Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Perodua Myvi GearUp 2022 tampilkan kit badan Ace

    Perodua Myvi GearUp 2022 tampilkan kit badan Ace

    Selepas beberapa kali menunjukkan teaser, Perodua akhirnya mendedahkan barisan aksesori baharu, Ace, untuk model Myvi facelift 2022, yang diletakkan di bawah jenama GearUp. Ia telah pun boleh dibeli di mana-mana bilik pameran Perodua yang bertauliah, bersama dengan aksesori lain yang telah diperkenalkan oleh pengeluar kereta ini.

    Pertama kali kit badan ini didedahkan pada hujung Mac lalu, ia menampilkan kemasan apron bampar hadapan, bersama perumah lampu nyalaan siang LED yang jauh lebih besar dengan kemasan hitam, yang kelihatan seperti liang pengambilan udara.

    Tiada lagi kemasan berwarna perak pada bahagian ‘dagu’ Myvi yang digayakan dengan kit badan ini kerana ia telah ditutup dengan kemasan spoiler bawah bampar juga berwarna hitam, yang bersambung sekali dengan kemasan perumah lampu nyalaan siang LED menegak. Namun panel pada bahagian sisi spoiler bawah bampar berkenaan diberikan kemasan warna badan.

    Kemasan warna hitam turut diberikan pada bahagian skirt sisi, manakala bampar belakang diberikan panel tambahan sisi lebih labuh dengan warna badan, dan bersambung dengan kemasan diffuser berwarna hitam pada bahagian tengah. Spoiler asal Myvi 2022 yang ringkas digantikan dengan spoiler bumbung yang jauh lebih besar, menampilkan ‘sayap’ kiri dan kanan yang tidak bersambung.

    Menerusi video yang dimuat naik oleh Perodua menerusi Youtube, kelihatan balutan tempat duduk Ace diberikan, dan ia juga sudah boleh didapati untuk varian G, H dan X. Diperbuat daripada material PVC yang lebih mudah untuk dibersihkan, tempat duduk ini menampilkan kemasan hitam dan merah serta bahagian kecil pada perehat belakang dengan permukaan ala-gentian karbon. Walau bagaimana pun, tempat duduk ini tidak diberikan untuk model spesifikasi penuh AV, kerana ia telah diberikan tempat duduk rekannya sendiri.

    Apa pendapat anda mengenai Myvi 2022 dengan kit badan dan balutan tempat duduk Ace ini? Jika memiliki Myvi 2022, adakah anda akan memilihnya untuk menampakkan jentera anda ini lebih agresif dan garang, sesuai dengan jolokan yang sering diberikan iaitu ‘king of highway’?

    GALERI: Perodua Myvi 1.5 AV 2022 dalam rona Cranberry Red

     
     
  • Tiada lagi Volkswagen Polo dan Vento di Malaysia; VPCM fokus jual model dalam segmen lebih tinggi

    Tiada lagi Volkswagen Polo dan Vento di Malaysia; VPCM fokus jual model dalam segmen lebih tinggi

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia, (VPCM) mendedahkan bahawa mereka kini lebih fokus untuk menawarkan kereta-kereta berkualiti premium pada harga berpatutan. Oleh itu, dua model entry-level segmen-B jenama Jerman berkenaan iaitu hatchback Polo dan sedan Vento tidak akan dijual lagi di sini, dan model paling mampu milik VW di Malaysia kini adalah Golf R-Line.

    “Ada jarak dalam pasaran untuk kereta berkualiti premium dengan titik harga yang mampu dimiliki, dan itulah yang akan kami tawarkan,” kata Erik Winter, pengarah urusan VPCM dalam satu temu ramah eksklusif.

    “Kami telah mengemaskini portfolio kami bagi memastikan bahawa kami hanya menawarkan model yang sesuai dengan strategi perniagaan kami. Semua model sedia ada kami mempunyai gabungan prestasi, kemewahan dan praktikaliti yang ideal – menjadikannya pilihan terbaik untuk pelanggan,” tambahnya lagi.

    Tiada lagi Volkswagen Polo dan Vento di Malaysia; VPCM fokus jual model dalam segmen lebih tinggi

    Antara contoh apa yang dikatakan oleh Winter ini adalah Arteon R-Line. Dengan harga RM260k, pembeli bukan sahaja menerima sebuah sedan eksekutif dengan bentuk seakan coupe, malah ia dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder turbo berkuasa 280 PS dan tork maksima 350 Nm.

    Arteon R-Line juga dipadankan dengan kotak gear automatik klac berkembar DSG tujuh-kelajuan bersama sistem pacuan semua roda 4Motion, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.6 saat – tiada sedan premium dengan harga hampir sama seperti Arteon R-Line ini yang mampu memberikan spesifikasi dan angka prestasi yang sama.

    Walau bagaimanapun, barisan model-model yang ditawarkan oleh VPCM dilihat tidak menawarkan fungsi-fungsi bantuan pemanduan, di mana saingan-saingan terdekat jenama tersebut lazimnya menawarkan perincian paling kurang pun dengan brek kecemasan automatik (AEB) secara standard.

    Pada Volkswagen Golf Mk8 misalnya, ia sebelum ini dijangka akan dipadankan dengan sistem AEB, namun fungsi berkenaan nampaknya tidak disertakan ketika model generasi baharu tersebut dilancarkan di sini pada Februari lalu.

