Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Sony Vision-S bakal diuji atas jalan di Jepun tahun ini

    Sony Vision-S bakal diuji atas jalan di Jepun tahun ini

    Awal tahun ini, Sony telah membawa sebuah kereta konsep yang dipanggil sebagai Vision-S ke pameran Consumer Electronics Show di Las Vegas. Kini, kereta tersebut kembali ke Jepun untuk kerja-kerja pembangunan seterusnya.

    “Prototaip Vision-S ini tiba di Tokyo untuk membangunkan lagi teknologi pengesanan dan audio. Ia juga sedang menjalani pembangunan sebagai persediaan untuk ujian atas jalan awam dalam tahun ini,” kata Sony. Ini nampak seperti satu langkah ke hadapan berbanding tujuan asal Sony menghasilkan kereta ini, iaitu cuma sebagai platform untuk menunjukkan teknologi keselamatan, keselesaan, hiburan dan kemampuan beradaptasi terkini.

    Penghasilan Vision-S melibatkan kerjasama dengan pelbagai pihak dan antara yang utama adalah Magna Steyr, iaitu syarikat yang juga terlibat dalam pembangunan Toyota Supra dan BMW Z4. Selain itu, turut terlibat sama adalah Bosch, Continental, Nvidia dan Qualcomm.

    Secara keseluruhannya terdapat 32 pengesan (sensor) gred automotif di luar dan dalam kenderaan ini. Daripada jumlah itu, 12 adalah kamera, 17 pengesan radar dan ultrasonik manakala tiga lagi adalah pengesan lidar solid-state. Melalui semua pengesan ini, Vision-S boleh membaca situasi trafik sekeliling dan memberikan fungsi pemanduan yang bersamaan dengan bantuan Level 2. Apabila perisian sistemnya dinaik taraf, ia boleh memberikan fungsi pemanduan autonomous Level 4 ke atas.

    Berat Vision-S adalah 2,350 kg dan ia digerakkan oleh dua motor elektrik yang mampu menghasilkan 400 kW (536 hp) secara keseluruhan. Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 4.8 saat manakala laju maksimum pula adalah 240 km/j. Kelengkapan lain padanya adalah seperti suspensi udara dengan tetapan double wishbone di depan dan belakang, tayar 245/40 di hadapan dan 275/35 di belakang, rim 21 inci serta brek Brembo.

     
     
  • Lamborghini Essenza SCV12 – hypercar kegunaan litar sahaja, 40 unit, enjin V12 6.5L berkuasa 830 PS

    Lamborghini Essenza SCV12 – hypercar kegunaan litar sahaja, 40 unit, enjin V12 6.5L berkuasa 830 PS

    Teaser sudah dikeluarkan sejak tahun lepas lagi, dan kini akhirnya Lamborghini Essenza SCV12 didedahkan secara rasmi. Hanya 40 unit sahaja yang akan dibuat dan Lamborghini memanggilnya sebagai satu “keturunan langsung bagi model seperti Miura Jota dan Diablo GTR.”

    Hypercar terbaru Lamborghini ini menggunakan enjin V12 NA yang paling berkuasa pernah dihasilkan oleh syarikat itu, dengan saiz 6.5 liter dan kuasa sehingga 830 PS (819 hp) – mengalahkan Sian FKP hibrid (808 hp). Menurut Lamborghini, antara penyumbang kepada kuasa yang tinggi ini adalah kesan ram-air yang diperolehi pada kelajuan tinggi melalui bonetnya.

    Ada dua bukaan udara pada bonet ini, serta lekuk yang menghalakan angin kepada skup atas bumbung, dan ia membantu menyampaikan tekanan angin dinamik kepada salur intake, seterusnya meningkatkan kuasa. Bahagian lain yang turut memberi kesan adalah ekzos khas rekaan Capristo yang dapat mengurangkan back pressure sekaligus meningkatkan prestasinya.

    Kuasa daripada enjin disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear sequential enam kelajuan, yang juga bertindak sebagai penyokong struktur kepada casis gentian karbon kereta ini. Suspensi jenis pushrod dipasang terus pada casis untuk mengurangkan berat sementara nisbah kuasa kepada berat pula adalah 1.66 hp/kg. Rim bersaiz 19 inci di hadapan, 20 inci di belakang (binaan magnesium) dan dibalut dengan tayar slick Pirelli.

    Untuk ciri aerodinamik, jurutera Lamborghini Squadra Corse yang membangunkan kereta ini dapat menghasilkan daya tolakan ke bawah (downforce) sehingga 1,200 kg pada kelajuan 250 km/j dan jumlah ini adalah lebih daripada sebuah kereta lumba GT3. Selain rekaan bonet khas, kereta ini juga mempunyai splitter hadapan, sirip menegak di tepi dan sayap belakang yang boleh dilaras.

    Satu lagi yang menarik, struktur binaan badan SCV12 ini hanya melibatkan tiga elemen bagi memudahkan ia dibuka dan ditukar jika perlu waktu berhenti di pit perlumbaan. Empat grafik badan ditawarkan semasa pelancaran iaitu Verde Silvans, Grigio Linx, Nero Aldebaran Gloss dan Arancio California.

    Lamborghini Essenza SCV12 – hypercar kegunaan litar sahaja, 40 unit, enjin V12 6.5L berkuasa 830 PS

    Masuk ke bahagian dalam anda akan menyaksikan papan pemuka yang dibuat daripada gentian karbon dan banyak elemen rekaan berbentuk Y yang nampak seperti sayap jet pejuang. Stereng mendapat inspirasi daripada jentera F1 dengan pelbagai butang kawalan dan informasi sementara tempat duduk pula menggunakan unit OMP yang mendapat kelulusan FIA.

    Disebabkan SCV12 adalah sebuah kereta yang hanya boleh dibawa dalam litar, pembeli juga akan diberikan program khas di beberapa litar terkenal dunia bersama pasukan sokongan daripada Lamborghini sendiri. Selain daripada itu, setiap kereta juga datang dengan servis simpanan di gudang binaan khas untuk kelab SCV12 di Sant’Agata Bolognese dan pemilik boleh melihat kenderaan mereka 24 jam melalui aplikasi kamera yang disediakan.

    Tidak cukup dengan itu, jika pemilik mahu merasakan pengalaman sebenar menjadi pelumba, mereka juga boleh menyertai Lamborghini Squadra Corse Drivers Lab by Tecnobody, iaitu program latihan atletik sama seperti yang dilakukan oleh pelumba Lamborghini.

