Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Toyota Previa/Estima 2016 facelift – foto baharu kabin

    2017-Toyota-Previa_Estima-leaked-image-01

    Tidak berapa lama dulu, imej model facelift bagi Toyota Previa (Estima di Jepun) telah pun disebarkan di Internet. Terbaru, blog Liverdoor telah menyiarkan imej baharu dari sudut luaran hadapan dan belakang serta papan pemukanya. Menurut blog berkenaan, MPV ini bakal dibuka tempahan di Jepun pada bulan ini.

    Berdasarkan imej yang tersebar ini, bahagian belakangnya kelihatan tidak begitu banyak perubahan, ia masih kelihatan sama dengan model semasa, kecuali grafik baharu antara lampu belakangnya. Manakala pada bahagian hadapannya, model facelift ini menunjukkan lampu utama yang lebih tajam, gril haksogan dan bampar baharu serta lampu nyalaan siang LED menegak.

    MPV ini juga didatangkan dengan jaluran krom pada bahagian sisi. Menerusi foto ini juga, kelihatannya ia ditawarkan dengan dua skim tona warna termasuk merah dan hitam.

    Bahagian dalaman kelihatan lebih signifikan. Menurusi foto ini, papan pemukanya mengalami perubahan yang agak besar. Ia ditampilkan dengan kluster instrumen baharu dengan paparan pelbagai-info, roda stereng pelbagai fungsi baharu, konsol tengah berwarna hitam pekat dengan skrin sesentuh bagi paparan hiburan bersaiz besar dan perincian krom pada pemukannya.

    Malah model baharu ini juga dikatakan akan didatangkan dengan Toyota Safety Sense P dan pakej C di Jepun. Safety Sense P termasuk sistem pra-pelanggaran dengan pengesan pejalan kaki dan kawalan jelajah radar. Sementara Safety Sense C pula termasuk sistem pra-pelanggaran, bersama lane departure alert dan fungsi lampu tinggi auto.

    Menurut laporan, Estima hanya boleh didapati sebagai model hibrid di Jepun, iaitu hanya enjin 2AZ-FXE 2.4 liter (150 PS/190 Nm) sahaja dengan dua motor elektrik (motor 17 hp untuk gandar hadapan dan 24 hp untuk belakang). Manakala enjin petrol 3.5 liter V6 digugurkan.

     
     
  • Presiden Mitsubishi Motors letak jawatan berikutan skandal penggunaan bahan api jenama berkenaan

    mitsubishi-pajero-facelift-malaysia-cropped-18

    Tetsura Aikawa, presiden Mitsubishi Motors telah meletakkan jawatannya berikutan skandal penggunaan bahan api yang melanda jenama dari Jepun berkenaan, lapor Nikkei Asian Review. Jawatan beliau kini disandangan sementara oleh CEO Mitsubishi, Osamu Masuko, yang akan menggalas dua tugas berat sehingga proses pembelian pegangan saham sebanyak 34% oleh Nissan Motors lengkap sepenuhnya.

    Berdasarkan laporan tersebut, Aikawa mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap skandal tersebut kerana beliau membina kerjayanya di Mitsubishi Motors, bermula di unit pembangunan produk, iaitu unit dimana skandal data penggunaan bahan api itu bermula.

    Beliau dijangka keluar dari syarikat berkenaan setelah badan bebas yang menyiasat kes tersebut membentangkan laporan akhir pada Julai, atau semasa mesyuarat pemegang saham pada Jun nanti. Sebelum ini Aikawa menyatakan beliau tidak akan membuat keputusan yang melibatkan masa depannya di dalam Mitsubishi Motors sehingga hasil penyiasatan dikeluarkan oleh badan bebas tersebut.

    Nissan Mitsubishi

    Sementara itu, Nissan akan meletakkan salah seorang pengarahnya untuk mengetuai bahagian pembangunan produk Mitsubishi Motors selepas mesyuarat pemegang sahamnya yang akan berlangsung pada 24 Jun nanti. Mitsubishi Motors bercadang untuk mengurangkan bilangan pengarahnya dari 13 orang ke 11 orang, tetapi Nissan sebaliknya bercadang untuk melantik empat orang pengarah termasuk seorang pengerusi baharu.

    Skandal ekonomi bahan api ini menyebabkan nilai pasaran Mitsubishi Motors jatuh sehingga separuh daripada nilai asalnya dalam masa hanya seminggu. Berikutan kejatuhan tersebut, Nissan membeli 34% pegangan saham dalam MMC pada nilai US$2.2 bilion (RM8.8 bilion).

    Perjanjian pembelian tersebut dijangka akan dilengkapkan pada akhir 2016, dan akan menyaksikan Nissan sebagai pemegang saham terbesar dalam MMC. Ini akan memberi faedah kepada Nissan dalam masa terdekat kerana perjanjian pembelian berkenaan akan memberikan jenama tersebut skala pengeluaran yang lebih besar, membolehkan kos pengeluaran menjadi lebih rendah.

     
     
  • Kawasaki ZX-10R kini di Malaysia – RM104,859

    2016-Kawasaki-ZX-10R-Sepang-launch-10_BM

    Kawasaki Malaysia secara rasminya melancarkan Kawasaki ZX-10R untuk pasaran Malaysia. Superbike generasi baharu ini telah diperkenalkan kepada media tempatan pada majlis pelancaran dan sesi uji-tunggang di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Sesi uji-tunggang ini adalah untuk membiasakan jurnalis-jurnalis pemotoran tempatan dengan talaan litar ZX-10R, dan membolehkan para penguji menguji mod-mod tunggangan dalam keadaan yang selamat sebelum sesi uji-tunggang secara individu mula dijalankan kelak.

