Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Perintah berkurung di Eropah dilonggar, pelumba mula lepaskan gian belasah motosikal dalam litar

    Selepas dimulakan sekitar pertengahan bulan Mac lalu, perintah berkurung di seluruh Eropah sudah dilonggarkan dengan menyaksikan banyak perniagaan kembali dibuka dan orang ramai juga kembali melakukan aktiviti dalam keadaan yang terkawal.

    Bagi pelumba motosikal profesional pula, berita baik ini terus disambut dengan latihan menunggang sebenar atas motosikal, meskipun siri perlumbaan tidak diketahui bila akan kembali disambung. Sepanjang tempoh berkurung, kebanyakan mereka cuma melakukan latihan kecergasan dalam rumah ataupun bermain permainan video.

    Kini anda sudah boleh melihat mereka kembali melepaskan geram menunggang motosikal di tempat masing-masing. Antara yang menaikkan video dalam media sosial adalah Alex Rins yang berada di Pas de La Casa, Perancis dan beberapa pelumba yang berlatih di The Ranch milik Valentino Rossi termasuk Luca Marini dan Franco Morbidelli.

    Pelumba tempatan seperti Hafizh Syahrin juga sudah kelihatan mula keluar rumah, tetapi untuk latihan kecergasan mengayuh basikal. Komitmen yang beliau tunjukkan juga agak tinggi memandangkan sekarang bulan berpuasa dan ia tidak diambil sebagai alasan.

    Penganjur MotoGP, Dorna Motorsports setakat ini masih belum membuat pengumuman bila perlumbaan akan dijalankan semula tetapi mereka telah menghantar cadangan serta berbincang dengan beberapa negara dalam Eropah untuk menganjurkan baki 12 ke 14 perlumbaan lagi dalam benua itu.

     
     
  • Mazda CX-30 2020 kini terima penawaran varian baru 2.0G High AWD — RM176,059, tambahan kelengkapan

    Mazda CX-30 2020 kini terima penawaran varian baru 2.0G High AWD — RM176,059, tambahan kelengkapan

    Baru lepas beberapa bulan Mazda CX-30 diperkenalkan di Malaysia, Bermaz Motor kini telah mengemaskini pilihan bagi SUV berkenaan dengan varian pacuan semua roda serta tambahan beberapa ciri lain. Dengan kemaskini berkenaan, CX-30 ditawarkan dalam empat varian semuanya, termasuk 2.0G, 2.0G High, 2.0G High AWD terbaru dan 1.8D High.

    Dari segi harga, 2.0G High AWD terbaru ini dijual pada harga RM176,059 atas jalan tanpa insurans, sekaligus menjadi varian paling mahal ketika ini, mengatasi 1.8D High yang dijual pada RM172,943.60. Bagi varian-varian lain, 2.0G High kekal RM164,059 sementara yang paling asas kini melibatkan pertambahan harga RM2,700 menjadi RM145,759.

    Varian 2.0G High AWD menggunakan enjin yang sama, SkyActiv-G 2.0 liter empat-silinder yang digunakan pada varian 2.0G lain, dengan janaan 162 hp pada 6,000 rpm dan 213 Nm tork pada 4,000 rpm. Ini digandingkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dan sistem pacuan semua roda i-Activ – lain-lain varian hanya menggunakan sistem pacuan roda depan sahaja. Semua varian lengkap dengan ciri i-Stop dan G-Vectoring Control Plus (GVC Plus).

    Mazda CX-30 2020 kini terima penawaran varian baru 2.0G High AWD — RM176,059, tambahan kelengkapan

    Dari segi kelengkapan, 2.0G High AWD hampir sama sahaja dengan yang ada pada 2.0G High dan 1.8D High. Antara kelengkapan standard termasuk rim 18-inci aloi, lampu utama dan lampu belakang LED, sistem tanpa kunci, pengilap cermin automatik, pintu ruang barangan kuasa elektrik, 10 sensor parkir dan kamera undur.

    Ruang dalaman pula serba hitam dengan material kulit, kerusi pemandu larasan 10-cara dengan fungsi memori, skrin 8.8-inci dengan sistem infotainmen Mazda Connect, Active Driving Display, paparan instrumen panel tujuh-inci, pendingin hawa dua-zon dengan corong belakang dan brek parkir elektronik dengan fungsi Auto Hold.

    Dari segi keselamatan dan bantuan pemandu, tujuh beg udara masih ditawarkan sebagai standard bagi semua varian. Lain-lain sistem yang ada termasuk ABS, DSC, EBD, EBA, Hill Launch Assist, Isofix dan amaran tali pinggang keledar bagi semua tempat duduk. Sistem kawalan cengkaman ada, tetapi 2.0G High AWD turut disertai oleh fungsi Off-Road Traction.

