Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • TAS2019: Lancia Delta Fenice 105 oleh Sano Design – jentera ‘Time Attack’ agresif dengan bekalan 600 hp

    TAS2019: Lancia Delta Fenice 105 oleh Sano Design – jentera ‘Time Attack’ agresif dengan bekalan 600 hp

    Tokyo Auto Salon seperti diketahui adalah gambaran bagaimana scene keseluruhan dunia ubahsuai kenderaan di Jepun itu sendiri. Walaupun pun penuh dengan kereta-kereta JDM, sebenarnya masih ramai lagi rakyat Jepun yang berminat untuk mengubahsuai kereta-kereta luar seperti dari Eropah dan Amerika Syarikat.

    Anda kenal Lancia Delta? Jenama Lancia itu sendiri sebenarnya memang agak rare di Malaysia dan saya sendiri tidak pernah lagi bertemu secara live dengan sebuah Lancia di sini. Lancia adalah salah satu jenama buatan Itali. Walaupun ia tidak popular seperti Alfa Romeo atau Fiat, Lancia adalah jenama Itali yang paling lagenda dalam arena rali.

    Sebelumnya wujudnya kelas Group B, Lancia Stratos merupakan antara kereta rali terhebat di zamannya. Setelah Group B diperkenalkan, jenama tersebut berlumba dengan jentera Lancia 037 yang juga masih mengekalkan konfigurasi enjin tengah pacuan belakang. Namun dengan desakan untuk menggunakan sistem 4WD begitu kuat agar kekal kompetitif, Lancia memperkenalkan jentera Delta S4 dengan enjin yang disuap turbo bersama superchager.

    TAS2019: Lancia Delta Fenice 105 oleh Sano Design – jentera ‘Time Attack’ agresif dengan bekalan 600 hp

    Tetapi dengan jentera yang begitu berkuasa, ia telah mengorbankan pemandunya, Henri Toivonen bersama juruarah Sergio Cresto di rali Tour De Corse pada tahun 1986, seterusnya menyebabkan rali Group B itu terus diharamkan. Ini tidak melenyapkan terus jenama Lancia berkenaan di mana mereka terus menguasai WRC Group A dari 1987 hingga 1992 dengan Lancia Integrale HF, dan akhirnya ditenggelamkan pada trio Jepun – Toyota Celica, Mitsubishi Lancer Evo dan Subaru Impreza WRX.

    Lancia Delta Integrale HF masih lagi digunakan pada kejohanan-kejohanan rali di Eropah sehingga kini, dan ada juga diubahsuai dengan begitu liar untuk perlumbaan Hill Climb. Delta Intergrale yang anda kami jumpa di Tokyo Auto Salon 2019 ini adalah diantara yang masih berjuang untuk kelajuan.

    Kereta ini diubahsuai oleh Sano Design dan diberi nama sebagai Lancia Delta Fenice 105. Pada mulanya saya beranggapan ia adalah jentera Hill Climb, tetapi selepas itu kami difahamkan kereta ini sebenarnya digunakan untuk perlumbaan Time Attack.

    TAS2019: Lancia Delta Fenice 105 oleh Sano Design – jentera ‘Time Attack’ agresif dengan bekalan 600 hp

    Seperti yang anda lihat, kereta ini kelihatan begitu radikal dengan kit aero yang begitu agresif. Keempat-empat ruang roda kereta ini direka dengan begitu lebar, yang bukan sahaja untuk mendapatkan trek roda yang lebih lebar, tetapi turut berfungsi sebagai ‘sayap’ sisi bagi mendapatkan downforce seperti jentera-jentera rali Group B dan WRC terkini.

    Aliran udara tersebut terlebih dahulu diambil dari bampar hadapan yang diberikan spoiler, splitter dan liang keamsukan udara yang begitu besar. Untuk memastikan downforce tersebut turut membantu bahagian belakang agar turut melekat diatas permukaan belakang, ia dibantu oleh spoiler GT gergasi dan juga diffuser pada bampar belakang. Kesemua panel kit aero ini dibina menggunakan material gentian karbon bagi memastikan ia tidak menerima lebihan berat.

    Sano Design turut mereka semula sistem suspensi kereta ini bagi disesuaikan dengan badan yang lebih lebar, dan tentunya lebih mudah ditala bagi mendapatkan cengkaman yang lebih baik. Set rim Enkei NT03 RR diberikan, dibalut dengan tayar perlumbaan sebenar.

    Bahagian dalaman juga dibina sebagai sebuah kereta lumba lengkap. Rollcage penuh diberikan yang bukan sahaja untuk keselamatan, malah turut memberikan pengendalian lebih baik. Selain itu, ia juga dibekalkan dengan tempat duduk perlumbaan Recaro bersama tali pinggang OMP, roda stereng OMP Superleggera, dan juga papan pemuka yang dibalut dengan Alcantara.

    Apa yang menarik, panel instrumen asal digantikan dengan panel dari Motec menampilkan grafik menyerupai bentangan paparan meter dari jentera rali klasik.

    Apa pula disebalik penutup bonet hadapan? Lancia ini masih dijana enjin asal dari versi 2.0L 16-injap. Namun sesaran asal kini telah dinaikkan kepada 2.3 liter dengan suapan pengecas turbo gergasi Garrett GT3037. Hasilnya, jentera Time Attack 4WD ini dibekalkan dengan kuasa setinggi 600 hp!

     
     
  • SPYSHOT: Lynk & Co 01, 02 dan 03 dijumpai di M’sia

    SPYSHOT: Lynk & Co 01, 02 dan 03 dijumpai di M’sia

    cof

    Keseluruhan barisan model Lynk & Co termasuk SUV 01, crossover kompak 02 dan sedan 03 telah dijumpai di Malaysia, oleh beberapa orang pembaca paultan.org. Malah, kereta ini dijumpai di kawasan yang berlainan kerana gambar yang dihantar oleh Parhelia adalah di Kuantan, manakala oleh Neoh Perng King di Pulau Pinang.

    Sama seperti 01 yang dijumpai sebelum ini, semua kereta ini tidak memakai sebarang penyamaran dan ditanda sebagai kereta panduan sebelah kiri. Penemuan mereka juga menguatkan lagi berita bahawa Zhejiang Geely akan menggunakan kilang Proton di Tanjung Malim untuk membina model Lynk & Co versi pemanduan sebelah kanan (RHD).

    Unit ujian yang dijumpai ini berkemungkinan digunakan untuk penilaian dan pembangunan penukaran ke RHD dan ini membolehkan Lynk & Co nanti untuk menjualnya ke pasaran RHD lain. Walaupun begitu, masih belum ada sebarang kata rasmi daripada pihak yang terlibat.

    Ketika ini, pengeluaran bagi model 01 telah bermula di China – sebuah pasaran pemanduan sebelah kiri – dan dilaporkan akan turut dilanjutkan ke kilang Volvo di Ghent, Belgium dan Carolina Selatan, AS. Pemasangan di Belgium adalah bagi menampung pasaran RHD di Eropah manakala Malaysia pula berpotensi untuk ditambah dalam senarai ini untuk membantu mengembangkan lagi pasaran Lynk & Co.

