Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • SPYSHOT: Honda Civic Hatchback 2022 sedang diuji

    SPYSHOT: Honda Civic Hatchback 2022 sedang diuji

    Honda Civic generasi ke-11 yang terbaru kini semakin hampir untuk produksi. Honda sudah mendedahkan prototaipnya sebelum ini, dalam bentuk sedan bagi model berkenaan. Sekarang, muncul pula spyshot yang telah merakamkan Civic terbaru itu dalam bentuk hatchback yang sedang diuji di Jerman.

    Seperti yang boleh dijangkakan, model lima-pintu ini tampil sama dengan versi prototaip, dengan bahagian depan yang rendah dan lebar tanpa palang krom “Solid Wing Face” yang ada pada model sebelum ini. Garis hujung bonetnya kini berasingan daripada wajah depan, dengan tiang A dialihkan lebih ke belakang untuk memperbaiki penglihatan, dan cermin sisi kini diletakkan di bahagian pintu.

    Di belakang paling banyak perbezaan yang ditampilkan antara model sedan dan hatchback. Garis bumbung yang sama masih dikekalkan, tetapi bahagian ruang barangan dijadikan lebih pendek serta lampu belakang ditinggikan sedikit agar selari dengan cermin utama di belakang. Tailgate nampak besar, hadir sekali dengan pengilap.

    SPYSHOT: Honda Civic Hatchback 2022 sedang diuji

    Jika ada yang terlepas, reka bentuk Civic hatchback ini sudah pernah dilihat pada imej paten yang muncul September tahun lalu. Ia akan mirip kepada versi sedan kali ini, dengan rekaan pintu belakang yang sama walaupun bentuk belakang berbeza antara keduanya. Kereta ini juga menerima rekaan lampu belakang dengan kelebaran penuh.

    Dengan Civic bari ini, Honda mendakwa ia akan lebih selamat, pembuatan lebih halus, begitu juga dengan pengendalian dan keselesaan yang lebih baik. Tiada perincian tentang sistem janaan yang didedahkan setakat ini, namun Honda menjanjikan unit yang lebih berkuasa dan jimat minyak, mungkin juga melibatkan varian hibrid yang tidak ditawarkan dalam generasi sebelum ini. Unit 1.5 liter VTEC Turbo juga mungkin akan dikekalkan.

     
     
  • KTMB batalkan perkhidmatan tren Intercity laluan JB Sentral-Tumpat akibat landasan ditenggelami banjir

    KTMB batalkan perkhidmatan tren Intercity laluan JB Sentral-Tumpat akibat landasan ditenggelami banjir

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengumumkan pembatalan perkhidmatan KTM Intercity untuk perjalanan ke Pantai Timur membabitkan tren Ekspres Timuran No. 26 dan No. 27 bagi laluan Johor Bahru Sentral-Tumpat dan sebaliknya, serta tren Shuttle Timuran mulai malam tadi.

    Tindakan ini diambil adalah susulan landasan antara Kuala Krai dan Bukit Abu, Kelantan ditenggelami banjir, ujar kenyataan yang dikeluarkan KTMB menerusi Facebook.

    Walau bagaimana pun, menurut KTMB, penumpang yang terjejas dengan perkhidmatan itu boleh menukar tarikh perjalanan atau mendapatkan pemulangan tambang penuh, mengikut terma dan syarat.

    Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan, bolehlah menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-22671200 atau pun menerusi laman media sosial rasmi syarikat tersebut.

     
     
  • Mitsubishi Mirage dan Mirage G4 facelift 2021 kini di Amerika bersama Carbonite Edition, bermula RM58k

    Mitsubishi Mirage dan Mirage G4 <em>facelift</em> 2021 kini di Amerika bersama Carbonite Edition, bermula RM58k

    2021 Mitsubishi Mirage

    Selepas membuat kemunculan sulung di Thailand pada 2019, kemudian tiba di Australia tahun lalu, hatchback kompak Mitsubishi Mirage bersama kembar sedannya iaitu Mirage G4 (dikenali sebagai Attrage di ASEAN) dalam versi facelift 2021 kini diperkenalkan secara rasmi di Amerika Syarikat.

    Kedua-dua versi ini diperkenalkan dalam lima varian berbeza, termasuk versi istimewa Carbonite Edition yang diberikan penampilan lebih garang. Untuk Mirage, ia dijual pada harga bermula US$14,295 (RM57,559) untuk model asas ES dengan kotak gear manual hingga US$17,445 (RM70,242) untuk model tertinggi Mirage SE dengan kotak gear CVT automatik.

    Manakala untuk Mirage G4, versi asas ES dengan transmisi manual dijual pada harga bermula US$15,295 (RM61,585) hingga US$18,195 (RM73,262) untuk varian tertinggi Mirage G4 SE CVT automatik.