     
     
  • Rusia cadang pasang alat kesan mabuk dalam kereta

    Rusia cadang pasang alat kesan mabuk dalam kereta

    Masalah memandu dalam keadaan mabuk ini bukanlah jadi masalah di Malaysia sahaja. Undang-undang yang lebih ketat, dengan hukuman berat sentiasa menjadi antara jalan yang dipertimbangkan untuk mengekang masalah tersebut. Tetapi, di Rusia ketika ini, ada cadangan lain yang mungkin lebih menarik dan berkesan untuk mengelak kecelakaan akibat pemanduan mabuk, dan bukan sebagai hukuman selepas malapetaka berlaku.

    Rusia sedang mempertimbangkan untuk menghalang pemandu mabuk daripada memegang stereng dan memandu, tetapi bagaimana? Dengan cara memperkenalkan alat pengesan/hidu alkohol pada pemandu yang siap dibina dalam kereta. Dengan cara ini, jika sistem pada kereta merasakan pemandu berada di bawah pengaruh alkohol, mereka tidak akan “dibenarkan” memandu. Negara itu juga mempertimbangkan agar semua kereta yang keluar dari kilang siap dipasangkan dengan alat berkenaan, lapor Reuters.

    Menurut akhbar Komersant di Rusia, menteri industri negara itu turut dilaporkan sedang merangka rancangan itu menjelang hujung 2020 ini untuk melaksanakan penggunaan kunci dalaman pada kenderaan, yang memerlukan pemandu untuk lulus ujian alkohol terlebih dahulu sebelum enjin kenderaan boleh dihidupkan.

    Memperkenalkan kunci dalaman untuk mengesan alkohol itu tentunya melibatkan kos tambahan kepada pengeluar kenderaan, dan cadangan itu mungkin akan dibantah oleh kebanyakan syarikat memandangkan keadaan ekonomi dan pasaran ketika ini yang kurang memberangsangkan akibat penularan wabak Covid-19.

    Dengan Rusia sebagai negara yang ramai warganya merupakan peminum dan pemabuk tegar, kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan pengambilan minuman beralkohol menurun sekitar 43% dari tahun 2003 hingga 2016, disebabkan oleh cukai alkohol yang tinggi, pembanterasan minuman memabukkan buatan sendiri dan harga minuman vodka yang lebih tinggi.

     
     
  • Mercedes-AMG GT 2021 – model asas dipertingkat, kuasa 530 PS, lebih banyak kelengkapan dan pilihan

    Mercedes-AMG GT 2021 – model asas dipertingkat, kuasa 530 PS, lebih banyak kelengkapan dan pilihan

    Mercedes-AMG telah melancarkan model GT Coupe dan Roadster 2021, yang diberikan peningkatan kuasa, kelengkapan serta pilihan tambahan. Model asas ini sekarang datang terus dengan kuasa enjin 530 PS, iaitu 54 PS lebih tinggi berbanding sebelum ini dan menyaksikan versi GT S Coupe dan Roadster dikeluarkan daripada senarai.

    Kelengkapan standard lain yang diberi pada GT 2021 adalah suspensi AMG Ride Control dengan penyerap adaptif, pengunci differential elektronik pada gandar belakang, sistem brek komposit prestasi tinggi AMG dengan angkup berwarna merah, bateri pemula lithium ion serta mod pemanduan “Race”.

    Pakej AMG Dynamic Plus pula ditawarkan sebagai pilihan tambahan, bersama active rear axle steering dan Night Edition. Pek Night Edition ini memberikan angkup brek warna hitam, gril hadapan krom gelap AMG, lampu utama yang digelapkan serta rim 19 inci di hadapan dan 20 di belakang, yang berwarna hitam matte.

    Barangan tambahan lain adalah termasuk bumbung gentian karbon dengan kemasan hitam pada model Coupe, sementara model Roadster mendapat bumbung fabrik berwarna hitam. Pilihan warna luar baru adalah hitam metalik Obsidian, kelabu metalik Selenite dan kelabu Magno Designo Graphite.

    Untuk bahagian kabin, pakej Night Edition juga memberikan tempat duduk AMG Performance yang dibalut kulit Nappa, pakej AMG Interior Night, stereng AMG yang dibalut gentian mikro Dinamica, penukar gear di stereng berwarna hitam dan kemasan hitam berkilat di beberapa bahagian lain. Anda juga boleh memilih kemasan gentian karbon.

    Di Eropah, GT yang diberikan pembaharuan bagi model tahun 2021 ini dijual pada harga 119,079.80 euro (RM595k) untuk versi Coupe dan 130,679.80 euro (RM653k) untuk versi Roadster. Ia akan berada di pusat pameran di sana pada bulan November 2020.

     
     
  • Proton perluas rangkaian pengurusan kereta terpakai kepada 36 cawangan, tingkatkan nilai jualan semula

    Proton perluas rangkaian pengurusan kereta terpakai kepada 36 cawangan, tingkatkan nilai jualan semula

    Nilai jualan semula kenderaan memang memainkan peranan penting yang turut menyumbang kepada keputusan pembelian dalam kalangan kita. Untuk itu, Proton turut mencari jalan untuk mengekalkan nilai kenderaan keluarannya dalam pasaran menerusi rangkaian “trade-in” Used Car Management (UCM).

    Proton telah menubuhkan bahagian baru tahun lalu untuk menyokong penjualan kereta baru keluarannya dengan cara membantu pelanggan untuk melupuskan kenderaan terpakai mereka. Bahagian ini bermula sebagai projek percubaan melibatkan lapan cawangan, dengan tumpuan diberikan terhadap mengenalpasti prosedur operasi dan melatih penilai kenderaan terpakai yang akan menguruskan setiap cawangannya. Tahun ini, syarikat itu akan memperluaskan rangkaian berkenaan kepada 36 lagi pusat 3S dan 4S di seluruh negara.

    Sasaran ketika ini ialah untuk jualan gantian, dengan pelanggan melakukan “trade in” kereta Proton lama bagi model baru, dan dijangka akan menyumbang sebanyak 10% daripada jumlah jualan di cawangan terlibat. Proton juga telah mewujudkan program seperti Proton Xchange, direka untuk menggalakkan pemilik semasa untuk menaik taraf, bagi membantunya mencapai sasaran berkenaan.

