Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Toyota Corolla Cross sah dilancar di M’sia 25 Mac ini

    Toyota Corolla Cross sah dilancar di M’sia 25 Mac ini

    Jika minggu lalu Toyota masih memberikan teka-teki berkenaan model apa yang akan mereka lancarkan 25 Mac 2021 nanti, kini petunjuk berkenaan semakin jelas – satu lagi teaser telah disiarkan di laman media sosial mereka, walaupun nama model berkenaan tidak ditulis, bayang badan jelas adalah SUV Toyota Corolla Cross.

    Dalam satu pembentangan korporat oleh UMW Holdings Berhad pada awal tahun ini, dengan jelas menunjukkan bahawa Toyota Corolla Cross telah dijadualkan akan dilancarkan dalam pasaran Malaysia pada suku kedua tahun 2021. Satu lagi berita yang menggembirakan, ia akan dihasilkan sebagai model pemasangan tempatan (CKD), yang mungkin akan menampilkan harga yang cukup kompetitif.

    Toyota Corolla Cross ini dikelaskan sebagai SUV segmen-C, dan dihasilkan dengan platform TNGA-C yang sama dengan sedan segmen-C Toyota Corolla dan juga SUV segmen-B Toyota C-HR. Walau bagaimanapun, dalam hieraki model Toyota, Corolla Cross masih berada di bawah satu anak tangga satu lagi SUV segmen-C Toyota iaitu RAV4 yang lebih premium.

    Jadi setelah dilancarkan di Malaysia nanti, mungkin boleh dijangka Toyota Corolla Cross ini akan berada dalam kelas ditengah-tengah antara Honda HR-V dan juga CR-V. Dan walaupun ia dihasilkan dari platform TNGA-C, Corolla Cross tidak diberikan suspensi double wishbone di belakang, sebaliknya hadir dengan sistem torsion beam seperti Honda HR-V dan Proton X50.

    Model ini telah didedahkan buat pertama kali untuk peringkat global di Thailand pada Julai tahun lalu. Pada pasaran berkenaan, Corolla Cross dijana oleh enjin petrol tanpa turbo empat-silinder 1.8 liter 2ZR-FBE (boleh beroperasi dengan bahan api-flex) berkuasa 140 PS/177 Nm. Tiada sistem pacuan semua roda diberikan, di mana kuasa hanya dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear Super CVT-i.

    Dalam pembentangan koprat tempoh hari juga menunjukkan bahawa lebih banyak model CKD dengan sistem hibrid elektrik akan diperkenalkan di Malaysia, dan ia turut mungkin akan melibatkan Toyota Corolla Cross ini. Bagi model hibrid, Corolla Cross menampilkan enjin petrol NA 1.8 liter 2ZR-FXE berkuasa 98 PS/142 Nm yang digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 72 PS/163 Nm, memberikan kuasa keseluruhan 122 PS.

    GALERI: Toyota Corolla Cross pasaran Thailand

     
     
  • Jeep Grand Cherokee Trackhawk kini di M’sia – SUV dengan enjin V8 6.2L Supercharged 707 hp, RM869k!

    Jeep Grand Cherokee Trackhawk kini di M’sia – SUV dengan enjin V8 6.2L Supercharged 707 hp, RM869k!

    Kita di Malaysia mungkin tak berpeluang untuk melihat antara muscle car produksi Amerika Syarikat yang paling berkuasa iaitu Dodge Charger SRT Hellcat dijual di sini. Tetapi untuk anda yang berduit dan mahu merasa penangan Hellcat berkenaan, ini dia SUV yang menggunakan enjin sama dengan Hellcat – Jeep Grand Cherokee Trackhawk sudah di bawa ke pasaran tempatan oleh TAHB Automotive!

    Trackhawk yang dijual pada pasaran Malaysia ini adalah versi kemaskini model 2020. Ia dijana oleh enjin V8 6.2 liter dengan pendesak Supecharger, menghasilkan 707 hp dan tork maksima 875 Nm – angka yang sama dihasilkan Dodge Charger dan Challenger, namun hanya 3 hp kurang dari SUV Dodge Durango SRT Hellcat.

    Model pasaran Malaysia ini juga datang standard dengan rim aluminium 20-inci, dibaluti tayar run-flat Pirelli Scorpion Zero bersaiz 295/45R20. Manakala untuk sistem brek pula, ia dibekalkan dengan cakera berliang 400 mm bersama angkup enam-omboh di depan, serta cakera 350 mm dan angkup empat omboh di belakang.

    Jeep Grand Cherokee Trackhawk kini di M’sia – SUV dengan enjin V8 6.2L Supercharged 707 hp, RM869k!

    Grand Cherokee Trackhawk ini juga diberikan mod pemanduan yang boleh dipilih, bersama tetapan penyerap hentak adaptif Selec-Track, iaitu mod Track, Sport, Auto, Snow dan Tow.

    Pada bahagian kabin pula, Grand Cherokee Trackhawk ini menampilkan upholsteri kulit Laguna bersama serlahan jahitan benang dan juga logo Trackhawk pada perehat tempat duduk hadapan. Model ini juga diberikan pemanas dan juga aliran pendingin hawa pada tempat duduk hadapan, manakala di belakang hanya diberikan pemanas.

    Kabin SUV ini juga diberikan sistem active noise cancellation, pendingin hawa automatik dua-zon, dan juga bumbung suria panaromik.

    Untuk hiburan pula, model ini diberikan sistem infotainmen UConnect 4C dengan skrin 8.4-inci bersama sistem navigasi GPS dan juga sokongan Apple CarPlay serta Android Auto, dihubungkan kepada sistem bunyi premium Harman Kardon 825-watt dengan 19-pembesar suara.

    Jeep Grand Cherokee Trackhawk kini di M’sia – SUV dengan enjin V8 6.2L Supercharged 707 hp, RM869k!

    Ia juga diberikan kamera undur ParkView dengan bantuan parkir selari dan serenjang. Manakala untuk keselamatan, SUV ini hadir dengan tujuh-beg udara termasuk pada bahagian tirai dan lutut pemandu.

    Jeep Grand Cherokee Trackhawk ini dijual pada harga RM869,000 tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insuran. Dan, satu kelebihannya sebagai SUV di Malaysia, ia tampil dengan bayaran cukai jalan yang lebih menarik – dengan enjin 6,166 cc, pemilik Trackhawk perlu membayar cukai jalan bernilai RM6,705.60 setahun, berbanding enjin dengan kapasiti sama pada sedan memerlukan cukai jalan dibayar pada kadar RM16,377!

    Harga yang dinyatakan ini turut mengambilkira pengecualian cukai jualan sebanyak 50% untuk kenderaan CBU sehingga 30 Jun 2021 ini. Jika anda rasa Trackhawk ini terlalu melebih-lebih, anda boleh memilih Jeep Grand Cherokee SRT yang turut telah dibawa dan dilancarkan oleh TAHB Automotive, dijual pada harga RM718,000 – lebih perincian berkenaannya pada PAUTAN INI.

     
     
  • Lotus Evija dapat “bunyi enjin” palsu dari enjin V8 jentera F1 Type 49, hasil kerja produser muzik British

    Lotus Evija dapat “bunyi enjin” palsu dari enjin V8 jentera F1 Type 49, hasil kerja produser muzik British

    Lotus Evija mungkin adalah model paling pantas pernah dihasilkan pembuat kereta sport British berkenaan – ia dibekalkan dengan kuasa 2,000 PS dan tork maksima 1,700 Nm, membolehkan ia memecut dari pegun hingga 300 km/j dalam masa tak sampai 9 saat.

    Namun apa yang mungkin menrencatkan keseronokan memandunya ialah, kereta ini ‘bisu’ kerana Evija adalah hypercar yang digerakkan oleh kuasa elektrik sepenuhnya menerusi empat motor elektrik. Tapi, Lotus tidak akan membiarkan Evija akan terus bisu seperti kereta elektrik lain kerana mereka kini telahpun menghasilkan “bunyi enjin” palsu dengan bantuan Patrick Patrikios, produser muzik terkenal dari Britain.

