Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Volvo Malaysia sasar lima lagi pasaran eksport untuk tahun 2017 – akan dimulakan dengan model SUV XC90

    Volvo Malaysia sasar lima lagi pasaran eksport untuk tahun 2017 – akan dimulakan dengan model SUV XC90

    Tahun ini, Volvo Car Manufacturing Malaysia mempunyai perancangan untuk mengembangkan lagi pasaran eksport mereka ke lima negara baharu iaitu Vietnam, Myanmar, Filipina, Indonesia dan Taiwan. Perkara ini diberitahu oleh pengarah urusan Volvo Car Manufacturing Malaysia, Fredrik Karlsson.

    Dalam laporan yang dikeluarkan oleh Bernama, Karlsson mendedahkan bahawa langkah itu hadir selepas penstrukturan semula kilang mereka di Shah Alam berjumlah RM20 juta, seterusnya membolehkan syarikat meningkatkan jumlah pengeluaran kepada 5,000 buah kenderaan setiap tahun. Ini juga adalah sebahagian daripada pelan pengembangan perniagaan awal 2020 Volvo Car Manufacturing Malaysia.

    “Kami akan mulakan eksport kenderaan pada pertengahan tahun (selepas kilang tersebut lengkap), bermula dengan model SUV mewah XC90 dan diikuti oleh model baharu menjelang akhir tahun,” kata beliau. Karlsson turut menambah bahawa Volvo mempunyai sasaran untuk meningkatkan kapasiti kilangnya sebanyak 50 peratus daripada jumlah sekarang sebanyak 1,500 buah kenderaan, diikuti 50 peratus lagi tahun hadapan.

    Pada masa sekarang, 60 peratus daripada jumlah pengeluaran keseluruhan adalah untuk pasaran domestik, manakala selebihnya adalah untuk dieksport ke Thailand. “Pada tahun sebelum ini, keadaan adalah sebaliknya. Tetapi kerana Thailand menghadapi kesukaran (kelembapan ekonomi dan cuaca buruk) pada tahun lepas, jumlah pengeluaran kami juga berkurangan,” tambah Karlsson.

     
     
  • SPYSHOT: Porsche 911 coupe dan cabriolet generasi seterusnya ditemui sewaktu ujian di kawasan bersalji

    SPYSHOT: Porsche 911 coupe dan cabriolet generasi seterusnya ditemui sewaktu ujian di kawasan bersalji

    Pengeluaran Porsche 911 generasi 991 facelift masih lagi belum lengkap (kami belum melihat versi ganas GT3 dan GT3 RS), dan jurutera syarikat itu sudahpun memulakan kerja untuk model generasi seterusnya, seperti yang boleh dilihat pada gambar yang diambil oleh jurufoto Eropah kami ini.

    Sekali pandang, kereta sports dengan enjin di belakang ini kelihatan hanya menerima sedikit evolusi daripada model 991 semasa, dengan perkadaran badan, permukaan dan perincian yang sama, tetapi masih ada sedikit perubahan pada rekaannya. Pada bahagian depan, bonetnya dijadikan lebih panjang untuk selari dengan garisan bampar.

    Ini, bersama dengan lampu yang direka semula (kini bersepadu dengan bahagian fender) dan dua lekuk di atas bonet, memberikan penampilan yang lebih hampir kepada model klasik, atau lebih tepat lagi model 964. Sementara itu, bahagian salur udara pula kelihatan menyerupai rekaan pada 991 facelift, namun boleh jadi ia kerana ditutup dengan kain samaran.

    SPYSHOT: Porsche 911 coupe dan cabriolet generasi seterusnya ditemui sewaktu ujian di kawasan bersalji

    Pada bahagian tepi, boleh dilihat pemegang pintunya direka semula supaya lebih rata, manakala di belakang, penghadang angin aktifnya kini bersaiz penuh, memberikan 911 ini rupa seperti model 959. Lampu belakangnya pula bersambung di tengah dengan garisan lampu melintang, dan terdapat empat dua/empat muncung ekzos.

    Porsche 911 generasi baharu ini berkemungkinan besar dibina atas platform asas yang sama seperti model generasi 991, meskipun mempunyai pelbagai modifikasi. Enjinnya pula, mungkin juga sama – unit enam silinder 3.0 liter twin-turbo seperti pada 991 facelift, tetapi ditingkatkan kuasanya bersama transmisi manual tujuh kelajuan dan automatik PDK. Model GT3 dan GT3 RS mungkin menyusul selepas itu.

    GALERI: Spyshot Porsche 911 Cabriolet generasi seterusnya

    GALERI: Spyshot Porsche 911 Coupe generasi seterusnya

     
     
  • Nissan NV Cargo X – dari van komersial ke off-road

    Nissan NV Cargo X – dari van komersial ke off-road

    Jika sebuah van panel digunakan untuk tujuan pengangkutan sektor komersial atau perdagangan, itu perkara biasa, kerana ia memang direka sedemikian. Tetapi, jika van panel yang sama diubah suai untuk menjadi sebuah jentera off-road, itu agak luar biasa.

    Inilah yang dilakukan oleh Nissan, ketika membangunkan sebuah van khas untuk sebuah rancangan televisyen X-treme Off-Road; ia dikenali sebagai Nissan NV Cargo X. Diasaskan daripada van kargo komersial NV 2500HD, yang kemudiannya dimodifikasi dengan agak “berat”.

    Bahagian dari model asal yang masih digunakan antaranya ialah badannya serta kerangka. Selebihnya, banyak komponen dan elemen sudah di”salin”. Enjin misalnya; versi modifikasi ini menggunakan enjin dari model Titan XD – enjin Cummins 5.0 liter V8 diesel. Janaan kuasanya? 310 hp dan 752 Nm tork. Transmisi pula menggunakan unit yang sama dari model Titan, automatik enam-kelajuan dan sistem pacuan 4WD.

