Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • VIDEO: Rolls Royce Phantom VII dengan enjin Toyota 2JZ disuap turbo dan supercharger, berkuasa 600 hp

    Di Malaysia, kereta Eropah yang disumbat dengan enjin Jepun merupakan perkara biasa. Pemilik-pemilik BMW, Mercedes-Benz, Jaguar malah Volvo lama seringkali memilih enjin-enjin turbo enam silinder Jepun seperti siri RB Nissan (RB20, RB25, RB26), dan juga siri G (1G-GTE) dan JZ (1JZ, 2JZGTE) untuk menggantikan enjin asal mereka dengan alasan lebih tahan lasak, lebih berkuasa, dan dalam konteks Malaysia ia lebih kecil dari segi kapasiti yang membolehkan bayaran cukai jalan juga lebih rendah.

    Perkara ini turut berlaku diluar Malaysia sebenarnya. Tetapi menerusi video yang dimuatnaik oleh SpeedHunter ini nampak pengubahsuai berkenaan telah masuk ke fasa lebih tinggi apabila sebuah Rolls Royce Phantom VII 2008 di Jepun yang asalnya dijana enjin V12 6.75 liter berkuasa 459 hp kini digantikan dengan enjin enam silinder 3.0 liter turbo Toyota 2JZ yang biasanya dijumpai di dalam perut Toyota Supra JZA80.

    Menurut Speedhunter, Rolls Royce ini menghadapi masalah enjin ketika meter perbatuannya mencecah 190,000 km dan ia perlu ditukar kepada sebuah lagi enjin baharu. Masalah yang dihadapi oleh pemilik adalah, beliau terpaksa menunggu sehingga dua tahun bagi mendapatkan sebuah enjin gantian baharu dari Rolls Royce.

    Jadi, untuk mengatasi masalah ini, pemilik berkenaan mengambil jalannya sendiri untuk memperbaiki kereta berkenaan secepat mungkin dengan menukar enjin asal tersebut dengan enjin 2JZ yang lebih mudah didapati di Jepun. Sudah tentu jumlah kuasa standard sekitar 280 hp pada 2JZ ini tidak mencukupi untuk membawa badan Rolls Royce ini sama seperti keadaan asalnya, jadi enjin tersebut diberikan pengubahsuai yang ekstensif.

    Kini enjin berkenaan bukan hanya disuap dengan pengecas turbo Trust T78, ia turut didesak oleh kit supercharger HKS GT8555. Buat masa sekarang, tekanan boost dilaras pada 1.6 bar, tetapi ia dalam perancangan untuk menala komputer HKS F-CON V Pro pada tahap boost 2.0 bar dan dijangka sejumlah 900 hp bakal dihasilkan pada peringkat tersebut.

    Bagi memastikan enjin ini kekal bertahan dengan desakan boost jauh lebih besar dan menhasilkan kuasa lebih optimum, J&K Power dari Chiba yang bertanggungjawab membuat pengubahsuaian ini turut memadankan omboh forged lebih besar dari HKS, sistem penyejukkan menggunakan radiator dari HPI Evolve serta tangki tambahan yang diambil dari Lexus RC F.

    Untuk memastikan casis Rolls Royce ini mampu menampung jumlah kuasa lebih besar serta mengatasi masalah reliabiliti pada sistem suspensi jenis udara standard kereta mewah ini, pemilik telah memadankan suspensi boleh laras sepenuhnya dari Öhlins, yang dipasang secara ubahsuai bagi menggantikan sistem asal.

    Rolls Royce Phantom VII ini masih lagi kelihatan standard pada bahagian luaran, cuma ditambah sepasang splitter pada bampar hadapan serta jalur LED tambahan pada liang udara. Jika mereka yang arif dengan pengubahsuaian kereta, unit intercooler disebalik gril standard Rolls Royce ini tentunya mengundang sangsi.

    Dalaman kereta mewah ini juga kelihatan standard, tetapi ditambah dengan meter boost Defi, serta paparan informasi Defi Advance ZD. Satu suis dipadankan pada tombol gear – ia bukan suis sistem NOS, tetapi sebenarnya untuk mengaktifkan/mematikan fungsi overdrive kerana 2JZ pada Rolls Royce ini menggunakan kotak gear automatik empat-kelajuan dari Toyota Aristo.

     
     
  • LPT2 tawar rebat tol 50% sempena Merdeka, Aidiladha

    LPT2 tawar rebat tol 50% sempena Merdeka, Aidiladha

    Selain dari Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya MEX, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) turut menawarkankan rebat tol sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Raya Aidiladha esok.

    Menurut laporan Bernama, LPT2 menawarkan rebat sehingga 50% bagi pengguna yang menggunakan lebuhraya yang menghubungkan Jabor ke Kuala Terengganu berkenaan.

    Pengurus Besar LPT2 Husni Md Yusof berkata, rebat tol itu diberikan sebagai tanda penghargaan kepada sokongan pengguna lebuh raya itu terhadap inisiatif transaksi tol 100 peratus elektronik yang dilancarkan di LPT2 baru-baru ini.

    “Rebat tol kali ini diberikan bagi perjalanan kenderaan kelas 1 dan melebihi 100 Kilometer yang membuat transaksi tol di plaza-plaza tol di lebuh raya LPT2 pada tempoh berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau menjelaskan pengguna perlu membayar tol dengan kadar biasa kerana rebat 50 peratus itu hanya dimasukkan ke dalam kad PLUSMiles atau kad Touch n Go (dalam bentuk tambah nilai) apabila mereka menambah nilai kad berkenaan di plaza tol LPT2 dan pusat khidmat pelanggan PLUS di antara 15 Sep hingga 14 Dis depan.

     
     
  • MASOC saran guna pengangkutan awam ke upacara penutup Sukan SEA di Stadium Bukit Jalil malam ini

    MASOC saran guna pengangkutan awam ke upacara penutup Sukan SEA di Stadium Bukit Jalil malam ini

    Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) menyarankan orang ramai yang ingin ke upacara penutup Sukan SEA Ke-29 (KL2017) di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini agar menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan, lapor Bernama.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh jawatankuasa tersebut, stesen Transit Aliran Ringan (LRT) yang terdekat ialah LRT Bukit Jalil dengan pengguna disaran menggunakan kad Touch n Go untuk pembelian tiket bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan selepas upacara itu tamat. Khas untuk perkara berkenaan, waktu operasi LRT Laluan Sri Petaling di Stesen Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga 2 pagi pada 31 Ogos ini.

    MASOC juga berkata hanya penonton yang mempunyai tiket sah, kad jemputan dan pas akreditasi dengan pelekat khas sahaja yang dibenarkan masuk ke stadium. “Pemegang tiket diingatkan bahawa mereka tidak dibenarkan masuk semula ke dalam stadium sekiranya mereka keluar stadium,” kata kenyataan berkenaan.

