Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Moto Guzzi buka pusat sehenti 3S di Petaling Jaya

    Moto Guzzi buka pusat sehenti 3S di Petaling Jaya

    Jenama motosikal dari Itali iaitu Moto Guzzi baru membuat kemunculan semula dalam pasaran Malaysia, dengan pelancaran beberapa buah model bulan lalu, dan kini, ia diikuti pula dengan pembukaan sebuah pusat sehenti di Petaling Jaya. Pusat yang menawarkan khidmat lengkap jualan, pameran serta servis ini terletak di Gasket Alley, Petaling Jaya.

    Pada bahagian jualan dan pameran, orang ramai boleh mendekati model semasa Moto Guzzi yang dipasarkan dalam suasana seperti sebuah garaj. Bukan setakat motosikal, pelbagai aksesori serta barangan gaya hidup turut ditawarkan di tempat ini dan pengunjung juga boleh melepak di kafe dalam kawasan tersebut.

    Untuk bahagian servis dan baik pulih pula, pusat 3S yang dikendali oleh Stronghold Cycles dan Goh Brothers Motorcycles ini menggunakan khidmat juruteknik yang dilatih oleh Piaggio, bersama peralatan khas dan sistem diagnostik motosikal berkomputer profesional. Selain itu, pusat 3S ini juga boleh membuat kerja baik pulih badan dan cat.

    Moto Guzzi buka pusat sehenti 3S di Petaling Jaya

    “Dengan pengalaman meluas yang dimiliki oleh Goh Brothers Motorcycles dalam bidang automotif, pusat ini akan dapat memberikan tahap servis terbaik untuk setiap pelanggan, sekaligus memastikan setiap motosikal Moto Guzzi dapat digunakan atas jalan raya dengan puas,” kata pengerusi Didi Resources, Rewi Hamid Bugo.

    Semasa majlis pembukaan pusat 3S ini, Didi Resources selaku pengedar rasmi motosikal Moto Guzzi di Malaysia turut melancarkan sebuah model edisi terhad V7 III Anniversario, yang hanya akan dibuat sebanyak 1,000 unit sahaja di seluruh dunia. Motosikal ini mempunyai asas yang sama dengan model V7 III yang lain tetapi mempunyai kemasan istimewa untuk menandakan keluaran istimewanya.

     
     
  • Toyota dan Lexus dilapor bakal tunjukkan teknologi pemanduan sendirinya pada Olimpik Tokyo 2020

    Toyota dan Lexus dilapor bakal tunjukkan teknologi pemanduan sendirinya pada Olimpik Tokyo 2020

    Teknologi pemanduan sendiri Toyota dan Lexus generasi berikutnya bakal dipadankan pada model-model produksi mereka tahun hadapan, dan sebagai penaja global sukan Olimpik, Toyota bakal memperlihatkan teknologi berkenaan di Sukan Olimpik Tokyo 2020, bersama teknologi prototaip yang dibina untuk dekad seterusnya, lapor Automotive News.

    “Kami mahu menunjukkan teknologi spesifikasi tinggi sebagai pertunjukkan,” kata pengurus besar eksekutif pemanduan sendiri Ken Koibuchi. Toyota berhasrat untuk membawa pemanduan sendiri di dalam bandar pada dunia sebenar pada awal 2020, dengan keutamaan diberikan kepada keselamatan terlebih dahulu, dan kemudian diikuti keselesaan.

    Pengumuman dari Toyota ini menuruti apa yang dilakukakan Nissan, yang mendakwa mereka akan menghasilkan kereta-kereta dengan kemampuan pemanduan sendiri di dalam bandar dan mampu untuk membuat keputusan di persimpangan pada tahun 2020. Honda juga turut mengumumkan pada Jun lalu bahawa mereka mensasarkan untuk tampil dengan teknologi pemanduan sendiri di dalam bandar tahap empat pada tahun 2025.

    Toyota menggunakan terma “automated” untuk teknologi ini – disarankan oleh Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional Amerika Syarikat (NHTSA) – berbanding terma “autonomous” bagi membayangkan bahawa teknologi ini dibina untuk mengelakkan pemandu merasa selamat dengan keselamatan yang tidak benar, kata Koibuchi.

    Terminologi rasmi Toyota terhadap visinya dalam pemanduan automatik yang digelar Mobility Teammate Concept membayangkan kerjasama antara kereta dengan pemandu, di mana kereta berkenaan akan memberikan arahan kepada pemandu dimana mereka boleh melepaskan tangan dari roda stereng.

    Menurut Koibuchi lagi, sebelum pemanduan sendiri sebenar dapat dicapai sepenuhnya, masih lagi banyak isu teknikal yang perlu diatasi seperti pengenalan kepada penderia lidar. Mengambil kira kos untuk penderia-penderia ini bermaksud ia perlu dipadankan pada model-model produksi Toyota pada “masa terdekat,” tambahnya.

    Satu lagi masalah adalah kekurangan terhadap pemetaan berdefinasi tinggi – walaupun kerajaan Jepun telah mula menjalankan usaha drastik bagi memetakan keseluruhan jaringan jalan raya berkenaan, hanya sebahagian lebuhrayanya yang benar-benar siap dipetakan. Menurut Koibuchi lagi, kebanyakkan lebuhraya di Jepun akan lengkap dipetakan pada Olimpik 2020 kelak, jadi sasaran untuk membawakan teknologi pemanduan sendiri di lebuhraya pada waktu berkenaan sepatutnya dapat dicapai.

    Walau bagaimanapun, Koibuchi menambah bagi mendapatkan tahap pemetaan yang sama untuk jalan-jalan di dalam bandar di Jepun nanti juga tidak mudah. “Memetakan jalan merupakan tugas yang sangat besar,” tambahnya.

     
     
  • Semua kamera AES diposisikan untuk rakam imej kenderaan dari arah belakang sejak Julai lalu

    Semua kamera AES diposisikan untuk rakam imej kenderaan dari arah belakang sejak Julai lalu

    Semua kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan diposisikan semula bagi merakamkan imej kenderaan dari arah belakang, ujar Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi. Ia akan dilaksanakan untuk semua kamera AES, termasuk yang telah pun dipasang sebelum ini.

