Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • VIDEO: Kereta Proton macam tin Milo dan tak selamat?

    Selalu kita dengar ada orang yang akan cakap panel badan kereta keluaran tempatan lembut, dan terus buat andaian bahawa kereta berkenaan tak selamat. Macam mana mereka boleh sampai kepada kesimpulan mudah seperti ini?

    Mudah saja. Dengan jari “sakti”, mereka akan mengetuk-ngetuk sedikit badan kereta itu dan mendakwa ia mudah kemek. Tanpa sebarang pemahaman lanjut, maka terus akan ada kesimpulan seperti itu. Dan, lebih parah, ramai pula yang terpedaya dan percayakan pandangan itu.

    Sebetulnya, bahagian yang manakan yang lebih penting untuk memberi perlindungan kepada pemandu dan penumpang sekiranya kenderaan terlibat dalam kemalangan? Adakah lapisan nipis panel badannya atau sebaliknya struktur kerangka yang digunakan pada sesebuah kenderaan, seperti yang dapat dilihat pada Proton Persona 2016? Ada tak mana-mana kereta penumpang dalam dunia ini yang bahagian luarannya tak kemek kalau bertembung dalam kemalangan?

    Untuk meleraikan salah faham ini – kerana mungkin saja ramai lagi yang menganggap perkara ini betul – kami sediakan satu video ringkas untuk kita menambah pengetahuan tentang hal-hal berkaitan kekukuhan sesebuah kenderaan. Semoga ada manfaatnya.

    Keratan rentas Proton Persona 2016

     
     
  • Pusat servis, bengkel wajib ada lesen khas – KPDNKK

    Pusat servis, bengkel wajib ada lesen khas – KPDNKK

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bakal membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembaikan Kenderaan Motor di Dewan Rakyat, Mac depan iaitu bagi mewajibkan pengusaha pusat servis dan bengkel kenderaan bermotor memiliki lesen khas mengendalikan perniagaan itu.

    Menurut menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin, undang-undang berkenaan bertujuan memberi keselesaan dan menjaga kepentingan pengguna tanpa meminggirkan hak penggiat industri itu.

    Katanya lagi, penguatkuasaannya diyakini dapat memastikan industri itu berkembang maju seiring pembangunan pesat teknologi masa kini sekali gus menjaga hak dan kepentingan pengguna.

    “Bengkel perlu ada mekanik bertauliah yang mencukupi bagi mendapatkan lesen mengikut kategori perkhidmatan mereka. Ada bengkel yang memberikan perkhidmatan penuh, ada yang servis atau mengetuk dan mengecat sahaja. Kategori ini akan ditentukan nanti,” ujarnya seperti mana yang dilaporkan oleh Bernama.

    Beliau turut menambah, dengan penguat kuasaan undang-undang juga industri berkenaan dijangka lebih berkembang pesat sejajar dengan teknologi masa kini yang sering berubah.

    “Lesen khas itu hanya dikeluarkan jika menepati syarat kelayakan termasuk memiliki mekanik bertauliah. Selain lesen perniagaan sedia ada, lesen khas juga akan dikeluarkan. Kita umpamakan mekanik seperti doktor, lesen dikeluarkan mengikut kepakaran tertentu dan menjadi kesalahan jika memberi sesuatu perkhidmatan tanpa lesen yang sah,” katanya.

    Pusat servis, bengkel wajib ada lesen khas – KPDNKK

    RUU Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembaikan Kenderaan Motor dibuat berikutan aduan pengguna yang diterima KPDNKK berhubung perkhidmatan pusat servis kenderaan dan bengkel kenderaan motor.

    Tambahnya lagi, undang-undang ini juga antara lain bagi menentukan pusat servis kenderaan dan bengkel kenderaan motor beroperasi mengikut kategori dan kepakaran tertentu.

    “Tiga kategori ditetapkan iaitu pembaikan enjin, perkhidmatan penyelenggaraan dan aksesori seperti tayar manakala kategori lain akan putuskan dalam masa terdekat. Undang-undang ini perlu fleksibel dan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa sejajar dengan teknologi dalam bidang automobil yang sentiasa berubah. Contohnya, jika dulu kenderaan motor kurang menggunakan sistem berasaskan elektronik, kini semakin banyak kenderaan menggunakannya,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya memahami mengenai perubahan dan tiada niat mahu menutup periuk nasi atau menyulitkan mereka.

    “Kita akan beri tempoh. Bagi yang sudah mempunyai perniagaan, tetapi ada mekanik atau pekerja tiada sijil kemahiran mereka perlu menghadiri kursus tertentu,” katanya.

    Justeru, pihak yang gagal mematuhinya tindakan akan dikenakan. Setakat ini, pihaknya belum memutuskan bentuk hukuman dan kini masih di peringkat perbincangan. Setakat ini, ada kira-kira 30,000 pengusaha bengkel kenderaan di seluruh negara.

