Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mercedes-AMG E63 4Matic+ facelift W213 Sedan dan Estate didedahkan – jana sehingga 612 PS/850 Nm

    Mercedes-AMG E63 4Matic+ facelift W213 Sedan dan Estate didedahkan – jana sehingga 612 PS/850 Nm

    Selepas model standard Mercedes-Benz E-Class W213 versi facelift diperkenalkan pada Mac lalu, kini giliran model paling berkuasa, Mercedes-AMG E63 facelift pula didedahkan sepenuhnya. Model berkenaan muncul bukan sahaja dalam bentuk sedan empat pintu, malah versi Estate juga turut diperkenalkan sekali. Versi tingkat taraf kali ini hadir dengan rupa yang lebih segar bersama berberapa kelengkapan baharu.

    Tidak kira apa bentuk badan yang dipilih oleh pembeli, E 63 facelift ini masih dijana oleh enjin M178 4.0 liter bi-turbo V8 dalam dua versi iaitu E 63 4Matic dan juga E 63 S 4Matic+. Model asas E 63 ditala bagi menghasilkan 571 PS (563 hp) dan tork maksima 750 Nm, manakala E 63 S pula mengekstrak sejumlah 612 PS (603 hp) dan tork maksima 850 Nm dari enjin yang sama.

    Kedua-duanya versi talaan berkenaan akan digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan kelajuan AMG Speedshift MCT 9G dan juga sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic bersama locking differential pada gandar belakang.

    Istimewa untuk model E 63 S, sistem pacuan semua roda 4Matic+ yang dipadankan turut hadir dengan “drift mode” yang boleh diaktifkan menerusi Race Mode, membolehkan semua kuasa hanya dihantar ke roda belakang tanpa sokongan ESP membolehkan pemandu melakukan aksi drift dengan mudah.

    Dengan gandingan semua sistem mekanikal, E 63 mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.5 saat, manakala E 63 S pula 0.1 saat lebih pantas dalam jarak sama iaitu 3.4 saat. Manakala untuk kelajuan maksima, E 63 dihadkan secara elektronik pada 250 km/j, dan ia boleh ‘dibuka’ bagi mendapatkan kelajuan 290 km/j jika pembeli memilih pakej AMG Driver. E 63 S pula secara standard boleh mencapai kelajuan 300 km/j.

    Dengan kuasa lebih besar, E 63 S juga menerima sistem brek lebih baik dengan cakera 390 mm bersama angkup enam omboh di hadapan, serta cakera 360 mm dan angkup omboh tunggal di belakang. Manakala model standard E 63 pula diberikan cakera 360 mm untuk semua roda. Pembeli turut ditawarkan dengan opsyen sistem brek AMG Carbon Ceramik, yang menampilkan cakera dari material istimewa tersebut dalam diameter lebih besar – 402 mm di hadapan dan 360 mm di belakang.

    Pengendalian Mercedes-AMG E 63 ini turut dibantu oleh suspensi AMG Ride Control+ dengan suspensi udara pelbagai kebuk, penyerap hentak adaptif ADS+ dan juga stereng sensitif-kelajuan. Kesemua kelengkapan tersebut berfungsi dengan sistem AMG Dynamic Select yang menawarkan enam mod pemanduan iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+, Individual dan Race.

    Walaupun model asas E 63 tidak hadir dengan mod Race, mereka masih boleh menerima fungsi berkenaan sekiranya memilih opsyen pakej AMG Dynamic Plus yang turut menampilkan sistem brek seperti E 63 S. Mod Race berkenaan berfungsi dengan sistem AMG Dynamic yang akan memberikan talaan semula pada sistem ESP dengan empat tahap iaitu Basic, Advanced, Pro dan Master.

    Seperti E-Class standard, versi AMG sebenar ini turut menerima lampu hadapan baharu yang lebih tirus. Ia diserasikan dengan gril Panamericana, dan juga bampar “jet wing” yang direka semula bagi disesuaikan dengan lampu berkenaan.

    Mercedes-AMG E63 4Matic+ facelift W213 Sedan dan Estate didedahkan – jana sehingga 612 PS/850 Nm

    Kini, spiltter udara hadapan ditawarkan dalam berberapa kemasan – model asas diberikan warna badan, model S diberikan kemasan Silver Shadow, opsyen Night Package hadir dalam kemasan hitam, manakala pelanggan yang memilih AMG Exterior Carbon-Fibre Package I akan menerima komponen tersebut dalam kemasan gentian karbon.

    Model kemaskini ini turut menerima lampu belakang baharu dengan rekaan lebih nipis, dan seperti biasa versi AMG paling berkuasa berkenaan diberikan bampar dengan perumah empat tip ekzos berbentuk segi empat. Jika pelanggan memilih Night Package, tip tersebut hadir dengan kemasan hitam, manakala opsyen AMG Exterior Carbon-Fibre Package I dan II pula hadir dalam kemasan gentian karbon bersama lip spoiler pada penutup but.

    Juga sama seperti W213 biasa, sistem infotainmen pada model ini telahpun disertakan dengan sistem A.I Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Untuk sistem berkenaan, model E 63 biasa hadir dengan dua skrin 10.25-inci, manakala versi S pula hadir dengan skrin lebih besar bersaiz 12.25-inci.

    Mercedes-AMG E63 4Matic+ facelift W213 Sedan dan Estate didedahkan – jana sehingga 612 PS/850 Nm

    Untuk paparan instrumen digital pada sistem tersebut pula, ia turut hadir dengan paparan AMG yang menampilkan tema Supersport, selain dari tem Modern Classic dan Sport. Paparan prestasi seperti G-meter, pemasa perlumbaan, data-data enjin dan lain-lain turut disertakan.

    Ciri baharu lain yang turut tampil pada model kemaskini ini termasuk roda stereng AMG Performance yang menampilkan jejari yang lebih bulat dengan pilihan balutan gentian mikro Dinamica atau kulit atau kombinasi kedua-duanya. Roda stereng tersebut turut menampilkan akses cepat kepada pelbagai larasan kereta, dengan dua paparan kecil pada kedua-dua sisi jejari bawah.

