Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton X50 2020 – spesifikasi lengkap mengikut varian

    Proton X50 2020 – spesifikasi lengkap mengikut varian

    SUV Proton X50 telah pun selamat dilancarkan hari ini. Dan pasti ramai yang lega bila sudah mengetahui harga rasminya. Menawarkan empat varian, harga yang diumumkan ialah RM79,200 bagi Standard yang merupakan varian asas dalam barisan X50, diikuti dengan Executive (RM84,800), Premium (RM93,200) dan model spesifikasi penuh Flagship pula berharga RM103,300. Kesemuanya adalah harga atas jalan dengan pengecualian cukai jualan (SST) sehingga 31 Disember 2020.

    Untuk yang masih berhajat menempahnya, sudah boleh melihatnya di hadapan mata di mata-mana bilik pameran Proton berhampiran. Sementara itu, sila baca dan teliti spesifikasi lengkap bagi setiap varian SUV yang sedang ‘laku keras’ di pasaran.

    Proton X50 Standard

    Merupakan model asas dalam barisan X50, tetapi kalau diteliti spesifikasi yang disenaraikan, ternyata ciri yang ditampilkan tidak kurang menariknya. Tanpa lampu kabus hadapan dan penderia parkir hadapan, penampilan varian Standard tidak tergugat, bahkan masih kelihatan bergaya dengan ciri sedia ada termasuk lampu utama projektor LED, gril hitam berkilat dengan garisan luar berwarna merah, splitter di bahagian bawah dengan warna gentian karbon dan roda rona perak 17-inci dengan tayar Giti. Di belakangnya, Standard menerima spoiler belakang, lampu LED dan dua paip ekzos yang sama, dihiasi dengan diffuser belakang cetakan gentian karbon.

    Untuk bahagian dalam, varian ini didatangkan dengan roda stereng polyurethane dan tempat duduk upholstery balutan fabrik hitam sepenuhnya dengan jahitan kontras, dan merupakan satu-satunya varian yang dilengkapi empat beg udara. Ini sangat berbeza dengan ruang dalaman daripada varian Executive.

    Proton X50 2020 – spesifikasi lengkap mengikut varian

    Selain itu, ia turut menampilkan papan pemuka serba hitam, kluster instrumen analog tradisional dengan skrin berwarna bersaiz kecil, kawalan kelajuan, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin dan remote engine start.

    Manakala ciri yang dikongsikan antara varian Standard dan Executive termasuklah brek parkir elektronik dengan penahan auto, tempat duduk pemandu larasan manual, empat pembesar suara, pendingin hawa manual dengan penuras kabin N95 dan corong udara untuk tempat duduk belakang dengan tiga pengecas USB dan kamera undur.

    Varian standard juga menerima enjin yang sama dengan Executive dan Premium, iaitu 1.5 liter tiga-silinder pengecas turbo dengan sistem suntikan bahan api pelbagai-titik (MPI) yang dipanggil 1.5T PFI, namun direka sebagai 1.5L T untuk aplikasi ini. Kuasa yang dihasilkan mampu mencecah 150 PS (147 hp) pada 5,500 rpm dan tork 226 Nm dari 1,500 hingga 4,000 rpm.

    Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik dwi-klac (basah) tujuh-kelajuan, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan. Kotak gear ini adalah sama untuk kesemua varian, memiliki mod manual, tetapi tidak disertakan dengan pedal penukar gear. Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Sport.

    Proton X50 Executive

    Varian Executive ini ditawarkan pada harga RM84,800, iaitu lebih RM5,600 berbanding Standard, turut ditambah dengan beberapa ciri termasuk penderia parkir hadapan, lampu kabus LED dan lampu utama dengan fungsi automatik. Di dalamnya, ia diberikan roda stereng balutan kuilit, tempat duduk upholstery kulit tiruan hitam sepenuhnya dan dua beg udara tambahan menjadikan keseluruhannya berjumlah enam unit.

    Sama seperti Standard, Executive didatangkan dengan paparan tengah skrin sesentuh lapan-inci yang lebih kecil. Ia menyokong arahan suara Hi Proton, navigasi dalam talian menerusi AMAP, strim muzik dalam talian menerusi Joox. Ia juga didatangkan dengan ketersambungan telefon pintar dan Bluetooth serta ada kamera undur.

    Proton X50 Premium

    Seterusnya, kita meneliti varian kedua tertinggi dalam barisan X50, dan Premium yang diberikan ciri tambahan termasuk kaliper brek merah dan roda aloi dwi-tona 18-inci dengan tayar Continental UltraContact 6. Varian ini juga menerima rel bumbung berwarna perak dan lampu “welcome” hadapan yang dipancarkan dari cermin sisi.

    Untuk kabinnya, Premium menampilkan kemasan dalaman dwi-tona, dengan penggunaan lebih banyak warna merak gelap pada bahagian papan pemuka, pemuka pintu dan perehat tangan di tengah. Tempat duduk upholstery balutan kulit tiruan juga didatangkan dengan dua skim warna.

    Kit tambahan lain untuk varian ini termasuklah tempat duduk pemandu larasan kuasa dan kluster instrumen digital sepenuhnya, dilengkapi tema berlainan untuk tiga mod pemanduan.

    Skrin sesentuh tengah juga dipertingkatkan ke unit 10.25-inci, dan ditambah dengan beberapa fungsi ektra bagi arahan suara Hi Proton, termasuk operasi kawalan tingkap. Varian Premium juga ditambah dengan ketersambungan aplikasi Proton Link, di mana anda boleh mengunci dan membuka kunci serta boleh menghidupkan pendingin hawa dengan menggunakan alat kawalan menerusi telefon pintar anda.

    Berkenaan dengan pendingin hawa, Premium menerima kawalan suhu automatik, walau pun masih menggunakan sistem zon-tunggal. Selain itu, pembesar suara bagi sistem audion ditambah dari empat ke enam unit, dan turut didatangkan dengan sistem pemantauan tekanan tayar. Turut didatangkan iaialah sistem kamera parkir 360-darjah.

    Lain-lain perubahan adalah untuk kawalan tingkap, di mana Premium menerima kawalan secara automatik bagi kesemua tingkap. Manakala varian yang lebih rendah menerima kawalan untuk menurunkan tingkap secara auto, tetapi fungsi auto untuk kawalan menaikkan tingkap hanya untuk pemandu.

    Proton X50 Flagship (RM103,300)

    Flagship merupakan satu-satunya model yang ditampilkan dengan enjin berbeza – masih dengan 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder, tetapi dengan penjana kuasa 1.5 liter bersama sistem suntikan bahan api terus (GDI) dengan kuasa 177 PS dan 255 Nm, di mana ia lebih 27 PS dan 29 Nm berbanding unit MPI yang diberikan pada tiga varian lain.

    Untuk bahagian luarannya, ia diberikan dua-tona warna termasuk bumbung berwarna hitam, begitu juga dengan perumah cermin sisi juga rona hitam. Malah kelihatan lencana TGDi di bahagian sisi badan. Di dalamnya, ciri ekstra yang ditampilkan termasuklah bumbung matahari panoramik sepenuhnya dengan tirai suria larasan kuasa dan juga cermin pandang belakang auto-kelam, serta bilah pengelap cermin automatik.

    Bahagian yang paling menarik untuk varian ini ialah ia didatangkan dengan kamera tambahan yang diletakkan di belakang cermin hadapan dan juga radar yang dipasang pada bampar. Ia merupakan sebahagian daripada Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) yang merangkumi Amaran Pelanggaran Hadapan dengan Brek Kecemasan Sendiri (AEB).

    Lain-lain ciri untuk ADAS termasuklah Kawalan Kelajuan Adaptif dengan fungsi Stop and Go, bantuan kekal lorong aktif, amaran ketibaan lorong, amaran titik buta, lampu tinggi auto dan bantuan parkir auto.