    Mazda CX-30 2020 kini terima penawaran varian baru 2.0G High AWD — RM176,059, tambahan kelengkapan

    Sistem i-Activsense juga ada disertakan, terdiri antaranya daripada Adaptive Front-Lighting System (AFS), High Beam Control (HBC), Blind Spot Monitoring (BSM), Lane Departure Warning System (LDWS), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Driver Attention Alert (DAA), Smart City Brake Support (depan dan belakang) serta Mazda Radar Cruise Control (MRCC).

    Bagi varian asas 2.0G yang mana harganya naik RM2,700, alasan untuk itu adalah kerana ia kini datang dengan ciri keyless entry dan fungsi kunci automatik yang sebelum ini tidak ditawarkan. Selebihnya, semua kekal sama. Bagi jaminan, semua Mazda CX-30 di datangkan dengan jaminan lima-tahun dengan penyelenggaraan percuma. Perincian lanjut ada di CarBase.my.

    Mazda CX-30 2.0G High

     
     
  • 10 individu telah di tahan kerana langgar arahan PKPB

    10 individu telah di tahan kerana langgar arahan PKPB

    Sebelum ini Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menyatakan bahawa perlaksanaan undang-undang menerusi Akta 342 masih dijalankan seperti biasa walaupun kita sekarang berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Dan hari ini, beliau mengumumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah pun menahan 10 individu kerana kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPB, lapor Astro Awani.

    Dalam sidang media hariannya di Putrajaya sebentar tadi, beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba melanggar SOP untuk mencegah penularan wabak Covid-19 berkenaan.

    “Pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang didapati tidak mematuhi SOP yang disediakan. Justeru, semua pihak diingatkan supaya mengikuti SOP dan peraturan yang telah ditetapkan.

    10 individu telah di tahan kerana langgar arahan PKPB

    “Kerjasama dan disiplin diri daripada anda semua amat penting dalam memerangi pandemik COVID-19 ini,” katanya.

    Beliau turut mengumumkan, sebanyak 62,656 pemeriksaan dilaksanakan bagi memantau dan menguatkuasa SOP PKPB di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 4,476 pasar raya, 5,187 restoran dan 1,474 kilang serta 3,100 bank telah diperiksa.

    “Pemeriksaan juga telah dibuat di 1,210 terminal pengangkutan darat, 180 terminal pengangkutan air dan 71 terminal pengangkutan udara.

    “Pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah memeriksa sebanyak 25,807 buah kenderaan persendirian dan 2,541 kenderaan awam. Turut diperiksa adalah 2,015 pasar awam, 3,580 tempat ibadah, 1,498 tempat riadah dan 281 tapak binaan,” jelas beliau.

    Selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei lalu, kerajaan telah memberi kelonggaran bergerak secara beransur-ansur. Buat masa sekarang, rakyat tidak lagi perlu untuk berseorang di dalam kenderaan, perjalanan melebihi radius 10 km sudah dibenarkan, dan tiada lagi had perjalanan hanya sehingga 10 malam.

    Walau bagaimanapun, pergerakan rentas negeri masih belum dibenarkan, dan kerajaan hanya membenarkan aktiviti ziarah Aidilfitri hanya pada hari pertama, dengan syarat satu rumah hanya boleh menerima kunjungan maksimum 20-orang sehari dan sentiasa mengikut SOP yang ditetapkan termasuk penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta mementingkan kebersihan.

     
     
  • Kawasaki Malaysia buka operasi servis dan alat ganti

    Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) mengeluarkan pengumuman bahawa operasi mereka kini sudah disambung semula selepas ditutup hampir dua bulan untuk mengikuti perintah kawalan pergerakan (PKP). Prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh kerajaan juga akan dipatuhi sepanjang operasi dalam PKPB ini.

    Untuk bahagian servis, hanya pelanggan yang sudah membuat temu janji sahaja yang akan dilayan dan mereka boleh melakukannya dengan menghubungi 03-55665660. Bagi yang mahu mendapatkan alat ganti pula, KMSB cuma menerima tempahan melalui panggilan telefon, kepada talian 03-55665688.

    Operasi yang dimaksudkan ini adalah untuk khidmat di ibu pejabat KMSB di Glenmarie, Shah Alam, Selangor. Pelanggan juga diingatkan supaya sentiasa mengamalkan kebersihan, penjarakan sosial serta pemakaian topeng muka sepanjang berada di premis tersebut.

     
     
  • PKPB: Pasangan suami isteri ‘PJJ’ boleh lakukan perjalanan rentas negeri seminggu sekali – Menteri

    PKPB: Pasangan suami isteri ‘PJJ’ boleh lakukan perjalanan rentas negeri seminggu sekali – Menteri

    Berita baik untuk pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan atau berlainan negeri, atau ‘pasangan jarak jauh’, kerajaan telah memberikan kelonggaran untuk individu berkenaan melakukan perjalanan merentas negeri bagi berjumpa dengan pasangan masing-masing.

    Walau bagaimana pun, perjalanan rentas negeri tersebut terhad untuk seminggu sekali sahaja dan individu terbabit perlulah mengemukakan permohonan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapat kebenaran perjalanan merentas negeri.

    Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, keistimewaan itu hanya diberikan kepada pasangan yang berjauhan kerana bekerja di dua negeri berbeza.

    PKPB: Pasangan suami isteri ‘PJJ’ boleh lakukan perjalanan rentas negeri seminggu sekali – Menteri

    “Contohnya, suami di Johor Bharu manakala isteri berada di Melaka, justeru mereka ini terpisah kerana tuntutan kerja. Perdana Menteri sudah umum mereka ini boleh merentas negeri, kita setuju tetapi hanya boleh balik sekali seminggu untuk jumpa pasangan dan anak-anak.

    “Mereka bagaimanapun perlu melaporkan hasrat berkenaan kepada PDRM untuk diberikan kebenaran merentas negeri,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

    Pada 10 Mei Lalu, selain mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan hingga 9 Jun ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memaklumkan bahawa pasangan suami isteri yang tinggal di negeri berasingan kerana faktor kerja akan diberi kelonggaran untuk membuat perjalanan rentas negeri. Di mana permohonan boleh dibuat menerusi aplikasi Gerak Malaysia atau datang sendiri ke balai polis terdekat.

     
     
  • Proton Satria R3 2004 – ‘Type-R’ dari Shah Alam!

    Proton Satria R3 2004 – ‘Type-R’ dari Shah Alam!

    Race.Rally.Research atau R3 adalah sayap perlumbaan rasmi untuk jenama Proton yang beroperasi di Pusat Kecemerlangan Proton (CoE) Shah Alam, kesinambungan dari pasukan Petronas EON Racing Team (PERT) yang telah wujud sejak era 80’an. Dan pasukan Proton R3 ini bukan sahaja menjadi gergasi dalam dunia sukan permotoran di Malaysia tidak kira dalam disiplin rali atau litar, malah mereka turut menghasilkan peralatan berprestasi tinggi untuk kereta-kereta Proton.

    Terma ‘prestasi tinggi’ ini bukan sekadar gimik imej dengan penghasilan aksesori kosmetik seperti kit badan dan set rim sahaja semata-mata, mereka benar-benar bertindak sebagai badan penala rasmi sama dengan pengeluar-pengeluar lain seperti TRD untuk Toyota dan Nismo untuk Nissan.

    Selain menghasilkan peralatan tingkat taraf tersebut, Proton R3 turut dikenang dengan penghasilan model-model lengkap dari mereka seperti Satria Neo R3 Clubsport yang kami tampilkan tempoh hari, dan nampaknya semakin menjadi buruan pengumpul-pengumpul kereta buat masa sekarang. Dari pelbagai model yang telah dihasilkan tersebut, ini adalah model lengkap pertama yang dihasilkan oleh R3 untuk dijual secara rasmi – Proton Satria R3.

    Proton Satria R3 2004 – ‘Type-R’ dari Shah Alam!

    Model istimewa ini hanya dihasilkan sebanyak 150-unit, diperkenalkan pada tahun 2004. Projek ini diterajui oleh Ketua Projek Istimewa Divisi Sukan Permotoran Proton ketika itu, Adian Yein Khalid yang kini telahpun bersama kami sebagai bos besar untuk siri perlumbaan Malaysia Speed Festival (MSF).

    Proton Satria R3 ini diasaskan dari Satria GTi, iaitu hot-hatch Proton yang muncul pada tahun 1998 hasil kerjasama dengan pembuat kereta sport dari British, Lotus. Manakala spesifikasinya pula dibangunkan dari Satria GTi yang dihasilkan oleh R3 untuk perlumbaan gaya Gymkhana, Street Shootout atau SSO.

    Pengubahsuaian yang dilakukan bagi menghasilkan Satria R3 ini juga agak ekstensif, dan tidak keterlaluan untuk kita sifatkan apa yang dibuat oleh R3 terhadap Satria ini adalah hampir sama apa yang dilakukan oleh Honda untuk merubah sebuah Civic biasa kepada sebuah model Civic Type R sebenar.

    Proton Satria R3 2004 – ‘Type-R’ dari Shah Alam!

    Pertama sekali, casis Satria berkenaan dikeraskan lagi dari model biasa seperti proses yang dilakukan terhadap sebuah kereta lumba, iaitu dengan menggandakan kimpalan-kimpalan pada cantuman komponen-komponen casis berkenaan. Ini bagi memastikan kerangka model ini adalah lebih tegap dan solid seterusnya memberikan pengendalian yang lebih baik dengan body flex yang minima.

    Kemudian, R3 memberikan talaan semula terhadap suspensi kereta ini berdasarkan kerangka yang lebih keras ini. Talaan baharu berkenaan memberikan pengendalian yang lebih jitu, dengan respon tepat dapat diberikan kepada pemandu. Ia juga diberikan tower bar untuk suspensi hadapan dan belakang secara standard.