    “Ini (idea) diusulkan oleh pembekal (bagi kamera berkenaan). Ia adalah pendekatan terbaik kerana boleh merakam imej nombor pendaftaran kenderaan yang lebih baik dari arah belakang,” ujar Aziz.

    Katanya lagi, teknik ini adalah latihan standard antarabangsa, dan telah pun bermula sejak Julai lalu tanpa disedari oleh pengguna jalan raya, laporan The Sun.

    “Antara negara yang telah mengimplementasikan sistem sebegini termasuklah United Kingdom, Jerman dan Australia,” ujarnya lagi.

    Menurut Aziz lagi, pendekatan baharu ini juga disasarkan untuk merakamkan imej penunggang motosikal, yang banyak melanggar peraturan jalan raya malah menyumbang kepada kemalangan. Selain itu, ia juga bagi mengesan kesalahan yang dilakukan oleh pemandu kenderaan komersil, tidak kira melibatkan kenderaan kecil mahupun bersaiz sederhana.

    Pada 28 Jun lalu, Aziz berkata sebanyak 100 unit AES lagi akan dipasang di lebuh raya dan jalan persekutuan pada tahun hadapan.

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Peugeot 3008 2017 di Malaysia – SUV 1.6L THP, 165 hp/240 Nm, dua varian, dari RM143k

    Tempahan untuk model terbaru Peugeot 3008 2017 kini telah dibuka. Ia merupakan peralihan ketara jika dibandingkan dengan model sebelumnya; kini reka bentuknya lebih tertumpu, dan mencadangkan dengan jelas bahawa model ini merupakan sebuah SUV lima tempat duduk.

    Dibawa masuk secara CBU dari Perancis, ada dua varian yang ditawarkan – Active THP pada harga RM142,888 dan Allure THP yang dijual pada harga RM155,888. Model ini datang dengan tempoh jaminan lima tahun atau 200,000 km (yang mana dahulu) serta khidmat tunda Peugeot Assistance 24 Hour.

    Peugeot 3008 2017 ini menggunakan enjin 1.6 liter THP petrol bagi kedua-dua varian, membekalkan kuasa sebanyak 165 hp dan 240 Nm tork. Transmisi pula menggunakan kotak gear automatik enam-kelajuan ke roda hadapan, dengan ciri Advanced Grip Control untuk memastikan agihan kuasa yang berkesan dalam situasi kurang cengkaman. Ia dibangun menggunakan Efficient Modular Platform (EMP2).

    Ruang dalamannya juga sangat moden dan futuristik; dikenali sebagai i-Cockpit. Begitu juga dengan kelengkapan lain, seperti lampu utama LED dengan pakej luaran GT Line. Jadi, untuk maklumat lanjut, kami bawakan video ringkas ini dengan paparan maklumat utama model SUV terbaru Peugeot ini. Unit yang ditampilkan ini adalah dari varian yang paling tinggi, Allure THP. Selepas menontonnya, nyatakan kepada kami mana satu yang akan anda pilih, 3008 ini atau Honda CR-V?

    GALERI: Peugeot 3008 Allure THP

    GALERI: Peugeot 3008 Active THP

     
     
  • Harga bahan api secara mingguan kekal – KPDNKK

    Harga bahan api secara mingguan kekal – KPDNKK

    Kerajaan tidak bercadang untuk mengembalikan penentuan harga bahan api secara bulanan, sebaliknya ia kekal dibuat secara mingguan, ujar Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Katanya, penentuan harga secara mingguan merupakan mekanisme terbaik kerana harga minyak benar-benar ditentukan mengikut harga pasaran dunia, laporan Bernama.

    “(penentuan secara mingguan) itulah mekanisme paling baik, kerana harganya benar-benar kita letakkan seperti harga pasaran dunia, tiada cara lain lagi. Mekanisme ini juga menentukan bahawa keadilan pengguna dan juga peniaga dalam industri ini diberikan,” katanya dalam persidangan Dewan Negara semalam.

    Pada awal Julai lalu, KPDNKK dikatakan berunding dengan Kementerian Kewangan serta pengusaha stesen minyak bagi mendapatkan kaedah baharu berhubung mekanisme penetapan harga bahan api utama di negara ini. Di mana kaedah ini akan ditentukan agar ia dapat membantu rakyat dan serentak itu menunjukkan bahawa industri berkenaan boleh diliberalkan dan mungkin pada masa hadapan, penetapan harga secara harian mungkin akan dilaksanakan.

    Penetapan harga mingguan petrol dan diesel oleh kerajaan pertama kali diperkenalkan pada 29 Mac dan pada setiap Rabu, pengumuman harga baharu minyak dibuat. Harga itu berkuat kuasa selepas tengah malam. Mekanisme ini membolehkan pengguna menikmati harga runcit yang lebih stabil berbanding penetapan harga bulanan.

     
     
  • Ford DSFL beri manfaat kepada 50 pelajar di P.Pinang

    Ford DSFL beri manfaat kepada 50 pelajar di P.Pinang

    Bagi meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan jalan raya, Ford Motor Company ada menganjurkan satu program yang digelar Driving Skills For Life (DSFL), dan tahun ini adalah tahun yang kesepuluh ia dianjurkan di Asia. Hujung minggu lalu, hampir 50 pelajar Koleh Han Chiang di Pulau Pinang berjaya mengambil manfaat daripada program ini.

    Program ini diadakan pada masa yang tepat, kerana tidak lama lagi, para pelajar akan memandu pulang ke kampung halaman bersempena cuti umum. Dengan itu, mereka dapat bersiap sedia dengan apa yang dipelajari dalam program ini – bermula dengan kelas pembelajaran kawalan stereng, tip memandu atas lebuh raya dan waktu hujan, serta tip menjimatkan minyak.

    Selain itu, peserta program juga diberitahu tentang bahaya memandu di bawah pengaruh alkohol atau ubat, dengan memakai cermin mata khas yang dapat mewujudkan keadaan memandu sambil pergerakan, koordinasi serta perhatian yang terganggu. Akhirnya barulah mereka melalui sesi memandu sebenar.