    Mitsubishi Mirage dan Mirage G4 <em>facelift</em> 2021 kini di Amerika bersama Carbonite Edition, bermula RM58k

    2021 Mitsubishi Mirage

    Model pasaran Amerika Syarikat ini masih lagi tampil dengan rupa yang sama seperti model di Thailand dan Australia. menampilkan muka yang menerima elemen rekaan signatur Dynamic Shield terbaharu Mitsubishi yang lebih agresif. Namun tidak seperti muka Dynamic Shield yang tajam dan nipis seperti MPV/SUV Mitsubishi Xpander atau SUV segmen-B Eclipse Cross, Mirage tampil dengan lampu hadapan lebih tebal seperti sedan Grand Lancer pasaran China dan Taiwan.

    Seperti juga satu lagi model lama yang diberikan facelift iaitu SUV segmen-B ASX, kluster lampu belakang Mirage dan Atrrage masih lagi sama tetapi menampilkan rekaan grafik LED yang berbeza.

    Mirage juga hadir dengan spoiler bumbung yang lebih besar serta bampar belakang lebih agresif bersama reflektor menegak dan juga sirip seakan diffuser di bahagian bawah. Attrage pula tidak diberikan spoiler tetapi bahagian bampar turut menerima rekaan reflektor dengan konsep sama, bersama diffuser lebih lebar.

    Mitsubishi Mirage dan Mirage G4 <em>facelift</em> 2021 kini di Amerika bersama Carbonite Edition, bermula RM58k

    2021 Mitsubishi Mirage

    Untuk model Carbonite Edition, Mirage dan Mirage G4 tersebut didatangkan dengan kit badan lebih agresif menampilkan gril hadapan istimewa, spoiler bawah bampar, skirt sisi, dan lips tambahan pada bampar belakang – kesemuanya menerima pelekat serlahan jalur merah dan pelekat dengan grafik gentian karbon termasuk pada bingkai tingkap pada tiang-B. Model istimewa ini juga diberikan set rim asli dari Sparco dalam saiz 15-inci.

    Pada bahagian kabin, Mirage dan Mirage G4 facelift 2021 ini masih tampil dengan rekaan papan pemuka dan ciri lain yang sama dengan versi sebelum ini, dengan berberapa peningkatan diberikan pada kelengkapan. Semua varian Mirage dan Mirage G4 juga dikemaskini dengan sistem Smartphone Display Audio (SDA), terdiri dari skrin sesentuh tujuh-inci yang menyokong fungsi Apple Carplay dan Android Auto.

    Model ES kini turut diberikan kemasan lebih elegen dengan perehat tangan hadapan yang direka semula, penggunaan fabrik sentuhan lembut pada bahagian-bahagian yang selalu disentuh, dan juga kemasan gentian karbon palsu pada perumah suis tingkap kuasa.

    Untuk keselamatan, kesemua varian bagi kedua-dua model ini dilengkapkan standard dengan sistem brek kecemasan automatik (AEB) bersama pengesan pejalan kaki. Manakala untuk model tertinggi SE, ia turut hadir dengan sistem tambahan seperti Amaran Keluar Lorong dan juga Lampu Tinggi Automatik.

    Juga tiada perubahan ditampilkan pada sistem mekanikal. Mirage dan Mirage G4 2021 terus dijana oleh 1.2 liter tiga silinder NA berkuasa 78 hp/100 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik atau lima-kelajuan manual.

    Walau bagaimanapun, Mitsubishi mendakwa penjana berkenaan dalam versi transmisi CVT masih lagi merupakan enjin petrol tanpa sistem hibrid yang paling efisien di Amerika Syarikat.

     
     
  • Volkswagen tawar rebat ang pao bernilai sehingga RM10k sempena promosi Tahun Baharu Cina

    Volkswagen tawar rebat ang pao bernilai sehingga RM10k sempena promosi Tahun Baharu Cina

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mula menganjurkan promosi istimewa sempena Tahun Baharu Cina (CNY) yang bakal berlangsung sehingga 28 Februari ini. Promosi ini melibatkan tawaran rebat “ang pao” bernilai RM1,000 bagi model Tiguan Allspace, Arteon dan Passat.

    Bagi pelanggan yang membeli model buatan 2020 pula bakal menerima diskaun tambahan, termasuklah rebat bernilai RM3,500 bagi Tiguan Allspace dan RM2,500 untuk Arteon. Untuk pelanggan yang membeli Passat pula, diberikan pilihan sama ada menerima insurans percuma selama satu tahun atau pun rebat bernilai RM5,500.

    Selain itu, pelanggan juga akan menerima penjimatan eksklusif sekiranya membuat pembelian kereta menerusi atas talian eShowroom. Tawaran ini termasuklah rebat bernilai RM3,500 untuk Tiguan Allspace, RM4,500 bagi Arteon dan Passat pula menerima RM3,500. Ditambah dengan semua angka itu, pelanggan bakal menikmati penjimatan sehingga RM8,000 untuk Tiguan Allspace dan Arteon dan juga RM10,000 bagi Passat.

