Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Nissan X-Trail 2021 – enjin tiga silinder 1.5L turbo dan transmisi 8AT sedang diuji pada Rogue pasaran AS

    Nissan X-Trail 2021 – enjin tiga silinder 1.5L turbo dan transmisi 8AT sedang diuji pada Rogue pasaran AS

    Kita baru sahaja mendengar bahawa Nissan X-Trail generasi keempat bakal menerima enjin VC Turbo baru di China. Ini adalah enjin turbo yang mempunyai nisbah mampatan boleh ubah, dan merupakan satu peningkatan berbanding enjin empat silinder NA 2.5 liter yang diumumkan untuk Rogue pasaran AS bermula Jun 2020.

    Kini ada satu lagi penggerak yang berpotensi digunakan pada X-Trail baru. Berita ini muncul di AS, yang mana Rogue telah pun dijual dengan enjin QR25DE berkuasa 181 hp dan 245 Nm tork, bersama padanan kotak gear CVT.

    Menurut Car and Driver, yang menyedari perkara ini daripada laman FuelEconomy.gov milik Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS, Rogue 2021 akan menerima enjin tiga silinder 1.5 liter turbo baru. Perincian selebihnya masih belum diperoleh, dan ia hanya diketahui bakal dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan, dengan pilihan pacuan AWD.

    “Nissan memang selalu menilai potensi teknologi masa hadapan pada model semasa mereka. Kami mempunyai perancangan mengadakan program perintis dengan penggerak baru yang berpotensi, menggunakan Nissan Rogue 2021. Tiada apa lagi yang boleh kami umumkan pada masa sekarang,” kata jurucakap Nissan, Josh Clifton kepada Motor1.com.

    Menurut EPA, Rogue 1.5L mempunyai penggunaan bahan api bercampur 14 km/l (33 mpg) bagi versi asas pacuan roda hadapan, atau 13.6 km/l bagi model spesifikasi tinggi SL/Platinum dengan AWD. Rogue sekarang yang menggunakan enjin 2.5L NA dengan CVT mencatat 11.9 ke 12.8 km/l, jadi terdapat sedikit penambahbaikan. Transmisi 8AT pula mungkin dapat memberikan pemanduan yang lebih dinamik berbanding CVT.

    Di AS, Rogue adalah satu model yang sangat penting di mana ia menyumbang 28% daripada keseluruhan jualan Nissan USA tahun lepas. Jadi, peningkatan berterusan pada model ini adalah perlu dan enjin turbo yang lebih kecil sepatutnya tidak perlu ditakuti. Malah, tork pada rpm rendah mungkin berguna bagi SUV, dan kecekapan bahan apinya juga mungkin lebih baik.

    Di Malaysia, cukai jalan dikira berdasarkan kapasiti enjin, jadi ini adalah satu lagi kelebihan enjin kapasiti lebih kecil dengan pengecas turbo. Banyak model jenama lain juga sudah mula mengambil langkah pengecilan yang sama.

    GALERI: Nissan X-Trail 2021, Rogue pasaran AS

     
     
  • Ujian IMBRT pertama akan bermula bulan hadapan di Johor, babitkan laluan Anjung Medini ke Horizon Hill

    Ujian IMBRT pertama akan bermula bulan hadapan di Johor, babitkan laluan Anjung Medini ke Horizon Hill

    Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) hari ini telah mengumumkan bahawa projek Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (IMBRT) bakal melangkah ke satu lagi fasa dengan ujian sebenar pertamanya yang akan bermula pada bulan hadapan.

    Ujian yang akan dilakukan oleh pihak IRDA berkenaan akan berlangsung di sepanjang Lebuh Raya Sultan Iskandar, melibatkan laluan antara Anjung Medini ke Horizon Hill dalam tempoh tiga bulan bermula 8 April 2021.

    Menurut IRDA lagi, ujian perintis ini akan disertai oleh sembilan pembekal bas yang akan menjalankan demonstrasi teknologi bas mesra alam terkini termasuk menggunakan elektrik sepenuhnya dan biodiesel, melibatkan bas 6 dan 12 meter, serta ‘tren tanpa rel’ dengan panjang 32 meter Automated Rapid Transit (ART).

    Ujian ini turut akan disertai oleh Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) bagi membuat penilaian terhadap prestasi sistem ART berkenaan, terutamanya kebolehannya untuk mengambil pusingan, membuat pergerakan dan juga mengubah lorong di atas jalan raya.

    Manakala bas 6 meter pula akan melalui ujian bagi menilai prestasinya dalam laluan feeder serta penggunaan bateri untuk setiap trip bagi bas yang dijana kuasa elektrik sepenuhnya.

    Ujian IMBRT pertama akan bermula bulan hadapan di Johor, babitkan laluan Anjung Medini ke Horizon Hill

    Datuk Ismail Ibrahim, ketua eksekutif IRDA berkata, “Program ujian perintis ini merupakan peristiwa penting bagi IMBRT ketika projek berkenaan telah bermula sepenuhnya. Iskandar Malaysia perlu dihubungkan dengan baik bagi berkembang sebagai bandar metropolis lestari yang kuat pada peringkat antarabangsa. Ia hanya mungkin dengan sokongan dari sistem pengangkutan awam boleh diharap yang mempunyai jaringan yang luas seperti IMBRT.”

    “Infrastruktur pengangkutan awam yang efisien dan bersepadu merupakan pemangkin untuk menarik pelabur asing dan domestik ke wilayah ini bagi memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi. Kami yakin bahawa sistem IMBRT akan memberikan mobiliti yang lebih baik untuk rakyat dengan menyediakan hubungan perjalanan dari mula hingga akhir serta akses untuk Iskandar Malaysia. Kami memandang kehadapan untuk fasa seterusnya IMBRT,” tambah Ismail lagi.

    IRDA menyifatkan IMBRT ini sebagai tulang belakang pengangkutan awam di Iskandar Malaysia dengan sasaran utamanya bagi memberikan jaringan pengangkutan awam merangkumi 39 hingga 90 peratus dalam wilayah berkenaan, serta meningkatkan bahagian modal dari 15 kepada 40 peratus menjelang 2025.

    Ia juga mensasarkan untuk meningkatkan kebolehcapaian dan kebolehubungan, yang memainkan peranan penting dalam menyumbangkan pertumbuhan ekonomi dalam sektor utama serta urbanisasi Iskandar Malaysia, serta mengurangkan jejak karbon dalam sektor pengangkutan wilayah dengan menggunakan pengangkutan mesra alam, tulis IRDA dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Ujian IMBRT pertama akan bermula bulan hadapan di Johor, babitkan laluan Anjung Medini ke Horizon Hill

    “Kami perlu meramal dan bersedia bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku memandangkan saiz populasi Iskandar Malaysia akan meningkat menjelang 2025. Sistem pengangkutan berkualiti tinggi seperti IMBRT boleh memberikan komuniti dengan servis yang boleh diharap yang menawarkan jaringan dan capaian lebih luas – berhubung antara satu sama lain dengan servis feeder, laluan terus dan laluan trunk yang turut dihubungkan ke Sistem Transit Johor Bahru-Singapura (RTS),” kata Rudyanto Azhar, ketua BRTIM Sdn Bhd iaitu sebuah anak syarikat IRDA yang dipertanggungjawab melaksanakan pembangunan IMBRT.

    “Kami telah mengenalpasti BRT sebagai mod transit pilihan ramai untuk wilayah ini di bawah Rangka Tindakan Pengangkutan Iskandar Malaysia 2010 – 2030 kerana ia strategik, mampan, dan lebih efektif kos untuk dibina berbanding laluan rel,” jelas Rudyanto lagi.