     
     
  • Volkswagen Polo Mk6 2018 – lebih gambar dan pelbagai perincian rasmi baharu didedahkan

    Volkswagen Polo Mk6 2018 – lebih gambar dan pelbagai perincian rasmi baharu didedahkan

    Volkswagen telah menyiarkan imej-imej baharu untuk hatchback segmen-B Polo generasi keenam yang sebelum ini telah didedahkan pada Jun lalu. Gambar-gambar baharu ini memaparkan Polo Mk6 dalam varian standard, berbanding sebelum ini yang lebih menonjolkan versi R-Line dan Beats.

    Volkswagen Polo generasi terkini berkenaan menampilkan badan yang lebih besar dari sebelum ini. Dibina di atas platform MQB A0 yang sama dengan Seat Ibiza generasi baharu, dimensinya diukur dengan 4,053 mm panjang, 1,751 mm lebar dan 1,446 mm tinggi. Jika dibandingkan dengan generasi Mk5, model baharu ini 81 mm lebih panjang, 94 mm lebih lebar dan 7 mm lebih rendah. Kerangka baharu berkenaan juga jauh lebih tegar dari sebelum ini tanpa apa-apa berat tambahan.

    Polo generasi baharu direka dengan rupa yang lebih sporty dan tajam, dengan imej seperti Golf generasi terkini. Dengan badan yang lebih lebar dan rendah, lampu hadapan (juga terdapat dalam versi LED) diletakkan lebih rendah dari sebelum ini, manakala bentuk liang udara sisi menyerlahkan lagi kelebaran kereta tersebut.

    Volkswagen Polo Mk6 2018 – lebih gambar dan pelbagai perincian rasmi baharu didedahkan

    Untuk model Mk6 ini, Polo tidak lagi dihasilkan dalam versi tiga-pintu dan pembeli hanya ditawarkan dengan badan hatchback lima-pintu. Lampu belakang turut diberikan opsyen teknologi LED, manakala rim hatchback ini pula ditawarkan dengan 12 rekaan berbeza yang disediakan dalam diameter 14 hingga 18-inci. Bagi pilihan warna pula, 14 warna berbeza diletakkan pada brosur untuk dipilih oleh pembeli.

    Masuk ke kabin, anda akan disajikan dengan papan pemuka serba baharu yang menampilkan rekaan menegak menggantikan rekaan melintang pada generasi sebelum ini bersama pilihan empat pilihan warna kemasan pad pemuka dan 11 pilihan balutan tempat duduk. Ia turut diberikan kluster instrumen digital yang lebih besar dengan skrin Active Info Display bersaiz 11.7-inci yang bukan sahaja lebih berdefinasi tinggi, malah menampilkan susunan lebih logik dari sistem-sistem Volkswagen sebelum ini.

    Untuk sistem infotainmen, dua pilihan skrin disediakan iaitu 6.4-inci dan 8.0 inci (skrin paling besar turut diberikan pelindung kaca). Skrin ini juga turut boleh memaparkan informasi-informasi yang diambil dari Active Info Display. Pilihan lain yang turut ditawarkan termasuk App Connect dengan Mirrorlink, hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas telefon pintar tanpa wayar, sistem kunci pintar dengan suis penghidup, manakala model Beats turut menerima sistem audio berkuasa 300-watt.

    Volkswagen Polo Mk6 2018 – lebih gambar dan pelbagai perincian rasmi baharu didedahkan

    Bagi keselamatan dan teknologi pula, Polo baharu ini menerima Bantuan Hadapan bagi sistem pemantauan dengan Brek Kecemasan Bandar dan Pemantauan Pejalan kaki – standard untuk semua model Eropah. Manakala sistem Kawalan Kelajuan Adaptif ditawarkan sebagai pilihan, dengan fungsi Stop & Go. Selain itu, Pengesan Titik Buta dan Kepekaan Trafik Belakang, juga Bantuan Parkir turut ditampilkan.

    Untuk pilihan janakuasa pula, tiga enjin petrol 1.0 liter tiga-silinder ditawarkan semasa pelancarannya termasuk enjin NA dengan pilihan talaan sama ada 65 PS/95 Nm atau 75 PS (digandingkan hanya dengan kotak gear manual lima-kelajuan), dan juga enjin turbo TSI berkuasa 95 PS/175 Nm (turut diberi pilihan kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan).

    Manakala pada hujung tahun kelak, Polo Mk6 turut terdapat dalam versi 1.0 TSI berkuasa 115 PS/200 Nm dan juga 1.5 TSI empat silinder bersama sistem Active Cylinder Management (ACT) berkuasa 150 PS/250 Nm. Varian paling berkuasa GTI turut bakal ditawarkan – dijana enjin 2.0 liter TSI berkuasa 200 PS/320 Nm. Kesemua pilihan enjin ini ditawarkan dengan pilihan kotak gear sama ada manual enam-kelajuan atau DSG.

    Selain petrol, Polo baharu ini turut menerima pilihan enjin diesel yang terdiri dari enjin 1.6 TDI dengan talaan 80 PS/250 Nm dan 95 PS, serta enjin 1.0 liter TGI yang digerakkan oleh gas asli menghasilkan kuasa 90 PS/175 Nm.

    Volkswagen Polo Mk6 masih mengekalkan konfigurasi asal suspensi seperti generasi-generasi seterusnya iaitu topang McPherson pada bahagian hadapan, serta torsion beam bersama bar anti-oleng pada bahagian belakang. Pilihan suspensi sport turut disediakan bagi membolehkan badan kereta ini 15 mm lebih rapat ke permukaan tanah, yang turut boleh dipilih bersama penyerap hentak adaptif.

    GALERI: Volkswagen Polo R-Line

    GALERI: Volkswagen Polo Beats

     
     
  • Keuntungan BMW lebih tinggi berbanding Daimler dan Volkswagen Group pada separuh pertama 2017

    Keuntungan BMW lebih tinggi berbanding Daimler dan Volkswagen Group pada separuh pertama 2017

    Menurut kajian yang dilakukan oleh Ernst & Young, keuntungan yang dijana oleh BMW bagi separuh pertama tahun ini adalah lebih tinggi berbanding seteru utama senegaranya iaitu Daimler serta pengeluar automotif nombor dua dunia juga dari Jerman – Volkswagen, lapor agensi berita Jerman DPA.

    Berdasarkan laporan tersebut, BMW berjaya mencatatkan angka jualan 49.25 bilion euro dan memperolehi keuntungan 5.58 bilion euro bagi margin keuntungan 11.3% dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

    Apa yang mengejutkan, pengeluar dari Jepun iaitu Suzuki berada pada kedudukan kedua untuk margin keuntungan terbaik dengan 10.3%, manakala Daimler pada kedudukan ketiga dengan 9.7%. Volkswagen pula hanya berada pada kedudukan kelima dalam carta 10 terbaik, dibelakang GM dengan margin 7.7%.