    Mercedes-AMG E 63 S 4Matic+ W213 facelift Sedan

    Mercedes-AMG E 63 S 4Matic+ W213 facelift Estate

     
     
  • Toyota Harrier 2020 dengan kit badan GR Sports

    Toyota Harrier 2020 dengan kit badan GR Sports

    April lalu, Toyota telah memperkenalkan Harrier generasi keempat, yang akan dilancarkan di pasaran Jepun Jun ini. Banyak perubahan yang diberikan kepada SUV popular ini, termasuklah penampilan untuk menjadikannya lebih segar.

    Walaubagaimanapun, sekiranya pelanggan mencari kit badan yang lebih sporty, kini sudah ada pilihan pelbagai aksesori yang disediakan oleh cabang ubah suai dan prestasi jenama itu, GR. Dari kit badan, pilihan barangan yang disediakan adalah cukup meluas sehinggalah untuk bahagian dalam.

    Bagi kit aerodinamik, yang terdiri daripada bampar, skirting dan spoiler, GR menjualnya pada harga 413,600 yen (RM16,549), namun ia masih boleh dibeli secara berasingan (contohnya jika spoiler bampar hadapan sahaja adalah 72,600 yen atau RM2,905).

    Untuk rim, unit yang disediakan oleh GR mempunyai saiz 20 inci dan dijual pada harga 477,950 yen (RM19,124) bersama tayar manakala ekzos sport dijual pada harga 165,000 (RM6,602). Aksesori lain yang dijual oleh GR untuk Harrier baru ini adalah seperti visor tingkap, nat tayar, pelindung pembuka pintu, penapis haba cermin, alas barangan, pelindung matahari dan tapak nombor plet.

    Harrier generasi baru dibina atas platform TNGA (GA-K), dan datang dengan dua pilihan enjin Dynamic Force, iaitu 2,487 cc untuk versi hibrid dan 1,986 cc untuk versi biasa. Kedua-duanya dipadankan bersama transmisi CVT dan boleh dipilih dengan pacuan semua roda.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: Audi turun harga sekitar 3.6%

    Pengecualian SST 2020: Audi turun harga sekitar 3.6%

    Satu lagi pengedar rasmi kenderaan yang mengumumkan harga model mereka setelah dilaras mengikuti pengecualian cukai jualan yang telah diberikan kerajaan sehingga 31 Disember ini adalah Audi Malaysia, dengan penurunan harganya antara 3.46% hingga 3.6%.

    Model permulaan Audi yang dijual di Malaysia sekarang adalah A3 Sedan, di mana harganya kini diturunkan sebanyak RM8,390 (atau 3.5%), menjadi RM231,360. A5 Sportback Sport 2.0 TFSI Quattro pula sekarang dijual pada harga RM327,680 – lebih rendah RM12,220 (3.59%).

    Pergi kepada model yang lebih besar, A6 Sedan kini dijual pada harga RM568,927, iaitu RM20,973 (atau 3.55%) lebih murah berbanding sebelum ini manakala A7 Sportback pula sudah boleh dibeli pada harga di bawah RM600k, iaitu RM588,343 – lebih rendah RM21,557 (atau 3.53%).

    Pengecualian SST 2020: Audi turun harga sekitar 3.6%

    Model yang mendapat potongan harga paling banyak akibat daripada pengecualian cukai jualan ini adalah A8L Sedan, di mana ia sekarang dijual pada harga RM848,834 ataupun RM31,066 lebih murah.

    Jika melihat kepada peratusan pula, pengurangan harga paling banyak adalah untuk SUV paling besar jenama itu, iaitu Q8, di mana harganya menjadi RM701,698.81 – kurang 3.6%. SUV lain seperti Q2, Q3 dan Q5 masing-masing mencatat pengurangan harga RM7,678.11, RM9,344.61 dan RM12,193.09.

     
     
  • Tengku Djan akan pandu Toyota GR Supra V8 4.4L turbo Evangelion Racing dalam D1GP Jepun 2020

    Tengku Djan akan pandu Toyota GR Supra V8 4.4L turbo Evangelion Racing dalam D1GP Jepun 2020

    Seperti yang diumumkan minggu lalu, semalam berlangsung majlis pendedahan pasukan Evangelion Racing untuk perlumbaan drift professional D1 Grand Prix (D1GP) Jepun musim 2020 yang akan diwakili oleh Prince of Drift Malaysia, Tengku Djan Ley. Disebabkan pandemik Covid-19 yang masih lagi belum reda, Tengku Djan tidak dapat menghadiri majlis yang diadakan di Jepun tersebut, dan hanya menyertainya secara atas talian.

    Juga seperti apa yang telah diberitahu sebelum ini, Tengku Djan akan memandu Toyota GR Supra Evangelion Racing yang dibina oleh Do-Luck. Dalam majlis ini, jentera berkenaan telahpun didedahkan – ia tidak dijana oleh enjin 2JZ seperti GR Supra Daigo Saito dan Nobuteru Taniguchi, tetapi lebih mirip dengan jentera Kawabata Masato dari pasukan Toyo Tyres yang dijana oleh enjin 3UZ-FE yang dinaikkan kapasiti kepada 4.4 liter V8 dan disuap oleh pengecas turbo, menghasilkan sekitar 1,000 hp.

    Jentera tersebut mengenakan kit badan lebar dari HKS seperti yang ditayangkan pada Tokyo Auto Salon 2020 Januari lalu, dan diberikan livery perlumbaan ungu-hijau anime Evangelion. Ia turut dipadankan dengan rim dari Rays Engineering, dibaluti tayar Toyo Proxes R888R Drift.

    GR Supra yang akan dipandu oleh Tengku Djan ini juga menampilkan cermin sisi dan cermin pandang belakang yang digantikan dengan kamera, dan ia akan dipaparkan menerusi tiga skrin yang diletakkan di belakang roda stereng, sama seperti jentera Kawabata Masato.

