Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Suzuki akan kembali ke M’sia bersama Berjaya Group?

    Suzuki akan kembali ke M’sia bersama Berjaya Group?

    Ini perkembangan yang menarik untuk perkembangan automotif di Malaysia; selepas keluar dari pasaran tempatan kurang lebih tiga tahun lalu, Suzuki khabarnya akan kembali ke semula ke Malaysia, seperti dilaporkan New Straits Times.

    Menurut laporan berkenaan yang memetik sumber sebagai berkata, Tan Sri Vincent Tan, melalui Berjaya Group diura-urakan bakal menggalas tanggungjawab itu. Beliau dijangka terbang ke Jepun awal bulan hadapan untuk menandatangani perjanjian persefahaman bersama Suzuki Motor Corp, untuk menjadi pengedar sah jenama tersebut.

    Pengerusi Suzuki, Osomu Suzuki dijangka akan menyaksikan majlis berkenaan di ibupejabat syarikat itu di Hamamatsu, sebuah bandar di barat Shizuoka, 260 km dari Tokyo. Kali terakhir Suzuki diwakili jualannya di Malaysia ialah melalui DRB-Hicom, yang ketika itu menubuhkan syarikat usahasama Suzuki Malaysia Automobile Sdn Bhd.

    Namun, pada 2015, Suzuki dilaporkan akan mengakhiri pengeluaran dan jualan kenderaannya di Malaysia, dan susulan daripada itu menyaksikan 29 cawangan Suzuki sedia ada bertukar menjadi bilik pameran Proton Holdings Bhd, bermula Februari 2016. Selepas itu, Suzuki dan Proton sempat bekerjasama untuk mengeluarkan model MPV Ertiga.

    Sementara itu, pengedaran motosikal di Malaysia pula kekal bertapak di Malaysia, walaupun dalam skala yang telah dikecilkan, dan kilang pemasangan di Prai, Pulau Pinang ditutup dan akan hanya bergantung kepada penjualan motosikal berkuasa besar yang dibawa masuk dari Jepun.

    Laporan yang sama turut menyatakan, jika beliau dan Berjaya Group berjaya mendapatkan kepercayaan untuk menjadi pengedar Suzuki di sini, ia akan menjadi satu pencapaian yang besar buat kumpulan berkenaan, kerana dikhabarkan beberapa lagi syarikat besar tempatan seperti Sime Darby Bhd dikatakan turut berminat.

    Sekiranya ini berlaku, Berjaya akan menaungi dua jenama kenderaan penumpang untuk diedarkan di Malaysia, selain Mazda ketika ini. Syarikat ini juga memiliki H.R. Owen, sebuah pengedar kenderaan mewah di UK. Jadi, kita di Malaysia ada harapan balik untuk memiliki Suzuki Swift generasi terbaru nanti? Atau mungkin Suzuki Jimny?

     
     
  • Harga petrol di M’sia masih paling murah di rantau ini, namun hanya tangga kelima dalam senarai mampu beli

    Harga petrol di M’sia masih paling murah di rantau ini, namun hanya tangga kelima dalam senarai mampu beli

    Kalau baca tajuk dengan ayat “petrol paling murah”, macam klise berita-berita politik kan? Tapi adakah ia mengambilkira kemampuan rakyat sesebuah negara itu untuk membeli bahan bakar berkenaan?

    Apa yang akan kami sampaikan pada artikel ini adalah laporan yang dibuat oleh Picodi Analysis yang menyatakan bahawa Malaysia sememangnya negara yang menjual petrol pada kadar paling murah setakat ini, tetapi bukan bermaksud rakyat negara kita yang paling mampu untuk membeli bahan bakar tersebut

    Analisis yang dilakukan terhadap 17-negara di rantau Asia-Oceania dan termasuk Hong Kong ini bukan sekadar membandingkan harga mengikut kadar tukaran wang semasa semata-mata, sebaliknya ia turut mengambil kira purata gaji pada tiap-tiap negara.

    Bagi melengkapkan laporan ini, Picodi menggunakan maklumat purata gaji rasmi yang dikeluarkan oleh pejabat statistik nasional atau kementerian-kementerian yang relevan di setiap negara. Harga purata petrol untuk setengah tahun 2019 pula diambil dari globalpetrolprices.com (mungkin atas sebab ini, Brunei tidak tersenarai dalam kajian, dan kami pun tidak pasti mengapa negara tersebut tidak boleh dirujuk di laman berkenaan) dan sumber-sumber tempatan lain.

    Jumlah liter yang mampu dibeli pula dikira dengan membahagi kadar gaji purata dengan harga purata satu liter petrol. Manakala untuk menggunakan standard tukaran mata wang yang sama pula, Picodi menggunakan kadar purata selama 90 hari.

    Berdasarkan laporan itu, secara purata satu liter petrol di Malaysia dijual pada harga US$0.49 atau RM2.05, menjadikan negara kita sebagai negara yang menjual bahan api tersebut dengan harga paling murah. Manakala negara yang paling mahal harga petrolnya dalam senarai ini adalah Hong Kong dengan harga US$2.15 (HKD16.89, atau RM8.85) seliter.