    Proton perluas rangkaian pengurusan kereta terpakai kepada 36 cawangan, tingkatkan nilai jualan semula

    Kenderaan terpakai ini akan dijual di bawah Proton Certified Pre-Owned (PCPO), yang turut melibatkan pemeriksaan 201-poin dan jaminan bahawa semua kereta terbabit tidak melibatkan kerosakan struktur akibat kemalangan atau banjir. Kenderaan tersebut juga akan menerima lanjutan jaminan setahun bagi enjin dan transmisi dan sah untuk menerima sekali servis percuma (minyak enjin dan penapis minyak sahaja) sehingga enam bulan selepas pendaftaran.

    “Di masa akan datang, UCM akan memperkenalkan portal khas bagi kenderaan terpakai Proton dengan platform jualan online. Pelanggan yang berminat boleh meneliti stok yang ada, serta boleh juga mendapatkan penilaian anggaran bagi kereta semasa mereka,” jelas Ketua UCM, Brian Cheah.

    “Kami memulakan program UCM pada Oktober 2019, dan ia telah membantu penasihat jualan kami untuk melengkapkan jualan mereka kerana kami menawarkan nilai “trade in” yang lebih kompetitif bagi kereta terpakai Proton,” jelas Pengarah Urusan LHM One Stop Car Service Center, Ryan Lai.

     
     
  • Rang Undang-Undang Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dibentangkan – hukuman lebih berat

    Rang Undang-Undang Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dibentangkan – hukuman lebih berat

    Menteri pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong hari ini telah menyiarkan di dalam media sosial bahawa beliau telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 buat kali pertama dan sesi taklimat berkenaannya turut diperdengarkan kepada ahli Dewan Rakyat.

    Pindaan ini mengenakan hukuman yang lebih berat khususnya dalam Seksyen 41 hingga 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan melibatkan antaranya memandu secara merbahaya, memandu secara melulu, memandu secara tidak cermat dan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

    Dalam seksyen 41 Akta tersebut, hukuman denda dan tempoh penjara bagi mereka yang didapati bersalah menyebabkan kematian kerana memandu melulu atau merbahaya ditambah menjadi lebih tinggi. Hukuman sekarang bagi kesalahan pertama adalah penjara antara dua hingga 10 tahun atau/dan denda antara RM5,000 hingga 20,000.

    Rang Undang-Undang Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dibentangkan – hukuman lebih berat

    Melalui pindaan yang dibentangkan ini, hukuman bagi kesalahan pertama ditingkatkan kepada penjara lima hingga 10 tahun atau/dan denda antara RM20,000 hingga RM5,000. Kesalahan berikutnya pula ditingkatkan kepada penjara 10 hingga 15 tahun atau/dan denda RM50,000 hingga RM100,000.

    Seksyen 42 yang melibatkan memandu secara melulu dan membahayakan pula tidak melibatkan banyak pindaan, kecuali tempoh hilang kelayakan lesen lebih lima tahun bagi kesalahan pertama (sekarang ini dua tahun). Tempoh penjara dan denda masih lagi sama iaitu bawah lima tahun atau/dan sehingga RM15,000 bagi kesalahan pertama.

    Bagi kesalahan memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa yang disenaraikan bawah Seksyen 43 pula, jumlah denda sahaja yang ditingkatkan iaitu antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi kesalahan pertama dan antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi kesalahan berikutnya. Tempoh penjara adalah kurang 12 bulan dan pesalah boleh hilang kelayakan lesen bagi kesalahan berulang.

    Rang Undang-Undang Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dibentangkan – hukuman lebih berat

    Kesalahan di bawah Seksyen 44 iaitu memandu semasa di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah menjadi topik utama dalam pindaan Akta ini. Jika didapati bersalah di bawah seksyen ini dan menyebabkan kematian, tempoh penjara ditingkatkan sehingga 15 tahun dan denda sehingga RM100,000 buat kesalahan pertama, dan sehingga 20 tahun dan RM150,000 bagi kesalahan berikutnya. Lesen juga boleh ditarik sehingga 20 tahun.

    Jika menyebabkan kecederaan di bawah seksyen ini pula, hukuman yang dimasukkan dalam pindaan ini adalah penjara tujuh hingga 10 tahun dan denda antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi kesalahan pertama, dan penjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya. Lesen pula boleh ditarik sehingga 10 tahun.

    Meskipun tidak terlibat dalam kemalangan, jika ditangkap menjaga kenderaan motor semasa di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah, iaitu termasuk dalam Seksyen 45, hukumannya ditingkatkan kepada denda RM1,000 hingga RM5,000 dan penjara tidak lebih dua tahun untuk kesalahan pertama. Untuk kesalahan berikutnya, denda ditingkatkan kepada RM5,000 hingga RM10,000, dan penjara tidak melebihi lima tahun.

    Rang Undang-Undang Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dibentangkan – hukuman lebih berat

    Perkara lain yang dibentangkan dalam parlimen berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 ini adalah had alkohol yang ditetapkan apabila diuji dengan alat pernafasan. Tahap sekarang adalah 35 mikrogram dalam 100 milimeter nafas, 80 miligram dalam 10 milimeter darah atau 107 miligram dalam 100 milimeter air kencing. Pindaan yang dibuat pula menjadikan tahapnya lebih rendah iaitu 22 mikrogram dalam 100 milimeter nafas, 50 miligram dalam 10 milimeter darah atau 67 miligram dalam 100 milimeter air kencing.

    Kementerian ini juga mendedahkan hasil kajian yang dilakukan berkenaan memandu di bawah pengaruh alkohol. Daripada 345,021 responder yang terlibat, 98% daripada mereka mengatakan hukuman sekarang terlalu ringan dan kerajaan sepatutnya tidak berkompromi dengan kesalahan ini dan 94% daripada mereka berkata semua hukuman berkenaannya patut ditingkatkan.

     
     
  • AD: BMW Motorrad R 18 First Edition akan tiba di Malaysia Oktober ini – terhad hanya 18 unit, buat tempahan anda sekarang!

    AD: BMW Motorrad R 18 First Edition akan tiba di Malaysia Oktober ini – terhad hanya 18 unit, buat tempahan anda sekarang!

    Motosikal keluaran BMW Motorrad sememangnya terkenal dengan inovasi yang membawa kepada rekaan dan penggayaan unik seperti suspensi dan tetapan enjin. Contoh terbaik yang boleh ditunjukkan adalah penggunaan enjin boxer atau yang mempunyai silinder mendatar.

