Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Bekas jurutera Volkswagen dipenjara 40 bulan dan saman RM853k kerana watak utama dalam Dieselgate

    Bekas jurutera Volkswagen dipenjara 40 bulan dan saman RM853k kerana watak utama dalam Dieselgate

    Seorang bekas jurutera Volkswagen, James Liang telah dijatuhkan hukuman lebih berat daripada yang disangkakan, iaitu penjara 40 bulan dan saman US$200,000 (RM853,032) kerana kerana memainkan peranan utama dalam skandal Dieselgate –
    yang telah memberi kesan buruk kepada pengeluar dari Jerman itu.

    Menurut laporan The Detroit News, Liang, 63 tahun adalah individu pertama yang terlibat dalam skandal itu yang dijatuhkan hukuman penjara. Beliau dikatakan menjadi perancang dalam menghasilkan perisian untuk alat pengubah emisi dan selepas itu terus memfailkan permohonan meringankan hukuman kerana membantu menyelesaikan kes tersebut.

    “Kejadian ini memberi mesej yang kuat kepada mereka. Kita tidak melihat banyak individu dijatuhkan hukuman bersalah akibat salah laku korporat, jadi ini adalah salah satu kes yang sangat jarang,” kata profesor Wayne State University dan bekas pendakwa persekutuan, Peter Henning.

    Bekas jurutera Volkswagen dipenjara 40 bulan dan saman RM853k kerana watak utama dalam Dieselgate

    Hukuman yang dijatuhkan kepada Liang adalah lebih berat berbanding apa yang dicadangkan oleh pendakwa, iaitu tiga tahun penjara dan saman $20,000 (RM85,303). Hukuman yang berat ini menimbulkan kemungkinan besar bahawa eksekutif Volkswagen yang pernah didakwa sebelum ini tidak boleh meninggalkan Jerman bagi mengelakkan tindakan selanjutnya.

    “Konspirasi yang berlaku secara besar dan menipu pengguna Amerika ini sekaligus menyerang dan memusnahkan asas kepada sistem ekonomi. Kerjasama serta kekesalan anda memang diketahui, tetapi ia tidak boleh dianggap sebagai alasan salah laku,” kata Cox kepada Liang.

     
     
  • VIDEO: Mick Schumacher pandu Benetton Ford B194, rai kemenangan F1 pertama ayahnya 25 tahun lalu

    Dua minggu lalu, kami kongsikan video side-kick lagenda F1 Micheal Schumacher, Rubens Barrichello bersama anaknya di litar. Minggu ini, sempena GP Belgium di litar Spa Francorchamps, anak Schumacher sendiri iaitu Mick Schumacher diberi penghormatan untuk memandu jentera Benetton Ford B194 yang dipandu oleh ayahnya ketika bergelar juara dunia F1 musim 1994, dilitar yang menjadi tempat pertama Schumi memenangi GP pertamanya 25 tahun lalu.

    Kemenangan pertama Schumacher di Spa berkenaan diraih setelah beliau berada 12 bulan dalam kancah F1, di mana debutnya dalam kejohanan tersebut turut berlangsung pada litar berkenaan. Spa Francorchamps ini juga menjadi antara litar kegemarannya, dibuktikan dengan rekod kemenangan enam kali di GP Belgium.

    Sepanjang kariernya di dalam F1, Schumacher berjaya dinobatkan sebagai juara dunia sebanyak tujuh kali – dua daripadanya dengan pasukan Benetton (1994 dan 1995), manakala lima lagi bersama Ferrari (2000 hingga 2004). Selain itu, beliau juga memegang pelbagai rekod dalam Formula 1 antaranya kemenangan GP terbanyak (91), lap terpantas terbanyak (77) dan juga kemenangan terbanyak dalam satu musim (13).

    Kemuncak karier Schumi tentulah ketika bersama Ferrari, dan pertarungan epik beliau bersama Mika Hakkinen dari pasukan West McLaren Mercedes tentunya terpahat sebagai antara perseteruan terhebat dalam sejarah F1.

    Schumi bersara dari F1 ketika bersama Ferrari ketika berakhirnya musim 2006. Namun pada tahun 2010, lagenda yang masih hidup ini kembali ke kancah F1 untuk berlumba bersama pasukan Mercedes – kembali bekerjasama dengan pengarah teknikalnya semasa di Benetton dan Ferrari iaitu Ross Brawn.

    Akhirnya, Schumacher bersara secara kekal setelah tamatnya musim F1 2012. Malang tidak berbau, Schumi terlibat dalam kemalangan ketika bermain ski bersama anaknya Mick pada tahun 2013, dan terus koma akibat kecederaan yang dialami. Keadaan sebenar kesihatan beliau masih tidak diketahui sehingga sekarang berikutan perkara berkenaan dianggap sebagai isu peribadi oleh keluarganya.

    Sementara itu, Mick yang kini sudah berusia 18-tahun dan kini sedang berlumba dalam kejohanan Formula 3. Pada sesi yang begitu menggamit emosi ini, Mick turut mengenakan helmet khas iaitu sebelah dengan rekaan yang digunakan kini dalam F3, manakala sebelah lagi mirip rekaan ikonik helmet bapanya dengan elemen bendera Jerman.

     
     
  • Porsche Cayenne 2018 – gambar rasmi luar dan dalam model SUV generasi ketiga tersebar lebih awal

    Porsche Cayenne 2018 – gambar rasmi luar dan dalam model SUV generasi ketiga tersebar lebih awal

    Porsche Cayenne baru hanya akan didedahkan secara rasmi buat pertama kali pada 29 Ogos, iaitu esok, tetapi gambar rasmi pertamanya sudah pun mula tersebar di internet, dan gambar yang kami paparkan ini hasil daripada Auto Express.

    Melalui gambar ini, kita boleh melihat kebanyakan bahagian hadapannya tidak banyak berubah kecuali pada gril serta corong udara di tepi yang baru, seperti Panamera. Lampu utama LED dengan gaya empat petak kecil serta rekaan rim baru turut dapat dilihat, sementara bahagian belakang pula nampak lebih rapi dengan terdapat panel tengah yang menyambungkan kedua-dua lampunya yang lebih nipis.

    Di dalam, susun atur papan pemuka baru kini lebih kemas, dengan bahagian tengahnya dikuasai oleh skrin yang besar, manakala corong pendingin hawa pula direndahkan supaya permukaannya lebih sekata. Konsol tengah juga kelihatan kurang sibuk, kerana tidak banyak butang kawalan.

