Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota Innova facelift 2021 – teaser didedah, tampil muka Venturer, pendaftaran minat dibuka di M’sia

    Toyota Innova <em>facelift</em> 2021 – <em>teaser</em> didedah, tampil muka Venturer, pendaftaran minat dibuka di M’sia

    Versi facelift terbaharu MPV Toyota Innova yang membuat kemunculan pertama kali di Indonesia Oktober tahun lalu, kini bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi- pengedarnya UMW Toyota Motor (UMWT) telahpun menyiarkan teaser model berkenaan secara rasmi, dan pendafataran minat juga telah dibuka secara atas talian.

    Innova yang dikemaskini tersebut bukan sahaja menerima perubahan dari segi rupa, malah ia diberikan berberapa peningkatan pada kelengkapan. Berdasarkan model pasaran Indonesia, Innova menerima gril berbentuk trapezoid yang lebih kecil begi meggantikan gril heksagonal pada model sedia ada, dan ia dipadankan dengan lampu hadapan lebih tirus.

    Bampar hadapan Innova facelift ini turut direka semula dengan pembaharuan pada perumah lampu kabus. Namun di belakang, perumah lampu berbentuk-L masih lagi sama dengan hanya hujung keliling kluster berkenaan digelapkan lagi untuk menyerlahkan rupanya.

    Teaser yang didedahkan oleh UMWT ini juga menunjukkan kita akan menerima Innova yang digelar sebagai versi Venturer di Indonesia. Model tersebut diberikan kemasan lebih sporty pada bahagian bawah bampar hadapan, serta tambahan kemasan krom dan krom gelap, bersama rim lima-jejari.

    Pada bahagian dalaman pula, Innova facelift ini masih menampilkan rekaan asas sama seperti model sedia ada. Namun ia tetap menerima berberapa peningkatan bergantung pada varian.

    Di Indonesia, Innova facelift ini ditawarkan dalam dua jenis enjin iaitu versi petrol dengan unit 1TR-FE 2.0 liter empat silinder, dan juga versi turbodiesel 2GD-FTV 2.4 liter empat-silinder. Kedua-dua jenis enjin ini juga boleh dipilih sama ada menggunakan kotak gear lima-kelajuan manual atau enam-kelajuan automatik.

    Untuk versi petrol, ia menjana 139 PS dan tork maksima 183 Nm. Manakala untuk enjin diesel, ia menjana 149 PS manakala talaan tork pula adalah berbeza berdasarkan transmisi – model manual menghasilkan 342 Nm, manakala versi automatik pula menjana 360 Nm.

    Namun untuk di Malaysia, kita dijangka akan ditawarkan dengan unit penjana seperti model sedia ada iaitu hanya enjin petrol 1TR-FTE digandingkan dengan kotak gear automatik.

    GALERI: Toyota Innova facelift pasaran Indonesia

     
     
  • Proton catat jualan 109,719 unit pada 2020, 8.8% lebih tinggi berbanding 2019 walaupun dilanda pandemik

    Proton catat jualan 109,719 unit pada 2020, 8.8% lebih tinggi berbanding 2019 walaupun dilanda pandemik

    Walaupun 2020 adalah tahun yang sukar untuk semua sektor termasuk industri automotif, pengeluar automotif nasional, Proton mencatatkan prestasi jualan keseluruhan yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

    Sepanjang tahun lalu, Proton berjaya menjual sebanyak 109,716 unit kenderaan termasuk 13,306 unit yang dijual sepanjang September 2020, menyaksikan pertumbuhan sebanyak 8.8% berbanding jumlah jualan keseluruhan 2019 yang mencatatkan jualan sebanyak 100,821 unit.

    Prestasi ini jelas satu kejutan memandangkan pandemik Covid-19 yang memaksa semua pengeluar termasuk Proton untuk menghentikan operasi pemasangan dan jualah selama dua-bulan ketika berlangsungnya arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Menurut Proton lagi, mereka adalah satu-satunya jenama automotif di Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan jualan pada 2020.

    Syarikat berkenaan turut menyatakan bahawa bahagian pasaran mereka dianggarkan meningkat sebanyak 4.4% kepada angka 21.1%. Manakala pasaran eksport jenama berkenaan turut meningkat sebanyak 49.8% bagi membolehkan Proton mengatasi trend industri automotif Malaysia yang dijangka menguncup sebanyak 13%.

    Proton catat jualan 109,719 unit pada 2020, 8.8% lebih tinggi berbanding 2019 walaupun dilanda pandemik

    Proton turut menjelaskan bahawa pertumbuhan ini disumbangkan oleh empat model asas yang dihasilkan secara tempatan iaitu Proton Persona, Iriz, Exora dan Saga (PIES), serta sambutan luar jangkaan SUV segmen-B Proton X50 walaupun pelancarannya terpaksa ditangguhkan kerana Covid-19.

