Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton Persona dan Iriz 2022 kini dengan prestasi CVT lebih baik, jimat minyak dengan fungsi tambahan

    Proton Persona dan Iriz 2022 kini dengan prestasi CVT lebih baik, jimat minyak dengan fungsi tambahan

    Untuk menyelami dengan lebih dalam berkaitan penambahbaikan yang telah dilakukan terhadap Proton Iriz dan Persona facelift 2022, eksekutif program kenderaan terbabit, Adzrai Aziz bin Ibrahim yang bertanggungjawab memerhatikan keseluruhan projek itu berkongsi perincian lanjut. Di sini, kita akan mendekati perubahan yang telah dilakukan terhadap continuously variable transmission (CVT) Punch yang digunakan pada dua model berkenaan.

    Walaupun awalnya ada khabar angin bahawa Proton akan beralih kepada kotak gear 4AT Hyundai seperti yang digunakan pada Saga untuk dua model tersebut, itu tidak menjadi kenyataan, kerana Iriz/Persona kekal dengan CVT. Namun, Proton telah melakukan beberapa perubahan sejak 2014 untuk menjadikan CVT ini lebih baik, berikutan rungutan pengguna dan masalah lain melibatkan kotak gear itu.

    Kali terakhir Iriz dan Persona menerima kemaskini CVT adalah pada 2019 sebagai sebahagian daripada usaha facelift yang pertama, yang disasarkan untuk menjadikannya lebih berdaya tahan dan boleh diharap. Penambahbaikan yang dilakukan termasuk pam minyak dan unit hidraulik yang direka semula, oil seal dan bearing baru, pinion gear yang dioptimumkan untuk mengurangkan bising serta perumah transmisi yang dibaiki (untuk mengurangkan kebocoran) serta penghasilan komponen dalaman lain.

    Proton Persona dan Iriz 2022 kini dengan prestasi CVT lebih baik, jimat minyak dengan fungsi tambahan

    Menurut Adzrai, perubahan ini berkesan, dan berjaya mengurangkan jumlah tuntutan jaminan dengan ketara. “Boleh dilihat sejak pelancarannya hingga hari ini, kami dapat menurunkan tuntutan jaminan sebanyak 80%,” jelas beliau.

    Bagi model tahun 2022 yang terbaru, Proton memberi tumpuan kepada perisian CVT berkenaan, menambah beberapa fungsi baru untuk memperbaiki prestasi dan melancarkan lagi transmisi berkenaan. Paling penting adalah memperkenalkan kembali ciri nisbah berperingkat SAT (stepped automatic transmission), yang membuang butang khususnya dan kini akan diaktifkan secara automatik sebaik saja pedal minyak ditekan melepasi had tertentu.

    Untuk itu, CVT ini mampu menyerupai rasa yang mirip kotak gear automatik, misalnya mampu mengekalkan nisbah tertentu sebelum naik gear yang lebih tinggi. Proton menjelaskan fungsi baru ini memperbaiki serta mengurangkan kebisingan ketika memecut, serta melancarkan lagi proses itu.

    Proton Persona dan Iriz 2022 kini dengan prestasi CVT lebih baik, jimat minyak dengan fungsi tambahan

    Neutral Idle Control (NIC) juga kini ditambah, bertindak melepaskan klac ketika dalam keadaan pegun (ketika masih dalam gear D atau S) untuk mengurangkan kelajuan idle, menghapuskan kejutan ketika menukar gear dari P dan mengurangkan gegaran. Adzrai memaklumkan yang ciri baru ini datangnya dari model-model pesaing, dengan pasukannya telah menguji model baru Proton itu secara langsung dengan Toyota Vios dan Honda City.

    Dan yang terakhir, mod Eco yang sesungguhnya (terpisah daripada petunjuk Eco Driving Assist, yang akan menyala bila anda memandu secara cekap), yang memansuhkan SAT dan melepaskan klac tanpa kendali pendikit (off-throttle) pada kelajuan bawah 70 km/j. Ini membolehkan kereta ini melayar. Proton mendakwa pengurangan penggunaan minyak sebenar adalah antara tujuh hingga 10 peratus berdasarkan ujian dalaman yang dilakukan.

    Proton Persona dan Iriz 2022 kini dengan prestasi CVT lebih baik, jimat minyak dengan fungsi tambahan

    Seperti dilaporkan sebelum ini, penambahbaikan tersebut — berserta ECU yang ditala semula — membolehkan Iriz untuk memberikan bacaan penggunaan minyak mengikut penderakan NEDC pada kadar 6.7 liter per 100 km, sementara bagi varian Active (yang lebih tinggi dan rim lebih besar) memberikan 7.0 liter per 100 km. Ini melibatkan pengurangan masing-masing sebanyak 12% dan 7% berbanding model facelift 2019 yang mencatatkan 7.5 liter per 100 km.

    Kemaskini juga mengurangkan gegaran ketika pegun, yang mencatatkan bacaan 0.041 g di stereng dan 0.029 g di lantai Iriz (0.038 g kedua-duanya bagi Persona) — pengurangan daripada 0.05 g yang diukur pada model 2019. Kadar buzz, squeak and rattle (BSR) bagi kedua-dua Iriz dan Persona juga semakin meningkat daripada 5 kepada 6.5, mencadangkan kabin yang lebih senyap kini.

    Proton Iriz Active 1.6L 2022

    Proton Persona 1.6L Premium CVT

     
     
  • BMW Concept CE02 sedia tunggangan serba ringkas

    BMW Concept CE02 sedia tunggangan serba ringkas

    Selepas CE-04, BMW kini menunjukkan satu lagi skuter elektrik konsep iaitu CE-02. Ia disasarkan lebih kepada orang muda, dengan usia sekurang-kurangnya 16 tahun, tidak mempunyai prasangka terhadap motosikal dan tidak pernah menunggang jentera dua roda sebelum ini.

    “BMW Concept CE-02 menampilkan perkadaran baru dan bentuk moden penggerak persendirian di kawasan urban. Sebagai tambahan, kami mahu mencapai satu tahap inovasi rekaan yang tidak pernah kami capai sebelum ini. Penggunaan terus secara ringkas adalah penting, tetapi ia juga mengambil kira komponen emosi serta keseronokan menunggang,” kata ketua bahagian rekaan BMW Motorrad, Edgar Heinrich.

    Direka untuk pergerakan jarak pendek di bandar, Concept CE-02 ini menyediakan kelajuan maksimum 90 km/j dan jarak gerak 90 km. Dengan motor elektrik 11 kW, pacuan tali sawat dan rim 15 inci, ia termasuk dalam kategori lesen permulaan A1 (ECE) di Eropah, sesuai dengan golongan sasarannya.

    Tempat duduk serendah 730 mm dan berat cuma 120 kg menjadikan Concept CE-02 ini lebih mesra pengguna berbanding motosikal biasa, sementara kapasiti bateri dan pengecasnya tidak diberitahu. “Kami mahu membangunkan jentera dua roda yang mudah untuk semua orang yang mahu bergerak dan berdikari,” kata ketua bahagian rekaan kenderaan BMW Motorrad, Alexander Buckan.

    Penggayaan pada Concept CE-02 ini menyediakan kepelbagaian kepada pengguna. Tempat duduknya leper dan panjang, memberikan kebebasan kepada penunggang bergerak menyesuaikan diri, sementara di atas dan bawah pek bateri pula terdapat ruang meletak barang dengan tali pengikat.