    Memberi respon terhadap perkara ini, Winter berkata: “Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan, dan kami akan terus menambah pelbagai perincian pada produk kami. Apa-apa kemaskini terhadap sistem bantuan pemanduan kami memerlukan kelulusan teknikal dan kawalselia. Sistem-sistem keselamatan aktif berkenaan kini sedang menjalani proses penilaian dan kelulusan teknikal untuk Malaysia. Ia akan ditawarkan setelah proses-proses ini lengkap.”

     
     
  • Toyota Malaysia bakal lancar model baru tahun ini – mungkinkah Avanza baru versi Veloz dan GR86?

    Toyota Malaysia bakal lancar model baru tahun ini – mungkinkah Avanza baru versi Veloz dan GR86?

    Semasa pembentangan prestasi syarikat semalam, UMW Toyota Motor (UMWT) telah menjanjikan “pelancaran produk baru tahun ini.” Mungkinkah model baru yang dimaksudkan ini adalah Toyota Veloz dan Toyota GR86?

    Veloz adalah versi premium bagi Avanza generasi ketiga baru, yang sudah pun membuat penampilan di Indonesia November lalu dan kemudiannya masuk pula ke pasaran Thailand Februari tahun ini. Mengikut kepada saiz, Avanza/Veloz baru ini lebih besar, lebih lebar dan lebih panjang berbanding model sebelum ini, dan ia dibina atas platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), dengan kini menggunakan pacuan dua roda hadapan.

    Di bawah bonet Avanza/Veloz baru ini masih lagi terdapat enjin 2NR-VE 1.5 liter NA Dual VVT-i berkuasa 106 PS/138 Nm tork yang sama, tetapi kotak gear automatik empat kelajuan sebelum ini telah diganti dengan unit D-CVT baru seperti Myvi facelift.

    Keistimewaan utama Veloz berbanding Avanza adalah rupa yang lebih garang, dengan gril yang terbuka besar di hadapan, bampar lebih sporty, serta lampu belakang yang bersambung sehingga tengah dan mempunyai pencahayaan seperti BMW 3 Series G20.

    Rekaan papan pemuka Avanza dan Veloz secara asasnya adalah sama, tetapi pada Veloz, ia disambung lagi sehingga ke konsol tengah dan perehat tangan. Pada bahagian ini terdapat pengecas telefon Qi tanpa wayar serta brek parkir eektronik dengan ciri Auto Brake.

    Berkenaan kelengkapan, Veloz datang dengan lampu depan dan belakang LED, cermin sisi boleh lipat automatik dengan lampu di bawahnya, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula enjin, balutan tempat duduk gabungan kulit tiruan, panel instrumen digital tujuh inci, kamera undur serta skrin sesentuh 9.0 inci untuk infotainmen dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Varian yang lebih tinggi juga mendapat rim 17 inci dan sistem kamera 360 darjah, sementara pakej Toyota Safety Sense diberikan sekali dengan enam beg udara.

    Jika betul Veloz ini akan tiba di Malaysia, agak menarik untuk kita lihat bagaimana UMWT meletakkan harganya memandangkan Perodua juga akan menggunakan asas Avanza ini untuk Perodua Alza generasi baru mereka yang akan dilancarkan tahun ini.

    Melihat kepada GR86 pula, ia adalah lebih mudah kerana akan diimport sepenuhnya. Model ini mula ditunjukkan kepada umum April 2021 dan ia menggunakan enjin boxer NA 2.4 liter berkuasa 235 PS pada 7,000 rpm dan 250 Nm tork pada 3,700 rpm. Transmisi disediakan dalam versi manual atau automatik enam kelajuan.

    Selain dua model ini, calon lain yang mungkin akan tiba di Malaysia adalah seperti Corolla sedan, Corolla Cross dan mungkin juga Hilux versi GR-S. Seperti yang anda tahu, S itu bermaksud Sport dan Vios adalah model pertama di Malaysia yang mendapat versi GR-S.

    GALERI: Toyota Veloz 2022 pasaran Indonesia

    GALERI: Toyota GR86 2022 pasaran Jepun

     
     
  • Mercedes-Benz EQS SUV terdedah awal sebelum pengenalan rasmi 19 April – skrin 56 inci di dalam

    Mercedes-Benz EQS SUV terdedah awal sebelum pengenalan rasmi 19 April – skrin 56 inci di dalam

    Mercedes-Benz EQS SUV baru hanya akan didedahkan secara rasmi 19 April nanti, tetapi nampaknya gambar model elektrik (EV) itu telah dibocorkan lebih awal oleh akaun Instagram Cochespias.

    Keseluruhan bahagian luar SUV ini sudah boleh dilihat, menampakkan rekaan hampir seperti EQS sebelum ini, termasuk gril yang tertutup sepenuhnya yang menggunakan warna hitam berkilat, serta jalur lampu yang bersambung dari kiri ke kanan.

    Pada bahagian tepi, kita boleh melihat pembuka pintu yang sama rata dengan badan kereta, serta pemijak kaki di bawah pintu. Untuk bahagian belakang, ia juga mendapat jalur lampu dengan grafik yang hampir sama seperti EQS. Gambar yang tersebar ini melibatkan dua versi EQS yang berbeza, yang mana rimnya juga adalah berlainan.

    Mercedes-Benz EQS SUV terdedah awal sebelum pengenalan rasmi 19 April – skrin 56 inci di dalam

    Bahagian dalam SUV EV ini bukan lagi satu misteri kerana Mercedes-Benz telah pun mendedahkannya bulan lepas. Sekali lagi, sama seperti EQS, ia juga menggunakan panel paparan Hyperscreen melengkung 56 inci yang terdiri daripada tiga unit skrin, corong pendingin hawa nipis dengan rekaan seperti turbin dan skrin hiburan 11.6 inci untuk penumpang belakang.