    Sukar untuk memberitahu kenderaan yang dijumpai ini menggunakan enjin apa, tetapi kesemuan model Lynk & Co boleh didapati dengan enjin tiga silinder 1.5L atau empat silinder 2.0 liter turbo petrol. Enjin 1.5 itu digunakan sebagai asas untuk penjana plug-in hybrid yang bakal ditawarkan pada semua model itu.

    Proton sebelum ini telah memaklumkan yang kemudahan di Tanjung Malim akan digunakan sebagai pusat R&D dan pengeluaran bagi model-model RHD oleh Geely Group. Kerja-kerja menaik taraf untuk tujuan ini termasuk sekali di dalam pelaburan RM1.2 bilion sebelum ini, dan produksi dijangka akan bermula pada September 2019.

     
     
  • TAS2019: Toyota 86 MF-Ghost Concept – hero manga Jepun yang anda boleh miliki dalam dunia sebenar

    TAS2019: Toyota 86 MF-Ghost Concept – hero manga Jepun yang anda boleh miliki dalam dunia sebenar

    Setelah berakhir Initial D Final Stage pada tahun 2014, maka secara rasmi tamatlah siri pengembaraan Takumi Fujiwara bersama Toyota AE86 miliknya. Tetapi tahukah anda selepas itu penulis dan pelukis manga tersebut iaitu Shuichi Shigeno mula melukis siri baharu yang bertajuk MF Ghost?

    Jika Inital D mengisahkan Fujiwara Takumi yang berumur 18 tahun pada 1995 dan kemudian ia berkisar kehidupannya sehingga 19 tahun, sedangkan siri itu sendiri hanya tamat 17 tahun selepas itu, untuk MF Ghost jalan cerita kisah ini dinyatakan bermula pada tahun 2020 keatas di mana ketika itu kereta yang boleh berjalan sendiri tanpa pemandu menguasai jalan raya.

    MF Ghost menceritakan kisah watak utamanya, Kanata Livington yang berdarah British-Jepun berumur 19-tahun dan graduan Royal Donington Park Racing School, pulang ke Jepun untuk mencari ayah kandungnya. Walaupun komik ini bukanlah sambungan kepada siri Initial D, Kanata dikatakan anak murid kepada Fujiwara Takumi, yang telah berpindah ke UK pada umur 20-tahun, dan berlumba sebagai pemandu rali professional untuk Toyota di Kejuaraan Rali British.

    TAS2019: Toyota 86 MF-Ghost Concept – hero manga Jepun yang anda boleh miliki dalam dunia sebenar

    Dalam siri ini, sambil mencari ayahnya, Kanata berlumba dalam perlumbaan touge di Jepun dengan menggunakan nama Katana Katagiri, bagi memudahkan namanya dikenali seterusnya mudah untuk berjumpa dengan ayahnya, Ken Katagiri. Untuk berlumba, dia menggunakan Toyota 86 generasi baharu berwarna merah.

    Ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2019, penerbit manga MF Ghost bersama Toyota telah menghasilkan Toyota 86 MF Ghost Concept, dengan spesifikasi menyerupai Toyota 86 yang digunakan oleh Kanata. Setiap perincian dan ubahsuai pada kereta ini didedahkan, dan peminat boleh membina 86 dengan spesifikasi sama seperti dalam manga! Pembinaan kereta ini juga diselia oleh dua pelumba professional Toyota Gazoo Racing, Juichi Wakisaka dan Tetsuya Yamano.

    Enjin kereta ini masih dibiarkan standard, tetapi diberikan penyejuk minyak pelincir dan klac asal telah ditukar kepada Ogura N1. Pengubahsuaian lebih ditumpukan pada aspek pengendalian bermula dengan suspensi boleh laras EXM Exmotion Athlete Orange. Manakala gandar belakang pula menerima LSD 2 Way dari TRD.

    Kereta ini diberikan tayar Brigestone Potenza RE-71R bersaiz 215/45R17 dengan rim aloi forged TWS Motorsport T66-F bersaiz 17-inci dengan lebar 8 jj. Brek hadapan ditukar dengan cakera dilarik bersama angkup brek forged empat omboh dari Project Miu. Belakang juga diberikan dengan set yang sama tetapi lebih kecil dengan angkup forged dua-omboh.

    Bahagian luaran masih nampak standard dengan warna badan merah, diberikan grafik nombor 86 di pintu dan juga pelekat-pelekat peralatan prestasi yang digunakan. Spoiler GT Sard LSR bersaiz agak besar diletakkan pada but belakang bagi memberikan kestabilan lebih baik.

    Masuk ke kabin, tempat duduk pemandu digantikan dengan tempat duduk perlumbaan Bride Low Max Xero CS. Papan pemuka pula dilengkapkan dengan instrumen tambahan Defi ZD yang memberikan bacaan seperti rpm enjin, suhu air, suhu minyak pelincir dan sebagainya.

    Ketika kereta ini didedahkan di Makuhari Messe, penerbit turut menjual edisi keempat komik MF Ghost berkenaan. Dengan jumlah pembelian tertentu, pelanggan diberikan hadiah khas penyimpan fail plastik edisi terhad yang menampilkan grafik kulit muka Initial D dan MF Ghost edisi pertama.

     
     
  • Perodua Aruz dapat lima bintang dalam ASEAN NCAP

    Seperti yang boleh dilihat dalam risalah jualan, SUV Perodua Aruz yang baru dilancarkan telah diberi markah penuh lima bintang oleh ASEAN NCAP dalam ujian keselamatan perlanggaran yang telah dibuat. Walaupun begitu, kami ingin memberitahu, kenderaan sebenar yang diuji adalah Toyota Rush 1.5 G (spesifikasi Indonesia) dan terdapat sedikit perbezaan dalam keputusannya.

    Sebagai permulaan, untuk perlindungan penumpang dewasa, Aruz dan Rush mendapat markah yang sama iaitu 43.25 (berdasarkan protokol ujian terbaru 2017-2020). Dalam simulasi impak perlanggaran hadapan dan tepi, kepala patung yang digunakan mendapat markah penuh dengan perlindungan yang baik, tetapi untuk keadaan sebenar, masih terdapat kemungkinan kecederaan pada bahagian dada dan kaki. Ini sebenarnya adalah biasa.

    Untuk perlindungan penumpang kanak-kanak pula, Aruz mencatat markah 21.01, dan ini adalah kurang sedikit daripada Rush yang mencatat 21.33 markah. Menurut laporan ujian tersebut, satu-satunya perbezaan antara dua model dalam ujian ini adalah kesesuaian sistem kekangan kanak-kanak (mengikut jenama barang) di tempat duduk baris kedua. Dua tempat duduk yang digunakan iaitu Combi Malgott dan Britax KidFix XP gagal dalam ujian perlanggaran ini.

