Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota GR Supra GT4 Concept muncul di Geneva

    Toyota GR Supra GT4 Concept muncul di Geneva

    Nampaknya Toyota bersungguh benar untuk muncul semula dalam perlumbaan-perlumbaan GT menerusi kereta sport baharu mereka, Toyota GR Supra A90 – tahun lalu model ini muncul dalam bentuk Gazoo Racing Concept, kemudian awal tahun ini di Tokyo Auto Salon 2019 versi GR Supra Super GT pula didedahkan, dan kini di Geneva Motor Show 2019 versi GT4 Concept membuat kemunculan sulung.

    Seperti namanya, jentera ini dihasilkan berpandukan undang-undang perlumbaan GT4 FIA – menampilkan ciri-ciri kereta lumba lebih mampu milik dan mudah untuk diakses oleh pasukan-pasukan persendirian.

    Jadi, modifikasi yang ditampilkan pada kereta ini secara umumnya adalah lebih ringkas berbanding kereta-kereta dalam kelas FIA GT3. Untuk aspek aerodinamik, ia menerima diffuser udara pada bampar hadapan dan juga sayap GT di belakang bagi memperbaiki aliran udara di sekeliling casis, mengurangkan seretan udara dan menambah lagi jumlah downforce.

    Toyota GR Supra GT4 Concept muncul di Geneva

    Apa yang menarik menurut Toyota komponen-komponen ini tidak dihasilkan dari bahan gentian karbon, sebaliknya menggunakan sumber semula jadi seperti gentian hemp dan flaks yang lebih mesra alam.

    Toyota juga mendakwa bahawa sistem suspensi masih lagi seiras dengan sistem pada Supra versi jalan raya, menampilkan topang McPherson di hadapan dan multilink di belakang. Namun komponen-komponen seperti spring, penyerap hentak dan bar anti-oleng telah diganti dengan perlalatan khas untuk perlumbaan.

    Rim asal juga telah digantikan dengan set rim perlumbaan lebih ringan dari OZ, dan untuk memberhentikan kereta lumba ini dengan lebih efektif, set brek asal diganti dengan peralatan berprestasi tinggi dari Brembo.

    Toyota GR Supra GT4 Concept muncul di Geneva

    Enjin 3.0 liter enam-silinder turbo juga masih lagi ditempatnya, cuma kotak komputernya telah diganti dengan unit yang direka khas untuk perlumbaan sebenar. Selain itu, sistem pendawaian, syaf pemacu dan juga LSD juga diganti dengan komponen yang dibina bagi tujuan untuk berlumba.

    Kabin Supra ini masih dihuni papan pemuka standard, dipadankan dengan roda stereng dan tempat duduk perlumbaan OMP. Sebahagian karpet lantai telah dibuang, dan seperti kereta lumba sebenar lain, ia menerima set roll cage penuh dan pemadam api spesifikasi FIA serta tangki minyak khas untuk perlumbaan yang mudah untuk diisi semula secara lebih cepat.

    Walaupu kelihatan sudah boleh diproduksi untuk dijual kepada pasukan-pasukan lumba, Toyota sebenarnya masih belum membuka jualan untuk kereta lumba ini dan ia hanyalah sebagai prebiu. Menurut jenama tersebut, mereka masih lagi menilai minat yang ditunjukkan oleh pelanggan yang berpotensi sebelum membina model produksi sebenar pada masa akan datang.

     
     
  • Mitsubishi Engelberg Tourer muncul kali pertama di Geneva – enjin 2.4L PHEV, pacuan semua roda S-AWC

    Mitsubishi Engelberg Tourer muncul kali pertama di Geneva – enjin 2.4L PHEV, pacuan semua roda S-AWC

    Mitsubishi Motor Corporation (MMC) telah membawa sebuah model konsep yang dipertontonkan buat pertama kalinya kepada dunia, iaitu Engelberg Tourer ke Geneva Motor Show tahun ini. Ia adalah sebuah kenderaan yang dipanggil sebagai SUV Crossover, dan dikuasakan oleh enjin plug-in hybrid (PHEV).

    Enjin ini terdiri daripada gabungan unit petrol 2.4L, bersama sistem Twin Motor PHEV yang dibangunkan daripada Outlander PHEV dan diberikan beberapa peningkatan, serta sistem pacuan semua roda sepanjang masa. Data prestasinya tidak didedah, tetapi MMC memberitahu ia boleh menghasilkan kuasa yang tinggi dan mengurangkan kerisauan kepada pengguna untuk menggunakannya di tempat yang tiada fasiliti mengecas.

    Bateri berkapasiti tinggi yang digunakan pada kenderaan ini terletak di bawah lantai, di tengah kenderaan manakala sistem motor elektrik pula berada pada kedua-dua gandar hadapan dan belakang. Dengan cas bateri penuh serta minyak yang penuh, Engelberg Tourer dikatakan boleh mencapai jarak lebih 700 km, manakala operasi menggunakan bateri sahaja boleh dilakukan sehingga 70 km (kitaran WLTP).

    Sistem pacuan semua roda kenderaan ini juga adalah istimewa. Ia mempunyai Active Yaw Control (AYC), yang dapat membahagikan kuasa antara roda hadapan bergantung kepada cengkaman. Komponen ini turut disambungkan dengan sistem Super All-Wheel Control (S-AWC) yang berberhubung dengan sistem brek ABS dan Active Stability Control (ASC) untuk mengawal pecutan, keadaan mengambil selekoh, penghentian serta kuasa yang disampaikan kepada gandar.

    Melalui Engelberg Tourer juga, Mitsubishi telah mempertontonkan satu sistem perkongsian tenaga yang dinamakan sebagai Dendo Drive House (DDH). Ia terdiri daripada kenderaan EV/PHEV itu sendiri, pengecas dua arah, panel solar dan bateri yang direka untuk kegunaan rumah. Melalui sistem ini, pemilik kenderaan EV/PHEV boleh mengecas kenderaan mereka menggunakan kuasa yang diperoleh daripada panel solar ataupun menggunakan kuasa daripada kenderaan untuk memberi kuasa kepada rumah dalam keadaan kecemasan.