    Ford DSFL beri manfaat kepada 50 pelajar di P.Pinang

    “Ford sentiasa komited untuk membantu meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan jalan raya dan mendidik pemandu tentang cara memandu serta teknik yang selamat bagi membantu menjadikan jalan raya Malaysia lebih selamat untuk semua,” kata pengarah urusan Sime Darby Auto Connexion, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz.

    DSFL dianjurkan tanpa sebarang bayaran bagi peserta dan ia adalah salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu. Bagi negara ASEAN, lebih 85,000 pemandu telah mendapat manfaat daripadanya termasuk daripada Thailand, Filipina, Vietnam, Indonesia, Myanmar dan Malaysia.

     
     
  • Proton capai 45,347 unit keretanya bagi jualan dalam negeri, 157 unit dieksport antara Jan-Julai 2017 – MITI

    Proton capai 45,347 unit keretanya bagi jualan dalam negeri, 157 unit dieksport antara Jan-Julai 2017 – MITI

    Menerusi Dewan Negara hari ini, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Chua Tee Yong memberitahu dalam tempoh Januari hingga Julai 2017, sebanyak 45,347 unit kereta Proton dijual dalam negeri manakala 157 unit dieksport, laporan Bernama.

    Di mana Proton mencatatkan jualan sebanyak 72,621 unit iaitu 72,291 unit dijual dalam negeri dan 330 unit lagi dieksport.

    “Menurut DRB-Hicom, Geely Automobile Holdings Ltd, syarikat utama kereta China dipilih menjadi rakan kongsi strategik asing Proton berdasarkan tawaran yang paling menguntungkan Proton, termasuk dari segi kesesuaian strategi, operasi dan kewangan serta budaya kerja.

    “Perkongsian strategik ini memberi impak kepada ekonomi negara, termasuk perkongsian model dan platform daripada Geely, dengan kedua-dua pihak akan berkongsi sumber untuk membangunkan produk baharu merangkumi elemen teknologi serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya bagi menjawab soalan Senator Datuk Yahaya Mat Ghani berkenaan prestasi pengeluaran Proton dan pemasaran dalam negeri serta impak kerjasama Proton-Geely Automobile Holdings Ltd terhadap kesan ekonomi negara dan jaminan pekerjaan terhadap pekerja di syarikat itu bagi menjamin masa depan negara.

    Proton capai 45,347 unit keretanya bagi jualan dalam negeri, 157 unit dieksport antara Jan-Julai 2017 – MITI

    Chua berkata kerjasama itu juga membantu memperluas pasaran dengan menembusi pasaran sedia ada Geely di China, rantau ASEAN, Timur Tengah dan Afrika Utara bagi membolehkan Proton meningkatkan jualan kepada 500,000 unit setahun serta kerjasama dalam pemindahan operasi perkilangan Proton di Tanjung Malim dalam tempoh lima tahun yang berpotensi untuk melaksanakan pemasangan kereta Volvo dan model kumpulan Geely.

    Beliau berkata manfaat perkongsian strategik itu tidak terhad kepada Proton, bahkan melibatkan ekosistem industri automotif yang merangkumi perancangan menambah bilangan pekerja Proton kepada 20,000 orang dalam tempoh 10 tahun.

    Katanya lagi, para pekerja Proton akan berpeluang untuk menyertai program pembangunan modal insan yang melibatkan pusat-pusat reka bentuk R&D dan kilang kumpulan Geely yang berpangkalan di Shanghai, China; Gothenburg, Sweden, Coventry, England, Barcelona, Sepanyol dan Los Angeles, USA.

    Secara tidak langsung, perkongsian strategik itu turut memberi manfaat kepada pembekal (vendor) dan wakil pengedar tempatan Proton antaranya meningkatkan keupayaan menerusi kerjasama teknikal dan komersial bersama Geely, Volvo atau vendor-vendor antarabangsa yang lain serta meluaskan perniagaan ke pasaran antarabangsa dan dapat bersaing membekalkan komponen untuk operasi Volvo dan Geely di seluruh dunia.

     
     
  • Keuntungan Geely pada suku pertama 2017 meningkat lebih sekali ganda – Volvo jadi antara penyumbang

    Keuntungan Geely pada suku pertama 2017 meningkat lebih sekali ganda – Volvo jadi antara penyumbang

    Keuntungan firma automotif dari China, Geely, dilaporkan berada pada prestasi paling memberangsangkan pada separuh pertama tahun ini. Malah pada suku pertama 2017, keuntungan syarikat tersebut dilaporkan lebih sekali ganda berbanding sebelum ini – kenaikkan paling drastik sejak lapan tahun lalu, disebabkan pasaran domestik republik berkenaan mendapat sambutan hangat setelah menerima model-model yang mengadaptasi rekaan dari Volvo, lapor Reuters.

    Geely yang turut mempunyai kepentingan dalam pembuat automototif nasional Malaysia, Proton, mencatatkan jumlah jualan yang tinggi menerusi sedan GC9 dan juga SUV Boyue di China, walaupun pertumbuhan pasaran automotif negara berkenaan menurun akhir-akhir ini.

    “Setakat ini pada 2017, prestasi kumpulan telah melangkaui jangkaan asal pihak pengurusan walaupun pasaran di China secara amnya lemah pada tempoh masa yang sama,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan syarikat tersebut kepada bursa saham Hong Kong.

    Keuntungan Geely pada suku pertama 2017 meningkat lebih sekali ganda – Volvo jadi antara penyumbang

    Keuntungan bersih dicatatkan pada 4.34 bilion yuan (RM2.79 bilion), 128% lebih tinggi dari jumlah 1.91 bilion yang dicatatkan syarikat tersebut pada tempoh sama tahun lalu dan ia melangkaui sasaran. Angka berkenaan dapat dicapai dengan jualan yang meningkat sebanyak 89%.

    Jualan meningkat sebanyak 89% pada tujuh bulan pertama dalam tahun ini membolehkan Geely meningkatkan sasaran jualan tahunannya sebanyak 10% lagi kepada 1.1 juta unit pada 2017. Jumlah berkenaan jelas agak drastik berbanding jualan tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 766,000 kenderaan berjaya dijual.

