Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Rebel 500 tiba dalam warna baru – harga RM33k

    Honda Rebel 500 tiba dalam warna baru – harga RM33k

    Honda Rebel 500 yang dilancarkan di pasaran Malaysia hujung tahun lalu kini ditawarkan dalam satu warna baru iaitu Pearl Organic Green yang diberi sebagai tambahan kepada warna Matte Jeans Blue Metallic dan Graphite Black sedia ada. Harganya masih lagi RM32,899 tidak termasuk insurans.

    Model yang dilancarkan pada tahun lepas ini adalah model yang telah dinaik taraf berbanding model sebelumnya, dengan semua lampu jenis LED, fork serta spring suspensi belakang dipertingkat, tempat duduk lebih selesa, klac jenis assist/slipper, penunjuk kedudukan gear, serta enjin yang mematuhi tahap Euro 4.

    Hanya sedikit talaan yang dibuat pada enjin itu sementara asasnya masih lagi unit dua silinder selari DOHC 471 cc yang berkuasa 45.6 hp pada 8,500 rpm dan 43 Nm tork pada 6,500 rpm. Enjin ini menggunakan sistem suntikan bahan api PGM-FI dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan.

    Panel instrumen motosikal yang berbentuk bobber ini menggunakan unit digital bulat, manakala tangki pula berkapasiti 11.2 liter. Rim bersaiz 16 inci, dengan tayar 130/90 di hadapan dan 150/80 di belakang manakala brek pada kedua-dua bahagian adalah unit cakera sekali dengan sistem ABS.

    Berat keseluruhan Rebel 500 adalah 190 kg dan tinggi tempat duduknya adalah 690 mm. Suspensi menggunakan fork teleskopik 41 mm di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang.

     
     
  • Tuntutan insurans tidak adil patut dihentikan – FOMCA

    Tuntutan insurans tidak adil patut dihentikan – FOMCA

    Sekarang ini, kes yang memaksa pemilik kenderaan untuk membuat tuntutan terhadap insurans sendiri, dan bukannya kepada pihak yang bersalah dalam kemalangan semakin kerap berlaku. Oleh itu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

    CEO FOMCA, Saravanan Thambirajah berkata, apabila kemalangan berlaku, kedua-dua pihak perlu membuat laporan polis. “Ini membolehkan mangsa membuat tuntutan kepada insurans pihak yang bersalah, sekiranya mereka tidak mahu membayar kerosakan tersebut. Malangnya, sesetengah pesalah tidak membuat laporan dan mangsa menjadi sukar untuk membuat tuntutan terhadap insurans mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    Dalam keadaan sebegini, ramai yang terpaksa membuat tuntutan kepada insurans sendiri dan seakan menerima hukuman daripada tindakan orang lain. “Dalam keadaan seperti ini, mangsa akan kehilangan no-claim bonus (NCB), dan ini adalah tidak adil. Kenapa pula mangsa perlu melalui semua ini akibat daripada kesalahan orang lain?”

    Tuntutan insurans tidak adil patut dihentikan – FOMCA

    Saravanan juga berkata terdapat banyak kes di mana pengguna kenderaan memandu tanpa insurans yang sah dan tidak dikenakan penalti sekiranya terlibat dalam kemalangan. Beliau berkata pesalah seperti ini akan lepas daripada sebarang tindakan dan masih boleh memperbaharui insurans kenderaan mereka tanpa sebarang masalah.

    Beliau berkata tindakan perlu diambil untuk mengatasi masalah yang sudah lama berlaku ini dan menggesa pihak berkuasa untuk bertindak. “Pesalah perlu dihukum dan mangsa perlu dilindungi dengan memberikan mereka perlindungan insurans tanpa kehilangan NCB.”

    “Bank Negara sebagai pengawal selia insurans perlu bekerja dengan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membentuk satu pasukan tindakan bagi membanteras masalah ini,” kata beliau.

     
     
  • Honda Civic 2022 serba baru dibuka untuk tempahan

    Honda Civic 2022 serba baru dibuka untuk tempahan

    Bakal dilancarkan pada suku pertama 2022, Honda Civic 2022 generasi ke-11 serba baru kini dibuka untuk tempahan bagi pelanggan di Malaysia. Model terbaru ini juga meneruskan legasi Civic sebelumnya dengan pendekatan rekaan yang mengambil ilham daripada Civic generasi ketiga yang diperkenalkan pada 1983.

    Civic generasi ke-11 ini menerima jolokan sebagai model Civic yang bukan sahaja menampilkan penggayaan yang menarik, tetapi turut memberi tumpuan terhadap pengendalian dan prestasi yang didakwa terbaik dalam kelasnya.

    Honda Civic 2022 serba baru dibuka untuk tempahan

    Dengan ukuran 4,678 mm panjang, 1,802 mm lebar, 1,415 mm tinggi dan 2,735 mm jarak antara roda, Civic serba baru ini lebih besar dan lebar dengan lanjutan jejak belakangnya untuk memberikan kedudukan lebih rendah dan lebar juga, meningkatkan kestabilannya. Pertama kali untuk Civic, ia menggunakan teknologi Lazer Brazing, dengan matlamat memberikan garis bumbung yang lebih halus serta kerangka badan yang lebih kukuh — sebuah sedan dengan penampilan kompleks dan sporty sekaligus.

    Untuk pasaran Malaysia, model terbaru ini nanti akan menggunakan enjin 1.5L VTEC turbocas yang dipertingkat untuk memberikan lebih banyak kuasa pecutan dan prestasi pemanduan keseluruhannya. Janaan enjin ini ialah 182 PS dan 240 Nm tork (pendahulu kelasnya), yang lebih berkuasa daripada prestasi enjin 2.4L. Civic serba baru ini juga datang dengan pilihan mod pemanduan baru — ECON, Normal dan Sport yang boleh mudah ditukar dengan suis mod pemanduan yang disediakan.

