Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Polis umum penutupan jalan di KL secara berperingkat pada 8 hingga 11 Februari sempena Thaipusam

    Polis umum penutupan jalan di KL secara berperingkat pada 8 hingga 11 Februari sempena Thaipusam

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain, telah mengumumkan beberapa jalan di sekitar ibu negara akan ditutup secara berperingkat sempena perarakan sambutan Thaipusam pada 8, 10 dan 11 Februari ini. Di mana penutupan pertama bermula dari jam 12.30 tengah malam sehingga jam 2 petang pada 8 Februari.

    “Perarakan kereta berhala Silver Chariot bermula dari kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H S Lee ke kuil Sri Subramaniar Batu Caves. Penutupan berikutnya ialah mulai jam 4 petang 10 Februari (Jumaat) hingga jam 2 pagi 11 Februari (Sabtu), iaitu bagi perjalanan dari kuil Sri Subramaniar ke kuil Sri Maha Mariamman,” ujarnya seperti mana yang dilaporkan menerusi Berita Harian.

    Beliau turut berkata, laluan terbabit adalah Jalan Sultan, Jalan Pudu, Jalan Tun Perak, Jalan Lebuh Ampang, Jalan Ampang, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Sogo, Jalan Raja Laut, Jalan Sri Amar, Jalan Tun Razak, Jalan Ipoh, Jalan Perhentian, Jalan Ipoh Batu 5 dan Batu Caves.

    Semua penutupan jalan akan dilakukan secara berperingkat iaitu mengikut pergerakan kumpulan terbabit dan dibuka semula selepas perarakan selesai.

     
     
  • SPYSHOT: Kia misteri – sedan bajet untuk China?

    SPYSHOT: Kia misteri – sedan bajet untuk China?

    Selalunya kerap juga kami dapat mengesan model kereta yang menjadi intipan jurufoto pengintip kami, tetapi adakalanya agak sukar kerana bahagian hadapan atau belakangnya tidak begitu jelas untuk ditafsirkan. Namun bagi foto ini, ia memang jelas sebagai Kia sedan, tetapi kami tidak dapat mengagak model apakah ini.

    Saiz keseluruhan model ini dengan paten rimnya kelihatan ia mungkin di bawah segmen-C, bukannya Rio sedan generasi akan datang. Walau bagaimana pun, bentuknya juga tidak menggambarkannya sebagai ganti kepada Cerato.

    Apa yang kami dapat simpulkan, kemungkinan ia merupakan sedan bajet untuk pasaran China, di mana ia menggantikan model generasi pertama Cerato (dijual di sana sebagai Spectra5). Ia masih lagi diproduksi di sana, bersama Forte dan model semasa Cerato yang dikenali sebagai K3.

    SPYSHOT: Kia misteri – sedan bajet untuk China?

    Kereta ini dikesan pada masa yang sama dengan Hyundai Celesta iaitu model untuk China sahaja, yang pasa dasarnya menggunakan kerangka Elantra/Avante generasi ke-empat. Mungkin ini satu lagi perkongsian platform dan enjin antara Kia dan Hyundai, dan kebarangkalian ia adalah versi Kia bagi Celesta. Jika ya, ia mungkin menggunakan enjin Hyundai 1.6 liter dengan kuasa 122 hp serta kotak gear manual dan automatik enam-kelajuan yang sama.

    Malah, model kereta ini juga boleh dipasarkan di Eropah di bawah sedan bajet segmen-C, diposisikan di bawah Cee’d sebagai sedan entry-level dengan harga yang lebih berpatutan. Iaitu sama pasaran seperti Fiat Tipo dan Renault Fluence.

     
     
  • Suzuki Ertiga Diesel di Indonesia – spesifikasi didedah

    Suzuki Ertiga Diesel di Indonesia – spesifikasi didedah

    Suzuki Ertiga Diesel bakal dipasarkan di Indonesia tidak lama lagi, dan perincian mengenai varian baharu ini, telah pun didedahkan menerusi AutonetMagz, termasuk harga atas jalannya – Rp 220 juta (RM73,000). Buat masa ini, MPV tujuh-tempat duduk ini hanya didapati dengan enjin petrol 1.4 liter, iaitu sama dengan Proton Ertiga yang dijual di Malaysia.

    Ertiga diesel bakal diberikan enjin turbodiesel DDiS empat silinder 1.3 liter D13A dipadankan bersama sistem Smart Hybrid Vehicle by Suzuki (SHVS), serta kotak gear manual lima-kelajuan, memacu roda hadapan. Walau bagaimana pun, sistem ‘hibrid’ pada SHVS ini bukanlah sistem hibrid komprehensif seperti pada Toyota Prius mahupun Honda Insight.

    Komponen SHVS terdiri dari sebuah bateri 12V berkapasiti tinggi (juga bertindak sebagai bateri utama kereta) serta unit alternator lebih besar digelar Intergrated Starter Generator (ISG) yang bukan sahaja boleh mengecas tenaga elektrik semasa enjin berputar, malah turut boleh bertindak sebagai generator untuk sistem regenerative braking.

    Ia turut dipadankan dengan hanya satu pilihan transmisi iaitu manual lima-kelajuan, termasuk dengan bateri yang besar. Dengan gabungan padu kuasa ini, sistem ini mampu menghasilkan output sehingga 90 hp dan tork 200 Nm, iaitu kurang satu kuasa kuda dan lebih 70 Nm berbanding enjin petrol. Di India, Ertiga Disel dianggar menggunakan bahan api sekitar 24.52 km/l mengikut kitaran tempatan.

    Bagi elemen luarannya, Ertig Diesel, yang mungkin diimport sepenuhnya dari India, adalah lebih kurang sama dengan model petrol, kecuali logo Hybrid pada bahagian belakangnya. Di dalamnya, roda stereng dan tuil gear kuning langsat (model petrol Indonesia berwarna coklat, seperti Proton Ertiga), manakala kekemasan fabriknya pula sama seperti pasaran India.