     
     
  • Prestasi jualan kenderaan di Malaysia, 2017 vs 2016 – jenama mana yang meningkat dan menurun tahun lalu

    Prestasi jualan kenderaan di Malaysia, 2017 vs 2016 – jenama mana yang meningkat dan menurun tahun lalu

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan laporan keseluruhan bagi jualan kenderaan di Malaysia bagi tempoh sepanjang tahun 2017. Seperti dijangkakan, prestasi keseluruhan yang menurun sejak 2016 masih lagi berterusan, bahkan prestasi tahun lalu adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan sebelumnya.

    Sebagai permulaan, kita lihat dahulu jumlah keseluruhan industri (TIV) yang dicapai pada 2017, iaitu 576,635 unit. Angka ini sebenarnya kurang – walaupun sedikit – berbanding TIV yang dicapai pada 2016 dengan 580,085 unit (-0.6%).

    Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad di dalam pembentangan prestasi ini turut menyifatkan pasaran automatif tempatan sepanjang tahun 2017 lalu adalah mendatar; satu corak menurun yang hampir sama direkodkan bagi dua tahun berturut-turut.

    Prestasi jualan kenderaan di Malaysia, 2017 vs 2016 – jenama mana yang meningkat dan menurun tahun lalu

    Walaupun begitu, tetap ada jenama-jenama yang mencatatkan peningkatan dari segi jualan serta perkongsian pasaran berbanding tahun sebelumnya. Ada eloknya kita lihat prestasi beberapa jenama utama, yang mana satu di antaranya yang mampu terus meningkatkan jualan dan sebaliknya.

    Bagi segmen kereta penumpang, sebanyak 514,679 unit dijual pada tahun 2017, hanya sedikit melebihi angka pada 2016 yang mencatatkan sejumlah 514, 594 unit. Kenaikan itu sangat tipis, hanya melibatkan 0.02%.

    Pendahulunya masih lagi kekal milik Perodua, walaupun mencatatkan penurunan jualan dari 207,110 unit kepada 204,887 unit (-1.1%). Selain daripada itu, Perodua juga berjaya mengekalkan perkongsian pasarannya pada kadar 35.5%, menjadikannya jenama paling popular di Malaysia bagi 12 tahun berturut-turut kini.

    Di tempat kedua pula iala Honda, tidak hanya mengungguli pengeluar bukan nasional yang lain, tetapi turut mencatatkan peningkatan jualan. Dari 91,830 unit pada 2016 kepada 109,511 unit (+19.3%) tahun lalu. Kadar perkongsian pasarannya pula turut meningkat kepada 19% daripada 14.2% bagi tahun sebelumnya – antara yang menyumbang tentunya model seperti Honda BR-V.

    Walaupun dengan penurunan jualan, tempat ketiga menjadi milik Proton, dengan angka 70,991 unit berbanding 72,290 unit pada 2016 (-1.8%). Perkongsian pasarannya juga tetap menurun, daripada 15.3% kepada 12.3% tahun lalu. Walaupun 2017 agak senyap buat Proton dari segi pengenalan model baru, tahun ini pasaran menjangkakan syarikat itu akan melancarkan model SUV Boyue hasil usaha sama Geely.

    Toyota pula berada ditempat keempat dengan angka jualan 69,492 unit, meningkat sebanyak 9% daripada 63,757 unit pada 2017. Ini bagaimanapun tidak dapat meyumbang kepada perkongsian pasaran yang lebih positif; ia menurun dari 14.1% kepada 12.1%.

    Prestasi jualan kenderaan di Malaysia, 2017 vs 2016 – jenama mana yang meningkat dan menurun tahun lalu

    Ditempat kelima ialah Nissan, dengan angka 27,154 unit, menurun sebanyak 33.3% daripada 40,706 unit pada 2016. Perkongsian pasarannya juga menurun daripada 7.1% kepada 4.7%.

    Bagi jenama premium, Mercedes-Benz mengatasi pesaing rapatnya, dengan jualan 12,344 unit berbanding 12,017 unit (+2.7%) pada 2016. Kadar perkongsian pasarannya pula ialah 2.1%. Manakala satu lagi jenama pengeluar kenderaan dari Jerman, BMW juga mencatatkan peningkatan jualan kepada 10,618 unit berbanding 9,000 unit (+18%) bagi tahun sebelumnya. Perkongsian pasarannya ialah 1.8%. Perincian selanjutnya boleh dirujuk pada jadual yang disediakan.

    Bagi segmen kenderaan perdagangan pula, sebanyak 61,959 unit telah dijual secara keseluruhannya pada 2017. Toyota mendahului dengan jualan 21,887 unit (35.5% perkongsian pasaran), diikuti oleh Isuzu (10,838 unit, 17.5%) dan Nissan (7,205 unit, 11.6%). Untuk makluman lanjut, rujuk jadual-jadual yang sediakan.

     
     
  • Geely Boyue facelift 2018 diprebiu di China – rupa lebih segar dengan pelbagai ciri elektronik baharu

    Geely Boyue facelift 2018 diprebiu di China – rupa lebih segar dengan pelbagai ciri elektronik baharu

    Ketika rakyat Malaysia tertunggu-tunggu SUV pertama Proton yang diasaskan dari Geely Boyue, model segmen-C berkenaan nampaknya bakal diberikan versi facelift terbaharu di tanah kelahirannya – China.

