Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hyundai Palisade 2022 kini di M’sia – RM329k-RM359k, V6 3.8L petrol dan 2.2L Diesel, 7- & 8-tempat duduk

    Hyundai Palisade 2022 kini di M’sia – RM329k-RM359k, V6 3.8L petrol dan 2.2L Diesel, 7- & 8-tempat duduk

    Selepas mendarat di Indonesia Disember tahun lalu, kini SUV bersaiz besar gaya Amerika, buatan Korea iaitu Hyundai Palisade dilancarkan pada pasaran Malaysia secara rasmi. Berbanding pasaran negara jiran berkenaan yang hanya diberikan enjin diesel, pengedar Hyundai di sini iaitu Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) menawarkan Palisade dengan pilihan enjin turbodiesel dan petrol V6, dengan kedua-duanya boleh dipilih dengan konfigurasi tujuh- atau lapan-tempat duduk.

    Jadi secara keseluruhan, Palisade boleh dipilih dalam empat varian iaitu 2.2 Diesel Executive 7 dijual pada harga RM348,888, diikuti 2.2 Diesel Executive 8 dijual pada harga RM328,888, manakala model petrol pula dimulakan dengan varian 3.8 GDI Luxe 7 dijual pada harga RM358,888 dan model paling atas 3.8 GDI Luxe 8 dijual pada harga RM338,888.

    Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga asas tanpa sebarang pilihan opsyen, atas jalan tanpa insuran bersama pengecualian 50% cukai jualan sehingga 30 Jun 2022 – Palisade pasaran Malaysia ini diimport sepenuhnya (CBU) dari kilang utama Hyundai yang terletak di Ulsan, Korea Selatan. Setiap pembelian juga diberikan perlindungan waranti pengeluar selama dua-tahun atau 50,000 km (yang mana sampai dulu).

    Namun untuk pelanggan yang mahukan waranti selama lima-tahun/300,000 km, Palisade akan dijual pada harga RM 11,000 (untuk Luxe 7 dan Luxe 8) dan RM12,000 (untuk Exec 7 dan Exec 8) lebih mahal. Dengan harga tersebut pelanggan turut menerima servis penyelenggaraan percuma tiga tahun/50,000 km.

    Hyundai Palisade 2022 kini di M’sia – RM329k-RM359k, V6 3.8L petrol dan 2.2L Diesel, 7- & 8-tempat duduk

    Bagi model diesel, ia dijana oleh enjin R2.2 liter CRDi empat silinder turbodiesel menjana tork maksima 440 Nm yang sama seperti Santa Fe, namun ditala lebih berkuasa dengan 200 PS berbanding hanya 193 PS pada SUV segmen C tersebut. Manakala versi petrol pula menerima enjin V6 3.8 liter Lambda II dengan suntikan bahan api terus (GDI) yang sama seperti sedan mewah Hyundai Genesis pasaran Malaysia sebelum ini, ditala bagi menghasilkan kuasa 295 PS dan tork maksima 355 Nm.

    Kedua-dua pilihan enjin ini dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik, namun hanya model diesel diberikan sistem pacuan semua roda, sementara model petrol hanya menyalurkan kuasa ke roda hadapan. Gandingan ini membolehkan versi diesel memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.2 saat dan mencapai kelajuan maksima 190 km/j, manakala versi petrol pula mencatatkan masa 7.8 saat dalam pecutan sama sebelum mencapai kelajuan maksima 210 km/j.

    Juga, kedua-dua pilihan unit rangkaian kuasa ini hadir dengan mod pemanduan Eco, Comfort, Sport dan Smart, manakala hanya model diesel hadir dengan Traction Mode Select dengan mod Snow, Mud dan Sand yang disertakan pada sistem pacuan semua roda tersebut.

    Berapa besar Palisade ini? Atas kertas, ia menampilkan dimensi 4,980 mm panjang, 1,975 mm lebar, 1,750 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,900 mm. Untuk senang anda bayangkan, Palisade adalah 357 mm lebih panjang, 120 mm lebih lebar, 61 mm lebih tinggi dan jarak roda 240 mm lebih jauh berbanding Honda CR-V. Namun berbanding saingan dalam segmen sama iaitu Mazda CX-9, Palisade masih 95 mm lebih pendek dan menampilkan jarak roda 30 mm lebih dekat, tetapi diukur 6 mm lebih lebar serta 3 mm lebih tinggi.

    Untuk kelengkapan, kesemua varian hadir dengan kit yang sama iaitu lampu hadapan, lampu nyalaan siang, dan lampu belakang LED, rim aloi 20-inci jejari-Y bersama tayar 245/50R20 (tayar gantian juga diberikan set roda yang sama!), dua bumbung suria, cermin sisi elektrik bersama lampu puddle dan fungsi pemanas, rel bumbung serta pintu tailgate bantuan kuasa.

    Dalam kabin, semua versi Palisade pasaran Malaysia ini menerima paparan instrumen digital penuh Supervision dengan skrin TFT LCD bersaiz tujuh-inci, paparan head-up serta sistem infotainmen dengan skrin lapan-inci bersama sokongan Apple Carplay tanpa wayar, Android Auto serta kawalan arahan suara, dihubungkan kepada enam pembesar suara.

    Hyundai Palisade 2022 kini di M’sia – RM329k-RM359k, V6 3.8L petrol dan 2.2L Diesel, 7- & 8-tempat duduk

    Perincian lain yang diberikan standard untuk kesemua varian termasuk roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit, butang pemilih gear shift-by-wire, pedal penukar gear, brek parkir elektronik (dengan sistem auto hold), sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pengecas telefon pintar tanpa wayar, lampu dan pengelap cermin automatik serta sistem pendingin hawa tiga zon.

    Untuk konfigurasi tempat duduk, model lapan tempat duduk menampilkan susunan tiga baris 2-3-3, dengan tempat duduk baris kedua dan ketiga menampilkan tempat duduk jenis bench. Manakala versi tujuh tempat duduk pula diberikan susunan 2-2-3, di mana kerusi baris kedua adalah dari jenis Captain Seat yang lebih selesa.

    Kesemua varian menerima tempat duduk hadapan (pemanas dan pengalir udara) larasan kuasa 12 hala bersama fungsi memori untuk pemandu dan 8 hala untuk penumpang. Untuk tempat duduk baris kedua, varian tujuh tempat duduk turut menerima fungsi pemanas dan pengalir udara, manakala versi lapan tempat duduk hanya menerima fungsi pemanas di bahagian berkenaan.

    Kesemua baris tempat duduk juga menerima sekurang-kurangnya dua port USB (tujuh secara keseluruhan) serta 10 pemegang cawan di serata kabin. Ia juga diberikan empat port kuasa 12-volt yang masing-masing diletakkan pada konsol tengah, hadapan, belakang dan ruang but belakang.

    Penumpang baris kedua menerima pelindung cahaya matahari manual untuk setiap tingkap. Manakala untuk memudahkan penumpang masuk ke baris ketiga, kerusi baris kedua boleh dilipat dan digelangsarkan kehadapan dengan menekan butang satu sentuhan yang diletakkan pada bahagian atas dan bawah.

    Palisade menyediakan ruang kargo belakang sebesar 311 liter. Jika mahukan lebih ruang, tempat duduk baris ketiga turut boleh dilipat rata (serta diberikan karpet khas dan juga penutup tonneau yang boleh disorokkan di bawah lantai ruang kargo) bagi memberikan ruang tambahan sehingga 703 liter. Tak cukup lagi? Tempat duduk baris kedua juga boleh dilipat rata dengan menggunakan butang satu sentuhan yang disediakan pada ruang belakang tersebut.

