Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ford Ranger Raptor muncul di laman rasmi Ford M’sia

    Ford Ranger Raptor muncul di laman rasmi Ford M’sia

    Teruja dengan kemunculan Ford Ranger Raptor minggu lalu? Ok, ini merupakan berita yang lebih realistik kepada peminat Raptor tempatan – trak pikap berprestasi tinggi tersebut telah muncul di laman sesawang Sime Darby Auto Connexion (SDAC), pengedar rasmi Ford di Malaysia. Bersama dengan kemunculan berkenaan, SDAC turut menyertakan laman khas untuk pendaftaran bagi mereka yang berminat dengan Ranger Raptor ini.

    Namun sedikit mencurigakan, laman terbabit memaparkan Ranger Raptor dalam bentuk prototaip, dan bukan model sebenar yang membuat kemunculan sulung di Thai sebelum ini. Turut tertulis di laman pendaftaran tersebut adalah perincian model pasaran tempatan “akan disiarkan pada tarikh akan datang”.

    Ford Ranger Raptor diasaskan dari model Ranger T6 standard, namun ia telah mendapat kejuruteraan semula yang ekstensif. Trak pikap ini dijana enjin diesel dari siri Panther EcoBlue 2.0 liter baharu, disuap dua pengecas turbo bagi menghasilkan 213 PS/500 Nm yang jelas lebih berkuasa dari enjin turbodiesel Puma 3.2 liter Duratorq (200 PS/470 Nm) pada varian tertinggi Ranger standard.

    Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear automatik Getrag 10R80 10-kelajuan bersama Terrain Menagement System bagi memberikan pelbagai mod pemanduan untuk off-road dan permukaan tar. Kerangka model ini juga dibina lebih tegar dari Ranger biasa, serta dipadankan dengan sistem brek lebih besar bersama suspensi dengan geometri dan talaan baharu dan turut menerima penyerap hentak Fox Racing Shox.

    Ranger Raptor turut menerima penggayaan baharu yang bukan sahaja lebih agresif, malah turut berfungsi sepenuhnya. Rekaan pada bampar hadapan (yang dipadankan terus pada kerangka) dan belakang memberikan sudut approach 32.5 darjah, sudut ramp over 24 darjah dan sudut departure 24 darjah – membolehkan ia melalui laluan off-road dengan lebih baik.

    Setiap kemasan dan pelindung pada bampar, fender dan bahagian-bahagian sisi trak pikap ini juga dibina dengan bahan komposit khas bagi membolehkan ia menahan calar mahupun kemik, serta diberikan plat logam pelindung khas dengan tebal 2.3mm di bawah badan bagi melindungi komponen sistem transmisi, radiator, sistem stereng berkuasa elektrik (EPAS), penggerak aksesori hadapan (FEAD), cross-member hadapan, takung minyak enjin dan juga differential hadapan.

    Jika ia sampai ke Malaysia kelak, Ranger Raptor pastinya akan berada lebih tinggi dari model 3.2 liter Wildtrak sedia ada. Dengan kelengkapan yang diberikan, Ranger Raptor tidak boleh dipandang seperti trak pikap lain kerana statusnya lebih seperti Mitsubishi Lancer Evolution berbanding Lancer GT ataupun Honda Civic Type R berbanding Civic FC standard. Persoalannya, berapa agaknya harga trak pikap ini nanti? Anda rasa?

     
     
  • Pastikan jarak selamat sewaktu memandu di belakang kenderaan berat bagi elak kemalangan – JKJR Kedah

    Pastikan jarak selamat sewaktu memandu di belakang kenderaan berat bagi elak kemalangan – JKJR Kedah

    Sering kali kita terbaca di akhbar atau menonton berita menerusi kaca TV tentang kes kemalangan yang melibatkan kereta, motosikal dengan kenderaan berat seperti bas dan lori. Dan kebanyakan kemalangan yang membabitkan kenderaan berat selalunya melibatkan kematian. Sudah pasti perkara sebegini kita mahu elakkan ia terjadi, bukan sahaja kepada kita, bahkan juga orang lain.

    Beberapa hari lalu, menerusi laporan Bernama, Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kedah Chan Kei Hong menitipkan pesanan agar pengguna jalan raya diingatkan supaya menjaga jarak yang selamat semasa memandu, terutamanya di belakang kenderaan berat bagi mengelak daripada berlakunya kemalangan.

    Katanya, hasil pemerhatian mendapati ramai pengguna jalan raya yang tidak menjaga jarak semasa memandu sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan dan kematian.

    “Jangan memandu terlalu rapat dengan kenderaan berat seperti bas atau lori kerana fizikal kenderaan yang besar akan menyebabkan pemandu sukar untuk melihat dan ia merupakan titik buta kepada mereka. Jarak yang paling selamat adalah dengan mengikut peraturan antara dua hingga empat saat di belakang kenderaan hadapan. Ini merupakan jarak yang paling selamat,” katanya.

    Tambahnya lagi, dengan mengamalkan peraturan itu pengguna jalan raya mempunyai jarak yang mencukupi untuk berhenti dengan selamat jika kenderaan di hadapan menekan brek secara tiba-tiba.

     
     
  • Kerajaan kaji tambahan bilangan lorong di lebuhraya

    Kerajaan kaji tambahan bilangan lorong di lebuhraya

    Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji cadangan untuk menambah bilangan lorong di lebiuhraya bagi tujuan mengurangkan masalah kesesakan dan kemalangan jalan raya. Cadangan itu membabitkan rancangan penambahan satu hingga dua lorong di kawasan lebuh raya yang kritikal di seluruh negara, laporan Berita Harian.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, pihaknya sedang menilai cadangan tersebut sebelum ia diusullkan kepada kerajaan.

    “Oleh kerana banyak lebuhraya mengalami kesesakan khususnya pada musim perayaan kerana lorong sedia ada dilihat tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang bertambah. Justeru, kementerian sedang meneliti cadangan itu dan mengenal pasti lebuh raya yang kritikal. Selain itu, kita turut bercadang menaik taraf jalan raya berisiko tinggi dan berbahaya,” katanya kepada pemberita semalam.

    Katanya lagi, kementerian itu menjangka rancangan berkenaan dapat dilaksanakan pada tahun 2020. Di mana cadangan itu juga antara usaha kementerian meningkatkan kualiti sistem pengangkutan negara.

    “Apabila rancangan ini dilaksanakan, ditambah pula dengan rangkaian sistem kereta api yang bakal siap menjelang 2026, kita percaya masalah kesesakan dan kemalangan jalan raya dapat dikurangkan,” katanya.

     
     
  • Tan Chong rancang bawa Nissan e-Power ke Malaysia

    Tan Chong rancang bawa Nissan e-Power ke Malaysia

    Berita baik untuk peminat Nissan di Malaysia, pengedar jenama tersebut, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) kini bercadang untuk membawa teknologi hibrid dari jenis enjin penambah jarak Nissan e-Power ke pasaran tempatan.