    Angka-angka yang dicatatkan ini meneruskan trend yang direkodkan tahun lalu, di mana pada tahun penuh 2016 BMW mencatatkan margin keuntungan 10%, dan berada dihadapan Daimler (8.3%), tetapi dengan pengenalan pelbagai model baharu dari saingannya itu dapat mengurangkan jurang kemudiannya.

    Walau bagaimanapun, laporan tersebut turut menyatakan jika dinilai hanya pada perniagaan dalam sektor automotif, Daimler sebenarnya membuat untuk yang lebih besar dari BMW. Namun keuntungan Daimler berkenaan juga sebenarnya masih lagi jauh jika dibandingkan dengan Ferrari, yang mencatatkan margin paling tinggi di dalam industri.

    Kajian E&Y ini juga mengatakan cabaran dalam pasaran akan terus memberikan kesan terhadap semua pemain dalam industri, dan menambah bahawa jualan pada pasaran Eropah kini menurun manakala perkembangan yang melebihi purata pada pasaran China bakal menyebabkan berberapa pengeluar Jerman akan bergantung pada pasaran republik rakyat tersebut.

     
     
  • BMW Malaysia perkenal program servis tambahan

    BMW Malaysia perkenal program servis tambahan

    BMW Malaysia telah mengumumkan pengenalan program BMW Oil Inclusive untuk semua kenderaan BMW yang tidak mempunyai program servis aktif pada waktu ini ataupun yang mana program servis asal telah pun tamat. Melalui program ini, pemilik boleh memilih untuk menambah tempoh servis kepada sama ada lima tahun/ 60,000 km, atau lima tahun/ 100,000 km.

    Menurut syarikat itu, program BMW Oil Inclusive menawarkan pakej yang fleksibel, jadi pemilik boleh memilih pakej yang lebih bersesuaian dengan cara penggunaan dan pemanduan kenderaan mereka. Sebagai contoh, sebuah BMW 3 Series yang didaftar pada tahun 2012 dengan catatan jarak batuan 70,000 km sudah pun tamat tempoh program servis dan waranti, jadi, mereka boleh memilik program ini untuk menyambungnya.

    Melalui program ini, pemilik akan menikmati servis profesional di semua pengedar BMW, menggunakan pelincir dan alat ganti asli. Harga bagi setiap pakej dan model kenderaan boleh dirujuk melalui carta di bawah.

    BMW Malaysia perkenal program servis tambahanBMW Malaysia perkenal program servis tambahan

     
     
  • UMW Toyota taja acara berbasikal Jelajah Malaysia

    UMW Toyota taja acara berbasikal Jelajah Malaysia

    Acara berbasikal tertua di Asia, Jelajah Malaysia yang kini telah memasuki edisi ke-53 sejak penganjuran pertamanya pada 1963 akan di taja oleh UMW Toyota tahun ini. Acara berkenaan akan berlangsung dari 3 hingga 7 Oktober hadapan dan akan bermula dari Ibu Pejabat Toyota di Shah Alam, Selangor serta bakal berakhir di Alor Star, Kedah.

    Edisi tahun ini akan disertai oleh 132 penunggang dari dalam dan luar negara, manakala acara selama lima hari berkenaan akan melalui jarak kayuhan sejauh 700 km bersama perlumbaan peringkat, serta dikelaskan dalam penarafan 2.2 di bawah klasifikasi Union Cycliste Internationale (UCI).

    UMW Toyota taja acara berbasikal Jelajah Malaysia

    Bagi UMW Toyota pula, mereka akan menyediakan 70 kenderaan berjenama Toyota termasuk MPV dan SUV yang terdiri dari Avanza, Sienta, Innova, Fortuner dan juga trak pikap Toyota Hilux.

    “Acara bertaraf antarabangsa seperti Jelajah Malaysia diadakan dengan kejituan pada perancangan dan logistik. Ini memerlukan rantaian sokongan yang berkebolehan, versatil dan sangat boleh diharap,” kata presiden UMW Toyota, Ravindran Kurusamy.

    “Kami berharap menerusi penggunaan kenderaan-kenderaan sokongan Toyota yang sememangnya terkenal dengan reliabiliti, pasukan penganjur, pegawai dan media boleh memainkan peranan masing-masing secara komprehensif dan efektif serta menjadikan acara berkenaan lebih berjaya tahun ini,” tambahnya.

     
     
  • Pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense kurangkan pelanggaran belakang sehingga 90%

    Pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense kurangkan pelanggaran belakang sehingga 90%

    Toyota telah mengumumkan rancangannya untuk mengembangkan lagi penggunaan teknologi keselamatan sokongannya untuk mengurangkan pelanggaran, terutamanya pelanggaran pada bahagian belakang kenderaan.

    Menerusi data kemalangan yang diperolehi dari Institute for Traffic Accident Research and Data Analysis (ITARDA), Toyota menemui pelanggaran belakang bagi kenderaan yang dilengkapi dengan Pakej Toyota Safety Sense P telah berkurangan sebanyak 50%, manakala bagi kenderaan yang dilengkapi dengan Toyota Safety Sense P bersama Intelligent Clearance Sonar (ICS) pula menyaksikan penurunan pelanggaran yang lebih drastik iaitu sehingga 90%.

    Kenderaan yang dipadankan dengan kedua-dua sistem Toyota Safety Sense P dan juga ICS diklasifikasikan dalam kategori Kereta S dengan Sokongan Keselamatan ‘lebar’ (Sapo Car S), dan ia disarankan khas untuk pemandu lebih berusia yang mungkin mempunyai respon dan kesedaran terhadap suasana sekeliling yang lebih rendah.

    Untuk kategori Kenderaan dengan Sokongan Keselamatan (Sapo Car) pula dilengkapi dengan sistem brek kecemasan automatik, manakala kategori Kereta S dengan Sokongan (Sapo Car S) diberikan sistem bagi mengelakkan kesilapan ketika menekan pedal.

    Pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense kurangkan pelanggaran belakang sehingga 90%

    Kesemua kategori terdiri dari tiga sub-kategori yang dibahagikan oleh ciri brek automatik, di mana sub-kategori ‘lebar’ turut termasuk perlindungan pelanggaran untuk pejalan kaki, pengelak kesalahan menekan pedal, amaran keluar laluan dan sistem lampu terkini yang termasuk fungsi anti-silau automatik.

    Program “Support Toyota” ini dijalankan di pengedar-pengedar Toyota Jepun yang disasarkan untuk mendidik pemandu, pejalan kaki dan juga pengguna jalan raya lain berkenaan keselamatan. Toyota terlebih dahulu akan menghasilkan struktur untuk menjalankan ujian ICS pada 280 pengedarnya di Jepun, dan mensasarkan untuk mengimplementasikan program tersebut di semua pengedarnya yang boleh menyediakan ruang bagi ujian ICS ini pada Jun tahun hadapan.

