Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Nissan Serena 2022 facelift di Malaysia — MPV baru ini bakal dilancar dengan AEB, peninjau titik buta, LDW?

    Nissan Serena 2022 facelift di Malaysia — MPV baru ini bakal dilancar dengan AEB, peninjau titik buta, LDW?

    Berdasarkan hantara Facebook pengedarnya, Nissan Serena nampak seperti bakal menerima facelift untuk pasaran Malaysia tahun ini. MPV berkenaan, yang masih dalam generasi kelimanya (C27), pertama kali diperkenalkan pada 2018 dan kini ditawarkan dengan janaan S-Hybrid dan dua varian — 2.0L Highway Star dan 2.0L Premium Highway Star (dalam pakej Black atau Two-Tone).

    Daripada apa yang dapat dilihat, Serena terbaru ini nanti menerima gril V-motion yang lebih kemas dengan jalur krom lebih kurus dan mesh yang direka semula. Bucu krom pada gril berkenaan juga bersambung degan bahagian lampu utama yang masih kekal dengan rekaan sama. Bampar depan dan belakang pula diberi sedikit pembaharuan.

    Kelainan bagi versi Highway Star lebih kelihatan, termasuk gril V-motion berkembar yang dilanjutkan ke bawah, kebahagian tengah bukaan udara. Ini disertai oleh kemasan hitam di kelilingnya dan perincian krom, serta bampar depan yang lebih agresif dengan perincian bentuk L di sudutnya; ini juga terdapat di belakang, dengan kluster lampu belakang yang lebih besar, dilanjutkan ke sisi.

    Nissan Serena 2022 facelift di Malaysia — MPV baru ini bakal dilancar dengan AEB, peninjau titik buta, LDW?

    Di dalam, Serena diberi kemaskini sedikit dari sudut kemasan dan kluster instrumen yang direka semula. Selebihnya ia kekal sama seperti model sedia ada, sama bagi kedua-dua varian.

    Hantara FB berkenaan bagaimanapun tidak menyertakan senarai spesifikasi penuh, tetapi ada menyebut tentang Serena baru ini akan datang dengan sistem keselamatan aktif seperti AEB, amaran penukaran lorong dan peninjau titik buta. Serena yang ada ketika ini tidak dilengkapi dengan ciri berkenaan. Kit keselamatan standardnya termasuklah enam beg udara, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, peninjau keliling dengan Intelligent Moving Object Detection (i-MOD) dan Intelligent Driver Alertness (i-DA).

    Beberapa sistem lain yang dijangka ditambah bagi model facelift ini nanti adalah seperti Intelligent Blind Spot Intervention, Rear Cross Traffic Alert dan Emergency Assist for Pedal Misapplication. Ciri semi-autonomous ProPILOT pilihan yang ditawarkan sebelum ini juga diberikan kemaskini dengan kawalan kelajuan lebih baik untuk membrek dengan lembut dalam pelbagai keadaan pemanduan.

    Nissan Serena 2022 facelift di Malaysia — MPV baru ini bakal dilancar dengan AEB, peninjau titik buta, LDW?

    Tidak disebutkan sistem janaan apa yang akan digunakan oleh Serena baru ini, walaupun boleh dijangkakan ia akan kekal dengan sistem S-Hybrid yang sama. Ini termasuklah enjin MR20DD 2.0 liter suntikan terus, empat-silinder petrol dengan 150 PS pada 6,000 rpm dan 200 Nm tork pada 4,400 rpm.

    Digandingkan bersama Xtronic CVT, sistem ini turut melibatkan motor elektrik SM24 ECO dengan kuasa 2.6 PS dan 48 Nm yang bertindak sebagai alternator dan motor penghidup, membantu mengawal sistem melahu, janaan semula tenaga dan memberikan bantuan pecutan.

    Di Jepun, S-Hybrid merupakan satu daripada dua sistem janaan kuasa yang ditawarkan, dengan satu lagi ialah sistem e-Power yang menampilkan motor elektrik EM57 (136 PS dan 320 Nm) yang membekalkan tenaga kepada enjin HR12DE 1.2 liter tiga-silinder (84 PS dan 103 Nm) — enjinnya tiada sambungan terus ke roda.

    NEW NISSAN SERENA Facelift 2022????

    ????AVAILABLE NOW FOR BOOKING????

    ?Blind Spot Warning
    ?Lane Departure Warning
    ?Automatic…

    Posted by Nissan Puchong ENG ENG on Wednesday, 4 May 2022

     
     
  • Semua motosikal baru 150 cc ke atas akan diwajibkan pasang brek ABS menjelang 2025 – Wee Ka Siong

    Semua motosikal baru 150 cc ke atas akan diwajibkan pasang brek ABS menjelang 2025 – Wee Ka Siong

    Menteri Pengangkutan, Datuk Wee Ka Siong hari ini dalam satu majlis di Melaka telah mengeluarkan kenyataan bahawa semua motosikal baru berkuasa 150 cc dan ke atas akan diwajibkan untuk memasang sistem brek anti kunci (ABS) menjelang tahun 2025.

    Perkara ini dilaporkan oleh Harian Metro, yang turut memetik Wee berkata bahawa antara punca utama kemalangan motosikal di Malaysia adalah terbabas sendiri atau gagal mengelak ketika menunggang, yang berpunca daripada sistem brek kurang efektif.

    “Teknologi ABS ini adalah teknologi anti gelincir yang membantu untuk menghalang motosikal daripada tergelincir, terbabas dan gagal mengelak ketika menunggang. Hasil Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menunjukkan ABS ini mampu melindungi 30 peratus daripada penunggang motosikal daripada maut,” kata Wee.

    Semua motosikal baru 150 cc ke atas akan diwajibkan pasang brek ABS menjelang 2025 – Wee Ka Siong

    Tambah Wee lagi, kajian terperinci bagi pelaksanaan ini akan dilaksanakan oleh kementerian pengangkutan bersama Miros, dengan melibatkan semua pemegang taruh yang berkaitan, pihak industri pembuatan motosikal serta wakil pengguna.

    “Kajian ini dijangka dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan dan pelaksanaan mewajibkan pemasangan ABS ini dijangka dalam tempoh dua tahun selepas tamat kajian. Tempoh masa sama akan digunakan untuk meminda peraturan sedia ada dan kerajaan berharap dengan pemasangan mandatori ABS ini keselamatan penggunaan motosikal dapat ditingkatkan seterusnya mengurangkan kebarangkalian berlakunya kematian akibat nahas jalan raya kalangan pengguna motosikal di negara ini,” kata Wee.

     
     
  • Video viral TikTok – ini bukan Perodua Myvi EV generasi baharu, tapi sebenarnya Peugeot 308 2022!

    Video viral TikTok – ini bukan Perodua Myvi EV generasi baharu, tapi sebenarnya Peugeot 308 2022!

    Baru-baru ini tular satu video 10-saat di TikTok, yang menunjukkan sebuah hatchback berwarna merah dengan lampu belakang nipis dan tirus serta logo yang ditutup sedang diuji di Malaysia. Apa yang menarik, kapsyen pada video tersebut menyebut bahawa kereta tersebut adalah Perodua Myvi generasi baru. Betul ke ni?

    Untuk adik-adik Tiktok sekalian, ingin kami maklumkan bahawa kereta tersebut bukan Myvi, tetapi ia jelas sebuah Peugeot 308 2022. Sehingga artikel ini ditulis, video berkenaan sudahpun mencapai jumlah tontonan lebih dari 2.1 juta serta lebih 1,000 komen – jadi berkemungkinan ramai yang sudah terkeliru dengan maklumat yang disampai oleh video tersebut.

