Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Cadangan harga tol di LinKedua dikaji semula – Liow

    Cadangan harga tol di LinKedua dikaji semula – Liow

    Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia dan Singapura mempertimbangkan untuk mengkaji semula tol di Lebuhraya LinKedua untuk menarik lebih ramai orang menggunakannya sebagai laluan bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor. Kenyataan tersebut diumumkan pada sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Kelapan yang berlangsung di Istana, semalam.

    Mengulas kenyataan tersebut, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tion Lai pula berkata, kementeriannya akan menjalankan kajian terhadap cadangan mengenakan kadar tol lebih menarik di laluan terbabit terutamanya pada waktu bukan puncak.

    Beliau turut berkata Liow cadangan itu merupakan salah satu pendekatan jangka pendek yang ingin diambil oleh kedua-dua kerajaan bagi mengatasi kesesakan di Tambak Johor sementara menunggu projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang dijangka siap pada tahun 2024, laporan Bernama .

    “Kita nak lihat (mungkin) pada waktu bukan puncak, kita boleh kurangkan tol (sekali gus) galakkan orang menggunakan LinKedua dengan harga tol yang lebih rendah kerana pada waktu puncak memang sesak, kadang-kadang dua tiga jam sesak,” kata beliau kepada pemberita.

    Ketika ditanya mengenai tempoh masa kajian itu, beliau berkata kajian itu mungkin mengambil tempoh enam bulan. Buat masa ini, Liow masih belum dapat menganggarkan kadar bayaran tol yang akan dikenakan namun menjanjikan ia adalah satu kadar tol yang menarik.

     
     
  • SPYSHOT: Lexus LS 2018 telah dilihat di JPJ Putrajaya

    SPYSHOT: Lexus LS 2018 telah dilihat di JPJ Putrajaya

    Minggu lalu, Lexus Malaysia mula buka tempahan bagi model Lexus LS 2018. Tak lama kemudian, model terbabit sudah dilihat di ibupejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Putrajaya oleh Safuan Mahmud. Maka, kita boleh jangkakan pelancarannya tak lama lagi.

    Sedan mewah yang dilihat itu ialah LS 500, yang menggunakan enjin 3.5 liter twin-turbo V6 yang menghasilkan 415 hp pada 6,000 rpm dan 600 Nm dari 1,600 hingga 4,800 rpm. Kuasa ini disalurkan ke roda belakang melalui transmisi automatik Direct Shift 10-kelajuan.

    Turut akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia ialah LS 500h hibrid. Ia menggunakan sistem Multi-Stage Hybrid dari model LC 500h, menggandingkan enjin V6 3.5 liter (295 hp/350 Nm) V6 dengan motor elektrik (176 hp/300 Nm) untuk mendapatkan kuasa akhir 354 hp. Kotak gear automatik empat-kelajuan berkerja dengan dengan elektrik motor untuk menghasilkan simulasi transmisi 10-kelajuan.

    Lexus Malaysia telah mengesahkan bahawa terdapat tiga varian LS yang akan ditawarkan, LS 500 Luxury, LS 500 Executive dan LS 500h Executive. Juga dilengkapi dengan Lexus Safety System serta fungsi bantuan pemandu. Ini termasuk Pre-Collision System (PCS) dengan pengesan pejalan kaki, Dynamic Radar Cruise Control, Lane Departure Alert (LDA), Lane Keeping Assist (LKA) dan Automatic High Beam (AHB).

    Harga yang ditetapkan pula adalah seperti berikut; LS 500 Luxury (RM799,000), LS 500 Executive (RM999,000) dan LS 500h Executive (RM1,459,000). Semuanye merupakan harga atas jalan tanpa insurans dan termasuk jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan.

     
     
  • Mercedes-AMG CLS53, E53 Coupe dan Cabriolet – enjin hibrid AMG EQ Boost pertama, hingga 457 hp

    Mercedes-AMG CLS53, E53 Coupe dan Cabriolet – enjin hibrid AMG EQ Boost pertama, hingga 457 hp

    Mercedes-AMG telah mendedahkan barisan model siri 53 terbaru mereka, dengan tiga yang pertama adalah model CLS, E Class Coupe dan E-Class Cabriolet. Ketiga-tiganya menggunakan enjin hibrid ringkas twin-turbo 3.0 liter yang sama (menjadikannya AMG hibrid pertama), dan didakwa dapat “memberikan reaksi spontan dan respon sangat dinamik tanpa turbo lag.”

    Enjin enam silinder sebaris serba baru (model AMG 43 menggunakan enjin V6 3.0L biturbo) yang digunakan mampu menghasilkan 435 hp dan 520 Nm tork, dan digabungkan dengan starter-alternator EQ Boost yang menjadi sebahagian daripada sistem elektrikal 48 V padanya. Sistem hibrid ini menambah 22 hp dan 250 Nm tork lagi dan terletak di antara enjin dan transmisi.

    Penyampaian kuasa dilakukan oleh transmisi automatik AMG Speedshift TCT 9G sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic+, seterusnya membolehkan E53 memecut 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat manakala E53 Cabriolet dan CLS pula pula 4.5 saat. Laju maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j (270 km/j dengan pakej AMG Driver), dan penggunaan bahan api berada pada 8.4 L/100 km untuk E-Coupe dan CLS, sementara Cabriolet yang lebih berat pula 8.5 L/100 km.

    Unik bagi enjin baru model 53 ini adalah cara pengecasan turbo berkembar yang dilakukan, di mana ia hanya ada satu pengecas turbo, tetapi dibantu dengan compressor elektrik tambahan. Daripada rpm yang rendah, compressor ini dapat memberi tekanan kuasa tinggi tanpa sebarang kelambatan (lag) dan digunakan untuk meningkatkan tork secara pantas apabila memecut sebelum tindakan turbo masuk.

    Terdapat lima mod yang disediakan untuk model-model ini iaitu Eco, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual, dengan setiap satunya mengubah tindak balas enjin, transmisi, suspensi dan stereng. Terdapat juga butang M yang menandakan penukaran gear manual. Untuk cengkaman paling optima, sistem 4Matic+ yang diguna mempunyai klac kawalan elektro-mekanikal yang dapat memindahkan kuasa secara berubah ke gandar hadapan, daripada gandar belakang yang berfungsi sepenuh masa.

    Turut diberi adalah suspensi udara AMG Ride Control+. Suspensi ini dibangunkan oleh AMG untuk menampilkan ciri penyerapan boleh laras sepanjang masa ADS+ (Adaptive Damping System), dan semua model siri 53 ini menggunakan kadar spring lebih tinggi untuk mengurangkan olengan badan dan meningkatkan stabiliti di selekoh. Kuasa penghentian datang daripada brek cakera berliang 370 x 36 mm dengan angkup empat piston di hadapan, manakala di belakang pula terdapat cakera 360 x 26 mm bersama angkup satu piston terapung.

    Mercedes-AMG CLS53, E53 Coupe dan Cabriolet – enjin hibrid AMG EQ Boost pertama, hingga 457 hp

    Pada bahagian luar, selain perubahan yang boleh dilihat pada bahagian gril, bampar dan bukaan udara, kenderaan ini juga mempunyai spoiler di belakang (boleh dipilih untuk unit gentian karbon), diffuser dan empat muncung ekzos di belakang. Rim standard bersaiz 19 inci tapi pembeli juga boleh memilih unit 20 inci.

    Untuk bahagian dalam pula, kenderaan ini mendapat barangan khas AMG seperti tali pinggang merah, kemasan gentian karbon, roda stereng AMG Performance yang dibalut dengan kulit Nappa dan tempat duduk sport AMG. Pilihan tambahan yang disediakan adalah termasuk kulit buatan Artico dan gentian mikro Dinamica, kulit Nappa dan balutan Designo.

    Selain padanan warna biasa seperti hitam/merah dan hitam/kelabu, model E53 turut mendapat pilihan lain termasuk hitam/jahitan coklat, hitam/putih, hitam/merah, designo titian red/macchiato beige dan designo titanium grey/black. CLS 53 pula mendapat pilihan macchiato beige/magma grey, black/Bengal red dan espresso brown/magma grey.

