Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Mitsubishi Malaysia lancar bilik pameran dalam talian

    Mitsubishi Malaysia lancar bilik pameran dalam talian

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah melancarkan bilik pameran dalam talian, bagi menawarkan para pelanggan untuk meneliti atau terus membeli kenderaan Mitsubshi menerusi kaedah digital. Bilik pameran dalam talian Mitsubishi ini mengikut kaedah proses pembelian kenderaan secara biasa, tetapi mengubahsuai beberapa langkah sedia ada untuk pengalaman secara digital, menjimatkan masa para pelanggan dari berkunjung ke bilik pameran sebenar.

    Melihat model kendeaan yang ada juga boleh dilakukan menerusi bilik pameran maha ini, dengan menawarkan pandangan 360-darjah bagi luaran dan dalaman kenderaan, malah membolehkan pengguna untuk zoom in dan zoom out serta meneliti setiap arah foto digital berkenaan. Setiap kenderaan Mitsubishi yang dipamerkan itu mempunyai butang interaktif untuk menunjukkan lebih banyak informasi mengenai kereta terbabit dan juga ciri utamanya. Di samping pandangan 360-darjah, bilik pameran dalam talian ini juga memaparkan galeri iaitu menunjukkan lebih banyak imej kenderaan terbabit dalam pelbagai sudut.

    Apabila pengguna sudah membuat keputusan untuk memilih sesuatu model, langkah seterusnya ialah untuk memandu ujinya, yang boleh dilakukan di rumah anda sendiri, menerusi servis dalam talian Test Drive 2U. Diperkenalkan pada Mei tahun lalu, pengedar bertauliah akan membawa mana-mana model Mitsubishi yang dipilih untuk anda pandu uji ke lokasi yang anda pilih. Tempahan untuk pandu uji ini boleh dibuat menerusi beberapa langkah mudah menerusi laman bilik pameran dalam talian tersebut.

    Pelanggan yang mahu menempah kereta Mitsubishi tetapi tidak mahu melakukannya di bilik pameran sebenar juga boleh membeli secara terus menerusi dalam talian. Ia boleh dilakukan dengan menghantar borang tempahan menerusi laman web bilik pameran dalam talian itu, kemudian pengedar bertauliah MMM akan menghubungi pelanggan untuk membantu proses seterusnya iaitu dari permohonan pembiayaan sehinggalah ke insurans.

    Mitsubishi Malaysia lancar bilik pameran dalam talian

    Syarikat ini juga berkolaborasi dengan MyTukar dengan menawarkan promosi trade-in istimewa untuk pelanggan Mitsubishi yang ingin menukar kereta mereka menerusi bilik pameran dalam talian Mitsubishi, dan inisiatif ini dilakukan dengan mengemukakan borang bantuan trade-in dalam talian. Kemudian pelanggan akan mempunyai pilihan untuk memohon pemeriksaan, penyerahan, penukaran hak pemilikan kenderaan dan selepas itu mengambil kereta yang dijual di lokasi yang dipilih.

    “Pada tahun lalu, kita telah melihat tahap perubahan yang tidak dapat diramalkan kerana norma baharu dan keperluan menjaga jarak sosial. Pelancaran bilik pameran dalam talian Mitsubishi adalah contoh komitmen MMM untuk memberikan pengalaman yang lebih berorientasikan manusia dengan merangkumi pendekatan holistik pada tiga tonggak utama organisasi iaitu manusia, proses dan teknologi, ”kata Ketua Pegawai Eksekutif MMM Tomoyuki Shinnishi.

    Tambah beliau, pihaknya juga selalu percaya dalam mencipta pengalaman sebegini, dan bilik pameran dalam talian adalah ketersambungan dari mengenali produk, pandu uji dan komunikasi dengan pengedar untuk proses pembelian. “Kami juga menawarkan para pelanggan pembelian model Mitsubishi yang lebih tanpa mereka perlu keluar dari rumah,” ujarnya lagi.

    Syarikat ini juga memperkenalkan aplikasi mobil Mitsubishi Connect sebagai sinambungan dalam perkhidmatan selepas jualan menerusi platform digital. Aplikasi mobil ini membolehkan pemilik Mitsubishi untuk mengaturkan temujanji penyelenggaraan yang lebih mudah. dengan pusat servis MMM yang dipilih, serta mengetahui sejarah penyelenggaraan kenderaan dan juga pengingatan untuk penyelenggaraan yang seterusnya. Ketahui lebih info mengenai bilik pameran dalam talian Mitsubishi di sini.

     
     
  • PETRONAS Syntium pacu pasukan F1 Mercedes-AMG PETRONAS bolot kejuaraan kali ketujuh berturut-turut

    PETRONAS Syntium pacu pasukan F1 Mercedes-AMG PETRONAS bolot kejuaraan kali ketujuh berturut-turut

    Pasukan Formula One Mercedes-AMG PETRONAS kini berada di tahap paling dominan dalam sejarah permotoran dengan sudah memenangi gelaran juara pengeluar (constructor) tujuh kali berturut-turut. Ini adalah satu pencapaian yang mengagumkan, apatah lagi dalam kelas perlumbaan antara yang paling mencabar di dunia.

