Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hyundai Starex 11-tempat duduk masih dijual, Staria hanya ditawarkan dalam versi paling mewah di M’sia

    Hyundai Starex 11-tempat duduk masih dijual, Staria hanya ditawarkan dalam versi paling mewah di M’sia

    Pengedar rasmi jenama Hyundai di Malaysia, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) menyatakan bahawa MPV bersaiz besar Grand Starex 11-tempat duduk masih tetap akan dijual dalam pasaran tempatan, walaupun model generasi baharu Hyundai Staria sudah dilancarkan di sini bulan lalu.

    Menurut HSDM, ini kerana Staria hanya akan dipasarkan dalam versi paling mewah iaitu Staria Premium dengan konfigarasi tujuh-tempat duduk yang didakwa setaraf dengan MPV mewah dari Jepun, dan setiap unit MPV tersebut yang masuk ke Malaysia hanya akan dibuat di kilang Hyundai di Korea selepas ditempah oleh pelanggan.

    Manakala untuk Starex, model berkenaan akan terus dijual di bilik pameran Hyundai di Malaysia dalam versi Grand Starex terkini bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan sebuah MPV dengan 11-tempat duduk dan lebih mampu milik.

    Hyundai Grand Starex pasaran Malaysia ditawarkan dalam dua varian iaitu Executive Plus dan Executive Prime. Kedua-duanya varian tersebut dijana oleh enjin turbodiesel 2.5 liter empat-silinder berkuasa 170 PS dan tork maksima 441 Nm. Enjin berkenaan digandingkan dengan transmisi automatik lima-kelajuan dan memacu roda belakang.

    Hyundai Starex 11-tempat duduk masih dijual, Staria hanya ditawarkan dalam versi paling mewah di M’sia

    Grand Starex Executive Plus dijual dengan harga atas jalan RM165,888 tanpa insurans, manakala varian tertinggi Executive Prime pula ditawarkan pada RM173,888.

    Manakala bagi Staria Premium, HSDM menawarkan pelanggan dengan dua pilihan bergantung kepada waranti. Ia bermula dengan RM358,888 yang datang dengan waranti dua-tahun atau 50,000 km, dan RM368,888 sekiranya anda mahukan waranti lima-tahun/300,000 km bersama pakej servis percuma tiga-tahun/50,000 km. Kesemua angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, bersama insentif pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2022.

    Hyundai Staria Premiu pasaran Malaysia ini juga digerakkan dengan hanya satu pilihan rangkaian kuasa iaitu enjin 2.2 liter turbodiesel empat silinder berkuasa 177 PS dan tork maksima 431 Nm bermula 1,500 rpm sehingga 2,500 rpm, digandingkan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan bersama pedal penukar gear, dan memacu hanya roda hadapan.

    Kami sudah pun menguji Staria Premium ini sebelum ia dilancarkan pada bulan lalu, dan ulasan pandu uji berkenaan boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    GALERI: Hyundai Staria Premium pasaran Malaysia

    GALERI: Hyundai Grand Starex 2020 pasaran Malaysia

     
     
  • Toyota Vellfire ganti Proton Perdana sebagai kereta rasmi menteri – kos pajak sebanyak RM5.8k sebulan

    Toyota Vellfire ganti Proton Perdana sebagai kereta rasmi menteri – kos pajak sebanyak RM5.8k sebulan

    April lalu kerajaan Malaysia telahpun menukar kenderaan rasmi untuk menteri-menteri dalam kerajaan Malaysia dari Proton Perdana kepada Toyota Vellfire 2.5L. Perkara berkenaan baru sahaja dibawa ke persidangan parlimen semalam.

    Menjawab persoalan ahli parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dalam satu kenyataan bertulis bertarikh 2 November, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz menyatakan bahawa kerajaan membayar kos pajakan Toyota Vellfire 2.5L berkenaan sebanyak RM5,759.35 sebulan.

    “Kos pajakan bulanan ini terdiri dari kos sewaan bulanan sebanyak RM4,851.61 dan kos selenggaraan bulanan RM907.74.

    “Sehingga September 2021, kerajaan telah membayar kos pajakan sebanyak RM1.42 juta kepada syarikat konsesi,” katanya.

    Untuk rekod, sebelum ini menteri-menteri kabinet menerima Proton Perdana dalam versi yang dipanjangkan untuk kegunaan rasmi, sebelum digantikan dengan Toyota Vellfire. Manakala Proton Perdana biasa untuk kegunaan pegawai kerajaan pula kini telah digantikan dengan Proton X70, juga dibekalkan oleh Spanco.

     
     
  • Kia EV6 bakal dibawa ke Malaysia – laporan Maybank

    Kia EV6 bakal dibawa ke Malaysia – laporan Maybank

    Menurut laporan pelabur Maybank IB Research, Bermaz Auto (BAuto) merancang untuk membawa masuk kenderaan elektrik Kia EV6 yang diperkenalkan di peringkat global pada Mac lalu. Menurut laporan terbabit, yang diterbitkan sebelum pembentangan Bajet 2020, menyatakan bahawa pengenalan EV6 di sini adalah bergantung kepada dasar kenderaan elektrik Malaysia – yang juga telah disebut lebih awal pada bulan Julai.

    Seperti yang diumumkan pada Jumaat lalu, bagi menyokong pembangunan industri EV tempatan, kerajaan bercadang untuk memberikan pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan EV. Pengecualian cukai jalan sehingga 100 peratus juga diberikan kepada kenderaan berkenaan.

    Ini memberi alasan yang kukuh buat V+BAuto untuk membawa masuk EV6, walau pun perkara ini masih belum disahkan oleh syarikat terbabit. Untuk mengimbas kembali, Kia Motor kini mula menjalin hubungan kerjasama dengan BA Auto pada April lalu, dengan Dinamik Jaya Motors (anak syarikat BAUto) kini bertindak sebagai pengedar rasmi kenderaan Kia di Malaysia.

    EV6 dibangunkan dengan Electric-Global Modular Platform (E-GMP) dan crossover ini berukuran antara 4,680-4,695 mm panjang, 1,890 mm lebar dan 1,550 mm tinggi, serta jarak roda 2,900 mm.