    Akhir sekali, pilihan warna luaran, di mana ia didatangkan dengan enam warna untuk dipilih. Walau bagaimana, bukan untuk semua varian. Di mana varian Standard diberikan pilihan warna Snow White, Armour Silver dan Ocean Blue, sementara Executive ditambah dengan pilihan warna Jet Grey dan Citric Orange. Manakala warna Passion Red pula eksklusif untuk Premium dan Flagship.

    Berikut merupakan pecahan spesifikasi lengkap mengikut kesemua empat varian X50:

    Proton X50 1.5T Standard 2020 (RM79,200)

    Menerima ciri standard termasuk:

    Mekanikal

    • Enjin 1.5T PFI 1.5 liter
    • 1,477 cc sistem suntikan bahan api pelbagai-titik (MPI), tiga-silinder pengecas turbo
    • 150 PS (atau 147 hp) pada 5,500 rpm
    • 226 Nm dari 1,500 hingga 4,000 rpm
    • Transmisi automatik dwi-klac (basah) tujuh-kelajuan dengan mod manual (tanpa pedal penukar gear
    • Tiga mod pemanduan (Normal, Eco dan Sport)
    • Pacuan roda-hadapan
    • Cakera brek Ventilated (hadapan), cekara solid (belakang)
    • Brek parkir elektronik dengan fungsi menahan brek auto
    • Suspensi dengan topang MacPherson (front), torsion beam (belakang)
    • Kapasiti tangki bahan api 45 liter
    • Berat 1,325 kg

    Luaran

    • Roda aloi (perak) 17-inci dengan tayar profil 215/60
    • Lampu utama projektor LED
    • Lampu nyalaan siang LED
    • Lampu belakang LED
    • Gril hitam berkilat dengan garisan luar merah
    • Splitter bawah hadapan dengan cetakan gentian karbon
    • Spoiler belakang
    • Dua pasang paip ekzos, diffuser belakang dengan cetakan gentian karbon

    Dalaman

    • Upholstery fabrik hitam dengan jahitan kontras kelabu
    • Headliner kelabu
    • Tempat duduk hadapan larasan manual
    • Pendingin hawa manual
    • Roda stereng Urethane dengan suis kawalan
    • Kluster instrumen meter standard
    • Kawalan kelajuan dengan pengehad kelajuan
    • Kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin
    • Remote engine start
    • Corong udara di belakang
    • Sistem infotainmen skrin sesentuh lapan-inci dengan GKUI 19
    • Kawalan suara, navigasi, ramalan cuaca dalam talian dan strim muzik Joox
    • 4G dan WiFi, ketersambungan Bluetooth dan telefon pintar
    • Empat pembesar suara
    • Tiga port USB (satu data, dua pengecas)
    • Penuras kabin N95
    • Ruang but berkapasiti 330 liter

    Keselamatan

    • Empat beg udara (hadapan dan sisi)
    • Kawalan Kestabilan elektronik (ESC) dan kawalan cengkaman
    • ABS, EBD, bantuan brek
    • Bantuan mula mendaki, dan kawalan turun bukit
    • Kamera undur
    • Empat penderia parkir belakang

    Warna

    • Snow White, Armour Silver, Ocean Blue

    Proton X50 1.5T Executive 2020 (RM84,800)

    Proton X50 2020 – spesifikasi lengkap mengikut varian

    Ditambah:

    Mekanikal

    • Berat 1,345 kg

    Luaran

    • Lampu utama automatik
    • Lampu kabus hadapan LED

    Dalaman

    • Uphosltery kulit tiruan rona hitam dengan jahitan kontras kelabu
    • Roda stereng balutan kulit dengan fungsi suis kawalan

    Keselamatan

    • Enam beg udara (hadapan, sisi, tirai)
    • Dua penderian parkir hadapan

    Warna

    • Seperti di atas dengan tambahan Jet Grey dan Citric Orange

    Proton X50 1.5T Premium 2020 (RM93,200)

    Proton X50 2020 – spesifikasi lengkap mengikut varian

    Ditambah:

    Mekanikal

    • Berat 1,350 kg

    Luaran

    • Roda aloi 18-inci dengan tayar profil 215/55
    • Kaliper brek warna merah
    • Rel bumbung (perak)

    Dalaman

    • Upholstery kulit tiruan dengan rona hitam dan merah bersama jahitan kontras merah
    • Headliner hitam
    • Dalaman dengan dwi-warna hitam dan merah
    • Tempat duduk pemandu larasan kuasa dengan enam-hala
    • Pendingin hawa auto zon-tunggal
    • Kluster instrumen digital LED warna sepenuhnya
    • Lampu ‘welcome’ yang dipancarkan menerusi cermin sisi
    • Unit infotainment skrin sesentuuh 10.25-inci
    • Fungsi suara untuk antara muka GKUI 19
    • Enam pembesar suara
    • Ketersambungan Proton Link App (status kenderaan, kawalan jauh)

    Keselamatan

    • Sistem pemantauan tekanan tayar
    • Kemera 360-darjah

    Warna

    • Kesemua di atas, ditambah Passion Red

    Proton X50 1.5 TGDi Flagship 2020 (RM103,300)

    Proton X50 2020 – spesifikasi lengkap mengikut varian

    Ditambah:

    Mekanikal

    • Enjin 1.5 TDI
    • 1,477 cc suntikan-terus, pengecas turbo tiga-silinder
    • 177 PS (atau 174 hp) pada 5,500 rpm
    • 255 Nm dari 1,500 hingga 4,000 rpm
    • Berat 1,370 kg

    Luaran

    • Dua-tona (tiang dan bumbung hitam)
    • Bilah pengelap cermin automatik dengan pengesan hujan

    Dalaman

    • Bumbung matahari panoramik
    • Cermin pandang belakang auto-kelam

    Keselamatan

    • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW) dengan Brek Kecemasan Sendiri(AEB)
    • Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC) dengan fungsi Stop & Go
    • Kawalan Kelajuan Pintar (ICC)
    • Bantuan Kekal Lorong (LKA)
    • Amaran Ketibaan Lorong(LDW)
    • Sistem Informasi Titik Buta (BLIS)
    • Kawalan Lampu Tinggi Pintar
    • Bantuan Parkir Auto
    • Empat Penderia Parkir Hadapan

    GALERI:Proton X50 1.5T Flagship 2020

    GALERI:Proton X50 1.5T Premium 2020

    GALERI:Proton X50 1.5T Executive 2020

     
     
  • Yamaha MT-09 2021 – gambar terdedah awal sebelum pelancaran, lampu projector LED, fork boleh laras

    Yamaha MT-09 2021 – gambar terdedah awal sebelum pelancaran, lampu projector LED, fork boleh laras

    Lewat petang nanti, Yamaha akan memperkenalkan MT-09 2021 di Eropah, yang dijangka menampilkan pelbagai pembaharuan. Walaubagaimanapun, gambar motosikal naked ini sudah pun mula tersebar dalam internet menampakkan keseluruhan rupanya.

    Perubahan paling jelas adalah pada lampu hadapan, dengan bentuk yang baru serta unit projector LED. Pelindung tepi radiator, rim, panel tepi tangki, subframe, lampu belakang, ekzos dan tempat letak nombor plet juga kelihatan berbeza. Kemudiannya di hadapan pemandu, terdapat panel instrumen TFT LCD yang lebih besar berbanding unit sedia ada pada MT-09 sekarang.

    Perincian serta peningkatan lain yang diberi kepada MT-09 ini cuma akan diketahui apabila ia didedahkan secara rasmi nanti tetapi ada berita yang memberitahu, suspensi, brek dan enjin juga dinaik taraf untuk menjadikannya lebih baik berbanding model sekarang.

    Fork hadapan dikatakan menggunakan unit yang boleh dilaras, brek menggunakan unit radial dan quickshifter dinaik taraf supaya boleh digunakan untuk naik dan turun gear. Selain daripada itu, kami juga menjangkakan beberapa peningkatan lain.