    Sementara gelaran juara ini menjadi sesuatu yang mendapat perhatian utama, bahagian lain yang terlibat juga sama menakjubkan. Pada tahun 2019, pasukan F1 Mercedes-AMG PETRONAS sudah menyamai pencapaian Ferrari yang mengumpul enam kali gelaran juara, dan akhirnya tahun lepas ia berjaya mengatasi dengan mendapat kejuaraan kali ketujuh.

    Jika dikira sejak pasukan Mercedes mendapat gelaran juara pengeluar pada tahun 2014, ia sudah membuat penaklukan paling lama iaitu 2,295 hari dan mengatasi rekod selama 2,177 hari sebelum ini, yang dibuat oleh Ferrari dari musim 1999 ke 2004.

    PETRONAS Syntium pacu pasukan F1 Mercedes-AMG PETRONAS bolot kejuaraan kali ketujuh berturut-turut

    Dominasi pasukan ini semakin kuat, dengan pemandunya, Lewis Hamilton mencatat jarak masa berada di tempat pertama paling besar dalam enam tahun, semasa di Styrian GP dan telah mencatat pusingan F1 paling pantas dalam sejarah, dengan laju purata 264.363 km/j waktu Italian GP.

    Pelumba British ini juga sudah mencatat kemenangan paling banyak melalui pasukan sama, dengan kemenangan beliau kali ke-74 untuk Mercedes mengatasi rekod Michael Schumacher sebanyak 72 kali bersama Ferrari. Lewis juga memenangi 11 perlumbaan pada tahun 2020, menyamai pencapaian beliau bersama Mercedes pada tahun 2014, 2018 dan 2019. Jumlah 95 kemenangan yang beliau perolehi sekarang sudah mengatasi rekod 91 kemenangan yang dicatat oleh Schumacher sebelum ini.

    Cara kemenangan itu juga adalah penting. Lewis sudah memenangi perlumbaan 22 kali dengan berada di depan dari mula hingga akhir, dan ini mengatasi rekod sebanyak 19 kali yang dicatat oleh Ayrton Senna sejak tahun 1991! Lewis juga telah mencatat kutipan mata berturut-turut paling banyak pada tahun 2020 (998 mata) mengatasi rekod beliau sendiri yang dicatat pada thaun 2018 melalui pasukan sama (623 mata).

    PETRONAS Syntium pacu pasukan F1 Mercedes-AMG PETRONAS bolot kejuaraan kali ketujuh berturut-turut

    Ini adalah satu contoh utama ketahanan unggul dengan bantuan PETRONAS Syntium. Malah, rekod untuk pengumpulan mata berturut-turut tahun lepas hanya terganggu kerana Lewis terkesan dengan Covid-19 dan terpaksa menarik diri daripada Sakhir GP. Jika ini tidak berlaku, bila memasuki musim 2021, sudah lebih 1,000 hari sejak kali terakhir beliau menarik diri daripada perlumbaan.

    Mercedes telah mencatat rekod baru menguasai perlumbaan sebanyak 39 kali secara berturut-turut dan mengatasi rekod selama 23 tahun (31 perlumbaan) yang dipegang oleh Williams sejak tahun 1997. Bercerita tentang penguasaan ini, Lewis memegang rekod jarak berada di hadapan paling jauh pada tahun 2020, dengan catatan 25,900 km, mengatasi rekod 24,148 km yang dicatat oleh Schumacher. Lewis juga telah memecahkan rekod kemenangan podium paling banyak, iaitu 165 kali dan meletakkan Schumacher di tempat kedua dengan catatan 155 kali.

    Walaupun semua catatan ini sudah cukup mengagumkan, Mercedes-AMG PETRONAS dan Lewis Hamilton bersedia untuk memecahkan banyak lagi rekod pada tahun 2021. Gelaran juara kali kelapan kini dikejar, dan Lewis juga bersedia untuk mengatasi rekod jumlah pusingan berada di hadapan sebanyak 5,111 yang dicatat oleh Schumacher – Lewis sekarang cuma mencatat 5,099 pusingan.

    PETRONAS Syntium pacu pasukan F1 Mercedes-AMG PETRONAS bolot kejuaraan kali ketujuh berturut-turut

    Dengan musim baru sudah hampir bermula dan banyak lagi statistik pecah rekod yang mahu ditambah dalam sejarah, kedua-dua manusia dan jentera yang terlibat perlu berada dalam tahap terbaik untuk berjaya. Tugas masing-masing adalah jelas: Lewis dan rakan pasukan, Valterri Bottas perlu membawa bakat, latihan serta keazaman ke dalam perlumbaan, sementara Mercedes dan PETRONAS pula akan menyediakan prestasi serta ketahanan.

    PETRONAS adalah rakan kongsi teknologi rasmi untuk pasukan Formula One Mercedes-AMG PETRONAS yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam siri kemuncak sukan permotoran ini. Jurutera syarikat tahu apa yang diperlukan untuk membangunkan formula kemenangan bagi melawan kepanasan enjin berlebihan, dengan ujian menyeluruh dalam keadaan paling ekstrem. Dengan kejayaan yang sudah terbukti di litar, kepakaran sama kini digunakan bagi mengoptimakan barisan produk PETRONAS Syntium untuk kenderaan anda. Cari yang paling bersesuaian di sini.

