Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Nissan bakal bangunkan model sport coupe Fairlady Z generasi baharu dengan kerjasama Mercedes-Benz?

    Nissan bakal bangunkan model sport coupe Fairlady Z generasi baharu dengan kerjasama Mercedes-Benz?

    Ini merupakan khabar angin terbaharu dari Jepun – portal dari negara matahari terbit berkenaan, Response, menyatakan Nissan bakal membangunkan generasi terbaharu kereta sport coupe pacuan belakang Fairlady Z bersama Mercedes-Benz, seperti apa yang Toyota lakukan bersama BMW untuk melahirkan Supra generasi kelima.

    Seperti yang diketahui, model sedia ada Fairlady Z generasi keenam (Z34) sudahpun berada dalam pasaran selama 10 tahun, dan menurut portal tersebut Nissan akan membuat penampilan global model generasi baharu tersebut pada tahun 2019 sempena meraikan ulangtahun ke-50 Fairlady-Z, yang bermula dengan pengenalan ‘Devil Z’ 240Z S30 pada tahun 1969.

    Laporan tersebut turut menambah, Fairlady Z generasi ketujuh berkenaan dijangka bakal ditawarkan dalam berberapa opsyen janakuasa iaitu enjin 2.0 liter empat-silinder turbo dari Mercedes-Benz, dan versi paling berkuasa akan dijana enjin 3.0 liter V6 twin turbo dari Infiniti Q60 (atau Skyline coupe untuk JDM). Versi janakuasa hibrid juga boleh dijangka untuk model baharu berkenaan.

    Nissan bakal bangunkan model sport coupe Fairlady Z generasi baharu dengan kerjasama Mercedes-Benz?

    Apa yang kedengaran tidak masuk akal adalah kemunculan sulung model tersebut yang dilihat terlalu singkat. Toyota Supra misalnya, perancangan projek tersebut telah bermula pada 2012, manakala foto intipan pertama prototaip model berkenaan hanya muncul pada 2016, dan model konsep perlumbaan Gazoo Racing Supra pula tampil dikhalayak ramai pada Geneva Motor Show minggu lalu.

    Namun apa yang logik, Pakatan Renault-Nissan sememangnya mempunyai kepentingan 3.1% dalam Daimler (pemilik jenama Mercedes-Benz) dan telahpun menghasilkan pelbagai produk kerjasama antara mereka contohnya trak pikap Mercedes-Benz X-Class yang diasaskan dari Nissan Navara NP300, serta Infiniti Q50/Q60 yang menggunakan enjin 2.0 liter dan kotak gear automatik sembilan-kelajuan dari Mercedes-Benz C 250.

    Jika perkara ini benar berlaku, apa pendapat anda berkenaan trend ‘terbalik’ ini? Maksud saya jika dulu kereta Jepun dikenali kerana tahap ketahanan dan mudah diselenggara sehinggakan terdapat banyak kereta lama dari Eropah disumbatkan dengan enjin 2JZ-GTE atau RB26DETT untuk meneruskan hayatnya, tetapi kini pengeluar dari Jepun pula menggunakan teknologi Eropah bermula dari kilang.

     
     
  • PANDANGAN AWAL: Kawasaki Z900RS – rupa sahaja klasik, tapi kualiti tunggangan dan kelengkapan moden

    PANDANGAN AWAL: Kawasaki Z900RS – rupa sahaja klasik, tapi kualiti tunggangan dan kelengkapan moden

    Sekarang ini memang banyak motosikal yang menggunakan rekaan klasik kembali dalam pasaran. Pengeluar masing-masing ada sejarah tersendiri, dan kebanyakan model-model ini seperti memberi penghormatan kepada model terdahulu dan cuba menghidupkan kembali rasa sepeti waktu kegemilangannya.

    Kawasaki juga tidak terlepas daripada perkara ini. Walaupun sebenarnya banyak lagi model lain yang dikeluarkan oleh pengeluar ini dengan mengekalkan rekaan klasik (terutamanya untuk pasaran Jepun), satu model terbaru yang penting untuk pasaran global adalah Z900RS, dan ianya sudah pun dilancarkan di Malaysia.

    Boleh dikatakan kita mendapat Z900RS ini agak cepat kerana ia baru sahaja diperkenalkan secara global sewaktu pameran EICMA Oktober tahun lepas, dan kini dijual pada harga RM67,900 untuk versi standard yang berwarna hijau matte dan RM69,900 untuk versi SE yang berwarna oren.