    Berat model istimewa ini juga telah dikurangkan dengan membuang penebat-penebat bunyi serta kemasan-kemasan yang tidak diperlukan untuk tujuan mendapatkan kelajuan. Karpet lantai pada Satria ini masih lagi ada, tetapi ia telah ditukar menggunakan karpet dengan material lebih ringan. Seiring dengan falsafah pengasas Lotus, Sir Colin Chapman yang menyatakan “to add speed, add lightness,” segala kerja-kerja untuk mengurangkan berat berkenaan menyumbang kepada karekter lebih lincah di selekoh pada Satria R3 ini.

    Proton Satria R3 2004 – ‘Type-R’ dari Shah Alam!

    Satria R3 tidak diberikan rim sama dengan GTi standard, sebaliknya diberikan rim aloi 16×7 inci lima jejari yang lebih ringan, dan dibalut dengan tayar Yokohama Advan Neova AD07 yang dibekalkan standard dari kilang bersaiz 205/45R16. Untuk brek pula, kesemua angkup pada model ini dipadankan dengan pad Mintex M1144 bersama cakera yang ditebuk.

    Proton Satria R3 masih diberikan enjin yang sama seperti Satria GTi iaitu unit 4G93P 1.8 liter empat-silinder. Pengurusan enjin tersebut diuruskan oleh kotak komputer Siemens EMS 400 serta menerima sistem ekzos yang disemak semula (tiada lagi tip ekzos berkembar seperti GTi), membolehkan ia menghasilkan kuasa 140 hp dan tork maksima 148 Nm.

    Ini membolehkan model istimewa berkenaan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 205 km/j. Menurut Proton, dengan segala kelengkapan yang dibekalkan ini, Satria R3 mampu untuk mencatatkan rekod lap terpantas 2 minit 55 saat di Litar Sepang dan 1 minit 59 saat di Litar Pasir Gudang, Johor.

    Proton Satria R3 2004 – ‘Type-R’ dari Shah Alam!

    Pada bahagian luaran, Satria R3 ini masih menggunakan kit badan yang sama (bampar hadapan dan belakang, skirt sisi dan overfender) dengan Satria GTi. Spoiler belakang juga nampak sama tetapi pada model R3 ini ia dihasilkan dari bahan gentian karbon yang lebih ringan.

    Jika GTi hanya hadir dengan warna badan perak, model R3 ini pula hanya ditawarkan dengan warna badan Incognito Black, bersama jalur sisi badan ikonik R3 berwarna merah.

    Pada bahagian kabin pula, roda stereng dengan beg udara pada Satria GTi standard ditukar dengan roda stereng Momo Tuner. Manakala tempat duduk hadapan Recaro LS ‘bantal’ digantikan dengan sepasang tempat duduk Recaro SR4 yang kelihatan lebih mirip seperti tempat duduk perlumbaan sebenar.

    Secara keseluruhan, kemasan dalaman kabin Satria R3 ini diberikan tema hitam-merah, bersama tali pinggang keledar yang juga berwarna merah serta kemasan-kemasan plastik lain diberikan warna titanium gelap. Ia masih hadir dengan unit pemain utama Clarion 2-Din bersama empat pembesar suara.

     
     
  • Polestar perkuatkan hubungan dengan pengeluar motosikal elektrik CAKE – berkongsi nilai sama

    Polestar perkuatkan hubungan dengan pengeluar motosikal elektrik CAKE – berkongsi nilai sama

    Polestar, yang merupakan satu jenama di bawah Volvo dan Geely mengumumkan kerjasama dengan syarikat pengeluar motosikal elektrik iaitu CAKE di Eropah, setelah CEO untuk kedua-dua syarikat melihat perniagaan mereka mempunyai persamaan nilai.

    Antara persamaan yang dimaksudkan adalah kedua-duanya jenama dari Sweden, menggunakan rekaan Scandinavian, mengeluarkan produk pacuan elektrik serta cara baru dalam pemasaran, jenama dan cara jualan kepada pelanggan.

    “Polestar rasa seperti ada hubungan dengan CAKE, berkongsi kepercayaan yang sama dalam memberi makna kepada prestasi serta semangat terhadap rekaan. Keinginan kami untuk menghasilkan masa depan tanpa emisi dan menggunakan kuasa elektrik adalah penghubung kuat antara kami,” kata CEO Polestar, Thomas Ingenlath.

    Polestar perkuatkan hubungan dengan pengeluar motosikal elektrik CAKE – berkongsi nilai sama

    Polestar sebelum ini memang sudah mempunyai kerjasama dengan CAKE, tetapi ia setakat CAKE membawa motosikal elektrik mereka ke acara tertentu Polestar. Kini, hubungan itu diperkuatkan lagi apabila Polestar bersetuju untuk mempamerkan motosikal CAKE di dalam pusat pameran Polestar Spaces di Eropah.

