Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Harga Proton di Afrika Selatan diumum; RM119k-RM145k untuk X50, RM137k-RM158k untuk X70

    Harga Proton di Afrika Selatan diumum; RM119k-RM145k untuk X50, RM137k-RM158k untuk X70

    Sebelum dilancarkan secara rasmi di pasaran Afrika Selatan pada September ini, Proton telah mengumumkan beberapa perincian dan juga harga untuk model-modelnya yang akan dijual di negara berkenaan.

    Menurut laporan BusinessTech, Proton bakal menawarkan dua model SUV di pasaran Afrika Selatan iaitu X50 dan X70. Untuk X50, ia akan ditawarkan dalam empat varian, bermula varian asas Standard dijual pada harga Rand 450,000 (RM119k), Luxury pada harga R 500,000 (RM132k), Executive pada harga R 525,000 (RM138k) dan varian tertinggi Premium berharga R 550,000 (RM145k).

    Tiga varian lebih rendah untuk Proton X50 ini dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik (MPI), menghasilkan kuasa 150 PS dan tork maksima 226 Nm. Manakala varian tertinggi menerima enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI) menghasilkan kuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm.

    Harga Proton di Afrika Selatan diumum; RM119k-RM145k untuk X50, RM137k-RM158k untuk X70

    ????????????????????????????????????

    Melihat spesifikasi yang disiarkan ini, varian Standard, Luxury dan Executive X50 pasaran Afrika Selatan ini mungkin sama dengan varian Standard, Executive dan Premium di Malaysia, manakala varian Premium di Afrika Selatan pula mungkin sama dengan varian Flagship di Malaysia.

    Beralih kepada X70, ia ditawarkan dalam empat varian di Afrika Selatan iaitu Standard 2WD dijual pada harga bermula R 519,000 (RM137k), Executive 2WD berharga R 590,000 (RM156k), Executive 4WD berharga R 550,000 (RM145k) dan varian tertinggi Premium 2WD berharga R 600,000 (RM158k).

    Kesemua varian X70 pasaran Afrika Selatan ini hanya dijana oleh enjin 1.5 liter T-GDI berkuasa 177 PS/255 Nm, dan ia mungkin menyerupai varian-varian X70 MC2 pasaran Malaysia yang baru sahaja dilancarkan pada bulan lalu, tetapi tanpa pilihan varian yang dijana oleh enjin 1.8 T-GDI.

    Harga Proton di Afrika Selatan diumum; RM119k-RM145k untuk X50, RM137k-RM158k untuk X70

    Proton mengumumkan akan memasuki semula pasaran Afrika Selatan pada April lalu, selepas menandatangani perjanjian bersama CMH Group yang bakal menjadi pengedar kenderaannya di sana. Sebelum ini Proton sudah pun berada di Afrika Selatan tetapi secara rasmi keluar dari pasaran tersebut selepas jualan berakhir pada tahun 2012.

    Menurut BusinessTech lagi, CMH bakal menjual Proton menerusi 25 jaringan pengedar rasmi Proton di Afrika Selatan, dengan kumpulan pertama berjumlah 1,200 unit kenderaan akan mula dijual di Afrika Selatan tahun ini. Penghantaran pertama dari Malaysia telah dibuat oleh Proton pada Mei lalu, manakala laporan ini menyebut ia secara rasmi telah sampai ke Durban pada 5 Julai lalu.

    Sebelum ini Proton turut menyatakan bahawa stok kumpulan pertama yang berlepas dari Westport, Klang, tersebut turut disertai oleh Proton Saga, namun harga dan spesifikasi untuk sedan segmen-A berkenaan masih belum diumumkan.

     
     
  • Jadual Cadangan Waktu Perjalanan bagi 7-12 Julai di Lebuhraya Utara-Selatan sempena Aidiladha – PLUS

    Jadual Cadangan Waktu Perjalanan bagi 7-12 Julai di Lebuhraya Utara-Selatan sempena Aidiladha – PLUS

    Seperti amalan yang dilaksanakan pada musim perayaan yang lain, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) turut mengumumkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) di Lebuhraya Utara-Selatan yang bertujuan untuk mengagihkan trafik pada musim perayaan Aidiladha ini bermula 7 sehingga 12 Julai 2022.

    “Kami menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan berada di lebuh raya setiap hari semasa musim cuti Aidiladha ini berbanding 1.8 juta kenderaan sehari pada hari biasa. Oleh itu, sila jangkakan kesesakan dan tempoh perjalanan yang lebih panjang pada hari-hari puncak tersebut.

    “Oleh itu, kami menasihatkan pengguna lebuh raya supaya mengikuti jadual TTA, merancang perjalanan lebih awal, serta membuat persiapan yang diperlukan untuk menghadapi perjalanan yang lebih panjang,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

    Bagi perjalanan dari Lembah Klang iaitu pada 7-10 Julai 2022, pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi. Sementara itu, bagi mereka yang menuju ke lokasi yang lebih dekat atau ke negeri-negeri lain dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya selepas jam 1 tengahari.

    Jadual Cadangan Waktu Perjalanan bagi 7-12 Julai di Lebuhraya Utara-Selatan sempena Aidiladha – PLUS

    Manakala bagi perjalanan kembali ke Lembah Klang pada 10-12 Julai 2022, pengguna lebuhraya
    dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan lain-lain negeri dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi.

    “Berdasarkan kajian kami bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang, pengguna lebuh raya dijangka mengalami tempoh perjalanan dua kali lebih panjang berbanding perjalanan biasa sekiranya mereka memilih untuk tidak mematuhi jadual TTA ini,” jelas Datuk Zakaria lagi.

    Dalam pada itu, pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara.

    Pengguna lebuh raya juga digalakkan untuk menggunakan aplikasi Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan mereka. Pastikan mempunyai baki yang mencukupi dalam kad Touch ‘n Go, atau e-Wallet untuk transaksi tol dengan pilihan pembayaran sama ada menggunakan kad Touch ‘n Go, SmartTAG atau RFID.

    PLUS turut menasihati pengguna agar memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan yang baik dan selamat untuk perjalanan yang jauh. Sila patuhi had kelajuan di lebuh raya, elakkan memandu terlalu rapat dengan kenderaan lain dan jangan gunakan lorong kecemasan!

     
     
  • Ford Ranger 2022 akan dilancarkan di Malaysia – pendaftaran minat dibuka, akan didedah pada 23 Julai

    Ford Ranger 2022 akan dilancarkan di Malaysia – pendaftaran minat dibuka, akan didedah pada 23 Julai

    Pengedar rasmi Ford di Malaysia iaitu Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) secara rasmi telah pun membuka pendaftaran minat (ROI) terhadap model generasi baharu trak pikap Ford Ranger, menandakan pelancaran model berkenaan sudah semakin hampir.

    Sekiranya anda berminat dengan trak pikap ini, pendaftaran minat boleh dibuat secara atas talian menerusi laman mikro yang disediakan oleh SDAC Ford pada PAUTAN INI. Pendaftaran ringkas tersebut hanya memerlukan anda mengisi maklumat seperti nama, nombor telefon, email dan nyatakan di mana lokasi anda.