    Pilihan penjana kuasa termasuk larasan pacuan roda-belakang dan semua-roda untuk kedua-dua jarak standard 58-kWh dan jarak lebih Panjang 77.4-kWH yang dijanakan oleh pek bateri polimer lithium-ion. Untuk tahap asas, motor elektrik digunakan untuk penjana kuasa 58-kWh/RWD pada kadar 170 PS (167 hp atau 125 kW) dan tork 350 Nm. Dengan motor tambahan pada bahagian hadapan, larasan 58-kWh/AWD memberikan keseluruhan sistem kuasa pada 235 PS (232 hp atau 173 kW) dan 605 Nm.

    Bagi bateri 77.4-kWh, model RWD didatangkan dengan kuasa 228 PS (225 hp atau 168 kW), 350 Nm dan mampu mencecah jarak paling panjang mengikut WLTP iaitu cecah 510 km. Sementara itu, bagi versi AWD pula, ia mampu menghamburkan kuasa 325 PS (321 hp atau 239 kW) dan 605 Nm. Terdapat empat konfigurasi disebut sebagai pilihan “normal”, dengan model tertinggi EV6 GT yang menggunakan larasan 77.4-kWh/AWD yang sama, tetapi ditala khas untuk memberikan lonjakan kuasa hingga 585 PS (577 hp atau 430 kW) dan 740 Nm.

    EV6 turut menyokong pengecasan AC pada kadar 11 kW menerusi sambungan Type 2, sementara penggunaan pengecas pantas DC mampu mencapai kadar sehingga 239 kW (175 kW untuk bateri standard) dengan sambungan CCS2 – tahap pengecasan 10-80% sekitar 18 minit.

    Cadangan mengenai EV menerusi Bajet 2022, klik untuk besarkan imej

    Bagi pasaran Korea Selatan, EV6 ditawarkan pada harga bermula 46.3 juta won (RM162,816) untuk model asas 58-kWh/RWD dengan pakej kelengkapan Light. Sementara model tertinggi, GT-Line dengan ciri 77.4-kWh/AWD model in GT-Line ditawarkan pada harga 56.8 juta won (RM199,735).

    Jika melihat harga di Korea Selatan, kita boleh mengagak harga bagi EV6 yang diproduksi di negara berkenaan, mungkin bermula antara RM170k-RM200k (termasuk faktor kos perkapalan dan sebagainya).

    Manakala di United Kingdom, crossover berkenaan ditawarkan dengan harga yang lebih tinggi iaitu dari 40,945 British pound (RM231,628) hingga GBP 51,945 (RM293,965), tetapi ia dilengkapi dengan bateri jarak lebih jauh sebagai standard.

    GALERI: Kia EV6

     
     
  • JPJ uruskan 33.05j kenderaan, keluarkan 14.42j lesen memandu sejak 75 tahun lalu; kutip RM4.2b pada 2020

    JPJ uruskan 33.05j kenderaan, keluarkan 14.42j lesen memandu sejak 75 tahun lalu; kutip RM4.2b pada 2020

    Sejak penubuhannya pada 1 April 1946, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menguruskan lebih 33.05 juta kenderaan termasuk mengeluarkan sebanyak 14.42 juta lesen memandu, laporan Bernama.

    Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim, berkata, sejak penubuhannya 75 tahun yang lalu sebagai pendaftar dan pemeriksa kereta motor atau dahulunya dikenali sebagai RIMV (Registrar Inspection Motor Vehicle), JPJ telah menyediakan pelbagai perkhidmatan berkualiti, menguruskan pungutan hasil serta menguatkuasakan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Menurut beliau lagi, pada tahun lalu, JPJ telah menyumbang kira-kira RM4.2 bilion kepada negara melalui kutipan hasil.

    JPJ uruskan 33.05j kenderaan, keluarkan 14.42j lesen memandu sejak 75 tahun lalu; kutip RM4.2b pada 2020

    Bagi memantapkan lagi operasi JPJ, dalam pembentangan Bajet 2022 minggu lalu, kerajaan telah meluluskan perolehan 20 unit kenderaan kaunter bergerak untuk JPJ dan juga 100 kiosk dengan fasiliti lengkap komputer berorientasikan pelanggan. Sekaligus membantu kelancaran operasi JPJ yang sedang menuju ke arah pendigitalan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

    “Dalam usaha memastikan kualiti perkhidmatan yang diberikan sentiasa melangkaui harapan masyarakat, JPJ hendaklah sentiasa pantas bertindak, mempunyai dasar yang fleksibel serta mampu menyediakan berbagai pilihan saluran perkhidmatan yang terbaik untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

    Semalam JPJ telah melancarkan duit syiling kenangan sebagai simbolik yang melambangkan jabatan berkenaan sentiasa dinamik bergerak ke arah pemodenan dan digitalisasi selaras dengan tema sambutan ulang tahun ke-75 iaitu “Digitalisasi Melestari Integriti”.

     
     
  • Harga minyak 4-10 Nov – RON 97 naik 9 sen seliter

    Harga minyak 4-10 Nov – RON 97 naik 9 sen seliter

    Untuk minggu bertarikh 4 hingga 10 November 2021, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan harga runcit bagi bahan api petrol RON 97 dilaporkan naik sebanyak 9 sen seliter, menjadi RM3.06 seliter berbanding RM2.97 seliter pada minggu sebelumnya. Ini merupakan harga tertinggi yang pernah dicatatkan bagi bahan api tersebut setakat ini.

    Manakala harga runcit bagi petrol RON 95 masih dikekalkan iaitu RM2.05 seliter. Harga tersebut tidak berubah sejak Februari lalu dan telah mencapai harga siling.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 juga masih kekal pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan iaitu pada 10 November 2021.

     
     
  • Jualan kenderaan September 2021 di M’sia ikut jenama — Proton +273.8%, Volvo +626.8%; Perodua teratas

    Jualan kenderaan September 2021 di M’sia ikut jenama — Proton +273.8%, Volvo +626.8%; Perodua teratas

    Sejak pertengahan Ogos sebaik sahaja kilang dan bilik pameran kenderaan menyambung semula operasi, jualan kenderaan di Malaysia semakin meningkat dalam kadar yang sangat pantas, terutama untuk beberapa bulan terakhir ini. Data terkini daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan sejumlah 44,275 kenderaan diserahkan pada September 2021, mewakili peningkatan 153% berbanding bulan sebelumnya.

    Ini tentunya perkembangan yang sangat baik dan diperlukan oleh industri. Dan, melihat kepada pecahan jualan mengikut jenama bagi September 2021, hampir semua jenama menyaksikan pertumbuhan jualan yang positif.

