Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Yamaha NVX 155 dengan grafik istimewa oleh HLYM

    Yamaha NVX 155 dengan grafik istimewa oleh HLYM

    Skuter Yamaha NVX 155 sememangnya menjadi bualan ramai sejak ia dilancarkan bulan lalu. Pengedar rasmi motosikal Yamaha di Malaysia iaitu Hong Leong Yamaha Sdn Bhd (HLYM) sedar akan perkara ini dan cuba menghangatkan lagi keadaan dengan penampilan tiga model dengan grafik khas ini.

    Sebelum anda terus melompat untuk menempah model ini di kedai, biar kami beritahu bahawa ia hanyalah unit khas yang dikeluarkan untuk pameran, dan bukannya untuk jualan. Walaubagaimanapun, anda masih boleh melihatnya lebih dekat di pusat pameran GTMax di Taman Sri Muda, Shah Alam hujung minggu ini.

    Dalam keadaan asal, Yamaha NVX 155 yang menggunakan enjin 155 cc BlueCore dengan teknologi VVA dijual pada harga RM10,500, termasuk GST dan ia menawarkan tunggangan yang lebih sporty berbanding sebuah lagi skuter Yamaha yang menggunakan enjin sama iaitu Yamaha NMax.

    Antara kelebihan model NVX 155 ini adalah ia 18 kg lebih ringan berbanding NMax dan dilengkapi dengan ciri berteknologi seperti sistem tanpa kunci dan meter digital penuh berukuran 5.8 inci. Kuasa yang mampu dihasilkan oleh skuter ini adalah 14.8 hp dan 13.8 Nm tork.

    Anda juga boleh membaca artikel pandu uji kami berkenaan Yamaha NVX 155 di sini, dan ia ditawarkan dalam pilihan tiga warna iaitu biru, merah dan hitam. Ketibaan Yamaha NVX 155 memberi saingan terus kepada sebuah skuter keluaran Honda iaitu PCX 150.

     
     
  • Ferrari Portofino – model permulaan dengan 600 hp

    Ferrari Portofino – model permulaan dengan 600 hp

    Selepas sembilan tahun model California menjadi model V8 bumbung boleh buka permulaan Ferrari, ia telah dihentikan dan diganti dengan Portofino. Model baru ini didedahkan lebih awal daripada penampilan rasminya semasa Frankfurt Motor Show 2017 nanti, dan namanya diambil daripada sebuah pekan tepi laut di Itali.

    Enjin V8 3.9 liter twin-turbo sama seperti sebelum ini masih digunakan, tetapi ia telah diperbaik dengan piston dan conrod baru, serta sistem ekzos dan pemasukan udara yang direka semula. Bagi sistem ekzos, bahagian header kini diacu sebagai satu unit, dan ia dapat membantu mengurangkan kelambatan pada tekanan turbo.

    Dengan semua perubahan ini, Protofino dapat memberi pecutan lebih pantas dalam semua gear, bersama sistem Variable Boost Management yang dapat melaras penyampaian tork bergantung kepada gear yang dipilih. Paling penting, kuasa keseluruhan juga dapat ditingkatkan sebanyak 40 hp menjadi 600 hp pada 7,500 rpm dan 760 Nm tork antara 3,000 hingga 5,250 rpm. Ferrari juga mendakwa penggunaan bahan api menjadi lebih baik – 10.5 l/100 km.

    Di sebalik badannya pula, Ferrari Portofino mendapat manfaat daripada electronic differential generasi ketiga (E-Diff3) syarikat itu, dan ia sebelum ini pertama kali digunakan pada model 458 Italia, di mana ia disepadukan di dalam sistem F1-Trac untuk meningkatkan cengkaman mekanikal dan kawalan.

    Ferrari Portofino – model permulaan dengan 600 hp

    Turut diperkenalkan buat pertama kali pada Ferrari GT adalah sistem stereng kuasa elektrik, yang bekerja bersama dengan E-Diff3 untuk mengekalkan stabiliti, meskipun mempunyai nisbah stereng 7% lebih laju. Penyerap SCM-E magnetorheological juga telah dinaik taraf dengan perkadaran lebih tinggi dan penggunaan sistem dual-coil untuk mengurangkan olengan serta memperbaiki penyerapan hentakan.

    Walaupun dengan adanya semua penambahan ini, Portofino masih lebih ringan berbanding California T hasil penggunaan teknologi pengeluaran yang moden. Semua bahagian casis dan komponen badan telah direka semula dengan fokus untuk mengurangkan berat namun tetap kuat.

    Pada bahagian dalam, kabin Portofino seakan meningatkan kembali kepada GTC4Lusso, lengkap dengan skrin sesentuh 10.2 inci untuk sistem hiburan dan informasi, dan satu lagi skrin berhadapan penumpang hadapan. Rekaan roda stereng pelbagai fungsinya juga adalah baru, bersama dengan penyandar belakang tempat duduknya yang dapat memberi lebih ruang di bahagian belakang.

    Keselesaan turut diperbaiki dengan adanya sistem pendingin hawa baru lebih berprestasi, tidak kira sama bumbung ditutup atau dibuka. Penambahan penepis angin baru juga berjaya mengurangkan bunyi udara dan menurunkan kadar kitaran udara dalam kabin sebanyak 30% apabila bumbung dibuka.

     
     
  • Volkswagen T-Roc didedah – 6 pilihan enjin TSI/TDI

    Volkswagen T-Roc didedah – 6 pilihan enjin TSI/TDI

    Selepas beberapa siri teaser, Volkswagen T-Roc akhirnya didedahkan secara rasmi, sedia untuk mengambil tempat di bawah Tiguan. T-Roc adalah sebuah model yang penting bagi Volkswagen kerana ia dibina dengan hasrat memasuki segmen SUV/crossover kompak, yang mana menurut pakar, jualannya akan berganda dalam masa 10 tahun akan datang.

    Kereta ini pertama kali dipertonton sebagai sebuah kereta konsep yang menggunakan nama hampir sama semasa Geneva Motor Show tiga tahun lalu, dan rekaan model produksi ini tidak lari terlalu jauh berbanding model konsep tersebut. Di depan terdapat gril yang berbeza jika dibandingkan dengan model semasa Volkswagen yang lain, dan diapit dengan lampu hadapan nipis sehingga ke tepi fender.

    Di bawahnya pula terdapat lampu siang LED, yang juga boleh bertukar menjadi lampu penunjuk arah. Bahagian bawah bampar menempatkan satu lagi corong udara, lampu kabus serta skid plate yang diwarnakan kelabu.

    T-Roc juga dijadikan lebih dinamik dengan adanya bonet hadapan yang berlekuk, dan lengkuk roda yang lebar, seterusnya menimbulkan lagi garisan tepi kenderaan. Turut boleh dilihat dengan jelas adalah kemasan krom yang bermula dari bawah A-pillar ke keseluruhan bahagian tepi bumbung dan berakhir di C-pillar.