    Setelah siap sepenuhnya nanti, IMBRT akan menyediakan 55 servis feeder dan 44 servis terus, dengan jaringan keseluruhan sejauh 2,051 km atau lebih kurang 90 peratus kawasan populasi Iskandar Malaysia. Manakala laluan utama IMBRT untuk tren tanpa rel pula adalah sejauh 54.92 km sepanjang Skudai, Tebrau dan Iskandar Puteri.

    Ia merangkumi 33 stesen dengan satu hab di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada Laluan Skudai. Laluan utama ini juga turut mempunyai dua stesen akhir, satu di Desa Jaya untu Laluan Tebrau dan satu lagi Anjung untuk Laluan Iskandar Puteri.

     
     
  • Pembayaran digital di kawasan parkir seliaan PBT di Selangor diaplikasi sepenuhnya mulai 1 Jan 2022

    Pembayaran digital di kawasan parkir seliaan PBT di Selangor diaplikasi sepenuhnya mulai 1 Jan 2022

    Mulai Januari 2022, penggunaan kupon atau pembayaran secara manual di semua tempat letak kenderaan yang diuruskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor akan ditamatkan.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk menamatkan penggunaan kupon parkir pada 31 Disember tahun ini dan pembayaran secara digital sepenuhnya akan dilaksanakan bermula 1 Januari 2022, laporan Harian Metro.

    “Pembayaran parkir di semua kawasan PBT di negeri ini akan dilaksanakan secara digital sepenuhnya menerusi Smart Selangor Parking (SSP) yang dibangunkan oleh anak syarikat kerajaan negeri iaitu Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

    Pembayaran digital di kawasan parkir seliaan PBT di Selangor diaplikasi sepenuhnya mulai 1 Jan 2022

    “Kerajaan negeri juga akan mewujudkan kaedah petak parkir ‘hot zone’ di kawasan utama atau kawasan tumpuan awam dengan meletakkan had masa maksimum bagi setiap tempahan. Sebagai contoh, petak parkir ini tidak boleh digunakan melebihi tempoh dua jam (bagi setiap kenderaan). Kaedah ini adalah untuk memberi kemudahan kepada pengguna lain dalam mendapatkan petak parkir di kawasan yang sibuk dan padat,” katanya.

    Tambah beliau, bagi petak parkir ‘hot zone’ ini kadar bayaran adalah sama dengan petak parkir biasa bagaimanapun akan ada perbezaan had masa yang ditetapkan.

    “Sebagai contoh, petak parkir biasa dikenakan 50 sen untuk satu jam, namun petak parkir ‘hot zone’ dikenakan bayaran 50 sen setiap 30 minit. Petak parkir ini akan diberi nama yang lebih sesuai serta mesra pengguna dan akan mula dikuatkuasakan selepas pindaan ke atas Jadual di dalam Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) yang digunapakai oleh PBT Negeri Selangor diwartakan,” jelasnyanya.

    Pembayaran digital di kawasan parkir seliaan PBT di Selangor diaplikasi sepenuhnya mulai 1 Jan 2022

    Ng berkata, kawasan parkir ‘hot zone’ akan ditentukan oleh PBT mengikut kesesuaian lokasi dan sekiranya pengguna tidak mengalihkan kenderaan selepas tamat tempoh yang ditetapkan, penguatkuasa bertugas akan mengambil tindakan kompaun atau tunda kenderaan.

    “Bagi memudahkan orang awam yang tidak mempunyai telefon pintar atau bukan penduduk negeri ini, alternatif menerusi sistem ejen e-parkir akan dilaksanakan yang mana ejen boleh membuat pembayaran parkir bagi pihak pengguna. Sistem ejen ini masih dalam proses pelaksanaan dan akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

    Dalam pada itu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim berkata di MBSA, pihaknya mengesan tiga lokasi yang perlu dilaksanakan parkir ‘hot zone’ iaitu di Kota Kemuning, Glenmarie serta Bandar Baru Sungai Buloh.

    “Kita kerap menerima aduan mengenai kekurangan parkir di tiga kawasan ini, justeru kita akan mempertimbangkan untuk mewujudkan parkir ‘hot zone’ ini,” katanya.

     
     
  • MG Extender facelift dilancar di Thailand – trak yang dijenamakan semula daripada Maxus T60 dipertingkat

    MG Extender facelift dilancar di Thailand – trak yang dijenamakan semula daripada Maxus T60 dipertingkat

    Demi menunjukkan betapa mereka mengambil penting pasaran Thailand, MG telah melancarkan trak pikap khas untuk pasaran itu pada tahun 2019. Kini, dua tahun selepasnya, trak yang dipanggil sebagai Extender itu diberikan facelift, dengan muka yang lebih garang seperti yang didedahkan oleh Headlight Magazine ini.

    Extender sebenarnya menggunakan asas daripada Maxus T60, dan kedua-dua jenama ini duduk di bawah SAIC. Walaubagaimanapun, muka baru MG adalah unik, sekaligus membawa ia satu liga dengan trak pikap lain yang semakin garang.

    Gril heksagon besar berwarna krom, dengan tiga jalur melintang di tengahnya menguasai bahagian hadapan sementara lampu pula terbahagi dua iaitu bahagian yang nipis di atas untuk lampu DRL LED sementara pada bucu bampar, di dalam perumbah hitam menegak itu terdapat lampu utamanya. Bahagian belakang tidak banyak berubah, kecuali kemasan merah pada tailgate yang menyambungkan jalur cahaya antara kiri dan kanan.

    Sama juga di bahagian dalam, tidak banyak yang berubah kecuali balutan kulit warna coklat baru, berserta kemasan gentian karbon tiruan. Sama seperti sebelum ini, Extender boleh didapati dengan skrin sesentuh infotainmen sepuluh inci serta sistem kawalan suara i-Smart yang memahami bahasa Thailand dan boleh digunakan mengawal pendingin hawa, audio, panggilan telefon serta navigasi. Terdapat juga sambungan aplikasi kepada telefon pintar untuk mengawal beberapa fungsi lain.

    Extender di pasaran Thailand tidak menggunakan enjin VM Motori 2.8 liter turbodiesel seperti T60 yang dijual di sini. Sebaliknya, ia dikuasakan oleh enjin 2.0 liter daripada T70 di China yang mampu menghasilkan kuasa 161 PS pada 4,000 rpm dan 375 Nm tork antara 1,500 hingga 2,400 rpm. Pembeli boleh memilih sama ada mahukan transmisi manual atau automatik enam kelajuan, serta pacuan sama ada dua roda atau semua roda.

     
     
  • Timbalan menteri kewangan II pilih Perodua Ativa AV sebagai kenderaan untuk urusan tugas-tugas rasmi

    Timbalan menteri kewangan II pilih Perodua Ativa AV sebagai kenderaan untuk urusan tugas-tugas rasmi

    Seringkali kita dengar, orang-orang kenamaan khususnya mereka yang terlibat dengan politik akan memilih kereta-kereta mewah, atau mungkin dari model paling premium ditawarkan oleh Proton seperti Perdana atau X70 sebagai kenderaan yang digunakan bagi urusan-urusan rasmi harian mereka. Tapi yang ini jarang kita tengok – timbalan menteri kewangan II, YB Mohd Shahar Abdullah telah memilih Perodua Ativa bagi tujuan berkenaan!

