Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Honda CRF250 Rally 2021 tiba di Malaysia – RM28k

    Honda CRF250 Rally 2021 tiba di Malaysia – RM28k

    Model terbaru Honda CRF250 Rally 2021 yang didedahkan pertama kali November tahun lalu kini sudah tiba di Malaysia. Ia dijual pada harga RM27,999 tidak termasuk insurans dan melibatkan pelbagai pembaharuan di segenap bahagian.

    Bermula pada enjin, model tahun 2021 ini masih lagi menggunakan unit satu silinder DOHC 249 cc berkuasa 24 PS dan 23 Nm tork yang sama, tetapi telah ditala semula dengan perubahan pada bahagian camshaft intake, penapis udara, ekzos serta pemasaan pengapian (ignition timing).

    Kemudiannya pada transmisi, unit enam kelajuan padanya diubah dengan nisbah gear 1 hingga 5 yang lebih pendek serta gear 6 yang lebih panjang. Klac pula menggunakan unit slip & assist baru yang memberikan operasi 20% lebih ringan dan mengurangkan loncatan tayar apabila mengurangkan kelajuan dengan pantas.

    Kerangka model ini juga adalah baru, di mana ia direka untuk mendapatkan keseimbangan kekuatan dan pengurangan berat yang lebih baik. Kini, berat CRF250 Rally cuma 152 kg (lebih ringan 5 kg berbanding sebelum ini) sementara tangki bahan api dibesarkan dua liter, menjadi 12 liter.

    Panel meter masih lagi menggunakan LCD tetapi bentuknya kini lebih petak dan dilengkapi dengan tulisan yang lebih besar serta tambahan informasi kedudukan gear serta penggunaan bahan api. Di bahagian tepi meter ini terdapat satu butang khas untuk menutup fungsi brek ABS belakang sekiranya penunggang mahu memasuki kawasan offroad.

    Untuk ergonomik, kedudukan pemegang dijadikan lebih tegak dan kurang bergegar, tempat duduk lebih lebar dan pemijak kaki ditambah dengan pelapik getah seupaya lebih selesa. Kelengkapan lain yang terdapat CRF250 Rally adalah fork teleskopik, brek cakera dan rim 21 inci di hadapan, manakala di belakang terdapat monoshock berserta ProLink, brek cakera serta rim 18 inci.

    GALERI: Honda CRF250 Rally 2021

     
     
  • Hyundai Staria – imej teaser model gantian MPV besar Starex didedahkan dengan rupa jauh lebih futuristik

    Hyundai Staria – imej teaser model gantian MPV besar Starex didedahkan dengan rupa jauh lebih futuristik

    Model MPV besar Hyundai Starex terkini mungkin nampak berbeza dari versi awal, namun ia sebenarnya masih model yang sama selama 14-tahun dan telah diberikan berberapa versi facelift. Jadi, sudah tiba masanya Starex digantikan dengan model baharu, dan ini adalah imej teaser model gantian berkenaan diberi nama Hyundai Staria yang akan didedahkan sepenuhnya tidak lama lagi.

    Model generasi baharu ini masih tampil sebagai sebuah MPV yang besar, namun ia nampaknya diberikan rupa yang jauh lebih futuristik. Hyundai menyifatkan rekaan Staria berkenaan sebagai memberikan “nilai produk berorentasikan masa depan dan kerekteristik rekaan yang diperkemas.”

    Boleh anda lihat Staria tidak berbentuk bas mini seperti Starex, tetapi ia lebih nampak seperti kepala kereta api peluru. Pada bahagian hadapan, ia diberikan lampu nyalaan siang berbentuk jalur LED merentangi keseluruhan muka seakan mata super hero Jepun era 80’an, Gaban/Space Sherrif Gavan.

    Hyundai Staria – imej teaser model gantian MPV besar Starex didedahkan dengan rupa jauh lebih futuristik

    Gril utama yang juga direka besar pada bahagian bawah pula kelihatan seperti bersambung dengan lampu hadapan utama, menampilkan blok-blok LED yang disusun menegak.

    Staria diberikan rupa yang minimalis pada bahagian sisi tanpa garisan-garisan yang kompleks. Ia tampil dengan cermin tingkap yang besar, permukaan badan yang rata, dan hanya menampilkan garisan pada sekeliling ruang roda. Rekaan pintu belakang yang dibuka secara gelangsar nampaknya masih dikekalkan pada MPV baharu ini.

    Bahagian belakang Staria ini juga nampak sangat ringkas, hanya menampilkan sepasang lampu belakang LED menegak sepanjang setiap sisi pintu tailgate belakang.

    Hyundai turut menayangkan berberapa bahagian dalaman MPV baharu ini. Elemen futuristik diteruskan pada bahagian kabin dengan papan pemuka menerima rekaan seakan Tucson generasi baharu – liang penghawa dingin yang nipis merentangi keseluruhan papan pemuka, dipisahkan dengan skrin sesentuh sistem infotainmen di tengah yang nampak seakan air terjun.

    Bahagian tengah antara tempat duduk hadapan pula diberikan konsol yang cukup besar dan mungkin boleh dibuka bagi menawarkan ruang storan yang luas. Manakala pada tempat duduk baris kedua, Staria juga ditawarkan dengan sepasang tempat duduk kapten yang cukup selesa – ini mungkin ditawarkan untuk model varian tertinggi.

    Masih lagi tiada sebarang perincian berkenaan mekanikal dan lain-lain untuk MPV ini. Namun seperti Starex, Staria mungkin masih ditawarkan dalam versi petrol dan diesel. Lebih pengumuman dan imej mungkin akan didedahkan oleh Hyundai tidak lama lagi.

     
     
  • Ramai pengguna jalan raya masih tidak patuh dengan pemakaian tali pinggang dalam kenderaan – MIROS

    Ramai pengguna jalan raya masih tidak patuh dengan pemakaian tali pinggang dalam kenderaan – MIROS

    Walau pun menyedari pemakaian tali pinggang keledar di dalam kenderaan adalah diwajibkan waima untuk penumpang belakang, namun masih ramai yang tidak mengendahkannya. Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Datuk Suret Singh, biarpun penguatkuasaan peraturan itu sudah lebih sedekad sejak Januari 2009, namun pengguna jalan raya masih alpa mengenai kepentingan penggunaan tali pinggang khususnya penumpang di belakang.

    Katanya, berdasarkan pemantauan, kadar pemakaian tali pinggang keledar di tempat duduk belakang dalam kalangan pengguna jalan raya Malaysia masih di tahap amat rendah iaitu sekitar 11%.

    “Mengikut kajian, sekiranya pemandu dan penumpang kenderaan terbabit nahas jalan raya, risiko kematian dapat dikurangkan sebanyak 50% tanpa beg udara dan meningkat hingga 80% kalau digunakan bersama tali pinggang,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Justeru, berdasarkan kadar kepatuhan itu, satu Pelan Strategik Pembudayaan Pemakaian Tali Pinggang Keledar Belakang telah dibangunkan sebagai langkah permulaan mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemakaiannya secara berperingkat.

    “Pelan ini diluluskan lembaga pengarah Miros dan sepatutnya dilaksanakan bermula tahun lalu hingga 2022 namun ditangguhkan susulan penularan wabak Covid-19. MIROS akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam memastikan pelan ini dapat diperkasa,” katanya.

    Ramai pengguna jalan raya masih tidak patuh dengan pemakaian tali pinggang dalam kenderaan – MIROS

    Tambahnya, pihaknya optimis akan mencapai sasaran 95% tahap penggunaan tali pinggang keledar belakang pada tahun 2022, sekali gus menjadikannya budaya dalam kalangan pengguna jalan raya.

    Undang-undang pemakaian tali pinggang belakang berkuat kuasa pada 1 Januari 2009 melalui Kaedah-kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar)(Pindaaan 2008) dan pesalah yang disabitkan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

    Katanya, pelbagai pendekatan akan dilaksanakan oleh Miros daripada peringkat sekolah hingga agensi awam dan swasta dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat.

    “Dalam pelan ini juga, kita akan menjadikan pegawai tertinggi kerajaan sebagai suri teladan kerana itu adalah aspirasi daripada Ketua Setiausaha Negara sendiri,” katanya.

