Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Geely Emgrand 2021 dilancarkan di China – platform BMA seperti Proton X50, harga bermula RM56,800

    Geely Emgrand 2021 dilancarkan di China – platform BMA seperti Proton X50, harga bermula RM56,800

    Selepas didedahkan kepada awam ketika berlangsungnya Chengdu Auto Show, Geely secara rasmi melancarkan sedan segmen-B Emgrand 2021 di pasaran China. Model generasi keempat ini dihasilkan menggunakan platform BMA, iaitu platform yang sama seperti SUV segmen-B Geely Binyue/Proton X50.

    Platform berkenaan sepatutnya memberikan fleksibiliti rekaan, ruang dalaman, keselesaan dan karekter pengendalian lebih baik kepada Emgrand baharu ini. Ia menampilkan dimensi 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm.

    Walaupun dikelaskan sebagai sedan segmen-B, dimensi Emgrand ini sebenarnya adalah menghampiri saiz sebuah sedan segmen-C. Sebagai contoh, Emgrand hanya 10 mm lebih pendek berbanding Honda Civic FC serta 21 mm lebih lebar dari sedan Jepun berkenaan. Malah jika dibandingkan dengan pesaing terusnya iaitu Honda City generasi kelima, Emgrand adalah 85 mm lebih panjang dan 72 mm lebih lebar.

    Platform BMA ini juga membolahkan jarak trek roda hadapan dan belakang direka lebih lebar bagi mendapatkan cengkaman tayar, kestabilan dan pengendalian lebih baik, dakwa Geely.

    Geely Emgrand 2021 dilancarkan di China – platform BMA seperti Proton X50, harga bermula RM56,800

    Casis kereta ini mendapat sentuhan talaan jurutera Geely di China dan Eropah bagi mendapat prestasi NVH pada tahap premium. Geely menyatakan bahawa bunyi yang dihasilkan di dalam kabin ketika kelajuan pepura enjin hanya pada tahap 37 desibel, manakala kadar geseran udara yang rendah pada tahap 0.27 juga menghasilkan bunyi yang senyap ketika kereta ini bergerak.

    Emgrand generasi baharu ini dijana oleh enjin terbaharu Geely Auto iaitu unit 1.5 liter empat silinder dengan teknologi DVVT. Ia adalah enjin tanpa sebarang induksi paksaan, menghasilkan 114 PS dan tork maksima 147 Nm. Bagi menghantar kuasa ke roda hadapan, ia ditawarkan dengan kotak gear lima kelajuan manual atau transmisi CVT automatik bersama lapan kelajuan maya.

    Model ini menampilkan rekaan sebuah sedan konvensional dengan lampu hadapan projektor bersama tiga lampu nyalaan siang LED, direka seakan bersambung dengan garis bahu membawa ke lampu belakang yang diberikan grafik berbentuk-N serta direka merentangi sepenuhnya penutup but. Selepas ini, Emgrand turut akan ditawarkan dalam versi Emgrand X yang menampilkan rekaan “Energy Storm” lebih garang.

    Geely Emgrand 2021 dilancarkan di China – platform BMA seperti Proton X50, harga bermula RM56,800

    Pada bahagian kabin, model ini menerima papan pemuka yang direka minimalis serta menampilkan paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 12.3-inci, dan juga skrin 10.25-inci untuk sistem infotainmen berdiri sendiri di bahagian tengah, berfungsi dengan GKUI Smart Ecosystem terkini menampilkan kemaskini OTA serta bantuan arahan suara AI.

    Ia juga diberikan liang penghawa dingin yang merentangi sepenuhnya papan pemuka berkenaan bersama penapis udara kabin standard CN95 disebaliknya, serta menerima roda stereng lebih moden rekaan tiga jejari dan rata di bawah. Dengan platform BMA ini juga Geely mendakwa bahawa ia memberikan ruang belakang dan but paling luas dalam kelasnya, serta memberikan penglihatan lebih baik dan mengurangkan titik buta pada pemandu menerusi rekaan tiang-A yang ditambahbaik

    Bagi keselamatan pula, model varian lebih tinggi akan diberikan sistem kamera sekeliling 540-darjah, kamera perakam berdefinasi tinggi, dan juga penutup but bukaan tanpa sentuh. Ia juga dilengkapkan dengan sistem kestabilan elektronik Bosch ESP 9.3 terkini yang membolehkan ia mencatatkan jarak terbaik dalam kelasnya untuk membrek 100km/j hingga 0 km/j, iaitu tidak sampai 36 meter.

    Geely Emgrand 2021 dilancarkan di China – platform BMA seperti Proton X50, harga bermula RM56,800

    Geely Emgrand 2021 ini dijual pada harga bermula 87,000 yuan (RM56,800) untuk model asas Premium, manakala model varian tertinggi Flagship pula dijual pada harga 92,000 yuan (RM60,000). Model ini akan diproduksi di kilang tercanggih Geely di Changxin, menampilkan stesen stamping dan kimpalan menggunakan robot sepenuhnya, serta proses mengecat tanpa sisa yang mesra alam.

    Jika diikut hieraki model, Emgrand ini dilihat sangat sesuai untuk menggantikan sedan segmen-B Proton Persona yang kini sudah berada sekitar lima-tahun dalam pasaran – jadi, adakah Emgrand ini akan di rebadge terus kepada Persona seperti yang dibuat pada X50 dan X70?

    Sebelum ini, Proton disahkan telah diberikan kebebasan untuk membangunkan model-model tempatan menggunakan platform BMA yang sama. Malah menerusi temuramah kami bersama ketua pereka Proton, Azlan Othman sebelum ini, bayangan yang diberi adalah Persona generasi baharu nanti mungkin hanya berkongsi komponen mekanikal yang sama dengan Emgrand tetapi diberikan rekaan badan yang lebih tersendiri dari Proton.

    Anda pula bagaimana? Suka dengan rekaan Emgrand ini atau berharap Proton akan menghasilkan rekaan yang lebih sesuai dengan selera orang Malaysia?

     
     
  • GALERI: Proton Persona 2022 1.6L Premium CVT

    GALERI: Proton Persona 2022 1.6L Premium CVT

    Awal Ogos lalu, Proton telah memperkenalkan secara rasmi model facelift bagi Proton Persona 2022. Tapi, disebabkan PKP yang masih berjalan ketika itu, acara hanya dilakukan secara dalam talian, dan gambar produk sebenar juga tidak dapat diambil. Kini, dengan bilik pameran yang sudah boleh dibuka, maka kami dapat kami bawakan gambar yang lebih terperinci model berkenaan untuk tatapan anda.

