Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • TINJAUAN AWAL: Lexus LC 500 – berbaloi RM940k?

    Di Malaysia ketika ini, tak salah kalau ingin menyifatkan model Lexus LC 500 sebagai model flagship jenama mewah itu yang ada ditawarkan untuk pasaran tempatan. Ia sebuah coupe mewah yang memiliki pelbagai kelebihan, terutama jika dibandingkan dengan model-model pesaing yang lain, yang ada diantaranya dijual pada harga yang jauh lebih mahal daripadanya.

    Dilancarkan di sini hujung Julai lalu, Lexus LC 500 dijual pada harga bermula RM940k. Model ini dilengkapi dengan enjin 2UR-625 V8 5.0 liter, dengan kemampuan 471 hp dan 540 Nm. Kuasa ini disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear automatik Direct Shift 10-kelajuan. Melalui padanan ini, LC 500 boleh memecut dari keadaan pegun ke 100 km/j di bawah 4.5 saat dan mencecah kelajuan maksimum 270 km/j.

    Ia dibina menggunakan kerangka Lexus Global Architecture – Luxury (GA-L). Platform yang digunakan dibangun daripada gabungan bahan seperti besi kekuatan tinggi, aluminium serta gentian karbon. Rangka badan pula dibina kebanyakannya daripada besi high-tensile yang lebih kukuh berbanding struktur karbon, misalnya yang digunakan pada model supercar Lexus LFA.

    Apa yang ada pada model ini sebenarnya? Adakah ia berbaloi dengan harganya? Bagaimana pula penawarannya jika dibandingkan dengan model pesaing yang mungkin berada dalam satu kelas dengannya? Ini antara pertanyaan yang cuba jelaskan di dalam video ini. Selamat menonton.

    GALERI: Lexus LC 500 di Malaysia

     
     
  • Ferrari 812 Superfast bakal dilancar di M’sia 24.08 ini

    Naza Italia telah menyiarkan promo mengenai Ferrari 812 Superfast yang dijangka bakal dilancarkan di Malaysia pada 24 Ogos ini. Model ini mula diperkenalkan di peringkat dunia pada Februari lalu, yang disifatkan sebagai model Ferrari paling berkuasa dan terpantas dalam sejarahnya. Jentera baharu ini bukan sahaja menampilkan banyak ciri yang inovatif, bahkan mengimbau kembali sejarah kegemilangan yang tercipta oleh Prancing Horse pada 1947, iaitu 70 tahun yang lalu.

    Ia juga juga adalah ciptaan era baharu di dalam sejarah 12-silinder Ferrari, seperti mana legasi bagi F12berlinetta dan F12tdf. Jentera prestasi tinggi ini dikuasakan oleh enjin baharu 6.5 liter natural-aspirated V12 yang menghamburkan kuasa sehingga 800 PS (789 hp) pada takat 8,500 rpm dan tork pula 718 Nm pada 7,000 rpm, dengan capaian yang lebih signifikan sebanyak 80% apabila mencecah 3,500 rpm.

    Bagi pengendalian yang lebih memberangsangkan, 812 ini turut digandingkan dengan Side Slip Control (SSC) versi 5.0, memberikannya powersliding yang lebih mudah. Selain itu, ia turut menampilkan Virtual Short Wheelbase (PCV) 2.0, iaitu sistem stereng empat-roda yang pertama kali diperkenalkan menerusi F12tdf. Dan buat pertama kalinya juga, Ferrari memperkenalkan stereng kuasa elektrik menerusi 812, berbanding kotak stereng hidraulik.

    GALERI: Ferrari 812 Superfast

     
     
  • Acura ARX-05 – kereta lumba prototaip dengan 600 hp

    Acura ARX-05 – kereta lumba prototaip dengan 600 hp

    Acura telah menunjukkan sebuah kereta lumba prototaip, yang dinamakan sebagai ARX-05 semasa acara Monterey Car Week di California, dan kereta sebenarnya akan digunakan oleh Team Penske dalam perlumbaan IMSA WeatherTech SportsCar Championship pada tahun hadapan, dalam kategori Daytona Prototype International (DPi).

    Acura ARX-05 dibina menggunakan asas daripada casis Oreca 07 LMP2, tetapi diberikan badan yang lebih istimewa untuk menjadikan konsep rekaannya selari dengan identiti kereta produksi Acura – tetapi masih mematuhi peraturan yang ditetapkan. Antara yang boleh dilihat adalah lampu utama LED bertingkat yang menjadikannya kelihatan lebih agresif.

    Enjin kereta lumba ini terletak di belakang pemandu, dan ia adalah unit V6 3.5 liter twin-turbo AR35TT. Asas enjin ini adalah daripada unit yang digunakan pada kenderaan produksi seperti MDX, RDX, TLX dan RLX. Enjin yang sama turut digunakan pada TLX GT untuk perlumbaan Pirelli World Challenge Series, dan ia sepatutnya mampu menghasilkan sehingga 600 hp.

    Enjin ini juga bukanlah baru dalam dunia perlumbaan, di mana ia turut menjadi nadi untuk kereta lumba yang telah memenangi perlumbaan 12 Hours of Sebring dari tahun 2011 hingga 2013, dan 24 Hours of Le Mans serta World Endurance Championship pada tahun 2012. Selain itu, ia juga telah membantu kereta Acura memenangi American Le Mans Series (ALMS) LMP2 pada tahun 2012 dan 2013.

    Perlumbaan 24 Hours of Daytona akan berlangsung pada bulan Januari 2018, dan ia akan diselia oleh Honda Performance Development (HPD). Dua kereta lumba prototaip ini akan dibina dan satu daripadanya akan dipandu oleh gandingan Juan Pablo Montoya dan Dane Cameron, manakala pemandu untuk sebuah lagi kereta masih belum diberitahu.

     
     
  • UMW Toyota tawar lebih banyak pilihan aksesori untuk Hilux dan Sienta – harga dari RM329 hingga RM4,800

    UMW Toyota tawar lebih banyak pilihan aksesori untuk Hilux dan Sienta – harga dari RM329 hingga RM4,800

    UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) kini menawarkan aksesori baharu bagi model Hilux dan Sienta untuk kemudahan pemilikan. Bagi Hilux Double Cab (generasi semasa), ia ditawarkan dengan TRD aerokit dan Tailgate Assist (untuk generasi semasa dan sebelumnya) serta aerokit bagi Sienta. Selain itu, ia turut ditawarkan dengan unit SmartTAG yang direka khas untuk kenderaan Toyota di mana ia boleh disambungkan dengan bateri kenderaan dan disimpan di dalam konsol tengah.