    Selepas mendaftar, anda akan mendapat keistimewaan sebagai antara orang terawal di Malaysia untuk melihat Ford Ranger generasi baharu ini, di mana SDAC bakal mendedahkannya di Pavilion Bukit Jalil pada 23 hingga 24 Julai nanti.

    Jika anda berada diluar Lembah Klang, jangan risau kerana pendedahan yang sama akan dibuat oleh SDAC Ford di Queensbay Mall Pulau Pinang pada 3-7 Ogos, Toppen Shopping Centre JB pada 10-14 Ogos, Vivacity Megamall Kuching 7-11 September dan Suria Sabah Shopping Centre Kota Kinabalu pada 5-9 Oktober. Jadi jangan lupa untuk mendaftarkan minat anda untuk melihat trak pikap ini di lokasi yang telah ditetapkan.

    Ford Ranger 2022 ini membuat kemunculan sulung globalnya di Thailand pada November 2021, kemudian dijual secara rasmi di negara tersebut pada bulan Mei lalu. Thailand kini menerima Ranger 2022 dalam varian XL, XLT, Sport, Wildtrak dan juga versi prestasi tinggi Ranger Raptor.

    Kesemua model bukan Raptor kini dijana oleh enjin turbodiesel 2.0 liter empat-silinder EcoBlue, dalam dua varian talaan kuasa; 150 PS pada takat 3,500 rpm/350 Nm bermula 1,500 hingga 2,750 rpm dan 170 rpm pada takat 3,500 rpm/ 405 Nm bermula 1,750-2,500 rpm.

    Ford Ranger 2022 akan dilancarkan di Malaysia – pendaftaran minat dibuka, akan didedah pada 23 Julai

    Untuk versi transmisi manual, kotak gear gear MT88 yang baharu dibangunkan berkenaan datang dalam dua versi iaitu sama ada lima- atau enam-kelajuan. Manakala untuk versi automatik, ia masih menampilkan kotak gear 6R80 enam-kelajuan. Penawaran kotak gear ini adalah bergantung kepada varian, namun kotak gear automatik hanya ditawarkan pada varian XLT terpilih.

    Bagi model Ranger Raptor pula, model generasi baharu ini menerima perubahan unit penjana yang signifikant, di mana ia kini dijana oleh enjin petrol 3.0 liter V6 EcoBoost yang sama seperti Ford Bronco Raptor. Enjin EcoBoost menghasilkan kuasa jauh lebih besar dari enjin turbodiesel generasi terdahulu, iaitu 397 PS pada takat 5,650 rpm dan tork maksima 583 Nm pada takat 3,500 rpm.

    Di Thailand, model biasa Ford Ranger 2022 ini dijual pada harga bermula dari 554,000 baht (RM71k) hingga 943,000 baht (RM121k), manakala Ranger Raptor pula dijual pada harga 1,869,000 baht (RM233,804).

    GALERI: Ford Ranger Wildtrak 2022

    GALERI: Ford Ranger Sport 2022

    GALERI: Ford Ranger XLT 2022

    GALERI: Ford Ranger Raptor 2023

     
     
  • Ferrari 296 GTS kini di M’sia – RM1.5 juta, bumbung boleh buka, V6 Turbo berkembar PHEV, 830 PS/740 Nm

    Ferrari 296 GTS kini di M’sia – RM1.5 juta, bumbung boleh buka, V6 Turbo berkembar PHEV, 830 PS/740 Nm

    Selepas Ferrari 296 GTB mendarat di Malaysia Mac lalu, kini tiba varian boleh buka bumbung iaitu Ferrari 296 GTS pula diperkenalkan di pasaran tempatan secara rasmi. Di bawa oleh pengedar rasmi Ferrari di Malaysia iaitu Naza Italia, ia dijual pada harga asas RM1,448,000 tidak termasuk duti, cukai, insuran serta opsyen perincian custom yang lain.

    Pengenalan 296 GTS ini di Malaysia juga merupakan penampilan sulungnya di rantau Asia Tenggara. Model spider berlinetta enjin tengah dua-tempat duduk ini berkongsi hampir keseluruhan rekaan dan sistem mekanikal dengan versi bumbung tetap GTB. Namun dengan bumbung yang boleh dibuka, ia memberikan perspektif rupa yang baharu.

    Jika bumbung 296 GTS ini tertutup, ia kelihatan hampir sama dengan versi GTB kerana ia masih lagi menggunakan bumbung keras (Retractable Hard Top atau RHT) dan bukan bumbung jenis fabrik. Bumbung yang direka ringan tersebut boleh dilipat dan disorokkan di bahagian antara belakang kokpit dan ruang enjin, ketika kereta bergerak pada kelajuan di bawah 45 km/j dan boleh dilipat/dibuka dalam masa 14 saat.

    Ferrari 296 GTS kini di M’sia – RM1.5 juta, bumbung boleh buka, V6 Turbo berkembar PHEV, 830 PS/740 Nm

    Penutup ruang simpanan bumbung berkenaan direka dengan bentuk yang nampak sama seperti bahagian cermin belakang, aero bridge dan juga penutup ruang enjim versi GTB, bagi memastikan sifat aerodinamiknya tidak berubah.

    Selain itu, casis GTS ini turut dioptimakan menerusi modifikasi pada bahagian tiang-A, tiang-B dan bendul sisi bagi meningkatkan ketegaran torsi sehingga 50% dan kekerasan lenturan sehingga 8% berbanding aplikasi pada model spider sebelum ini.

    Tiada perubahan dari segi unit rangkaian kuasa di mana model GTS ini masih berkongsi sistem sama seperti GTB, menampilkan enjin V6 2.992 liter dengan sudut 120 darjah, disuap dengan dua pengecas turbo bagi menghasilkan 654 hp (663 PS). Ia turut digandingkan dengan sistem plug-in hybrid (PHEV) menerusi motor elektrik berkuasa 164 hp (167 PS).

    Secara keseluruhan, unit tersebut membekalkan kuasa berjumlah 818 hp (830 PS) pada takat 8,000 rpm dan 740 Nm pada takat 6,250 rpm. Kuasa berkenaan dipindahkan ke roda belakang menerusi kotak gear klac berkembar automatik dengan klac basah lapan-kelajuan. Selain dari 296 GTS dan GTB, unit rangkaian kuasa yang sama turut digunakan pada Ferrari F90 Stradale, SF90 Spider, Roma dan Portofino M.

    Walaupun model GTS ini adalah 70 kg lebih berat dari GTB, kedua-duanya mampu mencatatkan masa pecutan 0-100 km/j yang sama iaitu 2.9 saat, dan kedua-duanya mampu mencapai kelajuan maksima lebih dari 330 km/j. Namun untuk pecutan dari pegun hingga 200 km/j, GTS adalah sedikit lambat dengan mencatatkan 7.6 saat, berbanding hanya 7.3 saat untuk GTB.