    Nissan NV Cargo X – dari van komersial ke off-road

    The Nissan NV Cargo X project vehicle.

    Sistem gantungan atau suspensi juga diberikan talaan baru. Di bahagian belakang, Nissan menggunakan jenis leaf-spring tugasan berat. Bahagian depan pula digantikan dengan suspensi jenis coil spring. Ini memberikan tambahan ketinggian untuk memuatkan tayar off-road 37 inci yang digunakan ini. Ia juga memiliki kelegaan tanah sehingga 22 inci.

    Aksesori off-road juga perlu ada, untuk membolehkannya digunakan pada permukaan yang mencabar, dan bukan sekadar dipenuhi hiasan kosmetik. Auxiliary light LED ada tiga – pada bahagian depan dan A-pillar. Bampar dibuat menggunakan tiub kerangka keras dan dilengkapi juga dengan skid plate.

    Di bahagian dalam, ruang kargo van ini menempatkan tayar saiz penuh 37 inci, peralatan menyelamat, high lift jack, pengimpal, serta mesin pemampat udara. Walaupun bukan merupakan sebuah model produksi rasmi oleh Nissan, van cargo off-road ini akan turut dipamerkan sepanjang berlangsungnya Chicago Auto Show nanti.

     
     
  • VIDEO: Honda CR-V, selebriti dalam iklan Super Bowl

    Untuk Super Bowl LI yang akan datang, Honda bakal menayangkan iklan komersial baharu berjudul ‘Yearbooks’, bagi memperingatkan penonton tentang “The Power of Dreams”.

    Iklan berdurasi 60 saat ini turut menampilkan kehidupan awal selebriti termasuk Amy Adams, Steve Carell, Viola Davis, Missy Elliott, Tina Fey, Earvin “Magic” Johnson, Jimmy Kimmel, Stan Lee dan Robert Redford, iaitu sebelum nama mereka dikenali ramai.

    Setiap selebriti turut menggunakan suara mereka sendiri dengan menceritakan kejayaan mereka, seperti yang anda boleh dengar menerusi klip video ini. Malahan ia juga boleh dijadikan sebagai motivasi bagi kita yang inginkan mencapai impian seperti mana yang kita harapkan.

    Malahan kejayaan ini turut dikongsikan oleh salah satu model Honda iaitu CR-V. Sejak ia dipasarkan di Amerika Syarikat pada tahun 1997, CR-V menjadi SUV terlaris di sana. Model serba baharunya iaitu daripada generasi ke-lima juga telah diperkenalkan. Ia hadir dengan penampilan yang lebih menonjol, matang sekali gus lebih premium.

    VIDEO: Honda CR-V, selebriti dalam iklan Super Bowl

    “Sejak diperkenalkan pada tahun 1997, CR-V telah menetapkan standard bagi penjimatan, praktikaliti dan keseronokan pemanduan, sekali gus menjadi kegemaran pada pelanggan serta berjaya menerima pengiktirafan sebagai SUV terlaris di Amerika hampir dua dekad lalu,” ujar Susie Rossick, penolong timbalan presiden Honda Auto Marketing.

    Katanya lagi, bagi meraikan model serba baharu, CR-V generasi ke-lima, pihaknya mahu berkongsi cerita yang penuh inspirasi buat kehidupan yang lebih bermakna berkenaan The Power of Dreams.

    Di USA, CR-V ditawarkan dengan dua enjin petrol iaitu 2.4 liter DOHC i-VTEC empat-silinder dan 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder. Kedua-dua enjin turut dipadankan dengan CVT, dan ditawarkan sama ada dengan pacuan dua- atau empat-roda. Malah SUV ini juga menerima banyak pembaharuan termasuk lebih banyak elemen keselamatan dan bantuan pemanduan.

    GALERI: Honda CR-V 2017 (spesifikasi USA)

     
     
  • GALERI: Helmet apakah yang dipakai oleh pelumba MotoGP semasa hari ujian rasmi di Litar Sepang?

    GALERI: Helmet apakah yang dipakai oleh pelumba MotoGP semasa hari ujian rasmi di Litar Sepang?

    Di Malaysia ini, peminat helmet memang cukup ramai. Ada yang membeli bukan setakat untuk dipakai, malah juga disimpan kerana rekaannya yang unik dan keluaran edisi terhad. Sudah tentu, yang kerap menjadi kegilaan adalah model yang dipakai oleh nama-nama besar dalam dunia perlumbaan.

    Beberapa hari lepas, di Litar Antarabangsa Sepang telah berlangsung sesi ujian rasmi untuk pasukan yang akan berlumba dalam MotoGP. Selain jentera yang masih dalam pembangunan dan pertukaran pelumba dalam pasukan tertentu yang menyebabkan setiap pasukan bekerja keras, tumpuan turut diberikan kepada rekaan helmet yang akan digunakan musim ini.

    GALERI: Helmet apakah yang dipakai oleh pelumba MotoGP semasa hari ujian rasmi di Litar Sepang?

    Rossi contohnya, kali ini menggunakan rekaan salji selari dengan konsep ‘winter test’ pada helmet model AGV Pista R dan grafiknya melibatkan gambaran kampung beliau di Tavullia, Itali.

    Walaubagaimanapun, kami lebih tertarik dengan bentuk helmet Shark Race R Pro yang dipakai oleh Jorge Lorenzo, Scott Redding dan Sam Lowes, di mana ia mempunyai penutup angin belakang penuh untuk memastikan aerodinamik terbaik dan panjang ke belakang.

    Bagaimana pula dengan anda? Ada rekaan tertentu yang nampak menarik di mata anda?