    Hyundai Palisade 2022 kini di M’sia – RM329k-RM359k, V6 3.8L petrol dan 2.2L Diesel, 7- & 8-tempat duduk

    Untuk upholsteri pula, pembeli ditawarkan dengan opsyen untuk beberapa tema warna dan jenis material balutan. Untuk mereka yang mahukan tema hitam sepenuhnya, hanya kulit biasa ditawarkan. Manakala kulit Nappa boleh dipilih dalam warna Warm Grey dan ia akan dipadankan dengan kemasan-kemasan dalaman lain berwarna Navy. Khas untuk pembeli Palisade dalam konfigurasi tujuh tempat duduk, ia turut ditawarkan dengan upholsteri kulit Nappa berwarna Burgundy, dan ia datang dengan kemasan-kemasan dalaman berwarna hitam.

    Lima warna badan ditawarkan untuk semua varian Palisade iaitu Timeless Black, White Cream, Lagoon Silver, Steel Graphite dan Moonlight Cloud. Walau bagaimanapun, sekiranya pemilik model tujuh-tempat duduk mahukan upholsteri kulit Nappa berwarna Burgundy, ia tidak boleh dipadankan dengan warna badan luaran Moonlight Cloud.

    Beralih kepada fungsi keselamatan, kesemua varian menerima kelengkapan standard seperti enam-beg udara, sistem kawalan kestabilan elektronik, kawalan menurun bukit, pemantau titik buta, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix pada baris kedua dan ketiga, kamera undur, pemantau tekanan angin tayar, amaran lintasan trafik belakang, amaran buka pintu dan juga pengingat tempat duduk belakang.

    Walau bagaimanapun, hanya model dengan enjin petrol V6 sahaja menerima sistem bantuan pemanduan termaju Hyundai SmartSense yang terdiri dari sistem seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif (dengan stop & go), bantuan kekal tengah lorong, pengelak pelanggaran titik buta dan lintasan trafik belakang, lampu tinggi automatik, amaran mula berlepas hadapan, amaran selamat keluar dan juga amaran pengingat penumpang belakang yang berfungsi dengan penderia ultrasonic dalam kabin.

    Boleh dikatakan model petrol dan diesel diberikan perincian yang sama pada bahagian luaran membuatkan ia sukar untuk dibezakan antara kedua-duanya. Jadi untuk mudah mengenali mana satu model petrol, perhatikan panel berwarna hitam pada pemegang nombor plat belakang – ia dilengkapi dengan penderia dan kamera bagi membolehkan sebahagian sistem Hyundai Smartsense berfungsi.

    Untuk pengetahuan anda, selain Korea, Hyundai Palisade ini sebenarnya dihasilkan untuk pasaran Amerika Utara dan ia hanya dihasilkan dalam versi pemandua sebelah kiri (LHD) sejak diperkenalkan pada 2018 – sebab itulah ia menampilkan rupa yang tidak janggal jika berbaris bersama SUV keluaran Amerika seperti dari jenama GMC, Dodge dan sebagainya.

    Ia mula dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah bermula pada akhir tahun lalu, dengan sasaran utamanya untuk pasaran Australia dan New Zealand. Jenama mana lagi yang kita boleh pilih kalau nak SUV gaya Amerika macam Hyundai Palisade ini di Malaysia kan?

    GALERI: Hyundai Palisade 3.8 GDI Luxe 7 2022

    GALERI: Hyundai Palisade 2.2 Diesel Executive 8 2022

     
     
  • Yamaha Exciter 155 pasaran Vietnam dapat warna baru

    Yamaha Exciter 155 pasaran Vietnam dapat warna baru

    Setelah satu tahun berada dalam pasaran Vietnam, Yamaha Exciter 155 VVA (atau dikenali sebagai Y16ZR di Malaysia) diberikan penyegaran grafik, untuk versi Premium dan juga GP. Bagi versi Premium, terdapat tiga warna baru iaitu kuning, hitam dan merah, sementara versi GP kini menggunakan grafik biru baru yang digabungkan bersama warna ungu.

    Selain daripada warna baru ini, bahagian lain tidak diusik. Exciter 155 VVA digerakkan oleh enjin sama seperti R15 dan juga MT-15, iaitu unit satu silinder 155 cc, suntikan bahan api, SOHC dengan Variable Valve Actuation (VVA), yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan (klac slip & assist) untuk menghasilkan kuasa 17.7 hp pada 9,500 rpm dan 14.4 Nm tork pada 8,000 rpm.

    Jika dibandingkan dengan Y15ZR, panel badan Exciter 155 VVA adalah serba baru termasuk juga tempat duduk, dan ia menggunakan lampu jenis LED dengan nyalaan utama di bahagian atas, DRL di bahagian bawah dan penunjuk arah di bahagian tepi. Rekaan lampu belakang juga adalah baru dan dikatakan mendapat inspirasi daripada model sports YZF-R1.

    Pada bahagian meter, Exciter 155 VVA menggunakan unit digital LCD yang dapat memaparkan semua informasi dengan terang termasuk kelajuan, tahap rpm serta kedudukan gear. Pada bahagian butang kawalan di pemegang, selain fungsi biasa, penunggang juga disediakan dengan butang kill switch serta lampu memotong (pass light).

    Kelengkapan lain Exciter 155 VVA adalah tangki bahan api 5.4 liter, brek cakera dengan angkup dua piston di hadapan dan satu piston di belakang, rim 17 inci dengan 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang serta berat keseluruhan 120 kg.

     
     
  • BMW M’sia mula pasang pengecas DC pantas untuk EV – unit pertama di Auto Bavaria Ara Damansara

    BMW M’sia mula pasang pengecas DC pantas untuk EV – unit pertama di Auto Bavaria Ara Damansara

    BMW Group Malaysia hari ini telah mengumumkan bahawa mereka telah mula memasang pengecas DC pantas di Malaysia bagi memacu perkembangan adaptasi kenderaan elektrik (EV) di negara ini.

    Unit pertama pengecas tersebut telah dipasang di Auto Bavaria Ara Damansara untuk kegunaan awam, dan ia bakal disusuli dengan pemasangan unit seterusnya di pusat-pusat pengedaran BMW i yang lain di seluruh negara. Unit berkenaan merupakan pengecas 180 kW yang menggunakan penyambung CCS berkembar.

    Menurut BMW Malaysia lagi, langkah ini diambil selari dengan ketibaan barisan model elektrik penuh BMW i generasi terbaharu, serta menunjukkan bahawa mereka kekal komited untuk mempercepatkan penyediaan infrastruktur pengecasan di Malaysia dengan menyediakan fasiliti pengecas pantas di pusat pengedaran yang terpilih di seluruh negara.

    “Kami telah menerajui peralihan ke arah elektrifikasi bukan sahaja melalui portfolio kenderaan elektrik kami, namun juga dengan meluaskan rangkaian infrastruktur pengecasan tempatan di seluruh negara,” kata Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.

    “Kami telah menjalin kerjasama dengan GreenTech Malaysia untuk melahirkan sebuah ekosistem yang mampu menjulang mobiliti elektro, dan sedang meneruskan usaha untuk menunaikan komitmen tersebut bersama jaringan pengedar kami yang berdedikasi – bukan sahaja untuk pemilik BMW dan MINI, malah begitu juga dengan para pemilik kenderaan elektrik di Malaysia.