    Dalam segmen motosikal cruiser yang menitik beratkan aspek warisan, BMW Motorrad telah memperkenalkan model terbaru R 18, sebuah cruiser rendah berbadan seperti bobber dan menggunakan kapasiti enjin paling besar pernah dihasilkan oleh pengeluar Jerman itu – 1,802 cc.

    Enjin boxer dua silinder yang digunakan pada R 18 mampu menghasilkan 91 hp pada 4,750 rpm dan 152 Nm pada 3,000 rpm. Malah menjadikannya bersesuaian dengan karekter cruiser, 150 Nm tork sudah boleh dinikmati bermula 2,000 rpm hingga 4,000 rpm. Sistem penyampaian kuasa kepada roda belakang yang menggunakan syaf terbuka mendapat inspirasi daripada model BMW R 5 tahun 1936 dan ia juga dilengkapi dengan fork teleskopik serta monoshock belakang yang tersembunyi.

    AD: BMW Motorrad R 18 First Edition akan tiba di Malaysia Oktober ini – terhad hanya 18 unit, buat tempahan anda sekarang!

    Penggayaan berinspirasikan warisan pada R 18 digabungkan bersama inovasi dan teknologi sistem elektronik moden tambahan seperti Hill Start Assist, Automatic Stability Control dan Engine Drag Torque Control yang dapat membantu mengurangkan lantunan roda belakang apabila menukar kepada gear rendah sekaligus memberikan lebih stabiliti. Semua lampu pada R 18 menggunakan teknologi LED dan ia juga boleh dinaik taraf dengan lampu membelok adaptif.

    Malaysia bakal menerima R 18 versi First Edition, di mana ia datang dengan cat hitam klasik berserta pinstripe putih, kemasan krom, tanda pada tempat duduk serta lencana ‘First Edition’ pada bahagian tepi. Ia boleh menjadi milik anda pada harga cadangan RM156,500.

    Model istimewa ini akan tiba pada bulan Oktober 2020 dan hanya akan terdapat 18 unit sahaja untuk pasaran Malaysia, jadi anda perlu pantas dan lakukan tempahan R 18 atas talian. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang cruiser R 18, anda boleh klik di sini, atau untuk model-model lain BMW Motorrad, anda boleh lawat laman ini.

    GALERI: BMW R18

     
     
  • Moratorium dilanjut 3 bulan bagi individu hilang kerja, ansuran bulanan dikurang untuk gaji yang dipotong

    Moratorium dilanjut 3 bulan bagi individu hilang kerja, ansuran bulanan dikurang untuk gaji yang dipotong

    Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan lanjutan moratorium tiga bulan bagi individu yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan, yang sepatutnya diberikan selama enam bulan dan tamat pada 30 September ini.

    Tambah beliau lagi, bagi individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun ini dan masih belum mendapat pekerjaan baharu, mereka akan menikmati moratorium lanjutan bersasar untuk tempoh tiga bulan. Di mana selepas tiga bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu masing-masing.

    Manakala bagi mereka yang masih memiliki pekerjaan tetapi gaji dipotong akibat COVID-19, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan mengikut peratusan gaji yang dipotong – sebagai contoh, jika gaji dipotong sebanyak 20%, maka pengurangan 20% daripada jumlah ansuran bulanan akan dibenarkan. Ini adalah untuk pembiayaan perumahan dan peribadi sahaja, dan ia akan berlangsung selama sekurang-kurangnya enam bulan. Lanjutan mungkin akan diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu berkenaan.

    Di samping itu, bank-bank telah memberikan komitmen untuk membantu semua peminjam individu atau PKS, baik peniaga, penjaja atau mereka yang bekerja sendiri yang turut terkesan akibat pandemik itu, ujarnya.

    Menurut Perdana Menteri lagi, bergantung kepada situasi peminjam, bantuan yang ditawarkan termasuk membayar faedah sahaja untuk suatu jangka masa yang ditetapkan atau memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan pembayaran balik bulanan atau memberi pelepasan lain sehingga peminjam mencapai kedudukan kewangan yang lebih stabil.

    Bagi pinjaman sewa beli pula, bank akan turut menawarkan pilihan penjadualan ansuran yang bersesuaian tertakluk kepada Akta Sewa Beli, contohnya memanjangkan tempoh bayaran balik pada kadar ansuran bulanan lebih rendah. Justeru, peminjam yang layak boleh menghubungi bank masing-masing untuk membuat permohonan mulai 7 Ogos 2020

     
     
  • PLUS keluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan untuk pengguna lebuhraya sempena Aidiladha

    PLUS keluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan untuk pengguna lebuhraya sempena Aidiladha

    Sempena dengan cuti panjang hujung minggu ini bagi menyambut Hari Raya Aidiladha, PLUS Malaysia Bhd (PLUS) turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk saranan waktu yang sesuai bagi para penggunanya memulakan perjalanan. di lebuh raya.

    PLUS menyarankan pengguna lebuh raya dari Kuala Lumpur atau Selangor yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak utara dan Johor supaya memasuki lebuh raya lebih awal iaitu sebelum pukul 10 pagi.

    Manakala pengguna yang menuju ke lain-lain negeri pula disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas 2 petang bermula hari ini (29 Julai) sehingga 30 Julai.

    Manakala bagi perjalanan pulang semula ke Lembah Klang, PLUS menyarankan agar pengguna lebuh raya daripada semua negeri memasuki lebuh raya sebelum 9 pagi antara 1 hingga 3 Ogos ini, laporan Bernama.

    Dalam masa yang sama, PLUS juga akan menutup lorong tambah nilai di plaza tol untuk mengurangkan intervensi terus transaksi tunai dalam kalangan kakitangan PLUS dan pelanggan lebuh raya bagi membendung penularan COVID-19.

    PLUS keluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan untuk pengguna lebuhraya sempena Aidiladha

    Oleh itu, pengguna juga diminta memastikan kad Touch ‘n Go mempunyai baki yang mencukupi dengan menambah nilai di stesen minyak, kiosk layan diri (SSK), kedai serbaneka, mesin ATM dan lain-lain lokasi yang disediakan di seluruh negara sebelum memasuki lebuh raya.