    Jika dikecualikan model H2 dan H2R yang dikelaskan sebagai hyperbike, ZX-10R merupakan superbike tahap tertinggi dalam barisan superbike Kawasaki. Ia dijana oleh enjin 999 cc, empat-silinder sebaris, dengan sistem penyejukkan cecair, menghasilkan sejumlah 197 hp pada takat 13,000 rpm (204 hp jika dilengkapi Ram udara) dan tork maksima 113.5 Nm pada takat 11,500 rpm.

    2016-Kawasaki-ZX-10R-Sepang-launch-12_BM

    Walaupun ZX-10R generasi baharu ini kelihatan hampir serupa dengan generasi sebelumnya, ia sebenarnya telah dibina semula sepenuhnya dengan pelbagai teknologi baharu. Ini termasuk ciri seperti launch control, sistem Brek Anti-kekunci Pintar Kawasaki (KIBS), Predictive Traction Control (S-KTRC), dan brek enjin yang boleh dipilih oleh penunggang.

    Motosikal ini juga dilengkapi dengan tiga mod kuasa tunggangan iaitu Full, Middle dan Low. Satu lagi mod tunggangan iaitu mod Race hanya akan diperolehi jika pembeli membeli sekali kit perlumbaan, disertakan dengan satu unit dongle yang turut membolehkan sistem ABS dimatikan. Kuasa sepenuhnya dari enjin akan dikeluarkan sekiranya penunggang memilih mod Full, manakala untuk mod Low, hanya 60% dari kuasa asal dapat dikerah dari enjin.

    Keseluruhan sistem suspensi ZX-10R ini juga telah dibina semula sepenuhnya dengan kerjasama dari Showa Jepun. Sepit udang hadapan 43mm Balance Free (BFF) diambil hampir sepenuhnya dari jentera perlumabaan SBK Kawasaki. Manakala kusyen belakang Balance Free (BFRC) pula ditempatkan pada kedudukan pusat graviti yang rendah untuk meningkatkan pengendalian motosikal ini.

    Kawasaki Malaysia menawarkan ZX-10R dengan warna tema hijau-hitam Kawasaki Racing Team (KRT) dan turut menawarkan hanya 15 unit jentera dengan warna matte black dengan snowflake pada cermin hadapan – seiras dengan jentera Kawasaki yang diuji pada sesi ujian musim sejuk. Superbike ini dijual pada harga RM104,859 termasuk GST, tanpa cukai jalan, pendaftaran dan insuran.

     
     
  • Pengangkutan awam 400 meter dari kediaman sekitar 80% penduduk Lembah Klang menjelang 2030

    Kerajaan mensasarkan menjelang 2030, sekitar 80% penduduk Lembah Klang dijangka akan tinggal dalam jarak 400 meter dari perkhidmatan pengangkutan awam, lapor New Straits Times. Untuk memastikan sasaran itu dicapai, kerajaan kini dalam usaha membangunkan lagi infrastruktur pengangkutan awam dalam negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    “Seperti kita jangkakan sasaran yang agresif sebanyak 40% penggunaan pengangkutan awam untuk Kuala Lumpur dan purata 15% untuk ibu negeri lain menjelang tahun 2030, kami juga menjangkakan 80% dari populasi Lembah Klang akan tinggal 400 meter dari perkhidmatan pengangkutan awam,” kata beliau menerusi ucapannya di perhimpunan Persatuan Pengangkutan Awam Antarabangsa (UITP) Asia Pasifik yang dilangsungkan di Kuala Lumpur.

    Beliau turut menambah kerajaan telah mula membangunkan pelbagai usaha untuk pengangkutan awam termasuk meningkat taraf laluan rel utama di Lembah Klang, bahagian selatan sehingga ke pantai timur semenanjung Malaysia dan juga penambahan kapasiti perkhidmatan monorail dan LRT.

    Beliau juga turut berkata, projek laluan tambahan LRT Rapid KL yang dijangka akan memberikan 300,000 penumpang harian tambahan, akan mula beroperasi dalam masa berberapa hari lagi. Sebelum ini, beliau mengatakan kerajaan akan memastikan semua projek, termasuk dari dalam sektor pengangkutan awam, akan disiapkan mengikut perancangan awal dengan sedikit atau tiada langsung penangguhan.

     
     
  • BMW Premium Selection anjur acara jual-beli istimewa

    BMW 01

    Sempena acara BMW xDrive Xperience yang bakal berlangsung pada hujung minggu ini, para pengedar BMW Premium Selection (BPS), divisyen Kereta Terpakai BMW akan menawarkan program jual beli istimewa selama dua hujung minggu iaitu pada 21 hingga 22 Mei ini dan 28-29 Mei 2016.

    Justeru, BMW Group Malaysia menjemput orang ramai mengunjungi mana-mana bilik pameran BMW Premium Selection untuk menikmati tawaran jual beli yang menarik bagi kenderaan mereka. Selain meneroka model-model BMW X yang baharu.