    Berdasarkan angka keseluruhan, Proton Persona menjadi sedan segmen-B paling laris di Malaysia dengan jualan sebanyak 23,917 unit. Begitu juga Proton X70 yang menjadi juara dalam kelasnya iaitu SUV Segmen-C paling laris di Malaysia dengan jualan sebanyak 21,944 unit. Proton Exora juga dinamakan sebagai MPV segmen-C paling laris dalam negara dengan jualan 5,849 unit.

    Sedan paling mampu milik Proton iaitu Saga mencatatkan jualan sebanyak 46,527 unit, membolehkan ia menjadi sedan segmen-B nombor dua paling laris di Malaysia. Untuk Proton Iriz pula, ia menduduki tangga ketiga dalam kelas hatchback segmen-B dengan jualan sebanyak 7,636 unit.

    Model paling hype Proton untuk tahun 2020 iaitu X50 yang dijual secara rasmi hanya sekitar dua bulan sepanjang tahun 2020 selepas dilancarkan pada 27 Oktober lalu, berjaya dihantar kepada 3,787 pelanggan membolehkan ia menduduki tangga ketiga dalam carta jualan keseluruhan SUV segmen-C di Malaysia.

    Bahagian eksport Proton juga telah berjaya mencatatkan kejayaan pada 2020 walaupun terdapat banyak halangan bagi pergerakan barangan secara global. Disember lalu, Proton Saga pasangan tempatan (CKD) yang pertama di Kenya telah diperkenalkan dan diikuti pelancaran Proton X70 di Pakistan.

    Pasaran Mesir dan Bangladesh turut menerima Proton Saga tahun lalu, manakala Proton X50 pula memasuki pasaran eksport pertamanya pada 19 Disember apabila ia dilancarkan di Brunei Darussalam, sekaligus menjadikannya model Proton keempat yang dilancarkan disana pada 2020.

    “Kami bersyukur kerana berjaya mencatatkan prestasi yang tinggi pada 2020. Jikalau saya menggambarkannya sebagai suatu cabaran, ia adalah pernyataan yang meremehkan tetapi kami tetap gigih. Prestasi kami disokong oleh banyak faktor termasuk kepercayaan dari pelanggan, sokongan oleh kerajaan, komitmen dari vendor, ketahanan pihak penjual dan ketekunan kakitangan kami, kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

     
     
  • Harga minyak 2-8 Januari 2021 — petrol naik 4 sen

    Harga minyak 2-8 Januari 2021 — petrol naik 4 sen

    Permulaan tahun 2021, harga bahan api bagi minggu pertama Januari pun menyapa dengan kenaikan harga. Ini meneruskan lagi corak peningkatan harga sejak beberapa minggu lalu.

    Kementerian Kewangan memaklumkan hari ini bahawa harga RON 95 Euro 4M untuk tempoh seminggu ke hadapan akan dijual RM1.84 seliter, naik empat sen berbanding minggu lalu. Bagi RON 97 Euro 4M pula, jumlah kenaikan juga sama sebanyak empat sen, menjadikan harga barunya RM2.14 berbanding RM2.10 minggu lalu.

    Bahan api diesel tidak ketinggalan daripada kenaikan harga ini, dengan diesel Euro 2M naik tiga sen kepada RM2.01 seliter berbanding RM1.98. Ini juga bermakna diesel Euro 5 akan lebih mahal 10 sen menjadi RM2.11 seliter berbanding RM2.08 minggu lalu.

    Semua harga baru ini akan berkuatkuasa tengah malam nanti hingga Jumaat, 8 Januari 2021. Selamat Tahun Baru 2021!

     
     
  • Proton Iriz, Persona 2021 dapat Asean NCAP 5-bintang

    Proton Iriz, Persona 2021 dapat Asean NCAP 5-bintang

    Lagi berita penting buat Proton sebelum tirai tahun 2020 dilabuhkan. Dua model facelift akan datang jenama itu, Proton Iriz dan Persona 2021 telah disahkan menerima penarafan lima-bintang bagi protokol ASEAN NCAP. Perkara ini diumumkan dalam atu kenyataan rasmi ringkas yang dikeluarkan hari ini melalui laman web ASEAN NCAP sendiri.

    Tiga kategori yang dinilai untuk protokol ini termasuk Adult Occupant Protection (AOP), Child Occupant Protection (COP) dan Safety Assist Technologies (SAT). Berdasarkan ujian model terakhir kenderaan Proton untuk ujian ini, iaitu SUV Proton X70 dan X50, yang telah juga menerima penarafan 5-bintang setiap satunya, keputusan sama bagi Persona dan Iriz 2021 terbaru sudah dijangka.