    Semua lampu menggunakan unit LED, manakala brek pula menggunakan sistem hidraulik untuk kedua-dua bahagian depan dan belakang. Skuter elektrik ini juga boleh dinaiki dua orang kerana mempunyai tempat peletak kaki untuk penumpang.

     
     
  • Subaru Solterra 2023 muncul lagi dalam teaser – SUV EV mirip Toyota bZ4X; akan diperkenalkan pada 2022

    Subaru Solterra 2023 muncul lagi dalam teaser – SUV EV mirip Toyota bZ4X; akan diperkenalkan pada 2022

    Sekali lagi Subaru telah mendedahkan teaser Solterra, yang bakal menjadi SUV elektrik penuh bagi jenama ini dan diposisikan di bawah segmen-C. Direncana bakal diperkenalkan pada pertengahan 2022 untuk model tahun 2023 di Amerika Syarikat (dan juga di Eropah), Solterra dibangunkan dengan platform EV hasil kerjasama dengan Toyota yang digelar e-Subaru Global Platform (e-SGP).

    Kedua-dua syarikat telah pun beberapa kali bekerjasama, dengan generasi pertama dan kedua bagi kembar Toyobaru sebagai hasilnya. Solterra juga dikatakan memiliki ciri yang hampir sama dengan Toyota bZ4X, yang menggunakan platform yang sama tetapi dikenali sebagai e-TNGA.

    Imej baharu ini menunjukkan beberapa persamaan antara kedua-dua model berkenaan, dengan Solterra memang hampir menyamai model konsep bZ4X. Walau bagaimana pun, Subaru EV yang ditunjukkan ini adalah versi yang bakal dipasarkan, dan kita belum lagi melihat versi produksi bagi bZ4X.

    Namun terdapat sedikit penggayaan yang berbeza antara Solterra dengan model konsep Toyota tersebut termasuklah lampu nyalaan siang SUV Subaru ini yang lebih menyerlah dan dikelilingi unit LED antara kluster, sementara lampu belakang pula dengan rekaan berbentuk-C. Subaru turut berusaha untuk menyerlahkan bahagian hadapannya, jadi dijangka ia akan sedikit berbeza dengan penampilan bZ4X.


    Model konsep Toyota bZ4X

    Untuk bahagian dalamnya, ia juga kelihatan tidak seperti model konsep, di mana kluster instrumen digital diletakkan pada hujung “channel” di hadapan roda stereng. Konsol tengah pula kelihatan agak mirip, dengan pemilih gear, kawalan sistem kenderaan dan corong udara tengah yang ditempatkan di bawah skrin sesentuh yang lebar.

    Perincian penjana kuasa masih belum didedahkan buat masa ini, tetapi Subaru telah mengesahkan bahawa Solterra turut akan dilengkapi sistam Symmetrical All-Wheel Drive. Dan pastinya ada larasan dwi-motor, tetapi kena nantikan berapakah jumlah kuasanya, jenis bateri dan jarak kilometer yang pastinya akan dibongkarkan sepenuhnya menjelang pelancarannya kelak.

    GALERI: Model konsep Toyota bZ4X

     
     
  • Proton sahkan R&D enjin CamPro VVT tamat, tugas akan diganti dengan enjin 1.5 Turbo tiga-silinder

    Proton sahkan R&D enjin CamPro VVT tamat, tugas akan diganti dengan enjin 1.5 Turbo tiga-silinder

    Enjin CamPro Proton dengan kod S4PE (1.3L) dan S4PH (1.6L) sudah berada cukup lama dalam pasaran. Enjin berkenaan pertama kali digunakan pada model produksi Proton bermula dengan kemunculan Gen2 pada tahun 2004, kemudian ia menerima pelbagai tingkat taraf seperti versi Cam Profile Switching (CPS) dan turut menampilkan sistem manifold kemasukan bervariasi (VIM), modul kemasukan udara-bahan (IAFM), malah versi yang digandingkan dengan sistem hibrid turut pernah ditayangkan pada konsep Gen2 ketika berlangsungnya Geneva Motor Show 2007.

    Enjin berkenaan masih lagi digunakan dalam model-model produksi Proton sekarang – Exora dijana oleh enjin CamPro CFE iaitu versi yang diberikan pengecas turbo, manakala Iriz dan Persona menggunakan versi dengan teknologi VVT serta tidak lagi menggunakan nama CamPro itu sendiri.

    Untuk Proton, enjin VVT yang diperkenalkan pada Iriz buat pertama kali pada 2014 merupakan era baharu buat mereka. Ini kerana walaupun enjin berkenaan masih lagi berkod S4PE/S4PH dan berkongsi beberapa teknologi dengan enjin CamPro lama, ia kini menerima blok, omboh, injap serta teknologi pemasaan injap bervariasi yang baharu sepenuhnya. Iriz menerima kedua-dua versi 1.3L dan 1.6L enjin VVT ini, manakala Persona hanya ditawarkan dengan enjin 1.6L dan Saga hanya hadir dalam versi 1.3L.

    Walau bagaimanapun, teknologi tersebut turut sudah agak lama dan bakal berusia genap tujuh tahun pada 25 September ini. Namun dari tahun ke tahun, Proton masih ‘menyempurnakan’ enjin VVT berkenaan dengan membuat pelbagai talaan semula bagi membolehkan ia berfungsi serta memberikan kadar penggunaan bahan api yang lebih baik.

    Proton sahkan R&D enjin CamPro VVT tamat, tugas akan diganti dengan enjin 1.5 Turbo tiga-silinder

    “Untuk model-model ini secara spesifik, walaupun kami masih guna enjin yang sama, kami guna masa yang banyak untuk mendapatkan talaan dan kalibrasi ECU. Jika anda perasan, ada pelbagai penambahbaikkan – penggunaan bahan api NEDC – hasil dari talaan ECU digandingkan dengan fungsi CVT yang dipertingkat, serta rintangan golekan yang lebih baik menerusi kawalan terhadap komponen. Jika tidak melakukan talaan ECU, kami takkan dapat capai hasil sebegini,” kata eksekutif program kenderaan Proton, Adzrai Aziz Ibrahim dalam satu temu ramah baru-baru ini.

    Namun, walaupun pelbagai usaha yang dibuat ini mendatangkan hasil, Proton mengakui mereka sudah sampai ke tahap maksima bagi pembangunan enjin CamPro ini. “Saya rasa dalam aspek enjin [VVT] itu sendiri, dari aspek hardware, saya rasa sudah tidak ada ruang untuk penambahbaikkan bagi VVT. Jadi, VVT, buat masa sekarang, kekal sebegitu, kerana syarikat kini sedang melihat kepada enjin lain, iaitu enjin 1.5 liter turbo yang digunakan untuk memacu X50 dan X70,” jelas Adzrai.

    Buat masa sekarang, enjin 1.5 liter turbo tiga silinder yang dimaksudkan oleh Adzrai tersebut telah digunakan oleh Proton dalam dua versi. Versi paling berkuasa adalah dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI) yang digunakan pada X50 varian Flagship serta X70 pasaran eksport (Pakistan dan Nepal) berkuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Manakala satu lagi versi hanya diberikan sistem suntikan bahan api konvensional (PFI) berkuasa 150 PS dan tork maksima 226 Nm menjana X50 varian Premium dan ke bawah.

    Enjin 1.5L Turbo PFI berkenaan belum lagi digunakan pada mana-mana model Geely, dan ia digunakan buat pertama kali untuk model produksi adalah menerusi Proton X50. Malah sebelum ini Proton mengesahkan bahawa ia akan digunakan dalam barisan model baharunya selepas ini, termasuk model-model yang akan dibangunkan secara tempatan dalam tempoh masa empat tahun kehadapan.