    Patrikios pernah berkerjasama dengan ramai penyanyi antarabangsa seperti Olly Murs, Sia, Britney Spears, Pixie Lott dan ramai lagi. Untuk projek ini, dia memilih untuk menghasilkan bunyi enjin Evija yang diinspirasikan dari jentera Formula 1 ikonik, Lotus Type 49.

    Type 49 adalah kereta lumba F1 yang direka sendiri oleh pengasas Lotus, Colin Chapman untuk kejohanan musim 1967. Kereta yang pernah dipandu oleh pelumba lagenda British seperti Jim Clark dan Graham Hill berkenaan dikuasakan oleh enjin Cosworth-Ford DFV 3.0 liter V8 tanpa turbo yang dibangunkan oleh Lotus.

    “Ada keaslian pada V8 berkenaan, ia mempunyai had yang asli serta emosi yang memainkan sesuatu dalam jiwa anda, seperti lagu terbaik,” jelas Patrikios.

    Proses menghasilkan bunyi enjin palsu ini bermula dengan proses merekod bunyi Type 49 sebenar, kemudian dimasukkan ke dalam komputer bagi dimanipulasi secara digital. Dengan memperlahankan not enjin berkenaan, Patrikios berjaya menghasilkan frekuensi yang sama seperti bunyi pemanduan asli yang dihasilkan oleh unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya Evija.

    “Saya melaras kelajuan main semula dan penuras digital dari Type 49 bagi menghasilkan bunyi suasana untuk Evija – ia merupakan proses yang sangat organik. Kami semua mahukan sesuatu untuk meletuskan hubungan emosi antara kereta dan pemandu. Bunyi adalah sangat mempengaruhi apabila menyentuh hal bagi mewujudkan dan membentuk emosi, untuk memperkaya hubungan yang menjadi bahagian kritikal pada pengalaman memandu Lotus,” kata produser muzik itu lagi.

    Tugas utama Patrikios bukan sahaja untuk menghasilkan bunyi luaran untuk Evija, namun sebenarnya dia turut bertanggungjawab bagi menghasilkan bunyi-bunyi lain untuk kereta sport berkenaan dari bunyi flasher ketika lampu isyarat membelok dipasang sehingga bunyi amaran pemakaian tali pinggang keledar.

     
     
  • Jeep Grand Cherokee SRT dilancar di M’sia – 6.4L Hemi V8, 475 hp/644 Nm, RM719k dengan SST 50%

    Jeep Grand Cherokee SRT dilancar di M’sia – 6.4L Hemi V8, 475 hp/644 Nm, RM719k dengan SST 50%

    Jeep Grand Cherokee SRT telah pun dilancarkan untuk pasaran Malaysia, menyertai barisan model yang lain termasuk Jeep Grand Cherokee Trackhawk yang menyertai Compass yang telah diperkenalkan di pasaran tempatan pada tahun lalu menerusi TAHB Automotive. Walau bagaimana pun, ia merupakan model tahun 2020 dan rasanya masih belum terlewat untuk diperkenalkan di pasaran sini.

    Ia dipadankan dengan enjin 6.4 liter naturally aspirated Hemi V8 dengan hamburan kuasa hingga 475 hp dan tork 644 Nm. Angka prestasi tersebut sedikit dipertingkatkan berbanding model 2015 dengan 461 hp dan tork 624 Nm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan dan pacuan semua-roda.

    Ia turut diberikan tayar run-flat Pirelli Scorpion Zero berukuran 295/45R di hadapan dan belakang dengan roda aluminium bersama kemasan hitam sutera. Brek Brembo turut ditampilkan, memberikan kuasa berhenti yang mencukupi buat Grand Cherokee SRT, yang turut disertakan dengan kaliper enam-omboh pada roda hadapan dan empat-omboh di belakang.

    Turut ditampilkan ialah mod pemanduan pilihan pemandu termasuk sistem peredam adaptif Selec-Track dengan mod Track, Sport, Auto, Snow dan Tow. Menurut Jeep, kapasiti tangki bahan api untuk jentera lasak ini mencecah 93 liter.

    Di dalamnya, Grand Cherokee SRT menampilkan kulit Laguna dengan jahitan menyerlah dan logo SRT berwarna hitam pada tempat duduk hadapan, selain diberikan fungsi haba dan aliran udara. Ciri lain yang turut diberikan termasuklah penebat bunyi bising, pendingin hawa dwi-zon dengan kawalan suhu automatik, bumbung panoramik dan juga pencahayaan yang lebih semulajadi untuk dalaman kabin.

    Untuk sistem infotainment, ia diberikan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto yang menjadi sebahagian daripada sistem UConnect 4C dengan paparan 8.4-inci, sistem bunyi Harmon Kardon 825-wat, sistem audio premium 19-pembesar suara dan navigasi GPS.

    Jeep Grand Cherokee SRT dilancar di M’sia – 6.4L Hemi V8, 475 hp/644 Nm, RM719k dengan SST 50%

    Ciri tambahan lain termasuk kamera undur ParkView, Bantuan Parkir, enam beg udara merangkumi bahagian pemandu dan penumpang hadapan, bahagian tirai, sisi hadapan dan bahagian lutut.

    Jeep Grand Cherokee SRT ditawarkan pada harga RM718,000 tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans, dan termasuk 50% pengecualian bagi cukai jualan (SST) untuk kenderaan model import sepenuhnya (CBU), sehingga 30 Jun 2020, dan model ini kini boleh didapati menerusi TAHB Automotive di cawangan Jeep Glenmarie.

     
     
  • Kluster Bukit Bayas di Terengganu petunjuk bahawa belum tiba masa rentas negeri – Kem. Kesihatan

    Kluster Bukit Bayas di Terengganu petunjuk bahawa belum tiba masa rentas negeri – Kem. Kesihatan

    Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membayangkan bahawa aktiviti merentas negeri masih belum dibuka dalam masa terdekat walaupun angka jangkitan harian Covid-19 menunjukkan penurunan yang banyak akhir-akhir ini.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kementerian berkenaan menerusi laman Facebook rasmi mereka baru-baru ini, jelas terdapat kluster baharu wujud akibat aktiviti rentas negeri kebelakangan ini yang terjadi berpunca sebahagian kecil rakyat yang merentas negeri dengan kebenaran polis atas urusan-urusan tertentu.

    Antara kluster yang dimaksudkan adalah Kluster Bukit Bayas di Terengganu dan Kluster Pasai di Sarawak yang berlaku akibat aktiviti rentas negeri untuk menziarahi ahli keluarga meninggal dunia.

    “Bermula dengan majlis tahlil yang dihadiri 45 ahli keluarga termasuk dari Johor, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang akhirnya menjadi kluster apabila 15 daripada mereka disahkan positif COVID-19.

    “Kontak rapat keluarga menjangkiti kontak rapat di tempat kerja dan kontak rapat sosial termasuk rakan joging serta rakan main golf.

    Kluster Bukit Bayas di Terengganu petunjuk bahawa belum tiba masa rentas negeri – Kem. Kesihatan

    “Kluster Bukit Bayas adalah kluster rentas negeri terbaharu di Terengganu membabitkan 48 kes positif setakat 12 Mac dan merebak di lima daerah,” kata KKM dalam kenyataan tersebut.

    Kenyataan berkenaan turut memetik Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, yang memaklumkan kes sedemikian pernah berlaku di Besut, Terengganu, apabila ahli keluarga dari Kuantan dan Johor menziarahi nenek berusia 100 tahun yang sakit tua yang menyebabkan lima ahli keluarga dikesan positif COVID-19 termasuk nenek yang uzur dan akhirnya meninggal dunia.

    KKM juga menjelaskan berkenaan Kluster Pasai di Sarawak yang membabitkan aktiviti rentas negeri kes indeks dari Johor yang pulang ke Sibu bagi menghadiri pengebumian mendiang bapanya sebelum menyebar jangkitan ke rumah panjang.