    Malahan, pengguna juga disaran menggunakan perkhidmatan prapesanan makanan yang terdapat di 16 kawasan rehat dan rawat (R&R) terpilih bagi menjaga penjarakan sosial dalam kalangan orang ramai di tempat umum.

    PLUS turut menghentikan sementara kerja penyelenggaraan dan naik taraf lebuh raya bermula hari ini hingga 3 Ogos serta menyediakan kren dan trak tunda di 14 lokasi strategik bagi mempercepatkan kerja pengalihan dan penundaan kenderaan rosak atau terlibat dengan kemalangan di lebuh raya.

    Selain itu, PLUS juga menempatkan kira-kira 3,500 kakitangan di dalam ekosistem lebuh raya PLUS untuk membantu semua penggunanya menikmati perjalanan yang lancar pada musim perayaan kali ini.

     
     
  • Kerajaan batalkan Program Subsidi Petrol B40/M40

    Kerajaan batalkan Program Subsidi Petrol B40/M40

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid mengesahkan Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar bagi menggantikan mekanisme subsidi petrol semasa, yang diusulkan oleh kerajaan pada pembentangan Bajet 2019 tidak akan dilaksanakan.

    Menerusi persidangan Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata kementeriannya dan Kementerian Kewangan (MoF) telah bersetuju untuk tidak melaksanakan PSP, laporan Bernama.

    Beliau berkata susulan daripada mesyuarat bersama pada 9 Julai lalu mengenai hala tuju PSP, pihak MoF akan menyediakan Memorandum Jemaah Menteri untuk memuktamadkan pendirian kerajaan berkaitan dengan PSP tersebut.

    Kerajaan batalkan Program Subsidi Petrol B40/M40

    “Sebab-sebab untuk tidak melaksanakan adalah yang pertama, untuk mengelakkan salah faham dalam kalangan penduduk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kerana hanya penduduk Semenanjung Malaysia sahaja yang terlibat dengan subsidi ini.

    “Dan (yang kedua adalah) untuk mengelakkan berlakunya jurang harga petrol yang tinggi di antara Semenanjung Malaysia dan Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PH-Setiu) berhubung perancangan baharu kerajaan untuk subisidi minyak pada masa hadapan.

    Tambahnya, keputusan untuk tidak melaksanakan PSP adalah juga kerana untuk mengelakkan timbulnya keraguan dalam kalangan rakyat berkenaan ketelusan dalam pemberian subsidi itu.

    Pada Oktober 2019, kerajaan Pakatan Harapan telah mengumumkan pelaksanaan PSP dengan sejumlah RM2.4 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan subsidi itu. Peruntukan yang disediakan menerusi Belanjawan 2020 tersebut dijangka akan memanfaatkan sejumlah lapan juta orang daripada kelompok B40 dan M40.

     
     
  • Lamborghini SCV12 – lagi teaser hypercar V12 830 PS

    Lamborghini SCV12 – lagi teaser hypercar V12 830 PS

    Dalam masa beberapa bulan yang lepas, Lamborghini telah mengeluarkan beberapa teaser untuk model baru mereka, yang merupakan sebuah hypercar khas untuk kegunaan litar sahaja. Ia dipanggil sebagai SCV12 dan dikatakan bakal menggunakan enjin NA V12 paling berkuasa pernah dihasilkan oleh syarikat itu.

    Model baru ini akan dibuat oleh cabang sukan permotoran Lamborghini, iaitu Squadra Corse dan enjin V12 6.5 liter itu diberitahu mampu menghasilkan sekitar 830 PS dan dipadankan bersama transmisi sequential enam kelajuan daripada Xtrac, untuk menghantar kuasa kepada roda belakang.

    Demi memastikan kereta masih stabil dengan kuasa seperti itu, ia diterapkan dengan pelbagai ciri rekaan yang mengambil penting kecekapan aerodinamik serta daya tolak ke bawah (downforce), sehingga melebihi sebuah kereta lumba GT3. Bonet hadapannya mempunyai dua corong udara serta lekuk untuk menghalakan udara ke skup atas bumbung.

    Lamborghini SCV12 – lagi teaser hypercar V12 830 PS

    Memandangkan model ini tidak perlu mengambil kira keselamatan pejalan kaki atau peraturan jalan, perekanya dapat meletakkan splitter yang menonjol keluar di hadapan, sirip tajam di bahagian tepi serta sayap belakang besar yang dibuat daripada gentian karbon.

    Kalau anda perhatikan lebih lagi, model ini malah tidak mempunyai lampu seperti kereta biasa dan cuma menggunakan unit berbentuk heksagon yang terletak bucu bawah bampar. Ciri lain padanya adalah seperti casis gentian karbon sepenuhnya, dengan kotak gear menjadi penyokong struktur, serta suspensi belakang jenis pushrod yang dipasang terus untuk mengurangkan berat. Rim adalah unit magnesium 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang, dibalut tayar slick Pirelli.

    Lamborghini masih belum mendedahkan harga model ini, tetapi ia hanya akan dikeluarkan dalam jumlah terhad dan pembeli juga akan menerima program pemanduan khas di beberapa litar terkemuka dunia. Semasa sesi litar itu, mereka akan dibantu oleh jurutera Squadra Corse dan bimbingan pelumba profesional yang juga juara 24 Hours of Le Mans lima kali, Emanuele Pirro.

     
     
  • BMW M5 LCI F90 – pilihan aksesori M Performance

    BMW M5 LCI F90 – pilihan aksesori M Performance

    Selepas BMW M5 facelift (atau LCI) F90 dilancarkan, kini pengeluar dari Jerman itu memperkenalkan pula pilihan aksesori M Performance Parts yang boleh dibeli oleh pelanggan. Ada di antara produk baru ini turut ditawarkan untuk model 5 Series G30 biasa.

    Untuk bahagian luar, 5 Series, M5 dan M5 Competition boleh dipasang dengan splitter serta kemasan di bahagian bucu bawah bampar hadapan, gril baru, kemasan Air Breather, pelindung cermin sisi serta sirip tepi yang kesemuanya dibuat daripada gentian karbon.

    Pada bahagian belakang, pilihan yang diberi adalah termasuk kemasan hitam berkilat pada bampar dan dua jenis diffuser iaitu sama ada gentian karbon atau hitam matte. BMW juga menawarkan dua jenis muncung ekzos – gentian karbon atau krom – bergantung kepada model yang dipilih, serta penutup tempat mengisi minyak gentian karbon.