    Dengan perincian keputusan lengkap yang akan diumumkan nanti, ini sedikit sebanyak memberi petunjuk bahawa dua model facelift ini nanti akan menampilkan perubahan yang agak ketara, memandangkan kedua-duanya dihantar sekali lagi untuk ujian semula versi terbaru berkenaan. Kebanyakan pengeluar biasanya akan menggunakan saja keputusan ujian sebelumnya untuk mana-mana model facelift yang sama.

    Proton Iriz, Persona 2021 dapat Asean NCAP 5-bintang

    Difahamkan, dua model bari ini akan menggunakan transmisi baru untuk menggantikan CVT dari Punch yang digunakan sebelum ini. Andaiannya adalah, sama seperti Saga yang kini menggunakan kotak gear 4AT Hyundai, Persona dan Iriz 2021 juga akan mengikut jejak yang sama. Atau, mungkin juga akan ada kejutan lain – model kereta kompak di China menggunakan transmisi CVT, mungkin ini juga ada kebarangkaliannya.

    Proton menghantar kedua-dua model terbaru ini untuk ujian semula, dengan protokol yang sama seperti dilakukan terhadap X70 dan X50 sebelum ini. Ada kemungkinan lain tentang langkah ini; Persona dan Iriz mungkin telah dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan aktif terbaru. Ini juga bukanlah satu hal yang aneh, misalnya untuk Proton memperkenalkan ciri seperti AEB bagi kedua-dua model itu, memandangkan pesaing seperti Myvi memang sudah menyediakannya.

    Walaupun, sebenarnya, kehadiran sistem seperti AEB bukanlah penentu sama ada sesebuah kenderaan itu akan diberikan penarafan keseluruhan 5-bintang. Namun, perlu diambil maklum, ketika ini masih belum ada pengesahan lanjut secara rasmi daripada Proton. Cuma, perkembangan ini menguatkan lagi khabar angin yang bertiup, yang mencadangkan bahawa Proton akan mengemaskini sistek keselamatan terhadap dua model tersebut.

     
     
  • Kia daftar logo dan paten untuk identiti baru di Korea

    Kia daftar logo dan paten untuk identiti baru di Korea

    Tahun lepas, Kia telah menunjukkan buat kali pertama logo baru mereka pada kereta konsep Imagine dan sejak daripada itu, lgoo itu juga sudah beberapa kali dilihat pada gambar paten dan spyshot kereta baru. Sekarang, kita juga sudah mengetahui bahawa pengeluar dari Korea Selatan ini akan menggunakan slogan baru, “Movement that Inspires” bersama logo ini.

    Logo serta slogan ini ditemui oleh Korean Car Blog apabila ia muncul di laman web Korean Intellectual Property Rights Information Service (KIPRIS) awal bulan ini. Tiada lagi garis bulat keliling logo seperti yang digunakan sejak 1994, dan tulisan Kia itu sendiri menggunakan bentuk baru lebih tajam dengan garisan tegak dan serong.

    Slogan “Power to Surprise” yang diperkenalkan pada tahun 2012 pula akan diganti dengan “Movement that Inspires”. Slogan ini bertepatan dengan tempoh pertumbuhan Kia, yang berjaya menghasilkan pelbagai model baru yang bergaya serta menyertai segmen mewah yang lebih tinggi melalui sedan K9/K900.

    Logo serta slogan baru ini mungkin akan diperkenalkan secara rasmi bulan hadapan apabila Kia membentangkan strategi “Plan S” mereka. Menurut Automotive News, CEO Kia, Ho Sung Song memberitahu bahawa syarikat mensasarkan untuk menjadi “lebih dinamik, bergaya dan inventif dengan melancarkan 11 kereta elektrik baru menjelang tahun 2025 dan model yang pertama akan didedahkan tahun depan.

     
     
  • Geely tunjuk teaser model ketiga guna asas CMA – tujuh tempat duduk, pengeluaran bermula tahun depan

    Geely tunjuk teaser model ketiga guna asas CMA – tujuh tempat duduk, pengeluaran bermula tahun depan

    Geely telah menyiarkan gambar teaser untuk model ketiga yang menggunakan asas CMA, di mana ia menggunakan bentuk sebuah SUV. Model tersebut setakat ini cuma dipanggil sebagai KX11 dan pengeluarannya dikatakan bakal bermula suku ketiga tahun 2021.

    Platform CMA, ataupun Compact Modular Architecture dibangunkan bersama oleh Volvo dan Geely di bawah China Euro Vehicle Technology (CEVT). Antara model yang sudah menggunakan platform ini adalah Geely Xingyue dan Xingrui, lima model Lynk & Co, Volvo XC40 serta Polestar 2.

    Laporan dari China menunjukkan KX11 akan diletakkan hampir dengan SUV paling besar Geely, iaitu Haoyue, dengan ukurannya 4.8 meter panjang dan jarak roda 2.8 meter. Berdasarkan ukuran ini, kita boleh menjangka tetapan tiga tempat duduk dan kapasiti muatan hingga tujuh orang.