    MT-09 dikuasakan oleh enjin tiga silinder 847 cc yang menghasilkan 115 hp pada 10,000 rpm dan 87.5 Nm tork pada 8,500 rpm. Transmisi adalah unit enam kelajuan dan ia juga dilengkapi dengan brek ABS, kawalan cengkaman serta pilihan tiga mod tunggangan. Sebaik ia didedahkan secara rasmi nanti, kami akan menaikkan perincian penuhnya.

     
     
  • Proton X50 dilancarkan – bermula RM79k – RM103k

    Proton X50 dilancarkan – bermula RM79k – RM103k

    Ok, tak payah menceceh panjang lebar untuk mukadimah – hari ini Proton X50 dilancarkan secara rasmi, dengan harga yang telah pun diumumkan. Seperti yang anda tahu sebelum ini, SUV segmen-B pertama dari Proton tersebut ditawarkan dalam empat varian berbeza.

    Model paling asas Proton X50 Standard dijual pada harga RM79,200, diikuti varian Executive dijual pada harga RM84,800, model Premium pula berharga RM93,200, manakala versi tertinggi Proton X50 Flagship dijual pada harga RM103,300. Ini adalah harga untuk semenanjung Malaysia, manakala di harga Sabah dan Sarawak semua varian adalah RM2,000 lebih tinggi.

    Semua harga yang dinyatakan ini juga adalah harga atas jalan tanpa insuran dan pengecualian SST hingga 31 Disember, dan ia berserta perlindungan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan dan pakej internet 4G 1GB/sebulan percuma selama lima tahun. Manakala untuk 30,000 pelanggan pertama yang menempah X50 sebelum 31 Disember turut menerima kos upah percuma untuk tiga kali servis.

    Dari kesemua varian yang ditawarkan, hanya varian tertinggi Flagship dijana oleh enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (GDI) menghasilkan 177 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 255 Nm pada takat 1,500 rpm hingga 4,000 rpm.

    Proton X50 dilancarkan – bermula RM79k – RM103k

    Untuk varian lain, ia masih diberikan enjin 1.5 liter Turbo tetapi dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik (MPI) menjana 150 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 226 Nm bermula 1,500 rpm hingga 4,000 rpm.

    Walau bagaimanapun, kesemua jenis enjin hanya dipadankan dengan kotak gear automatik klac berkembar jenis basah tujuh-kelajuan 7-DCT yang dibangunkan bersama Geely dan Volvo, memacu hanya roda hadapan. Gandingan ini membolehkan model Flagship memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat.

    Untuk penggunaan bahan api pula, enjin Turbo MPI akan memberikan kadar penggunaan bahan api 6.5 liter untuk setiap 100 km (15.4 km/l), manakala model dengan enjin 1.5L T-GDI pula mampu mencatatkan bacaan lebih rendah iaitu 6.4 liter setiap 100 km (15.6 km/l).

    Proton X50 dilancarkan – bermula RM79k – RM103k

    Proton X50 ini diasaskan dari platform B-segment Modular Architecture (BMA) Geely-Volvo yang menampilkan suspensi Topang McPherson di hadapan dan juga Torsion Beam di belakang. Ia dihasilkan dalam dengan dimensi 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,609 mm tinggi, bersama jarak roda 2,600 mm. Ruang but pula dihasilkan dengan kapasiti 330 liter.

    Sebagai perbandingan, dimensi X70 pula adalah 4,519 mm panjang, 1,831 mm lebar dan 1,694 mm tinggi, dengan jarak roda 2,670 mm. Manakala berbanding pesaing utamanya Honda HR-V, X50 adalah 4 mm lebih pendek, 10 mm lebih lebar, 4 mm lebih tinggi serta jarak roda yang 10 mm lebih pendek.

    Pada bahagian muka, X50 dilengkapi dengan rekaan gril infinite weave dengan jalur bingkai warna merah dengan logo Proton baharu di tengahnya. Ia diapit lampu utama LED dengan dua jalur DRL di dalamnya. Semua varian X50 dibekalkan dengan lampu hadapan LED, manakala varian Executive ke atas diberikan fungsi lampu automatik dan juga lampu kabus LED.

    Proton X50 dilancarkan – bermula RM79k – RM103k

    Dari sisi, anda boleh lihat ‘otot-otot’ yang bermula pada penutup bonet hadapan bersambung pada fender sisi, dan kemudian ia mengalir ke pintu, mewujudkan satu garis bahu yang cukup jelas dan memberikan imej lebih teguh. Cermin sisi paling belakang diberikan garisan bawah seperti X70, manakala tiang-D menerima kemasan hitam bagi membuatkan bumbung nampak seakan terapung.

    Kesemua varian X50 menerima kit badan agresif seperti Binyue varian Sport di China dengan ciri seperti bampar hadapan lebih garang dengan gril lebih besar, skirt sisi lebih menyerlah dan diffuser bawah bampar belakang yang juga lebih besar dengan kemasan seakan gentian karbon.

    Tetapi X50 tidak diberikan spoiler bumbung bersaiz besar seperti Binyue kerana Proton merasa ia terlalu ‘melebih-lebih’, namun ia tetap diberikan spoiler dengan rekaan dua slot. Emblem ‘T-GDI’ diberikan pada bahagian bawah pintu model Flagship, manakala model lain dibiarkan kosong.

    Enam pilihan warna ditawarkan untuk SUV segmen-B ini iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Ocean Blue, Citric Orange dan Passion Red. Namun, bukan semua warna ini ada ditawarkan untuk semua varian. Untuk varian asas Standard, ia hanya hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Snow White, Armour Silver dan Ocean Blue.

    Untuk varian satu tangga lebih tinggi iaitu Executive pula akan ditambah dengan warna Jet Grey dan Citric Orange. Manakala untuk varian tertinggi Premium dan Flagship, kelima-lima warna ini boleh dipilih dengan tambahan satu lagi warna iaitu warna hero, merah yang benar-benar merah Passion Red. Namun hanya model Flagship tampil dengan badan dua-tona di mana bumbungnya dihitamkan.

    Pada bahagian roda, model Standard dan Executive diberikan rim aloi 17-inci kemasan perak dengan tayar bersaiz 215/60R17, manakala varian Premium dan Flagship menerima rim aloi 18-inci kemasan dua tona bersama tayar 215/55R17.

    Di dalam, rekaan yang sama seperti yang pernah dilihat pada Binyue masih dikekalkan. Ia direka dengan menampilkan kemasan aluminium brushed serta corong pendingin hawa yang kelihatan seperti bahagian belakang enjin jet, bersama ruang storan terlindung di bahagian belakang konsol tengah persis rekaan-rekaan dari Volvo, serta hendal pemegang untuk penumpang hadapan pada konsol terowong.

    Pemandu menerima paparan panel instrumen digital dengan skrin LCD bersaiz tujuh-inci. Untuk sistem infotainmen pula, model Premium dan Flagship menerima skrin beresolusi 1920×720 dengan saiz 10.25-inci, manakala varian lebih rendah diberikan skrin beresolusi 1024×600 dengan saiz hanya 8-inci.

    Kedua-dua skrin tersebut dikuasakan dengan sistem Geely Key User Interface (GKUI) 19 sama seperti Binyue Pro. Namun untuk hubungan 4G, versi lebih rendah menampilkan slot kad eSIM pada pemain utama, manakala versi tertinggi diberikan eSIM yang terletak di dalam kotak telemetik.

    Proton X50 dilancarkan – bermula RM79k – RM103k

    Sistem ini dikatakan lebih responsif dengan pemproses quad-core dan unit pemproses grafik (GPU) khas untuknya, serta hadir dengan lebih banyak fungsi. Ini merupakan antaramuka baru jika dibandingkan dengan apa yang ada pada X70, tetapi kekal menampilkan aplikasi yang sama – antaranya ialah navigasi atas talian AMAP baharu (tidak lagi menggunakan aplikasi Baidu) dan aplikasi streaming muzik Joox.