    GALERI: Mercedes-AMG CLS 53


    GALERI: Mercedes-AMG E 53 Coupe

    GALERI: Mercedes-AMG E 53 Cabriolet

     
     
  • SPYSHOT: Toyota Corolla generasi baharu muncul – sedang diuji di atas jalan raya, dalam cuaca sejuk

    SPYSHOT: Toyota Corolla generasi baharu muncul – sedang diuji di atas jalan raya, dalam cuaca sejuk

    Setelah sekian lama Toyota Corolla generasi ke-11 (Altis di Malaysia) berada dalam pasaran, ia nampaknya akan digantikan dengan model baharu tidak lama lagi. Buat masa sekarang, lawan Corolla seperti Civic serta model-model lain dari Korea seperti Hyundai Elantra dan Kia Forte masing-masing menampilkan pelbagai teknologi baharu dan rekaan yang lebih segar.

    Kami telah menerima foto intipan memaparkan Toyota Corolla generasi ke-12 – dalam versi sedan dan hatchback – yang sedang diuji dalam cuaca sejuk di Ann Arbor, Michigan, Amerika Syarikat.

    Untuk model sedan, Toyota nampaknya sangat berahsia kerana kereta berkenaan mengenakan penyamaran yang sangat berat. Namun boleh diagak, Corolla akan menerima konsep muka yang direka dua tingkat seperti Altis sedia ada, berdasarkan sedikit bayangan pada sekeliling penyamaran bahagian lampu hadapan.

    SPYSHOT: Toyota Corolla generasi baharu muncul – sedang diuji di atas jalan raya, dalam cuaca sejuk

    Bentuk badan sedan ini juga membayangkan ia akan tampil dengan konsep yang hampir sama dengan generasi sedia ada, tetapi dengan kedudukan tingkap yang lebih rendah.

    Namun untuk model hatchback (yang juga dikenali sebagai Corolla Auris), ia tampil dengan penyamaran sedikit ringan dan mungkin memberikan sedikti klu bagaimana rupa versi sedannya tadi. Model ini nampaknya menampilkan rupa yang lebih tirus dan tajam dari model sedia ada.

    Bahagian dalaman model Auris berkenaan juga dapat dirakam lensa jurukamera intipan kami, yang menampilkan rekaan baharu hampir pada keseluruhan termasuk papan pemuka dan suis kawalan penghawa dingin. Ia turut diberikan tombol gear lebih kecil, roda stereng baharu, dan juga skrin infotaimen berdiri sendiri.

    Untuk generasi sedia ada, Auris dipasarkan di Amerika Syarikat di bawah lencana Scion dengan nama iM dan ia menampilkan ruang dalaman yang hampir sama dengan Corolla sedan. Setelah jenama Scion ditutup, model tersebut dijangka akan diperkenalkan semula dengan jenama Toyota.

    Untuk model generasi baharu, Corolla dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang turut menjadi asas kepada Toyota C-HR, Prius dan juga Camry generasi baharu. Ia dijangka akan dijana pelbagai unit janakuasa termasuk enjin petrol empat-silinder 1.8 liter dan juga versi hibrid.

    Untuk model sedia ada pasaran Amerika Syarikat, Corolla dijana pilihan enjin sama ada 2ZR-FE yang berkuasa 132 hp/174 Nm dan versi dengan teknologi Valvematic 2ZR-FAE berkuasa 140 hp/171 Nm. Untuk model generasi baharu pula, ia dijangka akan diberikan transmisi CVT, sama seperti model Camry terkini.

    GALERI: Spyshot Toyota Corolla sedan generasi ke-12

    GALERI: Spyshot Toyota Corolla hatchback generasi ke-12

     
     
  • Nissan Xmotion concept – SUV 3-barisan tempat duduk konfigurasi 4+2, 7 skrin, pengesan cap jari

    Nissan Xmotion concept – SUV 3-barisan tempat duduk konfigurasi 4+2, 7 skrin, pengesan cap jari

    Nissan akhirnya telah mendedahkan model konsep terkininya, Nissan Xmotion, di Detroit Auto Show 2018. Model konsep SUV ini ditawarkan dengan tiga-barisan tempat duduk, mewakili arah tuju rekaan syarikat untuk 2020 dan seterusnya.

    Sudah lama sejak terakhir kita melihat konsep reka bentuk yang menarik seperti yang dipertontonkan pada Xmotion ini. Pereka gayanya mengetengahkan gaya baharu sebagai “kepentingan kekuatan”, yang diserlahkan menerusi imej yang sungguh bergaya dan tampil lebih segar berbanding model sedia ada yang lain. Waima masih boleh mengenalpasti ia sebagai model Nissan, terutamanya mengekalkan lampu utama “boomerang” dan gril hadapan V-motion.

    Grilnya kini tampil lebih lebar dan menyerlah, seperti mana yang pernah ditonjolkan pada Murano generasi ketiga. Menurut Nissan, gril pada Xmotion ini akan menetapkan satu standard bagi model produksi crossover dan SUV mereka hingga dekad akan datang.

    Nissan Xmotion concept – SUV 3-barisan tempat duduk konfigurasi 4+2, 7 skrin, pengesan cap jari

    Lampu utama boomerang juga antara daya tarikannya, yang turut disertakan dengan fungsi lampu tinggi, lampu rendah, lampu signal dan lampu posisi. Intensiti dan warna bagi pencahayaannya juga pelbagai, bergantung pada fungsinya.

    Di sisinya pula kelihatan kontur berbentuk-U yang menarik di antara gerbang roda, dan pandangan mata juga tertarik pada roda aloi aluminium 21-inci dengan tayar yang sesuai untuk semua keadaan jalan, di mana Nissan mengesahkan ia dibangunkan oleh Michelin. Ia juga ditampilkan dengan pacuan semua-roda Pintar Nissan.

    Di belakangnya pula, rekaan lampunya diinspirasikan dengan perincian kumiko, yang dikenali sebagai kerja kayu Jepun. Pandangan mata juga dapat menangkap perincian grafik ala ilusi optikal yang direka dengan teknologi hologram.

    Nissan Xmotion concept – SUV 3-barisan tempat duduk konfigurasi 4+2, 7 skrin, pengesan cap jari

    Apabila pintu SUV ini dibuka, kelihatan konfigurasi tempat duduk 4+2 dalam bentangan tiga-barisan. Barisan ketiga menampilkan dua tempat duduk yang boleh diduduki kanak-kanak atau pun haiwan peliharaan. “Kami membayangkan kenderaan ini dengan fungsi tinggi, termasuk sebagai SUV yang boleh digunakan dalam urusan seharian seperti membawa keluarga dan kenalan beriadah ke taman negara atau kawasan rekreasi,” ujar Alfonso Albaisa, timbalan kanan presiden bagi rekaan global Nissan.

    Model konsep Xmotion ini memiliki ukuran 4,590 mm bagi panjangnya (lebih pendek berbanding X-Trail pada 4,650 mm), membuatkan ia mempunyai ruang penyimpanan barang yang memuaskan. Ia turut didatangkan dengan “rooftop box” yang boleh dialihkan bagi aerodinamik yang lebih efisien dan fleksibel untuk memuatkan sejumlah beg atau pun kelengkapan rekreasi pelbagai saiz.

    Rekaan bahagian kabin juga banyak diilhamkan daripada pertukangan kayu tradisional Jepun, termasuk menggunaan kayuan pada bahagian papan pemuka dan terowong tengah. Malah ia jugak menggunakan teknik sambungan kayuan binaan Jepun yang dipanggil ‘kanawa tsugi’, yang tidak memerlukan paku atau gam untuk melekatkannya, tetapi masih kekal kuat dan berketahanan. Teknik sambungan ini juga banyak digunakan pada binaan rumah ibadah dan kuil di serata Jepun.

    Selain itu, bahagian kabinnya juga ditampilkan dengan panel paparan digital yang besar, termasuklah mengetengahkan tujuh skrin digital, iaitu lima di bahagian tengah, satu di siling (dengan cermin perumah digital) dan satu lagi paparan konsol tengah. Sistem infotainmen dan paparan juga boleh dikawal dengan isyarat dan mata.