    Selepas kembali ke tempat pertama pada Ogos 2021, Perodua terus kekal di situ dengan jualan sebanyak 14,160 unit, atau peningkatan 102.6%. Ini menjadikan jumlah jualan keseluruhan Perodua setakat ini sebanyak 119,093 unit, dan jauh mendahului jenama lain.

    Sementara itu, Proton pula naik 273.8% dan berada di kedudukan kedua dengan 10,247 unit kenderaan diserahkan sepanjang September, dengan jumlah jualan semasa setakat ini 71,244 unit. Tempat ketiga pula dihuni oleh Toyota, yang menjual sejumlah 7,931 unit (+219.4%) dan mencatatkan jumlah jualan semasa tahun ini sebanyak 45,561 unit.

    Jualan kenderaan September 2021 di M’sia ikut jenama — Proton +273.8%, Volvo +626.8%; Perodua teratas

    Jurang antara Toyota dengan Honda juga semakin besar, dengan Honda berada di tempat keempat dengan 4,038 unit (+187%) unit kenderaan diserahkan bulan berkenaan, dengan jumlah jualan semasa 31,026 unit. Juga berada pada kedudukan sama ialah Mitsubishi di tempat kelima, dengan jualan 1,854 unit (+137.7%), dengan tumpuan kepada Triton yang telah mendahului jualan Isuzu D-Max hampir sekali kali ganda, dan semakin hampir dengan angka bagi Toyota Hilux.

    Jenama lain yang mencatatkan peratusan peningkatan jualan tiga angka termasuk Nissan dengan 1,286 unit (+197%), sementara Volvo menyaksikan peningkatan ketara sebanyak 626.8% dengan jualan 298 unit. Jenama lain pula mencatatkan peningkatan purata sekitar 100%.

    Dengan berbaki dua bilan lagi untuk 2021, syarikat pengeluar kenderaan akan lebih giat mempromosi untuk mencapai sasaran jualan mereka. Tambah akan merancakkan lagi jualan kenderaan adalah lanjutan tempoh pengecualian SST hingga 30 Jun tahun depan.

     
     
  • Chevrolet Corvette Z06 2023 diperkenal – enjin V8 5.5L 670 hp, aerodinamik dan pengendalian dipertingkat

    Chevrolet Corvette Z06 2023 diperkenal – enjin V8 5.5L 670 hp, aerodinamik dan pengendalian dipertingkat

    Chevrolet telah mendedahkan C8 Corvette Z06 baru, iaitu versi prestasi tinggi bagi model sports yang dilancarkan dua tahun lalu. Dengan pelbagai peningkatan mekanikal, aerodinamik serta gaya, Z06 baru ini memberikan lebih banyak prestasi berfokuskan litar, berbanding model Stingray biasa.

    Jantungnya adalah LT6, iaitu enjin yang dikatakan oleh Chevrolet sebagai V8 NA paling berkuasa pernah dipasang pada kereta produksi. Unit 5.5 liter DOHC ini diambil daripada kereta lumba Corvette C8.R dan ia menampilkan blok aluminium, injap titanium, piston aluminium, connecting rod titanium, sistem minyak dry sump, flat-plane crankshaft, throttle body 87 mm berkembar dan manifold ekzos 4-2-1.

    Enjin ini boleh dikerah sehingga tahap 8,600 rpm, dan menghasilkan kuasa maksimum 670 hp pada 8,400 rpm dan 623 Nm tork pada 6,300 rpm untuk dihantar kepada roda belakang melalui transmisi klac berkembar lapan kelajuan dan limited slip differential kawalan elektronik. Sebagai perbandingan, enjin V8 LT2 dengan kapasiti 6.2 liter cuma boleh menghasilkan 495 hp dan 637 Nm.

    Melihat kepada prestasi, Z06 boleh memecut 0-96 km/j dalam masa cuma 2.7 saat, atau 2.6 saat dengan Z07 Performance Package yang dijual sebagai pilihan tambahan. Model C8 dengan Z51 Performance Package melakukan pecutan sama dalam masa 2.9 saat.

    Chevrolet Corvette Z06 2023 diperkenal – enjin V8 5.5L 670 hp, aerodinamik dan pengendalian dipertingkat

    Selain enjin, Z06 juga mengambil inspirasi untuk bahagian pengendalian daripada C8.R. Sebagai permulaan, ia dijadikan 9.4 sm lebih lebar berbanding Stingray, untuk menempatkan tayar Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 345/25 di belakang, dan membenarkan lebih banyak udara untuk melalui saluran di tepi.

    Muka hadapan juga adalah baru, dan mempunyai bukaan udara yang lebih besar untuk menarik udara ke bahagian tengah serta menyejukkan brek dan transaxle dengan lebih baik. Jurutera yang membangunkan kereta ini juga telah melaras kembali stereng serta penyerap magnetorheological (Magnetic Ride Control 4.0) untuk menjadikannya bersesuaian dengan prestasi yang dihasilkan.

    Z06 juga mendapat rim paling besar pernah digunakan oleh Corvette pada kenderaan produksi, dengan saiz 20 inci di hadapan (tayar 275/30) dan 21 inci di belakang. Ia adalah perlu demi memasang sistem brek Brembo yang lebih besar, terdiri daripada cakera 370 mm dengan angkup enam piston di hadapan, dan cakera 380 mm dengan angkup empat piston di belakang.

    Antara bahagian penting yang memberikan sumbangan kepada aerodinamik adalah splitter hadapan dan spoiler belakang yang boleh menghasilkan daya tolakan ke bawah sehingga 165.6 kg pada kelajuan 299.3 km/j. Sekiranya mengambil pakej aero gentian karbon, barangan ini akan dibuat daripada bahan tersebut, dan diberikan sekali bersama tambahan beberapa lagi panel termasuk di bawah badan.

    Pakej aero gentian karbon ini datang standard bersama Z07 Performance Package yang dijual sebagai pilihan tambahan, dan ia termasuk dengan suspensi FE7 bersama kalibrasi Magnetic Ride Control 4.0, tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 R serta cakera brek seramik karbon (398 mm di hadapan dan 390 mm di belakang).