    Apple CarPlay dan Android Auto masih tidak disediakan dalam kedua-dua sistem tersebut, namun ia hadir dengan fungsi mirroring QDLink, yang membolehkan aplikasi telefon pintar anda tidak kira iOS atau Android dapat digunakan pada skrin infotainmen X50 ini.

    Semua varian X50 dilengkapi dengan sistem arahan suara “Hi,Proton”. Namun untuk varian Standard dan Executive, kawalan sistem berkenaan hanya terhad kepada sistem infotainmen sahaja seperti sistem pada Persona dan Iriz. Manakala pada varian Premium dan Flagship, ia menampilkan kawalan untuk sistem elektronik lain seperti sistem pendingin hawa, tingkap berkuasa dan lain-lain sama dengan sistem pada X70.

    Proton X50 dilancarkan – bermula RM79k – RM103k

    Dua model tertinggi X50 ini juga menerima sistem kawalan jauh menggunakan telefon pintar menerusi aplikasi Proton Link seperti X70. Dengan sistem ini, anda boleh menghidupkan enjin terlebih dahulu sebelum masuk ke kereta untuk tujuan memanaskan enjin. Jika anda tidak masuk ke kereta dalam masa 10 minit, enjin akan dimatikan secara automatik.

    Namun, versi pada X50 ini telah ditambah baik di mana selain menghidupkan enjin, ia juga boleh mengawal tetapan sistem pendingin hawa seperti suhu dan tempoh masa operasi dari jarak jauh. Dan jika anda malas mahu menggunakan aplikasi telefon pintar, kunci kawalan jauh X50 ini juga turut disertakan dengan suis penghidup enjin yang diberikan untuk semua varian, sama seperti Honda Civic FC dan Honda Accord 1.5 Turbo.

    Proton X50 juga nampaknya diberikan elemen infinite weave pada kabin di mana rekaan yang diinspirasikan dari ukiran kayu pada rumah tradisional melayu tersebut boleh dilihat pada kemasan penutup tweeter dan juga gril pembesar suara pada pintu. Namun pada suis larasan ketinggian lampu hadapan dan pemalap instrumen serta pada kemasan panel suis/lampu pada bumbung masih kelihatan elemen rekaan tembok besar China sama seperti Binyue.

    Untuk membezakan setiap varian, versi asas standard menerima upholsteri fabrik dan paparan dari kamera undur pada skrin infotainmen, manakala untuk versi Executive menerima roda stereng yang dibalut kulit bersama tempat duduk dengan upholsteri kulit sintetik. Kedua-dua varian permulaan ini diberikan tema dalaman berwarna hitam sepenuhnya.

    Manakala untuk versi Premium, ia ditambah dengan rel bumbung, lampu selamat datang, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-hala, kamera pemantau 360 darjah dan juga sistem pemantau tekanan tayar. Untuk varian tertinggi Flagship pula hadir dengan tambahan bumbung panaromik, cermin pandang belakang anti-silau automatik dan juga sistem pengelap cermin automatik.

    Varian tertinggi ini turut menampilkan upholsteri kulit dengan tema warna merah-hitam pada bahagian kabin. Balutan-balutan kulit tersebut bukan hanya pada tempat duduk, malah turut diberikan pada papan pemuka dan juga panel pintu yang juga menggunakan material sentuhan lembut.

    Kesemua varian Proton X50 diberikan sistem pendingin hawa zon tunggal, namun model Standard dan Executive hanya hadir dengan sistem manual, manakala versi Premium dan Flagship diberikan sistem automatik.

    Proton X50 dilancarkan – bermula RM79k – RM103k

    Beralih kepada fungsi keselamatan, model asas diberikan empat beg-udara, sistem brek ABS, EBD bersama BA, kawalan kestabilan elektronik, Traction Control, bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, Auto Brake Hold serta cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX di belakang. Model Executive ke atas pula diberikan enam-beg udara.

    Manakala untuk model Flagship, ia menampilkan fungsi pemanduan sendiri (autonomous) tahap 2, terdiri dari cruise control adaptif (semua varian lain hanya menerima cruise control biasa) dengan fungsi stop & go, bantuan kekal tengah di lorong, bantuan kekal lorong dan juga sistem bantuan parkir yang membolehkan ia diparkir sendiri oleh komputer pada kedudukan selari dan berserenjang.

    Proton menawarkan dua pakej aksesori untuk X50 ini iaitu pakej Urban dan pakej Utiliti, di mana kedua-duanya menawarkan fungsi pintu tailgate belakang berkuasa elektrik yang tidak diberikan secara standard pada semua varian X50.

    Untuk pakej Urban yang bernilai RM3,500, ia turut datang sekali dengan peranti SmartTag bina dalam, pelapik kaki jenis coil, dan juga pelindung cahaya matahari magnetik. Manakala untuk pakej Utiliti yang berharga RM3,300 pula, ia terdiri dari pelapik kaki PVC, tray untuk ruang but dan juga kemasan scuff plate pada atas bendul pintu.

    Buat masa sekarang ke semua aksesori ini termasuk pintu tailgate belakang berkuasa masih belum ditawarkan secara ala-carte, dan anda perlu memilih antara salah satu pakej, dan kami turut diberitahu bahawa ia akan dipasang oleh pengedar dan bukan di kilang.

    Pakej-pakej ini juga adalah ditawarkan secara opsyen untuk pelanggan yang berminat sahaja, dan bukan wajib untuk semua pembeli Proton X50 – perkara ini disahkan oleh Proton sendiri.

    GALERI:Proton X50 1.5T Flagship 2020

    GALERI:Proton X50 1.5T Premium 2020

    GALERI:Proton X50 1.5T Executive 2020

    GALERI:Gambar rasmi Proton X50 2020

     
     
  • Tonton pelancaran maya Proton X50 disini, 10.50 am – perincian lengkap harga & spesifikasi semua varian

    Hari ini pastinya hari yang paling ditunggu-tunggu untuk mereka yang berminat untuk memiliki SUV segmen-B pertama Proton iaitu X50 kerana ia bakal dilancarkan dalam berberapa jam sahaja lagi. Oleh kerana kita masih lagi berada dalam suasana pandemik Covid-19, tiada majlis sebenar di buat oleh Proton, tetapi digantikan dengan majlis pelancaran secara maya.

    Namun berita baik buat semua, majlis tersebut akan disiarkan secara live yang boleh ditonton oleh semua orang di laman facebook Proton menerusi pautan yang akan kami letak di atas.

    Selain dari boleh menonton sendiri pelancaran berkenaan, jangan lupa untuk terus bersama kami kerana gambar terperinci bersama semua maklumat lain berkenaan spesifikasi dan juga harga untuk setiap varian akan kami paparkan menerusi laporan kami yang menyusul sejurus X50 ini dilancarkan secara rasmi.

     
     
  • PKPB di S’gor, Putrajaya, KL disambung hingga 9 Nov

    PKPB di S’gor, Putrajaya, KL disambung hingga 9 Nov

    Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dilaksanakan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak 14 Oktober lalu, disambung ke fasa kedua iaitu sehingga 9 November 2020.

    Keputusan ini dibuat berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati masih ada lokasi yang berisiko tinggi bagi penularan Covid-19 sama ada di Kuala Lumpur, Putrajaya dan selangor.

    “Maka kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor selama 14 hari lagi bermula 27 Oktober (esok) hingga 9 November 2020. SOP (prosedur operasi standard) adalah sama seperti seebelum ini,” ujarnya dalam sidang media harian sebentar tadi.

    PKPB di S’gor, Putrajaya, KL disambung hingga 9 Nov

    Pada 13 Oktober lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengeluarkan beberapa SOP untuk dipatuhi oleh orang awam.