    Sebagai satu-satunya rangkaian pengedar yang menawarkan Kereta Terpakai yang telah diluluskan, BPS menyediakan pelbagai faedah. Ini termasuklah program Jaminan BMW minimum selama setahun atau sehingga 200,000km dan pemeriksaan kenderaan 360º dengan sejarah yang lengkap dan telah disahkan. Malah, manfaat seperti Pembiayaan Kredit BMW istimewa, keahlian BMW White Card dan Bantuan Tepi Jalan BMW turut disediakan.

    Jadual acara tersebut adalah seperti berikut:

    Screen Shot 2016-05-18 at 4.09.37 PM

     
     
  • Kenaikan tambang mendadak sebanyak 47% umpama bencana, usaha baiki perkhidmatan – CEO ERL

    erl-klia-express-1

    Express Rail Link (ERL) mengakui kenaikan tambang sekarang iaitu sebanyak 47% adalah apa yang boleh dianggap sebagai suatu bencana. Kenaikan tambang sehala daripada RM35 kepada RM55 awal tahun ini dianggap terlalu mahal oleh kebanyakan penumpangnya.

    Menurut CEO ERL Noormah Mohd Nor berkata, beberapa cabaran yang dihadapi serta penambahbaikan yang perlu dilakukan, terutama bagi menawarkan tambang kompetitif, memandangkan majoriti penumpang terdiri daripada mereka yang berulang alik ke tempat kerja setiap hari, laporan Bernama.

    “Kami sedang berusaha untuk menambah baik perkhidmatan supaya setanding dengan perkhidmatan rel lapangan terbang di Hong Kong.

    “Selain itu, kami juga berusaha untuk memenuhi permintaan pelanggannya dari segi perkhidmatan, termasuk menambah baik kekerapan kelajuan dan meningkatkan keselesaan penumpang. Malah ia boleh dianggap sebagai cabaran utama memandangkan kami terpaksa bersaing dengan model rel lapangan terbang lain,” ujar Noormah dalam pembentangannya pada Pertemuan Penerbitan UITP Asia-Pasifik ke-16.

    Beliau turut berkata sistem ERL telah membawa kira-kira 30 juta penumpang sejak ia dilancarkan pada 2002.

    “Kami mahu sistem ERL kami menjadi seperti yang terdapat di Lapangan Terbang Shinjuku di Jepun, yang mengangkut 3.5 juta penumpang setiap hari,” katanya.

     
     
  • Ford GT akan ditawarkan dengan pilihan roda gentian-karbon 20-inci opsyenal – 25% lebih ringan

    ford-gt-2015-live-geneva-4

    Supercar dari Ford iaitu Ford GT akan diperkenalkan dengan roda gentian-karbon generasi-seterusnya sebagai pilihan opsyenal. Ia merupakan model kedua dari jenama buatan Amerika tersebut yang ditawarkan dengan pilihan opsyen sedemikian selepas Ford Mustang Shelby GT350R.

    Roda aloi tersebut dihasilkan dengan kerjasama pembekal dari Australia iaitu Carbon Revolution, menampilkan binaan roda dengan teknologi gentian dan resin generasi terbaharu. Teknologi berkenaan membolehkan kadar fleksibel rekaan yang lebih baik menghasilkan jejari yang lebih rumit.

    Untuk Ford GT, roda gentian-karbon 20-inci berkenaan ditawarkan dalam dua kemasan akhir iaitu matte ataupun dengan lapisan berkilat, yang mana kedua-duanya menyerlahkan motif binaan gentian-karbon sebenar. Kemasan-kemasan tersebut juga akan diselarikan dengan kemasan pada bendul sisi, muka hadapan dan juga extractor Ford GT.

    Selain dari rekaan, roda gentian-karbon berkenaan juga memberikan dinamik dan pengendalian yang lebih baik serta pengurangan berat sebanyak 25% berbanding roda aluminium forged 20-inci 10 jejari standard Ford GT.

    Dengan ini, bebanan pada suspensi jentera tersebut dapat dikurangkan seterusnya akan meningkatkan konsistensi cengkaman pada jalan dan meningkatkan kawalan pemanduan. Ia juga turut meningkatkan tindak balas stereng dan dinamik, kerana tenaga yang kurang diperlukan untuk memecut atau menukar arah roda berkenaan. Kecekapan juga meningkat kerana kurang tenaga diperlukan untuk memutarkan setiap roda.

    Ciri-ciri istimewa lain yang turut dipadankan pada Ford GT termasuk cermin hadapan kaca Corning Gorilla yang bukan sahaja tahan lasak malah 30% lebih ringan berbanding kaca biasa. Sejumlah 6,506 permohonan dibuat untuk membeli Ford GT tetapi hanya 500 orang yang akan berpeluang memiliki supercar gentian-karbon ini.

    Ford GT akan dilengkapi dengan enjin V6 turbo berkembar 3.5 liter EcoBoost yang diletakkan pada bahagian tengah, mampu menghasilkan 600 hp. Ia dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan. Menurut Ford, kereta ini akan dihantar kepada pembeli sebelum berakhirnya tahun ini.