     
     
  • Proton janji hasilkan rekaan badan berbeza dari model Geely, revolusi rekaan dalam 5-6 tahun akan datang

    Proton janji hasilkan rekaan badan berbeza dari model Geely, revolusi rekaan dalam 5-6 tahun akan datang

    Minggu lalu kami berpeluang untuk menemuramah orang-orang penting dalam unit rekaan Proton berkenaan halatuju masa hadapan Proton Design; bukan sahaja bersama ketua pereka Proton Azlan Othman, malah turut bersama adalah naib presiden Geely Design Shanghai, Guy Burgoyne.

    Seperti yang kita tahu, buat masa sekarang dua model Proton yang diasaskan dari model Geely iaitu X50 dan X70 hanya dibezakan sedikit perincian dari Binyue/Coolray dan Boyue; yang nampak berbeza adalah pada gril hadapan dan juga gril pembesar suara. Namun Azlan sendiri mendedahkan bahawa Proton kini dalam proses untuk menghasilkan rekaan semula keseluruhan badan atas kereta mereka sendiri, memberikan imej yang berbeza dari Geely.

    Memberikan respon kepada komen orang ramai berkenaan kurangnya rekaan tersendiri pada model-model SUV Proton berkenaan berbanding model asal dari Geely, Azlan berkata, “Apa yang ramai orang lupa adalah objektif utama projek ini. Mereka mungkin hanya nampak satu produk, manakala kami di sebelah sini, kami melihatnya dalam jangka masa panjang. Kami bermula dari hanya mengambil projek CBU, kemudian kami mulakan CKD dan tidak lama lagi kami akan mulakan perubahan rekaan sebelah atas, selepas itu saya rasa penghargaan akan menjadi lebih baik.”

    Proton janji hasilkan rekaan badan berbeza dari model Geely, revolusi rekaan dalam 5-6 tahun akan datang

    Azlan jga menambah bahawa Proton kini masih dalam fasa evolusi dari segi rekaan, yang mana ia adalah efektif untuk proses rebadge model-model Geely. Menghasilkan rekaan badan atas sendiri akan memberikan lebih kebebasan kepada pereka bagi membuat perubahan besar, dan Azlan menjanjikan bahasa rekaan yang lebih “revolusioner” – namun jangan pula berharap ia akan diperkenalkan dalam masa terdekat.

    “Kami telah mulakan ‘Evolusi 1.0’ sebelum ini dan kami sekarang dalam fasa 2.0. Kami juga mempunyai visi, lima atau enam tahun akan datang, untuk rupa ‘Revolusi'”, jelasnya.

    Antara sebab mengapa Proton tidak membuat banyak perubahan estetika kepada X70 dan X50 kerana banyak kekangan pada rekaan kereta-kereta tersebut – ia sudahpun siap sepenuhnya dari Geely sebelum diberikan pada Proton. “Secara jelasnya, jika kita lihat kepada konsep produk yang diberikan, kekangan adalah lebih banyak. Tapi setelah kami beralih arah tuju, contohnya rekaan atas baharu misalnya, ia tidak ada batasan,”kata Azlan.

    Proton janji hasilkan rekaan badan berbeza dari model Geely, revolusi rekaan dalam 5-6 tahun akan datang

    Azlan juga bersetuju dengan persepsi bahawa model-model asli dari Proton nampak sangat berbeza dengan model-model yang diasaskan dari Geely, namun dia menegaskan bahawa Proton perlukan masa bagi menghasilkan rekaan yang lebih baik.

    “Saya bersetuju dengan semua warga maya dan orang ramai di luar sana. Adalah sangat kompleks untuk mendapatkan rupa yang sama antara model legasi dan model yang telah diberi. Kami perlu bermula dengan perkara kecil dulu, seperti pada bahagian gril, roda, sedikit bahagian dalaman dan konsep kemasan, dan ia akan berkembang [dari situ]. Saya minta orang ramai untuk memahami prespektif lebih besar, dan kemudian barulah ia jadi lebih baik,” ujar Azlan.

    “[Kolobrasi kami] kini masih dalam peringkat awal, tiga tahun. Kami perlu bergerak selangkah demi selangkah, perlahan-lahan untuk serasi dengan gabungan ini, dan kemudian kami akan tunjukkan anda apa yang boleh kami lakukan,” jelasnya lagi.

    Proton janji hasilkan rekaan badan berbeza dari model Geely, revolusi rekaan dalam 5-6 tahun akan datang

    Walau bagaimanapun, menurut Azlan ia pasti ada perbezaan antara dua jenis Proton. “Untuk model yang kami terima, kami agak bergantung dengan rakan kami Geely untuk mendapatkan sebanyak mungkin nilai terbaik dari kolobrasi tersebut. Manakala untuk model-model legasi, kami mempunyai kebebasan. Saya rasa tidak akan ada persamaan keseluruhan antara kedua-duanya, tidak masuk akal bagi Proton untuk kelihatan sepenuhnya seperti Geely,” jelasnya.

    Guy Burgoyne pula memberikan komen tambahan mengapa SUV Proton nampak sama dengan versi dari Geely; menurutnya syarikat kini sedang fokus untuk menawarkan nilai terbaik untuk pelanggan – sekiranya perubahan visual yang besar dibuat sudah tentu ia akan menelan kos lebih banyak dan ia akan terjejas dari sudut nilai.