    Dengan pakej lengkap ini, Z06 mampu menghasilkan daya tolakan ke bawah 333 kg pada kelajuan 299.3 km/j dan memberikan daya tarikan 1.22 g pada kawasan ujian berbentuk bulat (skidpad). Chevrolet juga ada menyediakan rim gentian karbon lebih ringan, tetapi ia hanya disediakan apabila pemilik memilih Z07 Performance Package.

    Pilihan lain yang disediakan adalah termasuk kemasan dalam gentian karbon dengan tempat duduk balutan kulit, roda stereng dan pedal penukar gear gentian karbon, 12 warna luar, tujuh rekaan roda stereng, tujuh warna kemasan dalam, enam pilihan tali pinggang keledar dan enam warna angkup brek. Sama seperti Stingray, Z06 ini ditawarkan dalam bentuk badan coupe dan convertible, dan akan dibina untuk pemanduan sebelah kiri dan juga kanan.

     
     
  • SPYSHOT: Opel mahu masuk semula pasaran M’sia? Opel Mokka dijumpai diuji bersama Citroen C4

    SPYSHOT: Opel mahu masuk semula pasaran M’sia? Opel Mokka dijumpai diuji bersama Citroen C4

    Kalau tanya dengan generasi yang lahir pada tahun era 90’an, mungkin mereka tidak tahu menahu langsung berkenaan kereta dengan jenama Opel dari Jerman. Namun satu ketika dahulu, ayah-ayah kita pernah memandu model seperti Opel Kadett, malah model lebih sporty seperti Opel Manta turut boleh ditemui di atas jalan raya Malaysia.

    Memang dah lama betul Opel meninggalkan pasaran tempatan (mereka gulung tikar di sini sekitar awal era 2000), tetapi tiba-tiba seorang pembaca kami, Fahmie telah terjumpa dua buah model yang memang asing bagi rakyat Malaysia sedang diuji di atas jalan raya menggunakan trade plate Kedah, iaitu Opel Mokka dan Citroen C4.

    Opel dan Citroen kini berada dalam kumpulan automotif yang sama iaitu Stellantis – entiti baharu yang ditubuhkan hasil penggabungan dua gergasi automotif global iaitu Fiat Chrysler Automobiles (FCA) dan Groupe PSA. Antara jenama lain yang turut bernaung dibawah syarikat berkenaan termasuk Peugeot, Lancia, Vauxhall, Fiat, Dodge, Alfa Romeo dan banyak lagi.

    SPYSHOT: Opel mahu masuk semula pasaran M’sia? Opel Mokka dijumpai diuji bersama Citroen C4

    Tidak tahulah sama ada ini kebetulan atau memang dalam rancangan, Stellantis baru sahaja memuktamadkan pengambilalihan kilang Naza di Gurun, Kedah minggu ini sekaligus dapat memastikan Peugeot terus dapat dipasang di Malaysia dan dieksport ke negara Asia Tenggara yang lain.

    Berbalik kepada dua buah SUV kompak yang dijumpai ini, Opel Mokka adalah unit yang berwarna putih, dengan lampu belakang nipis berbentuk-L dan ia sudah didedahkan pada peringkat global pada Jun tahun lalu. Manakala unit yang berwarna hitam di depannya pula adalah Citroen C4, membuat kemunculan sulung global hanya lewat sebulan dari Mokka.

    Sebenarnya bukan hanya Opel yang tidak lagi berada di Malaysia, Citroen juga secara rasmi telah menghentikan operasinya di sini selepas Naza melepaskan haknya terhadap jenama tersebut bersama Peugeot tahun lalu. Sejurus selepas itu, Bermaz Auto Alliance’s (BAASB) diumumkan sebagai pemegang francais untuk Peugeot di Malaysia, dan mereka bertanggungjawab untuk memberikan sokongan khidmat selepas jualan terhadap kereta-kereta Citroen yang telah dijual oleh Naza Euro Motors sebelum itu.

    Jadi apa yang bakal berlaku sebenarnya selepas dua SUV ini dijumpai di Malaysia? Adakah Stellantis bakal membawa Opel dan Citroen masuk semula ke pasaran tempatan dengan pengurusan baharu selepas berjaya mendapatkan kilang pemasangan di Gurun?

    Mengikut apa yang telah dibuat oleh PSA sebelum ini, tidak semestinya model-model yang mereka bawa untuk diuji di Malaysia akan dijual di sini. Contohnya trak pikap Peugeot Landtrek dan sedan mewah DS9 yang turut dijumpai diuji di Malaysia sebelum ini.

    Ujian yang dijalankan tersebut mungkin hanya menggunakan Malaysia sebagai tempat bagi menguji model-model berkenaan dalam cuaca panas atau mungkin bagi mendapatkan data-data tertentu.

    SPYSHOT: Opel mahu masuk semula pasaran M’sia? Opel Mokka dijumpai diuji bersama Citroen C4

    Walau bagaimanapun, tidak mustahil untuk kedua-dua SUV tersebut untuk dipasarkan di Malaysia. Ini kerana Opel Mokka dan Citroen C4 diasaskan dari platform Efficient Modular Platform (EMP), atau lebih spesifik EMP1 yang sama, dan asas tersebut turut dikongsi bersama Peugeot 2008 yang bakal dilancarkan di sini tidak lama lagi.

    Ketiga-tiga model tersebut bukan hanya berkongsi platform, malah turut menggunakan enjin, transmisi dan juga teknologi yang sama antara satu sama lain. Faktor ini bukan sahaja membuatkan ia boleh dihasilkan dengan kos yang lebih rendah, malah aspek penyelenggaraannya juga menjadi lebih mudah dan memungkin Mokka dan C4 dilancarkan di Malaysia bersama 2008.

    Satu lagi kemungkinan yang boleh terjadi adalah Stellantis mungkin akan memasang Opel Mokka dan Citroen C4 tersebut di Gurun, tetapi tidak dijual di Malaysia dan kesemuanya dieksport ke pasaran rantau Asia Tenggara, bagi mengambil manfaat ke atas perjanjian perdagangan bebas ASEAN (AFTA).

     
     
  • Toyota Avanza 2022 – rupa model biasa bukan Veloz terdedah – perbezaan jelas depan dan belakang

    Toyota Avanza 2022 – rupa model biasa bukan Veloz terdedah – perbezaan jelas depan dan belakang

    Sebelum ini kita sudah melihat Toyota Avanza 2022 yang bakal dilancar, dalam versi sporty Veloz, tapi gambar yang bocor ini pula adalah versi biasa bagi MPV tujuh tempat duduk tersebut. Nampaknya, rupa serta kemasannya memang betul-betul berbeza.