    Namun Tengku Djan turut menyatakan bahawa dia tidak dapat berlumba dalam musim penuh D1GP Jepun tahun ini disebabkan pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir. Walau bagaimanapun dia menegaskan akan bertanding secara kompetitif dalam pusingan-pusingan terpilih, dan sudah mula berlatih menggunakan simulator pada litar-litar berkenaan.

    Tengku Djan sebelum ini pernah dinobatkan sebagai juara D1GP Malaysia pada tahun 2006. Kemenangan tersebut membolehkan dia layak untuk ke D1GP All Star pada tahun yang sama di litar Irwindale Speedway, Amerika Syarikat untuk bertarung dengan juara-juara D1GP yang lain dari seluruh dunia.

    Dalam perlumbaan berkenaan, Tengku Djan yang memandu Toyota Sprinter Trueno AE86 pasukan Bridgestone Malaysia bukan sahaja diberi penghormatan bagi membuat ‘introduction run’ dalam bahasa Melayu, dia juga telah membuat kejutan dengan menewaskan Vaughn Gittin Jr. yang memandu Ford Mustang dalam sesi Tsuiso Best 16 dan berjaya menduduki tangga ke lima secara keseluruhan.

    Sebelum disahkan mendapat tempat untuk berlumba dalam D1GP Jepun tahun ini, Tengku Djan sebelum ini telah berlumba dalam siri perlumbaan D1GP China pada tahun 2018 dan juga FIA Intercontinentel Drift di Tokyo dalam tahun yang sama.

     
     
  • Toyota RAV4 2020 kini di M’sia — CBU Jepun, Toyota Safety Sense, 2.0L CVT RM197k, 2.5L 8AT RM216k

    Toyota RAV4 2020 kini di M’sia — CBU Jepun, Toyota Safety Sense, 2.0L CVT RM197k, 2.5L 8AT RM216k

    Selepas desas-desus tentangnya mula berlegar sejak kebelakangan ini, UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini memperkenalkan secara rasmi model SUV RAV4 2020 terbaru untuk pasaran Malaysia. SUV generasi kelima ini bakal menjadi penawaran terbaru dan kembali membawa nama Toyota ke dalam segmen SUV urban — walaupun sebelum ini memang ada Fortuner dan juga Rush; itu cerita lain.

    Toyota RAV4 dibangun menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), menuruti model-model lain di Malaysia sebelum ini seperti Corolla, Camry dan C-HR. Untuk sekian lama bagi pasaran tempatan, inilah pesaing yang paling ideal dari Toyota untuk mengimbangi model-model pesaing seperti Honda CR-V dan Mazda CX-5.

    Sekali imbas, saiz RAV4 nampak sedikit lebih besar daripada dua model berkenaan. Dari ukuran dimensi, hal ini memang betul walaupun tidaklah terlalu ketara. RAV4 memiliki 4,600 mm panjang, 1,855 mm lebar dan 1,685 mm tinggi – ini misalnya 16 mm lebih panjang dan 6 mm lebih tinggi berbanding Honda C-RV.

    Toyota RAV4 2020 kini di M’sia — CBU Jepun, Toyota Safety Sense, 2.0L CVT RM197k, 2.5L 8AT RM216k

    Jarak antara rodanya pula ialah 2,690 mm, iaitu 30 mm lebih panjang berbanding SUV Honda berkenaan. Mazda CX-5 pula hadir dengan saiz yang lebih kecil berbanding C-RV. Apa yang membuatkan RAV4 nampak lebih besar tentunya disebabkan oleh pendekatan rekaan yang diterapkan.

    Ia tampil dengan rekaan yang lebih berkotak, nampak lebih berotot. Unsur petak ini bahkan digunakan juga untuk bahagian lengkung roda, dengan garis badan yang lebih jelas terutama pada penawaran warna yang lebih cerah. Ini mungkin perkara yang sedikit sebanyak membezakan penampilan RAV4 berbanding SUV lain dalam pasaran ketika ini.

    Untuk enjin, RAV4 menerima dua unit janaan Dynamic Force sebagai pilihan. Kedua-duanya tanpa gesaan turbo, dengan ciri suntikan terus D-4S DOHC serta VVT-iE untuk kemasukan udara manakala VVT-i untuk ekzos. Unit M20A-FKS 2.0L menjana 173 PS dan 207 Nm pada 4,800 rpm, dengan digandingkan bersama transmisi CVT.

    Toyota RAV4 2020 kini di M’sia — CBU Jepun, Toyota Safety Sense, 2.0L CVT RM197k, 2.5L 8AT RM216k

    Satu lagi pilihan enjin ialah A25A-FKS 2.5L empat-silinder dengan janaan 207 PS dan 243 Nm pada 5,000 rpm. Unit ini dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan Direct-Shift, gandingan yang sama pernah digunakan pada Lexus ES 250 yang ada ketika ini. Kedua-dua sistem transmisi CVT dan 8AT berkenaan datang dengan paddle shifter untuk penukaran gear secara manual. Tiga mod pemanduan juga tersedia – Normal, Eco dan Sport.

    Perlu juga dinyatakan bahawa kedua-dua pilihan enjin ini sebenarnya datang dengan penawaran dan senarai kelengkapan yang sama antara varian – hanya berbeza kapasiti enjin dan kombinasi transmisinya sahaja. RAV4 2.0L tidak diberikan senarai kelengkapan yang asas atau kurang berbanding versi 2.5L. Pilihan itu terserah kepada pelanggan; sekiranya anda inginkan enjin yang lebih besar dengan kotak gear 8AT, maka pelanggan perlu membayar RM20k lebih tinggi serta cukai jalan yang juga lebih mahal. Itu sahaja.

    Senarai kelengkapan yang dimaksudkan pula sangat banyak. Antaranya, dari segi penampilan, RAV4 datang dengan rim 18-inci lima jejari (tayar Bridgestone Alenza, saiz 225/60), lampu utama LED dengan DRL, lampu belakang LED, lampu dan pengilap cermin automatik serta pintu kargo belakang kuasa elektrik automatik dengan operasi gerak kaki.