    “Kebanyakkan orang tidak memahami bahawa dengan produk yang mempunyai nilai terbaik, ia perlu ada imbangan antara keunikan dan kesamaan, dan kesamaan pula perlu tanpa menjejaskan keunikan jenama, kedua-duanya perlu ada bagi memberikan solusi yang baik dan nilai yang baik kepada pelanggan.

    Proton janji hasilkan rekaan badan berbeza dari model Geely, revolusi rekaan dalam 5-6 tahun akan datang

    “Bagi mendapatkan keseimbangan yang betul adalah permainan hampir semua pembuat kereta di seluruh dunia. Ia jelas adalah sebahagian dari perniagaan – jika anda buat setiap perkara unik untuk setiap pasaran berbeza ia akan membuatkan kos meningkat dan anda tak dapat menjual kereta atau anda akan membuatkan pelanggan tidak gembira.”

    Sebelum ini, Proton telah disahkan akan mendapat kebebasan untuk menghasilkan model mereka sendiri berdasarkan platform B-segment Modular Architecture (BMA) dari Geely, iaitu platform yang sama dengan X50. Projek ini membolehkan Proton menghasilkan rekaan mereka sendiri terhadap badan atas sebelah luar, rekaan dalaman, dan bukan sekdar rebadge model Geely sedia ada.

    Walau bagaimanapun, dengan asas BMA berkenaan, ia masih akan berkongsi kebanyakkan komponen mekanikal yang sama dengan Geely. Sebelum ini kita dah tengok Azlan dan pasukannya menghasilkan rekaan yang cukup menarik seperti Proton Satria Neo apabila diberikan kebebasan, mungkin selepas ini kejutan yang sama turut akan dipersembahkan oleh Proton Design selepas semua ‘senjata untuk berperang’ dibekalkan dengan secukupnya?

     
     
  • PKPP: SJR tetap diteruskan di Putrajaya – PDRM

    PKPP: SJR tetap diteruskan di Putrajaya – PDRM

    Biar pun telah diletakkan dalam status Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula kelmarin, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah memaklumkan sekatan jalan raya (SJR) di sekitar Putrajaya masih diteruskan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali, selain operasi itu, pemeriksaan secara rawak juga akan dijalankan dari semasa ke semasa, laporan Bernama.

    “Ia adalah bagi memastikan orang ramai dari luar tidak memasuki Putrajaya tanpa surat kebenaran, demi mencegah risiko jangkitan COVID-19. Ini kerana Putrajaya dikelilingi Kuala Lumpur dan Selangor yang masih berada dalam PKP Bersyarat (PKPB). Jika tidak dikawal, Putrajaya akan menjadi kawasan orang ramai berkumpul.

    “Sehubungan itu jika orang luar datang melakukan aktiviti di sini tanpa surat kebenaran untuk merentas, polis akan mengenakan kompaun,” katanya.

    Tambah beliau, polis meneruskan kawalan berikutan masih ramai yang keliru berhubung kawasan berdekatan Putrajaya tetapi terletak dalam daerah lain, contohnya pusat beli-belah IOI City Mall dan Cyberjaya adalah di bawah daerah Sepang. Jelasnya, Presint 1 hingga Presint 20 terletak bawah Putrajaya.

    “Hanya penduduk Putrajaya boleh menjalankan aktiviti dalam komuniti di kawasan terbabit,” ujarnya.

     
     
  • UM lancar siri plat nombor khas, bidaan bermula 8 Mac

    UM lancar siri plat nombor khas, bidaan bermula 8 Mac

    Universiti Malaya (UM) telah mengikut jejak rakan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang lain membuka bidaan bagi siri plat nombor khas kenderaan, dengan abjad ‘UM’. Bermula hari ini, bidaan tersebut telah dibuka pada harga minimum bernilai RM1,000.

    Menurut Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, nombor pendaftaran itu adalah satu simbol unik yang dapat dipaparkan pada kenderaan dan ditawarkan kepada orang awam, laporan Bernama.

    Katanya, ia bukan sekadar nombor plat kenderaan, tetapi menjadi satu manifestasi seseorang sebagai ‘warga UM’.

    “Pembida juga secara tidak langsung menjadi penyumbang kepada dana pembangunan, penyelidikan dan kebajikan pelajar UM. Penjualan nombor pendaftaran kenderaan UM antara inisiatif penjanaan pendapatan universiti, selain mempromosikan nama UM sebagai universiti terunggul dan antara yang terbaik di dunia,” katanya.

    Tambah beliau, inisiatif itu juga disasarkan akan menarik lebih ramai alumni UM memberi sumbangan kepada universiti itu, selain mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak.

    Bagi sesi pertama bidaan, ia berlangsung selama lima hari sehingga 12 Mac ini, dengan menawarkan 100 nombor plat UM membabitkan tiga kategori iaitu Emas, Perak dan Gangsa serta bidaan boleh dilakukan menerusi laman web https://hebat.um.edu.my.

     
     
  • Honda City Hatchback RS dilancarkan di Indonesia – 1.5L i-VTEC, pilihan manual 6-kelajuan dan CVT!

    Honda City Hatchback RS dilancarkan di Indonesia – 1.5L i-VTEC, pilihan manual 6-kelajuan dan CVT!