    Pelanggan Volkswagen sedia ada juga tidak dilupakan untuk menerima promosi ini menerusi kempen penyelenggaraaan selepas jualan CNY. Bagi yang membeli pad dan cakera brek bakal menerima rebat RM30 untuk setiap barangan dan baucer GrabCar bernilai RM20. Sementara yang membeli penapis pendingin hawa dan juga aditif bahan api pula bakal menerima rebat RM20 dan baucer GrabCar RM10. Malah VPCM turut memberikan diskaun sebanyak 20% untuk satu liter minyak enjin tulen.

    Akhir sekali, pelanggan juga bakal menikmati pemeriksaan penyelenggaraan percuma, iaitu sehingga 20% bagi bateri dan tayar, serta paket ang pao percuma. Untuk maklumat lanjut sila layari laman web rasmi VPCM.

     
     
  • Kia lancarkan logo dan slogan baru secara rasmi menerusi persembahan bunga api dan dron di Incheon

    Kia sudah pun melancarkan logo serta slogan baharunya secara rasmi, dan apa yang menarik pendedahan tersebut dilakukan menerusi persembahan gergasi bunga api dan juga dron yang di buat di bandar Incheon, Korea Selatan.

    Menurut Kia, jenama korporat termasuk slogan “Movement that Inspires” yang baharu ini melambangkan kemahuan mereka untuk menerajui industri mobiliti akan datang dengan menyusun semula semua aspek perniagaannya.

    Logo baharu Kia berkenaan kini tidak lagi mempunyai latar belakang berbentuk oval seperti logo sebelum ini yang telah digunakan sejak 1994. Tulisan ‘KIA’ pada logo berkenaan juga diubah dan dibina hanya dengan garisan menegak dan pepenjuru.

    Kia menjelaskan bahawa logo tersebut adalah menyerupai tandatangan, manakala garisan yang tidak terputus melambangkan komitmen mereka untuk memberikan “detik-detik inspirasi”. Rekaan simetri berkenaan turut dikatakan melambangkan keyakinan, manakala garisan yang menaik melambangkan cita-cita Kia terhadap jenamanya serta apa yang akan ditawarkan kepada pelanggan.

    Kia lancarkan logo dan slogan baru secara rasmi menerusi persembahan bunga api dan dron di Incheon

    “Logo baharu Kia ini melambangkan komitmen syarikat untuk menjadi ikon untuk perubahan dan juga innovasi,” kata CEO dan presidennya, Ho Sung Song. “Industri automotif kini sedang melalui fasa transformasi yang pantas, dan Kia sentiasa membentuk dan mengadaptasinya secara proaktif perubahan-perubahan tersebut. Logo baru kami ini melambangkan keiinginan kami untuk menginspirasikan pelanggan kerana mobiliti mereka perlu berevolusi, dan untuk pekerja kami bagi meningkatkan cabaran yang kami hadapi dalam industri yang cepat berubah ini.”

    Persembahan pyrotechnic pendedahan logo baharu Kia yang boleh anda tonton menerusi video di atas menggunakan 303 unit dron serta menamplikan ratusan bunga api. Ia turut mencatatkan rekod dunia Guiness baharu sebagai kenderaan tanpa kawalan manusia (UAV) paling banyak yang melancarkan bunga api secara bersama.

    Pengenalan logo baharu Kia ini adalah langkah permulaan sebelum strategi jenama baharu syarikat tersebut diumumkan pada 15 Januari nanti. Dalam pendedahan tersebut Kia akan mengumumkan perkara lain termasuk halatuju dan falsafah baharu dan juga aplikasinya terhadap barisan produk masa hadapan.

    Identiti korporat baharu Kia ini merupakan sebahagian strategi perniagaan jangka masa panjang Plan S yang akan menyaksikan syarikat tersebut mensasarkan untuk menjadi peneraju dalam pasaran global, dengan fokus terhadap kenderaan elektrik dan servis mobiliti.

     
     
  • Yamaha 135 LC diperkenalkan dalam warna baru – RM6,868 untuk warna biasa dan RM7,118 warna emas

    Yamaha 135 LC diperkenalkan dalam warna baru – RM6,868 untuk warna biasa dan RM7,118 warna emas

    Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd telah memperkenalkan warna baru untuk model terkenal 135 LC, yang kini ditawarkan kepada pasaran dalam pilihan warna biru, merah dan cyan. Untuk tiga pilihan warna ini, harga jualannya adalah RM6,868 sementara satu lagi warna baru iaitu Stealth Gold dijual pada harga RM7,118 (tidak termasuk insurans).

    Selain daripada warna baru ini, tiada yang berubah pada motosikal ini, di mana ia keseluruhan panel badannya masih lagi sama dan dikuasakan enjin satu silinder 134 cc bersama transmisi empat kelajuan untuk menghasilkan kuasa 12 hp dan 11.79 Nm tork.

    Enjin dengan sistem penyejukan cecair dan penyampaian bahan api menggunakan karburator ini sebenarnya sudah digunakan sejak model 135 LC generasi pertama lagi dan didatangkan dengan pemula jenis tendang dan juga elektrik.