    Bagi pengangkutan awam darat termasuk bas, teksi dan perkhidmatan e-hailing, ia dibenarkan beroperasi seperti biasa. Walau bagaimana pun, hanya dibenarkan maksimum dua orang penumpang sahaja bagi perkhidmatan teksi dan e-hailing, dengan waktu yang dibenarkan iaitu dari jam 6 pagi hingga 12 tengahmalam.

    Untuk kenderaan yang membawa pekerja, mereka boleh membawa penumpang seperti yang telah ditetapkan sebelum ini. Sementara yang berkaitan dengan industri, perniagaan dan kilang dibenarkan melakukan perjalanan antara daerah dan negeri seperti sebelumnya.

    Manakala stesen minyak pula dibenarkan beroperasi dalam waktu yang terhad iaitu dari jam 6 pagi hingga 10 malam, kecuali stesen minyak yang berada di sepanjang lebuhraya yang boleh dibuka 24 jam.

    Bagi mengawal pergerakan, hanya dua individu dalam satu rumah yang sama dibenarkan untuk keluar membeli makanan dan/atau keperluan lain. Manakala pergerakan antara daerah tidak dibenarkan di bawah pelaksanaan PKPB. Mana-mana pekerja yang perlu melakukan pergerakan antara daerah, perlu menunjukkan pas kerja atau mendapatkan surat kebenaran dari majikan masing-masing. Bagi yang ingin melakukan perjalanan antara daerah bukan atas alasan kerja, perlulah mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak polis terlebih dahulu.

    Petang ini, KKM telah mengumumkan, kes baharu untuk COVID-19 pada hari ini ialah mencecah 1,240 kes, di mana ia melibatkan 1,238 kes tempatan dan dua kes import. Daripada 1240 kes, 500 kes adalah dari Penjara Kepayan, Seberang Perai dan Penjara Tapah (kluster baharu). Manakala sejumlah 691 pesakit sembuh, tiga kluster baharu dan tujuh lagi kematian telah direkodkan hari ini.

     
     
  • Subaru Forester dapat kuasa turbo di Jepun – unit 1.8L dengan 177 PS, 300 Nm; Lineartronic CVT dan AWD

    Subaru Forester dapat kuasa turbo di Jepun – unit 1.8L dengan 177 PS, 300 Nm; Lineartronic CVT dan AWD

    Subaru Forester generasi kelima (SK) telah pun menggugurkan enjin pengecas turbo sejak ia diperkenalkan pada tahun 2018. Hanya enjin naturally-aspirated dan hibrid sahaja yang ditawarkan. Walau pun demikian, langkah tersebut ternyata tidak disenangi segelintir peminatnya, ini kerana Forester generasi terdahulu ditawarkan dengan kuasa turbo.

    Oleh yang demikian, akhirnya Subaru membuat keputusan untuk mengembalikan enjin turbo untuk Forester. Dengan melancarkan Forester Sport baharu di negara kelahirannya, Jepun, versi turbo ini akan ditawarkan dengan harga 3,289,000 yen (RM130,387), menjadikannya sebagai varian paling mahal dalam barisan Forester di sana.

    Di bawah bonetnya, ditampilkan enjin FA20F 2.0 liter dari WRX atau FA24F 2.4 liter dari Ascent – kedua-duanya adalah enjin empat-silinder. Sebagai ganti, Forester Sport menggunakan enjin CB18 1.8 liter turbo empat-silinder yang sama seperti model Levorg terkini, dengan hamburan kuasa 177 PS (174 hp) dari 5,200 hingga 5,600 rpm dan tork 300 Nm dari 1,600 hingga 3,600 rpm.

    Sebagai perbandingan, Foresrer dengan enjin FB25 2.5 liter NA mampu menghasilkan 184 PS (182 hp) dan 239 Nm, sementara unit berkapasiti lebih kecil FB20 pula dengan 2.0 liter NA – seperti yang kita dapat di sini – dengan kuasa 156 PS (154 hp) dan 196 Nm. Sementara hibrid “e-Boxer” pula menggunakan unit FB20D 2.0 liter NA dengan kuasa 145 PS (143 hp) dan 188 Nm, dibantu oleh motor elektrik dengan kuasa 13.6 PS (13.4 hp) dan 65 Nm.

    Seperti kebanyakan model Subaru, enjin Forester Sport turut dipadankan dengan Lineartronic CVT, dengan pacuannya disalurkan ke semua roda menerusi sistem Symmetrical All-Wheel Drive. Buat masa ini, tiada angka prestasi diberikan, namun dijangka lebih pantas berbanding model NA dan hibrid.

    Untuk luarannya, Forester Sport ditampilkan dengan gril hitam, penutup lampu kabus, perumah cermin sisi dan panel rocker berona kelabu. Ia turut didatangkan dengan roda 18-inci, dan terdapat kemasan tambahan pada cermin tailgate. Selain itu, ciri yang paling menyerlah ialah dua corong ekzos, yang telah direka semula dan apron bawah yang nampak lebih sporty.

    Manakala di dalamnya pula, SUV ini dihiasi dengan kombinasi upholstery suede dan kulit dengan jahitan kontras sama ada hitam atau perak. Semantara kluster instrumen dan paparannya pula tampil dengan rupa yang lebih “sport”. Lain-lain sentuhan termasuk roda stereng balutan kulit dan pedal aluminium.

     
     
  • Nissan Almera Turbo 2020 – kit badan Nismo dalam lukisan render; tampil lebih bergaya dan sporty

    Nissan Almera Turbo 2020 – kit badan Nismo dalam lukisan render; tampil lebih bergaya dan sporty

    Nissan Almera baharu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, telah pun dipertontonkan sejak awal September lalu. Bukan calang-calang model Almera baharu yang bakal dipasarkan di Malaysia ini kerana ia didatangkan dengan versi turbo, seperti mana yang ada di pasaran Thailand.

    Barisan Almera ini diberikan enjin 1.0 liter turbo yang datang sekali dengan ciri Electronic Wastegate (yang memperbaiki tekanan turbo) serta Mirror Bore Coating Technology (diwarisi dari Nissan GT-R) yang bertujuan untuk mengurangkan geseran antara permukaan gelang omboh dengan dinding silinder dalam enjin. Ia mampu menghasilkan sebanyak 100 PS pada 5,000 rpm dan 152 Nm tork dari 2,400 rpm hingga 4,000 rpm, dengan penggunaan bahan api pula dianggarkan pada kadar 18.4 km/l.

    Dengan taruhan enjin turbo, pastinya prestasi yang bakal dirasai amat dinantikan. Dan sudah pasti pemiliknya juga mahukan imej luaran yang serba sporty, setara dengan lonjakan prestasi dan pengendaliannya yang menguja. Sudah pasti pengedar Nissan di Malaysia, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) akan melancarkan pilihan kit badan Nismo dan Impul untuk model ini, kena tunggulah selepas pelancarannya.

    Nissan Almera Turbo 2020 – kit badan Nismo dalam lukisan render; tampil lebih bergaya dan sporty

    Jadi sebelum kit badan yang lebih sporty untuk model ini diperkenalkan, pelukis imej render, Theophilus Chin seperti biasa telah pun menghasilkan lukisan render yang lebih ‘ngam ho’ untuk Almera Turbo ini. Ia melibatkan bahagian hujung hadapannya yang diberikan bampar baharu, membantu menyerlahkan lagi sisi sporty model ini.

    Bahagian berwarna hitam pada gril V-Motion kelihatan lebih kecil, dan tidak disambung pada corong pengambilan udara di bawah. Ia turut diberikan kekotak yang lebih kecil dengan lip rona merah lebar sepenuhnya. Theo turut menambah lampu kabus LED dengan perumah berpotongan tajam, dengan bezel hitam pada gril bersama kemasan pekat berbanding berkilat, serta lencana Nismo pada gril.

    Nissan Almera Turbo VL, klik untuk besarkan imej

    Skirt sisinya juga diberikan garisan lip merah serta Theo turut menambah bumbung hitam dan rim lima-jejari hitam berkilat 17-inci dengan kemasan merah untuk sentuhan yang lebih dramatik.