    Volkswagen T-Roc didedah – 6 pilihan enjin TSI/TDI

    Bagi memberi penekanan kepada konsep “pergi ke mana sahaja”, kemasan plastik digunakan pada badan T-Roc. Selain itu, pembeli juga diberi pilihan untuk mendapatkan skema warna unik, yang mana bumbung, A-pillar serta cermin sisi diwarnakan dengan warna yang berbeza dengan warna utama badan.

    Pada bahagian belakang, T-Roc mempunyai cermin yang condong, spoiler di atas pintu but dan grafik moden di dalam lampu belakangnya. Kemasan berwarna perak yang terletak di hujung bampar itu bukanlah tempat muncung ekzos, tetapi digunakan untuk meletakkan pengesan undur.

    T-Roc dibina atas platform modular transverse matrix (MQB), yang juga digunakan pada model Tiguan, Atlas serta Teramont. Untuk dimensi, ia berukuran 4,234 mm panjang (252 mm lebih pendek daripada Tiguan), 1,819 mm lebar (tidak termasuk cermin sisi), 1,573 mm tinggi dan jarak roda 2,603 mm.

    Badan T-Roc yang lebih tinggi berbanding Golf (1,452 mm) dapat menjadikan tempat duduk juga lebih tinggi, iaitu 572 mm dari atas jalan untuk tempat duduk hadapan, dan 618 mm bagi tempat duduk belakang. Ini sekaligus menghasilkan kedudukan yang diingini bagi pelanggan dalam segmennya.

    Volkswagen T-Roc didedah – 6 pilihan enjin TSI/TDI

    Pada bahagian dalam, rekaan papan pemuka T-Roc hampir sama seperti yang terdapat pada Golf Sportsvan, tetapi ia telah diserikan dengan dengan kemasan yang berwarna sama seperti badan dan hiasan jalur pada tempat duduk. Kebanyakan tombol serta suis kawalan diambil daripada model Volkswagen semasa dan kelihatan mudah digunakan.

    Antara ciri berteknologi yang ada pada T-Roc adalah termasuk Active Info Display 11.7 inci, pengecas induktif bagi telefon pintar, sistem bunyi 300-watt talaan Beats, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, servis sambungan Volkswagen Car-Net dan pelbagai sistem informasi dan hiburan lain.

    Untuk sistem informasi dan hiburan, skrin sesentuh 6.5 inci Composition Colour diberikan secara standard untuk semua varian T-Roc. Peningkatan yang boleh dipilih adalah skrin 8.0 inci Composition Media dengan pemain CD dan lebih tinggi daripada itu adalah skrin sesentuh 8.0 inci Discover Media dengan fungsi navigasi.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada T-Roc adalah termasuk pintu but bukaan elektrik, sistem pemasukan tanpa kunci dan butang pemula, tempat duduk dengan ciri pemanas dan berliang udara, sistem Climatronic dua zon dan pilihan tambahan bumbung panoramik dua bahagian berukuran 870 mm lebar dan 1,364 mm panjang – dikatakan sebagai yang paling besar dalam segmennya.

    Volkswagen T-Roc didedah – 6 pilihan enjin TSI/TDI

    Volkswagen mendakwa T-Roc yang mempunyai lima tempat duduk ini menawarkan banyak ciri yang praktikal, dengan ruang kargo sebesar 445 liter apabila semua tempat duduk berada dalam kedudukan biasa. Apabila dilipat pula, ia boleh memberikan ruang 1,290 liter – dan dikatakan sebagai yang paling besar di dalam kelasnya.

    T-Roc datang dengan ciri keselamatan yang agak lengkap, termasuk antaranya brek kecemasan autonomous (dengan pemerhati pejalan kaki), Adaptive Cruise Control (aktif sehingga kelajuan 210 km/j), pengesan titik buta, Park Assist, Traffic Jam Assist, Lane Assist dan Automatic Post-Collision Braking System.

    Volkswagen menawarkan enam enjin turbo untuk T-Roc (tiada versi hibrid), dengan tiga daripadanya adalah petrol (TSI) dan tiga lagi diesel (TDI). Kuasa pula terletak antara 115 PS hingga 190 PS, seperti Tiguan. Kotak gear manual enam kelajuan dan automatik DSG tujuh kelajuan disediakan sebagai pilihan, bergantung kepada pilihan enjin. Turut boleh dipilih untuk enjin tertentu adalah sistem pacuan semua roda 4Motion, yang turut memberi sistem 4Motion Active Control.

    Ciri 4Motion Active Control boleh dikawal menggunakan suis yang terletak di konsol tengah, belakang sedikit daripada tombol gear. Ia membenarkan pemandu memilih empat mod pemanduan iaitu Street, Snow, Offroad dan Offroad Individual bergantung kepada keadaan jalan.




     
     
  • PIAM perkenal ciri pemilihan insurans di laman web

    PIAM perkenal ciri pemilihan insurans di laman web

    Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) di dalam pembentangan prestasi separuh pertama 2017 semalam turut mengumumkan dua perkara penting berkaitan insurans kenderaan di negara ini.

    Pertama, pengenalan Motor Product Selector di laman web PIAM, dengan pautan kepada semua penanggung insurans yang ada. Platform atas talian ini akan menyediakan maklumat-maklumat utama kepada pengguna berkaitan pelindungan insurans yang ada dan menghubungkan mereka dengan syarikat insurans.

    Pengguna boleh memilih produk yang ingin mereka beli daripada penanggung insurans, dan meminta sebut harga dari satu langkah sahaja, menjadikan proses ini lebih mudah untuk mereka. Ini sangat relevan dengan perkembangan terbaru liberalisasi insurans kenderaan yang mula dilaksanakan kini.

    Dengan pelindungan kenderaan komprehensif, kotak boleh ditandakan bagi perkara tambahan misalnya elaun hilang kegunaan/ketidakselesaan, pelindungan dari bahawa khas serta kemalangan individu. Semua ini tentunya akan menjadikan kos keseluruhan nanti lebih tinggi.

    Setakat ini, 22 penanggung insurans tersenarai dalam pilihan produk yang disediakan ini, namun kami difahamkan kesediaan bagi pelindungan tambahan yang ditawarkan adalah berbeza dari satu penanggung dengan penanggung yang lain, dan tidak semua mereka menawarkan produk yang sama. Anda boleh cuba sendiri nanti, dan kongsikan pengalaman anda.

    Perkara kedua yang dinyatakan ialah penubuhan Accident Assist Call Centre (AACC) untuk membantu pengguna yang terlibat dalam kemalangan. Perkhidmatan percuma ini akan mengaturkan bantuan bagi pengguna yang berada dalam kecemasan (khidmat tunda) serta menyediakan maklumat berkaitan tuntutan insurans.

    Menurut PIAM, AACC akan turut membantu mengelakkan masuk campur pihak ketiga yang biasanya mengelirukan atau ingin mengambil kesempatan terhadap pengguna yang terlibat dalam kemalangan. Ia boleh dihubungi melalui talian 1-800-221188, ataupun hotline 15-500.