    Proton sahkan R&D enjin CamPro VVT tamat, tugas akan diganti dengan enjin 1.5 Turbo tiga-silinder

    Sebelum ini Proton telah menyatakan bahawa tugas enjin-enjin CamPro tidak akan digantikan dengan enjin GDI dan TGDI, tetapi kenyataan tersebut keluar pada tahun 2016 dan ia sudah tidak relevan dengan situasi dalam pasaran buat masa sekarang.

    Unit 1.5 liter turbo yang dibangunkan oleh Geely dengan kerjasama Volvo berkenaan diklasifikasikan di bawah program GEP3 (Global Engine Petrol 3), dan berdasarkan laporan sebelum ini, Proton sudah pun melantik vendor tempatan bagi membekalkan berberapa komponen untuk enjin tersebut. Ketika itu, enjin GEP3 tersebut dikatakan akan menggantikan enjin CamPro CFE, sementara enjin VVT akan terus digunakan sehingga ketibaan model-model baharu sepenuhnya.

    Berbanding enjin CamPro, enjin GEP3 tersebut adalah jauh lebih canggih dan pembangunannya adalah berdasarkan Volvo Engine Architecture. Ia dikenali sebagai enjin Drive-E dalam barisan model Volvo dan G-Power dalam barisan model Geely.

    Dengan prestasi yang lebih baik, penggunaan bahan api lebih jimat serta jauh lebih mesra alam, ia bukan sahaja memberikan kelebihan pada pasaran tempatan, malah memberikan peluang kepada Proton untuk meneroka kembali pasaran eksport yang lebih luas. Proton sebelum ini terpaksa gulung tikar di beberapa pasaran eksport kerana tidak mempunyai enjin yang memenuhi undang-undang emisi ketat.

    Proton sahkan R&D enjin CamPro VVT tamat, tugas akan diganti dengan enjin 1.5 Turbo tiga-silinder

    Perincian lanjut berkenaan model mana yang akan diberikan enjin GEP3 tersebut masih belum jelas, namun tidak lama lagi produksi enjin tersebut akan dimulakan di kilang Proton di Tanjong Malim yang telah pun menerima pelaburan yang besar.

    Pada 2018, Proton mengumumkan bahawa kilang tersebut akan ditingkat taraf dengan kemampuan bagi menghasilkan body in white (BIW), sub-pemasangan, trim dan kemasan akhir serta fasiliti logistik. Tingkat taraf tersebut mungkin sudahpun beroperasi sepenuhnya kerana ia disasarkan siap pada Februari 2019.

    Proton turut menyatakan tingkat taraf sepenuhnya akan menyaksikan penambahan kilang enjin yang membawa pelaburan keseluruhan bernilai dari RM1.2 bilion kepada RM3 bilion. Memastikan bekalan enjin secara konsisten adalah penting, terutamanya apabila CEO Proton, Dr.Li Chunrong sebelum ini menyatakan bahawa mereka akan melancarkan satu produk baru setiap tahun.

    Selepas mendengar apa yang disebutkan oleh Adzrai ini, sudah tentu ramai daripada kita (termasuk penulis sendiri) tidak sabar untuk melihat model yang dibangunkan secara tempatan oleh Proton yang dijana enjin 1.5 Turbo berkenaan bukan?

    Proton Iriz dan Persona baru sahaja diperkenalkan dalam versi facelift kedua pada bulan lalu, dan mungkin ia akan bertahan dalam pasaran dalam masa 2-3 tahun lagi. Buat masa sekarang Proton tidak mempunyai sedan segmen-C dalam barisan model mereka selepas produksi Preve dihentikan. Adakah Proton sedang membangunkan model gantian untuk Preve yang akan menjadi model pertama menggunakan enjin GEP3 tersebut?

     
     
  • Harga minyak 2-8 Sept – semuanya dikekalkan

    Harga minyak 2-8 Sept – semuanya dikekalkan

    Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bagi minggu pertama September 2021 iaitu bertarikh 2 hingga 8 September, semua harga runcit bahan api di negara ini kekal seperti minggu sebelumnya. Ini bermakna, petrol RON 97 dikekalkan pada harga RM2.72 seliter.

    Begitu juga dengan harga RON 95 yang masih tidak berubah sejak Februari lalu iaitu dikekalkan pada harga siling mencecah RM2.05 seliter.

    Manakala harga diesel Euro B10/B20 juga masih kekal pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan iaitu pada 8 September 2021.

     
     
  • GALERI: Proton Iriz 1.6 Active 2022, RM54,000

    GALERI: Proton Iriz 1.6 Active 2022, RM54,000

    Proton Iriz dan Persona facelift 2022 sudahpun dilancarkan pada awal bulan lalu. Namun disebabkan ketika itu kebanyakkan tempat masih berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kami sendiri tidak berpeluang untuk melihat sendiri kedua-dua model berkenaan dengan lebih dekat.

    Namun dengan pelbagai kelonggaran yang diberikan kerajaan kerana semakin ramai rakyat Malaysia yang sudah lengkap divaksinasi, nah kami bawakan anda galeri penuh untuk varian baharu yang juga kini diletakkan sebagai model tertinggi untuk Iriz, iaitu Proton Iriz Active.

    Seperti namanya yang diambil dari model konsep Proton yang muncul pada 2014, Iriz Active ini merupakan varian yang dilengkapi kit penampilan seakan sebuah SUV. Ini bukanlah konsep baharu, kerana sebelum ini banyak pengeluar lain yang telah pun menggunakan konsep sama contohnya Perodua Axia Style, Volvo V40 Cross Country, Nissan Livina X Gear dan banyak lagi.

    GALERI: Proton Iriz 1.6 Active 2022, RM54,000

    Bagi Iriz Active, Proton seolah-olah mahu ia menonjolkan imej ‘Baby X50’. Jadi ia diberikan pelindung plastik bawah sisi badan pada pintu dan juga fender flare pada setiap ruang roda yang kelihatan seperti dilekatkan dengan bol Allen, seakan Satria GTI dan juga Satria Neo CPS. Pelindung-pelindung berkenaan diberikan disekeliling badan, dilengkapkan menerusi skid plate kemasan perak pada bampar hadapan dan belakang serta pada skirt sisi.

    Gril bawah bampar pada Iriz Active ini juga berbeza, tampil dengan elemen sarang lebah, dan ia satu-satunya varian Iriz yang menerima lampu hadapan jenis LED. Rupa sebuah SUV pada model ini dilengkapkan dengan rel bumbung berwarna perak yang nampak menyerlah pada bumbung berwarna hitam.

    Kesemua varian Iriz kini menerima muka hadapan baharu, yang kelihatan sama dengan sedan Persona. Kluster lampu masih nampak sama seperti sebelum ini, namun gril infinite weave telah direka semula yang kelihatan hampir sama seperti gril pada Proton X50, lengkap dengan jalur serlahan merah di bawah dan juga logo baru Proton berbentuk bulat di tengah.

    Iriz juga kini nampak lebih garang kerana jalur krom pada bahagian atas lampu dan gril kini diganti dengan jalur dalam kemasan hitam berkilat (Persona masih lagi dalam kemasan krom). Bampar model kemaskini ini turut menerima perubahan ketara di mana bahagian perumah lampu nyalaan siang LED direka lebih ‘berotot’, bersama bahagian bawah yang direka seakan spoiler.

    Juga satu lagi perkara yang anda perlu tahu, tiada lagi varian Premium untuk Iriz 2022 ini, manakala model standard hanya hadir dengan kotak gear CVT automatik.