    Namun ketika bercakap kepada paultan.org semasa berlangsungnya acara Nissan Future di Singapura minggu lalu, pengarah jualan dan pemasaran ETCM, Chris Tan menjelaskan teknologi tersebut akan sampai ke Malaysia bukan bersama model Note (model pertama yang menerima teknologi tersebut).

    Selain dari Note, e-Power turut dipadankan MPV Nissan Serena generasi baharu yang bakal dilancarkan di Malaysia tahun ini, tetapi dalam versi standard. Adakah e-Power akan diperkenalkan dipasaran tempatan menerusi Serena? Perkara ini masih lagi belum dapat dipastikan.

    Tan Chong rancang bawa Nissan e-Power ke Malaysia

    Apa perbezaan antara sistem hibrid penambah jarak e-Power ini berbanding sistem hibrid lain? Untuk pengetahuan anda, enjin petrol tiga-silinder HR12DE 1.2 liter berkuasa 79 PS/103 Nm pada unit janakuasa ini tidak dihubungkan kepada sistem trasmisi mahupun sistem pacuan. Sebaliknya ia berfungsi sepenuhnya untuk mengecas bateri sistem elektrik sepenuhnya.

    Bateri berkenaan akan menyuap kuasa elektrik kepada motor berkuasa 109 PS/254 Nm (unit sama dari Nissan Leaf) – ini sebenarnya yang akan dihubungkan kepada roda dan memacu kenderaan berkenaan.

    Menurut Nissan, sistem ini membolehkan kereta tersebut berfungsi seperti kereta elektrik sepenuhnya dengan kelebihan seperti tork maksima bermula dari 0 rpm, tanpa risau untuk mengecas semula baterinya. Sistem ini juga membolehkan bateri berkenaan direka lebih kecil dari unit pada Leaf, membolehkan ia diletakkan dibawah tempat duduk hadapan, seterusnya tidak menjejaskan langsung ruang dalaman kenderaan tersebut.

     
     
  • Proton jawab Pekema berkaitan dakwaan dan isu-isu berbangkit melibatkan rangkaian pengedar Bumiputera

    Proton jawab Pekema berkaitan dakwaan dan isu-isu berbangkit melibatkan rangkaian pengedar Bumiputera

    Susulan daripada laporan berkaitan dakwaan oleh Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) bahawa rangkaian pengedar Bumiputera yang semakin terhimpit dengan dasar-dasar baru yang dilaksanakan syarikat itu – seperti yang diterbitkan oleh akhbar Mingguan Malaysia sebelum ini – Proton tampil memberikan penjelasan terhadap semua isu yang dibangkitkan itu.

    Secara keseluruhannya, Proton mengakui bahawa keadaan syarikat seperti yang semua sedia maklum berada dalam situasi yang begitu mencabar sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Suasana pasaran juga sudah berubah, jangkaan daripada pelanggan juga tidak lagi sama – semuanya tidak lagi seperti dulu, dan Proton menyedari hakikat itu. Maka, untuk kembali bersaing, tak ada jalan lain lagi yang boleh diambil kecuali bergerak pantas dan melakukan perubahan seiring dengan keperluan semasa.

    Di atas faktor untuk meneruskan kelangsungan operasi dari segenap sudut inilah, menurut Proton, segala perancangan dan dasar-dasar baru itu sangat wajar diperkenalkan. Syarikat itu memberi contoh, misalnya mengapa Proton perlu segera beralih kepada menaik taraf pusat 3S/4S – bagi keseluruhan rangkaian pengedar Proton, hanya 30% sahaja beroperasi dari pusat 3S/4S ini, berbanding 64% bagi rangkaian jenama Jepun terkemuka di Malaysia.

    Ini kemudiannya membawa kepada faktor memenuhi jangkaan pelanggan dari sudut persaingan dari jenama lain. Memang, sejak beberapa tahun sebelum ini, akibat banyak masalah dalaman dan kewangan yang dihadapi syarikt, Proton mengakui syarikat itu ketinggalan jauh dari segi teknologi produk yang ditawarkan.

    Proton jawab Pekema berkaitan dakwaan dan isu-isu berbangkit melibatkan rangkaian pengedar Bumiputera

    Tambah menyulitkan keadaan, Indeks Kepuasan Jualan (SSI) dan Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) Proton mendapat skor yang rendah disebabkan kurangnya pusat 3S/4S yang secara umum memberikan layanan yang lebih baik dan menyeluruh kepada pelanggan, dan bukannya sekadar menjual kenderaan semata-mata tanpa perlu menjalankan khidmat lain untuk pelanggan seperti di pusat 1S yang ada.

    Bagi Proton, ini adalah antara perkara yang perlu diberi perhatian sekarang. Tentunya, banyak lagi aspek yang perlu diteliti, dan amalan-amalan yang diterima pakai sebelum ini sekiranya ia tidak selari dengan matlamat baru Proton untuk kembali bersaing dengan cemerlang perlu dinilai semula. Kerana, keadaan tidak lagi sama seperti dahulu. Berubah sekarang atau terus ketinggalan, hanya ada dua pilihan ini sahaja untuk syarikat itu.

    Bagi menghuraikan setiap satu dakwaan yang diajukan oleh Pekema terhadap hal-hal berkait yang dibangkitkan oleh Presidennya, Datuk Zainuddin Abdul Rahman, berikut merupakan penjelasan Proton dari satu kenyataan media yang dikeluarkan secara rasmi.

    Menjelaskan kenyataan yang dibangkitkan oleh Pekema
    Berikutan dengan kenyataan yang dibangkitkan oleh Pekema, Proton ingin menjelaskan mengenai perkembangan model perniagaannya.

    1. Berikutan dengan kekurangan masa yang diberikan kepada pengedar untuk menaik taraf cawangan 1S mereka kepada cawangan 3S/4S, pengedar disarankan menaik taraf cawangan mereka dalam tempoh yang telah dipanjangkan dari 2018-2020. Sasaran untuk tahun 2018 adalah untuk menambah bilangan cawangan 3S yang terletak di seluruh negara, yang akan meningkatkan pengalaman pelanggan secara keseluruhan dengan pengenalan model-model baharu kami bermula 2018. Pada masa kini, pengedar 3S/4S di seluruh negara, bersamaan dengan hanya 30% daripada jumlah pengedar kami. Proton sedar bahawa sejumlah wang yang besar perlu dibelanjakan oleh pengedar bagi mengambil langkah ini. Oleh itu, kami memperkenalkan skim khas yang menawarkan sokongan pendahuluan untuk membantu pengedar menaik taraf ke premis baharu. Di samping itu, pengedar-pengedar ini turut akan menikmati margin tambahan pada kereta yang dijual selama sehingga tiga tahun.

