Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz EQE didedah – E-Class elektrik dengan kuasa 292 PS, 530 Nm tork, jarak gerak 660 km

    Mercedes-Benz EQE didedah – E-Class elektrik dengan kuasa 292 PS, 530 Nm tork, jarak gerak 660 km

    Mercedes-Benz hari ini telah mendedahkan lima model kenderaan elektrik, dan yang paling penting adalah ini – EQE. Ia boleh dianggap seperti sebuah E-Class elektrik, dan diletakkan di bawah EQS, sekaligus menjadikan ia lebih mampu milik. Model ini dibina atas platform Electric Vehicle Architecture yang sama seperti EQS, dan berkongsi banyak komponen, teknologi serta perincian rekaan.

    Dengan dimensi badan 4,946 mm panjang, 1,961 mm lebar dan 1,512 mm tinggi, EQE mempunyai saiz seperti CLS, manakala jarak roda 3,120 mm adalah 90 mm lebih pendek berbanding EQS. Kalau dibandingkan dengan S-Class W223, jarak roda ini adalah lebih panjang, dan disebabkan itu, EQS dapat menyediakan ruang dalam yang lebih luas.

    Gril tertutup berwarna hitam di hadapan kenderaan ini dipanggil sebagai “Black Panel” dan ia boleh ditambah dengan corak berlampu yang disediakan sebagai pilihan tambahan. Di sebaliknya terdapat pelbagai sensor untuk sistem bantuan pemandu yang ada padanya.

    Lampu pada EQE ini juga sangat canggih, di mana ia menggunakan 1.3 juta cermin mikro untuk menghasilkan resolusi lebih 1.6 juta pixel. Ini membenarkan lampu itu memancar amaran, tanda jalan serta garis petunjuk ke atas jalan, dan dapat menghadang lampu tinggi daripada menyilaukan orang lain secara lebih tepat.

    Dari bahagian tepi anda akan dapat melihat permukaan yang licin kerana ia menggunakan pembuka pintu yang rata dan hanya akan keluar apabila ditekan. Rekaan rim 19 serta 20 inci yang disediakan, bersama bahagian hadapan tertutup dan bawah badan yang licin meningkatkan lagi kecekapan aerodinamik, tetapi Mercedes tidak mendedahkan catatan sebenarnya.

    Di belakang terdapat lampu LED yang bersambung dari kiri ke kanan, menggunakan rekaan tiga dimensi, dan spoiler kecil di atas penutup but. Turut disediakan adalah pakej penggayaan Electric Art dan AMG Line, yang seperti biasa, memberikan rekaan bampar hadapan dan belakang lebih agresif.

    Mercedes-Benz EQE didedah – E-Class elektrik dengan kuasa 292 PS, 530 Nm tork, jarak gerak 660 km

    Masuk ke dalam (pintu bahagian pemandu automatik disediakan sebagai pilihan tambahan), keadaannya sekali lagi sama seperti EQS, dengan MBUX Hyperscreen disediakan sebagai pilihan tambahan. Ia terdiri daripada panel instrumen 12.3 inci, skrin sesentuh OLED 17.7 inci di tengah dan skrin sesentuh OLED 12.3 inci di hadapan penumpang. Kesemuanya menggunakan lapisan cermin anti calar.

    Sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) terbaru pada kereta ini membenarkan kawalan pendingin hawa serta Artificial Intelligence (AI) yang boleh memaparkan cadangan pada masa-masa tertentu. Penumpang hadapan juga boleh menonton televisyen, video atau melayari internet mengggunakan skrin ini, dan jika ia mengesan pemandu juga menoleh, skrin akan dimalapkan sedikit.

    Turut dipertingkat adalah sistem kawalan suara “Hey Mercedes”. Ia kini boleh mengesan suara penumpang yang berbeza, dan membenarkan anda menjawab panggilan telefon tanpa perlu perkataan khas dan berhubung dengan peranti pintar rumah. Servis strim muzik seperti Spotify, Amazon Music dan Apple Music telah dimasukkan sekali dalam sistem infotainmen ini.

    Dalam keadaan standard, bahagian dalam kenderaan ini dibalut dengan Neotex, yang dikatakan memberi rasa seperti kulit nubuck, dan dipadankan dengan sama ada kemasan kayu atau corak tristar menyala. Sistem lampu suasana 64 warna juga boleh memberikan maklum balas visual untuk Autonomous Emergency Braking serta pemerhati titik buta.

    Dua sistem ini datang terus dalam Driving Assistance Package, sementara Driving Assistance Package Plus menambah sistem lain seperti Distronic Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist dan Lane Change Assist. Pemilik juga boleh mendapatkan sistem bantuan letak kereta kawalan jauh (disambung dengan telefon pintar), bantuan letak kereta serta sistem letak kereta autonomous Level 4, Intelligent Parking Pilot.

    Waktu pelancaran, ada dua varian yang akan ditawarkan, tetapi hanya perincian untuk satu sahaja yang disiarkan, iaitu EQE 350 dengan satu motor elektrik di belakang, berkuasa 215 kW (292 hp) dan 530 Nm tork. Varian lain dalam perancangan adalah versi dua motor 4Matic pacuan semua roda dan versi prestasi berkuasa 500 kW (680 PS).

    Mercedes-Benz EQE didedah – E-Class elektrik dengan kuasa 292 PS, 530 Nm tork, jarak gerak 660 km

    Bateri lithium ion 90 kWh pada kenderaan ini dapat memberikan jarak gerak antara 545 hingga 660 km, dan fungsi Navigate dengan Electric Intelligence dapat mengambil kira kedudukan stesen pengecas apabila membuat cadangan jalan paling pantas ke destinasi.

    EQE dapat menerima pengecas AC sehingga 22 kW, dan memenuhkan bateri dalam masa 4.25 jam (8.25 jam apabila menggunakan pengecas 11 kW). Cara lain, anda boleh mengecas kereta dengan pengecas pantas DC 170 kW, yang boleh memenuhkannya dalam masa 32 minit dan memberikan jarak gerak sehingga 250 km setelah dicas selama 25 minit.

    Suspensi terdiri daripada four-link di hadapan dan multilink di belakang, dengan unit udara Airmatic dan rear-wheel steering (sehingga 10 darjah) disediakan sebagai pilihan tambahan. Penjualan global EQE akan bermula tengah tahun hadapan.