    Geely tunjuk teaser model ketiga guna asas CMA – tujuh tempat duduk, pengeluaran bermula tahun depan

    Enjin yang boleh digunakan pada platform ini pula terdiri daripada petrol turbo tiga silinder dan empat silinder, hibrid serta plug-in hybrid. Teknologi yang berkaitan juga bakal menjadikan model ini lebih tinggi daripada Haoyue.

    Daripada sebuah model Geely, KX11 ini juga mungkin akan membawa kepada sebuah SUV Volvo pula, untuk bersaing dengan Volkswagen Tiguan atau Mercedes-Benz GLB. Jika dimensi yang diketahui setakat ini adalah benar, KX11 versi Volvo ini mungkin akan terletak di antara XC90 dan XC60.

     
     
  • JKR janji akan kambus “pothole” dalam masa 24-jam

    JKR janji akan kambus “pothole” dalam masa 24-jam

    Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melakukan kerja-kerja pembaikan bagi mengambus jalan berlubang selari dengan kempen “Aku Janji Zero Potholes” yang diperkenalkan semula Julai lalu, lapor Bernama.

    Dalam satu kenyataan, JKR menyatakan kempen yang pernah dianjurkan antara tahun 2016 hingga 2018 itu mensasarkan untuk memperkukuh komitmen ke atas penyelenggaraan jalan di negara ini.
    “Ini merupakan inisiatif kementerian bersama dengan JKR dan enam pemegang konsesi bagi jalan persekutuan di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.

    “Di bawah kempen ini, kerja-kerja mengambus lubang pada permukaan jalan akan dilakukan dalam masa 24-jam selepas ia dikesan atau dilaporkan, dan dalam masa tiga hari bagi kerja-kerja pembaikan kekal di dalam kontrak Penyelenggaraan Jalan Persekutuan,” jelas kenyataan tersebut.

    Lubang pada permukaan jalan ini (atau pothole) didefinisikan mempunyai diameter antara 200 hingga 1,000 mm. Sekiranya ia kurang daripada 200 mm, kerja baik pulih tidak akan melibatkan pemotongan, sebaliknya ia akan dikambus segera. Sekiranya diameter lubang mencecah 1,000 mm, ia memerlukan teknik pemotongan sebelum dikambus. “Sekiranya ia lebih besar daripada 1,000 mm, maka ia akan dikenal pasti sebagai kegagalan penurapan.”

    Kementerian berkenaan menerima peruntukan sebanyak RM1.09 bilion untuk penyelenggaraan jalan persekutuan di negara, termasuk untuk elektrik, lampu isyarat dan lampu jalan bagi tahun 2021. Sebanyak 4,091 aduan berkaitan infrastruktur diterima sehingga 30 November. Daripada jumlah itu, 1,473 aduan berkaitan dengan kerosakan jalan. Semua aduan telah diambil tindakan oleh JKR.

     
     
  • Honda henti jualan kereta baru di Rusia pada 2022

    Honda henti jualan kereta baru di Rusia pada 2022

    Anak syarikat Honda di Rusia memaklumkan bahawa pihaknya akan menghentikan penjualan kereta baru kepada pengedar rasmi di negara itu bermula tahun 2022 sebagai sebahagian rancangan penyusunan semulanya, lapor Reuters.

    Sokongan lepas jualan bagi kenderaan Honda bagaimanapun akan diteruskan seperti biasa, serta kehadiran jenama itu di pasaran sana juga akan dikekalkan dengan jualan motosikal dan kelengkapan kuasa akan diteruskan.

    Honda menjual 79 kenderaan di Rusia pada November, mewakili 50% penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu, seperti dimaklumkan oleh Persatuan Perniagaan Eropah. Jualan terkumpul bagi Honda di Rusia sejak Januari hingga November lalu adalah 1,383 unit kenderaan sahaja. Ini merupakan pengurangan sebanyak 15% bagi tempoh sama tahun lalu. Sebagai perbandingan, sejumlah 1.3 juta kenderaan dijual di Rusia pada tempoh berkenaan.

    Honda berbeza dengan pengeluar kenderaan Jepun yang lain kerana tidak mempunyai kilang pengeluaran di Rusia. Tidak seperti Toyota yang mengeluarkan RAV4 dan Camry di St. Petersburg, sementara Nissan memasang Qashqai, X-Trail dan Murano, juga di St. Petersburg.

     
     
  • Perodua 2021 — SUV D55L baru, Myvi FL, Alza D27A?

    Perodua 2021 — SUV D55L baru, Myvi FL, Alza D27A?