    Mitsubishi bercadang untuk menawarkan sistem ini kepada pelanggan kereta EV dan PHEV bermula hujung tahun ini di Jepun dan Eropah, melalui pengedar rasmi Mitsubishi ataupun pihak ketiga di negara tertentu. Ia bukan sahaja memudahkan, malah juga boleh menawarkan lebih penjimatan kepada pengguna.

     
     
  • Mercedes-Benz CLA Shooting Brake X118 – model generasi kedua tiba di Geneva, lancar pada September

    Mercedes-Benz CLA Shooting Brake X118 – model generasi kedua tiba di Geneva, lancar pada September

    Mercedes-Benz tiba di Geneva Motor Show tahun ini dengan pengenalan beberapa buah model, dan ini termasuk CLA Shooting Brake X118. Saiz model generasi kedua ini telah bertambah besar sedikit dengan panjang 4,688 mm (+48 mm), lebar 1,830 mm (+53 mm) dan tinggi 1,442 mm (-2 mm). Sama seperti CLA Coupe C118 yang digunakan sebagai asas, jarak antara roda kiri dan kanan juga bertambah lebar.

    Kereta ini juga nampak lebih bersih, dengan penggayaan yang kebanyakannya sama seperti versi coupe sehingga ke tiang tengah, tetapi bahagian tepi dan belakang mempunyai perbezaan besar berbanding model sebelum ini. Dengan pengurangan garis badan, bentuk kereta ini nampak lebih kemas, terutamanya apabila dilihat betul-betul depan mata.

    Bahagian dalam mengikut seperti CLA, dengan bahagian yang menjadi tumpuan termasuk corong pendingin hawa bentuk turbin, skrin rata dan lebar yang seperti terapung bersama sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dan juga sistem lampu suasana 64 warna.

    Fungsi kawalan suara ‘Hey Mercedes’ turut diberikan sekali pada CLA Shooting Brake X118 ini, bersama pengawal Energising Comfort dengan fungsi Energising Coach. Ruang dalam kenderaan turut diperelok, dengan kini untuk bahagian kepala hadapan, ia mempunyai tambahan ruang sembilan mm, manakala untuk belakang, tambahan lapan mm.

    Bahagian lain yang dipertingkat adalah ruang siku – bertambah 35 mm di hadapan dan 44 mm di belakang, dan bahu – bertambah sembilan mm di hadapan dan 22 mm di belakang. Ruang but juga diperbesar, iaitu tambahan 10 liter lagi berbanding generasi pertama, menjadi 505 liter.

    Pergi pula kepada sistem bantu pemanduan, kereta ini dipasang dengan fungsi yang diambil daripada S-Class (sama seperti CLA), termasuk Active Distance Assist Distronic, Active Steer Assist dan Active Lane Change Assist.

    Mercedes-Benz CLA Shooting Brake X118 – model generasi kedua tiba di Geneva, lancar pada September

    Semasa majlis pengenalan CLA Shooting Brake ini, model paling tinggi yang ditunjuk adalah CLA 250, di mana ia dilengkapi dengan enjin empat silinder petrol M260, bersama padanan transmisi klac berkembar 7G-DCT, mampu menghasilkan 224 hp dan 350 Nm tork.

    Walaupun tidak dinyatakan secara terperinci, Mercedes-Benz ada memberitahu apabila Shooting Brake ini dilancarkan untuk pasaran pada bulan September nanti, ia akan mempunyai banyak pilihan enjin termasuk petrol dan diesel, transmisi manual atau automatik klac berkembar, dan pacuan roda hadapan atau 4Matic AWD.

     
     
  • Proton catat 37% lonjakan jualan – 5,283 unit terjual pada Februari 2019; X70 kini cecah 20,000 tempahan

    Proton catat 37% lonjakan jualan – 5,283 unit terjual pada Februari 2019; X70 kini cecah 20,000 tempahan

    Proton telah mengumumkan telah menjual sebanyak 5,283 unit kenderaan pada Februari, menunjukkan peningkatan sebanyak 3% dalam perkongsian pasaran berbanding bulan yang sama pada tahun lalu dengan 12.7%. Sekaligus mencatatkan peningkatan sebanyak 37% tahun ke tahun memandangkan tempoh bulan yang pendek dan tradisi jualan yang agak perlahan disebabkan musim perayaan. Pada Januari lalu, Proton telah menjual 7,007 kereta.

    SUV pertama Proton, X70 terus mempamerkan jualan yang memberangsangkan dengan 2,823 unit didaftarkan pada Februari termasuklah 1,000 unit yang telah diserahkan secara serentak kepada pelanggan di seluruh negara sebelum Tahun Baharu Cina yang lalu. Malah telah menerima lebih 20,000 unit tempahan sehingga hujung Februari, melebihi angka yang disasarkan oleh syarikat ini. Sejak dilancarkan, sebanyak 6,927 unit X70 telah didaftarkan.

    “Proton X70 sedang berusaha menarik minat dan sokongan padu dari pembeli-pembeli SUV di Malaysia. Kami sangat berterima kasih di atas jumlah tempahan yang diterima dan bekerja keras untuk mendapatkan seberapa banyak unit untuk didaftarkan dan diserahkan kepada pelanggan secepat mungkin,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    “Proton juga berbangga dengan pencapaian rekod baharu untuk pendaftaran SUV itu dalam tempoh tiga bulan pertama selepas pelancarannya. Angka tersebut lebih bermakna apabila sebenarnya jumlah itu dicapai dalam tempoh dua perayaan (Krismas dan Tahun Baharu Cina) dan merangkumi dalam masa hanya 78 hari. Sasaran kami seterusnya adalah memenuhi jumlah pendaftaran enam bulan dan sepanjang tahun dan kami yakin ianya dapat dicapai,” tambah Dr Li Chunrong.