    GALERI: Ford GT di Geneva


    GALERI: Ford GT untuk perlumbaan Le Mans

     
     
  • Honda Accord facelift bakal tampil lebih segar dengan lampu utama LED sepenuhnya untuk pasaran Asia

    2016-honda-accord-asia-spec-3

    Selepas Amerika Syarikat menerima kemasukan Honda Accord versi facelift pada musim panas lalu, Honda telah mengesahkan akan membawa masuk model yang diberi suntikan lebih segar itu ke pasaran Asia. Malah syarikat terbabit juga telah membuat keputusan untuk memperkenalkan model ini menerusi divisinya di Filipina.

    Ia telah ditampilkan dengan lampu utama LED sepenuhnya, sama seperti varian tertinggi bagi Accord Coupe. Selain itu, ia juga ditampilkan dengan lampu nyalaan siang LED, lampu selekoh aktif, dan lampu kabus projektor LED. Manakala di bahagian belakangnya pula menerima bampar baharu dan rekaan lampu 3D LED.

    Namun Honda juga mengesahkan, tiada perubahan di bawah hudnya, di mana Accord akan terus menggunakan enjin 3.5 liter V6 dengan kuasa 281 hp dan 2.4 liter empat-silinder (175 hp). Enjin V6 turut ditawarkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan bersama pedal penukar gear, sementara model 2.4 liter pula dengan kotak gear automatik lima-kelajuan.

    Peningkatan yang paling penting ialah penambahan kawalan kelajuan dan sistem kawalan penghidup enjin yang akan menghidupkan enjin kenderaan dan sistem kawalan suhu. Bagi aspek keselamatan, enam beg udara akan ditawarkan secara standard untuk semua varian Accord, di samping ABS dengan EBD, bantuan kestabilan kenderaan, bantuan mula mendaki, kamera undur pelbagai-pandangan, pengesan parkir hadapan dan belakang serta isyarat berhenti kecemasan.

    Accord facelift ini telah pun boleh ditempah di Filipina, sementara bagi negara Asia lain, ia akan menyusul secara berperingkat mulai minggu hadapan. Malah Malaysia juga bakal menerima model Accord facelift ini tetapi belum dipastikan adakah bakal menampilkan elemen yang sama mahu pun tidak.

     
     
  • Kurangkan penggunaan motosikal mampu elak peningkatan kemalangan maut – KP JKJR

    Motorcyclist

    Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) menyeru supaya orang ramai mengurangkan penggunaan motosikal termasuk untuk bersiar-siar bagi mengelakkan kemalangan maut yang semakin meningkat.

    Menurut Ketua Pengarah JKJR Abd Ghafar Yusof, sebanyak 62% daripada 6,706 jumlah kes kemalangan yang berlaku pada tahun lalu adalah membabitkan motosikal, laporan Bernama.

    “JKJR mahu perkara ini diberi perhatian khusus kerana jika kita berjaya mengurangkan penggunaan motosikal sebanyak 10%, dijangka dapat menyelamatkan 400 nyawa setahun.

    “Walau bagaimana pun, penggunaan motosikal bukanlah dihalang kerana ada keluarga yang tidak memiliki pilihan lain selain motosikal sahaja. Tetapi kami nasihatkan, gunakan ia sekiranya perlu dan terdesak sahaja bagi mengelakkan risiko kemalangan,” ujarnya selepas merasmikan Program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya semalam.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan, ibu bapa perlu memastikan anak-anak kecil memakai topi keledar yang mempunyai tahap keselamatan yang dibenarkan bagi mengelak ia pecah ketika kemalangan berlaku.

    Katanya lagi, “Kami juga menasihati ibu bapa supaya melarang anak-anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen yang sah.”

     
     
  • Volvo S60 T6 Drive-E secara rasminya diperkenalkan di Malaysia – berkuasa 306 hp/400 Nm, RM280,888

    2016-Volvo-S60-T6-Drive-E-1_BM

    Volvo Malaysia hari ini secara rasminya memperkenalkan Volvo S60 T6 baharu, menampilkan enjin baharu binaan Volvo sendiri iaitu enjin petrol Drive-E. Enjin baharu ini akan menggantikan enjin GTDi yang dibina dengan kerjasama Ford pada S60 varian T4 dan T5 sedia ada di Malaysia.

    Enjin baharu ini dilengkapi dengan dua sistem induksi paksaan iaitu turbo dan supercharge (untuk takat rpm rendah), membolehkan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder ini mengekstrak kuasa keseluruhan 306 hp pada takat 5,700 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,100 sehingga 4,800 rpm.

    Kesemua kuasa dari enjin ini memacu kedua-dua roda hadapan menerusi kotak gear lapan-kelajuan automatik dari Aisin, dan dilengkapi dengan penukar gear pada roda stereng. Gabungan tersebut membolehkan sedan ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.9 saat dengan kelajuan maksima 230 km/j.

    Rupa keseluruhan model ini adalah seiras dengan S60 facelift yang diperkenalkan untuk pasaran Malaysia pada Mac 2015. Varian terbaharu ini turut dilengkapi dengan roda aloi ‘Sadia’ berdiameter 17-inci, dibaluti tayar bersaiz 235/45R17.

    Untuk keselamatan, S60 T6 Drive-E dilengkapi dengan sistem brek kecemasan automatik bandar (yang berfungsi pada kelajuan sehingga 50 km/j), Sistem Informasi Titik Buta (BLIS) yang beroperasi menggunakan radar, Amaran Lintasan Trafik (CTA), Amaran Pelanggaran dengan Brek Automatik Sepenuhnya. Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC), Bantuan Kekal Laluan (LKA), Pengesan Pejalan Kaki dan Penunggang Basikal serta Informasi Tanda Jalan (RSI) turut ditawarkan secara standard.