    Apa yang Perodua ada untuk ditawarkan pada tahun 2021? Kami ingin membawa anda untuk kembali melihat apa yang boleh kita jangkakan daripada jenama ini untuk pasaran tempatan. Januari 2020, syarikat ini memperkenalkan Bezza facelift dan kemudiannya berkongsi perancangan mereka untuk masa terdekat. CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad, memaklumkan ketika itu, projek berikutnya jenama itu ialah “model yang menggunakan platform DNGA (Daihatsu New Global Architecture)“.

    Ini kita tahu merujuk kepada model D55L, apa yang patut menjadi SUV Perodua dari jalur yang sama seperti Toyota Raize dan Daihatsu Rocky. Model ini pernah dilihat sedang diuji, dengan bentuk umumnya tidak lari banyak daripada model yang menjadi asasnya.

    Perodua D55L SUV

    Perodua 2021 — SUV D55L baru, Myvi FL, Alza D27A?

    Bagaimanapun, akan ada kelainan pada penampilan luarannya, dan kita boleh dijangkakan SUV berkenaan akan diberi rekaan ruang dalaman yang berbeza dan tersendiri. Ini selari dengan pendekatan yang pernah dilihat pada Aruz, yang tetap berbeza daripada Terios dan Toyota Rush, walaupun semuanya berdasarkan model sama.

    Sistem janaan bagaimanapun berbeza. Rocky di Jepun menggunakan enjin 1KR-VET 1.0 liter (996 cc) turbocas tiga-silinder petrol yang menghasilkan 98 PS (97 hp) pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork dari 2,400 hingga 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan transmisi CVT serta pacuan roda depan dan pacuan semua roda.

    D55L menjadi model penting bagi Perodua kerana bakal menggunakan platform serba baru pertama sejak beberapa tahun sebelakangan ini. Jika enjin sama dengan Rocky, ia juga akan jadi enjin turbo pertama dengan CVT yang ditawarkan di sini. AWD mungkin tidak akan ditawarkan. Menarik juga untuk melihat tangga harga bagi D55L ini, misalnya jika dibandingkan dengan Aruz yang ketika ini bermula dari RM68,526.

    Asalnya D55L dicanang untuk dilancarkan pada 2020, tetapi selepas apa yang semua kita lalui tahun ini, ia dianjak ke tahun 2021. Ada khabar angin menyatakan ia akan dilancarkan pada Mac nanti. Perlu juga dinyatakan, D55L bukanlah pesaing bagi Proton X50, memandangkan saiznya lebih cenderung dikenali sebagai SUV segmen A di Jepun, berbanding X50 yang sedikit lebih besar dan berada dalam segmen B.

    Perodua Myvi facelift

    Perodua 2021 — SUV D55L baru, Myvi FL, Alza D27A?

    Macam mana dengan Myvi? Walaupun bersi dikemaskininya diperkenalkan pada Julai 2020, itu sebenarnya hanya melibatkan tambahan ciri Advanced Safety Assist (ASA) 2.0 — yang pertama kali dipasang pada Aruz.

    Memang tak ada yang pasti tentang ini, tetapi jika dilihat cara Myvi ditunjukkan kepada umum sejak beberapa waktu sebelum ini, dengan usianya yang sudah mencecah tiga tahun ketika ini, kemungkinan versi facelift yang sebenar sudah sampai masanya. Dan, jika benar ini berlaku, jangan jangkakan perubahan yang besar-besar. Cuma, menarik juga sekiranya versi Myvi GT dibawa untuk menemui peminatnya, bukan? Apa pun, setakat ini masih belum ada apa-apa tanda yang meyakinkan daripada Perodua tentang Myvi sporty ini. Teruslah berharap!

    Perodua D27A/Alza serba baru

    Perodua 2021 — SUV D55L baru, Myvi FL, Alza D27A?

    Satu lagi jangkaan dan spekulasi yang mempunyai asas juga; iaitu pengganti Alza yang sudah berada dalam pasaran sejak 2009. Sejak itu, MPV kompak Perodua berkenaan telah melalui dua kali facelift, pertama pada 2014 dan kedua pada 2018. Dengan usia dalam pasaran yang sudah mencecah 12 tahun pada 2021, rasanya memang patut ada sesuatu yang baru untuk penawarannnya.

    Tambahan, sepanjang usianya itu, tidak banyak perubahan yang dilakukan — masih dengan dua beg udara, tiada kawalan kestabilan, enjin DVVT yang sudah lama (bukan Dual VVT-i). Jadi kemaskini besar diperlukan untuknya.

    Apapun, Perodua tidak pernah menyebut tentang kemaskini atau pengganti Alza. Tetapi, pada Oktober 2019, Perodua dilihat melakukan ujian terhadap Mitsubishi Xpander, Suzuki Ertiga dan Toyota Avanza di Genting Highlands. Adakah itu persediaan untuk pembangunan Alza baru yang menggunakan kod nama D27A? Ada juga laporan awal yang mencadangkan Daihatsi sedang mempersiapkan MPV baru, dan media-media di Indonesia mengaitkannya dengan Daihatsu Xenia generasi baru. Kita lihat nanti.