    Di dalam, konsol tengahnya lebih tinggi dan tempat duduk boleh direndahkan lagi. Hal-hal perincian kemasan juga diberikan tumpuan; hampir semua bahagian separuh atas panel menggunakan material lembut di keliling kabin, papan pemuka dan panel dengan perincian jahitan serta kemasan-kemasan warna cokelat yang dapat dilihat di beberapa bahagian.

    Sistem pintar tanpa kunci, meter Optitron (instrumen panel permandu terdiri daripada skrin tujuh-inci yang diapit oleh meter analog di kiri dan kanan), kawalan pendingin dua zon dengan corong belakang, kerusi depan berliang udara, metarial gabungan kulit untuk kerusi, kerusi pemandu larasan lapan-arah dengan sokongan lumbar dan memori, cermin pandang belakang elektrokromik dan brek parkir elektrik dengan ciri HOLD sebagai standard.

    Unit utama untuk infotainmen pula menggunakan skrin sentuh DVD tujuh-inci yang disambungkan kepada enam pembesar suara. Sokongan untuk Apple CarPlay dan Android Auto tersedia, melalui paparan panoramik 3D, yang membolehkan pemandu meninjau 360-darjah persekitaran kenderaan hanya dengan menekan satu butang. Pengecas tanpa wayar Qi juga disediakan, serta perakam video digital di depan dan belakang juga.

    Toyota RAV4 2020 kini di M’sia — CBU Jepun, Toyota Safety Sense, 2.0L CVT RM197k, 2.5L 8AT RM216k

    RAV4 juga lengkap dengan Toyota Safety Sense, yang termasuk di dalamnya ciri seperti sistem pra-perlanggaran, amaran penukaran lorong (dengan bantuan stereng dan bantuan mengekalkan lorong), kawalan melayar radar dinamik dan lampu tinggi automatik. Selebihnya, ia juga lengkap dengan tujuh beg udara, kawalan kestabilan dan peninjau titik buta serta peninjau tekanan tayar. UMWT juga menambah filem penapis haba dan sistem telematik.

    Enam warna ditawarkan; Red Mica, Silver Metallic, Gray Metallic, Attitude Black, Dark Blue Mica dan White Pearl CS, yang dikenakan caj tambahan RM800. Jaminan kilang ialah selama lima-tahun, tanpa had perbatuan.

    Untuk harga pula, RAV4 asalnya diumumkan akan dijual pada harga RM203,880 bagi enjin 2.0L manakala enjin 2.5L pila pada harga RM223,880, atas jalan tidak termasuk insurans. Namun, dengan pengumuman harga tanpa SST untuk tahun ini, yang termasuk juga sebahagiannya bagi kenderaan CBU, SUV ini akan dijual masing-masing pada harga RM196,500 dan RM215,700.

    Toyota RAV4 2020 kini di M’sia — CBU Jepun, Toyota Safety Sense, 2.0L CVT RM197k, 2.5L 8AT RM216k

    Jika dibandingkan dengan dua pesaingnya di awal tadi, RAV4 memang lebih mahal. Honda C-RV yang paling lengkap, varian 1.5 TC-P 2WD misalnya kini dijual pada harga RM168,465 (RM175,900 dengan SST sebelum ini). Perbezaannya, C-RV merupakan unit pemasangan tempatan (CKD), sementara RAV4 dibawa masuk dari Jepun.

    Jadi, apa pandangan anda tentang Toyota RAV4 2020 ini? Adakah ia mampu untuk memberi saingan sengit kepada Honda C-RV dan juga Mazda CX-5? Jika anda perlukan maklumat lanjut berkaitan SUV terbaru daripada Toyota ini, layari juga laman CarBase.my.

    Toyota RAV4 2020 2.5L

     
     
  • Hampir 40 juta saman trafik tertunggak belum dibayar sejak tahun 2000 dengan nilai RM4 bilion – JSPT

    Hampir 40 juta saman trafik tertunggak belum dibayar sejak tahun 2000 dengan nilai RM4 bilion – JSPT

    Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias telah memaklumkan sejak tahun 2000, sebanyak hampir 40 juta saman trafik masih tertunggak yang belum diselesaikan orang ramai. Di mana kesemua saman berkenaan mencecah nilai sehingga lebih kurang RM4 bilion.

    “Kategori kesalahan tertinggi yang dilakukan oleh pesalah trafik ialah memandu melebihi had laju, tidak mematuhi arahan papan tanda trafik, kesalahan berkaitan lesen dan tidak mematuhi lampu isyarat,” katanya kepada Bernama.

    Azisman turut mengingatkan mereka yang menerima saman trafik berkenaan agar melunaskannya dengan segera.

    Hampir 40 juta saman trafik tertunggak belum dibayar sejak tahun 2000 dengan nilai RM4 bilion – JSPT

    Beliau turut berkata, sejak hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun 2020 sehingga kelmarin, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 80,950 saman terhadap pengguna jalan raya.

    Antara kesalahan utama yang dilakukan adalah memandu melebihi had laju dengan sebanyak 37,802 saman, lesen tamat tempoh (12,169) dan sebanyak 10,390 saman tidak mematuhi arahan papan tanda trafik.

    Menurutnya, pihak JSPT akan terus mengambil tindakan saman dan membawa pesalah ke mahkamah, jika melanggar peraturan dan undang-undang raya.

    “Ini juga termasuk pengguna jalan raya yang memandu dalam keadaan mabuk dan penunggang motosikal yang didapati merempit di jalan raya,” katanya.

     
     
  • Sebahagian kerangka projek LRT3 runtuh di Meru, Klang; beberapa jalan ditutup hingga 21 Jun – polis

    Sebahagian kerangka projek LRT3 runtuh di Meru, Klang; beberapa jalan ditutup hingga 21 Jun – polis

    Beberapa jalan di Meru, Klang ditutup serta merta mulai hari ini sehingga 21 Jun 2020 berikutan insiden sebahagian kerangka projek pembinaan pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) runtuh awal pagi tadi.