    Bagi memberikan lebih unsur ‘Baby X50’, Iriz turut ditawarkan dengan warna badan yang sama seperti abangnya iaitu Passion Red (seperti unit yang dipamerkan ini) dan Citric Orange. Model pertengahan 1.6 Executive juga ditawarkan dengan dua warna istimewa tersebut termasuk lima warna lain iaitu Ocean Blue, Armour Silver, Snow White, Ruby Red dan Jet Grey (dua warna terakhir tidak ditawarkan untuk Active). Manakala model Standard pula tidak diberikan pilihan warna Passion Red dan Citric Orange.

    Iriz juga menerima perubahan ketara pada bahagian dalaman, terutamanya pada bahagian tengah papan pemuka dan juga konsol terowong. Bagi membolehkan ia menerima skrin infotainmen lebih besar, skrin tersebut tidak lagi ‘ditanam’ dalam papan pemuka, sebaliknya diberikan rekaan berdiri sendiri dengan liang pendingin hawa yang direka melintang di bawahnya bersama suis lampu hazard dan pengunci pintu pusat disusun di tengah.

    Suis kawalan pendingin hawa juga nampak jauh lebih moden dengan rekaan seakan sama dengan X50, menampilkan dua suis putar untuk mengawal suhu dan kelajuan blower, paparan digital tersendiri di tengah, serta suis-suis kawalan lain yang diletakkan seakan kekunci piano. Namun sistem pendingin hawa ini sebenarnya masih manual dan bukan automatik.

    GALERI: Proton Iriz 1.6 Active 2022, RM54,000

    Konsol terowong juga menerima rombakan besar dengan suis penderia parkir dan kawalan kestabilan elektronik yang dialih ke bahagian hadapan tuil penukar gear bersama suis mod Eco baharu, ruang storan dan pemegang cawan yang di atur semula serta ditambah dengan perehat tangan yang dibalut dengan material sentuhan lembut.

    Dengan adanya perehat tangan berkenaan, dua port USB pada bahagian berkenaan telah dialihkan kebelakang dan ia secara tidak langsung memudahkan penumpang belakang untuk menggunakannya. Secara keseluruhan kabin Iriz facelift ini menerima sejumlah enam port USB yang terdiri satu port untuk data, dan lima selebihnya untuk mengecaj.

    Selain itu, Iriz juga kini menerima lampu kabin LED yang sama dengan Saga, serta roda stereng dengan rekaan beg udara berbeza yang diberikan logo baharu Proton. Ia kekal diberikan kemasan tiang dan pelapik bumbung berwarna hitam dan juga kemasan-kemasan piano black termasuk pada varian Standard dan Executive.

    Manakala untuk varian Active, ia menerima upholsteri tempat duduk gabungan fabrik dengan corak seperti papan litar dan juga kulit serta serlahan jahitan benang merah, tulisan ‘Active’ yang disulam pada tempat duduk dan panel dalaman pintu depan dan belakang, karpet kaki istimewa Active, tali pinggang keledar berwarna merah, set pedal aloi, dan juga serlahan-serlahan merah pada sekeliling liang pendingin hawa, konsol terowong, gegelang paparan meter, benang jahitan serta suis kawalan pada roda stereng.

    Bagi sistem infotainmen, walaupun Iriz Active menerima skrin yang kelihatan sama seperti varian Executive, ia sebenarnya lebih canggih kerana menerima sistem Geely Key User Interface (GKUI) dengan eSIM yang hampir sama dengan sistem pada Proton X50 dan X70.

    Jadi ia bukan sahaja mampu untuk mengoperasikan sistem navigasi atas talian, streaming muzik Jook dan hubungan WiFi, malah sistem arahan suara “Hi Proton” pada Iriz Active ini juga kini boleh mengawal tingkap berkuasa dan juga pendingin hawa. Satu antaramuka khas yang membolehkan anda mengawal pendingin hawa juga disediakan pada skrin berkenaan.

    Tiada perubahan diberikan pada sistem mekanikal di mana Iriz Active masih dijana enjin 1.6 liter VVT berkuasa 109 PS pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 150 Nm pada takat 4,000 rpm. Walau bagaimanapun, ia kini menerima perisian baharu untuk kotak gear yang memberikan fungsi SAT, membolehkan tukaran gear sporty diberikan dengan kelajuan maya seakan tukaran gear transmisi konvensional.

    Iriz facelift ini juga diberikan Neutral Idle Control (NIC) yang akan memutuskan klac apabila kereta berhenti sepenuhnya bagi mengurangkan beban, sekaligus menjimat lebih bahan api. Tidak cukup dengan itu, ia juga kini sudah diberikan mod Eco sebenar yang boleh diaktifkan oleh pemandu dengan menekan butang, dan ia tidak sama dengan lampu Eco pada model sebelumnya yang berfungsi sekadar memberitahu pemandu bahawa mereka sedang memandu dengan efisien.

    Selepas pemandu memilih untuk menggunakan mod Eco berkenaan dengan menekan butang yang berada di hadapan tuil penukar gear, kotak gear akan memutuskan klac sekiranya pemandu melepaskan pedal pendikit pada kelajuan di bawah 70 km/j, membolehkan kereta berkenaan meluncur tanpa memberikan beban pada enjin yang hanya perlu hidup pada kelajuan pepura.

    Dengan penambahbaikkan ini, Proton Iriz Active yang lebih tinggi dan lebih berat ini mencatatkan penggunaan bahan api NEDC 7.0 liter setiap 100 km (14.3 km/l), manakala model Executive pula mencatatkan bacaan 6.7 liter setiap 100 km (14.9 km/l). Sebagai perbandingan, Iriz 2019 memberikan bacaan bahan api 7.5 liter setiap 100 km (13.3 km/l) atau sekitar 11% dan 12% lebih rendah. Malah Iriz Active juga masih 7% lebih jimat bahan api berbanding Iriz biasa sebelum ini.

    Proton Iriz 1.6 Active ini dijual pada harga RM54,000, manakala model 1.6 Executive pula dijual pada harga RM47,800. Model paling asas 1.3 Standard kini dijual pada harga RM40,300. Kesemua harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, bersama pengecualian cukai jualan (SST) yang diberikan oleh kerajaan sehingga 31 Disember nanti. Iriz kekal diberikan waranti pengeluar selama lima tahun atau 150,000 km.

    Bagi mengetahui berkenaan perincian varian-varian lain pula anda boleh baca pada PAUTAN INI. Kami juga telah menyiarkan galeri penuh untuk Proton Persona 1.6 Premium 2022 yang boleh anda baca dan lihat pada PAUTAN INI.

     
     
  • FSR Technology sambut usia sedekad, lancarkan Tuneboss Gen2 ECU motosikal — harga dari RM299

    FSR Technology sambut usia sedekad, lancarkan Tuneboss Gen2 ECU motosikal — harga dari RM299

    Sempena meraikan 10 tahun kewujudannya, pengeluar ECU tempatan, FSR Technology telah memperkenalkan TuneBoss Gen2 ECU generasi terbaru. Boleh dipertingkat secara berperingkat, TuneBoss Gen2 ECU menawarkan kepada penunggang kebolehkan untuk mengunjurkan fungsi talaan maju bagi motosikal atau skuter, walaupun dengan segala macam keterhadan sedia ada.