    Kedua-duanya mempunyai gril trapezoid yang besar, tetapi anda boleh lihat terdapat perbezaan di mana gril Veloz yang mempunyai perincian dalam berbentuk Y bersambung terus ke atas sementara gril Avanza yang menggunakan kemasan jalur melintang pula adalah terpisah dengan bahagian atas. Kedudukan logo juga berbeza.

    Sudah tentu, dengan bentuk gril yang berlainan ini, bampar juga adalah berbeza. Lampu kabus kedua-duaya masih lagi berbentuk bulat tetapi duduk dalam perumah yang berbeza. Bagi Veloz, kemasan bawah seakan diffuser bersepadu dicat warna perak. Selain daripada itu, Avanza juga tidak menerima jalur krom yang bersambung dari atas lampu sehingga ke tepi seperti Veloz.

    Pada bahagian belakang, lampu Avanza tidak bersambung sehingga ke tengah, sekaligus memberikan gambaran bahawa jalur merah yang terdapat pada Veloz mungkin bukanlah LED penuh dan setakat pemantul cahaya hiasan sahaja.

    Tiada gambar bahagian dalam yang diperoleh untuk kali ini, tetapi ia sepatutnya tidak mempunyai banyak beza berbanding Veloz. Daripada apa yang kita sudah lihat sebelum ini, papan pemukanya mempunyai skrin sesentuh besar, roda stereng baru dengan butang kawalan di bahagian tepi, butang pemula enjin dan jalur lampu berhampiran tombol gear. Walaubagaimanapun, mungkin ada antara ciri ini hanya akan diberi pada varian lebih tinggi sahaja.

    Bahagian barisan penumpang juga kelihatan seperti ada skrin pada bumbung, ruang cawan boleh simpan, slot pengecas USB dan kerusi gelungsur. Belakang kerusi depan juga ada slot untuk tersusun untuk barangan pada kedudukan lebih tinggi. Ada satu slot lebar, mungkin muat untuk tablet dan satu lagi poket untuk telefon.

    Perincian rasmi masih belum ada, tetapi kita menjangkakan perubahan yang besar di sebalik badannya, termasuk penggunaan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang turut digunakan oleh Ativa/Rocky/Raize. Jika betul, Avanza akan ditukarkan daripada kerangka ladder frame kepada monocoque, dan daripada pacuan roda belakang kepada pacuan roda hadapan.

    Adakah Avanza akan terus menggunakan enjin 1.5L NA, atau berkongsi enjin tiga silinder 1.0L turbo dan 1.2L NA dari Raize/Rocky? Itu kita masih belum tahu, tetapi yang pasti, ciri keselamatan dan bantuan pemandu aktif Toyota Sense akan membuat kemunculan pada model ini – anda boleh nampak ada kamera di bahagian atas cermin hadapannya.

    Toyota Avanza 2022 ini akan diperkenalkan di Indonesia 10 November ini. Sama-sama kita nantikan ketibaannya dan ia juga boleh jadi mengujakan kerana sebelum ini Avanza juga cukup popular di negara kita.

     
     
  • Yamaha XSR900 2022 diperkenal di Eropah – banyak peningkatan pada bahagian kerangka dan prestasi

    Yamaha XSR900 2022 diperkenal di Eropah – banyak peningkatan pada bahagian kerangka dan prestasi

    Yamaha telah memperkenalkan model “Sports Heritage” XSR900 2022 di pasaran Eropah. Meskipun ini adalah satu model bergaya retro, Yamaha telah mengambil penting ciri sports padanya dan melakukan banyak peningkatan termasuk pada bahagian kerangka.

    Ia sekarang menggunakan kerangka Deltabox, yang dibuat daripada aluminium, menjadikannya lebih kompak serta ringan, dan pada masa sama meningkatkan ketegarannya. Kedudukan tapak pemegang juga dijadikan 30 mm lebih rendah berbanding XSR900 sebelum ini, dan ia meningkatkan kepuasan waktu mengambil selekoh dan memberikan kedudukan lebih agresif.

    Jarak roda pula dijadikan 55 mm lebih panjang dengan perubahan pada bahagian lengan ayun (menjadi 1,495 mm), dan ia memberikan lebih stabiliti waktu di kelajuan tinggi. Menurut Yamaha, XSR900 baru ini adalah sporty dan mempunyai karekter yang lebih responsif.

    Seperti yang boleh dilihat, penampilan motosikal juga diubah. Selain grafik lumba Gauloises Blondes yang terkenal, beberapa bahagian lain turut diubah termasuk tangki (berkapasiti 15 liter) serta bentuk tempat duduk, seperti motosikal tahun 80-an.

    Bahagian brek dipertingkat dengan penggunaan pam atas Brembo dan tuil boleh laras, sementara di bawah terdapat angkup empat piston bersama cakera 298 mm – ABS diberikan secara standard. Untuk suspensi, kedua-dua bahagian menggunakan unit daripada Kayaba, dan fork hadapan kini boleh dilaras sepenuhnya. Rim adalah 700 gram lebih ringan.

    Pada bahagian enjin, XSR900 masih lagi dipacu oleh unit Crossplane 3 tiga silinder 889 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan dengan quickshifter dan klac slip & assist. Panel meter LCD berbentuk bulat sebelum ini telah diganti dengan unit TFT-LCD petak dengan ukuran 3.5 inci.

    Yamaha XSR900 2022 diperkenal di Eropah – banyak peningkatan pada bahagian kerangka dan prestasi

    Ciri elektronik lain yang terdapat pada motosikal ini adalah termasuk cruise control, pilihan empat mod tunggangan serta unit pengukur inertia (IMU) yang dapat memberikan input kepada Traction Control (tiga tahap), Slide Control dan Wheelie Control.

    Semua lampu pada XSR900 menggunakan unit LED, dengan bentuk bulat di hadapan dan sedikit tersembunyi di belakang, menjadikan penampilannya lebih kemas. Di Eropah, XSR900 ditawarkan dalam dua warna, iaitu Legend Blue (biru muda/kuning) dan Midnight Black dengan sedikit kemasan merah.