    Gambar ini dikongsikan oleh pemilik akaun Facebook Muhammad Faiz Hashim, menunjukkan Ativa berkenaan mengenakan jata negara bersama plak ‘Timbalan Menteri’ pada bahagian hadapan, sama seperti kenderaan-kenderaan rasmi untuk menteri-menteri kerajaan Malaysia yang lain.

    YB Mohd Shahar memilih Perodua Ativa dengan warna Pearl Diamond White bersama pilihan bumbung berwarna hitam, dalam varian tertinggi AV. Ativa ini baru sahaja dilancarkan oleh Perodua awal bulan ini, dan harga asas untuk model AV adalah RM71,200, manakala opsyen warna pearl dan dua-tona seperti yang dipilih menteri berkenaan memerlukan bayaran tambahan sebanyak RM800.

    Ativa merupakan model paling canggih pernah ditawarkan oleh Perodua setakat ini. Ia dihasilkan dari platform terkini dari Daihatsu iaitu Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang diasaskan dari platform terkini TNGA Toyota. Ia digerakkan dengan enjin 1KR-VET 1.0 liter tiga-silinder turbo berkuasa 98 PS/140 Nm, bersama kotak gear D-CVT automatik.

    Ini bermakna Ativa merupakan model pertama Perodua yang menerima pengecas turbo dari kilang dan juga kotak gear CVT, malah transmisi D-CVT tersebut juga sebenarnya lebih canggih dari CVT biasa kerana menampilkan mekanisma planetary gear untuk gear akhir yang memberikan nisbah seakan kotak gear 8AT, serta penghantaran kuasa yang lebih baik serta senyap.

    Selain itu, Ativa AV juga menerima perincian yang lazimnya hanya ada pada kereta lebih premium seperti lampu hadapan LED adaptif bersama lampu isyarat membelok jenis sequential, dan juga sistem bantuan pemanduan keselamatan ASA 3.0 dengan kebolehan pemanduan autonomous tahap 2 yang memberikan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, pemantau titik buta dan pelbagai lagi.

    Liputan menyeluruh kami berkaitan Perodua Ativa boleh dirujuk di sini:

    Perodua Ativa 1.0L Turbo AV 2021

    Perodua Ativa 1.0L Turbo H 2021

    Perodua Ativa 1.0L Turbo X 2021

     
     
  • SJR diperketatkan pada setiap hujung minggu untuk elak orang ramai rentas negeri tanpa kebenaran – KPN

    SJR diperketatkan pada setiap hujung minggu untuk elak orang ramai rentas negeri tanpa kebenaran – KPN

    Bagi mengelakkan orang ramai melakukan pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran dan alasan yang munasabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperketatkan sekatan jalan raya (SJR) pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.

    Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, ini berikutan PDRM mendapati setiap petang Jumaat hingga Ahad, ramai orang mula melakukan perjalanan rentas negeri dengan pelbagai alasan, terutama untuk keluar dari Selangor dan Lembah Klang.

    “Hanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tertentu membenarkan (rentas negeri) dengan permit atas alasan seperti suami isteri yang berjauhan, hantar anak balik asrama dan sebagainya tetapi kita tengok setiap Jumaat trafik meningkat, takkan kecemasan hanya berlaku pada Jumaat?

    SJR diperketatkan pada setiap hujung minggu untuk elak orang ramai rentas negeri tanpa kebenaran – KPN

    “Oleh itu, saya ambil langkah untuk memperketatkan SJR kerana Selangor masih diisytiharkan sebagai negeri di bawah PKP Bersyarat dan akan melonggarkan SJR sekiranya Selangor bertukar status kepada PKP Pemulihan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Tambah beliau, sekatan jalan raya di Selangor hanya dilonggarkan untuk jalan-jalan di dalam bandar.

    “Saya amat memahami kesusahan yang mereka (rakyat) alami dan saya amat bersimpati tetapi mereka perlu ambil pedoman bahawa apa yang polis lakukan adalah untuk kebaikan mereka.

    “Kepada mereka yang curi-curi keluar menggunakan alasan remeh walaupun dibenarkan atas budi bicara polis, usahlah buat pergerakan…hari demi hari pihak Kementerian Kesihatan (KKM) beri amaran bahawa kluster ‘interstate’ (rentas negeri) di Kelantan dan Johor (adalah) dari Selangor,” katanya.

     
     
  • JPJ laksana penguatkuasaan ubahsuai ekzos motor tanpa kebenaran – kompaun, penjara jika bersalah

    JPJ laksana penguatkuasaan ubahsuai ekzos motor tanpa kebenaran – kompaun, penjara jika bersalah

    Pada akhir bulan lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai bahawa mana-mana pemilik yang didapati bersalah mengubahsuai ekzos kenderaan mereka sehingga mengganggu ketenteraman awam boleh dipenjara sehingga enam bulan.

    Lewat petang semalam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan kenyataan yang lebih kurang sama tetapi lebih kepada menumpukan penguatkuasaan terhadap pemilik motosikal yang melakukan pengubahsuaian ekzos tanpa kebenaran yang menyebabkan bunyi bising.

    Menurut JPJ, penguatkuasaan secara bersepadu ini turut melibatkan PDRM dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), di mana tindakan diambil ekoran rungutan dan aduan orang. awam mengenai isu ekzos motosikal yang membingitkan telinga.

    “Buat masa ini, pihak kami mengambil pendekatan berbentuk advokasi dan nasihat, sebelum sebarang tindakan berbentuk punitif (penguatkuasaan undang-undang) diambil terhadap mana-mana pesalah,” ujar kenyataan yang dikeluarkan itu.

    JPJ laksana penguatkuasaan ubahsuai ekzos motor tanpa kebenaran – kompaun, penjara jika bersalah

    Menurut JPJ lagi, bahagian penguatkuasaan JPJ Malaysia telah mengguna pakai dua pendekatan di dalam menangani masalah ini iaitu melalui pengeluaran Notis Temu Siasat, di bawah Seksyen 114 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi tujuan siasatan dan pengumpulan maklumat (advokasi/nasihat) atau pun melalui pengeluaran Notis Larangan Penggunaan Kenderaan, di bawah Seksyen 59 (1), Notis (PG1), akta yang sama, bagi tujuan penguatkuasaan.

    Di mana melalui pengeluaran Notis PG1 tersebut, mana-mana penunggang/pemilik motosikal yang didapati terlibat di dalam melakukan kesalahan pengubahsuaian ekzos tanpa kebenaran, akan dilarang daripada menggunakan motosikal tersebut, sehinggalah pembaikan terhadap ekzos tersebut dilakukan.

    “Penunggang/pemilik motosikal tersebut akan diberikan tempoh tujuh hari untuk membaiki atau menukar ekzos tersebut kepada spesifikasi asal ekzos yang mematuhi pembuatan dan kegunaan yang telah ditetapkan. Seterusnya, motosikal tersebut hendaklah dibawa ke mana-mana pejabat JPJ bagi tujuan pemeriksaan sebagai pembuktian pembaikan terhadap ekzos tersebut telah dibuat dan mematuhi kaedah pembuatan dan kegunaannya,” jelas JPJ lagi.

    Mengikut peraturan yang telah ditetapkan, sebarang pengubahsuaian ekzos kenderaan bermotor tanpa kebenaran adalah satu kesalahan, dan boleh dikompaun tidak lebih RM300, atau jika disabit kesalahan di mahkamah, pesalah boleh didenda di bawah Seksyen 119, APJ 1987, dan denda tidak lebih RM2,000, atau penjara tidak lebih enam bulan.