    Kelebihan utama EQS adalah ia mempunyai tempat duduk baris ketiga, sekaligus membolehkan ia membawa sehingga tujuh orang. Meskipun gambar bahagian dalam yang didedahkan sudah nampak cukup mewah, nanti akan ada versi Maybach pula seperti yang ditunjukkan awal melalui Concept Mercedes-Maybach EQS.

    Untuk penggerak, Mercedes-Benz memberitahu, model EQ akan datang ini bakal menggunakan sistem pacuan semua roda, sekaligus seakan mengesahkan tetapan dua motor. EQS 580 4Matic mendapat dua motor yang keseluruhannya mampu menghasilkan 523 PS (516 hp atay 385 kW) dan 855 Nm tork, dan tetapan ini dijangka turut digunakan pada EQS SUV.

     
     
  • Auto Bavaria buka pusat Service Fast Lane kedua di Kuala Lumpur untuk pemilik kereta BMW dan MINI

    Auto Bavaria buka pusat Service Fast Lane kedua di Kuala Lumpur untuk pemilik kereta BMW dan MINI

    Auto Bavaria telah melancarkan pusat BMW & MINI Service Fast Lane kedua di Malaysia, berlokasi di Auto Bavaria CSL baharu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Ia dibuka selepas pusat pertamanya diperkenalkan di Auto Bavaria Penang pada Ogos tahun lalu.

    Pusat Service Fast Lane ini memfokuskan perkhidmatan membaikpulih dan penyelenggaraan khas untuk kenderaan BMW dan MINI, dan menyasarkan dapat menyelesaikan perkhidmatan yang diperlukan pada kadar masa yang pantas. Menurut Pengarah Urusan syarikat, Vi Thim Juan, Auto Bavaria CSL telah direka bagi menyediakan perkhidmatan dan pembaikan yang diperlukan untuk kenderaan para pelanggan untuk diselesaikan dalam tempoh dua jam.

    “Untuk BMW Group Malaysia, komitmen yang dikongsikan dengan pengedar kami di seluruh negara adalah bagi memenuhi janji ‘Sheer Driving’ yang menjadi kebanggaan kami. Sebahagian daripada komitmen ini adalah bagi memastikan kami dapat menyampaikan perkhidmatan yang luar biasa kepada semua pelanggan BMW, MINI dan BMW Motorrad – dengan perkhidmatan yang cekap.

    Auto Bavaria buka pusat Service Fast Lane kedua di Kuala Lumpur untuk pemilik kereta BMW dan MINI

    “Kami berbesar hati dapat meraikannya dengan Auto Bavaria sempena penubuhan pusat BMW & MINI Service Fast Lane kedua di negara ini,” kata Hans de Visser, Pengarah Urusan bagi BMW Group Malaysia.

    Dikendalikan oleh 23 kakitangan, fasiliti seluas 39,800 kaki persegi ini turut menyediakan ruang lounge untuk pelanggan, Isetta Bar, dua RATC (reception at the cars) dan stesen pengecasan AC.

    Terletak di PT 129, Jalan Enam, Off, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, Auto Bavaria CSL ini beroperasi selama enam hari seminggu antara jam 8 pagi hingga 5 petang untuk Isnin hingga Jumaat, dan 8 pagi hingga 12.30 tengahari pada setiap Sabtu. Ia ditutup pada hari Ahad dan cuti umum.

     
     
  • SPYSHOT – smart #1 versi prestasi dijumpai di China; dua motor elektrik, 400 hp, bakal guna jenama Brabus?

    SPYSHOT – smart #1 versi prestasi dijumpai di China; dua motor elektrik, 400 hp, bakal guna jenama Brabus?

    SUV elektrik smart #1 baru sahaja didedahkan pada peringkat global di Berlin tempoh hari. Buat permulaan, SUV yang direka oleh Mercedes-Benz, dibangunkan oleh Geely menggunakan platform Sustainable Electric Architecture (SEA) tersebut ditawarkan dalam versi satu motor elektrik berkuasa 272 PS/343 Nm memacu roda belakang.

    smart #1 yang anda lihat dijumpai oleh pengguna Weibo, Jason Ferrari di China ini nampak lebih garang dari versi yang didedahkan sebelum ini kan? Ya, ia bukan sahaja nampak lebih sporty, malah menurut CarNewsChina, ini adalah varian prestasi untuk SUV tersebut, dan bakal menerima lencana penala Mercedes-Benz iaitu Brabus!

    Prototaip tanpa sebarang pelekat penyamaran berkenaan diberikan dua liang udara tambahan pada bahagian muncung bonet hadapan. Liang udara pada sisi bampar hadapan juga berbeza, menampilkan sirip melintang yang lebih panjang, manakala kemasan skid plate pada bawah bampar digantikan dengan panel seakan spoiler bersama serlahan jalur merah.

    Ia turut diberikan kemasan merah yang sama pada bahagian bumbung, penutup cermin sisi, jalur pada bawah skrit sisi dan juga pada angkup brek. Model ini dilihat menerima pembuka pintu berwarna hitam, set rim dengan rekaan berbeza serta spoiler belakang yang lebih besar.

    Juga, ia dilihat diberikan perincian tambahan pada bahagian fender hadapan dan pada bumbung yang berkemungkinan adalah perumah untuk kamera.