    Bagi model ini, terdapat tiga varian ditawarkan, terdiri daripada Persona 1.6L Standard (RM45,200), Persona Executive (RM50,100) dan juga Persona Premium (RM54,900). Semua ini merupakan harga atas jalan dengan pengecualian SST, tidak termasuk insurans. Dan, varian yang sedang anda lihat dalam galeri ini ialah Proton Persona 1.6L Premium CVT yang merupakan penawaran paling tinggi.

    Dari aspek luaran, ada beberapa perubahan yang dapat dilihat pada Persona 2022 ini. Pertama sekali wajah depannya. Ia kini menggunakan rekaan gril yang direka semula, dan lengkapi dengan logo baru Proton. Begitu juga, penggunaan lampu lampu LED untuk lampu utama. Di Bahagian belakang pula, perumah lampunya kelihatan sedikit gelap, memberikan imej yang lebih menarik bagi sedan ini. Rekaan rim 16-inci baru juga menyuntik naluri sporty bagi Persona varian Executive ke atas, dengan tayar bersaiz 185/55.

    GALERI: Proton Persona 2022 1.6L Premium CVT

    Ruang dalam paling banyak menyaksikan penambahbaikan. Pada bahagian papan pemukanya, dapat dilihat sebuah paparan skrin infotainmen terapung dengan saiz yang jelas menghiasi kawasan berkenaan. Selain tampil dengan rekaan antaramuka tersendiri, ia juga kini dilengkapi dengan sistem arahan suara “Hi Proton” — yang kini bukan sahaja boleh mengawal operasi tingkap, malahan untuk mengendalikan sistem pendingin hawa sekaligus. Ini satu peningkatan ciri yang sangat menarik untuk model dalam segmen B ketika ini.

    Sistem keterhubungan pula menampilkan peningkatan yang agak menarik pada Persona terbaru ini. Selain “Hi Proton” yang boleh mengendalikan tingkap sebelah pemandu, sistem pendingin hawa, sistem tunjuk arah, penstriman muzik dalam talian dan banyak lagi, ia juga menyediakan sambungan 4G dan WiFi dalam kenderaan. Enjin masih menggunakan unit 1.6 liter VVT empat-silinder, dengan janaan kuasa 107 hp pada 5,750 rpm dan tork 150 Nm pada 4,000 rpm. Begitu juga dengan Punch CVT. Untuk transmisi, Proton mendakwa telah melakukan penambahbaikan dalaman dan karekter pemanduan bagi unit berkenaan.

    Proton Persona 2022 1.6L Premium CVT

     
     
  • BMW iX – 64 unit tempahan SUV elektrik di Malaysia dalam kurang seminggu, tawaran early bird dilanjutkan

    BMW iX – 64 unit tempahan SUV elektrik di Malaysia dalam kurang seminggu, tawaran <em>early bird</em> dilanjutkan

    BMW Malaysia telah mengumumkan menerima 64 unit pra-tempahan bagi SUV elektrik BMW iX baharu dalam masa lima hari ia dibuka menerusi platform dalam talian BMW Malaysia, BMW Shop Online.

    Pelanggan yang membuat pra-tempahan untuk BMW iX xDrive40 dengan yuran sebanyak RM5,000 menerusi laman web akan menikmati promosi pra-tempahan yang termasuk dengan pemasangan stesen pengecasan percuma (cuma kena beli pengecas) serta akses pengecas awam ChargEV percuma selama setahun. Pada awalnya, promosi ini terhad untuk 50 tempahan pertama sahaja, tetapi kini telah ditawarkan ke 100 pelanggan pertama.

    BMW iX xDrive40 adalah SUV elektrik tulen yang menampilkan dua motor elektrik, dengan diletakkan pada setiap satu gandar yang menyalurkan pacuan semua-roda. Ia memberikan kuasa hingga 326 PS (322 hp atau 240 kW) dan tork 630 Nm, yang membolehkannya dipecut dari titik sifar ke 100 km/j dalam 6.1 saat dan kelajuan maksimum mencecah 200 km/j.

    Klik untuk besarkan

    Ia bukanlah plug-in hybrid, jadi tiada pilihan untuk memacunya dengan petrol sekiranya kuasa elektriknya habis – anda hanya ada bateri lithium-ion dengan kuasa 71 kWh, yang boleh memacu SUV ini sehingga jarak 425 km mengikut standard WLTP.

    Baterinya boleh menggunakan pengecasan AC sehingga 11 kW menerusi sambungan Type 2, dengan pengecasan penuh mengambil masa sekitar tujuh jam dan 15 minit. Malah ia turut menyokong penggunaan pengecasan pantas DC sehingga 150 kW menerusi sambungan CC52, yang membolehkan SUV tersebut dicas antara 10-80% dalam 31 minit.

    Bagi kelengkapannya, xDrive40 didatangkan dengan ciri standard termasuk lampu utama LED dengan bantuan lampu tinggi, roda aerodinamik 21-inci serta bingkai dekoratif moulding dan penutup tingkap dengan rona hitam berkilat. Untuk dalaman pula, ia diberikan sistem Live Cockpit Professional dengan paparan kluster instrumen digital 12.3-inci dan juga paparan skrin sesentuh sentral 14.9-inci – yang kedua-duanya dikuasakan oleh BMW Operating System 8 baharu.

     
     
  • Cukai jalan kenderaan persendirian boleh diperbaharui di Puspakom di Semenanjung M’sia mulai hari ini-JPJ

    Cukai jalan kenderaan persendirian boleh diperbaharui di Puspakom di Semenanjung M’sia mulai hari ini-JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan mulai hari ini, 1 September 2021, orang ramai boleh memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan yang melibatkan kenderaan persendirian di Pusat Pemeriksaan Puspakom. Sebelum ini, urusniaga pembaharuan LKM di Puspakom hanya melibatkan kenderaan decontrolled (kenderaan barangan dengan berat 7,500 kg ke bawah) sahaja.

    Menurut JPJ, inisiatif urusniaga pembaharuan LKM bagi kenderaan persendirian di Puspakom ini akan dilaksanakan secara berperingkat di semua 39 pusat pemeriksaan cawangannya di seluruh Semenanjung Malaysia. Di mana, fasa awal pelaksanaan pembaharuan LKM, hanya akan melibatkan kenderaan persendirian, sama ada dimiliki oleh individu mahupun oleh syarikat. Seterusnya, inisiatif ini akan diperluaskan kepada urusniaga pembaharuan LKM motosikal dan kenderaan e-hailing, yang dijangka mula dilaksanakan pada bulan November 2021.