    Kegagalan struktur kerangka besi ketika kerja menuang konkrit dalam projek berkenaan dipercayai menyebabkan struktur itu bengkok. Penutupan jalan dilaksanakan bagi kerja pembersihan di lokasi terbabit dibuat.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh, memaklumkan kejadian berlaku di Batu 2, Jalan Meru menghala ke Meru berhadapan Bangunan TM Point itu walau bagaimana pun tidak membabitkan kemalangan jiwa.

    “Jalan Meru ditutup dari arah Pusat Bandar ke Meru. Orang awam boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Meru-Jalan Sentosa 41-Jalan Meru. Jalan Kedah (susur ke Jalan Meru) juga ditutup, orang awam boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Kedah-Jalan Meru (arah ke Pusat Bandar Klang),” katanya seperti yang dilaporkan oleh The Star.

    Mengulas mengenai kronologi kejadian katanya, pihaknya dihubungi Sunway Construction selaku pemaju projek berkenaan, pada jam 6 pagi bagi membuat kawalan lalu lintas yang agak sesak ketika kejadian.

    “Kejadian berlaku jam 5.15 pagi tadi, pihak terbabit memaklumkan dihubungi pegawai keselamatan tapak projek yang bertugas bahawa semasa kerja-kerja pembinaan dijalankan, struktur kerangka keluli gagal menampung beban sehingga menyebabkan struktur itu membengkok ke bawah dari ketinggian 7 meter,” katanya lagi.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: Porsche turun harga hingga RM47,609 atau 3.9% sampai 31 Disember 2020

    Pengecualian SST 2020: Porsche turun harga hingga RM47,609 atau 3.9% sampai 31 Disember 2020

    Satu lagi pengedar rasmi yang telah mengeluarkan senarai harga kenderaan jualan mereka adalah Sime Darby Auto Performance (SDAP), iaitu untuk kenderaan Porsche, setelah dilaras mengikut pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan sehingga 31 Disember.

    Bergantung kepada model, penurunan harganya boleh mencecah sehingga RM47,609, dan untuk pengetahuan, ini adalah harga model yang mengikut spesifikasi biasa dan tidak termasuk pilihan tambahan, cukai jalan dan juga insurans.

    Model Porsche permulaan, iaitu 718 Boxster sekarang dijual pada harga RM486,727, iaitu bersamaan RM13,273 (atau 2.65%) lebih murah berbanding sebelum ini. Boxster S yang lebih berkuasa pula dijual pada harga RM602,837, menunjukkan penurunan harga RM17,163 (atau 2.77%). Barisan model Cayman 718, yang terdiri daripada varian asas dan S melihatkan penjimatan sehingga RM22,357 (or 3.29%).

    Pengecualian SST 2020: Porsche turun harga hingga RM47,609 atau 3.9% sampai 31 Disember 2020

    Bagi barisan 911, model asas Carrera S sekarang dijual pada harga RM1,105,335, iaitu RM44,665 (atau 3.88%) lebih murah, manakala Carrera 4S pula harganya RM1,172,391, turun RM47,609 (atau 3.9%). Harga model Panamera pula kini lebih murah sehingga RM39,418 (atau 3.55%) manakala Cayenne dan Macan sehingga RM32,685 (atau 3.56%).

    Selain harga baru ini, SDAP turut mengumumkan pakej pembiayaan baru yang dikenali sebagai Porsche 360 Financing+ untuk Macan. Ia memberikan pilihan pemilikan yang lebih fleksibel kepada pelanggan, dengan tempoh bayaran semula lebih pendek (12 bulan hingga 60 bulan) serta pembiayaan maksimum sehingga 90%.

     
     
  • JPJ keluarkan 12,694 notis untuk kesalahan nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi pada tahun ini

    JPJ keluarkan 12,694 notis untuk kesalahan nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi pada tahun ini

    Sekarang ini semakin ramai pemilik yang mahukan nombor pendaftaran ‘unik’ mengikut tafsiran sendiri untuk diletakkan pada kenderaan. Akses untuk mendapatkan nombor pendaftaran ini juga adalah lebih mudah dengan adanya sistem bidaan atas talian.

    Selepas mendapatkan nombor pendaftaran yang dimahukan, ada pula yang menampalnya pada kenderaan dengan tulisan yang tidak mengikut spesifikasi, demi menampakkan ia seperti bermakna sesuatu. Akhirnya apabila dijumpai oleh pihak berkuasa, mereka akan dikenakan saman.

    Menurut laporan yang dikeluarkan Harian Metro, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mendedahkan bahawa tahun ini sahaja 12,694 notis telah dikeluarkan kerana kesalahan ini. Kemudiannya, 7,455 kenderaan telah dikompaun dari bulan Januari hingga bulan Mei 2020.

    JPJ keluarkan 12,694 notis untuk kesalahan nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi pada tahun ini

    “Mereka yang menggunakan nombor ‘fancy‘ mempunyai interpretasi sendiri yang kemungkinan ada maksud namun ia menyalahi peraturan JPJ. Pemilik kenderaan yang memasang nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi itu akan dipanggil untuk memberi penjelasan dan diperiksa sebelum disaman,” kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid.

    Menurut beliau lagi, pada tahun 2016, 13,606 kompaun telah dikeluarkan atas kesalahan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi manakala pada tahun 2017 sebanyak 11,717 kompaun, 2018 11,957 kompaun dan pada tahun 2019 sebanyak 31,716 kompaun.