    TRD Aerokit yang ditawarkan untuk Hilux, dijual pada harga RM4,800 (termasuk GST dan caj pemasangan) merangkumi lima barangan termasuk gril hadapan, pelindung bambar bawah hadapan, over fender, skid plate dan tombol gear. Malah pemilik Hilux 2.8G juga mempunyai pilihan termasuk roda aloi TRD 18-inci dengan skru eksklusif dengan kos tambahan.

    Untuk Sienta pula, Aerokit yang ditawarkan berharga RM2,950 termasuk GST, merangkumi tiga barangan iaitu spoiler bampar hadapan yang lebih sporty dan skirt sisi untuk kedua-dua belah sisi.

    UMW Toyota tawar lebih banyak pilihan aksesori untuk Hilux dan Sienta – harga dari RM329 hingga RM4,800

    Semua aksesori bagi Hilux yang disebut adalah direka khas oleh TRD Asia dan memiliki kualiti standard yang tinggi. Manakala pemilik yang sudah memiliki Hilux dan Sienta juga boleh membeli aerokit ini dan akan dipasang oleh krew bertauliah di pusat servis UMWT.

    Bagi Tailgate Assist untuk Hilux dibangunkan berdasarkan maklumbalas pelanggan yang mahukan tailgate yang mudah dibuka dan ditutup. Jurutera Toyota juga telah mereka unit tambahan bagi gegelung pegas/peredam yang boleh ‘mengurangkan’ tahap berat tailgate sebanyak 95%. Ditawarkan pada harga RM985 (termasuk GST), Tailgate Assist boleh dipasang pada Hilux model semasa dan juga semua varian Double Cab generasi sebelumnya (2005-2016). Pemasangannya juga boleh dilakukan di pusat servis UMWT.

    Selain itu, UMWT turut menawarkan unit SmartTAG terpasang-dalam bersama peranti khas yang ditampal pada cermin hadapan. Direka khas oleh Toyota, unit SmartTAG ini boleh dibuka dan disimpan di dalam konsol tengah.

    Ditawarkan pada harga RM329 (termasuk GST), ia juga dilengkapi dengan peranti pembaca kad di mana kad Touch ‘n Go di dalamnya dan antena/transmitter. Pembaca kad dijana oleh bateri kenderaan kerana ia tidak disertakan bateri khas. Apabila kad berbaki RM10 atau kurang, ia akan berbunyi bagi memberikan ‘amaran’ kepada pemandu. Toyota SmartTAG ini juga mudah untuk dipasang pada semua model semasa Toyota termasuk generasi sebelumnya.

    Bagi yang membeli kenderaan baharu, semua kos aksesori ini akan diserap dalam pinjaman sewa-beli. Semua aksesori ini didatangkan dengan waranti pengeluar selama tiga tahun atau 100,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

    Untuk maklumat lanjut mengenai aksesori baharu ini, bolehlah berkunjung ke mana-mana bilik pameran dan pusat servis Toyota berhampiran atau pun layari toyota.com.my atau hubungi Toyota Freephone di talian 1800-8-TOYOTA (869682).

    GALERI: Pilihan aksesori untuk Toyota Hilux

     
     
  • Kutipan VEP Sempadan Malaysia-Thailand masih dikaji

    Kutipan VEP Sempadan Malaysia-Thailand masih dikaji

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengesahkan, kutipan Caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) bagi kenderaan asing ke negara ini melalui sempadan Malaysia-Thailand masih dalam kajian teknikal oleh Kementerian Pengangkutan dan akan dilaksanakan sebaik sahaja ia selesai.

    Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Nadzri Siron, pada masa ini, pihak teknikal masih mengkaji VEP di negeri-negeri yang bersempadan dengan negara jiran itu, laporan Bernama.

    “Selepas kajian ini selesai, kita dapat melaksanakan kutipan bayaran VEP, seperti yang sudah dilaksanakan di Johor Bahru. Buat masa ini, kita belum ada jangka masa bagi melaksananya. Kita (JPJ) juga akan berbincang dengan Kerajaan Negeri berkenaan untuk mengatur masa yang sesuai untuk membolehkan kutipan bayaran VEP ini dilaksanakan di Kedah yang bersempadan dengan Thailand,” katanya kepada pemberita.

    Nadzri berkata bayaran VEP itu kelak mungkin sama dengan jumlah yang dikutip di Johor Bahru iaitu sebanyak RM20 bagi setiap kenderaan berpendaftaran asing yang memasuki negara ini.

    “Hasil kutipan VEP yang diperoleh di Johor Bharu diberikan kepada Kerajaan Negeri. Untuk kawasan sempadan Malaysia-Thailand, kita tunggu pengumuman daripada Kementerian Pengangkutan,” katanya.

    Beliau berkata sejak pelaksanaan kutipan VEP di pintu masuk Malaysia-Singapura di Johor Bahru mulai November tahun lepas hingga Julai tahun ini, jumlah kuitpannya mencecah RM9,106,900.

     
     
  • Mazda patenkan enjin turbo berkembar bersama sebuah supercharger elektrik, dalam konfigurasi FR

    Mazda patenkan enjin turbo berkembar bersama sebuah supercharger elektrik, dalam konfigurasi FR

    Sebelum ini, Mazda menegaskan mereka tidak akan terikut-ikut dengan trend penghasilan enjin kecil dengan induksi paksaan (turbo atau supercharger) dan akan terus menghasilkan enjin petrol NA dengan nisbah mampatan sangat tinggi menerusi teknologi Homogeneous Charge Compression Ignition (HCCI) – iaitu sistem pembakaran tanpa palam pencucuh seakan sistem pada enjin diesel.

    Namun pada pendedahan enjin SkyActiv-X baru-baru ini, jenama berkenaan mendedahkan enjin dengan teknologi HCCI tersebut turut akan dibantu sebuah unit supercharger yang didakwa akan menawarkan respon lebih baik serta 10% hingga 30% lebih tork berbanding enjin SkyActiv-G. Setelah itu, kini satu lagi rekaan enjin Mazda telah ditemui dipatenkan di Pejabat Paten dan Tanda Dagangan Amerika Syarikat – menampilkan enjin dengan dua pengecas turbo serta sebuah lagi supercharger yang digerakkan secara elektrik.