    Namun jika di kira dengan nisbah kadar gaji purata, rakyat Australia dikira mampu membeli petrol paling banyak. Dengan gaji purata US$3,682 (AUD 5,256, atau RM15,153), seorang rakyat Australia boleh membeli 3,783 liter petrol dengan harga bahan api itu dijual pada harga purata USD$0.97 (AUD 1.39, atau RM3.99) seliter – berbanding di Malaysia, seorang rakyat kita hanya mampu untuk membeli 1,707 liter petrol dengan gaji purata US$843 (RM3,494), menduduki tangga kelima antara 17-negara tersebut

    Jepun berada di tempat kedua di bawah Australia dengan 2,006 liter, manakala Korea Selatan di tempat ketiga dengan 1,908 liter, diikuti New Zealand keempat dengan 1,852 liter. Namun apa yang menarik, Singapura berada satu anak tangga di bawah Malaysia dengan 1,598 liter. Negara-negara yang tercorot dalam carta ini adalah Pakistan (192 liter), Kemboja (181 liter) dan Filipina (158 liter).

    Selain dari 17-negara ini, Picodi turut menjalankan tinjauan yang sama terhadap 100 negara lain di seluruh dunia. Venezuela menduduki tangga pertama kerana walaupun gaji purata mereka hanya US$29 (RM119), petrol di negara tersebut dilaporkan dijual pada harga purata US$0.000000002 (RM0.0000000082) seliter, membolehkan lebih 14 bilion liter petrol dibeli.

    Negara-negara teluk seperti Qatar, Kuwait dan UAE menjual petrol pada kadar antara US$0.40 (RM1.65) hingga US$0.60 (RM2.47), membolehkan mereka membeli 4,900 hingga 6,500 liter petrol mengikut kadar gaji purata masing-masing. Picodi turut menerangkan bahawa kedudukan negara-negara tertinggi seperti Amerika Syarikat dan Kanada bukan hanya dikira berdasarkan gaji purata yang tinggi, tetapi turut dikira brdasarkan jumlah minyak yang digali.

    Dari senarai tersebut, negara-negara yang tercorot adalah Madagascar (42 liter),Tajikistan (131 litres) dan Zambia (137 litres). Kajian ini turut mendedahkan bahawa rakyat-rakyat di negara-negara pengeluar minyak tidak semestinya berkemampuan untuk membeli bahan bakar tersebut, Nigeria misalnya.

     
     
  • Toyota Prius PHEV ditambahbaik, kini 5-tempat duduk

    Toyota Prius PHEV ditambahbaik, kini 5-tempat duduk

    Toyota Prius plug-in hybrid telah pun hadir dengan versi yang ditambahbaik dan kini didatangkan dengan lima-tempat duduk, berbanding bentangan empat-tempat duduk sebelum ini. Selain itu, ciri lain yang ditambahbaik ialah warna hitam metalik baharu, roda lima-jejari dwi-tona 17-inci, dan skim warna upholsteri dan material baharu untuk kabin.

    Selain daripada itu, tiada perubahan yang dlakukan untuk Prius PHEV ini. Untuk penjana kuasanya, ia masih kekal dengan enjin 1.8 liter Atkinson-cycle VVT-i, dengan hamburan 98 PS pada 5,200 rpm dan tork 142 Nm pada 3,600 rpm. Dua motor elektrik turut dberikan – satunya menghasilkan 72 PS/163 Nm dan satu lagi dengan 31 PS/40 Nm.

    Gabungan enjin petrol dan bateri lithium-ion 8.8 kWh, hasilnya ia mampu memberikan output sehingga 122 PS, pecutan dari 0-100 km/j dalam 11.1 saat dan kelajuan maksimum pula cecah 162 km/j. Pacuan semua-elektrik boleh mencapai 68.2 km, dan walau pun baterinya kehabisan kuasa, kereta ini mampu mencapai penggunaan bahan api sekitar 37.2 km per liter mengikuti kitaran Japanese JC08, berbanding 31.6 km per liter pada model sebelumnya.

    Toyota Prius PHEV ditambahbaik, kini 5-tempat duduk

    Pengecasan baterinya mengambil masa sekitar 2 jam 20 minit menggunakan soket 200 V dan 14 jam jika dengan unit 100 V. Terdapat juga panel solar pada bumbung yang boleh meningkatkan kuasa elektrik sekitar 6.1 km jika diletakkan di bawah matahari sepanjang hari, atau lebih kurang anggaran 2.9 km sehari. Panel tersebut juga boleh mengecas bateri apabila kereta dipandu, dengan itu ia mampu menjimatkan penggunaan bahan api.

    Bekalan kuasa elektrik luaran juga telah ditambah untuk menyalurkan elektrik sekiranya terdapat situasi kecemasan seperti bencana alam. Bagi mod EV, Prius EV juga boleh membekalkan kuasa tanpa enjinnya dihidupkan; dalam mod hibrid pula, kereta itu boleh membekalkan elektrik sehingga dua hari dengan maksimum sekitar 1,500 W dengan enjin dihidupkan dan tangki minyak penuh.

     
     
  • GIIAS 2019: Honda HR-V facelift Mugen Indonesia – hanya model 1.5 liter, dijual pada harga RM101k

    GIIAS 2019: Honda HR-V <em>facelift</em> Mugen Indonesia – hanya model 1.5 liter, dijual pada harga RM101k

    Kita baharu sahaja menerima Honda HR-V facelift awal tahun ini, manakala versi edisi terhad Mugen pula muncul tahun lalu sebagai ‘penutup’ model pre-facelift. Namun di Indonesia, model facelift yang mendapat sentuhan Mugen telah pun didedahkan di sana ketika berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2019.