    2. Sebelum ini, pengedar Proton menikmati margin sebanyak 4% berdasarkan jumlah bulanan bagi 40 unit yang telah dipersetujui bersama Proton untuk memenuhi syarat bagi insentif jualan mereka. Kami kini telah menyemak semula skim ini dengan menurunkan halangan tersebut untuk menggalakkan pertumbuhan perniagaan keseluruhan bagi pengedar. Skim ini selaras dengan cabaran semasa yang dihadapi oleh pengedar dan Proton akan terus memantau keadaan untuk memastikan pertumbuhan perniagaan dapat dicapai. Di samping itu, Proton juga menyediakan skim insentif suku tahunan sepanjang tahun, di mana pengedar boleh memperoleh pendapatan tambahan dengan melangkaui sasaran jualan mereka. Proton juga menyediakan sokongan insentif negeri untuk aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pengedar.

    3. Amalan industri di Malaysia adalah untuk syarikat automotif menuntut wang tunai sebelum penghantaran atau untuk menyediakan sehingga 14 hari kredit kepada pengedar. Memandangkan keadaan kompetitif yang dihadapi pengedar, Proton telah memanjangkan tempoh ini sehingga 60 hari dengan terma dan syarat tertentu. Ini adalah satu usaha khas yang ditawarkan oleh Proton untuk membantu memudahkan pengedar menguruskan aliran tunai mereka kerana mereka berusaha untuk mengaturkan jualan. Dengan berbuat demikian, pengedar akan mempunyai lebih masa untuk memindahkan stok semasa mereka tanpa perlu bimbang akaun mereka akan disekat.

    4. Sistem Bayaran Selepas Pendaftaran (PAR) tidak dipraktikkan oleh syarikat automotif lain di Malaysia. Proton telah memutuskan untuk menamatkan skim tersebut untuk memudahkan keadaan kewangan Syarikat yang tegang. Pada masa kini, Proton membiayai sebanyak RM650 juta setahun untuk pengedarnya. Sekiranya kami terus mempraktikkan PAR, jumlah yang perlu dibayar kepada Proton oleh para pengedar akan meningkat, menyebabkan kesan negatif terhadap aliran tunai Syarikat.

    5. Untuk mempromosikan jualan kepada pelanggan fleet korporat, Proton meneruskan pakej istimewa kepada pelanggan korporat yang berminat, persatuan, organisasi dan institusi, tertakluk kepada terma dan syarat tertentu. Pengedar digalakkan untuk memberi tumpuan kepada jualan runcit kerana jualan fleet korporat melibatkan jumlah pegangan yang sangat kecil, yang menyumbang kurang daripada 5% daripada jumlah keseluruhan jualan kereta Proton pada tahun 2017.

    6. Merujuk kepada isu persaingan yang tidak sihat antara pengedar, kami ingin menegaskan bahawa skim margin dan insentif baharu yang dirujuk dalam perkara 2 di atas juga bertujuan untuk mengelakkan pemasaran tidak sepatutnya dalam kalangan pengedar. Proton juga berpandukan dengan undang-undang dan peraturan negara seperti Akta Anti-Persaingan.

    7. Selepas menandatangani perjanjian perkongsian strategik, Proton telah menubuhkan pelan perniagaan selama 10 tahun yang memberi tumpuan kepada elemen-elemen utama yang terdiri daripada produk, operasi dan pertumbuhan jualan. Kajian terperinci telah dijalankan ke arah strategi produk yang komprehensif untuk memperkenalkan model baharu dalam tempoh lima tahun akan datang. Oleh kerana penyerapan teknologi yang maju, kepakaran dan modal rakan kongsi kami, kami yakin Proton berada di landasan menuju ke arah pemulihan dan pertumbuhan yang mampan.

    8. SUV baharu, yang akan dilancarkan menjelang akhir tahun ini akan diposisikan sebagai tanda aras teknologi kepada Proton. Oleh kerana ia akan diposisikan sebagai model premium Proton, pengalaman jualan dan servis akan diuruskan dengan teliti untuk memuaskan kehendak pelanggan. Oleh itu, cawangan 3S/4S Proton akan menjalankan jualan SUV secara eksklusif. Walau bagaimanapun, cawangan 1S masih akan dibenarkan untuk menjual SUV melalui cawangan 3S/4S yang terletak berdekatan dengan cawangan mereka. Akhirnya, semua pengedar akan berpeluang menjual model baharu selagi semua keperluan telah dipenuhi.

     
     
  • Anih tawar diskaun tol 10% dan keluarkan cadangan jadual perjalanan sempena Tahun Baharu Cina 2018

    Anih tawar diskaun tol 10% dan keluarkan cadangan jadual perjalanan sempena Tahun Baharu Cina 2018

    Seperti beberapa syarikat konsesi lebuhraya yang lain, Anih Berhad yang mengendalikan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) turut menawarkan diskaun tol sebanyak 10 peratus kepada semua kelas kenderaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini.

    Diskaun tersebut akan bermula pada pukul 12 tengah malam 16 Feb hingga 11.59 malam hari yang sama sebagai tanda penghargaan buat para pengguna kedua-dua lebuhraya terbabit.

    Malah Anih Berhad menjangkakan peningkatan trafik sebanyak 60% bermula petang 14 Feb dan 17 Feb depan berbanding 150,000 kenderaan pada hari biasa kerana pengguna mengambil peluang bercuti sempena cuti panjang perayaan. Justeru, Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) turut dikeluarkan bagi membantu orang ramai merancang perjalanan masing-masing dan dalam waktu yang sama mengurangkan kenderaan bertembung pada masa sama pada waktu puncak di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak.

    Anih tawar diskaun tol 10% dan keluarkan cadangan jadual perjalanan sempena Tahun Baharu Cina 2018

    Mengikut TTA tersebut, mereka yang merancang pulang ke kampung pada 15 Februari di Pahang disarankan memasuki Plaza Tol Gombak pada pukul 12 tengah hari hingga 3 petang atau 7 malam ke 11 malam manakala mereka ke Kelantan dan Terengganu, waktu saranan ialah 6 hingga 10 pagi atau 5 petang ke 8 malam.

    Manakala pada 18 Februari pula, mereka dari Pahang disarankan masuk ke lebuh raya pada pukul 6 ke 10 pagi atau 7 malam ke 10 malam, Terengganu (8 ke 11 pagi atau 8 ke 10 malam) dan Kelantan (6 petang ke 10 malam atau 9 malam hingga 12 tengah malam).

    Pengguna kenderaan ringan juga disarankan untuk mengelak daripada memasuki Plaza Tol Gombak antara pukul 9.30 pagi hingga 12 tengah hari dan 9.30 malam hingga 12 tengah malam yang merupakan waktu saranan untuk bas ekspress.