    Kenapa yang berwarna oren tersebut dijadikan sebagai model versi SE? Kerana ia sebenarnya mengikut skema warna model yang dijadikan sebagai inspirasi iaitu Kawasaki Z1 yang dikeluarkan oleh Kawasaki pada tahun 70-an. Bukan sahaja warna, Kawasaki juga berusaha sebaik mungkin untuk membawa kembali rekaan ikonik model tersebut pada Z900RS yang lebih moden.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Toyota Hilux facelift 2018 kini di M’sia – diperkenalkan dalam versi L-Edition, 2.4L dan 2.8L, bermula RM119k

    Toyota Hilux <em>facelift</em> 2018 kini di M’sia – diperkenalkan dalam versi L-Edition, 2.4L dan 2.8L, bermula RM119k

    Setelah imejnya tersebar semalam, hari ini UMW Toyota Motors Sdn Bhd mengumumkan Hilux pasaran Malaysia kini menerima facelift baharu dengan muka seakan Toyota Tacoma di Amerika Syarikat, diberi nama “L-Edition”. Model ini hadir dengan dua versi iaitu 2.4 liter AT 4×4 dijual pada harga RM119,300 (atas jalan tanpa insuran) dan 2.8 liter AT 4×4 pada harga RM133,900.

    Pada bahagian muka, Toyota Hilux L-Edition ini menerima gril utama besar berbentuk heksagon. Bampar model ini turut direka semula dengan menampilkan rupa baharu pada gril bawah dan juga perumah lampu kabus. Selain dari perubahan ini, bahagian lain dilihat masih lagi kekal sama.

    Walau bagaimanapun, L-Edition ini menerima kemasan bahagian luaran yang tersendiri seperti rekaan baharu pada rim aloi lima jejari dua-tona berdiameter 18-inci dibaluti tayar 265/65R18, serta kemasan krom dan hitam pada gril hadapan.

    Bahagian dalam trak pikap baharu ini juga masih menampilkan rekaan sama seperti sebelumnya, tetapi turut diberikan trim unik iaitu panel-panel dengan kemasan piano black dan krom, bagi menggantikan komponen berwarna perak biasa pada model standard 2.8L AT 4×4 dan 2.4L AT 4×4. Balutan kulit biasa juga telah digantikan dengan kulit berliang pada edisi kemaskini ini.

    Ciri-ciri lain yang diberikan pada Hilux L-Edition masih lagi sama dengan versi pre-facelift 2.8L AT 4×4 dan 2.4L AT 4×4. Model 2.4L L-Edition walau bagaimanapun menerima lampu hadapan halogen (dengan lampu nyalaan siang jenis mentol), manakala versi tertinggi 2.8L menerima lampu dari jenis LED.

    Bagi kelengkapan lain pula, model 2.4L L-Edition dipadankan dengan sistem penghawa dingin manual, paparan instrumen pelbagai info, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, pemain audio biasa, tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan-hala, tujuh-beg udara, ABS dengan EBD dan BA, VSC, serta penderia undur.

    Toyota Hilux <em>facelift</em> 2018 kini di M’sia – diperkenalkan dalam versi L-Edition, 2.4L dan 2.8L, bermula RM119k

    Klik untuk besarkan

    Untuk varian 2.8L L-Editon pula, ia dibekalkan dengan tambahan sistem penghawa dingin automatik bersama liang kabin belakang, paparan pelbagai info 4.2-inci Optitron, sistem hiburan dengan skrin sesentuh 6.1-inci, cruise control, perakam video digital (dash cam) bersepadu, serta Bantuan Kawalan Menurun Bukit (DAC).

    Model versi disegarkan ini juga masih mengekalkan sistem janakuasa lama. Oleh itu, model 2.4 liter masih dibekalkan dengan enjin turbodiesel 2GD-FTV berkuasa 150 PS/400 Nm, manakala model 2.8L dijana enjin 1GD-FTV berkuasa 177 PS/450 Nm. Kedua-dua enjin berkenaan digandingkan bersama transmisi enam-kelajuan automatik, dan turut dibantu sistem pacuan empat roda yang boleh diaktifkan ketika bergerak dengan sentuhan butang serta kawalan cengkaman Active Traction Control (A-TRC).

    Adakah varian lain juga akan menerima muka baharu seperti model istimewa ini? Kami diberitahu oleh UMWT sendiri bahawa buat masa sekarang hanya L-Edition diberikan muka lebih garang seakan Tacoma berkenaan.

     
     
  • Harga minyak 15-21 Mac – petrol dan diesel turun

    Harga minyak 15-21 Mac – petrol dan diesel turun

    Selepas menyaksikan kenaikan harga RON 95 minggu lalu, harga runcit bagi semua bahan api untuk tempoh seminggu ke hadapan akan turun semula bermula tengah malam ini.