    Pada 1 November 2020, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali menandatangani pekeliling Kempen Pemakaian Tali Pinggang Keledar dengan mewajibkan pegawai kerajaan memakai tali pinggang keledar ketika menaiki kenderaan milik kerajaan.

     
     
  • PDRM memperketatkan lagi pemeriksaan pergerakan rentas negeri, anggota perlu lebih serius di SJR – KPN

    PDRM memperketatkan lagi pemeriksaan pergerakan rentas negeri, anggota perlu lebih serius di SJR – KPN

    Bermula hari ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperketatkan lagi pemeriksaan terhadap sebarang pergerakan rentas negeri bagi mengesan individu yang mengambil kesempatan melakukan pergerakan tanpa kebenaran.

    Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, beliau sudah memberikan arahan tegas kepada semua pegawai dan anggota di lapangan terutama di setiap sekatan jalan raya (SJR) rentas negeri untuk memberi tumpuan terhadap kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran.

    Pemeriksaan ini dibuat bagi memastikan hanya mereka yang mempunyai kebenaran saja dibenarkan untuk melakukan pergerakan rentas negeri,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Beliau berkata, pada masa ini sejumlah 36,000 pegawai dan anggota polis dikerahkan untuk pemeriksaan terhadap pematuhan SOP, sekatan jalan raya dan Operasi Benteng. Sehingga kini, sebanyak 260 sekatan jalan raya diwujudkan di seluruh negara terutama di laluan keluar dan masuk setiap negeri.

    PDRM memperketatkan lagi pemeriksaan pergerakan rentas negeri, anggota perlu lebih serius di SJR – KPN

    Berikutan pihaknya turut menerima aduan petugas di SJR mengambil ringan tanggungjawab mereka ketika melakukan pemeriksaan dalam mengawasi pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran, beliau berkarta, semua pegawai dan anggotanya di seluruh negara diarahkan melakukan pemeriksaan secara lebih serius dan bukan hanya sekadar melambai tangan.

    “Bukit Aman akan mengambil tindakan terhadap mana-mana Ketua Polis Negeri yang didapati gagal mengawal pegawai dan anggota di SJR apabila tidak melakukan pemeriksaan dan membiarkan setiap kenderaan bergerak begitu saja,” katanya lagi.

    Abdul Hamid berkata, berdasarkan pemerhatiannya terdapat segelintir anggota di lapangan duduk di khemah rehat dalam SJR sehingga membiarkan kenderaan lalu begitu saja dengan melambai tangan tanpa mengambil serius keadaan semasa.

    “Saya tidak mahu PDRM dipersalahkan dan tidak sanggup melihat wujud kluster rentas negeri seperti sebelum ini. Saya memperoleh maklumat SJR di Sabah dan Sarawak sangat longgar dan tindakan segera perlu diambil untuk memperketatkan tahap kawalan,” tambahnya lagi.

     
     
  • Mazda CX-30 CKD akan dilancarkan di Malaysia pada 2022 – RM15,000 lebih murah berbanding model CBU

    Mazda CX-30 CKD akan dilancarkan di Malaysia pada 2022 – RM15,000 lebih murah berbanding model CBU

    Menurut laporan pelabur yang disediakan oleh AmInvestment Bank dan Public Investment Bank, Bermaz Auto (BAuto) baru sahaja mendapat kelulusan dari Mazda Jepun untuk memulakan program pemasangan tempatan (CKD) mereka yang ketiga membabitkan SUV segmen-B CX-30 tahun ini. Buat masa sekarang BAuto telahpun memasang CX-5 dan juga CX-8 di kilang Inokom Kulim, Kedah.

    Perkara tersebut juga sebenarnya telah pun disebutkan dalam laporan sebelum ini yang menyebut bahawa BAuto merancang untuk memperkenalkan SUV Mazda baharu dalam versi pemasangan tempatan dalam tahun kewangan 2021 ini, yang bermula 1 Mei 2020 sehingga 30 April 2021.

    CEO BAuto Datuk Francis Lee juga telahpun mengesahkan perkara berkenaan dalam satu temu ramah dan menyebut bahawa fasiliti Inokom akan ditingkat taraf dengan pelaburan sebanyak RM200 juta bagi menghasilkan model CKD baharu. Walau bagaimanapun, ketika itu masih belum dipastikan sama ada CX-30 atau MX-30 akan dipilih untuk projek berkenaan.

    Dengan berita terbaru ini, nampaknya BAuto telahpun memilih CX-30 terlebih dahulu untuk dihasilkan secara CKD di Kulim. Sebelum ini Lee turut telah menyebut bahawa MX-30 dalam varian hibrid ringkas juga bakal masuk ke pasaran Malaysia, bersama trak pikap BT-50 generasi baharu.

    Mazda CX-30 CKD akan dilancarkan di Malaysia pada 2022 – RM15,000 lebih murah berbanding model CBU

    Perician yang tertulis antara dua laporan berkenaan juga dilihat saling berkait, dengan Public Investment Bank mengatakan bahawa produksi CX-30 di kilang Inokom tersebut akan hanya bermula pada Disember tahun ini. Manakala AmInvestment Bank pula mengatakan bahawa model CKD baharu tersebut akan dilancarkan pada suku kedua 2021, namun sumber dari BAuto sendiri memberitahu kami bahawa pelancarannya akan berlangsung pada tahun 2022.

    Antara isi yang agak ‘menarik’ dalam laporan AmInvestment bank berkenaan, ia menyatakan bahawa model CKD tersebut dijangka akan dijual RM15,000 lebih rendah dari versi yang diimport sepenuhnya (CBU) yang kini telah dijual dalam pasaran.

    Mazda CX-30 CBU telah pun dilancarkan di Malaysia pada awal tahun lalu dan kini ditawarkan dalam tiga varian petrol – 2.0G, 2.0G High dan 2.0G High AWD – dijual pada harga bermula RM144,759 hingga RM170,459. Angka-angka yang disebutkan ini merupakan harga atas jalan tanpa insuran termasuk pengecualian cukai jualan sebanyak 15% untuk model CBU. Bermaz turut ada menawarkan CX-30 versi diesel dalam varian tunggal 1.8D High, berharga RM167,674.

    Jadi berdasarkan dakwaan AmInvestment Bank yang mengatakan ia akan dijual RM15,000 lebih murah untuk versi CKD nanti, boleh dijangka CX-30 akan ditawarkan pada harga bermula RM129,759 sehingga RM155,459. Ini membolehkan SUV yang diletakkan antara CX-3 dan CX-5 ini berada pada tahap harga yang lebih kompetitif dalam pasaran.

    GALERI: Mazda CX-30 2.0L Skyactiv-G CBU

     
     
  • Kompaun PKP: Polis akan tulis RM10,000, PKD tentukan jumlah sebenar selepas rayuan dibuat

    Kompaun PKP: Polis akan tulis RM10,000, PKD tentukan jumlah sebenar selepas rayuan dibuat

    Seperti yang diumumkan sebelum ini, hari ini telah bermula penguatkuasaan kompaun sebanyak RM10,000 untuk mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Dalam laporan Harian Metro hari ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan bahawa langkah itu berikutan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan mulai 12.01 tengah malam tadi.

    Menurut beliau lagi, selepas ini mereka yang didapati melanggat mana-mana SOP akan terus menerima kompaun yang tertulis nilai RM10,000, walau bagaimanapun jumlah berkenaan mungkin akan dikurangkan oleh Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) atas budi bicara selepas pesalah membuat rayuan.

    “Notis kompaun yang ditulis adalah bernilai RM10,000 jika melanggar SOP namun, ia bergantung kepada budi bicara pegawai yang diberi kuasa iaitu Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) untuk menetap nilai sebenar kompaun yang dikenakan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

    Kompaun PKP: Polis akan tulis RM10,000, PKD tentukan jumlah sebenar selepas rayuan dibuat

    Beliau turut menjelaskan bahawa keputusan menaikkan nilai kompaun itu bukan untuk menghukum orang ramai secara berlebih-lebihan atau membolehkan kerajaan mengutip wang daripada orang ramai, sebaliknya ia semata-mata untuk sedarkan orang ramai bahawa virus ini masih berada di mana-mana sekiranya kita lupa.

    “Pegawai polis akan menawarkan kompaun, mereka akan menulis notis kompaun bernilai RM10,000 dan dalam tempoh dua minggu, pesalah perlu membayar kompaun berkenaan.