    Untuk model asas VL, ia turut diberikan diffuser belakang lebar sepenuhnya, sama dengan warna badan, Selain itu, diffuser berkembar dengan lampu kabus belakang juga telah ditambah. Malah keseluruhan bampar bawah diwarnakan hitam dan telah dibesarkan sedikit untuk memberikan kesan yang lebih menarik. Ditambah pula dengan pinstripe merah yang tetap ditampilkan. Lencana Nismo telah menggantikan lencana Turbo. Cuma model ini tidak diberikan spoiler pada bahagian but kerana ETCM telah memasukkannya dalam senarai katalog aksesori pilihan.

    Untuk pasaran Malaysia, tiga varian Almera bakal ditawarkan iaitu VL yang paling asas, VLP untuk pertengahan dan VLT untuk yang paling lengkap. Harga anggaran setakat ini ketika Almera 2020 mula dibuka untuk tempahan bermula hari ini adalah seperti berikut: RM8x,xxx (VL); RM8x,xxx (VLP); dan RM9x,xxx (VLT). Harga sebenarnya akan diumumkan apabila ia dilancarkan kelak. Untuk butiran penuh mengenai perincian dan spesifikasinya, SILA KLIK DI SINI.

    GALERI: Nissan Almera Turbo VLT 2020

    GALERI: Nissan Almera Turbo VLP 2020

    GALERI: Nissan Almera Turbo VL 2020

     
     
  • Ducati akan perkenalkan model baru 2021 dalam siri 5 episod video atas talian – saksikannya sendiri

    Ducati akan perkenalkan model baru 2021 dalam siri 5 episod video atas talian – saksikannya sendiri

    Saban tahun, Ducati mempunyai cara sendiri untuk memperkenalkan model baru, selain daripada menggunakan platform pameran motosikal, iaitu dengan mengadakan acara Ducati World Premiere. Pada tahun-tahun sebelum ini, mereka akan menjemput para media serta tetamu khas untuk menyaksikan acara pengenalan model baru tersebut di depan mata.

    Tahun ini keadaannya berbeza. Dengan pandemik yang sedang melanda, sudah tentu acara yang melibatkan perkumpulan ramai orang dianggap sebagai satu risiko. Oleh itu, Ducati telah mengambil pendekatan lain dengan mengumumkan, Ducati World Premiere akan disiarkan atas talian dan dibahagikan kepada lima siri video.

    Video pertama akan disiarkan pada 4 November, diikuti 11 November, 18 November, 25 November dan 2 Disember. Satu video teaser telah dikeluarkan untuk Ducati World Premiere ini dan ia menunjukkan pelbagai jenis keadaan seperti jelajah, litar, bandar dan gaya hidup.

    Model baru yang akan diperkenalkan pula masih belum diumumkan, dan setakat ini kita cuma mengetahui yang pasti, Ducati akan memperkenalkan Multistrada yang menggunakan enjin baru V4 Granturismo. Selain daripada itu, pasti akan ada model daripada kategori lain yang akan diperbaharui. Anda juga boleh menonton sendiri video Ducati World Premiere 2021 di sini.

     
     
  • Mitsubishi Xpander – kenapa hanya 2 beg udara?

    Mitsubishi Xpander – kenapa hanya 2 beg udara?

    Mitsubishi Xpander mungkin MPV tujuh-tempat duduk dengan harga di bawah RM100k yang menampilkan rupa paling kacak dalam pasaran buat masa sekarang. Namun ada satu perkara yang mungkin menimbulkan persoalan, kenapa hanya dua-beg udara dibekalkan?

    Menurut naib presiden senior Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) Hoffen Teh, dalam satu temu ramah bersama kami ketika sesi preview untuk pihak media minggu lalu, ini adalah kerana Xpander pada awalnya adalah sebuah model yang dihasilkan khas untuk pasaran Indonesia.

    “Kami perlu mengaku bahawa model ini pada asalnya direka ditumpukan untuk pasaran Indonesia, dan kemudian diluaskan ke Thailand, Vietnam dan Filipina. Jika kejuruteraan kenderaan diambil kira, buat masa sekarang, mereka (negara-negara ASEAN lain) mewakili pasaran paling besar dan tidak ada satu pun pasaran yang mahukan lebih dari dua-beg udara,” katanya.

    Mitsubishi Xpander – kenapa hanya 2 beg udara?

    Hoffen menyatakan bahawa MMM sedar akan permintaan dan keperluan pasaran tempatan, apa yang dimahukan oleh rakyat Malaysia, namun mereka tidak dapat membuat apa-apa berkenaan beg-udara ini.

    Model konsep Mitsubishi XM – akronim dari Crossover (X) dan MPV (M) – didedahkan buat pertama kali ketika berlangsungnya Gaikindo Indonesian International Auto Show (GIIAS) 2016. Ia kemudiannya muncul sebagai model produksi pada acara sama tahun berikutnya dah sah diberikan nama sebagai Mitsubishi Xpander.

    Untuk model pasaran Malaysia, Xpander hadir terus dalam bentuk facelift terkini, diproduksi di Pekan, Pahang sebagai model CKD bagi memastikan ia boleh dijual pada harga kompetitif, dan akan dilancarkan secara rasmi bulan hadapan. MPV ini juga diberikan berberapa perubahan berbanding model pasaran ASEAN yang lain. Salah satunya adalah lampu kabus belakang yang perlu diletakkan bagi mematuhi peraturan tempatan.

    Mitsubishi Xpander – kenapa hanya 2 beg udara?

    Hoffen turut menyatakan bahawa gaya hidup dan jangkaan oleh pelanggan di Malaysia juga berbeza, dan sebab itu Xpander pasaran Malaysia diberikan bahagian dalaman dengan warna hitam bersama kemasan perak (yang mudah dijaga) berbanding model pasaran Indonesia yang diberikan kombinasi upholsteri beige dan kemasan kayu yang nampak lebih “mewah”.

    MMM turut membekalkan Xpander pasaran Malaysia ini dengan tempat duduk balutan kulit quilted, skrin sesentuh 9.0-inci dengan sokongan Apple Carplay dan Android Auto, kamera pemantau sekeliling dan juga dashcam.

    Dari segi mekanikal, model pasaran Malaysia ini masih dijana oleh enjin 1.5 liter MIVEC berkuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan 141 Nm tork pada 4,000 rpm, dengan gandingan transmisi automatik empat-kelajuan, tanpa pilihan kotak gear manual. Untuk spesifikasi lebih lengkap, anda boleh baca artikel yang kami sediakan pada PAUTAN INI.



    Mitsubishi Xpander 2020 di Malaysia

     
     
  • Nissan Navara 2021 – gambar unit produksi tersebar, pasaran Amerika Syarikat dijangka dapat enjin V6 3.8L

    Nissan Navara 2021 – gambar unit produksi tersebar, pasaran Amerika Syarikat dijangka dapat enjin V6 3.8L

    Gambar yang didapati daripada Forma Car ini adalah apa yang dikatakan sebagai model produksi Nissan Frontier 2021, terdedah lebih awal sebelum pelancaran rasminya. Kita juga sebelum ini pernah melihat spyshot Navara NP300 facelift 2021 yang datang dari Thailand, dan mempunyai rupa hampir sama.

    Sementara gril dan bampar hadapan keduanya kelihatan serupa, lampu utama model pasaran Amerika Syarikat pula didapati mempunyai bahagian dalam yang lebih canggih dengan tetapan LED serta DRL berbentuk C. Berkemungkinan model di Thailand itu adalah varian yang rendah memandangkan ia juga menggunakan lampu halogen serta pemijak tepi plastik hitam biasa.

    Model berwarna kelabu dalam gambar ini dilihat mempunyai lebih aksesori, mungkin yang termasuk dalam senarai pilihan Nissan seperti gril hitam, besi pelindung bampar, lengkuk roda lebih lebar, suspensi tinggi serta rim dan tayar lebih besar. Walaubagaimanapun, ia masih lagi kelihatan seperti model untuk kegunaan biasa, bukannya offroad yang ganas.