    Bagi petrol, RON 95 akan turun sebanyak 3 sen dan akan dijual pada harga RM2.18 seliter. Sementara itu, RON 97 pula juga akan turun sebanyak 2 sen, menjadikan harga runcitnya ialah RM2.45 seliter.

    Bahan api diesel juga tidak ketinggalan mencatatkan penurunan harga, iaitu sebanyak satu sen. Ini bermakna, diesel Euro 2M akan dijual pada harga RM2.16 seliter, manakala diesel Euro 5 pula pada harga RM2.26 seliter (sentiasa 10 sen lebih mahal).

     
     
  • Volkswagen Group bakal keluarkan EV dari 16 lokasi

    Volkswagen Group bakal keluarkan EV dari 16 lokasi

    Volkswagen Group akan membina sehingga 16 lokasi pengeluaran bagi kenderaan elektrik sebelum hujung tahun 2022. Ini akan mengukuhkan lagi komitmen syarikat itu terhadap usaha “Roadmap E” mereka. Perkara ini diumumkan oleh Matthias Muller, CEO Volkswagen AG ketika sidang media tahunan kumpulan itu baru-baru ini.

    Ketika ini, syarikat itu mengeluarkan kenderaan elektrik dari tiga lokasi, tetapi dalam masa dua tahun akan datang, sembilan lagi lokasi dijadualkan akan diperlengkap untuk tujuan yang sama. Pertambahan drastik bagi pengeluaran EV akan memerlukan bekalan bateri yang boleh diharap, dan disebabkan hal inilah syarikat telah menjalinkan usaha sama dengan pengeluar bateri di Eropah dan China.

    Berdasarkan kenyataan rasmi yang dikeluarkan, kontrak yang telah diberikan kepada pembekal bateri itu mempunyai nilai keseluruhan sekitar 20 bilion Euro (hampir RM97 bilion). Ini adalah sebelum pembekal untuk pasaran Amerika Utara ditentukan, yang bakal diumumkan dalam masa terdekat.

    Volkswagen Group bakal keluarkan EV dari 16 lokasi

    “Beberapa bulan lalu, kami telah mempercepat pelaksanaan ‘Roadmap E’,” jelas Muller. Di bawah pelan itu, syarikat merancang untuk mengeluarkan sehingga tiga juta kenderaan elektrik setiap tahun menjelang 2025 dan memasarkan 80 model elektrik baru. Tahun ini saja, sembilan model baru – tiga daripadanya EV sepenuhnya – akan diperkenalkan. Ini sebagai tambahan kepada portfolio sedia ada yang terdiri daripada lapan kenderaan EV dan plug-in hybrid.

    Ketika Geneva Motor Show tahun ini, kumpulan syarikat itu mempersembahkan barisan meluas kenderaan konsep mesra alam seperti Audi e-tron, Porsche Mission E Cross Turismo Concept dan Volkswagen I.D. Vizzion. Syarikat itu juga menyatakan, bermula 2019, akan ada model baru kenderaan elektrik yang diperkenalkan setiap bulan. “Inilah cara kami merealisasikan hasrat kami untuk menawarkan barisan kenderaan elektrik yang meluas kepada dunia, melalui semua jenama-jenama dibawah seliaan kami, dalam tempoh hanya beberapa tahun,” jelas Muller.

    Walaupun fokus diberikan terhadap pembangunan kenderaan elektrik, syarikat itu tidak akan mengetepikan sistem janaan konvensional sedia ada; enjin petrol dan diesel masih memainkan peranan penting bagi masa depan Volkswagen. Pelaburan terhadapnya juga akan diteruskan – melibatkan jumlah 20 bilion Euro (RM97 bilion) bagi tahun 2018, serta lebih daripada 90 bilion Euro (kira-kira RM435 bilion) dijadualkan untuk diagih dalam tempoh lima tahun akan datang.

     
     
  • Mazda jelaskan bagaimana enjin SkyActiv-X mampu beroperasi lebih bersih dari kereta elektrik sepenuhnya

    Mazda jelaskan bagaimana enjin SkyActiv-X mampu beroperasi lebih bersih dari kereta elektrik sepenuhnya

    Sebelum ini, pegawai pengurusan eksekutif bahagian sistem janaan kuasa Mazda, Mitsuo Hitomi ada mengatakan bahawa enjin generasi baharu SkyActiv-X mereka mampu beroperasi lebih bersih dan mesra alam berbanding kenderaan yang digerakkan menggunakan motor elektrik sepenuhnya (EV). Menerusi kenyataan baharu jenama berkenaan, perincian bagaimana ia boleh dilakukan diperincikan.