     
     
  • Lebuhraya MEX II mula dibina – dijangka siap 2019

    Lebuhraya MEX II mula dibina – dijangka siap 2019

    Lebuhraya Maju (MEX) II telah pun mula dibina, berhampiran dengan tol Putrajaya. Ia dijangka siap menjelang tahun 2019, bakal memendekkan lagi jarak antara Kuala Lumpur ke KLIA/KLIA2. MEX II bernilai RM800 juta ini adalah sepanjang 18 kilometer dengan tiga lorong bagi setiap hala, turut menghubungkan Putrajaya dan Cyberjaya.

    Selain itu, ia juga adalah laluan utama yang menghubungkan MEX I (E20) ke Lebuhraya KLIA (FT26) di Sepang dan akan turut mempunyai laluan masuk/keluar dari Lebuhraya KLIA (FT26) dari/ke MEX serta boleh menjadi laluan alternatif bagi pengguna dari Putrajaya ke KLIA atau sebaliknya.

    Bagi melalui MEX II, pengguna boleh juga melalui jalan alternatif iaitu dari jalan persekutuan (FT 29) menerusi Dengkil, Lebuhraya ELITE dan PLUS.

     
     
  • BMW dedah dua model edisi istimewa i8 untuk Geneva

    Untuk Geneva Motor Show 2016, BMW telah memperkenalkan edisi istimewa bagi i8 yang dikenali sebagai Protonic Red Edition yang tampil dengan keunikan gayanya. Bagi acara yang sama untuk tahun ini, pengeluar kenderaan dari Jerman ini akan memperkenalkan pula dua model edisi istimewa juga bagi i8 iaitu Protonic Frozen Black Edition dan Protonic Frozen Yellow Edition.

    Kedua-duanya akan diproduksi dalam jumlah unit yang terhad, dan menampilkan warna kekemasasan luaran BMW Individual, bersama sentuhan metalik Frozen Grey. Ia juga akan dipadankan dengan roda yang lebih ringan BMW jejari-W 470 20-inci yang diwarnakan dengan tona metalik Orbit Grey.

    Di dalamnya, kedua-dua model Protonic Edition turut didatangkan dengan jahitan kontra kuning pada beberapa bahagian permukaan termasuk tempat duduk, konsol tengah, panel sisi, panel permukaan pintu, alas lantai dan juga seksyen bawah pada panel instrumen.

    Selain itu, ia turut menampilkan headliner berwarna anthracite, tali pinggang keledar berwarna kelabu, tuil pemilihan gear dan iDrive Controller dan yang berlainan dan ambang pintu dengan tulisan “Edition” yang telah memberikan sentuhan yang unik buat kedua-dua model ini.

    Walau bagaimana pun, ia masih mengekalkan penjana kuasa plug-in hybrid yang sama iaitu enjin petrol 1.5 liter BMW TwinPower Turbo tiga-silinder, motor elektrik dan pek bateri lithium-ion.

    BMW i8 Protonic Frozen Black Edition

    BMW i8 Protonic Frozen Yellow Edition

     
     
  • Harga bahan api dijangka naik lagi dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang – penganalisis

    Harga bahan api dijangka naik lagi dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang – penganalisis

    Mungkin ini bakal menjadi berita yang ‘mendukacitakan’ buat kita semua. Menurut laporan yang disiarkan oleh Sinar Harian dan Sin Chew Jit Po, jika dilihat berdasarkan perkembangan ekonomi masa kini, harga runcit bagi petrol dan diesel dijangka akan terus meningkat dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.

    Menurut pakar ekonomi yang juga Ketua Khidmat Rundingan Cukai dan Kewangan Great Vision Advisory Group, Datuk Chua Tia Guan yang meramalkan keadaan ini, terdapat dua punca utama kenaikan harga minyak di Malaysia. Pertama, didorong oleh kenaikan harga minyak mentah di negara kita dan faktor kedua pula melibatkan kadar pertukaran nilai mata ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

    “Kerajaan kita telah menetapkan harga runcit minyak petrol dan diesel bergantung kepada apungan terurus melalui harga purata bulanan pasaran minyak dunia, manakala harga minyak mentah adalah dikira dengan dolar Amerika Syarikat.

    “Oleh itu, saya nasihatkan pengguna agar bersiap sedia menghadapi situasi yang lebih mencabar lagi dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang,” ujar Tia Guan.

    Dalam masa yang sama, beliau turut mengharapkan agar kerajaan lebih bersikap prihatin dengan masalah rakyat yang dibebani dengan kenaikan harga minyak ini.

    “Negara kita adalah negara pengeluar minyak. Kerajaan perlu menggunakan sumber pendapatan daripada hasil minyak mentah ini untuk menyediakan pelbagai infrastruktur, seperti sekolah dan jalan raya untuk kemudahan rakyat jelata.

    “Ketika kebanyakan harga barang telah naik, kerajaan seboleh-bolehnya perlu menyediakan subsidi ataupun bantuan kewangan agar dapat mengurangkan bebanan rakyat, khasnya golongan berpendapatan rendah,” katanya lagi.

     
     
  • Anugerah Kereta Terbaik Dunia 2017: Senarai finalis diumumkan bagi 6 kategori yang dipertandingkan

    Baru sahaja melangkah masuk suku pertama 2017, Anugerah Kereta Terbaik Dunia 2017 telah pun mengeluarkan senarai penuh bagi finalis setiap kategori untuk acara automotif berprestij ini.

    Untuk tahun ini, semua pengeluar kenderaan berpeluang menyertai enam kategori yang dipertandingkan iaitu Kereta Tahunan Terbaik, Kereta Mewah Terbaik Dunia, Kereta Prestasi Terbaik Dunia, Kereta Mesra Alam Sekitar Terbaik Dunia, Kereta Rekaan Terbaik Dunia dan Kereta Urban Terbaik Dunia yang merupakan kategori terbaharu untuk penganugerahan bagi bagi tahun ini.