     
     
  • JPJ beri gantian percuma lesen memandu, VOC dan cukai jalan kepada mangsa banjir di Yan, Kedah

    JPJ beri gantian percuma lesen memandu, VOC dan cukai jalan kepada mangsa banjir di Yan, Kedah

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memaklumkan penggantian lesen memandu, cukai jalan (Lesen Kenderaan Motor/LKM) dan Sijil Pemilikan Sementara (VOC) bakal diberikan secara percuma kepada semua mangsa banjir di Titi Hayun di daerah Yan, Kedah Darul Aman. Inisiatif gantian dokumen ini adalah secara percuma dan hanya berkuatkuasa dari 6-16 September 2021.

    Namun demikian, menurut JPJ, pemilik-pemilik dokumen berkenaan haruslah membuat laporan polis mengenai kehilangan/kerosakan dokumen tersebut dan perlu hadir sendiri dengan membawa dokumen yang rosak, untuk mendapatkan gantian dokumen baharu di mana-mana Pejabat Kaunter JPJ Negeri, atau Cawangan JPJ, Kedah.

    “Pihak JPJ juga mengambil pendekatan untuk memberi kelonggaran dari segi pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan terhadap mana-mana kenderaan perdagangan atau persendirian, yang terlibat dalam operasi menyelamat dan membawa bekalan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir, sehingga bencana ini terkawal sepenuhnya.

    “Bagi menyokong usaha kerajaan dalam menangani fenomena banjir di kawasan yang terkesan ini juga, pihak JPJ di seluruh negara akan selalu berada dalam bersiap siaga untuk menghulurkan apa-apa bentuk bantuan sama ada dalam bentuk tenaga manusia atau dalam mengatur gerak aset-aset JPJ sekiranya diperlukan,” ujar JPJ menerusi kenyataannya.

    Pada 18 Ogos lalu, Titi Hayun di daerah Yan telah dilanda fenomena kepala air dan tanah runtuh mengakibatkan kawasan sekitarnya mengalami banjir lumpur yang teruk dan banyak kerosakan berlaku. Kejadian tersebut turut mengakibatkan lima orang mangsa kehilangan nyawa.

     
     
  • Tram autonomous dengan kapasiti 307 penumpang akan mula fasa percubaan di Cyberjaya Januari 2022

    Tram autonomous dengan kapasiti 307 penumpang akan mula fasa percubaan di Cyberjaya Januari 2022

    Fasa percubaan Iskandar Malaysia BRT

    Sebuah sistem tram tanpa landasan, dikenali dengan nama automated rapid transit (ART), akan beroperasi di Cyberjaya sebagai program percubaan bagi tempoh tiga bulan dari Januari 2022, menurut Majlis Perbandaran Sepang, Datuk Abd Hamid Hussain seperti dilaporkan The Vibes.

    Percubaan sistem ART tersebut akan dilakukan di sepanjang Persiaran Rimba Permai dan Persiaran Bestari untuk menguji kemampuan tram tanpa landasan, serta untuk menunjukkan penerapan teknologi hijau, ujar beliau. Tram berkenaan boleh menampung sehingga 307 penumpang dalam satu masa, dan bergerak pada kelajuan maksimum 70 km/j dan boleh beroperasi secara manual dengan pemandu atau pun autonomous.

    “Kenderaan tiga gerabak sebagai pengangkutan awam menepati visi majlis perbandaran kami sebagai penerapan konsep bandar pintar dan rendah karbon, kerana ia menawarkan mobiliti hijau,” jelas Hamid, dan menambah yang tram tanpa landasan boleh jadi masa depan pengangkutan di Cyberjaya. Kejayaan projek ini akan membantu Cyberjaya untuk mencapai pengurangan pembebasan karbon sehingga 40% menjelang 2030.

    Tram autonomous dengan kapasiti 307 penumpang akan mula fasa percubaan di Cyberjaya Januari 2022

    Sistem berkenaan akan memulakan program ujiannya menjelang hujung tahun ini, walaupun itu bergantung kepada progres yang berlangsung dalam perbincangan teknikal dan selepas memorandum persefahaman ditandatangani oleh pihak berkepentingan, serta selepas semua isu berkaitan keselamatan dan teknikal diselesaikan.

    Tram berkenaan dikuasakan oleh elektrik, tetapi tidak memerlukan wayar di atasnya untuk bekalan tenaga. Dan disebabkan tiada landasan, ia akan menggunakan tayar getah. Ia juga boleh bergerak secara autonomous dalam laluan maya, diarahkan mengikut tanda di jalanan.

    Menurut Institut Pengangkutan Malaysia, sistem ART ini memerlukan kos yang lebih rendah, dan mempunyai skala yang lebih banyak untuk mengangkut penumpang berbanding sistem bus rapid transit (BRT).

    Tram autonomous dengan kapasiti 307 penumpang akan mula fasa percubaan di Cyberjaya Januari 2022

    Kos yang lebih rendah untuk sistem ART adalah disebabkan oleh teknologi hijaunya, serta penggunaan sistem roda dan gandar baru, menurut Ketua Pembangunan dan Latihan Berterusan Profesional, Institut Pengangkutan Malaysia, Wan Mazlina Wan Mohamed.

    “Pertama, baterinya tidak mahal, kenderaan itu juga ringan, serta keperluan pengilangannya juga membolehkan ia dipasang di sini. Kedua, servis ART berupaya menjadi pemangkin dan akan menggalakkan pembangunan bandar di sekitar stesennya, kerana ia boleh dijadikan laluan tetap bagi sistem berkenaan,” ujar Mazlina.

    Sistem tram tanpa landasan di Cyberjaya ini merupakan sistem sama yang kedua di negara ini. Yang pertama ialah sistem Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (IMBRT) di Johor yang telah memulakan fasa percubaan pada awal April tahun ini. Melalui penyedia perkhidmatan Mobilus, IMBRT telah menamatkan tempoh percubaannya Ogos lalu, dengan lebih 2,000 km perbatuan telah direkodkan.