    Menurut Mazda, dua pertiga penghasilan tenaga elektrik buat masa sekarang masih lagi menggunakan bahan api fosil seperti arang batu, petroleum dan gas asli. Jadi, jenama tersebut percaya dengan menyatakan EV menghasilkan pencemaran sifar adalah sesuatu yang tidak jujur. Oleh itu, untuk membandingkan kadar pencemaran CO2 yang lebih tepat, penilaian perlu dilakukan dengan cara ‘Penjana-ke-Roda’ dan bukan ‘Tangki-ke-Roda’.

    Menerusi kaedah Penjana-ke-Roda berkenaan, pencemaran bukan diukur semasa kenderaan bergerak, malah turut melibatkan proses mengekstrak bahan api, pembuatan dan juga penghantaran. Mazda turut mengambil kira merit terhadap ekologi kenderaan EV yang mendapat tenaganya dari bahan api fosil – hasil penilaian lebih tepat ini dapat digunakan dalam merancang pembangunan unit janakuasa untuk masa hadapan.

    Mazda jelaskan bagaimana enjin SkyActiv-X mampu beroperasi lebih bersih dari kereta elektrik sepenuhnya

    Hasil dari pengiraan yang dilakukan, kereta bersaiz sederhana yang beroperasi dengan kuasa elektrik sepenuhnya akan menggunakan sekitar 20 kWh kuasa elektrik untuk perjalanan 100 km. Penghasilan kuasa dengan jumlah sedemikian akan menghasilkan pencemaran CO2 200g/km jika elektrik dijana menggunakan arang batu, 156g/km menggunakan petroleum dan 100g/km menggunakan cecair gas asli (LNG) – kesemua ini dipuratakan pada bacaan 128g/km.

    Manakala untuk enjin SkyActiv-G Mazda sedia ada, ia menghasilkan pencemaran 142g/km untuk penggunaan yang sama. Ini bermaksud, sekiranya Mazda berjaya untuk mendapatkan bacaan 10% lebih baik pada enjin petrol generasi berikutnya, ia sudah tentu mendapat bacaan yang sama kenderaan-kenderaan elektrik sepenuhnya.

    Itu jika dikira menerusi purata, tetapi jika dibandingkan dengan penghasilan tenaga elektrik menggunakan arang batu atau petroleum, enjin SkyActiv-G yang digunakan buat masa sekarang sudah memadai untuk mendapatkan bacaan pencemaran yang lebih rendah dari kereta elektrik. Mazda percaya mereka boleh menghasilkan enjin petrol yang lebih bersih dari kereta elektrik yang mendapat bekalan kuasa janaan cecair gas asli (kini 30% lebih rendah) pada masa hadapan.

    Mazda juga telah mendedahkan enjin SkyActiv generasi baharunya yang digelar SkyActiv-X, dijangka bakal muncul dipasaran pada penghujung tahun ini. Enjin tersebut menggunakan kaedah baharu dalam pembakaran iaitu sistem Spark Controlled Compression Ignition (SPCCI). Enjin SkyActiv-X berkenaan menggabungkan sistem pembakaran menggunakan percikan spark plug konvensional dengan kaedah pembakaran menerusi kuasa mampatan seperti enjin diesel.

    Dengan cara berkenaan, enjin tersebut mampu menghasilkan nisbah mampatan lebih tinggi dan juga nisbah campuran udara-bahan api yang sangat nipis (lean) – sehingga 29.4:1, serta didakwa 30% lebih ekonomik. Bagaimana enjin ini berfungsi? Baca artikel pada PAUTAN INI.

    Walau bagaimanapun, ini tidak bermaksud Mazda tidak berminat untuk membangunkan kereta-kereta yang menggunakan teknologi elektrik. Jenama berkenaan komited untuk mengurangkan pencemaran CO2 Penjana-ke-Roda sehingga 50% dari 2010 ke 2030, dan sehingga 90% menjelang 2050. Pembuat kereta dari Hiroshima itu juga menyatakan mereka akan memperkenalkan teknologi EV dan hibrid ringan pada 2019, model dengan bateri bersepadu pada 2020, serta model hibrid plug-in pertama pada 2025.

     
     
  • Kadar fi sebanyak RM3 bagi tukar hak milik motosikal diseragamkan seluruh negara mulai 1 April ini

    Kadar fi sebanyak RM3 bagi tukar hak milik motosikal diseragamkan seluruh negara mulai 1 April ini

    Sebelum ini kadar fi bagi tukar hak milik motosikal di Sabah dan Sarawak adalah berbeza dengan di Semenanjung. Di mana, di Sabah, kadar fi tersebut ditetapkan sebanyak RM40, manakala RM5 di Sarawak dan RM3 di Semenanjung.