    Produa dengan kuasa hibrid? Ini bukanlah terlalu asing, kerana mereka pernah mempamerkannya ketika KLIMS 2018. Perodua juga menyatakan yang mereka sentiasa terbuka dan mempertimbangkannya, termasuk teknologi elektrifikasi. Jadi ini bukanlah satu hal tidak mungkin dilakukan oleh Perodua.

    Syarikat itu juga ada memaklumkan bahawa mereka mampu untuk memperkenalkan satu model baru dan satu model perubahan minor (facelift) setiap tahun. Tidak ada model serba baru untuk tahun 2020, kerana D55L telah dianjak ke tahun depan. Kita juga boleh menjangkakan Alza baru D27A juga dirancang pengenalannya untuk tahun 2021. Sama ada ini akan benar-benar berlaku, hanya masa yang akan tentukan.

     
     
  • Proton sasar serah 4,000 unit X50 sebelum tahun depan, tempahan awal diserahkan sebelum April 2021

    Proton sasar serah 4,000 unit X50 sebelum tahun depan, tempahan awal diserahkan sebelum April 2021

    Proton menutup tirai 2020 dengan berita yang agak menyenangkan; Proton X50 setakat ini telah menerima lebih 30,000 unit. Daripada jumlah berkenaan, sekitar 3,200 unit telah pun didaftarkan dan diserahkan kepada pelanggan. Perkara ini dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn. Bhd., Roslan Abdullah seperti dilaporkan oleh Utusan Malaysia.

    “Kami menyasarkan untuk menyerahkan 4,000 unit menje­lang 31 Disember,” ujar Roslan kepada akhbar berkenaan. Dalam keadaan sekarang, pihaknya memerlukan kira-kira empat bulan untuk menyelesaikan penghantaran unit yang telah ditempah bermula sejak 16 September 2020.

    “Untuk tempahan yang baru masuk, mungkin kita perlukan enam hingga lapan bulan. Bagi tempahan yang dibuat sejak September lalu, kami harap dapat selesaikan dalam tempoh empat bulan, sehingga April tahun hadapan,” katanya.

    Proton sasar serah 4,000 unit X50 sebelum tahun depan, tempahan awal diserahkan sebelum April 2021

    Menurut beliau lagi, pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pelbagai peringkat yang dilaksanakan sejak Mac lalu turut mengganggu proses pengeluaran dan pengedaran kenderaan milik Proton. Ada antara penjual yang tidak dapat beroperasi dalam kapasiti penuh sekali gus tidak dapat memenuhi tempahan yang dibuat. “Ia reaksi rantaian bekalan, apabila penjual tidak dapat beri bekalan, kita juga tak dapat penuhi semua tempahan,” kata­nya.

    Menurut Roslan lagi, antara faktor utama yang menyumbang kepada pe­ningkatan tempahan kenderaan terutamanya untuk Proton adalah pengecualian cukai jualan yang diberikan kerajaan melalui pakej Penjana, yang kini dilanjutkan lagi sehingga 30 Jun 2021.

     
     
  • Subaru BRZ 2021 GT300 didedahkan untuk Super GT

    Subaru BRZ 2021 GT300 didedahkan untuk Super GT

    Subaru BRZ, seperti yang ramai sedia maklum, turut beraksi dalam Kejuaran Super GT. Disebabkan model generasi keduanya sudah didedahkan bulan lalu, bukanlah satu hal yang mengejutkan sekiranya versi perlumbaannya pula muncul. Dalam satu video penghargaan untuk peminat, jentera berkenaan akhirnya ditunjukkan secara ringkas.

    Seperti sebelumnya, BRZ untuk Super GT dibina mengikut spesifikasi GT300 dan tampil lebih rendah serta lebar berbanding versi biasa untuk jalan raya. Ia mengenakan lanjutan bahagian fender yang sinonim untuk perlumbaan tersebut, spoiler depan besar, corong dan bukaan udara yang banyak, diffuser belakang dalam saiz besar serta sayap belakang yang tinggi.

    Perkakasan tambahan bagi spesifikasi lumba itu mengikut penggayaan sedia ada BRZ, termasuk kedudukan lampu lebih tinggi, muncung yang menonjol, spoiler belakang serta reka bentuk C untuk lampu belakang yang disertai juga jalur hitam berkilau.

    Subaru BRZ 2021 GT300 didedahkan untuk Super GT

    Selain serba sedikit persamaan dari sudut penampilan itu, jentera GT300 berkenaan sangat berlainan kelengkapan dalaman yang digunakannya. Kereta baru ini dijangka menggunakan enjin empat-silinder mendatar — dari versi untuk perlumbaan yang berbeza.