     
     
  • Johor mempertimbangkan cadangan kenakan surcaj Touch ‘n Go di kompleks pintu masuk sempadan

    Johor mempertimbangkan cadangan kenakan surcaj Touch ‘n Go di kompleks pintu masuk sempadan

    Pelbagai cara yang dilakukan oleh kerajaan negeri Johor bagi mengatasi dan mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di pintu masuk sempadan antara Johor dan Singapura. Ini termasuklah pengurangan kadar tol di LinKedua yang diumumkan baru-baru ini.

    Terkini, Johor sedang mempertimbangkan cadangan mengenakan surcaj SGD10 (RM40) kepada pengguna-pengguna kad Touch ‘n Go yang membuat pengisian semula di kaunter Kompleks Kuarantin, Imigresen dan Kastam (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), laporan Bernama.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad, ini merupakan satu daripada cadangan yang dibincangkan dalam isu menangani kesesakan lalu lintas di kedua-dua pintu masuk berkenaan.

    “Kita mendapati mereka yang membuat pengisian semula di kaunter-kaunter CIQ ini akan meninggalkan kenderaan mereka terbiar di tepi jalan yang akan menyebabkan kita kekurangan satu aliran lorong lalu lintas yang akhirnya menjadi punca kepada kesesakan. Jadi penyedia perkhidmatan Touch ‘n Go perlu menambah baik perkhidmatan mereka untuk mengenakan caj ini. Sekiranya mereka tidak mahu dikenakan caj, mereka perlu mengisi semula awal dan melakukannya di kaunter-kaunter isi semula yang lain, ” katanya kepada pemberita semalam.

    Johor mempertimbangkan cadangan kenakan surcaj Touch ‘n Go di kompleks pintu masuk sempadan

    Katanya lagi, langkah menurunkan bayaran levi daripada RM200 kepada RM50, masih tidak dapat menyelesaikan isu kesesakan kerana infrastruktur di kedua-dua kompleks BSI dan KSAB tidak dapat menampung jumlah kenderaan yang melalui kedua-dua pintu masuk.

    Bukan itu sahaja, langkah lain termasuklah memudahkan pergerakan kenderaan berat adalah dengan mengasingkan lori kelas satu dan lori kelas dua, selain mengubah suai kaunter tol untuk lori di laluan sedia ada iaitu enam lorong di BSI dan tujuh lorong di KSAB. Ini kerana kaunter sedia ada tidak dapat menampung saiz lori yang panjang dan sukar untuk membuat pusingan.

    Dalam masa yang sama, pihaknya akan meminta agar lebih ramai polis bantuan diletakkan di BSI dan KSAB bagi membantu melancarkan aliran lalu lintas khususnya kepada kenderaan berat kerana kesesakan hanya berlaku pada waktu puncak iaitu pukul 4.30 pagi hingga 8 pagi dan 6 petang hingga 9 malam.

    “Buat masa ini terdapat 38 pintu keluar dan 39 pintu masuk di BSI manakala 24 pintu keluar dan 24 pintu masuk di KSAB. Justeru, kita juga mencadangkan untuk menambah 10 lagi pintu masuk dan pintu keluar di BSI dan KSAB,” katanya lagi sambil menambah kesemua cadangan ini boleh dilaksanakan dan disiapkan dalam tempoh enam bulan bagi melancarkan aliran trafik di kedua-dua CIQ.

     
     
  • Toyota siar imej teaser Supra generasi baharu – bakal didedahkan di Geneva Motor Show bulan hadapan

    Toyota siar imej teaser Supra generasi baharu – bakal didedahkan di Geneva Motor Show bulan hadapan

    Toyota telahpun menyiarkan imej teaser untuk Toyota Supra generasi baharu, sebagai ‘amaran’ bahawa kereta sport yang membawa nama lagenda berkenaan akan didedahkan di Geneva Motor Show 2018 yang akan berlangsung bulan hadapan. Mesej Toyota dalam email yang kami terima sangat ringkas berbunyi ‘Lagenda Kembali’, tanpa mendedahkan apa-apa perincian lain.

    Apa yang menarik, imej teaser yang disebarkan berkenaan menampilkan ‘GT-Wing’ yang agak besar pada bahagian belakang Supra tersebut, berbeza dengan model konsep FT-1 yang muncul pada Detroit Auto Show 2014, mahupun foto-foto intipan sebelum ini yang nampaknya hanya menampilkan spoiler yang dibina sekali dengan but belakang.

    Sehingga kini, apa yang kami tahu Supra generasi baharu tersebut dibina bersama oleh Toyota dan BMW dimana pengeluar dari Jerman berkenaan membangunkan roadster Z4 generasi terkini di atas platform kereta sport yang sama sejak 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z4 dan Supra dilakukan secara berasingan.

    Namun, tidak seperti apa yang terjadi pada kembar Toyota 86 dan Subaru BRZ, rekaan Supra ini jelas berbeza dari BMW Z4 yang tampil dengan bentuk badan roadster.

    Ogos tahun lalu, BMW telah pun mendedahkan model BMW Concept Z4 di Pebble Beach Concours D’Elegance, yang memberikan gambaran paling hampir bagaimana rupa versi produksi sebenar nanti. Manakala untuk Supra, pendedahan di Geneva ini merupakan kemunculan sulungnya sebagai versi yang paling hampir kepada bentuk produksi.

    Sebelum ini juga CEO BMW Group Australia Marc Werner pernah memberitahu portal CarAdvice bahawa kedua-dua kereta tersebut bukan hanya berbeza dari segi rekaan, malah pemanduan antara kedua-duanya adalah berbeza sama sekali dan purist BMW sedia ada jangan risau kerana Z4 generasi seterusnya itu masih lagi sebuah “ultimate driving machine“ sebenar.

    Supra dan Z4 dijangka akan dikuasakan dengan enjin empat silinder sebaris dan enam silinder sebaris bersama pengecas turbo dari BMW dan varian paling berkuasa kedua-duanya bakal diberikan unit janakuasa hibrid dilengkapi kapasitor serta sistem pacuan empat roda. Namun, produk dari BMW dijangka bakal tampil lebih premium dengan ciri-ciri seperti sistem infotaimen BMW iDrive dan sebagainya.

    Laporan sebelum ini turut menyebut, boss Toyota Gazoo Racing, Shigeki Tomoyama menyatakan bahawa Toyota Supra generasi kelima ini tidak akan dijual di bawah jenama Toyota sendiri, sebaliknya bakal dipasarkan terus dengan jenama Gazoo Racing (GR). Siapa sebenarnya Gazoo Racing ini? Baca artikel pada PAUTAN INI untuk mengetahui sejarah sayap perlumbaan rasmi yang seolah-olah menggantikan tempat Toyota Racing Development (TRD) buat masa sekarang.

    GALERI: Spyshot Toyota Supra generasi baharu

     
     
  • Toyota C-HR 1.8L CBU – harga disahkan RM145,500

    Toyota C-HR 1.8L CBU – harga disahkan RM145,500

    Ini berita yang baru kami terima. Harga untuk Toyota C-HR, model import dari Thailand telah diumumkan pada RM145,500 termasuk GST, tetapi tanpa insurans. Harga rasmi ini adalah sama seperti yang dijangkakan awal tahun ini, iaitu waktu tempahannya dibuka. Ini juga bermakna perasmian model tersebut akan berlaku tidak lama lagi.

