Kawalan Kelajuan Radar Dinamik (DRCC), Kepekaan Ketibaan Lorong dengan Bantuan Stereng, Lampu Tinggi Automatik (AHB), Bantuan Mengesan Lorong (LTA) dan Bantuan Isyarat Jalan (RSA) di mana dua yang terakhir itu adalah tambahan baharu.

    Lain-lain termasuklah tujuh beg udara bagi Toyota Star Safety System, Bantuan Kestabilan Kenderaan Dipertingkatkan (VSC), kawalan cengkaman, EBD, bantuan brek, ABS dan Smart Stop Technology. Paparan Titik Buta (BSM) adalah standard bagi XSE dan boleh didapati pada SE.

     
     
  • Subaru akui memalsukan data ujian pencemaran dan penggunaan bahan api 903 buah kenderaannya

    Subaru akui memalsukan data ujian pencemaran dan penggunaan bahan api 903 buah kenderaannya

    Subaru telah mengeluarkan satu laporan kepada kerajaan Jepun minggu lalu bahawa data penggunaan bahan api dan ujian emisi untuk 903 buah kereta baharunya telah dipalsukan di salah sebuah kilangnya, dan kesalahan berkenaan ‘berkemungkinan besar’ telah diamalkan sejak tahun 2002. Kes ini juga merupakan lanjutan dari pengakuan Subaru tahun lalu yang menyatakan bahawa ada kakitangannya yang tidak bertauliah yang menjalankan pemeriksaan terhadap kereta-kereta baharu.

    Menurut Subaru, pemalsuan data berkenaan dilakukan pada pemeriksaan peringkat terakhir dalam kilang Subaru di Gunma yang diarahkan oleh ketua pemeriksa dan kemudiannya disambung oleh pekerja lain. Data yang dimanipulasi berkenaan telah menjejaskan sembilan model jenama tersebut termasuk Subaru Forester dan Subaru BRZ.

    Laporan ini dihantar oleh Yasuyuki Yoshinaga, presiden Subaru kepada pengarah besar Biro Pengangkutan Jalan, Tetsuya Okada. “Saya meminta maaf dari lubuk hati saya kerana membangkitkan banyak kebimbangan dan masalah. Ini merupakan isu kepatuhan yang serius. Saya sangat kesal dengan apa yang terjadi,” kata Yoshinaga selepas menghantar laporan tersebut, menurut Japan Times.

    Okada menggesa Subaru untuk mematuhi sepenuhnya undang-undang dan menyatakan mana-mana data yang dimanipulasi akan menyebabkan hilang kepercayaan pengguna terhadap pengeluar-pengeluar automotif. Subaru masih belum ada rancangan untuk melakukan panggilan semula kerana tiada isu berkaitan kualiti dijumpai, tambah laporan itu lagi.

    Menurut Japan Times lagi, dalam laporan tersebut turut menyatakan bahawa Subaru masih lagi meneruskan pemalsuan data berkenaan walaupun skandal yang hampir serupa menimpa Mitsubishi dan ada berberapa pekerja di kilang Subaru bersuara bahawa amalan tersebut perlu dihentikan.

     
     
  • TINJAUAN RINGKAS: Meter digital Geely Boyue 2018

    Melihat kepada pra-tonton model contoh SUV pertama Proton yang dipamerkan minggu lalu, semakin jelas kini bahawa model Proton itu nanti akan menggunakan model Geely Boyue versi facelift terkini 2018 dan bukan versi yang sebelum itu.

    Melihat kepada penampilan SUV Geely itu, memang terserlah imej dan pakej yang menarik yang ingin ditawarkan. Dari segi reka bentuk sahaja, ia mampu menandingi model-model lain yang menjadi pesaingnya ketika ini, bagi SUV segmen C di sini.

    Tidak ketinggalan ialah senarai kelengkapan yang bakal ditawarkan oleh Proton. Setakat ini, sudah disahkan bahawa SUV pertama Proton itu nanti antara lain akan dilengkapi dengan ciri-ciri termaju seperti sistem pemantau titik buta, bantuan pemanduan seperti brek kecemasan automatik (AEB), adaptive cruise control, amaran keluar laluan dan juga lampu tinggi automatik.

    Selain itu, SUV ini turut didatangkan dengan pembersih udara pintar, sistem pemantau angin tayar, kamera 360-darjah dan juga sistem infotaimen bersama skrin sesentuh lapan-inci lengkap dengan hubungan internet 4G dan juga aplikasi mudah alih serta fungsi kawalan jauh menerusi telefon pintar.

    Minggu lalu, wakil kami dari seksyen bahasa Inggeris, Danny Tan berkesempatan untuk mengikut rombongan Proton ke Beijing Motor Show 2018 dan juga melawat premis Geely di sana. Antara yang sempat ditinjau pada model terbaru Boyue itu – yang dijangka turut akan ditawarkan pada SUV pertama Proton nanti – ialah paparan meter digital yang ada. Tonton video ringkas ini untuk tahu lebih lanjut.

    GALERI: Pra-tonton SUV Pertama Proton di Malaysia

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025