    Dalam penilaian sistem bantuan keselamatan, Aruz mencatat markah yang baik, iaitu 22.22 mata dan ini adalah lebih tinggi berbanding 19.44 mata yang dicatat oleh Rush. Penyebab utamanya adalah Advanced Driver Assist System (ASA 2.0) yang ada pada Aruz. Walaubagaimanapun, Rush yang digunakan dalam ujian itu adalah model pasaran Indonesia, yang tidak mempunyai Pre-Collision System (sama seperti ASA 2.0). Jika ada, pasti markahnya akan jadi sama.

    Kenyataan yang dikeluarkan oleh ASEAN NCAP ada tertulis: “SUV Perodua baru menggunakan asas model Toyota Rush, di mana ia telah menerima keputusan ASEAN NCAP pada bulan Mei 2018. Disebabkan itu, dengan menggunakan dokumen yang disediakan oleh Perodua, ASEAN NCAP telah memanjangkan status Toyota Rush kepada Perodua Aruz.”

    “Dalam pecahan markah yang dicatat, kebanyakan markah yang telah diperolehi oleh Rush, diberi kepada SUV Perodua, kecuali dua bahagian penilaian iaitu sistem kekangan kanak-kanak dengan 8.19 mata dan Advanced Safety Assist Technologies dengan 2.00 mata. Perodua Aruz mempunyai spesifikasi yang sama seperti Toyota Rush termasuk enam beg udara, Electronic Stability Control, Sistem Peringatan Tali Pinggang untuk tempat duduk depan dan belakang, Isofix serta tali pinggang dengan tapak di atas (top tether).

    “Sebagai tambahan, SUV Perodua juga boleh didapati dengan Autonomous Emergencency Braking dan Forward Collision Warning. Dengan markah keseluruhan 86.49 mata, Perodua Aruz layak untuk mendapat lima bintang dalam ASEAN NCAP.”

    Anda juga boleh membaca pelbagai lagi informasi berkenaan Perodua Aruz melalui pautan di bawah:

     
     
  • Proton panggil semula Perdana untuk tukar inflator

    Proton panggil semula Perdana untuk tukar inflator

    Berikutan pengumuman panggilan semula yang dikeluarkan oleh Honda Motor Company mengenai inflator beg udara penumpang bagi model Honda Accord sebelum ini, Proton mengumumkan panggilan semula bagi tujuan servis baik pulih yang akan dilakukan untuk menggantikan inflator beg udara penumpang semua model Proton Perdana terkini.

    Ini merupakan satu langkah berjaga-jaga kerana Perdana merupakan model asal Honda Accord dan melibatkan kereta-kereta yang dikeluarkan dari tahun 2012 sehingga akhir Ogos 2018. Notis mengenai isu ini akan dihantar kepada semua pemilik.

    Panggilan semula ini bagaimanapun tidak akan melibatkan mana-mana model Proton yang lain kerana beg udara yang digunakan adalah daripada pembekal berbeza.

    “Semua pemilik Proton Perdana akan dimaklumkan mengenai perkara ini dan mereka dinasihatkan menghubungi talian khidmat pelanggan Proton untuk membuat temu janji penggantian beg udara penumpang pada kereta mereka. Kereta yang dikeluarkan selepas 31 Ogos 2018 tidak terlibat,” memetik kenyataan rasmi Proton.

    Jumlah Proton Perdana yang terjejas adalah sebanyak 6,432 unit. Pertukaran inflator berkenaan pula hanya akan mengambil masa kurang daripada satu jam, dan akan dilakukan secara percuma. Pelanggan dinasihatkan untuk menghubungi talian khidmat pelanggan Proton di 1-800-888-398 atau e-mel [email protected] sekiranya terdapat sebarang pertanyaan dan bantuan.

     
     
  • PERBANDINGAN: Ford Ranger Wildtrak 4×4 2.0L 2019 vs Wildtrak 3.2L 2015 – nampak sama, tapi tak serupa

    Ford Ranger 2019 yang baru dilancarkan ini adalah versi facelift bagi model yang sebelumnya. Tapi, ia bukan sekadar perubahan minor yang acah-acah. Ambil contoh versi Ford Ranger Wildtrak 2019; model ini datang dengan enjin 2.0L bi-turbo dan dipadankan dengan transmisi 10-kelajuan dengan Select Shift.

    Ini berbeza dengan Ford Ranger Wildtrak sebelum ini, yang menjadi penawaran spesifikasi paling tinggi ketika itu. Ia menggunakan enjin diesel dengan kapasiti yang lebih besar, iaitu 3.2L dan dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan. Kalau tengok dari sudut janaan kuasanya pula, enjin baru ini walaupun kapasiti lagi kecil, kuasa yang dihasilkan sebenarnya lebih banyak berbanding enjin 3.2L lama.

    Sekali pandang, memang kedua-dua versi ini nampak sama. Tapi kalau diteliti dengan lebih dekat, anda akan dapat lihat perbezaannya, selain daripada kapasiti enjin tadi. Tapi, anda tak perlu susah-susah ke bilik pameran dan belek sendiri trak pikap ini. Sebabnya, dalam video perbandingan ini, kami telah senaraikan semua perbezaan yang ada antara keduanya, baik dari segi rekaan mahupun dari aspek mekanikalnya.

    Jadi, tenang-tenang saja dan tonton sampai habis video yang kami sediakan ini. Kemudian, bagi tahu yang mana satu anda rasa lebih menarik. Ok?

     
     
  • TAS2019: Liberty Walk Copen GT-K, SSX-660R, GMini – replika Nissan GT-R, Honda NSX dan Merc G-Wagen

    TAS2019: Liberty Walk Copen GT-K, SSX-660R, GMini – replika Nissan GT-R, Honda NSX dan Merc G-Wagen

    Jika ada anugerah booth terbaik pada Tokyo Auto Salon 2019, Liberty Walk mungkin akan menerima hadiah tersebut. Booth penala yang terkenal menghasilkan kit badan lebar untuk kereta-kereta mewah itu sentiasa meriah bukan sahaja dengan kereta yang dipamerkan dan juga penjualan pelbagai barangan, mereka juga ada mengadakan persembahan DJ bagi menghiburkan pengunjung.

    Antara pelbagai kereta eksotik yang bernilai jutaan ringgit yang ditunjukkan di booth yang besar ini, kami tertarik dengan tiga buah replika comel yang dihasilkan dari kereta-kereta K-Car dengan enjin berkapasiti 660 cc iaitu Daihatsu Copen GT-K (replika Nissan GT-R R35), Honda SSX-660R (replika Honda NSX) dan juga SUV GMini (replika Mercedes-AMG G63).

    Kita mulakan dengan Copen GT-K yang diasaskan dari Daihatsu Copen. Untuk pengetahuan anda, bampar hadapan Copen ini sebenarnya memang dihasilkan menggunakan bampar GT-R sebenar dimana LB Performance telah memotong bagi mengecilkannya dan dimuatkan pada muka roadster kecil ini.