    Walau bagaimana pun, demi usaha berterusan kerajaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin, lebih-lebih lagi bagi mengurangkan beban rakyat terutamanya kumpulan B40, kerajaan telah memutuskan kadar fi tersebut akan diseragamkan mengikut kadar di Semenanjung, berkuatkuasa mulai 1 April ini.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, penyeragaman kadar fi itu jelas menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa peka terhadap keperluan rakyat dalam mengurangkan perbelanjaan.

     
     
  • Perodua Myvi – 60,000 tempahan, 28,000 telah dihantar

    Perodua Myvi – 60,000 tempahan, 28,000 telah dihantar

    Perodua telah mengumumkan tempahan untuk Myvi baharu, yang dilancarkan pada November lalu, kini mencecah 60,000 unit. Pengeluar kereta itu turut berkata, sehingga kini sebanyak 28,000 unit Myvi telah dihantar kepada para pelanggan, yang tempahannya dibuat pada 2017. Pada Januari lalu, tempaha telah mencecah 48,000 unit, dengan 20,000 unit telah dihantar.

    “Kami berterima kasih kepada para pelanggan dan rakyat Malaysia kerana berterusan menyokong Myvi, dan kami akan terus mempertingkatkan masa penghantaran,” ujar Pengarah Urusan jualan Perodua Datuk Dr Zahari Husin. Beliau turut menambah pelanggan yang telah menempah Myvi baharu ini akan menerima kenderaan masing-masing menjelang cuti Hari Raya Aidilfitri ini.

    Perdua menganggarkan perkongsian pasaran bagi bulan Februari melepasi 41% dengan 17,100 unit terjual dengan angka anggaran 41,000 unit bagi jumlah keseluruhan industri (TIV). Jika ini berlalu, prestasi pada Januari lalu telah mencatatkan rekod tertinggi dalam carta TIV setakat ini. Jualan pada bulan lalu mencecah 6,000 unit bagi Myvi, 5,000 untuk Axia, 3,700 untuk Bezza dan 1,900 bagi Alza.

    Kini prestasi jualan Perodua telah dipertingkatkan sebanyak 13.1% ke 34,800 unit berbanding 30,800 unit yang terjual pada dua bulan pertama 2017. Pada Januari lalu, pengeluar kereta ini menyatakan sasaran untuk menjual 209,000 unit bagi tahun ini, iaitu penambahan 2% berbanding 204,900 unit yang terjual pada 2017.

    GALERI: Perodua Myvi 2018 1.5 Advance

    Perodua Myvi 2018 1.3 Premium X

     
     
  • Perodua Myvi dalam jelmaan render crossover lagi

    Perodua Myvi dalam jelmaan <em>render</em> crossover lagi

    Dulu pernah ada satu rekaan render yang membayangkan rupa Perodua Myvi crossover, dan sekarang ini muncul lagi satu rekaan pula; siapa lagi kalau bukan dari Theophilus Chin. Memang banyak imej render yang sudah kita saksikan sejak pengenalan Myvi generasi ketiga, tapi yang satu ini tak kalah cantik penampilannya.

    Bagi model render terbaru ini, terdapat beberapa ciri yang selalu ada pada model crossover digunakan pula pada Myvi. Ini antaranya termasuk pelindung badan pada bahagian bawah sisinya, serta skid plat warna perak (depan dan belakang) serta rail pada bumbung.

    Perodua Myvi dalam jelmaan <em>render</em> crossover lagi

    Kedudukan kereta ini juga lebih tinggi, serta menggunaan rekaan mesh baru pada bahagian grilnya, serta kelihatan juga seperti menempatkan lampu DRL LED pada bahagian bawah bampar, dengan kemasan perak – ruang yang biasanya disediakan untuk lampu kabus.

    Jadi, apa pandangan anda tentang rekaan crossover Myvi ini? Rasanya akan jadi kenyataan tak versi ini untuk ditawarkan kepada pelanggan?

     
     
  • Polestar 1 – hibrid GT berkuasa 600 hp/1,000 Nm dari Sweden kini sudah mula boleh ditempah di 18 negara

    Polestar 1 – hibrid GT berkuasa 600 hp/1,000 Nm dari Sweden kini sudah mula boleh ditempah di 18 negara

    Polestar 1 white exterior, front

    Jenama kereta sport dari Sweden, Polestar, kini mengumumkan model pertamanya yang didedahkan pada Oktober tahun lalu iaitu Polestar 1 sudahpun boleh mula ditempah di 18 buah negara seluruh dunia. Menurut CEO Polestar, Thomas Ingenlath, pra-tempahan ini dibuka lebih awal kerana ia telah menarik lebih dari 7,000 orang untuk mendaftarkan minat mereka terhadap model hibrid plug-in GT tersebut.