     
     
  • Saman sehingga RM2k terhadap penjaja dan pembeli di lampu isyarat bermula minggu ini – Polis Kelantan

    Saman sehingga RM2k terhadap penjaja dan pembeli di lampu isyarat bermula minggu ini – Polis Kelantan

    Tempoh hari, Polis Johor sudah pun mengumumkan perlaksanaan Ops Kesedaran iaitu operasi untuk mengekang aktiviti menjaja di kawasan lampu isyarat ketika kereta sedang berhenti. Terbaharu, Polis Kelantan juga mengumumkan bahawa mereka akan mula menyaman pembeli dan peniaga yang menjalankan aktiviti berkenaan di negeri tersebut bermula minggu ini.

    Dalam berita Harian Metro, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mat Piah dilaporkan berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengeluarkan saman kepada peniaga serta pembeli dan mereka boleh dihadapkan ke mahkamah dan didenda sehingga RM2,000 jika disabitkan kesalahan.

    Menurut Abdullah, pihaknya sebelum ini sudah memberi nasihat kepada semua peniaga yang menjalankan aktiviti menjaja di lampu isyarat supaya tidak meneruskannya bagi mengelak daripada dikenakan tindakan.

    “Kami memandang serius akan perkara ini kerana ia menyalahi undang-undang lalu lintas. Bermula minggu ini, kami akan memastikan tidak ada lagi peniaga yang menjalankan aktiviti menjaja di lampu isyarat,” katanya ketika dihubungi oleh akhbar berkenaan semalam.

    Beliau turut menjelaskan bahawa tindakan boleh diambil terhadap pembeli dan peniaga di lampu isyarat mengikut Akta Lalulintas Jalan Raya dan tindakan boleh dikenakan di bawah 10A (1) LN 166/59 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya.

     
     
  • Toyota Corolla Cross – perbandingan antara SUV segmen-B & -C; Proton X50, X70, Honda HR-V, dll

    Toyota Corolla Cross – perbandingan antara SUV segmen-B & -C; Proton X50, X70, Honda HR-V, dll

    Selepas bermain teka-teki, akhirnya UMW Toyota sudahpun memberikan petunjuk jelas bahawa SUV baharu mereka iaitu Toyota Corolla Cross bakal dilancarkan ke pasaran Malaysia pada 25 Mac ini. Tiada sebarang tanda harga yang diumumkan, namun kami jangkakan harga yang bakal ditawarkan untuk model ini adalah kompetitif dan masuk akal, kerana ia akan ditawarkan sebagai model pemasangan tempatan (CKD), berbanding Toyota C-HR sebelum ini yang diimport sepenuhnya (CBU).

    Toyota Corolla Cross telah membuat kemunculan sulung globalnya pada Julai tahun lalu, dan kemudian turut telah di bawa ke pasaran Indonesia. Seperti versi sedan Corolla, SUV segmen-B C-HR dan juga SUV kompak Lexus UX, Corolla Cross ini juga dibina berasaskan platform TNGA-C yang sama.

    Namun mesti ramai yang tertanya-tanya, Corolla Cross ini sebenarnya akan duduk dalam kelas mana? Segmen-B atau segmen-C? Walaupun Toyota sendiri menyifatkan dia sebagai SUV segmen-C, tetapi model ini sebenarnya berada dalam kelasnya yang tersendiri.

    Atau lebih spesifik, Toyota Corolla Cross ini lebih besar dari SUV segmen-B, namun ia lebih kecil dari SUV segmen-C. Dalam hieraki model Toyota pula, Corolla Cross masih berada di bawah satu anak tangga satu lagi SUV segmen-C Toyota iaitu RAV4 yang lebih premium, dan ia lebih disasarkan untuk bersaing dengan Honda HR-V, Proton X50, serta model-model SUV segmen-B yang lain, khususnya dalam pasaran ASEAN.

    Toyota Corolla Cross – perbandingan antara SUV segmen-B & -C; Proton X50, X70, Honda HR-V, dll

    Jadi sebelum ia dilancarkan, kami sediakan dahulu perbandingan awalan Toyota Corolla Cross terhadap pesaing-pesaingnya yang lain – disebabkan kedudukannya yang agak unik, kami bariskan perbandingan ini dengan bercampur antara SUV segmen-B dan segmen-C iaitu Proton X50 dan X70, Honda HR-V, Kia Seltos dan juga Mazda CX-30.

    UMWT masih lagi belum menyiarkan sebarang maklumat Corolla Cross berkenaan, jadi maklumat yang kami gunakan ini adalah berdasarkan dari model pasaran Thailand. Pada pasaran tersebut, Corolla Cross dipasarkan dalam versi petrol dan juga hibrid – kami jangka model pasaran Malaysia bakal menampilkan spesifikasi yang hampir sama dengan model petrol di negara jiran berkenaan dan ini yang akan kami guna dalam perbandingan ini.

    Seperti yang kami katakan tadi, Corolla Cross dihasilkan dalam saiz yang cukup unik, jadi anda boleh perhatikan panjang keseluruhan model yang diukur 4,460 mm ini berada di tengah-tengah antara model segmen-B dan segmen-C lain. Namun antara kesemua model segmen-B, Mazda CX-30 tampil dengan jarak roda yang paling jauh dengan 2,655 mm, hanya kurang sedikit dari X70 dengan jarak 2,670 mm.

    Manakala untuk Corolla Cross, jarak roda model ini sebenarnya sama dengan Toyota C-HR, namun secara keseluruhan ia adalah 100 mm lebih panjang membolehkan ruang kargonya dihasilkan lebih besar dengan kapasiti 487 liter (C-HR hanya 388 liter). Ruang kargo yang ditawarkan pada Corolla Cross ini juga sebenarnya paling besar berbanding model segmen-C lain, hanya kurang sikit dari Proton X70 yang mempunyai kapasiti 515 liter.

    Di Thailand, Corolla Cross menerima enjin 1.8 liter NA empat silinder berkuasa 138 hp dan tork maksima 177 Nm. Ia sudah tentu lebih berkuasa dari enjin 1.6 liter NA pada Seltos dan hampir sama dengan enjin 1.8 liter i-VTEC pada HR-V. Tetapi penghasilan kuasa enjin tersebut juga sudah tentu tidak setanding dengan enjin-enjin turbo Proton dan juga Mazda CX-30 yang menerima enjin 2.0 liter NA.

    Juga sama seperti HR-V, Corolla Cross juga diberikan kotak gear CVT. Kia Seltos dan Mazda CX-30 hadir dengan pilihan kotak gear automatik enam kelajuan 6AT, manakala adik-beradik Proton pula diberikan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7DCT. Kecuali Mazda CX-30, kesemua SUV yang kami senaraikan ini hanya memacu roda hadapan tanpa pilihan sistem AWD.

    Seperti model berasaskan TNGA-C lain, Corolla Cross menerapkan suspensi jenis Topang McPherson di hadapan, tetapi ia satu-satunya yang hanya diberikan suspensi torsion beam berbanding double wishbone di belakang. Namun jika dilihat pada pesaingnya yang lain, sistem torsion beam ini adalah normal untuk SUV segmen-B, dan satu-satunya model yang menerima suspensi bebas jenis multilink dalam senarai ini hanyalah model segmen-C Proton X70.