    Enjin tersebut akan disuap dengan dua pengecas turbo konvensional iaitu digerakkan menggunakan gas ekzos untuk menghasilkan kuasa tinggi. Manakala untuk supercharger eletrik berkenaan pula ia akan membekalkan kuasa pada takat rpm rendah untuk meningkatkan respon pada bahagian berkenaan.

    Mazda patenkan enjin turbo berkembar bersama sebuah supercharger elektrik, dalam konfigurasi FR

    Apa yang menarik lagi, bekalan kuasa elektrik yang menjana supercharger tersebut akan disuap oleh sistem bekalan kapasitif yang seiras dengan sistem i-ELOOP pada Mazda 6 sedia ada. Untuk sistem yang digunakan kini pada Mazda 6, kuasa elektrik dijana menerusi sistem regenerative braking dan kemudian akan disimpan pada kapasitor. Kuasa tersebut kemudiannya akan digunakan untuk sistem elektrikal seperti pendingin hawa, sistem audio dan juga lampu.

    Satu lagi aspek yang membuatkan ia lebih menarik untuk ditunggu ialah pada konfigurasi susunan enjin tersebut. Ia nampaknya akan diletakkan secara menegak – bermaksud konfigurasi untuk enjin hadapan pacuan belakang (FR). Setakat ini, kesemua model Mazda sedia ada menggunakan konfigurasi enjin melintang (sama ada untuk pacuan hadapan atau untuk semua roda) kecuali kereta sport roadster Mazda MX-5.

    Adakah enjin ini dibina untuk MX-5 akan datang? Atau Mazda akan hadir dengan platform kereta sport lain yang lebih besar dari roadster berkenaan? Masih lagi terlalu awal untuk dijangka kerana ia baru pada peringkat paten. Mazda sebelum ini juga pernah mempatenkan rekaan enjin wankel rotary turbo generasi baharu digelar SkyActiv-R, namun selepas itu menegaskan mereka tidak akan membina kereta sport siri RX baharu untuk menggantikan model RX-8.

     
     
  • Mazda CX-5 2017 muncul di oto.my – ditawarkan empat varian, harga dari RM155k, tempahan kini dibuka

    Mazda CX-5 2017 muncul di oto.my – ditawarkan empat varian, harga dari RM155k, tempahan kini dibuka

    Nampak gayanya wakil pengedar seakan tidak sabar untuk menunjukkan Mazda CX-5 baharu, ini termasuklah mempromosikannya menerusi oto.my, sebelum ia dilancarkan secara rasminya.

    Dikhabarkan, sebanyak empat varian bakal ditawarkan, dengan dua daripadanya adalah janaan petrol iaitu 2.0L 2WD High Spec dan 2.5L 2WD, sementara pilihan bagi enjin diesel pula termasuklah 2.2L 2WD dan w.wL AWD. Bagi harganya pula, CX-5 baharu ini dikatakan akan bermula dari Rm155k bagi model asas 2.0L 2WD High Spec, dan mencecah RM184k bagi 2.2L AWD diesel.

    Di bawah bonetnya, varian CX-5 janaan petrol dilengkapi sama ada enjin SkyActiv-G 2.0 liter (162 hp/210 Nm) atau 2.5 liter (192 hp/257 Nm). Manakala bagi varian diesel pula, ia dipadankan dengan unit 2.2 liter SkyActiv-D yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 173 hp dan 420 Nm. Semua enjin dipadankan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan.

    Mazda CX-5 2017 muncul di oto.my – ditawarkan empat varian, harga dari RM155k, tempahan kini dibuka

    Seperti mana majoriti kebanyakan barisan model Mazda di Malaysia, CX-5 juga akan didatangkan dengan tenkonologi kawalan pergerakan kenderaan SkyActiv-Vehicle Dynamics, termasuklah sistem G-Vectoring Control (GVC).

    Bagi elemen luarannya, CX-5 baharu ini akan didatangkan sama ada lampu utama projektor halogen (varian rendah) atau LED. Bagi varian petrol, turut didatangkan dengan Sistem Pencahayaan Hadapan Adatif (AFS), manakala diesel pula menerima teknologi Lampu Utama LED Adaptif (ALH). Seperti mana yang kita lihat sebelum ini, ia ditawarkan dengan dua rekaan roda iaitu pelbagai-jejari 17-inci dan lima jejari-berkembar 19-inci.

    Di dalamnya, ia dilengkapi dengan material sentuhan lembut untuk beberapa bahagian, berserta dengan rekaan kayuan tiruan dan logam. Selain itu, turut dilengkapi tempat duduk kulit, roda stereng pelbagai-fungsi, brek tangan elektrik (dengan fungsi brekpenahan baharu), corong pendingin hawa belakang, kawalan suhu dwi-zon, Mazda Connect, tempat duduk berkuasa dan perehat tangan serta port USB.

    Mazda i-Activsense bagi sistem bantuan pemandu dan keselamatan juga akan didatangkan, dengan Kepekaan Trafik Lintasan belakang (RCTA), Pemantuan Titik Buta (BSM) dan Sokongan Brek bandar Pintar (hadapan) bagi semua varian. Walau bagaimana pun, varian diesel juga akan dilengkapi dengan Sokongan Brek bandar Pintar (belakang), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Sistem Amaran Ketibaan Lorong (LDWS) dan Kepekaan Perhatian Pemandu (DAA).

    Pesaing Honda CR-V ini juga akan didatangkan dengan paparan utama Mazda Active Driving Display walau pun masih mengekalkan skrin jenis flip-up dan bukannya dipantulkan di cermin hadapan. Seperti mana yang dipromosikan, CX-5 baharu ini akan dipasang secara tempatan, tidak seperti model generasi pertama yang didatangkan dengan unit import sepenuhnya (CBU). Malah ia juga tidak menyertakan sistem bunyi Bose seperti mana yang ada pada unit CBU.

    Tahun lalu, Bermaz mendedahkan akan membina fasiliti mengecat baharu di kilang Inokom, Kulim, Kedah, di mana ia boleh mengecat warna premium termasuk Soul Red Metallic. Secara tidak langsung, CX-5 baharu ini akan menjadi model CKD pertama yang akan dicat dengan salah satu warna premium Mazda.