     
     
  • Harga minyak 24-30 Ogos – petrol kekal, diesel turun

    Harga minyak 24-30 Ogos – petrol kekal, diesel turun

    Setelah tiga minggu berturut-turut harga petrol dilaporkan naik, bagi minggu terakhir bulan ini iaitu bertarikh 24 hingga 30 Ogos, harga bahan api tersebut dilaporkan kekal seperti mana minggu lepas iaitu RM2.15 seliter bagi RON 95, dan RM2.43 seliter untuk RON 97.

    Manakala bagi diesel pula, ia dilaporkan turun sebanyak tiga sen, menjadi RM2.01 seliter bagi Euro 2, dan RM2.11 untuk Euro 5, berbanding minggu lalu masing-masing berharga RM2.04 seliter dan RM2.14 seliter. Semua harga ini akan berkuat kuasa tengah malam nanti sehingga Rabu, 30 Ogos.

     
     
  • Nissan Navara N-Sport Black Edition untuk Australia

    Nissan Navara N-Sport Black Edition untuk Australia

    Nissan Australia telah memperkenalkan model edisi istimewa buat Navara yang digelar N-Sport Black Edition, terhad hanya 500 unit sahaja. Ditawarkan dengan varian ST-X Dual Cab 4×4, di mana trak pikap ini dilengkapi dengan aksesori tersendiri.

    Bagi luarannya, ia dipadankan dengan bar sport baharu dan kekemasan bull bar berwarna hitam bersama pencahayaan LED. Selain itu, ia ditampilkan dengan gril ‘sarang lebah’ hitam berkilat, lampu kabus gelap dan penutup tonneau hitam lembut.

    Navara N-Sport Black Edition juga ditampilkan dengan roda aloi hitam 18-inci dengan perumah antara fender juga dari warna yang sama. Malah ia juga disertakan dengan lencana N-Sport dan pelekat ‘Black Edition’.

    Pelanggan juga boleh memilih empat pilihan warna untuk badannya iaitu Cosmic Black, Slate Grey, Brilliant Silver dan Diamond White. “Hitam memang mampu menyerlahkan lagi Nissan Navara ST-X Dual Cab ini. Dengan gaya yang lebih agresif dan jumlah pengeluaran yang terhad, kami rasa ia bakal menjadi varian yang popular di kalangan pembeli,” ujar Richard Emery, pengarah urusan Nissan Australia.

    Di bawah bonetnya ditampilkan enjin diesel 2.3 liter intercooled turbo-berkembar dengan kuasa 188 hp dan tork 450 Nm. Harganya pula bermula AU$54,490 (RM184,092) untuk versi manual enam-kelajuan dan AU$56,990 (RM192,514) bagi automatik tujuh-kelajuan.

     
     
  • Liberalisasi insurans kenderaan – penetapan harga bulan pertama, kadar premium turun-naik purata 10%

    Liberalisasi insurans kenderaan – penetapan harga bulan pertama, kadar premium turun-naik purata 10%

    Insurans kenderaan komprehensif kini dalam bulan kedua fasa liberalisasi atau nyah-tarif yang mula berkuatkuasa sejak 1 Julai lalu. Dan, untuk tempoh berkenaan, Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan ada corak awal yang dapat dilihat bagi bulan pertama pelaksanaan berkenaan.

    Dengan pelaksanaan nyah-tarif ini, kadar premium yang dikenakan tidak lagi berdasarkan satu kadar tetap, tetapi tertakluk kepada sistem penilaian berasaskan risiko. Maksudnya, tidak akan ada mana-mana polisi insurans yang akan memberikan sebut harga premium yang sama, kerana perkara yang dinilai adalah berbeza-beza bagi setiap penanggung insurans.

    Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, BNM menjelaskan, berdasarkan harga yang dikenakan oleh 11 daripada 26 penanggung insurans yang dinilai sehingga hujung Julai lalu, kadar premium ada yang naik dan turun dalam purata 10% dapat dilihat terhadap risiko keseluruhan yang diperhatikan.

    Liberalisasi insurans kenderaan – penetapan harga bulan pertama, kadar premium turun-naik purata 10%

    Perkara ini mencadangkan bahawa penanggung insurans membezakan antara risiko lebih rendah dengan yang lebih tinggu dalam corak yang agak konsisten dengan kadar harga yang munasabah. Pemerhatian BNM itu juga menyifatkan penyelarasan kadar premium pada kadar +10% juga mencadangkan bahawa model penetapan harga yang lebih terperinci dilakukan oleh sesetengah penanggung insurans.

    Sementara itu, penurutan kadar premium insurans yang diperhatikan pula adalah tertumpu kepada kenderaan baru berbanding kenderaan yang lebih berusia, tetapi tiada perbezaan ketara dapat dilihat daripada perbezaan model dan jenama. Ini mungkin menunjukkan penanggung insurans mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati sebelum menterjemah semua faktor risiko yang terlibat kepada pelarasan harga akhir.

    Laporan itu juga menjelaskan, perkara ini berlaku pada fasa awal liberalisasi untuk memberi kesan dan mempengaruhi penyelarasan premium dalam kumpulan risiko secara keseluruhannya. Pengecualian yang dapat diperhatikan pula adalah bagi kenderaan yang berkecenderungan tinggi dicuri, yang kemungkinan akan menyaksikan kenaikan premium yang lebih tinggi.

    Liberalisasi insurans kenderaan – penetapan harga bulan pertama, kadar premium turun-naik purata 10%

    Perkara lain yang sempat diperhatikan juga ialah kadar premium akan menurun dengan peningkatan usia pemandu. Ini bermakna, risiko lebih tinggi dikaitkan dengan pemandu yang lebih muda dan kurang berpengalaman, lebih tepat di bawah lingkungan usia 25 tahun.

    Bagaimanapun, pemerhatian yang sama mendapati pemegang polisi yang berusia antara 40 hingga 50 tahun mungkin akan dikenakan premium yang lebih tinggi juga, mengambil kira kenderaan mereka nanti akan digunakan oleh anak-anak yang lebih muda.

    Menarik juga untuk dinyatakan, pada bulan pertama liberalisasi, premium yang lebih tinggi dikesan lebih banyak dikenakan pada kenderaan di Semenanjung berbanding di Sabah dan Sarawak. BNM mengaitkan perkara ini dengan tahap serta pendedahan terhadap risiko yang berbeza disebabkan kepadatan trafik serta keadaan jalan.

    Pemerhatian yang dilakukan itu bagaimanapun tidak mengambil kira faktor-faktor risiko individu yang mungkin dinilai oleh penanggung insurans dalam menentukan kadar premium. Jika anda telah memperbaharui insurans kenderaan anda selepas 1 Julai lalu, adakah kadar yang dikenakan lebih tinggi atau rendah? Kongsikan pengalaman anda.