    Nissan Navara 2021 – gambar unit produksi tersebar, pasaran Amerika Syarikat dijangka dapat enjin V6 3.8L

    Gambar ini memberikan kita idea bagaimana rupa bahagian belakang trak pikap ini, di mana lampunya mendapat pencahayaan dalam berbentuk C, lampu penunjuk arah di tengah serta lampu undur di dalam unit yang sama. Ini adalah kali pertama Navara NP300 diberikan facelift, setelah ia diperkenalkan kepada dunia enam tahun lalu dan kemudiannya memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2015.

    Maklumat yang didapati setakat ini ada mengatakan enjin lama 2.5 liter diesel turbo 190 PS/450 Nm akan diganti dengan unit 2.3 liter yang diambil daripada model Terra, menghasilkan kuasa yang sama dan terus dipadankan bersama kotak gear automatik tujuh kelajuan. Menurut Forma Car, Frontier pasaran Amerika Syarikat dijangka menggunakan enjin V6 3.8 liter bersama padanan transmisi automatik sembilan kelajuan.

     
     
  • Hyundai Kona dan Sonata 2020 dilancarkan untuk pasaran Malaysia secara maya pada 30 Oktober ini

    Hyundai Kona dan Sonata 2020 dilancarkan untuk pasaran Malaysia secara maya pada 30 Oktober ini

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) bakal melancarkan dua model baharunya, SUV kompak Kona dan sedan Sonata generasi kelapan pada 30 Oktober ini. Memandangkan negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19, maka pelancaran tersebut hanya akan dibuat secara maya. Kedua-dua model tersebut telah pun mula dibuka untuk tempahan.

    Model yang diimport sepenuhnya (CBU), Kona bakal bersaing dengan Honda HR-V dan Proton X50 yang kedua-duanya adalah pemasangan tempatan (CKD) dan model CBU Mazda CX-3 serta Toyota C-HR. Kona ditawarkan dengan tiga varian, bermula dengan model asas 2.0 Standard, diikuti dengan 2.0 Mid dan spesifikasi penuh 1.6 T-GDI High. Harganya bakal bermula RM115,000.

    Model 2.0L didatangkan dengan enjin Nu MPI Atkinson naturally aspirated dengan 149 PS/179 Nm, dipadankan bersama kotak gear torque converter automatik enam-kelajuan. Manakala unit 1.6 liter T-GDI turbo petrol empat-silinder mampu memberikan 177 PS dan tork 265 Nm, dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan.

    Dengan unit turbo, Kona mampu dipecut dari 0-100 km/j hanya mengambil masa 7.7 saat dan kelajuan maksimum mencapai 210 km/j. Kedua-dua varian enjin Kona didatangkan dengan pacuan roda-hadapan tanpa ada pilihan untuk pacuan semua-roda.

    Untuk ciri kelengkapannya, Kona dengan spesifikasi tertinggi, 1.6 T-GDI High, didatangkan dengan lampu utama LED projektor, lampu belakang LED, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-hala, pendingin hawa automatik, paparan utama, unit utama skrin sesentuh tujuh-inci, enam-beg udara (semua varian) dan ciri keselamatan aktif Hyundai SmartSense yang merangkumi AEB, kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong dan bantuan lampu tinggi.

    Bagi Sonata pula, ia juga merupakan model CBU, dan bakal ditawarkan dengan harga bermula RM20xk. Ia bakal bersaing dengan model sedan segmen-D yang lain termasuk Toyota Camry CBU, Honda Accord CKD dan Mazda 6 CBU. Di bawah bonetnya, Sonata dijanakan oleh enjin baharu 2.5 liter Smartstream MPI empat-silinder petrol. Ia mampu memberikan kuasa hingga 180 hp pada 6,000 rpm dan tork 232 Nm pada 4,000 rpm, dengan pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan.

    Ciri kelengkapan standard termasuklah kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, tempat duduk pemandu larasan kuasa dengan fungsi memori, kawalan suhu dwi-zon dengan corong udara di belakang, lampu dan bilah pengelap cermin auto, cermin pandang belakang auto-kelam, paparan instrumen 12.3-inci, sistem kamera 360-darjah, dan pengecas tanpa wayar Qi.

    Untuk keselamatan, ia diberian enam beg udara, kawalan kestabilan dan Paparan Pandangan Titik Buta, yang beroperasi seperti pemantau titik buta biasa tetapi rakamannya akan dipancarkan menerusi video secara langsung ke kluster instrumen apabila indikator digunakan.

    Dengan kedua-dua model SUV dan sedan ini bakal memeriahkan lagi pasaran tempatan, adakah ia mampu menerima sambutan yang menggalakkan seperti mana pesaingnya yang lain? Dengan rekaan yang lebih segar dan spesifikasi yang lebih baik berbanding model terdahulu, adakah ia mampu menjadi bonus untuknya menerima perhatian? Kongsikan pendapat anda bersama kami.

    GALERI: Hyundai Kona 2.0 MPI Mid 2020

    GALERI: Hyundai Sonata 2020

     
     
  • Mitsubishi Xpander – kenapa lambat sampai Malaysia?

    Mitsubishi Xpander – kenapa lambat sampai Malaysia?

    Selepas Mitsubishi Xpander membuat kemunculan sulung globalnya di Indonesia pada 2017, MPV-SUV tersebut dikhabarkan akan masuk ke pasaran Malaysia pada tahun berikutnya. Namun selepas itu ia seakan senyap, dan akhirnya model ini telah didedahkan secara rasmi di Malaysia minggu lalu, serta akan dilancarkan pada bukan hadapan.

    Ketika sesi preview untuk media berkenaan berlangsung, kami sempat bertanyakan berberapa soalan ‘cepu emas’ CEO Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) Tomoyuki Shinnishi dan naib presiden senior Hoffen Teh, antaranya mengapa MMM mengambil masa yang begitu lama untuk membawa Xpander ke pasaran Malaysia?

    Menurut Shinnishi, Malaysia merupakan pasaran yang sangat kompetitif berkenaan harga. Jadi sekiranya Xpander mahu bersaing disini, ia perlu dipasang secara tempatan (CKD). Buat masa sekarang, pesaing terdekat Xpander iaitu Honda BR-V dan Toyota Rush juga dijual dalam versi CKD, bagi membolehkan ia dijual di bawah harga RM100k.

    Mitsubishi Xpander – kenapa lambat sampai Malaysia?

    Jadi untuk memasang Xpander di Malaysia, masa yang agak panjang perlu diambil untuk membuat persediaan produksi di sini. Shinnishi menjelaskan bahawa keputusan untuk memasang Xpander di Pekan adalah kerana salah satu pemegang sahamnya iaitu DRB-Hicom mempunyai kompleks automotif di Bandar Diraja berkenaan.

    “Kami menggunakan sepenuhnya fasiliti DRB bagi menghasilkan produk lebih kompetitif,” kata Shinnichi sambil membayangkan kos yang berjaya dijimatkan serta aspek “menang-menang” untuk semua pihak. Buat masa sekarang, dua lagi model CKD Mitsubishi iaitu Outlander dan ASX dipasang secara kontrak di kilang Tan Chong Motor Assemblies di Segambut, KL.

    Sebelum ini MMM hanya mensasarkan untuk menjual Xapnder sebanyak 500 unit sebulan, namun dengan lebih 7,400 nama yang telah mendaftarkan minat terhadap model ini, Shinnishi berkata bahawa syarikatnya mungkin perlu merombak semula pelan pemasaran dan juga kapasiti produksi bagi memenuhi permintaan.

    Mitsubishi Xpander – kenapa lambat sampai Malaysia?