    Setakat ini, UMWT sudahpun menawarkan sistem keselamatan Toyota Safety Sense yang merangkumi sistem brek kecemasan automatik (AEB) pada model lebih rendah seperti Vios dan Yaris. Jadi kami jangkakan sistem keselamatan yang akan ditawarkan pada Corolla Cross pasaran Malaysia ini nanti adalah setanding dengan penawaran pada pasaran Thailand, dan ia juga sebaris dengan sistem-sistem yang ditawarkan pada pesaingnya yang lain di sini.

    Walau bagaimanapun, untuk perbandingan lebih terperinci, kita perlu menunggu dahulu senarai spesifikasi rasmi yang akan diumumkan oleh UMWT kelak – mungkin ketika ia dilancarkan, atau mungkin hampir dengan tarikh 25 Mac nanti. Jadi setakat ini bagaimana? Dah jelas bagaimana kedudukan Toyota Corolla Cross dalam pasaran Malaysia?

    Kalau dah mula terpikat dengan model ini, jangan lengah, daftarkan minat anda secara atas talian menerusi PAUTAN INI.

    GALERI: Toyota Corolla Cross pasaran Thailand

     
     
  • Honda dapat tempat pertama dalam aspek “kesihatan jenama keseluruhan” kaji selidik YouGov di Malaysia

    Honda dapat tempat pertama dalam aspek “kesihatan jenama keseluruhan” kaji selidik YouGov di Malaysia

    Dalam satu kaji selidik yang dijalankan oleh YouGov 2021 Automotive Rankings di Malaysia, Honda telah dinobatkan tempat pertama sebagai jenama kenderaan dengan “kesihatan jenama keseluruhan terbaik”. Jenama bukan nasional nombor satu di Malaysia ini telah mendapat mata +37.9 mengatasi Toyota (+36.1) dan Perodua (+33.6).

    Kedudukan ini disusun menggunakan kutipan mata YouGov BrandIndex, iaitu satu ukuran kesihatan jenama keseluruhan yang dikira dengan mengumpul mata purata dalam Tanggapan, Kualiti, Nilai, Kepuasan, Saranan serta Reputasi. Kaji selidik ini dibuat dari 1 Februari 2020 hingga 31 Januari 2021.

    Meskipun Honda berada di tempat paling atas, masih terdapat tiga aspek yang ia ketinggalan berbanding jenama lain. Perodua telah berjaya mendapat tempat paling atas dalam tanggapan berkaitan Nilai (pengguna jenama ini melihat kepada nilai untuk wang) dengan kutipan +44.0 mata, diikuti Toyota +35.5 dan Honda +35.2. Perodua juga mengatasi Honda dalam kategori Kepuasan (kutipan +29.6 mata berbanding +21.5).

    Honda dapat tempat pertama dalam aspek “kesihatan jenama keseluruhan” kaji selidik YouGov di Malaysia

    Menurut warga Malaysia yang terlibat dalam kaji selidik ini, satu bahagian yang Honda bagus, tapi bukanlah yang paling atas, adalah Reputasi (mengukur reputasi korporat jenama dengan bertanya jenama mana yang mereka akan rasa bangga untuk bekerja dengannya). Ia berjaya mendapat tempat ketiga dengan kutipan mata +38.1) sementara Mercedes-Benz (+39.3) duduk di tempat pertama dan diikuti BMW (+38.8).

    Kedudukan 10 paling atas secara keseluruhan didominasi oleh jenama Jepun dan ini termasuk Nissan yang berada di tempat kelapan (+14.4) dan Mazda di tempat kesepuluh (+12.9). Jenama Jerman juga tidak kurang hebatnya dengan Mercedes-Benz di tempat keempat (+23.4), BMW di tempat kelima (+23.3) dan Audi di tempat ketujuh (+15.9). Satu-satunya jenama bukan Jepun, Malaysia atau Jerman adalah Range Rover, di tempat kesembilan (+13.2).

    YouGov menyatakan syarikat mereka sebagai satu kumpulan penyelidikan dan analisis data antarabangsa dengan misi untuk “menyediakan data tepat berterusan kepada apa yang difikirkan oleh dunia.” Dengan “panel global” yang mempunyai 11 juta ahli, ia mempunyai operasi di United Kingdom, Amerika Syarikat, Eropah, Timur Tengah, India dan Asia Pasifik.

     
     
  • MILDEF Malaysia HMAV – ujian penilaian pertama oleh tentera lengkap, rangkumi perjalanan sejauh 1,000 km

    MILDEF Malaysia HMAV – ujian penilaian pertama oleh tentera lengkap, rangkumi perjalanan sejauh 1,000 km

    Selepas pendedahan sulungnya dibuat bulan lalu, kini kenderaan perisai untuk kegunaan tentera buatan tempatan MILDEF 4×4 High Mobility Armoured Vehicle (HMAV) sudahpun berjaya menamatkan ujian penilaian sebenar oleh pihak tentera pertamanya.

    Ujian selama sembilan hari tersebut merangkumi perjalan sejauh 700 km pada jalan raya biasa, manakala 300 km lagi melibatkan laluan off-road serta laluan-laluan berhalangan. Ujian ini melibatkan Pasukan Uji Nilai Tentera Darat Malaysia (TDM) serta Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).

    Kesemua pemanduan dalam ujian ini dilakukan oleh wakil dari TDM sendiri, dan antara perkara yang diambil kira termasuk ketahanan jarak jauh di lebuh raya, penggunaan bahan api, mengangkat beban, menggunakan winch, ujian mendaki dan membrek serta pelbagai ujian lain.

    “Kami di MILDEF amat berpuas hati dengan hasil uji nilai pertama yang baru sahaja dijalankan. Bagi pihak syarikat, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pasukan uji nilai dari STRIDE dan juga Tentera Darat Malaysia yang turut turun padang dalam sesi yang amat penting ini. Kami sedang dalam perancangan untuk menjalankan beberapa lagi sesi yang lain di beberapa lokasi yang berbeza,” kata Datuk Sri Mohd Nizam bin Kasa, ketua pegawai eksekutif MILDEF.

    HMAV yang dihasilkan dengan kos RM16 juta ini bukan hanya akan digunakan oleh tentera Malaysia, malah ia turut akan dibawa ke pasaran aset ketenteraan antarabangsa. Ia direka dengan memenuhi standard ketenteraan Stanag 4569 Tahap 2.

    Kenderaan gergasi ini mempunyai berat 13.2 tan, digerakkan dengan enjin diesel Caterpillar berkapasiti 7.2 liter, menghasilkan 330 hp. Ini membolehkan ia mencapai nisbah berat kepada kuasa 25 hp setiap 1 tan, dan ketika ujian tersebut berlangsung, ia mampu mencatatkan kelajuan maksima 110 km/j di atas lebuh raya.

     
     
  • GALERI: Honda HR-V RS 2021 — hadir dengan skrin 7-inci, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto

    GALERI: Honda HR-V RS 2021 — hadir dengan skrin 7-inci, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto

    Untuk pasaran Malaysia, Januari lalu Honda Malaysia telah perkenalkan HR-V dalam penawarannya yang dikemaskini untuk tahun 2021. Apa penambah baikan yang diberi? Antaranya, kelengkapan untuk semua empat varian yang dijual kini didatangkan dengan skrin tujuh-inci baru dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Ada juga tambahan dua lagi slot USB untuk peranti yang ditempatkan di konsol tengah. Varian yang sedang anda lihat ini ialah HR-V RS 2021, yang turut datang dengan sistem lampu baru LED di depan dan belakang yang lebih bergaya, yang turut dikongsi dengan varian V dan juga hibrid Sport i-DCD.