    Data-data tersebut dikumpulkan dari barisan model Prius, dalam tempoh dari Disember 2015 hingga Disember 2016. Sejumlah 247,000 kenderaan telah disubjekkan untuk tinjauan ini, di mana sekitar 84,000 daripadanya dilengkapkan dengan Safety Sense P, manakala sekitar 121,000 lagi diberikan Safety Sens P bersama ICS.

     
     
  • Honda CRF250L dan CRF250 Rally dilancar di Malaysia pada harga masing-masing RM24k dan RM29k

    Selepas dipertontonkan kepada media Jun lalu, Boon Siew Honda Sdn Bhd kini melancarkan secara rasmi dua model kembara, CRF250L dan CRF250 Rally untuk pasaran Malaysia. Ia dijual pada harga masing-masing RM24,378.94 dan RM28,618.94 termasuk GST, tetapi tanpa insurans. Jaminan yang diberikan pula adalah dua tahun atau 20,000 km.

    Kedua-dua motosikal ini menggunakan enjin yang sama iaitu unit satu silinder berpenyejukan cecair 250 cc DOHC dan gabungan transmisi enam kelajuan, dan ia mampu menghasilkan kuasa sebanyak 24.4 hp pada 8,500 rpm dan 22.6 Nm tork pada 6,750 rpm. Enjin ini dilekatkan kepada kerangka tiub dwi besi.

    CRF250 baru ini dilengkapi dengan rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, manakala suspensi yang digunakan pula adalah jenis teleskopik 43 mm di hadapan dan monoshock bersama ProLink di belakang. Brek pula adalah unit cakera depan dan belakang, dan datang bersama sistem ABS two-channel. Brek ABS ini boleh ditutup untuk bahagian belakang sekiranya masuk ke jalan offroad menggunakan hanya satu butang.

    Honda CRF250L dan CRF250 Rally dilancar di Malaysia pada harga masing-masing RM24k dan RM29k

    CRF250 Rally mempunyai berat lebih 11 kg berbanding CRF250L, menjadikan keseluruhannya 157 kg, dan ini adalah disebabkan antaranya, ia dilengkapi dengan tangki bahan api lebih besar iaitu 10.1 liter. CRF250L pula sekadar mempunyai tangki 7.8 liter.

    Namun, apa yang lebih jelas adalah CRF250 Rally mempunyai penampilan yang berbeza, di mana ia mendapat inspirasi daripada jentera rali Dakar, dengan terdapat penghadang angin yang tinggi, penutup bahagian enjin dan radiator, serta penghadang lumpur. Lampu utama dan penunjuk arah motosikal ini pula menggunakan unit LED.

    GALERI: Honda CRF250L 2017


    GALERI: Honda CRF250 Rally 2017

    GALERI: Honda CRF250 Rally 2017 di Sepang

    GALERI: Honda CRF250L 2017 di Sepang

     
     
  • Sedan Volvo S60 dan wagon Volvo V60 Polestar 2018 – tampil kit aero gentian karbon, hanya 1,500 unit

    Sedan Volvo S60 dan wagon Volvo V60 Polestar 2018 – tampil kit aero gentian karbon, hanya 1,500 unit

    Volvo telah memperkenalkan pasangan sedan dan wagon berprestasi tinggi – S60 dan V60 Polestar – untuk versi tingkat taraf 2018, menampilkan berberapa perubahan kosmetik pada bahagian luaran dan dalaman, termasuk pemadanan komponen-komponen yang diperbuat dari material gentian karbon.

    Pada bahagian luaran, kedua-dua model ini diberikan kit aero baharu menampilkan splitter hadapan, skirt sisi dan spoiler pada but belakang (spoiler hanya untuk model yang mempunyai but iaitu sedan S60) yang kesemuanya diperbuat dari gentian karbon sebenar. Menurut Volvo, kit baharu berkenaan mampu meningkatkan downforce kereta ini sebanyak 30% dan dibina oleh Polestar dan Cyan Racing menerusi data yang diperolehi semasa siri perlumbaan World Touring Car Championship (WTCC).

    Kebanyakkan komponen berkenaan direka dan diuji semasa ujian rahsia dan catatan rekod yang dilakukan di litar Nürburgring tahun lalu, di mana S60 Polestar mencatatkan rekod lap terpantas untuk sedan empat pintu yang masih sah digunakan di atas jalanraya. Selain itu, model ini turut menerima cermin sisi kemasan gentian karbon dan juga warna badan baharu Bursting Blue Metallic.

    Bagi melengkapkan penampilan luaran, S60 dan V60 Polestar diberikan rim berdiameter 20-inci dengan kemasan akhir gabungan aloi dan hitam berkilat. Manakala pada bahagian dalaman, kedua-duanya menerima upholsteri kulit Nubuck bersama jahitan benang biru dan juga sulaman logo Polestar pada tempat duduk.

    Volvo tidak menampilkan sebarang perubahan pada aspek mekanikal dimana sedan dan wagon ini masih dijana enjin petrol 2.0 liter Drive-E yang menerima suapan pengecas turbo bersama supercharger sekaligus, menghasilkan kuasa 362 hp pada takat 6,000 rpm dan juga tork maksima 470 Nm bermula 3,100 rpm hingga 5,100 rpm.

    S60 dan V60 Polestar juga kekal dengan sistem pacuan semua roda yang menerima kuasa dari enjin menerusi kotak gear automatik lapan-kelajuan. Gabungan bentangan unit janakuasa ini membolehkan sedan S60 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat, manakala kembarnya V60 mencatatkan 4.8 saat pada jarak pecutan sama.

    Kelengkapan pada bahagian casis juga masih tidak berubah dimana kedua-dua model ini menerima set penyerap hentap dari Öhlins bersama spring 80% lebih keras dari standard, strut bar dari material gentian karbon serta stereng yang ditala semula oleh Polestar. Angkup brek enam silinder dari Brembo bersama cakera yang ditebuk berdiameter 317 mm pada bahagian hadapan juga masih kekal, tetapi kini diberikan sekali dengan pad brek yang juga dari Brembo.

    Model ini hanya dihasilkan 1,500 unit dimana ia turut disertakan dengan nombor produksi tersendiri yang diletakkan pada kemasan bendul pintu bagi melengkapkannya sebagai sebuah model collecters item.

    Di Malaysia, kita masih belum menerima model penuh talaan Polestar ini. Tetapi Volvo Cars Malaysia telah membawa masuk pakej Polestar Optimisation bagi meningkatkan prestasi untuk model S60 T6, XC60 T5, XC60 T6, dan juga V40 T5. Kami juga sebelum ini telah diberi peluang untuk memandu uji V40 T5 Drive-E yang diberikan pakej lengkap talaan Polestar berkenaan – ulasannya boleh anda baca DI SINI.

     
     
  • Petronas Raceline Malaysia akan keluar dari Moto2 dan bagaimana pula dengan nasib Hafizh Syahrin?

    Petronas Raceline Malaysia akan keluar dari Moto2 dan bagaimana pula dengan nasib Hafizh Syahrin?