    Selepas Thailand yang menjadi tempat kemunculan sulung globalnya, Honda City Hatchback yang menggantikan Honda Jazz untuk pasaran ASEAN kini sudah pun dilancarkan di Indonesia. Namun apa yang menarik, Indonesia masih lagi belum menerima versi sedan City generasi kelima ini seperti apa yang telah pasaran Malaysia terima, sebaliknya diperkenalkan terlebih dahulu dalam versi hatchback ini.

    Untuk pasaran Indonesia, City generasi kelima ini tidak menerima enjin 1.0 liter VTEC Turbo seperti Thailand, tetapi diberikan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC sama seperti di City sedan di Malaysia yang menjana 121 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm. Menurut Honda Prospect Motor (HPM) iaitu pengedar Honda di Indonesia, City Hatchback ini hanya dipasarkan dalam versi RS, dan enjin yang diberikan tersebut adalah yang paling berkuasa dalam kelasnya.

    Apa yang menarik lagi, City Hatchback RS ini bukan sahaja ditawarkan dengan kotak gear CVT automatik Earth Dreams Honda, malah pelanggan di Indonesia turut boleh memilih kotak gear enam-kelajuan manual!

    Honda City Hatchback RS dilancarkan di Indonesia – 1.5L i-VTEC, pilihan manual 6-kelajuan dan CVT!

    Dari segi kelengkapan, RS di Indonesia ini nampak seiras dengan RS yang ditawarkan di Thailand. Pada bahagian luaran, ia menerima imej paling agresif dengan gril, antena sirip yu, spoiler belakang, pembuka pintu, penutup cermin sisi, kemasan diffuser bampar belakang dan juga perumah lampu kabus semuanya dilayangkan dengan warna hitam.

    Lampu hadapan, lampu nyalaan siang, lampu kabus dan lampu belakang pada City Hatchback RS ini menerima teknologi LED. Manakala kelengkapan lain yang diberikan secara standard termasuk rim aloi 16-inci bersama tayar 185/55R16, sistem kunci pintar, cermin penapis haba, dan juga kamera undur pelbagai sudut.

    Pada bahagian dalaman pula, model ini diberikan upholsteri gabungan kulit, sued dan fabrik, tempat duduk hadapan larasan manual, butang penghidup enjin, skrin infotainmen lapan-inci dengan sokongan WebLink dan Apple CarPlay, empat pembesar suara dan juga pendingin hawa zon tunggal.

    Honda City Hatchback RS dilancarkan di Indonesia – 1.5L i-VTEC, pilihan manual 6-kelajuan dan CVT!

    Model RS ini juga menampilkan tema warna merah-hitam di dalam kabin, termasuk pada panel kawalan pendingin hawa, benang jahitan pada roda stereng yang dibalut kulit, tombol gear dan juga panel instrumen. Tempat duduk Ultra Seat Honda juga masih tampil pada City Hatchback ini seperti yang ditawarkan pada Jazz dahulu, menampilkan pelbagai konfigurasi boleh diatur bagi memaksimakan pengunaan ruang berdasarkan situasi.

    Bagi model yang dilengkapkan dengan kotak gear CVT automatik, City Hatchback RS ini turut hadir dengan dua fungsi yang tiada pada model manual iaitu penghidup enjin jarak jauh dan juga pedal penukar gear pada roda stereng.

    Untuk ciri keselamatan pula, City Hatchback ini menerima sistem standard seperti enam-beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), bantuan mula mendaki, pengingat pemakaian tali pinggang hadapan, cagak tempat duduk Isofik, dan juga empat penderia parkir belakang.

    Enam warna badan ditawarkan untuk City Hatchback RS ini di Indonesia iaitu Phoenix Orange Pearl, Rallye Red, Crystal Black Pearl, Meteoroid Grey Metallic, Lunar Silver Metallic dan Platinum White Pearl. HPM turut terus memperkenalkan barisan aksesori Modulo untuk model ini yang terdiri dari visor pintu, serta kit badan merangkumi spoiler bampar hadapan bersama skirting sisi dan belakang.

    Walau bagaimanapun, HPM masih belum mendedahkan harga untuk Honda City Hatchback RS ini dan ia hanya diumumkan pada April nanti. Boleh dijangka, City Hatchback akan mendarat di Malaysia pula selepas ini. Bagaimana dengan anda? Lebih suka Jazz atau City Hatchback ini?


     
     
  • Perodua Ativa – 6,000 unit telah ditempah, 100 unit telah didaftarkan hanya 2 hari selepas dilancarkan

    Perodua Ativa – 6,000 unit telah ditempah, 100 unit telah didaftarkan hanya 2 hari selepas dilancarkan

    Jika tahun lalu adalah milik Proton X50 dan juga Honda City generasi kelima, tahun ini pelancaran kereta yang paling ditunggu-tunggu sudah tentulah Perodua Ativa yang berlangsung dua hari lalu. Dan dengan maklumat yang baru sahaja kami terima ini, sudah tentu tak lama lagi kita bakal lihat Ativa akan ‘bersepah’ merayap di atas jalan raya.