    Pada RM145,500, C-HR menunjukkan harga yang lebih mahal berbanding Honda HR-V CKD yang dijual pada harga antara RM98k hingga RM117k, manakala Mazda CX-3 2.0 CBU pula dijual pada harga RM134k. Tetapi, perlu juga diambil kira bahawa C-HR dibina menggunakan platform TNGA segmen-C terkini Toyota, dengan suspensi belakang dari jenis double wishbone yang lebih canggih (dan lebih mahal) berbanding pesaing-pesaingnya yang menggunakan jenis torsion beam.

    Berdasarkan senarai harga di bawah, pembeli C-HR Malaysia akan mendapat lampu utama projector halogen dengan lampu siang dan lampu kabus belakang LED, rim 17 inci lima cabang yang dibalut tayar 215/60, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula enjin, pengelap cermin automatik, pengawal pendingin hawa dua zon, tempat duduk kulit warna hitam, pelaras tempat duduk manual, cermin pandang belakang malap automatik, skrin pelbagai informasi 4.2 inci, dan pemain DVD dengan skrin kapasitif tujuh inci, sambungan Bluetooth, USB, kamera undur dan enam pembesar suara.

    C-HR akan ditawarkan di Malaysia dalam satu pilihan enjin sahaja, iaitu enjin 2ZR-FE 1.8 liter NA dengan teknologi VVT-i. Kuasa yang dicatat adalah 140 PS pada 6,400 rpm dan 171 Nm tork pada 4,000 rpm, dihantar ke roda hadapan melalui transmisi automatik CVT dengan mod manual tujuh kelajuan. Buat tempoh ini, UMW Toyota tidak akan membawa masuk versi berenjin 1.2 liter turbo dan 1.8 liter hibrid.

    Untuk aspek keselamatan, kereta ini dilengkapi dengan tujuh beg udara (termasuk satu pada bahagian lutut pemandu), brek ABS dengan EBD dan BA, Vehicle Stability Control (VSC), Traction Control (TRC), cagak Isofix, Blind Spot Monitor dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA).

    Warna standard yang ditawarkan termasuklah Metal Stream Metallic dan Attitude Black Mica, serta anda juga boleh memilih White Pearl CS atau dua-tona Blue Metallic dan Red Mica – kedua-duanya dengan bumbung hitam – tetapi dengan harga tambahan. Turut ditawarkan ialah sistem navigasi DVD-AVN (RM1,272), perakam video digital (seperti dash cam, RM636) dan pengalas barangan (RM275.60). Jaminan yang diberi adalah selama lima tahun tanpa had batuan.

    GALERI: Toyota C-HR yang dipertonton di Malaysia

     
     
  • Proton Wira dan Toyota Hilux kekal sebagai kenderaan paling banyak dicuri di Malaysia untuk tahun 2017

    Proton Wira dan Toyota Hilux kekal sebagai kenderaan paling banyak dicuri di Malaysia untuk tahun 2017

    Tahun ini, Proton Wira dan Toyota Hilux masih lagi kenderaan yang paling banyak dicuri di Malaysia, menurut Persatuan Insuran Am Malaysia (PIAM) dalam laporan NST.

    CEO Persatuan berkenaan, Mark Lim Kian Wei mendedahkan sejumlah 654 unit Proton Wira dan 537 unit Toyota Hilux telah direkodkan sebagai kenderaan yang telah dicuri sepanjang 2017 – kedudukan dua model berkenaan nampaknya kekal dari tahun 2014 dan 2015 dalam laporan tahun lalu sebagai kenderaan paling banyak dicuri di negara ini.

    Ditempat ketiga pula ialah Perodua Kancil dengan jumlah tuntutan insuran kerana dicuri sebanyak 378 unit, diikuti oleh Proton Iswara (340 unit), Perodua Myvi (290 unit), Proton Waja (231 unit), Proton Saga (214 unit), Honda Civic (133 unit), Honda City (119 unit) dan Toyota Vios (117 unit).

    Namun untuk 2016, jumlah kecurian terhadap kenderaan dilihat menyusut sebanyak 23% dengan jumlah keseluruhan 15,323 unit untuk semua kelas kenderaan, termasuk milik persendirian dan komersial. Bagi kenderaan persendirian, sejumlah 5,625 unit telah direkodkan membuat tuntutan insuran kerana dicuri sepanjang 2017, berbanding 7,610 pada tahun 2016.

    Proton Wira dan Toyota Hilux kekal sebagai kenderaan paling banyak dicuri di Malaysia untuk tahun 2017

    “Sementara itu, 8,874 unit motosikal telah membuat tuntutan kecurian, turun dari 11,009 unit pada tahun 2016 dan 824 unit kenderaan komersial membuat tuntutan, berbanding 1,386 pada tahun sebelumnya,” jelas Lim.

    Lim turut menyatakan bahawa pembabitan Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan (VTREC) turut membantu dalam mengurangkan angka kecurian kenderaan. “VTREC bukan sahaja terlibat bersama pengendali insuran, ia juga mendapatkan bantuan dari polis, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sokongan dari Bank Negara Malaysia,” terangnya.

    Melihat lebih terperinci, Toyota Vellfire (112 unit) dan Mitsubishi Pajero (77 unit) dinamakan sebagai model “panas” yang kerap dilaporkan dicuri pada 2017. Angka berkenaan diperolehi berdasarkan frekuensi kenderaan tersebut dicuri, apabila kedua-duanya direkodkan pada kadar 0.26%. Model lain yang turut kerap dicuri termasuk Peugeot 308, Peugeot 508, Nissan Vanette, Lexus RX, BMW 7 Series, Proton Perdana dan Ford Courier.

    Sepanjang 2017, jumlah tuntutan insuran kenderaan bermotor yang dibayar pada industri dicatatkan pada RM5.38 bilion – peningkatan 7% dari RM5.02 bilion pada tempoh yang sama. Setiap hari, sekitar RM14.7 juta tuntutan dibuat oleh kesemua pengguna insuran kenderaan bermotor kerana kerosakan hartanah, kecederaan badan dan kecurian kenderaan.

     
     
  • Pengedar Bumiputera Proton terhimpit dengan dasar-dasar baru yang dilaksanakan syarikat itu – Pekema

    Pengedar Bumiputera Proton terhimpit dengan dasar-dasar baru yang dilaksanakan syarikat itu – Pekema

    Kalau anda mengikuti perkembangan Proton untuk beberapa waktu kebelakangan ini, antara perkara yang menjadi keutamaan syarikat itu ialah berkaitan naik taraf rangkaian pengedarnya – dari keadaan sebelum ini menjadi pusat 3S/4S.