    “Industri motosikal sedang berhadapan anjakan sama ke arah penggerak elektrik seperti industri kereta, dan CAKE berada di hadapan. Harapnya orang ramai boleh meneroka motosikal elektrik teknologi tinggi yang kami hasilkan ini,” kata CEO CAKE, Stefan Ytterborn.

     
     
  • Bimota tunjuk teaser model yang sedang dibangunkan

    Bimota tunjuk teaser model yang sedang dibangunkan

    Bimota, satu jenama lagenda dari Itali yang saham syarikatnya kini dimiliki oleh Kawasaki sebanyak 49.9% telah membuat kemunculan tahun lepas dengan penampilan sebuah model yang menggunakan enjin sama seperti Kawasaki H2, tetapi mempunyai bentuk dan suspensi yang sudah menjadi tanda unik Bimota. Ia dipanggil sebagai Tesi H2.

    Kini, syarikat itu mengeluarkan dua gambar teaser dalam laman media sosial mereka, yang diberitahu sebagai model KB4. Gambar itu sengaja dikaburkan untuk memberi teka-teki kepada orang ramai, tetapi ia sudah cukup untuk kita membuat gambaran bentuk kasarnya.

    Model yang sedang dibangunkan oleh Bimota ini kelihatan mempunyai fairing hadapan menggelembung seperti motosikal cafe racer manakala dari bahagian tangki hingga ke belakang menunjukkan bentuk seperti motosikal sports moden.

    Bimota tunjuk teaser model yang sedang dibangunkan

    Tiada sebarang perincian teknikal yang didedahkan bersama gambar ini tetapi kita sekurang-kurangnya boleh melihat bahagian hadapannya tidak menggunakan suspensi jenis lengan ayun dan hub center steering seperti Tesi H2, sebaliknya unit fork biasa.

    Disebabkan sekarang Kawasaki memiliki separuh saham dalam Kawasaki, KB4 ini juga dijangka menggunakan enjin Kawasaki dan media Eropah banyak yang mengatakan tentang unit empat silinder 1,043 cc daripada Ninja 1000. Bahagian belakang kelihatan seperti mempunyai lengan ayun aluminium.

     
     
  • Pusat fitmen Touch ‘n Go RFID terpilih dibuka semula

    Pusat fitmen Touch ‘n Go RFID terpilih dibuka semula

    Touch ‘n Go telah mengumumkan menerusi laman Facebook rasminya berkenaan beberapa pusat fitmen RFID terpilih telah pun dibuka semula mulai 13 Mei, selepas ia ditutup sejak 18 Mac lalu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Pusat fitmen yang telah dibuka semula adalah seperti berikut:

    • Tesco Bukit Puchong
    • D’Pulze Cyberjaya
    • Giant Kelana Jaya
    • R&R Tol Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) Segambut
    • E Max Car Accessories, Taman Permata
    • H2O House of Tyres and Rims, Klang
    • V Pro Car Accessories, Puchong
    • Wan Hing Automotive, Bandar Baru Bangi
    • Best Tune Auto Workshop, Sungai Jawi
    • SS Tyre and Motorcraft Enterprise, Georgetown, Penang
    • Bok Tyre and Battery, Bayan Lepas
    • Chia Auto Center, Pandan Indah
    • Success Service and Maintenance, Johor Bahru
    • Pit Stop Auto Care, Johor Bahru
    • Lim Tayar Subang Jaya
    • Lim Tayar Seremban 2
    • Lim Tayar Hulu Klang, Ampang

    Sistem Touch ‘n Go RFID dilancarkan pada Februari lalu, dengan program perintisnya telah dijalankan sejak September 2018. Bermula 15 Februari 2020, pelekat RFID ini ditawarkan pada harga RM35, termasuk dengan sekali penggantian secara percuma (untuk kenderaan yang sama) sekiranya ia mengalami kerosakan.

     
     
  • Audi RS6 Avant Wheelsandmore – 1,010 hp/1,250 Nm!

    Audi RS6 Avant Wheelsandmore – 1,010 hp/1,250 Nm!

    Audi RS6 Avant, dalam spesifikasi standard sekalipun boleh kita anggap sebagai sebuah model yang tak masuk akal – sebuah wagon selalunya disifatkan sebagai kereta keluarga yang cukup praktikal, tetapi ia keluar dari bilik pameran dengan bekalan kuasa 600 PS/800 Nm.

    Namun, masih lagi ada ‘orang gila’ yang merasakan kuasa tersebut masih lagi tidak cukup dan memilih untuk membeli model yang sudah ditingkat taraf, dari Mansory misalnya yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 740 PS/1,000 Nm. Tapi, kalau ada lagi yang rasa tak cukup, mungkin boleh memilih pakej ubahsuai Stage V dari Wheelsandmore untuk Audi RS6 Avant ini, yang meledakkan kuasa keseluruhan 1,010 hp dan tork maksima 1,250 Nm!