    Menurut CarNewsChina lagi, smart #1 Brabus ini turut bakal menerima satu lagi motor elektrik untuk memacu roda hadapan, menjadikan ia sebuah model pacuan semua roda dengan kuasa keseluruhan 406 PS (400 hp atau 299 kW)! Dan sudah tentu, ia pasti akan menerima bateri lebih besar. Sebagai perbandingan, model standard smart #1 hadir dengan bateri lithium-ion 66 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 440 km mengikut kitaran WLTP.

    Ini sebenarnya bukan model pertama smart yang mendapat suntikan Brabus. Sebelum ini gandingan dua jenama tersebut pernah menghasilkan Brabus 92R yang diasaskan dari smart EQ fortwo cabrio. Namun model berkenaan hanya menghasilkan 92 PS dan tork maksima 180 Nm dari sebuah motor elektrik, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.9 saat.

    SPYSHOT – smart #1 versi prestasi dijumpai di China; dua motor elektrik, 400 hp, bakal guna jenama Brabus?

    Jika kesemua fakta berkenaan #1 talaan Brabus ini menjadi kenyataan kelak, ia tentunya bakal menjadi model produksi paling berkuasa dan paling pantas pernah dihasilkan oleh smart.

    Bagi yang belum mengetahui, smart #1 bakal hadir ke pasaran Malaysia mungkin pada tahun ini juga bagi mengambil manfaat dari insentif pengecualian cukai dan duti untuk kereta-kereta elektrik penuh (EV) yang diimport sepenuhnya. Namun berbeza dari sebelum ini di mana smart dijual oleh pengedar-pengedar Mercedes-Benz, kali ini smart bakal dijual di Malaysia oleh Proton Edar.

    Ia adalah susulan dari memorandum perjanjian (MoU)yang ditandatangani pada awal tahun ini, menyaksikan Proton Edar dilantik sebagai pengimport, pengedar dan wakil jualan untuk kenderaan smart bukan sahaja di Malaysia, malah untuk pasaran Thailand.

    GALERI: smart #1

    GALERI: smart #1 Launch Edition

     
     
  • Pergerakan balik kampung sempena Aidilfitri dijangka bermula 30 April ini; teruslah patuhi SOP – KDNKA

    Pergerakan balik kampung sempena Aidilfitri dijangka bermula 30 April ini; teruslah patuhi SOP – KDNKA

    Hari Raya Aidilfitri tahun ini pastinya dinantikan oleh kita semua setelah dua tahun kerajaan menetapkan sekatan rentas daerah dan negeri di saat Syawal tiba susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Untuk tahun ini, tiada lagi PKP dilaksanakan, sekaligus membuatkan ramai di antara kita yang merancang untuk beraya sakan bersama keluarga dan sanak saudara.

    Pihak polis turut menjangkakan sebanyak 4.7 juta kenderaan akan berada di jalan raya di seluruh negara menjelang Aidilfitri ini.

    Malahan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) turut menjangkakan orang ramai akan melakukan pergerakan balik ke kampung halaman bermula 30 April ini, laporan Harian Metro.

    Menurut Pengarah KDNKA, Datuk Seri Hazani Ghazali, pihaknya akan meningkatkan pemantauan terhadap pergerakan kenderaan dan juga pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh pengguna jalan raya.

    Pergerakan balik kampung sempena Aidilfitri dijangka bermula 30 April ini; teruslah patuhi SOP – KDNKA

    “Pesanan saya kepada semua pengguna supaya mematuhi keselamatan jalan raya serta SOP yang masih dikuatkuasakan pada fasa peralihan ke endemik ini,” katanya.

    Mengenai pelaksanaan SOP, Hazani berkata, pihaknya akan meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan di sepanjang lebuh raya khususnya di kawasan rehat dan rawat (R&R) yang kerap menjadi lokasi tumpuan pengguna sehingga membawa kesesakan.

    “Kita akan menggunakan budi bicara dengan memberi nasihat dan peringatan namun jika masih berdegil barulah kita akan keluarkan kompaun ingkar SOP dan sebagainya.

    “Sepanjang fasa peralihan ke endemik yang bermula 1 April lalu, cuma pada 9 April lalu sebanyak 183 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk melanggar SOP tetapi keseluruhannya kes kesalahan tak banyak berlaku kerana rakyat kita majoritinya sedar dan memahami keadaan semasa Covid-19 serta patuh SOP,” katanya.

     
     
  • Pusat 3S Toyota baharu dibuka di Cyberjaya – dilengkapi kemudahan baikpulih, cat badan kenderaan

    Pusat 3S Toyota baharu dibuka di Cyberjaya – dilengkapi kemudahan baikpulih, cat badan kenderaan

    UMW Toyota Motor telah pun merasmikan pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) Toyota baharu di Cyberjaya. Dikendalikan oleh Otomobil Sejahtera (OSSB), pusat 3S ini turut menyediakan kemudahan baikpulih dan mengecat badan kenderaan (pada dasarnya dikategorikan sebagai fasiliti 4S).

    Memberikan kemudahan yang diperlukan untuk para pelanggan di kawasan sekitarnya, fasiliti tiga tingkat ini turut menyediakan tujuh petak penyelenggaraan dan ruang lounge untuk pelanggan yang dilengkapi kemudahan WIFi.

    “Pusat 3S baharu ini mendekatkan jenama kami dengan para pelanggan. Di mana sahaja mereka berada, kami akan pastikan mereka mempunyai akses yang lancar untuk mendapatkan perkhidmatan kami pada bila-bila masa yang diperlukan,” kata presiden UMW Toyota Ravindran K.