    Setakat ini, perkara itu sudah menggerakkan usaha itu untuk menjadikannya kenyataan, secara berperingkat, dengan terdapat beberapa kumpulan terawal pengedar yang sudah diumumkan atau dimeterai persetujuan antara pihak-pihak terlibat untuk tujuan itu.

    Itu hanyalah satu daripada pembaharuan yang sedang dilakukan Proton. Tentunya, terdapat banyak lagi hal-hal pentadbiran, amalan operasi serta pendekatan dan dasar yang diguna pakai sebelum ini dinilai semula oleh pengurusan baru di bawah seliaan Geely, yang kini diterajui oleh Dr Li Chunrong selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Semuanya dengan satu matlamat; memperkemas sistem dan menjadikan Proton lebih berdaya saing dari segenap sudut operasinya.

    Tetapi, merujuk kepada satu laporan yang diterbitkan oleh akhbar Mingguan Malaysia baru-baru ini, ada isu-isu berbangkit melibatkan kelangsungan operasi bagi rangkaian pengedar Bumiputera Proton. Di dalam satu wawancara bersama Presiden Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abdul Rahman, beliau menyifatkan sekiranya tiada apa-apa tindakan diambil, kemungkinan nasib wakil jualan dan vendor bumiputera Proton akan terjejas teruk. “Saya rasa semuanya akan bungkus, mati,” jelas Zainuddin.

    Pengedar Bumiputera Proton terhimpit dengan dasar-dasar baru yang dilaksanakan syarikat itu – Pekema

    Apa masalah yang sedang dihadapi ketika ini? Memetik laporan itu lagi, terdapat sembilan perkara utama yang dibangkitkan oleh syarikat wakil jualan Proton yang juga merupakan ahli Pekema. Senarai permasalahan yang timbul daripada pelaksanaan dasar-dasar baru di dalam Proton yang didakwa membebankan pengedar Bumiputera Proton adalah seperti berikut:

    1. Tempoh yang singkat iaitu kurang setahun untuk dinaik taraf daripada 1S kepada 3S (Jualan, Servis dan Alat Ganti) bagi membolehkan wakil jualan ini menjual model baharu Geely-Proton, Boyue. Untuk naik taraf ini sahaja, pengedar perlu melabur antara RM3 juta hingga RM5 juta sedangkan jualan kereta Proton sekarang secara purata yang dapat dijual hanya sekitar 20-30 buah sebulan. Ada banyak faktor kereta tidak boleh dijual terutamanya disebabkan bank ketatkan syarat pinjaman dan wujudnya ‘double-standard’ oleh pihak bank terhadap Proton berbanding jenama kereta yang lain. Jenama lain lebih mudah mendapat kelulusan pinjaman berbanding jenama Proton.

    2. Pengurangan margin kepada tiga peratus berbanding empat peratus sebelum ini. Walaupun ada beberapa insentif galakan yang hampir mustahil, apatah lagi Proton tetapkan sasaran jualan yang sukar dicapai dalam keadaan pasaran sekarang.

    3. Mengenakan pelbagai caj dan faedah kepada wakil jualan sekiranya kereta tidak dijual dalam tempoh 14 hari. Faedah akan dikenakan sebanyak 10.35 peratus setahun pada hari ke-15 dan seterusnya.

    4. Fasiliti kewangan iaitu PAR (Payment After Registration) yang akan dimansuhkan pada 1 Mac 2018 pasti turut membebankan para wakil jualan dalam situasi sekarang, yang mana jualan semakin merosot sehingga tidak dapat menampung kos operasi bulanan. Kita mohon Proton teruskan fasiliti PAR ini. Kita tidak mahu kemudahan ini ditarik balik kerana membantu syarikat jualan dalam pasaran yang penuh kesukaran.

    5. Proton juga mengenakan sistem ‘block’ di mana stok yang masih belum terjual dan belum dijelaskan pembayaran kepada Proton selepas tempoh 60 hari, akan menyebabkan sistem wakil jualan disekat operasinya. Segala urusan agihan stok juga disekat. Ini akan menjejaskan proses perjalanan urus niaga dan memberikan imej yang tidak baik kepada para pelanggan. Oleh itu Proton perlu bertimbang rasa dan eloklah diteruskan pemberian kemudahan kepada wakil jualan agar dapat meningkatkan jualan bulanan, bukan mengenakan berbagai-bagai sekatan kepada wakil-wakil jualan.

    6. Proton dilihat bergantung kepada model SUV baru yang bernama Boyue bagi mengembalikan pasaran Proton. Kita doakan Proton berjaya. Namun, bolehkah model baru ini kembali meningkatkan jualan Proton memandangkan dengan harga anggaran RM100,000, pengguna mempunyai banyak pilihan untuk membeli kereta jenama lain yang lebih mereka yakini.

    7. Pemberian diskaun khas sebanyak 10 peratus kepada Persatuan Hokkien, kakitangan Petronas dan DRB-Hicom dan institusi kewangan (termasuk ahli keluarga terdekat) juga menjejaskan jualan kenderaan dalam kalangan wakil jualan. Ini kerana, pembeli hanya boleh membeli daripada pengedar Proton sendiri dan bukan daripada wakil jualan. Jelas ini satu diskriminasi kepada wakil jualan kerana mereka tidak dapat memberi diskaun khas.

    8. Proton juga perlu bertegas mengawal persaingan yang tidak sihat sesama wakil jualan Proton. Proton perlu mengambil tindakan terhadap wakil jualan yang memberi diskaun yang melampau yang kebanyakannya dilakukan oleh wakil bukan bumiputera dan ini telah pun “membunuh” banyak wakil jualan Bumiputera yang terpaksa tutup kerana tidak mampu bersaing dan menghadapi kerugian yang berterusan. Pengurusan dilihat berpeluk tubuh dan tidak buat apa-apa untuk mengawal persaingan yang tidak sihat ini.

    9. Orang yang menjaga perancangan dan pembangunan wakil jualan Proton diketuai oleh seorang bukan Bumiputera yang tentunya tidak mempunyai jiwa untuk membantu Bumiputera. Beliau telah memberi berbagai tekanan dan tidak memberi pilihan kepada wakil jualan Bumiputera 1S dalam usaha untuk naik taraf kepada 3S. Tidak ada kompromi atau rundingan.

    Pengedar Bumiputera Proton terhimpit dengan dasar-dasar baru yang dilaksanakan syarikat itu – Pekema

    Berkaitan naik taraf kepada pusat 3S/4S, Zainuddin menyatakan permintaan itu agak tidak logik. “Nak beli tanah dan tukar nama pun memakan masa lebih enam bulan. Tetapi pengurusan baru Proton tetapkan syarat-syarat ketat iaitu wajib naik taraf ke 3S dalam tempoh kurang setahun. Sudah tentu ini sukar direalisasikan oleh wakil jualan Bumiputera,” tambahnya.