    Ini ada satu berita yang sedang berlegar di dalam dunia perlumbaan MotoGP. Menurut laporan daripada sebuah laman web sukan permotoran Jerman, Speedweek, pasukan Petronas Raceline Malaysia akan dibubarkan, seterusnya tidak lagi memberi saingan dalam perlumbaan Moto2 setelah lima tahun melalui pelumbanya, Hafizh Syahrin.

    Laporan ini juga menyatakan bahawa mungkin terdapat salah faham di antara pasukan Petronas Raceline, Petronas dan Barry Leong, iaitu orang yang membawa Hafizh Syahrin ke persada profesional. Selain itu, prestasi Hafizh yang kurang memberangsangkan pada tahun ini juga dikatakan menjadi antara penyebabnya. Untuk musim 2017 ini, Hafizh berada di kedudukan ke 13 dengan kutipan 50 mata.

    Walaupun pasukan Petronas Raceline akan dibubarkan, laporan itu turut menyatakan bahawa Hafizh mungkin masih boleh berlumba kerana akan diambil oleh pasukan SIC Racing Team, yang akan menggunakan khidmat beliau sebagai pelumba Moto2 dan jentera Kalex. Pada masa ini, pasukan SIC Racing Team mempunyai dua pelumba dalam kategori Moto3 iaitu Adam Norrodin dan Ayumu Sasaki.

    Laporan ini ternyata mencetuskan pelbagai tanda tanya kerana Hafizh adalah seorang pelumba kebanggaan negara, namun setakat ini masih belum ada sebarang kenyataan yang dibuat oleh mana-mana pihak yang terlibat secara rasmi. Kami di sini berharap aksi Hafizh masih boleh dilihat pada musim hadapan.

     
     
  • VIDEO: Travis Pastrana dan Subaru Rally Team USA pecah rekod Climb to the Clouds – Mount Washington

    Awal bulan ini, Subaru telah memperbaharui catatan rekod bagi kelas sedan empat pintu di litar Nürburgring di mana WRX STI Type-RA NBR Special kini memegang rekod kelas tersebut pada litar “The Green Hell” berkenaan. Ini satu lagi video memaparkan Subaru mencatatkan sebuah lagi rekod baharu, kali ini di Mount Washington pada acara Climb to the Clouds, Amerika Syarikat.

    Cubaan memecahkan rekod ini sebenarnya dilakukan pada awal tahun lalu oleh Subaru Rally Team USA yang dikendalikan oleh Vermont SportsCar. Dua pemandu dan dua Subaru WRX STI digunakan untuk percubaan kali ini – pemandu rali yang berasal dari UK, David Higgins (adik kepada pemegang rekod Isle of Mann juga memandu Subaru, Mark Higgins), serta pemandu rali/penunggang motocross/juara X-Games dari Amerika Syarikat iaitu Travis Pastrana.

    Rekod yang cuba dipecahkan kali ini sebenarnya dipegang oleh Higgins sendiri yang juga dicatatkan dengan memandu Subaru WRX STI pada tahun 2014 lalu – dengan rekod 6 minit 09.09 saat. Manakala untuk cubaan baharu ini, kedua-dua mereka, Higgins dan Pastrana masing-masing diberikan Subaru WRX STI dengan enjin yang diambil dari jentera Kejohanan Global Rallycross yang menghasilkan kuasa 600 hp – sekali ganda dari jentera yang digunakan pada 2014.

    VIDEO: Travis Pastrana dan Subaru Rally Team USA pecah rekod Climb to the Clouds – Mount Washington

    Bukan sahaja lebih berkuasa, jentera baharu ini juga turut dibina lebih ringan dan diberikan talaan untuk jalan tar (walaupun sebahagian laluan Mount Washington ini tidak diturap, tidak seperti laluan Pikes Peaks yang kini telah ditar sepenuhnya). Selain dari cabaran sebahagian laluan yang tidak berturap, perlumbaan bercorak Hillclimb ini juga tidak membenarkan pemandu menggunakan khidmat juruarah dan mereka terpaksa mengingat sendiri setiap selekoh yang semuanya kelihatan hampir sama.

    Malangnya, Higgins terpaksa mengalah pada cubaan kali ini setelah terbabas pada pertengahan laluan, walaupun catatan speed trap dan bahagian masa sebelum beliau terbabas adalah lebih pantas dari Pastrana. Akhirnya, Travis Pastrana berjaya menamatkan Mount Washington Hillclimb dengan catatan masa 5 minit 44.72 saat atau 24.37 saat lebih pantas dari rekod sebelum ini.

    Dengan catatan tersebut, Subaru WRX STI dan Travis Pastrana kini sah sebagai yang terpantas di laluan 11.9 km Mount Washington – dimana perlumbaan berkenaan sudahpun berlangsung sejak lebih 100 tahun yang lalu.

     
     
  • Suzuki GSX 150 motosikal hangat baharu Asia yang hadir dalam tiga bentuk – naked, sports dan touring

    Negara Asia Tenggara kini sedang memberikan perhatian kepada sebuah motosikal kapasiti rendah baru yang selepas dilancarkan di Indonesia, kini sudah tiba di Vietnam, Filipina dan terbaru, Thailand. Model yang dimaksudkan adalah barisan GSX 150, yang mempunyai tiga variasi iaitu GSX-S150 (naked), GSX-R150 (sports) dan GSX-S150 Touring.

    Kesemuanya menggunakan padanan enjin suntikan bahan api empat strok satu silinder 147.3 cc DOHC berpenyejukan cecair dan transmisi enam kelajuan, dan ini juga adalah enjin yang sama digunakan pada model Raider/Satria (dikenali sebagai Belang di Malaysia) 2017. Kuasa yang mampu dihasilkan oleh enjin ini adalah 19 hp pada 10,500 rpm dan 14 Nm tork pada 9,000 rpm.

    Pada bahagian depan semua model GSX 150 ini, ia menggunakan fork teleskopik, brek cakera, rim 17 inci dan tayar 90/80 manakala di belakang, terdapat pula penyerap monoshock, brek cakera, rim 17 inci dan tayar 130/70. Kapasiti tangki minyak juga adalah sama, iaitu 11 liter manakala berat keseluruhannya berada di sekitar 130 kg, dengan versi S yang paling ringan, diikuti R dan seterusnya barulah Touring.

    Suzuki GSX 150 juga datang dengan teknologi terkini pada motosikal antaranya seperti sistem tanpa kunci, yang membenarkan enjin dihidupkan dengan kunci berada di dalam poket atau beg, lampu utama LED, sistem panggil balik yang mengeluarkan bunyi apabila penggera ditekan (mudah untuk mencari motosikal di ruang letak kenderaan) dan meter digital penuh bersama penunjuk gear.