     
     
  • Nasim lanjutkan waranti untuk Peugeot, Citroen dan DS buatan 2011 hingga 2015 – 7-tahun/250,000 km

    Nasim lanjutkan waranti untuk Peugeot, Citroen dan DS buatan 2011 hingga 2015 – 7-tahun/250,000 km

    Dokumen dalaman yang tersebar menerusi Internet baru-baru ini mendedahkan Nasim bakal menawarkan waranti lanjutan bagi model Peugeot, Citroen dan DS. Menurut sumber, Program Penambahan Waranti ini bakal dilancarkan pada September 2017, bagi semua model yang dijanakan dengan enjin 1.6 liter naturally-aspirated dan pengecas turbo, yang didaftarkan dari 1 Januari 2011 hingga 31 Disember 2015.

    Ini termasuklah bagi setiap model Peugeot dan Citroen yang dijual pada tarikh yang dinyatakan, dengan hanya Peugeot 207 Sedan dan 407 juga termasuk enjin diesel bagi Citroen Grand C4 Picasso BlueHDi dan peugeot 508 GT yang tidak termasuk dalam senarai tersebut. Bagi Citroen dan DS, ia termasuk dengan kenderaan yang dijual di bawah pengedar sebelum ini, Brooklands Motors.

    Lanjutan ini turut membawakan waranti pelindungan sehingga tujuh tahun atau perbatuan sehingga 250,000 km dari tarikh pendaftaran, mana yang tiba terlebih dahulu, termasuk kenderaan yang menerima pelindungan waranti lima-tahun oleh Nasim sendiri. Kenderaan yang diselenggara di pusat servis yang bukan kelolaan Peugeot atau Citroen, selepas tamat waranti juga layak untuk menyertai program ini, bergantung pada pemeriksaan.

    Nasim lanjutkan waranti untuk Peugeot, Citroen dan DS buatan 2011 hingga 2015 – 7-tahun/250,000 km

    Pelindungan bagi komponen termasuklah bagi enjin, kotak gear dan komponen yang berkaitan dengan operasinya, seperti driveshaft dan litar penyejukan serta bahan api. Begitu juga dengan bateri dan sistem brek anti-penguncian juga termasuk dalam program ini.

    Apabila dimaklumkan, pemilik perlu membuat temujanji dengan mana-mana pusat servis berhampiran, di mana lanjutan waranti ini dibolehkan. Apabila proses selesai, kenderaan akan diselenggara di pusat servis bertauliah sepanjang tempoh lanjutan bagi membolehkan pemilik memperoleh faedah daripadanya.

    Dokumen-dokumen terbabit sebelum ini menyatakan bahasa waranti lanjutan ini adalah berkenaan kebimbangan teknikal terhadap kenderaan Peugeot, Citroen dan DS, serta membina semula keyakinan pelanggan terhadap jenama-jenama ini. Sementara itu, Peugeot, Citroen dan DS serba baharu akan terus menawarkan waranti pengeluar yang sama iaitu lima-tahun/120,000 km, seperti sebelum ini.

     
     
  • Nissan Leaf 2018 muncul dengan teaser terbaharu sebelum pelancaran rasminya pada 6 September ini

    Nissan Leaf 2018 muncul dengan teaser terbaharu sebelum pelancaran rasminya pada 6 September ini

    Seperti yang sedia maklum, Nissan Leaf 2018 bakal dilancarkan pada 6 September ini, dan kami sendiri telah pun acapkali menyiarkan pelbagai teaser atau pun ‘iklan acah’ kalau menurut kamus DBP serta video mengenai kenderaan elektrik ini.

    Terkini, teaser sedikit sudut belakangnya pula disebarkan. Di mana lampu belakang berbentuk-L dengan pencahayaan LED ditampilkan. Ia juga menampakkan elemen panel tailgate berwarna hitam dengan lencana Zero Emission. Malahan kelihatan C-pillar dengan rekaan ala ‘bumbung terapung’ pada foto ini.

    Sebelum ini, antara yang pernah didedahkan mengenai model Leaf 2018 ini ialah akan didatangkan dengan “teknologi berevolusi yang mampu mengubah cara kita memandu,” dipanggil sebagai e-Pedal.

    Selain itu, ia juga dilengkapi dengan fungsi letak kenderaan sendiri digelar ProPILOT Park, sebagai sebahagian daripada teknologi bantuan pemandu ProPILOT Assist. Fungsi ini bukanlah sesuatu yang baru dalam dunia automotif, malah telah pun digunakan oleh kenderaan seperti Ford Focus, Volkswagen Golf dan Mercedes-Benz C-Class. Pada Leaf, pemandu perlu menekan butang untuk mengaktifkan sistem ini, dan ia kemudiannya akan mencari tempat yang bersesuaian untuk meletakkan kereta.

     
     
  • Hyundai bakal perkenalkan trak pikap baharu di USA – juga akan melancarkan versi baharu Santa Fe, Tucson

    Hyundai bakal perkenalkan trak pikap baharu di USA – juga akan melancarkan versi baharu Santa Fe, Tucson

    Pada awal 2015, Hyundai mempamerkan trak pikap konsepnya, Santa Cruz, di North American International Auto Show, Detroit. Malah ia turut memenangi Trak Konsep Tahunan daripada acara Anugerah Kenderaan Konsep Amerika Utara juga pada tahun yang sama. Bahkan kehadirannya juga telah membuatkan ramai yang teruja, membuatkan Hyundai semakins erius untuk menghasilkannya dalam bentuk model produksi.

    Baru-baru ini, Reuters melaporkan, Timbalan Presiden Perancangan Produk dan Korporat Hyundai di USA, Michael J. O’Brien, pihaknya akan melancarkan model trak pikap baharu di negara Uncle Sam itu. Malah dikhabarkan, ia banyak mengadaptasi model konsep Santa Cruz. Walau bagaimana pun, sama ada namanya dikekalkan sebagai Santa Cruz mahu pun tidak, masih belum dipastikan.

    Walau pun belum mengesahkan jangkaan sebenar ia bakal dilancarkan (mungkin pada tahun 2019, menurut spekulasi dari beberapa penganalisis auto di sana), difahamkan trak pikap baharu berkenaan adalah mengikut binaan crossover kompak Tucson. Malah dalam masa yang sama, Hyundai terlebih dahulu akan memperkenalkan model yang dipertingkatkan bagi SUV Santa Fe dalam tempoh dua tahun yang akan datang, dan juga Tucson baharu pada tahun 2020.

    GALERI: Model konsep Hyundai Santa Cruz 2015

     
     
  • Mitsubishi Xpander cecah tempahan hampir 7,500 unit

    Mitsubishi Xpander cecah tempahan hampir 7,500 unit

    Mitsubishi Xpander menjadi antara model yang meraih perhatian ramai ketika Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017 yang berlangsung awal bulan ini. Sebagai versi produksi bagi model XM Concept, ia menjadi penawaran terkini pasaran Indonesia bagi segmen MPV harga rendah – ia juga membuat penampilan sulung global di negara itu.