    Terletak di 16, Jalan Autoville 2, Cyberjaya, pusat 3S ini dibuka dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang pada setiap Isnin hingga Jumaat, manakala hari Sabtu pula beroperasi dari 8 pagi hingga 2 petang.

     
     
  • UMW Toyota Motor jual lebih 22k unit pada Q1 2022, naik dari 17k pada Q1 2021 – Mac catat kenaikan 32%

    UMW Toyota Motor jual lebih 22k unit pada Q1 2022, naik dari 17k pada Q1 2021 – Mac catat kenaikan 32%

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengeluarkan keputusan prestasi jualan bagi bulan Mac serta suku pertama (Q1) bagi tahun 2022. Di mana ia menyaksikan carta bagi jenama Toyota mencatatkan jualan sebanyak 8,386 unit, dan 101 unit bagi Lexus, menjadikan jumlah keseluruhan cecah 8,487 unit pada Mac 2022.

    Untuk Toyota, peningkatan jualan sebanyak 32% pada bulan lalu telah mengatasi rekod pada Februari yang terjual sebanyak 6,366 unit. Sementara prestasi jualan Lexus juga meningkat sebanyak 66 unit berbanding yang dicatatkan pada bulan sebelumnya. Jumlah keseluruhan jualan bagi suku pertama tahun ini adalah sebanyak 22,447 unit, melibatkan kenaikan sebanyak 17,000 unit berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

    Rekod prestasi bagi suku pertama tahun ini oleh UMWT disumbangkan oleh promosi jualan yang berterusan sejak Mac, termasuk manfaat tambah nilai sehingga RM4,000 untuk model paling laris iaitu Vios dan Yaris. Selain itu, UMWT juga menyasarkan penjualan akan meningkat pada masa akan datang, memandangkan ada produk baharu bakal dilancarkan pada tahun ini.

    “Dalam ke arah perubahan bagi mobiliti yang lebih mampan, Toyota berhasrat untuk tidak meninggalkan sesiapa pun di belakang walau kami terus berada di barisan hadapan dalam menawarkan nilai bagi wang dengan dilengkapi kemajuan teknologi dan ciri keselamatan terkini pada semua produk kami,” kata Presiden UMW Toyota Motor Ravindran Kurusamy.

    Dalam hal lain, syarikat ini telah pun melancarkan pusat 3S baharu di Cyberjaya, bagi memberikan kemudahan yang lebih baik untuk pelanggan di sekitar kawasan itu. Sebagai tambahan kepada fasiliti jualan, servis dan alat ganti, pusat 3S Cyberjaya ini dioperasikan oleh Otomobil Sejahtera yang turut termasuk dengan perkhidmatan mengecat dan mengetuk badan kenderaan, ujar UMW Toyota Motor.

    Dalam masa yang sama, promosi jualan masih lagi berlangsung, termasuk menawarkan peluang memenangi ‘duit raya’ dengan pertandingan Pandu Uji dan Menang Duit Raya. Di mana pelanggan yang memandu uji di mana-mana bilik pameran berpeluang memenangi duit raya sebanyak RM100, dan bagi yang menempah kenderaan pula berpeluang menerima RM200. Sebanyak 30 orang pemenang akan dipilih pada setiap minggu.

    Selain itu, pada 16-17 April ini akan berlangsungnya sambutan minggu Ramadan di semua cawangan Toyota di seluruh negara susulan penganjuran aktiviti Bersama Lebih Bersama yang sedang berlangsung. Banyak tawaran menarik menanti, termasuk pelbagai cenderahati (sehingga kehabisan stok) bakal diberikan kepada pelanggan yang menyertai sesi pandu uji kenderaan Toyota.

     
     
  • KPDNHEP nekad halang penjualan petrol RON95 kepada kereta asing – pesalah boleh didakwa

    KPDNHEP nekad halang penjualan petrol RON95 kepada kereta asing – pesalah boleh didakwa

    Semenjak pintu sempadan Malaysia-Singapura dibuka mulai 1 April lalu, pelbagai isu mengenai warga negara jiran kita itu yang mengambil kesempatan mengisi petrol bersubsidi RON 95 di stesen-stesen minyak sekitar Johor Bahru. Perkara ini mendapat kecaman dari rakyat kita, malah kementerian yang bertanggungjawab, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), juga bertegas bahawa tindakan tersebut merupakan suatu kesalahan.

    Selain mengenakan tindakan sewajarnya terhadap pengusaha stesen minyak terbabit, KPDNHEP juga berkata Akta Kawalan Bekalan 1961 akan ditambah baik. Malahan kementerian ini juga akan memperketatkan penguatkuasaan dan mencari solusi terbaik bagi menangani ketirisan minyak petrol bersubsidi kepada warga asing.

    Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, cadangan itu antara aspek yang dibincangkan dalam mesyuarat yang berlangsung baru-baru ini, laporan The Edge.

    Katanya, antara yang dikaji ialah peraturan mengenai keluasan kawasan yang dibenarkan bagi kenderaan asing mengisi minyak di negeri yang bersempadan dengan negara jiran.