    Malah menyertai perubahan dalam jualan Proton ialah dengan kehadiran Iriz facelift, yang telah diperkenalkan hujung bulan lalu, dan telah dibuka pra-tempahannya dengan yuran promosi hanya RM9.90 sehingga 11 Mac ini. Kami juga telah memandu ujinya dan anda boleh membacanya menerusi PAUTAN INI.

     
     
  • BMW X7 sah masuk Malaysia – dilancarkan Mei 2019

    BMW X7 sah masuk Malaysia – dilancarkan Mei 2019

    BMW X7 serba baharu telah disahkan bakal memasuki pasaran Malaysia, dengan pelancarannya dijadualkan berlangsung pada Mei 2019, seperti yang dimaklumkan oleh BMW Malaysia kepada ‘ abang besar kami’, Danny Tan dari Paultan.org. SUV perdana (atau Sport Activity Vehicle, atau digelar kereta X) ini, pertama kali didedahkan pada Oktober 2018. Ia diproduksi di kilang BMW Spartanburg yang terletak di South Carolina, USA, bermula Disember lalu.

    Dipertontonkan sebagai Concept X7 iPerformance dari 2017, X7 G07 ini diposisikan di atas “bos” BMW X terdahulu, X5, yang baru-baru ini ditampilkan dengan generasi ke-empat.

    Secara asasnya, X7 adalah menggunakan platform X5 yang dimodifikasi dan mensasarkan untuk menawarkan model mewah 7 Series dalam bentuk badan SUV yang besar. BMW mensasarkan kereta ini seperti Range Rover, Mercedes-Benz GLS dan Lexus LX. Amerika Utara dan China dijangka akan menjadi pasaran terbesar untuk X7.

    BMW X7 sah masuk Malaysia – dilancarkan Mei 2019

    X7 merupakan SUV tujuh-tempat duduk penuh dengan pilihan enam-tempat duduk yang menawarkan dua barisan tengah untuk tempat duduk individu. Malaysia dijangka akan menerima tiga-tempat duduk untuk barisan kedua, dalam bentuk xDrive401.

    Unit petrolnya hadir dengan enjin 3.0 liter pengecas turbo enam-silinder sebaris yang mampu menghamburkan kuasa 340 PS dan tork 420 Nm dari 1,500 hingga 5,200 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda xDrive, X7 xDrive401 mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.1 saat dan kelajuan tertinggi 245 km/j.

    X7 memiliki ukuran 5,151 mm panjang, 2,000 mm lebar dan 1,805 mm tinggi, iaitu 229 mm lebih panjang dan 60 mm lebih tinggi berbanding X5 terkini, yang juga bakal tiba di pasaran kita tidak lama lagi. SUV tiga-barisan tempat duduk ini mempunyai jarak roda berukuran 3,105 mm iaitu 130 mm lebih panjang berbanding X5 G05. Malah ia juga lebih besar berbanding Mercedes GLS.

     
     
  • Garis panduan pengurusan kenderaan terbiar di kawasan awam dijangka dilaksana mulai Julai ini

    Garis panduan pengurusan kenderaan terbiar di kawasan awam dijangka dilaksana mulai Julai ini

    Masalah kereta usang dan terbiar memang banyak berlaku termasuk di kawasan perumahan dan lokasi awam lain. Setahun yang lalu, kerajaan pimpinan Barisan Nasional dikatakan akan memperkenalkan akta mengenainya dalam tempoh tiga tahun akan datang. Nampak gayanya ia tidak kesampaian.

    Walau bagaimana pun, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan, Garis Panduan Pengurusan Kereta Terbiar itu akan dibentangkan dalam mesyuarat kabinet bulan hadapan dan sekiranya diluluskan, ia akan dibawa kepada Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan pada Jun dan dijangka dilaksanakan pada Julai. laporan Bernama.

    Beliau berkata, menerusi garis panduan itu, proses bagi pelupusan kenderaan terbiar itu akan mengambil masa tidak lebih 33 hari.

    “Kenderaan terbiar yang diletakkan di kawasan awam ini mendatangkan gangguan kepada penduduk setempat, sekarang ini tidak ada garis panduan bagaimana nak uruskan kenderaan ini sehingga mendatangkan masalah kepada PBT. Kerja-kerja pengalihan, masuk depoh dan cari pemilik memberi beban kepada PBT sehingga ambil masa hingga setahun untuk lupuskan.

    Garis panduan pengurusan kenderaan terbiar di kawasan awam dijangka dilaksana mulai Julai ini

    “Jadi kita minta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk sediakan satu garis panduan apabila ada aduan kereta terbiar ini proses untuk melupuskannya hanya mengambil masa tidak sampai 33 hari,” katanya.

    Berdasarkan rekod, lebih 60,000 kenderaan terbiar masih berdaftar di seluruh negara.

    Menurut Loke lagi, setiap kenderaan terbiar akan dibawa PBT ke depoh, sebelum pemeriksaan dilakukan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengetahui pemilik kenderaan.

    “Namun dalam kebanyakan kes, kenderaan terbiar ini tiada pemilik, kalau ada kita beri notis 14 hari untuk datang mengambil kenderaan, jika tidak kenderaan akan dibawa ke Jawatankuasa Pelupusan Aset Disita yang ditubuhkan di setiap PBT, sebelum dilupuskan. Selepas PBT menolak kos untuk proses pelupusan, lebihan hasil akan dipulangkan kepada pemilik yang diberi dalam tempoh dua tahun untuk menuntutnya, sekiranya gagal ia akan menjadi duit kerajaan,” katanya.