    Malah kelihatan juga “floating commander” yang mampu mengesan pergerakan penumpang. Ia turut merangkumi pengesan pergerakan dalaman dan mampu mengimbas kawalan isyarat kepada sistem hiburan, di samping fungsi haba, pengaliran dan juga pendingin hawa. Xmotion juga menampilkan pengesahan menerusi cap jari, sama seperti yang ada pada telefon pintar masa kini. Apabila pemandu menyentuh pengimbas cap jari pada bahagian atas konsol, bantuan personal maya akan muncul untuk “berkomunikasi” dengan pemandu. Menariknya, ia berbentuk ikan kegemaran rakyat Jepun, ikan koi.

    “Kami melihat Nisan dan model konsep Xmotion ini sebagai meraikan kehidupan setiap hari, membuatkan kita berasa mahu ke mana-mana saja setiap hari,” ujar Albaisa. Sambungnya lagi, “Kita harap sesiapa yang melihat kenderaan ini di pertunjukan auto di seluruh dunia akan merasai perasaan yang sama.”

    Dengan konsep Xmotion ini, Nissan juga berharap rekaan baharu dan teknologi baharu Nissan Intelligent Mobility mudah untuk difokuskan pada masa hadapan.

     
     
  • DACSEE ingin jadi platform e-hailing bertujuan untuk memberdayakan komuniti, bukan monopoli syarikat

    DACSEE ingin jadi platform e-hailing bertujuan untuk memberdayakan komuniti, bukan monopoli syarikat

    Kita mungkin sudah tak asing lagi dengan nama Uber atau Grab. Tapi, menjelang April nanti, akan ada satu lagi platform perkongsian kenderaan yang akan dilancarkan di Malaysia, dikenali dengan nama Decentralize Alternative Cabs Serving & Empowering Everyone (DACSEE).

    Walaupun penampilan antaramuka dan aplikasi yang akan diperkenalkan nanti nampak macam sama sahaja dengan dua lagi perkhidmatan yang dinyatakan itu, menurut DACSEE pendekatan platform yang mereka perkenalkan ini sangat berbeza dari segi operasinya – ia memberikan tumpuan dan keutamaan kepada komuniti dan lingkungan serta kitaran sistem mereka, serta kelebihan untuk mengurus dan menjalankan operasi sendiri. DACSEE hanya menyediakan platform open source untuk tujuan itu.

    Berbeza dengan Uber atau Grab yang setiap aspek operasinya ditentukan oleh syarikat (pemandu hanya wajib mematuhi apa saja keputusan yang dibuat) yang bertindak selaku orang tengah di dalam perkhidmatan berkenaan, dengan DACSEE, tiada lagi peranan orang tengah seperti itu – ia bertujuan untuk memberdayakan lingkungan komuniti pemandu dan pengguna yang ada. Pemandu boleh menjana pendapatan yang lebih bagi setiap perjalanan yang dilakukan serta berdasarkan jumlah pemandu lain yang mereka cadangkan (referral) untuk menyertai platform ini.

    DACSEE ingin jadi platform e-hailing bertujuan untuk memberdayakan komuniti, bukan monopoli syarikat

    Menurut CEO DACSEE, Alexander von Kaldenberg, ini boleh dicapai kerana dalam kaedah sedia ada, syarikat yang menyelia operasi berkenaan akan mengambil peratusan daripada jumlah bayaran yang dikutip bagi setiap perjalanan yang pemandu lakukan. Ketika ini, Grab dan Uber mengambil sekitar 20% daripada jumlah tambang.

    Tetapi lain halnya dengan DACSEE. Oleh kerana ia satu platform terbuka open source, maka ia tidak dimiliki atau dimonopoli oleh mana-mana syarikat. Pihak berkepentingan bagi platform ini terdiri pemandu sendiri, pengguna atau penumpang serta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) selaku badan kerajaan yang akan meluluskan pemohonan pemandu. DACSEE hanya bertindak selaku penyedia platform.

    Menurut DACSEE, mekanisme yang digunakan adalah seperti ini; jika pemandu A mencadangkan individu B untuk ikut serta jadi pemandu, A akan mendapat imbuhan/komisyen daripada setiap tambang yang dikutip oleh B bagi setiap perjalanannya. Kemudian, jika B pula mengajak individu C untuk ikut serta, A dan B tetap akan mendapatkan imbuhan daripada setiap tambang yang dikutip C. Bagaimanapun, maksimum imbuhan ini adalah hanya pada tahap 3-tier dalam rangkaian berkenaan sahaja.

    DACSEE ingin jadi platform e-hailing bertujuan untuk memberdayakan komuniti, bukan monopoli syarikat

    Ya, bunyinya sama pernah kita dengar dari skim multi level marketing (MLM), tetapi menurut DACSEE, ia hanya melibatkan aspek agihan pendapatan tanpa pemandu mengeluarkan apa-apa modal pendahuluan.

    Mengambil contoh potongan 20% yang diamalkan ketika ini oleh dua syarikat sedia ada yang beroperasi itu, setiap bahagian imbuhan atau komisyen yang dimaksudkan adalah dari jumlah ini sahaja, dan tidak mengganggu 80% lagi yang menjadi pendapatan pemandu.

    Bezanya, 20% yang potong itu tidak diambil oleh DACSEE, sebaliknya akan digunakan kembali untuk komuniti berkenaan; dalam konteks ini, seperti contoh yang diberikan ketika sidang media, 2% daripada jumlah itu adalah komisyen kepada pemandu di peringkat yang lebih atas yang mencadangkan (recurring over riding referral comission) – serta termasuk pecahan bahagian yang sama kepada pihak DACSEE selaku penyedia platform.

    DACSEE ingin jadi platform e-hailing bertujuan untuk memberdayakan komuniti, bukan monopoli syarikat

    Bagaimanapun, peratusan-peratusan ini hanyalah contoh yang diberikan. Jumlah yang dipersetujui nanti mungkin berbeza. Semua perkara berkaitan, misalnya tambang yang akan dikenakan bagi setiap kilometer perjalanan, akan ditentukan dan dipersetujui sendiri oleh pihak berkepentingan di dalam lingkungan ini (pemandu, pengguna dan SPAD) dan bukannya oleh DACSEE.

    Antara keunikan lain yang ditawarkan oleh DACSEE ialah penumpang boleh membuat senarai pemandu kegemaran mereka sendiri – membolehkan penumpang merasa selesa dan selamat – dan boleh menempah perkhidmatan mereka secara terus jika mahu.

    Sekiranya berlaku sebarang insiden atau kecemasan, pengguna boleh memaklumkan melalui aplikasi berkenaan, dan individi yang berada dalam lingkungan yang sama dapat memberikan respon serta tindakan susulan yang lebih cepat. Begitu juga dengan pemandu, mereka juga ada pilihan untuk tidak lagi menerima tempahan pelanggan (yang cerewet dan tidak bertimbang rasa, misalnya).

    Pemilihan pemandu juga dilakukan oleh lingkungan komuniti. Jika pemandu A mencadangkan rakannnya B, ia masih perlu disahkan dan diteliti oleh seorang lagi pemandu lain, dan terakhir, kata putus dan kelulusan lesen yang muktamad akan dikeluarkan hanya oleh SPAD selepas menilai dokumen dan latar belakang mereka.

    DACSEE ingin jadi platform e-hailing bertujuan untuk memberdayakan komuniti, bukan monopoli syarikat

    Hanya selepas mendapat kelulusan SPAD barulah mereka boleh mula memandu. Dengan cara ini, jika B melakukan perkara-perkara yang melanggar peraturan, A juga boleh disiasat. Menurut DACSEE, ini adalah bertujuan untuk melahirkan rasa tanggungjawab dalam kalangan pemandu yang terlibat.

    Buat masa ini, DACSEE masih di dalam fasa ujian dan pengambilan pemandu. Lebih daripada 5,000 pemandu sudah berdaftar, dan akan memulakan ujian terhadap operasi dan aplikasinya pada Februari nanti dan jika semua berjalan lancar, ia akan mula beroperasi sepenuhnya pada bulan April.

    Hanya selepas itu barulah kita dapat lihat keberkesanan sistem ini. Dan, jika ia dapat memberikan pulangan pendapatan yang lebih berbaloi kepada pemandu dan penumpang dalam tempoh kerja yang lebih singkat seperti yang didakwa, ia mungkin akan menarik perhatian lebih ramai pemandu. Ataupun sebaliknya.