    Seperti tahun-tahun sebelumnya, BRZ GT300 ini akan berlumba bersama jentera GT3 lainnya. Kita di sini juga ada harapan untuk melihat jentera ini beraksi memandangkan kejuaraan itu akan kembali berlumba di Malaysia – yang tertangguh tahun ini akibat pandemik. Maklumat lanjutnya akan diumumkan kelak, bergantung kepada keadaan semasa pandemik Covid-19 dan larangan pergerakan antarabangsa.

     
     
  • BMW M5 CS dalam teaser — 635 hp, 70 kg lebih ringan

    BMW M5 CS dalam <em>teaser</em> — 635 hp, 70 kg lebih ringan

    BMW tidak mahu melabuhkan tirai tahun 2020 yang suram ini tanpa semangat. Untuk itu, ia mula menunjukkan teaser bagi model BMW M5 CS akan datang, yang akan membawakan lebih prestasi bagi varian tertinggi M5 itu — lebih kuasa, kurang berat.

    Beberapa maklumat awal tentang kereta berkenaan telah mula didedahkan oleh CEO BMW M, Markus Flasch, yang memaklumkan varian M5 yang satu ini akan mempunyai kuasa 635 hp dan juga 70 kg lebih ringan berbanding M5 Competition. Sebagai perbandingan, versi berkenaan mempunyai 616 hp dan 750 Nm tork dengan enjin 4.4 liter biturbo V8 yang digandingkan bersama transmisi lapan-kelajuan dan AWD boleh tukar, memecut 0-100 km/j dalam masa 3.4 saat dengan laju maksimum 305 km/j.

    M5 CS akan menampilkan kerusi bucket gentian karbon daripada M3 dan M4 terkini, dan akan menjadi kereta dengan empat-tempat duduk yang sebenar, ujar Flasch. Varian baru ini sudah tentu akan menerima talaan casis yang diperbaharui, walaupun buat masa ini M5 CS telah ditunjuk akan menggunakan rim aluminium diperkukuh dalam kemasan warna emas gangsa, serta turut menggunakan perumah brek eksklusif M5 CS karbon seramik dengan angkup merah.

    Dari segi warna cat, kelihatan ia bakal menggunakan penyudah satin, dengan kemasan warna emas gangsa pada bahagian grilnya, kemasan pada fender serta dijangka dibeberapa bahagian lain lagi. Sebagai varian CS, bahagian depan juga dapat dilihat sekejap dalam video yang mempamerkan splitter gentian karbon, sama seperti yang ada pada M3 CS F80 dan M4 CS F82.

    Lain-lain kemasan dengan imej perlumbaan yang ditaruh pada kereta ini termasuklah perincian kemasan kuning, terutapa pada bahagian DRL LED yang ditunjukkan di sini. Menurut Flasch lagi, BMW M5 CS akan diperkenalkan sepenuhnya bulan depan. Sedan mewah empat-tempat duduk dengan prestasi? Bunyi macam menarik.

     
     
  • Tesla akan mula jual kereta elektrik di India pada 2021

    Tesla akan mula jual kereta elektrik di India pada 2021

    Masuk ke tahun 2021, Tesla akan dilancarkan secara rasmi di India. Perkara itu disebut oleh menteri pengangkutan negara itu, Nitin Gadkari dan dilaporkan oleh The Indian Express. Hal sama turut disahkan oleh CEO Tesla, Elon Musk di Twitter baru-baru ini.

    Bagaimanapun, belum ada tarikh tetap yang dinyatakan setakat ini, tetapi Gadkari memaklumkan bahawa Tesla akan “memulakan operasi” pada awal 2021. Ia mungkin bukan seawal Januari, jika merujuk kepada petunjuk daripada jawapan Elon Musk ketika menjawab soalan di aplikasi itu.

    Gadkari menambah bahawa Tesla akan bermula dengan jualan, dan berpandukan maklum balas pembeli terhadap keretanya selepas itu, barulah akan dipertimbangkan pemasangan dan pengilangan di India. Satu lagi laporan lain mendakwa Model 3 akan menjadi model pertama yang akan dijual di sana, pada harga 5.5 juta Rupee (RM302,148).

    India kebelakangan ini memberi perhatian lebih terhadap kenderaan elektrik dalam usahanya untuk mengatasi masalah pencemaran dan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api import. Kerajaannya sebelum ini mengumumkan insentif bernilai USD4.6 bilion untuk menarik syarikat-syarikat agar membina kemudahan pengilangan bateri di negara itu.