     
     
  • Mercedes-Benz W213 E200 SportStyle, E300 Exclusive 2019 kini di M’sia – enjin baharu, bermula RM330k

    Mercedes-Benz W213 E200 SportStyle, E300 Exclusive 2019 kini di M’sia – enjin baharu, bermula RM330k

    Mercedes-Benz E 200 W213 SportStyle Avantgarde

    Setelah berada hampir tiga tahun dalam pasaran tempatan, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) melancarkan barisan model yang dipertingkatkan untuk E-Class W213 hari ini. Tiga varian ditawarkan iaitu E 200 SportStyle Avantgarde, E 300 Exclusive Line dan E 350 AMG Line – kesemuanya menerima enjin baharu M264 2.0 liter empat silinder turbo.

    Kita tumpukan dahulu untuk dua varian di bawah iaitu E 200 dan E 300, manakala E 350 boleh anda baca DI SINI. E 200 akan dijual pada harga RM329,888, manakala E 300 yang menggantikan model E 250 Exclusive Line sebelum ini dijual pada harga RM379,888.

    Seperti biasa, walaupun dijana enjin yang sama, setiap varian menerima talaan kuasa berbeza. Untuk varian paling rendah E 200, enjin berkenaan menghasilkan kuasa 197 hp dan tork maksima 320 hp berbanding 181 hp/300 Nm sebelumnya. Ini membolehkan model tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat.

    Mercedes-Benz E 200 W213 SportStyle Avantgarde

    Untuk model E 300 pula, enjin M264 ini menjana 258 hp (245 hp sebelumnya) dan tork maksima 370 Nm. Untuk itu, model tersebut dapat memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 6.2 saat. Kedua-dua versi ini juga menerima kotak gear sembilan-kelajuan automatik 9G-Tronic secara standard.

    Bagi suspensi, E 200 dan E 300 dilengkapi dengan sistem Agility Control. Sistem Dynamic Select turut tidak ketinggalan, bagi melaras talaan suspensi, stereng dan janakuasa bergantung pada mod pemanduan yang dipilih.

    Selain itu, Kedua-dua varian ini turut hadir dengan kelengkapan berbeza. E 200 menerima pakej Avantgarde, dengan bahagian luaran dilengkapkan dengan pakej Sportstyle terdiri dari berberapa ciri-ciri unik seperti lencana pada fender hadapan, kemasan krom pada bawah louvre bampar hadapan dan juga kemasan hitam berkilat pada bampar belakang.

    Bahagian luaran model ini juga diberikan ciri standard lain seperti rim aloi lima-jejari 18-inci, lampu hadapan LED High Performance dengan Bantuan Lampu Tinggi Adaptif serta kamera undur. Dalam kabin, E 200 menerima kemasan Avantgarde yang terdiri dari upholsteri kulit Artico, kemasan aluminium dengan elemen karbon ringan serta kemasan kayu ash hitam pada konsol tengah.

    W213 Mercedes-Benz W213 E 300 Exclusive

    Ia juga dibekalkan dengan sistem penghawa dingin Thermatic, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan sokongan lumbar empat-hala, sistem lampu suasana, sistem infotaimen Audio 20 dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem widescreen cockpit dengan dua skrin 12.3-inci, roda stereng balutan kulit Nappa pelbagai fungsi dan juga pengecas gajet tanpa wayar.

    Untuk ciri keselamatan, E 200 menerima sistem bantuan pemanduan termasuk Bantuan Titik Buta, Bantuan Brek Aktif dan juga Bantuan Parkir Aktif.

    Bagi model E 300 pula, ia disertakan pakej Exclusive dengan rim aloi 10-jejari 19-inci, lampu hadapan Multibeam LED bersama Adaptive Highbeam Assist Plus, upholsteri kulit Nappa bersama kulit Artico, kemasan kayu perang berkilat, dan juga kemasan perang ash berkilat pada konsol tengah.

    Versi pertengahan ini juga dilengkapkan dengan bumbung panaromik, penutup but berkuasa, kamera 360-darjah, pakej Lane Tracking, Keyless-Go, Hands Free Access, sistem infotaimen COMAND Online dengan kawalan pad sesentuh serta sistem bunyi Burmester.

     
     
  • Mercedes-Benz E350 W213 2019 dilancarkan di M’sia – hibrid ringkas 48-volt, 299 hp/400Nm, RM399,888

    Mercedes-Benz E350 W213 2019 dilancarkan di M’sia – hibrid ringkas 48-volt, 299 hp/400Nm, RM399,888

    Selain dua varian lebih rendah E-Class W213 2019 yang dilancarkan pada pasaran tempatan hari ini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut memperkenalkan varian lebih berkuasa dengan sistem hibrid ringkas di bawah teknologi EQ Boost iaitu E 350 AMG Line.

    Enjin M264 empat silinder pada model ini diberikan pengecas turbo twin-scroll menggantikan enjin M274 sebelum ini. Sistem hibrid plug-in pada E 350 e sebelum ini juga digantikan dengan sistem hibrid 48-volt dan juga unit starter-alternator pacuan tali-sawat yang membekalkan kuasa 14hp/150 Nm pada putaran enjin sehingga 2,500 rpm, model E 350 ini dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 299 hp dan tork maksima 400 Nm.

    Dengan kotak gear sembilan-kelajuan automatik 9G-Tronic, sedan ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

    Mercedes-Benz E350 W213 2019 dilancarkan di M’sia – hibrid ringkas 48-volt, 299 hp/400Nm, RM399,888

    Sistem berkenaan turut menampilkan penggunaan pam air berkuasa elektrik dan unit starter-alternator tersebut juga turut menyokong fungsi lain seperti pemulihan kuasa (sehingga 12 kW ketika membrek), dan juga ‘belayar’ dalam kelajuan konstan dengan enjin petrol dimatikan secara automatik.