    Kelengkapan lain pada 135 LC adalah termasuk rim 17 inci dengan tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, brek cakera di hadapan, brek dram di belakang, lampu jenis halogen, tangki bahan api 4.0 liter dan gear yang boleh dimasukkan tanpa klac tangan.

    Untuk model baru ini juga, HLYM akan memberikan kunci cakera yang bernilai RM100 secara percuma untuk setiap pembelian dan jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Berjaya Auto Alliance saran pemilik kereta Peugeot sedia ada untuk kemaskini maklumat pelanggan

    Berjaya Auto Alliance saran pemilik kereta Peugeot sedia ada untuk kemaskini maklumat pelanggan

    Berjaya Auto Alliance (BAASB) kini sedang menjalankan aktiviti kemaskini maklumat pelanggan dalam usaha untuk melancarkan lagi sistem. Untuk itu, syarikat berkenaan meminta kerjasama daripada semua pemilik kenderaan Peugeot untuk mengemaskini maklumat peribadi mereka secara online menerusi laman web rasmi Peugeot Malaysia.

    Melalui satu laman khas, pemilik perlu mengirimkan bukti pendaftaran kenderaan mereka, begitu juga dengan buku servis dan jaminan, maklumat insurans, serta nombor pendaftaran dan casis kenderaan. Semua maklumat yang dikumpul ini akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) di Malaysia.

    Menurut syarikat itu, aktiviti berkenaan bertujuan untuk memastikan maklumat penting akan menjadi lebih mudah dicapai oleh pelanggan sedia ada. Ini termasuk peringatan servis, tempoh jaminan, kempen servis, berita dan sokongan lainnya.

    Untuk makluman, BAASB merupakan syarikat usaha sama antara Berjaya Corporation dan Bermaz Auto, dengan masing-masing memegang 51% dan 20% kepentingan. Selain pengedaran model-model Peugeot, syarikat ini juga memperoleh hak untuk menyediakan khidmat lepas jualan dan alat ganti bagi kenderaan jenama Citroen dan DS.

     
     
  • Husqvarna Svartpilen 250, Svartpilen 401 dan Vitpilen 401 dilancar di M’sia – harga RM24,800 dan RM29,800

    Husqvarna Svartpilen 250, Svartpilen 401 dan Vitpilen 401 dilancar di M’sia – harga RM24,800 dan RM29,800

    Husqvarna kembali membuat kemunculan dalam pasaran Malaysia melalui Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd sebagai pengedar rasmi dan pelancaran 10 model termasuk tiga daripadanya adalah untuk kegunaan jalanan iaitu Svartpilen 250, Svartpilen 401 dan Vitpilen 401.

    Bagi memberi gambaran awal identiti model ini, Svartpilen adalah model yang menggunakan pemegang jenis lebih tinggi untuk kedudukan menunggang tegak manakala Vitpilen pula menggunakan pemegang jenis clip on seperti cafe racer yang lebih rendah. Nombor 250 dan 401 itu pula menunjukkan kapasiti enjinnya.

    Harga yang ditetapkan untuk model 2020 yang baru dilancarkan ini adalah RM24,800 untuk Svartpilen 250, dan RM29,800 untuk Svartpilen 401 serta Vitpilen 401 (tidak termasuk insurans).

    Melihat pertamanya kepada Svartpilen 250, ia dikuasakan oleh enjin yang sama seperti KTM Duke 250, iaitu unit satu silinder empat strok 248.8 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan serta klac antihopping PASC, untuk menghasilkan kuasa 30.8 hp.

    Berat motosikal ini cuma 153 kg, dan ia dilengkapi dengan barangan lain seperti tangki bahan api 9.5 liter, angkup brek Bybre empat piston serta cakera 320 mm di hadapan, angkup dua piston serta cakera 230 mm di belakang, ABS, fork WP Apex 43 mm tanpa pelarasan di hadapan, monoshock WP Apex dengan pelarasan pra beban di belakang, lampu LED dan rim 17 inci.

    Kelengkapan Svartpilen 401 dan Vitpilen 401 juga kebanyakannya adalah sama seperti Svartpilen 250, termasuk suspensi dan brek, tetapi ia dipacu oleh enjin yang lebih berkuasa iaitu unit satu silinder empat strok 373 cc yang mampu menghasilkan 44 hp pada 9,000 rpm dan 37 Nm tork pada 7,000 rpm.

    GALERI: Husqvarna Svartpilen 250 2020

    GALERI: Husqvarna Svartpilen 401 2020

    GALERI: Husqvarna Vitpilen 401 2020

     
     
  • PDRM nafi akan buat pemeriksaan tali keledar tempat duduk belakang di Lebuhraya PLUS, saman RM300

    PDRM nafi akan buat pemeriksaan tali keledar tempat duduk belakang di Lebuhraya PLUS, saman RM300

    Ada mesej tular di WhatsApp tentang kenyataan polis yang mengatakan bahawa pihak berkuasa itu akan melakukan pemeriksaan untuk menguatkuasakan penggunaan tali keledar tempat duduk belakang setiap petang di Lebuhraya PLUS. Saman RM300 juga katanya akan dikenakan kepada mereka yang ingkar, bagi setiap seorang.