    Kit tambahan lain termasuk cermin pandang belakang anti-silau manual dan nyahkabus belakang, serta fungsi habas panas (mengikut spesifikasi India). Walau bagaimana pun, model diesel Indonesia juga akan menggugurkan beberapa elemen yang terdapat pada model India, termasuk kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, sistem infotainmen skrin sesentuh dengan Bluetooth dan kamera undur.

    GALERI: Suzuki Ertiga facelift di GIIAS 2015

     
     
  • Toyota dan Suzuki sudah siapkan memorandum persefahaman – kerjasama libatkan pelbagai aspek

    Toyota dan Suzuki sudah siapkan memorandum persefahaman – kerjasama libatkan pelbagai aspek

    Toyota dan Suzuki mengumumkan bahawa satu memorandum persefahaman di antara keduanya kini sudah siap dan lengkap. Ia melibatkan sumbangan dua pengeluar kenderaan ini ke arah penyelesaian isu sosial dan pencapaian pembangunan mapan untuk kumpulan berasaskan automotif.

    Sebelum itu, dua syarikat ini telah berkongsi sesama sendiri berkenaan cabaran yang dihadapi dan bidang yang bersesuaian untuk kerjasama ini, supaya adil dan bebas daripada saingan (antara sendiri). Kedua-duanya hari ini setuju untuk memulakan “penilaian konkrit” bagaimana untuk bekerja bersama dalam bidang termasuk teknologi persekitaran, teknologi keselamatan, teknologi informasi, dan pembekalan produk dan komponen secara bersama.

    “Kedua-dua syarikat kami, yang berasal dari Enshu, berhasrat untuk menggunakan sepenuhnya semangat “mari lakukan”, dan kami ingin bekerjasama untuk memastikan semua orang dapat menikmati keseronokan mobiliti dan mencapai satu suasana yang penuh kegembiraan. Saya berterima kasih kerana diberikan peluang untuk bekerjasama dengan syarikat seperti Suzuki, yang mempunyai semangat tinggi,” kata presiden Toyota, Akio Toyoda.

    Pengerusi Suzuki juga menyatakan rasa terima kasihnya dengan menyatakan,”di bawah pimpinan presiden Akio Toyoda, Toyota sangat bersemangat sepanjang perbincangan berkenaan kerjasama ini, meskipun dipelawa asalnya oleh Suzuki, yang khuatir tentang pembangunan teknologi maju.”

     
     
  • Benelli lantik Mforce Bike Holdings jadi pengedar baharu di Malaysia – bakal perkenal moped 150 cc

    Benelli lantik Mforce Bike Holdings jadi pengedar baharu di Malaysia – bakal perkenal moped 150 cc

    Pengeluar jentera dua roda dari Itali, Benelli mengumumkan pelantikan Mforce Bike Holdings Sdn Bhd sebagai pengedar baru jenama itu untuk pasaran Malaysia bermula 1 Februari 2017. Dengan pelantikan berkenaan, Mforce Bike Holdings akan memasang, mengedar, dan membekalkan perkhidmatan lepas jualan, termasuk alat ganti bagi produk Benelli untuk pelanggan di sini.

    Pengurus Jualan Nasional Mforce Bike Holdings, Asri Ahmad menjelaskan, pelanggan dan pemilik Benelli sedia ada tidak perlu gusar kerana mereka tetap akan menerima manfaat serta khidmat yang sama seperti sebelum ini. Semua Pusat Servis Mforce Bike di Malaysia juga akan memberikan sokongan perkhidmatan lepas jualan dan servis lengkap kepada semua motosikal Benelli yang terjual sebelum ini, bermula bulan Mac nanti.

    Lanjutan daripada perkembangan ini, Mforce Bike turut merancang untuk menambah kepelbagaian terhadap penawaran model-model Benelli yang dijual di Malaysia. Antara yang sedang diberi perhatian dan dipertimbangkan ialah model-model seperti Leoncino 500, 302R dan TRK 502.

    Benelli lantik Mforce Bike Holdings jadi pengedar baharu di Malaysia – bakal perkenal moped 150 cc

    Selain motosikal berkuasa tinggi, Mforce Bike juga akan memperkenalkan buat pertama kalinya moped Benelli dalam bulan April 2017 nanti. Dengan kapasiti enjin 150cc yang baru, ia mematuhi tahap piawaian Europah, dilengkapi dengan ciri-ciri utama seperti suntikan bahan api, gear enam-kelajuan dan sistem penyejukan cecair.

    Pengedar baru Benelli ini juga berharap agar kelab-kelab motosikal Benelli sedia dapat menghubungi ibu pejabat di talian 04-5541777 untuk sebarang pertanyaan, serta bagi penglibatan bersama di dalam program-program yang akan dirancang bersama-sama pelanggan kelak.

     
     
  • VIDEO: Euro NCAP tunjuk perbezaan peningkatan keselamatan kenderaan sejak 20 tahun penubuhannya

    Program Penilaian Kereta Baharu Eropah (Euro NCAP) telah pun menjangkau usia 20 tahun pada 2017. Untuk itu, mereka telah pun menyiarkan sebuah video ujian perlanggaran yang menunjukkan peningkatan yang agak drastik dari segi keselamatan sejak badan berkenaan ditubuhkan pada tahun 1997.

    Ujian pelanggaran tersebut melibatkan Rover 100 yang berusia 20 tahun dan juga Honda Jazz 2015, yang boleh dikatakan berada pada segmen yang sama serta skala harga yang hampir sama, pada era masing-masing. Kedua-dua kereta ini diuji dengan pelanggaran hadapan secara off-set pada kelajuan 64 km/j (40 bs/j).

    Menerusi video ini, jelas kelihatan bahagian hadapan Rover berkenaan remuk kerana impak yang dikenakan. Walaupun dilengkapi beg udara, struktur asas badan yang lemah telah membuatkan roda stereng turut tercampak dan tidak dapat melindung pemandu pada kadar sepatutnya.