    Ramai yang hadir di acara berkenaan yang pada awalnya sekadar hanya ingin melihat-lihat model terbabit berakhir dengan mendaftarkan nama mereka untuk tempahan. Dapurpacu melaporkan, Mitsubishi di sana menerima sejumlah 5,281 tempahan untuk MPV berkenaan sepanjang 11 hari ia berlangsung. Setakat 20 Ogos, jumlah tempahan keseluruhan yang diterima ialah 7,489.

    “Perkembangan ini membuatkan kami terus ingin memperbaiki tahap perkhidmatan kepada pelanggan dalam usaha untuk memberikan lebih nilai dan pengalaman yang baik dari jenama ini,” ujar Presiden Mitsubishi Motors Krama Yudha Sales Indonesia, Kyoya Kondo.

    Promosi oleh pengedar di Indonesia diteruskan ke sembilan kota utama di sana, melibatkan 79 acara diaturkan. Mitsubishi Xpander dikuasakan oleh enjin 1.5 liter yang menghasilkan 104 PS dan 141 Nm, ditawarkan dalam beberapa varian bermula pada harga Rp 189,050,000 (RM60,843) hingga Rp 245,350,000 (RM78,968).

    Dipasang di Indonesia, model ini turut akan dieksport ke negara-negara ASEAN lain termasuk Malaysia pada tahun hadapan. Adakah anda akan memilih model ini berbanding Honda BR-V sebaik sahaja ia mula dipasarkan di sini? Kami ingin tahu pandangan anda.

    GALERI: Mitsubishi Xpander Sport Automatik

     
     
  • PLUS tutup semua lorong tambah nilai dari 29 Ogos hingga 4 Sept sempena cuti panjang hujung minggu

    PLUS tutup semua lorong tambah nilai dari 29 Ogos hingga 4 Sept sempena cuti panjang hujung minggu

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan laluan di plaza-plaza tol akan menjadi sesak bersempena dengan cuti dan perayaan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Raya Aidiladha. Bagi membantu melancarkan lagi perjalanan trafik dan mengurangkan kesesakan yang dijangka berlaku akibat orang ramai beratur di lorong-lorong Tambah Nilai di plaza tol, PLUS akan menutup sementara semua operasi Lorong Tambah Nilai tersebut.

    Justeru, kesemua 134 Lorong Tambah Nilai di plaza tol di lebuh raya PLUS akan ditutup kepada pengguna mulai 29 Ogos hingga 4 September yang akan datang bersempena dengan cuti perayaan Sambutan Hari Kebangsaan dan cuti Hari Raya Aidiladha.

    Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, “Secara puratanya, satu transaksi urusan tambah nilai boleh mencecah sehingga 3 minit untuk setiap kenderaan. Oleh itu, penutupan Lorong Tambah Nilai di plaza tol adalah amat perlu bagi mengelakkan kesesakan disebabkan oleh pengguna lebuh raya beratur untuk menambah nilai kad mereka pada musim perayaan ini,” jelas Azman.

    Dalam masa yang sama, PLUS menasihatkan pengguna lebuh raya supaya memastikan kad mereka mempunyai baki yang mencukupi sebelum memasuki lebuh raya atau menambah nilai kad di 9,200 lokasi lain yang terdiri daripada mesin ATM, kedai serbaneka 24-jam, stesen-stesen minyak dan lain-lain lagi.

    Langkah yang sama telah diambil oleh PLUS pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan cuti Tahun Baru Cina yang lalu.

    “Berdasarkan pemerhatian dan kajian kami, langkah menutup sementara semua perkhidmatan Lorong Tambah Nilai pada musim perayaan yang lalu telah berjaya mengurangkan kesesakan di plaza tol. Justeru, kami akan menggunakan pendekatan yang sama pada musim perayaan ini dan perayaan yang akan datang,” jelas Azman.

     
     
  • Proton buka pusat baik pulih badan dan cat di Serdang

    Proton buka pusat baik pulih badan dan cat di Serdang

    Proton, melalui salah satu pengedarnya, iaitu World Car Care Services Sdn Bhd telah membuka secara rasmi sebuah pusat baik pulih badan serta cat kenderaan di Taman Bukit Serdang. Walaubagaimanapun, syarikat ini sebenarnya sudah beroperasi sejak tahun 1997 dengan khidmat asas servis dan alat ganti, serta pusat pameran dan jualan di Bukit Jalil.

    Pembukaan pusat khidmat baik pulih badan kenderaan ini sekaligus dapat meningkatkan khidmat World Car Care Services terhadap pemilik Proton di kawasan sekitarnya dan pelanggan dapat menikmati servis yang lebih selesa dan menyeluruh. Alamat penuhnya adalah Lot 591, Jalan BS 10/6, Taman Bukit Serdang, 43300 Seri Kembangan, Selangor.

    Proton buka pusat baik pulih badan dan cat di Serdang

    Selain pembukaan pusat baik pulih badan dan cat ini, Proton turut mengumumkan penganjuran kempen ‘Amazing 5 Value’ bersempena bulan kemerdekaan ini, dengan pelbagai tawaran istimewa. Ini termasuk pakej servis percuma selama lima tahun atau 100,000 km (termasuk alat ganti, minyak enjin serta upah) yang berharga mencecah sehingga RM3,700, jaminan lima tahun atau 150,000 km dan penarafan keselamatan lima bintang untuk model tertentu.

    Turut ditawarkan adalah bonus kesetiaan nasional sehingga RM1,000 kepada pemilik Proton sedia ada. Dalam kempen ini terdapat juga pertandingan pandu uji dan menang ‘Experience the Drive’, di mana pemenang mingguan akan mendapat kad petrol bernilai RM500, manakala pemenang bulanan pula akan menerima RM3,000 tunai.

     
     
  • Porsche tayang teaser Cayenne generasi akan datang, diperkenalkan di peringkat dunia pada 29 Ogos ini

    Kalau Dewan Bahasa & Pustaka baru-baru ini telah memperkenalkan perkataan yang diterjemah dari bahasa Inggeris iaitu ‘teaser’ dengan memilih ‘iklan acah’, namun apa yang Porsche sampaikan menerusi saluran Youtube bukan ‘acah-acah’ tetapi memang serius nak memberitahu. Ya, tidak lama lagi iaitu 29 Ogos ini, Porsche dijangka akan memperkenalkan model Cayenne generasi ketiga iaitu yang terbaharu.

    Cayenne merupakan model terpenting bagi Porsche, telah terjual melebihi 760,000 unit sejak ia mula diperkenalkan pertama kalinya pada tahun 2002. Melepasi dua generasi, Cayenne generasi ketiga ini dijangka lebih berkeupayaan lasak, malah telah diuji merentasi pelbagai halangan, termasuk suhu di bawah -40 darjah celsius di Alaska, USA sehingga lah 50 darjah celsius di padang pasir di Dubai. Secara puratanya, model prototaip dan pra-sirinya telah melengkapkan ujian sejauh 4.4 juta kilometer.