    Di Indonesia, Suzuki GSX 150 dijual pada harga bermula Rp23,900,000 (RM7,642) untuk model GSX-S150, diikuti Rp25,000,000 (RM7,994) untuk GSX-S150 Touring dan Rp27,900,000 (RM8,921) untuk GSX-R150. Seperti yang boleh dilihat, model R dilengkapi dengan fairing penuh manakala model Touring menggunakan asas daripada model S, dan ditambah dengan beg barangan sisi, penghadang tangan dan penghadang angin hadapan.


    GALERI: Suzuki GSX-S150


    GALERI: Suzuki GSX-R150

    GALERI: Suzuki GSX-S150 Touring

     
     
  • Mazda 2 pasaran Malaysia kini dilengkapi G-Vectoring Control, harga masih kekal RM88k hingga RM93k

    Mazda 2 pasaran Malaysia kini dilengkapi G-Vectoring Control, harga masih kekal RM88k hingga RM93k

    Setelah teknologi G-Vectoring Control (GVC) dipadankan pada Mazda 6, 3 dan CX-3, kini pasaran Malaysia menerima pula Mazda 2 yang dilengkapi teknologi berkenaan. Selain diberikan kemaskini teknologi ini, Mazda 2 tempatan turut menerima pelbagai tingkat taraf kosmetik dan kemasan lain, namun harganya masih lagi kekal seperti sebelum ini.

    Seperti juga model sebelum ini, Mazda 2 diberikan lampu hadapan projektor halogen sebagai ciri standard (seperti dalam gambar) manakala lampu LED ditawarkan sebagai ciri opsyen yang boleh dipilih oleh pembeli dengan tambahan kos. Model yang dipamerkan ini juga diberikan warna baharu digelar Deep Crimson Mica, yang kini disenaraikan dalam brosur baharu Mazda 2.

    Model tingkat taraf ini juga kini diberikan lampu kabus dengan saiz lebih kecil bersama perumah yang diberikan kemasan krom berbanding hanya berwarna hitam sebelum ini. Jalur tengah pada gril hadapan pula diberikan warna kelabu metalik (mengikut warna badan sebelum ini), lampu isyarat membelok pada cermin sisi diberikan rekaan baharu (melintang, berbanding menegak sebelumnya), manakala antena baharu pula diberi dalam bentuk sirip yu.

    Mazda 2 pasaran Malaysia kini dilengkapi G-Vectoring Control, harga masih kekal RM88k hingga RM93k

    Bahagian dalaman turut menerima peningkatan bermula dengan roda stereng rekaan baharu sama seperti model-model terkini Mazda. Kemasan tempat duduk kini berubah dari elemen berwarna merah pada benang jahitan dan jalur tunggal di bahagian tengah kepada jahitan benang putih bersama corak lima jalur untuk imej yang lebih matang.

    Selain dari kemasan, upholsteri tempat duduk tersebut turut diberi peningkatan. Material jenis sued kini menggantikan fabrik mesh pada bahagian lumbar dan pada keseluruhan panjang kusyen tempat duduk. Kemasan pada panel papan pemuka, perehat lutut pada konsol tengah, belakang perehat badan dan panel pintu kini menyerupai kemasan pada Mazda 3 dengan warna maroon.

    Manakala pada skrin sesentuh MZD Connect pula, kemasan sekeliling brushed metal sebelum ini telah digantikan dengan kemasan hitam berkilat – turut diberikan pada kemasan sekeliling suis tingkap.

    Perubahan lain yang dapat dilihat termasuk kemasan berwarna rose gold pada liang penghawa dingin dan juga tulisan jenis baharu diberikan paa kluster instrumen. Ciri lain seperti kemasan gentian-karbon palsu pada konsol tengah, suis untuk mod ‘Sport’ dan juga brek tangan konvensional masih lagi kekal sama.

    Tiada perubahan mekanikal diberikan pada Mazda 2 2017 ini. Ia masih dijana enjin petrol 1.5 liter SkyActiv-G berkuasa 114 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 148 Nm pada takat 4,000 rpm. Kuasa dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan bersama pedal penukar gear pada roda stereng.

    Seperti yang disebutkan tadi, tiada perubahan harga untuk Mazda 2 GVC hatchback dan sedan 2017 ini. Jadi ia masih dijual pada harga bermula RM87,586.30 untuk model asas, sehingga RM92,886.30 untuk mereka yang memilih untuk memadankan lampu hadapan LED. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, manakala untuk pilihan warna signatur Soul Red pula, anda perlu membuat bayaran tambahan sebanyak RM530.

     
     
  • Mercedes-Benz GLE43 Coupe OrangeArt Edition dilancar untuk Malaysia – unit terhad, harga RM719k

    Mercedes-Benz GLE43 Coupe OrangeArt Edition dilancar untuk Malaysia – unit terhad, harga RM719k

    Mercedes-Benz Malaysia telah memperkenalkan sebuah lagi varian bagi GLE Coupe untuk pasaran tempatan iaitu Mercedes-Benz AMG GLE 43 4Matic Coupe. Ketibaan varian ini diumumkan semasa majlis pengenalan model GLC 200 yang berlangsung di Kota Kinabalu semalam.

    GLE Coupe dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada Januari 2016, dan semasa itu, ia ditawarkan dengan varian GLE 400 dan GLE 450 AMG. Varian GLE 43 ini adalah penambahan baru dan ia juga datang dalam versi edisi khas OrangeArt Edition, yang diperkenalkan secara global pada bulan Jun tahun ini.

    Bagi model edisi terhad ini, ia mempunyai pelekat warna oren pada bahagian bawah bampar hadapan dan bibir rim AMG 21 inci yang berwarna hitam. Pada bahagian dalam, terdapat pula penggunaan kulit nappa hitam dan gentian mikro Dinamica, dengan kemasan oren dan jahitan kelabu. Kemasan eksklusif ini turut diberi pada bahagian karpet dan panel pintu. Model ini juga datang dengan bahagian luar dan dalam AMG Line dan Night Package, manakala lampu utama Intelligent Light System yang digunakan mempunyai lingkaran LED hitam.

    Kelengkapan standard lain yang diberikan termasuk suspensi Airmatic dengan Adaptive Damping System Plus, Dynamic Select, roda stereng AMG yang dibalut kulit Nappa dan kemasan gentian karbon/ hitam berkilat AMG, serta papan pemuka yang dibalut kulit Artico. Terdapat juga sistem Comand Online dan sistem bunyi Harman Kardon Logic 7 bersama sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Sama seperti model AMG 43 lain yang telah dipasarkan di sini (C43 Sedan, C43 Coupe, E 43, GLC 43, GLC 43 Coupe dan SLC 43), GLE 43 Coupe dikuasakan oleh enjin V6 biturbo 3.0 liter M276 DELA 30, berkemampuan 384 hp dan 520 Nm tork. Ia dipadankan dengan transmisi 9G-Tronic sembilan kelajuan dan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat.