    “Orang ramai yang ingin melaksanakan urusniaga pembaharuan LKM di Puspakom bolehlah membuat temujanji secara dalam talian (online) di laman portal https://lkm-appointment.puspakom.com.my. Urusniaga secara walk-in pada masa ini adalah tidak dibenarkan. Ini adalah untuk mengekang daripada berlakunya penularan wabak Covid-19. Mod pembayaran yang diterima di kaunter Puspakom pada masa ini adalah secara tunai,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh JPJ.

    Cukai jalan kenderaan persendirian boleh diperbaharui di Puspakom di Semenanjung M’sia mulai hari ini-JPJ

    JPJ turut berkata, pihaknya dan Puspakom sentiasa komited ke arah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada orang ramai serta memastikan ia dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur, selaras dengan objektif yang digariskan.

    “Diharapkan, melalui inisiatif pembaharuan LKM di Pusat Pemeriksaan Puspakom ini akan dapat memenuhi permintaan dan jangkaan pelanggan yang memerlukan perkhidmatan yang lebih efisien, cepat dan cekap serta menyediakan kemudahan alternatif selain daripada saluran perkhidmatan sedia ada (kaunter/kiosk JPJ, Pos Malaysia, MyEG dan Portal mySIKAP JPJ),” tambah JPJ lagi.

    Sebelum ini, JPJ turut mengingatkan orang ramai agar segera memperbaharui LKM dan lesen memandu yang telah tamat tempoh kerana ia tidak akan dilanjutkan lagi selepas 30 September 2021. Di mana, mulai 1 Oktober 2021, JPJ dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan membuat pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan.

     
     
  • Proton Iriz & Persona 2022: 12% lebih jimat bahan api dalam mod Normal, tambahan 10% dalam mod Eco

    Proton Iriz & Persona 2022: 12% lebih jimat bahan api dalam mod Normal, tambahan 10% dalam mod Eco

    Proton Iriz dan Persona facelift 2022 yang dilancarkan bulan lalu masih dijana unit rangkaian kuasa yang sama seperti versi sebelumnya. Namun dalam satu sesi temu ramah bersama eksekutif program kenderaan Proton, Adzrai Aziz Ibrahim, beliau mendedahkan bahawa perisian dan juga talaan baharu yang dibuat pada kembar hatchback dan sedan segmen-B ini membolehkan ia mencapai kadar penggunaan bahan api yang lebih efisien.

    Walaupun ia masih menggunakan kotak gear CVT Punch yang sama, Adzrai menjelaskan bahawa model facelift 2021 ini telah diberikan perisian baharu menampilkan fungsi SAT dan juga Neutral Idle Control (NIC). Bagi fungsi SAT, ia akan diberikan secara automatik berdasarkan situasi ketika gear dalam posisi ‘S’ atau ‘D’, di mana ia akan memberikan tukaran gear yang ‘terasa’ seakan transmisi automatik konvensional. Manakala NIC pula akan memutuskan klac apabila kereta berhenti sepenuhnya bagi mengurangkan beban, sekaligus menjimat lebih bahan api.

    Malah, Iriz dan Persona 2022 ini juga kini sudah diberikan mod Eco sebenar yang boleh diaktifkan oleh pemandu dengan menekan butang, dan ia tidak sama dengan lampu Eco pada model sebelumnya yang berfungsi sekadar memberitahu pemandu bahawa mereka sedang memandu dengan efisien.

    Proton Iriz & Persona 2022: 12% lebih jimat bahan api dalam mod Normal, tambahan 10% dalam mod Eco

    Selepas pemandu memilih untuk menggunakan mod Eco tersebut dengan menekan butang yang berada di hadapan tuil penukar gear, kotak gear akan memutuskan klac sekiranya pemandu melepaskan pedal pendikit pada kelajuan di bawah 70 km/j, membolehkan kereta berkenaan meluncur tanpa memberikan beban pada enjin yang hanya perlu hidup pada kelajuan pepura.

    Dengan penambahbaikkan ini, Proton Persona kini mencapai penggunaan bahan api pada kadar 6.6 liter setiap 100 km (15.2 km/l), manakala Iriz pula mencatatkan bacaan 6.7 liter setiap 100 km (14.9 km/l). Model psedo-SUV Iriz Active yang lebih tinggi dan lebih berat pula memberikan bacaan bahan api 7.0 liter setiap 100 km (14.3 km/l). Kesemua bacaan ini adalah diuji dengan kitaran NEDC.

    Sebagai perbandingan, Iriz dan Persona 2019 memberikan bacaan bahan api 7.5 liter setiap 100 km (13.3 km/l) dalam kitaran ujian yang sama, atau sekitar 11% dan 12% lebih rendah. Malah Iriz Active juga masih 7% lebih jimat bahan api berbanding Iriz biasa sebelum ini.

    Proton Iriz & Persona 2022: 12% lebih jimat bahan api dalam mod Normal, tambahan 10% dalam mod Eco

    Menurut Adzrai, ujian NEDC yang dibuat tersebut hanya menggunakan mod Normal, tanpa mengkatifkan mod Eco. Beliau menjangkakan 1% penjimatan akan dapat dicapai sekiranya mod Eco tersebut digunakan. Adzrai menyatakan bahawa Proton turut telah menjalankan ujian mereka sendiri dalam pemanduan dunia sebenar, dan penambaikkan ini memberikan penjimatan bahan api sekitar 7% hingga 10% berbanding model sebelumnya jika menggunakan mod Eco.

    Walau bagaimanapun, bacaan bahan api yang dicatatkan ini masih belum melayakkan Iriz dan Persona untuk menerima pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dari kerajaan. Malah gandingan enjin 1.6L VVT bersama kotak gear CVT Punch pada Iriz masih belum sebaik penggunaan bahan api Perodua Myvi yang dijana oleh enjin 1.5L Dual VVT-i dan kotak gear 4AT yang mencatatkan 20.1 km setiap liter (5.0 l/km).

    Proton Iriz dan dan Persona facelift 2022 ini turut menerima perubahan luaran dan dalaman, termasuk diberikan sistem arahan suara “Hi, Proton” yang bukan sahaja untuk sistem infotainmen, malah boleh mengoperasikan sistem pendingin hawa serta tingkap cermin pemandu. Secara keseluruhan 200 komponen baharu telah diberikan pada model kemaskini berkenaan, termasuk enam peningkatan prestasi. Kami akan kupas perkara-perkara berkenaan dalam artikel-artikel selepas ini.