    Jabatan Penyiasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bagaimanapun menafikan perkara ini, baik berkaitan kenyataan yang didakwa dikeluarkan itu mahupun saman RM300 bagi setiap penumpang yang ingkar.

    “Pengguna disarankan agar berhenti menyebarkan berita palsu dan diingatkan untuk selalu menyemak terlebih dahulu kesahihan berita yang berlegar itu, sebelum menyebarkannya lagi di media sosial. Pihak kami ingin menasihati semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang trafik untuk memastikan keselamatan semua,” jelas Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain dalam satu kenyataan.

    PDRM nafi akan buat pemeriksaan tali keledar tempat duduk belakang di Lebuhraya PLUS, saman RM300

    PLUS juga ada mengeluarkan kenyataan menafikan khabar angin operasi tali keledar belakang tersebut. “Apa pun, PLUS sentiasa memberi penekanan kepada semua pengguna lebuhraya untuk sentiasa menggunakan tali keledar penumpang belakang ketika berada dalam kenderaan, termasuk menempatkan kanak-kanak dalam kerusi keselamatan khas mereka untuk perjalanan yang lebih selamat,” jelas kenyataan tersebut.

    Jadi, walaupun tiada operasi untuk memeriksa tali keledar belakang, semua kita seharusnya menggunakan tali keledar keselamatan berkenaan ketika berada dalam kenderaan, tidak kira bila atau di mana.

    Selain risiko terpelanting ke depan jika berlaku perlanggaran dan terhempas ke permukaan keras, kajian juga mendapati pemandu mempunyai risiko dua kali ganda untuk terbunuh dalam perlanggaran sekiranya penumpang belakang tidak menggunakan tali keledar. Kita perlukan operasi pihak berkuasa secara besar-besaran untuk pastikan hal ini dipatuhi?

     
     
  • Lotus Ethos 2010 – konsep rekaan asal Proton Iriz

    Lotus Ethos 2010 – konsep rekaan asal Proton Iriz

    Ketika Proton Iriz didedahkan pada tahun 2014, tentu ramai yang perasan bahawa rekaan hatchback yang pada awalnya digelar sebagai Proton Compact Car berkenaan dihasilkan sebagai versi produksi model konsep Proton EMAS yang muncul di Geneva Motor Show 2010 bukan?

    Namun tahukah anda, rekaan Iriz ini sebenarnya lebih mirip kepada model konsep Lotus Ethos? Dan elemen rekaan kereta kompak Lotus tersebut bukan sahaja tampil pada versi asal Iriz 2014, malah berberapa aspek turut tampil pada Iriz facelift 2019!

    Model konsep Lotus Ethos ini mula didedahkan kepada umum di Paris Motor Show 2010 pada September tahun berkenaan, enam bulan selepas Proton EMAS didedahkan di Geneva. Ia masih menggunakan asas yang sama seperti EMAS, tetapi mendapat sentuhan rekaan terus dari Lotus (rekaan EMAS dibuat oleh firma rekaan Itali, Italdesign Giugiaro), dan dihasilkan dalam bentuk tiga-pintu.

    Lotus Ethos 2010 – konsep rekaan asal Proton Iriz

    Ketika didedahkan, model konsep ini sebenarnya dikenali sebagai Lotus CityCar, manakala nama Ethos ini hanya muncul pada tahun 2011 apabila Lotus mengumumkan versi produksinya akan muncul pada tahun 2013. Namun ia tidak menjadi kenyataan, tetapi konsep rekaan Ethos ini nampaknya diterapkan oleh Proton untuk model produksi Iriz.

    Jika anda lihat dengan teliti, walaupun Ethos ini dihasilkan sebagai model tiga pintu, rekaan bentuk tingkap dari cermin suku hadapan serta cermin tingkap hadapan dan belakang adalah sama dengan Iriz, termasuk rekaan pada tiang-C. Malah rekaan ‘bilah sisi’ pada bawah pintu dan panel sisi belakang Ethos ini disalin terus ke Iriz dan menjadi rekaan signatur hatchback segmen-B Proton berkenaan.

    Pada bahagian muka, jelas ‘mulut’ dan perumah lampu kabus Iriz 2014 adalah diinspirasikan terus dari Ethos, manakala lampu hadapan Iriz facelift 2019 yang nampak lebih tirus dan tajam seakan ditiru dari lampu hadapan Ethos ini.

    Bahagian belakang Lotus Ethos ini juga menampilkan rekaan asas Iriz serta seakan bercampur aduk antara versi 2014 dan 2019. Pintu tailgate belakang Iriz yang nampak seperti ‘terpotong rata’ dan menampilkan garisan sekeliling yang jelas nampak memang berasal dari Ethos. Ruang roda belakang Ethos yang kembang juga nampak sama seperti Iriz.