    Honda Civic 2022 serba baru dibuka untuk tempahan

    Tidak ketinggalan, ia juga bakal tiba dengan pakej keselamatan penuh Honda Sensing dengan keseluruhannya ada sembilan ciri, termasuk sistem makluman pergerakan kereta depan. Senarai lengkapnya adalah seperti berikut:

    • Lead Car Departure Notification System (BARU)
    • Adaptive Cruise Control (ACC)
    • Low-Speed Follow (LSF)
    • Collision Mitigation Braking System (CMBS)
    • Forward Collision Warning (FCW)
    • Lane Keep Assist System (LKAS)
    • Road Departure Mitigation (RDM)
    • Lane Departure Warning (LDW)
    • Auto High Beam (AHB)

    Sebagai tambahan, Civic RS juga datang dengan ciri seperti Honda LaneWatch, enam beg udara, kawalan kestabilan kenderaan (VSA), bantuan pemanduan tangkas (AHA), lampu isyarat berhenti kecemasan (ESS), sistem brek anti-kunci (ABS), agihan daya brek elektronik (EBD), Brake Hold automatik (ABH), bantuan mula mendaki (HSA), kunci automatik jarak jauh, penghidup enjin jarak jauh serta satu ciri keselamatan baru untuk Civic, peninjau tumpuan pemandu.

    Honda Civic 2022 serba baru dibuka untuk tempahan

    Ini juga kali pertama Civic akan ditawarkan dalam varian RS. Penggayaan sporty pada RS lebih terserlah dengan perumah cermin sisi hitam, antena sirip jerung, pemegang pintu luaran, spoiler belakang baru dan rim aloi hitam kesat 18-inci. Ia juga lengkap dengan lampu utama LED serta DRL LED rekaan baru, dan DNA penggayaan ini terserlah juga di bahagian belakang melalui lampu belakang kombinasi LED yang digunakan.

    Sejak pengenalan Civic di Malaysia pada 2001, Honda Malaysia telah menjual sejumlah 148,000 unit keseluruhannya. Model generasi ke-10 pula diperkenalkan pada 2016, dan telah menyumbang sebanyak 66,600 unit daripadanya, dan kekal mendahului segmen C dengan perkongsian pasaran 71% setakat Oktober 2021.

    Untuk maklumat lanjut berkaitan tempahan Civic serba baru ini, pelanggan boleh mengunjungi semua 102 pengedar sah Honda di seluruh negara atau hubungi talian bebas tol 1-800-88-2020 atau layari www.honda.com.my serta muat turut aplikasi HondaTouch.

     
     
  • Honda Civic Type R 2023 – ujian kini giat dibuat di Suzuka, bakal didedahkan sepenuhnya tahun depan

    Honda Civic Type R 2023 – ujian kini giat dibuat di Suzuka, bakal didedahkan sepenuhnya tahun depan

    Oktober lalu Honda sudah pun menyiarkan teaser untuk Honda Civic Type R 2023 yang menayangkan bahagian luar hot-hatch berkenaan, tetapi masih dibalut dengan pelekat penyamaran. Sekali lagi unit berkenaan didedahkan, tetapi kini dalam keadaan lebih aksi – Honda menyiarkan satu set imej memaparkan unit prototaip tersebut diuji di Litar Suzuka, Jepun.

    Unit yang diuji kali ini kelihatan seiras dengan unit dalam imej teaser tempoh hari. Ada kelibat Civic Type R FK8 dalam foto tersebut yang mungkin dijadikan sebagai kayu ukur. Juga, sosok Pembantu Besar Ketua Projek Civic Type R, Hideki Kakinuma juga kelihatan dalam ujian berkenaan.

    Honda Civic Type R 2023 ini diasaskan dari Honda Civic generasi ke-11 dalam versi hatchback, dan diberikan perincian luaran yang lebih garang tetapi masih menampilkan lampu hadapan dan belakang yang sama.

    Hampir keseluruhan badannya diselindung dengan pelekat – nampak macam grafik penyaraman biasa, tetapi ia sebenarnya gandingan dari latar belakang berwarna hitam, logo ‘R’ berwarna merah dan juga illustrasi bayangan badan model-model Civic Type R sebelum ini termasuk versi pertama EK9, EP3, FD2, FN2, FK2 dan FK8.

    Walaupun rupa sebenarnya diselindung disebalik pelekat tersebut, masih boleh dilihat ia diberikan fender yang lebih gemuk bagi menjadikan ia lebih lebar, serta bampar hadapan yang lebih agresif menampilkan liang pengambilan udara lebih besar dengan gril atas dan bawah diberikan elemen sarang lebah. Juga terdapat liang aliran udara di belakang ruang roda hadapan, manakala bampar belakang pula diberikan diffuser yang agak agresif serta masih menempatkan tiga tip ekzos pada bahagian tengah.

    Spoiler belakang Civic Type R generasi baharu ini masih lagi bersaiz besar, tetapi ia kini direka ala GT-Wing, dengan kakinya dilekat pada kedua-dua tiang sisi cermin belakang. Seperti model FK8, model gantiannya ini turut disertakan dengan rim lebih besar bersama tayar Michelin Pilot Sport, serta set brek Brembo yang jelas kelihatan disebaliknya.

    Lagi sekali, masih tiada sebarang imej untuk kabin Type R generasi baharu ini. Walau bagaimanapun, menerusi gambar ‘sipi-sipi’ yang diberikan ini, dapat disahkan ia masih menerima tempat duduk bucket berwarna merah. Boleh dijangka, ia masih mengekalkan papan pemuka Civic standard bersama perincian ikonik Type R lain seperti tombol gear titanium dan perincian-perincian merah lain.

    Honda masih belum memberikan sebarang pembayang berkenaan spesifkasi teknikal Civic Type R 2023 ini. Namun ia berkemungkinan masih menggunakan unit rangkaian kuasa sama seperti Type R FK8 tetapi diberikan beberapa tingkat taraf. Pada model sedia ada, Honda Civic Type R dijana oleh enjin K20C1 2.0L turbo empat silinder berkuasa 320 PS (306 hp) dan tork maksima 400 Nm, digandingkan hanya dengan kotak gear manual enam-kelajuan bersama unit LSD untuk memacu roda hadapan.