    “Namun pesalah boleh membuat permohonan rayuan, ia bergantung kepada budi bicara PKD untuk menetapkan jumlah sebenar nilai kompaun berkenaan,” katanya untuk memperjelaskan lagi proses berkenaan.

    Beliau turut memberitahu bahawa PDRM akan mengesan individu yang melakukan kesalahan berulang menerusi sistem yang dibangunkan, dengan mereka boleh dikenakan kompaun maksimum itu bergantung kepada kesalahan dilakukan.

     
     
  • Nissan 400Z – spesifikasi bocor di permainan video Project Cars 3, hasilkan 450 PS, berat 1,475 kg?

    Nissan 400Z – spesifikasi bocor di permainan video Project Cars 3, hasilkan 450 PS, berat 1,475 kg?

    Selalunya permainan-permainan video yang bercorak simulator menampilkan kereta-kereta spesifikasi sebenar, oleh itu ini mungkin maklumat sahih yang terbocor berkenaan kereta sport Nissan Z generasi baharu – dalam permainan video Project Cars 3 menunjukkan bahawa model tersebut menerima kuasa 450 PS, dengan berat badan hanya 1,475 kg!

    Walau bagaimanapun, permainan yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu berkenaan masih menampilkan model generasi baharu tersebut dalam bentuk prototaip, iaitu Nissan Z Proto dan bukan sebagai model produksi 400Z – nama yang disebut-sebut dalam banyak khabar sebelum ini.

    Nissan Z Proto ini telah pun didedahkan pada September tahun lalu. Walaupun ia masih dalam fasa prototaip, Presiden Nissan Makoto Uchida mengesahkan bahawa ini bukan kereta konsep dan bentuknya adalah sangat hampir pada bentuk produksi – menampilkan rupa retro diinspirasikan dari kereta sport Z pertama Nissan, S30Z Fairlady 240Z.

    Tiada sebarang perincian yang solid diumumkan ketika itu berkenaan sistem mekanikalnya, namun Nissan mengesahkan bahawa model generasi baharu ini akan dijana oleh enjin V6 dengan bantuan dua pengecas turbo, bersama padanan pilihan kotak gear enam-kelajuan manual, memacu roda belakang.

    Ada khabar yang bertiup, kereta sport ini sebenarnya akan dijana oleh enjin VR30DDTT 3.0 liter V6 turbo berkembar tanpa sebarang bantuan elektrifikasi dan angka kuasa awal yang berlegar adalah 400 PS/500 Nm. Kotak gear automatik tujuh-kelajuan bersama Adaptive Shift Control dan juga pilihan pacuan semua roda juga dikhabarkan akan ditawarkan sebagai opsyen.

    Sebelum ini juga Nissan telah mengesahkan bahawa model ini akan mula dijual dalam pasaran bermula 2022, oleh itu kemungkinan versi produksinya akan didedahkan sepenuhnya pada lewat tahun ini.

    GALERI: Nissan Z Proto

     
     
  • Perodua gesa pelanggan untuk berurusan dengan penasihat jualan yang sah sahaja bagi elak ditipu

    Perodua gesa pelanggan untuk berurusan dengan penasihat jualan yang sah sahaja bagi elak ditipu
    Selepas pelancaran model terbaharunya, Ativa, Perodua telah menemui sekurang-kurangnya dua tawaran rebat palsu dalam talian bagi SUV tersebut. Justeru, Perodua menggesa agar pelanggannya yang sedia ada dan baharu untuk hanya berurusan dengan penasihat jualannya yang sah agar tidak terpedaya memberi wang pendahuluan pembelian kereta.

    “Kami telah menemui sekurang-kurangnya dua tawaran rebat palsu dalam talian bagi Perodua Ativa yang baru dilancarkan. Perodua dan cawangan-cawangan kami di seluruh negara tidak pernah dan tidak akan mengadakan sebarang promosi rebat tunai selepas memperkenalkan model baharu kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

    Jelas beliau, ada beberapa individu yang tidak bertanggungjawab telah mendakwa diri mereka sebagai penasihat jualan Perodua dan memperdaya mangsa untuk memasukkan wang pendahuluan pembelian kereta baharu mereka ke dalam akaun bank peribadi.

    Perodua gesa pelanggan untuk berurusan dengan penasihat jualan yang sah sahaja bagi elak ditipu

    “Kami ingin menggesa para pelanggan agar jangan segera menerima tawaran, sama ada dalam talian atau cetak, tanpa mendapatkan pengesahan maklumat terperinci daripada penasihat jualan dan servis Perodua yang sah, atau platform dalam talian rasmi kami di www.perodua.com.my, Facebook dan Instagram.

    “Selain itu, jangan berikan maklumat peribadi anda seperti nombor akaun bank, alamat rumah dan nombor kad pengenalan tanpa memastikan individu yang berurusan dengan anda adalah kakitangan Perodua yang sah,” ujarnya lagi.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa para pelanggan agar tidak membuat sebarang pembayaran, termasuk wang pendahuluan atau wang tempahan ke dalam akaun bank peribadi. Semua pembayaran mesti dibuat ke akaun syarikat sahaja.

     
     
  • Honda Civic Sedan versi produksi 2022 terdedah – rekaan generasi ke-11 nampak sama seperti prototaip

    Ini besar kemungkinan adalah versi produksi untuk Honda Civic 2022, iaitu versi sedan bagi generasi ke-11. Gambar yang disiarkan oleh Civic11Forum ini menunjukkan satu contoh berwarna putih, yang menggunakan lencana pasaran China termasuk “240 Turbo” – diambil daripada tork 240 Nm yang dihasilkan oleh enjin 1.5L VTEC Turbo padanya.

    Rasa seperti pernah nampak? Sebenarnya kereta yang anda lihat ini mempunyai persamaan dengan “Honda Civic Prototype” yang didedahkan November tahun lalu. Hampir semua bentuknya adalah sama, kecuali terdapat tambahan lampu kabus hadapan dan bentuk muncung ekzosnya (sedikit tersembunyi).

    Civic baru ini bagaimanapun mempunyai sedikit rasa seperti Accord, dan ia juga menggunakan garis tingkap berhampiran c-pillar yang bertingkat – seperti sedan segmen D itu dan juga Civic Proto. Garis bumbung juga menjunam di belakang, dan meneruskan konsep gaya yang dimulakan oleh model FC.


    Tiada lagi lampu belakang yang popular dipanggil di negara kita sebagai ketam, dan ia diganti dengan rekaan yang lebih konvensional pada model generasi ke-11 ini. Kedua-dua lampu hadapan dan belakang menggunakan nyalaan LED utama berbentuk L sementara rim pula adalah unit dua tona dengan rekaan seperti bunga.

    Gambaran bahagian dalam masih belum kami perolehi, tetapi disebabkan ia mengikuti banyak konsep rekaan model prototaip yang disebutkan tadi, kita juga boleh menjangkakan rekaan bahagian dalam yang sama. Seperti Accord, terdapat skrin terapung pada model prototaip ini, serta corong pendingin hawa yang lebih bergaya.

     
     
  • GALERI: Perodua Ativa vs Perodua Kembara – beza teknologi selama dua dekad SUV kompak dari Rawang

    GALERI: Perodua Ativa vs Perodua Kembara – beza teknologi selama dua dekad SUV kompak dari Rawang

    Perodua, walaupun ia dikenali sebagai jenama automotif nasional yang menghasilkan model-model mampu milik, syarikat berkenaan sebenarnya antara jenama yang sudah lama memberikan pilihan SUV dalam barisan model mereka, betul-betul lama sebelum segmen SUV kompak meletup dalam pasaran.

    Ya, SUV pertama yang anda boleh beli di bilik pameran Perodua iaitu Kembara sudah pun berada dalam pasaran sejak Ogos 1998, era yang sama Honda CR-V generasi pertama dijual dan sekitar 20 tahun sebelum Proton memperkenalkan SUV pertamanya iaitu X70.

    Jadi untuk memperkenalkan Perodua Ativa awal bulan ini, ia bukan satu perkara baharu buat Perodua. Ativa bukan model generasi kedua, dan ia sebenarnya berada pada generasi ketiga SUV kompak lima-tempat duduk selepas Perodua Nautica (Aruz adalah MPV tujuh-tempat duduk dengan gaya SUV) yang dilancarkan pada tahun 2008.