    “Lebih 2,600 dikesan positif dan kluster itu masih aktif dan merebak hingga generasi keenam. Dua kluster ini menjadi contoh mengapa pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan,” tulis kenyataan itu.

    Kluster Bukit Bayas di Terengganu petunjuk bahawa belum tiba masa rentas negeri – Kem. Kesihatan

    KKM mengingatkan orang ramai walaupun rentas negeri untuk kes kecemasan dibenarkan namun individu yang mahu berbuat demikian perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk melindungi ahli keluarga daripada risiko penularan Covid-19.

    “Jika diri kita kurang sihat dan bergejala, langkah paling selamat untuk diri sendiri dan orang lain ialah tidak perlu rentas negeri.

    “Walaupun jumlah kes jangkitan baharu menunjukkan trend penurunan, belum tiba masanya kita merentas negeri kerana pandemik ini masih bahaya dan jangkitan sangat mudah berlaku,” jelas KKM.

     
     
  • Kia EV6 – gambar rasmi didedah sebelum pelancaran

    Kia EV6 – gambar rasmi didedah sebelum pelancaran

    Kia telah mendedahkan satu set gambar awal untuk EV6, iaitu model pacuan elektrik penuh pertama mereka yang menggunakan platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP). Kenderaan ini membawa falsafah rekaan baru “Opposites United” yang bakal digunakan oleh Kia untuk kenderaan masa hadapan mereka, dan mendapat inspirasi daripada kontras yang terdapat antara alam dan manusia.

    Menurut Kia, tumpuan utama pada pendekatan rekaan ini adalah “satu identiti visual baru yang membangkitkan tenaga positif dan semula jadi, dengan kombinasi kontras antara elemen gaya tajam serta bentuk berstruktur.” Syarikat ini juga menyatakan empat aspek rekaan penting: “berani untuk alam,” “keseronokan bersebab,” “kuasa untuk maju,” “teknologi untuk kehidupan,” dan “ketegangan untuk ketenangan.”

    Melihat kepada gambar, rekaan luar EV6 menampilkan lampu DRL yang tajam serta mempunyai garis terputus, dan ia membentuk sebahagian daripada “muka harimau digital” yang dikatakan sebagai satu kemajuan rekaan yang membawa semangat gril tiger nose Kia kepada era elektrifikasi.

    Lampu utama diapit oleh DRL ini atas dan bawah, dan bahagian atasnya ditarik sehingga ke lengkuk roda, yang mempunyai perincian halus. Pada bahagian bawah bampar, terdapat bukaan udara lebar yang dikatakan dapat membantu menghalakan udara kepada tempat yang memerlukan serta ke bawah kenderaan untuk menjadikan kereta lebih aerodinamik.

    Kia EV6 – gambar rasmi didedah sebelum pelancaran

    Dilihat pada bahagian tepi, kereta ini jelas mempunyai pengaruh crossover, bersama c-pillar yang dihitamkan separuh supaya bumbung nampak seperti terpisah atau terapung. Pembuka pintu menggunakan jenis yang sama rata dengan permukaan dan terkeluar bila perlu manakala rendah di bawah terdapat jalur krom yang menaik ke belakang dan garisnya bersambung dengan lampu belakang.

    Lagi di bahagian belakang, cermin yang condong dipasang dengan spoiler bumbung, sementara pintu but itu sendiri juga mempunyai bentuk yang menjongket dan bertindak sebagai spoiler kedua. Lampu menggunakan bentuk nipis dan melengkung, dan bersambung dengan jalur kemasan krom di bawah, dengan perincian seperti berlian.

    Untuk bahagian dalam, Kia menjanjikan ruang yang lebih luas dengan platform E-GMP ini, berbanding EV mereka yang menggunakan platform sedia ada sekarang. Skrin melengkung untuk panel instrumen digital dan sistem infotainmen duduk di atas papan pemuka yang nipis, dan di bawahnya terdapat corong pendingin hawa yang menggunakan bentuk jalur melintang dari tengah sehingga ke tepi.

    Kia EV6 – gambar rasmi didedah sebelum pelancaran

    Pada bahagian lain, anda akan dapat melihat konsol tengah bertingkat, dengan bahagian atas menempatkan kawalan pendingin hawa, butang pemula enjin, pemilih mod pemanduan, tempat cawan, pengecas tanpa wayar, tempat meletak barangan dan pengecas USB.

    Perincian halus berbentuk segi tiga pada papan pemuka turut digunakan pada bahagian perehat tangan, sementara warna yang terang memberikan sedikit kontras untuk menghidupkan suasana di kabin. Bagi pemandu, roda stereng dua cabang yang digunakan seakan mengingatkan kepada kenderaan Genesis dan Kia menyatakan terdapat beberapa bahagian yang menggunakan plastik kitar semula. Perincian teknikal masih belum didedahkan.

     
     
  • Peugeot Malaysia kini di bawah Berjaya Auto Alliance guna logo kepala singa dan identiti korporat baharu

    Peugeot Malaysia kini di bawah Berjaya Auto Alliance guna logo kepala singa dan identiti korporat baharu

    Bulan lalu, Peugeot telah memperkenalkan logo dan juga identiti baharu mereka. Walaupun logo terkini dengan imej kepala singa tersebut nampak sangat berbeza dengan ‘singa berdiri’ pada logo sebelumnya, ia sebenarnya menggunakan semula rekaan pada era 1960’an tetapi diberikan sentuhan moden dengan elemen lebih dua-dimensi.

    Ini adalah perubahan kali ke-11 untuk logo Peugeot sejak jenama automotif Perancis berkenaan ditubuhkan pada 1850. Rombakan kali ini dibuat menandakan bahawa mereka sudah bersedia untuk masuk ke era digital dan elektrifikasi, serta menjadi jenama yang lebih premium dari sebelum ini.

    Menurut Peugeot, identiti jenama mereka yang baharu ini akan mula digunapakai menerusi material-material komunikasi jenama dan juga di jaringan pengedar, dengan sekitar 20 outlet yang bertaraf flagship di seluruh dunia mengenakan identiti baharu berkenaan menjelang akhir bulan ini, serta 1,500 pengedar lain akan menggunakannya pada akhir 2021. Kesemua lokasi pengedar diseluruh dunia dijangka akan lengkap dijenamakan semula pada tahun 2023.

    Peugeot Malaysia kini di bawah Berjaya Auto Alliance guna logo kepala singa dan identiti korporat baharu

    Peugeot Malaysia juga kini sudah mula beralih menggunakan logo dan imej korporat baharu berkenaan, yang anda boleh lihat sekiranya melayari laman sesawang rasmi dan juga pada platform media-media sosial rasmi mereka. Imej baharu ini juga sebenarnya sampai tepat pada masanya kerana Peugeot Malaysia kini baru sahaja melalui transisi yang sangat besar.

    Bagi yang tidak tahu, Peugeot – yang mempunyai sejarah yang cukup lama di Malaysia – kini adalah di bawah pentadbiran Berjaya Auto Alliance Sdn Bhd untuk pasaran tempatan, selepas syarikat berkenaan mengambil alih dari Naza Group akhir tahun lalu.

    BAASB adalah syarikat kerjasama antara Berjaya Corp dengan pegangan saham 51%, dan juga Bermaz Auto (juga pengedar Mazda di Malaysia) dengan kepentingan 20%. Jadi, Peugeot Malaysia semamangnya kini sedang memasuki satu era baharu.

    Peugeot Malaysia kini di bawah Berjaya Auto Alliance guna logo kepala singa dan identiti korporat baharu

    “Kami mensasarkan untuk terus merevolusikan pengalaman pelanggan bersama dengan rakan kerjasama baharu kami, BAASB dan mengutamakan komitmen kami kepada pelanggan menerusi servis jualan dan selepas jualan yang cemerlang,” kata naib presiden Groupe PSA untuk Asia Tenggara, Laurence Noel dalam pengumuman yang dibuat pada 1 Disember 2020.