     
     
  • Maserati Ghibli Hybrid 2021 dilancarkan di Malaysia – 2.0L turbo mild hybrid; 330 PS, 450 Nm; dari RM428k

    Maserati Ghibli Hybrid 2021 dilancarkan di Malaysia – 2.0L turbo mild hybrid; 330 PS, 450 Nm; dari RM428k

    Naza Italia telah melancarkan Maserati Ghibli Hybrid baharu di Malaysia, selepas jenama ini memperkenalkan model elektrifikasi tersebut di peringkat global pada Julai tahun lalu. Harganya bermula RM427,800 untuk varian asas, sementara GranSport pula berharga RM456,800 – disertakan dengan waranti kenderaan tanpa had perbatuan dan pakej penyelenggaraan percuma untuk tiga-tahun/60,000 km yang diberikan secara standard.

    Tidak seperti Ghibli facelift 2019, kita hanya mengetahui harga asas untuk Ghibli Hybrid, tetapi angka tersebut tidak termasuk dengan cukai tempatan serta insurans.

    Di bawah bonetnya, Ghibli Hybrid dilengkapi dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dengan alternator berkuasa 48-volt dan tambahan supercharger elektrik “eBooster”. Unit eBooster menghasilkan kuasa menerusi bateri yang ditempatkan di belakang jentera dan membantu untuk mengisi jarak tork sebelum ledakan turbo, sementara sistem mild hybrid pula akan memulihkan kuasa ketika brek dan nyahpendikitan.

    Bagi kuasanya, ia mampu memberikan 330 PS (325 hp) pada 5,750 rpm dan tork 450 Nm dari 2,250 hingga 4,500 rpm, sementara pacuan disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan ZF dan limited-slip differential. Mengenai aspek prestasi, Ghibli Hybrid mengambil masa sekitar 5.7 saat untuk mencapai pecutan 0-100 km/j dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 255 km/j. Bagi penggunaan bahan api, ia serendah 8.11 l/100 km mengikut standard WLTP.

    Mengikut perbandingan, versi asas bagi Ghibli bukan-hibrid adalah lebih berkuasa, dengan padanan enjin 3.0 liter turbo-berkembar V6 yang mampu memberikan output 350 PS dan 500 Nm, dengan 0-100 km/j dalam 5.5 saat dan kelajuan maksimumnya 267 km/j. Model tersebut berharga RM618,800 (tidak termasuk insurans atau kos atas jalan tetapi disertakan dengan cukai tempatan).

    Kuasa prek bagi Ghibli Hybrid didatangkan dari cakera berukuran 345 mm di hadapan dengan kaliper empat-omboh Brembo, sementara untuk bahagian belakang diberikan cakera 330 mm dan kaliper omboh-tunggal. Padanan tersebut membolehkan model hibrid dinyahpecut dari 100 km/j hingga berhenti dalam jarak 35.5 meter.

    Maserati Ghibli Hybrid 2021 dilancarkan di Malaysia – 2.0L turbo mild hybrid; 330 PS, 450 Nm; dari RM428k

    Ghibli Hybrid menerima penggayaan yang berbeza berbanding model Ghibli yang lain, termasuk kemasan biru pada sisi saluran udara, kaliper brek dan juga logo pada C-pillar. Selain itu, palang menegak pada gril hadapan telah dibentukkan semula untuk menyerupai tuning fork, sementara di belakangnya pula diberikan lampu umpama boomerang, yang dikatakan diinspirasikan dari kereta konsep 3200 GT dan Alfieri.

    Untuk bahagian dalam, kabinnya diberikan jahitan biru pada tempat duduk, dengan ciri kelengkapan lain termasuk panel instrumen digital dan sistem infotainmen berasaskan Android baharu yang disambung ke paparan skrin sesentuh 10.1-inci yang lebih besar. Selain itu, ia juga diberikan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), merangkumi kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop & go, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta dan AEB.

    Bagi varian GranSport, ia menerima bampar. yang lebih sporty dengan serlahan hitam, pakej Nerissimo dan roda 20-inci. Tahap kemasannya juga ditambah dengan tempat duduk sport upholstery dengan kulit “Pieno Fiore”, kemasan kayuan dengan karbon berkilat dan juga lining bumbung Alcantara. Ciri lain termasuk sistem bunyi Bower & Wilkins dengan 15-pembesar suara yang ditawarkan secara pilihan, yang turut didatangkan dengan amplifier 1,280 watt dan juga QuantumLogic Surround.

     
     
  • Mitsubishi Xpander facelift 2022 – teaser disiarkan, tunjuk lampu LED baharu, bakal didedah di GIIAS 2021

    Mitsubishi Xpander <em>facelift</em> 2022 – <em>teaser</em> disiarkan, tunjuk lampu LED baharu, bakal didedah di GIIAS 2021

    Honda dah dedahkan BR-V generasi baharu di Indonesia pada September lalu, manakala imej-imej kembar Toyota Avanza Veloz dan Daihatsu Xenia (berkemungkinan besar akan dijelmakan sebagai Perodua Alza D27A) juga telah tersebar sebelum dilancarkan di negara berkenaan. Ya, MPV segmen-B tujuh-tempat duduk memang begitu laris di Indonesia, dan kebanyakkannya memang dibangunkan dan membuat kemunculan sulung global di republik tersebut.

    Dan ini satu lagi pencabar – Mitsubishi telahpun menyiarkan teaser bagi Xpander facelift 2022, dan bakal mengacau parti Honda BR-V, Toyota Avanza Veloz serta Daihatsu Xenia ketika berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2021 yang dijadualkan berlangsung pada 10 November nanti.

    Teaser dengan kapsyen “Ride the Life Adventure” berkenaan disertakan bayangan badan Xpander, bersama serlahan lampu-lampu LED baharu pada muka Dynamic Shield Xpander yang diperbaharui tersebut. Lampu nyalaan siang LED yang diletakkan di atas masih kekal dengan bentuk tirus, tetapi dilihat diberikan grafik baharu serta bersaiz lebih panjang.

    Gambar intipan Mitsubishi Xpander facelift 2022 di Indonesia yang dirakam bulan lalu

    Manakala lampu utama yang diletakkan pada bampar pula menerima perubahan drastik dengan kluster berbentuk-T, berbanding hanya berbentuk segi empat tidak sama sisi pada model sedia ada. Lampu isyarat membelok juga nampaknya telah dialihkan dari lampu utama kepada hujung lampu nyalaan siang di atas.