     
     
  • Boleh datang terus ke Pejabat Pos untuk perbaharui lesen memandu dan cukai jalan mulai 6 Sept 2021

    Boleh datang terus ke Pejabat Pos untuk perbaharui lesen memandu dan cukai jalan mulai  6 Sept 2021

    Minggu lalu Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan mulai hari ini, 6 September 2021, semua kaunter perkhidmatan JPJ akan beroperasi dengan kapasiti 100% dan kunjungan secara terus atau walk-in kini dibenarkan. Selain JPJ, orang ramai juga boleh membuat memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan (LKM) di mana-mana cawangan Puspakom.

    Kini, Pos Malaysia juga telah mengumumkan semua pejabat pos di seluruh negara akan menerima kunjungan terus untuk perkhidmatan JPJ iaitu bagi memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan. Ini bermakna, sistem temujanji yang dilaksanakan sebelum ini telah dibatalkan.

    “Pelanggan yang sudah memiliki slot temujanji untuk urusan JPJ boleh meneruskan temujanji tersebut di mana-mana cawangan pejabat Pos, mengikut tarikh dan masa yang dipilih, atau boleh juga datang secara walk-in untuk urusan berkenaan,” ujar Pos Malaysia dalam kenyataannya.

    Boleh datang terus ke Pejabat Pos untuk perbaharui lesen memandu dan cukai jalan mulai  6 Sept 2021

    Untuk memastikan keselamatan semua pihak, prosedur operasi standars (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Keseihatan Malaysia (KKM) akan terus dilaksanakan di pejabat pos termasuk mengehadkan jumlah pelanggan di dalam premis, mewajibkan pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu badan, daftar masuk dengan aplikasi MySejahtera dan penjarakkan sosial.

    Pos Malaysia turut berkata, “Pelanggan yang mempunyai simptom Covid-19 tidak akan dibenarkan masuk ke dalam premis”. Jika membuat urusan berkenaan di JPJ, orang ramai yang berkunjung secara walk-in perlulah telah lengkap dengan dua dos vaksinasi, dan aplikasi MySejahtera mereka perlulah menunjukkan status rendah risiko atau low risk status.

    Seperti yang telah diumumkan oleh kerajaan sebelum ini, tempoh pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan yang telah luput dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021. Kementerian Pengangkutan berkata, mana-mana pemilik lesen memandu dan cukai jalan yang telah tamat tempoh tidak akan dikenakan tindakan penguatkuasaan dan pematuhan oleh pihak JPJ serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 31 Disember 2021. Walau bagaimana pun, bagi cukai jalan telah tamat tempoh, pemilik perlu memastikan kenderaan masing-masing dilindungi insurans yang sah. Malah Sijil Perlindungan Insurans (e-cover note) yang sah perlu dipaparkan dan ditunjukkan bagi tujuan pemeriksaan.

     
     
  • Proton Iriz R5 pasukan Proton Motorsport rangkul gelaran naib juara Hills Ford Three Shires Stages 2021

    Proton Iriz R5 pasukan Proton Motorsport rangkul gelaran naib juara Hills Ford Three Shires Stages 2021

    Dah lama kita tak dengar jentera rali Proton Motorsport binaan Mellors Elliot Motorsport (MEM) iaitu Iriz R5 raih kejayaan podium kan? Selepas mengalami kemalangan yang sangat dahsyat di Nicky Grist Stages 2021 pada Julai, pemandu utama pasukan berkenaan, Oliver Mellors kembali beraksi dan berjaya merangkul gelaran naib juara keseluruhan di Hills Ford Three Shires Stages 2021 hujung minggu lalu.

    Oliver bersama juru arahnya, Max Freeman menamatkan rali di atas permukaan tar dengan 14 laluan SS berkenaan di belakang pasangan Meiron Evans dan Jonathan Jackson yang memandu Volkswagen Polo GTI R5 dengan hanya ketinggalan 3 saat.

    Saingan sengit Ollie dan Evans bermula seawal di SS pertama, dengan masing-masing menamatkan laluan tersebut di tempat kedua dan pertama. Pada SS kedua, Proton Iriz R5 yang dipandu Ollie berjaya mencatatkan masa terpantas sekaligus mendahului perlumbaan secara keseluruhan, manakala Evans jatuh ke tempat kedua.

    Proton Iriz R5 pasukan Proton Motorsport rangkul gelaran naib juara Hills Ford Three Shires Stages 2021

    Ollie terus memimpin perlumbaan sehingga ke SS ke-13 dan mencatatkan masa terbaik pada SS berkenaan. Namun Evans mempamerkan pemanduan yang lebih konsisten dengan mencatatkan masa terpantas di SS ke-4, -5, -7, -10, -11, -12 dan akhirnya memintas Oliver Mellors ketika SS ke-14 yang juga SS terakhir, sekaligus menjuarai rali berkenaan.

    Untuk rali kali ini, Oliver Mellors beraksi dengan Iriz R5 yang menerima kerangka baharu, menggantikan kerangka sebelum ini yang telah ‘terbang’ begitu tinggi, kemudian mendarat dan menjunam dengan muncung dan tayar hadapan sebelah kiri terlebih dahulu yang mencecah permukaan tanah, menyebabkan kereta tersebut bergolek dan kemudian berpusing di udara berberapa kali.

    Apa yang menarik, nombor pendaftaran YN69FCU pada kerangka sebelum ini sudah tidak digunakan lagi, dan MEM menggunakan semula nombor pendaftaran PRO7TON yang digunakan dalam rali-rali sebelum Iriz R5 berkenaan menerima homologasi penuh dari FIA.

    Menurut Ollie Mellors dalam temuramah bersama Motorsport News sebelum ini, kerangka lama berkenaan telah menjalankan tugasnya dengan baik dan rollcage hanya bengkok pada satu bahagian, manakala enjin, transmisi dan juga penyerap hentak masih lagi boleh digunakan kembali.

    Tidak seperti Nicky Grist Stages sebelum ini, Three Shires Stages bukanlah sebahagian dari pusingan Kejuaraan Rali British (BRC) 2021. Proton Motorsport mengambil keputusan untuk tidak menyertai pusingan ketiga BRC 2021 iaitu di Grampian Forrest Rally pada 14 Ogos lalu kerana tidak mahu terburu-buru membuat persediaan selepas mengalami kemalangan yang teruk sebelum ini.