    Dari keseluruhan kesemua negara terpilih berkenaan, benua Eropah merupakan yang paling banyak iaitu Sweden, Denmark, Norway, Finland, Jerman, Perancis, Itali, Sepanyol, Portugal, Austria, Netherlands, Belgium, Switzerland dan Poland. Negara lain yang turut boleh menempah Polestar 1 ini adalah UK, Amerika Syarikat, Kanada dan China.

    Bagi yang berminat untuk membuat pra-tempahan berkenaan, mereka perlu menyediakan bayaran deposit (boleh dipulangkan sepenuhnya) sebanyak 2,500 Euro. Serentak dengan itu, Polestar turut memberikan alat konfigurasi untuk pelanggan yang telah membuat pra-tempahan tersebut untuk mendapatkan visual kereta baharu mereka.

    Polestar 1 – hibrid GT berkuasa 600 hp/1,000 Nm dari Sweden kini sudah mula boleh ditempah di 18 negara

    Polestar 1 white exterior, 3/4 rear

    Produksi Polestar 1 dijangka akan bermula pada pertengahan tahun hadapan dan ia dibina berasaskan Scalable Platform Architecture (SPA) dari Volvo iaitu platform yang sama untuk model-model siri 90 (XC90, S90 dan V90) jenama Scandinavia tersebut. Namun menurut Polestar, versi pada kereta sport ini telah dirombak semula dengan 50% daripadanya adalah baharu dan unik.

    Polestar 1 juga akan dijana enjin petrol turbo 2.0 liter empat-silinder Volvo Drive-E yang memacu roda hadapan dan motor penghidup generator (ISG) berkuasa 46 hp/150 Nm. Manakala gandar belakang pula digerakkan oleh dua motor elektrik berkuasa 109 hp, yang menerima bekalan kuasa dari tiga pek bateri 34 kWh.

    Kesemua sisi mekanikal dan elektrikal berkenaan membolehkan hibrid GT ini menerima bekalan kuasa keseluruhan 600 hp dan tork maksima 1,000 Nm, dan dengan satu cas penuh pada bateri, ia mampu bergerak dengan hanya menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 150 km.

     
     
  • Lamborghini rai produksi Huracan yang ke-10,000 unit selepas empat tahun; butiran pengganti juga didedah

    Lamborghini rai produksi Huracan yang ke-10,000 unit selepas empat tahun; butiran pengganti juga didedah

    Hanya empat tahun selepas ia ditampilkan ketika Geneva Motor Show 2014, Lamborghini Huracan telah mencapai satu lagi peristiwa penting; angka pengeluaran yang ke-10,000 unit bagi kereta sport janaan enjin V10 berkenaan.

    Huracan yang ke-10,000 ini adalah untuk pelanggan di Kanada, bagi model Performante dengan warna luaran hijau Verde Mantis. Huracan Performante merupakan versi paling dinamik bagi “baby Lambo” yang menampilkan enjin 5.2 liter V10 dengan janaan kuasa 630 hp (640 PS) dan tork 600 Nm.

    Mampu dipacu dari titik pegun hingga ke 100 km/j dalam hanya 2.9 saat, serta kelajuan tertinggi mencapai 325 km/j, Huracan Performante juga dilengkapi dengan sistem aerodinamik aktif yang digelar Aerodinamica Lamborghini Attiva (ALA).

    Huracan merupakan model penting bagi pengeluar kereta Itali itu, yang telah diserahkan kepada pelanggan dalam jumlah yang besar tahun lalu. Menurut Lamborghini, ia mencatatkan sejumlah 3,815 unit pada 2017, berbanding 2,642 unit tahun sebelumnya, sekaligus menunjukkan peningkatan sebanyak 12%.

    Sementara produksi bagi Huracan akan diteruskan, perincian untuk model pengganti telah pun dibongkarkan oleh Car and Driver dalam temubualnya bersama ketua pengawai teknikal Lamborghini Maurizio Reggiani.

    Lamborghini rai produksi Huracan yang ke-10,000 unit selepas empat tahun; butiran pengganti juga didedah

    “Saya fikir dalam segmen Huracan ini, kesan mempunyai kelebihan dua lagi silinder berbanding semua pesaing lain (yang menggunakan enjin V8) akan menjadi satu perbezaan yang besar. Apabila kami mengeluarkan Gallardo dengan V10 pertama, orang menganggap kami gila, merujuk kepada kelengkapannya, berat, kos dan serba-serbi tentang kereta itu.

    “Tetapi ia merupakan satu kejayaan. Bagi saya, saya perlu mengucapkan terima kasih kepada enjin Gallardo dan jelas bahawa ini adalah sebahagian daripada visi untuk DNA bagi kereta sport Lamborghini.