    Volvo Malaysia turut mengumumkan pengenalan varian T6 Drive-E dalam barisan model S60 ini secara rasminya menghentikan terus jualan untuk varian T4 dan T5. Varian T4 dan T5 sebelum ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM221,888 dan RM268,888.

    Varian T6 terbaharu ini pula kini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM280,888. Setiap pembelian didatangkan standard dengan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan serta pakej bantuan tepi jalan Volvo On Call secara percuma juga selama lima tahun.

    Harga menarik yang ditawarkan untuk sedan berkuasa 306 hp ini adalah kerana S60 kini dipasang secara CKD di kilang Swedish Motor Assemblies Shah Alam, yang sudah mula beroperasi sejak tahun 1967.

    GALERI: Gambar rasmi Volvo S60 T6 Drive-E

     
     
  • Honda Civic 2016 dapat pilihan Black Pack di Australia

    Honda-Civic-Black-Pack-1-e1463535186937

    Honda Australia telah mula menerima pra-tempahan bagi Honda Civic 2016 ini. Di mana model generasi ke-10 ini dijangka bakal dipasarkan di sana mulai Jun ini. Malah ia turut ditawarkan dengan pilihan Black Pack, iaitu pek aksesori tulen Honda (seakan seperti Modulo).

    Pek tersebut akan ditawarkan untuk kesemua lima varian Civic di pasaran Australia, termasuk 1.8 liter VTi dan VTi-S, dan 1.5 liter pengecas turbo VTi-L, RS dan VTi-LX. Untuk semua varian kecuali RS, Black Pack ini akan ditawarkan pada harga AUD$2,998 (RM8,796), manakala bagi RS pula berharga AUD$2,298 (RM6,746).

    Untuk Black Pack ini, ia mengandungi rim 17-inci, semestinya dengan warna hitam, di mana pembeli perlu membayar kos tambahan untuk tayar. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan lip spoiler bagi bampar hadapan, skirt sisi, perumah cermin sisi, lid spoiler untuk but dan gril, yang kesemuanya dengan kekemasan hitam. Bagi varian RS, ia sudah pun mempunyai kekemasan hitam (pada gril) yang tersendiri, jadi sebab itulah terdapat perbezaan pada harganya.

    Honda-Civic-Black-Pack-2-e1463535202673

    Buat masa ini, Honda Australia telah menerima 200 pra-tempahan bagi Civic dan dijangka akan meningkat sehingga 300 unit pada penghujung bulan ini. Civic bagi pasaran Australia dipasang di kilang Honda yang terletak di Prachinburi, Thailand.

    Kita di Malaysia juga pastinya tidak sabar menantikan kehadiran Civic FC ini di pasaran (dijangka pada Q2 2016). Baru-baru ini, kami ternampak Civic spesifikasi tempatan sedang menjalani penggambaran video di Putrajaya dan kami juga telah memandu uji Civic spesifikasi Thailand di Chiang Mai dua minggu yang lalu.

    Malah Honda Malaysia akan mempertontonkan Civic 2016 ini buat pertamanya di Malaysia untuk tatapan umum di My Auto Fest 2016 yang bakal berlangsung pada 20 hingga 22 Mei ini (jam 10 pagi hingga 9 malam) di Pusat Pameran Antarabangsa dan Konvensyen Mines (MIECC).

    GALERI: Honda Civic 1.5 Turbo RS, Spesifikasi Thai

     
     
  • LRT catat 99.7% perkhidmatan cekap – CEO

    LRT-rail-pix-Bernama_PT_BM

    Pasarana Malaysia Berhad telah mengesahkan perkhidmatan Transit Laju Ringan (LRT) kini berada pada tahap kecekapan 99.7% dan sedang berusaha untuk menambah baik lagi sistem tersebut, laporan Bernama.

    Menurut CEO Prasarana Datuk Azmi Abdul Aziz, kelewatan perkhidmatan yang dihadapi hanya sekitar kira-kira 0.3% dan pihaknya sedang berusaha untuk menambah baik sistem demi kepuasan pengguna.

    “Masalah itu adalah akibat kerja-kerja menaiktaraf dengan mengintegrasi set-set baharu tren ke dalam sistem. Kami perlu menyelaras tren-tren baharu ke dalam laluan perkhidmatan sedia ada tanpa banyak gangguan,” kata Azmi kepada Bernama di Perhimpunan Persatuan Pengangkutan Awam Antarabangsa ke-16 semalam.

     
     
  • Honda Malaysia lancar Program Bantuan Banjir, tawar diskaun sehingga 50% untuk alat ganti tulen

    Honda-Flood-Relief_BM

    Berikutan banjir kilat yang melanda Lembah Klang minggu lalu, Honda Malaysia (HM) kini mengumumkan Program Bantuan Banjir mereka untuk kenderaan-kenderaan Honda yang terjejas dalam bencana alam berkenaan.

    Program yang bermula semalam sehingga 10 Julai akan datang ini menawarkan diskaun sehingga 50% untuk alat ganti Honda tulen kepada pemilik Honda. Pelanggan yang mahu mendapatkan pakej bantuan ini perlulah membuat laporan polis terlebih dahulu dan kemudian bawa polisi insuran ke pusat servis Honda bertauliah dalam tempoh masa program ini berjalan.