     
     
  • Bidaan nombor pendaftaran SYG cecah RM3.4 juta dalam masa 5 hari, akan datang siri VEV – JPJ

    Bidaan nombor pendaftaran SYG cecah RM3.4 juta dalam masa 5 hari, akan datang siri VEV – JPJ

    Seperti yang dijangka, nombor pendaftaran SYG mendapat sambutan yang menggalakkan sejurus ia boleh dibida menerusi sistem JPJeVid dalam tempoh 10-15 Jun 2020. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya memperoleh sebanyak RM3.4 juta hasil bidaan yang dibuka selama lima hari itu. Secara tidak langsung, siri ini telah mendahului siri ALL yang dibuka tahun lalu dengan perbezaan kutipan sebanyak RM100,254.

    Sebanyak 7,424 individu telah membida siri terbabit dengan sejumlah 3,173 pembida berjaya memperolehnya. Seperti yang dijangka, SYG 1 menjadi nombor pendaftaran yang paling mahal iaitu mencecah RM115,000 dan berjaya dibida oleh Ung Eng Huat. Individu yang sama juga memenangi bidaan bagi SYG 8 dengan nilai RM52,000, sekaligus merupakan nombor ketiga termahal di antara siri SYG ini.

    Lain-lain nombor yang menerima bidaan tertinggi ialah SYG 9 (RM70,096), SYG 10 (RM50,000) dan SYG 2 (RM45,000). Manakala nombor yang paling banyak dibida ialah SYG 8055 iaitu melibatkan 25 bidaan, dan berjaya terjual pada nilai RM19,000.

    JPJ berkata, mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat tawaran dikeluarkan di Pejabat JPJ Negeri atau cawangannya.

    Nombor siri yang selebihnya bagi SYG tidak akan dibida (melibatkan 6,826 nombor) dan akan dibuka untuk jualan umum. Harga bermula dari RM20,000 untuk Nombor Bernilai Utama (Golden Numbers) hingga RM300 bagi Nombor Semasa (Running Numbers).

    Orang awam yang berminat untuk mendapatkan baki nombor pendaftaran ini, boleh berurusan di Pejabat JPJ Negeri atau cawangan. Selain itu, orang awam juga disarankan untuk memiliki ID mySIKAP awam bagi mendapatkan senarai nombor semasa yang masih belum didaftarkan lagi dan seterusnya membeli secara atas talian.

    JPJ turut memaklumkan, siri nombor pendaftaran yang akan dibuka untuk bidaan selepas ini ialah VEV, boleh dibida menerusi JPJeBid (aplikasi atau portal) dari 18 hingga 22 Jun ini.

     
     
  • BMW X5 xDrive45e PHEV dilancarkan di M’sia — 3.0L turbo, 394 PS, jarak elektrik 77 km, RM441k tanpa SST

    BMW X5 xDrive45e PHEV dilancarkan di M’sia — 3.0L turbo, 394 PS, jarak elektrik 77 km, RM441k tanpa SST

    BMW Malaysia hari ini memperkenalkan model plug-in hybrid terbaru dalam versi BMW X5 G05 xDrive45e M Sport secara dalam talian. Model terbaru ini, yang kekal menikmati insentif duti import dan eksais dijual pada harga RM440,745 atas jalan tanpa insurans dan tanpa SST (RM448,800 dengan SST).

    Jika dibandingkan dengan harga terbaru ini, model berkenaan RM58,000 lebih mahal berbanding versi terdahulunya, tetapi memberikan penjimatan sebanyak RM170,000 berbanding model petrol xDrive40i yang ketika ini tidak lagi dijual.

    Peningkatan harga itu antara lain disebabkan oleh sistem janaan kuasa yang melengkapinya. Model baru ini menggunakan enjin B58 3.0 liter enam-silinder sebaris yang menjana sebanyak 286 PS dari 5,000 rpm dan 450 Nm dari 1,500 hingga 3,500 rpm – pengurangan 54 PS, tetapi jumlah tork sama berbanding enjin di dalam xDrive40i.

    BMW X5 xDrive45e PHEV dilancarkan di M’sia — 3.0L turbo, 394 PS, jarak elektrik 77 km, RM441k tanpa SST

    Motor elektrik yang ada pula memberikan tambahan kuasa sebanyak 113 PS dan 265 Nm, memberikan angka janaan keseluruhan 394 PS dan 600 Nm tork. Angka ini sebenarnya sama dengan janaan bagi model 740Le. Dengan kelebihan 81 PS dan 150 Nm berbanding model sama sebelum ini, xDrive45e dengan pacuan semua roda ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat (satu saat lebih pantas) dengan laju maksimum 235 km/j. Kadar penggunaan minyak ialah 2.5 liter per 100 km mengikut kitaran gabungan NEDC.

    Bateri lithium-ion yang digunakan juga lebih besar; 24 kWh, kapasiti baru ini hampir tiga kali ganda besar berbanding model lamanya, dengan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya 77 km, naik dari 30 km sebelum ini. Tempoh mengecas pula ialah enam jam 50 minit menggunakan BMW i Wallbox (dengan output 3.7 kW) dan 10 jam 30 minit mengguncan pengecas 3-pin yang disediakan melalui soket domestik 240-volt. xDrive45e ini menggunakan penyambung Type 2 untuk mengecas.

    Dengan penggunaan bateri ini, ruang barangan juga menerima sedikit kesan; 150 liter lebih kecil berbanding model petrolnya dengan kapasiti 500 liter. Turunkan kerusi barisan kedua, kapasiti barangan akan menjadi 1,750 liter.

    BMW X5 xDrive45e PHEV dilancarkan di M’sia — 3.0L turbo, 394 PS, jarak elektrik 77 km, RM441k tanpa SST

    Kelengkapan standard pula hampir sama dengan model xDrive40i. Sedikit perbezaan termasuk penggunaan lampu utama LED adaptif dengan lampu tinggi matrix, lampu kabus LED, pakej M Sport, kaliper brek biru M Sport dan rim 20-inci Style 740 M. Turut ada ialah ciri tanpa kunci yang membolehkan kunci dibuka ketika pemandu menghampirinya, serta BMW Digital Key yang membolehkan telefon Samsung terpilih digunakan sebagai kunci.