    Kereta ini bakal didedahkan sepenuhnya pada tahun hadapan, jadi tak mustahil pelbagai teaser lain akan disiarkan selepas ini sebelum ia muncul secara rasmi. Tapi setakat ni anda rasa macam mana? Adakah Civic Type R yang nampak lebih matang ini lebih menarik dari Civic Type R FK8 dengan rupa macam robot Gundam sebelum ini?

     
     
  • Nissan Note e-Power diumumkan sebagai pemenang utama anugerah Kereta Tahunan Jepun 2021-2022

    Nissan Note e-Power diumumkan sebagai pemenang utama anugerah Kereta Tahunan Jepun 2021-2022

    Nissan Note e-Power telah dinamakan sebagai Kereta Tahunan Jepun 2021-2022. Generasi ketiga Note itu, yang juga dijual dalam pasaran domestik sebagai Note Aura, Note Aura Nismo dan Note Autech Crossover, membawa gelaran COTY yang kelima bagi pengeluarnya, dan setelah 10 tahun selepas Leaf generasi pertama memenangi anugerah yang sama pada tahun 2011.

    Seramai 60 juri telah memandu uji 10 kereta yang memasuki peringkat akhir, setelah disenarai pendekkan dari 20 pencalonan – di Sodegaura Forest Raceway berdekatan Tokyo, dan selepas selesai undian, Note e-Power menerima 335 mata, menewaskan pencabar terdekatnya Toyota GR86/Subaru BRZ, yang memperoleh 264 mata. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Honda HR-V (Vezel) baharu dengan mendapat 227 mata.

    Menurut jawatankuasa COTY, alasan Note e-Power menerima pengiktirafan ini kerana ia menawarkan penjimatan bahan api dan pengendalian yang terbaik, harga yang berpatutan dan rekaan yang penuh bergaya.

    Mitsubishi Outlander PHEV pula berada di tempat ke-empat dengan 206 mata, sementara Volkswagen Golf Mk8 (168 mata) yang berada di kedudukan kelima turut menerima anugerah Kereta Import Tahunan 2021-2022. Di tempat ke-enam pula diduduki oleh Toyota Mirai dengan 104 mata, diikuti dengan Chevrolet Corvette C8 (81 mata), Mercedes-Benz C-Class W206 (51 mata), Toyota Land Cruiser (45 mata) dan BMW 4 Series (19 mata).

    Bagi kategori anugerah khas, BMW 4 Series turut menerima trofi Rekaan Tahunan, sementara Corvette pemanduan sebelah-kanan diberikan anugerah Prestasi. Selain itu, Outlander PHEV turut menerima Teknologi Tahunan dan Honda N-One pula diumumkan sebagai pemenang tahunan Kei Car (660cc). Tahun lalu, Subaru Levorg diumumkan sebagai pemenang utama COTY.

     
     
  • Honda Gold Wing GL1800 tiba di Malaysia – RM210,888

    Honda Gold Wing GL1800 tiba di Malaysia – RM210,888

    Model terbaru Honda Gold Wing GL1800 kini sudah tiba di Malaysia dan dijual pada harga RM210,888 tidak termasuk insurans. Ia ditawarkan cuma dalam satu warna sahaja, iaitu Pearl Glare White, dan datang dengan kelengkapan penuh termasuk beg belakang dan tepi. Jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

    Penggerak model touring ini adalah enjin enam silinder 1,833 cc, yang dipadankan bersama transmisi DCT tujuh kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 124.7 hp pada 5,500 rpm dan 170 Nm tork pada 4,500 rpm. Melalui sistem pendikit ride-by-wire, penunggang disediakan dengan empat mod iaitu Tour, Sport, Econ dan Rain. Turut disediakan adalah mod gerakan perlahan ke hadapan dan belakang yang boleh membantu waktu meletakkan motosikal.

    Pada bahagian kokpit, terdapat skrin TFT tujuh inci untuk memaparkan semua informasi berkenaan motosikal, dan ia boleh disambungkan kepada telefon bimbit menggunakan bluetooth, Android Auto atau Apple CarPlay. Model terbaru ini juga datang dengan pembesar suara yang telah dipertingkat, dan untuk kawalan, selain butang di bahagian pemegang dan depan penunggang, terdapat juga butang kawalan di tepi tempat duduk penumpang.

    Beg tepi Gold Wing baru ini menyediakan ruang simpanan 30 liter setiap satu, sementara beg belakang pula kini 11 liter lebih besar berbanding model sebelumnya, dengan kapasiti penuh 61 liter. Tangki bahan api boleh diisi dengan 21 liter petrol.

    Bagi memberikan lebih keselesaan, motosikal ini dipasang dengan suspensi jenis double wishbone di hadapan dan pelarasan pra beban boleh dilakukan secara elektrik. Brek terdiri daripada unit cakera berkembar 320 mm dengan angkup enam piston di hadapan, dan cakera 316 mm dengan angkup tiga piston di belakang.

    Sistem elektronik lain yang berada pada motosikal ini adalah termasuk Honda Selectable Traction Control (HSTC), Hill Start Assist, Idling Stop, ABS two-channel, semua lampu jenis LED dan penghadang angin kawalan elektronik. Rim adalah bersaiz 18 inci di hadapan, dengan tayar 130/70 dan 16 inci di belakang, dengan tayar 200/55.