    Oleh itu, pasukan tersebut menyertai Three Shires Stages ini bagi tujuan menyelesakan diri pada rali permukaan tar, dan kemudian akan kembali ke BRC pada pusingan keempat iaitu di di Trackrod Rally pada 24 hingga 25 September nanti.

     
     
  • Honda Malaysia bagi petunjuk ada model baharu akan dilancar tak lama lagi; City Hatchback atau Civic baru?

    Honda Malaysia bagi petunjuk ada model baharu akan dilancar tak lama lagi; City Hatchback atau Civic baru?

    Selain dari mengumumkan bahawa semua perniagaannya di seluruh negara kini sudah beroperasi semula, Honda Malaysia (HMSB) mengumumkan bahawa mereka juga sudah merancang untuk melancarkan model-model baharu sebelum berakhirnya tahun ini, sebagai langkah untuk merancakkan semula prestasi jualan bagi tempoh empat bulan terakhir 2021.

    “Dalam perancangan kami untuk mendapatkan semula momentum dan menetapkan satu tanda aras baharu dalam pasaran, Honda Malaysia telah membariskan model-model baharu yang menampilkan Teknologi Termaju Generasi Seterusnya Honda yang akan dilancarkan dalam berberapa bulan akan datang,” kata pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia, Madoka Chujo.

    “Pelancaran-pelancaran ini akan memberikan rakyat Malaysia lebih banyak pilihan model baharu ketika tempoh pengecualian cukai jualan yang sedang berlangsung, di mana ia telah dilanjutkan sehingga 31 Disember,” tambahnya lagi.

    Walau bagaimanapun, Chujo tidak memberikan sebarang petunjuk lebih jelas berkenaan model mana yang akan dilancarkan pada waktu terdekat berkenaan. Buat masa sekarang, ada dua model yang telah dilancarkan di berberapa negara jiran tetapi belum tiba di Malaysia iaitu Honda City Hatchback dan juga Honda Civic generasi ke-11.

    Honda Malaysia bagi petunjuk ada model baharu akan dilancar tak lama lagi; City Hatchback atau Civic baru?

    Bagi Honda City Hatchback, ia sudahpun dilancarkan di Thailand pada November 2020 dan juga di Indonesia pada Mac lalu. Dalam kedua-dua pasaran berkenaan, City Hatchback masih mengekalkan muka dan juga unit rangkaian kuasa yang sama seperti versi sedan City generasi kelima, serta menggantikan terus tempat Honda Jazz yang kini tidak lagi dijual.

    Manakala untuk Civic pula, selepas ia didedahkan pertama kali pada peringkat global April lalu, model berkenaan kemudiannya dilancarkan di Thailand pada 6 Ogos, diikuti dengan pasaran Singapura seminggu selepas itu. Kita mungkin dapat melihat kelibat model generasi ke-11 tersebut pada tahun ini juga selepas presiden dan COO HMSB, Sarly Adle Sarkum memberikan petunjuk dalam satu wawancara majalah pada April lalu.

    Untuk Civic, kami menjangkan bahawa ia bakal diprebiu dahulu oleh Honda Malaysia tahun ini, manakala pelancarannya mungkin akan dibuat pada tahun hadapan. Ada kemungkinan besar Honda City Hatchback bakal dilancarkan terlebih dahulu kerana kembar sedannya sudahpun berada dalam bilik pameran selepas dilancarkan Oktober tahun lalu, dan Honda Jazz generasi sedia ada memang sudah sampai masa untuk digantikan.

    Walau apa pun, Honda Malaysia boleh saja membuat apa-apa kejutan yang tidak disangka. Anda pula bagaimana? Rasa-rasa model apa yang akan dilancarkan tahun ini? Atau anda sendiri ada model Honda baharu yang diharapkan sampai ke pasaran tempatan dalam masa terdekat?

    GALERI: Honda City Hatchback 2021 pasaran Thailand

    GALERI: Honda City Hatchback Kaeza Shop, Thailand

    GALERI: Honda Civic Generasi ke-11 pasaran Thailand

    GALERI: Honda Civic Generasi ke-11 Kaeza Shop, Thailand

     
     
  • Lebih banyak kelonggaran termasuk rentas negeri bakal diberikan dalam tempoh terdekat ini – KJ

    Lebih banyak kelonggaran termasuk rentas negeri bakal diberikan dalam tempoh terdekat ini – KJ

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah mengesahkan lebih banyak kelonggaran bakal diberikan termasuk pergerakan rentas negeri dalam tempoh terdekat ini. Katanya, perbincangan berhubung kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) giat dibuat, bersandarkan fakta sains dan petunjuk semasa.

    “Saya sudah bincang perkara ini (pergerakan rentas negeri dan kelonggaran tertentu) dengan DG (Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) dan kita sudah putuskan beberapa siri cadangan. Ia akan dibentangkan dalam sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat. Ada harapan (untuk rentas negeri), cuma saya (minta) sabar sekejap lagi, sikit saja masa lagi.

    “Ini kerana kita semua maklum bahawa pembukaan sempadan negeri untuk pergerakan, bakal mengundang risiko, justeru berikan kita tempoh sikit lagi. Ada beberapa negeri yang nilai ambang vaksinasi masih rendah, justeru menjelang September semua negeri akan capai liputan dos vaksin lengkap dalam kalangan individu dewasa sebanyak 60 peratus,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Pada awal Ogos lalu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi individu yang telah menerima dua dos vaksin untuk merentas negeri bagi berjumpa dengan pasangan masing-masing. Selain itu, ibu bapa turut dibenarkan untuk merentas negeri bagi berjumpa dengan anak-anak yang berumur di bawah 18 tahun. Walau bagaimana pun, permohonan merentas negeri daripada pihak polis juga diperlukan untuk berbuat demikian.

     
     
  • Honda M’sia buka semula operasinya – perkenal program pembiayaan, ansuran bulanan awal rendah

    Honda M’sia buka semula operasinya –  perkenal program pembiayaan, ansuran bulanan awal rendah

    Honda Malaysia (HMSB) telah mengumumkan kilang pengeluarannya di Melaka telah kembali beroperasi, begitu juga dengan pusat pengedarannya yang turut dibuka semula dengan prosedur operasi standard (SOP) dan juga panduan di bawah fasa berbeza yang ditetapkan menerusi Pelan Pemulihan Nasional (PPN) bagi negeri yang berbeza.