    Di dalam, kemasan kayu Fineline Stripe dapat dilihat (berbanding aluminium), material kulit Vernasca hitam untuk tempat duduk, kerusi sport larasan kuasa dengan memori untuk sebelah pemandu, kawalan pendingin empat-zon, bumbung kaca panoramik dan pintu kargo berkuasa automatik.

    Turut dilengkapi ialah sistem infotainmen BMW Live Cockpit Professional, dengan dua paparan 12.3-inci bagi instrumen dan infotainmen serta kawalan suara Intelligent Personal Assistant. Selain itu, ia mempunyai 14 pembesar suara, sistem bunyi Harman Kardon 464-watt, pengecas tanpa wayar Qi dan sistem hiburan kerusi belakang dengan pemain Blu-Ray dan dua skrin 10.2-inci.

    BMW X5 xDrive45e PHEV dilancarkan di M’sia — 3.0L turbo, 394 PS, jarak elektrik 77 km, RM441k tanpa SST

    Satu naik taraf penting yang dilakukan ialah terhadap suspensi, yang kini menggunakan jenis suspensi udara di depan dan belakang. Dari sudut keselamatan, xDrive45e terus menawarkan pakej bantuan pemandu, termasuk di dalamnya ciri seperti brek kecemasan automatik, amaran penukaran lorong dan peninjau titik buta. Tiada lagi kawalan melayar adaptif seperti pada xDrive40i, tetapi model baru ini menerima pakej Parking Assistant Plus yang dipertingkat.

    Selain ciri parkir autonomous, pakej berkenaan juga ada tambahan sistem kamera 360-darjah dan ciri bantuan mengundur yang membolehkan kereta ini mengingati 50 meter terakhir ketika dalam mengundur. X5 xDrive45e ini datang dengan tempoh jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan, pakej lima-tahun servis percuma dan jaminan tayar selama dua-tahun.

    Ia juga menerima jaminan bateri hibrid selama lapan-tahun/160,000 km – peningkatan daripada tempoh jaminan dahulu yang hanya melibatkan enam-tahun/100,000 km. Turut ditawarkan ialah pelan pembiayaan daripada BMW Group Financial Services Malaysia, menawarkan ansuran bulanan dari RM5,028 dengan 80% jumlah pinjaman selama lima-tahun. Untuk perincian lanjut berkaitan model ini, layari CarBase.my.

     
     
  • PKPP: Pengecualian membaharui cukai jalan, lesen memandu selepas 18 Mac masih berkuatkuasa-JPJ

    PKPP: Pengecualian membaharui cukai jalan, lesen memandu selepas 18 Mac masih berkuatkuasa-JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan pengecualian pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang tamat tempoh dalam waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, masih berkuatkuasa.

    Menurut JPJ, pengecualian yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong pada 24 Mac lalu, adalah selaras di bawah Seksyen 66 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Justeru, orang ramai boleh memandu kenderaan dengan syarat kenderaan tersebut mempunyai perlindungan insurans yang masih sah dan berkuat kuasa.

    “Namun begitu, orang ramai adalah disarankan untuk membuat urusan pembaharuan LKM dan LMM bagi mengelakkan kesesakan di kaunter setelah pengumuman PKP berakhir oleh Perdana Menteri kelak. Di mana kaunter JPJ telah mula beroperasi sepenuhnya bagi semua jenis urus niaga bermula pada 18 Mei lalu.

    “Malahan bagi usaha menyelesaikan urusan pembaharuan LKM dan LMM yang tertangguh pada waktu PKP tempohari, Menteri telah mengarahkan JPJ untuk beroperasi pada hujung minggu. Jadi, saya berharap agar orang ramai untuk mengambil peluang ini bagi menyelesaikan segala urusan yang tertangguh dalam tempoh PKP,” ujar Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid.

    Beliau turut memaklumkan, sehingga kini, jumlah LKM dan LMM yang masih belum diperbaharui bagi tempoh 18 Mac hingga 14 Jun 2020 adalah sebanyak 2,119,653 bagi LKM dan 2,184,508 untuk LMM.

    “JPJ tidak akan mengambil tindakan terhadap kes LKM dan LMM yang telah tamat tempoh dalam tempoh PKP. Bagi kesalahan lain seperti lebih muatan, melebihi had laju ditetapkan, kesalahan utama dan lain-lain penguatkuasaan dijalankan seperti biasa,” jelasnya lagi.

     
     
  • BMW X5 xDrive45e G05 – saksikan siaran langsung pelancarannya jam 12 tengahari di FB, Youtube

    BMW X5 xDrive45e plug-in hybrid G05 bakal dilancarkan untuk pasaran tempatan hari ini. Bagi yang tidak mahu ketinggalan, anda boleh menyaksikan secara langsung majlis pelancaran ini pada jam 12 tengahari melalui Facebook dan saluran Youtube.

    Beberapa hari sebelum pelancarannya, BMW Malaysia telah menyiarkan teaser di laman media sosial yang memaparkan SUV mewah ini bersama kapsyen, “There’s a new boss in town, the BMW X5 plug-in hybrid. All charged up for BMW Malaysia’s first-ever virtual launch event,” di mana ia menggunakan nama gelaran “Boss” untuk merujuk kepada model baharu tersebut.

    X5 xDrive45e baharu ini memiliki kuasa yang lebih tinggi dan juga beberapa silinder tambahan. Ia dikuasakan oleh B58 3.0 liter enam-silinder, menggantikan unit N20 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder yang ada pada model terdahulu. Enjin baharu ini mampu meledakkan kuasa hingga 286 PS dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 450 Nm dari 1,500 hingga 3,500 rpm iaitu lebih 41 PS dan 100 Nm berbanding 2.0L.

    Apa lagi ciri menarik yang ditampilkan untuk “Boss” ini? Ketahuinya menerusi siaran langsung ini. Kami juga akan memaparkan perincian penuh mengenainya menerusi artikel selepas ini.