    Bukan itu sahaja, Cayenne baharu ini juga telah diuji di beberapa litar ujian termasuk di Jerman, Sweden, Finland dan Sepanyol, merentasi ujian kelajuan tinggi di Itali, dalam keadaan trafik yang sesak di China serta merentasi cabaran on-/off-road di Afrika Selatan, Jepun dan New Zealand.

    Porsche juga telah menguji ketahanan Cayenne daripada segi unit Hydropul, hidraulik (bagi getaran pada bahagian badan dan casis), dan keupayaannya merentasi pelbagai cabaran, dengan merangkumi jarak sejauh 240,000 km dalam tempoh beberapa bulan.

    Buat masa ini, Porsche merujuk Cayenne generasi ketiga ini sebagai ‘E3’ yang menjelaskan SUV ini bakal dilengkapi dengan casis serba baharu, kebarangkalian platform MLB Evo dari Volkswagen yang digunakan pada Audi Q7 dan Bentley Bentayga. Ia juga didatangkan dengan enjin enam- dan lapan-silinder, dan model hibrid juga bakal diperkenalkan.

    Bagi penggayaannya, SUV baharu ini nampaknya mengambil sedikit aura rekaan Panamera, terutamanya pada bahagian bampar hadapan. Malah turut ditampilkan lampu utama LED serta lampu belakang dengan efek 3D. Walau bagaimana pun, rekaan belakangnya tidak seranggi model generasi kedua.

    Maklumat lanjut akan dikongsikan apabila Cayenne generasi ketiga ini diperkenalkan di peringkat dunia secara rasminya tidak lama lagi.

     
     
  • Lucid Air Sedan akan ditawar dengan pilihan pacuan AWD, Launch Edition – penghantaran pada tahun 2019

    Lucid Air Sedan akan ditawar dengan pilihan pacuan AWD, Launch Edition – penghantaran pada tahun 2019

    Syarikat pengeluar kenderaan elektrik baru Lucid Motors telah mengambil peluang untuk menyiarkan lebih banyak perincian berkenaan kereta sedan Air mereka semasa Monterey Car Week pada hujung minggu lalu. Turut dipamerkan adalah model Launch Edition yang akan menjadi 225 unit pertama.

    Pertama sekali, syarikat tersebut telah mengesahkan bahawa Air akan mempunyai jarak gerak 640 km, pecutan 0-100 km/j dalam masa bawah 2.5 saat dan kelajuan maksimum sekurang-kurangnya 250 km/j. Jumlah ini adalah untuk model tertinggi, yang menggunakan motor elektrik berkembar, dengan pacuan semua roda dan sehingga 1,000 hp.

    Terdapat juga sebuah lagi model asas yang menggunakan motor elektrik tunggal 400 hp, dengan pacuan roda belakang sahaja dan bateri yang lebih kecil – yang mampu membawa kenderaan ini untuk jarak 385 km. Sekiranya memilih bateri tahap pertengahan pula, pengguna akan mendapat jarak 505 km.

    Barangan standard yang datang pada Lucid Air adalah termasuk lamu utama LED, rim 19 inci, lima tempat duduk, tempat duduk larasan kuasa 12 arah, empat skrin (tiga daripadanya adalah skrin sesentuh), 10 pembesar suara dan 10 beg udara. Pembeli juga akan mendapat ruang simpanan di bahagian depan dan belakang kenderaan, yang menjadikan keseluruhan ruangnya adalah 900 liter.

    Selain daripada itu, barangan tambahan yang disedikan sebagai pilihan pula adalah rim 21 inci, bumbung panoramik dan tempat duduk larasan kuasa 22 arah dengan fungsi pemanas, liang udara, mengurut dan bonjolan dinamik. Turut termasuk dalam senarai adalah tempat duduk eksekutif boleh sandar di belakang, kemasan kulit tambahan, sistem bunyi 29 pembesar suara dan suspensi aktif sepenuhnya.

    Model Launch Edition yang anda lihat ini diperlengkap dengan semua barang, dan datang dalam warna unik seperti kelabu gelap. Harganya tidak murah, iaitu lebih US$100,000 (RM428,000), tetapi bagi model asas, harganya bermula US$60,000 (RM256,800) sebelum cukai.

    Tidak kira varian apa pun yang dipilih, Air tetap akan datang dengan “semua kelengkapan yang perlu untuk pemanduan autonomous,” termasuk kamera, radar dan pengesan lidar di sekeliling kenderaan. Ini membolehkan kenderaan dilengkapi dengan ciri Advanced Driver Assistance System (ADAS) secara terus, dan pergi pula ke pemanduan autonomous penuh apabila perisiannya dinaik taraf. Penghantaran Lucid Air akan bermula pada tahun 2019.

     
     
  • Nissan perkenalkan trak dalam versi Midnight Edition

    Nissan perkenalkan trak dalam versi Midnight Edition

    Untuk pasaran antarabangsa, Nissan kini memperkenalkan trak-trak pikap dalam Midnight Edition – terdiri daripada model Titan, Titan XD dan Frontier – yang hadir dengan pertambahan kelengkapan dengan estetika rekaan yang lebih menonjol. Di Amerika Syarikat, edisi yang sama turut ditawarkan bagi model Altima, Maxima, Murano, Pathfinder, Rogue dan Sentra.

    Bagi trak dengan saiz paling besar, Titan dan Titan XD Midnight Edition, ia menampilkan kemasan hitam yang menyeluruh. Ini termasuk pada bahagian gril dan bahagian dalamnya, lampu utama, penyudah lampu kabus, bahagian fender (versi XD sahaja), cermin sisi, pemegang pada pintu dan pemijak, serta rim 20 inci aloi yang digunakan.

    Bahagian dalam turut mengikut pendekatan ini; dengan kemasan gelap menghiasi kebanyakan daripadanya. Nissan Titan Midnight Edition ini boleh didapati dalam warna Magnetic Black, Gun Metallic dan Pearl White, serta dalam versi SV/SL serta pacuan 4×4 atau 4×2. Enjin pula menggunakan unit dari Cummins 5.0 liter V8 turbodiesel.

    Nissan perkenalkan trak dalam versi Midnight Edition

    Bagi model Frontier yang lebih kecil pula, pendekatan yang dikenakan adalah hampir sama seperti yang dilihat pada Titan. Bezanya cuma ia menggunakan rim 18 inci. Ia ditawarkan dalam varian Crew Cab SV 4×2 dan 4×4 dengan transmisi automatik. Pilihan warna pula terdiri daripada Magnetic Black, Gun Metallic dan Glacier White.