    Menurut laporan yang sama lagi, naik taraf kepada pusat 3S/4S perlu dilakukan antaranya sebagai persiapan pengenalan model SUV baru, Boyue. “Kita difahamkan pihak Proton dengan bantuan kerajaan akan membawa masuk sejumlah besar secara CBU Boyue dengan insentif istimewa daripada kerajaan bagi menggalakkan jualan Proton di pasaran. Malangnya CBU Boyue ini difahamkan akan diberi kepada wakil jualan Proton 3S sahaja. Ini satu lagi diskriminasi secara halus kepada wakil jualan Bumiputera 1S yang tidak diberi hak untuk menjual CBU Boyue,” jelas beliau lagi.

    Lebih memburukkan keadaan dan menjadi antara kekangan yang dihadapi oleh pengedar Bumiputera adalah jualan kenderaan Proton yang tidak memberangsangkan sejak beberapa tempoh kebelakangan ini. “Sekitar 2015 hingga 2016, saya difahamkan mereka menjual antara 40 hingga 50 unit sebulan. Bagaimanapun, jualan Proton tahun lalu menurun kepada 70,991 unit berbanding 72,291 unit pada 2016.

    “Saya tahu ada banyak kekangan yang dihadapi oleh wakil-wakil jualan ini. Antaranya, dari segi pembayaran gaji minimum dengan rata-rata mereka mempunyai 15 pekerja termasuk ejen. Kalau hanya dapat jual secara purata 20-30 buah kereta sebulan bagaimana mereka nak menampung kos operasi, sewa bangunan, bayaran gaji pekerja dan sebagainya?” tambah beliau.

    Pengedar Bumiputera Proton terhimpit dengan dasar-dasar baru yang dilaksanakan syarikat itu – Pekema

    Dan, menurut Zainuddin, antara faktor yang meletakkan pengedar Bumiputera dalam situasi yang sukar adalah disebabkan prestasi Proton sendiri. “Selain sudah lama tidak mengeluarkan model baru (Persona dikeluarkan penghujung 2016), pengguna juga semakin hilang keyakinan dan ini menyebabkan penguasaan pasaran jatuh.

    “Dalam masa sama, prestasi Proton dalam tempoh enam hingga tujuh tahun ini asyik bertukar tangan dari Khazanah Nasional Berhad dan kemudiannya DRB-Hicom Berhad yang menunjukkan satu ‘bentuk penyelesaian yang kukuh’. Ini menyebabkan pengedar tidak tahu hala tuju dan ambil keputusan untuk teruskan perniagaan walaupun menanggung kerugian.” jelasnya lagi.

    Dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri yang memberikan jaminan bahawa Proton tidak akan dibiarkan terumbang-ambing dan kerajaan akan sentiasa menghulurkan bantuan untuk memajukan lagi Proton dipersada dunia.

    Apa pun perselisihan faham yang timbul antara pihak pengurusan baru Proton dengan rangkaian pengedar Bumiputera, kami berharap ia dapat dibincangkan dengan elok dan keputusan yang diambil kelak akan dapat memberi manfaat kepada semua kelompok yang berkepentingan, termasuk yang paling utama tentunya kepada pengguna.

     
     
  • BMW Group Malaysia lantik Harald Hoelzl sebagai Pengarah Urusan dan CEO baharu mulai 1 Mac ini

    BMW Group Malaysia lantik Harald Hoelzl sebagai Pengarah Urusan dan CEO baharu mulai 1 Mac ini

    BMW Group AG telah melantik Harald Hoelzl untuk memegang tanggungjawab sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BMW Group Malaysia yang baharu bermula 1 Mac 2018. Perlantikan beliau adalah bagi menggantikan Pengarah Urusan dan CEO sekarang, Han Sang Yun yang bakal dilantik sebagai Presiden BMW Group Korea yang baharu.

    Hoelzl memulakan kerjayanya dengan BMW Group pada tahun 2002 serta telah berkhidmat dalam pelbagai jabatan seperti Jualan, Pemasaran, Pembangunan Pengedar dan IT. Dengan rekod kerjaya yang mengagumkan, BMW Group AG melantik beliau sebagai Ketua Pemasaran BMW Group Central South Eastern Europe pada tahun 2011, sebelum mengetuai operasi BMW Group di Republik Czech.

    Sementara itu, Han Sang Yun akan dilantik sebagai Presiden BMW Group Korea berkuat kuasa 1 Mac 2018. Beliau menggantikan Presiden sekarang, Dr. Hyojoon Kim yang akan memulakan tugas dan tanggungjawab sebagai Wakil Pengarah dan Pengerusi pengeluar kenderaan premium itu di sana.

    Dengan pengalaman dalam industri automotif selama lebih 20 tahun di Korea, Han Sang Yun dilantik menjadi Pengarah Urusan dan CEO BMW Group Malaysia pada Januari 2015.

    Sepanjang bertugas di Malaysia, Han telah membantu pengeluar kenderaan premium ini mencatat prestasi pertumbuhan terbaik pada tahun 2017. Beliau juga merupakan pemacu utama dalam mengembangkan portfolio kenderaan Plug-in Hybrid BMW Group Malaysia menjadi 55% daripada jumlah keseluruhan penyerahan di negara ini. Sekali gus memacu strategi Visionary Mobility pengeluar kenderaan premium ini.

     
     
  • JPJ laksana Ops TBC 2018 mulai 9-23 Februari ini

    JPJ laksana Ops TBC 2018 mulai 9-23 Februari ini

    Sempena dengan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melaksanakan Ops TBC mulai 9 Februari lalu dan ia berlangsung selama dua minggu iaitu sehingga 23 Februari ini (tidak termasuk dua hari cuti Tahun Baharu Cina pada 16 dan 17 Februari 2018). Tujuan utama Ops TBC ini adalah untuk memastikan lebuhraya dan pengguna lebuhraya selamat serta pergerakan trafik berjalan lancar.

    Ketua Pengarah JPJ Dato’ Sri Shaharuddin Khalid berkata, bagi memastikan keberkesanan Ops TBC 2018, pihaknya telah merangka tujuh stretegi utama iaitu Penguatkuasaan Ops Sisih 2/2018 yang telah bermula pada 2 hingga 8 Februari lalu dengan pemeriksaan depoh bas, Rondaan di lebuhraya dan jalan utama, Penguatkuasaan motosikal, Penyamaran sebagai penumpang bas, Rakaman video kesalahan secara elektronik di lebuh raya dengan kerjasama PLUS, Aduan awam dan operasi bilik kawalan serta Pemasangan kamera baharu AWAS.