    GALERI: Proton Iriz 1.6 Active 2022

    GALERI: Proton Iriz 1.6 Executive 2022

    Proton Persona 1.6L Premium 2022

     
     
  • Renault Kiger di Indonesia – dua varian 1.0L, dr RM64k

    Renault Kiger di Indonesia – dua varian 1.0L, dr RM64k

    Selepas pelancarannya di India pada Januari lalu, SUV kompak Renault Kiger telah pun mula dijual di Indonesia dengan harga bermula 220 juta rupiah (RM63,842) dan terdapat dua varian ditawarkan.

    Kedua-duanya dijanakan oleh enjin 1.0 liter petrol; dengan varian asas adalah unit naturally aspirated yang mampu menghasilkan kuasa 72 PS dan tork 96 Nm dan dipadankan bersama transmisi manual automatik. Sementara varian tertinggi RXZ pula menerima unit pengecas turbo dengan hamburan kuasa 100 PS dan tork 152 Nm, dipadankan dengan CVT. Varian RXZ ini ditawarkan pada harga 275.9 juta rupiah (RM80,156).

    Bagi aspek luarannya, Kiger untuk pasaran Indonesia mirip dengan versi yang dijual di India, termasuk lampu utama Pure Vision LED dengan lampu nyalaan siang (DRL) di bawahnya.

    Ia turut diberikan roda aloi potongan-berlian dua-tona bersaiz 16-inci dengan dibaluti tayar 195/60. Selain itu, ia juga menerima brek cakera untuk gandar hadapan dan brek dram di belakang, sementara suspensinya diberikan topang MacPherson di hadapan dan coil-sprung torsion beam di belakang.

    Di dalamnya, ia ada beberapa ciri yang sama dengan versi yang dilancarkan di India, termasuklah panel instrumen TFT tujuh-inci serta pendingin hawa yang dilengkapi penapis udara kabin PM2.5. Untuk hiburan, ia disediakan menerusi skrin sesentuh lapan-inci, dengam ketersambungan telefon pintar tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto. Manakala untuk audio pula dikendalikan oleh sistem Arkamys 3D dengan enam-pembesar suara.

    Seperti kembarnya buatan Nissan, Magnite, Renault Kiger turut diberikan corong pendingin hawa belakang untuk penumpang di barisan kedua. Selain itu, untuk pasaran Indonesia, ia turut ditampilkan dengan pencahayaan ambien dalaman serta kad akses pintar untuk kemasukan tanpa kunci.

    Renault Kiger turut menjanjikan ruang kaki penumpang belakang yang terbaik dalam segmennya, iaitu dengan 222 mm. Untuk kargo pula, tempat penyimpanan barangan hadir dengan kapasiti 405 liter, atau 879 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan. Renault berkata, Kiger turut mendahului segmen SUV empat-meter untuk panjang but, iaitu 626 mm dengan tempat duduk belakang dalam kedudukan biasa atau secara keseluruhan panjangnya cecah 1,565 mm.

    Bagi kit keselamatan untuk pasaran Indonesia, Kiger diberikan ABS, bantuan brek, beg udara hadapan dan sisi untuk pemandu dan penumpang, kawalan cengkaman serta kamera undur. Terdapat lima pilihan warna ditawarkan khas untuk Kiger pasaran Indonesia iaitu Spirit Red, Energy Blue, Glamour Silver, Elegant Grey dan Bright White dan ia dipadankan dengan bumbung kontras rona hitam.

     
     
  • Lynk & Co 03+ Cyan Edition didedah – 265 hp/380 Nm, suspensi Bilstein, rupa seperti jentera WTCR sebenar

    Lynk & Co 03+ Cyan Edition didedah – 265 hp/380 Nm, suspensi Bilstein, rupa seperti jentera WTCR sebenar

    Bagi meraikan gelaran juara dunia dalam siri perlumbaan World Touring Car Cup (WTCR), divisi premium Geely iaitu Lynk & Co telah melancarkan model sedan prestasi edisi khas istimewa hanya untuk pasaran China digelar 03+ Cyan Edition ketika berlangsungnya Chengdu Motor Show 2021.

    Namun anda jangan keliru model ini dengan model konsep produksi jalanraya Lynk & Co 03 Cyan Concept berkuasa 528 hp/504 Nm yang mencatatkan rekod kereta empat pintu terpantas di Nürburgring pada 2019, kerana ini adalah model produksi sebenarnya yang dijual di bilik pameran dan dibekalkan dengan kuasa lebih rendah.

    Model edisi khas ini diasaskan dari model produksi paling berkuasa 03+, dan diberikan pelbagai tingkat taraf kosmetik dan juga prestasi. Pertama sekali, anda boleh lihat rupa luaran 03+ Cyan Edition ini menampilkan rupa yang hampir sama dengan jentera WTCR sebenar pasukan Cyan Racing.

    Lynk & Co 03+ Cyan Edition didedah – 265 hp/380 Nm, suspensi Bilstein, rupa seperti jentera WTCR sebenar

    Ia diberikan splitter udara hadapan gentian karbon, spoiler belakang dengan sayap yang boleh dilaras serta warna badan rasmi Cyan Racing iaitu biru yang diinspirasikan dari bendera Sweden. Ia juga diberikan rim 19-inci berwarna hitam Cyan Racing yang dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 245/35ZR19.

    Seperti yang anda boleh lihat, 03+ Cyan Edition ini juga diberikan brek yang lebih besar dari Akebono, dengan cakera yang dilarik serta angkup berwarna kuning dengan logo Cyan. Cyan Racing turut memadankan set suspensi boleh laras dari Bilstein bagi memberikan pengendalian lebih bagus.

    Pada bahagian dalaman, model istimewa ini menerima sepasang tempat duduk hadapan baharu dengan logo Cyan, manakala tali pinggang keledar dan juga serlahan-serlahan kuning pada kabin yang berwarna hitam berkenaan sememangnya sudah ada pada 03+ biasa.

    Lynk & Co 03+ Cyan Edition didedah – 265 hp/380 Nm, suspensi Bilstein, rupa seperti jentera WTCR sebenar

    Ia juga masih dijana oleh enjin 2.0 liter empat silinder turbo seperti 03+ standard (yang sebenarnya sama dengan enjin T5 Drive-E Volvo), namun ditala semula bagi mengekstrak kuasa keseluruhan 265 hp dan tork maksima 380 Nm, atau 11 hp/30 Nm lebih berkuasa dari asal.