    Menurut Perodua, sejak tempahan untuk Ativa dibuka pada 19 Februari lalu, sehingga tarikh pelancarannya pada 3 Mac, sekitar 5,000 unit Ativa sudahpun ditempah. Dan hanya selepas dua hari, pada pukul 3 petang tadi (5 Mac), tempahannya meningkat kepada 6,027 unit, atau sekitar 1,000 unit tambahan hanya dalam masa dua hari!

    Sudah tentu, tempahan yang begitu banyak ketika hari-hari awal selepas pelancaran ini juga perlu disusuli dengan strategi produksi kilang yang betul bagi memastikan pelanggan tidak perlu menunggu lama bagi mendapatkan kereta mereka.

    Perodua Ativa – 6,000 unit telah ditempah, 100 unit telah didaftarkan hanya 2 hari selepas dilancarkan

    Lihat sahaja apa yang dibuat oleh Honda Malaysia terhadap City generasi baharu – semalam kami laporkan bahawa sekitar 13,000 unit model berkenaan telah berjaya dihantar kepada pelanggan sehingga penghujung Februari selepas dilancarkan pada Oktober tahun lalu.

    Begitu juga dengan Proton X50 yang dilancarkan sedikit lewat dari City tapi masih dalam bulan yang sama – walaupun pada awalnya produksi X50 dilihat agak lembab, Proton nampaknya semakin belajar dan berjaya meningkatkan produksi SUV yang ditempah sebanyak lebih dari 30,000 unit pada penghujung 2020 itu, dan sehingga penghujung bulan lalu sebanyak 8,141 unit telah diserahkan kepada pelanggan.

    Bagi Perodua, ini bukan pertama kali mereka berhadapan dengan perkara sedemikian – boleh kata setiap kali pelancaran model baharunya, tempahan yang diterima sangat menggalakkan dan biasanya pelanggan juga tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan kereta yang sudah ditempah. Dan untuk Ativa sehingga pukul 4.30 petang tadi, sebanyak 102 unit sudahpun didaftarkan di JPJ!

    Oleh sebab itu, berdasarkan unit tempahan yang dicatatkan dan betapa cepatnya unit-unit awalan sudah didaftarkan, kami jangkakan anda boleh berselisih dengan Ativa di mana-mana sahaja sedikit masa lagi.

    Perodua Ativa – 6,000 unit telah ditempah, 100 unit telah didaftarkan hanya 2 hari selepas dilancarkan

    Kenapa Perodua Ativa ini laris sangat? Sudah tentu, pasaran SUV kompak adalah pasaran yang agak ‘panas’ buat masa sekarang. Malah Ativa ditawarkan dengan pelbagai ciri yang sangat moden dan tidak pernah ditawarkan oleh Perodua sebelum ini, malah ada juga ciri yang hanya terdapat pada kereta-kereta mewah.

    Perodua Ativa diasaskan dari platform termaju Daihatsu iaitu Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dan dijana oleh enjin 1KR-VET 1.0 liter tiga-silinder turbo berkuasa 98 PS/140 Nm, dipadankan dengan kotak gear D-CVT automatik. Ia menerima sistem bantuan pemanduan keselamatan ASA 3.0 dengan fungsi seperti cruise control adaptif yang mencapai tahap separa automasi Tahap 2. Malah pada varian-varian lebih tinggi, Ativa turut menerima lampu hadapan LED dengan lampu tinggi adaptif dan juga fungsi lampu isyarat membelok sequential.

    Dan dengan apa yang ditawarkan ini, Ativa hanya dijual pada harga atas jalan tanpa insuran (termasuk pengecualian cukai jualan) bermula RM61,500 hingga RM72,000. Menurut Perodua lagi, 75% pelanggan yang menempah Ativa telah memilih model varian tertinggi AV, malah kebanyakkan pembeli Ativa AV ini mahukan warna pearl (merah atau putih) dengan bumbung hitam yang perlu dikenakan bayaran tambahan.

    Liputan menyeluruh kami berkaitan Perodua Ativa boleh dirujuk di sini:

    Perodua Ativa 1.0L Turbo AV 2021

    Perodua Ativa 1.0L Turbo H 2021

    Perodua Ativa 1.0L Turbo X 2021

     
     
  • GALERI: Ranger Raptor X Special Edition tampil imej lebih garang dan merah menyala; harga RM216,888

    GALERI: Ranger Raptor X Special Edition tampil imej lebih garang dan merah menyala; harga RM216,888

    Baru-baru ini, Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) telah memperkenalkan edisi istimewa untuk Ford Ranger Raptor X Special Edition. Menariknya, ia ditampilkan dengan warna luaran yang lebih unik iaitu True Red. Selain itu, varian yang hanya untuk pasaran Malaysia ini sahaja turut diserikan dengan pelekat corak kilat Raptor X pada bahagian sisi belakang.

    Malahan bahagian dalamannya juga diberikan beberapa ciri eksklusif termasuklah alas karpet edisi istimewa. Selain itu, bagi membezakannya dengan Raptor standard, varian ini juga tampil dengan kamera 360-darjah yang memberikan real-time dan liputan yang lebih meluas dengan paparan sekeliling kenderaan, serta perakam video digital (DVR) Kenwood dwi-saluran.