    Untuk sistem PHEV, GTB dibekalkan dengan bateri 7.45 kWj 80-sel, atau 4-sel kurang berbanding bateri 7.9 kWj pada SF90. Bateri berkenaan juga dapat dipenuhkan 5% lebih pantas berbanding unit pada Stardale, di mana ia mengambil masa selama tiga-jam untuk dicas penuh. Jarak gerak menggunakan sepenuhnya kuasa elektrik pula adalah 25 km, dan ia boleh bergerak selaju 135 km/j tanpa enjin petrol dihidupkan.

    Ferrari 296 GTS kini di M’sia – RM1.5 juta, bumbung boleh buka, V6 Turbo berkembar PHEV, 830 PS/740 Nm

    Ferrari 296 GTS ini juga menerima empat mod pemanduan yang sama seperti GTB, yang boleh dipilih menerusi pengawal eManettino. Mod-mod tersebut adalah eDrive untuk pemanduan elektrik sepenuhnya, Hybrid yang merupakan mod default setiap kali enjin dihidupkan, Performance untuk memastikan enjin petrol sentiasa hidup dan mengecas semula bateri dengan lebih kerap, serta Qualify yang memberikan kuasa paling maksima dari motor elektrik dan mengutamakan prestasi berbanding mengecas semula bateri.

    Manakala untuk kawalan dinamik elektronik, ia diberikan sistem eSSC (electronic Side Slip Control), Traction Control elektrik (eTC) dan eDiff, dan juga Chassis Dynamic Sensor enam-arah (6w-CDS) yang disifatkan Ferrari sebagai menambah faktor keseronokan pemanduan dan menambah baik respon pada stereng dan pedal pendikit.

    Kokpit model GTS ini sebahagian besarnya adalah sama dengan GTB. Beberapa perubahan kecil yang dapat dilihat adalah pada bahagian konsol tengah dan tempat duduk. Bahagian konsol terowong pada GTS ini diubah sedikit menampilkan ruang storan tertutup.

    Ferrari 296 GTS kini di M’sia – RM1.5 juta, bumbung boleh buka, V6 Turbo berkembar PHEV, 830 PS/740 Nm

    Ia juga tempat duduk gaya-diapason, dihasilkan menerusi alur yang menyerupai jalur pada kluster insrumen. Geometri pada kemasan di belakang perehat kepala juga direka semula bagi membolehkan udara boleh mengalir sebanyak yang boleh ke arah pelindung tonneau bagi mengurangkan aliran udara beredar semula dalam kabin ketika bumbung dibuka.

    Untuk pelanggan yang mahukan 296 GTS yang lebih agresif, mereka turut ditawarkan dengan pakej Assetto Fiorano yang memberikan beberapa ubahsuai penggunaan komponen lebih berprestasi, lebih ringan dan modifikasi aerodinamik. Ia termasuk penyerap hentak boleh laras Multimatic yang dihasilkan dari perlumbaan GT dan dioptimakan untuk kegunaan litar, panel aerodinamik gentian karbon tambahan pada bampar hadapan yang memberikan 10 kg tambahan downforce, serta pelbagai komponen gentian karbon pada bahagian luaran dan dalaman.

    Menurut Ferrari, pemadanan komponen-komponen untuk pakej Asetto Fiorano ini turut akan melibatkan beberapa modifikasi, contohnya panel pintu yang perlu menerima rekaan semula dan hasilnya akan mengurangkan berat sebanyak 8 kg. Tayar berprestasi tinggi Michelin Pilot Sport Cup2R yang direka untuk kegunaan litar juga menjadi sebahagian dari pakej Asetto Fiorano ini.

    Manakala grafik badan yang anda lihat ada pada 296 GTS ini merupakan opsyen yang boleh pilih hanya selepas pakej Asetto Fiorano dipadankan, dan ia diispirasikan dari model klasik Ferrari 250 Le Mans.

     
     
  • Perodua terima 25,100 tempahan pada hari terakhir pengecualian cukai – tertinggi dalam masa satu hari

    Perodua terima 25,100 tempahan pada hari terakhir pengecualian cukai – tertinggi dalam masa satu hari

    Pada hari terakhir pengecualian cukai jualan dan servis (SST) 30 Jun lalu, Perodua telah menerima 25,100 tempahan untuk kenderaan jualannya. Perkara ini didedahkan bersama dengan prestasi keseluruhan jualan syarikat itu sepanjang tahun 2022, di mana ia berjaya menyerahkan 127,343 buah kenderaan kepada pelanggan – 30% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas.

    “Terdapat serbuan ketara untuk tempahan kenderaan, terutamanya apabila kerajaan mengumumkan penyambungan tempoh pendaftaran kepada 31 Mac 2023, dan kami berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana memilih Perodua sebagai jenama pilihan mereka,” kata presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

    “Berkenaan pengecualian cukai jualan; pada hari terakhir inisiatuf tersebut, Perodua menyaksikan tempahan paling tinggi dalam masa satu hari, pada 30 Jun 2022, dengan 25,100 tempahan kenderaan diterima. Ia tidak pernah berlaku sebelum ini dan merupakan satu bukti potensi pertumbuhan industri automotif Malaysia dengan insentif yang betul. Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana menyambung tempoh pendaftaran ini kepada 31 Mac 2023, memandangkan kami memang memerlukan tempoh itu untuk memenuhi permintaan setakat ini,” tambah Zainal.

    Berakhirnya pengecualian SST ini, harga kenderaan Perodua telah meningkat antara RM723 ke RM4,674, atau dalam kadar peratusan, ia adalah antara 1.63% ke 6.38%. Semua model Perodua dipasang dalam negara, jadi semasa pengecualian cukai ini, pelanggan dapat menikmati pengecualian SST sebanyak 100%.

     
     
  • Harga minyak 7-13 Julai – RON97 turun 4 sen seliter

    Harga minyak  7-13 Julai – RON97 turun 4 sen seliter

    Kementerian Kewangan telah memaklumkan, untuk minggu bertarikh 7 hingga 13 Julai 2022, harga petrol RON 97 dilaporkan mengalami penurunan sebanyak 4 sen seliter, iaitu kini RM4.80 seliter, berbanding RM4.84 seliter dalam dua minggu sebelum ini.

    Harga baharu tersebut akan berkuatkuasa mulai 12 tengah malam ini sehinggalah pada Rabu hadapan, 13 Julai 2022.

    Manakala harga petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan sejak lebih setahun yang lalu iaitu pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20 yang turut dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

     
     
  • Proton – 150k tempahan dalam 6 bulan pertama 2022

    Proton – 150k tempahan dalam 6 bulan pertama 2022

    Untuk enam bulan pertama tahun 2022, Proton telah menerima lebih 150,000 unit tempahan kenderaan. Ini didedahkan oleh Timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah sewaktu majlis pelancaran kilang enjin baharu syarikat ini di Tanjung Malim semalam, dan turut disebut dalam pengumuman prestasi jualan terbaru syarikat itu baru-baru ini.

    Tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berakhir pada 30 Jun lalu sudah pasti memberi kesan terhadap tempahan, di mana pembeli pantas memanfaatkan penjimatan yang datang dengan ‘cuti cukai’. Sebagai contoh, X70 MC yang dilancarkan pada 9 Jun pada asalnya diumumkan berharga dari RM93,900 di atas jalan tanpa insurans, termasuk pengecualian SST.

    Walau bagaimana pun, selepas 30 Jun, SUV berkenaan ditawarkan pada harga bermula RM98,800, atau RM4,9000 lebih tinggi berbanding sebelum ini. Ia adalah untuk varian asas 1.5 TGDi Standard 2WD, malahan empat lagi varian lain turut menyaksikan peningkatan harga setelah kembalinya cukai SST. Menurut Roslan, 10,985 tempahan adalah untuk X70 MC yang diterima sejak SUV ini dilancarkan, manakala Saga pula telah ditempah sebanyak 34,017 unit dalam enam bulan pertama tahun ini.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 4 Julai lalu, Roslan berkata, “Jun menjadi bulan paling sibuk untuk industri automotif dengan hampir kesemua jenama berusaha untuk mengeluarkan sebanyak mungkin kereta untuk memenuhi permintaan pasaran. Apabila pengumuman mengenai insentif SST yang ditamatkan mulai 1 Julai membuatkan para pelanggan bergegas untuk membuat tempahan bagi mengambil manfaat daripada penjimatan yang ditawarkan.”

    Proton – 150k tempahan dalam 6 bulan pertama 2022

    Tambah beliau, “Proton telah menerima lebih daripada 150,000 tempahan untuk enam bulan pertama tahun ini dan apabila ditambah dengan pesanan dari 2021, kami perlu bekerja keras untuk menghantar kereta yang ditempah kepada pelanggan secepat mungkin.”

    Sebelum berakhirnya pengecualian SST, Proton berkata ia akan berhenti menerima tempahan baharu berdasarkan model iaitu bergantung kepada had pengeluarannya. Selain itu, Proton juga akan berusaha untuk memastikan pelanggan yang telah membuat tempahan sebelum tamat tempoh pengecualian SST dapat menerima dan mendaftar kenderaan mereka sebelum 1 April 2023 untuk menikmati penjimatan cukai tersebut.

    Walaupun jumlah tempahan adalah menggalakkan, namun transaksi pembelian masih tertakluk kepada terma dan syarat, termasuk kelulusan pinjaman bank. Oleh itu, tidak semua tempahan yang pasti akan ditukar kepada jualan, kata Roslan ketika itu.

    Dari Januari hingga Jun tahun ini, Proton telah berjaya menghantar sejumlah 60,124 unit kenderaan, dengan 14,787 unit daripadanya terjual pada bulan Jun. Dianggarkan, perkongsian pasaran setakat ini adalah sekitar 18.2%, di mana ia menyusut 5.1% berbanding tempoh yag sama pada tahun lalu.

     
     
  • Perodua jual 127,343 kenderaan dalam enam bulan pertama 2022 – naik 30% berbanding tahun lepas

    Perodua jual 127,343 kenderaan dalam enam bulan pertama 2022 – naik 30% berbanding tahun lepas

    Perodua baru sahaja mengumumkan bahawa mereka berjaya menjual 127,343 buah kenderaan bagi separuh pertama tahun 2022 (Januari ke Jun), dan menunjukkan peningkatan 30% berbanding tempoh sama tahun lepas, iaitu 97,290 unit. Menurut Perodua, permintaan yang tinggi ini adalah disebabkan oleh pelanggan mahu menikmati pengecualian cukai sebelum ia berakhir 30 Jun.

    Daripada jumlah ini, Myvi terus menjadi model paling laris, dengan mencatat pendaftaran sebanyak 38,039 unit, dan kemudiannya diikuti oleh Axia yang mencatat 29,183 unit. Tambah Perodua, Bezza semakin mendapat diterima ramai, dan berjaya mencatat 28,719 unit.

    Satu lagi faktor yang menyumbang kepada peningkatan tinggi jumlah jualan ini berbanding tahun lepas adalah jumlah pendaftaran yang rendah di awal tahun 2021 kerana kawalan pergerakan masih dikenakan bagi mencegah penularan Covid 19.

    Bagi bulan Jun sahaja, Perodua berjaya menjual 21,164 buah kenderaan, berbanding cuma 1,009 unit pada Jun 2021. Melihat jumlah dari bulan ke bulan, catatan jualan bulan Jun 2022 menunjukkan peningkatan sebanyak 10.7% berbanding 18,901 unit yang diperoleh pada bulan Mei 2022.

    Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad juga memberitahu bahawa peningkatan jumlah pendaftaran pada bulan lepas adalah disebabkan oleh bekalan alat ganti yang bertambah baik berbanding bulan Mei. Bagaimanapun, isu berkenaan tenaga kerja mahir dan kekurangan alat ganti masih ada pada waktu sekarang dan beliau berharap pelanggan boleh memahami perkara ini.

     
     
  • Great Wall Motors masuk Malaysia secara rasmi – Ora Good Cat, Haval H6 dan Jolion diperkenal bermula Q4

    Great Wall Motors masuk Malaysia secara rasmi – Ora Good Cat, Haval H6 dan Jolion diperkenal bermula Q4

    Great Wall Motors secara rasminya sudah kembali ke pasaran Malaysia, dan sekarang diuruskan oleh Great Wall Motor Sales Malaysia. Syarikat baru ini akan bertanggungjawab untuk semua pemasaran serta pengedaran produk GWM di dalam negara.

    Strategi sama seperti di Thailand akan digunakan di negara kita, dan syarikat itu memberitahu bahawa perancangan untuk pasaran Malaysia akan dibuat mengikut strategi tenaga baru ASEAN, di mana model kenderaan hibrid dan elektrik bateri akan menjadi produk utama.

    Menurut pengarah urusan Great Wall Motor Malaysia, Cui Anqi, syarikat mempunyai perancangan untuk mengutamakan pembangunan rangkaian operasi demi menghasilkan pengalaman pelanggan yang unik untuk rakyat Malaysia. Bersamanya juga akan ada identiti korporat baru untuk pengedar. Beliau menambah, jenama itu juga akan memperkenalkan polisi jaminan dan servis yang akan menjadi peneraju dalam pasaran, tetapi perinciannya masih belum didedah.

    Penekanan akan diberi pada bahagian selepas jualan, dengan langkah yang akan diambil termasuk mewujudkan gudang alat ganti di Lembah Kelang. Jenama ini juga akan memperkenalkan pusat talian servis pelanggan yang beroperasi sepanjang masa, dan disokong dengan pasukan servis teknikal.

    Cui berkata, operasi CKD berada dalam perancangan jangka masa panjang syarikat. “Kami akan terus meneroka pasaran Malaysia dengan menambah lagi pelaburan di dalam negara dan melakukan pemasangan tempatan melalui kerjasama dengan Go Auto Group,” kata beliau.