    Nissan turut menawarkan pakej kemasan ini secara berasingan, walaupun harganya secara purata lebih rendah sebanyak 50% jika dibeli sebagai pakej lengkap. “Lanjutan daripada kejayaan yang diterima oleh Maxima SR Midnight Edition sebelum ini, kami mewujudkan protfolio lengkap barisan model sedia ada dengan edisi yang ditawarkan ini,” jelas Naib Presiden Jualan, Nissan Amerika Utara, Billy Hayes.

    Nissan Titan Midnight Edition

    Nissan Frontier Midnight Edition

     
     
  • Toyota daftar paten A-pillar ‘lutsinar’, tanpa kamera

    Toyota daftar paten A-pillar ‘lutsinar’, tanpa kamera

    Toyota kini sedang berusaha untuk memperbaiki pandangan ke luar, dari dalam kenderaan melalui satu paten baru yang dapat menjadikan A-pillar kenderaan seolah-olah lutsinar. Perkara ini disiarkan oleh pejabat pendaftaran paten Amerika Syarikat.

    Menurut paten yang didaftar itu, idea Toyota ini menggunakan beberapa cermin yang diletakkan secara terperinci untuk melenturkan cahaya, seterusnya dapat membenarkan kita melihat apa yang ada di sebaliknya. Cara mengatasi titik buta ini adalah berbeza jika dibandingkan dengan satu lagi cara iaitu meletakkan kamera di luar, dan menyiarkan videonya di bahagian dalam tiang tersebut.

    Jaguar Land Rover sebelum ini pernah menunjukkan satu pendekatan yang menggunakan kamera, digelar ‘360 Virtual Urban Windscreen‘, dan sistem ini berfungsi untuk memberi penglihatan maksimum apabila bergerak dalam kawasan urban, serta mengurangkan bahagian titik buta apabila memandu dalam trafik.

    Pendaftaran paten adalah sesuatu yang biasa, jadi kita masih perlu menunggu untuk melihat sama ada idea ini boleh dipakai untuk kenderaan produksi. Adakah anda rasa idea ini dapat menjadikan pemanduan lebih selamat dan mudah?

     
     
  • Malaysia antara 10 pasaran teratas bagi pengeluar kereta untuk miliki operasi pembuatan automotif

    Malaysia antara 10 pasaran teratas bagi pengeluar kereta untuk miliki operasi pembuatan automotif

    Menurut firma penyelidikan global, Malaysia antara 10 pasaran teratas bagi pengeluar kenderaan untuk memula atau mengekalkan operasi pembuatan automotif, laporan Malay Mail Online.

    Di mana Malaysia memperoleh markah 65.4 daripada 100 dalam indeks Kajian BMI, mengatasi Asia dengan markah 58.5. Ia meliputi landskap pengeluaran pelbagai auto, dasar industri automotif yang kukuh dan struktur logistik yang baik sebagai penyumbang utama bagi perolehan markah yang banyak.

    Malah Malaysia juga menduduki salah satu daripada lima kedudukan terbaik dalam rantau ini di bawah BMI Autos Production Risk/Reward Index (RRI).

    Malaysia antara 10 pasaran teratas bagi pengeluar kereta untuk miliki operasi pembuatan automotif

    “Malaysia menduduki antara tangga tertinggi dalam Auto Production RRI kami, hasil perolehan markah yang besar menerusi landskap pengeluaran pelbagai auto, dan juga pengeluaran daripada pelbagai jenama di negara (98.2/100 markah), dasar industri automotif yang kukuh (80.9/100 markah) dan infrastruktur logistik yang bagus (74.5/100),” ujar firma terbabit dalam laporan yang didedahkannya.

    Firma tersebut berkata, ada faktor lain ialah Malaysia mempunyai ekonomi jangka masa panjang dan -pendek yang stabil, begitu juga dengan faktor politik, dengan risiko operasi yang rendah serta latar belakang pelaburan yang lebih bijak. Walau bagaimana pun, peluang tenaga buruh dan pertumbuhan rendah yang berskala kecil di Malaysia mungkin menjadi penghalang untuk pengeluar kenderaan memilih negara ini sebagai hab pengeluaran utama.

     
     
  • BMW M5 F90 ditunjuk secara rasmi – 600 hp, 750 Nm

    BMW M5 F90 ditunjuk secara rasmi – 600 hp, 750 Nm

    Sebelum ini kita sudah disajikan dengan spyshot, teaser serta imej yang bocor berkenaan BMW M5 F90. Akhirnya, sedan berprestasi yang ditunggu ramai tersebut ditunjukkan secara rasmi bersama perinciannya.

    Sudah diketahui bahawa model terkini generasi keenam ini akan menggunakan enjin V8 4.4 liter twin-turbo yang sama, namun jumlah kuasanya sekadar dianggar sahaja. Setelah dipertonton secara rasmi ini, BMW memberitahu ia mampu menghasilkan 600 hp antara 5,600 hingga 6,700 rpm, 750 Nm tork antara 1,800 dan 5,600 rpm.

    Peningkatan kuasa ini adalah hasil daripada beberapa kerja naik taraf yang dilakukan pada enjin S63 tersebut, termasuk pengecas turbo baru dan tekanan bahan api maksimum lebih tinggi, iaitu 350 bar. Dengan tekanan seperti ini, masa suntikan yang lebih pendek serta atomisasi bahan api yang lebih baik dapat diperolehi, seterusnya menghasilkan tindak balas enjin lebih tepat dan campuran bahan api yang lebih cekap.

    Turut diubah adalah sistem penyejukan dan bendalir, dengan adanya komponen seperti takung minyak dengan bahagian yang kecil di hadapan, penyejukan udara indirect charge yang lebih kecil dan cekap berbanding sebelum ini, sistem penyampaian minyak sedia untuk perlumbaan serta pam yang boleh dikawal.

    Manifold ekzos jenis cross-bank yang digunakan turut direka semula, dengan penambahan resonator Helmholtz di antara dua silencer yang ada, dan ini dapat mengoptimakan kitaran pertukaran gas serta pemindahan tenaga daripada ekzos ke turbin turbo. Terdapat juga butang kawal bunyi M Sound Control yang boleh mengurangkan bunyi daripada sistem ekzos ini.

    Kotak gear automatik M Steptronic lapan kelajuan dengan Drivelogic kini diguna bagi menggantikan kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan sebelum ini. BMW mendakwa unit baru ini adalah lebih lancar dan mempunyai pergerakan yang lebih baik, hasil daripada torque converter barunya yang boleh mengunci sebaik kereta memecut, serta nisbah yang lebih luas untuk penggunaan bahan api lebih baik. Sama seperti sebelum ini, terdapat tiga program penukaran gear yang boleh dipilih dan pedal penukar gear di stereng.