    HR-V Mugen 2019 pasaran Indonesia ini diasaskan dari model Special Edition dalam varian 1.5L berkuasa 120 PS/145Nm walaupun pasaran berkenaan turut menerima model 1.8L berkuasa 139 PS/169 Nm. Gril model ini nampaknya menampilkan rupa yang sama pada versi facelift biasa dengan kemasan krom dan tanpa emblem Mugen.

    Apa yang berbeza adalah penambahan spoiler bampar hadapan dengan kemasan kelabu dan warna badan, serta skirt sisi dan kemasan bawah bampar belakang juga berwarna kelabu. Ia diberikan jalur sisi Mugen, bersama emblem sisi Mugen pada kedua-dua sisi fender hadapan yang bersaiz agak kecil.

    GIIAS 2019: Honda HR-V <em>facelift</em> Mugen Indonesia – hanya model 1.5 liter, dijual pada harga RM101k

    Kemudian HR-V ini turut dipadankan dengan spoiler bumbung belakang bersama antena sirip yu yang unik untuknya. Tiada set rim istimewa di mana set rim aloi 17-inci dua tona masih lagi digunakan, membaluti tayar 215/55R17.

    Untuk semua ini, HR-V Mugen 1.5L dijual pada harga Rp 344 juta (RM101,375), atau Rp 10 juta (RM2,946) lebih mahal dari model standard. Macam mana? Ke lagi lawa model Mugen pre-facelift di Malaysia?

    GALERI: Honda HR-V Mugen 2018 pasaran Malaysia

     
     
  • Kes tular: JPJ Johor saman pemandu yang bawa tiga budak bergayut di bonet belakang kenderaan

    Kes tular: JPJ Johor saman pemandu yang bawa tiga budak bergayut di bonet belakang kenderaan

    Bukan sekali, tapi dua kali pemandu yang sama selamba membawa tiga orang budak yang duduk dan bergayut di bonet belakang kenderaan yang sedang dipandunya. Video tersebut yang dirakamkan oleh seorang pengguna jalan raya telah pun tular di media sosial kelmarin dan mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya menghentam tindakan pemandu terbabit. Malah ia digambarkan sebagai ‘tindakan bodoh dan keterlaluan’ kerana pemandu tersebut membahayakan nyawa kanak-kanak tersebut.

    Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bertindak atas aduan awam, sepasukan Unit Siasatan dan Risikan (USR) JPJ Negeri Johor telah ke lokasi aduan serta rumah suspek. Sebaik tiba di rumah suspek, didapati kenderaan yang diadu dengan nombor pendaftaran JLE 882 berada di rumah suspek.

    Hasil temu siasat, didapati suspek yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) telah mengaku pada waktu kejadian bertarikh 20 Julai 2019 jam 3.30 petang telah memandu kenderaannya di Jalan Persiaran Scientex Pasir Gudang dengan membawa tiga orang budak (dua situasi berbeza) duduk dan bergayut di bonet belakang kenderaan.

    Menurut JPJ Johor, OKS mengaku video dan gambar yang tular itu adalah beliau dan memaklumkan salah seorang dari budak tersebut merupakan anaknya dan dua orang lagi merupakan anak jiran dan kawannya. Pada waktu kejadian juga OKS mengaku tidak mematuhi isyarat lampu merah di Jalan tersebut.

    OKS memberikan alasan berbuat demikian kerana memenuhi permintaan anaknya yang mahu melakukan aksi sebegitu. Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut, didapati kenderaan itu didaftarkan atas nama orang lain dan OKS membelinya secara sambung bayar.

    Justeru, JPJ telah mengeluarkan saman ke atas OKS dengan dua pertuduhan iaitu cuai semasa memandu dan gagal mematuhi isyarat lampu merah. Malah turut memaklumkan, pasukan PDRM dari IPD Sri Alam juga turut hadir pada waktu siasatan dijalankan. Menerusi kes sebegini, JPJ ingin menasihati dan mengingatkan mana-mana pemilik/pemandu kenderaan supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan. Dalam masa yang sama mengharapkan agar kejadian sebegini tidak berulang di masa akan datang.

     
     
  • GIIAS 2019: Honda BR-V facelift, peningkatan minima

    GIIAS 2019: Honda BR-V facelift, peningkatan minima

    Honda BR-V telah pun menerima peningkatan (facelift) untuk pertengahan-hayatnya selepas lebih tiga tahun berada di pasaran. Dan Indonesia menjadi negara pertama yang menerimanya, bagi meneruskan persaingan dengan pencabar terdekatnya termasuk Toyota Rush, Daihatsu Terios dan Mitsubishi Xpander/Nissan Livina.

    Walau pun hanya melibatkan sedikit peningkatan minima, wajah hadapan BR-V diinspirasikan dari CR-V termasuk menampilkan palang hitam di sepanjang muncungnya, menggantikan kemasan krom pada model sebelum ini. Walau bagaimana pun ia masih mengekalkan jaluran krom yang disambung pada lampu utama, tetapi dengan efek visual yang lebih besar dan gril yang lebih tebal. Lampu utama projektor pula sama, tetapi dipadankan dengan jaluran lampu nyalaan siang LED baharu.

    Selain itu, bamparnya telah pun diprofilkan. Sisinya kini menampilkan ciri seperti corong dan ia menghala ke lampu utama, yang bertentangan ke arah gril. Lampu kabus bulat dan skid plate perak kini nampak lebih menonjol berbanding sebelum ini.