    Juga untuk pengetahuan adik-adik Tiktok sekalian, tidak seperti Proton, bukan mudah untuk kita lihat Perodua menguji model-model baharu mereka di atas jalanraya awam – dengan pelekat penyamaran pun susah, apatah lagi dengan tanpa sebarang pelekat penyamaran seperti ini. Biasanya, tahu-tahu Perodua dah keluarkan teaser untuk dilancarkan.

    Lakaran digital imaginasi Perodua Myvi EV oleh Saharuddin Busri, bukan rasmi dari Perodua

    Malah dengan jelas, tertera pelekat ‘LEFT HAND DRIVE’ pada bahagian belakang kereta berkenaan, menunjukkan ia unit ujian dari Eropah. Turut kelihatan adalah sebuah lagi hatchback dari Stellantis di hadapannya iaitu Citroen DS Crossback.

    Mungkin pemilik akaun Tiktok ini terkeliru dengan lakaran digital Myvi EV yang pernah kami kongsikan sebelum ini. Juga untuk pengetahuan adik-adik Tiktok semua, rekaan Myvi EV tersebut bukanlah lakaran rasmi dari Perodua, tetapi dihasilkan oleh pereka tempatan, Saharuddin Busri. Perincian berkenaan lakaran Myvi EV itu boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Berbalik pada Peugeot 308 yang dilihat sedang diuji tersebut, ia adalah unit yang sama dilihat sedang diuji di Pulau Pinang awal tahun ini. Namun menerusi set imej yang baru kami terima ini, perician-perincian yang dipadankan dapat dilihat dengan jelas termasuk cermin suria panaromik bersaiz besar, rim aloi 16-inci dua tona dengan tayar Continental PremiumContact 6 bersaiz 205/60R16, sistem kemasukan tanpa kunci untuk semua pintu, penutup cermin sisi hitam berkilat, serta kit penggayaan GT Line.

    308 merupakan model pertama Peugeot yang mengenakan logo ‘kepala singa’ baharu Peugeot yang lebih ringkas, dilekatkan pada gril hadapan, kedua-dua fender hadapan dan juga pada pintu tailgate belakang. Model ini masih diasaskan dari Efficient Modular Platform (EMP2) seperti model sebelum ini, tetapi telah menerima rombakan besar bagi membolehkan ia direka 20 mm lebih rendah, 11 mm lebih panjang serta jarak roda 55 mm lebih jauh.

    Buat masa sekarang, 308 hasilkan dengan tiga pilihan enjin iaitu versi petrol dengan enjin 1.2 liter PureTech, versi diesel dengan enjin 1.5 BlueHDI, serta versi hibrid dengan unit rangkaian kuasa 1.6 PureTech Hybrid. Model-model dengan enjin 1.2 liter hadir dengan talaan kuasa bermula 110 PS hingga 130 PS, manakala versi dengan sistem plug-in hybrid ditawarkan dengan talaan kuasa bermula 180 PS hingga 225 PS.

    Juga sehingga kini, masih tiada sebarang petunjuk diberikan oleh pengedar Peugeot di Malaysia iaitu Bermaz Auto Alliance (BAA) berkenaan bila Peugeot 308 generasi terkini ini akan dilancarkan di Malaysia.

    @rayyanarilz seriuslah ini KING OF THE ROAD Myvi tu!! smart demo #perudua #produamyvi #berandatiktok #fyp #car #myvi #malaysia #kingofroad ? Apakah Itu Cinta – Andikprasetyoo

     
     
  • Thailand benarkan bawa pulang kenderaan tersadai tanpa caj pada 1 hingga 30 Jun ini – Timbalan Menteri

    Thailand benarkan bawa pulang kenderaan tersadai tanpa caj pada 1 hingga 30 Jun ini – Timbalan Menteri

    Ini berita baik untuk anda sekiranya ada kenderaan milik anda yang tersadai di negara jiran, Thailand susulan sekatan antarabangsa kerana pandemik Covid-19 dua tahun yang lalu.

    Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, telah memaklumkan bahawa kerajaan Thailand mengumumkan rakyat Malaysia diberi tempoh selama sebulan bermula 1 hingga 30 Jun 2022 untuk membawa pulang kenderaan mereka dari Thailand menerusi pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang.

    Katanya, kenderaan milik rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari negara terbabit tidak dikenakan caj sepanjang tempoh yang diberikan, laporan Bernama

    Menurutnya lagi, perkara itu dipersetujui dalam satu mesyuarat bersama 13 agensi yang terlibat pada Isnin lalu sejajar dengan pembukaan sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand di Kelantan bermula 1 Jun ini.

    Thailand benarkan bawa pulang kenderaan tersadai tanpa caj pada 1 hingga 30 Jun ini – Timbalan Menteri

    “Bermula 1 sehingga 30 Jun ini, kerajaan Thailand bagi tawaran dan ruang supaya kenderaan-kenderaan Malaysia yang ada di Thailand dibawa balik ke negara ini tanpa sebarang caj.

    “Peluang ini diberi hanya satu bulan, jadi rakyat Malaysia yang mungkin semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu tidak dapat membawa kenderaan ataupun tersadai di sana supaya ambil tindakan untuk mengambil kenderaan mereka balik ke Malaysia,” katanya.

    Jelas beliau, pihaknya menerima banyak rungutan umum berkaitan kenderaan rakyat Malaysia yang tersadai di Thailand akibat pandemik Covid-19 selain terbeban dengan kadar caj bergantung selama mana tempoh kereta ditinggalkan.

    “Biasa caj tinggal kenderaan di Thailand capai RM100 atau lebih, jadi segera bertindak dalam tempoh sebulan kerana selepas itu, caj akan berkuat kuasa semula,” katanya lagi.

     
     
  • GALERI: Triumph Tiger Sport 660 – dari RM49,900

    GALERI: Triumph Tiger Sport 660 – dari RM49,900

    Di dalam barisan model adventure/tourer yang ditawarkan oleh Triumph, model paling asas adalah Tiger Sport 660. Ia sudah pun mula dijual di Malaysia sejak Februari lalu, dan kini dengan unit yang sudah tiba di pusat pameran, kami bawakan anda galeri gambar sebenarnya.

    Tiger Sport 660 ditawarkan di Malaysia pada harga RM49,900, bagi yang menggunakan warna Lucerne Blue, Sapphire Black dan Graphite/Black, sementara yang berwarna Korosi Red dan Graphite pula dijual pada harga RM50,900 tidak termasuk insurans dan pendaftaran.

    Asas motosikal ini sebenarnya adalah sama dengan satu lagi model permulaan Triumph, iaitu Trident 660, dan ini termasuk enjin tiga silinder DOHC tiga silinder bersama kotak gear enam kelajuan yang mampu menghasilkan kuasa 81 PS pada 10,250 rpm dan 64 Nm tork pada 6,250 rpm.

    Walaubagaimanapun, Tiger Sport 660 ini dijadikan lebih sesuai untuk tugas jelajah, yang membawa kepada perubahan panel badan serta tangki bahan api yang lebih besar (17.2 liter). Suspensi yang lebih panjang (unit Showa sama seperti Trident 660 tetapi dengan jarak gerak 150 mm) juga menjadikan tempat duduknya lebih tinggi, iaitu 835 mm.