    E 350 juga menerima sistem suspensi Dynamic Body Control yang lebih jitu dari versi biasa bersama sistem Dynamic Select bagi melaras talaan suspensi, stereng dan janakuasa bergantung pada mod pemanduan yang dipilih.

    Pada bahagian luaran, E 350 hadir dengan pakej AMG Line bersama pakej Night, yang terdiri dari apron hadapan AMG, gril radiator Diamond dengan louvre tunggal, serta kemasan hitam berkilat pada penutup cermin sisi dan juga kemasan bampar belakang. Rim aloi lima-jejari berkembar berdiameter 19-inci dan lampu hadapan Multibeam LED bersama Adaptive Highbeam Assist Plus juga adalah standard untuk model ini.

    Manakala untuk kabin, model ini menerima kulit Nappa bersama kulit Artico khas untuk AMG Line, roda stereng balutan kulit Nappa pelbagai fungsi AMG, kemasan metal-weave, juga kemasan piano black pada konsol tengah, serta sistem penghawa dingin Thermotronic lebih maju.

    Pakej Bantuan Pemanduan dengan lebih fungsi juga diberikan pada model tertinggi ini, yang terdiri dari Pilot Distance Distronic (cruise control adaptif dengan stop & go), Active Lane Keeping Assist (pemanduan separa-autonomus), Active Blind Spot Assist dan brek kecemasan automatik. Untuk kesemua ini, Mercedes-Benz E 350 AMG Line dijual pada harga RM399,888.

     
     
  • Mazda CX-30 tampil di Geneva Motor Show – SUV baharu yang diposisikan antara CX-3 dan CX-5

    Mazda CX-30 tampil di Geneva Motor Show – SUV baharu yang diposisikan antara CX-3 dan CX-5

    Pertengahan bulan lalu, kami ada melaporkan model SUV misteri Mazda yang dijadualkan bakal dipertontonkan di Geneva Motor Show 2019. Mazda telah pun mengotakan janjinya dengan memperkenalkan SUV baharunya, CX-30, dan ia bukanlah generasi kedua bagi CX-3. Tetapi merupakan model SUV baharu yang diposisikan antara CX-3 dengan CX-5.

    Ok, kenapa ia tidak dinamakan sebagai CX-4? Jika anda boleh ingat, model itu telah pun ada di pasaran China. Jadi, apa yang boleh kami simpulkan di sini ialah CX-30 mungkin untuk pasaran lain seperti Eropah.

    Untuk dimensinya, Mazda berkata CX-30 berukuran 4,395 mm panjang, 1,795 mm lebar, 1,540 mm tinggi dan jarak roda 2,655 mm. Dibandingkan dengan dimensi bagi CX-3 (4,275 mm panjang, 1,765 mm lebar, 1,535 mm tinggi, 2,570 mm bagi jarak roda) and CX-5 (4,550 mm panjang, 1,840 mm lebar, 1,675 mm tinggi, 2,700 mm untuk jarak roda).

    Untuk perbandingan dengan CX-4 pula, ia berukuran 4,633 mm panjang, 1,840 mm lebar, 1,535 mm tinggi dan jarak roda pula 2,700 mm.

    Mazda CX-30 tampil di Geneva Motor Show – SUV baharu yang diposisikan antara CX-3 dan CX-5

    Seperti Mazda 3 baharu, CX-30 ini merupakan model kedua daripada pengeluar kereta Jepun ini yang mengadaptasikan evolusi terkini bagi falsafah rekaan Kodo. Untuk hujung hadapannya ia kelihatan hampir sama dengan rupa CX-5, tetapi dibezakan dengan kemasan gril krom yang lebih mendalam menuju ke lampu utama yang lebih langsing.

    Bahagian bampar pula hitam sepenuhnya berbanding separuh hitam pada CX-5, dan kelihatan corong bawah yang lebih besar dan dua kepingan LED yang bertindak umpama lampu kabus.

    Walau bagaimana pun, daripada pandangan sisi, lebih banyak perbezaan yang jelas. Ini kelihatan pada “bentuk S’ pada panel pintu, yang menurut Mazda ia dipengaruhi oleh kaligrafi Jepun.

    Dengan menggunakan ruang kosong (Yohaku), lengkuk dengan keseimbangan (Sori) dan bermain dengan cahaya dan bebayang (Utsoroi) merupakan tiga kunci utama untuk Kodo 2.0, dan kita boleh lihatnya menerusi Vision Coupe Concept, yang membolehkan penukaran pada refleksi pada bahagian badan apabila kereta sedang bergerak atau bila sumber cahaya mengelilinginya.

    Mazda CX-30 tampil di Geneva Motor Show – SUV baharu yang diposisikan antara CX-3 dan CX-5

    CX-30 turut mengadaptasi garisan bumbung landai yang nampak seperti coupe, dengan C-pillar yang cukup menonjol. Sementara lapisan badan bitam bersama gerbang roda dan sisi bawah juga lebih menonjol berbanding Cx-5.

    Bagi pilihan warnanya, Mazda berkata sebanyak sembilan tona yang akan ditawarkan termasuklah Soul Red Crystal, Machine Grey dan Polymetal Grey. Ia juga akan ditawarkan dengan pilihan roda 16- dan 18-inci.

    Di belakangnya pula, bukaan tailgate berkuasa berkeluasan 1,020 mm dan ketinggian 731 mm, sekalgus mampu memberikan kapasiti sehingga 430 liter untuk ruang but.

    Bahagian bawahnya pula, kelihatan lebih banyak lapisan hitam dan sepasang ekzos. Lampu belakang pula sama seperti yang kita lihat menerusi teaser sebelum ini, menampilkan rekaan silinder dengan tepi yang mengalun ke tailgate.

    Manakala bahagian dalamnya, bentangan papan pemuka kelihatan hampir sama dengan Mazda 3, dengan bahagian atas yang nampak umpama beralun merentasi segenap permukaan, bersama kemasan jahitan.