    Cayenne baru dibina atas platform MLB Evo (juga digunakan untuk Audi Q7 dan Bentley Bentayga), dan ia akan ditawarkan dalam variasi enjin enam dan lapan silinder. Bagi model petrol, enjin yang digunakan adalah unit V6 3.0 liter turbo dan V6 2.9 liter twin-turbo. Model Cayenne Turbo juga boleh dijangka, dengan bakal menggunakan enjin V8 4.0 liter twin-turbo dengan kemampuan hampir seperti Panamera.

    Turut pernah dilaporkan sebelum ini, Cayenne baru juga akan ditawarkan dalam versi yang mendapat tambahan kuasa elektrik, iaitu unit hibrid petrol 2.9 liter twin-turbo 470 hp serta hibrid V8 biturbo 680 hp yang menggunakan nama model Panamera S E-Hybrid.

    Cayenne baru, yang merupakan model generasi ketiga hanya akan membuat penampilan rasmi pertama semasa pameran Frankfurt Motor Show bulan hadapan, tetapi perinciannya mungkin akan didedahkan esok.

     
     
  • ETCM tawar program TC Warranty Plus untuk kenderaan Nissan, ganti beg udara Takata di Tesco

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) menerusi Tan Chong Insurance Business Stream (TCIBS) iaitu divisyen insurans Tan Chong Motor Holdings Berhad secara rasminya melancarkan satu program jaminan lanjutan untuk para pemilik kenderaan Nissan iaitu TC Warranty Plus.

    Program TC Warranty Plus menawarkan jaminan lanjutan daripada jaminan biasa tiga tahun (kenderaan kegunaan peribadi sahaja) untuk para pemilik kereta NISSAN. Ia berkuatkuasa selepas berakhirnya tempoh Jaminan Asal Pengeluar selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu).

    ETCM tawar program TC Warranty Plus untuk kenderaan Nissan, ganti beg udara Takata di Tesco

    Pengurus Besar Kanan TCIBS, Say Teck Ming berkata, “Berikutan permintaan yang tinggi terhadap jaminan lanjutan selepas pelancaran jaminan selama tujuh tahun tanpa had perbatuan oleh ETCM, program baharu ini menawarkan perlindungan tambahan. Ia juga memberikan ketenangan minda kepada pemilik kerana mereka tidak perlu mengeluarkan belanja tambahan jika perkara yang tidak diingini berlaku.”

    Dengan setiap pendaftaran program ini, pelanggan akan diberi Promosi Terawal dan layak menerima satu set Kit Menyegarkan Semula Enjin Petrol secara percuma, sah sehingga 31 Oktober 2017.

    ETCM tawar program TC Warranty Plus untuk kenderaan Nissan, ganti beg udara Takata di Tesco

    Dalam masa yang sama, ETCM dan TCEAS telah mengumumkan bahawa ia akan melanjutkan Penggantian Inflator Beg Udara Takata yang akan diadakan bukan sahaja di pusat servis tetapi juga di cawangan Tesco terpilih dari jam 10 pagi hingga 6 petang pada tarikh dan cawangan seperti berikut:

  • Tesco Bandar Bukit Puchong (23-24 Sept 2017)

  • Tesco Extra Klang (30 Sept – 1 Okt 2017)

  • Tesco Extra Cheras (7-8 Okt 2017)

  •  
     
  • Perkhidmatan Uber digantung selama sebulan dan berhadapan saman berjumlah RM15.7 juta di Filipina

    Perkhidmatan Uber digantung selama sebulan dan berhadapan saman berjumlah RM15.7 juta di Filipina

    Syarikat pengendali aplikasi perkongsian kenderaan, Uber, berhadapan dengan penalti sebanyak 190 juta peso (RM15.7 juta) dan penggantungan servis selama sebulan oleh Lembaga Franchais dan Kawal Selia Pengangkutan Darat (LTFRB) Filipina, lapor agensi berita Reuters.

    Laporan berkenaan menyebut, penggantungan ini telah pun bermula pada 14 Ogos lalu dan ia dikenakan susulan syarikat berkenaan mengingkari arahan LTFRB supaya menghentikan permohonan pemandu-pemandu baharu. Walau bagaimanapun, Uber berkata mereka tidak memproses permohonan-permohonan tersebut, dan menyatakan pada Lembaga berkenaan bahawa mereka boleh membayar saman 10 juta peso (RM800,000) untuk membatalkan penggantungan ini.

    LTFRB turut berkata bahawa Uber perlu membayar hampir 20 juta peso (RM1.6 juta) sebagai pampasan kepada pendapatan harian kepada pemandu-pemandunya sepanjang tempoh penggantungan tersebut. Setakat ini, Uber mempunyai sejumlah 67,000 pemandu di Filipina.

    Lembaga berkenaan menjelaskan bahawa penalti ini telah mengambilkira jumlah hari yang perlu untuk menggantung perkhidmatan Uber berdasarkan pendapatan purata harian, dan juga baki waktu tempoh penggantungan tersebut.

    Pertikaian antara Uber dan LTFRB telah menarik perhatian orang ramai kerana rakyat Filipina kini lebih memilih servis perkongsian kenderaan sebagai cara pengangkutan kerana ia lebih boleh diharap dan lebih berdaya saing berbanding servis pengangkutan arus perdana. Penggantungan ini juga telah menyebabkan pesaing Uber di Filipina iaitu Grab menerima permintaan yang tinggi, serta rungutan orang ramai untuk menggunakan teksi biasa.

     
     
  • Toyota dedah barisan kereta sport baharu Sept ini?

    Toyota dedah barisan kereta sport baharu Sept ini?

    Toyota Motor Corp. merancang untuk mendedahkan barisan “kereta sport” yang dikatakan setara dengan model prestasi tinggi Lexus, F Series. Malah dikatakan memilih September ini untuk memperkenalkan “siri kereta sport baharu” di negara matahari terbit itu, walau pun jurucakap syarikat automotif terkemuka ini enggan mendedahkan lebih lanjut mengenainya.

    Menurut laporan Automotive News, juga tidak dapat dipastikan adakah model produksi berkenaan turut akan ditawarkan di luar Jepun. Walau bagaimana pun, sebelum ini, Toyota ada menawarkan barisan kereta prestasi di bawah Toyota Racing Development di Amerika Utara.

    Langkah ini diambil apabila Toyota cuba untuk membangunkan reputasi untuk kereta yang bersifat emosi dan penuh aspirasi, berbanding yang boleh dipercayai dan sarat dengan utiliti.

    Toyota dedah barisan kereta sport baharu Sept ini?

    Barisan baharu bagi kereta sport ini dijangka turut termasuk dengan Toyota Supra, iaitu jentera prestasi tinggi yang menjadi kebanggaan jenama ini. Model coupe dua-pintu ini dijangka akan diperkenalkan di pasaran seawal tahun hadapan.