    Boyue diperkenalkan buat pertama kali di pasaran tersebut sejak dua tahun lalu, dan versi disegarkan semula berkenaan dijangka akan mula dijual bermula Mac ini. Sebelum dilancarkan secara rasmi, portal automotif dari China, autohome.com.cn telah diberikan keistimewaan untuk meninjau terlebih dahulu model tersebut.

    Berbanding versi asal, model facelift ini dibezakan dengan bampar hadapan baharu bersama lampu kabus LED pada bahagian bawah – menampilkan rupa yang lebih garang dan lebih relevan mengikut trend rekaan semasa.

    Geely Boyue facelift 2018 diprebiu di China – rupa lebih segar dengan pelbagai ciri elektronik baharu

    Pada bahagian belakang pula, ia menerima lampu belakang yang lebih gelap, skid plate pada bampar yang lebih lebar, reflektor baharu dengan rekaan mendatar serta tip ekzos dengan rupa yang lebih segar. Tiada perubahan drastik jika dilihat dari sisi, namun Boyue 2018 turut diberikan rim aloi baharu dengan diameter lebih besar (19-inci).

    Masuk ke kabin, Boyue kini diberikan sistem infotainmen baharu dengan sistem audio dari Morel dan pemain utamanya kini menerima butang kawalan sensitif-sentuhan berbanding butang konvensional pada versi sedia ada. Skrin sesentuh SUV ini masih lagi bersaiz lapan-inci, tetapi resolusinya telah dipertingkatkan kepada 1920×720 piksel.

    Paparan pengguna pada skrin tersebut juga telah berubah, manakala kamera 360-darjah pula kini memberikan gambaran sekeliling kereta dengan imej tiga-dimensi. Ciri lain yang turut dipertingkat pada model baharu ini termasuk empat port USB tambahan (dua hadapan dan dua belakang), serta satu lagi port USB turut diberikan pada tempat yang agak unik iaitu berhampiran dengan cermin pandang belakang – membolehkan anda memasang dash-cam tanpa wayar yang berserabut ke port USB/12V pada papan pemuka.

    Geely Boyue facelift 2018 diprebiu di China – rupa lebih segar dengan pelbagai ciri elektronik baharu

    Selain itu, paparan kedudukan gear PRND baharu dengan pencahayaan baharu turut diberikan, manakala balutan upholsteri kini hadir dengan warna tea brown dan juga kawalan berasingan untuk larasan tempat duduk penumpang hadapan (seperti pada Toyota Camry) juga dibekalkan.

    Untuk keselamatan, sistem Pemantau Titik Buta pada Boyue kini akan memberikan amaran kepada penumpang ketika pintu mahu dibuka sekiranya terdapat aliran trafik pada bahagian berkenaan. Ciri bantuan pemanduan lain masih lagi kekal dengan brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, amaran keluar laluan dan juga lampu tinggi automatik.

    Tiada perubahan mekanikal diberikan dan Boyue masih ditawarkan dengan pilihan janakuasa yang sama. Versi 2.0 liter NA diberikan enjin empat silinder berkuasa 139 hp/178 Nm. Untuk versi turbo pula, ia dipadankan dengan enjin 1.8 liter tetapi dengan dua pilihan kuasa – 161 hp/250 Nm (hanya transmisi enam-kelajuan manual) dan 181 hp/285 Nm (hanya diberikan kotak gear enam-kelajuan automatik). Pilihan pacuan hadapan atau pacuan semua roda turut diberikan, bergantung pada varian.

    Pulang ke Malaysia, Proton menyatakan Boyue dalam versi pemanduan sebelah kanan bakal muncul menjelang akhir tahun ini. Versi pemanduan sebelah kiri dilihat telah keluar diuji pada jalan raya biasa pada awal tahun ini, manakala gambar versi pemanduan sebelah kanan pula tersebar tidak lama selepas itu. Malangnya, gambar viral berkenaan apabila diteliti, hanyalah imej palsu yang telah diterbalikkan.

    Bagaimana prestasi pemanduan SUV ini? Wakil kami telah berpeluang memandunya di China tahun lalu, dan laporan pandu uji tersebut boleh anda baca DISINI.

     
     
  • VIDEO: ‘Scandinavian Flick’ Tengku Djan Ley di lap terakhir Vios Challenge Festival TGR pusingan JB

    Rata-rata ‘peminat-peminat’ sukan permotoran tempatan memandang sinis perlumbaan ‘one-make’ Vios Challenge yang dijalankan bersama Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) kerana Toyota Vios yang digunakan hanya menggunakan enjin ‘standard kilang’ 2NR-FE 1.5 liter (diberikan sistem pengurusan enjin dari Motec) dan brek belakang masih lagi kekal menggunakan sistem dram.