    VIDEO: Euro NCAP tunjuk perbezaan peningkatan keselamatan kenderaan sejak 20 tahun penubuhannya

    Menurut Euro NCAP, perubahan bentuk badan pada Rover berkenaan menyebabkan alat tukang perlu digunakan mengeluarkan penumpang dari kenderaan. Penumpang dan pemandu Rover tersebut juga mungkin akan mati atau mengalami kecederaan serius dalam kemalangan sedemikian.

    Namun, perkara sebaliknya berlaku pada Jazz. Walaupun bahagian hadapannya remuk teruk (bahagian tersebut memang direka untuk remuk dalam kemalangan bagi menyerap impak pelanggaran), kerangka bahagian kabin yang direka lebih kukuh dan juga jumlah beg udara yang lebih banyak, penumpang dan pemandu Jazz berkenaan boleh keluar sendiri dari kenderaan mereka dan hanya mengalami kecederaan ringan.

    “Kami sangat berbangga – kami telah menjadi tunjang keselamatan jalan raya selama 20 tahun – kerana program ujian keselamatan Euro NCAP telah mencapai peningkatan menyelamatkan nyawa yang besar pada kereta dan membantu Eropah untuk mencapai kadar kehilangan nyawa di jalan raya paling rendah berbanding rantau lain di dunia,” kata ketua setiausaha Euro NCAP, Michiel van Ratingen.

    Sejak ditubuhkan, Euro NCAP telah menerbitkan lebih dari 630 penarafan keselamatan, ujian pelanggaran sekitar 1,800 kereta dan juga membelanjakan jumlah keseluruhan berjuta euro bagi membuatkan kereta lebih selamat. Hasil ujian pertama Euro NCAP didedahkan pada 4 Februari 1997, melibatkan tujuh kereta popular era tersebut iaitu Ford Fiesta, Volkswagen Polo, Fiat Punto, Nissan Micra, Vauxhall/Opel Corsa dan Renault Clio. Rover 100 juga terlibat dengan pendedahan hasil ujian pertama tersebut, dan merupakan satu-satunya kereta diberikan penarafan satu-bintang.

    Ujian-ujian ini mendedahkan tahap keselamatan pada pelbagai kereta penumpang keluarga, menyebabkan pengeluar-pengeluar mengubah rekabentuk kereta mereka bagi mempertingkatkan keselamatan ketika berlakunya pelanggaran, dan terkini mengelakkan dari terjadinya kemalangan menjadi fokus yang lebih utama.

    Menerusi usaha-usaha yang dijalankan ini, kini teknologi keselamatan baharu atau yang ditawarkan sebagai opsyen sebelum ini seperti beg udara pemandu dan penumpang, beg udara sisi, amaran pemakaian tali pinggang keledar dan kawalan kestabilan elektronik telah pun dilengkapkan sebagai ciri standard bagi semua kereta baharu yang dijual di Eropah.

    “Impak daripada ujian ini tidak boleh dianggap remeh. Sebelum adanya Euro NCAP, pengguna hanya bergantung kepada dakwaan dari pengeluar. Kini kami mempunyai kereta yang paling selamat pernah dihasilkan dan tahap keselamatan setiap kereta ini didedahkan kepada umum. Kejayaan ini hanya boleh dicapai dengan bekerja sama rapat secara aktif di Eropah di bawah satu payung dan dengan meneruskan pelaburan terhadap keselamatan yang lebih baik,” kata presiden Euro NCAP dan ketua pegawai teknikal Tatcham, Andrew Miller.

     
     
  • MBJB buru semua pemilik kenderaan yang tidak menjelaskan kompaun tertunggak RM11.3j

    MBJB buru semua pemilik kenderaan yang tidak menjelaskan kompaun tertunggak RM11.3j

    Bagi anda yang memiliki saman dan kompaun tertunggak di bawah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), sila segera menyelesaikannya. MBJB akan mempergiatkan proses pendakwaan terhadap pemilik kenderaan dan penerima notis kompaun yang masih berdegil dan belum menjelaskan kompaun yang keseluruhannya bernilai RM11.3 juta.

    Menurut Datuk Bandar Johor Bahru A Rahim Nin, tunggakan itu adalah dari bulan Mei hingga Disember 2016 lalu membabitkan 367,000 notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Perintah Lalu-Lintas Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MBJB, laporan Bernama.

    “Jumlah ini melibatkan kesalahan tidak mempamerkan kupon meletakkan kenderaan dan sehingga kini sebanyak 6,440 surat peringatan telah diedarkan kepada pemilik kenderaan yang belum menjelaskan kompaun mereka. Pemilik kenderaan ini perlu ingat bahawa mereka boleh didakwa dan dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM300 selain membayar kepada Datuk Bandar apa-apa bayaran lain yang perlu dibayar di bawah peruntukan ini,” katanya.

    Tegasnya, MBJB memandang serius perkara itu dan akan mengenakan tindakan yang tegas bagi mana-mana individu yang melanggar peraturan tersebut.

     
     
  • Honda CRF250 Rally dilancar di Indonesia – RM21k

    Honda CRF250 Rally dilancar di Indonesia – RM21k

    Selepas dipamerkan sewaktu pameran EICMA di Milan, Itali, motosikal jelajah CRF250 Rally kini sudah dilancarkan di negara jiran, atau lebih tepat lagi di Indonesia. Majlis pelancarannya dijalankan bersama dengan pengenalan sebuah lagi model jelajah yang lebih besar, CRF1000L Africa Twin.

    Menariknya berkenaan CRF250 Rally, walaupun sekadar menggunakan enjin 250 cc sama seperti pada model CRF250L, ia disiapkan dengan kelengkapan dan gaya seperti sebuah motosikal lumba CRF450 Dakar, sesuai untuk penjelajahan lasak. Ini boleh dilihat dengan adanya penghadang angin yang tinggi, penutup bahagian enjin dan radiator, serta penghadang lumpur. Lampu utama dan penunjuk arah pula menggunakan unit LED.