    Punca utama kejayaan ini adalah dari jumlah jualan domestik Geely di China. Manakala untuk pasaran eksport utama Geely yang lain seperti Eropah Timur dan Timur Tengah kekal lemah dan ia dijangka kekal untuk sepanjang 2017, menurut Geely.

    Keuntungan Geely pada suku pertama 2017 meningkat lebih sekali ganda – Volvo jadi antara penyumbang

    Pada masa hadapan, Geely akan melancarkan jenama premium baharunya digelar Lynk & Co yang diwujudkan untuk menembusi pasaran Eropah Barat dan Amerika Syarikat. Awal bulan ini, Geely telah melengkapkan pembentukkan kerjasama dua pihak bersama Volvo untuk kerjasama dalam teknologi automotif, pembelian dan juga pembangunan masa hadapan bagi jenama Lynk & Co.

    “Kerjasama ini akan menghasilkan nilai yang signifikant untuk jenama automotif kami. Kami berhasrat untuk menyampaikan ekonomi berskala global dengan memudahkan kerjasama lebih rapat antara jenama-jenama kami pada perkongsian rekaan kenderaan, pembangunan janakuasa dan teknologi elektrik, dalam masa yang sama menawarkan sinergi yang membolehkan Lynk & Co mencapai potensi sepenuhnya,” kata pengerusi Geely, Li Shufu pada majlis menandatangani kerjasama berkenaan di Hangzhou.

    SUV Boyue yang kini sedang hangat dalam pasaran China (dilancarkan pada Mac 2016, sehingga kini permintaan masih mendahului bekalan) bakal dijelmakan sebagai SUV pertama keluaran Proton dan dijangka akan membuat kemunculan sulung pada tahun hadapan. Wakil kami telah memandu uji SUV berkenaan di China dan anda boleh baca ulasan sesi berkenaan DI SINI.

    GALERI: Geely Boyue


    GALERI: Geely GC9 Borui / Emgrand GT

     
     
  • Chery lancar nama baharu untuk Eropah – SUV kompak jadi model pertama, diperkenal di Frankfurt

    Chery lancar nama baharu untuk Eropah – SUV kompak jadi model pertama, diperkenal di Frankfurt

    Pengeluar kenderaan China, Chery, akan memulakan jualan bagi kenderaan penumpang di Eropah dalam tempoh beberapa tahun akan datang, namun bukan dengan nama ‘Chery’. Sebaliknya, syarikat tersebut bakal memperkenalkan jenama baharu, dan SUV kompak bakal menjadi model pertama yang akan diperkenalkan.

    Kenderaan pra-produksi ini akan diperkenalkan buat pertama kali pada Frankfurt Motor Show yang bakal berlangsung September ini, dan syariakt berkenaan telah menyebarkan imej teaser untuk menguar-uarkannya.

    Menerusi imej ini, dapat dilihat bahagian hadapan SUV yang agak tebal, yang diinspirasi berdasarkan gril berlian Mercedes-Benz, dan ia senada dengan apron bawah. Kelihatan juga lampu utama LED yang bersambung dengan lampu panduan, corong pengambilan besar dan pelindung bawah bampar.

    Melihat pada bahagian sisinya, imej yang kurang dramatik jelas kelihatan, namun bahagian gerbang roda dan garisan yang sedikit berbeza membantu menyerlahkan penampilannya. Manakala lampu belakang yang lebih nipis dengan imej yang sedikit konvensional dipersembahkan.

    Menurut Chery, SUV baharu ini “direka bagu pelanggan muda, urban dan berfikiran progresif,” yang mungkin turut menggambarkan kehadiran pelbagai teknologi terkini pada model tersebut. Begitu juga dengan bahagian papan pemuka yang didatangkan dengan pilihan sambungan pelbagai bagi sistem infotainmen serta rekaan suis kawalan yang lebih moden.

    Jenama baharu ini juga akan memberikan pilihan kenderaan elektrik hibrid, plug-in hybrid dan elektrik bateri, jadi SUV ini dijangka akan dipadankan dengan mana-mana pilihan bagi penjana kuasanya. “Dalam tempoh beberapa tahun ini, kita akan mula menjual kenderaan keluarga di pasaran Eropah merentasi pelbagai segmen, dengan bekalan kuasa dari beberapa penjana kuasa elektrik,” jelas Anning Chen, CEO Cherry.

    “Semua kenderaan Cherry yang dijual di Eropah akan dilengkapi dengan sambungan yang terbaik dalam kelasnya, seronok dipandu, menawarkan ruang dalaman yang luas dan fleksibel serta memberikan personafikasi yang lebih komprehensif, sejajar dengan penetapan standard yang tinggi bagi kualiti produk dan sokongan selepas jualan,” tambahnya lagi.

    Sebagai persediaan memperkenalkan jenama baharu itu, Chery telah menilai peluang jualan di pasaran utama, dengan merancang untuk mewujudkan operasi jualan di Eropah dengan kerjasama rakan pengedar dan importnya. Rekaan dan fasiliti R&D baharu juga akan dibangunkan di Eropah bagi mempercepatkan pelan perkembangan Chery di peringkat global.

     
     
  • Harga minyak 17-23 Ogos – petrol naik, diesel turun

    Harga minyak 17-23 Ogos – petrol naik, diesel turun

    Minggu lalu, harga bahan api petrol dan diesel naik antara 1 sen hingga 7 sen seliter. Trend itu nampaknya diteruskan lagi minggu ini; bagi minggu keempat berturut-turut, harga bahan api petrol mencatatkan kenaikan secara keseluruhannya – kecuali diesel yang harganya turun.

    Bagi minggu ketiga ini, dari 17 hingga 23 Ogos 2017, harga minyak petrol akan naik. RON 95 akan naik sebanyak 3 sen seliter menjadi RM2.15 untuk seliter. Sementara bagi RON 97, ia naik lebih tinggi, iaitu sebanyak 4 sen seliter, menjadikan harga barunya esok ialah RM2.43 seliter.

    Bagi diesel pula, harga runcitnya turun sedikit sebanyak 2 sen. Ini menjadikan diesel Euro 2 akan dijual pada harga RM2.04 seliter, manakala diesel Euro 5 pula dijual pada harga RM2.14 seliter. Semua harga ini akan berkuat kuasa tengah malam nanti sehingga Rabu, 23 Ogos.