    “Jika saya mempercayai keupayaan enjin naturally aspirated, kenapa saya perlu menurunkan grednya dari V8 ke V6? Ini Lamborghini, yang perlu menduduki tangga ke atas dalam barisan kereta super sport. Jadi saya perlu kekal di mana saya berada,” sambungnya, dengan memberikan bayangan pengganti Huracan akan dilengkapi dengan enjin naturally-aspirated V10.

    Reggiani juga menyentuh tentang sistem pacuan dua roda yang terus akan ditawarkan, tetapi bukan dalam bentuk sistem pacuan semua-roda boleh dipilih seperti yang ada pada BMW M5 terkini.

    “Jika anda mempunyai sistem pacuan semua-roda dan kemudian menekan butang untuk menggunakan pacuan dua roda, anda akan membawa beban (88 paun) dengan sia-sia. Dan akan akan mempunyai tetapan suspensi yang sama untuk pacuan semua roda, dan itu tidak betul. (Ini bermakna) anda perlu berkompromi dan itu bukan yang terbaik yang boleh ditawarkan. Bagi kami, itu bukanlah satu pilihan,” jelasnya lagi.

     
     
  • Toyota tunjuk teaser RAV4 2019 sebelum ke New York

    Toyota tunjuk <em>teaser</em> RAV4 2019 sebelum ke New York

    Toyota telah mengeluarkan teaser pertama bagi model RAV4 generasi kelima, yang dijangka akan membuat penampilan sulungnya di New York International Auto Show 2018 (NYIAS).

    Bayang yang terlihat pada imej berkenaan memperlihatkan sebuah kenderaan yang tampil lebih halus dan sporty berbanding RAV4 sedia ada kini; bonet yang ditinggikan dengan cermin dan bahagian belakang menyuntik elemen sporty pada imej keseluruhannya.

    Dari apa yang dapat dilihat, ia nampaknya mengambil sedikit sebanyak rekaan dari model konsep FT-AC. Antara penampilan itu yang paling ketara ialah gaya Tacoma pada rekaan wajah depannya, yang boleh juga dilihat pada model terkini Hilux.


    Imej render RAV4 2019 (kiri) dan unit yang sedang diuji.

    Selain daripada spyshot yang terdedah sebelum ini, artist render juga telah membayangkan bagaimana penampilan dan rupa SUV berkenaan nanti. Bagaimanapun, antara dua versi berkenaan, nampaknya tidak banyak pendekatan rekaan yang dikongsi, bahkan jika dibandingkan dengan teaser ini. Jadi, kena tunggu penampilan rasmi RAV4 ini untuk tahu lebih lanjut.

    Tiada perincian lanjut yang didedahkan setakat ini bagi RAV4. Apa pun, kemungkinan besar ia dibangun menggunakan Toyota New Global Architecture (TNGA) seperti Prius, Camry dan C-HR. Dijangkakan juga ia akan menggunakan enjin turbocas dan sistem hibrid baru.

    Spyshot Toyota RAV4 2019

     
     
  • Polis pertimbang aspek pencemaran bunyi sebagai undang-undang untuk bendung kegiatan Mat Rempit

    Polis pertimbang aspek pencemaran bunyi sebagai undang-undang untuk bendung kegiatan Mat Rempit

    Polis sedang mempertimbangkan untuk mengambil kira aspek alam sekitar dan pencemaran bunyi sebagai satu lagi kaedah untuk mengekang aktiviti berkaitan Mat Rempit. NST melaporkan, ia sebagai tambahan kepada undang-undang sedia ada berkaitan pemanduan merbahaya dan di bawah pengaruh dadah.

    Timbalan Pengarah Polis, Superintendent Mustafa Bakri Salleh dipetik sebagai berkata, jabatan itu akan berbincang dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk menjadikan Mat Rempit boleh diambil tindakan sekiranya melalkukan pencemaran bunyi. Menurut peraturan sedia ada, bunyi yang terhasil melebihi 75 decibel (dB) adalah dikira sebagai pencemaran.

    Beliau juga memaklumkan, lebih banyak pemeriksaan mengejut akan dilakukan di bawah Op Samseng Jalanan, di mana pihak berkuasa akan memeriksa jentera yang diubahsuai serta menggunakan paip ekszos yang diubah dengan niat untuk menjadi lebih bising.

    Pasukan teknikal dari kementerian berkenaan, yang juga akan menjadi sebahagian daripada pasukan penguatkuasa itu, akan menjalankan pemeriksaan mengejut di bawah Seksyen 23, Akta Kualiti Alam Sekitar 1974. Di bawah akta berkenaan, saman maksimum yang boleh dikenakan ialah RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya.