     
     
  • Honda CBR250RR Trico Edition tiba di M’sia – RM26k

    Honda CBR250RR Trico Edition tiba di M’sia – RM26k

    Honda CBR250RR, yang tiba di Malaysia hujung tahun lalu kini ditawarkan dalam warna baru Trico Edition sebagai tambahan kepada warna Mat Gunpowder Black Metallic sedia ada. Kedua-dua pilihan warna ini dijual pada harga sama, iaitu RM25,999 tidak termasuk insurans, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Motosikal sports permulaan ini ini dikuasakan oleh enjin dua silinder selari suntikan bahan api, DOHC penyejukan cecair, bersama gabungan transmisi enam kelajuan serta klac assist/slipper, mampu menghasilkan kuasa 40 hp pada 13,000 rpm dan 25 Nm tork 11,000 rpm.

    Walaupun cuma merupakan motosikal 250 cc, CBR250RR datang dengan kelengkapan yang dapat meningkatkan lagi rasa tunggangan berprestasi dengan fork USD, lengan ayun aluminium dengan monoshock yang mempunyai pelarasan pra beban, sistem pendikit ride-by-wire, tiga mod tunggangan serta brek cakera depan dan belakang bersama sistem ABS.

    Dalam keadaan standard, CBR250RR ini juga datang dengan penukar gear quickshifter manakala rim 17 inci padanya pula dibalut dengan tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang.

    Kemudiannya, kelengkapan moden lain yang terdapat pada motosikal adalah seperti lampu utama Dual LED, panel meter digital penuh, sistem ekzos sport serta kerangka jenis Diamond. Berat keseluruhan CBR250RR adalah 168 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 14.5 liter.

     
     
  • Satu tindakan bodoh biarkan kanak-kanak di belakang trak, keluarkan kepala dari sunroof ketika atas jalan

    Dalam zaman yang sedang kita hidupi ketika ini, common sense atau deria waras memang satu barang yang mahal, agaknya. Perkara mudah yang sepatutnya boleh difikirkan dengan jelas oleh sesiapa, tak kira kalau hanya memiliki tahap kecerdasan akal paling minimum, kini menjadi sesuatu yang payah dan berbeza sekali.

    Apa lagi untuk hal-hal keselamatan ketika di atas jalan dan melibatkan kanak-kanak. Boleh difahami perangai kanak-kanak yang cuma ingin berseronok dan tidak memikirkan tentang risiko. Tetapi fikiran mudah seperti itu jika datangnya daripada ibu bapa, maka masyarakat kita, dari satu sisi memang ada masalah serius.

    Yang dimaksudkan di sini adalah seperti apa yang dapat dilihat dalam video pendek yang dikongsikan di Twitter oleh pengguna dengan nama @BxllaAnxar ini. Seorang kanak-kanak kelihatan sedang berada di bahahgian belakang sebuah trak pikap, tanpa pengawasan orang dewasa (kalaua ada pengawasan pun tetap salah). Itu saja sudah tidak wajar, apatah lagi untuk trak berkenaan sedang berada dan bergerak di atas jalan besar seperti yang dapat dilihat.

    Perbuatan ibu bapa ini langsung tidak cool, meletakkan nyawa kanak-kanak terbabit dalam keadaan yang sangat bahaya. Tidak perlu membayangkan perkara yang teruk-teruk; cukup hanya jika trak berkenaan bergerak dalam keadaan kanak-kanak itu tidak bersedia. Dia mungkin terjatuh dari trak dan kemudian “disambar” oleh kereta di belakang.

    Satu tindakan bodoh biarkan kanak-kanak di belakang trak, keluarkan kepala dari sunroof ketika atas jalan

    Itu belum lagi ada seribu satu malapetaka lain yang boleh saja berlaku di atas jalan — barang atau serpihan yang terbang melayang, pertembungan antara kenderaan yang tentu saja akan membuatkan kanak-kanak itu tercampak jauh dan macam-macam lagi yang boleh dibayangkan. Sedangkan untuk membawa barang di belakang trak saja pemandu perlu pastikan semuanya diikat ketat dan kemas, bagaimana pula nyawa orang boleh dibiar begitu saja?

    Ini sama juga dengan kecenderungan ibu bapa yang rasa ok untuk kanak-kanak mengeluarkan kepala dari sunroof kenderaan, misalnya. Jika itu dilakukan dalam jalan atau kawasan tertutup, mungkin tak apa-apa. Tetapi tentu kita juga biasa melihat senario terbabit dilakukan di jalan-jalan utama, bahkan kadang-kadang dalam keadaan itu pun kenderaan terbabit dipandu agak laju. Semua ini tindakan yang tidak bertanggungjawab dan membahayakan nyawa kanak-kanak tersebut.

    Perlu ada ketagasan dan kebijaksanaan daripada ibu bapa. Dan untuk melihat perkara seperti ini masih berlaku ketika kita sudah ingin masuk ke tahun 2022 adalah sesuatu yang memalukan. Itu cukup untuk memberi sedikit petunjuk bahawa di mana sebenarnya kepekaan dan kematangan masyarakat umum yang kita ada di negara ini. Ada komen?

     
     
  • Proton X50 dengan kit badan lebar – 203 hp/330 Nm, rim 21-inci, transformasi dari Bumblebee dan Militank

    Proton X50 dengan kit badan lebar – 203 hp/330 Nm, rim 21-inci, transformasi dari Bumblebee dan Militank

    Orang kata, ‘main kereta’ memang tak pernah habis. Anda ingat lagi Proton X50 ‘Bumbleebee’ yang telah pun diubahsuai hanya selepas seminggu SUV segmen-C berkenaan dilancarkan tahun lalu? Pemiliknya, Lee telah merubah imej Bumbleebee tersebut kira-kira empat bulan selepas itu setelah terlibat dengan kemalangan. Dan sekarang, seperti yang anda boleh lihat, X50 tersebut diberi perubahan imej sekali lagi – kali ini lebih agresif dengan kit badan lebar!

    Kit badan ini dihasilkan oleh JWide Bodykits. Ia terdiri dari fender flare tambahan yang lebih lebar, tetapi masih menampilkan kemasan pelindung plastik hitam yang kelihatan ia seolah-olah asli dari kilang. Kit berkenaan juga memaksa untuk Lee memanjangkan lagi lapisan spoiler paling bawah bampar hadapan X50 tersebut.