     
     
  • Continental akan tunjuk sistem mengecas kenderaan induktif tanpa wayar di Frankfurt Motor Show 2017

    Continental akan tunjuk sistem mengecas kenderaan induktif tanpa wayar di Frankfurt Motor Show 2017

    Pengeluar komponen automotif iaitu Continental mempunyai cita-cita tinggi untuk menjadikan pemilikan kenderaan elektrik lebih mudah – mereka akan menunjukkan sistem mengecas induktif tanpa wayar baru semasa Frankfurt Motor Show 2017 bulan hadapan.

    Ia dikatakan boleh diguna untuk kedua-dua kereta dan motosikal, dan pemandu hanya perlu meletakkan kenderaan mereka betul-betul di atas pad mengecas yang terletak atas jalan untuk memulakan pengecasan. “Pada masa ini, apa sahaja sebab boleh diberikan berkenaan kenapa pemandu kenderaan elektrik tidak mahu mengambil peluang yang ada untuk mengecas kenderaan mereka. Sekiranya di luar basah atau sejuk, mereka mungkin tidak mahu keluar dan bersusah payah menguruskan kabel untuk mengecas.”

    “Kita perlu menjadikan proses mengecas lebih praktikal dan mesra pengguna. Teknologi mengecas induktif akan menjadi satu langkah yang besar dalam mencapati tujuan ini,” kata pakar Continental, Thomas Röhrl. Syarikat ini juga mendakwa bahawa teknologi induktif ini dapat meningkatkan keseimbangan tenaga keseluruhan serta jarak gerak kenderaan kerana pemandu tidak perlu berbuat apa-apa.

    Continental akan tunjuk sistem mengecas kenderaan induktif tanpa wayar di Frankfurt Motor Show 2017

    Sebaik kenderaan menghampiri pad mengecas ini, pemandu akan dikenal pasti secara automatik dan memberi panduan untuk meletakkan kereta melalui sistem navigasi mikro. Apabila sudah tepat, proses mengecas akan bermula. Sistem ini mempunyai toleransi kedudukan kenderaan lebih 10 sm, bagi mendapatkan kuasa mengecas terbaik.

    Kuasa daripada pad mengecas ini disampaikan kepada kenderaan melalui penerima (receiver) yang terletak di bawah kenderaan, dan ia membenarkan kadar pengecasan sehingga 11 kW – bersamaan satu kilometer untuk setiap satu minit. “Jadi sekiranya pemilik mengecas sementara membel-belah selama 20 minit, selepas itu kenderaan mereka boleh bergerak sehingga 20 km,” kata Röhrl.

    Beberapa langkah keselamatan telah disepadukan pada sistem ini termasuk fungsi pemerhatian jarak yang boleh mengesan sekiranya terdapat objek asing antara kenderaan dan pad tersebut, seterusnya menghentikan proses mengecas. Pad itu sendiri boleh menahan berat sehingga 500 kg.

     
     
  • VIDEO: Subaru WRX – pecutan 0-100 km/j di atas permukaan jalan penuh dengan kulit pisang

    Seperti yang kita tahu, kulit pisang sering menjadi penyebab seseorang jatuh tergelincir kerana sifatnya yang licin. Jadi, untuk mendemonstrasikan betapa hebatnya cengkaman sistem symmetrical all-wheel drive mereka, Subaru menguji sedan berprestasi tinggi WRX 2018 dengan melakukan ujian pecutan 0-100 km/j di atas permukaan jalan raya yang penuh dengan kulit pisang.

    Jentera yang dipilih kali ini bukan dari versi paling berkuasa WRX STI, sebaliknya dari varian WRX standard. Ini bermaksud ia dijana enjin boxer empat-slinder 2.0 liter turbo berkuasa 268 hp dan tork maksima 350 Nm, berbanding WRX STI yang menerima enjin boxer 2.5 liter empat silinder menghasilkan 305 hp/393 Nm.

    Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear manual enam kelajuan (juga terdapat dalam pilihan transmisi CVT automatik), dan untuk versi 2018 ini ia turut menerima mekanisma synchro dan mekanisma sistem klac baharu bagi memberikan petukaran gear yang lebih lancar.

    Dalam keadaan permukaan jalan normal, gandingan unit janakuasa tersebut mampu memberikan catatan masa 5.4 saat untuk pecutan dari pegun hingga 100 km/j. Namun untuk permukaan yang jauh lebih licin kerana dipenuhi dengan kulit pisang serta turut dibasahi dengan air, berapa pula catatan masa yang dapat dibuat? Saya tidak akan memberitahu, saksikan sendiri pada video diatas.

    GALERI: Subaru WRX 2018

     
     
  • Pelakon aksi lagak ngeri filem Deadpool 2 meninggal dunia selepas kemalangan di set penggambaran

    Pelakon aksi lagak ngeri filem Deadpool 2 meninggal dunia selepas kemalangan di set penggambaran

    Walaupun banyak adegan dalam filem menggunakan teknologi komputer untuk menghasilkan aksi yang menakjubkan, masih terdapat keadaan tertentu yang memerlukan individu sebenar untuk hasil yang lebih memuaskan. Begitu juga dalam filem Deadpool 2. Namun malangnya, pelakon aksi lagak ngeri mereka terlibat dalam kemalangan sewaktu penggambaran dan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Menurut laporan daripada Reuters, kejadian ini berlaku pada hari Isnin lalu, dan polis Vancouver, Canada (tempat penggambaran dilakukan) mengesahkan kematian pelakon aksi lagak ngeri tersebut. Pelakon utama filem Deadpool 2, Ryan Reynolds turut memuat naik ucapan takziah di laman Instagram milik beliau.

    Pelakon aksi lagak ngeri filem Deadpool 2 meninggal dunia selepas kemalangan di set penggambaran

    Memetik beberapa laporan lain pula, mangsa telah dikenal pasti sebagai SJ Harris, iaitu seorang pelumba motosikal profesional di Amerika Syarikat dan ini adalah filem pertama mendiang sebagai pelakon aksi lagak ngeri. Di Amerika Syarikat juga, mendiang diangkat sebagai seorang yang sentiasa menggalakkan wanita untuk berlumba secara profesional.