    Pada bahagian meter, Tiger Sport 660 menggunakan unit TFT dengan rekaan unik khas untuknya, dan ia boleh disambung dengan sistem My Triumph Connectivity untuk memberikan fungsi sambungan kepada telefon pintar dan GoPro, setelah mendapatkan aksesori tambahan yang disediakan sebagai pilihan.

    Melalui skrin ini juga anda boleh melihat pilihan dua mod tunggangan yang disediakan (Road/Rain), ABS serta kawalan cengkaman (boleh ditutup). Brek menggunakan set daripada Nissin, dengan cakera berkembar 310 mm dan angkup dua piston di hadapan, dan cakera 255 mm dengan angkup satu piston di belakang. Rim masih adalah unit 17 inci dan dibalut dengan tayar Michelin Road 5.

     
     
  • Isu tambang naik: Pengendali e-hailing bagi alasan permintaan mendadak, selain trafik sesak – Wee

    Isu tambang naik: Pengendali e-hailing bagi alasan permintaan mendadak, selain trafik sesak – Wee

    Seakan sudah menjadi lumrah bagi syarikat pengangkutan awam di negara ini yang sering memberi antara alasan kenaikan kadar tambang adalah permintaan yang tinggi di kalangan pengguna. Sama ada syarikat pengangkutan udara mahu pun darat, sama saja alasan yang digunakan.

    Inilah antara alasan yang diberikan oleh syarikat pengendali e-hailing (EHO) berikutan isu kenaikan tambang perkhidmatan ini yang membebankan pengguna kerana melibatkan peningkatan harga yang berlipat kali ganda.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, syarikat e-hailing memberikan alasan ini selain penawaran yang tidak seimbang dengan permintaan ekoran penurunan bilangan pemandu berdaftar sebanyak 30% berbanding sebelum Covid-19 melanda negara. Sekaligus menjadikan kualiti perkhidmatan menurun.

    Alasan lain yang turut diberikan termasuklah kesesakan lalu lintas tinggi yang menjadikan masa perjalanan lebih lama serta melibatkan keadaan cuaca.

    Isu tambang naik: Pengendali e-hailing bagi alasan permintaan mendadak, selain trafik sesak – Wee

    “Kekurangan itu secara tidak langsung menyebabkan masa menunggu kenderaan di beberapa tempat menjadi lebih lama daripada jangkaan. Pada masa sama, fasa peralihan ke endemik bermula 1 April lalu juga menyebabkan berlakunya peningkatan mendadak terhadap permintaan perkhidmatan e-hailing.

    “Dalam tempoh sama juga, ia menyaksikan pergerakan bebas orang ramai bagi menjalankan aktiviti ekonomi dan kehidupan seharian secara normal yang turut menyumbang kepada kesesakan lalu lintas berbanding peringkat awal pandemik menular,” kata Wee.

    Jelas beliau, daripada segi peraturan struktur tambang pula, terdapat dua caj dikenakan iaitu tambang asas dan surcaj.

    “Kerajaan juga tidak mengawal tambang asas. Surcaj pula tidak boleh melebihi dua kali ganda daripada tambang asas, dengan mengambil kira kadar waktu puncak dan harga bahan api. Walau bagaimana pun, EHO dibenarkan untuk menetapkan struktur tambang mereka berdasarkan formula sendiri dan syarat perkhidmatan mereka dengan pengguna dalam pasaran terbuka,” katanya.

    Ka Siong berkata, hasil perbincangan antara Kementerian Pengangkutan (MOT), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan EHO baru-baru ini, pihak EHO memberi jaminan kepada MOT untuk memperuntukkan lebih banyak sumber ke arah meningkatkan bilangan pemandu.

    “Pada masa sama, kerajaan juga akan terus memastikan lebih banyak EHO bersama-sama perkhidmatan teksi dan bas tersedia, untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna,” katanya.

    Ka Siong berkata, lebih 130,000 individu memegang lesen vokasional untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing. Angka ini dijangka bertambah apabila institut memandu dan EHO menerima lebih ramai calon untuk menjadi pemandu e-hailing bagi 21 EHO dengan lesen aktif di seluruh negara, termasuk Lembah Klang.

    Dalam masa yang sama, kerajaan menggesa semua EHO supaya meningkatkan saluran komunikasi mereka dengan pengguna manakala kerajaan akan terus memantau industri e-hailing bagi memastikan keadilan serta mengelakkan beban yang tidak wajar kepada pengguna.

     
     
  • BMW M3 G80 & M4 G82 Competition M xDrive 2022 kini di Malaysia – bermula RM798k, AWD, 510 PS/650 Nm

    BMW M3 G80 & M4 G82 Competition M xDrive 2022 kini di Malaysia – bermula RM798k, AWD, 510 PS/650 Nm

    BMW Malaysia secara rasmi telahpun melancarkan model M3 G80 Competition dan M4 G82 Competition dengan sistem pacuan semua roda M xDrive pada pasaran tempatan.

    Untuk itu, sedan empat pintu M3 Competition M xDrive dijual pada harga bermula RM797,860 sekiranya pembeli memilih waranti standard dua-tahun tanpa perbatuan had, atau RM827,800 dengan waranti selama liam-tahun serta pakej servis percuma.

    Mankala saudara kembar Coupe dua pintunya iaitu M4 Competition M xDrive dijual pada harga bermula RM818,860 untuk pakej waranti standard dua-tahun tanpa perbatuan had, atau RM848,800 untuk pakej waranti penuh lima-tahun. Jadi, model dengan sistem pacuan semua roda M xDrive ini adalah RM100k lebih mahal berbanding versi pacuan roda belakang sepenuhnya yang telah pun diperkenalkan di Malaysia sebelum ini.

    Kesemua angka yang dinyatakan tersebut kini tidak lagi termasuk pengecualian cukai jualan 50% untuk model-model yang diimport sepenuhnya (CBU), jadi sudah tentu mereka yang menempah akan menerima kereta masing-masing selepas 30 Jun nanti.

    Sistem M xDrive ini merupakan sistem pacuan semua roda dengan agihan tork yang lebih diberikan pada gandar belakang, dan ia adalah sistem yang sama dipadankan pada M5 dan juga M8. Ia menampilkan klac pelbagai lapisan elektronik bagi memberikan agihan tork bervariasi, serta membolehkan pemandu memilih salah satu dari tiga mod – 4WD untuk cengkaman maksima, 4WD Sport untuk agihan tork lebih di roda belakang, dan juga 2WD untuk 100% kuasa ke belakang.

    Ia juga hadir dengan unit kawalan tranfser case serta kawalan gelinciran roda khas, dan juga mekanisma rekaan khas lain termasuk gandar hadapan dengan topang spring sambungan berkembar, geometri suspensi, nisbah stereng serta sistem bekalan minyak enjin baharu.

    BMW M3 G80 & M4 G82 Competition M xDrive 2022 kini di Malaysia – bermula RM798k, AWD, 510 PS/650 Nm

    Kedua-dua model dengan sistem pacuan semua roda ini masih dijana oleh enjin S58 3.0 liter enam-silinder sebaris bersama dua pengecas turbo, menghasilkan kuasa 510 PS pada takat 6,250 rpm dan tork maksima 650 Nm bermula 2,750 hingga 5,500 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik M Steptronic.

    Walaupun dengan berat yang bertambah, cengkaman yang diberikan oleh sistem pacuan semua roda ini membolehkan M3 dan M4 Competition M xDrive tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.5 saat, atau 0.4 saat lebih pantas berbanding versi pacuan roda belakang. Kelajuan maksimanya dihadkan secara elektronik pada 250 km/j, tetapi ia boleh mencapai 290 km/j sekiranya pembeli memilih opsyen M Driver’s Package.