    Malah bulan ini, Toyota menyusun semula pembangunan kereta sport di bawah Gazoo Racing Co., iaitu unit dalaman yang didedikasikan untuk permotoran global.

    Awal tahun ini, Toyota turut berkata ia akan memperkukuhkan barisan yang ditawarkan oleh GRMN, iaitu edisi sport talaan khas bagi kereta produksi Toyota.

    GRMN pada asalnya adalah bagi Gazoo Racing yang ditala oleh Meister untuk Nurburgring, telah menyertai perlumbaan endurance terkemuka Jerman itu.

    Walau bagaimana pun, pada Geneva Auto Show lalu, Toyota telah memperkenalkan versi GRMN bagi model sub-kompak Yaris yang kini diletakkan di bawah segmen hot-hatch.

     
     
  • Mazda patenkan pintu kereta sport yang dibuka ke atas

    Mazda patenkan pintu kereta sport yang dibuka ke atas

    Mazda berkali-kali menafikan mereka kini sedang membangunkan kereta sport baharu selain dari MX-5 dan juga penyambung warisan kepada model-model sport rotary siri RX sebelum ini. Namun aktiviti R&D mereka nampaknya tidak menggambarkan apa yang dinyatakan tersebut.

    Pembuat automotif dari Hiroshima berkenaan telah memfailkan pelbagai paten untuk binaan kereta sport di Pejabat Paten dan Tanda Dagangan Amerika Syarikat, antaranya enjin Wankel Rotary Turbo generasi baharu digelar SkyActiv-R dan juga enjin dengan dua pengecas turbo bersama sebuah supercharger yang direka dengan konfigurasi pacuan belakang.

    Penemuan terbaharu pada fail Pejabat Paten berkenaan memaparkan Mazda kini telah mempatenkan pula rekabentuk pintu kereta sport yang dibuka secara keatas. Menurut fail berkenaan, rekaan Mazda ini tidak sama seperti rekaan pintu Lamborghini mahupun ‘Gullwing’ pada Delorean DMC-12 atau Mercedes-Benz 300SL, sebaliknya ia direka untuk dibuka ‘kehadapan dan keatas’ seperti pintu pada Mercedes-Benz SLR atau McLaren P1.

    Mazda patenkan pintu kereta sport yang dibuka ke atas

    Catatan pada fail tersebut turut menyatakan mereka tidak akan menggunakan damper gas untuk menahan pintu tersebut ketika dibuka sepenuhnya kerana kaedah berkenaan “secara relatif berskala besar, berat, dan mahal.” Jadi Mazda menggunakan cara yang lebih ringkas iaitu menggunakan torsion bar sebagai spring.

    Dengan rekaan ini, ia bukan sahaja lebih berkos rendah, malah ia turut membolehkan pintu ditutup lebih mudah. Tambah laporan pada fail itu lagi, Mazda turut menyenaraikan spring gegelung sebagai pilihan selain penggunaan torsion bar tersebut, tetapi “ia mempunyai skala yang sama seperti damper gas dan julat tenaga yang sukar untuk dikembangkan.”

    Jadi, adakah Mazda benar-benar sedang membangunkan kereta sport baharu? Selain dari penafian-penafian yang dilakukan oleh syarikat berkenaan, terdapat juga khabar angin yang menyatakan mereka bakal memperkenalkan pengganti Mazda RX-8 pada Tokyo Motor Show tahun ini.

    Tahun ini juga merupakan ulangtahun ke-50 enjin Wankel-Rotary Mazda setelah Mazda Cosmo Sport diperkenalkan pada tahun 1967 – pengenalan siri RX baharu berkenaan dijangka sebagai menyambut ulangtahun berkenaan. Benar atau tidak, sama-sama kita tunggu sehingga Oktober nanti.

    GALERI: Mazda RX-Vision

     
     
  • Laluan tol percuma, diskaun tol 10% di Lebuhraya MEX sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Aidiladha

    Laluan tol percuma, diskaun tol 10% di Lebuhraya MEX sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Aidiladha

    Maju Expressway Sdn Bhd (MESB) telah mengumumkan laluan tol percuma dan diskaun tol sebanyak 10% kepada semua kelas kenderaan Lebuhraya Maju (MEX) sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Aidiladha yang bakal tiba hujung minggu ini.

    Menerusi kenyataan medianya, MESB berkata laluan tol percuma itu berkuat kuasa dari 12 tengah malam 31 Ogos dan berakhir pada 11.59 malamnya manakala diskaun tol 10% bermula dari pukul 12 tengah malam 1 September hingga 11.59 malam.

    Dianggarkan lebih 107,000 kenderaan bakal menikmati laluan tol percuma dan lebih 91,000 pengguna bakal menikmati diskaun laluan tol itu.

    Untuk sebarang maklumat lanjut mengenai tawaran laluan percuma dan diskaun itu, sila ikuti Twitter dan Facebook MEXTraffic atau menghubungi hotline MEX di nombor 03-83159111.

     
     
  • TUNGGANG UJI: Modenas V15 beri alternatif gaya dan tunggangan kepada segmen motosikal bawah RM6k

    TUNGGANG UJI: Modenas V15 beri alternatif gaya dan tunggangan kepada segmen motosikal bawah RM6k

    Modenas tahun ini mengorak langkah baru apabila mengadakan kerjasama dengan sebuah syarikat dari India iaitu Bajaj Auto. Hasil daripada itu, tiga model motosikal Bajaj dilancarkan di Malaysia iaitu RS200, NS200 dan V15. Setiap satunya mempunyai sasaran pelanggan yang tersendiri dan memberi lebih pilihan kepada pengguna.

    Sebelum ini kita sudah melihat bagaimana prestasi RS200 dan NS200, yang berkongsi asas sama cuma panel badannya sahaja yang berbeza, iaitu sebuah sports, dan sebuah lagi naked, dan kali ini kita lihat pula apa yang ditawarkan oleh model cruiser V15.

    Ada yang menggelar V15 ini sebagai cafe racer tetapi saya rasakan ia kurang sesuai, terutamanya kerana motosikal ini masih lengkap dengan pelbagai aksesori, sedangkan cafe racer pula lebih ringkas. Dengan sedikit pengubahsuaian, barulah ia boleh dipanggil sebegitu. Apapun, V15 ini seakan mengingatkan kita kembali kepada model Jaguh yang pernah dipasarkan oleh Modenas bermula pada penghujung tahun 90-an. Rekaannya sedikit klasik dan mahu mengetengahkan gaya yang tersendiri.