    Kit ini turut menyerlah rekaan signatur Liberty Walk iaitu overfender untuk keempat-empat sudut bagi menampakkan Copen GT-K ini lebih lebar, bampar belakang dengan rekaan agresif bersama diffuser yang turut menempatkan ruang tip ekzos lebih besar, dan tidak ketinggalan sayap GT bersaiz besar pada but belakang.

    Liberty Walk turut menawarkan rim old school SSR Longchamp XR4 untuk GT-R kecil ini. Dan bagi merendahkannya, anda boleh memilih sama ada mengenakan sistem suspensi udara yang boleh dilaras ketinggian dengan mudah menggunakan sentuhan suis, atau menggunakan suspensi boleh laras konvensional.

    Pada bahagian dalaman, Liberty Walk menawarkan balutan semula menggunakan kulit pada tempat duduk asal dan juga pad tali pinggang keledar dengan sulaman logo Liberty Walk.

    Beralih ke ‘Baby NSX‘ Honda SSX660R pula, ia dibina berasaskan Honda S660 yang sememangnya mempunyai persamaan mekanikal seperti NSX sebenar iaitu enjin 660 cc tiga selindernya diletakkan dibelakang pemandu dan memacu roda belakang. Muka Honda S660 tersebut sememangnya sudah hampir sama dengan NSX terutamanya pada lampu hadapan, memudahkan LB Performance menirunya dengan pemadanan bampar seakan NSX asli.

    Bampar belakang juga digantikan dengan bampar yang mirip dengan bampar NSX sebenar, kemudian kesemua ruang roda diberikan overfender dan juga GT-Wing dipadankan dibelakang.

    Opsyen suspensi untuk merendah kereta ini masih sama seperti GT-K, tetapi untuk rim, SSX-660R berkenaan ditawarkan dengan set rim aloi forged dari Frontline binaan 3-piece berdiameter 16-inci. Perubahan pada kabin juga sama di mana Liberty Walk menawarkan balutan kulit bersama pada tali pinggang keledar yang serupa.

    TAS2019: Liberty Walk Copen GT-K, SSX-660R, GMini – replika Nissan GT-R, Honda NSX dan Merc G-Wagen

    Manakala untuk SUV kompak GMini, Liberty Walk bukan sahaja membuatkan ia nampak seperti Merc-AMG G 63, tetapi turut memberikan perincian yang sama dengan G-Wagen AMG talaan mereka.

    Bagi merubah rupa Jimny kepada G-Wagen, gril, lampu dan juga bampar hadapan menerima bampar baharu yang seiras dengan SUV mewah dari Jerman itu. Kemudian ia diberikan overfender lebih lebar dan juga bampar belakang bersaam lampu yang turut diubahsuai.

    Akhir sekali, Gmini ini menerima perincian-perincian Liberty Walk yang lain seperti bonet hadapan gentian karbon dan juga visor cermin hadapan yang bersambung dengan kemasan bumbung hingga kebelakang yang membentuk panel seakan spoiler. Rim juga ditukar bagi menyerupai G63 LB Performance sebenar, bersama tip ekzos yang keluar pada sisi kiri badan SUV tersebut.

    GALERI: Liberty Walk Daihatsu Copen GT-K

    GALERI: Liberty Walk Honda SSX-660R

    GALERI: Liberty Walk Suzuki Jimny Gmini

     
     
  • Kerusi kanak-kanak, tali keledar belakang dan tali keledar penumpang bas wajib digunakan bermula 2020

    Kerusi kanak-kanak, tali keledar belakang dan tali keledar penumpang bas wajib digunakan bermula 2020

    Penggunaan tali pinggang keledar untuk penumpang belakang dalam kenderaan memang sudah diwajibkan sejak 2009, bagaimanapun penguatkuasaan yang dilakukan masih berkurangan. Tetapi, menurut Ketua Pengarah JKJR, Datuk Rosli Isa, hal ini akan berubah tak lama lagi. Bercakap ketika majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Kawasaki 2019, beliau memaklumkan bahawa penguatkuasaan akan dipertingkat tahun ini, dengan penggunaan wajib akan bermula 2020.

    Turut termasuk di dalam penggunaan wajib bagi pengguna jalan raya di Malaysia ialah kerusi keselamatan kanak-kanak dan juga tali pinggang keselamatan bagi semua penumpang bas. “Memang undang-undang tentang penggunaan tali keledar penumpang belakag telah dilaksanakan sejak 2009, tetapi penguatkuasaannya masih longgar,” jelas Rosli.

    “Ini akan berubah pada 2020. Kerajaan serius untuk meningkatkan keselamatan di jalan raya kita,” tambah Rosli. “Kemalangan berlaku setip minit dan kemalangan maut pula berlaku setiap 70 minit,” tambahnya, memetik laporan statistik kemalangan oleh polis trafik pada 2018.

    Kerusi kanak-kanak, tali keledar belakang dan tali keledar penumpang bas wajib digunakan bermula 2020

    Bagaimanapun, penguatkuasaan akan mengambil pendekatan yang lembut untuk tahun ini. “Kami mahu pengguna membiasakan diri untuk menggunakan semua alatan keselamatan berkenaan, termasuk kerusi khas untuk kanak-kanak,” ujar beliau.

    “Tapi, ini tidak bermaksud semua orang akan terlepas dengan mudah. Pegawai penguatkuasa akan menjalankan tugar mereka untuk memastikan jalan raya kita selamat, dan ini memerlukan kerjasama dari semua pihak, termasuk pengguna,” tambah beliau.

    Mengulas tentang penunggang motosikal hanya dibenarkan untuk menggunakan laluan sebelah kiri pula, Rosli menjelaskan perkara itu masih dipertimbangkan dan belum muktamad. Dalam majlis sama, Timbalan Ketua Polis Trafik Selangor, DSP Sahimi Husin berkata Ops Sepadu akan dilakukan ketika musim cuti perayaan Tahun Baru Cina nanti. “Ia akan bermula pada 28 Januari nanti sehingga tamat tempoh cuti, di semua lebuh raya dan jalan utama,” jelas beliau.

     
     
  • BMW 7 Series G11/G12 LCI – versi facelift dipertingkat

    BMW 7 Series G11/G12 LCI – versi facelift dipertingkat

    BMW secara rasminya telah memperkenalkan 7 Series G11/G12 LCI yang sebenarnya adalah versi facelift bagi model tersebut. Selain perubahan gaya, sedan mewah ini juga mendapat beberapa peningkatan lain termasuk pada enjin dan kelengkapan berteknologi.

    Cara paling mudah untuk melihat perbezaan model baru ini adalah di bahagian mukanya, di mana gril kini adalah 40% lebih besar dan merupakan satu unit tunggal. Disebabkan gril ini juga, tinggi bahagian depan kereta telah meningkat sebanyak 50 mm.