    Menurut Hoffen pula, Xpander untuk pasaran Malaysia turut diberikan berberapa perubahan berbanding model pasaran ASEAN yang lain. Salah satunya adalah lampu kabus belakang yang perlu diletakkan bagi mematuhi peraturan tempatan.

    Beliau turut menyatakan bahawa gaya hidup dan jangkaan oleh pelanggan di Malaysia juga berbeza, dan sebab itu Xpander pasaran Malaysia diberikan bahagian dalaman dengan warna hitam bersama kemasan perak (yang mudah dijaga) berbanding model pasaran Indonesia yang diberikan kombinasi upholsteri beige dan kemasan kayu yang nampak lebih “mewah”.

    MMM turut membekalkan Xpander pasaran Malaysia ini dengan tempat duduk balutan kulit quilted, skrin sesentuh 9.0-inci dengan sokongan Apple Carplay dan Android Auto, kamera pemantau sekeliling dan juga dashcam. “Kami sedar akan permintaan dan keperluan pasaran tempatan, apa yang dimahukan oleh rakyat Malaysia,” kata Hoffen.



    Mitsubishi Xpander 2020 di Malaysia

     
     
  • Prasarana kurangkan kekerapan tren dan bas mulai 26 Oktober hingga PKPB ditamatkan di Lembah Klang

    Mulai hari ini, 26 Oktober 2020, Prasarana Berhad telah mengumumkan akan mengurangkan kekerapan tren LRT, MRT dan monorel sehingga berakhir pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang dikuatkuasakan ke atas negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana, Datin Hajah Norlia Noah, pihaknya telah mendapat kebenaran daripada Kementerian Pengangkutan untuk mengimbangi kekerapan tren berdasarkan permintaan ekoran penurunan besar aliran penumpang akibat PKPB.

    “Bagaimana pun, perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel ini akan beroperasi mengikut masa yang sama daripada pukul 6 pagi hingga tengah malam. Hanya kekerapan berubah mengikut masa dan permintaan.

    “Kekerapan yang ditetapkan ini, bagaimanapun, adalah sekadar panduan. Operasi tren-tren di semua laluan adalah dipantau rapi oleh Pusat Kawalan Operasi, yang diberi kuasa untuk menambah tren sekiranya diperlukan kerana peningkatan dalam permintaan pada masa-masa tertentu,” kata Datin Hajah Norlia dalam satu kenyataan media semalam.

    Prasarana kurangkan kekerapan tren dan bas mulai 26 Oktober hingga PKPB ditamatkan di Lembah Klang

    Beliau turut berkata kekerapan bas-bas Rapid KL dan bas perantara Jom Naik MRT turut dikurangkan mulai esok kerana permintaan yang menurun dengan banyak dalam tempoh PKPB ini.

    “Berdasarkan kepada data yang kami ada, trend menunjukkan jumlah penumpang menurun termasuk pada waktu puncak. Penumpang pada waktu luar puncak, bagaimanapun, masih sama tetapi adalah amat rendah. Justeru, perkhidmatan Rapid Bus adalah berdasarkan pelan perjalanan hujung minggu, yang merupakan penurunan sebanyak 20 peratus daripada perjalanan pada hari bekerja.

    “Bagaimanapun, Rapid Bus akan terus memantau rapi melalui operasi Pusat Kawalan Bas. Untuk kemudahan pengguna, kami menggalakkan mereka menggunakan aplikasi google maps/moovit dan lihat sendiri kedudukan bas di myrapidbus.prasarana.com.my/kiosk untuk merancang perjalanan yang lebih baik,” tambah beliau.

     
     
  • Data jualan kenderaan bagi Sept 2020 ikut jenama

    Data jualan kenderaan bagi Sept 2020 ikut jenama

    Untuk bulan terakhir dalam suku ketiga 2020, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) turut mengeluarkan data jualan bagi September mengikut jenama. Di mana pada bulan lalu menyaksikan jumlah keseluruhan jualan mencecah 56,444 unit, iaitu lebih 3,644 unit atau 6.9% berbanding rekod yang dicatatkan pada Ogos iaitu sekitar 52,800 unit sahaja.

    Peningkatan jualan ini didorong oleh kempen promosi agresif yang berterusan oleh syarikat pengeluar kereta serta peningkatan produksi kenderaan CKD hasil sambutan yang begitu menggalakkan bagi memenuhi permintaan para pengguna, yang mahu membeli kenderaan baharu dengan harga yang dikecualikan cukai jualan sehingga 31 Disember ini.

    Perodua masih mendahului carta jualan bulanan dengan mencatatkan sebanyak 25,035 unit, rekod terbaik yang pernah dicapai dalam jualan bulanan sepanjang tempoh 26 tahun penubuhannya. Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 10.8% berbanding 22,604 unit yang terjual pada Ogos. Malah ia turut membantu menghampiri jumlah jualan yang disasarkan bagi tahun ini iaitu sebanyak 210,000 unit.

    Data jualan kenderaan bagi Sept 2020 ikut jenama

    Proton tetap menduduki tangga kedua dengan mencatatkan jualan sebanyak 11,875 unit, meningkat 4.4% berbanding 11,378 unit yang direkodkan pada Ogos. Sementara Honda pula mencatatkan jualan sebanyak 5,875 unit (+3.8%) memintas kedudukan Toyota yang perlu berpuas hati di tangga keempat dengan jualan sebanyak 5,520 unit (-2.9%).

    Kebanyakan jenama turut mengecapi kejayaan dalam rekod jualan masing-masing termasuklah Volkswagen (+30.4%), Hyundai (+35.1%) dan Subaru (+305.9%), serta jenama premium seperti Lexus (+21.4%) dan Porsche (+73.5%). Walau bagaimana pun Volvo kurang bernasib baik kerana jualannya susut sebanyak 21.7% pada bulan lalu.

    Seperti dua bulan yang lalu, tiada rekod jualan yang dikongsikan oleh Mercedes-Benz buat setakat ini. Manakala BMW dan MINI pula akan melaporkan jumlah jualan mengikut suku tahunan, tapi nampak gayanya tidak juga berkongsikan data hingga kini.

    Data jualan kenderaan bagi Sept 2020 ikut jenama

     
     
  • BMW R18 Classic lebih banyak aksesori untuk jelajah

    BMW R18 Classic lebih banyak aksesori untuk jelajah

    Satu lagi versi bagi motosikal retro R18 diperkenalkan oleh BMW Motorrad, iaitu R18 Classic. Ia mempunyai lebih banyak aksesori berbanding R18 biasa, yang dijual di Malaysia dalam versi First Edition pada harga RM149,500 tidak termasuk insurans.

    Keistimewaan R18 Classic adalah dia dipasang dengan cermin penghadang angin hadapan, tempat duduk penumpang serta beg barangan tepi. Walaubagaimanapun, semua barang ini masih boleh dicabut bergantung kepada keperluan pengguna. Kemudiannya, ia turut dilengkapi dengan cruise control, lampu utama LED serta rim hadapan 16 inci.

    Pakej kuasa adalah sama sahaja seperti R18 biasa, iaitu menggunakan enjin boxer 1,802 cc yang dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan serta sistem syaf untuk menghantar kuasa sehingga 91 hp pada 4,750 rpm dan 158 Nm tork pada 3,000 rpm kepada roda belakang.

    Antara ciri lain yang diberikan pada R18 CLassic adalah tiga mod tunggangan, Hill Start Control, Reverse Assist, Ebgine Drag Torque Control (MSR) serta sistem tanpa kunci. Sama seperti versi First Edition biasa, R18 Classic First Edition juga akan menggunakan warna hitam serta pinstripe putih, kemasan krom, lencana R18 pada tempat duduk serta tanda First Edition di panel tepi.

    Sebagai tambahan, jika pemilik mahukan lebih lagi aksesori untuk motosikal, mereka boleh memilih dua koleksi daripada Roland Sands ataupun katalog BMW sendiri. Kebanyakan bahagian aksesori ini dibuat daripada milled aluminium.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025