    Pembangunan cip terbaru ini dilakukan dengan kerjasama bebera pasukan lumba motosikal tempatan dalam tempoh beberapa tahun kebalakangan ini dan ujian litar bagi jentera yang mengunakan ECU ini menunjukkan keputusan positif. Model-model motosikal yang boleh memanfaatkan Tuneboss Gen2 ECU ini termasuk Yamaha FZ150i, Legenda, Nmax V1, Y15ZR, YZF-R15 dan YZF-R25. Bagi model Honda pula termasuklah Honda Wave Fi, CBR250 dan RS150R, sementara Yamaha MT-15 dan Yamaha Y16ZR merupakan tambahan terbaru kepada senarai ini.

    “Fokus kami untuk versi Gen2 adalah untuk menjadikan teknologi ini lebih mampu milik dan boleh dimanfaatkan dengan lebih meluas, dan pada masa yang sama menawarkan ciri berkualiti tinggi kepada pelanggan yang mahukannya. Untuk mencapai ini, Gen2 ECU dijual pada harga permulaan yang lebih rendah dan ia boleh dinaiktaraf dalam tiga peringkat. Selepas selesai naiktaraf sepenuhnya, ia memiliki lebih banyak fungsi dan prestasi berbanding versi Gen1,” ujar CEO FSR Technology, Farhan Ali.

    FSR Technology sambut usia sedekad, lancarkan Tuneboss Gen2 ECU motosikal — harga dari RM299

    Ciri yang ada pada Gen2 ECU boleh ditalakan di mana-mana pengedar sah Tuneboss, dengan ECU asas dalam Peringkat Satu dijual pada harga RM299 (bagi Legenda dan Wave) berbanding generasi terdahulu ECU yang dijual pada harga RM499. “Peringkat 1 ini sudah cukup baik untuk kebanyakan penunggang yang mahukan lebih gesaan pada motosikal mereka. Sesuai untuk aktiviti di litar pada hujung minggu yang inginkan lebih prestasi untuk motosikal mereka,” jelas Farhan.

    Beralih ke Peringkat Dua akan melibatkan kos sebanyak RM200 dan membolehkan pengguna menikmati fungsi talaan penuh bagi penghidup dan minyak, kawalan Variable Valve Actuation (VVA), Throttle Acceleration Compensation dan banyak lagi. Baru untuk Gen2 ini ialah Peringkat Tiga, yang membolehkan talaan lebih maju dilakukan, termasuk untuk dua penyuntik, kawalan pam air elektrik dan larasan sudut suntikan minyak. Semua ini hanya melibatkan pertambahan kos RM250 berbanding Peringkat Satu dan Dua.

    Merupakan produk buatan Malaysia sepenuhnya — 100% direka, dijurutera dan dikilangkan di Malaysia — Tuneboss merupakan ECU pasaran massa yang pertama di dunia yang menawarkan sambungan Bluetooth, membolehkan programming tanpa wayar dilakukan. Tuneboss Gen2 ECU turut disepadukan dengan modul naiktaraf quickshifter dan launch control, ciri yang biasa ditemukan pada motosikal berkuasa lebih tinggi dan mahal. Modul prestasi lain juga ketika ini sedang dalam pembangunan.

     
     
  • Hyundai Casper diperkenalkan – enjin 1.0L turbo, NA

    Hyundai Casper diperkenalkan – enjin 1.0L turbo, NA

    Hyundai telah memperkenalkan SUV bersaiz kecil, Casper, dengan mendedahkan beberapa imej awalnya menjelang pelancarannya tahun ini. Model ini akan diposisikan di bawah SUV terkecil, Venue, dan tempahan awalnya bakal dibuka pada bulan ini untuk pelanggan di Korea.

    Menurut pengeluarnya, nama Hyundai Casper diambil dari salah satu teknik kick-flip dalam sukan papan luncur (skateboard), dengan mengetengahkan ayat “perubahan arah” menerusi laman web rasminya. SUV ini akan ditawarkan dengan dua enjin – 1.0 liter MPI naturally-aspirated petrol dan 1.0 liter T-GDI pengecas turbo petrol dengan kuasa 100 PS dan tork 172 Nm.

    Informasi rasmi akan didedahkan sepenuhnya menjelang pelancarannya tidak lama lagi, namun kalau ikut dengan dimensi Venue yang berukuran 4,036 mm panjang, 1,770 mm lebar, 1,565 mm tinggi dan jarak roda 2,520 mm, mungkin ia akan diposisikan di bawah model Kona dalam segmen-B.

    Menurut Hindustan Times, Casper juga akan memasuki pasaran India di mana pesaing dalam segmennya termasuklah Tata Punch, Renault Kwid dan Maruti Suzuki Ignis. Untuk India, ada ura-ura mengatakan Hyundai bakal menawarkan model Casper dengan enjin 1.2 liter empat-silinder naturally-aspirated petrol yang mampu memberikan kuasa hingga 87 PS dan 120 Nm seperti Hyundai i10 Nios.

    Malah ada juga perancangan untuk menghasilkan Casper dalam versi elektrik pada tahun 2023. Ia akan didatangkan dari modul pacuan bersepadu BorgWarner dengan kombinasi motor pacuan elektrik, kotak gear dan kuasa elektronik dalam unit modular.

     
     
  • TVS Apache 310RR dilancar di India – dibuat mengikut tempahan, dua pakej prestasi Dynamic dan Race

    TVS Apache 310RR dilancar di India – dibuat mengikut tempahan, dua pakej prestasi Dynamic dan Race

    TVS, di negara asal mereka, iaitu India telah memperkenalkan model baru Apache 310RR “Built To Order” yang ditawarkan dalam dua pakej prestasi iaitu Dynamic dan Race. Model ini menggunakan enjin satu silinder 312 cc sama seperti BMW G310R dan G310GS, menghasilkan kuasa 34 hp dan 27.3 Nm tork.

    Keistimewaan model ini adalah orang ramai boleh membuat tempahan dan memilih pakej yang dimahukan secara dalam talian. Selepas semuanya lengkap, barulah mereka boleh membuat bayaran dan tempahan akan disiapkan oleh wakil pengedar.

    Melalui pakej Dynamic, motosikal tersebut akan dipasang dengan fork USD KYB dengan 20 pelarasan serapan dan 15 mm pelarasan pra beban, monoshock KYB dengan pelarasan pra beban serta rantai yang disalut dengan tembaga.

    Sekiranya memilih pakej Race pula, pelanggan akan diberikan pemegang jenis clip on yang menjadikan kedudukan tunggangan lebih agresif serta peletak kaki lebih tinggi supaya tidak mudah terseret apabila mengambil selekoh.

    Dua pakej ini juga boleh digabungkan semasa pembeli membuat tempahan di dalam laman web, dan perkara lain yang boleh dipilih adalah grafik badan serta pelekat nombor seperti jentera lumba pada bahagian hadapan fairing motosikal.

    Kelengkapan standard lain pada 310RR adalah panel instrumen digital TFT yang boleh disambung kepada telefon pintar, lampu hadapan dan belakang LED projector, ABS two-channel, empat mod tunggangan, berat 174 kg dan tangki bahan api 11 liter.

     
     
  • KTM RC390 2022 diperkenal – hampir semua bahagian terima peningkatan, lebih ringan dan responsif

    KTM RC390 2022 diperkenal – hampir semua bahagian terima peningkatan, lebih ringan dan responsif

    Selepas beberapa tahun tidak diusik, KTM kini memperkenalkan model baru RC yang terdiri daripada RC390 dan RC125 2022. Untuk RC250, setakat ini masih tidak ada sebarang maklumat, tetapi kami menjangkakan ia akan menyusul tidak lama lagi.