    Enam warna luaran ditawarkan untuk GLE 43 4Matic Coupe OrangeArt Edition iaitu hitam, putih polar, hitam obsidian, perak, kelabu selenite, dan putih berlian designo. Model ini akan ditawarkan dalam jumlah yang terhad dan dipasarkan pada harga RM718,888 atas jalan, tanpa insurans.

     
     
  • Mazda CX-5 2017 – harga untuk pasaran Malaysia, lima varian CKD akan diperkenal bermula pada RM136k

    Mazda CX-5 2017 – harga untuk pasaran Malaysia, lima varian CKD akan diperkenal bermula pada RM136k

    Mazda CX-5 2017 baru masih lagi belum dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, tetapi ini adalah senarai harga bagi semua lima varian dan tiga pilihan enjin yang akan ditawarkan sebaik sahaja ia dilancar. Model SUV lima tempat duduk baru ini akan memberi saingan kepada Honda CR-V dan Nissan X-Trail, dan ia akan dipasang di Kulim, Kedah (CKD).

    Varian CX-5 bermula dengan GL asas dan GLS yang dikuasakan oleh enjin 2.0 liter 2WD berkuasa 162 hp dan 210 Nm. Harga atas jalan tidak termasuk insurans bagi varian ini masing-masing adalah RM136,405 dan RM150,291. Jika anda mahukan enjin yang lebih besar, varian 2.5 GLS ditawarkan pada harga RM164,886 dan ia dikuasakan oleh enjin SkyActiv-G 2.5 liter berkuasa 192 hp dan 257 Nm tork.

    Sama seperti model generasi sebelum ini, CX-5 baru turut akan didatangkan dengan pilihan enjin diesel, menggunakan unit SkyActiv-D 2.2L dan berkemampuan 173 hp dan 420 Nm tork. Ia boleh dipilih sama ada dalam versi 2WD yang berharga RM171,539, ataupun AWD yang berharga RM182,139. Semua enjin CX-5 ini dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan dan sistem G-Vectoring Control (GVC) secara terus.

    Terdapat juga pilihan tiga warna premium pada harga RM2,000 (tambahan) iaitu Soul Red Crystal, Machine Grey dan Snowflake Pearl White, manakala untuk mendapatkan sistem navigasi dan tempat duduk kulit pada varian 2.0 GL, anda perlu menambah masing-masing RM1,270 dan RM2,900.

    Masih belum ada senarai spesifikasi yang disiarkan oleh Bermaz Motor sendiri, tetapi berdasarkan iklan yang dipaparkan oleh pengedarnya, CX-5 asas akan datang dengan lampu utama projector halogen, manakala varian yang lain menggunakan lampu LED penuh. Varian petrol juga akan didatangkan dengan sistem lampu hadapan adaptif (AFS), manakala varian diesel akan mendapat lampu LED adaptif (ALH). Dua jenis rim juga akan dilengkapkan pada CX-5 baru ini iaitu 17 inci dan 19 inci.

    Kelengkapan lain yang boleh didapati pada CX-5 baru adalah termasuk tempat duduk kulit, roda stereng pelbagai fungsi, brek tangan elektronik (kini dengan fungsi hold), corong pendingin hawa belakang, pengawal suhu dua zon, Mazda Connect, tempat duduk larasan kuasa dan perehat tangan belakang dengan soket pengecas USB bersepadu.

    Selain itu, terdapat juga kelengkapan keselamatan i-Activsense yang memberikan Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Blind Spot Monitoring (BSM) dan Smart City Brake Support (hadapan) pada semua varian, manakala varian diesel mendapat tambahan Smart City Brake Support (belakang), Lane Keep Assist (LKA), Lane Departure Warning System (LDWS) dan Driver Attention Alert (DAA).

    Selebihnya kita tunggu apabila ia dilancarkan nanti.


    GALERI: Mazda CX-5 generasi kedua di GIIAS 2017

     
     
  • VIDEO: Ken Block Terrakhana – Gymkhana off-road

    Siri video Gymkhana yang dipopularkan oleh pemandu rali sensasi youtube dari Amerika Syarikat – Ken Block – kini sudah masuk edisi ke-10. Dan bagi menampilkan kelainan berbanding video-video sebelum ini, ia dibuat pada laluan off-road dan diberi tajuk “Terrakhana – The Ultimate Playground.”

    Lebih spesifik, video terbaharu ini dirakamkan di Swing Arm City, Utah, Amerika Syarikat dan untuk kali ini, Team Hoonigan berkerjasama dengan pengeluar produk pelincir dan petroleum, Pennzoil.

    VIDEO: Ken Block Terrakhana – Gymkhana off-road

    Kali ini, Ken Block memilih jentera Ford Fiestanya yang dikenali sebagai Fiesta ST RX43 – dijana enjin EcoBoost 2.0 liter turbo menghasilkan 600 hp bersama tork maksima 650 Nm. Dengan sistem pacuan semua roda, Fiesta ST RX43 mampu memecut dari 0-60 batu/sejam dalam masa tidak sampai dua saat.

    Secara keseluruhan, sebenarnya tiada aksi-aksi baharu yang dipaparkan dalam video baharu ini. Kebanyakkan aksi-aksi yang ditonjolkan dikitar semula dari video-video sebelum ini seperti memanjat lereng sambil drift, ‘sipi-sipi nak kena’, dan sideway secara full throttle.

     
     
  • Mercedes-Benz GLC200 dilancar di M’sia pada harga RM288,888 – kurang RM37k daripada GLC250 4Matic

    Mercedes-Benz GLC200 dilancar di M’sia pada harga RM288,888 – kurang RM37k daripada GLC250 4Matic

    Selepas muncul di pusat pameran tempatan beberapa hari lalu, kini Mercedes-Benz Malaysia melancarkan secara rasmi varian terbaru bagi GLC iaitu GLC 200 CKD (pemasangan tempatan). Varian ini menyertai GLC 250 4Matic AMG Line dan AMG GLC 43 4Matic dalam barisan modelnya.

    Harga yang ditetapkan untuk GLC 200 adalah RM288,888 (atas jalan, tidak termasuk insurans), dan ini adalah kurang RM37,000 berbanding GLC 250 4Matic, dan RM250,000 lebih murah berbanding GLC 43 4Matic yang berorientasikan prestasi. Melalui skim Agility Financing, anda boleh memiliki GLC 200 dengan bayaran bulanan RM2,888, berasaskan pemilikan selama tiga tahun, jarak perbatuan 20,000 km setahun dan bayaran muka 20.34%.

    Menggerakkan model ini adalah enjin sama seperti GLC 250 iaitu unit empat silinder petrol 2.0 liter M274 DE 20, bersama padanan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan kelajuan. Cumanya, kuasa GLC 200 adalah 184 hp dan 300 Nm, manakala kuasa GLC 250 adalah 211 hp dan 350 Nm. Selain itu, GLC 200 juga tidak mempunyai sistem pacuan semua roda 4Matic, dan kuasa disampaikan sepenuhnya kepada roda belakang sahaja.