    Semasa acara pengumuman ini, syarikat itu juga mengambil peluang menunjukkan EV Ora Good Cat. Kereta ini memang akan masuk ke pasaran Malaysia, tetapi mungkin sedikit lambat kerana produk pertama Great Wall Motor Malaysia diberitahu cuma akan diperkenalkan pada suku keempat tahun ini. Petunjuk untuk harga juga tidak diberi.

    Model lain yang dijangka tiba di negara kita adalah termasuk Haval H6, yang sudah pernah ditemui diuji atas jalan raya di sini. Di Thailand, model ini ditawarkan dalam versi plug in hybrid, yang menggunakan gabungan enjin 1.5 liter turbo dengan motor elektrik, menghasilkan 243 PS dan 530 Nm tork.

    Turut dijangka tiba adalah Haval Jolion, yang juga pernah ditemui di sini. Melihat kepada negara jiran, Thailand, SUV ini ditawarkan dalam versi hibrid, yang menggunakan enjin 1.5 liter turbo, menghasilkan kuasa 190 PS dan 375 Nm tork, dengan padanan transmisi DCT dan pacuan roda hadapan.

     
     
  • Pelanggan Puspakom boleh jadualkan semula temujanji – mohon sehari sebelum tarikh pemeriksaan

    Pelanggan Puspakom boleh jadualkan semula temujanji –  mohon sehari sebelum tarikh pemeriksaan

    Puspakom telah mengumumkan, mulai 1 Julai lalu, para pelanggannya dibenarkan untuk menjadualkan semula temujanji pemeriksaan kenderaan, dan ia boleh dilakukan hanya menerusi dalam talian.

    “Kami memahami kesukaran yang dihadapi oleh para pelanggan apabila mereka tidak dapat hadir ke temujanji yang diaturkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Kami berharap dengan cara ini dapat memudahkan proses untuk penyediaan pemeriksaan kenderaan anda,” ujar Puspakom.

    Menurut Puspakom, penjadualan semula itu boleh dilakukan sehari sebelum tarikh temujanji. Apa yang perlu anda lakukan, hanya login MyPuspakom dan klik pada My Reservation. Kemudian pilih temujanji yang ingin anda jadualkan semula itu, dan letakkan nombor pendaftaran kenderaan anda. Selepas itu, klik Reschecule dan pilih cawangan Puspakom dan tarikh baharu.

    Kemudian, notis makluman, “Tempahan penjadualan semula telah berjaya. Slip pengesahan baharu akan dihantar ke e-mel anda” akan dikeluarkan. Jangan lupa untuk membawa slip pengesahan tempahan baharu untuk slot baharu tersebut. Namun, setiap temujanji hanya boleh dijadual semula sekali sahaja.

     
     
  • Proton S50 atas jalan – sedan baru untuk ganti Preve?

    Proton S50 atas jalan – sedan baru untuk ganti Preve?

    Melihat kepada gambar yang dihantar oleh Darren Lee ini, nampaknya Proton seperti sedang membangunkan sebuah model sedan baru. Tertutup dengan pelekat camouflage, kereta ini berada atas jalan raya dengan menggunakan nombor plet perdagangan “B 4155 A” yang sebelum pernah dilihat digunakan oleh Proton pada Ertiga serta X70.

    Cerita Proton menghasilkan sebuah sedan baru sudah lama diketahui. Dipanggil ramai sebagai S50, model ini dikatakan bakal menggunakan asas daripada Geely Emgrand generasi keempat, yang sekarang sudah pun dilancarkan untuk pasaran China dan tiba di Filipina Februari lalu.

    Juga kerap dilaporkan sebagai pengganti bagi Preve, S50 ini akan masuk ke dalam barisan model Proton sebagai sedan segmen C, dan memberikan pelanggan satu lagi pilihan model yang lebih besar berbanding Persona yang merupakan sedan segmen B.

    Kereta yang ditemui atas jalan ini memang nampak seperti Emgrand, terutamanya melihat kepada bahagian c-pillar serta cermin belakangnya. Ada juga yang mengatakan S50 ini akan menggunakan asas BinRui, tetapi model itu mempunyai garis bumbung yang lebih rendah di belakang dan tidak sama seperti kereta dengan pelekat camouflage ini.

    Proton S50 atas jalan – sedan baru untuk ganti Preve?

    Berkenaan dimensi, Emgrand mempunyai ukuran 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar dan 1,460 mm tinggi. Jika dibandingkan dengan Preve, sedan Geely ini lebih panjang (+95 mm) dan lebih lebar (+34 mm), tetapi jarak rodanya adalah sama, iaitu 2,650 mm.

    Di China, Emgrang datang dengan enjin petrol empat silinder 1.5 liter NA, yang mampu menghasilkan 114 PS/147 Nm, dan dipadankan bersama transmisi sama ada manual lima kelajuan atau CVT, untuk menghantar kuasa ke roda hadapan. Model di Filipina juga menggunakan enjin yang sama, tetapi kuasanya dikurangkan kepada 102 PS dan 142 Nm.

    Memandangkan Emgrand dibina atas platform BMA (B-segment Modular Architecture) yang sama seperti X50 dan jika betul-betul diambil sebagai S50, ia berkemungkinan menerima enjin tiga silinder 1.5 liter turbo. Proton sudah mula membuat enjin tersebut di sini dan memberitahu, mereka juga boleh menghasilkan varian lain seperti port-injected (PFI).

    GALERI: Geely Emgrand pasaran Filipina

     
     
  • Nissan Serena S-Hybrid 2022 dilancarkan di Malaysia – ciri keselamatan baharu AEB; dari RM150k-RM163k

    Nissan Serena S-Hybrid 2022 dilancarkan di Malaysia – ciri keselamatan baharu AEB; dari RM150k-RM163k

    Selepas tempahannya dibuka sejak pertengahan Jun lalu, Nissan Serena S-Hybrid facelift generasi-C27 telah pun dilancarkan secara rasminya untuk pasaran Malaysia. Ia ditawarkan dengan dua varian iaitu 2.0L Highway Star yang ditawarkan pada harga atas jalan RM149,888 dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan 2.0L Premium Star Package pula berharga RM162,888.

    Untuk bahagian luaran, MPV ini ditampilkan dengan gril Majestic Chrome V-Motion baharu yang lebih bergaya dan nampak agresif, bampar hadapan rekaan baharu dengan kemasan hitam berkilat, lampu utama dengan unit projektor automatik bersama larasan auto dan lampu signitur LED. Ia turut diberikan lampu kabus hadapan dengan lampu nyalaan siang (DRL) dan cermin sisi yang boleh dilaras secara automatik.

    Manakala di bahagian belakangnya juga diberikan kemasan bampar baharu serta lampu belakang rekaan baharu. Untuk varian asas, ia diberikan roda aloi 15-inci dengan tayar 195/65 R15, manakala model spesifikasi penuh menerima roda aloi 16-inci yang dibaluti tayar 205/55 R16. Serena S-Hybrid 2022 ini memiliki dimensi berukuran 4,770 mm panjang, 1,740 mm lebar, 1,865 mm tinggi dan jarak roda 2,860 mm.