    Namun untuk pemandu-pemandu profesional negara seperti Tengku Djan Ley, Boy Wong, Ser Ming Hui (Ah Fai), Syafiq Ali dan ramai lagi, perlumbaan ini memberikan satu lagi platform untuk mereka berlumba dan pasukan-pasukan profesional ini sanggup melabur untuk mendapatkan kereta-kereta lumba yang diubahsuai oleh Wing Hin Motorsport (dengan seliaan TRD Jepun) berkenaan yang menurut UMW Toyota sendiri berharga RM90,000 sebuah.

    Apa yang menarik untuk melihat Vios berlumba di litar? Mengikut peraturan yang ditetapkan untuk perlumbaan ini, kesemua pasukan yang bertanding dilarang untuk membuat sebarang ubahsuai tambahan pada jentera mereka selain dari talaan semula pada suspensi mengikut karekter yang diinginkan pemandu. Jadi faktor kemenangan dalam Vios Challenge bukanlah kuasa enjin atau kemampuan kewangan, tetapi kepakaran dan kemahiran teknikal pemandu dan pasukan – menyajikan aksi ‘dogfight‘ yang sangat sengit.

    Aksi yang dilakukan oleh Tengku Djan Ley pada lap terakhir perlumbaan kedua, pusingan ketiga (Johor Bahru) kategori Super Sporting yang berlangsung hujung minggu lalu ini antara contoh bagaimana Vios Challenge mampu memberikan saat ‘meremang bulu roma’ ketika anda menontonnya.

    Ketika ini, Tengku Djan sedang menghadapi masalah brek (yang dialami sejak enam-lap sebelumnya) dan dia sedang diserang bertalu-talu dari pemandu tuan rumah, Syafiq Ali yang memandu untuk pasukan M7 Racing Team. Tengku Djan sudah boleh mengagak Syafiq akan memotongnya dari dalam pada selekoh pertama, lap terakhir berkenaan. Oleh itu, dia terlebih dahulu berfikir untuk melakukan sesuatu untuk terus kekal di tempat kedua.

    Jadi, ketika Syafiq mula untuk memotong dari dalam, Tengku Djan tanpa menggunakan brek kaki mahupun tangan, dengan hanya ‘engine braking‘ hasil dari menurunkan gear 4-3-2, melakukan aksi ‘Scandinavian Flick’ dari luar untuk mengekalkan momentumnya sepanjang selekoh tersebut dan berjaya memintas semula Syafiq ketika keluar dari selekoh.

    Pada sesi sidang media selepas habisnya perlumbaan ini, Tengku Djan menyatakan tujuh lap terakhir tanpa sistem brek yang berfungsi sempurna berkenaan merupakan “tujuh lap paling panjang” dalam kariernya sebagai pelumba.

    Sekiranya anda tertinggal untuk menonton tiga pusingan perlumbaan sebelum ini (Batu Kawan Pulau Pinang, MAEPS Serdang dan Medini Johor Bahru) anda masih lagi berpeluang untuk merasai adrenalin perlumbaan berkenaan secara live pada pusingan akhir yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur, Mac ini.

    GALERI:Toyota Gazoo Racing 2018 Pusingan ketiga, Medini, Johor Bahru – Hari pertama

    GALERI:Toyota Gazoo Racing 2018 Pusingan ketiga, Medini, Johor Bahru – Hari kedua

     
     
  • Bugatti hasilkan angkup brek titanium cetakan 3D

    Bugatti hasilkan angkup brek titanium cetakan 3D

    Melalui model Chiron, Bugatti sudah menggunakan brek paling berkuasa di dunia dan angkup yang paling besar untuk kenderaan produksi dengan unit aloi aluminium kekuatan tinggi, lapan piston titanium di depan dan enam piston di belakang. Kini, syarikat itu menunjukkan pula buat pertama kalinya angkup cetakan 3D titanium.

    Aloi titanium yang digunakan untuk angkup ini kebanyakannya diguna untuk industri aero angkasa dan menawarkan prestasi lebih tinggi berbanding aluminium. Ukurannya adalah 41 sm panjang, 21 sm lebar dan 13.6 sm tinggi, mencatat berat keseluruhan cuma 2.9 kg satu unit (jika menggunakan aluminium, beratnya adalah 4.9 kg).

    Sebelumnya, bahan ini tidak digunakan kerana terlalu susah atau hampir mustahil untuk membentuknya kerana blok titanium adalah sangat kuat. Walaupun begitu, Bugatti berjaya melakukannya melalui penggunaan mesin cetak 3D, sekaligus menjadikan ia sebagai angkup brek pertama di dunia yang dikeluarkan menggunakan cetakan 3D dan komponen berfungsi terbesar di dunia daripada titanium dan dicetak secara 3D.

    “Dalam usaha untuk melakukan pembangunan secara berterusan, kami sentiasa mengambil kira bagaimana bahan serta proses baru dapat digunakan untuk menjadikan model kenderaan kami lebih bagus dan bagaimana kenderaan masa hadapan boleh direka,” kata ketua teknologi baru dalam jabatan pembangunan teknikal Bugatti Automobiles S.A.S, Frank Götzke.