    GIIAS 2019: Honda BR-V facelift, peningkatan minima

    Bahagian belakang juga dipertingkatkan, kini dengan rupa yang lebih bergaya termasuk seksyen diffuser perak dan bampar dengan reflektor menegak. Sebelum ini reflektor tersebut diletakkan di bahagian bampar paling bawah, disambung pada diffuser. Ia disambung pada lampu belakang dengan kemasan krom. Bukan itu saja, rim aloi dua-tona 16-inci baharu juga ditampilkan.

    Sesetengah perubahan di atas melibatkan varian tertinggi Prestige sahaja. Wakil Paultan.org yang berada di Indonesia untuk membuat liputan, Danny Tan, turut mengesan varian E yang ditampilkan dengan palang krom tambahan pada gril, tapi tiada “wing” untuk skid plate hadapan/belakang (sebahagian daripada aerokit), rekaan roda yang lebih ringkas (masih 16-inci) dan kemasan merah pada lampu belakang. Wing belakang untuk Prestige juga lebih terperinci.

    Di dalamnya, rekaan papan pemuka masih kekal sama, tetapi di Indonesia menerima roda stereng seperti Civic FD yang sama dengan BR-V spesifikasi Malaysia. Ciri baharu termasuk tweeter speaker, kemasan papan pemuka (kepingan kelabu pada sisi penumpang) dan fungsi auto untuk pendingin hawa, yang mana sudah ada pada BR-V versi Malaysia.

    GIIAS 2019: Honda BR-V facelift, peningkatan minima

    Honda mensasarkan untuk rekaan yang lebih sporty, dan untuk varian tertinggi telah ditampilkan kabin dengan tema hitam dan juga kemasan kulit hitam pada tempat duduk dengan jaluran merah. Dipadankan bersama pad kulit merah pada perehat tangan di pintu dan juga balutan kulit pada roda stereng dan tombol gear, dengan jahitan merah. Honda Indonesia juga memilih kusyen yang lebih tebal untuk barisan kedua tempat duduk dan juga perehat kepala yang baharu untuk bahagian tengah tempat duduk kedua. Turut diberikan ialah pelarasan ketinggian untuk tempat duduk pemandu, yang juga telah ditampilkan untuk BR-V versi Malaysia.

    Lain-lain ciri untuk BR-V spesifikasi Indonesia termasuklah unit utama skrin sesentuh kapasitif “ala terapung” bersaiz lapan-inci dengan WebLink (mirroring untuk telefon pintar) dan kemasukan pintar dengan butang penghidup enjin. Walau bagaimana pun, masih kekal dengan dua unit beg udara, begitu juga dengan ABS, VSA dan bantuan mula mendaki.

    Stereng ala-Civic FD hanya untuk varian Prestige, bersama balutan kulit dan jahitan merah (untuk stereng dan tombol gear), pad perehat tangan di pintu balutan kulit merah, tempat duduk kulit, unit head-up baharu (varian E dengan 6.1-inci) dan pendingin hawa auto, serta beberapa ciri lagi.

    Tiada perubahan pada penjana kuasa, masih kekal dengan enjin 1.5 liter i-VTEC (120 PS, 145 Nm) dengan kotak gear automatik CVT atau manual enam-kelajuan. Tidak seperti Rush/Terios, kuasanya disalurkan ke roda hadapan.

    Empat varian ditawarkan untuk BR-V 2019 facelift di Indonesia – S MT berharga Rp 238 juta (RM70,273), E MT (Rp 252.5 juta atau RM74,559), E CVT (Rp 262.5 juta atau RM77,512), dan Prestige CVT (Rp 279.5 juta atau RM82,532).

    Ada enam pilihan warna iaitu Tafetta White, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic, Crystal Black Pearl, Coffee Cherry Red Metallic dan warna signitur Premium Amber Metallic ditawarkan. Di mana dua warna terakhir tersebut adalah untuk varian E dan Prestige.

     
     
  • Volkswagen Arteon R-Line dibuka untuk tempahan – harga anggaran RM290k hingga RM310k di Malaysia

    Volkswagen Arteon R-Line dibuka untuk tempahan – harga anggaran RM290k hingga RM310k di Malaysia

    Nampaknya ‘sedan coupe’ terbaharu dari Volkswagen yang menggantikan model CC sebelum ini, VW Arteon bakal dilancarkan di Malaysia tak lama lagi setelah Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) membuka tempahannya. Harganya? belum diumumkan secara rasmi, tetapi ia dijangka akan dijual pada harga antara RM290,000 hingga RM310,000.

    Arteon telah membuat kemunculan pertamanya di Geneva Motor Show pada Mac 2017, dan rakyat Malaysia berpeluang untuk melihat kereta ini depan mata buat pertama kali ketika berlangsungnya Premium Auto Car Expo (PACE) 2018 anjuran paultan.org pada November tahun lalu.

    Untuk pasaran Malaysia, Arteon akan dijual dengan enjin 2.0 liter turbo empat-silinder TSI berkuasa 280 PS dan tork maksima 350 Nm. Kuasa akan disampaikan ke kesemua roda menerusi kotak gear klac berkembar jenis basah automatik tujuh-kelajuan dan sistem AWD 4Motion VW, bersama sistem differential lock elektronik XDS.