    Jadi kami agak bertuah kali ini kerana dapat mempertemukan dua generasi dengan perbezaan teknologi lebih dari 20-tahun, sekaligus memperlihatkan kemajuan yang dapat ditawarkan oleh Perodua dalam tempoh dua dekad kebelakangan ini.

    GALERI: Perodua Ativa vs Perodua Kembara – beza teknologi selama dua dekad SUV kompak dari Rawang

    Berdasarkan laporan dari Bernama yang difailkan oleh Yayasan Kepimpinan Perdana, Perodua Kembara dilancarkan pada 24 Ogos 1998 oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu merupakan Perdana Menteri Malaysia ke-empat. Ia ditawarkan dalam tiga varian iaitu EX, GX dan EZ dengan harga atas jalan bermula RM45,898 hingga RM52,276.

    Satu fakta yang mungkin anda tak perasan, Kembara adalah model pertama yang mengenakan logo ‘P’ Perodua pada gril hadapan, berbanding model-model sebelum itu yang menggunakan logo haiwan berdasarkan nama masing-masing iaitu Perodua Kancil dan Perodua Rusa.

    Walapun dari segi segmen Kembara dan Ativa ini berada dalam kelas yang hampir sama, Kembara sebenarnya merupakan sebuah SUV yang lebih hardcore. Ia diasaskan dari Daihatsu Terios, yang memang benar-benar model lanjutan dari SUV off-road sebenar Daihatsu Rocky dan Feroza, lawan terus kepada Suzuki Jimny.

    Kembara pada asalnya dijana oleh enjin 1.3 liter SOHC empat silinder berkuasa 83 hp dan tork maksima 105 Nm, dan kemudian pada 2003 ia ditingkat taraf dengan enjin DVVT (Daihatsu Valve Variable Timing) menghasilkan 86 hp dan tork maksima 120 Nm.

    GALERI: Perodua Ativa vs Perodua Kembara – beza teknologi selama dua dekad SUV kompak dari Rawang

    Enjin dan kotak gear Kembara ini diletakkan menegak kebelakang – memacu gandar belakang secara primari, manakala transfer case pada kotak gear SUV berkenaan membolehkan tork turut dihantar ke gandar hadapan bagi memberikannya fungsi sistem 4WD sepenuh masa.

    Ia juga dibekalkan dengan sistem center locking differential yang boleh diaktifkan hanya menggunakan butang dalam kabin, membolehkan roda hadapan dan belakang bergerak dalam kelajuan yang sama bagi memberikan cengkaman yang lebih baik ketika dalam laluan off-road yang lasak.

    Ketika berada dalam pasaran, Kembara mendapat sambutan yang cukup baik kerana sangat unik dan tidak mempunyai pesaing terus di Malaysia. Malah Perodua turut pernah membawa menganjurkan Ekspedisi Kembara Trans Borneo pada tahun 1998 untuk membuktikan kebolehannya untuk meredah laluan-laluan yang lasak.

    Secara keseluruhan, Kembara semamangnya antara model yang berjaya dari Perodua. Pengeluaran model ini dihentikan pada tahun 2007 bagi digantikan dengan Perodua Nautica selepas itu. Namun, walaupun Nautica adalah versi lebih baik dengan enjin yang lebih berkuasa, saiz lebih besar dan masih diberikan sistem 4WD, ia adalah model CBU yang perlu dijual dengan harga lebih mahal. Ditambah dengan krisis ekonomi pada tahun ia dilancarkan iaitu 2008, Nautica hanya bertahan selama setahun dalam pasaran.

    GALERI: Perodua Ativa vs Perodua Kembara – beza teknologi selama dua dekad SUV kompak dari Rawang

    Dan sekarang, ketika segmen SUV kompak benar-benar ‘panas’ dalam pasaran, Perodua tampil dengan alternatif dari mereka – Perodua Ativa 2021. Segmen SUV kompak buat masa sekarang ini masih lagi boleh dikatakan pada kelas yang bukan mampu milik. Bagi jenama import misalnya seperti Kia Seltos, Hyundai Kona, Mazda CX-3 dan model bukan nasional paling popular iaitu Honda HR-V masih lagi dijual pada harga lebih RM100k.

    Manakala pilihan dari Proton pula iaitu X50, ia bermula dengan model paling ‘kosong’ Standard dijual pada harga RM79k, manakala model paling lengkap Flagship pula mencecah RM103k.Jadi, masih lagi ramai yang berminat untuk beralih kepada SUV kompak tetapi masih belum mencapai julat bajet mampu milik.

    Oleh itu, Ativa yang berada dalam kelas tersendiri dan tak sama dengan pilihan SUV kompak lain ini sudah tentu dapat mengisi ruang berkenaan – ia mungkin tidak sebesar SUV dengan saiz segmen-B penuh, dan tidak dipadankan dengan penjana yang sangat berkuasa, namun harga yang ditawarkan benar-benar menarik.

    Malah ada berberapa perincian yang dipadankan pada Ativa ini masih lagi tidak ada pada model-model yang lebih mahal daripadanya! Ini antara resipi klasik yang Perodua sajikan sehingga mereka benar-benar mempunyai pelanggan yang begitu setia.

    Ativa bukan SUV seperti Kembara yang memang disasarkan untuk penggunaan off-road, sebaliknya ia adalah SUV gaya hidup terkini yang hasilkan dengan rupa lasak tetapi habitat sebenarnya adalah dalam ‘hutan batu’ yang moden. Jadi, ia tidak menerima sistem 4WD mahupun AWD.

    Ia adalah model pertama Perodua yang dipadankan dengan enjin turbo, iaitu unit 1KR-VET 1.0 liter tiga silinder berkuasa 97 hp dan tork maksima 140 Nm. Buat pertama kali juga Perodua memperkenalkan kotak gear CVT pada modelnya menerusi Ativa ini, dan unit D-CVT untuk memacu roda hadapan tersebut bukan seperti CVT biasa – pencerahan teknikalnya boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Dari segi perbezaan saiz antara dua model ini, dari gambar pun anda boleh lihat Ativa jelas lebih besar berbanding Kembara. Jika dilihat pada angka atas kertas, Ativa dihasilkan dengan dimensi 4,065 mm panjang, 1,710 mm lebar, 1,635 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,525 mm. Manakala untuk Kembara pula, ia mempunyai dimensi 3,890 mm panjang, 1,555 mm lebar, 1,715 mm tinggi serta jarak roda sejauh 2,420 mm.

    Namun anda boleh lihat dengan jelas perbezaan karekter antara kedua-duanya – Kembara walaupun dengan rim yang lebih kecil nampak lebih lasak dengan tayar yang lebih tebal bersama jarak kelegaan lebih tinggi untuk mengharungi laluan lasak, berbanding Ativa yang nampak lebih moden untuk kegunaan bandar. Malah, Kembara turut mempunyai ruang simpanan tayar gantian pada pintu hatch belakang seperti SUV ikonik Mitsubishi Pajero yang menambah lagi markah penampilan sebuah kereta yang lasak.

    Dengan saiz yang lebih besar membolehkan Ativa menyediakan ruang dalaman yang lebih luas. Dan dengan ketiadaan sistem pacuan semua roda, serta platform DNGA yang jauh lebih moden, Ativa dapat dihasilkan lebih ringan dengan hanya 1,035 kg walaupun sarat dengan pelbagai kelengkapan moden, berbanding 1.1 tan pada Kembara. Faktor ini sudah tentu akan memberikan penggunaan bahan api yang lebih efisien serta pengendalian lebih baik di atas jalan raya.

    Pada bahagian kabin juga anda boleh lihat bagaimana beza jurang 20 tahun dari segi rekaan dan kelengkapan antara dua model ini. Kembara tampil dengan rupa tipikal sebuah model 90’an dengan panel paparan meter analog, roda stereng tanpa beg udara (dua beg udara diberikan pada model kemaskini kemudiannya), panel kawalan pendingin hawa analog dengan pemain stereo 1-Din di bawahnya dan juga tombol gear automatik klasik yang besar.

    Anda juga boleh lihat suis tekan untuk sistem differential lock 4WD untuk Kembara ini direka ringkas terletak pada papan pemuka, betul-betul sebelah kanan kolum stereng.