     
     
  • Bugatti Chiron masuk pasaran AS – dari US$2.998 juta

    Bugatti Chiron masuk pasaran AS – dari US$2.998 juta

    Acara Pebble Beach Concours d’Elegance menjadi tempat kenderaan-kenderaan eksotik boleh ditemukan. Berlangsung di California, Bugatti turut memilih acara berkenaan tahun ini sebagai pentas untuk menyerahkan model sulung Bugatti Chiron kepada seoarang pelanggan Amerika Syarikat.

    Menurut pengeluar kenderaan itu, Amerika Utara menjadi pasaran paling penting jenama itu selepas Eropah, dengan 30% tempahan datang dari rantau berkenaan. Unit yang ditampilkan ini menjadi satu daripada contoh yang ada; dengan dekorasi luaran warna hitam-kuning serta rim dengan rekaan klasik.

    Pelanggan di sana perlu membayar paling minimum US$2.998 juta (RM12,855,424) untuk memiliki hypercar yang mampu mencapai kepantasan 420 km/j (sebelum tambahan ciri pilihan).

    Bugatti Chiron ini menggunakan enjin W16 8.0 liter quad-turbo yang dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh-kelajuan. Enjin ini mampu menghasilkan sebanyak 1,500 PS kuasa dan 1,600 Nm tork untuk membolehkannya mencapai kelajuan maksimum yang dinyatakan.

    Sebahagian ruang dalamannya pula menggunakan material kulit berwarna kuning untuk diserasikan dengan tema warna luaran. Selebihnya, kemasan material kulit “Beluga Black” digunakan.

     
     
  • Holden Colorado untuk siri perlumbaan SuperUte 2018

    Holden Colorado untuk siri perlumbaan SuperUte 2018

    Tahun lalu, siri kejohahan SuperUte pada perlumbaan Australia Supercars Championship (dikenali sebagai V8 Supercar sebelum ini) telah mengumumkan musim 2018 ia akan digantikan dengan siri yang lebih relevan dengan pasaran buat masa sekarang iaitu trak pikap dual-cab produksi. Oleh itu, Holden telah mengumumkan cabarannya untuk kejohanan berkenaan akan digalas oleh trak pikap Holden Colorado (juga dikenali sebagai Chevrolet Colorado di Malaysia).

    Colorado yang akan menyertai perlumbaan ini bakal diubahsuai mengikut spesifikasi yang digariskan oleh penganjur perlumbaan iaitu ia akan menghasilkan kuasa maksima 345 hp (340 bhp) dan tork maksima 678 Nm, dan menggunakan sistem pengurusan enjin stand alone yang akan dibekalkan oleh MoTec (standard untuk semua jentera yang bertanding), serta dibina dengan berat manima 1,800 kg.

    Kesemua SuperUte juga perlu dilengkapi dengan rollcage dari material Chrome Moly dan rim aloi 20-inci yang dibekalkan oleh PDW. Selain itu, ia juga menggunakan komponen-komponen yang ditetapkan sebagai kawalan -terdiri dari kotak gear, differential, brek, tayar, suspensi dan juga pedal box– bagi memastikan ia adil untuk semua peserta dan juga mengawal bajet setiap peserta bagi memastikan ia kekal rendah untuk semua pasukan.

    Holden Colorado untuk siri perlumbaan SuperUte 2018

    “Holden telah menjadi sebahagian dari pelengkap Supercars yang kaya dengan sejarah, jadi kami gembira dan mengalu-alukannya ke Siri SuperUtes ECB,” kata CEO Australia Supercars, James Warburton.

    “Dengan ujian rasmi telah diadakan minggu lalu dan enam model telah diluluskan untuk berlumba, Siri SuperUtes akan muncul pada 2018 dengan lapangan yang kukuh dan akan menjadi perlumbaan yang hebat,” katanya lagi.

    Selain dari Holden, lima pengeluar lain turut akan menyertai siri perlumbaan SuperUte 2018 iaitu Ford Ranger, Mitsubishi Triton, Mazda BT-50, Toyota Hilux dan Isuzu D-Max.

     
     
  • Jumlah jualan kenderaan Julai 2017 mengikut jenama

    Jumlah jualan kenderaan Julai 2017 mengikut jenama

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan baru untuk bulan Julai 2017, dan ia menyaksikan 48,553 unit didaftar, dan membawa keseluruhan jumlah industri (TIV) kepada 333,010 unit untuk tahun ini. Walaupun begitu, jumlah kenderaan yang dijual pada bulan Julai adalah 3.4% lebih rendah berbanding bulan Jun (50,275). Bezanya adalah 1,722 unit.

    Perodua terus menguasai tempat pertama, dengan mencatat jualan 18,920 unit dan ini adalah peningkatan sebanyak 1,099 unit, berbanding 17,821 unit pada bulan sebelumnya. Dengan jumlah ini, Perodua mencatat jumlah jualan keseluruhan untuk tahun ini menjadi 118,595 unit.

    Di tempat kedua adalah Honda, yang sekaligus menjadi jenama bukan nasional di tempat teratas. Meskipun begitu, jumlah jualan kenderaan Honda menurun sebanyak 232 unit berbanding bulan sebelumnya, menjadi 8,576 unit. Ia kemudiannya diikuti oleh Proton, yang juga jumlah jualannya menurun menjadi 5,954 unit berbanding 7,225 unit pada bulan Jun.

    Walaupun beberapa jenama menunjukkan penurunan, Toyota pula berjaya menjual jumlah yang lebih tinggi, iaitu lebih 213 unit, menjadikan jumlah jualan pada bulan Julai sebanyak 5,543 unit dan mencatat kedudukan di tempat keempat. Jenama lain yang turut menunjukkan peningkatan adalah Ford (651 unit) dan Lexus (82 unit), dengan masing-masing mencatat peratusan peningkatan 18.4% dan 49.1%.

    Sementara itu, jenama yang mencatat penurunan pula adalah antaranya Mercedes-Benz (-38.8%), Mitsubishi (-26.7%), Volkswagen (-31.9%), Kia (-36.3%), Subaru (-52.2%), Volvo (-65.3%) dan Mazda (-12.4%).

     
     
  • Tiada unsur penipuan atau penyelewengan dalam proses penetapan harga minyak mingguan – KPDNKK

    Tiada unsur penipuan atau penyelewengan dalam proses penetapan harga minyak mingguan – KPDNKK

    Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, ramai yang tertanya-tanya mengapa harga bahan api mingguan yang diumumkan di Malaysia asyik meningkat, sedangkan harga minyak dunia menurun. Untuk ini, KPDNKK menjelaskan, terdapat formula tertentu yang digunakan serta faktor-faktor lain yang turut diambil kira dalam proses itu.