    Rekaan lampu-lampu berkenaan nampak sama pada unit Xpander facelift yang dijumpai sedang menjalani pengambaran iklan di Indonesia bulan lalu. Gambar intipan tersebut turut mendedahkan rekaan baharu pada rim dua-tona, serta bampar belakang yang disentuh semula dan nampak lebih agresif.

    Sama seperti Toyota Avanza dan juga Honda BR-V, Mitsubishi Xpander turut dibangunkan di Indonesia. Sebelum model produksinya didedahkan di GIIAS 2017, model konsepnya yang digelar XM Concept terlebih dahulu membuat penampilan sulung global di GIIAS 2016.

    Model sedia ada Mitsubishi Xpander pasaran Malaysia

    Xpander menerima sedikit tingkat taraf dan penyegaran bagi pasaran Indonesia pada awal 2020, dan akhirnya MPV ini tiba ke pasaran Malaysia pada November 2020, terus dalam versi baharu berkenaan serta dipasang secara tempatan (CKD) di Pekan, Pahang.

    Buat masa sekarang, Xpander merupakan MPV bukan-nasional terlaris di Malaysia dengan mencatatkan sejumlah hampir 13,000 unit tempahan sejak ia dilancarkan. Sehingga September 2021, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah menghantar 5,756 unit Xpander kepada pelanggan yang sudah menempahnya.

    Sejak ia diperkenalkan, Xpander dijana oleh enjin petrol NA 4A91 1.5 liter MIVEC, menghasilkan 105 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada takat 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik empat kelajuan, hanya memacu roda hadapan.

    Antara kelengkapan yang ditelah diberikan pada model pasaran Malaysia sedia ada termasuk lampu hadapan reflektor bi-LED, rim aloi 16-inci, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, tempat duduk balutan kulit dengan elemen quilted, sisitem infotainmen dengan skrin sesentuh 9.0-inci bersama sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta kamera perakam digital (dashcam) 360-darjah.

    GALERI: Mitsubishi Xpander di Malaysia

     
     
  • Peugeot 3008, 5008 facelift 2021 dilancar di M’sia — versi Allure sahaja, 1.6 THP, harga dari RM162k

    Peugeot 3008, 5008 facelift 2021 dilancar di M’sia — versi Allure sahaja, 1.6 THP, harga dari RM162k

    Selepas mengambil alih pengedaran jenama Peugeot daripada Naza, Bermaz Auto Alliance (BAuto) hari ni melancarkan secara rasmi dua SUV pertama edarannya untuk pasaran Malaysia — 3008 (lima-tempat duduk) dan 5008 (tujuh-tempat duduk) facelift. Kedua-dua model ini hanya akan ditawarkan dalam tingkat kemasan Allure sahaja, dengan 3008 dijual pada harga RM161,616 manakala 5008 pula pada harga RM177,311. Semua harga ini termasuk pengecualian cukai SST yang kini telah dilanjutkan hingga 30 Jun 2022.

    Kedua-dua model SUV ini merupakan versi pemasangan tempatan oleh Stellantis yang telah mengambil alih sepenuhnya kilang Naza di Gurun (sebelum ini dikendalikan oleh Naza Automotive Manufacturing), Kedah. Kenderaan yang keluar dari kilang berkenaan dikhabarkan bakal menepati standard global Peugeot. BAuto bagaimanapun hanya terlibat sebagai pengedar dan aspek lepas jualan sahaja; semua hal-hal pengilangan dikendalikan dan dikawal oleh Stellantis.

    Dari sufut mekanikal, kedua-duanya kekal menggunakan enjin yang sama — unit 1.6 liter THP (Turbo High Pressure) empat-silinder yang menghasilkan 167 PS dan 240 Nm tork. Kotak gear automatik enam-kelajuan Aisin menghantar kuasa ke roda depan, dan tersedia sebuah dail rotari untuk pemandu memilih mod cengkaman berbeza, termasuk Snow, Mud dan Sand.

    Apa yang baru pada dua model ini? Antaranya ialah rekaan wajah depannya yang kini lebih menarik dengan gril tanpa bingkai dan lampu utama LED dengan rekaan baru (dengan ciri lampu tinggi automatik dn fungsi limpahan cahaya 90-darjah di selekoh) dengan DRL LED menegak. Lencana nombor 3008 dan 5008 di bonet juga baru — ini saja perbezaan antara keduanya jika dilihat dari depan.

    Pembaharuan di bahagian belakang bagaimanapun tidak begitu ketara berbanding di depan. Yang baru termasuklah lampu LED, dengan rekaan tiga garis “cakaran” 3D dan lampu isyarat sequential. Ini peningkatan yang menarik berbanding model sebelumnya — di depan bagaimanapun tiada lampu isyarat sequential, walaupun hadir dengan rekaan lampu isyarat baru yang memanjang ke bawah. Kelengkapan standard lain termasuklah bukaan pintu barangan belakang dengan gerak kaki dan tetapan ketinggian, enam beg udara dan sensor parkir.

    Di dalam, i-Cockpit terdiri daripada paparan kluster instrumen digital 12.3-inci yang telah dipertingkat dengan kesan grafik dan kontras lebih baik untuk memudahkan penglihatan. Paparan di tengah juga kini lebih lebar dengan skrin sentuh 10-inci. Ini datang dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, melalui sambungan kabel ke port USB-A. Material ruang dalaman kekal sama, tetapi ia juga didatangkan dengan pelantar pengecas tanpa wayar Qi sebagai ciri standard.

    Peugeot 3008, 5008 facelift 2021 dilancar di M’sia — versi Allure sahaja, 1.6 THP, harga dari RM162k

    Beza ruangan but yang ada pula, bagi 3008 ia menyediakan 591 liter, sementara 5008 hadir dengan 952 liter dengan kerusi barisan ketiga dilipat. Bagi aspek keselamatan, 3008 dan 5008 tidak dilengkapi dengan ciri bantuan pemanduan seperti kawalan melayar adaptif dan AEB. Beg udara kekal enam, dan kamera undur masih dalam resoulusi rendah seperti sebelum ini.

    Termasuk dalam harganya ialah jaminan lima-tahun atau 100,000 km daripada pengilang (yang mana dahulu), serta servis penyelenggaraan percuma selama tiga tahun atau 60,000 km, yang mana dahulu. Tiga pilihan warna disediakan — Amazonite Grey, Pearl White dan Nera Black. Warna keempat yang eksklusif untuk berasingan model ialah Cuprite Brown (3008) dan Emerald Crystal (5008). Apa pandangan anda tentang dua SUV facelift terbaru Peugeot ini?