    Bagi memastikan motosikal ini boleh berhadapan dengan keadaan lebih lasak, ia disertakan dengan suspensi Showa 43mm yang lebih panjang berbanding CRF250L, tangki minyak lebih besar, iaitu 10.1 liter dan mempunyai pilihan mod tunggangan. Rim hadapannya bersaiz 21 inci dan rim belakang 18 inci.

    Bagi pasaran Indonesia, ia akan mula dijual pada bulan Februari 2017, dengan harga atas jalan Rp62,900,00 (RM20,800). Unit yang dijual di Indonesia ini dikilangkan dan diimport dari Thailand.

    Diharapkan nanti, Boon Siew Honda Malaysia dapat merangka satu pakej yang menarik sekiranya ingin membawa motosikal ini ke pasaran Malaysia. Janganlah harganya jadi keterlaluan, nanti tidak banyak pula kuantiti yang dapat dijual.

     
     
  • 27,297 motosikal diperiksa dalam Op Khas Motosikal sempena CNY 2017 – 5,481 kesalahan dicatatkan

    27,297 motosikal diperiksa dalam Op Khas Motosikal sempena CNY 2017 – 5,481 kesalahan dicatatkan

    Sempena dengan Tahun Baharu Vina (CNY) 2017, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengadakan Ops Khas Motosikal di seluruh negara. Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Datuk Yusoff Ayob, sebanyak 27,297 motosikal telah diperiksa dan 5,481 pelbagai kesalahan direkodkan sepanjang operasi berkenaan.

    “Sebanyak 3,143 atau 35% daripada kesalahan yang direkodkan ialah tidak memiliki lesen menunggang motosikal. Selain itu, kesalahan lain yang turut dicatatkan termasuklah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada insurans kenderaan, tidak mematuhi lampu isyarat dan tidak memakai topi keledar,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Selain JPJ, operasi tersebut turut disertai oleh penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR). Operasi ini dijalankan menerusi empat siri bermula 25 dan 26 Januari serta 1 Februari dan telah pun berakhir semalam.

     
     
  • VIDEO: Ford F-150 Raptor – ‘drag race’ antara enjin V8 lama melawan enjin EcoBoost V6 yang baharu

    Ford F-150 Raptor bukanlah sebuah model yang asing bagi pasaran Amerika Syarikat. Bagi versi terbaru F-150 Raptor 2017, enjin EcoBoost V6 yang digunakan, dan menurut pengeluarnya, ia mampu memberikan prestasi pecutan yang hampir sama berbanding enjin V8 terdahulu.

    Di dalam video yang dibuat oleh The Fast Lane Truck, dua versi trak berkenaan dipertemukan di dalam satu perlumbaan drag race; versi 2017 dan model generasi sebelum itu, model SVT tahun 2014. Seperti dijangkakan, model lama berkenaan sukar untuk menandingi kemampuan enjin baru dalam laluan lurus; enjin 3.5 liter Twin Turbo V6 mempunyai daya pecutan yang lebih baik, mengatasi model lama dengan enjin 6.2 liter Boss V8.

    Dari segi angka output kuasa dan tork, enjin EcoBoost menghasilkan 450 hp dan 691 Nm tork, pertambahan sebanyak 39 hp dan 103 Nm berbanding Raptor lama. Trak baru itu menggunakan transmisi automatik 10-kelajuan, sementara model lama dilengkapi kotak gear automatik enam kelajuan. Versi baru berkenaan juga 226 kg lebih ringan.

    Bagaimanapun, drag race yang dilakukan itu bukanlah suatu perbandingan yang adil, memandangkan Roptor 2017 adalah dari varian SuperCab, yang lebih ringan dan kecil berbanding model 2014 SuperCrew empat pintu SVT 2014 yang digunakan sebagai tandingan. Apa pun, versi 2017 ini, walau dalam versi empat pintunya, dirasakan tetap akan dapat mendahului dengan prestasi yang mengkagumkan.

     
     
  • Honda City facelift dilancar di India minggu hadapan

    Honda Cars India telah pun membuka tempahan bagi Honda City 2017, iaitu City facelift yang telah pun dilancarkan di Thailand pada bulan lalu dan kini juga telah dibuka tempahannya di Malaysia. Model sedan yang diberi suntikan lebih segar ini dijangka dilancarkan di India pada 14 Februari ini.

    Malahan video yang menayangkan teaser bagi City 2017 ini juga telah disebarkan. City, yang diposisikan sebagai kenderaan premium di India, didatangkan dengan lampu utama dan lampu nyalaan siang LED, aloi potongan-berlian 16-inci, lampu belakang LED, spoiler but dengan brek lampu ketiga LED, enam beg udara, unit utama dengan skrin sesentuh “Digipad” tujuh-inci berserta navigasi (unit yang berlainan dengan City versi Malaysia) dan bumbung matahari elektrik bagi varian tertinggi ZX.

    Klik untuk besarkan

    Terdapat dua penjana kuasa yang ditawarkan bagi pasaran India. Enjin petrol 1.5 liter i-VTEC dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau automatik CVT bersama tujuh nisbah maya dan pedal penukar gear. Selain itu, enjin diesel 1.5 liter i-DTEC turut ditawarkan dengan padanan kotak gear manual enam-kelajuan.

    Seperti varian tertinggi City, Grade V, bagi Malaysia, model spesifikasi tertinggi bagi India turut menerima lampu utama dan lampu kabus LED, roda aloi dwi-tona 16-inci, ‘ducktail’ spoiler dengan disambung lampu brek LED dan lampu belakang LED. Dua elemen terakhir itu walau bagaimana pun tidak ditawarkan di Thailand. Semua model turut menerima VSA dan kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, sementara varian V turut menampilkan kamera undur pelbagai-sudut.