     
     
  • Yamaha M-Slaz 150 tiba di Malaysia tengah tahun ini?

    Yamaha M-Slaz 150 tiba di Malaysia tengah tahun ini?

    Segmen motosikal 150 cc di Malaysia adalah sangat popular, seperti yang boleh dilihat dengan pencapaian jualan Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R, manakala sebelum model ini tiba pula terdapat model seperti Yamaha FZ150i dan Belang R150.

    Berita baik untuk yang menunggu, informasi telah sampai kepada kami bahawa pengganti FZ150i yang sudah agak lama di pasaran, iaitu M-Slaz 150 akan tiba di Malaysia sebelum hujung tahun ini. Perkara ini diberitahu sendiri oleh sumber kami yang boleh dipercayai.

    M-Slaz 150 telah pun dilancarkan di beberapa pasaran termasuk Thailand dan Indonesia pada tahun 2016, dan ia menggunakan enjin satu silinder 149 cc, berpenyejukan udara yang mampu menghasilkan 16 hp pada 8,500 rpm dan 14.3 Nm tork pada 7,500 rpm. Kuasa disampaikan ke tayar melalui kotak gear enam kelajuan dan berat keseluruhannya adalah 135 kg.

    Tangki minyak yang disediakan pada model ini berkapasiti 10.2 liter, dan ia turut mempunyai kelengkapan lain seperti panel instrumen LCD, meter kelajuan digital, fork USD di hadapan, monoshock di belakang dan rim 17 inci. Lampunya pula adalah unit LED di depan dan belakang.

    Nama sebenar model ini apabila tiba di Malaysia nanti masih belum diketahui kerana selain M-Slaz, ia juga dipasarkan dengan nama Xabre di Indonesia. Sudah tentu, ada peringkat awal ini, harganya juga tidak diberitahu. Tetapi di Indonesia, model ini dipasarkan pada harga bermula 30.3 juta rupiah (RM8,990).

    Turut diberitahu oleh sumber tersebut, model sports 250 cc R25 berkemungkinan diberi pembaharuan pada hujung tahun ini, dengan antara peningkatan yang diberi adalah brek ABS.

     
     
  • Hyundai Veloster 2019 tampil di Detroit – model biasa 2.0L dan 1.6L Turbo disertai model prestasi 275 hp

    Hyundai Veloster 2019 tampil di Detroit – model biasa 2.0L dan 1.6L Turbo disertai model prestasi 275 hp

    Hyundai Veloster 2019 akhirnya diperkenalkan semasa North American International Auto Show (NAIAS), dan kini menjadi model terkini yang terletak di bawah jenama sub N pengeluar tersebut yang berorientasikan prestasi.

    Terdapat dua model bagi Veloster baru ini iaitu standard dan Turbo. Bagi model standard, ia dikuasakan oleh enjin empat silinder petrol 2.0 liter Atkinson-cycle, yang dipadankan dengan sama ada transmisi manual enam kelajuan atau automatik. Enjin ini menggantikan unit 1.6 liter NA yang digunakan sebelum ini, dan mampu menghasilkan sebanyak 147 hp pada 6,200 rpm dan 179 Nm tork pada 4,500 rpm – tambahan 15 hp dan 16 Nm.

    Model Turbo pula, dipasang dengan enjin empat silinder 1.6 liter turbo yang sama seperti sebelum ini, dengan kuasa sebanyak 201 hp pada 6,000 rpm dan 264 Nm tork pada antara 1,500 hingga 4,500 rpm – fungsi overboost pula boleh memberikan tork sehingga 274 Nm. Pilihan transmisi untuk model turbo ini termasuk manual enam kelajuan dan automatik klac berkembar tujuh kelajuan dengan pedal penukar gear di stereng dan Shiftronic.

    Tidak cukup dengan itu, model turbo ini juga dipasang dengan sistem yang digelar sebagai Active Sound Design, yang diberitahu oleh Hyundai dapat “meningkatkan karekter bunyi intake dan ekzos di dalam kabin untuk menjadikan pemanduan lebih memuaskan.” Model ini juga mendapat steering rack dengan nisbah lebih pantas dan suspensi talaan sport.

    Hyundai Veloster 2019 tampil di Detroit – model biasa 2.0L dan 1.6L Turbo disertai model prestasi 275 hp

    Kedua-dua model Veloster baru ini datang dengan tiga mod pemanduan iaitu Normal, Sport dan Smart. Turut diberi adalah Torque Vectoring Control (TVC) yang menggunakan pengesan pada roda bersama algoritma ESC untuk mengaktifkan kuasa brek lebih tepat pada bahagian dalam roda sewaktu mengambil selekoh.

    Daripada aspek rekaan, Veloster ini masih kelihatan sama secara asasnya dengan model sebelum ini. Walaubagaimanapun, beberapa bahagian diubah termasuk gril yang lebih lebar, lampu hadapan lebih tajam dan bentuk bampar baru. Garis bumbung dan tingkap juga diperelok untuk memberi ruang kepada lebih baik. Pada bahagian belakang, selain rekaan lampu baru, kedua model yang ada juga boleh dibezakan dengan muncung ekzosnya – satu untuk model standard dan dua untuk model turbo.

    Masuk ke dalam, kita dapat menyaksikan rekaan papan pemuka baru yang menggunakan bahagian utama berbentuk V bagi meletakkan kawalan sistem hiburan dan pendingin hawa. Di atasnya pula terdapat skrin sesentuh terkeluar yang diapit dua corong pendingin hawa.

    Turut diubah adalah bahagian konsol tengah, melihatkan penggunaan pembahagi yang lebih tinggi di antara bahagian di hadapan pemandu dan penumpang. Juga baru adalah roda stereng dan panel instrumen untuk pemandu – dengan terdapat corak berpetak di dalamnya.

    Bagi pasaran Amerika Syarikat, terdapat dua varian untuk model 2.0L iaitu Veloster dan Veloster 2.0 Premium. Model Turbo pula datang dalam tiga pilihan iaitu Turbo R-Spec, Turbo dan Turbo Ultimate. Bergantung kepada model, senarai kelengkapan boleh termasuk rim 17 atau 18 inci, skrin hiburan tujuh atau lapan inci, lampu utama projector atau LED, panel instrumen 4.2 inci berwarna, bumbung suria, head-up-display dan tempat duduk larasan kuasa.

    Untuk aspek keselamatan, varian paling atas iaitu Turbo Ultimate datang paling lengkap dengan termasuk Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Lane Keeping Assist (LKA), High Beam Assist (HBA), Driver Attention Warning (DAW), Blind-Spot Collision Warning (BCW) dan Rear Cross-Traffic Collison Warning (RCCW). Semua model datang secara standard dengan enam beg udara.

    Hyundai Veloster 2019 tampil di Detroit – model biasa 2.0L dan 1.6L Turbo disertai model prestasi 275 hp

    Itu bagi model Veloster biasa. Menariknya, Hyundai turut memperkenalkan sebuah model yang lebih berprestasi iaitu Veloster N. Ia menggunakan enjin empat silinder turbo 2.0 liter Theta T-GDI dengan kuasa sebanyak 275 hp pada 6,000 rpm dan 353 Nm tork pada antara 1,450 hingga 4,700 rpm. Ini adalah enjin sama yang digunakan pada i30N hatchback dengan Performance Package.

    Satu-satunya pilihan transmisi yang disediakan melalui model ini adalah transmisi manual enam kelajuan dengan nisbah yang pendek, berserta sistem rev-matching waktu menurunkan gear. Turut disediakan adalah sistem ekzos aktif yang akan memberikan bunyi lebih sporty.

    Bagi memadankan pengendalian dan kuasa Veloster N ini, ia dilengkapi dengan geometri suspensi unik dipanggil N Power Sense Axle. Rekaannya menampilkan radius tanpa geseran untuk kendalian stereng lebih tepat, tindak balas lebih pantas dan rasa yang lebih terus.

    Pada bahagian lain, terdapat penyokong strut belakang untuk menguatkan suspensi multi-link di belakang, seterusnya menjadikan kereta lebih tegar. Suspensi kenderaan ini juga boleh dikawal secara elektronik dengan beberapa mod termasuk yang fokus kepada pemanduan dalam trek – N Mode.