    “Kami yakin langkah ini dapat meningkatkan akses ke atas infrastruktur pengecasan di seluruh negara, selain membantu menangani kekhuatiran pengguna yang ingin memiliki kenderaan elektrik di Malaysia, misalnya bagi perihal melibatkan jarak operasi kenderaan,” tambahnya lagi.

    Vi Thim Juan, Pengarah Urusan Auto Bavaria pula menyatakan, “Seperti BMW Group, kami juga berpendapat bahawa masa hadapan kita akan berlandaskan elektrik, dan kami berbesar hati untuk menyertai kumpulan pengedar yang pertama untuk merealisasikan visi ini dengan memasang pegecas pantas DC di premis kami bagi kegunaan awam.”

    “Pelanggan setia kami juga kini boleh mengunjungi pusat pengedaran kami dan menikmati Pengalaman Pemilikan Elektrik yang dijanjikan kerana kami juga menggalas tanggungjawab bersama BMW Group Malaysia untuk menggiatkan peralihan ke arah mobiliti elektro di Malaysia,” tambahnya lagi.

     
     
  • JPJ lanjut tempoh 80% diskaun saman hingga 31 Dis

    JPJ lanjut tempoh 80% diskaun saman hingga 31 Dis

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan lanjutan tempoh bagi tawaran pengurangan notis saman (yang boleh dikompaun) sebanyak 80% sehingga 31 Disember 2021. Ia adalah berikutan sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai bersempena acara 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang telah berlangsung pada 9 sehingga 12 Disember 2021.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pengurangan kadar kompaun adalah diberikan kepada semua saman bagi kesalahan yang boleh dikompaun seperti disenaraikan di dalam Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Pengkompaunan Kesalahan) 2003, kecuali kepada kes-kes yang telah didaftarkan di mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap yang belum Dilepaskan Tanpa Dibebaskan (DNAA).

    Di mana semua Notis Saman yang telah dikeluarkan adalah berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem mySIKAP JPJ, terhadap kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), serta Kaedah-Kaedah dan Perintah-Perintah di bawahnya, termasuklah kes yang masih dalam tindakan senarai hitam (blacklist).

    JPJ lanjut tempoh 80% diskaun saman hingga 31 Dis

    Kemudahan pembayaran saman tersebut boleh dilakukan di semua kaunter pejabat JPJ di seluruh negara termasuk kios, Mobile JPJ, dan UTC (tertakluk pada arahan Kementerian Kewangan) dari jam 8 pagi hingga 5 petang pada hari bekerja serta 8 pagi hingga 1 tengahari pada hujung minggu. Walau bagaimana pun, orang ramai juga digalakkan untuk melakukan transaksi secara atas talian melalui portal mySIKAP JPJ.

    Dalam masa yang sama, JPJ turut berkata, menerusi program tawaran diskaun ini, bermula 9 hingga 14 Disember lalu, pihaknya telah mengutip sebanyak RM4,126,938.00 melalui 871,146 transaksi pembayaran saman. Daripada jumlah itu, sebanyak 68,953 transaksi melibatkan kaunter dan Mobile JPJ, manakala selebihnya melibatkan kios dan secara dalam talian.

    “Dengan lanjutan tempoh ini, diharap dapat memberi lebih banyak peluang dan kemudahan kepada Keluarga Malaysia untuk menikmati tawaran pengurangan pembayaran saman yang lebih panjang tanpa perlu mengabaikan SOP Covid-19 yang ditetapkan,” ujar JPJ.

     
     
  • Harga minyak 16-22 Dis – RON97 naik 1 sen seliter

    Harga minyak 16-22 Dis – RON97 naik 1 sen seliter

    Bagi minggu bertarikh 16 hingga 22 Disember 2021, Kementerian Kewangan telah memaklumkan harga bahan api petrol RON 97 dilaporkan naik sebanyak 1 sen seliter, kini menjadi RM3.00 seliter, berbanding RM2.99 seliter pada minggu sebelumnya.

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi petrol RON 95 masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Harga tersebut tidak berubah sejak Februari lalu dan telah mencapai harga siling.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 juga masih kekal berharga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan iaitu pada 22 Disember 2021.

     
     
  • Toyota tunjuk barisan kenderaan gaya hidup dan trak komersial konsep — kereta sport, tiga SUV, van kargo

    Toyota tunjuk barisan kenderaan gaya hidup dan trak komersial konsep — kereta sport, tiga SUV, van kargo

    Toyota telah mengumumkan bahawa syarikat itu akan memperkenalkan 30 kenderaan elektrik menjelang tahun 2030, sebagai sebahagian daripada perancangan untuk mencapai neutraliti karbon. Sebahagian model yang ditunjukkan itu walaupun masih dalam bentuk konsep, tetap memberikan gambaran yang kukuh terhadap perancangan itu.

    Kereta sport Toyota GR

    Toyota tunjuk barisan kenderaan gaya hidup dan trak komersial konsep — kereta sport, tiga SUV, van kargo

    Kita mulakan dengan barisan yang paling mengujakan, kereta sport dengan dua tempat duduk yang membawa lencana Gazoo Racing. Kedudukan rendah dan agresif, coupe yang tidak diberikan nama ini nampak mirip model MR2 dahulu.

    Cabang jenama mewah Toyota, Lexus turut mempersembahkan kereta sport elektrik sebagai lanjutan kepada LFA. Dengan perkembangan itu, tidak mustahil MR2 juga akan mendapat penggantinya, yang ditunjuk dalam jelmaan model konsep ini.

    Sejak beberapa tahun lalu, banyak khabar angin yang bertiup tentang pengganti MR2 ini yang sedang dibangunkan. Dakwaan paling baru ialah Toyota akan bekerjasama dengan Daihatsu dan Suzuki untuk projek tersebut. Pernah juga pada 2018, nama itu dijangkakan akan kembali sebagai sebuah EV. Melihat kepada kereta konsep terbaru yang ditunjukkan ini, semua itu jadi berasas.

    Tiga SUV Toyota, termasuk homaj untuk FJ Cruiser

    Memandangkan SUV sangat popular kini, tidak hairan Toyota membariskan juga kenderaan terbabit dalam strategi EV masa depannya, dengan dipelopori oleh bZ4X. Selain portfolio bZ, Toyota juga akan ada dua lagi model yang sedang dibangunkan — dengan nama jolokan Crossover EV dan Small SU EV.

    Dua model konsep itu membawa kemiripan bZ dan turut dipertontonkan. Crossover EV nampak gayanya seperti sebuah model segmen C, sementara Small SU EV pula dari segmen B, dengan jangkaan kedua-duanya akan lebih mampu milik kepada khalayak yang lebih meluas.

    SUV ketiga yang ditunjuk pula seperti memberi penghormatan kepada FJ Cruiser sebelum ini. Menampilkan badan berpetak, kenderaan ranggi itu diberikan label Compact Cruiser EV dan merupakan percubaan Toyota untuk menembusi segmen off-road, yang ketika ini Ford berada dengan sangat selesa dengan versi terkini Bronco.

    Trak pikap EV Toyota

    Toyota tunjuk barisan kenderaan gaya hidup dan trak komersial konsep — kereta sport, tiga SUV, van kargo

    Tidak lupa dalam barisan berkenaan juga adalah sebuah trak pikap yang rekaannya nampak seperti pernah dilihat. Model konsep ini mengambil penggayaannya daripada model Tundra, tetapi dengan gril tertutup, trak ini mengenakan rekaan kabin berkembar tetapi dengan bahagian ruang belakang yang agak pendek.