    Lampu pula kelihatan nipis, dan ia didatangkan dengan teknologi Adaptive LED secara standard, dan pemilik masih mempunyai pilihan tambahan untuk mendapatkan unit Laserlight. Bahagian bonet juga kini mempunyai garisan yang lebih jelas, bersama logo BMW lebih besar serta bahagian bawah bampar dengan bukaan udara yang diubah.

    BMW 7 Series G11/G12 LCI – versi facelift dipertingkat

    Turut diperelok pada model baru ini adalah NVH, di mana ia kini lebih senyap, hasil daripada penggunaan tingkap tepi 5.1 mm lebih tebal dan lebih banyak penyerap akustik di keliling roda belakang. Kedua-dua versi kereta baru ini 22 mm lebih panjang berbanding sebelumnya, tetapi tiada perubahan pada jarak roda (Standard 3,070 mm dan LWB 3,210 mm).

    Di belakang, perubahannya tidak begitu ketara tetapi BMW memberitahu lampunya yang mempunyai garisan mendatar kini lebih nipis dan terdapat satu jalur lampu sepanjang bahagian belakang itu; di bawah kemasan krom tengah, dan ia akan menyala sama seperti lampu siang. Muncung ekzos juga adalah lebih lebar.

    Di dalam, pengecas telefon tanpa wayar diberikan secara standard manakala sistem lampu suasana telah dikemas kini. Pelanggan juga mempunyai pelbagai pilihan untuk barangan seperti balutan tempat duduk, kemasan, tetapan Executive Lounge, pakej M Sport dan fungsi hiburan di tempat duduk belakang (dua skrin 10 inci).

    BMW 7 Series G11/G12 LCI – versi facelift dipertingkat

    Untuk aspek keselamatan dan sistem bantuan pemandu, 7 Series LCI datang secara terus dengan pakej Driving Assistant dan Parking Assistant, manakala Driving Assistant Professional dan Parking Assistant Plus disediakan sebagai pilihan tambahan. Turut boleh didapati adalah heads-up display dan sistem Night Vision.

    Semasa pelancaran, model baru ini ditawarkan dengan pilihan enjin petrol, plug-in hybrid petrol dan juga diesel, bersama padanan transmisi automatik Steptronic lapan kelajuan secara standard dan sistem pacuan semua roda xDrive sebagai pilihan untuk varian tertentu.

    Bagi enjin petrol, ada dua pilihan iaitu unit V8 4.4 liter twin-turbo N63B44T3 (turut digunakan pada 8 Series) dengan kuasa 530 PS dan 750 Nm tork pada 50i xDrive dan 750Li xDrive, dan satu lagi adalah V12 6.6 liter twin turbo dengan kuasa 585 PS dan 850 Nm tork untuk varian M760Li xDrive.

    BMW 7 Series G11/G12 LCI – versi facelift dipertingkat

    Mereka yang mahukan enjin diesel pula mempunyai tiga pilihan iaitu unit enam silinder sebaris 3.0 liter dengan kuasa 265 PS dan 620 Nm untuk varian 730d, 730Ld, 730d xDrive dan 730Ld xDrive, unit enam silinder sebaris multi-stage turbo 3.0 liter 320 PS dan 680 Nm untuk 740d xDrive dan 740Ld xDrive, dan unit enam silinder sebaris quad-turbo 3.0 liter 400 PS dan 760 Nm untuk 750d xDrive dan 750Ld xDrive.

    Baru untuk model facelift ini adalah enjin plug-in hybrid yang menggunakan gabungan enjin enam silinder 3.0 liter turbo 286 PS/450 Nm bersama motor elektrik berkuasa 113 PS/265 Nm. Gabungan ini adalah berbeza berbanding 740Le sebelum ini (menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter turbo).

    BMW 7 Series G11/G12 LCI – versi facelift dipertingkat

    Secara keseluruhannya, enjin hibrid ini boleh menghasilkan kuasa 394 PS dan 600 Nm, dan BMW memberitahu, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat. Bateri lithium ion 12 kWh untuk sistem ini terletak di bawah tempat duduk belakang dan ia boleh dicas penuh menggunakan pengecas 3.7 kWh (16 A/230 V) dalam masa sekitar 4.4 jam. Untuk bergerak menggunakan bateri sahaja, jarak yang boleh dicapai adalah 54 km.

    Semua varian 7 Series LCI ini datang standard dengan suspensi adaptif, yang termasuk penyerap kawalan elektronik dan suspensi udara dengan fungsi larasan imbang automatik. Pembeli juga boleh membayar lebih untuk mendapatkan sistem rear-wheel steering yang merupakan sebahagian daripada Integral Active Steering, atau active roll stabilisation melalui Executive Drive Pro (tidak termasuk PHEV).

     
     
  • TAS2019: NATS RX-Stance – ‘Mazda RX-9’ buat sendiri

    TAS2019: NATS RX-Stance – ‘Mazda RX-9’ buat sendiri

    Model konsep Toyota FT-1 dah selamat dijelmakan sebagai model produksi Supra generasi baharu, tetapi satu lagi model konsep dari Jepun, Mazda RX-Vision entah apa pula nasibnya. Selepas kemunculannya pada Tokyo Motor Show 2015, pelbagai khabar angin bertiup, dan berkemungkinan besar model gantian untuk Mazda RX-7 dan RX-8 tidak akan muncul dalam masa terdekat ini atas pelbagai kekangan terutamanya isu dana R&D.

    Mungkin disebabkan perkara ini, ia telah mencetuskan idea kepada satu lagi kumpulan pelajar Nihon Automotive Technology School (NATS) jurusan Customize bagi menghasilkan projek akhir mereka untuk di bawa ke Tokyo Auto Salon 2019. Asas yang digunakan untuk projek ini adalah Mazda RX-8, dan seperti anda boleh lihat disini, secara keseluruhan kereta tersebut telah berubah seakan kereta konsep RX-Vision.

    Kumpulan pelajar berkenaan menamakan kereta ini sebagai NATS RX-Stance. Lampu asal RX-8 telah digantikan dengan unit yang lebih kecil dan tirus dengan lampu nyalaan siang LED bina dalam. Ia seolah-olah bersambung dengan kemasan keliling krom pada gril yang direka dengan konsep Kodo terkini.

    TAS2019: NATS RX-Stance – ‘Mazda RX-9’ buat sendiri

    Begitu juga pada bahagian belakang, ia menerima rombakan sepenuhnya. Tiada lagi bentuk asal RX-8 dan ia diberikan lampu belakang dua bulatan sama seperti RX-Vision, lengkap dengan kemasan jalur yang merentangi sepanjang muka belakang tersebut.

    Tetapi apa yang berbeza dari RX-Vision, RX-Stance ini dipadankan dengan kit badan lebih lebar seakan kit Rocket Bunny dari Tra Kyoto terdiri dari over fender untuk kesemua ruang roda, skirt sisi dan juga duck tail spoiler di belakang. Dengan fender yang jauh lebih lebar, pelajar-pelajar berkenaan memadankan rim SSR Formula yang juga begitu lebar bersama tayar Toyo.