    Percubaan pertama untuk menggunakan angkup brek titanium ini pada kenderaan produksi dijangka berlaku pada separuh tahun pertama ini, namun tarikh sebenarnya masih belum ditetapkan. Pada tahap itu, jurutera yang terlibat berjanjin masa pengeluarannya akan dapat dilakukan lebih cepat, berbanding sekarang.

     
     
  • Data jualan kenderaan Disember 2017 ikut jenama – Perodua, Honda dan Toyota di kedudukan tiga teratas

    Data jualan kenderaan Disember 2017 ikut jenama – Perodua, Honda dan Toyota di kedudukan tiga teratas

    Menerusi data yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan kenderaan pada bulan Disember 2017 menunjukkan peningkatan sebanyak 11.3%, iaitu dengan jumlah keseluruhan 54,729 unit kenderaan, berbanding pada bulan November 2017 dengan 49,184 unit. Jumlah keseluruhan TIV yang dicapai bagi tahun 2017 pula ialah sebanyak 576,635 unit.

    Dan, jika dilihat dari pecahan mengikut jenama, kedudukan teratas dipelopori oleh jenama-jenama yang sudah sangat sinonim mendahului sejak beberapa waktu sebelum ini. Seperti biasa, ditempat teratas ialah Perodua yang mencatat jualan sebanyak 20,180 unit; peningkatan sebanyak 21.3% berbanding November 2017.

    Ini diikuti pula oleh Honda dengan 11,221 unit, juga dengan peningkatan sebanyak 7.1% berbanding bulan sebelumnya. Ia diikut rapat oleh Toyota yang merekodkan jualan sebanyak 7,238 unit – peningkatan sebanyak 7% dari bulan sebelumnya.

    Selain tiga jenama dikedudukan teratas ini, beberapa lagi jenama turut menikmati peningkatan yang sihat. Antara yang mencatat peningkatan paling ketara ialah Subaru (+28.2%), Volvo (+26.6%), Renault (+22.4%), Volkswagen (+13.8%) dan Mitsubishi (13.3%).

    Bagi Proton pula, walaupun kekal ditempat keempat, jenama ini menyusut jualannya sebanyak 0.2% kepada 4,802 unit. Jenama-jenama lain yang berkongsi nasib yang sama ialah Mazda (-29.6%) dan juga Kia (-11.6%).

     
     
  • Honda HR-V facelift 2018 – gambar bocor dari Jepun

    Honda HR-V facelift 2018 – gambar bocor dari Jepun

    Di Jepun, Honda HR-V atau juga dikenali sebagai Vezel di beberapa pasaran telah dilancarkan sejak tahun 2013, namun sehingga sekarang tidak diberi sebarang perubahan gaya atau facelift. Terbaru, gambar versi facelift telah bocor dari Jepun dan disiarkan oleh laman web www.headlightmag.com.

    Melalui imej yang dijangka adalah risalah jualan ini, HR-V versi facelift ini dapat dilihat mempunyai perubahan terutama pada bahagian gril dan bampar. Grilnya kini menggunakan permukaan krom yang lebih besar seperti Honda Accord, dan Civic generasi kesepuluh, City facelift ataupun HR-V versi Mugen Tulisan di atasnya pula menunjukkan warna Midnight Blue Metallic dan Pearl White.

    Selain daripada itu, lampu utama kenderaan ini turut dilihat menggunaan unit baru, dengan di dalamnya terdapat bentuk seperti sisik ikan, berserta lampu siang dan lampu penunjuk arah LED. Bentuk bahagian bukaan udara yang turut menempatkan lampu kabus turut diubah menjadi lebih berpetak.

    Honda HR-V facelift 2018 – gambar bocor dari Jepun

    Di pasaran Malaysia sendiri, HR-V sudah ditawarkan sejak tahun 2015, dengan pilihan hanya enjin 1.8 liter berkuasa 142 PS dan 172 Nm tork. Pada bulan Mei yang lalu, kod tarif duti baru kastam telah dilaksanakan, dan HR-V menerima kesan dengan harganya diturunkan menjadi antara RM101,100 hingga RM121,000.

    Sementara itu pada bulan Disember tahun lepas, satu unit ujian HR-V yang masih lagi diselindung turut ditemui oleh pembaca kami di sekitar Petaling Jaya, sekaligus ia seperti memberi petanda model versi facelift akan tiba tidak lama lagi.

    GALERI: Honda HR-V yang dijual sekarang

     
     
  • MAA: Jualan kenderaan Disember 2017 – 11.3% lebih baik berbanding November, TIV sebanyak 576,635 unit

    MAA: Jualan kenderaan Disember 2017 – 11.3% lebih baik berbanding November, TIV sebanyak 576,635 unit

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan untuk pasaran tempatan bagi bulan Disember 2017. Dari satu sisi, ia menunjukkan prestasi yang lebih baik jika dibandingkan dengan bulan November.