    Walau bagimanapun, tawaran ini hanya sah untuk kenderaan yang dibeli dari pengedar-pengedar sah Honda Malaysia sahaja dan hanya alat ganti yang rosak kerana banjir sahaja diberikan diskaun 50% tersebut. Diskaun tersebut juga tidak diberikan kepada mereka yang menggunakan perlindungan insuran untuk memperbaiki kerosakan. Semua alat ganti tulen yang ditukar turut diberikan waranti enam bulan atau 10,000 km (yang mana sampai dahulu).

    Anda juga dinasihatkan untuk tidak cuba menghidupkan kenderaan anda, buka pintu secara manual, elakkan dari menggunakan alat kawalan jauh atau peralatan elektrikal lain dalam kenderaan jika terperangkap di dalam banjir. Kemudian, cabut terminal negatif bateri kenderaan anda. Buat laporan polis terlebih dahulu dan hubungi syarikat insuran anda sebelum menunda kereta ke bengkel.

    Selain Honda, Nissan dan Perodua juga menawarkan pakej bantuan khas untuk pemilik jenama-jenama berkenaan yang terjejas dalam banjir kilat ini.

     
     
  • Kia Sorento serba baharu bakal dilancarkan di M’sia pada 25 Mei ini- Harga jangkaan bermula RM158k

    All-New Sorento

    Naza Kia Malaysia telah mengesahkan pelancaran bagi Kia Sorento generasi ketiga akan dilangsungkan pada 25 Mei ini. Semalam tempahan bagi SUV tujuh-tempat duduk ini telah pun mula dibuka.

    Ia dikatakan bakal dilancarkan dengan tiga varian bagi enjin petrol dan diesel. Manakala harga atas jalan yang dijangka ialah bermula RM158k (tanpa insurans) dengan waranti lima tahun tanpa had perbatuan.

    Dengan imej yang lebih segar, rekaan Sorento serba baharu ini ditampilkan dengan profil yang lebih melunjur ke belakang dan permukaan yang lebih mendalam. Malah ia turut mempersembahkan imej yang lebih sofistikated termasuk menampilkan ruang dalaman yang lebih luas.

    SUV ini memiliki ukuran 4,780 mm panjang, 1,890 mm lebar dan jarak roda keseluruhan 1,890 mm.

    Malah Sorento serba baharu ini juga lebih banyak menampilkan elemen yang berinovatif termasuk pintu tailgate dengan kuasa pintar, sistem parkir pintar, sistem pemantuan tekanan tayar dan tirai pelindung matahari di belakang.

    Selain itu, ia turut tidak berkompromi soal keselamatan dengan menampilkan enam beg udara, pengurusan kestabilan kenderaan (VSM), kawalan kestabilan elektronik (ECS), ABS, bantuan mula mendaki (HAC) dan banyak lagi.

    GALERI: Kia Sorento 2016 yang diuji oleh Paultan.org di Jordan

     
     
  • Hyundai Ioniq akan dipamerkan di Malaysia buat pertama kali, di My Auto Fest 2016 bermula 20 Mei ini

    Hyundai-Ioniq-Hybrid-6_BM

    Hyundai Ioniq, kereta hijau buatan Korea yang membuat kemunculan sulung di Geneva Motor Show 2016 Mac lalu, diumumkan akan dipamerkan di Malaysia buat pertama kali. Sedan mesra alam dengan tiga varian unit janakuasa berbeza tersebut akan membuat kemunculan pada My Auto Fest 2016 yang bermula pada 20 hingga 22 Mei ini bertempat di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC).

    Ioniq merupakan kereta mesra alam pertama di dunia yang menggunakan model dan nama yang sama untuk tiga varian janakuasa berbeza iaitu Ioniq Hybrid, Plug-In Hybrid dan juga Electric yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

    Ioniq Hybrid, pencabar terus Toyota Prius, dijana oleh enjin petrol 1.6 liter Kappa GDI empat-silinder berkuasa 105 PS dan tork maksima 147 Nm. Ia digabungkan dengan motor elektrik berkuasa 43 PS dan tork maksima 170 Nm, menerima tenaga dari bateri polimer litium ion berkuasa 1.56 kWh yang ditempatkan di bawah tempt duduk belakang.

    Secara keseluruhan, Ioniq Hybrid mampu menghasilkan kuasa gabungan 141 PS dan tork maksima 265 Nm dengan kelajuan maksima dicatatkan pada 185 km/j. Kesemua kuasa ini dialirkan ke roda hadapan melalui kotak gear klac berkembar enam-kelajuan.

    Ioniq Electric (yang kini sudahpun dijual di Korea) dijana sepenuhnya dengan motor elektrik berkuasa 120 PS dan tork segera 295 Nm dan dilengkapi dengan sistem transmisi single-speed reducer. Kuasa dibekalkan dari bateri polimer litium ion berkuasa 28 kWh dan mampu untuk membawa kereta ini sejauh lebih dari 250 km dengan kelajuan maksima dicatatkan pada 165 km/j.

    Hyundai Ioniq Plug-In Hybrid turut dijana oleh enjin petrol 1.6 liter Kappa GDI. Enjin tersebut digabungkan dengan motor elektrik yang lebih besar berkuasa 61 PS, dijana oleh bateri berkuasa 8.9 kWh yang mampu membawa kereta ini dengan pacuan motor elektrik sepenuhnya dalam jarak lebih 50 km.