    Bahagian dalaman RX-Stance ini masih lagi kelihatan normal dengan hampir keseluruhan ciri asal RX-8 masih terpelihara. Hanya tempat duduk hadapan asal ditukar kepada tempat duduk perlumbaan dari Recaro, panel-panel pada papan pemuka dibalut dengan Alcantara serta berberapa meter aftermarket tertenggek diatasnya.

    TAS2019: NATS RX-Stance – ‘Mazda RX-9’ buat sendiri

    Tetapi pada bahagian bonet belakang, anda dapat lihat ia dipenuhi dengan pembesar suara serta subwoofer, dan juga kelengkapan untuk suspensi udara (air sus), mendedahkan rahsia mengapa kereta ini begitu rendah ketika dipamerkan di booth berkenaan.

    Sekali lagi saya ulang untuk pengetahuan anda, NATS mempunyai 750 orang pelajar yang menuntut dalam empat jenis kursus pada satu-satu masa. Secara asas, kesemua pelajar perlu mengambil Kursus Penyelenggaraan selama dua tahun bagi melayakkan mereka diiktiraf sebagai mekanik kelas 2 di Jepun.

    Kemudian, mereka boleh memilih untuk menyambung pengajian dalam tiga kursus berbeza iaitu Sukan Permotoran (setahun), Customize (setahun) atau Penyelidikan (dua tahun). NATS RX-Stance ini adalah merupakan salah satu projek pelajar-pelajar dari kursus Customize yang telahpun dibawa ke TAS.

    Seperti juga projek-projek lain, ia dimulakan pada bulan Julai (kursus asas bermula bulan April dan berakhir pada Jun) dan mereka mempunyai masa selama setengah tahun sebelum TAS berlangsung pada Januari tahun berikutnya.

    Selepas dipamerkan di TAS, kenderaan ini akan menjalani ujian yang diselia oleh jabatan pengangkutan jalan negara berkenaan. Setelah diluluskan untuk digunakan secara sah di atas jalan raya, pelajar-pelajar berkenaan perlu mengujinya pada jalan raya sebenar yang digelar “Test Run Caravan”. Lengkap kesemua proses ini, barulah mereka diiktiraf lulus dan boleh menamatkan pengajian di NATS.

     
     
  • Kia Telluride 2020 – SUV besar lapan tempat duduk

    Kia Telluride 2020 – SUV besar lapan tempat duduk

    Tiga tahun lepas, Kia menyatakan hasrat mahu memasuki pasaran Amerika Syarikat dengan SUV besar, dan nama modelnya didedahkan sebagai Telluride. Kemudian, tahun lepas ia muncul sebagai sebuah kereta konsep offroad, dan kini barulah ia ditunjukkan secara rasmi.

    Rekaan gril unik Tiger Nose Kia masih digunakan pada SUV lapan tempat duduk ini, dan lampu hadapannya adalah daripada jenis projector, dengan terdapat lampu siang LED di kelilingnya dan ia juga boleh bertukar kepada lampu tunjuk arah. Belakang pula menggunakan lampu LED dengan jalur menegak. Melengkapkan penampilannya adalah rim aloi 20 inci.

    Masuk ke dalam, SUV ini penuh dengan bahan berkualiti dan rekaannya mahu mengetengahkan keluasan seperti ruang tamu dan bukannya kenderaan utiliti. Di bahagian tengah papan pemuka terdapat skrin infotainmen 10.25 inci yang disambung dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, kamera belakang, serta sistem audio Harman Kardon 630 watt 10 pembesar suara dengan Quantum Logic Surround Sound dan Clari-Fi.

    Kia Telluride 2020 – SUV besar lapan tempat duduk

    Tempat duduk gebu Telluride dibalut dengan kulit Nappa, manakala papan pemuka dan kulit pintu mempunyai kemasan kayu dan krom matte. Pembeli juga boleh mendapatkan tempat duduk baris pertama dan kedua yang berliang, sementara di atas bumbung terdapat pengawal pendingin hawa baris kedua dan tempat duduk baris ketiga pula boleh disandar.

    Badan yang besar dan enjin yang juga besar pada kenderaan di Amerika Syarikat adalah sesuatu yang biasa. Untuk memastikan ia tidak tewas, Telluride menggunakan enjin 3.8 liter yang mampu menghasilkan 291 hp pada 6,000 rpm dan 355 Nm tork pada 5,200 rpm. Jika dibandingkan dengan pesaing terdekatnya seperti Toyota Highlander, Honda Pilot, Nissan Pathfinder dan Ford Explorer, kuasa Telluride adalah lebih tinggi.

    Dalam keadaan standard, Telluride menggunakan pacuan roda hadapan (FWD), tetapi kuasa juga boleh disampaikan ke semua tayar melalui kotak gear automatik lapan kelajuan dan sistem AWD electro-hydraulic. Untuk mod pemanduan, ada empat disediakan iaitu Smart, Eco, Sport dan Comfort manakala untuk pacuan anda boleh memilih Snow atau AWD Lock. Mod Eco dan Smart cuma untuk FWD tetapi apabila ditukar kepada Sport, 65% kuasa disampaikan ke roda hadapan dan 35% ke belakang.

    Kia Telluride 2020 – SUV besar lapan tempat duduk

    Telluride boleh menarik beban sehingga 5,000 pound (2,267 kg) dan ia juga menampilkan suspensi belakang boleh imbang sendiri. Ia akan dilaras bergantung kepada berat barang yang dibawa demi memastikan stabiliti kenderaan. Ciri Downhill Brake Control pula membantu kawalan yang lebih baik waktu menurun bukit.

    Untuk bahagian keselamatan, Telluride dilengkapi dengan pakej “Kia Drive Wise” yang termasuk Blind Spot Collision-Avoidance Assist Rear, Rear Cross-Traffic Collision Avoidance Assist, Lane Following Assist, Safe Exit Assist, Highway Driving Assist, Driver Attention Warning, Smart Cruise Control dengan Stop & Go, dan tujuh beg udara.


     
     
  • Kelulusan harga kenderaan baru masih lagi tertangguh

    Kelulusan harga kenderaan baru masih lagi tertangguh

    Beberapa bulan kebelakangan ini, banyak syarikat terpaksa memperkenalkan model baru kenderaan tanpa disertai harga rasmi yang sebenar. Kebanyakannya hanya menggunakan harga anggaran. Awal bulan lalu juga, Persatuan Automotif Malaysia menyatakan bahawa hal itu disebabkan oleh kelewatan kelulusan harga kenderaan baru oleh pihak berkuasa.

    Dalam satu taklimat media semalam, MAA sekali lagi menyentuh tentang perkara itu. “Kami memohon pertama sekali kepada MITI, untuk mendapatkan kelulusan bagi ILP (Industrial Linkage Programme) dan itu saja mengambil masa yang lama. Kadang-kadang perjumpaan berkaitan ini pun tidak diadakan,” jelas Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad.