    Bagi mengekstrak lebih kuasa dari enjin 4.0 liter V8 TFSI dengan dua pengecas turbo berkenaan, pelbagai ubahsuai yang dibuat Wheelsandmore. Sudah tentu, pengecas turbo standard pada enjin tersebut ditingkat taraf dengan penggunaan kipas turbin dan kipas pemampat yang lebih besar bagi menyuap udara yang lebih banyak ke kebuk pembakaran.

    Sistem kemasukan turut diubahsuai dengan manifold serta kit penapis udara F1, manakala sistem ekzos pula ditingkattaraf dengan penggunaan set lengkap baharu yang terdiri dari ekzos Capristo dengan sistem injap dan tiub premuffler, silencer tengah serta downpipe jenis catless. Ubahsuai pada enjin ini disempurnakan dengan talaan semula pada kotak komputer enjin.

    Audi RS6 Avant Wheelsandmore – 1,010 hp/1,250 Nm!

    Sistem transmisi Audi RS6 Avant ini masih mengekalkan kotak gear lapan-kelajuan tiptronic automatik, dan kuasa dari enjin akan diagihkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda Audi Quattro.

    Bagi membolehkan kereta ini masih boleh menangani kuasa yang meningkat secara mendadak ini, Wheelsandmore turut menawarkan tingkat taraf sistem suspensi. Kelengkapan yang boleh dipilih adalah set suspensi boleh laras sepenuhnya Variant 4 yang dihasilkan oleh KW Suspension.

    Wheelsandmore tidak menawarkan sebarang ubahsuai kosmetik untuk bahagian luaran dan dalaman Audi RS6 Avant ini. Namun mereka tetap menyajikan pelbagai set rim ‘3-piece’ dengan diameter 22 inci dan lebar 10.5-inci di hadapan/ 11.5-inci di belakang. Pembeli turut boleh mendapatkan set rim ini sekali dengan tayar Continental Sport Contact 6 bersama pilihan saiz 285/30/R22 atau 295/30/R22 untuk hadapan dan 335/25/R22 untuk belakang.

    Untuk pakej prestasi, kit Stage V ini dijual pada harga 41,933 euro (RM196k). Wheelsandmore turut menawarkan pakej-pakej peningkatan kuasa yang lebih ‘mampu milik’ bermula dari Stage 1 yang mampu menjana 710 hp/920 Nm dengan harga 2,100 euro (RM9.8k). Untuk rim pula, ia dijual pada harga bermula 2,435 euro (RM11.4k) sehingga set lengkap yang berharga 12,597 euro (RM59k).

     
     
  • Volkswagen Golf Mk8 GTI TCR dilihat di Nürburgring

    Volkswagen Golf Mk8 GTI TCR dilihat di Nürburgring

    Tak berapa lama sebelum ini, Volkswagen Golf GTI Mk8 telah didedahkan. Sekarang, muncul pula edisi istimewa bagi model hot hatch berkenaan. Spyshot dari litar Nürburgring ini memperlihatkan imej-imej versi TCR, yang mula diperkenalkan pada model Mk7.5 sebelum ini dan ternyata mendapat sambutan untuk diteruskan lagi.

    Sekali pandang, ia mungkin nampak sama sahaja dengan GTI standard, tetapi ada beberapa perincian yang diubah dari sudut luarannya. Antaranya, bahagian bawah bampar depan yang digunakan tampil lebih agresif dengan bukaan udara penuh. Pada versi ini, tiada lagi lampu kabus bentuk X GTI.

    Perbezaan lain yang agak ketara adalah penggunaan spoiler besar di belakang, serta bukaan pada bampar yang hadir dengan rekaan semacam diffuser yang mengelilingi dua muncung ekzos yang ada. Model yang masih dalam pembangunan ini menggunakan rim 19-inci Pretoria aloi yang sama dari Golf Mk7.5 yang menyorokkan brek lebih besar yang digunakannya.

    Volkswagen Golf Mk8 GTI TCR dilihat di Nürburgring

    Bagi unit enjin, versi TCR ini kemungkinan besar akan menggunakan sistem janaan kuasa yang sama seperti model sebelumnya; unit 2.0 liter TSI turbocas dari GTI yang dipertingkatkan prestasinya. Sumber awal mencadangkan paling kurang ada pertambahan 10 PS kuasa menjadikannya 300 PS keseluruhan. Ini kuasa yang sudah memadai untuk menyaingi angka misalnya dari Honda Civic Type R. Bagi transmisi, sama seperti sebelum ini, ia akan menggunakan kotak gear DSG klac berkembar tujuh-kelajuan.

    Sama ada nama TCR ini akan terus dikekalkan masih belum diketahui, memandangkan Volkswagen telah menamatkan penyertaannya di dalam World Touring Car Cup (WTCR), yang menggunakan jentra lumba TCR berkenaan sebelum ini.