    Syarikat ini berkata, semua langkah yang diperlukan sedang diambil kira di kilang pemasangannya bagi memastikan keselamatan semua pihak. “Sebelum memulakan operasi, kami telah melakukan perancangan yang teliti dan tindakan yang ketat bagi memastikan semua tindakan pencegahan dipatuhi untuk melindungi kakitangan dan pelanggan kami. Ini termasuklah melakukan ujian saringan Covid-19 untuk semua kakitangan kami setiap dua minggu, serta melakukan proses sanitasi dan disinfeksi di dalam premis,” ujar CEO dan Pengarah Urusan HMSB Madoka Chujo.

    Beliau turut menambah dengan bantuan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), sehingga Ogos lalu, seramai 80% kakitangan syarikat ini telah pun menerima vaksinasi penuh, dan disasarkan semua kakitangan akan lengkap divaksinasi menjelang Oktober ini.

    Honda M’sia buka semula operasinya –  perkenal program pembiayaan, ansuran bulanan awal rendah

    Dari perspektif perniagaan, syarikat ini berkata, pihaknya ingin mendapatkan kembali momentum perniagaan dalam empat bulan terakhir 2021 dengan banyak aktiviti yang telah diaturkan. Antaranya memperkenalkan model baharu dan juga menerapkan inisiatif kewangan dan kempen promosi bagi memudahkan rakyat Malaysia membeli kenderaan Honda.

    Malahan HMSB juga memperkenalkan inisiatif kewangan yang dipanggil Program Pembiayaan Khas, yang berlangsung sehingga 31 Disember ini. Syarikat ini berkata program tersebut akan membolehkan pelanggan membeli kereta baharu dengan ansuran bulanan yang rendah sepanjang tempoh awal pemilikan kereta mereka.

    Ini memudahkan lagi para pelanggan untuk membuat tempahan kereta Honda pilihan mereka melalui platform pra-tempahan secara dalam talian. Ia telah pun disediakan di laman web Honda Malaysia dan aplikasi HondaTouch, platform ini membolehkan pelanggan membuat tempahan model Honda di mana-mana sahaja dengan bayaran minimum hanya RM99. Kini ia ditawarkan dengan promosi Penjimatan Istimewa September. Kempen ini berlangsung sehingga akhir bulan ini bagi meraikan Hari Malaysia, dengan faedah sehingga RM6,000 untuk semua pelanggannya.

     
     
  • Toyota Hilux Revo Z Edition Razer 2021 diperkenalkan di Thailand – pikap low rider yang lebih bergaya

    Toyota Hilux Revo Z Edition Razer 2021 diperkenalkan di Thailand – pikap <em>low rider</em> yang lebih bergaya

    Toyota telah memperkenalkan semula pakej Razer untuk Hilux Revo Z Edition di Thailand, selepas seminggu varian GR Sport bagi trak pikap berkenaan dilancarkan di negara tersebut. Model yang anda lihat ini adalah diasaskan dari versi dual-cab 2.4L, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia turut ditawarkan pada varian Z Edition yang lain.

    Kit penggayaan Razer berkenaan terdiri daripada spoiler bawah bampar hadapan (8,310 baht atau RM1,057), skirt sisi (6,650 baht atau RM846), lip belakang (3,050 baht atau RM388), pelekat badan dengan grafik hitam pada bonet dan pintu tailgate (1,245 baht atau RM158), serta pelekat badan sisi dengan grafik hitam-merah (1,890 baht or RM240). Namun tiada perincian diberikan berkenaan rim aftermarket yang dipadankan pada unit contoh yang ditunjukkan ini.

    Harga yang dinyatakan tersebut adalah siap dengan cat tetapi tidak termasuk pemasangan. Pelanggan di Thailand juga boleh memilih pelbagai aksesori asli Toyota yang lain termasuk komponen-komponen GR Sport, kamera perakam digital, kamera undur dan pelbagai lagi.

    Bagi yang belum mengetahui, Hilux Z Edition Di Thailand ini merujuk kepada model pacuan roda belakang dengan tetapan suspensi dan roda jenis low rider dari kilang. Ia tampil dengan lapan varian yang boleh dipilih bermula model paling murah Single Cab 4X2 berharga 619,000 baht (RM79k) sehingga varian paling mahal Double Cab Z Edition 4×2 2.4 Mid AT berharga 805,000 baht (RM102k).

    Kesemua model Z Edition ini dijana oleh enjin turbodiesel 2GD-FTV 2.4 liter. Bagi model yang diberikan kotak gear manual, ia ditala bagi menghasilkan 150 PS dan tork maksima 343 Nm, manakala model dengan kotak gear enam kelajuan automatik pula menjana 150 PS dan tork maksima 400 Nm.

    Namun bagi mereka yang mahukan pikap low rider yang lebih berkuasa, Toyota Thailand kini menawarkan model Hilux GR Sport 4X2 low rider yang menerima enjin turbodiesel 1GD-FTV 2.8 liter yang menghasilkan kuasa 204 PS dan tork maksima 500 Nm, dijual pada harga 889,000 baht (RM113,800).

    GALERI: Toyota Hilux Z Edition Razer 2021 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Hilux Z Edition 2021 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Hilux GR Sport 4X2 low rider 2021 pasaran Thailand

     
     
  • Kia Sportage 2022 tiba di Eropah dengan spesifikasi tersendiri – dimensi serta talaan casis berbeza

    Kia Sportage 2022 tiba di Eropah dengan spesifikasi tersendiri – dimensi serta talaan casis berbeza

    Kia Sportage generasi kelima kini telah sudah memasuki pasaran Eropah, tetapi dengan perincian yang berbeza berbanding versi global. Menurut Kia, Sportage khas untuk Eropah ini diubah khas untuk pasaran itu, dan menjadikan ia model pertama yang menerima perubahan sebegitu sepanjang 28 tahun sejarah penubuhan syarikat.