    Kalau anda nak tahu, enjin yang digunakan pada model produksi ini juga sebenarnya sama dengan enjin jentera perlumbaan sebenar Lynk & Co 03 TCR yang digunakan dalam perlumbaan WTCR berkenaan. Enjin kereta lumba tersebut hanya menerima turbo lebih besar, sistem pendawaian serta sedikit perincian kecil yang berbeza.

    Cyan Racing sebelum ini merupakan rakan teknikal kepada Volvo Polestar serta mengendalikan pasukan lumba jenama Sweden berkenaan dalam Kejohanan Touring Car Dunia (WTCC). Namun setelah WTCC bertukar kepada WTCR dan spesifikasi TC1 berubah ke TCR, malah Polestar juga dijadikan jenama bebas untuk menghasilkan kereta sport elektrifikasi, Cyan Racing mula berlumba dengan Lynk & Co pada tahun 2019.

    Lynk & Co 03+ Cyan Edition didedah – 265 hp/380 Nm, suspensi Bilstein, rupa seperti jentera WTCR sebenar

    Lynk & Co Cyan Racing berjaya menjadi juara dunia kategori pasukan WTCR pada musim 2019 iaitu musim pertama mereka menyertai kejohanan tersebut, dan kemudian merangkul kedua-dua gelaran juara dunia untuk kategori pemandu dan pasukan pada WTCR musim 2020.

    “Kami bangga untuk melihat kejayaan World Touring kami diraikan dan program sukan bermotor terus memacu kuat angka jualan kereta jalan raya model O3,” kata pemilik dan pengasas Cyan Racing, Christian Dahl.

    GALERI: Model standard Lynk & Co 03+ yang pernah di bawa ke Malaysia

    GALERI: Jentera lumba sebenar Lynk & Co 03 TCR binaan Cyan Racing

     
     
  • Toyota Vios generasi baru dilaporkan muncul tahun depan, guna platform DNGA Daihatsu, ada versi hibrid

    Toyota Vios generasi baru dilaporkan muncul tahun depan, guna platform DNGA Daihatsu, ada versi hibrid

    Toyota Vios sedia ada yang dijual sekarang sudah berada begitu lama dalam pasaran. Walaupun diperkenalkan dengan facelift baharu yang nampak lain dari versi sebelumnya, model generasi ketiga dengan kod casis XP150 berkenaan sebenarnya sudah dijual bermula pada tahun 2013.

    Jadi, sudah memang sepatutnya model tersebut digantikan dengan versi generasi baharu bagi memastikan ia relevan untuk memberikan saingan kepada sedan segmen-B lain dalam pasaran. Dan menurut laporan portal automotif Filipina, Autoindustriya.com, Vios generasi baharu berkenaan bakal muncul pada tahun hadapan.

    Dalam laporan tersebut, Vios generasi keempat dikatakan akan membuat kemunculan sulung globalnya di Thailand pada Ogos 2022, dan terus menggunakan nama Yaris Ativ, seperti model dengan enjin 1.2 liter yang dijual pada pasaran berkenaan buat masa sekarang.

    Projek tersebut dikenali dengan kod dalaman D92A – macam kod yang digunakan oleh Perodua (D38L untuk Aruz, D55L untuk Ativa, D20N untuk Myvi, D87A untuk Axia, D63D untuk Bezza dan D27A untuk Alza generasi baharu) pula kan? Ya, ini kerana Vios generasi baharu ini bakal menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA).

    Toyota Vios generasi baru dilaporkan muncul tahun depan, guna platform DNGA Daihatsu, ada versi hibrid

    Platform berkenaan sebenarnya diasaskan dari platform TNGA Toyota tetapi diolah semula oleh Daihatsu bagi disesuaikan untuk model-model lebih kompak. Ia telah digunakan buat pertama kali pada SUV segmen Daihatsu Rocky serta Toyota Raize, dan sudah tentu kembarnya untuk pasaran Malaysia iaitu Perodua Ativa.

    Dengan menggunakan platform DNGA ini, Vios generasi baharu berkenaan sudah tentu menerima pelbagai manfaat daripadanya seperti lebih ringan dalam masa yang sama menampilkan kerangka lebih keras, serta menampilkan keselamatan yang lebih baik. Dengan menggunakan platform tersebut juga, Vios generasi keempat berkenaan didakwa bakal tampil dengan rangkaian kuasa hibrid pada Ogos 2023.

    Platform DNGA tersebut adalah platform modular lengkap yang bukan sahaja boleh mengasaskan model dalam pelbagai rupa dan saiz, ia juga dihasilkan sekali dengan barisan enjin dan kotak gear serta pilihan unit rangkaian kuasa hibrid. Daihatsu Rocky pasaran Jepun dikhabarkan bakal menerima versi hibridnya lewat tahun ini.

    Buat masa sekarang masih tiada sebarang petanda rasmi dari Toyota berkenaan model gantian Vios tersebut. Namun boleh dijangka jika ia diperkenalkan kelak, model ini akan terus dipasang di Malaysia bagi memastikan ia boleh dijual dengan harga yang kompetitif, khususnya untuk bersaing dengan Honda City.

     
     
  • KTM keluarkan teaser model sports baru – RC390?

    KTM keluarkan teaser model sports baru – RC390?

    Pengeluar motosikal dari Austria, iaitu KTM, melalui laman media sosial mereka telah menyiarkan beberapa siri teaser sebuah motosikal sports kelas pertengahan. Nama model tersebut tidak diberitahu, tetapi ramai yang menjangkakan ia adalah RC390 baru.

    Ada dua video yang disiarkan dan kedua-duanya menunjukkan motosikal tersebut dibelasah dalam litar, sesuai dengan karekter sports serta bentuknya yang mempunyai fairing penuh. Melihat kepada saiz serta bunyi enjinnya (kalau ia adalah bunyi sebenar model tersebut), ia memang padan dengan RC390.

    Beberapa bahagian lain motosikal itu juga boleh dilihat, antaranya seperti panel instrumen digital, lampu lED hadapan dengan susunan empat bintik bertingkat, lampu LED belakang dengan jalur menegak, dua tempat duduk (bahagian penumpang terpisah dan lebih tinggi) serta grafik oren/putih.

    Satu lagi yang menarik, terdapat papan yang menunjukkan nombor 21 serta 9, yang seakan memberi petunjuk tarikh model ini didedahkan sepenuhnya. Walaubagaimanapun, itu sekadar tekaan sahaja dan kita masih perlu menunggu pengumuman rasmi daripada KTM sendiri.