    Seramai 75 individu yang terdiri daripada wartawan automotif antarabangsa telah dilantik sebagai juri, yang akan menilai setiap calon sebelum undian dilakukan.

    Finalis ‘top three’ akan disenarai pendek bagi setiap kategori ketika di Geneva Motor Show, dan ia hanya akan didedahkan di New York International Auto Show pada April ini.

    Tahun lalu, Mazda telah membawa pulang tenpat yang paling tertinggi apabila MX-5 terpilih sebagai Kereta Terbaik Dunia 2016, menyingkirkan B9 Audi A4 dan Mercedes-Benz GLC. Malah model roadster terbabit juga merangkul anugerah Kereta Rekaan Terbaik Dunia pada tahun yang sama. Lain-lain pemenang pada 2016 termasuklah Audi R8 Coupe (anugerah Kereta Prestasi Terbaik Dunia), G11 BMW 7 Series (anugerah Kereta Mewah Terbaik Dunia) dan Toyota Mirai (anugerah Kereta Mesra Alam Sekitar Terbaik Dunia).

    Senarai finalis bagi setiap kategori adalah seperti berikut:

    Kereta Tahunan Terbaik Dunia 2017

    Kereta Mewah Terbaik Dunia 2017

    Kereta Prestasi Terbaik Dunia 2017

    Kereta Mesra Alam Sekitar Terbaik Dunia 2017

     
     
  • Subaru Legacy 2018 tampil dengan imej lebih agresif

    Subaru Legacy 2018 tampil dengan imej lebih agresif

    Selain Hyundai yang tampil dengan model Elantra GT 2018, Subaru turut akan memperkenalkan model Legacy 2018 yang diberikan kemaskini dan peningkatan yang ketara berbanding versi terdahulu di Chicago Auto Show yang akan dibuka secara rasmi 9 Februari nanti.

    Subaru Legacy 2018 kini hadir dengan penampilan luaran yang lebih sporty dan bergaya, meminjam pendekatan rekaan luaran yang sama dengan model Impreza terkini. Ia dijangka akan mula dijual pada musim panas nanti untuk pasaran Amerika Syarikat. Bagaimanapun, maklumat lanjut berkaitannya masih lagi belum didedahkan.

    Versi terbaru ini hadir dalam rekaan yang lebih agresif dan menonjol berbanding versi lamanya. Wajah bahagian depannya menerapkan rekaan bersegi dibahagian sisi untuk menempatkan lampu kabus LED sebagai pilihan.

    Gril pula kekal dalam reka bentuk yang sama, dengan bahagian logo jenamanya kini lebih terang dan jelas. Lampu utama dengan rekaan tajam menambah keunikaan pada penampilan terkininya. Perubahan di bahagian belakang pula tidak begitu ketara; antaranya ialah bentuk hujung ekzos yang baru yang bersekali dengan bahagian bampar.

    Di bahagian dalam, Subaru menggunakan material yang lebih berkualiti tinggi, memberikan perubahan yang nampak jelas. Aspek penebat bunyi juga diberi pembaharuan, menjadikan ruang kabin kini lebih senyap. Selain itu, rekaan bahagian tengah juga lebih elegan; paparan suhu digital pada tombol sistem HVAC.

    Skrin paparan sistem infotainmen kini lebih besar; dari 6.2 inci kepada 6.5 inci. Ia juga kini hadir dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto. Sebegai pilihan, skrin lapan inci dengan sistem navigasi juga akan ditawarkan. Bagi kemudahan penumpang di belakang, sepasang port USB turut disediakan pada bahagian konsol tengah.

    Kemaskini pada Subaru Legacy 2018 bagaimanapun tidak melibatkan bahagian enjin. Barisan yang ditawarkan termasuk enjin boxer 2.5 liter empat-silinder dengan kuasa 175 hp dan 236 Nm tork. Selain itu, enjin 3.6 liter enam-silinder yang menjana 256 hp dan 335 Nm turut tersedia untuk dipilih.

    Bagaimanapun, Subaru mendakwa akan menggunakan perisian talaan baru bagi CVT standard untuk menjadikannya lebih responsif dan memberi pecutan lebih lancar. Turut diberikan pembaharian ialah aspek talaan penyerap hentak serta stereng kuasa elektrik. Ciri torque-vectoring pacuan semua roda masih kekal.

    Tambahan lain ialah ciri sistem tinjauan tekanan bagi semua tayar. Lampu utama LED yang responsif terhadap input stereng juga ada sebagai pilihan. Bagi memudahkan pemanduan waktu malam, ciri EyeSight dengan lampu tinggi automatik turut melengkapi versi Limited. Maklumat lanjut berkenaan kereta ini akan dipaparkan sebaik ia didedahkan secara rasmi kelak.

     
     
  • Tata tubuhkan satu lagi jenama di bawahnya – TAMO

    Tata tubuhkan satu lagi jenama di bawahnya – TAMO

    Sebagai satu langkah utama pelan transformasi untuk kenderaan penumpangnya, Tata Motors memperkenalkan satu lagi jenama kenderaan iaitu TAMO. Ia akan bertindak sebagai pusat inovasi ke arah teknologi baharu, model perniagaan dan kerjasama bagi menetapkan penyelesaian mobiliti masa hadapan.

    Pada peringkat awal ini, TAMO akan beroperasi untuk pembangunan model yang berjumlah kecil dan menggunakan pelaburan yang rendah. Selain itu, ia juga akan bertindak sebagai platform terbuka untuk kerjasama dengan syarikat start-up global, dan syarikat teknologi terkemuka untuk model masa hadapan yang berinovasi.