    Buat masa sekarang, BMW Malaysia masih belum menyeraikan kelengkapan yang diberikan pada model M3 dan M4 Competition M xDrive pasaran tempatan ini. Malah konfigurator atas talian pada laman rasmi syarikat tersebut masih belum disenaraikan.

    GALERI: BMW M3 G80 Competition M xDrive

    GALERI: BMW M4 G82 Competition M xDrive

     
     
  • BMW M5, M5 Competition facelifts 2022 dilancarkan di Malaysia – stail baharu, kuasa sama; dari RM999k

    BMW M5, M5 Competition facelifts 2022 dilancarkan di Malaysia – stail baharu, kuasa sama; dari RM999k

    BMW Malaysia telah memperkenalkan model facelift bagi BMW M5 F90 dan M5 Competitiom sempena dengan sambutan ulangtahun ke-50 BMW M tahun ini. Sedan prestasi ini merupakan dua antara lima model M baharu yang ditawarkan oleh syarikat tersebut, selain M3 Competiton G80 dan M4 Competition G82 yang kini ditawarkan dengan versi xDrive, serta model semua-elektrik i4 M50 G26

    5 Series G30 biasa telah pun menerima versi facelift pada Mei tahun lalu, dan penggayaan yang dikemaskini juga telah diaplikasikan buat M5 terkini ini. Untuk wajah hadapannya, ia diberikan gril kidney yang lebih tegak dan sedikit ke dalam ke bahagian apron hadapan.

    Ia turut dipadankan dengan lampu utama LED yang lebih anggun dengan lampu arah berbentuk-L dengan teknologi Laserlight untuk varian Competition. Selain itu, bampar hadapan juga digayakan semula dengan tanpa “bingkai” di sekeliling corong pengambilan bawah, sementara corong di sudut pula kini lebih menyerlah dengan kepingan kemasan hitam – ditambah elemen sirip untuk varian Competition.

    Untuk bahagian belakang pula, lampu belajang kini tampil dengan rekaan 3D baharu dan grafik berbentuk-L, sama seperti G30 facelift atau LCI (Life Cycle Impulse). Bampar belakang juga dibentukkan semula dan masih mengekalkan elemen diffuser dan juga empat corong paip ekzos. Selain itu, ia diberikan bumbung carbon-fibre reinforced polymer (CFRP),cermin sisi dengan trademark M dan juga fender gills seperti sebelum ini.

    BMW M5, M5 Competition facelifts 2022 dilancarkan di Malaysia – stail baharu, kuasa sama; dari RM999k

    Di dalamnya, rekaan bentangan papan pemuka masih sama seperti sebelum ini, walau pun skrin sesentuh infotainmen telah dipertingkatkan ke 12.3-inci berbanding 10.25-inci sebelum ini. Paparan besar merupakan sebahagian daripada pakej BMW Live Cockpit Professional, termasuk paparan kluster instrumen digital 12.3-inci dan BMW Operating System 7.0.

    Perubahan yang kurang ketara termasuklah konsol tengah, kini tiada lagi butang individual sport untuk mengubah karakteristik suspensi, penjana kuasa dan stereng kereta. Kini, ia hanya diberikan dua butang iaitu Setup dan M Mode. Di mana butang Setup untuk mengawal menu bagi larasan yang disebut.

    Sementara butang M Mode pula membolehkan pemandu untuk menukar antara mod pemanduan Road dan Sport. Butang M1 dan M2 pada roda stereng masih dikekalkan yang berfungsi untuk melaras personalisasi.

    BMW M5, M5 Competition facelifts 2022 dilancarkan di Malaysia – stail baharu, kuasa sama; dari RM999k

    Untuk lebih dinamik, model M5 diberikan ciri standard termasuk peredam adaptif dan stereng boleh laras, tetapi varian Competition pula ditawarkan dengan pemegang enjin yang lebih keras dan ketinggian pengendalian lebih rendah sebanyak 7 mm.

    Bagi aspek prestasi pula, M5 dibekalkan enjin yang sama iaitu unit S63 4.4 liter turbo-berkembar V8 dengan hamburan 600 PS (591 hp) pada 6,000 rpm dan tork 750 Nm dari 1,800 hingga 5,600 rpm. Begitu juga dengan penjana kuasa bagi varian Competition yang juga dikekalkan, dengan output sama iaitu 625 PS (616 hp) dan 750 Nm dari 1,800 hingga 5,860 rpm.

    Unit S63 bagi kedua-dua varian turut diberikan transmisi automatik M Steptronic lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda xDrive seperti sebelum ini, dan pemandu boleh manfaatkan dari Active M Differential termasuk juga mod 4WD, 4WD Sport dan 2WD.

    BMW M5, M5 Competition facelifts 2022 dilancarkan di Malaysia – stail baharu, kuasa sama; dari RM999k

    Dengan penjana kuasa yang diberikan, M5 boleh mencapai pecutan dari 0-100 km/j dalam hanya 3.4 saat, namun varian Competition pula lebih sepantas 3.3 saat. Kelajuan maksimum bagi M5 boleh cecah 250 km/j, sementara dengan pakej standard M Driver pada Competition membolehkan varian itu mencapai 305 km/j. Sebelum ini model pre-facelift bagi M5 Competition tidak pernah dijual di pasaran tempatan.

    Berkenaan harganya pula, M5 berharga RM998,000 atas jalan tanpa insurans tetapi termasuk dengan rebat cukai jualan dan perkhidmatan (SST), tetapi kalau tempah sekarang, mungkin ia akan sampai selepas 30 Jun ini. Untuk M5 Competition pula, harganya lebih RM190,000 berbanding M5, iaitu RM1,188,800.

    Harga ini termasuk dengan waranti lima-tahun, perbatuan tanpa had dengan servis berkala percuma, bantuan tepi jalan, aplikasi mobil BMW Group Loyalty+ dan kad BMW Privileges serta akses ke portal BMW Service Online. Pra-tempahan telah pun mula dibuka menerusi dalam talian BMW Shop dengan yuran tempahan RM5,000.

    BMW M5 Competition F90 facelift 2022

    BMW M5 F90 facelift 2022

     
     
  • Polis Johor tahan dan sita 22-buah motosikal roda tiga milik etnik Rohingya dalam satu operasi khas semalam

    Polis Johor tahan dan sita 22-buah motosikal roda tiga milik etnik Rohingya dalam satu operasi khas semalam

    Sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Daerah Johor Bahru Utara telah membuat operasi khas motosikal roda tiga di bawah kawasan pentadbirannya pada pukul 8.30 pagi semalam.

    Hasilnya, 22 motosikal jenis berkenaan – kesemuanya ditunggang oleh etnik Rohingya telah ditahan kerana membawa barang-barang lusuh untuk dijual di kedai kitar semula dan menunggang secara bahaya serta mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

    Dalam operasi ini, sebanyak 54 saman telah dikeluarkan terhadap penunggang motosikal termasuk 22 saman dikeluarkan mengikut seksyen 26 (1) akta pengangkutan jalan 1987 kerana tiada lesen memandu, 10 saman dikeluarkan mengikut seksyen 90 akta pengangkutan jalan 1987 kerana tiada perlindungan insurans kenderaan serta 22 saman dikeluarkan mengikut peraturan 34 LN 170/59 kaedah-kaedah lalu lintas 1959 kerana ubahsuai struktur kenderaan.