    Walaupun sudah bertukar pengurusan, Malaysia masih lagi kekal sebagai hab eksport Peugeot untuk rantau ASEAN dengan pangkalan PSA yang terletak di Gurun, Kedah. Produk-produk baharu kini sedang dalam perancangan, bermula dengan Peugoet 2008 generasi kedua, yang sudah pun dilihat sedang diuji di Malaysia.

    Peugeot Malaysia juga sebelum ini sudahpun menjanjikan “waranti 5+5 tahun” bagi memulihkan semula persepsi berkenaan servis selepas jualan mereka. Manakala logo baharu ini pula akan mula digunakan pada model 308 generasi baharu nanti.

     
     
  • Skuter WMoto RT3 2021 tiba — 247 cc, dari RM15,188

    Skuter WMoto RT3 2021 tiba — 247 cc, dari RM15,188

    Barisan motosikal dan skuter WMoto di Malaysia menerima tambahan terbaru dengan pengenalan WMoto RT3 2021, dijual pada harga RM15,188 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Skuter dalam kelas 250 cc ini direka untuk menjadi pesaing langsung kepada model seperti Yamaha XMax 250 yang dijual pada harga RM21,500.

    Menggunakan enjin 247 cc, silinder-tunggal sejukan cecair dengan empat-injap dan DOHC serta suntikan minyak EFI, WMoto RT3 menghasilkan 23 hp pada 8,000 rpm dan 22.5 Nm tork pada 6,500 rpm dengan transmisi CVT dengan belt drive. Sebagai perbandingan, Yamaha XMax menghasilkan 22.5 hp pada 7,000 rpm dan 24.3 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Skuter RT3 ini datang dengan tangki minyak berkapasiti 17-liter, angka yang besar untuk kelasnya; pada kebiasaannya, model pesaing hanya dilengkapi dengan tangki 13 liter. Brek pula menggunakan jenis cakera hidraulik tunggal di depan dan belakang, dengan ciri ABS Bosch sebagai kelengkapan standard.

    Skuter WMoto RT3 2021 tiba — 247 cc, dari RM15,188

    Suspensi menggunakan fork teleskopik konvensional yang memegang rim 15-inci serta di belakang dengan penyerap hentak berkembar, boleh larasan mengikut beban, dengan rim 14-inci. Berat skuter ini didakwa 194 kg — XMax lebih ringan dengan 179 kg — sementara ketinggian tempat duduknya 755 mm, berbanding 795 mm pada XMax.

    Kelengkapan lain termasuk kunci pintar, dengan ruang bawah pelana boleh memuatkan sebuah helmet muka penuh dan baju hujan dan lain-lain barangan. Dua slot USB tersedia dalam glovebox di depan dan panel instrumen merupakan gabungan speedometer analog dengan paparan LCD untuk maklumat tunggangan.

    Lampu LED digunakan pada skuter ini, dan ia ditawarkan dalam tiga pilihan warna Glittery Blue, Matte Grey dan merah. Skuter ini akan berada di semua pengedar sah WMoto bermula minggu ini, serta datang dengan jaminan kilang selama dua-tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Nissan dan Mitsubishi persiap EV kompak untuk 2022

    Nissan dan Mitsubishi persiap EV kompak untuk 2022

    Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Nikkei Asia, Nissan dan Mitsubishi dikatakan sedang membangunkan kereta kompak (kei car) elektrik yang akan dijual di Jepun tahun hadapan pada harga sekitar dua juta yen (RM75,472) tanpa subsidi. Dengan subsidi tempatan di bandar seperti Tokyo, harganya boleh jatuh sehingga 1.5 juta yen ((RM56,597).

    EV kompak ini akan menggunakan platform serta pek bateri yang sama, dan dijangka boleh memberi jarak gerak sekitar 200 km. Idea ini sudah diketengahkan oleh Nissan sebelum ini dengan mempamerkan IMk Concept waktu Tokyo Motor Show 2019.

    Kereta yang berbentuk petak ini mempunyai ukuran panjang 3,434 mm, lebar 1,512 mm dan tinggi 1,644 mm, sekaligus meletakkannya hampir dengan syarat kei car. Ia juga mempunyai ruang dalam seperti kabin rehat serta teknologi sambungan dan ProPILOT terkini.

    Mitsubishi juga pernah menjual EV kompak iaitu i-MiEV, tetapi harganya agak tinggi berbanding harga yang dinyatakan di atas. Di Jepun, kei car menyumbang 40% daripada jualan keseluruhan kenderaan di negara itu, dan semestinya, versi EV diperlukan untuk meningkatkan jumlah kenderaan elektrik di atas jalan. Harganya juga perlulah mampu milik.

    GALERI: Nissan IMk Concept 2019

     
     
  • KL Monorail alami isu teknikal hari ini, hanya 3 tren ulang-alik disediakan, beroperasi dari Platform 2 saja

    KL Monorail alami isu teknikal hari ini, hanya 3 tren ulang-alik disediakan, beroperasi dari Platform 2 saja

    Rapid KL telah memaklumkan perkhidmatan KL Monorail sedang mengalami isu teknikal pada pagi ini. Menurut info yang dikongsikan menerusi laman media rasminya, Rapid KL berkata pihaknya menyediakan tiga tren perantara ulang-alik untuk para pengguna menyambung perjalanan ke destinasi masing-masing.

    Ini bermakna pengguna yang bergerak dari KL Sental menuju ke Titiwangsa atau pun sebaliknya, tiga tren ulang alik yang disediakan adalah dari stesen KL Sentral menuju ke stesen Hang Tuah (dan sebaliknya), Hang Tuah ke Bukit Nanas (dan sebaliknya) serta Bukit Nanas ke Titiwangsa (dan sebaliknya).

    Menurut Rapid KL lagi, kesemua perkhidmatan tren perantara tersebut hanya beroperasi dari Platform 2, memandangkan isu teknikal yang dihadapi adalah melibatkan trek sehala sahaja. Semua informasi terkini akan dipaparkan menerusi media rasmi Rapid KL. Bagi pengguna yang terlibat, harap bersabar dan sila rujuk jadual perjalanan tren kepada kakitangan stesen yang terbabit.

     
     
  • Honda S660 Modulo X Version Z dilancarkan di Jepun – Kei-Car edisi selamat tinggal dengan harga RM118k

    Honda S660 Modulo X Version Z dilancarkan di Jepun – Kei-Car edisi selamat tinggal dengan harga RM118k

    Tahun ini masuk tahun keenam Honda S660 berada dalam pasaran. Kereta sport enjin tengah dalam saiz Kei atau ‘Baby NSX’ ini diperkenalkan pada tahun 2015 sebagai gantian kepada Honda Beat generasi terdahulu, serta untuk menyambut ulangtahun ke-50 Honda. Model ini juga hanya dijual secara ekslusif pada pasaran Jepun.

    Tiga tahun selepas itu, S660 Modulo X pula diperkenalkan. Ia adalah versi yang menerima pakej penggayaan lebih agresif, bersama talaan semula yang dibuat pada sistem pengendalian. Versi facelift untuk S660 Modulo X tersebut kemudiannya muncul di Tokyo Auto Salon 2020, diberikan rupa yang disegarkan.

    Walau bagaimanapun, hayat produksi S660 dilihat sudah begitu lama, dan Honda sudah pun mengumumkan bahawa pengeluarannya akan dihentikan pada Mac 2022. Sehingga kini, lebih 30,000 unit S660 termasuk model Modulo X telah dijual, jadi bagi menghargai sambutan yang diterima, Honda melancarkan model selamat tinggal untuk kereta sport kecil ini, digelar S660 Modulo X Version Z.