    GALERI: Honda City facelift spesifikasi Thailand

     
     
  • Harga petrol, diesel dijangka kekal tinggi pada 2017

    Harga petrol, diesel dijangka kekal tinggi pada 2017

    Seperti mana yang dilaporkan pada minggu lalu, seorang pakar ekonomi yang juga Ketua Khidmat Rundingan Cukai dan Kewangan Great Vision Advisory Group, Datuk Chua Tia Guan meramalkan, harga runcit bagi petrol dan diesel dijangka akan terus meningkat dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang. Ia didorong oleh dua faktor iaitu kenaikan harga minyak mentah di negara kita dan melibatkan kadar pertukaran nilai mata ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

    Perkara ini senada dengan laporan yang disiarkan oleh Berita Harian hari ini, bahawa harga kedua-dua bahan api tersebut dijangka kekal tinggi pada tahun ini. Di mana ia menyaksikan penganalisis global menaikkan unjuran harga purata penanda aras harga minyak dunia, Brent dan West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS).

    Harga penanda aras berkenaan masing-masing dinaikkan kepada AS$61.3 satu tong (RM271.16 satu tong) dan AS$59.0 satu tong (RM260.99 satu tong) pada tahun ini. Menurut Bank pelaburan terkemuka Eropah, Natixis, pihaknya menjalankan semakan semula terhadap unjuran harga minyak bagi kedua-dua penanda aras itu bagi suku pertama (Q1) dan kedua (Q2) 2017.

    Ia berikutan terdapat pengurangan perbelanjaan modal sejak dua tahun lalu, kos inflasi selain daripada perjanjian pengurangan pengeluaran oleh OPEC dan pengeluar lain. Pengurangan pengeluaran minyak oleh OPEC dan anggota bukan OPEC bermula 1 Januari 2017, meskipun terdapat pemulihan sederhana dalam pengeluaran minyak AS akan memberi kesan kepada harga minyak global.

    Menurut Natixis lagi, pengurangan bekalan minyak pada peringkat global dijangka berterusan sepanjang tempoh separuh kedua tahun ini. Ia mungkin dipengaruhi dua faktor utama iaitu 80% kemungkinan disebabkan pematuhan perjanjian OPEC dan pengeluar lain dan pemulihan sederhana dalam pengeluaran di AS.

    “Menurut perjanjian itu, anggota OPEC dan bukan OPEC mencapai persetujuan untuk mengurangkan pengeluaran minyak kepada 1.2 juta tong sehari (bpd) kepada 31.96 juta bpd, sementara pengeluaran di AS ialah meningkat sehingga 250,000 bpd berbanding paras siling yang ditetapkan pada 2016,” katanya.

    Bagaimanapun, menurut jangkaan bank pelaburan itu, inventori minyak pada tahun ini dijangka meningkat jika usaha mengekang pengeluaran oleh OPEC menemui kegagalan.

    “Pada masa sama, faktor kenaikan berterusan bagi minyak mentah dan stok simpanan bahan api AS juga akan menjejaskan keseimbangan harga minyak dunia,” katanya.

     
     
  • Lesen Memandu Malaysia kini sah digunakan di Qatar

    Lesen Memandu Malaysia kini sah digunakan di Qatar

    Berita baik untuk rakyat Malaysia yang berkerja di Qatar, kini mereka tidak lagi perlu untuk menjalani ujian di negara berkenaan sebaliknya boleh menggunakan Lesen Memandu Malaysia sekiranya mahu memandu sendiri kenderaan di sana, menurut laporan Bernama.

    Kerajaan Qatar menerusi Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negerinya, Sheikh Abdullah Nasser Khalifa Al Thani, memberikan persetujuan berkenaan semasa pertemuan beliau bersama Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.

    Menurut Zahid, Perdana Menteri Qatar meluluskan permohonannya itu serta merta selepas beliiau memaklumkan masalah yang sering dihadapi rakyat Malaysia terutama yang bekerja di negara berkenaan, dan menjelaskan hubungan istimewa antara Malaysia dan Qatar membolehkan beberapa kesulitan yang dihadapi oleh rakyat dan syarikat Malaysia diselesaikan segera tanpa melalui saluran diplomatik yang sulit dan lama.

    Sebelum ini, rakyat Malaysia perlu menduduki dan lulus ujian memandu sebelum boleh memandu kenderaan berikutan Qatar menggunakan sistem pemanduan sebelah kiri berbanding pemanduan di sebelah kanan di Malaysia. Justeru, Zahid menegaskan rakyat Malaysia di Qatar perlu menjaga imej dan reputasi baik sedia ada bagi memastikan keyakinan kerajaan Qatar terhadap negara tidak terjejas.

    Menurut Zahid lagi, hasil pertemuan beliau dengan beberapa pemimpin Qatar pada lawatan rasmi ini memperlihatkan bahawa kerajaan Qatar memandang tinggi sumbangan rakyat dan keupayaan syarikat serta tenaga kerja dari Malaysia yang terdiri daripada kumpulan teknikal dan profesional dan bukannya kalangan buruh atau pekerja tidak terlatih seperti dari negara lain.

    Presiden Persatuan Malaysia-Qatar, Ahmad Hasnan Mohd Zaki pula menyatakan, penggunaan lesen memandu Malaysia itu akan banyak membantu rakyat Malaysia yang baru tiba di negara ini kerana sebelum ini rakyat Malaysia terpaksa menunggu sekurang-kurangnya empat bulan dan membelanjakan kos $2,500 Riyal (RM3,036) untuk menduduki ujian memandu tempatan.

     
     
  • VIDEO: Toyota C-HR bakal dilancarkan di Australia

    Toyota C-HR, antara model baharu yang kian dinanti-nanti, bakal dilancarkan di Australia tidak lama lagi. Ia dijangka akan dilancarkan di negara berkenaan pada suku pertama tahun ini, mungkin pada Feb ada Mac ini. Seperti yang tertulis di laman web Toyota Australia, “Penantian yang bakal berakhir.”

    Bagi pesaing Honda HR-V dan Mazda CX-3 ini, ia akan dijanakan oleh enjin 1.2 liter pengecas turbo dengan kuasa 114 hp dan tork 185 Nm, serta dipadankan sama ada dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik CVT.