    Bukan itu sahaja, ia turut didatangkan dengan penapis polarised binaan-dalam dan menawarkan pelbagai fungsi, termasuklah rakaman definisi tinggi (HD), pandangan sudut yang lebih lebar dan juga rakaman pandangan malam. Menerusi aplikasi mobili, kamera ini juga boleh disambungkan ke telefon bimbit untuk melihat paparan video yang telah dirakamkan.

    Walau bagaimanakan, varian ini masih mengekalkan enjin 2.0 liter biturbo diesel empat-silinder, dengan hamburan kuasa 213 PS dan tork 500 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik Getrag 10R80 10-kelajuan.

    Varian yang dipertingkatkan pada April tahun lalu, turut diberikan ciri baharu termasuk brek kecemasan sendiri (AEB) dengan pengesan pejalan kaki dan bantuan kekal lorong, lampu utama LED dengan projektor persegi baharu, penderia parkir hadapan, pengingat pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang hadapan serta USB port berhampiran cermin pandang belakang.

    Ranger Raptor X ini ditawarkan dengan harga RM216,888 (atas jalan, tanpa insurans), dan didatangkan dengan waranti pengeluar selama lima-tahun/160,000 km, sama seperti barisan Ranger yang diperkenalkan pada Februari lalu. Harga bagi varian edisi istimewa ini adalah lebih RM6,000 berbanding Raptor standard, yang mengalami penurunan harga iaitu RM210,888 untuk model 2021.

     
     
  • Bampar hadapan Perodua GR Myvi dari JW Bodykit sudah siap, boleh ditempah dan sedia untuk dihantar

    Bampar hadapan Perodua GR Myvi dari JW Bodykit sudah siap, boleh ditempah dan sedia untuk dihantar

    Anda nak GR Myvi? Sekarang anda boleh realisasikan impian tersebut, tapi ia bukan dihasilkan oleh Toyota Gazoo Racing, sebaliknya kit yang anda lihat ini adalah buatan syarikat kit badan tempatan, JW Bodykit.

    Walau bagaimanapun, JW Bodykit hanya menghasilkan bampar hadapan (melekat sekali bersama gril atas) yang diperbuat dari material gentian kaca. Manakala untuk skirt sisi, bampar belakang dan juga spoiler bumbung mungkin anda boleh ‘kacuk’ dengan pelbagai produk aftermarket lain untuk Perodua Myvi generasi ketiga ini.

    JW Bodykit menghasilkan bampar GR Myvi tersebut setelah imej lakaran digital yang dibuat oleh pakar manipulasi automotif tempatan, Theophilus Chin viral di pelbagai laman media sosial. Theo menghasilkan rekaan tersebut berdasarkan Toyota GR Yaris yang baru sahaja rasmi masuk pasaran Malaysia pada penghujung tahun lalu.

    Imej digital GR Myvi dihasilkan Theophilus Chin

    Tidak mustahil sekiranya tiba-tiba Toyota Gazoo Racing mahu menghasilkan model talaan istimewa pada Myvi kerana di Jepun, sayap perlumbaan rasmi Toyota berkenaan turut menghasilkan model talaan istimewa berdasarkan Daihatsu Copen, digelar sebagai Copen GR Sport.

    Tapi ia masih lagi tidak masuk akal untuk menunggu model sebenar GR Myvi itu dihasilkan secara rasmi kerana hubungan antara Gazoo Racing dan Perodua dilihat masih lagi terlalu jauh. Jadi kalau nak merasa juga GR Myvi, anda boleh buat sendiri menggunakan bampar hadapan dari JW Bodykit ini.

    Syarikat berkenaan tidak mengumumkan sebarang harga, jadi kalau anda berminat ada baiknya anda hubungi sendiri JW Bodykit menerusi laman Facebook rasmi mereka.

     
     
  • Honda Legend Hybrid EX dengan Honda Sensing Elite – sistem autonomi tahap 3, boleh lepas stereng!

    Honda Legend Hybrid EX dengan Honda Sensing Elite – sistem autonomi tahap 3, boleh lepas stereng!

    Honda telah melancarkan sedan mewah mereka, Legend yang dilengkapi sistem bantuan pemanduan terkini Honda Sensing Elite di Jepun. Walau bagaimanapun, versi istimewa ini dihasilkan hanya sebanyak 100 unit, dan ia dijual pada harga 11,000,000 yen (RM416,630), termasuk cukai pengunaan sebanyak 10%.

    Model ini hanya ditawarkan dalam varian Hybrid EX, dijana oleh enjin petrol 3.5 liter V6 dengan sistem suntikan terus, dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, bersama sistem pacuan semua roda Sport Hybrid All Wheel Drive (SH-AWD) Honda.

    Apa yang istimewa berkenaan sistem Honda Sensing Elite tersebut berbanding sistem Honda Sensng biasa? Menurut Honda, sistem baharu yang dipadankan Legend ini mempunyai sistem bantuan tukar lorong aktif bersama fungsi tanpa sentuhan stereng, penukar lorong aktif dengan fungsi tanpa sentuhan stereng dan juga sistem Traffic Jam Pilot.

    Ini bermaksud, sistem pemanduan berautonomi Honda Legend ini sudah mencapai tahap 3 di mana ia bukan sahaja dipandu sendiri dengan mengawal kelajuan dan brek serta stereng untuk kekal dalam lorong, sistem Honda Sensing Elite ini juga boleh menukar lorong secara sendiri tanpa bantuan manusia. Sistem berkenaan telah pun diperakui oleh Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun (MLIT).