    Honda S660 Modulo X Version Z dilancarkan di Jepun – Kei-Car edisi selamat tinggal dengan harga RM118k

    Jika versi biasa datang dengan pilihan kotak gear CVT atau manual, model S660 Modulo X ini seakan memilih pembelinya dikalangan mereka yang benar-benar suka memandu sahaja – ia hanya hadir dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

    Tiada perubahan dari segi enjin, di mana ia masih dijana enjin kapasiti maksimum untuk Kei-Car di Jepun iaitu 660 cc tiga-silinder dengan pengecas turbo, menghasilkan kuasa yang juga maksimum boleh dijana sebuah Kei-Car dari standard dari kilang iaitu 64 PS dan tork maksima 104 Nm. Enjin yang diletakkan di belakang pemandu berkenaan memindahkan putaran aci engkol ke roda belakang untuk menggerakkan kereta.

    Ia juga masih menerima perincian-perincian dari S660 Modulo X standard, termasuk penyerap hentak boleh laras dengan lima tahap, cakera brek yang ditebuk bersama pad berprestasi tinggi, bampar hadapan lebih sporty, spoiler belakang boleh laras aktif, rim aloi staggered berdiameter 15-inci di hadapan dan 16-inci di belakang, serta ekzos tengah bersepadu.

    Apa yang membezakan model edisi terhad ini dengan S660 Modulo X standard adalah berberapa perincian estetik yang diberikan. S660 Modulo X Version Z ini dihasilkan hanya dalam warna ekslusif Sonic Grey Pearl dan juga Premium Star White Pearl sahaja.

    Kemudian, kesemua emblem pada badan model edisi khas ini datang dalam kemasan hitam krom. Spoiler aktif pada penutup but belakang dan juga rim aloi juga diberikan warna hitam bagi memberikan rupa lebih agresif.

    Manakala pada sebelah dalam pula, ia diberikan banyak kemasan seakan gentian karbon, pada bahagian seperti perumah papran instrumen, corong pendingin hawa, dan juga pada panel kawalan tengah. Ia juga diberikan upholsteri gabungan Lux Suede hitam dan Bordeaux Red bersama benang jahitan kontras.

    Model edisi terhad ini juga dibekalkan sekali dengan beg ekslusif Modulo X yang boleh digantung pada bahagian tengah antara tempat duduk kiri dan kanan, serta plak alumium yang diletakkan pada penghujung konsol tengah.

    Honda S660 Modulo X Version Z ini dijual pada harga 3,150,400 yen (RM118,833), lebih mahal dari S660 Modulo X standard yang dijual pada harga 3,042,600 yen (RM114,776). Namun kebiasaannya, model-model JDM edisi terhad sempena selamat tinggal ini biasanya dicari oleh pengumpul kereta dari seluruh dunia, dan tak mustahil harga akan kekal tinggi dalam pasaran kereta terpakai kelak.

     
     
  • UMW Toyota Motor keluar teaser “the next big thing” untuk 25 Mac ini – SUV Corolla Cross dilancarkan?

    UMW Toyota Motor (UMTW) telah mengeluarkan teaser “the next big thing” menerusi laman web dan saluran media sosial rasminya, dengan menyatakan tarikh spesifik; 25 Mac 2021. Walau pun tidak mendedahkan sebarang perincian buat masa ini, tetapi anda boleh mendaftarkan minat jika mahu menjadi antara yang terawal untuk mengetahuinya.

    Berdasarkan pembentangan korporat UMW Holdings sebelum ini, difahamkan beberapa model baharu akan dilancarkan di Malaysia pada tahun ini, termasuklah Corolla Cross pada suku kedua, diikuti dengan sedan yang tidak diketahui modelnya (kemungkinan Camry facelift) dan model GR pada suku ke-empat.

    Dengan garis masa yang diberi, kami percaya ia adalah Corolla Cross yang bakal dilancarkan pada 25 Mac ini. Malahan ada nama fail “Corolla (COROLLA-COPY-06) tertera pada imej pada laman ROI.

    Memandangkan model sedan Corolla telah pun dilancarkan, jadi tertanya-tanya juga mengapa plat nama ini diuar-uarkan lagi, melainkan ia adalah sesuatu yang serba baharu. Jadi, buat masa ini kami cuma menekanya dan kena nantikan UMWT mendedahkan lebih banyak informasi mengenainya kelak.

    Jika ia memang Corolla Cross, pelanggan di sini pastinya berpeluang melihat satu lagi model yang berasaskan platform TNGA dalam barisannya. Model SUV segmen-C ini pertama kali diperkenalkan di peringkat global di Thailand pada Julai 2020, dan buat masa ini dtawarkan dengan penjana kuasa standard dan hibrid.

    UMW Toyota Motor keluar  teaser “the next big thing”  untuk 25 Mac ini  – SUV Corolla Cross dilancarkan?

    Untuk penjana kuasa bahan api flex, ia diberikan unit 2ZR-FBE 1.8 liter naturally-aspirated empat-silinder yang menghasilkan 140 PS dan tork 177 Nm, dipadankan dengan Super CVT-i. Sementara enjin hibrid pula menampilkan unit 2ZR-FXE 1.8 liter NA empat-silinder dengan kuasa 98 PS dan 142 Nm, bersama motor elektrik berkuasa 72 PS dan 163 Nm yang memberikan keseluruhan kuasa mencecah 122 PS. Larasan ini juga termasuk e-CVT dan bateri 6.5-Ah nickel-metal hydride.

    Berdasarkan pada slaid pembentangan, ia menyatakan Corolla Cross merupakan model pemasangan tempatan (CKD), dan berpotensi untuk ditawarkan dengan penjana kuasa hibrid. Walau bagaimana pun, kita mungkin akan menerima unit petrol biasa, 2ZR-FE, yang sama seperti untuk pasaran Indonesia. Apa pun, kena nantikan UMWT membongkarkan perincian lanjut mengenai model baharunya yang bakal dilancarkan pada 25 Mac ini.

    GALERI: Toyota Corolla Cross pasaran Thailand

     
     
  • GALERI: MINI Convertible LCI F57 dalam Zesty Yellow

    GALERI: MINI Convertible LCI F57 dalam Zesty Yellow

    Barisan MINI Hatch dan Convertible telah pun menerima peningkatan baru-baru ini, menampilkan rekaan,kelengkapan, kombinasi warna dan hiasan dalaman yang lebih segar. Paling menarik, ia ditawarkan dengan warna yang cukup sedap mata memandang iaitu Zesty Yellow, tetapi hanya eksklusif untuk versi soft-top sahaja.

    Convertible baharu ini diberikan imej hadapan yang lebih segar termasuk menampilkan lampu utama LED dengan kemasan gelap di dalamnya, rekaan gril haksagon yang dipertingkatkan dengan seksyen tengah yang sama dengan warna badan, corong udara menegak pada sudut bampar bagi menggantikan lampu kabus lama, serta gerbang roda yang diprofilkan semula.

    Sama seperti sebelum ini, soft-top hanya pacuan elektrik sepenuhnya, dan ia boleh dibuka dan ditutup dalam masa 18 saat, dan pada kelajuan hingga 30 km/j. Ia juga diberikan fungsi bumbung suria yang boleh dibuka pada keluasan sehingga 40 cm, pada apa jua kelajuan.

    GALERI: MINI Convertible LCI F57 dalam Zesty Yellow

    Sebagai alternatif pada bumbung hitam, MINI Yours soft-top juga diberikan. Ia ditampilkan dengan jaring berpaten ala Union Jack dengan warna kelabu titanium, bersama grafik anak panah dinamik yang pertama kali dilihat pada Convertible Sidewalk Edition. Ia juga diberikan rekaan roda baharu dengan pilihan saiz 17- dan 18-inci.

    Tiga pilihan penjana kuasa diberikan untuk Convertible termasuk unit B38 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder yang mampu menghasilkan kuasa 102 PS pada One dan 136 PS pada Cooper. Manakala unit penjana kuasa yang lebih besar iaitu 2.0 liter turbo empat-silinder dengan 178 PS pada Cooper S dan 231 PS pada John Cooper Works (gambar di sini). Dengan manual enam-kelajuan, model JCW boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.6 saat sementara pilihan automatik Steptronic lapan-kelajuan pula 6.5 saat.