    Untuk mod pemanduan N Grin Control System pula, terdapat lima mod yang boleh dipilih – Normal, Sport, N, Eco and N Custom – setiap satunya memberikan karekter berbeza bagi pelbagai sistem yang ada. Jika itu tidak mencukupi, pemilik juga boleh menikmati sistem N Corner-Carving Limited-slip Differential elektronik dan cakera brek juga agak besar – 13.6 inci di hadapan, dan 12.4 inci di belakang.

    Untuk membezakan model N ini dengan model biasa, ia dilengkapi dengan gril dan bampar baru yang mempunyai jalur warna merah, serta bukaan udara tambahan untuk menyejukkan sistem brek. Turut ditambah adalah side skirt, spoiler belakang yang besar, diffuser belakang serta muncung ekzos yang besar. Rim yang digunakan bersaiz 19 inci, bersama tayar Pirelli P-Zero saiz 235/35. Rim 18 inci pula dipadankan bersama tayar Michelin Pilot SuperSPort 225/40.

    GALERI: Hyundai Veloster 2019


    GALERI: Hyundai Veloster N 2019

     
     
  • Ford siar teaser Shelby Mustang GT500 dengan 700 hp

    Menerusi video teaser yang baharu sahaja disiarkan, Ford mengesahkan mereka akan memperkenalkan Mustang lebih berkuasa dengan lencana penala lagenda, Caroll Shelby iaitu Shelby Mustang GT500.

    Video yang hanya berdurasi 55 saat berkenaan dimulakan dengan penampilan model asal Shelby Mustang GT500 1967, dan kemudiannya ‘ular’ tersebut mula ‘menyalin kulit’ dan berubah kepada sebuah model yang diasaskan dari Mustang generasi terkini.

    Video berkenaan tidak mendedahkan dengan jelas keseluruhan rupa GT500 generasi baharu tersebut, namun dapat diperhatikan ia akan dipadankan dengan kit aero yang lebih agresif termasuk splitter pada bampar hadapan, diffuser lebih besar pada bampar belakang dan juga sayap GT pada but belakang.

    Ia juga akan diberikan liang udara yang lebih agresif pada penutup hud enjin, ‘sayap’ pada skirt sisi, rim aloi berwarna hitam dan juga kit brek yang lebih besar.

    Tiada perincian berkenaan unit janakuasa diberikan, tetapi pada penghujung video Ford mengesahkan Shelby Mustang GT500 generasi baharu bakal memperolehi kuasa kuda melebihi 700 hp. Khabar angin juga menyebut, Ford bakal mengekstrak jumlah kuasa berkenaan dari enjin asal Cayote V8 5.0 liter dengan menggunakan supercharger.

    GALERI: Ford Mustang 2018

     
     
  • Toyota Avalon 2019 – lebih agresif, mewah dan maju

    Toyota Avalon 2019 – lebih agresif, mewah dan maju

    Toyota Avalon, sebuah model yang direka dan dipasang di Amerika Syarikat kini sudah memasuki generasi kelima dan moodel terbarunya dipertontonkan semasa acara North American International Auto Show di Detroit. Sedan saiz penuh ini membawa perubahan yang jelas, dengan rekaan lebih agresif, pilihan enjin baru dan pelbagai teknologi moden.

    Secara keseluruhannya, terdapat empat trim untuk Avalon 2019 ini iaitu XSE, Touring, XLE dan Limited. Setiap satunya dapat dibezakan dengan kelengkapan dan penampilan, manakala kuasa pemacu pula terdiri daripada enjin V6 3.5 liter 2GR-FKS, dan hibrid gabungan enjin empat silinder 2.5 liter Dynamic Force THS II dengan motor elektrik 650 volt.

    Sistem hibrid yang digunakan pada Avalon ini mendapat unit pengawal PCU yang lebih kecil dan ringan, pengurangan tenaga yang 20% lebih rendah pada transaxle dan motor elektrik, 10% lebih rendah pada sistem penyejukan, converter DC-DC yang dioptimakan dan Auto Glide Control yang dapat mengurangkan engine braking supaya kereta boleh melungsur lebih baik sebelum berhenti.

    Toyota Avalon 2019 – lebih agresif, mewah dan maju

    Untuk enjin petrol tersebut, ia dipadankan bersama kotak gear automatik Direct Shift lapan kelajuan, manakala untuk enjin hibrid, ia datang bersama kotak gear CVT, yang mempunyai mod Sequential Shiftmatic dengan enam nisbah virtual.

    Toyota juga mengambil pelbagai langkah untuk menjadikan Avalon lebih sporty, antaranya dengan meletakkan Intake Sound Generator (ISG), Active Noise Control (ANC) dan Engine Sound Enhancement (ESE) supaya bunyi enjin lebih menarik.

    Turut diperlengkap adalah suspensi belakang multi-link baru dengan trailing arm, penyerap dan bushing yang diperelok, anti-roll bar lebih tebal, kadar spring lebih keras dan jarak antara roda kiri dan kanan yang lebih lebar. Mod pemanduan pula ada tiga iaitu Eco, Normal dan Sport.

    Model Touring mendapat tambahan mod Sport+ dan Custom, serta penyerap Adaptive Variable Suspension (AVS) yang dapat memberi kawalan penyerap secara langsung untuk meningkatkan kelincahan serta kawalannya. Sistem ini menggunakan injap kawalan solenoid, pengesan G di hadapan dan belakang, dan ECU pintar. Perubahan pada solenoid boleh berlaku dalam hanya 20 milisaat.

    Di sebalik badannya, Avalon terletak di atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA), yang membolehkan rekaannya nampak lebih rendah, tiang lebih kurus dan pusat graviti lebih rendah. Terdapat juga tambahan bahan penyerap bunyi di bahagian ruang enjin, karpet, bawah lantai dan di dalam lengkuk tayar, seterusnya menghasilkan bunyi yang kurang.

    Pada bahagian dalam, terdapat rekaan yang mengalir yang boleh menyaingi rekaan Lexus. Papan pemuka bertingkat padanya mempunyai kemasan sama ada kayu tiruan untuk XLE, aluminium untuk XSE dan Touring, atau kayu asli Yamaha pada model Limited.

    Tempat duduk pula menampilkan penggunaan Ultrasuede bagi XSE dan Touring, manakala XLE pula menggunakan kulit tiruan Softex dengan jahitan menegak dan kulit sebenar berserta jahitan dua warna dan liang pengudaraan pada model Limited. Toyota mendakwa, ruang kepala, kaki dan bahu yang disediakan adalah yang terbaik di dalam kelasnya.

    Toyota Avalon 2019 – lebih agresif, mewah dan maju

    Kelengkapan berteknologi yang disediakan pada Avalon adalah termasuk skrin kapasitif sembilan inci untuk sistem multimedia, yang menampilkan sambungan Apple CarPlay secara standard, Entune 3.0 App Suite Connect, sambungan Verizon WiFi dan Toyota Remote Connect (disepadukan dengan jam pintar dan pembantu persendirian Alexa Amazon.

    Sistem bunyi premium JBL 14 pembesar suara datang secara standard pada model Touring dan Limited, bersama head-up display berwarna 10 inci, yang Toyota katakan sebagai paling besar dalam segmennya. Kelengkapan lain adalah termasuk pengecas tanpa wayar Qi, soket pengecas USB tiga di hadapan dan dua di belakang, serta tempat letak cawan dan telefon di hadapan dan belakang.

    Untuk aspek keselamatan, Avalon datang dengan 10 beg udara, ABS dengan EBD dan BA, Vehicle Stability Control (VSC), Traction Control, Smart Stop Technology dan kamera undur. Semuanya datang secara standard.

    Selain itu, turut diberi adalah pakej Toyota Safety Sense yang termasuk Pre Collision System (PCS) dengan Pedestrian Detection, Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) semua kelajuan, Lane Departure Alert (LDA) dengan Steering Assist, Automatic High Beam (AHB) dan Blind Spot Monitor (BSM) dengan Rear Cross Traffic Alert (RCTA). Panoramic View Monitor with Alert (PVMA) dan Intelligent Clearance Sonar (ICS) dengan Rear Cross Traffic Braking (RCTB) disediakan sebagai pilihan tambahan.