    Ia akan ditawarkan dengan elemen standard termasuk pengesan parkir hadpaan/belakang, rim aloi 17-inci, cermin sisi boleh dilipat, navigasi, lampu nyalaan siang dan lampu kabus LED, kamera undur, bantuan mula mendaki, panel instrumen dengan paparan bersaiz 4.2-inci, lampu tinggi automatik, sistem bunyi dengan enam-pembesar suara, kawalan suhu dwi-zon, bilah pengelap cermin automatik dan tempat duduk balutan fabrik.


    Klik untuk besarkan

    Manakala untuk kit keselamatan aktif, ia turut dilengkapi dengan brek kecemasan autonomi, kepekaan ketibaan lorong, pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, amaran perlanggaran hadapan dan kawalan kelajuan adaptif.

    Bagi model varian tertinggi yang diberi nama “Koba” (nama diambil sempena ketua jurutera C-HR, Hiroyuki Koba), ia ditampilkan dengan kemasan kulit, lampu utama LED, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, tempat duduk hadapan dengan fungsi suhu panas, lampu belakang LED, lampu pencahayaan (biru) dan rim 18-inci. Laporan tempatan turut menyebut, Toyota yang meletakkan C-HR dalam posisi “premium”, mungkin akan berharga bermula A$25,000 (RM84,682).

    Video di atas menunjukkan 20 orang warga Australia bertuah yang dapat melihat secara lebih dekat model SUV ini di Sydney dalam satu majlis tertutup. Pastinya rakyat di sana juga tidak sabar untuk menantikan kemasukan SUV ini ke pasaran mereka.

    GALERI: Toyota CH-R versi JDM

     
     
  • Honda Civic Hatchback – teaser untuk pasaran Thailand disiarkan, bakal dilancarkan tidak lama lagi

    Honda Civic Hatchback – teaser untuk pasaran Thailand disiarkan, bakal dilancarkan tidak lama lagi

    Di Malaysia, Honda dilihat agak sibuk tahun ini dengan pelancaran BR-V bulan lalu dan City facelift dalam masa terdekat. Namun di negera jiran – Thailand – jenama ini nampaknya jauh lebih agresif lagi. Setelah memperkenalkan City facelift sebelum ini, Honda Thailand kini menyiarkan pula imej teaser antara model yang paling ditunggu tahun ini – Honda Civic Hatchback.

    Imej yang disiarkan menerusi laman Facebook rasmi mereka tersebut walau bagaimanapun hanya memaparkan bahagian hadapannya yang menampilkan liang kemasukan udara pada bampar lebih besar dari versi sedan serta lampu kabus yang direka semula.

    Namun tidak sukar untuk membayangkan rupa belakang hatchback ini kerana ia telah didedahkan sepenuhnya bagi pasaran Amerika dan Eropah sebelum ini. Seperti juga model sedan, versi hatchback ini turut menampilkan lampu belakang boomerang. Pintu tailgate model ini juga diberikan spoiler, manakala tip ekzos berkembar ditempatkan pada bahagian tengah bampar belakang.

    Honda Civic Hatchback – teaser untuk pasaran Thailand disiarkan, bakal dilancarkan tidak lama lagi

    2017 Honda Civic

    Bahagian dalaman versi hatchback ini tidak menampilkan apa-apa perubahan yang ketara dimana sebahagian besar komponen termasuk suis-suis kawalan masih berkongsi dengan model sedan.

    Walau bagaimanapun, Honda Thailand masih belum mendedahkan apa-apa perincian berkenaan Civic Hatchback ini, tetapi dijangka bakal mengekalkan unit janakuasa yang sama dengan versi sedan iaitu enjin NA 1.8 liter i-VTEC dan 1.5 liter VTEC Turbo. Kedua-dua enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik CVT, memacu roda hadapan. Mengikut laporan sebelum ini, model hatchback tersebut bakal diproduksi di kilang negara gajah putih berkenaan, sama seperti versi sedan.

    Adakah Honda Malaysia akan membawa Civic Hatchback ke Malaysia? Kali terakhir Malaysia menerima varian hatchback lima pintu adalah menerusi Civic generasi kedua (SA0), sementara untuk model generasi ke tujuh (ES) dan seterusnya, pasaran Malaysia hanya menerima Civic sedan empat pintu. Menurut Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Katsuo Hayashi sebelum ini, buat masa sekarang, pihaknya belum lagi merancang untuk membawa masuk model hatchback ini ke pasaran tempatan, tetapi ia tidak mustahil jika terdapat permintaan yang tinggi dari orang ramai.

    GALERI: Honda Civic Hatchback 2017 pasaran Eropah

     
     
  • Honda WR-V – versi Brazil didedah, dilancar Mac ini

    Honda WR-V – versi Brazil didedah, dilancar Mac ini

    Honda telah mendedahkan spesifikasi bagi WR-V baharu, yang telah diperkenalkan di Sao Paulo International Motor Show pada November lalu. Model crossover kompak, yang dibina berasaskan Jazz ini, adalah untuk Brazil yang bakal dilancarkan pada Mac ini sebelum memasuki pasaran negara Amerika Selatan sebelum hujung tahun ini.

    Menurut pengeluar kenderaan ini, “Winsome Runabout Vehicle” ini memiliki dimensi empat meter panjang, selebar 1.73 m dan setinggi 1.6 meter dengan jarak roda 2.55 m, ditawarkan untuk versatiliti bagi SUV kegunaan urban. Malahan ia juga mempunyai sudut “approach and departure”, masing-masing pada 21º dan 33º.

    Untuk Brazil, WR-V dijanakan oleh enjin 1.5 i-VTEC FlexOne, dengan dipadankan bersama unit Earth Dreams CVT yang lengkap bersama torque converter. Dengan bahan api etanol, enjin ini mampu menghasilkan output sehingga 116 hp pada 6,000 rpm dan tork 150 Nm pada 4,800 rpm. Sekiranya dengan enjin petrol pula, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 115 hp pada 6,000 rpm dan tork 149 Nm pada 4,800 rpm.