    Menurut MINI, pasaran paling penting untuk Convertible ialah Jerman, diikuti dengan Amerika Syarikat dan Britain. Jualan di pasaran berkenaan mengatasi Perancis, Sepanyol dan Portugal. Pada tahun 2020, satu daripada lima MINI yang terjual di Jerman ialah Convertible.

     
     
  • Bermaz dijangka bakal perolehi Kia di M’sia April ini

    Bermaz dijangka bakal perolehi Kia di M’sia April ini

    Selepas pelbagai khabar yang bertiup, Bermaz Auto (BAuto) yang kini merupakan pemegang hak pengedaran kenderaan jenama Mazda di Malaysia, sah akan turut memegang hak francais untuk Kia pula selepas jenama Korea berkenaan dilepaskan oleh Naza Group.

    Menurut laporan pelabur yang disediakan oleh AmInvestment Bank, BAuto dijangka akan mendapatkan hak bagi mengilang, pemasangan dan pengedaran untuk jenama Kia dalam masa terdekat, berkemungkinan pada bulan hadapan. Ia mungkin lebih lewat dari jangkaan tersebut, tetapi apa yang pasti rundingan berkenaan memang sedang berjalan untuk melengkapkan transaksi ini.

    Naza Group bukan sahaja melepaskan hak nya terhadap Kia, malah langkah penstrukturan semula syarikat berkenaan turut melibatkan penguguran jenama Peugeot dalam profil perniagaan mereka. Jenama Perancis berkenaan telah selamat diambil alih Berjaya Auto Alliance (BAASB) pada Disember lalu, iaitu syarikat kerjasama yang diwujudkan antara Berjaya Corporation dan BAuto.

    BAuto telah dikhabarkan untuk mengambil alih Kia sejak tahun lalu, namun masih lagi tidak diketahui sama ada pengambilalihan jenama Korea tersebut akan melibatkan kerjasama dengan Berjaya Group atau tidak. Walau bagaimanapun dengan semua perkembangan yang telah berlaku ini, berkemungkinan besar Kia mungkin hanya dimiliki oleh BAuto.

     
     
  • Indian Motorcycles dapat pengedar baru di Malaysia?

    Indian Motorcycles dapat pengedar baru di Malaysia?

    Sejak perjanjian antara Indian Motorcycle dengan pengedarnya di Malaysia, iaitu Naza Group ditamatkan, tidak banyak yang dapat kita dengar tentang jenama motosikal dari Amerika Syarikat ini. Walaubagaimanapun, beredar khabar angin sekarang yang mengatakan pengedar baru bakal dilantik, dengan pembukaan pusat pameran flagship pada bulan Mei tahun ini.

    Pengumuman rasmi oleh pemilik jenama Indian Motorcycles, iaitu Polaris dijangka dibuat pada bulan April dan sumber kami yang rapat dengan perkara ini mengatakan pusat pameran itu akan dibuka di tengah bandaraya Kuala Lumpur dan sedang dalam proses mendapatkan kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

    Penghantaran pertama motosikal Indian ke Malaysia di bawah pengedar baru ini akan bermula pada bulan Jun dan enam unit model FTR, iaitu empat FTR Race dan dua FTR Black juga akan dibawa masuk. Bagi model FTR Carbon pula, ia dijangka cuma boleh tiba pada hujung tahun.

    Pengedar baru di Malaysia ini akan bertanggung jawab menjaga jualan, khidmat selepas jualan, alat ganti serta aksesori untuk Indian Motorcycles, dan sekarang ini terdapat perancangan untuk memperluaskan lagi jenama tersebut dalam negara bersama pengedar motosikal sedia ada dengan kerjasama strategik.

     
     
  • Proton akan siasat kes kemalangan X50 disebabkan oleh Penasihat Jualan, didakwa pandu 180 km/j

    Proton akan siasat kes kemalangan X50 disebabkan oleh Penasihat Jualan, didakwa pandu 180 km/j

    Jika bulan lepas viral di media sosial di mana seorang individu kemalangan ketika memandu uji sebuah Mercedes-AMG E43, minggu ini gempar pula kisah seorang Penasihat Jualan Proton yang menyebabkan sebuah X50 kemalangan “total lost” ketika dalam perjalanan menghantar unit berkenaan kepada pelanggan.

    X50 berwarna merah tersebut dibeli oleh seorang pelanggan di Johor Bahru dari pengedar yang terletak di Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun ketika proses penghantaran dibuat, kereta yang dipandu oleh Penasihat Jualan berkenaan terlibat dalam kemalangan.

    Kereta tersebut di dakwa dipandu pada kelajuan 180 km/j dan kemudian terbabas menyebabkan kemalangan yang agak teruk berlaku. Seperti yang anda boleh lihat pada gambar yang dikongsikan ini, X50 berkenaan rosak teruk sehingga ke bahagian bumbung, berkemungkinan ia telah terbalik. Walau bagaimanapun, Penasihat Jualan berkenaan dilaporkan tidak mengalami kecederaan yang teruk.

    Jadi, kami menghubungi pihak Proton sendiri bagi mendapat respon terus dari syarikat tersebut berkenaan perkara ini. “Pertama sekali Proton bersyukur kerana tiada yang tercedera dalam kemalangan berkenaan. Walau bagaimanapun kami sedang memantau perkara ini secara serius dan akan menjalankan siasatan berhubung tindakan yang diambil oleh Penasihat Jualan dan Pengedar. Tindakan akan diambil sekiran didapati ada prosedur penghantaran Proton yang dilanggar,” tulis kenyataan yang dikeluarkan oleh Proton.

    Proton akan siasat kes kemalangan X50 disebabkan oleh Penasihat Jualan, didakwa pandu 180 km/j

    Perjalanan dari KL ke JB sememangnya sangat jauh. Kereta tersebut sebenarnya dibeli oleh pelanggan berkenaan dari seorang agen wanita yang juga bekas Penasihat Jualan Proton. Disebabkan dia bukan lagi staf Proton, penghantaran berkenaan perlu dibuat oleh seorang lagi Penasihat Jualan lelaki yang masih bertugas dan selepas itu menyebabkan kemalangan ini terjadi.

    Berita ini ditularkan sendiri di laman sosial oleh agen wanita berkenaan dan meminta orang ramai untuk turut berkongsi. Ini adalah kejadian yang sangat malang bagi semua pihak yang terlibat, dan ia berlaku menerusi situasi yang sangat unik.

    Ketika membeli kereta, anda sepatutnya sentiasa membeli terus dari pengedar bertauliah yang dekat dengan tempat tinggal anda, dan bukan dari negeri berlainan. Ini boleh mengelakkan sebarang keperluan untuk memandu atau mengangkut kereta tersebut dalam proses penyerahannya kepada anda, secara tidak langsung akan mengurangkan sebarang risiko yang berkaitan dengan penghantaran.

    Proton akan siasat kes kemalangan X50 disebabkan oleh Penasihat Jualan, didakwa pandu 180 km/j

    Disarankan juga untuk mengambilnya terus di bilik pameran; dengan cara ini anda boleh membuat pemeriksaan terakhir sebelum menandatangani sebarang dokumen yang diperlukan.

    Dalam kes ini, sekiranya X50 berkenaan selamat sampai ke tangan pemiliknya sekalipun, ia sudah tentu telah dipandu beratus kilometer, dan dipandu secara laju selama berberapa jam. Kebanyakkan kereta baharu disarankan untuk melalui tempoh running in terlebih dahulu – anda perlu memandu secara ‘lembut’ dalam 1,000 km pertama – dan ini sememangnya telah disebut dalam manual pengguna X50.