    Namun lampu belakang Ethos yang ‘baring’ dihasilkan ‘berdiri’ pada Proton Iriz. Manakala panel kemasan hitam pada pintu tailgate dengan tulisan ‘LOTUS’ pada Ethos nampak sama seperti panel pada Iriz facelift 2019 juga dengan tulisan ‘PROTON’ di tengahnya.

    Pada bahagian bampar belakang pula, bentuk kemasan diffuser pada Ethos ini lebih menyerupai diffuser sebenar, namun dengan bahagian kemasan berwarna hitam yang besar, ia nampak ada kaitan dengan bampar Iriz 2019. Manakala untuk rim pula, asas rekaan pada Ethos ini nampaknya menjadi inspirasi untuk rekaan rim 15-inci pada Iriz 2014.

    Lotus Ethos 2010 – konsep rekaan asal Proton Iriz

    Ketika didedahkan, Ethos diumumkan menggunakan asas sistem unit penjana yang sama dengan Proton EMAS, iaitu dengan sistem hibrid range extender. Sistem berkenaan menggabungkan enjin tiga-silinder 1.2 liter turbo yang boleh berfungsi dengan pelbagai bahan api dan juga motor elektrik.

    Namun enjin pembakaran dalaman tersebut tidak memacu roda kereta ini, sebaliknya ditugaskan hanya untuk mengecas bateri hibrid seperti ‘generator pasar malam’, dan ia bergerak sepenuhnya menggunakan motor elektrik.

    Model konsep ini diberikan pek bateri 14.8 kWj yang membolehkan ia bergerak sejauh 60 km untuk satu cas penuh, namun dengan satu tangki bahan api, enjin pembakaran dalaman tersebut mampu untuk mengecas bateri berkenaan untuk bergerak sejauh 500 km.

    Kereta konsep Lotus Ethos ini dihasilkan dengan berat kurang dari 1,400 kg. Dengan kuasa 72 hp dan tork maksima 240 Nm yang memacu roda belakang, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 9 saat.

    Teknologi ini mungkin agak pelik pada tahun 2010, namun ia sekarang telah pun digunakan oleh Nissan digelar sebagai e-Power, diperkenalkan pada model produksi Nissan Note e-Power dan Kicks e-Power. Teknologi yang sama juga akan muncul pada Mazda MX-30, dengan enjin range extender berkenaan menggunakan enjin wankel rotary Mazda yang kompak dan senyap.

    Manakala untuk model produksi Iriz, tiada teknologi penjana termaju ditampilkan. Sejak ianya diperkenalkan, Iriz terus ditawarkan dengan hanya dua pilihan enjin petrol VVT iaitu versi 1.3 liter berkuasa 94 hp/120 Nm dan versi 1.6 liter berkuasa 107 hp/150 Nm.

    GALERI: Lotus CityCar Concept/Ethos 2010

    GALERI: Proton Iriz 1.6 Premium 2014

    GALERI: Proton Iriz 1.6 Premium 2019

     
     
  • Nissan Juke Enigma 2021 edisi istimewa didedahkan

    Nissan Juke Enigma 2021 edisi istimewa didedahkan

    Nissan telah mendedahkan model Juke Enigma edisi istimewa, dengan menawarkan fungsi Alexa Amazon buat pertama kali untuk pasaran Eropah. Ia kini mula dijual dengan harga bermula £23,195 (RM108k).

    Sistem kawalan suara Alexa Amazon kini ditawarkan untuk semua model Juke yang lengkap dengan sistem infotainmen NissanConnect. Dengan ini, pengguna boleh mengetahui pelbagai status kenderaan misalnya status dikunci pintu, baki minyak, lampu menyala serta tempat kereta diparkir. Pengguna juga boleh memaklumkan kepada Alexa untuk memasukkan alamat bagi sistem tunjuk arah.

    Nissan Juke Enigma 2021 edisi istimewa didedahkan

    Dari segi rekaan, Juke Enigma menerima beberapa kemasan dengan estetika gelap, misalnya pada rim 19-inci Akari, serta hiasan grafik dengan corak menarik pada garis bumbung dan perumah cermin sisi.

    Turut hadir ialah grafik khas untuk Enigma pada tiang C. Pilihan warna pula ada tiga, terdiri daripada Gun Metallic Grey, Storm White dengan bumbung hitam dan hitam keseluruhannya. Naib Presiden, Perancangan Produk Nissan Eropah, Marco Fioravanti berkata; “Nissan Juke Enigma memberikan penggayaan unik bagi model berkenaan yang sebelum ini tampil dengan rekaan menarik serta kelengkapan teknologi maju.”

     
     
  • Laluan LPT1 dari Temerloh-Lanchang masih ditutup

    Laluan LPT1 dari Temerloh-Lanchang masih ditutup

    Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) yang merupakan laluan sambungan utama antara kawasan pantai barat dan pantai timur Semenanjung Malaysia dilaporkan masih lagi ditenggelami air di beberapa bahagian laluan Temerloh-Lanchang bagi kedua-dua arah. Dengan paras air tinggi di KM 113 dan KM 115, LPT1 tidak boleh dilalui oleh trafik.