    Kesemua varian Ioniq menerima paparan instrumen TFT tujuh inci dengan Android Auto dan Apple CarPlay pada bahagian dalaman. Untuk sistem keselamatan pula, kesemua Ioniq dilengkapi dengan sistem brek kecemasan automatik, bantuan kekal laluan, pengesan titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan kawalan kelajuan pintar.

     
     
  • Proton bakal dibantu Matrade untuk luaskan eksport

    Proton-LHD-Preve-to-Chile-8

    Proton yang dilihat memiliki prospek yang baik bagi melonjakkan eksport ke pasaran luar negara, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bersedia menjalinkan kerjasama erat dengan pengeluar kereta nasional utama itu.

    Menurut CEO Matrade, Datuk Dzulkifli Mahmud, Matrade akan menyediakan bantuan maklumat pasaran mengenai negara berpotensi bagi tujuan itu, laporan Bernama.

    Antara negara yang dilihat memiliki prospek ini ialah Asia Barat, negara Afrika, Amerika Latin, Asia dan lain-lain negara yang mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan Malaysia.

    “Proton mahu memperluaskan perniagaannya dan berpeluang memasuki semula pasaran Chile dengan 100 unit model Preve baru-baru ini, selepas 16 tahun terhenti. Justeru, Matrade komited untuk membantu Proton,” ujar Dzulkifli.

    Katanya lagi, Proton juga dilihat berpotensi menerokai segmen kereta elektronik atau hibrid.

    Beliau turut berkongsi pengalaman misi perdagangan ke Tehran, Iran baru-baru ini dan mendapati model Proton yang dieksport ke sana seperti Gen2 masih mencatat prestasi kukuh, sekali gus membuktikan kebolehpercayaan jenama tersebut.

    “Malah Iran juga mengharapkan Proton bersedia membawa masuk lebih banyak unit kenderaannya ke pasaran sana,” ujarnya lagi.

     
     
  • LTA Singapura siasat kenderaan Hyundai kerana kes pecutan mengejut atas faktor mekanikal atau kecuaian

    2016-hyundai-tucson-driven-2.0-executive- 013

    Beberapa kemalangan yang melibatkan teksi yang menggunakan kenderaan Hyundai di Singapura dilaporkan berlaku baru-baru ini. Ia dikatakan berpunca daripada pecutan yang ‘tidak dirancang’ (SUA) dan ini mendorong Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) negara berkenaan menyiasatnya.

    Menurut laporan yang disiarkan oleh The Strait Times, kejadian yang dirakamkan oleh kamera kereta menunjukkan teksi Hyundai kendalian ComfortDelGo mengalami kemalangan dramatik di mana pemandunya tidak dalam kawalan kenderaan mereka pada masa itu.

    Dalam salah satu rakaman video, teksi terbabit didapati berundur dengan pantas dan telah melanggar kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir kereta HDB. Ia kemudian bergerak ke hadapan, tetapi berundur semula dan menaiki bebendul jalan lalu terus melanggar sebuah blok flat.

    Manakala terdapat satu lagi video menunjukkan sebuah teksi berundur dan melanggar sebuah kenderaan, kemudnai memecut ke hadapan dan bertembung dengan lebih daripada sebuah kenderana.

    LTA turut berkata perkara ini sedang disiasat kerana ia dilaporkan kenderaan Hyundai terbabit mengalami pecutan tidak dirancang semasa dalam gear undur. Walau bagaimana pun, ia masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan buat masa ini.

    Buat masa ini, pengendali syarikat teksi ComfortDelGro dan pengedar Hyundai di Singapura, Komoco, enggan mengulas mengenai kes ini.

    Di Seoul, portal berita BusinessKorea pernah melaporkan, sebanyak 417 kes kemalangan antara tahun 2010 dan 2014 disyaki disebabkan oleh masalah yang sama. Di mana hampir 60% daripada kes ini melibatkan model Hyundai dan Kia.

    Namun kebanyakan kes sebegini tidak semua yang boleh dibuktikan berpunca daripada masalah mekanikal. Ada yang mengaitkan dengan kecuaian pemandu yang tersilap memijak pedal pendikit dan bukannya pedal brek.

     
     
  • Global NCAP uji lima model baharu di India – semua kosong-bintang kerana kurang/tiada beg udara

    unnamed

    Global NCAP telah pun mengeluarkan keputusan ujian pelanggaran di India yang dilakukan di New Delhi, dengan keputusan yang mengecewakan bagi semua lima model yang diuji. Renault Kwid, Maruti Suzuki Celerio, Maruti Suzuki Eeco, Mahindra Scorpio dan Hyundai Eon yang diuji mendapat ‘kosong-bintang’ menunjukkan tahap yang rendah bagi perlindungan penumpang dewasa.

    Renault Kwid diuji secara tiga versi, termasuk satu dengan beg udara tetapi setiap satunya tetap menerima kosong-bintang bagi keselamatan dewasa, manakala dua-bintang bagi perlindungan penumpang kanak-kanak.