    Antaranya, selain harga bahan api dunia, kedudukan mata wang Ringgit turun memainkan peranan. Dan menurut KPDNKK lagi, tiada unsur penipuan dalam menetapkan harga mingguan bagi bahan api di Malaysia. Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, kementerian itu tidak pernah menyorokkan sebarang maklumat berkaitan penetapan harga minyak itu, lapor Bernama.

    “Perubahan harga minyak mingguan adalah berdasarkan harga dalam pasaran global. Sekiranya harga minyak jatuh hari ini, kita tidak akan menurunkan harganya esok kerana kaedah pengiraan dalam menentukan harga runcit bagi bahan api adalah berdasarkan harga purata peringkat dunia bagi tempoh seminggu,” jelas beliau.

    “Tambahan daripada itu pula, kita juga perlu mengambil kira kedudukan Ringgit semasa proses pembelian minyak itu dilakukan. Sekiranya nilai Ringgit rendah, kita terpaksa beli pada kadar yang lebih mahal dan begitu juga sebaliknya,” tambahnya lagi.

    “Tiada sebarang penyelewengan atau penipuan yang dilakukan dalam proses menentukan harga mingguan ini. Kami juga tidak menyembunyikan sebarang maklumat, tambahan pula harga itu ditetapkan untuk kepentingan pengguna. Kerajaan akan memastikan apa juga program yang dijalankan akan memberi manfaat kepada orang ramai,” jelas beliau.

     
     
  • Intelligent Valve Actuation dari Camcon – mekanisma injap bebas tanpa pemasaan dari tali sawat atau rantai

    Sebelum ini dunia automotif dihidangkan dengan enjin tanpa aci sesondol (camshaft) untuk beroperasi dengan teknologi yang digelar FreeValve binaan FreeValve AB iaitu syarikat subsidiari Koenigsegg. Baru-baru ini pula, syarikat kejuruteraan dari UK, Camcon Automotive telah mendedahkan satu lagi teknologi dengan konsep yang hampir sama tetapi nampak lebih konvensional digelar Intelligent Valve Actuation (IVA).

    Berbanding enjin FreeValve yang langsung tidak mempunyai aci sesondol dan injap-injap kemasukan dan ekzos digerakan oleh mekanisma pneumatik, hidraulik dan elektronik, sistem IVA ini sebaliknya masih lagi mempunyai aci sesondol untuk menggerakkan injap-injap berkenaan. Apa yang hampir sama antara FreeValve dan IVA dan membezakannya dari enjin konvensional lain ialah ia tidak mempunyai mekanisma cam pulley dan juga sama ada tali sawat (timing belt) atau rantai pemasa (timing chain)

    Jadi pemasaan pergerakan sesondol untuk membuka atau menutup injap berkenaan digerakkan oleh penggerak (actuator) yang dikawal secara digital terus dari unit komputer pengurusan enjin ini. Dengan teknologi ini, kesemua injap berkenaan dapat dikawal secara individu sama ada darjah bukaannya, tempoh tertutup sepenuhnya mahupun untuk ditahan pada darjah bukaan tertentu.

    Jadi dengan bukaan injap yang lebih tepat ini, ia menghasilkan pembakaran yang jauh lebih sempurna. Menurut pengarah komersial Camcon Auto, Mark Gostick, IVA mampu mengurangkan pencemaran CO2 sehingga 15% ke 20%. Ia juga mampu meningkatkan kuasa, tork dan kebolehan pemanduan enjin berkenaan. Walaupun kelihatan agak kompleks, pembinaan IVA ini sejak dari awal lagi mensasarkan agar ia boleh dipadankan dengan mudah pada enjin konvensional biasa.

    “IVA mempunyai potensi untuk merapatkan jurang antara enjin petrol dan diesel dengan menawarkan penggunaan bahan api seperti diesel dengan pretasi dan emisi enjin petrol dan kami percaya ia boleh memenuhi atau menjangkaui undang-undang emisi pada masa akan datang,” jelas Gostick lagi.

     
     
  • MRT catat 7.4 juta penumpang sejak Disember 2016

    MRT catat 7.4 juta penumpang sejak Disember 2016

    Sejak mula beroperasi pada 16 Disember tahun lalu, sehingga kini perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang bagi kedua-dua fasa satu dan dua telah pun mencatatkan sejumlah 7.4 juta penumpang.

    Menurut CEO Rapid Rail Sdn Bhd Datuk Zohari Sulaiman, sepanjang tempoh itu, dianggarkan 100,000 penumpang menggunakan MRT pada hari bekerja dan meningkat kepada kira-kira 140,000 pada hujung minggu serta dijangka terus meningkat sepanjang temasya Sukan SEA 2017 (KL2017) hingga 30 Ogos ini laporan Bernama.

    “Sejak ia (MRT) beroperasi stesen yang paling banyak menerima penumpang adalah Bukit Bintang yang menghubungkan orang ramai ke kawasan segi tiga Emas Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati orang ramai yang berhasrat menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), MRT dan monorel Rapid KL untuk ke lokasi KL2017 khususnya di Stadium Nasional Bukit Jalil supaya menggunakan pembayaran mod tanpa tunai.

    Katanya lagi, orang awam boleh menggunakan kad MyRapid Touch ‘n Go (TnG) atau mana-mana kad TnG yang mempunyai nilai yang mencukupi untuk memastikan perjalanan lancar. Di mana penggunaan perkhidmatan LRT, MRT dan monorel juga adalah menjimatkan susulan diskaun 50% yang ditawarkan kepada semua pengguna sehingga akhir bulan ini.

    “Sekiranya perlu memberi token, mereka disaran membeli token berasingan untuk pergi dan balik supaya tidak perlu beratur di mesin pembelian tiket ketika mahu pulang,” kata beliau.

     
     
  • Vision Mercedes-Maybach 6 Cabriolet – beri gambaran konsep rekaan kenderaan mewah masa hadapan

    Vision Mercedes-Maybach 6 Cabriolet – beri gambaran konsep rekaan kenderaan mewah masa hadapan

    Mercedes-Benz mendedahkan satu lagi kereta pameran masa hadapan Vision mereka semasa acara Pebble Beach Concours d’Elegance, dan kali ini adalah sebuah model bumbung boleh buka yang dinamakan sebagai Vision Mercedes-Maybach 6 Cabriolet. Sebuah kereta hampir sama pernah ditampilkan tahun lalu, namun itu adalah versi coupe.