    Manakala pada Ativa, ia nampak lebih canggih dari sebuah pesawat pada era 90’an, yang mana rekaan dan teknologi yang ada padanya mungkin kita hanya boleh bayangkan pada sebuah kapal angkasa pada zaman berkenaan. Ia tampil dengan panel instrumen digital sepenuhnya, roda stereng yang penuh dengan pelbagai butang kawalan, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh sembilan-inci, butang penghidup enjin, konsol terowong tinggi memudahkan tombol gear dicapai dan pelbagai lagi.

    Ativa juga menerima sistem keselamatan yang sangat tinggi di mana ia diberikan enam-beg udara standard untuk semua varian, sistem-sistem keselamatan pasif (kawalan kestabilan elektronik, ABS, EBD) dan juga sistem bantuan pemanduan seperti brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, pemantau titik buta dan sebagainya.

    Walaupun Ativa dilengkapi pelbagai banyak teknologi canggih, harga yang ditawarkan pada Ativa ini sebenarnya lebih bernilai dari Kembara. Ya, yang kita nampak Ativa dijual pada harga bermula RM61,500 hingga RM72,000 bergantung pada varian.

    Namun dengan menggunakan kalkulator inflasi (sehingga Januari 2021) yang disediakan oleh Jabatan Statistik Malaysia di laman sesawang mereka, harga yang ditawarkan untuk Kembara pada tahun 2008 dahulu adalah setara dengan nilai RM45,898 sehingga RM82,466 pada masa sekarang!

    GALERI:Perodua Kembara

    GALERI:Perodua Ativa

     
     
  • Ducati Scrambler Desert Sled Fasthouse – keluaran terhad 800 unit untuk sambut menang lumba offroad

    Ducati Scrambler Desert Sled Fasthouse – keluaran terhad 800 unit untuk sambut menang lumba offroad

    Semasa teaser dikeluarkan beberapa hari lepas, ramai yang menjangka Ducati akan melancarkan Scrambler Desert Sled dengan enjin 1,079 cc, kerana ia menggambarkan Scrambler paling ganas. Tetapi, apa yang dilancarkan adalah ini – Desert Sled 803 cc keluaran terhad dengan kerjasama jenama pakaian terkenal Amerika, Fasthouse.

    Hanya 800 unit Scrambler Desert Sled Fasthouse akan dihasilkan oleh Ducati, dan ia sebenarnya adalah bagi menyambut kemenangan Jordon Graham dalam perlumbaan offroad Mint 400, kategori Hooligan. Model ini juga menggunakan skema warna sama seperti motosikal yang digunakan dalam perlumbaan tersebut.

    Bahagian tangki menggunakan warna hitam, dengan jalur kelabu serta logo Fasthouse di bawah lencana Scrambler. Kerangka trellis diwarnakan merah dan di tepi sebelah kanan terdapat lencana khas yang menandakan nombor keluaran model edisi terhad ini.

    Enjin bagi Desert Sled Powerhouse ini masih lagi sama seperti Desert Sled biasa, iaitu unit v-twin 803 cc penyejukan udara bersama padanan kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 73 hp pada 8,250 rpm dan 67 Nm tork pada 5,750 rpm.

    Kelengkapan lain juga tidak diubah, termasuk suspensi yang boleh dilaras serta mempunyai jarak gerak 200 mm di depan dan belakang, brek Brembo empat piston dan rim 19 inci di hadapan, brek Brembo satu piston dan rim 17 inci di belakang, tinggi tempat duduk 860 mm, tangki bahan api 13.5 liter serta sistem Cornering ABS.

     
     
  • 776 kemalangan direkodkan di PLUS pada 2020 akibat barangan yang terjatuh daripada kenderaan – JPJ

    776 kemalangan direkodkan di PLUS pada 2020 akibat barangan yang terjatuh daripada kenderaan – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan sebanyak 776 kemalangan dilaporkan oleh PLUS Malaysia Bhd (PLUS) berlaku pada tahun 2020 akibat daripada barang-barang yang jatuh daripada kenderaan di laluan lebuh raya berkenaan.

    Menurut pengarah JPJ Negeri Selangor, Nazli Md Taib berkata, statistik itu adalah sesuatu yang membimbangkan, malah PLUS juga melaporkan sebanyak 19,218 objek dikutip sepanjang tahun lalu, laporan Bernama.

    “Daripada jumlah tersebut, 46.1% objek adalah serpihan tayar, besi 18.4%, kayu 11.9% dan selebihnya adalah lain-lain objek seperti komponen kenderaan dan bahan plastik,” katanya kepada pemberita sempena sidang media ‘Ops Halangan’ di Plaza Tol Bukit Raja semalam.

    Mengenai Ops Halangan yang dijalankan pihak JPJ dengan kerjasama PLUS dan polis peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM), Nazli berkata ia adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada semua pemilik treler dan lori serta para pemandu, untuk tidak meletakkan bahan-bahan seperti kayu dan besi di bawah badan kenderaan yang akan menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

    776 kemalangan direkodkan di PLUS pada 2020 akibat barangan yang terjatuh daripada kenderaan – JPJ

    Beliau berkata sejak 8 pagi hingga 11 pagi semalam, JPJ telah mengeluarkan 196 notis saman di atas pelbagai jenis kesalahan, antaranya kesalahan kayu penyendal sebanyak 46 kes, kesalahan teknikal (21 kes), tayar celup/botak (11 kes), dua kes Agensi Pengangkutan Awam Darat dan lebih muatan (empat kes).

    “Walaupun mereka memberitahu kayu atau besi tersebut telah diikat dengan kemas dan digunakan untuk menahan barang-barang, tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk pemilik-pemilik treler meletakkan bahan-bahan yang tidak dibenarkan,” tegasnya.

    Menurutnya di bawah Akta Pengangkutan Jalanraya (APJ) 1987 dan Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959, pemilik kenderaan tidak dibenarkan meletak sebarang objek di badan kenderaan. Mengenai pelaksanaan Ops Halangan, JPJ mengadakan operasi bersepadu bersama PLUS dan PDRM secara berterusan sepanjang tahun ini.

    Sejak Januari 2021 hingga kelmarin, JPJ Selangor telah mengeluarkan sebanyak 14,142 notis saman kepada pemilik treler dan lori bersempena ‘Ops Halangan’ atas pelbagai kesalahan

     
     
  • Lebuhraya DUKE 2A Lingkaran Kg Baru hubungkan dengan DUKE, AKLEH bakal dibina, dijangka siap 2024

    Lebuhraya DUKE 2A Lingkaran Kg Baru hubungkan dengan DUKE, AKLEH bakal dibina, dijangka siap 2024

    Projek jalan raya menghubungkan Kampung Baru dengan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) Fasa 2A serta Lebuhraya Bertingkat Ampang- Kuala Lumpur (AKLEH) bakal dibina mulai tahun ini secara berperingkat dan dijangka siap menjelang 2024, menurut Kementerian Wilayah Persekutuan.

    Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata projek yang menelan kos sebanyak RM250 juta itu dinamakan DUKE 2A Lingkaran Kampung Baru dilihat penting untuk pembangunan semula Kampung Baru, selain menjadi prasyarat utama untuk membolehkan pembangunan lebih besar dilaksanakan, laporan Bernama.

    “Seperti mana kita tahu, perancangan pembangunan semula Kampung Baru telah dibenarkan dengan plot ratio yang tinggi, jadi ia mesti mempunyai aliran trafik yang efisien. Ia akan menjadikan Kampung Baru lebih terbuka kepada sistem rangkaian trafik yang efisien, kerana sebelum ini ia agak terpencil dan dihubungkan dengan jalan kecil sahaja,” katanya.

    Tambah beliau, projek itu akan membolehkan akses terus dari AKLEH ke Kampung Baru selain menghubungkan DUKE 2A ke Kampung Baru antaranya melalui Jalan Pekeliling, Jalan Tun Razak dan Jalan Raja Uda.

    Selain itu, satu terowong juga akan dibina dari Jalan Raja Abdullah melalui Jalan Sultan Ismail dan balik semula ke AKLEH bagi membentuk aliran trafik lebih lancar.