    Begitu juga dengan Mahindra Scorpio yang menerima keputusan yang sama. Dengan struktur kerangka yang kurang utuh, di samping kekurangan beg udara mampu memberikan risiko kecederaan sekurang-kurangnya pada seorang penumpang dewasa.

    unnamed-2

    Tiada beg udara juga menyebabkan Suzuki Maruti Eeco mendapat kosong-bintang bagi perlindungan penumpang dewasa dan satu-bintang bagi perlindungan penumpang kanak-kanak. Manakala Hyundai Eon yang ditawarkan dengan spesifikasi standard juga tidak dilengkapi dengan beg udara. Tiada bintang untuk perlindungan penumpang dewasa tetapi Eon menerima dua-bintang bagi perlindungan penumpang kanak-kanak.

    Manakala perkara yang sama dialami oleh Maruti Suzuki Celerio, dengan kosong bintang bagi perlindungan penumpang dewasa dan hanya satu-bintang untuk perlindungan penumpang kanak-kanak, atas alasan yang sama iaitu tiada beg udara dan struktur kerangka yang kurang utuh dan berisiko tinggi jika terbabit dengan kemalangan.

    Bercakap mengenai keputusan ujian terkini ini, David Ward selaku Setiausaha Agong Global NCAP berkata, “Keputusan terkini SaferCarsforIndia menunjukkan betapa pentingkan kerangka kenderaan yang boleh kekal stabil ketika kemalangan. Malah perlindungan penumpang juga lebih terjamin dengan adanya sekurang-kurangnya beg udara hadapan.

    “Sangat mengejutkan apabila pengeluar seperti Renault yang memperkenalkan Kwid ini tidak menampilkan ciri tersebut. Global NCAP percaya tiada satu pun pengeluar kenderaan di dunia ini yang membangunkan model baharu tanpa standard yang diperlukan. Justeru, mereka harus memastikan setiap model baharu menepati sekurang-kurangnya minimum bagi peraturan ujian perlanggaran UN termasuk adanya beg udara,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Kata Ward lagi, keputusan ini sangat penting bagi kerajaan India yang membuat keputusan untuk memandatkan ujian impak kemalangan hadapan dan sisi mulai Oktober 2017. Ia diperlukan bagi memastikan tahap paling minimum bagi perlindungan penumpang seperti mana yang dicadangkan oleh United Nations bagi memberikan jaminan kepada para pengguna di India.

    “Walau bagaimana pun, para pengeluar kenderaan untuk tidak menantikan peraturan baharu ini dilaksanakan dan digesa supaya mempertingkatkan kualiti mereka bagi mengelakkan kosong bintang bagi kenderaan yang dikeluarkan.

    “Malah Global NCAP turut mengalu-alukan Program Penilaian Kereta Baharu Bharat yang dilihat mampu membantu membina pasaran bagi kenderaan yang lebih selamat di India.”

     
     
  • MoU projek HSR antara Malaysia dan Singapura dijangka akan ditandatangani Julai ini – PM

    Hitachi Super Express

    Malaysia dan Singapura dijangka akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Julai ini, lapor New Straits Times.

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan projek rel berkelajuan tinggi yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura itu telah merangsang keterujaan di seluruh dunia. “Kita jangkakan MoU dengan Singapura akan ditandatangani Julai ini. Itu sasarannya. Ini merupakan perubahan besar pada sistem pengangkutan negara. Ia bermaksud perjalanan dari Singapura ke Kuala Lumpur hanya mengambil masa satu setengah jam, ” kata beliau.

    HSR-stations-proposed

    Najib juga menyatakan projek HSR tersebut termasuk dalam salah satu projek yang dijalankan di Malaysia untuk meningkatkan infrastruktur dalam negara dan menjana ekonomi selain dari projek Lebuhraya Pan-Borneo.

    NST juga melaporkan tiada lagi perincian penuh dari PM berkenaan majlis menandatangani MoU projek tersebut. Beliau dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong dijangka akan menyaksikan majlis berkenaan di Kuala Lumpur, namun tarikh sebenar masih lagi belum diumumkan. MoU berkenaan juga akan memperincikan rundingan perjanjian utama untuk perancangan, pembangunan, pelaksanaan dan operasi HSR antara dua ibu negara.

     
     
  • Pencuri mampu godam sistem immobiliser, larikan kenderaan dalam masa kurang dua minit – JPJ

    honda-civic-stolen

    Satu sindiket terancang yang mensasarkan kenderaan tertentu seperti Toyota Alphard, Toyota Camry, Honda Civic dan Honda City, mampu untuk menggodam sistem immobiliser kenderaan terbabit dengan mengesetnya semula agar ia lumpuh dalam masa kurang dua minit, lapor Harian Metro.

    Menurut pengarah bahagian kejuruteraan automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Mohamed Dalib, kenderaan yang dilengkapi dengan sistem immobiliser akan mematikan enjin kereta apabila ia mengesan kuncinya tiada pada jarak tertentu.

    Dengan ini, sindiket tersebut menggunakan beberapa teknik termasuk menggunakan alat penyesak untuk mematikan sistem immobiliser sebelum menyembunyikan kenderaan yang dicuri pada lokasi tertentu. Untuk immobiliser yang dilengkapi sistem pemantauan satelit pula, Dalib berkata, “pencuri akan menggodam alat tersebut dalam masa lima ke sepuluh minit untuk membuang baterinya bagi mengelakkan ia dikesan.”

    Menurut Dalib lagi, kenderaan yang dicuri dalam negara akan diseludup ke negara-negara Afrika seperti Kenya dan Uganda.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026