    Trak pikap elektrik memang sedang meningkat naik ketika ini, dengan penawaran seperti Ford F-150 Lightning, Rivian R1T, GMC Hummer EV dan Tesla Cybertruck yang dinantikan, sebagai contoh. Maka jelas Toyota tidak ingin ketinggalan terlalu jauh dalam perlumbaan tersebut.

    “Kotak” kecil dan besar

    Bagi kenderaan komersial pula, Toyota mempertontonkan Micro Box dan Mid Box, yang direka sebagai kenderaan penghantaran last-mile. Van kargo dengan bentuk kotak dan futuristik ini mungkin disasarkan kepada pelanggan komersial yang ingin bertukar ke barisan kenderaan EV untuk perkhidmatan mereka.

    Untuk membawa penumpang pula, Toyota sudah ada e-Pallete yang sudah diperkenalkan sebelum ini — dan digunakan ketika Olympic 2020 Tokyo. Walaupun sedikit terlewat dalam perlumbaan EV ini, Toyota tetap memberikan penawaran yang meluas. Mana satu yang menarik perhatian anda?

     
     
  • Stark Varg diperkenal – motocross elektrik dengan kuasa sehingga 80 hp, 938 Nm tork, berat cuma 110 kg

    Stark Varg diperkenal – motocross elektrik dengan kuasa sehingga 80 hp, 938 Nm tork, berat cuma 110 kg

    Syarikat baru dari Sepanyol, iaitu Stark Future telah memperkenalkan sebuah motocross elektrik yang dipanggil sebagai Varg dan kini dibuka untuk tempahan secara dalam talian. Penghantaran kepada pelanggan dijangka bermula pada September 2022.

    Seperti yang boleh dilihat, Varg mempunyai bentuk tipikal sebuah motocross tetapi yang lebih istimewa adalah ia dipacu oleh motor elektrik dan bateri 6 kWh yang mampu menghasilkan kuasa 80 hp dan 938 Nm tork.

    Jika dibandingkan dengan motocross biasa, Stark mendakwa Varg mempunyai kuasa 30% lebih daripada model 450 cc dan berat keseluruhan cuma 110 kg. Jika ini kedengaran menakutkan, pengguna boleh melaras jumlah kuasa serta penyampaiannya secara mudah menggunakan aplikasi yang disambung kepada motosikal.

    Menurut Stark, melalui cas penuh bateri – yang boleh dibuat dalam masa satu ke dua jam bergantung kepada pengecas – Varg boleh bertahan untuk pusingan perlumbaan penuh MXGP atau enam jam bagi tunggangan dalam hutan.

    Kerangka Varg menggunakan perumah bateri di tengah sebagai komponen struktur sokongan dan ia adalah 50% lebih ringan berbanding kerangka motocross biasa, tetapi dengan kekuatan yang sama. Suspensi pula menggunakan unit daripada Kayaba dengan jarak gerak 310 mm di hadapan.

    Harga bagi Stark Varg bermula USD11,900 (RM50,366), dan pembeli boleh memilih spesifikasi yang sesuai untuk mereka seperti untuk rim belakang, kuasa (60 hp /80 hp), suspensi (mengikut berat), brek belakang, tongkat serta warna badan.

     
     
  • Lexus RZ SUV elektrik ditunjuk buat pertama kali — tiga lagi model EV, termasuk sebuah kereta sport

    Lexus RZ SUV elektrik ditunjuk buat pertama kali — tiga lagi model EV, termasuk sebuah kereta sport

    Sebagai sebahagian pendedahan kenderaan elektrik besar-besaran Toyota yang diumumkan, ia juga merupakan kali pertama dunia melihat Lexus RZ. Kenderaan elektrik pertama jenama tersebut bakal diumumkan sepenuhnya pada separuh pertama 2022.

    RZ (Z bermaksud “zero”) merupakan versi produksi model konsep LF-Z Electrified, dengan penggayaan yang lebih realistik. Banyak aspek rekaan masih dikekalkan dari model konsep tersebut, termasuk “spindle body” di bahagian depan, panel hitam di bawah lampu utama yang tajam, lengkung roda luas, serta lampu belakang kelebaran penuh.

    Belum ada perincian yang didedahkan setakat ini, namun proporsi kereta terbabit yang mirip Toyota bZ4X mencadangkan bahawa ia bakal menggunakan platform electrified Toyota New Global Architecture (e-TNGA), yang turut dikongsi dengan Subaru Solterra. Apa yang membezakannya adalah sistem janaan — RZ 450e mungkin akan menjana lebih daripada kuasa maksimum bZ4X 160 kW (215 hp).

    Lexus RZ SUV elektrik ditunjuk buat pertama kali — tiga lagi model EV, termasuk sebuah kereta sport

    Bayangan daripada lencana Direct4 pula, RZ 450e kemungkinan besar akan datang dengan sistem janaan semua roda, dikuasakan dengan motor elektrik di setiap gandar. Ini teknologi yang sama ditemukan pada LF-Z, yang dikatakan mampu memberikan output 400 kW (536 hp) dan 700 Nm tork.

    Angka itu memadai untuk membolehkan LF-Z memecut 0-100 km/j dalam masa tiga saat. Bateri lithium-ion 90 kWh memberukan jarak perjalanan WLTP sekitar 600 km, menurut Lexus.

    RZ hanyalah permulaan kepada model elektrik Lexus, memandangkan syarikat itu mensasarkan penawaran barisan EV penuh menjelang 2030 — dengan rancangan syarikat untuk memperkenalkan kenderaan bateri elektrik (BEV) 100% bagi jualan di Eropah, Amerika Utara dan China. Ia kemudiannya akan dilanjutkan ke pasaran lain menjelang 2035.

    Lexus RZ SUV elektrik ditunjuk buat pertama kali — tiga lagi model EV, termasuk sebuah kereta sport

    Untuk melakukan itu, syarikat berkenaan mempunyai barisan model baru dalam persediaan, diketuai oleh sebuah kereta sport elektrik yang akan mempunyai ghairah pemanduan yang disemai sejak pembangunan model LFA. Coupe rendah ala Supra itu dikatakan mampu mencecah 0-100 km/j dalam masa dua saat dengan jarak perjalanan 700 km.

    Lexus juga memaklumkan kereta tersebut turut dibangunkan untuk penggunaan bateri solid-state. Rasa pemanduan kereta sport itu kemudiannya akan disebarkan pula kepada model elektrik lain, yang turut akan melibatkan kereta sedan dan SUV besar — tidak lupa wagon, crossover dan covertible.

     
     
  • Mercedes-Benz S580e 2022 dilancarkan di Malaysia – PHEV 510 PS, jarak elektrik 100 km, 14 beg udara

    Mercedes-Benz S580e 2022 dilancarkan di Malaysia – PHEV 510 PS, jarak elektrik 100 km, 14 beg udara

    Selepas diperkenalkan di peringkat dunia pada September 2020, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah melancarkan Mercedes-Benz S-Class generasi ketujuh secara rasmi untuk pasaran tempatan. Untuk pasaran domestik, varian S 580 e diperkenalkan dan ia merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang Mercedes-Benz di Pekan, Pahang. Walau bagaimana pun, harganya masih belum dimuktamadkan dan akan dimaklumkan kelak.

    Limosin mewah ini dipadankan dengan enjin 3.0 liter turbo enam-silinder sebaris dengan hamburan kuasa 367 PS pada 5,500 hingga 6,100 rpm dan tork 500 Nm pada 1,600 hingga 4,500 rpm yang digandingkan bersama transmisi 9G-Tronic. Malahan penjana kuasa ini juga digabungkan dengan motor elektrik yang dijanakan dari bateri lithium-ion 28.6 kWh ini mampu memberikan output tambahan sebanyak 110 kW dan 440 Nm.