    Jadi memang tiada sebarang jaminan bahawa Penasihat Jualan berkenaan akan memandu kereta berkenaan secara berhati-hati, yang paling selamat ialah menerusi penjagaan oleh anda sendiri dalam tempoh tersebut. Memandu dengan laju dalam tempoh running in juga mungkin akan menyebabkan masalah di kemudian hari nanti.

    Proton akan siasat kes kemalangan X50 disebabkan oleh Penasihat Jualan, didakwa pandu 180 km/j

    Satu lagi nasihat yang baik dari pengeluar adalah elakkan dari menggunakan khidmat ejen, dan terus beli dari Penasihat Servis dan pengedar bertauliah. Sama juga dalam hal yng melibatkan pembayaran – jangan melakukan transaksi wang kepada akaun persendirian. Kesemua pembayaran perlulah dibuat kepada akuan syarikat. Proton sebelum ini telah mengeluarkan amaran sebegini, begitu juga dengan Perodua yang baru sahaja mengeluarkan amaran semalam berkenaan ada scammer yang mula mengambil kesempatan atas jualan Ativa.

    Juga, semua wakil jualan rasmi telah pun diberikan latihan produk dari pengeluar; mereka sepatutnya perlu memberikan penerangan menyeluruh kepada anda berkenaan ciri dan fungsi kereta baharu tersebut semasa proses penyerahan. Ejen mungkin tidak menerima latihan ini dan mungkin akan memberikan informasi salah kepada anda.

    Kita bukan beli kereta baru setiap bulan, jadi tak rugi sekiranya anda redah sahaja segala proses yang rumit ini bagi memastikan ia berjalan lancar tanpa masalah. Tengok, pandu uji kemudian beli kereta berkenaan menerusi pengedar bertauliah.

    Apabila tiba masa untuk serahan, alami sendiri pengalaman “lawatan sambil belajar” yang dibuat oleh Penasihat Jualan berkenaan kereta dan juga fasiliti servis selepas jualan. Jika perlu juga kereta untuk dihantar kepada anda, jangan kedekut untuk menggunakan perkhidmatan lori flat bed. Kereta bukan murah, jadi buatlah keputusan bijak, jangan ambil sebarang risiko yang tak perlu.

     
     
  • Nissan Ariya dapat warna baru Aurora Green, Akatsuki Copper; proses berasaskan air kurangkan C02 25%

    Nissan Ariya dapat warna baru Aurora Green, Akatsuki Copper; proses berasaskan air kurangkan C02 25%

    Nissan giat bergerak ke arah mengurangkan emisi pada kenderaan keluarannya; syarikat itu kini misalnya sedang bersiap untuk memperkenalkan crossover elektrik sepenuhnya yang pertama jenama tersebut. Model itu dikenali dengan nama Ariya. Bulan lalu Nissan memaklumkan kereta tersebut akan menjadi SUV paling aerodinamik pernah dikeluarkan jenama itu, dengan sasaran angka drag coefficient value 0.297 Cd.

    Terkini, Nissan mengumumkan 10 lagi warna baru untuk Ariya, termasuk empat pilihan tona tunggal an enam pilihan dwi-tona. Cat ini melibatkan teknologi maju dan hijau yang mengurangkan output karbon dioksida sebanyak 25%. Warna baru itu termasuklah Akatsuki Copper dan Aurora Green.

    Menurut syarikat itu, Akatsuki Copper diilhamkan oleh frasa “subuh” dalam bahasa Jepun, dengan warna itu mencerminkan warna ketika suasana fajar menyinsing. Bagi Aurora Green pula, ia jelas mengambil inspirasi daripada warna cahaya aurora borealis.

    Nissan Ariya dapat warna baru Aurora Green, Akatsuki Copper; proses berasaskan air kurangkan C02 25%

    Bagaimana Nissan berhasil mencapai pengurangan pembebasan C02 dalam proses mengecat? Dengan cara menggunakan cat berasaskan air. Ini membolehkan cat berkenaan digunakan dalam suhu lebih rendah, dan memastikan semua bahagian kenderaan boleh dicat bersama. Kemaskini proses inilah yang menyumbang kepada pengurangan C02.

    Pengurus warna Nissan Design Europe, Lesley Busby berkata: “Kepintaran yang diwakili oleh Nissan Ariya menyebabkan kami menerapkan cara berfikir baru sepenuhnya bagi rekaan warna yang akan digunakan. Ariya ialah cerminan kepada kepakaran mobiliti elektrik Nissan dan sebuah pernyataan kuat tentang rekaan EV masa depan.”

    “Untuk itu, kami bekerja keras untuk memperkenalkan warna yang diterajui oleh bahasa rekaan dipacu teknologi, menganalisanya secara terperinci untuk memadankannya dengan personaliti inovatif Ariya,” tambahnya.

    Nissan Ariya dapat warna baru Aurora Green, Akatsuki Copper; proses berasaskan air kurangkan C02 25%

    Crossover elektrik ini akan dilengkapi dengan dua bateri lithium-ion dengan kapasiti 63 kWh dan 87 kWh, memberikan jarak perjalanan hingga 450 km dan 610 km (kitaran WLTP). Menurut Nissan, jarak berkenaan boleh dipertingkatkan dengan talaan diperkemas bagi aspek aerodinamik dan perisian.

    Model paling asas menggunakan bateri 63 kWh akan dipasangkan motor tunggal yang menjana 160 kW (215 hp) dan 300 Nm tork (0-100 km/j dalam masa 7.5 saat). Manakala model dengan 87 kWh akan menghasilkan 178 kW (238 hp), dan lebih perlahan bagi pecutan 0-100 km/j (7.6 saat) disebabkan tambahan berat baterinya. Laju maksimum kedua-duanya ialah 160 km/j.

    Varian pacuan semua roda pula akan menerima dua motor — model 63 kWh menghasilkan 250 kW (335 hp) dan 560 Nm, dan mencapai 100 km/j 5.6 saat dengan jarak jangkaan 430 km. Model pailng tinggi pula menghasilkan 290 kW (388 hp) dan 600 Nm, dengan pecutan ke 100 km/j dalam masa 5.1 saat dan jarak 580 km. Setakat ini, tempahan untuk Ariya sudah mencecah 29,000 unit.

     
     
  • Hyundai Palisade 3.8L V6 291 hp/355 Nm dan Kona facelift sah akan dilancarkan di Malaysia tahun ini

    Hyundai Palisade 3.8L V6 291 hp/355 Nm dan Kona facelift sah akan dilancarkan di Malaysia tahun ini

    Hyundai Palisade merupakan SUV paling besar dalam barisan model Hyundai buat masa sekarang, dan ia adalah ayam tambatan jenama Korea tersebut untuk berhadapan dengan model-model SUV gergasi pada pasaran Amerika Syarikat, dilancarkan di sana pada tahun 2018. Tapi secara tiba-tiba, hari ini Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) membuat kejutan dengan mengumumkan bahawa Palisade bakal dilancarkan di Malaysia tahun ini, bersama Kona facelift!

    Palisade dihasilkan dengan dimensi 4,981 mm panjang, 1,976 mm lebar, 1,750 mm tinggi dan juga jarak roda sejauh 2,900 mm. Bagi memudahkan anda membayangkan saiz SUV ini, ia hampir sama besar dengan Audi Q7, namun model dari Jerman berkenaan masih 71 mm lebih panjang bersama jarak roda 94 mm lebih jauh.

    HSDM turut mengesahkan bahawa Palisade pasaran Malaysia bakal dijana oleh enjin kitaran Atkinson 3.8 liter V6 dengan sistem suntikan terus, berkuasa 291 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 355 Nm. Ia akan digandingkan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik dengan torque converter pelbagai lapisan, dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem HTRAC AWD.

    Hyundai Palisade 3.8L V6 291 hp/355 Nm dan Kona facelift sah akan dilancarkan di Malaysia tahun ini

    Tiada perincian tambahan lain yang diumumkan oleh HSDM berkenaan spesifikasi Palisade untuk pasaran Malaysia ini. Namun boleh kita jangka ia bakal disertakan dengan paparan instrumen digital sepenuhnya 12.3-inci TFT serta sistem infotainmen Display Audio dengan skrin lapan-inci yang disokong Apple CarPlay dan Android Auto. Di Amerika, Palisade turut diberikan opsyen skrin 10.25-inci untuk infotainmen.