    Paling menarik perhatian pada kereta ini sudah tentu adalah rekaannya, yang dikatakan oleh Mercedes-Benz sebagai gabungan antara rekaan klasik dan beremosi secara mewah. Garis badan kereta ini beralun kemas dari depan sampai ke belakang, dan ia kelihatan terletak rendah dan panjang. Secara keseluruhannya kereta ini mempunyai panjang hampir enam meter.

    Warna biru gelap serta kemasan krom yang digunakan menimbulkan setiap lekuk yang ada, dengan bahagian hadapannya menggunakan lampu utama yang nipis dan gril berjalur menegak. Rekaan di belakang pula mendapat inspirasi daripada kapal layar mewah, dan jalur LED lampu brek ketiga diletakkan di tengah untuk menyambungkan lampu brek kiri dan kanan.

    Melengkapkan penampilan kereta elegan ini adalah rim 24 inci dan pada bahagian bawah bampar hadapan serta belakangnya terdapat pembelah angin dan diffuser aluminium berwarna krom. Kemasan berwarna sama turut digunakan pada bahagian sisi sebagai skirting.

    Vision Mercedes-Maybach 6 Cabriolet – beri gambaran konsep rekaan kenderaan mewah masa hadapan

    Rekaan bahagian dalam juga begitu menarik, dengan garisan yang digunakan mengalir sekeliling kabin, dan terdapat permukaan berwarna biru yang menghiasi kebanyakan bahagian lain yang berwarna putih. Bukan setakat rupa, Mercedes turut mengambil berat tentang kualiti dan jenis bahan, di mana bahagian yang bersentuh dengan penggunanya adalah dibuat daripada bahan premium seperti kulit Nappa dengan sulaman kristal.

    Selain meter bulat yang digunakan hadapan pemandu, informasi lain termasuk operasi kuasa kenderaan dipaparkan pada permukaan kaca yang bersepadu pada papan pemuka. Lantai kemasan kayu pula menunjukkan kesinambungan kereta ini dengan kapal layar mewah yang dijadikan sebagai inspirasi.

    Vision Mercedes-Maybach 6 Cabriolet dibina sebagai sebuah kereta elektrik, dan hasil daripada penggunaan empat motor elektrik kompak permanent magnet synchronous, ia dapat dihasilkan dengan pacuan empat roda dan mempunyai kuasa keseluruhan 550 kW (750 hp). Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa bawah empat saat, dengan kelajuan maksimum 250 km/j dan jarak pergerakan lebih 500 km.

    Kereta ini turut dilengkapi dengan sistem mengecas pantas, yang membenarkan kapasiti mengecas sehingga 350 kW, seterusnya dapat memberikan jarak pergerakan tambahan sekitar 100 km, setelah dicas selama lima minit.

     
     
  • Mercedes-Benz GLC 200 – bakal dilancar, RM289k

    Mercedes-Benz GLC 200 – bakal dilancar, RM289k

    Satu lagi varian pemasangan tempatan (CKD) Mercedes-Benz yang bakal dijual di Malaysia, GLC 200 akan menyertai GLC 250 4Matic, yang diperkenalkan pada Ogos tahun lalu, bagi barisan model tempatan.

    GLC 200 ini dijangka akan dilancarkan secara rasmi pada penghujung bulan ini, namun ia telah pun dipamerkan di wakil pengedar Mercedes-Benz di Kuala Lumpur.

    Ia juga bakal ditawarkan pada harga atas jalan RM288,888 (tanpa insurans), iaitu RM37,000 lebih murah berbanding GLC 250 4Matic.

    GLC 200 menampilkan enjin yang sama seperti GLC 250 iaitu M274 DE 20 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder, namun memiliki kuasa yang lebih rendah iaitu 184 hp dan 300 Nm berbanding 211 hp dan 350 Nm. Penjana kuasa ini dipadankan dengan transmisi aitomatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan, dan tidak disertakan dengan 4Matic yang ada pada GLC 250.

    Ia juga memiliki kit AMG Line seperti GLC 250, namun dengan padanan roda lima-jejari 19-inci yang lebih kecil dibaluti tayar siri 235/55 dan turut menerima lampu utama LED prestasi tinggi berbanding unit Sistem Pencahayaan Pintar.

    Di dalamnya, kekemasan kayuan dan roda stereng tiga-jejari konvensional (unit AMG pada GLC 250) ditampilkan, dipadankan bersama kulit upholstery Artico berwarna coklat atau hitam. Elemen lain termasuklah unit asas Audio 20 yang menggantikan sistem audio Burmester 13-pembesar suara pada GLC 250 dengan sistem audio standard.

     
     
  • Model konsep Volkswagen I.D Buzz sah hadir sebagai model produksi Kombi Van elektrik generasi baharu

    Model konsep Volkswagen I.D Buzz sah hadir sebagai model produksi Kombi Van elektrik generasi baharu

    Selepas pendedahan rasminya di Detroit Auto Show tahun lalu, Volkswagen menerima permintaan tinggi dari peminat jenama berkenaan bagi menjelmakan model konsep I.D Buzz sebagai model produksi gantian kepada van ikonik Volkswagen Type-2 atau popular dengan gelaran ‘Kombi Van’. Oleh itu, VW kini mengumumkan projek tersebut akan dimajukan ke peringkat produksi selepas ini.

    Pengumuman berkenaan dilakukan oleh pengerusi lembaga pengarah bagi jenama Volkswagen dan Kenderaan Komersial Volkswagen, Dr Herbert Diess dan Dr Eckhard Scholz pada Pebble Beach Concours d’Elegance yang berlangsung di California. Kombi Van generasi baharu berkenaan dijangka bakal menerjah pasaran pada tahun 2022 nanti, dan ia bakal dihasilkan dalam bentuk kenderaan elektrik sepenuhnya sama seperti model konsep yang didedahkan. VW mensasarkan model ini akan dipasarkan pada pasaran Amerika Utara, Eropah dan China.

    “Selepas pembentangan pada pertunjukan permotoran global di Detroit dan Geneva, kami menerima banyak surat dan email dari pelanggan yang mengatakan, ‘tolong buat model ini’,” kata Diess yang juga CEO VW. Beliau turut menyatakan Pebble Beach dipilih untuk membuat pengumuman ini kerana Kombi Van “telah lama menjadi sebahagian dari gaya hidup California.”