    Turut dilengkapi dengan pelbagai teknologi Mazda termasuk Paparan Pemanduan Aktif, dail analog dan digital pada kluster instrumen, paparan 8.8-inci, sistem infotainmen MZD Connect dan sistem audio (konfigurasi 8-pembesar suara standard dan larasan Bose 12-pembesar suara) turut ditawarkan.

    Untuk aspek keselamatan, CX-30 menerima kit yang sama dengan Mazda 3, dengan tujuh beg udara (termasuk bahagian lutut pemandu) dan Mazda i-Activsense termasuk sistem Driver Monitoring, Front Cross Traffic Alert (FCTA) dan Cruising & Traffic Support (CTS) – untuk kawalan kelajuan adaptif kelajuan rendah.

    Mazda CX-30 tampil di Geneva Motor Show – SUV baharu yang diposisikan antara CX-3 dan CX-5

    Pilihan penjana kuasa termasuk SkyActiv terkini dengan barisan enjin petrol dan diesel, termasuk teknologi Spark Controlled Compression Ignition (SPCCI). Penjana kuasa petrol juga didatangkan dengan sistem Mazda M Hybrid, yang beroperasi pada sistem hibrid sederhana 24-voltan.

    Transmisi automatik dan manual enam-kelajuan juga ditawarkan, dengam pilihan sistem Mazda i-Activ AWD; G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) didatangkan secara standard.

    CX-30 dibangunkan dengan Mazda SkyActiv-Vehicle Architecture, dan menampilkan struktur straight framework dan continuous ring. Dengan ini, ia turut menggunakan keluli ketahanan tinggi sehingga 1,310 MPa, yang memberikannya kerangka yang lebih ringan dan lebih tegar. Suspensi pula menggunakan topang MacPherson di hadapan dan torsion beam untuk belakang.

     
     
  • Bajaj Dominar 400 2019 akan dilancar di India – kini dengan fork USD, kuasa bertambah 5 hp, harga RM10k

    Bajaj Dominar 400 2019 akan dilancar di India – kini dengan fork USD, kuasa bertambah 5 hp, harga RM10k

    Tidak lama lagi, Bajaj akan memperkenalkan Dominar 400 versi dipertingkat bagi tahun 2019 di India. Ia kini datang dengan fork USD 43 mm di hadapan, serta peningkatan kuasa sebanyak 5 hp, menjadi 40 hp daripada 35 hp sebelum ini. Harga Dominar 400 2019 ini masih lagi belum disiar, tapi berdasarkan sumber kami, ia mungkin berada pada antara 1.7 ke 1.8 lakh ataupun bersamaan antara RM9,828 ke RM10,407.

    Dominar 400 adalah sebuah model yang menggunakan asas daripada KTM Duke 390, dengan menggunakan enjin satu silinder 373.2 cc penyejukan cecair, mampu menghasilkan 40 hp pada 8,650 rpm dan 35 Nm tork pada 7,000 rpm. Ia kemudiannya dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan bersama klac jenis slipper.

    Melalui gambar yang kami perolehi daripada carandbike ini, anda juga dapat melihat beberapa perubahan lain seperti rekaan ekzos, rangka, lengan ayun dan enjin yang diwarnakan hitam, kedudukan brek cakera hadapan yang diubah ke sebelah kiri serta meter yang kini tidak mempunyai butang. Warna hijau di dalam gambar ini juga adalah baru.

    Selain daripada itu, tiada perubahan lain pada Dominar 400, dan ia masih lagi menggunakan cakera brek 320 mm di hadapan, 230 mm di belakang, sistem ABS two-channel, monoshock Nitrox di belakang, tangki bahan api 13 liter dan rim 17 inci dengan tayar 110/70-17 di hadapan dan 150/60-17 di belakang. Berat model baru ini bagaimanapun bertambah 2 kg berbanding model sebelum ini, menjadi 184 kg.

    Di Malaysia, model Dominar 400 dipasarkan oleh Modenas, dan semasa pelancaran, ia dijual pada harga RM14,615, namun naik sedikit pada bulan Oktober 2018 menjadi RM15,488 (tidak termasuk insurans). Kami juga sudah menguji motosikal ini, dan anda boleh membaca laporannya di sini.

     
     
  • PANDU UJI: Proton Iriz 2019 – anggapan awal; suntikan lebih segar untuk imej dan gaya

    PANDU UJI: Proton Iriz 2019 – anggapan awal; suntikan lebih segar untuk imej dan gaya

    Sejak model pertamanya dilancarkan pada 2014, Proton berkata lebih 50,000 unit Iriz telah pun berjaya dijual. Walau pun ia tidak dapat mengatasi angka jualan yang ditunjukkan oleh pencabarnya, Perodua Myvi, namun kehadiran Iriz di negara ini mampu merancakkan lagi pasaran bagi segmennya.

    Pada 28 Februari lalu, Proton telah menganjurkan sesi pra-tonton untuk Iriz 2019. Walau pun tarikh pelancarannya tidak dimaklumkan, namun dalam masa yang sama, Proton turut mengumumkan bahawa tempahan secara dalam talian telah pun dibuka mulai 1 hingga 11 Mac ini, dengan yuran tempahan sebanyak RM9.99 sahaja.

    Dengan menawarkan lima varian iaitu Standard 1.3L MT, Standard 1.3L CVT, Executive 1.3L CVT, Executive 1.6L CVT dan Premium 1.6L CVT, Iriz 2019 diberikan suntikan imej yang lebih segar dan bergaya. Malah rekaan yang diperagakan banyak mengikut konsep baharu Proton, yang pada mulanya diperkenalkan menerusi SUV X70.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia perkenal Program Waranti Lanjutan Bateri Hibrid – hingga 8 tahun/180,000 km

    Mercedes-Benz Malaysia perkenal Program Waranti Lanjutan Bateri Hibrid – hingga 8 tahun/180,000 km

    Mercedes-Benz Malaysia telah memperkenalkan Program Waranti Lanjutan Bateri Hibrid untuk model E 300 BlueTEC Hybrid dan S 400 h, di mana dengannya, pemilik akan diberi perlindungan untuk pambaikan atau penggantian bateri hibrid kenderaan mereka sehingga tempoh lapan tahun atau 180,000 km daripada tarikh ia didaftar, bergantung kepada mana yang tiba dahulu.