    Model ini masih dibina atas platform N3 keluaran Hyundai Motor Group yang sama, tetapi jarak rodanya berbeza, iaitu 2,680 mm (kurang 75 mm berbanding versi global biasa). Panjang keseluruhan juga dikurangkan 145 mm, menjadi 4,515 mm manakala tinggi berkurang 15 mm menjadi 1,645 mm. Dimensi ini menjadikannya hampir sama seperti Sportage generasi sebelumnya, tetapi dengan jarak roda 10 mm lebih pendek dan panjang yang bertambah 30 mm.

    Perbezaan panjang yang jelas ini memerlukan badan juga diubah, terutamanya di bahagian tepi dan boleh dilihat jelas pada rekaan pintu belakang dan c-pillar. Cermin paling belakang pada versi jarak roda panjang ini telah dibuang sepenuhnya, dan digantikan dengan panel besi. Pilihan saiz rim terdiri daripada 17 inci hingga 19 inci, sementara versi GT Line mendapat bumbung warna hitam.

    Bahagian kokpit tidak diubah, dengan bahagian tengah didominasi panel paparan melengkung yang terdiri daripada dua skrin LCD 12.3 inci. Sistem infotainmen boleh dikemas kini atas talian, dan disambungkan kepada sistem bunyi premium Harman Kardon.

    Hasil daripada jarak roda yang lebih pendek, ruang kaki juga berkurang dari 1,050 mm ke 996 mm (-54 mm) dan ruang simpanan barang belakang berkurang dari 637 liter ke 591 liter. Tempat duduk belakang boleh dilipat 40:40:40 dan boleh menambah ruang menjadi 1,780 liter.

    Kia Eropah juga mendakwa akan melakukan talaan khas untuk bahagian casis, stereng serta kualiti pemanduan, tetapi tidak menyatakan perincian spesifiknya. Pilihan enjin yang tersedia sudah diumum, terdiri daripada unit petrol, diesel dan hibrid.

    Kia Sportage 2022 tiba di Eropah dengan spesifikasi tersendiri – dimensi serta talaan casis berbeza

    Bagi unit 1.6 T-GDI plug-in hybrid, ia terdiri daripada enjin pembakaran dalaman 180 PS, dan dibantu motor elektrik 66.9 kW untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 265 PS. Ia kemudiannya dipadankan dengan pek bateri lithium-ion polymer yang dapat memberikan jarak gerak elektrik 45 km.

    Pilihan enjin lain yang disediakan termasuk hibrid ringkas 1.6 T-GDI 230 PS, menggunakan motor elektrik 44.2 kW dan bateri LiPo 1.49 kWh. Turut disediakan adalah enjin diesel 1.6L dengan kuasa 115 PS, atau 136 PS untuk versi MHEV. Pilihan kotak gear terdiri daripada DCT tujuh kelajuan dan manual pintar enam kelajuan. Kotak gear automatik lapan kelajuan seperti versi global tidak disebut.

    Semua Sportage pasaran Eropah dipasang terus dengan teknologi Idle Stop-and-Go. Fungsi ISG ini bekerja sekali dengan teknologi ADAS, yang dapat mengimbas keadaan di hadapan untuk menentukan sama ada ISG patut diaktifkan atau tidak. Menurut Kia, ini mengelakkan operasi enjin hidup dan mati yang tidak perlu.

    Turut disediakan adalah Terrain Mode, yang membenarkan pemandu untuk memilih antara mod salji, lumpur dan pasir. Turut disediakan adalah mod pemanduan biasa Comfort, Eco dan Sport. Setakat ini masih tidak diketahui sama ada model hibrid akan mendapat sistem E-Handling, tetapi varian premium akan dilengkapi dengan suspensi adaptif dan AWD kawalan elektronik.

    Kia memberitahu, Sportage adalah antara model kenderaan mereka yang paling selamat dalam kelasnya, dengan keselamatan menjadi keutamaan semasa proses pembangunan. Pakej sistem bantuan pemandu DriveWise menyediakan ciri pemanduan semi-autonomous Level 2, yang termasuk Navigation-based Smart Cruise Control, Highway Driving Assist, Forward Collision-Avoidance Assist System dengan Junction Turning, Blind-Spot Collision-Avoidance Assist, dan Intelligent Speed Limit Assist.

     
     
  • Jalan Temiang-Pantai di N9 telah pun dibuka – laluan alternatif dari Seremban ke Kuala Klawang atau Jelebu

    Jalan Temiang-Pantai di N9 telah pun dibuka – laluan alternatif dari Seremban ke Kuala Klawang atau Jelebu

    Baru-baru ini Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun mengumumkan Jalan Temiang-Pantai telah pun dibuka untuk laluan trafik. Jalan terbabit adalah laluan alternatif untuk pengguna khususnya yang datang dari arah Seremban Utara dan ingin menuju ke Kuala Klawang atau Jelebu.

    Menurut beliau, pembinaan jalan tersebut memudahkan rakyat dengan memendekkan tempoh perjalanan. Projek pembinaan jalan tersebut membabitkan kos sebanyak RM181 juta telah disiapkan pada 23 Julai 2021, iaitu awal 17 hari dari tarikh kontrak asal, dan mula dibuka pada trafik sejak 26 Ogos lalu.

    Ia melibatkan jalan baharu empat lorong dua hala sepanjang 1.60 kilometer dan juga dua lorong dua hala sepanjang 5.84 kilometer dengan tiga buah jambatan.

     
     
  • GALERI: Mercedes-Benz E300 AMG Line facelift 2021 di Malaysia – 258 PS dan 370 Nm; harga dari RM375k

    GALERI: Mercedes-Benz E300 AMG Line facelift 2021 di Malaysia – 258 PS dan 370 Nm; harga dari RM375k

    Mercedes-Benz E-Class facelift W213 telah pun dilancarkan akhir Julai lalu, dengan menawarkan dua varian. Semalam kami telah pun memaparkan galeri varian asas E 200 Avantgarde, kini kita fokuskan pula pada model tertinggi E 300 AMG Line yang menjadi pesaing bagi BMW 530i M Sport.

    E 300 AMG Line ini ditawarkan pada harga atas jalan RM375,432 tanpa insurans dan didatangkan dengan waranti empat-tahun serta tanpa had perbatuan. Model terkini E-Class ini turut menerima pengecualian cukai jualan sebanyak 100% kerana ia adalah unit pemasangan tempatan (CKD).