    Volkswagen Arteon R-Line dibuka untuk tempahan – harga anggaran RM290k hingga RM310k di Malaysia

    Sistem Kawalan Dinamik Casis (DCC) turut dipadankan bagi memberikan mod pemanduan Eco, Normal, Comfort, Sport dan Individual. Kelengkapan lain yang turut diberikan teramsuk paparan instrumen digital sepenuhnya Active Info Display, sistem infotainmen tertinggi Discover Pro dengan skrin 9.2-inci bersama kawalan gestur dan hubungan aplikasi tanpa wayar Apple Carplay, Android Auto dan Mirrorlink, serta kamera sekeliling 360-darjah.

    Hadir dalam kemasan R-Line, ia sudah pasti didatangkan standard dengan kit badan lebih agresif, dan rim 19-inci. Lapan warna sah ditawarkan untuk pasaran tempatan iaitu Manganese Grey, Deep Black, Reflex Silver, Romance Red, Urano Grey, Turmeric Yellow, Oryx White Pearl dan Pyrite Silver. Tertarik dan mahu lihat model empat-pintu dengan bentuk mendebarkan ini? Anda boleh mendaftarkan minat anda pada PAUTAN INI.

    Arteon juga akan dibawa dalam siri jelajah ke beberapa pusat pameran seluruh negara dan anda boleh melihat jadualnya di bawah.

    Volkswagen Arteon R-Line dibuka untuk tempahan – harga anggaran RM290k hingga RM310k di Malaysia

    GALERI: Volkswagen Arteon di PACE 2018

     
     
  • GIIAS 2019: Renault Triber akan bersaing dalam segmen kenderaan bajet di Indonesia, import dari India

    GIIAS 2019: Renault Triber akan bersaing dalam segmen kenderaan bajet di Indonesia, import dari India

    Renault mahu memasuki pasaran massa di Indonesia. Untuk itu, mereka perlu meletakkan produk dalam segmen yang penting iaitu Low Cost Green Car (model tiga baris tempat duduk termasuk Toyota Calya, Daihatsu Sigra dan Datsun GO+), serta Low MPV (Toyota Avanza, Daihatsu Xenia, Honda Mobilio, Suzuki Ertiga, Mitsubishi Xpander dan Nissan Livina).

    Model yang dirasakan oleh Renault boleh bersaing dalam segmen kenderaan bajet ini adalah Triber. Ia pertama kali didedahkan di India bulan Jun lalu, dengan menampilkan tiga baris tempat duduk dan rekaan seperti SUV. Panjang keseluruhan model ini adalah 3,990 mm.

    Triber dibangunkan dan dikeluarkan di India, namun Renault masih mempunyai hasrat untuk menjualnya di negara lain. Ia menggunakan platform Alliance CMF-A dan mempunyai perincian rekaan unik yang termasuk garis tingkap yang menaik di C pillar dan bumbung bertingkat untuk memberikan lebih ruang kepala kepada penumpang belakang.

    GIIAS 2019: Renault Triber akan bersaing dalam segmen kenderaan bajet di Indonesia, import dari India

    MPV ini digerakkan oleh enjin tiga silinder 1.0 liter yang dipadankan dengan transmisi sama ada manual lima kelajuan atau AMT lima kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 72 hp dan 96 Nm tork. Jumlah ini mungkin kelihatan tidak seberapa tetapi Triber mempunyai berat bawah 1,000 kg dan Renault juga mempunyai perancangan untuk menggunakan enjin 1.0L turbo di India.

    Antara kelengkapan yang diberikan untuk Triber varian tinggi adalah panel paparan informasi 3.5 inci dengan meter kelajuan digital, skrin sesentuh 8.0 inci dengan sambungan Apple CarPlay, corong pendingin hawa untuk semua baris tempat duduk, sistem tanpa kunci, butang pemula enjin dan rim 15 inci. Pada bahagian keselamatan, terdapat brek ABS dan empat beg udara.

    Tempat duduk baris ketiga pada Triber boleh dicabut sepenuhnya untuk memberikan ruang simpanan 625 liter, sekaligus membuatkan ia juga boleh bersaing sebagai sebuah hatchback lima tempat duduk – tetapi sudah tentu dengan kedudukan yang lebih tinggi (182 mm dari tanah). Kalau di India, Renault memberitahu kos pemilikan Triber adalah kurang 20% berbanding hatchback segmen B di sana.

    Triber akan ditawarkan di Indonesia dalam dua varian iaitu RXE dan RXL, dengan transmisi MT ataupun AMT. Setakat ini masih belum ada harga tetapi Maxindo Renault Indonesia mensasarkan harga lingkungan LCGC untuk model CBU dari India ini. Pakej jaminan yang diberi adalah selama tiga tahun atau 100,000 km, bersama servis percuma satu tahun.

     
     
  • PLUS cadang pasang kamera kelajuan di Jambatan Pulau Pinang sebagai strategi penguatkuasaan

    PLUS cadang pasang kamera kelajuan di Jambatan Pulau Pinang sebagai strategi penguatkuasaan

    PLUS Malaysia Sdn Bhd yang mengendalikan Jambatan Pulau Pinang bercadang untuk memasang kamera mengesan kelajuan kenderaan di jambatan tersebut. Ia dalah sebagai salah satu langkah penguatkuasaan tambahan untuk menghalang pemanduan melebihi had laju semasa menyeberangi jambatan itu.

    Menurut CEO PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, pihaknya kini bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), untuk memasang kamera berkenaan yang akan merakam kenderaan yang melebihi had laju serta maklumat pendaftaran kenderaan yang masuk dan keluar dari jambatan.