    Model RC390 yang ada sekarang dipacu oleh enjin satu silinder suntikan bahan api 373 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan dengan klac slipper, mampu menghasilkan kuasa 44 hp dan 35 Nm tork. Melalui model baru ini, selain panel badan baru, kita juga boleh menjangkakan peningkatan kuasa enjin serta bahagian lain seperti tangki bahan api dan suspensi.

     
     
  • Porsche sahkan operasi CKD di Malaysia bermula 2022 di kilang Sime Darby – yang pertama di luar Eropah!

    Porsche sahkan operasi CKD di Malaysia bermula 2022 di kilang Sime Darby – yang pertama di luar Eropah!

    Porsche telah mengumumkan secara rasmi bakal memulakan operasi CKD di Malaysia, yang menjadi negara pertama di luar Jerman. Menurut pengeluar kereta berkenaan, langkah tersebut disasarkan bagi memperkukuhkan pasaran di antara Asia tenggara yang dilihat semakin berkembang.

    Pemasangan tempatan tersebut akan dilaksanakan dengan kerjasama Sime Darby, yang merupakan pengedar rasmi kenderaan Porsche di negara ini, di bawah pengurusan Sime Darby Auto Performance. Buat masa ini, Sime Darby Motors telah mempunyai kilang pemasangan kenderaan Inokom di Kulim, Kedah, yang memasang kenderaan BMW, Hyundai, Mazda dan MINI, dengan kapasiti produksi tahunan mencecah 38,000 unit kenderaan.

    Namun buat masa ini, Porsche tidak mendedahkan model mana yang akan menjalani pemasangan CKD, tetapi berkata “kenderaan terbabit adalah khusus untuk memenuhi keperluan tempatan dan hanya untuk Malaysia sahaja.” Laporan sebelum ini ada menyebut, Macan dan Cayenne adalah calon yang sesuai, memandangkan SUV kini semakin popular – malah Cayenne juga merupakan model terlaris untuk Porsche.

    Porsche sahkan operasi CKD di Malaysia bermula 2022 di kilang Sime Darby – yang pertama di luar Eropah!

    Selain mengumumkan operasi CKD di Malaysia, Porsche turut mendedahkan bakal membangunkan pusat pembangunan dan penyelidikan baharu di China, yang merupakan pasaran tunggal terbesar tetapi tidak merancang untuk menubuhkan kilang pemasangan di sana. Fasiliti satelit tersebut akan membantu meningkatkan lagi meningkatkan pemahaman syarikat mengenai pelanggan di China dan keperluan mereka, dan untuk meningkatkan pengembangan produk tempatan.

    “Kami bernasib baik kerana dengan perancangan yang teliti, kilang-kilang kami yang ada dapat memenuhi permintaan global semasa dan masa depan untuk kereta kami. Lokasi pemasangan baharu di Malaysia untuk memenuhi keperluan pasar tertentu, walaupun ia merupakan projek standalone dengan kapasiti yang sederhana, tetapi menandakan kesediaan kami untuk belajar menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran tempatan tertentu,” kata Albrecht Reimold, ahli lembaga eksekutif bagi produksi dan logistik di Porsche.

    “Malaysia dan semua negara ASEAN adalah rantau yang paling berpotensi dan kami mencari peluang untuuk menghasilkan model pemasangan tempatan pertama kami untuk pelanggan di Malaysia pada tahun hadapan. Ketika Porsche bergerak ke era mobiliti baharu, Malaysia dan rantau ASEAN semakin penting. Langkah ini adalah sebahagian dari inisiatif lama untuk memenuhi permintaan pelanggan dan pasaran yang berkembang pesat,” ujar Detlev von Platen, ahli lembaga eksekutif bagi jualan dan pemasaran Porsche pula.

     
     
  • BMW S1000R 2021 tiba di Malaysia – dua versi, Style Sport berharga RM104,500 dan M Package RM119,500

    BMW S1000R 2021 tiba di Malaysia – dua versi, Style Sport berharga RM104,500 dan M Package RM119,500

    Selain model M1000RR dan R nineT 2021, BMW Motorrad Malaysia turut melancarkan S1000R 2021 untuk pasaran Malaysia. Ada dua versi yang ditawarkan untuk motosikal naked ini, iaitu S1000R Style Sport pada harga RM104,500 dan S1000R M Package pada RM119,500. Semua harga ini tidak termasuk insurans.

    Model yang memberi saingan kepada Ducati Streetfighter V4, Aprilia Tuono V4 dan Triumph Speed Triple 1200RS ini dipacu oleh enin empat silinder 999 cc, dengan versi Style Sports menghasilkan kuasa 165 hp pada 11,000 rpm dan 115 Nm tork pada 9,250 rpm, manakala versi M Package mempunyai kuasa 207 hp.

    Bagi model tahun 2021 ini, antara perubahan yang diberi adalah gear empat, lima dan enam yang lebih panjang, untuk mengurangkan bunyi mekanikal serta memperbaiki penggunaan bahan api. Berat keseluruhan bagi versi Style Sport dalah 199 kg, sementara versi M Package yang menggunakan bateri lebih ringan, tempat duduk sport M, ekzos sport, rantai M Endurance dan pencatat masa GPS M adalah lebih ringan 4.8 kg.

    Kemudahan lain yang disediakan pada S1000R ini adalah termasuk sistem tanpa kunci, soket pengecas USB, Passenger Package, pemanas tangan serta spoiler. Mod tunggangan ada empat iaitu Rain, Road, Dynamic dan Race, sekali dengan Riding Mode Pro.

    Kelengkapan lain yang diberi secara standard adalah ABS Pro, DTC, panel meter TFT, BMW Integral ABS, Dynamic Engine Braking Control (DBC), Dynamic Damping Control (DDC), Cruise Control dan HP Shift Assistant Pro (quickshifter).

     
     
  • Geely Boyue X didedahkan di China – tampil dengan rekaan Energy Storm untuk golongan lebih muda

    Geely Boyue X didedahkan di China – tampil dengan rekaan Energy Storm untuk golongan lebih muda

    Di China, kembar kepada Proton X70 iaitu Geely Boyue sudahpun diperkenalkan dalam versi Boyue Pro dua tahun lalu yang menampilkan muka yang lebih sporty. Dan kini, Geely memperkenalkan satu lagi pilihan rupa untuk Boyue di pasaran berkenaan, digelar sebagai Boyue X, didedahkan ketika berlangsungnya Chengdu Auto Show 2021.