    Baru-baru ini, satu gambar invois penukaran bateri yang melibatkan E 300 h BlueTEC Hybrid tersebar di dalam media sosial, dan ia menunjukkan kos bateri itu sahaja berjumlah lebih daripada RM120,000. Program waranti lanjutan ini besar kemungkinan adalah langkah maklum balas daripada insiden tersebut. Sebelum ini, perlindungan untuk bateri hibrid dimasukkan sekali dengan waranti 2+2 tahun tanpa had batuan yang datang standard untuk semua model Mercedes-Benz.

    Untuk layak dalam program waranti lanjutan ini, kenderaan tersebut perlu didaftar dalam masa kurang empat tahun (masih dalam tempoh waranti) waktu perjanjian ditandatangani. Kenderaan juga perlu melalui pemeriksaan khas waktu menandatangani perjanjian, sebelum waranti lanjutan itu boleh diberi, dan bateri hibrid kenderaan perlu berfungsi 100%.

    Dengan adanya program baru ini, semua kos untuk membaiki atau mengganti bateri hibrid kenderaan akan ditanggung oleh Mercedes-Benz Malaysia, sepanjang tempoh waranti lanjutan dari tahun kelima hingga tahun kelapan daripada tarikh kenderaan didaftar.

    Mercedes-Benz Malaysia perkenal Program Waranti Lanjutan Bateri Hibrid – hingga 8 tahun/180,000 km

    Sudah tentu, pemilik juga perlu mematuhi beberapa terma dan syarat spesifik untuk perlindungan program ini, dengan antaranya adalah “kenderaan tersebut perlu terus diservis dan diselenggara sepenuhnya oleh pusat servis atau pengedar berdaftar Mercedes-Benz mengikut spesifikasi pengilang, sepanjang tempoh waranti lanjutan tersebut.”

    Sebagai tambahan, waranti lanjutan ini juga cuma diperuntukkan bagi pembaikan atau penggantian bateri hibrid apabila ia gagal disebabkan kerosakan bahan itu sendiri atau tenaga kerja. Kegagalan bateri disebabkan kesan penggunaan dan pengurangan kapasiti bateri tidak termasuk dalam waranti ini.

    Syarat dan terma program waranti lanjutan ini juga ada menyatakan, “waktu pembaikan atau penukaran, Mercedes-Benz Malaysia boleh, atas pertimbangan sendiri, sama ada untuk menukar atau membaiki bahagian yang rosak, dan tidak bertanggung jawab untuk memberi ganti rugi kepada pemilik atas kerugian tidak dapat menggunakan kenderaan, kos pengangkutan atau memberi kereta ganti waktu kenderaan sedang dibaiki.”

    Sebagai maklumat, model plug-in hybrid seperti C 350 e dan E 350 e tidak termasuk dalam program waranti lanjutan baru ini, memandangkan ia mempunyai waranti berasingan sendiri untuk bateri selama enam tahun atau 100,000 km.

     
     
  • Skim pinjaman ‘tanpa duit muka’ salah dari segi undang-undang dan boleh dihukum – KPDNHEP

    Skim pinjaman ‘tanpa duit muka’ salah dari segi undang-undang dan boleh dihukum – KPDNHEP

    Kita biasa melihat iklan-iklan jualan kereta sama ada baru dan terpakai dengan tawaran ‘zero downpayment‘ atau tanpa sebarang deposit/duit muka 10% dari jumlah pinjaman sebenar bukan? Namun tahukah anda perkara ini sebenar adalah menyalahi undang-undang dalam negara?

    Perkara ini disebut oleh Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor Azman Adam dalam laporan Harian Metro. Menurut beliau antara taktik yang digunakan adalah dengan memanipulasi harga menerusi ciri dan reka bentuk kereta sebelum menawarkan kaedah pembelian tanpa deposit kepada pelanggan, contohnya memohon pinjaman untuk Honda Jazz varian pertengahan gred E dengan tetapi menggunakan spesifikasi dan model versi tertinggi gred V.

    Katanya tawaran seperti itu akan menarik lebih ramai pembeli kerana tidak perlu menyediakan simpanan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada harga kenderaan berkenaan. “Jika pembeli ditetapkan membayar 10 peratus wang pendahuluan daripada harga kenderaan, ia menunjukkan keupayaan pembeli untuk membayar harga bulanan dan juga mampu mengurangkan komitmen bulanan pembeli,” jelas Azman.

    “Selain itu, ia dapat mengelak pembeli disenarai hitam atau diisytihar bankrap sekiranya bayaran bulanan tinggi,” tambahnya lagi dan menegaskan bahawa berdasarkan Akta Sewa Beli (ASB) 1967, pembeli perlu membayar tidak kurang daripada satu persepuluh harga tunai kenderaan yang termaktub dalam perjanjian dan syarikat yang tidak mematuhi peraturan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 31(1) ASB 1967.

    Menurut Azman, pihaknya menjalankan Ops 0% ASB 1967 di seluruh Selangor dengan melakukan pemeriksaan terhadap 35 syarikat menjual kenderaan semalam selepas mendapati tawaran pembelian tanpa deposit semakin berleluasa demi menarik keuntungan lumayan – hasilnya sebanyak 11 syarikat dikesan melanggar peraturan kerana tidak mengambil deposit kurang 10 peratus.

    “Semua syarikat yang melanggar peraturan itu diarah berhenti mempromosikan iklan ‘zero downpayment’ itu dan siasatan lanjut masih sedang dijalankan,” katanya.