    Keseluruhannya, sebanyak 54,729 unit kenderaan telah dijual bulan lalu, mencatatkan 11.3% atau 5,545 unit peningkatan berbanding 49,184 unit yang dicapai pada November. Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan Disember 2016 pula, angka baru ini tetap tidak dapat menyaingi; ia 15.6% atau 10,104 unit lebih rendah.

    Walaupun begitu, jumlah keseluruhan 576,635 unit kenderaan baru telah terjual sepanjang 2017, mencatatkan penurunan sebanyak 0.6% berbanding TIV tahun 2016 dengan jualan sebanyak 580,085 unit kenderaan.

    Menurut MAA, penurunan ini disebabkan oleh kesan daripada bencana banjir dibeberapa negeri Semenanjung serta promosi jualan yang rancak dan berlebihan yang bermula lebih awal pada 2017 lalu.

     
     
  • Material gentian-karbon dari tumbuhan kini sedang dibangunkan oleh pasukan penyelidik di Amerika

    Material gentian-karbon dari tumbuhan kini sedang dibangunkan oleh pasukan penyelidik di Amerika

    Gentian-karbon merupakan antara material yang paling popular dalam menghasilkan komponen-komponen berprestasi tinggi untuk industri automotif bagi menggantikan penggunaan aluminium kerana bahan tersebut nyata lebih ringan dan lebih kukuh. Namun seperti yang diketahui, setiap komponen yang diperbuat dari gentian-karbon ini tidak murah.

    Ini kerana gentian karbon dihasilkan dari bahan kimia yang digelar acrylonitrile, iaitu sejenis bahan yang diperolehi dari campuran minyak, ammonia, oksigen dan pemangkin yang mahal. Selain itu, penggunaan bahan berasaskan petroleum juga menjadikan harganya tidak stabil dan bergantung kepada harga minyak mentah dunia.

    Faktor ini mungkin akan berubah tidak lama lagi kerana menurut laporan NexusMedia, ahli sains kini sedang membangunkan acrylonitrile yang boleh dihasilkan dari tumbuh-tumbuhan. Usaha ini dijangka bakal membolehkan gentian-karbon dihasilkan dengan kos yang lebih rendah serta lebih mesra alam kerana haba berlebihan serta sisa toksik yang terhasil ketika menghasilkan produk tersebut dapat dikurangkan.

    Penyelidik di Makmal Tenaga Guna Semula Nasional (NREL) di Amerika Syarikat telah membangunkan proses baharu yang boleh menghasilkan acrylonitrile dari tumbuh-tumbuhan, atau secara spesifiknya dari bahagian yang tidak boleh dimakan seperti tangkai jagung dan jerami gandum. Pasukan penyelidik tersebut akan memecahkan bahan berkenaan kepada gula dan menukarnya kepada asid. Setelah itu, ia akan digabungkan dengan bahan pemangkin yang lebih murah untuk menghasilkan acrylonitrile.

    Pasukan penyelidik NREL berkenaan percaya proses berasaskan tumbuhan ini boleh dibuat dalam proses pengeluaran berskala besar bagi menyedikan acrylonitrile, seterusnya mampu merendahkan lagi kos produksi material gentian-karbon.

    Makmal berkenaan juga menyatakan mereka kini sedang berkerjasama untuk menghasilkan acrylonitrile dengan jumlah yang banyak yang boleh menghasilkan gentian-karbon dan akan diuji pada produk automobil, namun kini penyelidikan asas masih lagi dijalankan.

     
     
  • Givi buka pusat sehenti di JB, sampaikan hadiah Honda RS150R kepada pemenang peraduan Cielo Yuzy

    Givi buka pusat sehenti di JB, sampaikan hadiah Honda RS150R kepada pemenang peraduan Cielo Yuzy

    Pengeluar aksesori motosikal, Givi Asia Sdn Bhd telah membuka sebuah pusat sehenti di Jalan Tampoi Susur 1, Johor Bahru untuk kesenangan pelanggannya yang berada di sekitar kawasan tersebut. Pusat ini dibuka dari hari Sabtu hingga hari Ahad, jam 10 pagi hingga 7 malam.

    Di situ, orang ramai boleh mendapatkan pelbagai barangan yang dikeluarkan oleh Givi, berserta khidmat pemasangan. Ini adalah pusat sehenti ketiga yang dibuka oleh Givi, selepas satu di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, dan satu lagi di Pulau Pinang.

    Semasa majlis perasmian pembukaan pusat sehenti ini, Givi turut melancarkan produk baru iaitu tapak lampu brek ketiga yang boleh ditambah kepada kotak barangan mereka. Ini sekaligus dapat meningkatkan ciri keselamatan motosikal yang menggunakan kotak barangan Givi.

    Givi buka pusat sehenti di JB, sampaikan hadiah Honda RS150R kepada pemenang peraduan Cielo Yuzy

    Selain daripada itu, Givi turut menyampaikan hadiah utama kepada pemenang peraduan Cielo Yuzy Racing, iaitu sebuah motosikal Honda RS150R yang telah diubah suai dengan pelbagai aksesori Givi, serta grafik khas seperti jentera lumba Yuzy Racing.