    Motor elektrik ini juga memberikan jarak pacuan (elektrik penuh) sehingga 100 km (kitaran WLTP) dengan kelajuan boleh mencecah sehingga 140 km/j. Hamburan kuasa dari enjin konvensional dan motor elektrik ini membolehkan S 580 e dipacu dari 0-100 km/j dalam 5.2 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 250 km/j.

    Secara standard, S 580 e ini didatangkan dengan pengecas onboard 11 kW, dengan pengecas wallbox AC tiga-fasa mengambil masa sekitar dua hingga 2.5 jam untuk bateri mencapai 80% status pengecasan. Pek bateri ditempatkan di ruang but, membuatkan limosin versi PHEV ini hanya menawarkan sekitar 330 liter untuk ruang penyimpanan barang, berbanding 550 liter pada varian petrol atau diesel.

    Mercedes-Benz S580e 2022 dilancarkan di Malaysia – PHEV 510 PS, jarak elektrik 100 km, 14 beg udara

    Digelar sebagai “kereta terbaik di dunia” oleh Mercedes-Benz sendiri, S 580 e ini diberikan peningkatan di keseluruhan bahagiannya. Bahagian hadapannya diberikan gril yang lebih besar dengan lampu utama trapezoidsal yang lebih nipis dan lebar serta lampu nyalaan siang (DRL) LED serta penunjuk arah berbentuk tajam. Tiga bintik lampu di dalamnya pula menggambarkan ini adalah model S-Class (E-Class menggunakan dua bintik).

    Lampu ini datang secara standard dengan Multibeam LED, tetapi pemilik boleh menaik taraf kepada Digital Light yang mampu meningkatkan ketepatan Adaptive Highbeam Assist Plus sehingga 100 kali berbanding Multibeam dan memancarkan pelbagai informasi ke atas jalan seperti simbol amaran, tanda jalan dan panduan apabila melalui kawasan pembinaan.

    Selain itu, ia turut diberikan rim multi-twin-spoke bersaiz 19-inci dan bumbung suria gelangsar panoramik. Pada bahagian belakang, lampunya menggunakan bentuk segi tiga baru dan mempunyai bintik-bintik yang boleh melakukan pelbagai urutan pergerakan. Di atasnya terdapat jalur krom yang bersambung di bahagian tengah. Ia juga tampil dengan kawalan penutup boot lid.

    Ciri aerodinamik turut dititikberatkan untuk S-Class baharu ini, ia hadir dengan kadar rintangan angin kini menjadi 0.22 Cd dan pelbagai lagi bahagian seperti bukaan dan laluan udara, bahagian bawah kenderaan, cermin sisi serta rim direka untuk memperbaiki aerodinamik.

    Mercedes-Benz S580e 2022 dilancarkan di Malaysia – PHEV 510 PS, jarak elektrik 100 km, 14 beg udara

    Untuk bahagian dalamnya, ia banyak diinspirasikan daripada rekaan bot mewah. Walau pun papan pemukanya kelihatan agak ringkas dan tidak mempunyai banyak butang kawalan, namun elemen eksklusif masih terserlah. Ia juga ditampilkan dengan kemasan kayuan lebar yang bersambung dari tengah sehingga ke tepi pintu.

    Pada bahagian tengahnya pula, terdapat skrin sesentuh besar yang bentuknya bersambung sekata sehingga ke konsol tengah, dan melaluinya, butang-butang kawalan dapat dikurangkan sehingga menjadi cuma satu baris di bawahnya. Manakala corong pendingin hawa menggunakan bentuk petak yang melintang di tengah dan menegak di tepi. Malah ia diberikan kawalan suhu Thermotronic untuk bahagian depan dan belakang,

    Selain itu, lampu ambien dengan 64-warna turut dinaik taraf, kini terdiri daripada 250 LED (sebelum ini cuma 40), menjadikannya lebih terang dan boleh memberi tindak balas kepada pelbagai fungsi kenderaan seperti keluar daripada lorong, pintu dibuka dan amaran perlanggaran.

    Ciri lain yang turut diberikan termasuklah roda stereng pelbagai-fungsi yang dibaluti kulit nappa, Keyless-Go, akses bebas tangan, konsol tengah dengan kemasan ala kristal hitam, sokat kuasa 12v pada bahagian penyimpanan barang, dan pencahayaan ambien dengan pantulan logo Mercedes-Benz.

    Tempat duduk dibaluti upholstery kulit Nappa telah direka semula untuk menjadikannya lebih selesa dan ditawarkan dengan bantal pada penyandar kepala serta pemanas tengkuk. Di dalamnya, terdapat kipas untuk pemanas dan penyejuk, serta beg udara untuk fungsi mengurut. Model baharu ini juga menjadi S-Class pertama yang datang dengan fungsi kinetik Energizing yang boleh melaras sendiri tempat duduk pada selang masa tertentu.

    Untuk tempat duduk pemandu, ia diberikan larasan elektrikal dengan fungsi memori dan tempat duduk belakang eksekutif juga menerima sentuhan menarik dan istimewa. Ini termasuklah dengan ciri larasan elektrikal dengan fungsi memori, tirai suria larasan elektrik untuk tingkap kiri dan kanan serta cermin belakang.

    Untuk S-Class, ciri baharu yang dipertingkatkan termasuk Mercedes-Benz User Experience atau MBUX, telah dipertingkatkan dengan fungsi yang membolehkan penumpang berkongsi video atau muzik, serta menetapkan navigasi dari belakang. Tetapan tempat duduk boleh disimpan dalam memori dan sistem kenderaan dapat mengesan pemiliknya melalui cap jari, muka atau suara.

    Sistem kawalan suaran “Hey Mercedes” kini boleh digunakan dalam 27 bahasa, memahami beberapa arahan secara serentak dan boleh menjalankan operasi tanpa memerlukan sebarang ayat khas. Penumpang belakang juga boleh menggunakan sistem ini.

    Selain itu, ia diberikan skrin tengah OLED 12.8-inci serta panel instrumen pula bersaiz 12.3 inci dan ditawarkan dengan kesan tiga dimensi. Ia membolehkan pemilik menambah sistem hiburan belakang MBUX dengan dua skrin 11-inci serta tablet 7.0-inci untuk kawalan yang boleh diletakkan pada konsol tengah.

    Sistem paparan utama datang dalam dua pilihan, dan unit yang lebih besar dilengkapi dengan fungsi augmented reality untuk navigasi yang akan memaparkan informasi pada jarak 10 meter di hadapan. Ia turut diberikan sistem bunyi sekeliling Burmester® 3D dengan 16-pembesar suara dan amplifier 760 watt. Selain itu, ia turut diberikan sambungan Apple CarPlay, Android Auto, sistem pengecasan tanpa wayar di hadapan dan belakang untuk telefon bimbit, dua headset tanpa wayar, dan Remote Services Plus.

    Satu lagi ciri baharu adalah integrasi dengan peranti di rumah. Melaluinya anda boleh memeriksa status rumah dan mengawal peralatan tertentu. Ciri MBUX Interior Assistant dinaik taraf dan kini boleh mengenal pasti beberapa pergerakan (jika anda menoleh ke tepi ia akan membuka penghadang matahari di tingkap) dan menggunakan kamera untuk melihat mata pemandu sekiranya mereka tertidur dan mengeluarkan amaran.