    GALERI: Toyota Avalon XSE


    GALERI: Toyota Avalon Touring

    GALERI: Toyota Avalon Limited Hybrid

     
     
  • Kia dedah Forte generasi baharu di Detroit – muka seperti Stinger, terima kotak gear CVT baharu

    Kia dedah Forte generasi baharu di Detroit – muka seperti Stinger, terima kotak gear CVT baharu

    2019 Forte

    Selepas imej teaser disiarkan oleh Kia tempoh hari, jenama dari Korea berkenaan kini mendedahkan sepenuhnya model generasi baharu Forte pada North American International Auto Show yang berlangsung di Detroit. Menurut Kia, model yang juga dikenali sebagai Cerato di Malaysia atau K3 di Korea Selatan berkenaan kini menawarkan bahagian dalaman yang “mendahului pesaing sekelas” dan juga tahap keselesaan serta penjimatan bahan api lebih tinggi bersama teknologi bantuan pemanduan terkini.

    Menurut Kia, Forte 2019 berkenaan direka dengan elemen yang diambil dari sedan flagship mereka iaitu Stinger, menampilkan hud hadapan yang panjang, dan juga dek pendek bagi memberikan rupa seperti sebuah fastback. Titik bahagian cowl dianjakkan lima-inci kebelakang bagi memberikan rupa yang nampak lebih lincah.

    Tidak sukar untuk mengagak inspirasi yang diambil ketika rekaan muka sedan baharu ini dibuat kerana ia sememangnya seiras dengan Stinger. Forte 2019 diberikan gril signatur ‘hidung harimau’ Kia, bersama bahagian valance yang digelapkan. Lampu hadapannya juga direka lebih tirus dari sebelum ini, serta dilengkapi lampu nyalaan siang LED empat poin.

    Kia dedah Forte generasi baharu di Detroit – muka seperti Stinger, terima kotak gear CVT baharu

    Lampu isyarat membelok pula diasingkan dari lampu utama dan diletakkan pada bahagian bampar, serta bahagian tersebut turut menempatkan tirai udara bagi memperbaiki aspek aerodinamik. Elemen rekaan lampu berkenaan turut dibawa ke bahagian belakang, di mana lampu isyarat membelok juga diletakkan pada bampar, manakala lampu utama yang tirus kelihatan bersambung antara kedua-dua belah menerusi panel kemasan pada penutup but.

    Menurut Kia, bentuk seperti fastback ini bukan sahaja memainkan peranan dari segi rupa, malah ia juga memberikan ruang dalaman yang lebih luas. Secara keseluruhan, panjang Forte telah meningkat sebanyak 81 mm kepada 4,640 mm, membolehkan ruang kaki dibesarkan lagi serta ruang but direka dengan kapasiti 428 liter – antara yang terbesar dalam kelasnya.

    Kereta ini juga kini 12.7 mm lebih tinggi (1,440 mm) membolehkan ruang kepalanya juga direka lebih luas, manakala lebarnya juga kini sudah bertambah dengan ukuran keseluruhan 1,798 mm.

    Kia dedah Forte generasi baharu di Detroit – muka seperti Stinger, terima kotak gear CVT baharu

    2019 Forte

    Anda mungkin tidak perasan akan jarak lebar yang bertambah tersebut, namun jika dilihat pada rekaan papan pemuka baharu Kia Forte ini, pertambahan berkenaan boleh dilihat dengan nyata. Papan pemuka tersebut direka dengan elemen melintang, menempatkan liang penghawa dingin tirus pada bahagian tengah dan panel kawalan minimalis diletakkan di bawah, sementara skrin berdiri terletak diatasnya – membuatkan ia kelihatan seperti papan pemuka Mazda.

    Kia mendakwa, bahagian dalaman Forte 2019 ini diberikan bahagian panel sentuhan-lembut yang lebih banyak dan ia direka agar memudahkan penumpang keluar dan masuk serta sudut penglihatan yang lebih baik.

    Forte generasi sedia ada sudahpun direka dengan tegar membolehkan ianya menerima penarafan Top Safety Pick Plus dari Institut Insuran untuk Keselamatan Lebuhraya (IIHS), namun model generasi baharu ini dibina jauh lebih tegar dengan penggunaan komponen tempaan panas tambahan serta strukturnya mengandungi 54% keluli berketegaran tinggi termaju.

    Tidak cukup dengan itu, kerangka tempat duduk model baharu ini juga direka lebih kuat dan ringan, menawarkan posisi duduk yang lebih selesa bersama sokongan lumbar yang lebih baik dan kusyen yang lebih tumpat. Forte baharu ini juga diberikan lampu LED sepenuhnya baharu yang disasarkan untuk mendapat penarafan yang baik dari Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional Amerika Syarikat (NHTSA) dan juga IIHS.

    Badan yang lebih tegar bukan sahaja memberikan pengendalian dan keselamatan yang lebih baik, malah ia turut memainkan peranan yang besar dalam aspek NVH – secara keseluruhan, Forte 2019 ini 16% lebh tegar dari model sedia ada. Rekaan subframe baharu membolehkan tindak balas kereta ini ditingkatkan bersama respon stereng yang lebih baik, manakala geometri suspensi turut dirombak semula bagi memberikan perasaan pada pendikit dan stereng yang lebih bagus.

    Kia Forte dijana enjin Nu 2.0 liter generasi kedua yang diberikan teknologi kitaran Atkinson dan sistem EGR dengan penyejuk. Enjin berkenaan dipadankan sama ada kotak gear manual enam-kelajuan atau transmisi CVT baharu dari Kia yang digelar Intelligent Variable Transmission (IVT).

    Kia dedah Forte generasi baharu di Detroit – muka seperti Stinger, terima kotak gear CVT baharu

    2019 Forte

    Ini merupakan pertama kali Kia memperkenalkan kotak gear CVT dan unit berkenaan direka sendiri oleh pengeluar berkenaan dan merupakan yang pertama dalam barisan janakuasa “Smart Stream” yang akan digunakan pada model-model akan datang. Berbanding transmisi CVT konvensional yang menggunakan tali sawat jenis push belt, IVT menggunakan tali sawat jenis-rantai untuk beroperasi serta kawalannya diurus oleh sistem logik tukaran adaptif.

    Sistem baharu ini membolehkan ‘rubber-band feel’ pada transmisi CVT konvensional dilenyapkan, serta tukaran gear akan terasa seperti kotak gear AT biasa ketika pedal pendikit ditekan agresif dan pemandu memerlukan lebih pecutan, dakwa Kia. Jenama berkenaan turut menjelaskan IVT turut beroperasi dengan 5 dB lebih senyap dari CVT biasa kerana perumah transmisi tersebut telah ditebat bagi mengurangkan bunyinya.

    Kuasa pada enjin baharu ini dijangka tidak berubah dari enjin sedia ada, dengan jumlah 147 hp/180 Nm. Kia lebih menumpukan terhadap faktor efisien dan janakuasa berkenaan dijangka mencatatkan penggunaan 14.9 km/l dalam situasi gabungan, atau 1.3 km/l lebih baik dari sebelumnya. Penarafan rasmi dari EPA akan diumumkan sebelum pelancaran Forte baharu berkenaan di Amerika Syarikat tahun ini.

    Kia dedah Forte generasi baharu di Detroit – muka seperti Stinger, terima kotak gear CVT baharu

    2019 Forte

    Forte generasi baharu juga menawarkan sistem infotaimen yang membolehkan pemandu lebih menumpukan perhatian pada jalan raya ketika mengendalikannya. Oleh itu, ia diberikan skrin yang cukup luas bersaiz lapan-inci agar mudah dioperasi, dan turut disokong dengan fungsi Android Auto and Apple CarPlay.

    Dengan telefon pintar terpilih sistem ini juga mampu untuk membaca pesanan pada SMS menggunakan Bluetooth 5. Pengguna-pengguna Android 7, Apple iPhone 8 dan iPhone X.8 pula boleh mengecas telefon pintar mereka tanpa menggunakan wayar, dengan hanya meletakkannya pada ruang storan yang ditetapkan.

    Sistem infotaimen berkenaan dihubungkan kepada sistem bunyi premium 320-watt yang dibina bersama Harman Kardon. Alunan bunyi tersebut dihantar ke unit-unit pembesar suara yang direka dengan lubang yang unik, diletakkan pada panel pintu dan bahagian lain pada kabin.