    KPDNHEP nekad halang penjualan petrol RON95 kepada kereta asing – pesalah boleh didakwa

    “Kita sedang mengkaji memantapkan Akta Kawalan Bekalan sedia ada dan mengenakan tindakan lebih tegas kepada penjual yang membenarkan warga asing membeli minyak bersubsidi. Ada beberapa peraturan akan diketatkan dalam akta berkenaan supaya barang yang dikawal, termasuk minyak bersubsidi ini tidak disalahguna dan berlaku ketirisan dalam bekalannya,” katanya

    Seperti yang kerap kami kongsikan mengenai isu ini, kenderaan dengan pendaftaran plat asing adalah tidak dibenarkan untuk membeli petrol RON 95 di Malaysia. Peraturan ini telah termaktub sejak 1 Ogos 2010. Ini kerana subsidi yang dibiayai cukai yang lebih tinggi hanya disediakan untuk pengguna RON 95, iaitu untuk pengguna kenderaan berpendaftaran Malaysia sahaja. Manakala untuk kenderaan asing, hanya dibenarkan untuk membeli petrol RON 97 atau RON 100 sahaja.

    Justeru, KPDNHEP turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat termasuk gambar serta lokasi stesen minyak, jika mereka terserempak dengan kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi petrol RON 95. Aduan boleh disalurkan menerusi e-aduan KPDNHEP pada PAUTAN INI, WhatsApp di talian 019-2794317 atau talian bebas tol 1-800-886-800.

    Melaporkan terus ke stesen minyak atau KPDNHEP adalah satu-satunya pilihan yang anda ada sekiranya tindakan anda untuk konfrontasi dan memberitahu si pelaku yang tindakan tersebut adalah salah. Namun jangan pula sesekali anda menekan butang Emergency-Stop (E-Stop) pada pam minyak berkenaan sebagai ‘memberikan pengajaran’. Baca ARTIKEL INI jika anda ingin mengetahui mengapa tidak boleh menekan butang E-Stop tersebut sewenang-wenangnya.

     
     
  • SPYSHOT – Hyundai Tucson 2022 dalam versi jarak roda panjang dijumpai di M’sia; dilancar tak lama lagi?

    SPYSHOT – Hyundai Tucson 2022 dalam versi jarak roda panjang dijumpai di M’sia; dilancar tak lama lagi?

    Selepas model generasi keempat Hyundai Tucson didedahkan buat julung kali untuk peringkat global pada September 2020, masih belum ada petunjuk jelas bila SUV segmen-C berkenaan akan dilancarkan di Malaysia. Namun menerusi imej yang kami terima dari pembaca, Asyraf Sabry, nampaknya model berkenaan akan diperkenalkan di sini tak lama lagi.

    Tucson generasi baharu ini ditawarkan dalam dua versi jarak roda pendek dan juga jarak roda panjang mengikut pasaran. Dan menerusi imej yang kami terima ini nampaknya Malaysia bakal menerima Tucson dalam versi jarak roda panjang seperti model pasaran Amerika Syarikat.

    Ini kerana model yang dijumpai di Malaysia ini menampilkan kemasan krom di atas cermin suku sisi paling belakang iaitu di tiang-C yang lebih tebal, seiras dengan model jarak roda panjang pasaran Amerika Syarikat. Perincian lain antara kedua-dua versi berkenaan adalah serupa.

    Dari segi dimensi, Tucson generasi keempat dalam versi jarak roda panjang ini dihasilkan dengan panjang keseluruhan 4,630 mm, 1,864 mm lebar, menjadikan ia 155 mm lebih panjang dan 15 mm lebih lebar dari model sebelumnya.

    SPYSHOT – Hyundai Tucson 2022 dalam versi jarak roda panjang dijumpai di M’sia; dilancar tak lama lagi?

    Jarak roda pula diukur sejauh 2,756 mm, atau 86 mm lebih panjang dari Tucson generasi ketiga. Keluasan bahagian penumpang naik 170 liter, manakala kapasiti kargo pula kini mencapai 1,096 liter atau 218 liter lebih besar dari Tucson sedia ada.

    Juga di pasaran Amerika Syarikat, Tucson hadir dengan tiga varian enjin iaitu petrol NA, turbo hybrid dan juga plug-in hybrid (PHEV). Untuk model petrol NA, ia dibekalkan dengan enjin 2.5 liter Smartstream berkuasa 187 hp dan tork maksima 241 Nm dan digandingkan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik untuk memacu roda hadapan.

    Manakala untuk model hybrid dan PHEV, kedua-duanya dijana oleh enjin petrol turbo 1.6 liter berkuasa 177 hp dan tork maksima 254 Nm, bersama kotak gear enam-kelajuan automatik. Ia digandingkan dengan motor elektrik 44.2 kW, bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 226 hp dan tork maksima 350 Nm.

    Untuk model hybrid, motor berkenaan menerima bekalan kuasa elektrik dari pek bateri 1.49 kWj, dan Hyundai mendakwa penggunaan bahan apinya adalah 30% lebih efisien dari model petrol biasa, dengan bekalan tork 20% lebih tinggi.

    Hyundai Tucson generasi keempat dalam versi jarak roda pendek (kiri) dan jarak roda panjang (kanan)

    Manakala untuk model PHEV pula, ia diberikan pek bateri lebih berkuasa dengan kadar 13.8 kWj. Ini membolehkan Tucson PHEV bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya dengan satu caj penuh bateri sejauh 45 km. Bateri berkenaan boleh di caj penuh dalam masa tidak sampai dua jam menggunakan pengecaj on-board.

    Kelengkapan lain yang turut dibekalkan pada Tucson pasaran Amerika Syarikat tersebut termasuk skrin sesentuh 10.25-inci, panel instrumen digital sepenuhnya tanpa perumah dan juga penukar gear tanpa tombol dan hanya menggunakan butang seperti pada Sonata.