    Gambar rasmi

     
     
  • Toyota Corolla Cross CKD – harga anggaran bermula RM123k hingga RM137k, terima pelbagai peningkatan

    Toyota Corolla Cross CKD – harga anggaran bermula RM123k hingga RM137k, terima pelbagai peningkatan

    Selepas dilancarkan dan dijual dalam pasaran Malaysia dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand bermula Mac lalu, tak lama lagi Toyota Corolla Cross bakal dijual dalam versi pemasangan tempatan (CKD) bersama penambahan model Hybrid – UMW Toyota telah mengesahkan perkara ini dan mengumumkan harga anggaran untuk semua varian.

    Namun, penurunan harga dilihat tidak banyak. Model paling asas Corolla Cross 1.8G CKD dianggarkan akan dijual pada harga RM123,00 (murah RM1,000 berbanding CBU), dan varian 1.8V CKD pula dijual pada harga RM129,000 (turun RM266 berbanding CBU). Seperti yang diumumkan sebelum ini, Corolla Cross CKD turut akan diperkenalkan dalam versi Hybrid dan akan dijual pada harga RM137,000.

    Harga-harga yang dinyatakan ini adalah termasuk pengecualian cukai jualan yang dilanjutkan kerajaan sehingga 30 Jun 2022. Setiap pembelian juga disertakan dengan perlindungan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan, manakala model Hybrid turut akan menerima waranti selama lapan-tahun untuk bateri, inverter dan ECU kawalan pengurusan kuasa sistem hibrid berkenaan. Pemilik model Hybrid juga boleh memanjangkan waranti tersebut sehingga 10-tahun dengan tambahan kos RM2,590.

    Walau bagaimanapun, versi CKD ini diberikan berberapa peningkatan kelengkapan berbanding versi CBU sebelumnya. Bagi model 1.8G, ia bakal dibekalkan dengan lampu hadapan LED secara standard. Manakala semua varian lain menerima tingkat taraf seperti rel bumbung baharu, port USB Type-C di belakang, cermin hadapan akustik dan juga penebat bunyi pada bonet (untuk model petrol penuh) bagi mengurangkan bunyi enjin.

    Bagi model 1.8V dan juga Hybrid, ia menerima pakej bantuan pemanduan keselamatan Toyota Safety Sense yang dipertingkat dengan fungsi stop & go pada cruise control adaptif – penambahan fungsi ini juga mungkin akan menampilkan brek parkir elektronik sama seperti yang diterima pada model pasaran Jepun. Ia juga akan ditambah dengan sistem bantuan pengekal tengah lorong.

    Toyota Corolla Cross CKD – harga anggaran bermula RM123k hingga RM137k, terima pelbagai peningkatan

    Sistem keselamatan lain seperti tujuh-beg udara, kawalan kestabilan elektronik, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, sistem pemantau tekanan angin tayar, sistem kameran pemantau sekeliling 3D 360 darjah, dan kamera perakam digital masih dibekalkan secara standard untuk semua varian.

    Bagi model petrol sepenuhnya, ia terus dijana oleh enjin 2ZR-FE 1.8 liter Dual VVT-i yang menghasilkan kuasa 139 PS pada takat 6,400 rpm dan tork maksima 172 Nm tork pada takat 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT bagi memacu hanya roda hadapan.

    Model Hybrid pula menerima rangkaian kuasa yang terdiri dari enjin petrol 2ZR-FXE 1.8 liter kitaran Atkinson yang menghasilkan 98 PS/142 Nm bersama motor elektrik berkuasa 72 PS/163 Nm. Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan yang dikadarkan pada 122 PS.

    GALERI: Toyota Corolla Cross 1.8V CBU

    GALERI: Toyota Corolla Cross 1.8G CBU

     
     
  • Tanggapan Awal: Hyundai Staria Premium di Malaysia – alternatif terbaik selain Toyota Alphard dan Vellfire?

    Tanggapan Awal: Hyundai Staria Premium di Malaysia – alternatif terbaik selain Toyota Alphard dan Vellfire?

    Bila berbicara tentang MPV mewah bersaiz besar, tiada model lain yang boleh kita perkatakan di Malaysia selain Toyota Alphard dan Vellfire. Ia bukan sahaja kenderaan ‘people mover’ yang selesa kerana saiznya yang besar, malah Alphard dan Vellfire digemari oleh mereka yang ingin memberitahu status – lihat sahaja betapa popularnya MPV ini dikalangan ahli perniagaan, selebriti, malah pak-pak menteri juga dilihat semakin ramai menjadikannya sebagai pejabat bergerak.

    Populariti Alphard dan Vellfire ini di Malaysia menyebabkan hampir ramai yang tidak tahu kewujudan pesaingnya yang lain di Jepun seperti Nissan Elgrand. Malah kerana penerimaannya dikalangan golongan VIP di Asia Tenggara yang begitu baik, Toyota menghasilkan versi Alphard yang lebih mewah dari varian Royal Lounge iaitu Lexus LM khas untuk rantau ini, dan ia belum lagi diperkenalkan di Jepun.

    Dengan status yang begitu gah dipegang oleh Alphard dan Vellfire ini, tiba-tiba Hyundai datang dengan Staria Premium, MPV mewah bersaiz besar dengan rupa begitu futuristik, bagi menggantikan Hyundai Starex. Ketika pelancarannya di Malaysia minggu lalu, Hyundai Sime Darby Malaysia dengan jelas memberitahu Staria Premium akan bertanding dalam gelanggang yang sama dengan Alphard dan Vellfire pada pasaran tempatan.

    “Staria adalah revolusioner. Hyundai sekali lagi mendemonstrasikan rekaan dan kebolehan senibinanya yang menonjol dengan pengenalan MPV luar biasa. Kemasan varian ekslusif memberikan Staria Premium rupa dan rasa lebih mewah berbanding Grand Starex. Dari segi di mana Staria Premium duduk dalam segmennya, ia berada lebih tinggi dari Grand Starex. Ia merupakan MPV mewah pertama dari Hyundai yang setaraf dengan model-model MPV premium Jepun,” kata Low Yuan Lung, pengarah urusan HSDM ketika pelancaran Staria tempoh hari.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025