    “Kita berasa bimbang dengan statistik Ops TBC 2017 di mana JPJ telah mengeluarkan notis saman sebanyak 42,731 yang melibatkan empat kategori iaitu bas, lori, motosikal dan motokar. Kategori tertinggi yang dikeluarkan melibatkan motosikal iaitu sebanyak 17,412 saman, diikuti dengan lori (11,639). Ini sangat membimbangkan kita kerana menurut kajian yang dikeluarkan oleg MIROS, sebanyak 60 hingga 65% kemalangan maut adalah melibatkan penunggang motosikal. Malah lebih 64% daripada 336 jumlah kenderaan yang disita adalah motosikal,” ujar Shaharuddin.

    JPJ laksana Ops TBC 2018 mulai 9-23 Februari ini

    Justeru, bagi Ops TBC kali ini, JPJ akan melaksanakan rondaan selama 16 jam iaitu dari jam 8 pagi hingga 12 tengahmalam, kecuali pada 16 dan 17 Februari ini, Malah pada 18 Februari, JPJ akan beroperasi selama 24 jam. Rondaan ini akan menggunakan kenderaan penguatkuasaan berlogo dengan membuka lampu mata arah dengan kelajuan tidak melebihi 70 km/j menggunakan lorong kecemasan atau lorong paling kanan jalan.

    “JPJ masih lagi memberikan fokus utama penguatkuasaan kepada tujuh kesalahan utama iaitu tidak memakai tali pinggang/topi keledar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu/menunggang, memotong di garisan berkembar, melanggar lampu isyarat merah, memotong barisan, memandu di lorong kecemasan dan memandu melebihi had laju yang dibenarkan.

    “Baru-baru ini Menteri Pengangkutan telah mengarahkan semua agensi yang terlibat untuk memperkasakan lagi penguatkuasaan. Beliau berbesar hati dengan pengurangan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya kepada 6,740 pada tahun 2017 berbanding 7,152 pada 2016. Walau bagaimana pun, beliau mensasarkan pengurangan 10% kematian akibat kemalangan jalan raya pada setiap tahun, Justeru, saya merayu kepada semua pihak untuk bekerjasama dalam memastikan keharmonian dan keselamatan jalan raya dapat dipertingkatkan,” kata Shaharuddin menerusi ucapan beliau semasa merasmikan Stesen JPJ di R&R Dengkil (arah Selatan) pagi tadi.

    Dalam majlis berkenaan, beliau juga telah melepaskan konvoi yang membabitkan para penguatkuasa JPJ yang terlibat dengan Ops TBC ini.

     
     
  • Ford Ranger Raptor pernah diuji dengan kotak gear 12- dan 13-kelajuan, namun 10-kelajuan paling optimal

    Ford Ranger Raptor pernah diuji dengan kotak gear 12- dan 13-kelajuan, namun 10-kelajuan paling optimal

    Selain dari Ford Ranger pasaran Amerika Syarikat, Ranger T6 versi berprestasi tinggi – Ranger Raptor – turut diberikan kotak gear automatik dengan 10-kelajuan. Namun menurut jurutera Ford, semasa pembinaan model ini, mereka turut menguji kotak gear lain yang bukan sahaja menampilkan tujuh- dan sembilan-kelajuan, malah turut menguji unit yang mempunyai 12- dan 13-kelajuan, menurut laporan CarAdvice.

    Pengurus kejuteraan transmisi dan pacuan Ford Asia Pasifik, John Fallu berkata, kotak gear 10-kelajuan ini dipilih kerana ia memenuhi “tanda aras perincian dan prestasi kami (Ford),” dan juga “torque converter telah dipilih secara spesifik untuk memenuhi – dan memperbaiki – prestasi enjin ketika berlepas, bagi memuaskan jangkaan pelanggan.”

    “Kami sebenarnya telah melakukakan simulasi semasa proses ujian untuk jumlah nisbah gear paling optimum bagi trak pikap pacuan belakang bagi saiz dan kuasa sepertinya.” jelas Fallu.

    “Apa yang kami mahu adalah perasaan penukaran gear yang sama ketika ia bertukar dari gear ke gear. Sepanjang proses memperhalusi, ia sangat mengkagumkan. Walaupun anda jangkakan penukaran gear secara ‘sibuk’ ia tidak akan kelihatan seperti itu, kerana ia sangat lancar – hampir tidak perasan, dan ia turut melakukan rev-matching ketika gear diturunkan,” tambahnya lagi.

    Ranger Raptor berkongsi kotak gear 10-kelajuan ini bersama abang besarnya, F-150 Raptor. Namun kedua-duanya diberikan talaan nisbah berbeza bagi disesuaikan dengan enjin masing-masing – F-150 Raptor dijana enjin petrol turbo 3.5 liter V6 EcoBoost berkuasa 456 PS/691 Nm berbanding Ranger Raptor digerakkan dengan enjin diesel EcoBlue 2.0 liter dengan dua pengecas turbo berkuasa 213 PS/500 Nm.

     
     
  • Daihatsu Sirion terbaru akan dilancarkan di Indonesia esok? Harga dari RM52k hingga RM55k, rebadge Myvi

    Daihatsu Sirion terbaru akan dilancarkan di Indonesia esok? Harga dari RM52k hingga RM55k, <em>rebadge</em> Myvi

    Daihatsu Sirion baru khabarnya akan dilancarkan di Indonesia esok, 13 Februari seperti dilaporkan oleh Kompas. Tarikh berkenaan diperoleh daripada pengarah pemasaran PT Astra Daihatsu Motor (ADM),
    Amelia Tjandra minggu lalu.

    Sama seperti sebelum ini, Daihatsu Sirion merupakan model rebadge daripada Perodua Myvi dan akan diimport sepenuhnya (CBU) dari Malaysia. Menurut Amelia, Sirion baru yang akan dijual di sana akan sama dengan spesifikasi Perodua Myvi terbaru berkenaan dan bukannya dalam versi yang lebih ringkas. “Perbezaan yang ada hanyalah logo, itu saja,” ujarnya.

    Penerbitan itu juga melaporkan anggaran harga bagi Sirion terbaru itu di Indonesia ialah sekitar 180 juta Rupiah (RM52,019) bagi model paling asas hinggalah kepada 190 juta Rupiah (RM54,910) bagi varian paling lengkap. Apa pun, senarai harga sebenarnya akan diumumkan pada majlis pelancarannya kelak.

    Di Malaysia, Perodua Myvi terbaru yang mula dijual sejak November 2017 ditawarkan dalam beberapa varian seperti berikut; enjin 1.3L (dari RM44,300 hingga RM48,300) dan 1.5L (dari RM51,800 hingga RM55,300).

    Daihatsu Sirion sebelum ini di Indonesia hanya ditawarkan dengan enjin 1.3L sahaja. Untuk versi terbaru ini, masih belum pasti adakah kedua-dua enjin akan diperkenalkan di sana. Jika anda ingin tahu lebih lanjut tentang Myvi 2018, ikuti laporan komprehensif yang telah kami sediakan sebelum ini, antaranya laporan pandu uji serta ulasan video perbandingan dengan model lamanya.

    strong>GALERI: Perodua Myvi 1.5L Advance 2018

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025