    “Pengenalan TAMO akan membantu kami mereka bersama suasana automotif India dengan membawa teknologi dan konsep mobiliti baharu sebagai satu ekosistem yang baharu dalam pasaran,” kata pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif Tata Motors, Guenter Butschek.

    Produk pertama yang membawa nama TAMO ini akan membuat penampilan pertama semasa Geneva Motor Show Mac nanti dan ia dijangka merupakan sebuah kereta sports dua tempat duduk keluaran terhad dan akan berada di pasaran pada tahun 2018.

     
     
  • Hyundai Elantra GT 2018 dalam imej teaser, dari i30

    Hyundai Elantra GT 2018 dalam imej teaser, dari i30

    2018 Elantra GT

    Chicago Auto Show 2017 bakal berlangsung minggu depan, dan beberapa pengeluar akan memperkenalkan model kenderaan terbaru mereka, setidak-tidaknya untuk pasaran di Amerika Syarikat. Jenama berasal dari Korea Selatan, Hyundai juga tidak ingin ketinggalan; syarikat itu bakal memperkenalkan model Hyundai Elantra GT 2018.

    Namun, ia bukanlah sebuah model yang benar-benar baru. Ia merupakan model rebadge dari model Hyundai i30, dengan kelainan kemasan tentunya, yang pertama kali dipertontonkan ketika Paris Motor Show, tahun lalu. Menjelang pengenalan berkenaan, beberapa imej teaser mula didedahkan kini.

    Antara yang diketahui setakat ini ialah gril GT yang melengkapinya, stereng, shifter serta butang Start untuk enjin. Ia antara lain diberikan kemasan serta benang warna merah, berkemungkinan bakal ditawarkan sebagai model Sport yang mirip Elantra sedan.

    Bagi enjin, ia dipercayai akan menggunakan enjin 1.6 liter empat silinder, dengan janaan kuasa 201 hp dan 264 Nm. Setakat ini masih belum dapat dipastikan sama ada model ini akan menerima peningkatan dari segi talaan suspensi seperti Elantra Sport. Ia digandingkan dengan transmisi manual enam-kelajuan, sebagai tambahan pilihan kepada versi klac berkembar. Model asasnya mungkin akan menggunakan enjin 2.0 liter empat-silinder dengan kuasa 147 hp.

    Hyundai Elantra GT 2018 akan menyaingi model-model lain seperti Chevy Cruze, Ford Focus, Honda Civic, Kia Forte5, Mazda3 dan Subaru Impreza. Maklumat lanjut berkaitan model ini dijangka akan didedahkan pada 9 Februari nanti, ketika penampilan sulungnya di Chicago.

     
     
  • Grab labur RM3b untuk perkhidmatannya di Indonesia

    Grab labur RM3b untuk perkhidmatannya di Indonesia

    Penyedia perkhidmatan perkongsian kenderaan atas talian, Grab, memutuskan untuk membuat perlaburan yang begitu besar bagi pasaran Indonesia dengan modal berjumlah USD$700 juta (RM3 bilion) untuk tempoh empat tahun akan datang. Indonesia merupakan pasaran Grab yang terbesar di Asia Tenggara, dengan perniagaan GrabCar dan GrabBike meningkat melebihi 600% pada tahun 2016.

    Perlaburan ini diletakkan di bawah perancangan utama “Grab 4 Indonesia” 2020 turut menyaksikan perkembangan perkhidmatan ini di lebih banyak bandar, termasuk Jakarta, Bali, Bandung, Padang, Makassar, Medan, Surabaya dan Yogyakarta, laporan The Star.

    Antara perancangan yang bakal dilaksanakan termasuklah membuka pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) Grab di Jakarta dan menambah baik sistem pembayaran dalam talian.

    “Sebagai perkhidmatan perkongsian kenderaan dalam talian terbesar di Asia Tenggara, kami nekad dengan melaburkan sejumlah kos ini bagi memperkembangkan lagi perkhidmatan Grab di Indonesia. Malahan kami melihat potensinya di sana, selain dapat membantu membina serta memajukan infrastruktur digital dan ekosistem negara tersebut,” ujar Anthony Tan selaku pengasas dan CEO Kumpulan Grab.

    Katanya lagi, Grab mensasar untuk melantik lebih 150 jurutera dalam tempoh dua tahun akan datang untuk pusat R&D tersebut. Di sana, ia akan memfokuskan pembangunan inovasi termasuk algoritma menangani peraturan-peraturan jalan baharu di Jakarta dan GrabHitch (Nebeng), mempertingkatkan perkhidmatan perkongsian motosikal dan sebagainya.

    Selain itu, syarikat ini juga mahu mempertingkatkan akses untuk pembayaran dalam talian serta tunai, termasuk terus bekerjasama dengan Mandiri.

    Buat setakat ini, Grab telah menjana lebih US$260 juta untuk rakan pemandunya di Indonesia.

    Sejak diperkenalkan pada tahun 2012, Grab telah memiliki lebih 630,000 pemandu dan 33 juta muat turun di rantau Asia Tenggara.

     
     
  • Beberapa jalan ditutup secara berperingkat di Georgetown mulai 8 Feb ini sempena Thaipusam

    Beberapa jalan ditutup secara berperingkat di Georgetown mulai 8 Feb ini sempena Thaipusam

    Sempena dengan Thaipusam yang bakal disambut pada 9 Februari ini, beberapa jalan di Georgetown, Pulau Pinang, akan ditutup secara berperingkat mulai sehari sebelum hari perayaan tersebut bagi memberi laluan kepada perarakan pedati perak dan emas, laporan Bernama.

    Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid, antara laluan yang terlibat ialah Lebuh Queen/Penang, Lebuh Chulia, Gat Lebuh Chulia, Lebuh Victoria, Gat Jalan Prangin, Jalan C.Y Choy, Jalan Magazine, Jalan Datuk Keramat, Jalan Utama dan Jalan Air Terjun bagi perjalanan pergi.

    Bagi perjalanan pulang pula membabitkan Jalan Air Terjun, Jalan Gottlieb, Jalan Tun Abdul Rahman, Jalan Cantoment, Jalan Macalister, Jalan Anson, Jalan Burma, Jalan Transfer, Jalan Sri Bahari, Jalan Penang, Jalan Campbell, Lebuh Buckingham, Jalan Masjid Kapitan Keling, Lebuh Chulia, Lebuh Queen, Lebuh Pasar, Lebuh Penang, Lebuh China dan Lebuh Pantai, katanya.

    “Pada tahun ini ada sedikit perbezaan dengan pertambahan satu lagi pedati iaitu pedati emas. Kedua-dua pedati ini akan bergerak pada 8 Feb ini. Pedati perak akan bergerak dari kuil di Lebuh Penang pada pukul 7 pagi dan pedati emas akan bergerak lebih awal dari kuil Lebuh Queen pada pukul 5 pagi.

    “Perjalanan perarakan itu biasanya lama walaupun laluannya tidak jauh dengan laluan pergi 6.5 km dan laluan balik 7.6 km. Kami akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada kedua-dua pedati ini dalam memastikan perjalanan mereka selamat,” katanya dalam sidang media semalam.

    Mior Faridalathrash menasihatkan orang ramai yang ingin melalui kawasan-kawasan berkenaan supaya mematuhi arahan anggota polis yang bertugas.

    Beliau berkata tahun ini pihaknya menambah keanggotaan yang akan ditugaskan mengawal keselamatan semasa perayaan Thaipusam yang dijangka dihadiri kira-kira 1.5 juta pengunjung.

     
     
  • Malaysia rugi RM9.2 bilion akibat kemalangan jalan raya sepanjang tahun lalu, lebih tinggi dari 2015 – Liow

    Malaysia rugi RM9.2 bilion akibat kemalangan jalan raya sepanjang tahun lalu, lebih tinggi dari 2015 – Liow

    Selain korban nyawa dan kecederaan individu, kemalangan jalan turut melibatkan kos kewangan yang bukan kepalang; tahun lalu sahaja Malaysia kerugian kira-kira RM9.2 bilion kerananya, menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

    “Kami memandang serius perkara ini. Malaysia perlu pupuk budaya keselamatan, tidak hanya di kilang-kilang tetapi lebih penting, ketika di atas jalan raya,” ujar Liow di dalam satu wawancara radio, seperti dilaporkan The Star.

    Berdasarkan laporan terkini Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), beliau menyatakan angka itu mencatatkan peningkatan sebanyak RM581.3 juta berbanding tahun 2015.

    Miros menganggarkan nyawa yang terkorban dalam kemalangan menyumbang kerugian sebanyak RM1.2 juta kepada negara, RM120,000 bagi kecederan parah manakala RM12,000 bagi kecederaan ringan dalam bentuk kos rawatan, kehilangan produktiviti serta tanggungan lain yang berkaitan.

    Tahun lalu, sebanyak 7,152 nyawa terkorban di jalan raya, di dalam 521,466 kemalangan yang dilaporkan. Kadar kematian akibat kemalangan juga meningkat sebanyak 2.59 orang bagi setiap 10,000 kenderaan yang didaftarkan tahun lalu, berbanding 2.55 orang pada 2015.

    Liow turut menambah, kementeriannya sedang mempertimbangkan untuk melantik Japan International Cooperation Agency (JICA) bagi menjalankan kajian mendalam untuk memperbaiki aspek keselamatan jalan raya di Malaysia.

    Tahun lalu, JICA menjalankan kajian di tiga negara Asean; Myanmar, Malaysia dan Thailand. Daripada pemerhatian itu, Malaysia mencatatkan jumlah kemalangan trafik tertinggi bagi setiap kenderaan yang dimiliki, kemungkinan besar disebabkan oleh jumlah motosikal yang banyak di negara ini.

    Menjelang 2020, Liow berharap kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia dapat dikurangkan kepada 2 orang bagi setiap 100,000 kenderaan yang didaftarkan.

     
     
  • Abdul Rashid Musa dilantik menerajui Proton Edar

    Abdul Rashid Musa dilantik menerajui Proton Edar

    Proton Holdings Berhad mengumumkan pelantikan Abdul Rashid Musa sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd (PESB) yang baru, bermula 1 Februari. Beliau menggantikan Rohime Shafie, yang kini menyandang jawatan Ketua Automotif, Bahagian Pengedaran Automotif dan Pembuatan & Kejuruteraan.

    Rashid mempunyai pengalaman lebih daripada 27 tahun di dalam bidang automotif. Memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Malaya pada tahun 1989, Rashid antara lain pernah terlibat di dalam bidang pembuatan, penyelidikan & pembangunan serta pengurusan, malah beliau juga merupakan seorang yang kuat menyuarakan aspek keselamatan penumpang.

    Sebelum pelantikan ini, beliau bertugas Ketua Pegawai Teknikal Proton, yang bertanggungjawab antara lain di dalam membangunkan empat model baru yang diperkenalkan sepanjang 2016. Beliau juga merupakan ahli Lembaga Pengarah di beberapa anak syarikat PROTON dan memimpin beberapa syarikat di bawah kumpulan DRB-Hicom.