    Di sebalik badannya, ia dibina dengan kombinasi bahan besi dan aluminium, dan 50% daripada beratnya datang daripada aluminium. Panel aluminium juga menyumbang kepada pengurangan berat sehingga 60 kg berbanding model sebelumnya.

    Suspensi hadapan masih menggunakan tetapan four-link manakala di belakang menggunakan multilink. Dalam keadaan standard, kereta ini datang dengan suspensi udara Airmatic dengan penyerap adaptif, sementara sistem E-Active Body Control disediakan sebagai pilihan tambahan bagi menggantikan Magic Body Control sebelum ini.

    Untuk aspek keselamatan, menurut Mercedes-Benz, S-Class menjadi kereta pertama di dunia yang menggunakan beg udara hadapan untuk penumpang belakang. Ia dipasang pada bahagian belakang tempat duduk hadapan dan mempunyai rekaan yang menjadikannya lebih lembut dan mengurangkan kecederaan. Tali pinggang keledar juga mempunyai beg udara sendiri. Keseluruhan jumlah beg udara untuk S 580 e ini ialah 14 unit.

    Sistem bantuan pemandu sedia ada turut diberi peningkatan. S 580 e baharu kini datang terus dengan pelbagai ciri termasuk Autonomous Emergency Braking dengan pengesan pejalan kaki dan trafik bertentangan yang diperbaiki, Adaptive Cruise Control (kini boleh mengelak perlanggaran sehingga 130 km/j), Lane Centring Assist, Lane Change Assist, Evasive Steering Assist, Active Emergency Stop Assist dan Blind Spot Monitoring. Sistem kamera 360-darjah disediakan sebagai pilihan tambahan dan dapat membantu mencari petak letak kereta kosong.

    Walau bagaimana pun, untuk S 580 e versi CKD ini tidak didatangkan dengan rear-wheel steering, Drive Pilot, dan sistem pemanduan Level 3 semi-autonomous, berbanding untuk pasaran global yang menerima ciri kelengkapan yang disebut ini.

     
     
  • Ini model generasi baharu Toyota MR2? Dijana elektrik sepenuhnya dari bateri, diproduksi menjelang 2030

    Ini model generasi baharu Toyota MR2? Dijana elektrik sepenuhnya dari bateri, diproduksi menjelang 2030

    Idea untuk menghasilkan semula Toyota MR2 ini bukan satu perkara baharu. Sejak beliau dilantik sebagai Presiden dan CEO Toyota, cucu kepada pengasas Toyota Motor Corporation iaitu Akio Toyoda sering bercakap tentang cita-citanya untuk membawa semula kereta sport ‘tiga-beradik’ (Celica, MR2 dan Supra) era 90’an jenama automotif Jepun tersebut kembali ke bilik pameran.

    Buat masa sekarang, tiga-beradik berkenaan sebenarnya telah lengkap dengan barisan baharu iaitu ‘Abang Long’ GR Supra, ‘Abang Ngah’ GR Yaris dan ‘adik bongsu’ GR 86. Sebelum ini, tempat Abang Ngah menjadi tanda tanya kerana ketika itu Toyota masih belum pasti sama ada mereka mahu melahirkan semula MR2 atau Celica, tetapi akhirnya GR Yaris muncul dengan ‘semangat’ dari Celica GT-4 iaitu jentera rali jalan raya yang dihasilkan untuk homologasi Kejuaraan Rali Dunia.

    Namun nampaknya walaupun tiga-beradik tersebut telah lengkap, masih lagi kedengaran ura-ura bahawa Toyota masih berminat untuk menghasilkan MR2 generasi keempat. Sejak model generasi pertama, MR2 memang dihasilkan sebagai kereta sport dua-pintu, dua tempat duduk serta dengan enjin yang diletakkan di tengah (belakang pemandu), justeru diberi nama MR2 atau Mid-engine Rear wheel drive 2 seater.

    Oleh itu, ada khabar angin Toyota sedang merancang kerjasama dengan pembuat kereta sport sedemikian seperti Porsche dan Lotus. Malah baru-baru ini juga ada khabar kerjasama berkenaan mungkin dibuat bersama dua jenama Jepun iaitu Suzuki dan Daihatsu, bagi menghasilkan kereta sport dua tempat duduk dengan enjin 1.0 liter yang diletakkan di tengah, mungkin bersaiz kompak seakan MR2 generasi ketiga atau lebih dikenali sebagai MR-S.

    Walau bagaimanapun, segala usaha ini sebenarnya dilihat agak lambat – jika ia masih dalam peringkat perbincangan, pembangunan sebenar mungkin akan mengambil masa 2-3 tahun lagi. Jadi ia mungkin akan menghadapi masalah untuk dijual di Eropah kerana regulasi emisi di benua berkenaan bukan sahaja semakin ketat, malah enjin pembakaran dalaman konvensional pada kereta baharu bakal diharamkan terus penjualannya pada 2030.

    Tetapi sebahagian teka-teki ini mungkin terjawab ketika sesi pembentangan media berkenaan strategi EV Toyota yang dilangsungkan di Jepun semalam – Akio Toyoda telah menunjukkan 16 buah kereta elektrik penuh yang bakal diproduksi oleh syarikatnya secara berperingkat menjelang 2030, dan salah satu daripadanya adalah sebuah kereta sport!

    Apa yang menarik, rekaan kereta sport kuning dengan logo GR pada bampar hadapan tersebut menampilkan ciri-ciri ikonik sebuah MR2. Ia bukan sahaja hadir dengan hanya dua-pintu dan dua tempat duduk, malah ia turut direka dengan muncung yang rendah bersama fender hadapan berotot, diberikan liang udara dibelakang pintu serta bumbung yang boleh dicabut seperti MR2 AW11 dan SW20 sebelum ini.

    Namun, selain dari namanya yang kini hanya dikenali sebagai ‘Sports EV’, dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya dari bateri, serta sah bakal muncul dalam pasaran selewat-lewatnya pada 2030, tiada sebarang perincian lain didedahkan oleh Akio Toyoda semalam.

    Beliau turut menyatakan bahawa walaupun dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya, model-model EV Toyota ini masih menjanjikan pengalaman pemanduan yang mengujakan – berdasarkan apa yang telah dibuat pada GR Supra, GR Yaris dan juga GR 86 sedia ada, malah beliau juga memang ‘kaki kereta’ sebenar, penulis percaya apa yang dikatakan oleh bos besar Toyota tersebut.

    Sama ada Sports EV ini benar-benar adalah model pengganti MR2, atau sememangnya akan dikenali sebagai “GR MR2”, kita masih perlu menunggu sehingga Toyota mengeluarkan sebarang petunjuk dan pengumuman baharu selepas ini. Peminat MR2 di luar sana macam mana? Setuju dengan idea MR2 berkuasa elektrik?

     
     
  • Proton Saga – 100,999 unit terjual selepas dilancarkan pada 2019, kini sedan segmen-A paling laris di M’sia

    Proton Saga – 100,999 unit terjual selepas dilancarkan pada 2019, kini sedan segmen-A paling laris di M’sia

    Proton mengumumkan bahawa Proton Saga facelift yang dilancarkan pada Ogos 2019 kini sudahpun mencapai jualan melebihi 100,000 unit! Secara spesifik, tak sampai 30 bulan dalam pasaran, Saga telah terjual sebanyak 100,999 unit dan kini menjadi sedan segmen-A paling laris di Malaysia.