    Model ini dihasilkan berasaskan Boyue Pro, namun seperti yang anda boleh lihat, Boyue X ini menerima muka yang berbeza dari rekaan tipikal model-model Geely yang lain. Ini kerana ia menampilkan konsep rekaan baharu yang digelar sebagai “Energy Storm”.

    Rekaan berkenaan diadaptasi dari model konsep Vision Starbust, dan Boyue X ini dihasilkan bagi menarik minat golongan sasar baharu yang lebih muda dengan portfolio produk yang “nampak lebih gagah”. Selepas ini rekaan Energy Storm berkenaan akan diterapkan pula pada sedan Emgrand.

    Geely Boyue X didedahkan di China – tampil dengan rekaan Energy Storm untuk golongan lebih muda

    Bagi Boyue X, rekaan Energy Storm berkenaan membuatkan gril dan bampar hadapannya kelihatan seperti rekaan gril Spindle Lexus. Ia juga menerima skid plate yang direka semula, kemasan liang udara sisi dengan kemasan serlahan oren, rim lima jejari berkembar 19-inci dalam kemasan hitam, angkup brek berwarna oren, rel bumbung hitam dan juga kemasan bawah sisi badan yang diubah sedikit bersama serlahan jalur oren.

    Bahagian belakang masih lagi nampak sama seperti Boyue Pro, namun spoiler dan juga antena sirip yu serta panel penghubung lampu belakang diberi kemasan warna hitam. Kemasan diffuser bawah bampar belakang disentuh semula bagi kelihatan lebih agresif, serta diberikan emblem Boyue X pada pintu tailgate.

    Dalam kabin, Boyue X ini nampaknya masih diberikan rekaan asas pada papan pemuka dan tempat duduk yang sama dengan dengan Boyue Pro. Namun ia diberikan upholsteri dua tona gabungan kulit Beluga Blue dan putih.

    Geely Boyue X didedahkan di China – tampil dengan rekaan Energy Storm untuk golongan lebih muda

    Sistem infotainmen juga sama, menampilkan skrin infotainmen bersepadu dengan papan pemuka, dikuasakan dengan cip-pada-sistem (SoC) Geely E01. Cip berkenaan dikatakan memberikan prestasi dan fungsi yang lebih baik dari sistem sebelumnya. Varian lebih tinggi turut menerima sistem bunyi Bose, disertakan dengan mikrofon yang membolehkan anda berkaraoke dalam kereta.

    Tiada perubahan diberikan pada sistem mekanikal di mana Boyue X ini masih dijana pilihan rangkaian kuasa yang sama. Model paling berkuasa diberikan enjin empat-slinder 1.8 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (memenuhi piawaian emisi 6B nasional China) berkuasa 184 PS dan tork maksima 300 Nm. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

    Ia juga hadir dengan pilihan enjin tiga-silinder 1.5 liter turbo dengan suntikan bahan api penuh (sama seperti Geely Binyue/Proton X50) berkuasa 174 hp dan tork maksima 255 Nm. Namun untuk versi ini hanya didatangkan standard dengan kotak gear enam-kelajuan automatik dari Aisin.

     
     
  • Toyota Fortuner Legender 2021 di Thai kini menerima pendingin hawa dwi-zon, paparan titik buta, RCTA

    Toyota Fortuner Legender  2021 di Thai kini menerima pendingin hawa dwi-zon, paparan titik buta,  RCTA

    Selain memperkenalkan Toyota Fortuner GR Sport, pasaran Thailand turut menerima model Fortuner Legender yang kini hadir dengan senarai ciri kelengkapan yang dipertingkatkan. SUV tersebut kini ditawarkan dengan varian 2.4 2WD, 2.4 4WD, 2.8 2WD dan 2.8 4WD, serta kesemuanya hadir dengan transmisi automatik enam-kelajuan.

    Kesemua varian masih dikenalkan dengan enjin yang sama, dengan varian 2.4 dijanakan oleh unit 2GD-FTV 2.4 liter empat-silinder turbodiesel dengan kuasa 150 PS dan tork 400 Nm. Sementara varian 2.8 pula menampilkan enjin 1GD-FTV 2.8 liter yang mampu menghasilkan kuasa hingga 204 PS dan 500 Nm. Pacuan roda-belakang dan empat-roda boleh didapati mengikut pemilihan enjin.

    Seperti yang dinyatakan mengenai peningkatan yang dilakukan untuk model kali ini, kini ia menerima kawalan suhu automatik secara standard, sementara port USB Type-A pula telah dipertingkatkan ke port Type-C. Ciri tersebut diberikan untuk varian 2.4 dan 2.8.

    Untuk aspek keselamatan dan sistem bantuan pemandu, varian 2.8 kini didatangkan dengan paparan titik buta serta kepekaan trafik lintasan belakang. Kedua-dua ciri berkenaan telah menyertai ciri sedia ada untuk sistem Toyota Safety Sense yang diberikan kepada varian 2.8, ini termasuklah Kawalan Kelajuan Radar Dinamik, Sistem Pra-Pelanggaran dan Kepekaan Ketibaan Lorong. Sedikit perubahan turut dibuat termasuk menyingkirkan fungsi idling start/stop function.

    Ciri kelengkapan yang masih dikekalkan seperti sebelum ini, untuk semua varian, ia dilengkapi dengan roda 20-inci, lampu utama projektor LED, lampu belakang LED, tailgate kuasa dengan operasi bebas-tangan, upholstery kulit sintetik, tempat duduk hadapan kuasa, kemasukan tanpa kunci dan penghidup enjin, pengecas tanpa wayar, sistem infotainmen skrin sesentuh sembilan-inci dengan Apple CarPlay dan sistem telematik T-Connect, paparan pandangan sekeliling, paparan pelbagai-inco TFT 4.2-inci dan beberapa sistem keselamatan pasif.

    Harga untuk varian 2.4 sedikit meningkat sebanyak 2,000 baht (RM256), dengan 2.4 2WD kini berharga 1.566 juta baht (RM200,759), sementara harga bagi 2.4 4WD ialah 1.636 juta baht (RM209,733). Manakala harga 2.8 2WD meningkat sebanyak 6,000 baht (RM769) iaitu kini 1.775 juta baht (RM227,591), tetapi varian tertinggi 2.8 4WD pula masih kekal dengan harga 1.839 juta baht (RM235,830).

     
     
  • Proton Saga Knight Concept 2021 — perincian rekaan dalaman pula didedahkan, unsur futuristik EV?