    Memandangkan RC125 dihasilkan lebih untuk pasaran Eropah, kita akan melihat kepada RC390. Enjin model sports kelas permulaan ini masih lagi sama, iaitu unit satu silinder 373 cc DOHC, tetapi ia telah diberikan peningkatan untuk menepati tahap emisi Euro 5 serta mendapat kotak angi 40% lebih besar, pemetaan enjin yang ditala semula, lebih tork dan maklum balas yang lebih baik melalui pendikit ride-by-wire padanya.

    Turut dipasang adalah sistem ekzos baru yang menggabungkan manifold stainless steel serta peredam bunyi alumninium yang lebih ringan berbanding sebelum ini. Dari enjin, kuasa maksimum sehingga 43 hp dan 37 Nm disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis slipper. Quickshifter untuk penukaran gear lebih pantas dijual secara berasingan.

    Pada bahagian elektronik, modul ABS Bosch 9.1 MP baru dipasang pada RC390, untuk memberikan bukan sahaja ABS two-channel, tetapi juga Cornering ABS dan mod Supermoto. Apabila mod Supermoto diaktifkan, ABS belakang dan Cornering ABS ditutup.

    Panel instrumen RC390 kini mengikuti Duke 390, dengan menggunakan skrin TFT-LCD berwarna penuh, dan boleh disambungkan kepada telefon pengguna untuk menerima/menjawab panggilan serta memainkan lagu. Semua lampu pada model ini menggunakan unit LED sementara lampu hadapan dilengkapi DRL.

    Panel badan RC390 mendapat banyak inspirasi daripada jentera GP16 yang digunakan dalam perlumbaan MotoGP, dengan ciri aerodinamik serta pengurusan angin untuk membantu sistem penyejukan diambil penting waktu pembangunan.

    KTM RC390 2022 diperkenal – hampir semua bahagian terima peningkatan, lebih ringan dan responsif

    Ciri ergonomik motosikal ini turut dirujuk semula, dengan kini ia menggunakan pemegang yang boleh dilaras sebanyak 10 mm, geometri peletak kaki yang lebih baik untuk membelasah selekoh dan lebih ringan, serta tempat duduk yang lebih selesa dan dibalut dengan bahan yang lebih mencengkam.

    Pada bahagian suspensi, RC390 mendapat fork WP Apex 43 mm dengan pelarasan mampatan serta lantunan sementara di belakang menggunakan monoshock WP Apex dengan pelarasan lantunan dan pra beban. Brek menggunakan cakera 320 mm tunggal dengan angkup Bybre empat piston di hadapan dan cakera 230 mm dengan angkup satu piston di belakang.

    Rim RC390 kini dapat memberikan berat putaran 3.4 kg lebih ringan, dan ia dibalut dengan tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang. Secara keseluruhannya, RC390 mencatat berat 158 kg dan ia didatangkan dengan tangki minyak 13.7 liter.

     
     
  • Geely Emgrand 2021 dilancarkan di China – platform BMA seperti Proton X50, harga bermula RM56,800

    Geely Emgrand 2021 dilancarkan di China – platform BMA seperti Proton X50, harga bermula RM56,800

    Selepas didedahkan kepada awam ketika berlangsungnya Chengdu Auto Show, Geely secara rasmi melancarkan sedan segmen-B Emgrand 2021 di pasaran China. Model generasi keempat ini dihasilkan menggunakan platform BMA, iaitu platform yang sama seperti SUV segmen-B Geely Binyue/Proton X50.

    Platform berkenaan sepatutnya memberikan fleksibiliti rekaan, ruang dalaman, keselesaan dan karekter pengendalian lebih baik kepada Emgrand baharu ini. Ia menampilkan dimensi 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm.

    Walaupun dikelaskan sebagai sedan segmen-B, dimensi Emgrand ini sebenarnya adalah menghampiri saiz sebuah sedan segmen-C. Sebagai contoh, Emgrand hanya 10 mm lebih pendek berbanding Honda Civic FC serta 21 mm lebih lebar dari sedan Jepun berkenaan. Malah jika dibandingkan dengan pesaing terusnya iaitu Honda City generasi kelima, Emgrand adalah 85 mm lebih panjang dan 72 mm lebih lebar.

    Platform BMA ini juga membolahkan jarak trek roda hadapan dan belakang direka lebih lebar bagi mendapatkan cengkaman tayar, kestabilan dan pengendalian lebih baik, dakwa Geely.

    Geely Emgrand 2021 dilancarkan di China – platform BMA seperti Proton X50, harga bermula RM56,800

    Casis kereta ini mendapat sentuhan talaan jurutera Geely di China dan Eropah bagi mendapat prestasi NVH pada tahap premium. Geely menyatakan bahawa bunyi yang dihasilkan di dalam kabin ketika kelajuan pepura enjin hanya pada tahap 37 desibel, manakala kadar geseran udara yang rendah pada tahap 0.27 juga menghasilkan bunyi yang senyap ketika kereta ini bergerak.

    Emgrand generasi baharu ini dijana oleh enjin terbaharu Geely Auto iaitu unit 1.5 liter empat silinder dengan teknologi DVVT. Ia adalah enjin tanpa sebarang induksi paksaan, menghasilkan 114 PS dan tork maksima 147 Nm. Bagi menghantar kuasa ke roda hadapan, ia ditawarkan dengan kotak gear lima kelajuan manual atau transmisi CVT automatik bersama lapan kelajuan maya.

    Model ini menampilkan rekaan sebuah sedan konvensional dengan lampu hadapan projektor bersama tiga lampu nyalaan siang LED, direka seakan bersambung dengan garis bahu membawa ke lampu belakang yang diberikan grafik berbentuk-N serta direka merentangi sepenuhnya penutup but. Selepas ini, Emgrand turut akan ditawarkan dalam versi Emgrand X yang menampilkan rekaan “Energy Storm” lebih garang.

    Geely Emgrand 2021 dilancarkan di China – platform BMA seperti Proton X50, harga bermula RM56,800

    Pada bahagian kabin, model ini menerima papan pemuka yang direka minimalis serta menampilkan paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 12.3-inci, dan juga skrin 10.25-inci untuk sistem infotainmen berdiri sendiri di bahagian tengah, berfungsi dengan GKUI Smart Ecosystem terkini menampilkan kemaskini OTA serta bantuan arahan suara AI.

    Ia juga diberikan liang penghawa dingin yang merentangi sepenuhnya papan pemuka berkenaan bersama penapis udara kabin standard CN95 disebaliknya, serta menerima roda stereng lebih moden rekaan tiga jejari dan rata di bawah. Dengan platform BMA ini juga Geely mendakwa bahawa ia memberikan ruang belakang dan but paling luas dalam kelasnya, serta memberikan penglihatan lebih baik dan mengurangkan titik buta pada pemandu menerusi rekaan tiang-A yang ditambahbaik

    Bagi keselamatan pula, model varian lebih tinggi akan diberikan sistem kamera sekeliling 540-darjah, kamera perakam berdefinasi tinggi, dan juga penutup but bukaan tanpa sentuh. Ia juga dilengkapkan dengan sistem kestabilan elektronik Bosch ESP 9.3 terkini yang membolehkan ia mencatatkan jarak terbaik dalam kelasnya untuk membrek 100km/j hingga 0 km/j, iaitu tidak sampai 36 meter.