    Bagi memastikan kit badan tersebut tidak kelihatan janggal, Lee memilih satu set rim baharu untuk X50 ini iaitu rim FT105 dari 305 Forged berdiameter 21-inci. Rim tersebut bukan sahaja lebar, malah ia turut direka dengan jejari staggered, dibalut dengan tayar Continental ContiSport Contact 5P bersaiz 275/30ZR21 di hadapan dan 285/30ZR21.

    Set roda berkenaan duduk kemas di dalam ruang roda yang kini lebih lebar tersebut, dan memberikan stance yang jauh lebih gagah. Walau bagaimanapun Lee merasakan set rim ini terlalu besar, dan mungkin ia akan ditukar dengan set rim 20-inci pula selepas ini.

    Proton X50 dengan kit badan lebar – 203 hp/330 Nm, rim 21-inci, transformasi dari Bumblebee dan Militank

    X50 ini menerima set suspensi boleh laras sepenuhnya dari DWD yang bukan sahaja memberikan pengendalian lebih baik, malah turut merendahkan lagi badan SUV ini bagi memberikan rupa yang lebih agresif. Namun, Lee menyatakan suspensi tersebut kini berada pada talaan paling tinggi untuk keselesaan pemanduan setiap hari. Selain itu, X50 ini turut menerima set bushing pretasi tinggi dan bar-bar dari Super Circuit bagi mengukuhkan lagi casis.

    Sebelum ini Lee telah pun berjaya mengerah kuasa enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan terus berkenaan sehingga mencapai angka 200 PS dan tork maksima 300 Nm (berbanding jumlah asal 177 PS/255 Nm), dengan hanya menggunakan modul penala kotak komputer RaceChips GTS dan juga sistem ekzos lebih lawas dengan membuang catalytic converter kedua bersama injap paip yang beroperasi dengan hubungan Bluetooth.

    Namun, kali ini ia telah diperkemas lagi dengan menggunakan downpipe tanpa catalytic converter, serta penggunaan penapis udara prestasi tinggi (yang turut memberikan sedutan udara lebih kuat). Sistem induksi berkenaan sepatutnya mempunyai kotak udara custom, tetapi ia belum lagi siap ketika penggambaran ini dibuat.

    Walau bagaimanapun, injap Bluetooth pada paip ekzos yang dibuat sebelum ini tidak lagi digunakan, dan telah ditukar kepada paip standard semula. Lee menyatakan X50 sebenarnya telah diberikan paip ekzos standard dari manifold ke tip yang cukup besar iaitu berdiameter 2.5 inci yang sepatutnya boleh menampung sehingga 250 PS tanpa masalah.

    Proton X50 dengan kit badan lebar – 203 hp/330 Nm, rim 21-inci, transformasi dari Bumblebee dan Militank

    Dengan sedikit kemasikini tersebut, penalaan pada kotak komputer enjin turut dibuat sekali lagi dan ia kini menghasilkan 203 hp dan tork maksima 330 Nm jika menggunakan petrol dengan RON 100. Pada yang belum tahu, sebelum ini X50 milik Lee ini telah pun diuji di Litar Sepang, dan berjaya mencatatkan masa 2 minit 47.95 saat – bukan sahaja pantas macam hot-hatch, ia juga diketahui sebagai X50 paling pantas di litar berkenaan buat masa sekarang.

    Menurut Lee, ubahsuai ini menjadikan enjin berkenaan lebih responsif, walaupun dipandu hanya menggunakan mod Normal. Dia juga agak terkejut kerana selepas berberapa ubahsuai ini dibuat serta ‘dibelasah’ dalam jumlah lap yang banyak di Sepang, tiada langsung masalah yang timbul dan tidak banyak fault code yang keluar.

    Konfigurasi untuk brek masih lagi belum berubah di mana Lee masih menggunakan cakera berliang 405 mm yang ditebuk diambil dari sedan V8 Amerika, Cadillac CTS-V bersama angkup enam-omboh dari Brembo untuk bahagian hadapan, serta
    cakera berliang 380 mm bersama angkup empat-omboh yang diambil dari Porsche Cayenne di belakang.

    Antara perincian-perincian luaran lain yang masih kekal dari Militank adalah lampu nyalaan siang LED dengan RGB yang boleh dipilih serta perumah lampu kabus dengan tiga jalur LED di bawahnya. Di belakang, ia diberikan lampu isyarat membelok LED sequential, manakala jalur LED yang merentangi pintu tailgate telah digantikan semula dengan kemasan asli Proton. Skrip ‘POOR’ sebelum ini juga telah dicabut dan dilekat semula dengan skrip ‘Proton’.

    Pelekat badan berwarna merah jambu untuk tema Militank sebelum ini telah ditanggalkan sepenuhnya, dan kini Lee memilih pelekat berwarna kelabu cair untuk badan X50 ini, yang tidak jauh berbeza dengan warna sebenar yang diinginkan iaitu warna Chalk dari palet warna Porsche. Walau bagaimanapun, ini mungkin kali terakhir X50 ini bertukar pelekat badan kerana Lee telah bercadang untuk memberikan layangan cat baru sebenar selepas ini.

    Pada bahagian dalaman, antara perkara baharu yang boleh dilihat adalah pemadanan tempat duduk Recaro yang dipasang menggunakan rel custom. Perincian lain seperti balutan Alcantara 9002 Itali asli pada papan pemuka dan panel-panel lain, roda stereng gentian karbon dan sistem lampu suasana gentian optik masih lagi kekal seperti sebelum ini.

    Sistem bunyi juga ditingkat taraf dengan pemadanan set tweeter tambahan, subwoofer dan juga pemproses isyarat digital. Kesemua pintu turut menerima tambahan penebat bunyi tiga lapis.