    Dengan pelantikan ini, Proton yakin Rashid mampu untuk terus menerajui PESB bagi meneruskan sasaran pertumbuhan dalam meningkatkan penguasaan pasarannya. Dengan memanfaatkan latar belakang teknikal beliau, ia akan dapat menyumbang ke arah pelan penambah baikan rangkaian terutama dalam meningkatkan mutu perkhidmatan selepas jualan Proton.

    PESB merupakan anak syarikat milik penuh PROTON, yang terlibat dalam pengedaran kereta Proton dan menyediakan jualan dan perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggan.

     
     
  • VIDEO: Sejarah lebih 30 tahun motosikal Suzuki GSX-R

    VIDEO: Sejarah lebih 30 tahun motosikal Suzuki GSX-R

    Semasa melayari internet, kami terjumpa dengan video ini, yang menceritakan sejarah berkenaan motosikal sport Suzuki GSX-R, yang bermula pada tahun 80-an sehinggalah kini, dengan model tahun 2017 juga dikatakan akan tiba di Malaysia. Walaupun bukanlah baru, mungkin ada penggemar motosikal yang masih belum menonton video yang cukup menarik ini.

    Di dalamnya, anda akan dapat melihat antaranya bagaimana idea untuk menghasilkan GSX-R diutarakan buat pertama kalinya, sedangkan Suzuki dianggap sebagai sebuah pengeluar motosikal yang cukup berhati-hati dan cukup konvensional. Ini seterusnya diikuti dengan temu ramah santai dengan beberapa individu awal yang terlibat dalam pembangunan GSX-R 750 pada tahun 80-an.

    Selepas menemui pasaran, GSX-R diterima baik dan mula menunjukkan prestasi di dalam dunia perlumbaan, bukan sahaja di Jepun, malah seluruh dunia. Daripada pencapaian ini juga, penghasilan model-model GSX-R baharu diteruskan pada tahun-tahun berikutnya dengan penambahan teknologi dan prestasi.

    Adakah anda antara orang yang mempunyai pengalaman bersama Suzuki GSX-R? Jika ya, video ini mungkin menggamit kembali memori lama dan membuatkan anda cukup bangga pernah memilikinya.

     
     
  • Nombor pendaftaran khas RIMAU sempena dengan Sukan SEA 2017 – dijangka bidaan dibuka Mac ini

    Nombor pendaftaran khas RIMAU sempena dengan Sukan SEA 2017 –  dijangka bidaan dibuka Mac ini

    Menerusi laman Facebook yang didaftarkan di bawah nama RIMAU PLAT, telah mula menguar-uarkan nombor pendaftaran khas RIMAU, iaitu sempena dengan temasya Sukan Sea yang ke-29 pada Ogos ini. Bakal dibuka bidaannya pada Mac ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah pun meluluskan
    nombor pendaftaran khas RIMAU 1 hingga RIMAU 9999, yang dikendalikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai penganjur temasya sukan berprestij tersebut.

    Nombor pendaftaran ini yang menggunakan nama RIMAU adalah sempena pemilihan harimau sebagai maskot utama Sukan SEA. Malahan ia juga adalah bagi menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-60. Kami cuba untuk melayari laman web yang tertera menerusi Facebook terbabit iaitu rimau.org.my, walau bagaimana pun, ia tidak berfungsi. Namun difahamkan, tarikh sebenar permulaan tender bagi bidaan yang akan dilakukan secara dalam talian (E-BIDA) akan diumumkan kelak.

     
     
  • Tujuh jenama kenderaan paling berharga di dunia – Toyota, Honda, Mercedes, BMW masuk dalam senarai

    Tujuh jenama kenderaan paling berharga di dunia – Toyota, Honda, Mercedes, BMW masuk dalam senarai

    Tujuh pengeluar kenderaan telah mendapat tempat dalam senarai 100 jenama paling berharga bagi tahun 2016 yang dikeluarkan oleh Brand Finance Global 500. Menurut Brand Finance, nilai bagi setiap jenama dikira dengan menganggarkan kemungkinan jualan masa hadapan yang boleh dicapai, dan mengira kadar royalti yang akan dikenakan untuk menggunakan jenama tersebut.

    Kehadiran jenama automotif dalam senarai ini dimulakan oleh Hyundai yang berada di tempat ketujuh, dengan nilai jenama USD19.975 bilion (RM88.489 bilion), meskipun menunjukkan kejatuhan nilai jenama sebanyak 16 peratus daripada tahun 2016. Seterusnya di tangga keenam adalah Honda, dengan peningkatan 10 peratus, menjadi USD21.318 bilion (RM94.439 bilion). Kedudukan Honda walaubagaimanapun turun tiga tangga berbanding dalam senarai Brand Finance tahun sebelumnya.

    Pengeluar kenderaan dari Amerika, Ford berada di tempat kelima, dengan nilai jenama USD22.432 bilion (RM99.374 bilion), dan adalah peningkatan sebanyak 13 peratus. Ini diikuti oleh Volkswagen, yang dilihat semakin bertambah pulih dengan peningkatan nilai sebanyak 32 peratus, seterusnya meletakkan jenama Jerman ini di kedudukan 41 secara keseluruhan, dengan nilai USD25 bilion (RM111 bilion).

    Tujuh jenama kenderaan paling berharga di dunia – Toyota, Honda, Mercedes, BMW masuk dalam senarai

    Terletak di antara tempat ketiga dan keempat adalah Mitsubishi, kerana kedudukan yang dicatat adalah untuk Mitsubishi Group, yang sebenarnya mempunyai pelbagai perniagaan termasuk antaranya industri jentera berat, servis kewangan dan penerbangan. Mitsubishi Motors walaubagaimanapun tidak termasuk dalam senarai 100 teratas ini.