     
     
  • Volkswagen Tiguan Allspace 2021 di Malaysia – Apple CarPlay tanpa wayar untuk R-Line, port USB-Type C

    Volkswagen Tiguan Allspace 2021 di Malaysia – Apple CarPlay tanpa wayar untuk R-Line, port USB-Type C

    Dilancarkan di pasaran Malaysia pada tahun lalu, Volkswagen Tiguan Allspace telah diberikan sedikit sahaja peningkatan untuk model 2021. Di peringkat gloabl, varian tujuh-tempat duduk masih belum menerima sentuhan facelift, tidak seperti yang diterima oleh Tiguan lima-tempat duduk, jadi apa yang anda lihat ini secara teknikalnya masih lagi model terkini.

    Semua model kini didatangkan dengan port USB-Type C berbentuk-pil secara standard, menggantikan port Type-A persegi yang diposisikan di bawah suis kawalan suhu sebelum ini.Walau bagaimana pun, varian tertinggi 2.0 TSI 4Motion R-Line turut menerima sistem infotainmen Discover Pro yang dipertingkatkan, dan masih terus menggunakan skrin sesentuh 9.2-inci dan butang menu, home, kuasa dan bunyi sentuhan sensitif.

    Sistem generasi baharu ini menampilkan rekaan antara muka dan fungsi kawalan pergerakan yang secara umumnya sama, walau pun kini skrin perumah telah pun mempunyai halaman kedua untuk pelbagai fungsi kenderaan dan panel kegemaran. Paling utama, ketersambungan Apple CarPlay kini boleh beroperasi tanpa wayar.

    Volkswagen Tiguan Allspace 2021 di Malaysia – Apple CarPlay tanpa wayar untuk R-Line, port USB-Type C

    Pada luarannya, hanya ada satu elemen yang membezakannya daripada model 2020 iaitu pelekat Volkswagen berwarna hitam yang ditampal pada tiang-B. Selain daripada itu, Tiguan Allspace masih kekal sama, ini termasuk dengan enjin dan ciri kelengkapannya yang lain.

    Varian 1.4 TSI Highline masih terus menampilkan lampu utama dan lampu belakang LED, roda aloi Kingston 18-inci, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan suhu tiga-zon, tempat duduk pemandu larasan kuasa dengan fungsi memori, upholstery kulit, paparan instrumen digital 12.3-inci, skrin sesentuh infotainmen Discover Media lapan-inci dengan tombol kawalan fizikal, lapan pembesar suara, kamera undur dan tailgate bukaan kuasa bebas-tangan.

    Manakala untuk 2.0 TSI 4Motion, ia menerima pakej R-Line, ditambahkan dengan rekaan bampar hadapan dan belakang yang lebih sporty, lapisan warna badan, lampu belakang LED dan roda aloi Sebring 19-inci. Di dalamnya, ia dikekalkan dengan ciri sedia ada termasuk roda stereng leper di bawah, tempat duduk sport, headlining hitam dan pedal aloi serta plat ambang sisi. Turut diberikan damperadaptif, tempat duduk penumpang larasan kuasa dengan fungsi memori dan sistem Discover Pro.

    Untuk kit keselamatan, ia masih dikekalkan dengan enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan dan cagak ISOFIX. Walau bagaimana pun, Allspace masih tidak diberikan sistem bantuan pemandu termasuk brek kecemasan sendiri, walau pun ada sistem pemantauan perhatian pemandu.

    Turut dikekalkan ialah enjinnya, bermula dengan 1.4 liter TSI turbo empat-silinder pada Highline, dengan kuasa 150 PS dan tork 250 Nm, yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac basah DSG enam-kelajuan. Manakala enjin 2.0 liter pada R-Line pula mampu meledakkan hingga 220 PS dan 350 Nm, dipadankan bersama transmisi DSG tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda 4Motion yang sesuai untuk beberapa mod pemanduan.

    Dengan peningkatan yang cukup minimal ini, kenaikan harganya juga tidaklah sebanyak mana. Di mana 1.4 TSI Highline naik sebanyak RM30 berbanding harga terdahulu, iaitu kini RM165,031. Dengan sistem infotainmen baharu, 2.0 TSI 4Motion R-Line pula naik sebanyak RM62, iaitu kini berharga RM209,637. Keduan-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans atau cukai jualan dan perkhidmatan (SST), termasuk waranti lima-tahun/tanpa perbatuan terhad.

     
     
  • Mitsubishi bakal rebadge dua model Renault di Eropah

    Mitsubishi bakal rebadge dua model Renault di Eropah

    Mitsubishi telah mengesahkan bahawa mereka akan menghasilkan dua kereta baharu untuk pasaran Eropah yang diasaskan dari model-model Renault. Ia bakal dijual pada pasaran-pasaran tertentu di benua berkenaan menerusi jaringan pengedar Mitsubishi.

    Model-model rebadge tersebut dijadualkan akan muncul pada tahun 2023, namun belum ada perincian spesifik tentang model dan pasaran yang mana akan terlibat.

    Seperti yang ramai tahu, Mitsubishi kini merupakan salah satu entiti dalam Pakatan-Renault-Nissan-Mitsubishi‘ selepas Nissan mengambil alih sebahagian besar kepentingan dalam jenama ‘tiga berlian’ berkenaan pada tahun 2016. Buat masa sekarang, Mitsubishi sedang mengimplimentasikan pestrukturan semula di Eropah selari dengan strategi “Pemilihan dan Konsentrasi” yang telah diumumkan dalam pelan perniagaan jangka-pertengahan yang diumum pada Julai 2020.

    Tiada sebarang keuntungan akan dikutip sekiranya terus melabur dalam pasaran yang tidak kompetitif, dan oleh sebab itu Mitsubishi telah membekukan pembangunan berberapa model baharu untuk pasaran Eropah sebelum pembangunan bersama Renault ini. Walau bagaimanapun, Mitsubishi akan meneruskan usaha R&D dan pelaburan mereka di pasaran ASEAN, di mana jenama tersebut masih kompetitif.

    Sebagai sebahagian penstrukturan semula sepenuhnya ini, Mitsubishi kini memfokuskan untuk mengoptimakan harga-harga barisan modelnya, memperbaiki logistik dan kos tetap, serta mencari kemungkinan bagi merealisasikan keberkesanan yang lebih baik dalam operasi. Mereka juga telah mengambil keputusan untuk menghentikan jualan kereta baharu pada berberapa negara Eropah menjelang 2023.

    Apa yang menarik, ini bukan kali pertama Mitsubishi berkongsi model dengan jenama Perancis, namun sebelum ini mereka adalah pembekal asas dan bukan penerima. Kumpulan PSA pernah menggunakan Mitsubishi ASX untuk asas kepada Peugeot 4008 dan Citroen C4 Aircross; Mitsubishi Outlander untuk Peugeot 4007 dan Citroen C-Crosser; malah kereta elektrik Mitsubishi i-MiEV juga pernah direbadge oleh jenama Perancis berkenaan.

     
     
  • Harga minyak 11-17 Mac – RON 97 naik 5 sen seliter

    Harga minyak 11-17 Mac – RON 97 naik 5 sen seliter

    Untuk minggu bertarikh 11 hingga 17 Mac 2021, Kementerian Kewangan telah memaklumkan bahawa harga runcit bagi petrol RON 97 naik sebanyak lima sen seliter iaitu daripada RM2.35 seliter, akan menjadi RM2.40 seliter.

    Manakala harga bagi petrol RON 95 pula masih kekal pada paras harga siling yang ditetapkan iaitu RM2.15 seliter.

    Begitu juga dengan harga runcit diesel yang turut kekal pada paras RM2.15 seliter untuk gred Euro 2M dan Euro 5 pula berharga RM2.25 seliter.

    Kesemua harga itu efektif mulai 12.01 tengahmalam ini, 11 Mac, sehinggalah Rabu hadapan, 17 Mac 2021.

     
     
  • SPYSHOT: Peugeot 308 generasi seterusnya ditemui

    SPYSHOT: Peugeot 308 generasi seterusnya ditemui

    Sumber jurugambar kami dari luar negara telah menemui Peugeot 308 generasi terbaru, yang muncul dengan bentuk produksi hampir lengkap dan hanya bahagian belakangnya sahaja yang tertutup. Hatchback ini menggunakan warna hijau baru, yang akan ditambah dalam pilihan warna untuk model tersebut.