    Menurut pengendaliya, Anih Berhad dalam kemaskini status pagi ini, keadaan banjir antara Lanchang dan Karak (KM 84.6) semakin bertambah baik, dengan laluan ke KL telah mula dibuka sejak 9 pagi semalam. Laluan ke Kuantan bagaimanapun masih ditutup kepada trafik.

    Dengan E8 ditutup sebahagiannya, Lembaga Lebuhraya Malaysia mencadangkan beberapa laluan alternatif yang melibatkan lencongan ke Negeri Sembilan. Ini disebabkan jalan lama (Laluan 2) juga turut dinaiki air sebahagiannya dari Temerloh ke Lanchang. Bagi yang ingin ke Kuantan dari KL, mereka boleh melalui Simpang Pertang di Negeri Sembilan. Dari situ, hala menuju Muadzam Shah hinggalah ke tol Gambang.

    Bagi yang dari Pantai Timur dan ingin kembali ke KL, mereka juga boleh bergerak ke Muadzam Shah sebelum merentas Negeri Sembilan menuju Bahau, Kuala Pilah dan seterusnya Seremban. Bagi mereka yang masih tersangkut dan berada dalam perjalanan tersebut, banyak-banyak bersabar dan sentiasa patuhi arahan lencongan.

     
     
  • Honda kekal jenama bukan nasional no.1 di M’sia kali ke-6 berturut-turut; jual 60,469 kereta sepanjang 2020

    Honda kekal jenama bukan nasional no.1 di M’sia kali ke-6 berturut-turut; jual 60,469 kereta sepanjang 2020

    Honda Malaysia hari ini telah mengumumkan bahawa mereka berjaya menjual sejumlah 60,469 unit kenderaan sepanjang 2020, menjadikan ia kekal sebagai jenama bukan nasional paling laris di Malaysia buat kali ke-enam berturut-turut.

    Menurut syarikat tersebut, Honda City menjadi model paling banyak menyumbang rekod jualan tersebut dengan mewakili 34% dari jumlah keseluruhan, diikuti Honda Civic sebanyak 20% dan Honda HR-V sebanyak 17%.

    Honda City generasi keempat masih lagi dijual dalam momentum yang baik sehingga pengakhiran hayat produksinya, dan kemudian disambung dengan lebih baik oleh model generasi kelima yang dilancarkan pada pasaran tempatan pada Oktober tahun lalu.

    Model generasi baharu sedan segmen-B tersebut telah terjual sebanyak 5,500 unit sehingga Disember lalu, mencatatkan rekod jualan tertinggi pernah direkod oleh City. Sehingga kini, Honda Malaysia telah menerima sejumlah 15,200 unit tempahan City baharu berkenaan, di mana 10,800 unit daripadanya telah pun diterima oleh pelanggan.

    Honda Malaysia turut menyatakan bahawa, antara semua varian ditawarkan, City 1.5V iaitu model tertinggi untuk versi janaan petrol sepenuhnya adalah model yang paling laris dengan mewakili 52% dari keseluruhan unit yang dijual. Untuk warna pula, 26% dari keseluruhan pelanggan Honda mahukan kereta mereka dalam rona Platinum White Pearl.

    Honda kekal jenama bukan nasional no.1 di M’sia kali ke-6 berturut-turut; jual 60,469 kereta sepanjang 2020

    Manakala untuk pecahan pasaran pula, bahagian tengah Semenanjung Malaysia mencatatkan jualan paling tinggi dengan menyumbang 48%, diikuti bahagian selatan dengan 19% dan utara dengan 18%.

    “Tahun 2020 mungkin sangat mencabar namun kami berjaya untuk mengekalkan kedudukan nombor 1 dalam segmen bukan nasional buat tahun ke-enam berturut-turut, dan kami benar-benar berasa rendah hati dengan sokongan yang diterima. City terus membuktikan posisinya sebagai model segmen-B bukan nasional paling popular di kalangan rakyat Malaysia yang sukakan ciri-ciri termaju dengan pakej harga yang menarik,” kata pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia, Toichi Ishiyama.

    “Kepercayaan berterusan anda semua terhadap Honda membolehkan kami terus mencuba yang terbaik dalam servis kami kepada anda dalam masa yang sama kami berusaha untuk merealisasikan falsafah ‘3 Joys of Honda’ iaitu Joy of Buying, Joy of Selling dan Joy of Creating.

    “Kami turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang melanjutkan pengecualian cukai jualan, yang akan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia membeli kereta dengan lebih penjimatan,” tambah Ishiyama lagi.

     
     
  • VIDEO: YDP Agong pandu sendiri Toyota Hilux redah banjir di LPT untuk bantu mangsa di Maran, Pahang

    Seperti yang kita ketahui, hujan lebat yang melanda negara akhir-akhir ini telah menyebabkan banjir yang teruk di berberapa negeri terutama di Johor dan Pahang. Dan di Pahang, ia turut menjejaskan laluan utama ke Pantai Timur iaitu Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) di kawasan Karak-Temerloh (arah Kuantan) dan Temerloh-Lanchang (arah KL) yang dinaiki air sehingga perlu ditutup untuk kesemua kenderaan.