    Angka jualan berkenaan dilihat sangat memberangsangkan kerana mengambilkira negara berhadapan dengan pelbagai sekatan pergerakan untuk membendung jangkitan Covid-19 sepanjang tahun 2020 dan 2021. Momentum jualan Saga ini juga masih kuat sehingga Proton pernah menerima 500 tempahan sehari, dan bulan lalu sahaja sebanyak 5,666 unit sedan tersebut telah terjual.

    Proton Saga generasi ketiga ini telah pun diperkenalkan dalam pasaran pada 2016, kemudian diberikan versi facelift pada 2019 yang bukan sahaja melibatkan penyegaran rupa, ia juga menerima tingkat taraf sistem mekanikal dan elektronik.

    Model tersebut menerima rekaan semula yang menampilkan gril signatur Infinite Weave Proton, lampu nyalaan siang LED, bampar hadapan dan belakang baharu, dan juga rim aloi 15-inci baharu (untuk varian Premium). Dalam kabin, perubahan signifikant diberikan pada sistem infotainmen yang menampilkan skrin sesentuh berasaskan android tujuh-inci yang direka seakan terapung, serta turut dibekalkan dengan storan dalaman 16GB dan hubungan Bluetooth.

    Ia juga menerima perincian-perincian yang nampak lebih premium termasuk panel instrumen baharu, tombol gear baharu, pelapik bumbung dari material Tricot seperti X70, lampu peta LED serta pelindung matahari yang disertakan dengan pemegang tiket dan cermin solek.

    Enjin 1.3 liter VVT berkuasa 95 PS dan tork maksima 120 Nm masih dikekalkan, tetapi kotak gear CVT automatik Punch tidak lagi digunakan, digantikan dengan kotak gear automatik konvensional 4AT yang dibekalkan oleh Hyundai.

    Proton Saga 2019 1.3L Premium AT

     
     
  • Laluan di Seksyen 27, KM39 FT 185 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dibuka kembali pada 17 Dis

    Laluan di Seksyen 27, KM39 FT 185 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dibuka kembali pada 17 Dis

    Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Datuk Mohd Zolkafly Harun telah memaklumkan laluan di Seksyen 27, KM39 FT 185 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, akan dibuka kembali sepenuhnya untuk semua jenis kenderaan pada pagi Jumaat ini, 17 Disember 2021.

    Katanya, selain kerja pembersihan jalan, pembinaan longkang aliran air di kawasan runtuhan itu sedang dijalankan oleh pihak konsesi sebagai langkah mengelakkan berlaku pergerakan tanah. Malah kawasan bukit yang mengalami runtuhan turut direka bentuk secara bertingkat bagi mengurangkan risiko runtuhan susulan, laporan Berita Harian.

    “Buat masa ini pihak konsesi sedang bersihkan jalan, selain membina longkang aliran air tepi jalan yang runtuh itu bagi mengelakkan pergerakan tanah (kembali) berlaku yang mana pembinaan longkang itu dijangka mengambil masa selama dua hari.

    “Insya-Allah kalau tiada halangan, pagi Jumaat ini pengguna jalan raya sudah boleh menggunakan jalan itu sepenuhnya, membabitkan pembukaan kedua-dua laluan. Mengenai masa ia mula dibuka, belum dimuktamadkan namun antara jam 12 tengah malam hingga 11.59 pagi Jumaat ini,” katanya.

    Tambah beliau, pihaknya turut menyeru supaya pengguna jalan itu tetap berwaspada ketika melalui jalan berkenaan berikutan sepanjang jalan berkenaan sememangnya dikelilingi kawasan bukit serta cerun.

    Pada 2 Disember lalu, berlaku kejadian tanah runtuh di lokasi berkenaan yang turut mengorbankan dua orang masing-masing pemandu sebuah lori dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) selepas kenderaan dipandu mereka ditimbus runtuhan tanah.

     
     
  • Toyota tunjuk 16 kereta elektrik yang bakal diproduksi – ada kereta sport, trak pikap dan macam-macam!

    Toyota tunjuk 16 kereta elektrik yang bakal diproduksi – ada kereta sport, trak pikap dan macam-macam!

    Kita tahu buat masa sekarang, Toyota antara pengeluar yang bimbang akan peralihan kepada teknologi kenderaan elektrik sepenuhnya yang menggunakan bateri (BEV) pada masa akan datang – syarikat tersebut bukan sahaja gusar kemungkinan ramai yang akan kehilangan kerja, kereta akan menjadi semakin mahal, malah mempersoalkan tentang masalah karbon yang masih tidak akan selesai menerusi loji yang masih menjana elektrik menggunakan bahan api fossil.

    Malah Toyota juga didakwa oleh sesetengah pihak bahawa mereka tidak kisah tentang alam sekitar dan sengaja melambatkan peralihan kepada teknologi elektrik sehinggakan ada aktivis alam sekitar mahu Toyota diboikot kerana perkara berkenaan.

    Tapi menerusi pembentangan media berkenaan strategi EV yang dilangsungkan di Jepun sebentar tadi, Presiden Toyota, Akio Toyoda mungkin mahu memberitahu dunia bahawa anggapan-anggapan yang dilemparkan berkenaan tidak betul dan menunjukkan sendiri bahawa Toyota telahpun mempunyai sekurang-kurangnya 16 model BEV Toyota dan Lexus yang bakal dilancarkan pada masa hadapan, dan ia meliputi pelbagai segmen bagi menawarkan “EV untuk semua orang”!

    Toyota tunjuk 16 kereta elektrik yang bakal diproduksi – ada kereta sport, trak pikap dan macam-macam!

    Menurut Toyoda, syarikatnya bakal melancarkan 30 model-model BEV menjelang 2030 nanti, dan mensasarkan untuk menjual sebanyak 3.5 juta BEV sepanjang tempoh berkenaan. Malah untuk divisi mewahnya, Lexus sedang beralih dan bakal ditransformasi untuk menjadi jenama elektrik sepenuhnya di Eropah, Amerika Utara dan juga China menjelang 2030.

    Dalam pembentangan berkenaan, Akio Toyoda terlebih dahulu memperkenalkan lima model dalam barisan siri bZ (Beyond Zero). Ia sudah tentu dimulakan dengan SUV bZ4X yang telah pun didedahkan sebelum ini, dan disahkan akan mula dijual dalam pasaran bermula tahun hadapan dan kini Toyota sedang menyediakan kilang Motomachi mereka bagi memproduksi model berkenaan.

    Kemudian Toyoda memperkenalkan dua lagi SUV dalam barisan model bZ ini yang kini dikenali hanya sebagai bZ Compact SUV dan juga bZ Small Crossover. Untuk bZ Compact SUV, ia akan dihasilkan sebagai SUV saiz-pertengahan bersama garis badan yang anggun.

    Manakala untuk bZ Small Crossover, ia adalah model paling kompak dalam siri bZ ini dan menampilkan rekaan “mengikut citarasa Eropah dan Jepun.” Model ini disasarkan untuk mencapai kadar penggunaan tenaga 125 Wj untuk setiap km, atau kadar tertinggi yang ditawarkan dalam kelas SUV kompak elektrik penuh.

    Selepas itu, Toyoda memperkenalkan pula bZ SDN, iaitu sebuah sedan elektrik penuh dalam saiz-pertengahan, dan menurutnya, sedan ini dihasilkan bagi memenuhi kehendak pelanggan yang mahu mendapatkan kereta pertama mereka. Akhir sekali ialah bZ Large SUV, iaitu SUV bersaiz besar yang menawarkan tiga baris tempat duduk.