    Pemenangnya, Nazeri Mohd Isa yang berasal dari Klang, Selangor turut hadir untuk menerima sendiri hadiah ini, dan beliau telah dipilih selepas satu cabutan diadakan dalam satu acara berasingan yang lebih awal bersama pemenang tempat kedua dan ketiga yang lain.

     
     
  • VIDEO: Porsche jelaskan bagaimana untuk menyebut nama kotak gear Doppelkupplungsgetriebe atau PDK

    Seperti yang diketahui, Jerman antara negara terawal membangunkan kotak gear klac berkembar, khususnya jenama-jenama di bawah payung kumpulan Volkswagen iaitu Audi dan Porsche. Jika VW sendiri menggelar kotak gear tersebut sebagai DSG, Porsche memanggil transmisi tersebut sebagai PDK atau nama penuhnya Doppelkupplungsgetriebe.

    Selain fungsinya yang kompleks, untuk menyebut Doppelkupplungsgetriebe ini juga sesuatu yang boleh menyebabkan muka anda berkerut-kerut. Jadi, Porsche mengeluarkan satu video pendek bagaimana untuk menyebut dengan betul nama kotak gear ini. Memang sukar untuk dijelaskan bagaimana sebutannya dalam bahasa melayu, jadi ada baiknya anda tonton video di atas.

    Menurut Porsche, mereka telah mula membangunkan kotak gear yang sangat laju ini sejak era 60’an dan disasarkan untuk digunakan pada lapangan sukan bermotor. Walau bagaimanapun, kotak gear tersebut membuat penampilan pertamanya pada era 80’an, diberikan pada kereta lumba Porsche 956 Group C.

    Setelah sekian lama digunakan pada jentera perlumbaan sebenar, kotak gear PDK versi produksi jalan raya hanya pada pertengahan era Y2K, diperkenalkan buat pertama kali pada Porsche 911 model 997.

     
     
  • Kilang enjin Volvo di Sweden diiktiraf neutral-karbon

    Kilang enjin Volvo di Sweden diiktiraf neutral-karbon

    Assembly in Volvo Cars’ engine factory in Skövde, Sweden

    Volvo sekali lagi mengangkat persaingan sebagai pengeluar kenderaan paling mesra alam ke satu tahap lagi apabila kilang enjinnya yang terletak di Skövde, Sweden diiktiraf sebagai kilang neutral-karbon – fasiliti pertama seumpamanya di dunia yang menerima penarafan tersebut. Status tersebut diperolehi setelah kilang berkenaan menerapkan pemanasan yang boleh diperbaharui bermula awal tahun ini.

    Menurut Volvo, kilang Skövde berkenaan merupakan antara berberapa kilang automotif di dunia yang telah mencapai status neutral-iklim dan mencatatkan langkah yang signifikant terhadap sasaran Volvo bagi menjadikan operasi pengilangan global mereka sebagai neutral-karbon menjelang 2025.

    Pencapaian terbaharu ini dapat dicapai dengan perjanjian baharu antara Volvo Cars dan penyedia tenaga tempatan, yang memastikan fasiliti di Skövde ini menerima kuasa pemanasan yang dijana dari hasil buangan, biomass dan bahan api-bio yang dikitar semula.

    “Penjagaan alam sekitar merupakan salah satu nilai utama kami. Bersama rancangan kami untuk menggunakan teknologi elektrik terhadap semua kereta Volvo baharu yang dilancarkan dari 2019, operasi pengilangan neutral-iklim juga akan mengurangkan keseluruhan pengeluaran karbon kami secara signifikant, menyokong usaha global untuk menyelesaikan masalah perubahan iklim,” kata Stuart Templar, pengarah kemampanan Volvo Cars.

    Untuk kilang Volvo di Ghent, Belgium, sistem pemanasan kawasan telah diperkenalkan bagi mengurangkan pencemaran CO2 sehingga 40% atau 15,000 tan CO2 dapat dikurangkan dalam masa setahun, tambah jenama tersebut. “Kami akan terus bekerja keras dengan pembekal tenaga kami di semua rantau bagi mendapatkan akses seterusnya kepada tenaga yang boleh diperbaharui untuk kilang-kilang pengeluaran kami,” kata Javier Varela, naib presiden senior Volvo Cars untuk pengeluaran dan logistik.

     
     
  • Volvo V40 T5 kini dengan kit luar R-Design – RM181k

    Volvo V40 T5 kini dengan kit luar R-Design – RM181k

    Volvo V40 T5 facelift yang dilancarkan pada bulan Jun lalu kini datang dengan pakej luaran R-Design, menggantikan pakej Inscription sebelum ini. Walaupun dengan perubahan ini, harganya masih lagi sama iaitu RM180,888 atas jalan, tidak termasuk insurans, bersama jaminan lima tahun tanpa had batuan.

    Perubahan pada bahagian hadapan boleh dilihat dengan adanya gril serta bampar R-Design, dengan bukaan udara di penjuru dan kemasan hitam pada bahagian bawah. Pergi ke belakang pula, anda dapat melihat rekaan diffuser yang lebih agresif, serta dua muncung ekzos yang lebih besar. Rim masih lagi 17 inci, tetapi rekaan yang berlainan (tayar 205/50).