    “Berlaku penangguhan, dan itu boleh memakan masa sehingga lima hingga tujuh bulan. Terdapat beberapa ahli MAA yang masih menunggu sejak Mei 2018 hingga ke hari ini – mereka masih belum dapat kelulusan harga lagi,” tambah beliau. ILP merangkumi insentif dan pemansuhan duti, yang perlu dipertimbangkan oleh pengeluar ketika ingin menentukan harga sesebuah kenderaan.

    Aishah juga memaklumkan, Kementerian Kewangan, yang sebelum ini akan memberikan kelulusan itu, kini tidak lagi mahu membuat keputusan itu. “Semuanya diserahkan kepada Komiti Pembangunan Perniagaan Automotif (ABDC),” jelas Aishah dan menjelaskan komiti berkenaan terdiri daripada badan-badan seperti Kastam, MITI, Kementerian Kewangan, Institut Automotif Malaysia (MAI) dan MIDA.

    Kelulusan harga kenderaan baru masih lagi tertangguh

    “Walaupun selepas komiti ini membuat keputusan, ia berbalik pula kepada kertas-kertas rasmi yang tidak dikeluarkan. Kami telah suarakan perkara ini, kerana amat sukar untuk mendapatkan harga yang diluluskan dan kerana itu, kami tidak boleh melancarkan model-model baru,” jelas Aishah.

    “Lebih memburukkan keadaan, Jabatan Audit Negara sedang menjalankan audit terhadap semua yang pernah menerima ILP ini, dan telah pergi untuk memeriksa bahawa apa saja yang kami nyatakan dalam proposal adalah betul. Audit telah dijalankan, dan mereka sepatutnya memberikan maklum balas kembali hujung bulan ini.”

    “Jadi, pegawai-pegawai kerajaan ketika ini sedang menangguhkannya. Mereka tidak mahu membuat keputusan itu sendiri, ia memerlukan keputusan komiti. Ini tidak membantu industri,” sambung beliau.

    Aishah juga mendedahkan banyak ahli-ahli MAA terkesan dengan perkara ini, dan mereka juga telah membangkitkan soal ini ke perhatian Kementerian Kewangan dan akan mengadakan perjumpaan dengan MITI juga. “Kamu tahu ada banyak model-model kenderaan yang belum boleh dilancarkan. Model-model ini bagaimanapun sudah dipertontonkan ketika KLIMS, di mana semua itu sepatutnya dilancarkan. Tapi sehingga hari ini kami masih belum terima harganya,” jelas beliau.

     
     
  • TAS2019 : NATS Urus86 – trak pikap Toyota 86 diinspirasi Lamborghini oleh pelajar automotif Jepun

    TAS2019 : NATS Urus86 – trak pikap Toyota 86 diinspirasi Lamborghini oleh pelajar automotif Jepun

    Saban tahun, Nihon Automotive Technology School (NATS) pasti akan menjadi peserta tetap ke Tokyo Auto Salon (TAS) bagi mempamerkan hasil kerja pelajar-pelajar mereka. Ia bukan sekadar suka-suka, kerana kolej berkenaan mensyaratkan untuk seseorang pelajar itu lulus, projek akhir mereka perlulah lengkap untuk dipamerkan pada acara ubahsuai kenderaan antara yang terhebat di dunia itu.

    Trak pikap Lamborghini Urus ini salah satu projek yang telah dipamerkan di TAS tahun ini. Adakah ia benar-benar Lamborghini Urus yang telah diubahsuai jadi trak pikap? Tarik nafas dalam-dalam, dan perhatikan dengan tenang, anda tentu nampak ia sebenarnya dihasilkan dari sebuah Toyota 86.

    Apa yang kami faham, asas Toyota 86 tersebut juga bukanlah sebuah kereta standard, tetapi ia juga pernah dijadikan sebagai bahan projek pelajar senior mereka terdahulu yang digelar NATS Extreme. Jadi ahli kumpulan projek NATS Urus86 ini terlebih dahulu perlu membuang panel-panel ubahsuai yang telah terlekat pada badan kereta tersebut.

    TAS2019 : NATS Urus86 – trak pikap Toyota 86 diinspirasi Lamborghini oleh pelajar automotif Jepun

    Kemudian, mereka telah menghasilkan bampar hadapan yang menyerupai Lamborghini Urus sebenar, dan memotong bahagian belakang Toyota 86 ini bagi menjadikan bed yang lengkap dengan sports bar. Lampu belakang 86 masih lagi kekal, tetapi bahagian tailgate dihasilkan dengan spoiler ekor itik yang dibina bersama, dan diberikan bampar lebih bersegi.

    Kereta ini diberikan warna badan kuning, dan kemudian dipadankan dengan panel fender yang lebih lebar dengan rivet yang kelihatan seperti kit badan Rocket Bunny, diwarnakan dengan rona hitam. Suspensi trak pikap ini pastinya telah diubahsuai untuk ditinggikan, dan ia menerima rim berkonsep SUV mewah berdiameter 20-inci, dibaluti tayar All-Terain dari Nitto.

    Adakah projek-projek rekaan pelajar-pelajar NATS ini hanya menitikberatkan rupa dan bolehkah ia dipandu di jalan raya? Untuk pengetahuan anda, NATS mempunyai 750 orang pelajar yang menuntut dalam empat jenis kursus pada satu-satu masa. Secara asas, kesemua pelajar perlu mengambil Kursus Penyelenggaraan selama dua tahun bagi melayakkan mereka diiktiraf sebagai mekanik kelas 2 di Jepun.

    Kemudian, mereka boleh memilih untuk menyambung pengajian dalam tiga kursus berbeza iaitu Sukan Permotoran (setahun), Customize (setahun) atau Penyelidikan (dua tahun). NATS Urus86 ini adalah merupakan salah satu projek pelajar-pelajar dari kursus Customize yang telahpun dibawa ke TAS.

    Seperti juga projek-projek lain, ia dimulakan pada bulan Julai (kursus asas bermula bulan April dan berakhir pada Jun) dan mereka mempunyai masa selama setengah tahun sebelum TAS berlangsung pada Januari tahun berikutnya.

    Selepas dipamerkan di TAS, kenderaan ini akan menjalani ujian yang diselia oleh jabatan pengangkutan jalan negara berkenaan. Setelah diluluskan untuk digunakan secara sah di atas jalan raya, pelajar-pelajar berkenaan perlu mengujinya pada jalan raya sebenar yang digelar “Test Run Caravan”. Lengkap kesemua proses ini, barulah mereka diiktiraf lulus dan boleh menamatkan pengajian di NATS.

     
     
  • TAS2019: Blitz Toyota Corolla Sport – kuasa turbo!

    TAS2019: Blitz Toyota Corolla Sport – kuasa turbo!