    Sewaktu kejadian, media tempatan melaporkan ada saksi yang melihat Harris hilang kawalan terhadap motosikal Ducati Hypermotard yang digunakan, dan terus melanggar dinding kaca sebuah kedai berhampiran. Motosikal tersebut masih berada di luar kedai, sementara Harris pula tercampak ke dalam kedai.

     
     
  • PLUS akan laksanakan penutupan lorong, lencongan trafik di Jambatan Pulau Pinang selama setahun

    PLUS akan laksanakan penutupan lorong, lencongan trafik di Jambatan Pulau Pinang selama setahun

    Bermula 22 Ogos tahun ini sehingga 21 Ogos 2018, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan melaksanakan penutupan lorong dan lencongan trafik di Jambatan Pulau Pinang bagi membolehkan kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan jambatan secara berjadual dijalankan.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi, kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan secara menyeluruh tersebut merupakan antara kerja-kerja berjadual yang dilaksanakan bagi memastikan struktur kabel Jambatan Pulau Pinang berada pada tahap yang terbaik untuk keselamatan orang ramai.

    katanya lagi, kabel merupakan elemen utama di Jambatan Pulau Pinang dan ia perlu diperiksa secara menyeluruh dalam jangkamasa tertentu mengikut jadual yang telah ditetapkan iaitu setiap empat tahun untuk mengesan sebarang kerosakan.

    Sehubungan itu, bagi membolehkan kerja-kerja yang komprehensif tersebut dijalankan, penutupan lorong dan lencongan jalan terpaksa diadakan.

    “Kerja-kerja tersebut akan memakan masa selama setahun bermula 22 Ogos yang akan datang melibatkan laluan Arah Timur (Pulau ke Seberang Prai) selama enam bulan pertama dan Laluan Arah Barat (Seberang Prai ke Pulau) bagi 6 bulan yang berikutnya sehingga 21 Ogos 2018,” jelas Fuad.

    Justeru, PLUS menasihatkan pengguna Jambatan Pulau Pinang supaya merancang perjalanan mereka sepanjang tempoh kerja penyelenggaraan ini.

    “Sebagai alternatif, kami menasihatkan orang ramai supaya menggunakan Jambatan Kedua Pulau Pinang atau menggunakan perkhidmatan feri untuk menikmati perjalanan yang lebih selesa dalam tempoh tersebut,” ujarnya.

    PLUS turut menasihatkan pengguna Jambatan Pulau Pinang supaya mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi laman Twitter PLUSTrafik, aplikasi PLUS Mobile App ataupun aplikasi Waze atau Google Map.

     
     
  • GIIAS 2017: Honda Brio RS CVT versi Special Edition

    GIIAS 2017: Honda Brio RS CVT versi Special Edition

    Satu lagi model yang dipertontonkan oleh Honda ketika Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017 yang dibuka minggu lalu ialah model Brio RS CVT Special Edition. Jika anda rasa macam pernah nampak model ini, ia sebenarnya model yang sama diperkenalkan tahun lalu ketika Indonesia International Motor Show (IIMS), ketika Brio facelift membuat penampilan sulung.

    Bezanya, versi kali ini diberi beberapa pertambahan supaya ia tampil lain berbanding Brio RS CVT biasa. Antaranya ialah bahagian bawah bampar depan kini mengikut warna badan (sebelum ini tidak dicat pada RS standard), untuk disepadankan dengan warna Phoenix Orange Pearl. Bahagian belakang juga menerima penyudah yang sama, serta satu lagi ialah upholstery dwi-tona.

    Selebihnya sama sahaja antara kedua versi yang ada ketika ini. RS datang dengan rim 15-inci dengan tayar bersaiz 185/55, skirting sisi, lampu utama projektor dengan lampu panduan LED, cermin sisi kuasa elektrik dengan lampu isyarat LED.

    Honda Brio RS CVT Special Edition ini dikuasakan oleh enjin 1.2 liter empat-silinder petrol yang menghasilkan 90 PS pada 6,000 rpm kuasa dan tork sebanyak 110 Nm pada 4,800 rpm. Enjin piawaian Euro 4 SOHC i-VTEC ini dipadankan dengan transmisi CVT Earth Dreams Technology. Model edisi istimewa ini dijual pada harga 182 juta Rupiah (RM58,500), mahal 4 juta Rupiah berbanding Brio RS CVT biasa.

     
     
  • Toyota yakin segmen kereta eko semakin kuat di Thailand, bakal kuasai 25% dalam bahagian pasaran

    Toyota yakin segmen kereta eko semakin kuat di Thailand, bakal kuasai 25% dalam bahagian pasaran

    Toyota menjangkakan pasaran segmen Kereta Eko akan terus meningkat di Thailand, dan bakal mencapai 25% dalam bahagian pasaran jualan automotif di negara Gajah Putih berkenaan, lapor Bangkok Post.

    Segmen yang menyediakan kereta-kereta mampu milik dengan penggunaan bahan api yang efisien berkenaan telah menguasai 15% dari jumlah keseluruhan jumlah pengeluaran keseluruhan industri tahun lalu iaitu sebanyak 114,093 unit. Toyota menjangkakan ia akan meningkat kepada 160,000 unit tahun ini mewakili bahagian pasaran sebanyak 20%.

    “Kami percaya kenderaan dalam segmen kereta eko mempunyai potensi dalam tempoh berberapa tahun akan datang bagi mewakili sehingga 25% dari pasaran kereta di Thailand,” kata naib presiden eksekutif Toyota Motor Thailand Vudhigorn Suriyachantananont.

    Toyota yakin segmen kereta eko semakin kuat di Thailand, bakal kuasai 25% dalam bahagian pasaran

    Semalam Toyota melancarkan sedan Yaris Ativ untuk pasaran Thai, yang juga kereta eko kedua jenama berkenaan selepas Yaris hatchback – diperkenalkan pertama kali pada Oktober 2013. Jumlah jualan Yaris hatcback telah pun menjangkau angka 150,000 unit pada Mei tahun ini, sebagai tambahan kepada 51,200 unit yang dieksport ke lebih 70 negara.