    Bagi memberikan kemudahan yang lebih optimum, Serena S-Hybrid 2022 ini turut ditampilkan dengan larasan tailgate “dwi pintu belakang” dan pintu gelangsar bebas-bukaan tangan dengan boleh dioperasi secara pergerakan tendangan (kick motion) untuk kedua-dua belah pintu.

    Untuk papan pemukanya, ia diberikan dua tona warna dengan balutan material yang lembut. Selain itu, varian asas 2.0L Highway Star turut diberikan unit infotainmen 6.75-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sementara Premium pula menawarkan set kesepaduan telefon pintar menerusi paparan skrin sesentuh sembilan-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem bunyi dengan enam-pembesar suara diberikan untuk kedua-dua varian, selain paparan warna sepenuhnya bersaiz tujuh-inci untuk bahagian pemandu.

    Untuk 2.0L Premium Star Package turut diberikan monitor 11.6-inci yang dipasang di bumbung, perakam video dwi-saluran (hadapan dan belakang) dan lampu kabin LED. Kedua-dua varian juga ditampilkan dengan sistem pendingin dwi-zon, dengan suis kawalan yang turut diberikan pada barisan kedua dan ketiga.

    Nissan Serena S-Hybrid 2022 dilancarkan di Malaysia – ciri keselamatan baharu AEB; dari RM150k-RM163k

    Selain itu, ia turut ditampilkan dengan roda stereng balutan kulit dengan suis Advance Drive Assist Display (ADAD), audio dan kawalan kelajuan serta tujuh port USB.

    Untuk tempat duduknya pula, MPV ini menawarkan teknologi Sifar Graviti untuk barisan hadapan dan kedua, yang boleh dilaras sehingga 13-konfigurasi. Di mana barisan kedua turut menampilkan tempat duduk ‘kapten’ dan barisan ketiga turut ditampilkan dengan larasan gelangsar di mana ia boleh ditolak ke tepi bagi menambahkan ruang kargo sekiranya tiada penumpang duduk di situ.

    Varian asas Highway Star diberikan fabrik upholstery dengan kemasan kulit buatan sebagai pilihan, sementara Premium Highway Star Package pula ditampilkan dengan gabungan kemasan kulit Nappa sama ada warna hitam atau coklat.

    Model facelift 2022 ini turut ditambahkan dengan ciri keselamatan aktif yang merangkumi brek kecemasan sendiri (AEB), amaran ketibaan lorong (LDW) dan amaran titik buta (BSW) serta kepekaan trafik lintasan belakang (RCTA).

    Ia menyertai kelengkapan keselamatan aktif lain buat Serena S-Hybrid 2022 yang terdiri daripada bantuan mula mendaki, kawalan kestabilan kenderaan (VDC), kawalan cengkaman, ABS, EBD dengan bantuan brek, cagak ISOFIX untuk barisan kedua tempat duduk. Untuk keselamatan pasif, kedua-dua varian menerima enam beg udara.

    Walau bagaimana pun, untuk bahagian mekanikalnya, tiada sebarang perubahan yang dilakukan. Ia masih dijanakan oleh enjin yang sama iaitu unit MR20DD 2.0 liter suntikan-terus empat-silinder petrol dengan hamburan kuasa 150 PS dan tork 200 Nm.

    Nissan Serena S-Hybrid 2022 dilancarkan di Malaysia – ciri keselamatan baharu AEB; dari RM150k-RM163k

    MPV ini turut dipadankan dengan continuously variable transmission (CVT), dan juga motor berkuasa 2.6 PS/48 Nm sebagai starter dan generator, yang turut mengendalikan sistem idle stop, pemulihan kuasa enjin dan bantuan pemanduan. Untuk penggunaan bahan apinya, ia dianggar sekitar 14.2 km bagi setiap liter mengikut kitaran NEDC.

    Ia ditawarkan dengan tujuh pilihan warna iaitu Brilliant White, Tungsten Silver dan Diamond Black untuk Highway Star, dan kemasan dua-tona dengan kontras Diamond Black untuk bumbung dan tiang bersama tiga warna pilihan yang disebut, serta tambahan rona Radiant Red bagi varian Premium.

    Nissan Serena S-Hybrid 2022 turut diberikan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan dan lima-kali penyelenggaran percuma untuk pelanggan terawal sahaja.

     
     
  • Enjin 1.5L Turbo akan jadi enjin utama pada model-model baharu Proton – sedan & SUV X90 selepas ini?

    Enjin 1.5L Turbo akan jadi enjin utama pada model-model baharu Proton – sedan & SUV X90 selepas ini?

    Selain dari membawa media melihat sendiri fasiliti terbaharunya di Tanjung Malim, Perak yang kini memasang enjin tiga-silinder 1.5L Turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (TGDI) secara tempatan, Proton turut mengumumkan bahawa ia turut akan mula memasang enjin dari keluarga yang sama tetapi dalam versi dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik (PFI) di barisan produksi yang sama.

    Enjin 1.5 Turbo PFI berkenaan kini boleh ditemui dalam perut Proton X50 varian Premium, Executive dan Standard; berbanding versi T-GDI pada X50 Flagship dan X70 MC 2022 yang mampu menghasilkan 177 PS/255Nm, enjin 1.5 Turbo PFI ini hanya menjana 150 PS/226 Nm. Dua varian berbeza ini membolehkan Proton meletakkan enjin berkenaan masing-masing pada model lebih premium dan juga model yang lebih mampu milik.

    Ketika berucap di majlis lawatan media ke kilang enjin berkenaan pagi tadi, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah turut menyatakan bahawa kedua-dua enjin 1.5L Turbo ini akan menjadi enjin utama untuk Proton bagi model-modelnya yang akan datang – dan perancangan paling hampir, Proton bakal melancarkan tiga model baharu dalam tempoh 2023 hingga 2024, serta sekurang-kurangnya dua dari tiga model berkenaan akan menggunakan enjin tiga-silinder baharu ini.

    Enjin 1.5L Turbo akan jadi enjin utama pada model-model baharu Proton – sedan & SUV X90 selepas ini?

    Unit ujian Proton X90 yang dilihat semakin kerap diuji

    Apa yang kami faham setakat ini, Proton sudahpun ada dua model yang bakal dilancarkan pada tahun hadapan, dan kedua-duanya berkemungkinan besar akan menggunakan enjin berkenaan iaitu SUV tujuh-tempat duduk yang diasaskan dari Geely Haoyue/Okavango yang bakal digelar Proton X90, serta sebuah sedan baharu yang akan menerima sentuhan rekaan luaran dan dalaman sepenuhnya dari Proton sendiri.

    Bagi Proton X90, ia sebelum ini dirancang akan dilancarkan pada tahun ini, dan unit-unit ujiannya juga kelihatan kerap diuji di atas jalan raya awam di Malaysia. Namun disebabkan pelbagai masalah yang disebabkan pandemik Covid-19 termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kekurangan bekalan cip semikonduktor yang menyebabkan banyak tempahan pelanggan tertangguh, pelancaran X90 juga terpaksa ditangguhkan ke tahun hadapan.