    Model konsep Volkswagen I.D Buzz sah hadir sebagai model produksi Kombi Van elektrik generasi baharu

    Model produksi Kombi Van generasi baharu ini akan menerapkan rekaan dari model konsep I.D Buzz di mana ia akan menerima bateri yang diletakkan pada lantai. Disebabkan komponen-komponen janakuasa elektrik ini seperti motor dan kawalan elektronik lain yang tidak memerlukan banyak ruang, model baharu berkenaan bakal menawarkan ruang dalaman yang sangat luas yang turut dibantu rekaan jarak roda panjang dan juga overhang yang direka pendek.

    “Kenderaan ini nampak seperti van komersial kompak pada bahagian luaran, walaupun ia sebenarnya menawarkan ruang dalaman sama seperti SUV besar,” kata Diess lagi.

    “Kenderaan ini menggabungkan antara emosi, penggunaan dan kemampanan yang seimbang, dalam masa yang sama menunjukkan kami sebagai peneraju teknologi. Posisi tempat duduk yang tinggi, kapasiti kargo, versatiliti keseluruhan dan pilihan pacuan semua-roda semuanya dipakejkan dalam sebuah rekaan yang menarik merupakan apa yang pelanggan mahukan dari kami. Dan ia sesuai untuk gaya hidup sifar-pencemaran rakyat Amerika,” kata CEO VW Amerika Utara, Hinrich J. Woebcken.

    I.D Buzz versi produksi berkenaan semestinya bakal menampilkan kegunaan yang sama seperti Kombi Van klasik – bukan sahaja sebagai mobiliti manusia, ia juga sebagai kenderaan pengangkutan barangan. “Disamping versi bas mini, kami juga akan menawarkan varian kargo I.D Buzz untuk penghantaran barang yang sifar-pencemaran. Dengan kebolehan pemanduan sendiri tahap 3, ini merupakan konsep yang ideal untuk van elektrik, secara khususnya untuk menghantar bungkusan dan barangan dalam kawasan bandar,” kata Dr Eckhard Scholz.

    Menurut Volkswagen, I.D Buzz versi produksi ini bakal menampilkan banyak ciri yang diambil dari versi konsepnya sebelum ini – termasuk tempat duduk dengan konfigurasi pelbagai dan bervariasi, hubungan interaktif, dan juga ciri pemanduan sendiri yang tinggi.

    GALERI: Model konsep Vokswagen I.D Buzz

     
     
  • GALERI: Mercedes-Benz C350e AMG Line penuh

    GALERI: Mercedes-Benz C350e AMG Line penuh

    Setakat ini, kita telah melihat model plug-in hybrid Mercedes-Benz C 350 e dalam versi standard, juga yang dilengkapi AMG Line untuk bahagian dalam. Ini pula, kami tampilkan versi AMG Line penuh, dan terletak paling atas dalam variasi model C 350 e ini.

    Seperti yang diberitahu semasa majlis pelancarannya Oktober tahun lalu, C 350 e AMG Line dijual pada harga RM299,888, dan ini adalah RM10,000 lebih mahal berbanding model Avantgarde, dan RM5,000 lebih tinggi berbanding yang dilengkapi bahagian dalam AMG Line. Harga tersebut tidak termasuk insurans, dan diberikan dengan jaminan selama empat tahun tanpa had batuan.

    Pada bahagian luar, C 350 e dapat dibezakan dengan model berenjin petrol biasa melalui kemasan biru pada sekeliling lampu utama projector Intelligent Light System yang digunakan, bersama angkup brek hadapan biru, serta lencana ‘Plug-in Hybrid’ pada bahagian fender.

    Selain daripada itu, model AMG Line penuh ini juga menggunakan bampar depan dan belakang yang lebih agresif, seperti bampar yang terdapat pada model C 250 AMG Line, dan dilengkapi rim AMG 19 inci sama seperti model yang mendapat bahagian dalam AMG Line.

    Pada bahagian dalam, satu-satunya bahagian yang menandakan model ini adalah sebuah plug-in hybrid adalah skrin khas untuknya, yang terletak pada paparan tengah COMAND dan panel meternya. Selain daripada itu, semuanya adalah sama seperti C-Class lain, dan model AMG Line diberikan tambahan roda stereng yang rata pada bahagian bawah, kemasan metalik dan jam analog.

    Ciri standard lain yang ada pada C 350 e adalah termasuk sistem pemasukan tanpa kunci, butang pemula enjin, bumbung suria, pengawal suhu tiga zon, kamera undur, sistem hiburan Audio 20, 13 pembesar suar, skrin 7.0 inci dan sistem bunyi Burmester 590 watt. Apabila memilih model AMG Line juga, pembeli akan menerima bumbung panoramik dan kamera 360 darjah.

    GALERI: Mercedes-Benz C350e AMG Line penuh

    Kuasa untuk model ini datang daripada enjin empat silinder 2.0 liter M270 turbo petrol, yang mampu menghasilkan kuasa 208 hp dan 350 Nm tork – sama seperti C 250. Namun, ia ditambah dengan motor elektrik 80 hp/ 340 Nm, diletakkan antara enjin petrol tersebut dan transmisi automatik 7G-Tronic Plus padanya, seterusnya mampu menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 279 hp dan 600 Nm tork.

    Hasilnya, C 350 e dapat memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa hanya 5.9 saat, dan memberi catatan penggunaan bahan api hanya 2.1 liter bagi setiap 100 km dan pembebasan karbon dioksida 49 gram bagi setiap kilometer. Jarak pergerakan menggunakan kuasa elektrik sahaja adalah 31 km, dan kereta ini boleh bergerak dengan kuasa elektrik sahaja sehingga kelajuan 130 km/j.

    Menggerakkan motor elektrik tersebut adalah bateri lithium-ion 6.38 kWh dan terletak di bawah lantai but, menyebabkan lantai ruang simpanan ini sedikit tinggi dan berkurang menjadi 335 liter, daripada 475 liter. Waktu yang diambil untuk mengecas adalah satu jam 45 minit melalui pengecas dinding yang berharga RM7,500, ataupun 2 jam 30 minit melalui salur 230 V biasa di rumah.