    Selain itu, pilihan warna Orchid White Pearl sedia ada juga tidak lagi ditawarkan dan digantikan dengan warna Platinum White Pearl yang anda lihat ini. Model ini turut akan menerima stereng tiga-jejari balutan kulit dari material yang baru.

    GALERI: Honda HR-V RS 2021 — hadir dengan skrin 7-inci, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto

    Honda HR-V kini ditawarkan melalui empat varian seperti berikut; E (RM104k), Hybrid i-DCD, V (RM113,422), dan RS (RM118,582). Ambil maklum bahawa ini adalah harga dengan pengecualian SST sehingga 30 Jun 2021. Honda Malaysia bagaimanapun belum mengumumkan harga terbaru bagi varian Hybrid i-DCD.

    Sepanjang tahun 2020, HR-V menyumbang sehingga 17% daripada jualan keseluruhan Honda Malaysia, dengan varian V menjadi yang paling popular (41%). Passion Red Pearl menjadi warna yang paling popular, meliputi 30% permintaan daripada semua pembelian. Pengeluarnya juga menyifatkan HR-V kekal sebagai SUV kompak bukan-nasional terlaris dengan pegangan pasaran 73% setakat November 2020.

    Honda HR-V RS 2021

     
     
  • Toyota menjanjikan 10 EV di Indonesia, labur RM8b

    Toyota menjanjikan 10 EV di Indonesia, labur RM8b

    Toyota telah mengumumkan pihaknya akan menyalurkan pelaburan tambahan sebanyak 28 trilion rupiah (RM8 bilion) di Indonesia, di mana nilai tersebut akan diagih-agihkan sehingga 2024. Menurut CNN Indonesia, kapital tambahan itu akan digunakan untuk memproduksi kereta hibrid dan elektrik, termasuk Innova Hybrid yang diperkatakan sebelum ini.

    CEO Toyota Motor Corporation Rantau Asia, Yoichi Miyazaki berkata syarikat pengeluar kereta ini akan memperkenalkan tidak kurang daripada model 10 kenderaan elektrik untuk pelanggan di Indonesia dalam jangka masa lima tahun akan datang.

    Pengarah pengurusan, korporat dan perhubungan luar Toyota Motor Manufacturing Indonesia, Bob Azam menjelaskan Toyota bakal memulakan pengeluaran kereta hibrid di sana menjelang 2022. Walau pun tidak mendedahkan secara spesifik model yang bakal dikeluarkan, tetapi pastinya ia sama ada model hibrid serba baharu, atau pun berdasarkan model sedia ada.

    Toyota menjanjikan 10 EV di Indonesia, labur RM8b

    “Pada tahun 2022, kami akan menghasilkan model hibrid. Sama ada model sedia ada yang bakal di’hibrid’kan atau pun hibrid baharu, jadi bekalan rantaian boleh dikekalkan dan teknologi baharu boleh diadaptasi, terutamanya apabila model sebegini diterima di pasaran eksport,” ujar Bob pada Disember 2020.

    Walau pun kenyataan Bob merujuk pada Innova Hybrid dan Fortuner Hybrid, namun beliau tidak mengesahkannya. Laporan turut menyebut, memandangkan Innova dan Fortuner berkongsi platform Innovative International Multi-purpose Vehicle (IMV) yang sama, jadi kedua-duanya mungkin antara yang terawal bakal dielektrifikasikan.

    Selain itu, Toyota juga akan melonjakkan kapasiti produksi enjin ke 411,000 unit setahun (berbanding 250,000 unit buat masa ini), di samping memperluaskan lagi pasaran eksport ke 20 buah lagi negara, menjadikannya jumlah keseluruhan mencecah 100 negara menjelang tahun 2024. Miyazaki berkata Toyota buat masa ini sedang mempersiapkan Indonesia untuk dijadikan hab eksport, bukan setakat untuk ASEAN tetapi juga negara-negara lain.

     
     
  • Perodua Myvi Style – bayangan oleh Theophilus Chin

    Perodua Myvi Style – bayangan oleh Theophilus Chin

    Perodua baru sahaja melancarkan SUV segmen-B terbaharunya iaitu, Ativa awal bulan ini. Tapi, bagaimana kalau projek Ativa ini tidak berlangsung dan Perodua hanya menghasilkan psedo-SUV seperti Axia Style yang diasaskan dari hatchback segmen-B Perodua Myvi? Nah, ini dia bayangan model berkenaan yang dibuat oleh pakar manipulasi automotif, Theophilus Chin.

    Theo menggabungkan hampir semua elemen dari Axia Style kepada Myvi bagi menghasilkan imej bayangan Myvi Style ini. Ia termasuk meninggikan badan Myvi berkenaan, kemudian diberikan plastik pelindung badan pada kesemua ruang roda. Gril, bampar hadapan dan belakang turut direka semula dengan diberikan elemen rekaan yang sama seperti Axia Style, termasuk elemen skid plate yang berwarna perak.

    Begitu juga pada bahagian skirt sisi yang direka seakan pelindung bawah badan, manakala pada bahagian bumbung ia turut diberikan kemasan seakan rel bumbung. Theo juga memberikan rim dengan rekaan sama seperti Axia Style, lampu belakang dengan lensa ‘albino’ bersama warna badan Sunrise Orange yang kini ditawarkan secara ekslusif untuk model berkenaan.

    Perodua Myvi Style – bayangan oleh Theophilus Chin

    Jika model ini benar-benar dilancarkan, Perodua mungkin akan menggunakan enjin varian paling berkuasa untuk Myvi buat masa sekarang iaitu enjin 2NR-VE 1.5 liter berkuasa 102 hp/136 Nm dan digandingkan dengan kotak gear automatik konvensional empat-kelajuan 4AT.

    Sebelum ini, kami pernah membandingkan saiz antara Myvi dan Ativa. SUV sebenar Perodua berkenaan dihasilkan dengan ukuran 4,065 mm panjang, 1,710 mm lebar dan 1,635 mm tinggi. Jadi berbanding Myvi, Ativa adalah 170 mm lebih panjang dan 120 mm lebih tinggi daripada Myvi.

    Anda bagaimana? Lebih sukakan model SUV sebenar Ativa, atau akan memilih Myvi Style ini sekiranya ia benar-benar dihasilkan dan dijual pada harga lebih kurang Myvi standard?

    GALERI:Perodua Axia Style 2019

    GALERI: Perodua Ativa vs Perodua Myvi vs Proton X50

    GALERI:Perodua Ativa

     
     
  • Ford Ranger FX4 MAX muncul di Thailand – banyak bahagian dipertingkat, suspensi Fox, RM160k

    Ford Ranger FX4 MAX muncul di Thailand – banyak bahagian dipertingkat, suspensi Fox, RM160k

    Pasaran Thailand telah menerima satu lagi varian bagi Ford Ranger iaitu FX4 Max. Ini bukan sahaja satu varian XLT yang diberikan peningkatan gaya, malah bahagian mekanikalnya juga dipertingkat dan boleh dipanggil sebagai “Raptor Lite”. Harganya adalah 1.19 juta baht (RM159,380), dan boleh dikatakan sesuai untuk mereka yang mencari trak yang sudah dipertingkat, tetapi tidak terlalu mahal.

    Bermula di bahagian enjin, sekiranya model FX4 sebelum ini menggunakan enjin Puma 2.2 liter TDCi VGT turbodiesel yang berkuasa 160 PS dan 385 Nm tork, model baru FX4 Max ini pula digerakkan enjin diesel empat silinder 2.0 liter EcoBlue twin turbo, yang dipadankan bersama transmisi automatik 10 kelajuan dengan fungsi manual SelectShift.