    Di China, Geely Haoyue ditawarkan dengan enjin 1.8 liter empat-silinder turbo berkuasa 181 hp dan tork maksima 300 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan, sama seperti Proton X70 1.8 TGDI di sini. Namun di Filipina SUV tersebut dikenali sebagai Geely Okavango, diberikan enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder yang digandingkan bersama sistem hibrid ringkas 48-volt. Ia menghasilkan kuasa keseluruhan 190 PS dan tork maksima 300 Nm, dan dipindahkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan.

    Enjin 1.5L Turbo akan jadi enjin utama pada model-model baharu Proton – sedan & SUV X90 selepas ini?

    Enjin 1.5L TGDI dengan sistem hibrid ringkas BSG yang dipamerkan di Galeri Inspirasi, Pusat Kecemerlangan Proton

    Ada kemungkinan, Proton X90 bakal dijana oleh enjin 1.5 liter TGDI. Namun menurut Proton dalam majlis siang tadi, fasiliti baharu mereka di Tanjong Malim ini turut tidak mempunyai masalah untuk memasang enjin 1.5L Turbo dengan sistem hibrid ringkas tersebut.

    Malah apa yang menarik, unit rangkaian kuasa hibrid ringkas berkenaan telah pun dipamerkan di Galeri Inspirasi, yang terletak di Pusat Kecemerlangan Proton (ibu pejabat jenama berkenaan) di Subang. Proton menamakan unit rangkaian kuasa berkenaan sebagai 1.5L TGDI dengan sistem stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG). Menurut maklumat yang diberikan Proton, unit 1.5L TGDI dengan BSG tersebut menghasilkan kuasa yang sama seperti enjin 1.5L TGDI. Jadi tidak mustahil, Proton X90 ini mungkin model pertama Proton yang akan dijana oleh unit rangkaian kuasa hibrid.

    Bagi sedan yang dikhabarkan sedang dibangunkan oleh Proton pula, ia berkemungkinan akan diasaskan dari Geely Emgrand. Namun berbanding model X70 dan X50 yang diberikan rekaan seiras dengan kembarnya di China dan hanya diberikan perubahan kecil seperti gril, sedan baharu Proton ini dikatakan akan menampilkan rekaan luaran dan dalaman yang lebih tersendiri dan hanya menggunakan platform B-Segment Modular Architecture (BMA, juga sama dengan asas platform X50) dan sistem mekanikal yang sama dengan Emgrand.

    Enjin 1.5L Turbo akan jadi enjin utama pada model-model baharu Proton – sedan & SUV X90 selepas ini?

    Geely Emgrand pasaran China – sedan baharu dari Proton nanti mungkin menampilkan rupa yang jauh berbeza, direka sendiri oleh Proton di Malaysia

    Ini adalah berdasarkan laporan sebelum ini yang mengesahkan bahawa Proton bakal membangunkan model secara tempatan menggunakan platform BMA, dan sudah pun menerima kelulusan untuk menggunakan enjin 1.5L Turbo untuk disumbatkan pada model berkenaan.

    Jika dilihat pada saiz Emgrand, Ia menampilkan dimensi 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm. Walaupun dikelaskan sebagai sedan segmen-B, dimensi Emgrand ini sebenarnya adalah menghampiri saiz sebuah sedan segmen-C.

    Jadi ada kemungkinan, sedan tersebut bukan sahaja akan tampil sebagai model gantian kepada Proton Persona sedia ada, malah varian tertingginya mungkin akan menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh Proton Preve dengan kelengkapan sebuah sedan segmen-C termasuk enjin 1.5 liter turbo tersebut, dalam masa yang sama dijual pada julat harga sebuah sedan segmen-B.

    Sebelum ini juga Proton ada menyebut bahawa mereka kini masih dalam perbincangan untuk menghasilkan Proton Exora yang diberikan kemaskini besar, termasuk dipadankan dengan enjin 1.5L Turbo berkenaan bersama kotak gear DCT tujuh-kelajuan. Proton juga telah sebelum ini mengesahkan bahawa pembangunan untuk semua varian enjin Campro S4PE (1.3L) dan S4PH (1.6L) termasuk versi turbo Campro CFE sudah pun berada di penghujung, dan akan ditamatkan pengeluarannya secara berperingkat.

    GALERI: Kilang pemasangan enjin Proton 1.5L T-GDI di Tanjung Malim

     
     
  • Kemalangan Wira-City di Lebuhraya Persekutuan — pemandu usia 72 tahun meninggal di tempat kejadian

    Kemalangan Wira-City di Lebuhraya Persekutuan — pemandu usia 72 tahun meninggal di tempat kejadian

    Polis telah mengeluarkan kenyataan berkaitan sebuah Proton Wira yang dipandu bertentangan arah di Lebuhraya Persekutuan yang kemudianya terlibat dalam sebuah kemalangan semalam. Polis sedang mencari saksi kejadian yang berlaku sekitar 1.45 pagi di KM 32.8 arah Klang. Mereka menerima laporan pada 2.08 pagi. Gambar yang ada ini dari arkib PDRM.

    Berdasarkan siasatan awal oleh polis Petaling Jaya, Wira berkenaan bertembung dengan sebuah Honda City disebabkan Wira berkenaan dipandu arah bertentangan aliran trafik. Pemandu Wira terbabit, seorang lelaki berusia 72-tahun warga Malaysia, mati di tempat kejadian. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata pihaknya sedang berusaha untuk mengenalpasti punca kematian pemandu Wira terbabit, dan meminta kerjasama saksi kejadian untuk membantu. Mereka yang melihat kejadian ini boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Inspektor Navalan A/L Ravindran di talian 014-2536820.

    Kenyataan rasmi itu mengesahkan apa yang berlaku adalah sama dengan apa yang dilaporkan, dengan video oleh pengguna Twitter, Ceddy menunjukkan Proton Wira yang rosak berada di lorong kanan lebuhraya dan sebuah lagi Honda City yang juga remuk di lorong kiri, dengan kerosakan yang jelas di bahagian depan kenderaan.

    Kemalangan Wira-City di Lebuhraya Persekutuan — pemandu usia 72 tahun meninggal di tempat kejadian

    Beliau bagaimanapun tidak menyatakan di mana kemalangan itu berlaku, tetapi dari video yang ada menunjukkan Menara Celcom sebagai latar, dan itu tidak jauh dari PJ Hilton di Lebuhraya PErsekutuan, arah ke Shah Alam.

    Ceddy kemudian menjawab bebenang berkenaan untuk memaklumkan mengirim DM kepadanya bahawa Wira itu memecut dalam arah bertentangan trafik, menjadikan Honda City itu mangsa yang tidak bersalah. Dua lagi pengguna Twitter memberitahu mereka juga sebelum itu ada berselisih dengan Wira berkenaan, dengan salah seorang daripadanya sempat mengelak Wira berkenaan selepas diberi isyarat lampu oleh sebuah Myvi di laluan bertentangan.