     
     
  • MOT akan bentangkan cadangan isu kenaikan tambang pengangkutan awam – Ismail Sabri

    MOT akan bentangkan cadangan isu kenaikan tambang pengangkutan awam – Ismail Sabri

    Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan Kementerian Pengangkutan (MOT) akan membentangkan cadangan berhubung isu kenaikan tambang pengangkutan awam susulan pengurangan bilangan penumpang kepada separuh daripada biasa dalam mematuhi peraturan penjarakan sosial.

    Ini disebabkan pihaknya mendapat rungutan daripada pengusaha pengangkutan awam susulan peraturan itu dan sedar bahawa ia sedikit sebanyak turut menyebabkan kenaikan harga tambang.

    “Jadi MOT akan lihat perkara ini supaya tidak ada kerugian pada pengusaha-pengusaha pengangkutan awam. MOT akan membentangkan cadangan mereka di Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri nanti,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya aduan sesetengah pihak mengenai tambang pengangkutan yang agak tinggi dengan alasan diberikan pengusaha kerana terpaksa mengurangkan kapasiti penumpang.

    Pada 4 Mei lalu, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), pengendali rel urban dan bas henti-henti di Lembah Klang dan negeri-negeri lain serta perkhidmatan Rapid Ferry, memaklumkan pihaknya terpaksa mengehadkan jumlah penumpang untuk setiap satu perjalanan. Di mana untuk perkhidmatan tren, hanya menampung 50% penumpang daripada kapasiti penuh dan 30% untuk bas.

     
     
  • Volkswagen mula guna logo dan imej baru di M’sia

    Volkswagen mula guna logo dan imej baru di M’sia

    Selain dari mengumumkan Passat R-Line akan tiba ke pasaran tempatan tidak lama lagi, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) turut memperkenalkan imej jenama “Volkswagen Baharu” di Malaysia. Imej tersebut, termasuk logo baharu Volkswagen berkenaan telah pun diperkenalkan buat pertama kali untuk peringkat global pada IAA Motor Show di Frankfurt tahun lalu, dan ia kini mula digunakan di seluruh dunia secara berperingkat.

    Oleh itu, kesemua 21 pengedar Volkswagen di seluruh Malaysia akan mula menggunakan logo baharu ini dalam tempoh berberapa bulan akan datang. Penukaran imej ini turut akan melibatkan berberapa pengubahsuaian kecil pada fasiliti-fasiliti tersebut.

    Perubahan ini turut akan melibatkan laman web rasmi Volkswagen Malaysia. Ia akan menampilkan fungsi-fungsi yang lebih ringkas dan mudah, serta akan disesuaikan tidak kira untuk penggunaan desktop atau peranti-peranti mudah alih. Pengguna boleh menggunakan laman berkenaan bagi mendapatkan maklumat menyeluruh terhadap model yang mereka minat, promosi jualan dan selepas jualan, temu janji pandu uji, informasi pengedar serta banyak lagi.

    Logo baharu Volkswagen ini menampilkan rekaan dua-dimensi yang lebih rata dan lebih ringkas dari sebelumnya. Menurut pengeluar dari Jerman berkenaan, logo baharu ini lebih fleksible untuk digunakan pada platform digital dengan padanan pelbagai warna latar.

    Penjenamaan semula ini telah diterajui oleh Volkswagen bersama pasukan yang terdiri dari 19 pasukan dalaman dan 17 agensi luar dan bakal dilengkapkan di seluruh dunia dalam masa sembilan bulan, serta boleh disifatkan sebagai kempen global yang sangat pantas; bayangkan, Volkswagen kini terlibat dalam 171 pasaran diseluruh dunia dengan lebih 10,000 pengedar.

    Logo ini akan mula digunakan pada model-model baharu seperti VW Golf Mk8 dan juga hatchback elektrik sepenuhnya ID.3. Di Malaysia, penggunaan logo baharu ini sudah tentu akan dimulakan menerusi pengenalan Golf Mk8, yang dijangka akan dilancarkan di sini pada tahun hadapan.

    Menurut pengarah urusan VPCM, Erik Winter, prinsipal teras Volkswagen iaitu pendekatan “people first, new attitude and digital first” akan membantu membentuk halatuju baharu jenama mereka, dan akan mewujudkan pengalaman Volkswagen yang baharu untuk pelanggan mereka di seluruh dunia.

    Anda tentu biasa dengar “Volkswagen, Das Auto” pada iklan-iklan VW bukan? Suara yang ‘tegas’ berkenaan akan ditukar dari lelaki kepada wanita, sebagai peneraju untuk perubahan tersebut. Bukan setakat motto berkenaan, malah segala ‘suara pemasaran’ selepas ini akan ditukar kepada suara wanita yang memberikan rasa yang lebih ceria, selesa dan yakin sebagai suara dari Volkswagen.