    Manakala untuk keselamatan, Hyundai Tucson 2022 pasaran Amerika Syarikat ini menerima sistem bantuan pemanduan Hyundai Smartsense yang terdiri dari sistem Bantuan Pengelak Pelanggaran Hadapan bersama pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Lampu Tinggi, Amaran Perhatian Pemandu, dan Amaran Penumpang Belakang – kesemua ini hadir sebagai ciri standard.

     
     
  • 805 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Op Samseng Jalanan di KL pada 8-10 April

    805 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Op Samseng Jalanan di KL pada 8-10 April

    Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur telah mengadakan Operasi Samseng Jalanan yang bermula Jumaat hingga awal pagi semalam di sekitar ibu negara. Hasilnya, sebanyak 805 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintass telah dikeluarkan. Bukan itu sahaja, seramai 30 lelaki tempatan juga telah ditahan menerusi operasi berkenaan.

    Menurut Ketua JSPT KL, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh operasi membabitkan 175 pegawai dan anggota di sekitar pusat bandar, Jalan Pahang, Jalan Tun Razak, Jalan Kuching, Jalan Raja Laut, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE) berakhir pada pukul 4 pagi semalam.

    “Daripada 30 lelaki ditahan itu, 18 daripadanya melakukan kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol, 10 menunggang dalam keadaan berbahaya dan melakukan aksi zig-zag, roket, superman serta bersaing, manakala dua lagi melakukan kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.

    Kesemua suspek berusia antara 16 hingga 51 tahun itu akan dituduh di bawah Seksyen 45(A), Seksyen 42(1) dan Seksyen 108(3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 serta Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955,” ujarnya.

    Tambah beliau, sebanyak 36 motosikal turut disita atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan iaitu ekzos.

    Selain itu, pihaknya juga telah mengadakan Op Tutup yang dilaksanakan Jumaat lalu menumpukan kepada kereta yang diparkir di sepanjang Jalan Raja Laut serta melakukan kesalahan membuat bising dan mengganggu ketenteraman awam.

    “Sebanyak 27 motokar disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan dan akan diambil tindakan serta pemeriksaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta diarahkan mengubah ke struktur asal,” katanya.

    Sarifudin berkata pihaknya akan terus meningkatkan operasi pada hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan, kesalahan lalu lintas serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

     
     
  • BMW i4 2022 dijual pada harga dengan pengecualian SST dari RM365k, penghantaran bermula tengah Mei

    BMW i4 2022 dijual pada harga dengan pengecualian SST dari RM365k, penghantaran bermula tengah Mei

    Minggu lalu, tempahan untuk BMW i4 sudah pun dibuka untuk pasaran Malaysia, dengan harga RM389,800 tidak termasuk insurans. Ini adalah harga yang termasuk SST kerana ia difahamkan cuma akan dapat diserahkan kepada pelangan selepas program pengecualian cukai SST tamat 30 Jun ini.

    Walaubagaimanapun, BMW Group Malaysia telah berjaya memperbaiki keadaan tersebut dan mengesahkan bahawa penghantaran kepada pelanggan akan bermula pertengahan Mei ini. Untuk itu, ia akan dijual pada harga dengan pengecualian cukai SST 50%, menjadi RM364,676 bagi satu-satunya varian yang ditawarkan, iaitu eDrive40 M Sport

    Ini adalah harga bersama jaminan dua tahun tanpa had batuan yang biasa, sementara jika pelanggan mahukan tambahan jaminan sehingga lima tahun bersama pakej servis, ia menjadi RM380,266. Sama seperti iX, i4 ini juga datang dengan Power Package berharga RM4,600 yang memberikan pengecas BMW i Wallbox serta kabel pengecas awam Type 2.

    BMW i4 2022 dijual pada harga dengan pengecualian SST dari RM365k, penghantaran bermula tengah Mei

    Senarai spesifikasi yang diedarkan juga menunjukkan terdapat beberapa tambahan bagi model di Malaysia. Ini termasuk suspensi Adaptive M, Variable Sport Steering, fungsi IconicSounds Electric, penukar gear warna perak serta sistem sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

    Kelengkapan lain adalah seperti yang dinyatakan sebelum ini, termasuk lampu Laserlight, rim M 19 inci Style 860, angkup brek warna biru, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, balutan kulit tiruan Sensatec, tempat duduk sport dengan larasan kuasa serta memori bagi pemandu, kawalan pendingin hawa tiga zon, Park Assist, kamera 360 darjah, pengecas Qi tanpa wayar, 17 pembesar suara serta sistem bunyi Harman Kardon 525 watt.

    Pada papan pemuka terdapat panel paparan melengkung yang terdiri daripada unit digital 12.3 inci untuk instrumen dan 14.9 inci sesentuh untuk infotainmen. Pada bahagian keselamatan, ia dilengkapi pakej penuh Driving Assistant Professional, yang termasuk Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control dengan stop and go, Lane Centring Assist, Lane Keeping Assist, Blind Spot Monitoring, Collision Prevention dan Rear Cross Traffic Alert dengan brek automatik.

    BMW i4 digerakkan oleh satu motor elektrik berkuasa 340 PS (335 hp atau 240 kW) dan 430 Nm tork, dihantar ke roda belakang melalui transmisi satu-kelajuan. Antara catatan prestasinya adalah pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat dan laju maksimum 190 km/j.