    Antara ciri unik lain pada Palisade ini adalah penukar gear tanpa tombol shift-by-wire dengan park logic yang akan secara automatik mengaktifkan gear ‘P’ apabila enjin dimatikan. Hyundai juga mendakwa bahawa rekaan liang pendingin hawa pada SUV ini adalah yang pertama seumpanya di dunia, memberikan hembusan udara yang fokus, disebarkan sebahagian, atau disebarkan sepenuhnya ke penumpang belakang.

    Kabin Palisade turut dibekalkan dengan tujuh port USB, 16 pemegang cawan, sistem interkom dalam kereta Driver Talk (memberikan komunikasi terus dari pemandu kepada penumpang belakang), dan juga Rear Sleep Mode – sistem yang akan memadamkan fungsi pembesar suara pada kabin belakang bagi membolehkan penumpang tidur dengan lena.

    Hyundai Palisade 3.8L V6 291 hp/355 Nm dan Kona facelift sah akan dilancarkan di Malaysia tahun ini

    Jika anda mahukan sebuah kenderaan tujuh-tempat duduk dalam masa yang sama mahukan ruang kargo yang besar, Palisade adalah model yang perlu dipertimbangkan. Ini kerana dengan kesemua tempat duduk baris kedua dan ketiga tidak dilipat, Palisade masih mempunyai ruang simpanan dengan kapasiti 510 liter. Sekiranya tempat duduk paling belakang dilipat, ia bakal memberikan ruang kargo sebesar 1,297 liter.

    Manakala untuk SUV segmen-B Hyundai Kona facelift, model yang dikemaskini tersebut bukan sahaja akan menampilkan rupa yang lebih segar, malah ia turut akan perubahan dari segi mekanikal.

    Bagi model 2.0L NA, ia akan dijana oleh enjin kitaran Atkinson Smartstream, berkuasa 149 PS dan tork maksima 180 Nm. Enjin tersebut akan menerima kotak gear Intelligent Variable Transmission (iVT) baharu Hyundai, iaitu kotak gear CVT yang beroperasi menggunakan rantai berbanding tali sawat.

    Hyundai Palisade 3.8L V6 291 hp/355 Nm dan Kona facelift sah akan dilancarkan di Malaysia tahun ini

    Walau bagaimanapun, HSDM tidak menyentuh berkenaan model yang dijana oleh enjin 1.6 liter turbo. Enjin berkenaan masih ditawarkan untuk Kona versi sedia ada bagi model tertinggi, menghasilkan 177 PS/265 Nm digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan DCT – membolehkan model ini memecut lebih laju dari Proton X50, mencatatkan masa 7.7 saat untuk pecutan 0-100 km/j.

    Untuk rupa, Kona bakal tampil dengan muka baharu yang lebih sporty, bahagian dalaman yang dipertingkat bersama liang pendingin hawa dan pembesar suara disentuh semula, serta lampu suasana baharu yang turut memberikan cahaya pada bahagian kaki. HSDM mengesahkan bahawa Kona turut akan ditawarkan dengan opsyen warna, material dan kemasan baharu untuk bahagian dalaman.

     
     
  • BHPetrol kini terima pembayaran menerusi ShopeePay

    BHPetrol kini terima pembayaran menerusi ShopeePay

    Boustead Petroleum Marketing (BHPetrol) telah mengumumkan kini telah menerima pembayaran tanpa tunai iaitu menerusi ShopeePay e-wallet di semua stesen minyak BHPetrol di Malaysia. Kerjasama dengan Shopee ini adalah salah satu usaha untuk melaksanakan kemudahan pembayaran secara digital yang kini lebih banyak dijadikan pilihan mod pembayaran.

    Sempena dengan pengumuman ini, pengguna ShopeePay juga bakal menikmati pulangan tunai sebanyak RM4 apabila berbelanja minimum sebanyak RM40 apabila mengisi minyak di mana-mana stesen BHPetrol. Setiap pelanggan hanya boleh menerima sebanyak tiga kali pulangan tunai sepanjang tempoh kempen ini, bermula 1 Mac hingga 30 April 2021.

    Pengurus Kanan Pemasaran BHP, Lawrence Chuah berkata, “Di BHPetrol, kami sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan tawaran kami dalam memberikan kualiti bahan api yang terbaik, begitu juga dengan pelbagai lagi tawaran dan kemudahan untuk para pelanggan kami. Kerjasama dengan e-wallet serperti ShopeePay ini merupakan antara contoh terbaik dalam menawarkan promosi menarik sekaligus memberikan kemudahan kepada para pelanggan.

    “Bukan setakat dengan situasi kita yang sedang berhadapan dengan COVID-19, langkah yang diambil ini juga adalah seiringan dengan agenda kerajaan yang mengumumkan dalam MyDigital, yang mendorong pembayaran tanpa sentuhan, sekaligus senada dengan perubahan para pengguna yang lebih memilih untuk melakukan pembayaran secara digital,” ujarnya.

     
     
  • Infiniti QX60 2022 bakal guna enjin V6 3.5L, transmisi auto sembilan kelajuan, AWD; lancar hujung tahun ini

    Infiniti QX60 2022 bakal guna enjin V6 3.5L, transmisi auto sembilan kelajuan, AWD; lancar hujung tahun ini

    Infiniti telah mendedahkan perincian awal berkenaan QX60 generasi seterusnya, yang kini sedang menjalani ujian pembangunan sebelum dilancarkan hujung tahun ini. Pengumuman terbaru ini kebanyakannya memberi fokus kepada kemampuan SUV tiga baris tempat duduk ini dalam cuaca yang teruk, hasil daripada penggunaan sistem Intelligent All-Wheel Drive.

    Ia adalah sebahagian daripada tetapan penggerak SUV ini, yang termasuk unit enjin V6 3.5 liter serta transmisi automatik sembilan kelajuan baru yang menggantikan unit X-CVT pada QX60 sekarang. Menurut Infiniti, sistem pacuan semua roda mereka telah melalui ujian menyeluruh dalam pelbagai keadaan, dari salji hingga pasir, jalan basah dan pelbagai lagi keadaan lain. Selain di kawasan salji seperti dalam gambar, kenderaan ini juga diuji di padang pasir.

    “Kami mendengar kata-kata daripada pelanggan dan kami mahu memberikan Infiniti QX60 serba baru yang boleh menunjukkan prestasi secara yakin dalam hampir semua jenis keadaan cuaca. Sistem Intelligent All-Wheel Drive terbaru melebihi jangkaan kami dengan penyampaian kuasa yang lancar,” kata pengurus kanan strategi dan perancangan produk Infiniti, Eric Rigaux.

    Sistem AWD pada QX60 baru ini mempunyai agihan kuasa lebih kepada roda hadapan, tetapi apabila cengkaman diperlukan, ia boleh menghantar sehingga 50% kuasa kepada roda belakang secara pantas menggunakan direct coupling. Sistem ini dikatakan lebih bagus berbanding coupling elektromagnetik.

    Teknologi lain yang berkaitan dengan pengendalian adalah termasuk Active Brake Limited Slip, iaitu sistem kawalan tork yang akan membrek mana-mana satu roda supaya kuasa dapat disampaikan kepada roda lain yang mempunyai cengkaman lebih baik.

    “Sistem ini dapat membenarkan QX60 mengekalkan pergerakan lurus secara baik, lebih yakin dan pergerakan awal lebih baik. Sekiranya anda berhenti atas ais dan menekan pedal untuk bergerak, ia boleh bergerak ke hadapan lebih mudah dan lebih yakin,” kata pengurus pembangunan prestasi kenderaan Infiniti, Chris Fischer.