    Untuk Lexus, empat model BEV yang didedahkan kali ini. Menurut Toyoda, walaupun dengan unit rangkaian kuasa elektrik penuh, model-model elektrik Lexus ini bakal memberikan rasa dan karekter pemanduan yang sama seperti model-model petrol dan hybrid sedia ada jenama mewah berkenaan.

    Model EV pertama yang bakal Lexus lancarkan adalah SUV yang digelar Lexus RZ. Selepas itu Lexus bakal memperkenalkan kereta sport dua pintu dengan bentuk seakan Toyota Supra, yang disasarkan boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2 saat, serta menggunakan bateri jenis solid yang mampu memberikan jarak gerak sejauh 700 km!

    Akio Toyoda turut menyatakan bahawa kereta sport elektrik Lexus berkenaan akan diberikan “sos rahsia” yang mereka perolehi ketika membangunkan supercar ikonik dengan enjin V10, Lexus LFA. Dua lagi model elektrik Lexus yang ditunjukkan kali ini adalah sebuah sedan sport dan SUV bersaiz besar yang turut belum disertakan dengan nama.

    Manakala untuk model-model Toyota masa hadapan lain yang turut akan dilancarkan dan ditunjukkan hari ini termasuk model-model komersial seperti e-Palette dan mid box serta dua buah SUV yang masing-masing bersaiz kecil dan sederhana.

    Apa yang menarik, Toyota turut menayangkan model-model elektrik dengan rupa ikonik sedia ada iaitu sebuah trak pikap EV yang nampak seperti Toyota Tundra dan juga sebuah SUV yang direka seakan Toyota FJ Cruiser diberi nama Compact Cruiser EV. Tidak ketinggalan, sebuah kereta sport sebenar yang tidak mustahil dijelmakan sebagai MR2 atau Supra generasi selepas ini.

     
     
  • Lycan G6, Challenger 1 mula dibuka untuk tempahan – motosikal 300 cc dan 650 cc keluaran syarikat Filipina

    Lycan G6, Challenger 1 mula dibuka untuk tempahan – motosikal 300 cc dan 650 cc keluaran syarikat Filipina

    Pengeluar motosikal baru dari Filipina, iaitu Lycan kini sudah membuka tempahan untuk dua model pertama mereka, G6 dan Challenger. Bagi kedua-dua model ini, terdapat dua varian yang ditawarkan, iaitu yang berenjin 350 cc dan 650 cc, sementara versi elektrik pula akan diperkenalkan pada tahun 2023.

    Harga G6 bermula dari 151,500 Php (RM12,749) untuk versi 300 cc manakala versi 650 cc dijual pada harga bermula 297,500 Php (RM25,036). Tempahan awal boleh dibuat dengan bayaran permulaan 29,999 Php (RM2,524), dan penghantaran kepada pelanggan dijangka bermula pada suku ketiga tahun 2022.

    Semua proses tempahan dibuat secara dalam talian, dengan pelanggan boleh memilih model serta kelengkapan yang dimahukan seperti jenis rim, pemegang, tempat duduk, tangki, lampu panel instrumen dan pelbagai lagi.

    Lycan juga telah membangunkan sistem artificial intelligence untuk G6, di mana ia boleh disambung kepada telefon pintar penunggang dan dikawal menggunakan arahan suara. Sistem ini boleh digunakan sekali dengan helmet pintar khas yang sekarang ini masih lagi dalam pembangunan.

    Setakat ini model sebenar bagi G6 yang menggunakan bentuk bobber dan Challenger 1 berbentuk cruiser ini masih belum ditunjukkan kepada umum dan orang ramai cuma boleh melihatnya dalam versi prototaip yang ditunjukkan di laman web sahaja.

     
     
  • Genesis G90 — gambar ruang dalaman pula didedah

    Genesis G90 — gambar ruang dalaman pula didedah

    Dalam sebulan selepas Genesis menunjukkan rekaan luaran model G90 generasi kedua — yang menjadi model flagship untuk lawan Mercedes-Benz S-Class dan BMW 7 Series — cabang mewah Hyundai itu mendedahkan pula gambar rekaan dalamannya, serta beberapa perincian spesifikasi.

    G90 akan ditawarkan dalam dua versi, bermula dengan model memiliki jarak antara roda standard (3,180 mm) dengan kepanjangan 5,275 mm, 1,930 mm lebar dan 1,490 mm tinggi. Pilihan satu lagi adalah jarak antara roda yang lebih panjang, yang berkongsi lebar dan tinggi yang sama, tetapi mempunyai panjang keseluruhan 5,465 mm. Ini melibatkan beza 190 mm, semuanya untuk tambahan jarak antara rada 3,370 mm.

    Ruang dalaman G90 ini pula diberikan sentuhan dan rekaan mewah untuk memuaskan baik yang memandu mahupun penumpang. Tarikan utama di bahagian depan kabin tentulah Integrated Cockpit (ccIC) bersepadu, yang menghubungkan kluster instrumen digital dan skrin sentuh infotainmen ke dalam sebuah paparan panoramik.

    Genesis G90 — gambar ruang dalaman pula didedah

    Semua permukaan sentuhan lain seperti roda stereng, butang kawalan, suis kawalan tempat duduk dan kawalan konsol tengah semuanya menggunakan kemasan logam atau kaca, dengan sebahagian daripadanya dengan perincian lebih premium. Kerusi belakang pula disesuaikan untuk individu yang boleh direbahkan untuk mendapatkan ruang kaki yang maksimum.

    Ada juga dua bumbung panoramik yang boleh dikawal berasingan, masing-masing dengan pencahayaan suasana dari sistem lampu seluruhnya dalam ruang kabin, dan boleh ditentukan sendiri oleh pengguna. G90 juga datang dengan sistem bunyi Bang & Olufsen dengan 23-pembesar suara yang menampilkan Acoustic Lens Technology (ALT) dalam membawakan pengalaman bunyi 3D.

    Penumpang belakang juga boleh mengakses paparan skrin sentuh 10.2-inci untuk media. Konsol tengah yang berada antara kerusi VIP-nya turut menempatkan Armrest Touch Screen (ATS) lapan-inci.

    Genesis G90 — gambar ruang dalaman pula didedah

    G90 akan ditawarkan dengan enjin 3.5 liter turbo berkembar V6 bagi model jarak antara roda standard, yang menghasilkan 380 PS (375 hp) dan 530 Nm tork. Ini digandingkan pula dengan transmisi automatik lapan-kelajuan yang menghantar kuasa ke roda belakang, dengan pacuan semua roda sebagai pilihan.

    Sementara itu, bagu model jarak antara roda panjang pula, ia menerima enjin sama tetapi dengan supercas elektrik yang disokong oleh sistem mild-hybrid 48-volt (dikenali sebagai e-S/C) dengan pacuan semua roda sahaja. Tiada angka janaan yang didedahkan, namun ia membenarkan tork puncak dicapai lebih pantas, mungkin untuk mengimbangi saiz badan yang lebih besar dan berat.

    Genesis G90 — gambar ruang dalaman pula didedah

    Kereta mewah ini juga dipasangkan dengan suspensi udara multi-chamber dan Preview-Electronic Control Suspension (Preview-ECS). Ini membolehkan roda depan dinaikkan sebanyak 10 mm jika kamera mengesan ada bonggol dalam jarak 100 m ke depan.

    Jika sensor mengenalpasti kereta sedang melalui permukaan jalan kasar, ketinggiannya akan dinaikkan sebanyak 25 mm untuk melindungi bahagan bawah kereta. Ciri maju ANC-R (Active Noise Control-Road) juga menghalang bunyi bisisng dari luar menggunakan pembesar suara yang ada.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025