    Secara keseluruhannya ia nampak mudah diterima, tetapi bagi saya ada beberapa bahagian yang kurang digemari dan perlu diubah supaya lebih menarik. Antaranya adalah lampu hadapan – sekiranya ia adalah unit bulat yang ringkas sahaja, ia tentunya akan dapat menarik lebih ramai pengguna, terutama yang muda.

    Bagi mereka yang mahukan gaya cafe racer pula, hanya sedikit sahaja yang perlu diubah suai selain lampu hadapan tadi, iaitu bahagian panel belakang yang terletak di bawah tempat duduk penumpang. Jika panel ini dibuang, pastinya ia akan kelihatan lebih bergaya dan jika mahu lebih lagi, bahagian pemegang mungkin boleh direndahkan dan mudguard hadapan dipendekkan. Ini sekadar mahu menunjukkan bagaimana mudahnya untuk mendapatkan gaya cafe racer melalui V15.

    Baca selebihnya di sini

     
     
  • PANDU UJI: Hyundai Elantra 2.0 liter dan Sport 1.6 liter Turbo – paradigma baharu falsafah kejuruteraan Korea

    PANDU UJI: Hyundai Elantra 2.0 liter dan Sport 1.6 liter Turbo – paradigma baharu falsafah kejuruteraan Korea

    Bagi sesetengah orang, Korea di dalam industri automotif adalah jenaka – sama seperti apa yang peminat-peminat kereta Eropah rasa pada industri automotif Jepun ketika era 60’an dan 70’an dahulu. Tetapi anda perlu ingat, ini adalah industri, bukan perniagaan menjual goreng pisang di tepi jalan.

    Usaha Korea dalam industri ini bukan sekadar ‘cuba-cuba’, tetapi mereka benar-benar serius. Seperti yang dinyatakan tadi, ini adalah industri automotif, industri yang sangat besar. Jadi sebarang kejayaan sememangnya tidak akan dapat dicapai dalam masa yang pendek.

    Sehingga kini, jenama-jenama dari Korea masih lagi dilihat dengan persepsi yang skeptikal – kurang bertenaga dari angka kuasa yang dinyatakan, penggunaan bahan api yang lebih kuat dari apa yang didakwa, pengendalian yang rasa serba tidak kena, dan yang paling serius khususnya di Malaysia ialah susut nilai yang teruk dan juga reliabiliti jangka masa panjang.

    Ingat lagi dialog watak Han (dilakonkan oleh Sung Kang) yang menyebut “What do you think, I’m gonna let you roll in a Hyundai?” dalam filem Fast & Furious 2: Tokyo Drift? Ia jelas menggambarkan Hyundai sebagai pengeluar kereta-kereta yang tidak berkuasa, tidak sesuai untuk sebarang perlumbaan.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • PUSPAKOM melancarkan sistem MyPUSPAKOM

    PUSPAKOM melancarkan sistem MyPUSPAKOM

    PUSPAKOM Sdn. Bhd. (PUSPAKOM) memperkenalkan sistem temujanji pemeriksaan atas talian baharu, MyPUSPAKOM bagi memudahkan pelanggan untuk membuat temujanji pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM. Di peringkat awal, sistem MyPUSPAKOM ini hanya akan dilaksanakan di pusat pemeriksaan kenderaan PUSPAKOM Shah Alam dan Padang Jawa bermula pada 28 Ogos 2017 bagi slot temujanji pemeriksaan bermula 11 September 2017. Pelaksanaan sistem ini dijangka akan diperluaskan secara berperingkat ke semua pusat pemeriksaan kenderaan PUSPAKOM di seluruh negara.

    Melalui sistem ini, pelanggan boleh membuat temujanji dan pembayaran pemeriksaan kenderaan secara atas talian melalui aplikasi MyPUSPAKOM atau laman sesawang www.mypuspakom.com.my. Pada masa ini, applikasi ini hanya boleh dimuat turun dari Google Play. Pelanggan yang membuat temujanji menggunakan sistem MyPUSPAKOM akan dikenakan bayaran caj pemprosesan RM3.50. Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh “walk-in” ke pusat pemeriksaan PUSPAKOM tanpa temujanji.

    Untuk membiasakan pengguna dengan sistem baharu ini, pelanggan yang membuat temujanji menggunakan MyPUSPAKOM untuk pusat pemeriksaan Shah Alam dan Padang Jawa akan dikecualikan caj pemprosesan. Tempoh pengecualian adalah bagi slot temujanji bermula pada 11 September sehingga 8 Oktober 2017.

    PUSPAKOM melancarkan sistem MyPUSPAKOM

    Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mohammed Shukor Ismail berkata, “Sistem MyPUSPAKOM ini amat mudah dan cepat kerana pelanggan boleh membuat temujanji dan pembayaran pada bila-bila masa dan di mana sahaja dengan hanya menggunakan peralatan mudah-alih atau telefon bimbit.”

    Dengan MyPUSPAKOM, urusan syarikat mahupun individu untuk membuat temujanji pemeriksaan akan menjadi lebih senang, dan pembayaran untuk slot pemeriksaan kenderaan juga akan dibuat secara atas talian. Mereka hanya perlu hadir di cawangan PUSPAKOM yang terpilih dan berurusan secara “cashless” atau tanpa tunai mengikut slot pemeriksaan kenderaan yang ditempah melalui MyPUSPAKOM.

    Selain itu, pelanggan dapat mengetahui kekosongan slot, tarikh dan masa untuk pemeriksaan kenderaan di semua cawangan dan lokasi pemeriksaan PUSPAKOM di seluruh negara, malahan boleh menyemak rekod temujanji dan pemeriksaan kenderaan. Ini memberi manfaat nilai tambah, menjimatkan masa dan kos terutamanya bagi syarikat serta organisasi dalam mengatur jadual pemeriksaan kenderaan-kenderaan milik mereka dengan lebih telus dan efisyen.

    PUSPAKOM melancarkan sistem MyPUSPAKOM

    Tambah Shukor lagi, “Dengan menggunakan sistem MyPUSPAKOM, pelanggan dapat mengetahui caj sebenar pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM, ini dapat mengelakkan daripada tertipu dan dikenakan caj perkhidmatan yang terlampau tinggi oleh perkhidmatan “runner” ataupun orang tengah.”

    “PUSPAKOM sentiasa berusaha menambahbaik perkhidmatan selaras dengan kehendak pelanggan dalam memberi kemudahan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang telus dan efisyen. Kami percaya inisiatif MyPUSPAKOM ini akan memudahkan pengaturan jadual pemeriksaan kenderaan pelanggan-pelanggan kami,” sambung Shukor.