    Polis Johor tahan dan sita 22-buah motosikal roda tiga milik etnik Rohingya dalam satu operasi khas semalam

    JSPT JB Utara turut menyatakan bahawa kesemua 22 buah motosikal roda tiga yang ditahan tersebut terus disita di bawah seksyen 64 akta pengangkutan jalan 1987.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, polis turut menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya demi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dan mengelakkan sebarang risiko kemalangan jalan raya yang boleh meragut nyawa.

     
     
  • GALERI: Triumph Tiger 1200 GT Pro dan Rally Explorer – peningkatan menyeluruh, harga dari RM115,900

    GALERI: Triumph Tiger 1200 GT Pro dan Rally Explorer – peningkatan menyeluruh, harga dari RM115,900

    Triumph Tiger 1200 2022 pertama kali diperkenalkan kepada dunia hujung tahun lalu, dan dua bulan selepas itu, pengedar jenama motosikal ini di Malaysia sudah mula membuka tempahan untuknya. Daripada lima varian yang ada, hanya dua yang dibawa ke Malaysia, iaitu Tiger 1200 GT Pro dan Tiger 1200 Rally Explorer, dengan harga masing-masing RM115,900 dan RM130,900 tidak termasuk insurans.

    Kini dengan motosikal yang sudah tiba di Malaysia dan menunggu kelulusan VTA daripada JPJ, kami bawakan kepada anda galeri penuh dua versi Tiger 1200 ini. Kemunculan Tiger 1200 2022 adalah sesuatu yang besar kerana ia adalah sebuah motosikal serba baru, dengan perubahan menyeluruh berbanding model sebelumnya.

    Bermula pada enjin, ia kini menggunakan unit tiga silinder T-Plane baru yang mempunyai kapasiti 1,160 cc dan mampu menghasilkan kuasa 148 hp pada 9,000 rpm dan 130 Nm tork pada 7,000 rpm. Dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, sistem pacuan kini ditukar kepada syaf dan bukan lagi rantai dan quickshifter diberikan terus secara standard.

    Menurut Triumph, melalui kerangka serta enjin baru pada Tiger 1200 ini, beratnya sekarang 25 kg lebih ringan berbanding model sebelumnya, dan 17 kg lebih ringan berbanding pesaing terdekat dalam segmennya yang juga menggunakan pacuan syaf. Berat keseluruhan yang dicatat oleh GT Pro adalah 245 kg sementara Rally Explorer pula 261 kg.

    Perkara utama yang membezakan GT Pro dan Rally Explorer adalah rim, di mana GT Pro menggunakan rim aluminium 19 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dengan tayar yang lebih kepada penggunaan atas jalan biasa sementara Rally Explorer pula datang dengan rim spoked 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang (tanpa tiub), dengan tayar dual purpose. Kemudiannya, Rally Explorer juga datang dengan tangki bahan api lebih besar, iaitu 30 liter, berbanding 20 liter pada GT Pro.

    Kedua-dua versi Tiger 1200 ini menggunakan suspensi elektronik semi aktif Showa, tetapi terdapat perbezaan pada jarak geraknya, iaitu GT Pro 200 mm dan Rally Explorer 220 mm. Bahagian hadapan menggunakan fork USD 49 mm manakala di belakang menggunakan monoshock dengan penyerapan semi aktif dan larasan pra beban automatik.

    Brek spesifikasi tinggi turut digunakan, terdiri daripada cakera berkembar 320 mm dengan angkup Brembo M430 Stylema di hadapan dan pam atas Magura HC1 manakala di belakang menggunakan cakera 282 mm dengan angkup Brembo satu piston. ABS two-channel adalah standard.

    Pakej elektronik pada Tiger 1200 baru ini juga agak lengkap, dengan termasuk sistem Triumph Blind Spot Radar yang dibangunkan bersama Continental. Selain Cornering ABS dan Traction Control, ia juga mempunyai mod tunggangan yang terdiri daripada Road, Rain, Sport, Rider (boleh diubah oleh penunggang), Off-Road dan Off-Road Pro bagi varian Rally Explorer, sementara varian GT Pro mempunyai mod Road, Rain, Sport, Rider dan Off-Road.

    Turut diberikan adalah Cruise Control, Hill Hold Control dan tongkat tengah. Semua informasi penting dipaparkan pada skrin TFT-LCD tujuh inci bersama sistem My Triumph Connectivity yang membenarkan sambungan kepada telefon pintar, navigasi serta GoPro (untuk semua varian).

    GALERI: Triumph Tiger 1200 GT Pro 2022

    GALERI: Triumph Tiger 1200 Rally Explorer 2022

     
     
  • Toyota kurangkan 100k unit pengeluaran global bagi Jun — perintah berkurung di Shanghai antara punca

    Toyota kurangkan 100k unit pengeluaran global bagi Jun — perintah berkurung di Shanghai antara punca

    Toyota mengumumkan yang syarikat itu akan menggantungkan operasi pada hari-hari terpilih sepanjang Mei dan Jun di beberapa kilangnya di Jepun. Dan ini ada kaitannya dengan kesan pandemik Covid-19 yang masih memberi kesan kepada segenap aktiviti kehidupan hari ini.

    Menurut pengeluar kenderaan Jepun itu, penyesuaian terhadap perancangan pengeluaran itu disebabkan oleh gangguan bekalan alatan sebagai kesan kepada perintah berkurung ketika ini yang dikenakan di Shanghai, serta kesukaran mendapatkan bekalan semikonduktor.

    Toyota menambah, rancangan pengeluarannya bagi Jun akan dikurangkan sebanyak 100,000 unit menjadi 850,000 unit (2,500 unit di Jepun dan 600,000 unit pasaran luar), dan angka ini juga akan menjadi purata sehingga Ogos nanti.

    Bagi tempoh penuh fiskal tahun 2023, Toyota tidak mengubah anggaran pengeluarannya iaitu sebanyak 9.7 juta kenderaan di seluruh dunia. Walaupun begitu, syarikat itu memaklumkan bahawa faktor luaran menjadikannya sukar untuk merancang, walaupun masih akan berusaha mengeluarkan seberapa banyak kenderaan yang boleh.

     
     
  • JPJ eBid: Plat BQY, AML, VJB dibuka untuk bidaan

    JPJ eBid: Plat BQY, AML, VJB dibuka untuk bidaan

    JPJ telah mengumumkan yang nombor plat BQY, AML dan VJB adalah siri berikutnya yang akan dibuka untuk bidaan melalui platform dalam talianya, JPJ eBid.

    Nombor plat semasa bagi Selangor ketika ini ialah “BQY”, dan ia akan dibuka untuk tender pada 25 Mei, esok. Tempoh bidaan dalam JPJeBid adalah lima hari, berakhir 10 pm pada 29 Mei. Seperti biasa, keputusannya akan diumumkan pada keesokan harinya, 30 Mei. Keseluruhan proses kini dalam talian sejak beberapa waktu kebelakangan ini, dan pembida akan dimaklumkan melalui emel.

    Kini ditawarkan untuk bidaan ialah siri Perak “AML”. Tempoh bidaan bermula 23 Mei dan tamat pada 10pm, 27 Mei. Begitu juga dengan siri Wilayah “VJB” yang dibuka pada 21 Mei dan bakal berakhir 10pm esok, 25 Mei. Keputusan akan dimaklumkan sehari selepas tarikh bidaan ditutup.

    JPJ eBid: Plat BQY, AML, VJB dibuka untuk bidaan

    “BQY” adalah aksara terdekat untuk mendapatkan perkataan “BOY”. AML pula boleh menjadi singkatan kepada Aston Martin Lagonda pada 1980an dahulu, dan mungkin sesetengah kaki kereta pernah melihat Aston Martin dengan plat AML yang mungkin milik pengeluarnya di UK.