     
     
  • Tawaran Ramadan Mitsubishi – rebat RM2k untuk Outlander, Triton; RM8,888 tambahan trade-in ASX

    Tawaran Ramadan Mitsubishi – rebat RM2k untuk Outlander, Triton; RM8,888 tambahan <em>trade-in</em> ASX

    Mitsubishi Motors Malaysia kini menawarkan rebat tunai dan kadar faedah rendah bagi model-model terpilih di sepanjang bulan ini melalui promosi Ganjaran Ramadan yang berlangsung dari 8 hingga 31 Mei 2020.

    Mitsubishi Outlander 2.4L dijual pada harga bermula dari RM152,888, dan ditawarkan dengan servis percuma selama dua tahun. Outlander 2.0L pula yang bermula RM137,888 turut ditawarkan dengan servis percuma dua tahun, dengan tambahan potongan harga sebanyak RM2,000.

    Bagi barisan trak pikap pula, Triton Adventure X (dari RM137,900) dan VGT AT Premium (dari RM121,000) ditawarkan dengan potongan harga sehingga RM6,000, sementara Triton VGT MT Premium diberikan potongan harga sehingga RM8,000.

    Pembeli yang memilih satu daripada tiga model berkenaan boleh memilih untuk menerima rebat tunai sehingga RM6,000, atau kadar faedah 0.88% melalui pembiayaan dari Maybank atau Public Bank. Bagi pelanggan yang memang telah menjadi pemilik kenderaan Mitsubishi sebelum itu akan mendapat rebat RM3,000 tambahan jika memilih dari barisan model ini. Bagi pembeli yang kini menjadi pemilik mana-mana trak pikap berlainan jenama, mereka akan menerima rebat RM2,000.

    Tawaran Ramadan Mitsubishi – rebat RM2k untuk Outlander, Triton; RM8,888 tambahan <em>trade-in</em> ASX

    Varian Triton yang lain turut diberi diskaun. Triton VGT AT (dari RM105,990) menerima potongan RM8,000; Triton VGT MT (dari RM100,200) diberi potongan harga sehingga RM6,000 dan Triton Quest (dari RM79,890) diberi diskaun RM4,000.

    Bagi model ASX, ia ditawarkan dengan tambahan RM8,888 bagi trade-in, serta lima tahun servis percuma dan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan. Ini sah untuk ASX 4WD (dari RM133,336) dan ASX 2WD (dari RM118,866).

    Harga yang disenaraikan di sini adalah harga atas jalan tidak termasuk insurans bagi pemilik persendirian di Semenanjung, dan promosi ini sah selagi stok masih ada. Bagi model ASX, promosi ini tidak ditawarkan di kawasan bebas cukai.

     
     
  • Honda M’sia memperkenalkan kempen Kita Bersama Deals – Ganjaran hingga RM10,000 berakhir 31 Mei

    Honda M’sia memperkenalkan kempen <em>Kita Bersama Deals</em> – Ganjaran hingga RM10,000 berakhir 31 Mei

    Sempena dengan bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri, Honda Malaysia telah mengumumkan kempen “Kita Bersama Deals” sedang berlangsung sehingga 31 Mei 2020. Dengan kempen ini, para pelanggan berpeluang menikmati tawaran menarik termasuklah rebat, bonus tambahan dan cenderahati eksklusif bagi pembelian mana-mana model Honda (tahun buatan 2019 dan 2020).

    Bermula dengan model Honda buatan 2020, model Jazz dan Odyssey ditawarkan dengan rebat RM1,500 dan RM1,000 dengan jumlah keseluruhan RM2,500. Sementara itu, bagi HR-V pula, rebat dan bonus ditawarkan sebanyak RM2,000.

    Untuk yang berminat mendapatkan CR-V dan City, dua model tersebut didatangkan dengan rebat RM2,000 dan bonus tambahan sebanyak RM1,000, dengan jumlah keseluruhan RM3,000. Tawaran tersebut sah untuk varian yang disebut dan pengeluaran tahun 2020, kecuali versi hibrid bagi Jazz, City dan HR-V.

    Klik untuk besarkan

    Jika anda mahukan tawaran yang lebih hebat, bolehlah memilih unit buatan 2019. Bagi HR-V Hybrid ditawarkan dengan ganjaran sehingga RM10,000 (rebat RM9,000 dan bonus RM1,000), sementara varian bukan hibrid pula bakal menerima ganjaran bernilai RM6,000 (rebat RM5,000 dan bonus RM1,000).

    Manakala bagi Jazz pula, varian hibrid diberikan ganjaran sebanyak RM9,000 (rebat RM8,000 dan bonus RM1,000), sementara lain-lain varian pula menerima ganjaran sebanyak RM7,000 (rebat RM6,000 dan bonus RM1,000).

    Pembelian City Hybrid juga menerima ganjaran yang sama dengan Jazz Hybrid, namun versi bukan hibrid akan mendapat rebat tambahan sebanyak RM1,000, kecuali untuk model asas 1.5 S. Yang terakhir, varian CR-V 1.5TC 4WD dan 1.5TC Premium 2WD akan menerima ganjaran sebanyak RM6,500 (rebat RM5,500 dan bonus RM1,000).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024