    Ketika ini, kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang digunakan akan memberi hukukam penjara lima tahun serta saman antara RM5,000 hingga RM15,000. Selain itu, polis juga tertakluk kepada Seksyen 279 Kanun Keseksaan dalam menangani masalah Mat Rempit, yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan, saman RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

     
     
  • Goodyear tunjukkan tayar konsep masa hadapan – ada lumut hidup di dalam, hasilkan kitaran fotosintesis

    Goodyear tunjukkan tayar konsep masa hadapan – ada lumut hidup di dalam, hasilkan kitaran fotosintesis

    Semasa Geneva Motor Show 2018, pengeluar tayar dari Amerika iaitu Goodyear telah menunjukkan satu rekaan tayar konsep yang dinamakan sebagai Oxygene. Pada waktu ini, ia mungkin satu produk kajian, tetapi dianggap cukup bersesuaian untuk penggunaan di masa hadapan.

    Keistimewaan utama Oxygene adalah ia boleh menyerap air sambil kenderaan bergerak dan di dalamnya terdapat lumut hidup. Apabila lumut ini mendapat sumber air dan karbon dioksida, ia akan terus hidup dan dapat melepaskan semula oksigen, sekaligus melengkapkan kitaran fotosintesis.

    Bahagian luar tayar ini yang menyentuh jalan dibuat melalui proses cetakan 3D, menggunakan serbuk getah yang dikitar semula. Ia tidak memerlukan angin di bahagian dalam dan boleh bertahan lama, seterusnya mengurangkan pembaziran bahan mentah.

    Selain menghasilkan oksigen, tayar ini juga boleh menghasilkan tenaga sendiri yang kemudiannya boleh digunakan untuk menghidupkan alat elektronik di dalamnya yang termasuk sensor, unit pemprosesan artificial intelligence dan lampu yang boleh bertukar warna di tepinya (sebagai antara ciri keselamatan yang memudahkan pengguna jalan raya lain melihat kenderaan).

    Disebabkan ini adalah tayar masa hadapan, ia juga boleh menyokong sistem komunikasi dengan kenderaan lain melalui sistem LiFi yang dapat disambungkan kepada Internet of Things dan penukaran data kenderaan ke infrastruktur.

     
     
  • ERL tambah enam tren baharu bagi KLIA Ekspres dan KLIA Transit – sasar 5% peningkatan penumpang

    Dengan sasaran dapat meningkatkan keupayaan perkhidmatan sebanyak 50%, Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) telah melancarkan enam tren baharu hari ini. Dua set tren baharu itu akan digunakan bagi perkhidmatan KLIA Ekspres, manakala empat set lagi untuk KLIA Transit. Tren yang dibeli daripada Changchun Railway Vehicles Co Ltd (CRRC) berpangkalan di China itu merupakan tambahan kepada 12 tren ERL sedia.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, perkhidmatan tambahan bagi KLIA Transit itu akan mengurangkan tempoh menunggu kepada setiap 15 minit daripada kekerapan setiap 20 minit semasa waktu puncak sebelah pagi dan petang sebelum ini, laporan Bernama.

    KLIA Ekspres menyediakan perkhidmatan tanpa henti antara lapangan KLIA serta klia2 dan KL Sentral di ibu negara.

    “Semasa bukan waktu puncak pula, kekerapan pelepasan tren akan meningkat kepada 20 minit daripada 30 minit, menjadikannya setara dengan perkhidmatan KLIA Ekspres,” ujarnya kepada pemberita selepas melancarkan tren berkenaan di KLIA hari ini.

    Katanya lagi, ERL menyasarkan jumlah penumpang hariannya meningkat sebanyak 5% tahun ini daripada 23,900 tahun lepas. Pada tahun 2016, kenaikan tambang telah dilaksanakan, sekaligus menjejaskan jumlah penumpang perkhidmatan itu berkurang sebanyak 19%.

    Menurut Liow, penambahan tren itu turut meningkatkan penawaran nilai, sesuatu yang sangat penting bagi menarik lebih banyak orang menggunakan pengangkutan awam. Ia juga menjadi pelengkap kepada komitmen kerajaan untuk menambah baik infrastruktur pengangkutan awam, kualiti perkhidmatan dan ketersambungan batuan pertama dan terakhir.

    Tren dihiasai corak yang menggabungkan motif songket tradisional seperti Pucuk Rebung, Tapak Sulaiman dan Bunga Pecah Lapan itu akan mula beroperasi esok. Setiap tren baharu yang digunakan bagi KLIA Ekspres itu mempunyai 192 tempat duduk, manakala tren bagi KLIA Transit pula mampu menampung hingga 350 penumpang, termasuk 144 yang mempunyai tempat duduk.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025