    Sekiranya itu masih tidak mencukupi, 5 Series sedan boleh dipasang dengan spoiler kecil atas but yang ditawarkan dengan jenis gentian karbon atau hitam matte. Mereka yang mahukan sesuatu lebih menonjol boleh memilih spoiler versi Pro.

    BMW memberitahu sesetengah komponen ini, dan juga yang lain di dalam katalognya mampu memberi manfaat tertentu kerana dibuat ringan berbanding barang biasa. Turut disediakan adalah sistem brek M Performance dengan pad brek sport serta suspensi M yang dapat merendahkan kenderaan antara 5 hingga 20 mm.

    Pada bahagian roda, kereta prestasi ini diberikan pilihan rim forged 863 M Performance 20 inci berwarna kelabu matte manakala enjin juga boleh dihias dengan penutup jenis gentian karbon. Model 5 Series biasa mendapat lebih banyak pilihan rim, daripada 19 inci hingga 20 inci, dan empat pilihan bentuk.

    Untuk bahagian dalam, barangan M Performance yang disediakan untuk model M adalah termasuk roda stereng M Performance Pro dan kemasan gentian karbon pada tombol gear, sementara model 5 Series yang lain mendapat pilihan roda stereng lebih ringkas yang juga mempunyai kemasan karbon dan pilihan balutan Alcantara atau kulit, pedal stainless steel, lapik kaki khas serta tombol gear gentian karbon.

    GALERI: BMW M5 LCI F90 dengan M Performance Parts

    GALERI: BMW 5 Series LCI G30 dengan M Performance Parts

     
     
  • GALERI: Mercedes-Benz C200 AMG Line 2020, 2.0L

    GALERI: Mercedes-Benz C200 AMG Line 2020, 2.0L

    Mercedes-Benz C-Class W205 telah pun berada di pasaran negara kita sejak Disember 2013 (biar pun pelancarannya berlangsung 10 bulan kemudian), dan model facelift diperkenalkan di Geneva 2018, dan pelancaran di Malaysia pula berlangsung pada November tahun yang sama.

    Facelift W205 telah memperkenalkan enjin baharu 1.5 liter turbo untuk varian C 200. Ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 181 hp/280 Nm dengan kombinasi sistem elektrikal EQ Boost 48-voltan yang menggabungkan belt-driven starter/alternator, yang berkeupayaan menyalurkan lagi 13 hp (10 kW) dan 160 Nm untuk ledakan enjin jika diperlukan. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam 7.7 saat dan kelajuan maksimum dicapai sehingga 239 km/j.

    Walau bagaimana pun 1.5L EQ Boost yang menjanakan C 200 Avantgarde tidak memiliki hayat yang panjang. Awal bulan ini, Mercedes-Benz Malaysia telah memperkenalkan model baharu C 200 AMG Line, yang ditawarkan pada harga RM251,587 dengan pengecualian cukai jualan 2020. Selain dengan kemasan AMG Line, C 200 ini telah dipadankan dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder.

    GALERI: Mercedes-Benz C200 AMG Line 2020, 2.0L

    Unit penjana kuasa 2.0 liter ini mampu menghasilkan 204 hp pada 5,800 hingga 6,100 rpm dan tork 300 Nm pada 1,600 hingga 4,000 rpm. Di mana ia lebih 20 hp dan 20 Nm berbanding enjin 1.5L EQ Boost, dengan puncak tork lebih pantas berbanding penjana kuasa hibrid pada takat 3,000-4,000 rpm.

    Bagi prestasinya, C 200 AMG Line baharu ini mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam 7.1 saat, berbanding 1.5L EQ Boost pada 7.7 saat. Manakala kelajuan maksimum yang boleh dicapai ialah 250 km/j (239 km/j pada model hibrid) dan penggunaan bahan api kombinasi antara 6.3 hingga 5.9 liter per 100 km/j (lebih kurang sama dengan model hibrid). Pacuan disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan.

    Bagi kelengkapannya, C 200 kini didatangkan dengan sentuhan kemasan AMG Line, termasuk pin krom pada gril, bampar hadapan dan belakang spesifik AMG Line dengan diffuser fin dan aloi jejari-bintang AMG 18-inci. Turut diberikan ialah suspensi sport dengan versi yang lebih keras seperti C 200 Avantgarde.

    GALERI: Mercedes-Benz C200 AMG Line 2020, 2.0L

    Untuk bahagian kabinnya, ia menerima skrin LCD 12.3-inci digital sepenuhnya yang menawarkan tiga tema grafik, sementara paparan infotainmen tengah pula berukuran selebar 10.25-inci. Ia turut menampilkan Mercedes me connect yang membolehkan pengguna untuk mengakses beberapa fungsi kenderaan.

    Sebagai varian AMG Line, bahagian dalamannya dihitamkan dengan anthracite headlining dan kemasan kayu oak, bersama roda stereng kulit Nappa dan pad permukaan metalik (hitam berkilat pada model C 200 Avantgarde), pedal penukar gear galvanised, upholstery kulit Artico dan pedal sport AMG.

    Untuk aspek keselamatan, ia lebih kurang sama dengan C 200 Avantgarde, dengan menerima bantuan parkir aktif, kamera undur, kawalan kelajuan Speedtronic, bantuan titik buta (beroperasi dari 10 km/j hingga 200 km/j), tujuh beg udara, bantuan brek aktif, dan brek kecemasan sendiri (AEB) secara standard. Untuk perincian penuh, sila layari Carbase.my.

     
     
  • JPJ, SPAD tawar 70% diskaun saman mulai 1 hingga 31 Ogos 2020 sempena bulan kemerdekaan – Dr Wee

    JPJ, SPAD tawar 70% diskaun saman mulai 1 hingga 31 Ogos 2020 sempena bulan kemerdekaan – Dr Wee

    Bersempena dengan bulan kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan memberikan tawaran pengurangan pembayaran saman sebanyak 70% kepada semua saman boleh kompaun yang dikeluarkan oleh JPJ dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

    Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, tawaran yang bermula 1 hingga 31 Ogos 2020 ini diberikan kepada semua saman yang dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987(Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) serta Kaedah-kaedah dan Perintah-perintah di bawahnya, termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.