    “Kelajuan purata kenderaan akan dikira untuk menentukan sama ada dipandu melebihi kelajuan atau tidak dan ini merupakan antara strategi penguatkuasaan. Kami juga sedang menunggu hasil audit keselamatan jalan raya yang dijalankan mengenai jambatan itu bagi menentukan langkah-langkah yang akan diambil bagi meningkatkan ciri-ciri keselamatan jambatan berkenaan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    PLUS cadang pasang kamera kelajuan di Jambatan Pulau Pinang sebagai strategi penguatkuasaan

    Sambungnya lagi, “Walaupun kami telah mematuhi semua standard kejuruteraan bagi jambatan, kami juga menjalankan audit keselamatan jalan raya kami sendiri. Kami akan melihat daripada audit dan kemudiannya akan bertindak dengan sewajarnya jika terdapat keperluan (untuk menambah langkah keselamatan),” katanya.

    Tambahnya lagi, PLUS sentiasa mementingkan keselamatan dan melalui penekanan ini, hanya 2.4% daripada 13,000 kemalangan yang dicatatkan di seluruh negara tahun lepas berlaku di lebuh raya konsesinya.

    “Kami berbangga dengan langkah keselamatan yang kami laksanakan dan juga berbangga kerana Lebuhraya PLUS sebagai antara lebuh raya paling selamat di negara ini. Kami menumpukan tiga elemen secara meluas yang kami kenali sebagai ‘3E’, iaitu ‘enforcement’ (penguatkuasaan), ‘engineering’ (kejuruteraan) dan ‘education’ (pendidikan),” katanya.

     
     
  • GIIAS 2019: MINI Cooper 60 Years Edition – akan tiba di Malaysia bulan hadapan dalam versi Cooper S

    GIIAS 2019: MINI Cooper 60 Years Edition – akan tiba di Malaysia bulan hadapan dalam versi Cooper S

    Tahun ini MINI menyambut ulang tahun mereka yang ke-60. Bagi meraikan pencapaian ini, syarikat itu telah mengeluarkan sebuah model istimewa MINI 60 Years Edition yang boleh didapati dalam versi Cooper atau Cooper S, dan tiga pintu atau lima pintu.

    Model ini sudah pun tiba di pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS 2019), dan perkara pertama yang anda boleh lihat adalah ia menggunakan warna British Racing Green yang menurut MINI, dibuat khas untuk model ini. Ia juga boleh didapati dalam warna Melting Silver, dan datang dengan rim khas 17 inci dua tona yang dibalut tayar run flat Dunlop.

    Selain warnanya, bahagian luar MINI keluaran khas ini turut dipasang dengan lencana “60 Years” yang berada berhampiran lampu penunjuk arah hadapan dan jalur warna hitam atas bonet hadapan. Bumbung dan cermin sisi pula menggunakan warna Aspen White.

    Masuk ke bahagian dalam, tempat duduk MINI Yours Leather Lounge yang dibalut kulit Dark Cocoa nyata menyerlah terutamanya apabila digabungkan dengan jahitan warna hijau. Terdapat jahitan logo 60 Years pada bahagian luar tempat duduk ini, dan beberapa bahagian lain yang dipasang dengan logo ini adalah termasuk roda stereng, tepi pintu dan cahaya yang keluar dari bawah cermin sisi, memancar ke lantai pada waktu malam.

    Kuasa penggerak masih lagi sama. MINI Cooper facelift ini dikuasakan oleh enjin tiga silinder 1.5 liter turbo yang dipadankan bersama transmisi automatik Steptronic tujuh kelajuan, mampu menghasilkan 136 hp dan 220 Nm tork. Catatan masa 0-100 km/j model ini adalah 7.8 saat. Walaupun baru dipamerkan, MINI 60 Years Edition yang berwarna hijau di Indonesia telah pun habis dijual.

    MINI 60 Years Edition akan tiba di Malaysia bulan hadapan, tetapi kita cuma akan mendapat versi hatchback Cooper S. Ini bermakna ia menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter dengan kuasa 192 hp dan 280 Nm tork, boleh mencatat pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.7 saat.

     
     
  • GIIAS 2019: Daihatsu Ayla, Sirion dan Terios Special Edition – kembar Perodua dengan serlahan kuning

    GIIAS 2019: Daihatsu Ayla, Sirion dan Terios Special Edition – kembar Perodua dengan serlahan kuning

    Dah tengok model konsep SUV/MPV hibrid digelar HY Fun Concept yang dipamerkan oleh Daihatsu di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2019? Selain dari model konsep tersebut, Astra Daihatsu Motor (ADM) turut membawa tiga model produksi edisi khas ke acara berkenaan, iaitu kembar-kembar Perodua di Indonesia, Daihatsu Ayla, Sirion dan Terios Special Edition.

    Secara asasnya, ketiga-tiga model edisi khas tersebut menampilkan serlahan-serlahan berwarna kuning dan diberikan berberapa ciri tambahan lain.

    Kita mulakan dengan kembar Perodua Axia iaitu Daihatsu Ayla. Gril krom asal dari model standard telah digantikan dengan gril kemasan warna badan bersama jalur kuning dan juga kemasan hitam berkilat pada bahagian perumah nombor pendaftaran hadapan dan belakang, penutup cermin sisi serta spoiler belakang.