    Honda WR-V – versi Brazil didedah, dilancar Mac ini

    Menurut Honda, WR-V dibangunkan berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap keperluan pelanggan di Amerika Selatan, dan hasilnya, rekaan SUV dengan “gaya urban dan tahan lasak” diperlukan.

    Gandar belakang WR-V adalah sama seperti HR-V, tetapi telah dibangunkan semula untuk keperluan di negara tersebut dan lebih keras bagi memberikan keselesaan dan pengendalian yang lebih jitu.

    SUV ini turut menampilkan roda stereng berkuasa yang dibangunkan khas untuknya, dengan jejari pusingan sehingga 5.3 meter. Ia juga dipadankan dengan roda aloi 16-inci dan tayar yang turut direka khas untuknya, dengan tayar unique195/60 yang dikatakan mampu memberikan keselesaan dan getaran yang lebih rendah.

    Honda WR-V – versi Brazil didedah, dilancar Mac ini

    Di dalamnya, kabinnya kelihatan lebih kurang sama seperti Jazz, tetapi pembelinya boleh memilih dua pilihan kekemasan iaitu hitam/perak dan hitam/jingga. Sistem tempat duduk Magic Seat, atau pun bagi pasaran lain dikenali sebagai ULTRa Seat (Utility Long Tall Refresh), juga boleh didapati untuk SUV ini.

    Produksi bagi WR-V ini akan dilaksanakan di kilang Sumare di Sao Paulo, yang turut memproduksi Civic, HR-V, City dan Jazz (turut dikenali sebagai Fit bagi pasaran berkenaan) untuk Brazil.

     
     
  • Skim insurans SOCSO bagi pemandu Grab, Uber

    Skim insurans SOCSO bagi pemandu Grab, Uber

    Bermula 1 Jun 2017, semua pemandu teksi persendirian, termasuk pemandu Grab dan Uber di Malaysia, akan tertakluk di bawah perlindungan skim kecederaan pekerjaan atau Employment Injury Shceme (EIS), sama seperti pekerja lain di bawah skim Perkhidmatan Kontrak yang diseliakan oleh Pertubuhan Keselamatan Pekerja (SOCSO).

    The Sun melaporkan, ketua eksekutif SOCSO, Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed memaklumkan ia akan diwajibkan kepada semua pemandu teksi yang bekerja sendiri untuk berdaftar di bawah skim berkenaan. Mereka akan menyumbang pada kadar 1.25% daripada pendatan bulanan yang diinsuranskan.

    Skim perlindungan ini akan memberi manfaat kepada 73,000 pemandu teksi yang berkerja sendiri serta 35,000 pemandu Grab dan Uber yang aktif kini. Sebelum ini, mereka terpaksa membeli polisi insurans sendiri secara berasingan.

    “Bayaran tahunan yang akan dikenakan kepada pemandu yang mendaftar di bawah skim ini ialah dari RM157.20 (RM13.10 sebulan) hingga RM592.80 (RM49.40 sebulan),” jelas beliau. “Menteri Sumber Manusia juga telah bersetuju untuk memasukkan pemandu-pemandu Grab dan Uber sekali di bawah skim berkenaan,” tambahnya.

    “Mereka yang mendaftar di bawah skim ini, yang terdedah kepada kemalangan atau penyakit berkaitan pekerjaan yang dilakukan akan dilindungi di bawah EIS. Tanggungan mereka juga akan diberi perlindungan keselamatan sosial sekiranya berlaku kematian,” jelas beliau lagi.

    Antara perkara yang akan ditanggung oleh skim ini ialah hilang upaya kekal atau sementara, kematian serta manfaat kepada ahli keluarga adalah antara yang bakal dinikmati oleh mereka yang berdaftar di bawah skim ini. Selebihnya termasuk elaun layanan berterusan, pinjaman pelajaran, kemudahan pemulihan fizikal dan vokasional serta program kembali bekerja.

    “Elaun layanan berterusan adalah tambahan baru yang khusus diberikan oleh SOCSO. Jika pekerja hilang upaya kekal disebabkan pekerjaannya, mereka selepas itu akan bergantung kepada penjaga atau keluarga. Elaun berkenaan akan diberikan kepada penjaga,” jelas beliau lagi.

    EIS ini akan ditempatkan di bawah enakmen undang-undang baru – Rang Undang-undang Sosial Pekerjaan 2017. Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem dijangka akan membentangkannya di Dewan Rakyat pada sesi akan datang, dijadualkan dari 6 Mac hingga 6 April.

     
     
  • Geely dedah rancangan mahu membeli saham Proton

    Geely dedah rancangan mahu membeli saham Proton

    Geely Automobile Holdings, syarikat China yang turut memiliki kepentingan dalam pembuatan kenderaan penumpang bagi Volvo, telah mendedahkan rancangan untuk membeli saham dalam Proton.

    Menurut laporan yang disiarkan oleh South China Morning Post, Geely mahu menguasai 51% kepentingan di dalam Proton, apatah lagi dalam masa yang sama salah seorang pengarah eksekutif Geely, Lawrence Ang, berkata, pihaknya memang sedang giat mencari peluang untuk pengambilalihan syarikat luar negeri, tetapi dalam masa yang sama tidak menafikan mahupun mengiyakan tentang rancangan untuk membida saham Proton.

    Geely yang berpusat di Hangzhou, China, turut bersaing dengan pengeluar kenderaan kedua terbesar Eropah, Groupe PSA, yang turut memiliki Peugeot dan Citroen, bagi membeli kepentingan di dalam Proton.

    Penganalisis auto Sanford C. Bernstein yang berpusat di Hong Kong, Robin Zhu berpendapat seperti mana Toyota, Nissan dan Honda yang telah lama mendominasi pasaran Asia Tenggara, Geely juga dilihat sanggup berbelanja besar semata-mata mahu mendapatkan pegangan majoriti di dalam Proton.