    Geely Emgrand 2021 dilancarkan di China – platform BMA seperti Proton X50, harga bermula RM56,800

    Geely Emgrand 2021 ini dijual pada harga bermula 87,000 yuan (RM56,800) untuk model asas Premium, manakala model varian tertinggi Flagship pula dijual pada harga 92,000 yuan (RM60,000). Model ini akan diproduksi di kilang tercanggih Geely di Changxin, menampilkan stesen stamping dan kimpalan menggunakan robot sepenuhnya, serta proses mengecat tanpa sisa yang mesra alam.

    Jika diikut hieraki model, Emgrand ini dilihat sangat sesuai untuk menggantikan sedan segmen-B Proton Persona yang kini sudah berada sekitar lima-tahun dalam pasaran – jadi, adakah Emgrand ini akan di rebadge terus kepada Persona seperti yang dibuat pada X50 dan X70?

    Sebelum ini, Proton disahkan telah diberikan kebebasan untuk membangunkan model-model tempatan menggunakan platform BMA yang sama. Malah menerusi temuramah kami bersama ketua pereka Proton, Azlan Othman sebelum ini, bayangan yang diberi adalah Persona generasi baharu nanti mungkin hanya berkongsi komponen mekanikal yang sama dengan Emgrand tetapi diberikan rekaan badan yang lebih tersendiri dari Proton.

    Anda pula bagaimana? Suka dengan rekaan Emgrand ini atau berharap Proton akan menghasilkan rekaan yang lebih sesuai dengan selera orang Malaysia?

     
     
  • GALERI: Proton Persona 2022 1.6L Premium CVT

    GALERI: Proton Persona 2022 1.6L Premium CVT

    Awal Ogos lalu, Proton telah memperkenalkan secara rasmi model facelift bagi Proton Persona 2022. Tapi, disebabkan PKP yang masih berjalan ketika itu, acara hanya dilakukan secara dalam talian, dan gambar produk sebenar juga tidak dapat diambil. Kini, dengan bilik pameran yang sudah boleh dibuka, maka kami dapat kami bawakan gambar yang lebih terperinci model berkenaan untuk tatapan anda.

    Bagi model ini, terdapat tiga varian ditawarkan, terdiri daripada Persona 1.6L Standard (RM45,200), Persona Executive (RM50,100) dan juga Persona Premium (RM54,900). Semua ini merupakan harga atas jalan dengan pengecualian SST, tidak termasuk insurans. Dan, varian yang sedang anda lihat dalam galeri ini ialah Proton Persona 1.6L Premium CVT yang merupakan penawaran paling tinggi.

    Dari aspek luaran, ada beberapa perubahan yang dapat dilihat pada Persona 2022 ini. Pertama sekali wajah depannya. Ia kini menggunakan rekaan gril yang direka semula, dan lengkapi dengan logo baru Proton. Begitu juga, penggunaan lampu lampu LED untuk lampu utama. Di Bahagian belakang pula, perumah lampunya kelihatan sedikit gelap, memberikan imej yang lebih menarik bagi sedan ini. Rekaan rim 16-inci baru juga menyuntik naluri sporty bagi Persona varian Executive ke atas, dengan tayar bersaiz 185/55.

    GALERI: Proton Persona 2022 1.6L Premium CVT

    Ruang dalam paling banyak menyaksikan penambahbaikan. Pada bahagian papan pemukanya, dapat dilihat sebuah paparan skrin infotainmen terapung dengan saiz yang jelas menghiasi kawasan berkenaan. Selain tampil dengan rekaan antaramuka tersendiri, ia juga kini dilengkapi dengan sistem arahan suara “Hi Proton” — yang kini bukan sahaja boleh mengawal operasi tingkap, malahan untuk mengendalikan sistem pendingin hawa sekaligus. Ini satu peningkatan ciri yang sangat menarik untuk model dalam segmen B ketika ini.

    Sistem keterhubungan pula menampilkan peningkatan yang agak menarik pada Persona terbaru ini. Selain “Hi Proton” yang boleh mengendalikan tingkap sebelah pemandu, sistem pendingin hawa, sistem tunjuk arah, penstriman muzik dalam talian dan banyak lagi, ia juga menyediakan sambungan 4G dan WiFi dalam kenderaan. Enjin masih menggunakan unit 1.6 liter VVT empat-silinder, dengan janaan kuasa 107 hp pada 5,750 rpm dan tork 150 Nm pada 4,000 rpm. Begitu juga dengan Punch CVT. Untuk transmisi, Proton mendakwa telah melakukan penambahbaikan dalaman dan karekter pemanduan bagi unit berkenaan.

    Proton Persona 2022 1.6L Premium CVT

     
     
  • BMW iX – 64 unit tempahan SUV elektrik di Malaysia dalam kurang seminggu, tawaran early bird dilanjutkan

    BMW iX – 64 unit tempahan SUV elektrik di Malaysia dalam kurang seminggu, tawaran <em>early bird</em> dilanjutkan

    BMW Malaysia telah mengumumkan menerima 64 unit pra-tempahan bagi SUV elektrik BMW iX baharu dalam masa lima hari ia dibuka menerusi platform dalam talian BMW Malaysia, BMW Shop Online.

    Pelanggan yang membuat pra-tempahan untuk BMW iX xDrive40 dengan yuran sebanyak RM5,000 menerusi laman web akan menikmati promosi pra-tempahan yang termasuk dengan pemasangan stesen pengecasan percuma (cuma kena beli pengecas) serta akses pengecas awam ChargEV percuma selama setahun. Pada awalnya, promosi ini terhad untuk 50 tempahan pertama sahaja, tetapi kini telah ditawarkan ke 100 pelanggan pertama.

    BMW iX xDrive40 adalah SUV elektrik tulen yang menampilkan dua motor elektrik, dengan diletakkan pada setiap satu gandar yang menyalurkan pacuan semua-roda. Ia memberikan kuasa hingga 326 PS (322 hp atau 240 kW) dan tork 630 Nm, yang membolehkannya dipecut dari titik sifar ke 100 km/j dalam 6.1 saat dan kelajuan maksimum mencecah 200 km/j.

    Klik untuk besarkan

    Ia bukanlah plug-in hybrid, jadi tiada pilihan untuk memacunya dengan petrol sekiranya kuasa elektriknya habis – anda hanya ada bateri lithium-ion dengan kuasa 71 kWh, yang boleh memacu SUV ini sehingga jarak 425 km mengikut standard WLTP.

    Baterinya boleh menggunakan pengecasan AC sehingga 11 kW menerusi sambungan Type 2, dengan pengecasan penuh mengambil masa sekitar tujuh jam dan 15 minit. Malah ia turut menyokong penggunaan pengecasan pantas DC sehingga 150 kW menerusi sambungan CC52, yang membolehkan SUV tersebut dicas antara 10-80% dalam 31 minit.

    Bagi kelengkapannya, xDrive40 didatangkan dengan ciri standard termasuk lampu utama LED dengan bantuan lampu tinggi, roda aerodinamik 21-inci serta bingkai dekoratif moulding dan penutup tingkap dengan rona hitam berkilat. Untuk dalaman pula, ia diberikan sistem Live Cockpit Professional dengan paparan kluster instrumen digital 12.3-inci dan juga paparan skrin sesentuh sentral 14.9-inci – yang kedua-duanya dikuasakan oleh BMW Operating System 8 baharu.

     
     
  • Cukai jalan kenderaan persendirian boleh diperbaharui di Puspakom di Semenanjung M’sia mulai hari ini-JPJ

    Cukai jalan kenderaan persendirian boleh diperbaharui di Puspakom di Semenanjung M’sia mulai hari ini-JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan mulai hari ini, 1 September 2021, orang ramai boleh memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan yang melibatkan kenderaan persendirian di Pusat Pemeriksaan Puspakom. Sebelum ini, urusniaga pembaharuan LKM di Puspakom hanya melibatkan kenderaan decontrolled (kenderaan barangan dengan berat 7,500 kg ke bawah) sahaja.