     
     
  • BMW M5 F90 – terdedah sebelum penampilan rasmi

    BMW M5 F90 – terdedah sebelum penampilan rasmi

    Ini adalah BMW M5 F90 serba baru, yang bocor lebih awal daripada waktu ia sepatutnya ditampilkan secara rasmi, melalui sebuah video di saluran YouTube Korea Selatan. Video ini menunjukkan kereta tersebut secara menyeluruh, luar dan dalam.

    Seperti yang boleh dijangka bagi model M BMW, M5 baru ini menggunakan beberapa rekaan khas bagi membezakan ia dengan 5 Series biasa. Bermula pada bahagian depan, anda akan dapat melihat bukaan udara lebih besar, serta gril tersendiri dengan lencana M5.

    pergi ke bahagian tepi pula, sedan ini mendapat lengkuk roda yang sedikit lebih besar untuk memuatkan tayar yang juga lebih lebar (275/35 di hadapan). Berhampiran lengkuk roda hadapan juga, terdapat salur udara kecil, yang bersambung dengan garis badan tepi dan mempunyai lencana M5.

    Cermin sisi kenderaan ini juga telah dibentukkan semula supaya lebih aerodinamik, dan dijadikan lebih rendah serta menggunakan rim aloi baru. Pada bahagian belakang, terdapat empat muncung ekzos, diffuser berwarna hitam serta spoiler kecil di atas but.

    Pada bahagian dalam, model M5 ini tidak berbeza banyak dengan 5 Series biasa, dengan perubahan yang paling jelas hanyalah tombol gear bertemakan robot. Perincian lain yang ada adalah kemasan berwarna merah, lencana M serta tempat duduk yang mempunyai bentuk lebih sporty.

    Satu perkara menarik pada M5 ini adalah terdapat butang berwarna merah, yang dilabelkan sebagai ‘M1’ dan ‘M2’ pada roda sterengnya. Sekiranya perlu meneka, butang ini sepatutnya adalah untuk menukar mod pemanduan sistem iDrive secara lebih mudah bagi pemandu.

    Dalam satu lagi gambar, kita dapat melihat paparan pilihan sistem pacuan semua roda M xDrive pada M5 ini. Ia membenarkan pemandu untuk memilih antara mod 4WD, 4WD Sport dan 2WD. Kereta ini juga akan datang dengan rear locking Active M Differential, yang akan menambahkan lagi kepuasan memandu.

    Sebelum ini pernah dilaporkan bahawa sebuah enjin yang diubah suai daripada enjin V8 4.4 liter twin-turbo (juga digunakan pada M550i xDrive) akan digunakan untuk M5 baru ini, dan ia dikata dapat memberikan lebih kuasa berbanding pesaingnya, Mercedes-AMG E 63 S4Matic+ (603 hp and 850 Nm). Namun, kita masih perlu menunggu penampilan rasminya tidak lama lagi.

     
     
  • VIDEO: Porsche hasilkan rim 20-inci gentian karbon khas bagi pilihan pembeli 911 Turbo S Exclusive Series

    Gentian-karbon merupakan material idaman bagi peminat-peminat kereta berprestasi tinggi. Material ini bukan sahaja lebih ringan, malah ia juga lebih teguh berbanding logam. Bahan ini popular digunakan untuk menggantikan komponen-komponen badan kenderaan, dan ada juga digunakan untuk penghasilan aci pacu. Terbaharu, gentian karbon kini nampaknya popular pula untuk pembuatan rim.

    Sebelum ini, Ford telah menghasilkan rim menggunakan gentian-karbon yang dihasilkan sebagai opsyen untuk Ford GT, dan sekarang Porsche pula mengikut langkah tersebut. Rim gentian karbon baharu dari Porsche ini dibina dengan diameter 20-inci, dan ia dihasilkan khas untuk pilihan bagi model 911 Turbo S Exclusive Series.

    Untuk menghasilkan rim ini, Porsche memerlukan roda radial terbesar di dunia bagi ‘menenun’ 18 kilometer kompaun gentian karbon untuk sebuah asas rim. Kemudian, lebih 200 komponen gentian karbon lain di buat bagi melengkapkan rim 20-inci ini. Akhir sekali, rim-rim ini diuji dengan simulasi perjalanan sejauh 2,000,000 kilometer dan juga ujian sejauh lebih 4,500 lap dilitar ujian Porsche – dipadankan pada 911 Turbo S sebenar.

    Menurut Porsche, rim ini 20 peratus lebih ringan dan 20 peratus lebih kuat berbanding rim standard. Harga? tidak dinyatakan, tetapi pastinya berperatus-peratus lebih mahal dari rim standard.

     
     
  • Mercedes-AMG GT empat pintu dijumpai sedang diuji

    Mercedes-AMG GT empat pintu dijumpai sedang diuji

    Selepas munculnya model Mercedes-AMG Concept semasa pameran permotoran Geneva awal tahun ini, sekarang satu lagi model yang dikata akan menggunakan enjin hibrid sama seperti model itu ditemui sedang diuji. EQ Power+ adalah satu jenama sub yang diberikan kepada model baru AMG yang menggunakan kuasa elektrik, termasuk pada kereta Formula 1 Mercedes-AMG.

    Dalam pasaran coupe empat pintu prestasi tinggi yang mendapat tambahan kuasa elektrik, model baru ini akan menyertai Porsche Panamera Turbo S E-Hybrid. Sekiranya jumlah prestasi pada model konsep tersebut boleh diguna, ia akan melepasi jumlah yang dicatat oleh model Porsche. Mercedes-AMG GT ini dijangka menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 805 hp.

    Mercedes-AMG GT empat pintu dijumpai sedang diuji

    Kuasa datang daripada enjin V8 4.0 liter turbo dan dijangka mempunyai fungsi kenderaan elektrik penuh. Walaubagaimanapun, jarak pergerakan menggunakan kuasa elektrik sahaja masih belum disiarkan. Bateri lithium-ion yang digunakan akan dicas semula apabila kereta bergerak dan akan mendapat semula kuasa sewaktu membrek atau daripada enjin itu sendiri.

    Dengan semua spesifikasi ini, AMG GT empat pintu dijangka dapat memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa bawah tiga saat, namun kelajuan maksimumnya masih belum diketahui. Daripada gambar yang ada ini, kelihatan kereta tersebut menggunakan penyamaran yang menyeluruh, dan mungkin masih akan mengambil masa yang lama sebelum diperkenalkan secara rasmi – mungkin hujung tahun atau tahun hadapan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026