    Berkenaan jarak gerak, bateri 83.9 kWh yang digunakan boleh memberi perjalanan sehingga 590 km dengan sekali cas. Apabila menggunakan pengecas pantas DC 200 kW (sambungan CCS Combo 2) dalam masa 10 minit, i4 boleh menyediakan jarak gerak 164 km sementara apabila menggunakan pengecas AC 11 kW (sambungan Type 2), ia akan mengambil masa 8.5 jam untuk penuh.

     
     
  • Honda Dash 125 2022 diberi peningkatan – enjin Euro 4 berkuasa 9.85 hp, panel meter baru, RM6,449

    Honda Dash 125 2022 diberi peningkatan  – enjin Euro 4 berkuasa 9.85 hp, panel meter baru, RM6,449

    Kali terakhir diberi perubahan pada tahun 2019, Honda Dash 125 kini menerima peningkatan bagi model tahun 2022. Ia bukan setakat melibatkan pilihan warna (merah, biru dan kuning) dan grafik baru, tetapi juga beberapa peningkatan lain. Harga model ini adalah RM6,449.

    Meskipun masih menggunakan unit satu silinder SOHC 124.9 cc dengan sistem suntikan bahan api PGM-Fi yang sama, enjin Dash 125 sekarang sudah mematuhi tahap emisi Euro 4 dan menjadikannya semakin mesra alam. Kuasa yang mampu dihasilkan bersama padanan transmisi empat kelajuan adalah 9.85 hp pada 8,000 rpm dan 9.54 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Selain daripada grafik baru, anda juga dapat melihat terdapat rekaan spoiler baru di atas panel lampu, sementara meter pula, walaupun secara kasarnya nampak sama, ia melibatkan sedikit perubahan grafik serta warna lampu. Panel meter itu juga adalah berbeza berbanding model sebelum ini.

    Bahagian lain semuanya masih sama termasuklah lampu depan jenis LED, tangki bahan api 4.0 liter, rim 17 inci dengan tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, penghidup enjin elektrik dan tendang, berat 105 kg dan padanan suspensi fork teleskopik serta dua penyerap di belakang.

    Honda Dash 125 datang dengan brek cakera hadapan dan belakang, serta jaminan dua tahun atau 20,000 km. Ia kini sudah pun berada di semua wakil pengedar sah motosikal Honda.

     
     
  • Perodua Myvi 2022 dengan kit badan GearUp – teaser rasmi telah disiarkan, akan mula dijual tak lama lagi

    Perodua Myvi 2022 dengan kit badan GearUp – <em>teaser</em> rasmi telah disiarkan, akan mula dijual tak lama lagi

    Selepas imej Perodua Myvi facelift 2022 yang dipadankan dengan kit badan GearUp didedahkan oleh laman Facebook RideAth tempoh hari, kini Perodua sudahpun menyiarkan teaser rasmi untuk kit badan berkenaan.

    Teaser tersebut dibuat dalam bentuk satu video pendek, yang mendedahkan hanya bahagian muka Myvi 2022 dengan kit badan itu. “Perincian tambahan Perodua GearUp kini hadir untuk mempertingkat rupa Myvi baharu. Akan datang di semua bilik pameran bertauliah Perodua,” tulis kapsyen video berkenaan.

    Menerusi gambar yang bocor sebelum ini, dapat dilihat bahawa kit badan lengkap tersebut terdiri dari kemasan tambahan untuk apron bampar hadapan bersama spoiler pada bahagian bawah, skirt sisi, kemasan tambahan bawah bampar belakang dengan diffuser dan juga spoiler bumbung pada bahagian atas pintu tailgate belakang.

    Sama seperti kit badan Gear Up pada Perodua Ativa, kit untuk Myvi ini sekali lagi menampilkan rekaan yang agak ‘sibuk’ dan agresif. Untuk kemasan apron bampar hadapan, ia diberikan perumah lampu nyalaan siang LED yang jauh lebih besar dengan kemasan hitam, yang kelihatan seperti liang pengambilan udara.

    Tiada lagi kemasan berwarna perak pada bahagian ‘dagu’ Myvi yang diberikan kit badan ini kerana ia telah ditutup dengan kemasan spoiler bawah bampar juga berwarna hitam, yang bersambung sekali dengan kemasan perumah lampu nyalaan siang. Namun panel pada bahagian sisi spoiler bawah bampar berkenaan diberikan kemasan warna badan.

    Kemasan warna hitam turut diberikan pada bahagian skirt sisi, manakala bampar belakang diberikan panel tambahan sisi lebih labuh dengan warna badan, dan bersambung dengan kemasan diffuser berwarna hitam pada bahagian tengah. Spoiler asal Myvi 2022 yang ringkas digantikan dengan spoiler bumbung yang jauh lebih besar, menampilkan ‘sayap’ kiri dan kanan yang tidak bersambung.

    Secara asasnya, kit badan Gear Up ini bukan sahaja memberikan rupa lebih garang kepada Perodua Myvi facelift 2022, malah ia secara tidak langsung menjadikan warna badan model berkenaan berubah kepada tema dua-tona kerana diberikan kemasan-kemasan hitam yang cukup banyak.

    Tidak seperti sebelum ini yang menyaksikan kit badan GearUp lazim dilancarkan serentak ketika hari pelancaran satu-satu model baharu dari Perodua, kit untuk Myvi 2022 ini nampaknya diperkenalkan lewat sedikit, selepas model ini dilancarkan pada November tahun lalu.

    Walau bagaimanapun, Perodua masih belum mengumumkan sebarang perincian harga berkenaan kit badan ini. Anda rasa kit badan ini macam mana? Bergaya atau terlalu melebih-lebih?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jun 27, 2024