    Walaupun Toyota bukan perintis bagi pasaran kereta eko di Thailand dan hanya mempunyai sebuah model untuk segmen berkenaan sebelum ini, jenama berkenaan kini merupakan peneraju bagi segmen tersebut.

    Tahun lalu Toyota berjaya menjual sejumlah 36,648 kereta eko dengan bahagian pasaran dalam segmen tersebut berjumlah 32%, diletakkan pada kedudukan paling atas berbanding lima jenama dari Jepun lain. Dengan pelancaran sedan Yaris Ativ, Toyota lebih optimis dengan mensasarkan jualannya akan meningkat kepada 38,000 unit pada tahun ini.

    Toyota yakin segmen kereta eko semakin kuat di Thailand, bakal kuasai 25% dalam bahagian pasaran

    Program kereta eko Thailand ini adalah skim yang diwujudkan oleh kerajaan Thailand bagi menggalakkan pembuat automotif negara berkenaan membina kereta-kereta yang cekap tenaga dan mampu milik. Selain dari mengambil bahagian dalam skim peringkat pertama dan kedua kereta eko ini, Toyota turut mempunyai kilang yang memproduksi kereta hibrid di Thailand.

    Jenama berkenaan telah menghasilkan Camry Hybrid di kilang tersebut, tetapi baru-baru ini diberikan keistimewaan oleh Lembaga Pelaburan untuk kenderaan hibrid elektrik bagi memasang 7,000 unit kereta setahun, menghasilkan 70,000 bateri dan memproduksi komponen-komponen lain, kesemuanya melibatkan pelaburan sebanyak 19.016 bilion baht.

    Untuk sedan Yaris Ativ, ia dibina berasaskan Vios generasi sedia ada. Kereta eko ini dijana enjin 1.2 liter Dual VVT-i yang sama pada Yaris, menghasilkan kuasa 86 PS dan tork 108 Nm, digandingkan bersama transmisi CVT automatik. Model tersebut dijual pada pasaran Thai dengan harga bermula 469,000 baht (RM60,506) hingga 619,000 baht (RM79,858).

    GALERI: Toyota Yaris Ativ

     
     
  • VIDEO: Volkswagen T-Roc – lagi teaser dikeluarkan

    Volkswagen T-Roc masih belum bersedia untuk membuat penampilan pertamanya, tetapi ia ditunjukkan dalam satu lagi video teaser. Volkswagen memberitahu, model kompak SUV mereka ini mempunyai rekaan yang progresif dan penuh dengan inovasi.

    Dalam video ini, boleh dilihat T-Roc mempunyai lampu utama dan lampu belakang rekaan tajam, dan pencahayaan bagi lampu belakang ini mempunyai bentuk yang moden. Pintu bahagian ruang simpanan belakang yang terkeluar dan bersambung dengan bahagian C-pillar juga sepatutnya dapat menghasilkan bukaan yang luas untuk memasukkan barang.

    Di dalam, skema warna yang digunakan sama seperti bahagian luar, dan unit hiburan skrin sesentuhnya disepadukan pada bahagian tengah papan pemuka. T-Roc akan ditawarkan dengan Active Info Display, yang juga boleh ditemui pada model Passat dan Tiguan terbaru.

    SUV kompak ini dibina di atas platform Modular Transverse Matrix MQB, sementara kuasa pula berkemungkinan datang daripada beberapa pilihan enjin petrol dan diesel. Ada juga yang mengatakan enjin hibrid 48-volt turut akan ditawarkan, diikuti oleh varian yang lebih fokus kepada prestasi iaitu R.

     
     
  • Sistem tol RFID dijangka dilaksana mulai Januari 2018

    Sistem tol RFID dijangka dilaksana mulai Januari 2018

    Pada 14 Ogos lalu, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) kendalian Anih Berhad dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang diuruskan oleh syarikat konsesi LPT2 Sdn Bhd, menjadi lebuhraya terakhir di Malaysia yang melaksanakan sistem pembayaran tol secara tunai (ETC). Sekaligus menjadikannya sejumlah 177 plaza tol di 31 lebuhraya di seluruh negara yang tidak lagi menggunakan kaedah tunai sebagai transaksi pembayaran tol.

    Sehubungan itu, Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Dato’ Ismail berkata, ETC ini akan ditambahkan dengan satu lagi sistem transaksi pembayaran tol baharu yang dipanggil sistem Pengenalan Frekuensi Radio atau Radio Frequency Identification (RFID) yang lebih maju dan terkini berbanding penggunaan Touch ‘n Go dan Smart Tag, laporan Sin Chew.

    Sistem ini telah mula menjalani ujian keberkesanannya sejak tahun 2015, di mana pembayaran tol secara elektronik dibuat dengan menggunakan tag khas ketika kenderaan melalui plaza tol. Menurut Ismail, sistem RFID ini dijangka akan diimplementasikan di lebuhraya di negara ini mulai 28 Januari 2018.

    Sistem tol RFID dijangka dilaksana mulai Januari 2018

    Di mana dengan sistem ini, pemandu tidak perlu memperlahankan kenderaan untuk membuat pembayaran tol apabila melewati palang RFID ini. Malah Tag RFID juga berfungsi seperti Touch ‘n Go dan perlu ditambah nilai apabila kredit di dalamnya makin berkurangan.

    Katanya, “Kami masih dalam peringkat perbincangan untuk mengimplementasikan sistem ini, tambahan pula berhadapan dengan beberapa isu teknikal. Namun buat masa ini, hanya kenderaan terpilih sahaja yang menggunakan sistem ini. Apa pun, mengikut jangkaan kami, sistem ini akan bersedia digunakan oleh pengguna jalan raya mulai 28 Januari 2018 dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat.”

    Ujian perintisnya secara rasmi telah pun bermula semalam dan lorong yang dilengkapi dengan RFID ditempatkan di lapan plaza tol di sekitar Lembah Klang. Walau bagaimana pun, buat masa ini hanya kenderaan polis sahaja yang boleh menggunakan lorong tersebut, dan bakal disusuli oleh jentera bomba dan ambulans tidak lama lagi. Jika semuanya berjalan seperti yang dirancangkan, akan ada sekurang-kurangnya satu lorong RFID di semua plaza tol menjelang tahun 2020.