    Jika anda rasa TOM’S Corolla Sport tadi ‘biasa-biasa’, ini satu lagi Corolla yang diubahsuai oleh satu lagi penala terkenal Jepun – Blitz – yang menampilkan sesuatu yang luar biasa di mana Blitz Corolla Sport dengan penjana 1.8 liter Hybrid THS II ini disumbatkan dengan kit pengecas turbo!

    Kit berkenaan didatangkan secara pakej bolt-on, bermaksud ia boleh dipadankan secara ‘plug and play‘, dan unit catalytic converter asal turut boleh digunakan kembali. Turbin itu sendiri sebenarnya adalah turbin IHI tetapi roda pemampat dan roda turbin telah dibesarkan lagi oleh Blitz.

    Enjin tersebut turut menerima perubahan pada sistem kemasukan dengan kit penapis udara berprestasi dan juga sistem ekzos Blitz Nur Spec. Tiada angka rasmi berapa peningkatan kuasa sebenar dapat diekstrak, tetapi menurut Blitz, tidak sukar untuk mendapatkan 150 PS hanya pada enjin petrol (tidak termasuk kuasa motor elektrik) Corolla Sport ini.

    TAS2019: Blitz Toyota Corolla Sport – kuasa turbo!

    Sebagai perbandingan, dalam keadaan standard, Toyota Corolla Hybrid Hatchback generasi baharu ini dijana enjin 1.8 liter bersama sisitem hibrid THS II dengan kuasa keseluruhan 122 PS. Kuasa hanya disalurkan pada roda hadapan menerusi kotak gear Direct-Shift CVT.

    Bukan setakat kuasa yang diberi perhatian, pengendalian kereta ini turut diambil kira, lebih-lebih lagi ia kini mendapat tenaga yang lebih kuat. Suspensi asal telah dibuka untuk memberikan laluan kepada set suspensi boleh laras Blitz ZZR, bersama tower bar yang dipadankan pada bahagian hadapan.

    Suspensi ini bukan sahaja memberikan pengendalian lebih baik dalam masa yang sama masih legi selesa untuk dipandu setiap hari, malah memberikan stance lebih agresif lebih-lebih lagi bersama rim Enkei PF05 berdiameter 19-inci dibaluti tayar Dunlop Direzza DZ102 bersaiz 225/35R19. Disebalik roda berkenaan, jelas kelihatan sistem brek lebih besar pada bahagian hadapan – cakera yang dilarik bersama angkup Blitz empat-omboh.

    Untuk kit badan, Corolla ini menerima pakej aero Blitz terdiri dari spoiler bampar hadapan, skirt sisi dengan ‘sayap’ dan juga diffuser belakang, bersama spoiler bumbung. Anda boleh perhatikan dua tip ekzos berkembar berberza dipadankan pada kiri dan kanan, iaitu muffler VSR dan VS bagi membolehkan pelanggan memilih kelak. Sekali lagi, pintu kereta ini tidak boleh dibuka dan kami tidak boleh melihat dengan lebih teliti pada bahagian kabin.

     
     
  • Mustang Shelby GT500 2020 – kuasa lebih 700 hp

    Mustang Shelby GT500 2020 – kuasa lebih 700 hp

    Dalam masa beberapa tahun yang lepas, kita sudah melihat pelbagai teaser serta berita bahawa model ikonik Mustang Shelby GT500 akan muncul kembali dengan model baru setelah model sebelumnya diperkenalkan 10 tahun yang lalu. Kini ia sudah pun tiba, dan dikatakan sebagai model Ford halal untuk jalanan yang paling berkuasa dalam sejarah. Malah, ia juga adalah Mustang paling maju pernah dihasilkan.

    Bermula dengan bahagian enjin, Mustang Shelby GT500 2020 dikuasakan oleh unit V8 supercharge 5.2 liter yang dibina sepenuhnya menggunakan tangan. Supercharger 2.65 liter udara-ke-cecair yang terletak dalam enjin V ini bertindak menolak lebih angin ke dalam enjin, dan ia diterbalikkan demi mendapatkan titik graviti yang rendah. Kuasa maksimum model ini masih belum didedah, tapi yang diketahui, ia adalah lebih daripada 700 hp.

    Sama seperti Shelby GT350, blok aloi aluminium yang digunakan mempunyai lapik silinder wire-arc jimat berat, head silinder aluminium aliran tinggi serta connecting rod jenis forged yang lebih besar. Perjalanan pelincir serta sistem penyejukan dalam enjin ini turut diperelok untuk prestasi lebih baik, manakala takung minyak di bawahnya dijadikan lebih kuat, kurang gegaran dan mempunyai sistem aktif untuk menyampaikan minyak ke tempat yang diperlukan.

    Mustang Shelby GT500 2020 – kuasa lebih 700 hp

    Untuk bahagian transmisi, Ford Performance telah memilih unit klac berkembar tujhu kelajuan daripada Ford GT, yang didakwa dapat memberikan penukaran gear lancar dalam masa kurang 100 milisaat. Driveshaft gentian karbon digunakan untuk menyampaikan kuasa ke roda belakang, dan transmisi ini dapat dilaras menggunakan beberapa mod seperti Normal, Slippery, Sport, Drag dan Track. Ia juga mempunyai fungsi mengekalkan laluan dan launch control.

    Bagi memastikan kuasa yang tinggi ini dapat dikawal dengan baik oleh pemandu, Ford telah menaik taraf geometri suspensi kereta ini dan memadankannya dengan stereng kuasa elektronik baru. Semua roda kini dipegang oleh suspensi MagneRide aktif dan spring yang lebih ringan, serta tayar Michelin berprestasi tinggi.

    Untuk yang betul-betul ganas, anda boleh mendapatkan pakej Carbon-Fibre Track yang memberikan rim gentian karbon 20 inci tanpa cat (rim belakang lebih lebar setengah inci iaitu 11.5 inci), sayap GT4 belakang gentian karbon dan sirip tepi. Tempat duduk belakang pula dibuang bagi mengurangkan berat.

    Mereka yang tidak mahu begitu agresif pula diberikan pilihan pakej Handling, di mana mereka akan mendapat tapak atas suspensi boleh laras serta spoiler dengan flap Gurney. Ada dua tayar yang boleh dipilih iaitu Michelin Pilot Sport 4S spesifikasi Ford Performance ataupun Michelin Pilot Sport Cup 2 yang lebih berprestasi.

    Rekaan kereta ini mendapat inspirasi daripada jet pejuang, dan ia dibangunkan dalam terowong angin supaya berkesan dalam ciri aerodinamik dan dapat memberikan penyejukan yang baik kepada enjin. Di dalam kabin, banyak bahagian mendapat inspirasi daripada jentera lumba dan tempat duduk Recaro disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Kelengkapan lain yang ada pada model ini adalah termasuk panel instrumen LCD warna penuh 12 inci untuk pemandu, sistem audio premium B&O talaan khas 12 pembesar suara serta head unit skrin sesentuh SYNC 3 dengan sambungan SiriusXM dan FordPass Connect.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025