    Kalau anda ada kereta baru yang bakal tiba dan inginkan nombor plat dari siri yang membawa makna kepada anda, maka ini caranya untuk anda memilih sendiri dan mencuba nasib. Lebih penting, dengan cara ini anda akan dapat melangkau harga tinggi yang ditetapkan oleh penjual semula dan juga tiada yuran runner.

     
     
  • Australia uji tanda jalan menyala-dalam-gelap; sebahagian dari pakej keselamatan RM12.5 juta

    Australia uji tanda jalan menyala-dalam-gelap; sebahagian dari pakej keselamatan RM12.5 juta

    Anda mungkin ada terlihat hantaran-hantaran media sosial yang menunjukkan jalan-jalan raya yang diberikan tanda-tanda dan garisan menggunakan bahan menyala-dalam-gelap ini bukan? Jalan-jalan tersebut sebenarnya berada di Australia – syarikat tempatan negara berkenaan, Tarma Linemarking telah dipilih oleh pihak berkuasa keselamatan pengangkutan jalan raya VicRoads, bersama syarikat keselamatan permukaan OmniGrip bagi menguji tanda-tanda jalan raya foto-pendarkilau di jalan raya terpilih sekitar Victoria.

    Penggunaan tanda-tanda jalan yang menyala-dalam gelap ini merupakan sebahagian dari program keselamatan jalan raya yang dijalankan oleh Regional Roads Victoria, dan ia adalah salah satu dari tiga inisiatif Pakej Inovatif negeri tersebut, dengan pelaburan berjumlah AUD$4 juta (RM12.5 juta) telah dibuat bagi aplikasi di 70 lokasi seluruh Victoria, sebagai sebahagian dari peruntukan program keselamatan raya negeri yang bernilai AUD$245 juta (RM763 juta).

    Menurut Tarmac LineMarking dalam hantaran Facebook terbaharu mereka menyatakan bahawa “semua penduduk merentas Gippsland, dari Philip Island hingga ke sempadan” akan dapat merasai pengalaman menggunakan jalan raya dengan tanda jalan menyala-dalam-gelap berkenaan.

    Perkara kedua dari tiga inisiatif Pakej Inovatif program keselamatan di negeri berkenaan adalah tanda jalan dengan reflektor yang mampu membalikkan cahaya dalam kadar lebih tinggi, dengan penggunaan manik kaca lebih tebal serta tambahan termoplastik pada car tanda jalan berkenaan.

    Manakala perkara ketiga dalam pakej tersebut adalah penggunaan taktil LED pada lintasan pejalan kaki, iaitu lantai LED yang akan memberikan warna nyalaan (merah dan hijau) sama dengan lampu isyarat bagi memberikan isyarat lebih jelas kepada pejalan kaki, terutamanya untuk mereka mempunyai pengilhatan yang berkurangan atau terganggu.

     
     
  • Mercedes-Benz EQS dapat varian EQS450, EQS500 4Matic – jarak hingga 685 km, bakal tiba di Malaysia?

    Mercedes-Benz EQS dapat varian EQS450, EQS500 4Matic – jarak hingga 685 km, bakal tiba di Malaysia?

    Sudah lebih setahun Mercedes-Benz EQS diperkenalkan di peringkat global, kini pengeluar kereta Jerman tersebut telah menambah dua lagi varian baharu untuk pelanggan buat pilihan iaitu EQS 450 4Matic dan EQS 500 4Matic.

    Dengan pertambahan dua varian baharu ini, secara keseluruhannya menjadikannya sebanyak enam varian bagi famili EQSm termasuk EQS 450+ dan EQS 580 4Matic yang diperkenalkan April tahun lalu, diikuti dengan EQS 53 4Matic+ di bawah payung AMG pada September dan EQS 350 pada November.

    Kedua-dua EQS 450 4Matic dan EQS 500 4Matic didatangkan dengan dua motor elektrik – satu pada setiap gandar – untuk pacuan semua-roda dan berkongsi bateri yang sama iaitu lithium-ion dengan kapasiti tenaga 107.8 kWh. EQS 450+ pacuan roda-belakang juga menggunakan bateri yang sama, tetapi hanya varian asas EQS 350 menggunakan kapasiti yang lebih kecil iaitu 90.6 kWh.

    Mercedes-Benz EQS dapat varian EQS450, EQS500 4Matic – jarak hingga 685 km, bakal tiba di Malaysia?

    Bagi kuasa yang dihamburkan, EQS 450 4Matic menawarkan 360 PS (355 hp atau 265 kW) dan tork 800 Nm, yang membolehkan jentera ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.6 saat. Sementara itu, EQS 500 4Matic pula dengan kuasa yang lebih padu mencecah 449 PS (443 hp atau 330 kW) dan 855 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 4.8 saat.

    Walau pun menawarkan angka prestasi dan masa pendikitan yang berbeza, kedua-dua varian baharu ini ditawarkan dengan jarak yang sama iaitu 685 km bagi pengecasan penuh mengikut kitaran-WLTP, iaitu lebih baik daripada EQS 350, EQS 580 4Matic dan EQS 53 4Matic+, tetapi tidak boleh menandingi EQS 450+.

    EQS dijangkakan bakal tiba di pasaran Malaysia tidak lama lagi, malah teaser bagi model ini telah pun dipaparkan menerusi laman web Mercedes-Benz Malaysia. Syarikat ini juga semakin memperhebatkan promosi barisan kenderaan elektriknya bermula dengan pelancaran EQA pada Mac tahun ini.

     
     
  • Tiga lebuh raya baharu di Lembah Klang telah dapat kelulusan berprinsip bagi atasi kesesakan – Menteri

    Tiga lebuh raya baharu di Lembah Klang telah dapat kelulusan berprinsip bagi atasi kesesakan – Menteri

    Semalam Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, telah mengesahkan kerajaan telah memberikan kelulusan berprinsip untuk tiga projek lebuhraya baharu di Lembah Klang. Ia melibatkan projek Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD LINK), Putrajaya – Bangi Expressway (PBE) dan Kuala Lumpur Northern Dispersal Expressway (KL-NODE).

    Menurut beliau, pembinaan lebuhraya baharu itu bakal mewujudkan laluan alternatif kepada pengguna jalan raya yang terperangkap dalam kesesakan akibat pertambahan bilangan kenderaan.

    “Mengikut pelan pembangunan rangkaian lebuh raya yang dibangunkan dan dikaji setiap lima tahun, yang perlu ada kalau kita tengok rim basikal itu ialah jejarinya. Jadi ini yang perlu kita hubungkan supaya kalau ada kesesakan trafik ini, ada alternatif (pengguna) pindah ke lebuh raya lain. Ini yang sedang dikaji dan keutamaan akan diberikan kepada perkara tersebut,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.

    Lebuh raya di sekitar Lembah Klang dilaporkan mengalami kesesakan yang teruk sejak dua minggu lalu ekoran pertambahan kenderaan yang semakin tinggi selepas penarikan balik sekatan pergerakan Covid-19.

    Tiga lebuh raya baharu di Lembah Klang telah dapat kelulusan berprinsip bagi atasi kesesakan – Menteri

    Walau bagaimana pun, katanya, pihak kerajaan tidak dapat memberi jaminan bahawa pembinaan lebuh raya baharu itu dapat menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya disebabkan oleh kadar pertambahan kenderaan di Malaysia yang semakin meningkat.