     
     
  • Yamaha Exciter serba baru dilancar di Vietnam – enjin 155 cc VVA 17.7 hp, gear 6 kelajuan, kunci pintar

    Yamaha Exciter serba baru dilancar di Vietnam – enjin 155 cc VVA 17.7 hp, gear 6 kelajuan, kunci pintar

    Setelah beberapa teaser disiarkan, Yamaha akhirnya melancarkan model Exciter serba baru untuk pasaran Vietnam. Model yang juga dikenali sebagai Y15ZR di negara kita ini sekarang mendapat pembaharuan menyeluruh termasuk pada bahagian panel badan, enjin, transmisi serta kelengkapan lain.

    Exciter 2021 ini digerakkan oleh enjin sama seperti R15 dan juga MT-15, iaitu unit satu silinder 155 cc, suntikan bahan api, SOHC dengan Variable Valve Actuation (VVA), yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan (klac slip & assist) untuk menghasilkan kuasa 17.7 hp pada 9,500 rpm dan 14.4 Nm tork pada 8,000 rpm. Jumlah kuasa ini sedikit kurang berbanding R15 yang mencatat 19 hp dan 14.7 Nm tork.

    Selain enjin, perubahan utama yang boleh dilihat jelas adalah penampilan, di mana semua panel badan Exciter 155 VVA ini adalah serba baru, berserta lampu jenis LED dengan nyalaan utama di bahagian atas, DRL di bahagian bawah dan penunjuk arah di bahagian tepi. Rekaan lampu belakang juga adalah baru dan dikatakan mendapat inspirasi daripada model sports YZF-R1.

    Pergi kepada bahagian meter, Exciter 155 VVA menggunakan unit digital LCD baru yang dapat memaparkan semua informasi dengan terang termasuk kelajuan, tahap rpm serta kedudukan gear. Pada bahagian butang kawalan di pemegang, selain fungsi biasa, penunggang juga disediakan dengan butang kill switch serta lampu memotong (pass light).

    Disebabkan semua panel badan model ini adalah serba baru, tempat duduknya juga adalah baru, dengan mempunyai bentuk yang lebih sporty. Di bawahnya, terdapat tangki bahan api yang lebih besar berbanding Exciter sebelum ini, iaitu 5.4 liter.

    Selain enjin, prestasi Exciter baru ini turut dipertingkat dengan angkup brek dua piston pada roda hadapan (versi Premium sahaja) sementara fork hadapan pula ditala semula untuk menjadi lebih tinggi 10 mm (kini 100 mm). Monoshock belakang pula didatangkan dengan pelindung baru.

    Yamaha Exciter serba baru dilancar di Vietnam – enjin 155 cc VVA 17.7 hp, gear 6 kelajuan, kunci pintar

    Exciter 155 VVA didatangkan dalam tiga versi iaitu GP Edition, Premium dan Standard, dengan harga masing-masing 50.49 juta (RM8,848), 49.99 juta (RM8,761) dan 46.99 juta Dong (RM8,235). Versi Standard tidak mendapat angkup brek dua piston, sistem kunci pintar serta soket pengecas 12V, sementara versi GP Edition mendapat semua kelengkapan ini, bersama grafik khas warna biru.

    Selain daripada peningkatan yang dinyatakan di atas, Exciter 155 VVA masih lagi menggunakan kelengkapan lain seperti rim 17 inci dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, serta brek cakera belakang.

     
     
  • K’jaan lanjut tempoh pengecualian SST hingga 30 Jun 2021 – 100% untuk kereta baharu CKD, 50% untuk CBU

    K’jaan lanjut tempoh pengecualian SST hingga 30 Jun 2021 – 100% untuk kereta baharu CKD, 50% untuk CBU

    Kerajaan telah mengumumkan menerusi memo yang baru dikeluarkan kepada Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan Persatuan Pengimpot Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) bahawa pengecualian cukai jualan bagi kereta baharu dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021. Kami turut mendapatkan pengesahan berhubung perkara ini dengan MAA, dan ternyata ia adalah sahih.

    Pengecualian cukai jualan, yang dilaksanakan sejak 15 Jun lalu, pada asalnya dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2020. Menurut memo terbabit, peratusan bagi pengecualian cukai jualan kekal seperti mana yang diumumkan sebelum ini, dengan 100% bagi kereta pemasangan tempatan (CKD) dan 50% untuk model import sepenuhnya (CBU).

    Sebelum ini, MAA mendedahkan permintaan pihaknya untuk mendapatkan tempoh lanjutan pengecualian cukai jualan tersebut ditolak, namun akhirnya kerajaan telah membuat keputusan sebulat hati untuk menunaikannya.

    Pengecualian cukai jualan bagi kenderaan baharu ini adalah sebahagian daripada program Penjana oleh kerajaan bagi memacu permintaan dalam pasaran automotif tempatan. Malahan pengecualian cukai jualan ini telah menyebabkan penurunan harga untuk kenderaan penumpang, walaupun trak pikap tidak layak menerima manfaat tersebut kerana ia diklasifikasikan sebagai kenderaan komersil.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025