     
     
  • Aston Martin Vantage Zagato Speedster dan Shooting Brake diumum akan sertai model Coupe dan Volante

    Aston Martin Vantage Zagato Speedster dan Shooting Brake diumum akan sertai model Coupe dan Volante

    Keluarga model Aston Martin Vantage Zagato akan bertambah apabila pengeluarnya mengumumkan dua lagi model iaitu Speedster dan Shooting Brake, yang akan menyertai model coupé dan roadster Volante sedia ada. Semasa pengumuman ini dibuat di Monterey Car Week di California, model Volante telah membuat penampilan sulungnya.

    Kenapa perlu ada Speedster apabila sudah ada Volante? Pertamanya, Speedster langsung tidak mempunyai bumbung, menunjukkan ia hanya boleh digunakan apabila cuaca cerah dan bagus. Di bahagian belakangnya, terdapat dua gelembung yang membantu aliran udara dari hadapan dan ini adalah satu rekaan unik Aston Martin sendiri.

    Model Shooting Brake sebenarnya lebih menarik, tetapi ia masih belum ditunjukkan secara penuh, kecuali lukisan digital bahagian tepinya yang menunjukkan badan rendah dan panjang, serta bumbung kaca penuh sampai ke belakang, dan diakhiri dengan cermin belakang yang condong. Bumbung ini juga mempunyai rekaan dua gelembung manakala ruang simpanannya dipersiap dengan kemasan yang mewah. Ia masih adalah model dua tempat duduk.

    Aston Martin Vantage Zagato Speedster dan Shooting Brake diumum akan sertai model Coupe dan Volante

    Selain daripada itu, dua kereta ini adalah sama seperti model Vanquish Zagato yang lain, dengan rekaan yang termasuk gril hadapan besar bersama motif ‘Z’ tiga dimensi, lekuk tepi pintu yang dalam serta lampu belakang LED yang mempunyai pencahayaan seperti bilah pisau. Di dalam, ia menampilkan kemasan gentian karbon herringbone, tombol kawalan gangsa anodised, sulaman motif ‘Z’ dan pilihan balutan kulit fully-aniline.

    Seperti juga model yang lain, model Speedster dan Shooting Brake ini dikuasakan oleh enjin AM11 V12 5.9 liter NA daripada Vanquish S, menghasilkan sehingga 600 PS. Kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi automatik lapan kelajuan ZF yang dipanggil Touchtronic III.

    Speedster adalah model paling eksklusif yang akan dijual kepada umum, dengan hanya 28 buah sahaja yang akan dibina – bagi model coupé, Volante dan Shooting Brake, 99 unit ditawarkan. Penghantaran dua varian baru ini akan bermula pada tahun 2018, menjadikan jumlah pengeluaran keseluruhannya sebanyak 325 unit.

    GALERI: Aston Martin Vanquish Zagato Speedster


    GALERI: Aston Martin Vanquish Zagato Volante

     
     
  • Indonesia mahu kurangkan ‘cukai mewah’ sedan, sasar tambah pengeluaran lokal dan tingkatkan jualan

    Indonesia mahu kurangkan ‘cukai mewah’ sedan, sasar tambah pengeluaran lokal dan tingkatkan jualan

    Indonesia merupakan pasaran yang didominasi oleh MPV. Ini kerana ia mampu membawa lebih banyak penumpang dan muatan, namun di sebalik fakta itu, mengapa bukan model sedan yang memonopoli pasaran di sana? Pada tahun 2016, sedan hanya merangkumi sekitar 2% daripada 1.1 juta kenderaan yang dijual.

    Ini kerana sedan telah dikenakan kadar cukai yang sangat tinggi kerana termasuk di bawah kategori “barangan mewah” di dalam sistem, dan kereta jenis ini dikenakan cukai antara 30% hingga 40% disebabkan perkara ini. Berbanding antara 10% hingga 20% cukai yang dikenakan bagi MPV, dan sebab itulah sedan kurang diketengahkan oleh pengeluar kenderaan dan juga permintaan di kalangan masyarakat di sana.

    Walau bagaimana pun, senario ini akan berubah tidak lama lagi, apabila Indonesia merancang untuk mengurangkan cukai bagi jualan sedan domestik bagi mempromosikan negara itu sebagai hab pengeluaran bagi sedan, ujar menteri kewangannya kepada Reuters.

    Rancangan untuk memotong cukai jualan bagi sedan adalah termasuk dalam semakan semula Cukai Nilai Tambah dan Undang-undang Cukai Jualan Barangan Mewah negara berkenaan, di mana kerajaan akan mengusulkannya kepada parlimen tidak lama lagi, ujar Goro Ekanto, yang mengetuai kajian dasar pendapatan fiskal Kementerian Kewangan. “Berapa pengurangan dan impaknya akan dibincangkan sebelum keputusan dimuktamadkan,” tambahnya lagi.

    Menteri industri Indonesia Airlangga Hartanto berkata, dengan pengurangan cukai itu, kerajaan berharap para pengeluar kenderaan mampu mengeluarkan lebih banyak model sedan, bukan sahaja bagi pasaran domestik bahkan untuk dieksport. “Kami harap ia dapat meningkatkan lagi potensi untuk mengeksport sedan dan satu langkah berbuat demikian adalah menjajarkan semula cukai bagi sedan. Bagi pasaran global, permintaan terhadap sedan adalah lebih tinggi berbanding MPV dan SUV,” ujar Hartanto.

    Buat masa ini, sedan dengan enjin sehingga 1.5 liter menerima 30% cukai mewah, sementara enjin antara 1.5L hingga 3.0L pula dicukaikan sebanyak 40%. Ini membuatkan pengeluar kenderaan memilih untuk tidak memproduksi sedan di sana, lebih-lebih lagi mereka lebih cenderung memilih Thailand sebagai pusat serantau dan Malaysia bagi penggunaan domestik.

    Gaikindo, kelab pengeluar kereta yang menganjurkan acara tahunan GIIAS, telah mengusulkan tarif jualan bagi sedan kecil dikurangkan ke 10% bagi memastikan ia seiring dengan MPV bersaiz kecil.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026