    Untuk maklumat lanjut berkenaan Sistem Temujanji Pemeriksaan Atas Talian baharu, MyPUSPAKOM, pelanggan boleh menghubungi Pusat Bantuan Khidmat Pelanggan di talian 1-800-22-2210 atau layari laman sesawang MyPUSPAKOM di www.mypuspakom.com.my untuk membuat tempahan dan pembayaran pemeriksaan kenderaan secara atas talian.

     
     
  • Tun M mahu bina satu lagi Proton jika Pakatan menang

    Tun M mahu bina satu lagi Proton jika Pakatan menang

    Bukanlah suatu rahsia bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak gembira dengan pembelian saham Proton kepada syarikat automotif dari China, Geely. Walau bagaimana pun, pengasas Proton ini telah mempunyai perancangan mega iaitu untuk mewujudkan lagi satu projek kereta nasional seandainya Pakatan Harapan yang dinaunginya menang dalam pilihan raya yang akan datang ini.

    Bekas Perdana Menteri dan pengerusi Pakatan ini berkata, beliau mempunyai “beberapa idea untuk memulakan satu lagi syarikat automotif”, yang boleh dijadikan pemangkin kepada pertumbuhan kejuruteraan, laporan The Star.

    “Untuk Proton, pelbagai syarikat mengeluarkan komponen dan bahagian kereta telah ditubuhkan. Kereta memerlukan 4,000 bahagian, jadi inilah peluang kepada pengeluar,” ujarnya memberitahu satu forum mengenai pelaburan China di Malaysia, sebelum kecewa dengan jualan kepentingan Proton.

    Tun M mahu bina satu lagi Proton jika Pakatan menang

    Sambungnya lagi, “Malaysia merupakan satu-satunya negara membangun yang berjaya membina kereta yang sama standard dengan yang dibangunkan oleh negara membangun lain. Kereta-kereta Proton mempunyai semua ciri kereta yang dibawa masuk dari negara lain. Cuma satu-satunya perkara yang tiada ialah ia tidak mematuhi standard Euro 5 atau Euro 6, kita boleh memilikinya jika kita bersedia untuk membayarnya.”

    Pada 23 Jun lalu, Proton menerusi DRB-Hicom telah menandatangani perjanjian muktamad dengan Zhejiang Geely Holding Group (ZGH) sebagai rakan kongsi strategik asing. Perjanjian ini termeterai selepas sebulan kedua-dua pihak menandatangani perjanjian dasar di Putrajaya. Di mana Geely sah memegang ekuiti sebanyak 49.9% di dalam Proton dan 51% bagi Lotus.

     
     
  • Suzuki Jimny 4×4 generasi akan datang bakal dipertontonkan di Tokyo Motor Show Okt ini

    Suzuki Jimny 4×4 generasi akan datang bakal dipertontonkan di Tokyo Motor Show Okt ini

    Model semasa Suzuki Jimny adalah daripada generasi ketiga, dan hampir memasuki usia sedekad. Perkhabaran terkini, jentera off-road bersaiz comel ini bakal dipertontonkan di Tokyo Motor Show 2017 pada Oktober ini.

    Imej bagi generasi terkini Jimny telah pun disebarkan menjelang penampilan pertamanya di Tokyo. Apa yang anda lihat, ini adalah imej yang diambil dari pembentangan rasmi mengenainya. Nak tengok imej yang lebih jelas dan terperinci, nanti kami akan bawakan perkembangannya dari semasa ke semasa.

    Ditampilkan dengan rekaan yang agak ringkas, dengan bahagian sisi yang tinggi, permukaan kaca yang besar dan kepingan menegak pada gril seperti mana model lalu, namun bahagian hadapannya menerima sedikit sentuhan moden dan nampak lebih cool seperti model kereta kecil keluaran Suzuki – Alto, Hustler dan Ignis.

    Seperti mana yang ramai sedia maklum, Jimny bukanlah crossover moden, walau bagaimana pun ia terkenal dengan keupayaan menempuh laluan lasak secara off-road. Tempat tayar simpanan di bahagian belakang juga mengekalkan imej lasaknya, juga termasuk dengan overfender yang berketul dan bampar hitam.

    Sedikit imej dalaman Jimny baharu ini juga didedahkan. Dengan papan pemuka yang lebih tipikal, tetapi ada sedikit sentuhan gaya dari Ignis, memberikan gambaran Suzuki mahu ia tampak lebih ‘kental’ dan bergaya, termasuk pada bahagian instrumennya. Terdapat juga skrin infotainmen diletakkan di bahagian tengahnya.

    Buat masa ini tiada spesifikasi yang didedahkan, namun kemungkinan ia dipadankan dengan enjin 1.0 liter tiga-silinder “Boosterjet” turbo dan unit 1.2 liter empat-silinder naturally-aspirated seperti Ignis.

     
     
  • KTMB lancar sistem kutipan tambang automatik baharu bagi memudahkan pengguna Touch ‘n Go

    KTMB lancar sistem kutipan tambang automatik baharu bagi memudahkan pengguna Touch ‘n Go

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah pun memperkenalkan sistem kutipan tambang automatik (AFC) baharu bagi kemudahan para pengguna perkhidmatannya. Di mana para pengguna kini kini boleh menggunakan kad Touch ‘n Go di AFC yang disediakan di 13 stesen komuter terpilih.

    Stesen yang dalam fasa pertama naik taraf sistem AFC itu adalah KL Sentral, Sungai Buloh, Bandar Tasik Selatan, Subang Jaya, Batu Caves, Bank Negara, Putra, Kuala Lumpur, Serdang, Kajang, Nilai, Seremban dan Setia Jaya, laporan Bernama.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi, pelaksanaan sistem baharu itu akan memudahkan pengguna menggunakan pengangkutan awam secara integrasi dengan hanya satu kad. Sekali gus melancarkan perjalanan dan mengatasi masalah kesesakan di lorong pengimbas Touch n’ Go terutamanya pada waktu puncak.

    “Seiring dengan kemajuan sistem di mod pengangkutan awam lain seperti MRT dan LRT, AFC di komuter KTM yang merupakan sistem rel lama juga kini telah dimodenkan. Sebelum ini hanya terdapat satu lorong pengimbas Touch n’ Go di setiap stesen komuter KTM, kini pengguna dapat jimatkan masa kerana tidak perlu bersesak di satu lorong sahaja,” katanya kepada pemberita.

    Ab Aziz berkata projek itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2019 yang memberi fokus kepada integrasi sistem tiket bagi keseluruhan operator rel di Lembah Klang.