    Di bawah bonetnya, E 300 masih mengekalkan unit unit M264 2.0 liter turbocas empat-silinder. Ia menghasilkan 258 PS pada 5,500 hingga 6,100 rpm dan 370 Nm tork pada 1,800 hingga 4,000 rpm, dengan pacuan dihantar ke roda belakang melalui transmisi automatik 9G-Tronic. Pecutan 0-100 km/j adalah dalam masa 6.4 saat, dan kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j.

    Seperti nama varian yang disarankan, E 300 didatangkan dengan pakej AMG Line yang termasuk dengan bampar hadapan lebih agresif dan gril berbentuk-trapezoidal dengan kepingan krom tunggal pada atas pin krom. Ini merupakan keunikan ciri bagi E 300, memandangkan luaran E 200 Avantgarde agak berbeza.

    Antara ciri baharu lain yang turut diberikan termasuklah lampu utama Multibeam LED (dengan Adaptive Highbeam Assist Plus) dan rim 19-inci AMG lima-jejari untuk lebih keselesaan (model terdahulu menggunakan saiz 20-inci).

    Untuk kabinnya, ia diberikan stereng yang lebih kurus dan menarik digunakan (dengan balutan kulit Nappa, kemasan hitam berkilat bahagian dalam jejari) dengan sensor sentuhan, serta paparan 12.3-inci dengan sistem infotainmen MBUX baharu bersama ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto yang menggantikan unit COMAND Online. Sama seperti E-Class sedan yang dipertingkatkan, tiada lagi jam analog di bahagian bawah suis kawalan pendingin hawa.

    Risalah spesifikasi Mercedes-Benz E 300 AMG Line W213 2021

    Kelengkapan lain termasuk sistem lampu ambien tiga-zon dengan 64 warna LED, sistem audio Burmester, bumbung panoramik gelungsur, pelindung sinar matahari elektrik dan alas pengecas telefon tanpa wayar. Tempat duduk semuanya balutan kulit, sama seperti papan pemuka. Kemasan kayu asli adalah standard, menggantikan kemasan hitam berkilat dan gentian karbon yang ada sebelum ini.

    Bagi sistem bantuan pemandu dan keselamatan, E 300 didatangkan dengan Bantuan Parkir Aktif dengan Parktronic, Bantuan Titik Buta, Keyless-Go, Bantuan Brek Aktif (brek kecemasan sendiri), kamera 360-darjah dan Pakej Bantuan Pemanduan termasuk Kawalan Kelajuan Adaptif, Bantuan Stereng Aktif, Bantuan Kekal Lorong Aktif, Bantuan Titik Buta Aktif dan Pre-Safe Plus.

    E-Class juga diberikan sistem Urban Guard, yang bekerjasama dengan Mercedes me untuk memantau sekeliling kenderaan. Warna badan yang ditawarkan untuk model ini ialah Polar White, Obsidian Black, Rubellite Red, Graphite Grey, Mojave Silver, Brilliant Blue, High-tech Silver, Emerald Green dan Selenite Grey. Ada juga beberapa warna pilihan lain sebagai alternatif, seperti Designo Diamond White Bright dan Designo Patagonia Red Metallic.

     
     
  • Honda CB500R, CB500F dan CB500X diperbaharui – enjin Euro 5, fork USD Showa, brek cakera berkembar

    Honda CB500R, CB500F dan CB500X diperbaharui – enjin Euro 5, fork USD Showa, brek cakera berkembar

    22YM HONDA CBR500R

    Barisan model CB500 keluaran Honda, yang terdiri daripada CBR500R, CB500F dan CB500X diperbaharui tahun ini dengan muncul sebagai model tahun 2022 di Eropah terlebih dahulu. Peningkatan yang dibuat lebih kepada kualiti tunggangan sementara binaan asas masih lagi sama seperti sebelum ini.

    Penggerak utama juga tidak berubah, di mana ketiga-tiganya masih lagi menggunakan unit dua silinder 471 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist, untuk menghasilkan kuasa maksimum 49.75 hp pada 8,500 rpm dan 44.6 Nm tork pada 7,000 rpm. Tetapan sistem suntikan bahan api PGM-Fi pada model ini bagaimanapun telah dilaras semula dan menepati tahap emisi Euro 5.

    Peningkatan ketara pada barisan model CB500 2022 ini adalah suspensi, di mana kesemuanya mendapat unit fork Showa SFF-BP USD 41 mm dengan pelarasan pra beban sementara di belakang pula ia menggunakan monoshock dengan pelarasan pra beban lima tahap.

    Walaupun ia adalah unit yang sama, jarak dari tanah dan tinggi tempat duduk semua tiga model ini adalah berbeza, iaitu 130 mm/785 mm untuk CBR500R, 145 mm/789 mm untuk CB500F dan 180 mm/830 mm untuk CB500X.

    Turut dipertingkat pada semua model CB500 ini adalah cakera pada sistem brek hadapan, di mana ia kini menggunakan set berkembar 296 mm, yang dipadankan bersama angkup dua piston daripada Nissin. Peningkatan bahagian casis kemudiannya dijadikan lengkap dengan penggunaan lengan ayun serta rim yang lebih ringan.

    Berat keseluruhan motosikal ini adalah masing-masing 199 kg untuk CB500X, 189 kg untuk CB500F dan 192 kg untuk CBR500R. Kelengkapan lain yang didatangkan terus adalah termasuk panel instrumen digital, lampu depan dan belakang LED, brek ABS two-channel, rim 17 inci (19 inci di hadapan untuk CB500X) dan tangki bahan api 17.1 liter (17.5 liter untuk CB500X).

    GALERI: Honda CBR500R 2022

    GALERI: Honda CB500F 2022

    GALERI: Honda CBR00X 2022

     
     
  • Perodua turunkan sasaran jualan bagi 2021 kepada 214k unit — kurang 10.8% dari sasaran asal 240k unit

    Perodua turunkan sasaran jualan bagi 2021 kepada 214k unit — kurang 10.8% dari sasaran asal 240k unit

    Berikutan penangguhan operasi dan jualan kenderaan akibat PKP yang berterusan tahun ini, Perodua telah menetapkan semula sasaran jualannya bagi tahun 2021 kepada 214,000 unit, lebih rendah berbanding angka awal yang diumumkan pada awal tahun, iaitu sebanyak 240,000 unit.