    GIIAS 2019: Daihatsu Ayla, Sirion dan Terios Special Edition – kembar Perodua dengan serlahan kuning

    Serlahan kuning turut diberikan pada sebahagian jejari rim, dan juga jalur badan pada sisi atas dan bawah serta di bawah cermin belakang.

    Dalam kabin, Ayla SE ini diberikan skrin infotainmen 2-DIN dengan paparan untuk kamera undur dan juga set karpet istimewa. Serlahan kuning sekali lagi diberikan pada liang pendingin hawa sisi, digandingkan dengan kemasan dan butang-butang hitam.

    Manakala untuk kembar Perodua Myvi iaitu Sirion yang diimport sepenuhnya dari Rawang, Selangor menerima kit badan berwarna hitam bersama serlahan jalur kuning pada sisi atas dan skirt serta sebahagian jejari rim. Ia turut hadir dengan skrin 2-DIN dan juga set karpet SE pada bahagian kabin.

    GIIAS 2019: Daihatsu Ayla, Sirion dan Terios Special Edition – kembar Perodua dengan serlahan kuning

    Akhir sekali adalah kembar kepada Perodua Aruz pula iaitu Daihatsu Terios SE. Muka model istimewa ini menerima gril yang kurang elemen krom berbanding model standard. Jalur serlahan kuning pula diberikan pada kemasan bawah perumah lampu kabus, jejari rim dan bahagian bawah sisi badan.

    Pada bahagian dalaman, Terios ini menerima warna kabin gelap sepenuhnya, bersama serlahan kuning pada liang pendingin hawa sisi dan juga jahitan pada panel pintu. Ia turut disertakan dengan skrin sesentuh 2-DIN dengan paparan untuk kamera parkir pandangan sekeliling, upholsteri kulit dan set karpet SE.

    GALERI: Daihatsu Ayla Special Edition

    GALERI: Daihatsu Sirion Special Edition

    GALERI: Daihatsu Terios Special Edition

     
     
  • PDRM nafi keluarkan jadual kompaun saman trafik

    PDRM nafi keluarkan jadual kompaun saman trafik

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menafikan sebaran kadar kompaun baharu saman trafik yang tular di media sosial seperti gambar di atas.

    Menurut JSPT, kadar kompaun yang tular itu adalah tidak benar dan mengelirukan orang ramai. Walau pun kenyataan yang tular itu turut mempunyai logo PDRM yang memaklumkan kadar kompaun diturunkan, namun ternyata ia adalah berita palsu semata-mata.

    Menerusi foto yang tular sejak semalam itu, ia memaparkan jadual kadar kompaun lama dan baharu. Sebanyak 14 kesalahan trafik disenaraikan dalam kenyataan terbabit, antaranya menyatakan saman bagi kesalahan memandu laju diturunkan kepada RM70 berbanding kadar asal RM150.

    Diharap kita semua tidak mudah terpengaruh dan terpedaya dengan berita palsu tersebut. Justeru, untuk sebarang soalan atau pertanyaan lanjut mengenai saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sila hubungi 03-2266 3346/56 atau e-mel di [email protected].

     
     
  • Toyota Rush di Malaysia tidak terlibat dengan isu sensor beg udara, tiada panggilan untuk pemeriksaan

    Toyota Rush di Malaysia tidak terlibat dengan isu <em>sensor</em> beg udara, tiada panggilan untuk pemeriksaan

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dengan Toyota Rush, yang baru-baru ini dipanggil semula di Filipina disebabkan isu beg udara yang “terlalu sensitif”, beg udara bidai kenderaan ini boleh keluar sekiranya terlanggar bonjolan atas jalan pada kelajuan 60 km/j ke atas.

    Menerusi kenyataan rasmi tersebut, UMWT mengesahkan model Rush yang dijual di Malaysia tidak terlibat dengan panggilan semula itu. Pengumuman ini juga dibuat susulan langkah Perodua yang menggumumkan 3,000 unit model Aruz dipanggil semula untuk pemeriksaan berikutan isu ini.

    Setakat ini menurut Perodua, masalah itu masih tidak memberi kesan kepada model di Malaysia, dan pemeriksaan serta penggantian alat yang terlibat dibuat sebagai langkah berjaga-jaga. Keseluruhan proses akan mengambil masa 30 minit untuk siap, dan semua kos ditanggung oleh Perodua.

    Untuk pengetahuan anda, Rush dan Aruz kedua-duanya dipasang di kilang Perodua, Rawang, tetapi untuk proses kemasan akhir Rush, pemasangan aksesori dan kawalan kualiti akhir dilakukan di kilang baharu Toyota, di Bukit Raja, Klang. Bekalan enjin dan juga transmisi kedua-dua model ini juga disalurkan oleh pihak yang sama, iaitu kilang Daihatsu Perodua Engine Manufacturing Sdn Bhd (DPEM) dan juga Akashi Kikai Industry (M) Sdn Bhd – kedua-duanya terletak di Sendayan, Negeri Sembilan.

     
     
  • GIIAS 2019: Suzuki Jimny Tough Concept – versi ubahsuai, penuh kelengkapan off-road ‘hardcore’!

    GIIAS 2019: Suzuki Jimny Tough Concept – versi ubahsuai, penuh kelengkapan <em>off-road</em> ‘hardcore’!