     
     
  • PLUS keluarkan jadual perjalanan sempena Hari Kebangsaan dan Aidiladha, umum rebat tol 30%

    PLUS keluarkan jadual perjalanan sempena Hari Kebangsaan dan Aidiladha, umum rebat tol 30%

    Sempena cuti panjang Hari Kebangsaan dan perayaan Aidiladha pada hujung minggu hadapan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan iaitu di antara 25 Ogos hingga 4 September ini.

    Berdasarkan TTA yang dikeluarkan oleh PLUS, orang ramai dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi yang lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor disarankan supaya memulakan perjalanan dan memasuki Lebuhraya Utara-Selatan sebelum jam 10.00 pagi. Manakala, orang ramai yang menuju ke lain-lain negeri dinasihatkan memasuki lebuh raya selepas jam 10.00 pagi.

    “Apabila saranan ini dipatuhi, kumpulan kenderaan yang bergerak ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor tidak akan bertembung dengan kumpulan yang bergerak ke lain-lain negeri di Perak (Tengah), Perak (Selatan), Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka di lebuh raya. Sebaliknya, mereka akan berada di pelbagai lokasi berlainan sepanjang lebuh raya. Ini seterusnya boleh menjadikan perjalanan pulang ke kampung halaman dengan lebih lancar,” ujar Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail..

    PLUS menjangkakan sebanyak 1.7 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap hari pada hari-hari puncak bersempena dengan cuti Hari Kebangsaan dan perayaan Aidiladha. Ia merupakan peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding 1.4 juta kenderaan pada hari-hari biasa.

    PLUS keluarkan jadual perjalanan sempena Hari Kebangsaan dan Aidiladha, umum rebat tol 30%

    Dalam masa yang sama, PLUS turut menawarkan rebat tol sehingga 30% sepanjang hari selama 2 hari iaitu pada 29 Ogos dan 4 September. Sementara itu, pengguna kad Touch ‘n Go pula berpeluang menikmati rebat tol sebanyak 10% pada tarikh-tarikh tersebut.

    “Penawaran rebat 30% untuk transaksi menerusi kad PLUSMiles adalah untuk menghargai kesetiaan dan sokongan pemegang kad PLUSMiles. Manakala, rebat 10% tersebut diberikan untuk semua transaksi elektronik lain di lebuh raya PLUS,” jelas Azman.

    Rebat tol pada kali ini diberikan bagi perjalanan kenderaan Kelas 1 (kenderaan ringan dengan dua gandar dan tiga atau empat roda kecuali teksi) melebihi 100 kilometer yang membuat transaksi tol di plaza-plaza tol di semua lebuh raya kendalian PLUS. Ia ditawarkan sepanjang hari pada tarikh-tarikh tersebut.

    Pada tarikh-tarikh tersebut, orang ramai masih perlu membayar tol dengan kadar biasa. Rebat tol 30% dan 10% tersebut akan dimasukkan ke dalam kad PLUSMiles atau kad Touch ‘n Go (dalam bentuk Tambah Nilai) apabila orang ramai menambah nilai kad mereka di pusat-pusat khidmat pelanggan PLUS di antara 15 September hingga 14 Disember yang akan datang.

    Walau bagaimana pun, rebat ini tidak meliputi transaksi tol di plaza tol Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar, Tanjung Kupang dan Jambatan Pulau Pinang.

     
     
  • Ariel HIPERCAR – kenderaan elektrik prestasi dengan kuasa 1,180 hp, 1,800 Nm tork dan pacuan 4WD

    Ariel HIPERCAR – kenderaan elektrik prestasi dengan kuasa 1,180 hp, 1,800 Nm tork dan pacuan 4WD

    Ariel akhirnya mengumumkan permulaan projek kereta elektrik sports berprestasi tinggi digelar sebagai HIPERCAR. Walaubagaimanapun, ini bukanlah nama sebenar kereta tersebut kerana nama yang betul masih belum diumumkan buat masa ini.

    Kereta tersebut dikata akan membuat penampilan rasmi pertama pada tahun 2019, dengan proses pengeluaran dirancang bermula pada tahun 2020, bersama model seperti Atom, Nomad dan Ace. Projek HIPERCAR ini dijalankan oleh Ariel bersama rakan kongsinya, Equipmake dan Delta Motorsports, di mana fasa pertama akan melibatkan pembangunan dua enjin yang akan digunakan pada kereta tersebut, dan akan dipamerkan semasa Low Carbon Vehicle (LCV) Show pada 6 hingga 7 September ini.

    Kereta elektrik sports ini akan ditawarkan dalam dua pacuan iaitu pacuan dua roda dan empat roda, dengan versi empat roda sebagai yang lebih berkuasa. Roda yang mendapat kuasa akan dipacu oleh motor elektrik dalaman, melalui kotak gear satu kelajuan terus kepada roda. Setiap motor elektrik tersebut mampu menghasilkan 295 hp (220 kW) dan 450 Nm tork.

    Bagi model pacuan empat roda, jumlah kuasa yang mampu dihasilkan adalah 1,180 hp dan 1,800 Nm tork, manakala versi pacuan dua roda pula menghasilkan 590 hp dan 900 Nm tork. Dari aspek prestasi, versi pacuan empat roda didakwa boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 2.4 saat, 0-161 km/j dalam 3.8 saat dan 0-241 km/j dalam 7.8 saat. Laju maksimum pula adalah 257 km/j.

    Ariel HIPERCAR – kenderaan elektrik prestasi dengan kuasa 1,180 hp, 1,800 Nm tork dan pacuan 4WD

    Menghantarkan kuasa kepada motor elektrik ini adalah pek bateri lithium ion 750 volt yang datang dalam kapasiti 42 kWh dan 56 kWh. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, kereta elektrik prestasi ini juga akan menggunakan range extender turbin mikro 35 kW untuk mengatasi sebarang masalah kerisauan jarak perjalanan dan mengurangkan kebergantungan kepada fasiliti mengecas kenderaan.

    Selain daripada itu, sistem elektrikal kenderaan ini terdiri daripada sistem voltan tinggi dan rendah, yang dihubungkan melalui rangkaian CAN, seterusnya membolehkan Powertrain Controller, Vehicle Dynamic Control Interface dan Battery Controller untuk berhubung dan berinteraksi menggunakan 12 voltan bersama sistem keselamatan.

    Kereta ini akan dibina di atas casis aluminium serba ringan, bersama perlindungan roll over penuh. Strukturnya juga akan menggunakan subframe aluminium di hadapan dan belakang, bersama wishbone aluminium dan suspensi outboard boleh laras. Rim pula dibuat daripada komposit karbon – 20 inci di hadapan (tayar 265/35) dan 21 inci di belakang (tayar 325/30).