    Apa lagi selepas ini? Lee menjelaskan bahawa dia mensasarkan rekod lap 2 minit 42 saat di Sepang, namun X50 ini tidak akan di bawa ke Sepang semula selagi rekod sedia ada tidak dipadam oleh sesiapa. Sebelum ini demo car dari FTuned dan RaceChips turut telah mencatatkan rekod lap di Sepang, namun ia masih tertinggal 4 saat di belakang, dan X50 yang digunakan berkenaan juga sebenarnya dari varian Executive yang dibekalkan dengan enjin 1.5L Turbo tanpa sistem suntikan bahan api terus.

     
     
  • Benelli VZ125i diberi penampilan baru – harga RM5.8k

    Benelli VZ125i diberi penampilan baru – harga RM5.8k

    Selepas tiga tahun berada dalam pasaran, Benelli VZ125i kini diberikan penampilan baru bagi model pasaran Malaysia. Ia dijual pada harga RM5,838, iaitu peningkatan sekitar RM550 berbanding model sebelum ini, dan ditawarkan dalam tiga warna, iaitu kuning, merah dan biru.

    Benelli VZ125i adalah sebuah skuter yang dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok SOHC berpenyejukan udara 124 cc dengan sistem suntikan bahan api. Enjin yang mendapat penarafan Euro 3 ini dipadankan bersama transmisi automatik CVT, dan mampu menghasilkan kuasa 8.4 hp pada 7,500 rpm dan 9.0 Nm tork pada 6,000 rpm.

    Antara yang menjadi perhatian pada skuter ini adalah lampu LED, yang digunakan untuk lampu DRL, lampu utama, lampu penunjuk arah dan juga lampu belakang. Kemudiannya, monoshock belakang skuter ini menggunakan unit daripada Kayaba.

    Ia juga didatangkan dengan beberapa ciri yang memudahkan pengguna seperti pengecas USB, ruang simpanan bawah tempat duduk cukup untuk satu helmet, dua ruang barangan kecil di bawah pemegang dan juga tangki bahan api 4.9 liter.

    Antara kelengkapan lain yang ada pada skuter ini adalah brek cakera hadapan 220 mm dengan angkup dua piston, brek dram di belakang, rim 14 inci dengan tayar tanpa tiub 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, fork teleskopik dan panel meter digital.

     
     
  • KTM 390 Adventure terima peningkatan elektronik

    KTM 390 Adventure terima peningkatan elektronik

    Selain daripada grafik baru, KTM 390 Adventure juga diberikan beberapa peningkatan lain untuk model keluaran tahun 2022. Ini bagi menjadikannya lebih berkemampuan sebagai motosikal yang boleh dibawa ke pelbagai jenis jalan, dan memberi kepuasan kepada pengguna.

    Sistem kawalan cengkaman yang memang sudah tersedia pada motosikal ini sekarang dinaik taraf dengan pemberian dua mod iaitu Offroad dan Street. Melalui dua mod ini, kadar campur tangan sistem elektronik tersebut adalah berbeza, dengan mod Offroad membenarkan sedikit gelinciran supaya motosikal mudah dikawal atas permukaan jalan licin yang tidak rata.

    Kemudiannya, KTM juga memberikan 390 Adventure dengan rim aluminium yang lebih lasak. Ia masih adalah unit cast aluminium 19 inci di hadapan, dan 17 inci di belakang, tetapi menggunakan rekaan enam cabang baru yang dikatakan lebih kuat dan lasak.

    KTM 390 Adventure terima peningkatan elektronik

    Bahagian lain tidak diusik, termasuklah enjin, yang masih menggunakan unit satu silinder DOHC 373.2 cc bersama padanan transmisi enam gear dengan klac slipper PASC untuk menghasilkan kuasa 44 hp pada 9,000 rpm dan 37 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Motosikal ini turut dilengkapi dengan Traction Control, Cornering ABS dengan mod offroad, panel meter TFT, suspensi WP Apex 43 mm di hadapan dan monoshock WP Apex di belakang, tangki bahan api 14.5 liter, brek Bybre dengan cakera 320 mm serta angkup empat piston di hadapan dan cakera 230 mm dengan angkup satu piston di belakang serta berat keseluruhan 158 kg.

     
     
  • PLUS akan sediakan RFID di semua plaza tol awal 2022

    PLUS akan sediakan RFID di semua plaza tol awal 2022

    PLUS Malaysia memaklumkan syarikat itu akan melaksanakan sistem kutipan tol radio frequency identification (RFID) di semua lebuhraya seliaannya, dengan sekurang-kurangnya satu lorong RFID di setiap plaza tol, menjelang awal 2022, lapor The Star.

    Menurut CEO Teras Teknologi, Anwar Ishak, sistem RFID ini, yang berfungsi sekali dengan Touch ‘n Go e-Wallet, akan dilaksanakan bersama sistem pengesanan nombor plat automatik (ANPR). Teras Teknologi merupakan anak syarikat PLUS yang membangunkan penyelesaian teknologi kutipan tol bagi konsesi lebuhraya, termasuk sistem Touch ‘n Go dan SmartTag.

    Di lebuhraya PLUS yang mempunyai sistem tol tertutup, pengguna dicaj berdasarkan jarak yang dilalui antara plaza tol yang digunakan. Untuk itu, sistem RFID juga diperlukan di semua tol untuk tujuan pengesanan ini. Ini berbeza dengan sistem tol terbuka yang kadar tolnya ditentukan berdasarkan kelas kenderaan.

    PLUS akan sediakan RFID di semua plaza tol awal 2022

    Sementara itu, sistem ANPR pula bertujuan untuk menyediakan satu lapisan lagi pengesanan, seperti dijelaskan oleh Ketua Pegawai Teknologi PLUS, Kang Yew Jin. Sekiranya berlaku sebarang kekeliruan dari mana sebenarnya pengguna memasuki lebuhraya, ini boleh digunakan untuk menentukan caj mereka. Ini bertujuan untuk mengelak denda terhadap pengguna yang mungkin secara tidak sengaja menggunakan kaedah bayaran berbeza ketika memasuki lebuhraya, serta membantu sekiranya berlaku pertikaian akibat salah bayar.