    Pengguna Twitter lain pula menambah yang pemandu Wira itu meninggal di tempat kejadian, sebaliknya pemandu City selamat dan dibawa ke hospital. Impak yang berlaku mungkin begitu kuat menyebabkan kedudukan kedua-dua kereta itu terpisah agak jauh.

     
     
  • Kilang enjin 1.5L TGDI Proton di Tg. Malim – pertama di luar China, mampu hasilkan 180,000 unit setahun

    Kilang enjin 1.5L TGDI Proton di Tg. Malim – pertama di luar China, mampu hasilkan 180,000 unit setahun

    Versi kemaskini terbaharu untuk SUV segmen-C Proton iaitu XC70 MC 2022 sudahpun dilancarkan bulan lalu, dan perubahan paling besar ditampilkan adalah sebahagian besar variannya kini dijana oleh enjin 1.5L turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (TGDI), sama seperti model lebih kecil Proton X50.

    Serentak dengan pelancaran model berkenaan, Proton turut mengumumkan bahawa enjin 1.5L TGDI tersebut kini sudah pun dihasilkan di kilang mereka di Tanjong Malim, membolehkan X70 kini mempunyai kandungan komponen tempatan mencecah 70%. Hari ini, syarikat berkenaan berbesar hati untuk menjemput sekumpulan media termasuk paultan.org untuk melihat sendiri operasi kilang pemasangan enjin berkenaan.

    Enjin tersebut dipasang di Fasiliti Enjin dan Powertrain Proton Tanjung Malim, dengan barisan pemasangan meliputi kawasan seluas 18,000 meter persegi. Barisan produksi berkenaan mampu untuk menghasilkan 180,000 unit enjin setahun dengan operasi tiga syif.

    Fasiliti ini ditingkat taraf bagi membolehkan enjin yang dikenali dengan kod dalaman GEP3 (Global Engine Petrol 3) dengan kos sebanyak RM1.8 bilion, dan menurut Proton ini merupakan fasiliti pertama diluar China yang memasang enjin 1.5L Turbo yang dibangunkan bersama oleh Geely dan Volvo tersebut.

    Kilang enjin 1.5L TGDI Proton di Tg. Malim – pertama di luar China, mampu hasilkan 180,000 unit setahun

    Secara keseluruhan, 30% kandungan dalam enjin 1.5L GEP3 yan dipasang di Tanjung Malim ini dibekalkan oleh vendor dari Malaysia. Secara spesifik, 72 komponen dibekalkan oleh 19 vendor Malaysia, dan turut melibatkan 4 vendor dari Rantau ASEAN.

    Selain dari itu, fasiliti ini juga dibina dengan sasaran untuk membangunkan bakat-bakat tenaga kerja baharu, di mana ia dioperasikan oleh 202 pekerja dengan usia purata hanya 24-tahun.

    Proton turut memberitahu bahawa kelengkapan pada fasiliti ini adalah hampir sama dengan kelengkapan pemasangan enjin di Kilang Enjin Baoji Geely di China, menampilkan tahap automasi yang mencapai tahap 47% menggunakan etos IR 4.0; ia mempunyai 88 stesen yang terdiri daripada 17 stesen automatik, 15 separa automatik dan 56 stesen manual.

    Selain dari itu, kilang berkenaan sentiasa dalam persekitaran yang bersih dengan suhu bilik yang terkawal dan mempunyai stesen anti-statik untuk membolehkan pelepasan elektrik statik untuk melindungi komponen elektronik berteknologi tinggi.

    Barisan pemasangan baharu in menggunakan sistem talian pemasangan bergerak pada sistem penghantar yang bukan sahaja lebih lancar tetapi juga lebih bersih, lebih tahan lama dan lebih murah untuk dikendalikan daripada yang menggunakan rantai.

    Apa yang menarik lagi, kawalan kualiti pada barisan pemasangan ini menggunakan teknologi Internet of Things (IOT). Dengan teknologi ini, setiap data-data bacaan kualiti yang diambil pada komponen yang telah dipasang pada setiap stesen akan dikumpulkan secara intensif dan dianalisis untuk memastikan kualiti memenuhi piawaian yang diperlukan dan dikekalkan.

    Data-data berkenaan turut dikutip oleh 207 kawalan Error Mistake Proofing (EMP) dan 34 kamera pintar resolusi tinggi yang dipasang pada barisan pengeluaran untuk mengelakkan kecacatan proses dan pemasangan serta mengurangkan masa henti dengan keupayaan pengesanan kecacatan dengan kadar segera.

    Semua pekerja di barisan pemasangan telah menjalani latihan yang luas dengan Geely serta pembekal mesin yang digunakan seperti ABB, COMAU, FEV China, FEV India, WiBeda dan Hangxin.

    Kilang enjin 1.5L TGDI Proton di Tg. Malim – pertama di luar China, mampu hasilkan 180,000 unit setahun

    Enjin 1.5L TGDI dengan kod JLH-3G15TD berkenaan menghasilkan kuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Proton turut menawarkan enjin tiga-silinder turbo dari keluarga yang sama tetapi hanya dengan sistem suntikan pelbagai titik (PFI) menghasilkan kuasa 150 PS dan tork maksima 226 Nm, yang dipadankan pada X50 varian Premium dan ke bawah.

    Selain Geely dan Proton, enjin dari keluarga yang sama turut digunakan oleh pelbagai jenama lain di bawah payung Geely Auto Group termasuk Volvo dan Lynk & Co, serta dihasilkan dalam pelbagai varian termasuk dipadankan dengan sistem hibrid ringkas dan plug-in hybrid (PHEV) – kesemuanya menepati piawaian emisi Euro 6. Sehingga kini, ia telah digunakan oleh 750,000 unit kenderaan yang dijual di seluruh dunia.

    “Barisan pemasangan enjin baharu Proton menunjukkan bahawa syarikat mengotakan janjinya kepada pihak berkepentingannya. Apabila perjanjian dibuat untuk bekerjasama dengan Geely pada tahun 2017, salah satu komitmen kami adalah untuk melabur dalam industri automotif Malaysia dari segi kewangan dan melalui pengenalan komponen baharu berteknologi tinggi. Barisan pemasangan baharu ini memenuhi syarat ini di samping memberi laluan kepada Proton untuk menarik dan membangunkan bakat muda yang akan membantu memacu industri automotif dan Syarikat di masa hadapan,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    “Kualiti adalah keutamaan barisan pemasangan enjin baharu kami. Kami tahu bahawa kami perlu menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa Proton mampu membina produk berkualiti tinggi yang boleh dipercayai, jadi kami tidak meninggalkan apa-apa kepada peluang. Selain daripada langkah pemantauan kualiti yang digunakan pada barisan pemasangan, kami juga bekerja rapat dengan rakan sejawatan kami di Geely untuk menyelesaikan masalah dan berkongsi amalan terbaik dalam usaha kami untuk menghasilkan enjin bertaraf dunia,” tambah Roslan lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025