    Forte varian lebih tinggi akan menerima pakej bantuan pemanduan Kia digelar Advanced Driver Assistance Systems (ADAS). Selain dari Amaran Pelanggaran pada Titik Buta dan Bantuan Kekal Lorong, Kia Forte 2019 juga dibekalkan dengan Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan serta Cruise Control pintar.

     
     
  • Perjanjian RTS antara Malaysia-Singapura dimeterai

    Perjanjian RTS antara Malaysia-Singapura dimeterai

    Malaysia dan Singapura telah memeterai perjanjian dua hala bagi projek Rapid Transit System (RTS) Link, di Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia kelapan yang berlangsung di republik berkenaan.

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian oleh Menteri Penyelaras bagi Infrastruktur dan Pengangkutan republik itu, Khaw Boon Wan, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

    Sistem MRT merentasi sempadan iaitu antara Johor Bahru dan Singapura sejauh empat kilometer ini pertama kali diumumkan pada 2010 lalu. Ia dijangka akan mula beroperasi pada tahun 2024, iaitu dari stesen RTS di Bukit Chagar, Johor, ke stesen MRT Woodlands North di Singapura. Malah ia juga dilihat sebagai salah satu jalan penyelesaian yang bakal mengatasi kesesakan trafik di Tambak Johor dan Tuas pada setiap hari, laporan Bernama.

    Apabila siap, RTS mampu menampung pergerakan sehingga 10,000 penumpang sejam satu arah (pphpd) atau 72,000 penumpang sehari, iaitu menampung kapasiti tambahan 60,000 pengguna pada waktu puncak berbanding purata 300 pphpd sekarang. Ia dijangka mampu mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua negara kepada 30 minit berbanding lebih sejam pada masa ini. Pada masa ini, kira-kira 400,000 pengguna melalui Tambak Johor dan Tuas setiap hari.

     
     
  • BMW Group M’sia rekod jualan 12,680 unit pada 2017 – naik 16%, ungguli jenama kereta hibrid premium

    BMW Group M’sia rekod jualan 12,680 unit pada 2017 – naik 16%, ungguli jenama kereta hibrid premium

    Bagi tempoh tujuh tahun berturut-turut, BMW Group Malaysia telah berjaya mencatatkan prestasi jualan keseluruhan tertinggi, dan bagi tahun 2017, ia telah merekodkan sejumlah 12,680 unit kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad terjual di pasaran tempatan. Sekaligus mencapai pertumbuhan sebanyak 16% mendahului segmennya, berbanding tempoh sama untuk tahun 2016 dengan 10,906 unit.

    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, “Kami berasa rendah diri dengan pencapaian ini. Kejayaan pertumbuhan kami di Malaysia merupakan hasil daripada komitmen yang tidak berbelah-bahagi kepada negara, pelanggan, pengedar dan pengalaman pemilikan premium mereka. Kami amat komited untuk memberi perkhidmatan terbaik di negara ini dan rantau Asia Tenggara dari Malaysia pada tahun ini. Kami telah menetapkan satu lagi penanda aras untuk industri automotif premium di sini.

    Jika mengikut pecahan keseluruhan bagi 2017, jenama BMW telah memperoleh jualan mencecah 10,618 unit, berbanding 9,000 unit pada tahun sebelumnya. Ia juga telah menyaksikan pertumbuhan sebanyak 18%. Pertumbuhan itu dipacu oleh model BMW 3 Series dengan 3,564 unit – 2,408 unit daripadanya ialah BMW 330e dan BMW 330e M Sport. BMW X5 xDrive40e juga menjadi penyumbang utama kepada prestasi jenama dengan lebih 3,000 unit berjaya dijual tahun lalu. BMW 740Le xDrive yang diperkenalkan pada separuh pertama 2016 berkonsepkan Driving Luxury to the Mobility of the Future dijual sebanyak 400 unit.

    Dengan angka tersebut, BMW Group Malaysia terus mengukuhkan kedudukannnya sebagai peneraju dalam segmen elektro-mobiliti. Malah syarikat ini berhasrat untuk memacu portfolio produk kenderaan BMW Hybrid dan Teknologi eDrive ke hadapan, di samping mengutamakan aspek infrastruktur dan perkhidmatan mobiliti dalam strateginya, demi menjadikan pemanduan kereta elektrik lebih selesa, mudah serta menyeronokkan pada setiap hari.

    Selain itu, pelancaran sedan perniagaan sport paling progresif, BMW 5 Series pada separuh pertama 2017 juga memacu jualan jenama ini dengan lebih 1,600 unit berjaya diserahkan kepada pelanggan.

    MINI juga dilihat semakin kukuh apabila mencatat rekod prestasi terbaik pada tahun 2017 dengan 1,010 unit kenderaannya berjaya terjual di pasaran tempatan. Ini merupakan peningkatan sebanyak 12% berbanding tahun sebelumnya dengan 902 unit. Pencapaian itu meletakkan MINI sebagai jenama kedua paling pantas berkembang dalam segmen premium di Malaysia dan kini menjadi jenama ketiga terbesar dalam segmen tersebut. Tahun lalu, MINI menambah model MINI Countryman, MINI John Cooper Works Clubman dan MINI John Cooper Works Countryman ke dalam portfolionya.

    BMW Motorrad pula menyerahkan sebanyak 1,052 unit motosikal, mencatat pertumbuhan sebanyak 5% berbanding tahun sebelumnya (1,004 unit). Tahun 2017 menyaksikan pengenalan lima buah motosikal baharu iaitu BMW S1000RR, BMW R1200GS, BMW K1600 GT, Bagger dan BMW R nineT Urban GS.

    Pada tahun lalu juga, BMW Group Malaysia telah memperkenalkan Full Circle Programme oleh BMW Credit Malaysia. Program Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan untuk kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad juga diperkenalkan di samping tawaran premiumnya seperti Jaminan Perbatuan Tanpa Had selama Lima Tahun BMW, Program Servis Percuma, Program Jaminan Tayar BMW dan Jaminan Perbatuan Tanpa Had serta Program Jaminan Servis Percuma selama Empat Tahun MINI.

    Malah syarikat ini juga telah membuka kemudahan Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau terbaharunya di Zon Perdagangan Bebas di Lapangan Terbang Antarabansa Senai, Iskandar Malaysia. Kemudahan serantau yang dibina dengan pelaburan lebih RM130 juta itu merupakan antara yang terbesar seumpamanya dan menyokong lebih 22 buah negara di rantau ini. Ia menjadi bukti bahawa Malaysia merupakan pasaran utama BMW Group; pasaran yang menyokong hala tuju strategik perniagaan Kumpulan dalam mengembangkan pengaruhnya di rantau ini.

    “Melangkah ke 2018, dengan sokongan padu daripada kerajaan Malaysia, pelanggan dan rangkaian pengedar yang kukuh, kami akan merealisasikan pelaburan dan perancangan untuk rantau ini. Kami harap dapat mengekalkan momentum ini dan mencapai satu lagi kejayaan untuk BMW Group dan negara,” ujar Han lagi.

     
     
  • GALERI: Crossover Nissan Qashqai dan SUV X-Trail versi facelift baharu di Singapore Motor Show 2018

    GALERI: Crossover Nissan Qashqai dan SUV X-Trail versi <em>facelift</em> baharu di Singapore Motor Show 2018

    Jika kita ke bilik pameran Nissan di Malaysia, mungkin setakat ini belum lagi ada pembaharuan dari segi barisan model. Namun perkara sebaliknya berlaku ketika kami berada di seberang tambak, apabila jenama tersebut mempamerkan pelbagai model menarik di booth mereka ketika Singapore Motor Show 2018 berlangsung.

    Selain dari Nissan Leaf, kami turut tertarik dengan dua buah SUV yang masih belum sampai ke Malaysia iaitu crossover Nissan Qashqai dan SUV Nissan X-Trail facelift. Kedua-dua model ini telahpun berada pada pasaran Singapura sejak tahun lalu, dilancarkan sekitar September hingga Oktober 2017.