    Di tempat ketiga adalah Mercedes-Benz dengan nilai USD35.544 bilion (RM157.798 bilion), menunjukkan peningkatan 11 peratus berbanding tahun sebelumnya. Di tempat kedua, dan 17 secara keseluruhan adalah BMW dengan catatan nilai USD37.124 bilion (RM164.812 bilion) dan peningkatan sebanyak 6 peratus. Kedudukan keseluruhan BMW walaubagaimanapun turun dua tangga.

    Paling atas bagi jenama automotif adalah Toyota, dengan nilai jenama USD46.255 bilion (RM205.349 bilion), hasil daripada peningkatan sebanyak 7 peratus, walaupun kedudukan keseluruhannya turun satu tangga kepada tempat ke-12.

    Penghargaan khas diberikan kepada Uber, walaupun ia bukanlah satu jenama automotif yang terlibat dalam perniagaan pengeluaran kenderaan. Syarikat penyedia servis pengangkutan ride-sharing ini dinilaikan pada USD14.596 bilion (RM64.799 bilion), dan adalah meningkat 16 tangga dalam carta keseluruhan, dengan 32 peratus peningkatan nilai.

     
     
  • Mercedes-AMG E63 Estate diperkenal – kuasa 612 hp

    Mercedes-AMG E63 Estate diperkenal – kuasa 612 hp

    Tidak lama selepas BMW memperkenalkan 5 Series Touring, Mercedes-Benz juga mengeluarkan senjata mereka, wagon yang dinamakan Mercedes-AMG E 63 4Matic+ Estate. Ini bukanlah sebuah wagon biasa, malah padat dengan 571 hp dan 750 Nm tork, datang daripada enjin V8 4.0 liter twin-turbo dan disampaikan kepada semua tayar melalui transmisi automatik AMG Performance 4Matic+, dengan pembahagian tork boleh ubah, menghasilkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat sahaja.

    Jika itu tidak mencukupi, varian E 63 S turut disediakan dengan kuasa sebanyak 612 hp dan tork 850 Nm, menjadikan pecutan 0-100 km/j sepantas 3.5 saat. Huruf S tersebut juga datang dengan mod drift pada sistem transmisi 4Matic+ kenderaan ini, di mana hanya roda belakang sahaja yang akan berpusing.

    Bagi memsatikan semua kuasa ini dapat disampaikan ke atas jalan dengan cekap, suspensi udara AMG multi-chamber digunakan, menampilkan gandar depan empat sambungan dengan wishbone, strut rod dan sambungan spring forged aluminium, serta kawalan roda dan bahagian suspensi berasingan untuk penyerap hentakan lateral dan pengemudian tork rendah. Gandar belakang juga direka semula sepenuhnya.

    Mercedes-AMG E63 Estate diperkenal – kuasa 612 hp

    Spring serta penyerap yang lebih sporty digunakan untuk kawalan lebih baik, dengan kekerasan spring tersebut boleh dilaras secara berasingan, bergantung kepada program pemanduan yang dipilih pada AMG Drive Select (Comfort, Sport, Sport Plus, Individual) dan status pemanduan semasa. Kadar spring ini juga boleh keras secara automatik sekiranya terdapat perubahan beban mendadak, mengambil selekoh dengan laju, pecutan mendadak atau brek secara mengejut.

    Penyerapan boleh ubah secara terus ini juga bergantung pada sistem AMG Drive Select, dengan tahap lantunan dan mampatan boleh dilaras secara berasingan, memberikan ruang lebih luas antara kuasa penyerapan maksimum dan minimum. Ini membawa maksud beza di antara setiap mod adalah lebih jelas dan diperhalusi. Turut diperlengkapkan adalah stereng sports elektromekanikal dengan nisbah boleh ubah dan boleh bertindak terhadap kelajuan.

    Pada bahagian belakang, E 63 dilengkapkan dengan limited-slip differential secara standard, manakala versi S ditambah dengan unit yang boleh dikawal secara elektronik untuk kawalan lebih proaktif dan lebih sensitiviti. Turut diberikan pada versi S adalah tapak enjin dinamik dan cakera brek hadapan lebih besar iaitu 390 mm (kereta standard hanya menggunakan cakera 360 mm). Cakera brek gentian seramik 402 mm untuk bahagian hadapan disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Mercedes-AMG E63 Estate diperkenal – kuasa 612 hp

    Semua prestasi kenderaan ini diserlahkan pada bahagian luarannya, bermula dengan lengkuk roda hadapan selebar 27 mm, menyembunyikan jarak roda yang lebih lebar dan rim lebih besar. Bahagian hadapan E 63 adalah khas untuk modelnya sahaja, dengan adanya sisip bonet, gril dua bar dan salur udara yang mendapat inspirasi daripada sayap jet. Skirting tepi yang lebih dalam dan diffuser belakang yang lebih lebar bersama empat muncung ekzos menambah lagi ciri agresif kenderaan ini.

    Di dalam pula, E 63 boleh dikenali dengan adanya roda stereng prestasi AMG yang dibalut kulit Nappa, bersama rekaan panel meter khas AMG dan tempat duduk sports. Tempat duduk AMG dengan penyandar kepala bersepadu disediakan sebagai pilihan tambahan. Model S dijadikan lebih eksklusif dengan papan pemuka juga dibalut kulit Nappa, tali pinggang keledar berwarna kelabu dan penanda tengah di roda stereng.

    Pada bahagian belakang, terdapat ruang simpan sebesar 640 liter, dengan keseluruhannya 1,820 liter boleh didapati apabila tempat duduk belakang dilipat rata. Tempat duduk belakang jenis lipatan 40:20:40 ini juga boleh dijadikan 10 darjah lebih tegak, memberikan tambahan 30 liter lagi ruang, meskipun kesemua lima tempat duduk masih digunakan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026