    “Pengurangan diskaun berkenaan ditawarkan berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem JPJ dan yang telah ditetapkan bagi kes-kes di bawah Akta yang tersebut. Ia akan dilaksanakan di semua pejabat JPJ (Negeri, cawangan dan UTC) serta saluran pembayaran lain JPJ seperti Portal mySIKAP JPJ, Kiosk JPJ dan JPJ Mobile,” kata Dr Wee menerusi kenyataan yang dikeluarkan semalam.

    Walau bagaimana pun, bagi kesalahan yang telah disenarai hitam, orang ramai dikehendaki untuk hadir ke pejabat JPJ cawangan ataupun negeri bagi proses dokumentasi sebelum urusan pembayaran dapat dilakukan.

     
     
  • Hap Seng Star Autohaus KL dibuka semula dengan identiti korporat terkini — butik gaya hidup, lounge VIP

    Hap Seng Star Autohaus KL dibuka semula dengan identiti korporat terkini — butik gaya hidup, lounge VIP

    Hap Seng Star (HSS) telah membuka semula Autohaus KL dilokasi asalnya di kompleks Menara Hap Seng 3. Bilik pameran sementara di Life Centre di Jalan Sultan Ismail yang dibuka ketika Autohaus KL sedang dibina, sudah ditutup sebaik saja kemudahan terbaru ini siap dan dibuka untuk operasi.

    Autohaus KL menggunakan identiti koporat terkini Mercedes-Benz, dan ini merupakan bilik pameran ketiga yang dibina mengikut penampilan yang sama selepas premis Cycle & Carriage Bintang (CCB) di Mutiara Damansara dan Alor Star.

    Bangunan ini mampu menampung keperluan dan pilihan pelanggan yang berbeza-beza mengikut tingkat yang ada. Tingkat bawah akan menyambut pelanggan dengan butik gaya hidup dengan pameran cenderahati Mercedes-Benz dengan ruang yang terbesar seumpamanya di Malaysia. Tingat dua dikhaskan sebagai VIP lounge yang turut mempamerkan barisan Dream Cars jenama itu, dengan model seperti S 560 e W222 dan Mercedes-AMG A 35.

    Tingkat 3 pula menempatkan bilik pameran lengkap yang mempamerkan sembilan kereta maksimum, sebagai tambahan kepada ruang menunggu dan kafe. Bagi pelanggan yang ingin mengambil kereta baru mereka, terdapat tiga ruang serahan di tingkat bawah tanah kompleks berkenaan.

    Jika ingin melihat dengan lebih dekat penawaran Mercedes-Benz di Malaysia, pelanggan boleh berkunjung ke lokasi Hap Seng Star Kuala Lumpur ini yang bertempat di dalam Plaza Hap Seng, Jalan P. Ramlee. Ia dibuka dari 9 pagi hingga 7 malam Isnin-Jumaat, dan 9 pagi 6 petang pada Sabtu manakala 10 pagi hingga 6 petang setiap Ahad.

     
     
  • Mitsubishi ramal kerugian US$3.4 bilion bagi 2020 — pengeluaran Pajero ditamatkan, tinggalkan Eropah

    Mitsubishi ramal kerugian US$3.4 bilion bagi 2020 — pengeluaran Pajero ditamatkan, tinggalkan Eropah

    Mitsubishi Motors Corporations (MMC) menjangkakan kerugian untuk dua tahun berturut-turut. Bagi tahun 2019, syarikat itu dilaporkan kerugian sebanyak 25.78 bilion yen (RM1.04 bilion).

    Mitsubishi yang merupakan pengeluar kenderaan keenam terbesar di Jepun, juga merupakan ahli pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, menyatakan syarikat itu menjangkakan kerugian sehingga 360 bilion yen (RM14.4 bilion) bagi tahun kewangan 2020 disebabkan angka jualan yang merudum, sebahagiannya kerana pandemik Covid-19. Syarikat itu mendedahkan perkara berkenaan ketika taklimat kewangan suku pertama tahun ini yang berlangsung pagi tadi, yang turut menggarasikan perancangan akan datang.

    Syarikat itu juga meramalkan kerugian operasi sebanyak 140 bilion yen (RM5.63 bilion) bagi tahun akan datang berbanding keuntungan operasi sebanyak 12.8 bilion yen (RM515 juta) yang dilaporkan bagi tahun kewangan 2019. Pada 2018, syarikat itu mencatatkan sebanyak 111.8 bilion yen (RM4.5 bilion) keuntungan operasi.

    Mitsubishi ramal kerugian US$3.4 bilion bagi 2020 — pengeluaran Pajero ditamatkan, tinggalkan Eropah

    Syarikat ini melaporkan kerugian operasi sebanyak 53.3 bilion yen (RM2.14 bilion) bagi suku pertama berakhir 30 Jun, yang merupakan kerugian operasi kedua dalam tempoh tiga suku tahunan. Penularan Covid-19 telah menyukarkan lagi keadaan yang dihadapi oleh Mitsubishi. Sebelum pandemik, syarikat ini telah pun bergelut dengan penurunan jualan di China serta pasarannya yang terbesar, Asia Tenggara.

    Pelan penstrukturan semula syarikat turut melibatkan keputusan untuk menamatkan pengeluaran model Pajero. Syarikat akan berbuat demikian tahun hadapan, dan menutup kemudahan anak syariaktnya Pajero Manufacturing di Gifu. Kilang tersebut turut mengeluarkan van mini Delica D5 dan SUV Outlander – pengeluaran kedua-dua model ini akan dipindahkan ke kilang Mitsubishi di Aishi.

     
     
  • ANIH keluarkan jadual cadangan perjalanan untuk pengguna Lebuhraya KLK, LPT 1 sempena Aidiladha

    ANIH keluarkan jadual cadangan perjalanan untuk pengguna Lebuhraya KLK, LPT 1 sempena Aidiladha

    Bagi kelancaran aliran trafik ke Pantai Timur, menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (Lebuhraya KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) bagi perjalanan sempena Aidiladha antara 29 Julai hingga 2 Ogos ini, syarikat konsesi Anih Berhad, telah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk rujukan para pengguna kedua-dua lebuhraya berkenaan.

    Menurut Pengarah Eksekutifnya Datuk Nik Fauzi Nik Hussein, aliran trafik ke pantai timur dijangka melonjak sebanyak lebih 50% mengikut purata trafik harian sekitar 156,000 berikutan orang ramai bergerak merentas negeri dalam tempoh itu.