    Kita mulakan dengan Nissan Qahsqai iaitu SUV segmen-B yang sepatutnya memberikan cabaran kepada Honda HR-V di Malaysia. Model yang dipamerkan ini juga sebenarnya merupakan versi facelift 2017. Berbanding model sebelumnya, versi yang disegarkan semula ini menerima gril V-Motion baharu yang diapit dengan lampu LED standard, dan turut diberikan lampu nyalaan siang LED serta sistem lampu hadapan adaptif.

    Nissan Qashqai 1.2L DIG-T Premium

    Qashqai facelift ini juga diberikan bampar hadapan dan belakang yang disentuh semula, bersama grafik “boomerang” baharu pada lampu LED belakang. Manakala pada bahagian dalaman, crossover ini menerima roda stereng baharu dengan rekaan berbentuk-D sama seperti X-Trail.

    Qashqai dipasarkan dalam tiga varian di Singapura iaitu 1.2L DIG-T Lite, 1.2L DIG-T Premium dan 2.0L Premium. Untuk model-model 1.2 liter, ia dijana enjin HRA2 empat-silinder dengan pengecas turbo berkuasa 155 PS pada takat 5,200 rpm dan tork maksima 165 Nm bermula 1,750 rpm. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik X-Tronic CVT, memacu roda hadapan.

    Untuk model 2.0 liter pula, ia dijana enjin MR20DD berkuasa 144 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 200 Nm pada takat 4,400 rpm, sama seperti X-Trail. Ia juga diberikan kotak gear automatik X-tronic CVT, tetapi hanya memacu roda hadapan. Varian-varian 1.2 liter diberikan rim aloi 17-inci, manakala model 2.0 liter pula menerima rim bersaiz 19-inci.

    Nissan Qashqai 2.0L Premium

    Model versi 2.0 liter Premium menerima lebih kelengkapan, antaranya pintu tailgate berkuasa dengan pengaktifan pergerakan (sama seperti X-Trail), sistem penghawa dingin dua-zon, tempat duduk larasan berkuasa, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, brek parkir elektronik, teknologi Nissan Intelligent Mobility (termasuk brek kecemasan automatik dan monitor pemantau sekeliling), amaran titik buta, amaran keluar laluan, bantuan lampu tinggi serta amaran lintasan trafik belakang.

    Beralih ke SUV segmen-C X-Trail, model yang dikemaskini berkenaan turut diberikan gril V-Motion dan bampar baharu. Kluster lampu hadapan turut direka semula dengan pemadanan lampu nyalaan siang LED “boomerang”. Lampu ini merupakan ciri standard yang diberikan pada X-Trail pasaran Singapura (hanya ditawarkan dalam varian tunggal 2.0L 4×4), dan turut diberikan sistem lampu hadapan adaptif.

    Pada bahagian belakang pula, X-Trail turut menerima bampar baharu bersama perincian kemasan krom dan juga lampu belakang yang kini diberikan teknologi LED sepenuhnya. Selain itu, ia juga diberikan kelengkapan lain seperti bumbung panaromik dan pintu tailgate berkuasa, rel bumbung, dan juga rim aloi berdiameter 19-inci.

    Nissan X-Trail 2.0L 4×4

    Masuk ke kabin pula, anda akan disajikan dengan roda stereng berbentuk-D baharu, upholsteri kulit, penghawa dingin dua zon dan sistem infotaimen dengan skrin sesentuh – kesemuanya ditawarkan sebagai ciri standard.

    Nissan X-Trail facelift turut diberikan sistem Nissan Intelligent Mobility bersama ciri-ciri keselamatan lain seperti enam-beg udara, bantuan mula mendaki dan kawalan dinamik kenderaan (VDC). Ia turut diberikan sistem Kawalan Casis Nissan yang terdiri dari Intelligent Trace Control, Intelligent Engine Brake dan Intelligent Ride Control.

    Tiada perubahan pada unit janakuasa di mana ia masih dijana enjin petrol NA 2.0 liter empat-silinder MR20DD berkuasa 144 PS/200 Nm, bersama kotak gear X-Tronic CVT. Kuasa dari enjin dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem All-Mode 4×4.

    Pelanggan di Singapura perlu membayar SG$106,800 (RM319,353) untuk varian asas Nissan Qashqai, dan meningkat kepada SG$109,800 (RM328,047) untuk Qashqai varian pertengahan. Model teritnggi Qashqai 2.0 liter Premium pula dijual pada harga SG$131,800 (RM394,108), manakala varian tunggal X-Trail berharga SG$136,800 (RM408,660) – kesemua harga ini adalah tanpa COE.

    Nissan Qashqai 2.0L Premium

    Nissan Qashqai 1.2L DIG-T Premium

    Nissan X-Trail 2.0L 4×4

     
     
  • GALERI: Mitsubishi Outlander 2.4L CKD – RM155k

    GALERI: Mitsubishi Outlander 2.4L CKD – RM155k

    Dua minggu lalu, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah menguar-uarkan kehadiran model SUV tujuh-tempat duduk Outlander 2.4L versi pemasangan tempatan (CKD) di pasaran tempatan. Sekaligus melengkapkan barisan Outlander versi CKD di negara ini selepas varian 2.0L diperkenalkan September lalu.

    Tampil dengan imej yang tampak bergaya, maskulin dan lasak, Outlander 2.4L baharu ini dipadankan dengan lampu utama projektor berkembar LED penuh dan lampu nyalaan siang LED, serta lampu belakang LED. Bukan itu sahaja, roda aloi dua-tona bersaiz 18-inci bersama spoiler belakang aerodinamik dan bumbung matahari turut menambahkan lagi karakteristik penuh maskulin bagi SUV ini. Selain itu, tailgate larasan elektronik dengan fungsi ‘anti-pinch’ turut didatangkan bagi kemudahan yang lebih optimum.

    Menjengah bahagian kabinnya, Outlander 2.4L CKD ini turut dilengkapi dengan elemen baharu termasuk tempat duduk balutan kulit dengan larasan berkuasa bagi tempat duduk pemandu. Selain itu, ia turut menerima cermin pandang belakang auto-pengelaman dan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh HD tujuh-inci bersama fungsi Apple CarPlay.

    Malahan skrin juga didatangkan dengan fungsi Air Gesture Control. Lain-lain ciri standard yang ditampilkan termasuklah kemasukan tanpa kunci dengan butang push start. Bagi ruang kargonya, ia mampu mencapai sehingga 1,608 liter sekiranya tempat duduk barisan kedua dan ketiga dibaringkan.

    Seperti mana veris CBU, Outlander 2.4L CKD ini dijanakan oleh enjin 2.4 liter DOHC MIVEC dengan hamburan kuasa sehingga 167 PS dan tork 222 Nm. Malah ia juga dipadankan dengan transmisi INVECS-III CVT yang turut dilengkapi dengan pedal penukar gear di belakang roda stereng untuk kawalan pengendalian yang lebih menyeronokkan. Transmisi ini turut menyalurkan kuasa kepada sistem Multi-Select 4WD, yang merangkumi mod 4WD Eco, 4WD Auto dan 4WD Lock – sesuai untuk semua keadaan laluan.

    GALERI: Mitsubishi Outlander 2.4L CKD – RM155k

    Untuk sistem keselamatan dan bantuan pemanduan, Outlander 2.4L CKD dilengkapi dengan Auto Hold Assists dan All Round Monitor (bersama pandangan 360-darjah termasuk titik buta) sebagai elemen baharu. Malah ia turut didatangkan dengan elemen keselamatan sama seperti model 2.0L CKD, ini termasuk tujuh beg udara, ABS dengan EBD dan Bantuan Brek.

    Selain itu, ia masih mengekalkan Kawalan Cengkaman & Kestabilan Aktif (ASTC), Bantuan Mula Mendaki, Perakam Video Digital (DVR), filem penebat haba keselamatan, Rest Reminder dan cagak ISOFIX. Bagi ketegaran kerangkanya, ia tetap menggunakan binaan Mitsubishi Reinforced Impact Safety Evolution (RISE).

    Outlander 2.4L CKD ini ditawarkan pada harga atas jalan RM155,000 (termasuk GST, tanpa insurans). Ia turut didatangkan dengan waranti kilang standard selama lima-tahun tanpa perbatuan terhad dan dua-tahun penyelenggaran percuma. Ia turut didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu Ruby Black, Red Metallic, dan warna baharu Solar White Ruby Black.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025