    Walaupun bahagian luar mempunyai banyak barangan R-Design, ia tidak diteruskan untuk bahagian dalam. Maknanya, bahagian dalam masih sama seperti varian Inscription sebelum ini, dengan menggunakan kemasan aluminium di beberapa bahagian serta Comfort Seat. Walaupun begitu, plet tepi pintu yang sebelum ini tertulis Inscription telah diganti dengan tulisan Volvo sahaja, dan stereng serta tombol gear tidak menggunakan unit balutan kulit R-Design.

    Kelengkapan pada kenderaan ini masih tidak berubah, di mana ia datang dengan panel instrumen digital lapan inci, lampu utama LED dengan DRL LED bentuk ‘tukul Thor’, pengawal pendingin hawa dua zon dengan Clean Zone, Sensus Connect dengan skrin tujuh inci dan lapan pembesar suara 180 watt.

    Di bawah bonetnya terdapat enjin empat silinder petrol 2.0 liter turbo Drive-E, yang dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan Geartronic. Padanan ini mampu menghasilkan 245 hp pada 5,500 rpm dan 350 Nm tork pada antara 1,500 hingga 4,800 rpm – cukup untuk melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat dan laju maksimum 240 km/j.

     
     
  • Honda kereta penumpang paling laris 2017 di Thai

    Honda kereta penumpang paling laris 2017 di Thai

    Honda Automobile Thailand telah mendedahkan prestasi jualan mereka untuk tahun 2017, dan syarikat berkenaan kekal sebagai pengeluar kenderaan penumpang paling laris untuk tahun ketiga berturut-turut.

    Honda Thai telah menjual sejumlah 127,768 kenderaan pada tahun 2017, meningkat 19% berbanding jualan untuk tahun 2016. Bahagian pasaran untuk kenderaan penumpang Honda pula dicatatkan pada 32.2%. Namun disebabkan Honda hanya menjual kenderaan penumpang, tanpa pilihan kenderaan komersial, jenama berkenaan hanya menduduki tangga ketiga dalam pasaran automotif Thai secara keseluruhan dengan bahagian pasaran 14.7%, naik 0.7% berbanding tahun sebelumnya.

    Sepanjang 2017, jenama tersebut telah melancarkan lima model baharu di negara gajah putih berkenaan iaitu City facelift, Civic Hatchback, CR-V generasi kelima, Jazz facelift dan Mobilio facelift.

    Dalam segmen sub-kompak, Honda mendominasi bahagian pasaran dengan 49.4% atau 58,315 unit; City merupakan plihan paling popular dengan 34,955 unit manakala Jazz pula terjual 23,360 unit. Manakala segmen lebih tinggi, penguasaan Honda dilihat lebih menyerlah dengan bahagian pasaran 50.9% – Civic sedan dijual sebanyak 24,432 unit, manakala saudara Hatchback-nya pula hanya dijual sebanyak 3,016 unit.

    Honda kereta penumpang paling laris 2017 di Thai

    Untuk SUV pula, Honda menguasai sebanyak 61.2% bahagian pasaran dengan jualan sebanyak 32,690 unit; HR-V 15,371 unit, CR-V 11,232 unit dan BR-V 6,087 unit. Namun, Honda dilihat kurang berdaya saing untuk pasaran kereta Eco Thai di mana Toyota dilihat menguasai pasaran ini dengan model Yaris Hatchback dan sedan Yaris Ativ.

    Pasaran automotif di Thailand untuk 2017 dilihat meningkat 13% berbanding tahun sebelumnya, dengan TIV dicatatkan pada 870,000 unit – pertumbuhan paling tinggi direkodkan sejak lima tahun lalu. Honda menganggarkan TIV di negara berkenaan akan mencapai 900,000 unit untuk tahun ini, walaupun jenama berkenaan menjangkakan rekod jualan mereka akan berada pada tahap yang sama seperti tahun lalu dengan anggaran jualan sekitar 127,000 unit.

    Sebagai perbandingan dengan pasaran Malaysia, Honda telah pun melangkaui sasaran jualan mereka untuk tahun 2017 dengan jumlah 109,511 unit – jumlah jualan yang menghampiri rekod di Thai, walaupun pasaran di Malaysia seperti yang diketahui lebih kecil. Rekod berkenaan merupakan jumlah paling tinggi pernah dicatatkan Honda di Malaysia, dan ia juga merupakan pertama kali angka 100k dapat digapai.

    Berdasarkan data dalaman Honda sendiri, peningkatan tersebut mewakili pertumbuhan sebanyak 19% dan membawa Honda mengusai bahagian pasaran sebanyak 19%. Angka rasmi dalam industri untuk tahun 2017 akan diketahui minggu ini setelah Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengeluarkan pengumuman rasmi kelak.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (+1.20)
EURO 5 B7 RM3.55 (+1.20)
Last Updated Jun 06, 2024