    Lakaran yang ditunjukkan ini bukanlah gambar kereta sebenarnya, dan ia hanya akan dikeluarkan nanti. Tiada sebarang informasi berkenaan panel badan kenderaan ini, tetapi besar kemungkinan, ia dibuat daripada gentian karbon untuk mengurangkan berat. Harganya juga hanya akan diumumkan kelak.

     
     
  • Volvo Car Malaysia umum perlantikan SISMA Auto sebagai pengedar sah untuk pasaran Malaysia

    Volvo Car Malaysia umum perlantikan SISMA Auto sebagai pengedar sah untuk pasaran Malaysia

    Selain Jaguar dan Land Rover, kini SISMA Auto telah mengumumkan kemasukan satu lagi jenama kenderaan iaitu Volvo, untuk pasaran Malaysia, sebagai pengedar di negara ini.

    “SISMA Auto mempunyai rekod yang cemerlang dalam menguruskan jenama mewah dan dengan penyertaan mereka dalam keluarga Volvo Cars, kami akan dapat memenuhi permintaan yang kian meningkat terhadap jenama kami,” kata Lennart Stegland, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia.

    Baru-baru ini, Volvo Car Malaysia telah menyaksikan peningkatan yang pesat dalam jaringan pengedarnya di bandar-bandar utama di Semenanjung Malaysia dalam usaha mereka untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan pilihan yang lebih banyak kepada pelanggan mereka.

    Selaras dengan perkembangan ini, SISMA Auto akan mengubah bilik pamerannya di Menara Worldwide, Jalan Bukit Bintang, menjadi bilik pameran Volvo.

    Dijadualkan dibuka pada Oktober tahun ini, bilik pameran ini akan membantu untuk meningkatkan keterlihatan dan kesedaran terhadap rangkaian produk terkini Volvo yang terkemuka di tengah-tengah kawasan kediaman dan komersial utama di Kuala Lumpur.

    Volvo Car Malaysia umum perlantikan SISMA Auto sebagai pengedar sah untuk pasaran Malaysia

    Pemilik kereta yang menetap atau bekerja di kawasan sekitarnya akan dapat menikmati pengalaman pemilikan premium kerana bilik pameran Volvo yang baru ini akan menawarkan Perkhidmatan Concierge SISMA Auto, yang menawarkan pengambilan dan penghantaran kenderaan secara eksklusif dari rumah atau pejabat.

    Pusat servis Volvo di luar tapak SISMA Auto juga akan menawarkan rangkaian perkhidmatan selepas jualan yang lengkap.

    Sempena pembukaan bilik pameran yang baru tersebut, pelanggan yang membeli kereta Volvo baru daripada SISMA Auto berpeluang memenangi lawatan ke Sweden dengan semua perbelanjaan ditanggung.

    Pengarah Urusan SISMA Auto, Syed Khalil Syed Ibrahim berkata syarikat tersebut amat teruja untuk mengalu-alukan satu lagi jenama kereta Continental premium.

    “Kami berharap untuk bekerjasama dengan Volvo, yang mempunyai rangkaian model baru yang mengujakan dengan harga yang begitu kompetitif untuk memenuhi keperluan pasaran Malaysia,” katanya.

    Syed Khalil menyatakan bahawa syarikat tersebut masih begitu komited untuk membangunkan jenama Jaguar Land Rover di Malaysia dalam jangka masa panjang. SISMA Auto akan terus menjalankan operasi cawangan Jaguar Land Rover syarikat itu di Glenmarie dan Pulau Pinang untuk memberikan perkhidmatan kepada pelanggan setianya.

     
     
  • ‘AKU 1’ terima bidaan lebih RM200k – JPJ Perak

    ‘AKU 1’ terima bidaan lebih RM200k – JPJ Perak

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak yang membuka bidaan bagi nombor plat pendaftaran kenderaan ‘AKU’ dengan nombor siri yang bermula dari nombor 1 hingga 9999 pada 3 Julai lalu turut mendapat sambutan yang menggalakkan.

    Menurut Pengarah JPJ negeri berkenaan, Mohd Zawawi Zakaria, pihaknya telah menerima bidaan tertinggi iaitu bernilai RM207,898.90 bagi ‘AKU 1’.Ia mengatasi nombor popular seperti 8055, 1305 dan 805, laporan Bernama.

    Beliau berkata bagi nombor plat kenderaan siri AKU 8055 yang menyerupai perkataan ‘AKU BOSS’ pula menerima nilai bidaan tertinggi berjumlah RM74,000.

    JPJ Perak menerima 3,315 permohonan dan daripada jumlah itu sebanyak 239 permohonan ditolak kerana gagal mengikut syarat yang ditetapkan.

    “Nombor terlaris siri AKU ialah AKU 1305 iaitu seramai 49 pembida, AKU 8055 (27), AKU 89 (23), AKU 69 (21), AKU 2121 (20), AKU 4212 (19) dan AKU 805 (18) pembida,” katanya kepada pemberita.

    Mohd Zawawi berkata jumlah kutipan keseluruhan nilai bidaan nombor plat kenderaan AKU ialah RM3.5 juta dan ia merupakan jumlah bidaan tertinggi yang direkodkan JPJ Perak setakat ini.

    “Kebiasaannya permohonan tender nombor plat kenderaan yang direkodkan JPJ Perak adalah antara 500 hingga 600 penyertaan sahaja, tetapi bagi siri AKU permohonan bertambah enam kali ganda,” katanya.

     
     
  • Kia Picanto GT Line dipamer di Malaysia – banyak kelengkapan, pelancaran ditetapkan untuk tahun 2018

    Kia Picanto GT Line dipamer di Malaysia – banyak kelengkapan, pelancaran ditetapkan untuk tahun 2018

    Ini adalah satu kejutan daripada Naza Kia Malaysia – Kia Picanto baru sedang dipamerkan di pusat pameran Red Cube Plentong, Johor Bahru. Model ini adalah model generasi ketiga, yang menggunakan kod JA dan ditetapkan untuk pelancaran di Malaysia pada tahun hadapan.

    Unit Picanto baru yang dipamerkan ini menggunakan trim GT Line, yang mana ia dilengkapi dengan bahagian hadapan serta bampar belakang lebih agresif, side skirt lebih dalam dan diffuser belakang berwarna hitam siap dengan dua muncung ekzos. Rimya pula adalah bersaiz 16 inci – satu inci lebih besar berbanding model TA sebelumnya.

    Kereta pameran ini juga penuh dengan pelbagai kelengkapan termasuk lampu hadapan projector halogen automatik dengan lampu siang LED, lampu belakang LED, sistem pemasukan tanpa kunci, butang pemula enjin, enam beg udara dan sistem kawalan stabiliti.