    “Walaupun jalan sudah ada, kalau kenderaan makin meningkat mungkin jalan sedia ada (lebuhraya baharu) tidak dapat menampung (jumlah trafik semasa). Sebab itu itu di peringkat kerajaan, kita buat juga pengangkutan awam seperti MRT, LRT. Ini sebahagiannya untuk memastikan pengangkutan awam menjadi pilihan kepada rakyat.

    “Kalau ada 60% mengguna jalan raya, 40% lagi guna pengangkutan awam ianya akan dapat mengimbangi dengan peningkatan kenderaan, ia juga dapat mengurangkan kesesakan jalan,” ujarnya.

     
     
  • Mitsubishi eK X EV didedah di Jepun – K-Car elektrik bermula RM64k, 64 PS/195 Nm, jarak gerak 180 km

    Mitsubishi eK X EV didedah di Jepun – K-Car elektrik bermula RM64k, 64 PS/195 Nm, jarak gerak 180 km

    Selepas ditunjukkan dalam bentuk konsep ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2022 Januari lalu dengan nama K-EV Concept X-Style, model produksi sebenar K-Car berkuasa elektrik sepenuhnya (EV) Mitsubishi itu kini telah diperkenalkan secara rasmi di Jepun dengan nama Mitsubishi eK X EV.

    Seperti model berkuasa petrolnya iaitu eK X (X disebut sebagai ‘cross’) yang merupakan kembar kepada Nissan Dayz, eK X EV ini pula adalah kembar kepada Nissan Sakura di mana kedua-duanya masih merupakan produk yang dibangunkan dan diproduksi di bawah program kerjasama Nissan Mitsubishi Kei Vehicle (NMKV).

    Sakura dan eK X EV berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama iaitu motor elektrik MM48 yang menghasilkan kuasa 64 PS (63 hp atau 47 kW), iaitu had kuasa maksima yang dibenarkan oleh undang-undang Kei-Car Jepun, sama seperti model-model janaan petrol.

    Mitsubishi eK X EV didedah di Jepun – K-Car elektrik bermula RM64k, 64 PS/195 Nm, jarak gerak 180 km

    Namun motor berkenaan menghasilkan kuasa tork yang agak tinggi iaitu 195 Nm (berbanding hanya 100 Nm pada eK X hybrid dengan enjin 660 cc tiga-silinder turbo dan sistem hibrid) bagi memacu terus roda hadapan. Juga sama seperti Sakura, model Mitsubishi ini turut dibekalkan dengan bateri litihium-ion 350-volt, 20 kWj yang diletakkan pada lantai, membolehkan ia bergerak sejauh 180 km dalam standard WLTC dengan satu cas penuh.

    Bateri berkenaan memerlukan lapan jam untuk dicas penuh 100% menggunakan pengecas AC 2.9-kW (sambungan Type 1). Manakala dengan pengecas 30-kW DC (sambungan CHAdeMO), bateri berkenaan boleh dicas sehingga mencapai 80% dalam hanya 40 minit. Ia juga menampilkan sokongan sistem caj dua arah kenderaan-ke-rumah (V2H) serta kenderaan-ke-beban bagi membolehkan eK X EV ini bertindak sebagai ‘powerbank gergasi’ untuk pelbagai peralatan elektrik apabila diperlukan

    Rupa luaran eK X EV ini nampaknya masih sama seperti eK X bukan-EV. Ia diberikan muka Dynamic Shield dengan elemen ‘X’, bersama lampu nyalaan siang LED tirus di atas dan lampu utama pada bampar seperti Mitsubshi Xpander. Tiang-C K-Car ini hadir dengan kemasan berwarna hitam bagi menampakkan bumbungnya seakan terapung, bersama lampu belakang yang direka menegak.

    Mitsubishi eK X EV didedah di Jepun – K-Car elektrik bermula RM64k, 64 PS/195 Nm, jarak gerak 180 km

    Walau bagaimanapun, masih terdapat sedikit perbezaan kecil antara eX X EV dengan versi hibrid petrol. Antaranya pada bahagian gril tanpa lubang aliran udara serta diberikan bar melintang untuk eK X EV ini, dan juga lampu kabus berbentuk empat segi berbanding bulat pada eK X biasa.

    Bentuk asas papan pemuka model EV dengan model petrol bagi eK X berkenaan juga masih sama, tetapi dibezakan oleh pelbagai perincian. Antara perbezaan pada eK X EV ini termasuk paparan instrumen digital, skrin sesentuh infotainmen lebih tersendiri dengan pilihan tujuh- atau sembilan inci bergantung kepada varian, tombol gear lebih unik, kawalan penghawa dingin digital dan pelbagai lagi.

    Kedua-dua varian eK X EV ini iaitu model asas G dan varian tertinggi P hadir dengan sistem bantuan pemanduan Mi-Pilot secara standard. Sistem berkenaan menampilkan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, bantuan dan amaran kekal lorong, lampu tinggi automatik, kawalan salah tekan pedal dan juga pengecam tanda trafik.

    Manakala sistem keselamatan lain yang dibekalkan pada K-Car elektrik ini termasuk tujuh-beg udara, kawalan kestabilan kenderaan, sistem brek ABS bersama EBD, penderia parkir hadapan dan belakang serta bantuan mula mendaki.

    Perincian-perincian lain yang turut didatangkan pada Mitsubishi eK X EV ini termasuk lampu-lampu LED (lampu hadapan, lampu nyalaan siang dan lampu belakang, serta lampu kabus hanya untuk varian P), pilihan upholsteri hitam atau kelabu (kulit sintetik ditawarkan sebagai opsyen), enam pembesar suara, sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup, sistem Mitsubishi Connect (opsyen untuk model G), serta rim aloi 14-inci untuk varian G dan 15-inci untuk varian P.

    Mitsubishi eK X EV ini dijual pada harga bermula 2.398 juta yen (RM82,638) untuk model asas G, sehingga 2,932,600 yen (RM101,052) untuk model tertinggi P. Ia adalah jauh lebih mahal dari versi petrol dimana Mitsubsishi eK X biasa dijual pada harga antara 1.463 juta dan 1,688,500 yen (RM50,412 dan RM58,183).

    Walau bagaimanapun, dengan subsidi kenderaan tenaga bersih yang diberikan kerajaan Jepun, pelanggan bakal menerima penjimatan bernilai 550,000 yen (RM18,952), membolehkan ia dijual pada harga 1.848 juta yen (RM63,709). Jika dicampur sekali dengan skim pencukaian untuk kereta-eko dan kenderaan ringan serta subsidi dari majlis perbandaran (450,000 yen (RM15,512) di Tokyo, eK X EV ini boleh dibeli dengan harga serendah 1.018 juta yen (RM35,092).

     
     
  • Pelumbaan drag haram kena gempur dengan polis di Seremban 2 – Sembilan pemandu ditahan, kereta disita

    Pelumbaan drag haram kena gempur dengan polis di Seremban 2 – Sembilan pemandu ditahan, kereta disita

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah mengeluarkan kenyataan berhubung dengan serbuan yang dilakukan bagi membanteras aktiviti kumpulan kereta dalam perlumbaan drag dengan bunyi ekzos bising di Dataran Centrio Seremban 2, Negeri Sembilan, pada awal pagi Ahad.

    Menurut Timbalan Pengarahnya, Datuk Mohd Nadzri Hussain, operasi sepasukan Unit Risikan Operasi JSPT Bukit Aman pada jam 1 pagi itu mengesan sembilan buah kereta yang melakukan perlumbaan ujian kelajuan.