    Suspensi juga telah dipertingkat dengan penggunaan unit penyerap monotube Fox yang memberikan kedudukan lebih tinggi dua inci, dan seperti mengikuti pakej offroad pada model FX4 di Amerika Syarikat. Turut dipasang adalah stabiliser bar 29 mm di hadapan, dan penyerap belakang yang mempunyai subtank untuk meningkatkan prestasi di jalan offroad. Pakej ini menjadikan jarak dari tanah FX4 Max 20 mm lebih tinggi berbanding XLT biasa.

    FX4 yang dikeluarkan sebelum ini menggunakan rim 18 inci, tetapi FX4 Max baru pula menggunakan rim 17 inci, yang dibalut dengan tayar KO2 BF Goodrich 265/70 A/T.

    Penampilannya juga sudah tentu dipertingkat, dengan penggunaan warna kelabu gelap pada bahagian seperti gril hadapan, pemegang pintu, bampar serta cermin sisi. Varian ini juga mendapat besi penghadang belakang warna hitam matte, pemijak tepi besi, lampu projector LED serta kemasan lengkuk roda khas.

    Pada bahagian dalam, tempat duduknya dibalut dengan padanan kulit Alcantara, corak karbon di tengah serta logo FX4 Max pada penyandar kepala. Satu lagi yang boleh jelas dilihat adalah barisan suis di atas papan pemuka, yang disambungkan kepada alternator 250A dan boleh digunakan untuk aksesori seperti spotlight atau kabel penarik.

     
     
  • Perodua Myvi sedan diterap dengan ciri rekaan Ativa

    Perodua Myvi sedan diterap dengan ciri rekaan Ativa

    Perodua baru sahaja melancarkan SUV kompak mereka, Ativa. Jadi, jika kita ingin menjangkakan sebuah model serba baru, ia mungkin tidak akan berlaku dalam masa terdekat ini. Sekadar bermain dengan idea, apa kata kalau kita lihat lukisan digital daripada Theopilus Chin ini, yang memberi gambaran bagaimana rupa Myvi sedan apabila diterapkan dengan konsep rekaan Ativa.

    Hasilnya boleh dikatakan kemas juga, dan tidak keterlaluan untuk mengatakan mukanya agak elegan dengan lampu yang tajam, jalur krom pada gril dan tiga bahagian bukaan udara di bahagian bawah bampar (diambil daripada Volvo S60 R-Design.

    Hampir seperti Bezza, model yang dipanggil sebagai Bymi ini menggunakan bahagian hadapan yang pendek dan cermin dipanjangkan ke belakang untuk memberi keseimbangan. Pada bahagian belakang, anda akan lihat bentuk lampu seperti lampu Ativa, dengan kemasan hitam dan krom, sementara tempat meletak nombor plet pula diletakkan di pintu but.

    Perodua Myvi sedan diterap dengan ciri rekaan Ativa

    Dengan ini, bampar belakang nampak lebih bersih, dan diletakkan dengan pemantul cahaya yang diambil daripada Toyota Corolla Sedan pasaran US di bucunya. Meskipun kereta ini mempunyai lebih banyak garisan tajam berbanding Myvi, beberapa perincian masih dikekalkan seperti pemegang pintu krom serta rim dua tona 15 inci.

    Adakah Myvi sedan betul-betul akan menjadi realiti? Susah nak cakap, memandangkan sekarang, dalam pasaran semakin kecil, terdapat saingan yang kuat antara SUV. Walaupun begitu, sedan masih lagi popular bagi mereka yang mencari saiz lebih besar dan Myvi sedan ini boleh memberi pembaharuan kepada Bezza yang sedia ada sekarang.

    Bagi mereka yang mengambil penting jarak perjalanan, enjin 1.5 liter Dual VVT-i NA berkuasa 103 PS dan 137 Nm, bersama padanan kotak gear automatik empat kelajuan pada Myvi adalah pilihan yang masuk akal, tetapi jika melihat kepada enjin Ativa pula, iaitu unit tiga silinder 1.0 liter turbo berkuasa 98 PS dan 140 Nm, bersama padanan kotak gear CVT adalah lebih maju dan dapat menjadikannya lebih kompetitif berbanding pesaing seperti Almera. Anda rasa enjin apa yang padan dengan Myvi sedan ini?

     
     
  • Mitsubishi labur RM3.2b di Indonesia untuk produksi Xpander Hybrid, Outlander PHEV – juga untuk eksport

    Mitsubishi labur RM3.2b di Indonesia untuk produksi Xpander Hybrid, Outlander PHEV – juga untuk eksport

    Nampak gayanya industri automotif di Indonesia kian berkembang dengan jayanya. Selain Hyundai yang bakal memulakan pengeluaran untuk model EV di negara berkenaan, Tesla juga sedang merancang untuk membangunkan fasiliti produksi bagi bateri di sana, manakala Honda juga mahu memindahkan kilang pengeluarannya dari India serta menghasilkan EV.

    Bukan itu sahaja, Mitsubishi juga telah mengumumkan komitmen untuk melabur sebanyak 11.2 trilion rupiah (RM3.2 bilion) di negara berkenaan sehingga 2025. Menurut laporan CNN Indonesia, menteri industri Agus Gumiwang berkata, wang tersebut akan digunakan untuk meningkatkan kapasiti kilang produksi dari 220,000 ke 250,000 unit, ditambah dengan pembangunan untuk sekurang-kurangnya dua kereta hibrid, di mana salah satunya ialah Xpander Hybrid.

    Manakala model kedua pula ialah model plug-in hybrid. Model semasa Outlander PHEV kini dijual di Indonesia, dalam unit import sepenuhya. Berdasarkan strategi Fasa Kedua pengeluar kereta berkenaan, Outlander PHEV generasi akan datang bakal diproduksi secara tempatan untuk kedua-dua pasaran domestik dan eksport. Manakala model PHEV lain yang dijangka akan diproduksi di sana termasuklah Eclipse Cross PHEV baharu.

    Berkenaan dengan eksport, Agus berkata, beberapa model Mitsubishi yang dipasang di Indonesia akan dieksport ke sembilan lagi pasaran negara luar, menjadikannya daripada 30 negera ke 39 buah negara.

     
     
  • Nissan X-Trail generasi baharu bakal dijana enjin VC Turbo di China – 2.0L, nisbah mampatan bervariasi

    Nissan X-Trail generasi baharu bakal dijana enjin VC Turbo di China – 2.0L, nisbah mampatan bervariasi

    Nissan X-Trail genarasi ke-empat telah dilihat di China sebelum ia dilancarkan secara rasmi di negara berkenaan. Dan apa yang mengejutkan, ia turut akan ditawarkan dengan varian yang dijana oleh enjin VC-Turbo, iaitu enjin turbo yang dihasilkan oleh divisi mewahnya, Infiniti, menampilkan teknologi nisbah mampatan yang boleh berubah-ubah.

    Menurut laporan oleh AutoHome, unit yang dilihat berkenaan mengenakan lencana “300 VC-Turbo” dan “4×4”. Ia berkemungkinan menggunakan enjin 2.0 liter VC-T yang sudahpun digunakan pada Nissan Altima generasi terkini serta SUV mewah Infiniti QX50. Ia mungkin akan menggunakan talaan seperti pada Altima yang menghasilkan 248 hp dengan tork maksima 370 Nm, berbanding pada QX50 yang menjana 270 hp dan tork maksima 390 Nm.