    Di tengah gril model ini, kelihatan logo baru yang sebelum ini didedahkan pertama kali sebagai sebahagian daripada identiti jenama baru Peugeot bulan lepas. Ia juga selari dengan kenyataan syarikat itu yang memberitahu bahawa 308 akan menjadi model pertama menggunakan logo tersebut.

    Rekaan bahagian hadapan mengikuti konsep sama seperti yang digunakan pada 508, dengan lampu DRL LED menegak di bucu bampar, serta rekaan gril yang lebih rumit. Tempat nombor plet diletakkan di bahagian paling bawah bampar sementara di bahagian antara gril atas dan bonet, terdapat lencana tulisan 308.

    SPYSHOT: Peugeot 308 generasi seterusnya ditemui

    Memandangkan Peugeot sekarang telah meletakkan kenderaan dengan bantuan kuasa elektrik sebagai pemacu utama, dengan sasaran 80% daripada jumlah jualan keseluruhan menjelang tahun 2021, kita boleh menjangkakan 308 ini juga bakal tiba dengan versi hibrid. Perincian lanjut hanya akan diketahui apabila pelancaran semakin hampir, tetapi jika memandang kepada 508, kita boleh menjangkakan unit enjin petrol 1.6 liter PureTech turbo.

    Model 308 baru ini juga telah disahkan bakal menggunakan platform EMP2 serta menerima penggerak plug-in hybrid, yang berkemungkinan menggunakan motor elektrik untuk memberi kuasa tambahan kepada enjin pembakaran dalaman biasa, untuk dihantar kepada roda hadapan. Pada 508, terdapat versi prestasi 508 PSE yang mendapat motor tambahan di belakang untuk memberikan pacuan semua roda.

     
     
  • Perodua Ativa vs Myvi vs Proton X50 — perbezaan saiz dan apa kelebihan serta kekurangan masing-masing?

    Perodua Ativa vs Myvi vs Proton X50 — perbezaan saiz dan apa kelebihan serta kekurangan masing-masing?

    Berapa besar sebenarnya Perodua Ativa? Bagi yang belum sempat mendekati model SUV kompak terbaru ini, mungkin agak sukar untuk bayangkan. Untuk itu, kami pertemukan Ativa dengan dua lagi model — Myvi yang hampir semua orang pasti pernah melihatnya, dan Proton X50 yang berada dalam segmen B SUV yang sama — untuk mendapatkan gambaran lebih jelas tentang perkara ini.

    Ativa berukuran 4,065 mm panjang, 1,710 mm lebar dan 1,635 mm tinggi. Ini menjadikannya lebih besar berbanding dimensi Daihatsu Rocky — 70 mm lebih panjang, 15 mm lebih lebar dan 15 mm lebih tinggi. Hal ini disumbang oleh cara rekaan yang dilakukan terhadap bampar Ativa berbanding Rocky.

    Kelebihan tinggi Ativa pula disebabkan oleh tetapan suspensi yang berbeza daripada model Daihatsu. Suspensi Ativa dirasakan lebih keras untuk memberi lebih keselesaan, serta jarak kelegaan tanah 200 mm. Jarak antara roda pula 2,525 mm.

    Perodua Ativa vs Myvi vs Proton X50 — perbezaan saiz dan apa kelebihan serta kekurangan masing-masing?

    Kita mulakan dengan Ativa vs Myvi. Ativa 170 mm lebih panjang berbanding Myvi, apatah lagi berbanding Axia. Ativa juga 120 mm lebih tinggi daripada Myvi; letakkan keduanya bersebelahan, maka ini akan dapat dilihat dengan ketara. Bagaimanapun Myvi nampak lebih lebar, padahal ia hanya melibatkan kelebihan 25 mm sahaja. Lihat pula bahagian cermin depan kedua-dua model ini. Ia nampak berbeza, dengan Ativa lebih berpetak dan menegak.

    Pandangan sisi juga menunjukan rekaan bonet Ativa yang lebih lurus berbanding bahagian depan Myvi yang lebih melengkung. Bagi jarak antara roda, Ativa dengan 2,525 mm mempunyai kelebihan 25 mm berbanding Myvi. Tetapi, perlu juga dimaklumkan, Myvi yang digunakan ini adalah varian 1.3G, dan ukuran dimensinya sama sahaja dengan varian AV yang paling tinggi.

    Kelebihan tinggi serta profil yang lebih berpetak dan menegak memberikan rupa SUV yang jelas buat Ativa; berbanding misalnya rekaan gaya crossover seperti Subary XV. SUV mungkin mempunyai lebih banyak kelebihan untuk dijual dalam corak pasaran ketika ini berbanding jenis rekaan kenderaan yang lain. Dan, ini satu kelebihan buat Ativa.

    Perodua Ativa vs Myvi vs Proton X50 — perbezaan saiz dan apa kelebihan serta kekurangan masing-masing?

    Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad menyifatkan saiz Ativa sebagai “SUV segmen A hingga segmen B kecil”. Ini mungkin benar, terutama ketika diletakkan bersebelahan Proton X50 yang berada dalam segmen B bersama model lain seperti Honda HR-V. Dengan ukuran 4,330 mm panjang dan 1,800 mm lebar, X50 adalah 265 mm lebih panjang dan 90 mm lebih lebar berbanding Ativa, serta jarak antara rodanya 2,600 mm juga lebih panjang 75 mm. Apa pun, Ativa 26 mm lebih tinggi dengan jarak kelegaan tanah yang paling besar antara ketiganya (X50 dengan 196 mm).

    Jadi, boleh disimpulkan bahawa Ativa mempunyai saiz badan yang lebih kecil berbanding SUV segmen B biasa, serta profil rekaannya lebih berkotak dan tegak. Namun, ini tidak pula bermaksud ruang kabinnya kecil. Walaupun ruang kaki penumpang belakangnya kalah dengan Myvi dan X50, Ativa mempunyai kelebihan saiz ruang barangan di belakang dengan 369 liter. X50 hadir dengan 330 liter sahaja. Perlu diingat, Ativa mencapai angka berkenaan dengan melibatkan sebuah tayar ganti saiz penuh turut disediakan (X50 hanya gunakan tayar space saver). Pendingin hawa Ativa juga rasa lebih kuat, tetapi X50 mempunyai corong di belakang.

    Lantai but Ativa ada dua tahap; yang paling bawah sediakan kapasiti maksimum, sementara yang atas memberikan 303 liter. Dengan kerusi lipatan 60:40, ia memberikan ruang yang hampir rata sepenuhnya ketika penyandar kerusi direbah. But Myvi pula cuma 277 liter. Dari aspek ini, Ativa ada banyak kelebihan, terutama untuk balik kampung atau perjalanan jauh.

    Perodua Ativa vs Myvi vs Proton X50 — perbezaan saiz dan apa kelebihan serta kekurangan masing-masing?

    Jika saiz Ativa berada di antara Myvi (RM41,292 hingga RM52,697) dan Proton X50 (RM79,200 hingga RM103,300), begitu jugalah harganya, antara RM61,500 hingga RM72,000. Semua harga ini atas jalan tidak termasuk insurans, dengan pengecualian cukai SST hingga 30 Jun 2021.

    Tahap kelengkapan Ativa AV juga mempunyai kelebihan berbanding X50 Standard yang paling asas — yang juga RM7k lebih mahal dari model Perodua itu. X50 mempunyai kelebihan saiz badan dan enjin (1.5T vs 1.0T), tetapi ia hanya datang dengan empat beg udara. Ciri bantuan pemanduan ADAS pada X50 pula hanya ditawarkan pada varian Flagship yang berharga RM103k.

    Tetapi, Ativa sebaliknya memberikan enam beg udara, ASA 3.0 dengan AEB dan Amaran Penukaran Lorong/Penghindaran sebagai ciri standard untuk semua varian. Ativa AV menerima pakej pemanduan autonomous Tahap 2 dengan Kawalan Melayar Adaptif, Kawalan Mengekalkan Lorong, Peninjau Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang. Varian paling asas X menerima Auto High Beam bagi lampu LED-nya, sementara varian X dan AV menerima Adaptive Driving Beam dengan lampu isyarat sequential dan lampu selekoh.

    Perodua Ativa vs Myvi vs Proton X50 — perbezaan saiz dan apa kelebihan serta kekurangan masing-masing?