    Seperti setiap musibah banjir yang terjadi di Pahang sebelum-sebelum ini, Yang diPertuan Agong Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melawat sendiri mangsa-mangsa banjir yang terjejas, ditemani Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Baginda tidak menggunakan pengangkutan udara, sebaliknya menggunakan jalan darat dengan memandu sendiri trak pikap Toyota Hilux bagi mengetahui sendiri keadaan tempat-tempat terjejas dengan lebih terperinci. Namun dalam perjalanan lawatan mengejut ke daerah Maran, Pahang bagi mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar Maran, konvoi Baginda terpaksa meredah laluan yang dinaiki air di LPT.

    VIDEO: YDP Agong pandu sendiri Toyota Hilux redah banjir di LPT untuk bantu mangsa di Maran, Pahang

    Apa yang menarik, walaupun laluan tersebut agak sukar, Al-Sultan Abdullah masih memandu sendiri Hilux berkenaan, dan video aksi baginda tersebut disiarkan oleh laman facebook rasmi Istana Negara.

    Dan menerusi hantaran laman berkenaan kira-kira sejam yang lalu, konvoi berkenaan sudah pun sampai ke destinasi yang dituju dan Sultan Abdullah sudah pun bertemu dengan mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di empat PPS di Maran, iaitu di SMK Maran, Surau Kampung Jara, SK Kuala Sentul dan Masjid As Syakirin.

    Seri Paduka turut berkenan meluangkan masa menyantuni mangsa-mangsa banjir yang berada di PPS tersebut dan mengurniakan sumbangan kepada mereka bagi meringankan beban yang ditanggung.

    Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada NADMA, Kerajaan Negeri dan Pentadbiran Daerah serta agensi penyelamat dan jabatan kerajaan seperti polis, bomba, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bertungkus-lumus membantu rakyat setiap kali banjir.

    Seri Paduka Baginda juga mengajak seluruh rakyat bersama Baginda mendoakan agar bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan sehingga mengorbankan nyawa dan harta benda.

     
     
  • Mitsubishi Outlander Sport buat penampilan di AS — dua varian baru; Limited Edition dan Black Edition

    Mitsubishi Outlander Sport buat penampilan di AS — dua varian baru; Limited Edition dan Black Edition

    Mitsubishi Outlander Sport 2021, atau dikenali sebagai ASX di pasaran lain, kini mula diperkenalkan untuk pasaran Amerika Utara. Crossover kompak berkenaan merupakan model paling laris jenama itu di rantau itu, dan menampilkan beberapa kemaskini dari aspek keselamatan bagi versi 2021, dengan varian Limited Edition dan Black Edition.

    Versi Limited Edition menerima kemasan hitam untuk perumah cermin sisi, gril dan rim aloi 18-inci-nya, sementara bahagian kabin menerima kemasan benang merah pada kerusi, tombol gear, stereng dan tuil brek parkir.

    Sementara itu, bagi varian Black Edition, ia menampilkan bukaan udara depan dan belakang rekaan baru, dengan kemasan hitam berkilat dan merah. Ia juga dilengkapi penutup corong minyak aluminium, pelekat hiasan sisi badan, perumah cermin sisi dan pemegang pintu hitam, rim 18-inci hitam, lencana Black Edition dan kemasan hitam bahagian belakang. Pilihan warna dalaman termasuk Red Diamond, Pearl White, Black Labrador dan Sunshine Orange.

    Bergantung kepada tahap kemasan, kabinnya menerima sama ada sistem paparan audio tujuh-inci, atau yang lebih canggih, paparan audio Smartphone-link lapan-inci generasi kedua dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Mitsubishi Outlander Sport buat penampilan di AS — dua varian baru; Limited Edition dan Black Edition

    Bagi sistem janaan kuasa, tiada perubahan dilakukan, Outlander Sport masih menggunakan sama ada unit 2.0 liter MiVEC empat-silinder petrol dengan output 148 hp dan 197 Nm, atau unit yang lebih besar 2.4 liter MiVEC empat-silinder dengan janaan 168 hp dan 226 Nm tork. Pacuan depan dan pacuan semua roda kekal ditawarkan.

    Aspek keselamatan, Outlander Sport 2021 dilengkapi dengan Forward Collision Mitigation (FCM), Lane Departure Warning (LDW) dan Automatic High Beam (AHB). Lain-lain kelengkapan termasuk sensor pengilap cermin, lampu kabus LED, cermin pandang belakang anti-silau dan lampu utama automatik adalah ciri standard untuk semua, kecuali bagi varian S yang paling asas.

    Mitsubishi Outlander Sport akan dijual secara rasmi pada Februari, dengan harga bermula dari US$20,995 (RM84k) bagi model paling asas hingga US$26,995 (RM108k) bagi model GT AWC yang paling lengkap.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024