    Dengan menggunakan kamera beresolusi tinggi, sistem ANPR di plaza tol mampu mengenalpasti nombor plat kenderaan dan dihubungkan dengan pusat pengesahan tol PLUS untuk memproses bayaran. Beliau memaklumkan AI bagi sistem pengesahan itu masih sedang diperkemas, dan akan dibantu oleh petugas dalam kes di mana nombor plat tidak jelas, mungkin akibat kerosakan, kotor atau penggunaan huruf tidak standard.

    Kedua-dua sistem RFID dan ANPR, sekiranya berfungsi seperti yang dibangunan, akan membolehkan pengguna melalu plaza tol dengan kelajuan hingga 30 km/j, lebih laju daripada kelajuan di lorong SmartTAG ketika ini yang hanya membenarkan 20 km/j. Gabungan ini telah pun dilaksanakan di laluan Hutan Kampung-Sungai Dua, yang telah diuji sejak Julai 2020.

    Anwar menjelaskan, pemerhatian daripada program ujian itu mendedahkan bukan hanya kelajuan yang lebih tinggi, ia juga mengurangkan kesesakan dan kurang angka pengguna yang mempunyai baki kurang untuk bayaran tol. Memandangkan sistem RFID disambungkan dengan TnG eWallet, pengguna boleh menambah nilai eWallet mereka sendiri berbanding perlu ke kiosk tambah nilai fizikal.

    Beliau juga mendedahkan kos untuk melaksanakan teknologi baru ini adalah lebih rendah berbanding sistem SmartTAG bila siap sepenuhnya nanti, memandangkan ia menggunakan yang disepadukan. Turut disentuh ialah tempoh untuk sistem baru ini menggantikan SmartTAG, yang bergantung kepada kadar penerimaan RFID oleh pengguna, walaupun kerajaan telah meletakkan sasaran untuk memperkenalkan sistem multi-lane free flow (MLFF) pada 2026.

     
     
  • Polestar 2 – pemilik sedia ada boleh download perisian baru untuk tambah kuasa kuda, naik 61 hp dan 20 Nm!

    Polestar 2 – pemilik sedia ada boleh <em>download</em> perisian baru untuk tambah kuasa kuda, naik 61 hp dan 20 Nm!

    Ketika berlangsungnya Goodwood Festival of Speed Julai lalu, jenama kereta sport elektrik dari Sweden (sebelum ini jenama prestasi untuk Volvo), Polestar telah mendedahkan versi lebih berkuasa untuk model sedan sport Polestar 2. Sekarang, pemilik Polestar 2 sedia ada boleh mendapatkan kuasa tambahan berkenaan, dan apa yang menarik, tiada sebarang hardware yang perlu ditukar, dan mereka hanya perlu memuat turun perisian baharu secara over-the-air!

    Ini juga bermakna, pemilik boleh memuat turun perisian baharu berkenaan tanpa perlu ke mana-mana fasiliti Polestar, dan hanya perlu membeli perisian tersebut di kedai maya Polestar di laman sesawang mereka. Perisian tersebut mampu meningkatkan kuasa asal 408 hp dan tork maksima 660 Nm berkenaan kepada 469 hp dan tork maksima 680 Nm.

    Menurut Polestar, perisian baharu ini membolehkan bateri pada kereta elektrik tersebut mengeluarkan output yang lebih besar bagi meningkatkan kuasa pada motor. Ia juga meningkatkan kadar pemetaan tork pada pedal pendikit ketika pemandu memecut antara 71 km/j dan 129 km/j, membolehkan pecutan dari 0-96 km/j dicatatkan dalam masa hanya 4.2 saat berbanding 4.7 saat sebelum ini.

    Polestar 2 – pemilik sedia ada boleh <em>download</em> perisian baru untuk tambah kuasa kuda, naik 61 hp dan 20 Nm!

    Polestar 2 telah membuat kemunculan sulungnya pada Februari 2019 dan ia merupakan versi produksi bagi kereta konsep Volvo 40.2 yang didedahkan pada 2016. Ia dibangunkan atas platform Compact Modular Architecture (CMA) sama seperti Volvo XC40 dan Lynk & Co 01, 02 dan 03. Kereta ini dibekalkan dengan dua motor elektrik – satu pada setiap gandar menjadikan ia sebuah jentera pacuan semua roda.

    Motor-motor berkenaan menerima kuasa dari pek bateri 78 kWj bagi membolehkan ia bergerak sejauh 500 km menerusi kitaran WLTP untuk satu cas penuh. Polestar menyatakan bahawa jarak gerak berkenaan masih lagi kekal walaupun bateri tersebut mampu untuk mengeluarkan lebih kuasa dengan perisian baharu ini.

    Buat masa sekarang, Volvo Cars Malaysia (VCM) masih belum membawa mana-mana model Polestar ke pasaran tempatan. Namun pada Februari tahun lalu, En. Nalin Jain yang ketika itu masih memegang jawatan pengarah urusan VCM ada menyatakan bahawa syarikatnya ada perancangan untuk membawa Polestar 2 ke Malaysia. Namun pada November 2020, pengimport kenderaan persendirian, Vision Motorsport ada membawa satu unit Polestar 2 ke sini untuk dijual.

    GALERI: Polestar 2 di Malaysia yang dibawa oleh Vision Motorsport

     
     
  • Diskaun 80% bayar saman dilanjut hingga 31 Disember

    Diskaun 80% bayar saman dilanjut hingga 31 Disember

    Bagi yang tak sempat melunaskan bayaran saman dengan potongan 80% seperti yang diumumkan baru-baru ini tidak perlu risau. Ini kerana tawaran berkenaan akan dilanjutkan tempohnya sehingga 31 Disember nanti, lapor The Star.

    Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, orang ramai masih boleh membuat pembayaran saman tertunggak mereka dengan kadar potongan seperti yang diumumkan itu hingga hujung bulan ini. “Ini dilakukan untuk mengelakkan orang ramai berpusu-pusu di saat akhir di kaunter bayaran,” ujarnya.

    Keputusan untuk membenarkan orang ramai membayar saman mereka di semua ibupejabat polis daerah dan kontijen serta dalam talian melalui portal MyBayar Saman juga diambil disebakan alasan yang sama.

    Sambutan luar biasa yang disaksikan di kaunter bayaran polis Jumaat lalu ketika pameran Aspirasi 100-Hari Keluarga Malaysia di Pusat Persidangan Kuala Lumpur menyebabkan kesukaran untuk mengawal dan mengamalkan SOP yang kerajaan tetapkan, menyebabkan polis terpaksa menutup kaunter lebih awal.

    Sejak 9 Disember lalu, keseluruhan ada 2.3 juta saman bernilai RM109 juta telah diselesaikan. Ambil maklum bahawa potongan harga untuk saman ini tidak termasuk bagi kesalahan melibatkan kemalangan, memotong di garisan berkembar, menggunakan laluan kecemasan, melanggar lampu merah dan memotong secara merbahaya. Dengan adanya lanjutan tempoh ini, janglah tunggu hingga saat akhir pula.

     
     
  • Kia Carnival 2022 – harga diumumkan, RM196,340!

    Kia Carnival 2022 – harga diumumkan, RM196,340!

    Kia Carnival 2022 telah pun diprebiu untuk pasaran Malaysia minggu lalu. Ia belum lagi dilancarkan secara rasmi, tetapi bagi mereka yang berminat, ini berita baik untuk anda – ia diumumkan akan dijual pada harga RM196,340! Angka berkenaan adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan ia termasuk 50% pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2022.

    Ya, ia akan terlebih dahulu ditawarkan sebagai model CBU yang diimport dari Korea Selatan, sebelum ditawarkan sebagai model CKD apabila produksi model pemasangan tempatan berkenaan bermula bulan Mei nanti (sebelum ini dirancang untuk terus CKD, tetapi terpaksa ditangguh kerana pandemik) Pasaran Malaysia juga hanya ditawarkan dengan satu varian tunggal iaitu 2.2D dengan 11-tempat duduk.

    Dengan konfigurasi 11-kerusi tersebut, Kia Carnival 2022 ini dapat diklasifikasikan sebagai kenderaan komersial dan secara tidak langsung dapat dijual dengan harga lebih rendah. Manakala untuk rangkaian kuasa pula, varian ini dijana oleh enjin 2.2 liter turbodiesel Smartstream yang menampilkan blok enjin besi tuang berbanding aluminium.

    Ia menghasilkan kuasa 199 hp (202 PS) pada takat 3,800 rpm dan tork maksima 441 Nm bermula 1,750 hingga 2,750 rpm. Kuasa dihantar kepada kotak gear automatik lapan-kelajuan bagi memacu roda hadapan.

    Kia Carnival 2022 – harga diumumkan, RM196,340!

    Antara kelengkapan standard yang diberikan pada Kia Carnival pasaran Malaysia ini termasuk lampu hadapan projektor LED berkembar bersama lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, bersama lampu kombinasi belakang dan lampu kabus belakang yng masih mneggunakan mentol biasa.

    Ia juga diberikan perincian lain seperti lampu dan pengelap cermin automatik dan rim 18-inci jejari-Y bersama tayar 235/60R18. Carnival generasi baharu untuk pasaran Malaysia ini juga sudahpun menerima logo baharu Kia yang diletakkan pada bonet, pintu tailgate, penutup tengah rim dan juga pada beg udara roda stereng.

    Dalam kabin, ia menerima papan pemuka yang direka bersama konsol tengah tinggi, pemilih gear jenis tombol putar serta skrin sesentuh 12.3 inci untuk sistem infotainmen, dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Untuk panel instrumen, ia menggandingkan meter analog bersama paparan pelbagai info dengan skrin TFT-LCD 4.2 inci.

    Kelengkapan standard lain yang turut diberikan termasuk sistem kemasukan tanpa kunci bersama butang penghidup enjin, kawalan pendingin hawa tiga zon, tempat duduk hadapan larasan kuasa, balutan kulit tiruan Saddle Brown, pengecas telefon pintar Qi tanpa wayar, enam pembesar suara, sistem kamera 360 darjah serta pintu gelangsar dan pintu but bukaan kuasa tanpa sentuhan.

    Untuk konfigurasi tempat duduk, 11-kerusi berkenaan disusun dalam empat barisan iaitu 2-3-3-3. Baris kedua dan baris ketiga boleh dilipat dengan nisbah 40:20:20, dengan tempat duduk tengah untuk kedua-dua baris tersebut direka sebagai tempat duduk sementara yang boleh disimpan bagi memberikan ruang laluan untuk berjalan merentasi baris. Manakala kerusi baris akhir adalah kerusi jenis bench yang boleh dilipat bagi memberikan lebih ruang kargo.

    Bagi aspek keselamatan, Kia Carnival 2022 pasaran Malaysia ini dilengkapkan dengan enam beg udara, kawalan stabiliti, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix pada baris kedua, penderia parkir hadapan dan belakang, kamera pemantau 360-darjah, pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang. Walaubagaimanapun, model ini tidak diberikan sebarang sistem bantuan pemandu seperti brek kecemasan automatik (AEB) atau Adaptive Cruise Control.

    Enam warna badan ditawarkan untuk Kia Carnival ini termasuk Snow White Pearl, Silky Silver, Aurora Black Pearl, Panthera Metal, Astra Blue dan Flare Red. Setiap pembelian turut disertakan dengan waranti selama lima-tahun/100,000 km bersama servis penyelenggaraan percuma juga selama lima-tahun/100,000 km.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025