    Ketika berkunjung ke Tokyo Auto Salon tahun ini, kami terpegun kerana terlalu banyak Suzuki Jimny yang diubahsuai dibawa ke acara tersebut. Pelbagai ubahsuai ditampilkan, dari unit yang dibawa sendiri oleh Suzuki digelar Jimny Sierra Pick-up Concept yang kelihatan seperti trak pikap klasik Toyota BJ40, sehinggalah ubahsuai mewah yang menjadikan Jimny kelihatan seakan Mercedes-Benz G-Wagen dihasilkan oleh DAMD, digelar Little G.

    Sewaktu Suzuki Jimny ini dilancarkan untuk pasaran Indonesia di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2019, satu lagi Jimny ubahsuai yang sengaja dipertontonkan bagi membuatkan peminat mesin off-road kompak ini jiwa kacau, digelar Suzuki Jimny Tough Concept.

    Seperti namanya, Jimny ini diubahsuai sebagai jentera off-road yang sangat hardcore. Badannya dicat dengan warna dua-tona hijau-hitam, bukan sekadar dengan kesan matte, malah menampilkan permukaan kasar.

    GIIAS 2019: Suzuki Jimny Tough Concept – versi ubahsuai, penuh kelengkapan <em>off-road</em> ‘hardcore’!

    Bampar hadapan dan belakang asal telah dicabut bagi dipadankan dengan bampar besi yang bukan sahaja lebih tahan lasak, malah direka bagi mendapatkan sudut approach dan sudut berlepas lebih besar. Juga pada bampar hadapan, ia dilengkapi dengan bullbar bagi melindungi lampu hadapan dan gril, lampu kabus dan lampu tambahan LED bersama unit winch bina dalam.

    Manakala pada bahagian bumbung, satu bar lampu LED dipasang bagi memberikan lebih pencahayaan bagi memudahkan pemanduan di dalam hutan pada waktu malam.

    Jika diintai dari bawah, Jimny Tough Concept ini nampaknya diubahsuai dengan begitu ekstensif. Ia lengkap dengan suspensi off-road bagi membolehkan ia berdiri lebih tinggi dan menahan “penderaan” lebih lasak.

    Akhir sekali, rim dan tayar asal yang kurus digantikan dengan rim aloi lebih lebar bersama offset yang menjadikan ‘mangkuk’nya lebih dalam, dibaluti tayar ‘lipan’ Giti (Gajah Tunggal) Savero Extreme.

    Seperti di pasaran luar Jepun lain, Indonesia menerima Jimny “Sierra” iaitu model dengan overfender lebih lebar, dibekalkan dengan enjin K15B empat silinder 1.5 liter, berkuasa 102 PS/130 Nm. Jimny bukanlah SUV gaya hidup biasa kerana ia dibina di atas platform ladder frame dan menerima sistem 4WD dengan gear 2H, 4H dan 4L.

    Kerangka baharu ini menampilkan cross member tambahan bagi menguatkan lagi asasnya ketika dibelasah pada laluan off-road, dan dilengkapi gandar solid dengan tiga hubungan pada hadapan dan belakang, bersama spring gegelung untuk suspensi. Selain itu, ia dibina dengan kelegaan tanah 210 mm, radius pusingan 4.9 meter, sudut approach 37-darjah, ramp breakover 28-darjah, dan sudut berlepas 49-darjah bagi memastikan ia boleh merentas pelbagai permukaan di hutan.

    Amacam? Saya sendiri jiwa kacau tengok ni. Anda bagaimana?

     
     
  • Lexus GXOR Concept – untuk redah jalan mencabar

    Lexus GXOR Concept – untuk redah jalan mencabar

    Lexus telah menunjukkan sebuah kenderaan konsep baru yang dinamakan sebagai GXOR ataupun GX Off-Road. Daripada namanya, anda sepatutnya sudah tahu ia adalah SUV GX (model sebelum facelift) yang diubah suai secara menyeluruh untuk menawan jalan-jalan mencabar.

    Sebagai permulaan, suspensi GXOR menggunakan penyerap 2.5 inci keluaran Icon dengan reservoir kawalan jauh dan control arm billet dengan penyambung delta. Turut digunakan adalah barang daripada CBI, yang termasuk pelindung kerangka, perisai bawah kenderaan dan bampar buatan khas yang turut menempatkan winch Warn 9.5XP-S.

    Senarai ubah suainya ditambah lagi dengan tayar General Tire Grabber X3 bersaiz 275/70 pada rim Lexus F-Sport 18 inci, dan corong udara Safari untuk memastikan penyaluran udara kepada enjin V8 4.6 liternya sentiasa lancar termasuk apabila meredah air yang dalam.

    Barangan lain adalah termasuk papan penyelamat Maxtrax untuk permukaan yang mencabar, kotak barangan AluBox, sebaris lampu LED daripada Rigid, panel solar 160-watt Overland dan rak bumbung K9 daripada Eezi-Awn.

    Sementara itu, bahagian but pula dipasang dengan sistem penyusunan barang Goose Gear dan peti sejuk National Lune. Untuk memuatkan lebih banyak barang, kenderaan konsep itu juga menarik treler Patriot Campers X1H yang dilengkapi dengan pengawal brek elektrik.

    Seperti yang boleh diketahui, naik taraf ini bukanlah dibuat khas untuk model konsep ini, tetapi diambil daripada beberapa pengeluar barangan aftermarket. Menurut Lexus, ia sekadar satu tanda penghargaan kepada peminat model GX, dan inspirasinya juga datang daripada mereka.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024