    Enjin VC-Turbo ini didedahkan buat pertama kali pada 2016. Enjin berkenaan merupakan enjin produksi dengan teknologi nisbah mampatan bervariasi pertama seumpamanya di dunia. Ia diberikan rekaan mekanikal khas pada aci engkol (crankshaft) yang membolehkan nisbah mampatannya berubah dari 8:1 (untuk prestasi tinggi) hingga 14:1 (untuk kecekapan bahan api tinggi).

    Nissan X-Trail generasi baharu bakal dijana enjin VC Turbo di China – 2.0L, nisbah mampatan bervariasi

    Lebih perincian berkenaan X-Trail ini dijangka akan diumumkan hampir sebelum tarikh pelancarannya nanti. Buat masa sekarang pada pasaran lain, X-Trail generasi baharu tersebut sudahpun menerima pilihan enjin QR25DE 2.5 liter empat silinder NA yang dirombak semula, menghasilkan 184 PS dan tork maksima 245 Nm, atau 11 PS/8 Nm lebih berkuasa dari sebelumnya.

    Ia juga masih digandingkan dengan kotak gear CVT automatik, serta ditawarkan dengan pilihan sama ada memacu roda hadapan atau diberikan sistem pacuan semua roda. Dikhabarkan, X-Trail juga bakal menerima pilihan varian yang dijana rangkaian kuasa hibrid.


     
     
  • Honda pindahkan kilang dari India ke Indonesia – labur RM1.49 bilion, rancang produksi model elektrifikasi

    Honda pindahkan kilang dari India ke Indonesia – labur RM1.49 bilion, rancang produksi model elektrifikasi

    Honda merancang untuk memindahkan kilangnya dari India ke Indonesia, walau pun tidak mendedahkan bila ia akan dilaksanakan. Menurut laporan CNN Indonesia, menteri industri republik berkenaan, Agus Gumiwang, mendedahkan, rancangan ini dilakukan selepas mesyuarat dengan barisan kepimpinan Honda dalam sesi lawatan ke Jepun minggu lalu.

    Agus berkata, Honda telah memberikan komitmen yang utuh dalam pelaburan di Indonesia. “Honda komited untuk meningkatkan pelaburan sehingga 2024 iaitu sekitar 5.2 trilion rupiah (RM1.49 bilion), termasuk membangunkan model baharu yang akan dilakukan di Indonesia,” katanya. Beliau menambah pengeluar kereta berkenaan turut merancang membangunkan model elektrifikasi di republik berkenaan, namun perinciannya tidak didedahkan, juga tidak dimaklumkan adakah ia bakal melibatkan model hibrid.

    Beliau berkata, syarikat berkenaan juga sedang meneliti untuk meningkatkan aktiviti eksport, sama ada dalam bentuk kenderaan dan juga komponen, dengan “komponen kereta yang dihasilkan di Indonesia bakal menjadi bekalan rantaian global.”

    Sebelum ini, Honda Prospect Motor (HPM) berkata pengeluar kereta ini mencari peluang pelaburan baharu di Indonesia, tetapi tidak menyebut pelaburan berkenaan melibatkan penempatan semula kilang. Pada masa itu, HPM berkata, pelaburan terbabit bukan untuk pembangunan kereta elektrik dan hibrid, tetapi akan memfokuskan strategi kereta konvensional mengikut keperluan pasaran.

    Honda pindahkan kilang dari India ke Indonesia – labur RM1.49 bilion, rancang produksi model elektrifikasi

    Buat masa ini, HPM memiliki dua kilang pengeluaran di Karawang, Jawa Barat, dengan kapasiti tahunan sebanyak 200,000 unit. Produk pemasangan tempatan termasuk CR-V, HR-V, BR-V, Mobilio dan Brio.

    Berita mengenai kemungkinan melaksanakan penempatan kilang produksi di Indonesia mula bertebaran selepas tiga bulan setelah pengeluar kereta berkenaan berkata pihaknya akan menghentikan satu daripada dua kilang pengeluaran kereta di India, di mana jika digabungkan kapasiti produksi kedua-dua kilang berkenaan, ia mampu mencecah 280,000 unit.

    Pada Disember lalu, Honda mengumumkan pemberhentian produksi kereta di kilang di Greater Noida, berhampiran New Delhi, dan memindahkan semua produksi kenderaan dan komponen di negara tersebut ke kilang di Tapukara di Rajasthan, yang mampu mengeluarkan 180,000 unit setahun. Dalam tahun fiskal yang berakhir pada 31 Mac 2020, Honda telah menjual sekitar 102,000 unit kenderaan di India dan mengeksport sebanyak 4,000 unit.

    Penyesuaian semula operasi pembuatannya sebenarnya adalah langkah biasa, memandangkan kapasiti pengeluaran sangat kurang digunakan. Julai lalu, Honda telah mengumumkan rancangan untuk menjadikan India sebagai pusat eksport strategik untuk unit pemanduan kiri ke Eropah pada akhir 2020 sebagai kaedah untuk mengimbangi permintaan tempatan yang perlahan.

     
     
  • Pembeli jualan di lampu isyarat boleh didenda RM2,000, Polis Johor kini lancarkan Ops Kesedaran

    Pembeli jualan di lampu isyarat boleh didenda RM2,000, Polis Johor kini lancarkan Ops Kesedaran

    Aktiviti jual beli di lampu isyarat seperti jeruk mangga yang popular di kebanyakkan tempat sememangnya agak bahaya. Memang, ia adalah salah satu cara permasaran yang agak berkesan untuk menjual, namun risiko untuk berlaku kemalangan yang boleh terjadi terlalu banyak. Bagi mengelakkan perkara ini terus berlaku, Polis Johor kini melancarkan satu operasi khas yang dinamakan Ops Kesedaran.

    Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam laporan Kosmo, aktiviti perniagaan itu merupakan satu kesalahan kerana cara itu bukan sahaja membahayakan penjual, tetapi juga pengguna jalan raya yang lain. Dalam operasi berkenaan, bukan sahaja peniaga, malah orang awam yang didapati membeli dari peniaga-peniaga tersebut turut akan berhadapan dengan tindakan.

    “Menerusi Ops Kesedaran, Polis Johor telah mengenal pasti sebanyak 52 lokasi yang menjadi tumpuan aktiviti perniagaan di lampu isyarat seluruh Johor.

    “Mengikut peruntukan undang-undang, bukan sahaja penjual boleh dikenakan tindakan tetapi juga pembeli yang mana mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas mengikuti Op Khas – Ekzos Bising yang diadakan di Taman Kota Masai, semalam.

    Antara lokasi yang dikenal pasti dalam Ops Kesedaran ini termasuklah di lampu isyarat pusat beli belah Angsana Johor Bahru Mall, lampu isyarat Kempas Baru-Pasir Gudang, lampu isyarat Taman Cempaka dan lampu isyarat Jalan Kulai-Kota Tinggi.

    Beliau turut menasihatkan agar peniaga-peniaga berkenaan mencari kaedah jualan lain yang bukan sahaja lebih selamat tetapi mengikut lunas peruntukan undang-undang negara.

    “Nasihat saya, carilah kaedah atau lokasi lain yang lebih sesuai untuk menjalankan perniagaan dan jangan sampai membahayakan,” ujarnya.

    Walau bagaimanapun, Ayob Khan memberitahu bahawa setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan terdapat mana-mana insiden kemalangan melibatkan aktiviti perniagaan di lampu isyarat.