    Pada penghujung tahun lalu, Geely hanya mengesahkan pihaknya hanya berminat untuk mengadakan kerjasama teknologi sahaja dan bukannya pembelian ekuiti ketika terdapat ura-ura yang menyatakan syarikat China ini mahu mengambil alih Lotus.

    Geely dilihat menunjukkan minat terhadap Proton apabila pengeluar kenderaan pertama Malaysia ini layak untuk membekalkan kenderaan bebas-cukai di mana-mana 10 negara di bawah Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara, termasuk Brunei, Kemboja, Indonesia, Singapura, Myanmar dan Filipina, dengan gabungan populasi seramai 623 juta orang.

    Untuk rekod, Geely telah membeli kepentingan di dalam Volvo daripad Ford Motor Co. pada tahun 2010 dengan nilai berjumlah US$1.8 bilion. Malahan Geely turut memiliki Manganeze Bronze iaitu syarikat yang mengendalikan ‘black taxi’ di London.

     
     
  • Honda Malaysia panggil balik 24,962 unit kenderaannya kerana masalah beg udara Takata – Accord, Jazz, City, Freed dan Insight 2012

    Honda Malaysia panggil balik 24,962 unit kenderaannya kerana masalah beg udara Takata – Accord, Jazz, City, Freed dan Insight 2012

    Honda Malaysia telah mengumumkan satu panggilan balik untuk 24,962 buah kenderaan disebabkan masalah inflator pada beg udara keluaran Takata. Isu ini melibatkan model Accord, Jazz, Jazz Hybrid, City, Freed dan Insight tahun 2012. Menurut syarikat berkenaan, buat setakat ini tiada kemalangan atau kecederaan yang melibatkan unit inflator beg udara terbabit.

    Seperti panggilan balik sebelum ini, semua pelanggan yang terlibat akan dimaklumkan menerusi surat pemberitahuan, termasuk perincian mengenai kempen ini. Pelanggan yang telah menerima makluman ini dinasihatkan agar untuk membawa surat dan kenderaan mereka ke mana-mana pengedar Honda bertauliah yang berdekat untuk pemeriksaan. Kerja-kerja penggantian akan dilakukan sebaik sahaja alat ganti berkenaan tersedia dan semua kos alat ganti dan buruh ditanggung oleh Honda Malaysia.

    Honda Malaysia turut menambah, semua pengedar di seluruh negara telah pun mempunyai stok inflator baharu bagi para pelanggan yang baru terjejas dan berjanji akan mendesak Takata untuk membekalkan bahagian kenderaan yang terjejas dalam beg udara berkenaan.

    Honda Malaysia panggil balik 24,962 unit kenderaannya kerana masalah beg udara Takata – Accord, Jazz, City, Freed dan Insight 2012

    Syarikat ini turut menggesa agar pemilik kenderaan yang terlibat segera menghantar kenderaan masing-masing untuk diperiksa dan ditukar komponen berkenaan sama ada di pengedar bertauliah Honda atau di Hub Bergerak sebaik sahaja menerima surat makluman. Honda turut menambah, model semasa yang sedang dijual sekarang tidak terlibat dengan panggilan balik ini.

    Panggilan balik ini juga akan dibuat dari semasa ke semasa dan akan memperhebatkan kempen sebegini menerusi sebaran media sosial dan SMS.

    Bagi pemilik kenderaan Honda, anda boleh menyemak status kenderaan anda dengan menghubungi talian 1-800-88-2020 atau terus berkunjung ke mana-mana pengedar Honda bertauliah. Malah anda juga boleh menyemaknya menerusi dalam talian di VIN Checker sama ada untuk menentukan kenderaan anda terlibat atau tidak.

     
     
  • Shell lancar barisan minyak pelincir khas untuk skuter

    Shell Advance hari ini melancarkan tiga produk terbaru yang diformulasikan khusus untuk kegunaan skuter; pelincir sintetik sepenuhnya Shell Advance 4T Ultra Scooter dengan Teknologi PurePlus 5W-40, minyak berteknologi sintetik Shell Advance 4T AX 7 Scooter 10W-40 dan Minyak Gear Skuter Shell Advance.

    Pelincir 4T Ultra Scooter PurePlus 5W-40 dijual pada harga RM68.30 seliter, manakala 4T AX 7 Scooter 10W-40 pula RM32.50 seliter di Semenanjung Malaysia. Sementara Minyak Gear Skuter Shell Advance (0.12 liter) pula dijual pada harga RM12.00.

    Barisan pelincir baru ini melengkapi satu lagi produk yang sudah diperkenalkan sejak 2014, Shell Advance 4T AX 5 Scooter 15W-40 (0.8 liter) yang dijual pada harga RM22.52.

    Barisan pelincir skuter Shell Advance baru ini, dengan Teknologi PurePlus dan Active Cleansing, adalah 33% lebih berkesan membersihkan enjin serta mengekalkan kestabilan pengoksidaan sebanyak 43% lebih lama berbanding minyak biasa. Ia juga dapat mengekalkan kelikatan 42% lebih lama mengikut standard API.

    Selain itu, Shall Advance turut mengumumkan akan memperkenalkan perkhidmatan ekspres penukaran minyak bagi motosikal dengan enjin di bawah 250 cc di stesen minyak Shell terpilih di seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha untuk memberikan kemudahan kepada pelanggan.

    Shell Advance MotoCare Express (SAMCE) telah dipra-uji ketika MotoGP™ Shell Malaysia 2016 dengan maklumbalas yang positif. Pada peringkat awal, ia diuji semasa musim perayaan Tahun Baru Cina di 12 stesen minyak Shell di Lembah Klang, wilayah Utara, wilayah Selatan dan Pantai Timur.

    Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, Shairan Huzani Husain berkata, SAMCE merupakan penambahan penting kepada konsep pusat sehenti syarikat terhadap untuk pengguna jalanraya, terutamanya penunggang motosikal.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026