    Proton Saga Knight Concept 2021 — perincian rekaan dalaman pula didedahkan, unsur futuristik EV?

    Minggu lalu, kita telah tengok hasil rekaan terbaru dalam jelmaan Proton Saga Knight Concept yang dihasilkan oleh Saharudin Busri, yang secara tak langsung menandai ingatan umum berkaitan sejarah automotif negara sempena Hari Merdeka 2021. Tetapi ketika itu tidak banyak gambar yang didedahkan — semuanya akan dipertonton sepenuhnya esok, dalam satu webinar anjuran Persatuan Pereka Perindustrian Malaysia (PEREKA).

    Namun, sementara menunggu esok, kini ada beberapa lagi imej yang mula didedahkan oleh beliau. Yang paling utama ialah imej rekaan luaran yang kini ditampilkan dengan lebih lengkap berbanding sebelumnya, seperti yang dapat dilihat di sini. Sekadar makluman, dari segi rekaan, banyak ciri-ciri utama Proton Saga yang asal masih dikekalkan. Cuma, hal yang banyak dibayangkan semula adalah untuk mengenakan rekaan tersebut dengan unsur dan teknologi moden untuk menjadikan penampilannya lebih bergaya.

    Proton Saga Knight Concept 2021 — perincian rekaan dalaman pula didedahkan, unsur futuristik EV?

    Antara yang jelas kelihatan dalam rekaan ini tentulah wajah depannya — dengan tumpuan kepada rekaan dan elemen lampu LED — yang memperlihatkan keserasian rekaan tersebut untuk Saga. Bahagian bukaan bawah bampar, walaupun hadir dengan tema hitam keseluruhannya, tetap diberikan perincian warna merah sebagai kontras.

    Lebih menarik kali ini, rekaan ruang dalamannya juga ditunjuk dengan lebih jelas, dengan ilham dan perbaharuan yang dilakukan terhadap rekaan model lamanya. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, sentuhan dalaman meminjam inspirasi dan usaha sama dengan sebuah syarikat jam tangan tempatan, Artwist untuk menterjemahkan perincian daripada jam edisi terhad dengan tema hitam dan merah yang syarikat itu reka untuk kumpulan Wings.

    Proton Saga Knight Concept 2021 — perincian rekaan dalaman pula didedahkan, unsur futuristik EV?

    Disebabkan itu penampilannya dominan dalam warna merah dan hitam (dengan rekaan kerusi sedikit mengingatkan kita kepada tempat duduk Iriz). Elemen corak utama yang diterapkan adalah dalam bentuk jalur dengan permainan kontras warna seperti yang dapat dilihat di kerusi dan panel pintunya. Namun, serba-serbi tentang rekaannya tampil sangat moden.

    Papan pemuka walaupun nampak ringkas dan bersih, ia terdiri daripada beberapa lapisan rekaan yang menempatkan ciri dan fungsi berbeza. Bahagian paling atas, permukaannya lapang dan bersih. Di sebelah penumpang, lencana Saga Knight menghiasi, sementara di tengah ada jam analog-digital yang agak besar; ini juga sebenarnya dibayangkan untuk menempatkan beberapa skrin dalam satu barisan panjang untuk tujuan yang pelbagai. Untuk pemandu, paparan kluster meter tersedia, dengan saiz yang agak jelas dilihat.

    Proton Saga Knight Concept 2021 — perincian rekaan dalaman pula didedahkan, unsur futuristik EV?

    Lapisan kedua papan pemuka pula mengenakan warna merah. Logo Kight sekali lagi kelihatan, sementara di tengah kelihatan seperti ada skrin untuk kawalan head unit/infotainmen. Stereng juga tampil dalam rekaan futuristik, tetapi masih menggunakan logo klasik Proton yang dulu. Bahagian konsol tengan ada sebuah lagi skrin — untuk memaparkan maklumat kenderaan dan bacaan pendingin hawa mungkin — dan disertai dengan dail tombol kawalan dan track pad untuk mengendalikan sistem yang ada.

    Sangat menarik untuk melihat imaginasi yang membayangkan semula model ikonik tempatan seperti Proton Saga Knight ini. Sentuhan lebih moden dan futuristik nampaknya menyuntik nyawa baru kepadanya. Ia akan jadi lebih menarik kalau rekaan ini boleh dizahirkan dan dijadikan kenyatakan, kan? Apa pandangan anda tentang rekaan konsep anak tempatan ini?

     
     
  • Brixton BX150 2021 tiba di Malaysia – dari RM10.5k

    Brixton BX150 2021 tiba di Malaysia – dari RM10.5k

    Brixton BX150 untuk pasaran Malaysia kini diperbaharui dengan model tahun 2021, yang dijual pada harga RM10,488 untuk versi asas, RM10,788 untuk BX150X yang mempunyai rekaan scrambler dan RM11,088 untuk BX150R dengan bentuk cafe racer. Kesemua model ini melihatkan peningkatan harga sebanyak RM1,500 berbanding harga waktu ia dilancarkan pada tahun 2018.

    Harga yang dinyatakan di atas adalah tidak termasuk insurans dan cukai jalan, dan setiap unit didatangkan dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km daripada pengedar rasminya, MForce Bike Holdings. Anda juga boleh melihat motosikal ini di kedai wakil pengedar apabila ia dibenarkan beroperasi.

    Setiap versi BX150 ini juga datang dengan bentuk tersendiri serta warna khas untuknya iaitu hitam/hijau dengan tempat duduk coklat bagi model asas, hitam matte/kelabu dengan tayar bunga kasar, palang pemegang, pad tepi tangki serta tempat duduk hitam untuk BX150X, dan warna merah/kelabu dengan cermin sisi di tepi pemegang, tempat duduk clubman serta pemegang lebih rendah untuk BX150R.

    Bagi enjin pula, kesemuanya menggunakan unit satu silinder SOHC suntikan bahan api 149 cc bersama padanan kotak gear lima kelajuan untuk menghasilkan kuasa 11 hp pada 8,000 rpm dan 11.9 Nm tork pada 6,000 rpm. Untuk menghidupkan enjin ini, anda boleh menggunakan penendang kaki atau pemula elektrik.

    Kelengkapan lain pada model ini juga adalah ringkas sahaja, termasuk fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang, brek cakera depan dan belakang, rim 18 inci di hadapan, 17 inci di belakang, tangki bahan api 14 liter serta berat keseluruhan sekitar 157 kg.

    GALERI: Brixton BX150 2021

    GALERI: Brixton BX150X 2021

    GALERI: Brixton BX150R 2021

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025