    Selain kuasa yang lebih rendah, GLC 200 juga tidak mempunyai kit penggayaan AMG Line seperti GLC 250 (walapun begitu, ia datang dengan pakej luaran Off-Road atau Exterior Chrome). Perbezaan bahagian luar lain yang boleh dilihat adalah rim 19 inci (1 inci lebih kecil berbanding GLC 250) dengan tayar 235/55 serta lampu utama LED prestasi tinggi (GLC 250 menggunakan lampu Intelligent Light System).

    Pada bahagian dalam, sistem informasi dan hiburan Audio 20 CD serta skrin tujuh inci ‘terapung’ masih lagi diberi pada GLC 200, tetapi tiada sistem bunyi 590 W 13 pembesar suara. GLC 200 juga menggunakan kemasan kayu yang lebih pudar.

    Bagi roda stereng pula, GLC 200 dilihat menggunakan unit tiga cabang biasa, berbanding roda stereng yang rata di bahagian bawah pada GLC 250. Harga yang lebih murah juga membuatkan GLC 200 tiada cakera brek berliang, bumbung panoramik, kamera keliling dan sistem pemasukan tanpa kunci.

    Kelengkapan standard lain yang ada pada GLC 200 adalah termasuk pilihan kemasan kulit Artico hitam dan coklat dengan jahitan berwarna kontras, papan pemuka kulit, kamera undur, pengawal COMAND, pengawal suhu automatik tiga zon Thermotronic, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan sokongan belakang, corong pendingin hawa di belakang, Parking Pilot dan Parktronic, pintu but bukaan elektrik dan penghadang cahaya matahari belakang.

    Anda boleh melihat lebih lanjut berkenaan informasi dan spesifikasi GLC 200, bersama varian yang lain di CarBase.my.

    GALERI: Mercedes-Benz GLC 200

     
     
  • Volvo XC90 T8 kini lebih murah di Thailand – diimport dari Shah Alam, RM224k lebih mahal dari Malaysia

    Volvo XC90 T8 kini lebih murah di Thailand – diimport dari Shah Alam, RM224k lebih mahal dari Malaysia

    Volvo XC90 kini dijual di pasaran Thailand dengan harga yang lebih murah dari sebelum ini, setelah pasaran berkenaan menerima stok dari kilang Volvo di Shah Alam, Malaysia dan bukan lagi dari Sweden, lapor Bangkok Post. Dengan model-model pemasangan dari Malaysia berkenaan, harga XC90 pada pasaran negara Gajah Putih tersebut kini sekitar satu juta baht lebih rendah berbanding sebelumnya.

    Model varian tertinggi XC90 T8 Twin Engine dengan teknologi plug-in hybrid (PHEV), dijual dalam kemasan Inscription kini berharga 4.89 juta baht (RM628,134), atau 1.1 juta baht (RM141,298) lebih murah berbanding model sama yang diimport terus dari Sweden.

    Menurut akhbar berkenaan lagi, SUV tertinggi Volvo tersebut kini dapat dijual dengan harga lebih rendah berbanding Mercedes-Benz 500e AMG Dynamic, tetapi masih lagi 191,000 baht (RM24,537) lebih mahal dari BMW X5 xDrive40e. X5 turut menampilkan teknologi PHEV seperti XC90 T8, namun lawannya dari Sweden berkenaan menampilkan spesifikasi yang lebih tinggi – berkuasa 407 hp/640 Nm bersama jarak pemanduan elektrik sepenuhnya 40 km.

    Volvo XC90 T8 kini lebih murah di Thailand – diimport dari Shah Alam, RM224k lebih mahal dari Malaysia

    Volvo Car Thailand turut menjual XC90 dalam kemasan Momentum yang lebih rendah, dijual pada harga 4.49 juta baht (RM576,939). Selain itu, XC90 varian 2.0 liter diesel (225 hp,470 Nm) D5 turut dijual pada pasaran berkenaan (model ini tiada di Malaysia) dengan harga 4.19 juta baht (RM538,197) – lebih murah berbanding Audi Q7 dan Land Rover Discovery.

    Malaysia menjadi satu-satunya negara yang memproduksi XC90 T8 selain dari Sweden, dan model CKD tersebut dijual pada pasaran tempatan dengan harga RM403,888 setelah menerima insentif pemasangan kenderaan hibrid. Harga berkenaan menjadikan SUV flagship tersebut RM224k lebih murah dari harga yang dijual di Thailand.

    GALERI: Volvo XC90 T8 Twin Engine 2017

     
     
  • ANIH saran pengguna LPT1, KLK ikut jadual cadangan waktu perjalanan sempena cuti Merdeka dan Aidiladha

    ANIH saran pengguna LPT1, KLK ikut jadual cadangan waktu perjalanan sempena cuti Merdeka dan Aidiladha

    Cuti hujung minggu ini yang panjang kerana turut melibatkan cuti umum sempena Hari Kebangsaaan dan perayaan Hari Raya Aidiladha pastinya membuka peluang kepada orang ramai untuk pulang ke kampung halaman atau pun mana-mana destinasi lain.

    Bagi pengguna Lebuhrata Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), ANI Berhad telah mengeluarkan jadual cadangan waktu perjalanan (TTA). Ia adalah bagi membantu menyuraikan trafik serta mengurangkan kesesakan di plaza tol, khususnya di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak.

    Pengguna dari Lembah Klang ke Pahang pada 30 dan 31 Ogos disaran memilih sama ada memasuki KLK dan LPT 1 pada jam 12 tengah hari hingga 3 petang atau antara jam 7 malam hingga 11 malam. Manakala bagi Pengguna yang ingin ke Terengganu dan Kelantan pada tarikh sama boleh memulakan perjalanan antara jam 6 pagi hingga 11 pagi atau jam 5 petang hingga 8 malam.

    Bagi perjalanan pulang ke Lembah Klang pada 2 dan 3 September, pengguna dari Pahang disaran memulakan perjalanan antara jam 6 pagi hingga 10 pagi atau antara jam 7 malam hingga 11 malam.

    Manakala pengguna dari Terengganu yang memulakan perjalanan pada tarikh sama disaran memasuki lebuh raya antara jam 10 pagi hingga 1 tengah hari atau antara jam 8 malam hingga 10 malam.

    Untuk pengguna dari Kelantan pula dicadang menggunakan lebuh raya bermula jam 5 petang hingga 9 malam atau antara jam 9 malam hingga 12 tengah malam.

    Pengguna yang ingin ke Pantai Timur boleh mendapatkan jadual TTA di laman web ANIH Berhad atau mengikuti Twitter @LPTTrafik dan Facebook Lebuhraya Pantai Timur. Malah pengguna juga dinasihatkan tidak menyalahgunakan lorong kecemasan dan sentiasa mengikuti perkembangan trafik terkini melalui Twitter @LPTTrafik bagi memastikan perjalanan lancar dengan cara yang berhemah.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026