    Reka bentuk memang subjektif kepada selera, tetapi X50 kelihatannya ada kelebihan berbanding Ativa. Begitu juga dengan ruang dalaman X50 yang jauh lebih premium berbanding Ativa. Ini perlu, kerana beza harga antara X50 Flagship dan Ativa AV ialah RM30k — harga sebuah Axia!

    Kemudian, adakah beza harga antara Ativa dan Myvi itu berbaloi? Bagi varian AV misalnya, Ativa adalah RM9k lebih mahal. Ini boleh difahami, kerana selain daripada kemiripan kelengkapan yang ditawarkan pada kedua-dua model ini, Ativa menggunakan platfrom terbaru DNGA, serta enjin turbo dan kotak gear CVT yang pertama kali untuk kereta Perodua.

    Tidak ketinggalan ASA 3.0 yang dikemaskini, ciri LDW dan AHB dan sebagainya menjadikan tambahan RM9k itu sangat berbaloi. Bagi varian AV kedua-duanya pula, SUV berkenaan menawarkan lebih banyak kelengkapan dengan beza harga yang tidak terlalu banyak. Jadi, beli mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing.

    Jadi inilah sedikit sebanyak perbezaan antara Ativa dengan Myvi dan juga Proton X50. Mana satu pilihan anda?

    Perodua Ativa vs Myvi vs Proton X50 — perbezaan saiz dan apa kelebihan serta kekurangan masing-masing?

     
     
  • Mazda CX-3 2021 dilancarkan di Malaysia – kini dengan AEB, LDW, Android Auto dan Apple Carplay, RM131k

    Mazda CX-3 2021 dilancarkan di Malaysia – kini dengan AEB, LDW, Android Auto dan Apple Carplay, RM131k

    Versi tingkat taraf terkini, Mazda CX-3 2021 telah pun rasmi masuk ke pasaran Malaysia hari ini. Walaupun nampak serupa dengan versi sebelum ini, model kemaskini ini sebenarnya telah pun diberikan pelbagai perincian tambahan, bersama harga baharu.

    Seperti sebelum ini, CX-3 2021 pasaran Malaysia ini adalah model yang diimport sepenuhnya dari Jepun, dan ditawarkan dalam hanya satu varian 2.0L, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran termasuk pengecualian cukai jualan (50% untuk model CBU) RM130,729 – atau RM3,900 lebih mahal.

    Dari luar, tiada perubahan rupa yang boleh dilihat pada model 2021. Ia masih mengekalkan rupa facelift yang diperkenalkan pada 2018, tampil dengan lampu hadapan automatik LED, lampu nyalaan siang dan lampu kabus LED, lampu belakang LED, pengelap cermin dengan penderia hujan, sistem kunci pintar, bumbung suria berkuasa, lapan penderia parkir (empat depan dan empat belakang, serta rim aloi 18-inci dengan tayar 215/50R18.

    Mazda CX-3 2021 dilancarkan di Malaysia – kini dengan AEB, LDW, Android Auto dan Apple Carplay, RM131k

    Manakala pada bahagian dalaman, kabin CX-3 2021 ini diberikan upholsteri kulit dan fabrik baharu, tempat duduk pemandu larasan elektrik 10-hala bersama fungsi memori, paparan instrumen dengan skrin TFT LCD 4.6-inci, paparan head-up, sistem pendingin hawa automatik zon tunggal dan juga pedal penukar gear pada roda stereng.

    Satu lagi perincian baharu pada SUV segmen-B ini adalah sistem infotainmen Mazda Connect yang sudah pun boleh menyokong Android Auto dan Apple CarPlay. Sistem berkenaan menampilkan skrin sesentuh tujuh-inci dan juga sistem audio dengan enam pembesar suara. Tiada lagi kamera undur biasa pada model ini kerana ia digantikan dengan kamera 360-darjah.

    Selain itu, sistem keselamatan juga adalah antara yang menerima tingkat taraf untuk versi 2021 ini. Mazda CX-3 kini sudahpun dipadankan dengan sistem bantuan pemanduan i-Activsense secara standard. Ia terdiri dari sistem Kawalan Lampu Tinggi (HBC), Sistem Amaran Keluar Lorong (LDWS), Amaran Tumpuan Pemandu (DAA) dan sistem brek kecemasan automatik (AEB) Mazda untuk hadapan dan belakang digelar Sokongan Brek Pintar Bandar (SCBS).

    Klik untuk besarkan

    Sistem Pemantau Titik Buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) masih lagi disertakan, bersama sistem keselamatan lain seperti enam beg udara, brek ABS bersama EBD dan BA, Kawalan Kestabilan Dinamik, Traction Control, lampu isyarat berhenti kecemasan, Bantuan Mula Mendaki, brek parkir elektronik dengan fungsi auto hold, kunci walk away, isyarat pemakaian tali pinggang keledar pada semua tempat duduk serta cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix.

    Manakala untuk sistem mekanikal, masih lagi tiada perubahan diberikan. Mazda CX-3 2021 masih dijana enjin 2.0 liter empat silinder NA SkyActiv-G berkuasa 154 hp dan tork maksima 206 Nm, memacu roda hadapan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan SkyActiv-Drive.

    Ini membolehkan SUV kompak berkenaan mencapai kelajuan maksima 197 km/j. Sistem-sistem bantuan pemanduan lain seperti teknologi i-Stop dan juga G-Vectoring Control (GVC) Mazda juga masih dikekalkan.

    Mazda CX-3 2021 dilancarkan di Malaysia – kini dengan AEB, LDW, Android Auto dan Apple Carplay, RM131k

    Model kemaskini ini menampilkan lima pilihan warna badan termasuk Soul Red Crystal, Snowflake White Pearl, Deep Crystal Blue, Machine Grey dan warna baru Polymetal Grey. Warna Jet Black dan Ceramic Metallic pada model sebelum ini sudah tidak lagi ditawarkan.

    Setiap pembelian Mazda CX-3 2021 ini turut didatangkan dengan perlindungan waranti selama lima-tahun, dan juga pakej servis berkala percuma termasuk upah, alat ganti dan minyak pelincir juga selama lima-tahun.

     
     
  • Triumph Rocket 3 R Black, Rocket 3 GT Triple Black diperkenal – hanya 1,000 unit, penampilan serba gelap

    Triumph Rocket 3 R Black, Rocket 3 GT Triple Black diperkenal – hanya 1,000 unit, penampilan serba gelap

    Triumph telah memperkenalkan edisi khas untuk dua varian model Rocket 3 iaitu Rocket 3 R Black Edition dan Rocket 3 GT Triple Black. Dua model ini hanya akan dikeluarkan sebanyak 1,000 unit setiap satu, dan menggunakan penampilan serba gelap.

    Hampir keseluruhan bahagian pada model ini diwarnakan gelap, sama ada menggunakan proses cat biasa, powder coat ataupun anodised. Kemudiannya bagi Rocket 3 GT Triple Black, cat hitam pada panel utama terdiri daripada tiga lapisan dan ia dijadikan lengkap dengan fender hadapan gentian karbon.

    Bahagian mekanikal model ini masih tidak berubah dan sama seperti Rocket 3 yang diperkenalkan sebelum ini, termasuklah enjin tiga silinder 2,500 cc yang mampu menghasilkan kuasa 165 hp pada 6,000 rpm dan 221 Nm tork pada 4,000 rpm.

    Daripada enjin, kuasa disampaikan melalui transmisi enam kelajuan, seterusnya sistem pacuan shaft kepada roda belakang. Kuasa brek pula datang daripada angkup Brembo M4.30 Stylema empat piston dan cakera 320 mm di hadapan, lengkap dengan Cornering ABS.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada Rocket 3 adalah termasuk suspensi yang terdiri daripada unit fork Showa 47 mm dengan larasan lantunan dan mampatan di hadapan, serta monoshock Showa boleh laras sepenuhnya di belakang, pilihan mod tunggangan, Traction Control, panel instrumen TFT-LCD, Hill Hold Control, Cruise Control dan sistem tanpa kunci. Tangki bahan api pula berkapasiti 18 liter.

    GALERI: Triumph Rocket 3 Black Edition

    GALERI: Triumph Rocket 3 GT Triple Black