    BMW M5 F90 ditunjuk secara rasmi – 600 hp, 750 Nm

    Berita yang lebih utama sebenarnya adalah ini pertama kali dalam sejarahnya selama 33 tahun, M5 menggunakan sistem pacuan empat roda, demi berhadapan dengan kuasa serta tork yang tinggi. Sistem yang dipanggil sebagai M xDrive ini menggunakan perisian khas M, dengan kawalan bersepadu bagi dinamik longitud dan lateral. Sistem pacuan ini menghantar kebanyakan kuasa kepada roda belakang, dan apabila perlu, barulah kuasa dihantar pula kepada roda hadapan. Dengan adanya juga M Dynamic Mode, M5 baru ini masih boleh menggelungsur secara terkawal.

    Selain itu, sama juga seperti Mercedes-AMG E 63, sistem pacuan M5 ini boleh dikunci untuk menjadikan ia sebuah kereta pacuan roda belakang, seterusnya membenarkan aksi drift. Walupun begitu, anda tidak perlu meletakkan kenderaan dalam mod drift untuk mengaktifkan pacuan 2WD ini, dan Dynamic Stability Control (DSC) perlu ditutup terlebih dahulu. Turut diperlengkap adalah Active M Differential.

    Dengan semua tetapan ini, M5 baru dapat memberikan prestasi yang mengkagumkan untuk sebuah sedan sports – memecut 0-100 km/j dalam masa 3.4 saat dan boleh mencecah kelajuan 200 km/j dalam masa hanya 11.1 saat. Kelajuan maksimum pula dihadkan kepada 250 km/j, manakala dengan M Driver’s Package pula, ia boleh mencecah 305 km/j.

    BMW M5 F90 ditunjuk secara rasmi – 600 hp, 750 Nm

    Di sebalik badannya, model F90 ini menggunakan suspensi hadapan double wishbone, dengan kinematik dan elastokinematik yang diubah semula serta gandar belakang five-link rekaan baru. Perubahan kepada bahagian belakang ini termasuk getah tapak toe link, anti-roll bar dan wishbone yang lebih tegar, serta bearing elastomer, tambahan palang X-brace dan transverse strut aluminium.

    Bahagian hadapan juga dijadikan lebih tegar dengan adanya bulkhead aluminium yang diperkuat, serta palang penyokong tambahan, manakala jarak roda yang lebih lebar menjadikan kenderaan lebih stabil. Penggunaan stereng kuasa elektromekanikal juga merupakan kali pertama untuk M5 dan sistem M Servotronic serta Variable Damper Control pula menyediakan pilihan mod Comfort, Sport dan Sport Plus.

    Secara standard, M5 F90 ini didatangkan dengan rim 19 inci berwarna Orbit Grey dan ia dibalut dengan tayar 275/40 di hadapan dan 285/40 di belakang. Pembeli juga boleh memilih rim 20 inci dengan tayar 275/35 di hadapan dan 285/35 di belakang. Di sebalik rim ini terdapat pakej brek M dengan angkup enam piston di hadapan dan satu piston di belakang. Cakera jenis seramik yang 23 kg lebih ringan turut disediakan sebagai pilihan.

    BMW M5 F90 ditunjuk secara rasmi – 600 hp, 750 Nm

    Selain rekaan baru yang lebih garang berbanding 5 Series G30 biasa, M5 ini juga menggunakan bonet serta fender aluminium, bersama skirting dan cermin sisi yang tersendiri. Pada bahagian belakang, terdapat empat muncung ekzos, spoiler kecil di atas but, manakala bumbungnya pula dibuat daripada gentian karbon.

    Di dalam, anda akan dapat melihat roda stereng sport M, bersama butang M1 dan M2 yang berwarna merah, berhampiran pedal penukar gear. Turut diberi terus adalah tempat duduk sports M yang dibalut dengan kulit Merino, manakala tempat duduk pelbagai fungsi M dengan penyandar kepala bersepadu, penyokong tepi tambahan serta lencana M5 berlampu disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Selain itu, terdapat juga butang pemula enjin berwarna merah, tombol gear yang pendek dan gemuk dengan kawalan Drivelogic di bahagian atasnya, serta panel instrumen digital khas untuk model M bersama head-up display. Melengkapkan bahagian dalamnya adalah kemasan yang menggunakan struktur seperti gentian karbon.

    Untuk tempoh yang terhad, BMW juga akan menawarkan model First Edition yang datang dalam warna Frozen Dark Red Metallic, kemasan luar hitam berkilat, rim 20 inci, tempat duduk putih dengan jahitan merah, kemasan dalam hitam serta lencana nombor edisinya. Hanya 400 unit model ini ditawarkan, dengan harga tambahan €19,500 (RM98,600) berbanding M5 biasa.


    GALERI: BMW M5 F90 First Edition

     
     
  • Great Wall Motors berminat untuk membeli saham Fiat Chrysler Automobile (FCA), sasar jenama Jeep

    Great Wall Motors berminat untuk membeli saham Fiat Chrysler Automobile (FCA), sasar jenama Jeep

    Sebelum ini tersebar spekulasi berkenaan Geely berminat untuk mengambil alih Fiat Chrysler Automobiles (FCA), namun mereka menafikan dakwaan tersebut selepas itu. Terbaharu, sebuah lagi jenama dari China iaitu Great Wall Motors (GWM) berminat untuk membeli kepentingan di dalam FCA, mensasarkan jenama di bawah payung kumpulan berkenaan iaitu Jeep, lapor Reuters.

    GWM merupakan pengeluar SUV terbesar di China, menghasilkan produk dengan jenama Haval, dan pengambilalihan Jeep berkenaan dilihat amat relevan. Menurut jurucakap GWM, syarikat berkenaan “berminat untuk mendapatkan” FCA. Tetapi masih belum jelas sama ada GWM hanya mahu mendapatkan FCA secara keseluruhan yang memayungi jenama-jenama seperti Fiat, Abarth, Lancia, Alfa Romeo, Chrysler, Dodge, RAM, dan Maserati, atau untuk mendapatkan Jeep sahaja.

    Satu lagi jenama yang relevan iaitu RAM walau bagaimanapun hanya menghasilkan trak untuk pasaran Amerika Utara. Berlainan dengan Jeep, jenama tersebut kini menghasilkan produk-produk global dan lebih dikenali diperingkat antarabangsa.

    Haval juga kini sudahpun berada di pasaran Malaysia dengan SUV segmen-B Haval H1 dan SUV segmen-C Haval H2. Menurut pengedar Haval di Malaysia iaitu GO Auto, model SUV segmen-C dengan enjin 2.0 liter turbo Haval H6 Coupe (194 hp/315 Nm) bakal menerjah masuk ke pasaran tempatan dengan harga jangkaan bermula RM115k, bersama SUV 4×4 ladder frame Haval H9 pada suku ketiga atau keempat tahun ini.

    Kami juga telah ke China untuk melawat kilang dan pusat R&D Haval yang terletak di wilayah Baoding serta menyaksikan sendiri betapa gahnya industri automotif di republik berkenaan buat masa sekarang. Nampaknya pengambilalihan sebuah syarikat global oleh jenama dari China seperti apa yang dilakukan Geely terhadap Volvo tidak mustahil untuk terjadi sekali lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026