    “TTA dikeluarkan bagi membantu pengguna merujuk kepada waktu perjalanan yang sesuai sebelum turun ke lebuh raya serta bertujuan untuk mengawal jumlah pergerakan trafik.

    “Ia dilihat sebagai antara pendekatan terbaik membantu mengelakkan kenderaan bertembung pada satu masa yang sama di plaza tol, khususnya di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak hingga boleh menyebabkan kesesakan,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Nik Fauzi berkata semua kemudahan awam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan di hentian sebelah di lebuh raya itu dibuka kepada pengguna dengan menerapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi.

    “Oleh itu, syarikat ingin memaklumkan bahawa kemudahan R&R atau hentian sebelah akan ditutup sementara kepada pengguna sekiranya penuh bagi mengekalkan amalan penjarakan sosial. Justeru, jika perkara ini berlaku, pengguna dinasihatkan untuk meneruskan perjalanan menuju kemudahan R&R atau hentian sebelah seterusnya,” katanya.

    Beliau turut menasihati pengguna agar memastikan baki nilai kad Touch ‘n Go (TNG) mencukupi kerana tiada urusan transaksi tambah nilai kad TNG di lorong tol, manakala Pusat Khidmat Pelanggan di plaza tol hanya beroperasi dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

     
     
  • Perodua sumbang 10,000 pelindung muka buatan sendiri kepada masyarakat di Hulu Selangor, Selayang

    Perodua sumbang 10,000 pelindung muka buatan sendiri kepada masyarakat di Hulu Selangor, Selayang

    Rantaian COVID-19 yang masih menular di negara ini telah mendorong Perodua untuk memperluaskan inisiatif perlindungan awamnya dengan mengedarkan 10,000 lagi pelindung muka (faceshield) di daerah Hulu Selangor dan perbandaran Selayang. Perodua telah menyerahkan pelindung muka ini kepada Pejabat Kesihatan Daerah, klinik-klinik komuniti dan pergigian, para penguatkuasa Jabatan Perlesenan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) serta para penjaja pasar pagi dan malam.

    Selain itu, Perodua juga turut menyerahkan pelindung muka kepada Jabatan Perlesenan dan Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), dan melalui mereka kepada para penjaja di kawasan tersebut.

    “Sumbangan Perodua ini merupakan tanda penghargaan kepada masyarakat sekeliling yang telah menyokong dan menyambut baik kami selama 27 tahun kami bertapak di sini. Sebagai syarikat yang mengutamakan insan dan entiti korporat yang bertanggungjawab, Perodua amat mengambil berat tentang keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat umum semasa pandemik COVID-19 ini.

    “Sumbangan kami setakat ini telah mencecah 21,000 pelindung muka. Kami berharap pelindung muka ini akan sentiasa dipakai oleh mereka yang bertugas dengan berani setiap hari untuk terus memberikan perkhidmatan, rawatan dan keperluan harian kepada kita semua,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Pada bulan lalu, Perodua telah menyumbang kira-kira 11,000 pelindung muka kepada sekolah menengah di Putrajaya dan Hulu Selangor.

    Pelindung muka tersebut mempunyai bahagian pelindung tahan kabus yang diperbuat daripada polyethylene terephthalate untuk penglihatan yang optimum. Kusyen span pada bahagian dahi menghalang kemasukan titisan air manakala jalur elastik boleh dilaraskan untuk pemakaian yang selamat dan selesa.

    “Perjuangan kita melawan COVID-19 masih belum berakhir. Kami berharap rakyat Malaysia akan terus mengamalkan dan menyesuaikan diri kepada norma baharu dengan berwaspada dan mematuhi semua garis panduan kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan,” ujar Dato’ Zainal.

     
     
  • Ducati Malaysia tambah waktu jaminan motosikal yang terkesan akibat banjir di pusat pameran dan servis

    Ducati Malaysia tambah waktu jaminan motosikal yang terkesan akibat banjir di pusat pameran dan servis

    Pada 17 April lalu, pusat pameran dan servis Ducati Petaling Jaya telah dilanda banjir akibat hujan lebat dan sejumlah motosikal pameran serta milik pelanggan berada di premis berkenaan. Demi membantu pemilik yang menerima kesannya, Ducati Malaysia kini menawarkan program jaminan tambahan “Complimentary Ownership Enhancement Programme.”

    Dalam program ini, pemilik motosikal yang terkesan akibat banjir ini akan diberikan tambahan waktu jaminan selama 12 bulan, pemeriksaan 38 bahagian serta bantuan tepi jalan 12 bulan oleh Allianz General Insurance. Semuanya adalah percuma.

    Penawaran program tambahan waktu jaminan ini juga telah diberitahu kepada semua pemilik yang terjejas, dan status baik pulih motosikal akan diberitahu dari semasa ke semasa. Ducati Malaysia juga memberi jaminan kepada pelanggan bahawa keperluan mereka kini adalah kepentingan utama dan mereka akan terus menyediakan servis yang terbaik.

     
     
  • Kadar kandungan alkohol dalam badan dikurangkan

    Kadar kandungan alkohol dalam badan dikurangkan

    Dalam sidang media selepas taklimat mengenai RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 itu dibaca kali pertama di Dewan Rakyat semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kadar kandungan alkohol dalam darah, nafas dan air kencing akan diturunkan berdasarkan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020.

    Katanya, kadar kandungan alkohol menerusi Seksyen 45G Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu akan ditetapkan selari syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), laporan Bernama.

    “Kadar baharu adalah 22 mikrogram dalam 100 mililiter (ml) nafas, berbanding kadar sedia ada iaitu 35 mikrogram dalam 100ml nafas. Ia disusuli 50 gram (g) dalam 100 ml darah, berbanding 80g dalam 100ml darah yang ditetapkan sekarang.

    “Seterusnya, 67 miligram (mg) dalam 100ml air kencing, berbanding 107mg dalam 100ml air kencing,” katanya.

    Kadar kandungan alkohol dalam badan dikurangkan

    Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

    Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun.

    Walau bagaimana pun, menerusi pembentangan yang disempurnakan oleh Dr Wee di Dewan Rakyat semalam, hukuman penjara bagi mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian dinaikkan kepada tempoh tidak kurang 10 tahun dan maksimum 15 tahun, serta denda minimum RM50,000 sehingga RM100,000.

    Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, hukuman penjara diperuntukkan selama tempoh tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang RM100,000 dan maksimum RM150,000,