    Selain daripada itu, terdapat juga ciri seperti kemasan separuh kulit, cruise control, sistem navigasi dengan skrin sesentuh tujuh inci, kamera undur, pengawal suhu automatik, bumbung suria, sistem pemerhati tekanan angin tayar (TPMS) dan brek kecemasan autonomous (AEB). Walaubagaimanapun, semua ciri ini masih tidak pasti akan dikekalkan apabila dilancarkan nanti.

    Kuasa bagi kenderaan ini sepatutnya datang daripada enjin empat silinder 1.25 NA DOHC yang sama seperti sebelum ini, dan ia mampu menghasilkan kuasa sebanyak 83 hp pada 6,000 rpm dan 122 Nm tork ada 4,000 rpm. Transmisi yang digunakan pula adalah unit automatik empat kelajuan. Bagi model sebelum ini, Naza Kia ada menjual model dengan transmisi manual lima kelajuan, tetapi disebabkan sambutan yang kurang, ia mungkin tidak ditawarkan lagi.

    Bagi harga pula, tiada sebarang informasi yang didedahkan lagi, tetapi kami menjangka Picanto baru ini akan menjadi sedikit mahal berbanding model sebelum ini yang dijual pada harga RM61,888 atas jalan termasuk insurans.

     
     
  • Ferrari 812 Superfast kini di Malaysia – dari RM1.6j

    Ferrari 812 Superfast kini di Malaysia – dari RM1.6j

    Seperti yang pernah dikhabarkan, hari ini, NAZA Italia telah pun melancarkan Ferrari 812 Superfast, yang disifatkan sebagai model Ferrari paling berkuasa dan terpantas dalam sejarahnya. Pernah dipamerkan di pentas Geneva International Motor Show 2017 pada Mac lalu, Ferrari 812 Superfast bukan sahaja menampilkan banyak ciri yang inovatif, bahkan mengimbau kembali sejarah kegemilangan yang tercipta oleh Prancing Horse pada 1947, iaitu 70 tahun yang lalu.

    812 Superfast juga adalah ciptaan era baharu di dalam sejarah 12-silinder Ferrari, seperti mana legasi bagi F12berlinetta dan F12tdf. Ia adalah bagi memberikan pilihan buat pelanggan yang mahukan ledakan kuasa luar biasa serta ekslusiviti, dalam masa yang sama jentera yang mampu dilenjan di jalan raya biasa dan trek perlumbaan. Malah Ferrari juga berkata, 75% komponen yang digunakan bagi 812 Superfast ini adalah serba baharu.

    Ferrari 812 Superfast kini di Malaysia – dari RM1.6j

    Jentera prestasi tinggi ini dikuasakan oleh enjin baharu dan yang paling berkuasa di dalam famili Ferrari iaitu 6.5 liter natural-aspirated V12 yang menghamburkan kuasa sehingga 800 hp pada takat 8,500 rpm dan tork pula 718 Nm pada 7,000 rpm, dengan capaian yang lebih signifikan sebanyak 80% apabila mencecah 3,500 rpm. Sekali gus mempertingkatkan keupayaan pemanduan dan pacuan walau pun pada tahap rev yang rendah.

    Tahap prestasi itu mampu dicapai dengan adanya sistem suntikan terus 350 bar buat pertama kalinya bagi sebuah enjin prestasi tinggi dan dipadankan dengan geometri boleh-ubah yang diambil dari konsep asal enjin aspirasi F1. Ia juga dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan dengan nisbah gear yang spesifik, digabungkan bersama penukaran gear rendah, sekali gus memberikan respon pendikitan yang lebih tepat.

    Hasilnya, 812 ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 2.9 saat dan berkeupayaan mencapai kelajuan maksimum sehingga 340 km/j, menjadikannya terlaju dalam barisan model Ferrari yang lain.

    Ferrari 812 Superfast kini di Malaysia – dari RM1.6j

    Bagi pengendalian yang lebih memberangsangkan, 812 Superfast ini turut digandingkan dengan Side Slip Control (SSC) versi 5.0, memberikannya powersliding yang lebih mudah. Selain itu, ia turut menampilkan Virtual Short Wheelbase (PCV) 2.0, iaitu sistem stereng empat-roda yang pertama kali diperkenalkan menerusi F12tdf. Dan buat pertama kalinya juga, Ferrari memperkenalkan stereng kuasa elektrik (EPS) menerusi 812 Superfast, berbanding stereng hidraulik.

    Bagi memberikan imej yang lebih sepadan dengan prestasi kuasanya, 812 Superfast dihadirkan dengan bampar hadapan baharu, yang disambungkan pada corong saluran brek aktif, berhampiran gril sarang lebah. Selain itu, ia turut menampilkan lampu utama LED, serta ekstraktor pemanas di sebelahnya.

    Melihat bahagian sisinya pula, ternyata 812 Superfast lebih maskulin dengan gerbang roda yang cukup menonjol. Sementara bahagian belakangnya ditampilkan dengan lip spoiler yang turut menyerlahlah lagi gayanya. Malah lampu belakang baharu dengan dua-unit berbanding satu sahaja pada F12, begitu juga dengan bampar baharu yang menampilkannya lebih agresif. Perubahan lain termasuk membentuk semula penutup enjinnya, nampak lebih bersudut berbanding sebelum ini.

    Ferrari 812 Superfast kini di Malaysia – dari RM1.6j

    Imej baharu ini turut menyalurkan fungsi aerodinamiknya, termasuklah dengan seksyen hadapan pelbagai-fungsi yang disambungkan pada kluster aerodinamik termasuk penutup (flap) aktif di bahagian bawah kerangka hadapan, dan di belakang dengan saluran aerodinamik untuk menambahkan lagi downforce.

    Di dalamnya pula, 812 Superfast ditamapilkan dengan rekaan kabin baharu. Ini termasuklah dengan papan pemuka yang disemak semula serta corong pendingin hawa dan kekemasan baharu. Ia juga didatangkan dengan roda stereng pelbagai-fungsi dan suis gear, iaitu sebagai elemen yang dipertingkatkan. Sementara skrin yang menghadap penumpang pula adalah lebih kurang sama pada GTC4Lusso.

    Satu lagi daya tarikan yang ada pada 812 Superfast ini ialah cat baharu berwarna Rosso Settantanni (merah) membawa maksud “70 merah” yang menggambarkan ulang tahun ke-70 jenama ini. Bagi pasaran Malaysia, 812 Superfast diperkenalkan dengan harga asas RM1,578,800.00 (tidak termasuk cukai dan pilihan pengkhususan).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026