     
     
  • Harga Yamaha Tenere 700 diumum untuk UK – RM47k

    Harga Yamaha Tenere 700 diumum untuk UK – RM47k

    Tahun ini, ada dua model adventure pertengahan baru yang akan berentap rapat, iaitu KTM Adventure 790 dan Yamaha Tenere 700. Untuk Adventure 790, harganya masih belum diumumkan secara rasmi tetapi ada ura-ura di Amerika Syarikat ia akan dijual pada harga antara USD12,499 (RM50,820) untuk model Standard dan USD13,499 (RM54,886) untuk model 790 Adventure R.

    Melihat kepada Tenere 700 pula, kini Yamaha sudah mengumumkan harganya, untuk pasaran UK terlebih dahulu iaitu £8,699 (RM46,747). Walaupun begitu, mereka yang membuat tempahan awal melalui laman web khas bermula 27 Mac ini akan mendapat pengurangan harga £300 (RM1,612).

    Tenere 700 adalah sebuah model adventure yang dihasilkan daripada T7 Concept yang ditunjukkan beberapa tahun lalu, dan ia dikuasakan oleh enjin crossplane dua silinder selari 689 cc CP2 dengan sistem penyejukan cecair sama seperti MT-07, mampu menghasilkan kuasa 72.4 hp pada 9,000 rpm dan 68 Nm tork pada 6,500 rpm. Kuasa disampaikan ke atas jalan melalui kotak gear enam kelajuan serta sistem pacuan rantai.

    Yamaha Tenere 700 didakwa dapat memberikan kawalan yang mudah dan tahan atas jalan offroad, dan ia juga boleh digunakan untuk perjalanan jauh atas jalan biasa. Kemampuannya telah dibuktikan awal apabila Yamaha membawa Tenere 700 World Raid ke beberapa destinasi terkenal serata dunia.

    Antara kelengkapan pada Tenere 700 ini adalah fork USD 43 mm dengan jarak gerak 210 mm di hadapan, monoshock belakang dengan jarak gerak 200 mm, 21 inci di hadapan, 18 inci di belakang dan dibalut dengan tayar Pirelli Scorpion Rally STR masing-masing bersaiz 90/90 dan 150/70, tangki bahan api 16 liter, panel paparan LCD, lampu hadapan LED yang terletak dalam kokpit seperti motosikal rali dan pelindung tangan.

     
     
  • Proton Exora facelift – bayangan dari model sedia ada

    Proton Exora facelift – bayangan dari model sedia ada

    Selepas SUV segmen-C Proton X70 dilancarkan hujung tahun lalu, nampaknya Proton kini sedang mengemaskini rupa dan ciri untuk model-model sedia ada iaitu Iriz, Persona dan Saga dalam versi facelift. Tidak mustahil, MPV tujuh-tempat duduk Proton Exora turut akan menuruti jejak langkah tiga model tadi.

    Exora sudah pun berada hampir sepuluh tahun, adakah ia masih relevan disegarkan kembali untuk tahun 2020? Ya atau tidak, jangan lupa bahawa Perodua Alza juga menerima penyegaran sama tahun lalu, dan ia juga sebuah model yang diperkenalkan pada tahun 2009. Begitu juga pada peringkat antarabangsa, di mana Mitsubishi telah mendedahkan ASX facelift, yang diasaskan dari model yang muncul buat pertama kali pada 2010 itu.

    Imej bayangan Proton Exora facelift ini dihasilkan oleh pakar manipulasi digital automotif, Theophilus Chin. Dan beliau telah menterjemahkan bayangan berkenaan – bagaimana rupa Exora sekiranya masih bertahan dalam pasaran dengan pengaruh rupa terkini Proton, dan bukan dengan pengaruh rekaan Perdana pada versi render sebelum ini.

    Walaupun hanya ‘facelift‘, Theo menghasilkan Exora yang menampilkan banyak perubahan tetapi masih mengekalkan jarak roda, tiang-tiang, tingkap-tingkap dan juga cermin hadapan dan belakang. Jadi, walaupun menerima rombakan rupa, anda masih boleh mengenali model ini sebagai Exora berdasarkan bentuk badannya.

    Proton Exora facelift – bayangan dari model sedia ada

    Lampu asal ditukar dengan lampu yang lebih tirus, manakala grilnya pula direka dengan elemen ‘inifinite weave‘ dan juga busur panah seperti X70. Bampar baharu yang lebih moden turut diberikan bagi melengkapkan muka Exora baharu ini. Theo telah mereka semula garis bawah sisi MPV ini, yang seakan ‘bilah sisi’ pada Iriz dan Persona.

    Di belakang pula, lampu menegak masih lagi kekal, tetapi ia disegarkan dengan kemasan bar bawah cermin belakang dengan perkataan ‘PROTON’, serta bampar dengan rekaan diffuser baharu yang turut menempatkan lampu kabus tunggal di tengah.

    Kenapa kami rasa Exora facelift ini relevan walhal Proton telah sah bakal membangunkan MPV tujuh-tempat duduk berdasarkan Geely Jiaji? Pertama, model berkenaan hanya akan muncul pada lewat 2020 atau 2021 bagi memberikan laluan kepada SUV segmen-B berasaskan Geely Binyue yang telah pun kelihatan sedang diuji.

    Kedua, berdasarkan saiz, MPV baharu berkenaan mungkin akan dijual pada harga melebihi RM100k, dan Proton masih memerlukan model MPV tujuh-tempat duduk bagi memenuhi permintaan pelanggan dengan bajet bawah RM100k. Apa pun, ini semua hanyalah spekulasi dan kami tahu bahawa Proton kini memang sedang menyegarkan kembali Exora. Jadi sekiranya rupa model tersebut hampir dengan imej bayangan ini, apa pula pendapat anda?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025