    Syarikat itu pada bulan Jun lalu masih mengekalkan angka sasaran 240,000 unit ketika mereka mengumumkan angka jualan bulan Mei, tetapi ini sebelum PKP yang lebih ketat dikenakan selepas itu, yang menyaksikan semua operasi automotif terpaksa diberhentikan sejak 1 Jun bagi tempoh dua bulan setengah sebelum ini.

    Bulan lalu, syarikat ini memberi isyarat akan menilai semula sasaran jualan bagi tempoh baki tahun ini. Dan walaupun telah menjual 6,988 unit sepanjang Ogos, dengan masa yang singkat sebelum hujung tahun menjadikannya sukar untuk mencapai sasaran asal. “Berdasarkan sumber dan masa yang ada, kami terpaksa mengurangkan sasaran jualan sebanyak 10.8% kepada 214,000 unit untuk tahun ini, berbanding 240,000 unit awalnya,” jelas Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

    Perodua turunkan sasaran jualan bagi 2021 kepada 214k unit — kurang 10.8% dari sasaran asal 240k unit

    Sehingga Mei lalu, syarikat itu berada dalam landasan yang betul untuk mencapai sasarannya. Jumlah jualan tahunan setakat ini pula adalah 96,281 unit, 82% lebih banyak berbanding tempoh sama tahun lalu. Bagaimanapun, Perodua hanya menjual 1,009 unit pada bulan Jun (dari lebihan pendaftaran jualan tempoh sebelumnya) dan hanya 655 unit pada Julai. Setakat Ogos, jumlah jualan terkumpulnya adalah 104,933 unit, penurunan 12.5% berbanding 119,977 unit yang dicatat dalam tempoh sama tahun lalu.

    Zailan juga memaklumkan syarikat itu sedang berusaha untuk merapatkan jurang tersebut dengan cara meningkatkan jumlah pengeluaran serta memastikan pematuhan SOP untuk keselamatan pekerja dan pelanggan. Keutamaan syarikat ketika ini adalah untuk memastikan industri automotif tempatan mampu kekal bertahan tahun ini, disebabkan kesan pandemik dan kekurangan bekalan cip semikonduktor peringkat global.

    Beliau menambah, Perodua juga mempunyai cukup bekakan untuk memastikan proses pengeluaran tahun ini berjalan lancar, dan menekankan bahawa semua pesanan sedia ada akan diserahkan kepada pelanggan dalam tahun ini juga.

     
     
  • Pembaharuan lesen memandu, LKM luput dilanjutkan hingga 31 Dis 2021; boleh walk in ke JPJ, Puspakom

    Pembaharuan lesen memandu, LKM luput dilanjutkan hingga 31 Dis 2021; boleh walk in ke JPJ, Puspakom

    Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah memaklumkan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia yang luput atau tamat tempoh dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021 ini. Ini susulan dengan maklum balas dan kesukaran orang ramai baru-baru ini dalam menggunakan perkhidmatan agensi-agensi di bawahnya seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

    Menurut MOT, mana-mana pemilik LKM dan lesen memandu yang telah tamat tempoh sah tidak akan dikenakan tindakan penguatkuasaan dan pematuhan oleh pihak JPJ serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 31 Disember 2021. Walau bagaimana pun, bagi LKM telah tamat tempoh, pemilik perlu memastikan kenderaan masing-masing dilindungi insurans yang sah. Malah Sijil Perlindungan Insurans (e-cover note) yang sah perlu dipaparkan dan ditunjukkan bagi tujuan pemeriksaan.

    Selain itu, MOT mengambil inisiatif terhadap keperluan orang ramai menerusi pengoperasian semua kaunter JPJ di seluruh negara dan juga kaunter rakan strategik JPJ (Puspakom) dengan kapasiti 100% secara walk-in mulai 6 September 2021. Antara lain ia bertujuan memastikan orang ramai dapat melaksanakan urusan pembaharuan LKM dan lesen memandu dengan lancar dalam tempoh pelanjutan yang dibenarkan.

    “Pelanggan yang ingin berurusan di kaunter JPJ mestilah mendapat vaksinasi lengkap sebagai langkah berjaga-jaga yang diperlukan bagi menjaga kesihatan dan keselamatan orang ramai termasuk kakitangan yang bertugas. Pada masa yang sama, pelanggan juga perlu menunjukkan status Risiko Rendah COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera. Mulai 6 September 2021 juga, JPJ akan menghentikan sistem janji temu dalam talian untuk memberi sokongan kepada pelanggan yang menerima vaksinasi lengkap untuk berurusan di kaunter JPJ,” ujar kenyataan yang dikeluarkan MOT.

    Dalam masa sama, orang ramai digalakkan menggunakan perkhidmatan dalam talian menerusi portal mySIKAP JPJ (https://public.jpj.gov.my), atau melalui portal dalam talian rakan-rakan strategik JPJ yang lain seperti Pos Malaysia Berhad, MyEG dan PUSPAKOM, untuk membuat apa-apa transaksi JPJ yang berkaitan. Ini bertujuan mengelakkan kesesakan di kaunter JPJ serta memberi kemudahan dan kesenangan kepada orang ramai dalam membuat transaksi pembaharuan LKM dan LMM.

    “MOT ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika berurusan di mana-mana kaunter JPJ termasuk memakai pelitup separuh muka, menggunakan cecair pembasmi kuman atau ‘hand sanitizer’, mengamalkan penjarakan fizikal dan mendaftar masuk atau ‘check-in’ menggunakan aplikasi MySejahtera,” sambungnya lagi.

    Sebelum ini, JPJ mengingatkan orang ramai agar memperbaharui lesen memandu dan LKM yang tamat tempoh sebelum 30 September ini kerana tiada tempoh lanjutan akan diberikan. Malahan JPJ dan PDRM juga akan memulakan pemeriksaan dan penguatkuasaan mulai 1 Oktober ini. Walau bagaimana pun, dengan pengumuman terbaharu dari MOT ini pasti memberikan kelegaan buat orang ramai yang masih belum berkesempatan untuk memperbaharui lesen memandu atau LKM masing-masing.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025