    Menurut JPJ, inisiatif urusniaga pembaharuan LKM bagi kenderaan persendirian di Puspakom ini akan dilaksanakan secara berperingkat di semua 39 pusat pemeriksaan cawangannya di seluruh Semenanjung Malaysia. Di mana, fasa awal pelaksanaan pembaharuan LKM, hanya akan melibatkan kenderaan persendirian, sama ada dimiliki oleh individu mahupun oleh syarikat. Seterusnya, inisiatif ini akan diperluaskan kepada urusniaga pembaharuan LKM motosikal dan kenderaan e-hailing, yang dijangka mula dilaksanakan pada bulan November 2021.

    “Orang ramai yang ingin melaksanakan urusniaga pembaharuan LKM di Puspakom bolehlah membuat temujanji secara dalam talian (online) di laman portal https://lkm-appointment.puspakom.com.my. Urusniaga secara walk-in pada masa ini adalah tidak dibenarkan. Ini adalah untuk mengekang daripada berlakunya penularan wabak Covid-19. Mod pembayaran yang diterima di kaunter Puspakom pada masa ini adalah secara tunai,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh JPJ.

    Cukai jalan kenderaan persendirian boleh diperbaharui di Puspakom di Semenanjung M’sia mulai hari ini-JPJ

    JPJ turut berkata, pihaknya dan Puspakom sentiasa komited ke arah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada orang ramai serta memastikan ia dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur, selaras dengan objektif yang digariskan.

    “Diharapkan, melalui inisiatif pembaharuan LKM di Pusat Pemeriksaan Puspakom ini akan dapat memenuhi permintaan dan jangkaan pelanggan yang memerlukan perkhidmatan yang lebih efisien, cepat dan cekap serta menyediakan kemudahan alternatif selain daripada saluran perkhidmatan sedia ada (kaunter/kiosk JPJ, Pos Malaysia, MyEG dan Portal mySIKAP JPJ),” tambah JPJ lagi.

    Sebelum ini, JPJ turut mengingatkan orang ramai agar segera memperbaharui LKM dan lesen memandu yang telah tamat tempoh kerana ia tidak akan dilanjutkan lagi selepas 30 September 2021. Di mana, mulai 1 Oktober 2021, JPJ dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan membuat pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan.

     
     
  • Proton Iriz & Persona 2022: 12% lebih jimat bahan api dalam mod Normal, tambahan 10% dalam mod Eco

    Proton Iriz & Persona 2022: 12% lebih jimat bahan api dalam mod Normal, tambahan 10% dalam mod Eco

    Proton Iriz dan Persona facelift 2022 yang dilancarkan bulan lalu masih dijana unit rangkaian kuasa yang sama seperti versi sebelumnya. Namun dalam satu sesi temu ramah bersama eksekutif program kenderaan Proton, Adzrai Aziz Ibrahim, beliau mendedahkan bahawa perisian dan juga talaan baharu yang dibuat pada kembar hatchback dan sedan segmen-B ini membolehkan ia mencapai kadar penggunaan bahan api yang lebih efisien.

    Walaupun ia masih menggunakan kotak gear CVT Punch yang sama, Adzrai menjelaskan bahawa model facelift 2021 ini telah diberikan perisian baharu menampilkan fungsi SAT dan juga Neutral Idle Control (NIC). Bagi fungsi SAT, ia akan diberikan secara automatik berdasarkan situasi ketika gear dalam posisi ‘S’ atau ‘D’, di mana ia akan memberikan tukaran gear yang ‘terasa’ seakan transmisi automatik konvensional. Manakala NIC pula akan memutuskan klac apabila kereta berhenti sepenuhnya bagi mengurangkan beban, sekaligus menjimat lebih bahan api.

    Malah, Iriz dan Persona 2022 ini juga kini sudah diberikan mod Eco sebenar yang boleh diaktifkan oleh pemandu dengan menekan butang, dan ia tidak sama dengan lampu Eco pada model sebelumnya yang berfungsi sekadar memberitahu pemandu bahawa mereka sedang memandu dengan efisien.

    Proton Iriz & Persona 2022: 12% lebih jimat bahan api dalam mod Normal, tambahan 10% dalam mod Eco

    Selepas pemandu memilih untuk menggunakan mod Eco tersebut dengan menekan butang yang berada di hadapan tuil penukar gear, kotak gear akan memutuskan klac sekiranya pemandu melepaskan pedal pendikit pada kelajuan di bawah 70 km/j, membolehkan kereta berkenaan meluncur tanpa memberikan beban pada enjin yang hanya perlu hidup pada kelajuan pepura.

    Dengan penambahbaikkan ini, Proton Persona kini mencapai penggunaan bahan api pada kadar 6.6 liter setiap 100 km (15.2 km/l), manakala Iriz pula mencatatkan bacaan 6.7 liter setiap 100 km (14.9 km/l). Model psedo-SUV Iriz Active yang lebih tinggi dan lebih berat pula memberikan bacaan bahan api 7.0 liter setiap 100 km (14.3 km/l). Kesemua bacaan ini adalah diuji dengan kitaran NEDC.

    Sebagai perbandingan, Iriz dan Persona 2019 memberikan bacaan bahan api 7.5 liter setiap 100 km (13.3 km/l) dalam kitaran ujian yang sama, atau sekitar 11% dan 12% lebih rendah. Malah Iriz Active juga masih 7% lebih jimat bahan api berbanding Iriz biasa sebelum ini.

    Proton Iriz & Persona 2022: 12% lebih jimat bahan api dalam mod Normal, tambahan 10% dalam mod Eco

    Menurut Adzrai, ujian NEDC yang dibuat tersebut hanya menggunakan mod Normal, tanpa mengkatifkan mod Eco. Beliau menjangkakan 1% penjimatan akan dapat dicapai sekiranya mod Eco tersebut digunakan. Adzrai menyatakan bahawa Proton turut telah menjalankan ujian mereka sendiri dalam pemanduan dunia sebenar, dan penambaikkan ini memberikan penjimatan bahan api sekitar 7% hingga 10% berbanding model sebelumnya jika menggunakan mod Eco.

    Walau bagaimanapun, bacaan bahan api yang dicatatkan ini masih belum melayakkan Iriz dan Persona untuk menerima pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dari kerajaan. Malah gandingan enjin 1.6L VVT bersama kotak gear CVT Punch pada Iriz masih belum sebaik penggunaan bahan api Perodua Myvi yang dijana oleh enjin 1.5L Dual VVT-i dan kotak gear 4AT yang mencatatkan 20.1 km setiap liter (5.0 l/km).

    Proton Iriz dan dan Persona facelift 2022 ini turut menerima perubahan luaran dan dalaman, termasuk diberikan sistem arahan suara “Hi, Proton” yang bukan sahaja untuk sistem infotainmen, malah boleh mengoperasikan sistem pendingin hawa serta tingkap cermin pemandu. Secara keseluruhan 200 komponen baharu telah diberikan pada model kemaskini berkenaan, termasuk enam peningkatan prestasi. Kami akan kupas perkara-perkara berkenaan dalam artikel-artikel selepas ini.

    GALERI: Proton Iriz 1.6 Active 2022

    GALERI: Proton Iriz 1.6 Executive 2022

    Proton Persona 1.6L Premium 2022

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025