     
     
  • Mazda BT-50 serba baru didedahkan — Isuzu D-Max dengan ‘kulit’ Kodo Design, papan pemuka berbeza

    Mazda BT-50 serba baru didedahkan — Isuzu D-Max dengan ‘kulit’ Kodo Design, papan pemuka berbeza

    Mazda telah mendedahkan model trak pikap BT-50 serba baru, menampilkan rekaan yang diperbaharui sepenuhnya untuk kali pertama sejak sembilan tahun lalu. Generasi terbaru trak pikap berkenaan juga menandakan peralihan penting bagi pengeluar kenderaan berpangkalan di Hiroshima itu; Mazda tidak lagi menggunakan Ford Ranger sebagai asasnya, tetapi kini beralih kepada Isuzu D-Max.

    Isuzu juga akan memasang BT-50 untuk Mazda di Thailand, dengan jangkaannya trak baru itu akan mula masuk bilik pameran hujung tahun ini. Isuzu D-Max generasi ketiga yang ada kini dipertontonkan Oktober tahun lalu. BT-50 yang ada lihat ini kelihatan sangat berbeza daripada D-Max, dengan rekaan wajah depan dan bahagian belakang yang tersendiri – langsung tiada persamaan dengan Isuzu D-Max.

    BT-50 ini juga akan menerapkan rekaan luaran dan badan dengan pendekatan Kodo, sama seperti model-model Mazda yang lain. Wajah depannya saling tak tumpah seperti rekaan depan SUV-SUV Mazda yang ada ketika ini. Dan, trak Mazda ini nampak lebih menarik dan tidak terlalu kental seperti D-Max. Dua warna utama yang ditampilkan ialah Gunblue Mica yang ditunjukkan ini serta Concrete Grey Mica.

    Mazda BT-50 serba baru didedahkan — Isuzu D-Max dengan ‘kulit’ Kodo Design, papan pemuka berbeza

    Ruang dalamannya ringkas dan kemas. Rekaan pemuka adalah unik untuk BT-50, menampilkan rekaan melintang yang luas. Ia kelihatan lebih kepada rekaan yang biasa dilihat pada kenderaan penumpang, imej dan fungsi yang sedikit berbeza daripada rekaan yang ditampilkan pada papan pemuka D-Max.

    “BT-50 serba baru menampilkan rekaan unik daripada Kodo Soul of Motion Mazda, yang memberi tumpuan kepada ketahanan, kuasa dan fungsi serasi sebagai sebuah trak pikap,” jelas Mazda. Trak ini menggunakan enjin 3.0 liter turbodiesel dengan janaan 190 PS dan 450 Nm dari 1,600 rpm hingga 2,600 rpm.

    Unit 4JJ3-TCX jangkaannya akan digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan serta transmisi automatik. Jika dilihat pasaran Thailand, enjin 1.9L (150 PS/350 Nm) juga ada ditawarkan. Jadi, kemungkinan untuk ini sentiasa terbuka.

    Mazda BT-50 serba baru didedahkan — Isuzu D-Max dengan ‘kulit’ Kodo Design, papan pemuka berbeza

    BT-50 ini juga akan memberikan bacaan penjimatan yang lebih baik, disebabkan pengurangan berat dan enjin yang lebih cekap. Kapasiti menunda ialah 3,500 kg dan tampungan bebanan ialah melebihi 1,000 kg.

    Dari sudut keselamatan, trak ini hadir dengan teknologi bantuan pemandu terkini seperti kawalan melayar adaptif, brek kecemasan automatik, bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik di belakang. Semua ini adalah standard untuk pasaran Australia, tetapi mungkin akan sedikit berbeza di Thailand/ASEAN.

     
     
  • Grab hentikan 360 kakitangannya akibat COVID-19

    Grab hentikan 360 kakitangannya akibat COVID-19

    Satu berita yang tak sedap untuk didengari, berkenaan dengan syarikat yang terpaksa menamatkan perkhidmatan kakitangannya akibat kemelesetan ekonomi susulan pandemik COVID-19. Terkini, Grab terpaksa mengambil langkah yang sama bagi mengecilkan bilangan kakitangannya dengan terpaksa menamatkan lebih kurang 360 petugasnya atau di bawah lima peratus dalam masa terdekat ini.

    Menurut CEO Grab, Anthony Tan, pihaknya yakin Grab adalah syarikat terakhir yang melaksanakan pembuangan pekerja secara besar-besaran pada tahun ini.

    “Sejak Februari lalu, Grab antara perniagaan di seluruh dunia yang terjejas akibat COVID-19. Sejak beberapa bulan lepas, kami telah menyemak semua kos, mengurangkan perbelanjaan dan melaksanakan potongan gaji ke atas pengurusan kanan.

    “Bagaimanapun, kami menyedari kami masih perlu membuat langkah jimat cermat bagi menangani cabaran-cabaran ekonomi pasca-pandemik,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Grab hentikan 360 kakitangannya akibat COVID-19

    Beliau turut berkata, sudah jelas sekarang, bahawa pandemik itu mungkin akan mengakibatkan kemelesetan yang berpanjangan dan Grab perlu bersedia bagi tempoh pemulihan yang agak lama.

    Justeru, bagi mencapai matlamat ini, Grab terpaksa menghentikan beberapa projek bukan teras, menggabungkan beberapa fungsi bagi kecekapan yang lebih besar dan membentuk semula pasukan agar ianya lebih sesuai dengan keperluan perniagaan yang sentiasa berubah berdasarkan kepada persekitaran luaran.

    “Kami juga akan memperkukuhkan perkhidmatan penghantaran kami dan menugaskan sebahagian besar kakitangan untuk memenuhi permintaan penghantaran yang semakin meningkat. Kami mampu menyelamatkan seberapa banyak pekerjaan melalui langkah ini dan membantu mengehadkan skop pengurangan pekerja kepada hanya di bawah lima peratus,” katanya.

    Tan percaya jika pelan ini memenuhi sasaran, Grab tidak perlu lagi melaksanakan langkah pengurangan kakitangan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025