    Katanya, aksi bersaing sesama sendiri dengan deruan enjin itu dilakukan beberapa pusingan hingga membahayakan pemandu dan pengguna jalan raya lain.

    “Kesemua pemandu berusia 19 hingga 39 tahun telah ditahan untuk tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sembilan buah kereta jenis Proton Satria, Proton Saga, Proton Wira, Perodua Myvi, Honda CR-Z dan Honda Civic telah disita untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian.

    Tambah Mohd Nadzri lagi, individu yang ditangkap dan sitaan kenderaan telah dibawa ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

    Katanya, serbuan itu dijalankan berikutan aduan awam yang diterima pihaknya pada 15 Mei lalu berkenaan kumpulan terbabit yang berlumba, ekzos bising selain memainkan muzik yang kuat hingga mengganggu penduduk sekitar.

     
     
  • Royal Enfield Classic 350 dan Meteor 350 dilancar untuk pasaran Malaysia – harga dari RM23,500

    Royal Enfield Classic 350 dan Meteor 350 dilancar untuk pasaran Malaysia – harga dari RM23,500

    Bersempena dengan pembukaan pusat pameran Royal Enfield di Petaling Jaya, pengedar rasmi baru motosikal jenama itu, Didi Group juga telah melancarkan dua model untuk pasaran Malaysia iaitu Classic 350 dan Meteor 350. Dua model ini menggunakan asas sama, tetapi mempunyai gaya yang berbeza.

    Memacu dua model ini adalah enjin satu silinder 349 cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik serta penyejukan udara, digabungkan bersama transmisi lima kelajuan untuk menghasilkan 20 hp pada 6,100 rpm dan 27 Nm tork pada 4,000 rpm.

    Perbezaan di antara Classic 350 dan Meteor 350 dapat dilihat jelas melalui penampilannya, dan ini termasuk bahagian fender hadapan dan belakang, perumah lampu, penghadang angin hadapan, tangki, tempat duduk dan ekzos.

    Kemudiannya, Classic 350 didatangkan bersama rim spoked 19 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dibalut tayar masing-masing 100/90 dan 120/80 sementara Meteor 350 dipasang dengan rim aluminium 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dibalut tayar masing-masing 100/90 dan 140/70.

    Kelengkapan lain untuk dua motosikal ini adalah sama, iaitu fork teleskopik 41 mm, dua penyerap hentak di belakang dengan pelarasan pra beban, brek cakera tunggal 300 mm dengan angkup dua piston di hadapan, cakera 270 mm dengan angkup satu piston di belakang, ABS two-channel serta panel instrumen gabungan analog dan digital.

    Bergantung kepada warna dan aksesori, Classic 350 dijual pada harga antara RM23,500 hingga RM24,500 manakala Meteor 350 pula dijual pada harga antara RM24,300 hingga RM25,200. Yakin dengan kemampuan motosikal ini, Didi Group menyediakan jaminan (tanpa had batuan) serta bantuan tepi jalan selama tiga tahun, dan servis percuma sebanyak tiga kali.

    GALERI: Royal Enfield Classic 350

    GALERI: Royal Enfield Meteor 350

     
     
  • Jualan kenderaan di Malaysia bagi April 2022 turun 23% kepada 56k unit walaupun pada musim Raya

    Jualan kenderaan di Malaysia bagi April 2022 turun 23% kepada 56k unit walaupun pada musim Raya

    Ternyata April bukanlah bulan yang menyerlah untuk industri automotif, masih ada beberapa isu yang menjadi pendorong jualan bagi pasaran tempatan tidak begitu memberangsangkan. Selain isu bekalan kekurangan cip semikonduktor, masalah tempahan tertangguh juga menjadi faktor utama yang menyebabkan jualan kenderaan mengundang rasa dukacita.

    Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan kenderaan bagi bulan April jatuh sebanyak 23% berbanding bulan sebelumnya, hanya terjual sekitar 56,213 unit, walau pun pelbagai promosi menarik dianjurkan bagi musim perayaan Aidilfitri.

    Walau bagaimana pun, angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 3.6% berbanding April 2021, namun jualan terkini bagi tahunan telah mencapai kenaikan 8% atau lebih 16,000 unit berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, dengan jumlah 215,965 unit.

    Prestasi jualan yang kurang memberangsangkan ini turut melibatkan dua jenama kenderaan yang berada di tangga teratas iaitu Perodua dan Proton, atas faktor yang sama iaitu kekurangan bekalan komponen selain kelewatan penghantaran. Malahan banyak syarikat yang telah memenuhi carta jualan pada bulan sebelumnya bagi tempoh tahunan kewangan yang berakhir pada 31 Mac, turut mencatatkan penurunan.

    Apa yang membimbangkan, MAA menjangkakan jualan bagi Mei juga kekal pada paras yang lebih kurang sama yang didorong isu bekalan cip dan kelewatan penghantaran yang masih berterusan, selain waktu bekerja pada bulan ini yang lebih pendek disebabkan musim perayaan Aidilfitri.

     
     
  • Produksi Sonata akan dihentikan kerana tak laku, Hyundai akan lebih tumpu penghasilan model EV

    Produksi Sonata akan dihentikan kerana tak laku, Hyundai akan lebih tumpu penghasilan model EV

    Hyundai Sonata generasi kelapan boleh dikatakan sebagai Sonata paling cantik berbanding generasi-generasi sebelumnya. Namun lain pula yang ditunjukkan dari segi prestasi jualan – model generasi terkini berkenaan kini jatuh ke tangga keenam sebagai model paling laris di Korea Selatan, berbanding tempat pertama bagi model generasi sebelum itu.

    Menurut portal berita Chosun, jualan Sonata jatuh kerana rekaan sedan berkenaan yang dilihat sebagai ‘terlalu radikal’ oleh pelanggan-pelanggan di pasaran Korea Selatan. Oleh sebab itu, sumber dalaman dari Hyundai memberitahu Chosun bahawa produksi Sonata bakal dihentikan tidak lama lagi, dan barisan produksi tersebut akan digunakan untuk memasang lebih banyak kenderaan elektrik penuh (EV).

    Hyundai kini sedang membangunkan sedan elektrik bersaiz sederhana dikhabarkan akan digelar Ioniq 6. Sedan EV tersebut akan diasaskan dari platform E-GMP yang sama dengan hatchback EV Ioniq 5. Model berkenaan akan didedahkan tahun ini, dan Hyundai tidak mempunyai rancangan untuk menghasilkan Sonata dalam versi EV.

    Produksi Sonata akan dihentikan kerana tak laku, Hyundai akan lebih tumpu penghasilan model EV

    Sumber dalaman tersebut turut menyatakan bahawa masih ada kemungkinan Hyundai memproduksi Sonata elektrik, tetapi projek tersebut bukan keutamaan mereka. “Kami tak boleh sisihkan terus Sonata elektrik, tetapi kami mengutamakan pembangunan kereta elektrik kompak berbanding kenderaan bersaiz sederhana yang kurang popular,” katanya.

    Sonata generasi terbaharu ini sudah pun dilancarkan di Malaysia pada Oktober 2020. Ia diimport terus dari Korea Selatan dan ditawarkan dalam hanya satu varian iaitu 2.5 Premium, dijual pada harga RM189,888. Model tersebut dijana oleh enjin 2.5 liter Smartstream empat silinder MPI menghasilkan 180 PS/232 Nm, digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik bersama pedal penukar gear.