    Honda Legend Hybrid EX dengan Honda Sensing Elite – sistem autonomi tahap 3, boleh lepas stereng!

    Bar lampu biru yang terletak pada bampar hadapan kereta menandakan Legend Hybrid EX ini sebagai sebuah model yang dilengkapi sebahagian kemampuan pemanduan berautonomi, bersama rekaan rim aloi yang tersendiri. Pada bahagian kabin, model ini turut diberikan lampu penunjuk Honda Sensing Elite bagi memberitahu pemandu status operasi sistem tersebut, situasi pemanduan dan juga permintaan untuk memberikan semula kawalan pemanduan kepada pemandu.

    Kawalan kenderaan sistem ini dioperasikan menerusi penggunaan data dari peta definasi tinggi tiga-dimensi dan juga sistem satelit navigasi global yang menentukan posisi kenderaan serta keadaan jalan raya, manakala keadaan sekeliling kenderaan pula dikesan menerusi pelbagai penderia luar yang dibekalkan. Ia juga diberikan kamera pemantau di dalam kabin bagi mengesan kesediaan pemandu.

    Salah satu fungsi utama pada Honda Sensing Elite ini tentulah fungsi tanpa sentuhan yang membolehkan pemandu melepaskan terus tangan dari roda stereng. Ia akan membantu kawalan stereng tanpa pemandu perlu menyentuhnya ketika sistem cruise control adaptif, low speed follow, dan bantuan kekal lorong diaktifkan.

    Fungsi ini juga disokong oleh sistem pemanduan dalam lorong adaptif, yang membantu dalam mengekalkan posisi ditengah lorong pada kelajuan yang telah dipra-tetap. Apabila ada kenderaan di hadapan, sistem ini akan mengekalkan kedudukannya di tengah lorong dalam masa yang sama mengikut kelajuan kereta depan.

    Honda Legend Hybrid EX dengan Honda Sensing Elite – sistem autonomi tahap 3, boleh lepas stereng!

    Honda launches next generation Honda SENSING Elite safety system with Level 3 automated driving features

    Ia juga disertakan dengan bantuan penukar lorong bersama fungsi tanpa sentuhan stereng. Dengan fungsi ini, kereta dapat melakukan pergerakan menukar laluan secara sendiri, selepas pemandu mengaktifkan lampu isyarat membelok. Malah ia turut menerima sistem penukar lorong aktif bersama fungsi tanpa sentuhan stereng (tanpa bantuan) yang boleh beroperasi secaran lebih berautonomi.

    Fungsi ini akan membantu kereta yang bergerak dalam mod pemanduan sendiri berkenaan untuk menukar lorong atau untuk memotong kereta di hadapan dalam berberapa situasi, contohnya apabila ia mengesan kereta di hadapannya bergerak dengan perlahan. Sistem ini akan memberitahu pemandu dahulu sebelum ia memotong kereta hadapan, kemudian kembali ke lorong asal.

    Sistem Traffic Jam pilot pula berfungsi apabila Honda Legend ini dipandu dengan menggunakan ciri pemanduan adaptif dalam lorong, dan terperangkap dalam kesesakan trafik berdasarkan berberapa situasi. Apabila berhadapan keadaan sedemikian, sistem ini akan mengawal pecutan, brek dan stereng serta memantau keadaan sekeliling kenderaan untuk pemandu.

    Sistem ini akan memandu kereta berkenaan dalam keadaan trafik yang memerlukan ia berhenti dan bergerak kembali dalam satu lorong, dalam masa yang sama mengekalkan jarak selamat antara kereta hadapan. Menurut Honda, apabila sistem Traffic Jam Pilot ini diaktifkan, pemandu boleh menonton televisyen atau video pada skrin navigasi, atau mengoperasikan sistem navigasi untuk mencari alamat dan sebagainya, tanpa perlu risau pergerakan kereta yang dikawal sepenuhnya oleh komputer, secara tidak langsung membantu pemandu menghindari kelesuan dan stress.

    Bantuan Berhenti Kecemasan turut disepadukan dengan sistem ini, beroperasi apabila pemandu tidak memberikan respon apabila ia meminta pemandu untuk mengambil semula kawalan kereta. Jika pemandu tidak menghiraukan permintaan untuk mengambil semula kawalan, sistem ini akan menggunakan bunyi penggera dan memberikan getaran menerusi tali pinggang keledar pemandu.

    Jika amaran tersebut masih tidak dipedulikan oleh pemandu, sistem berkenaan akan memperlahankan kereta sambil memberi amaran kepada pengguna jalan raya yang lain menerusi lampu isyarat kecemasan (lampu hazard) dan juga hon. Apabila ia mengesan bahu jalan, sistem ini secara perlahan-lahan akan ke tepi jalan, dan berhenti apabila keadaan disahkan selamat.

    Lampu penunjuk diletakkan pada roda stereng, serta pada bahagian atas sistem navigasi dan glovebox bagi memberitahu status operasi sistem bantuan pemanduan berkenaan. Lampu pada roda stereng akan menyala apabila fungsi tanpa sentuhan stereng diaktifkan, manakala lampu biru akan menyala apabila Traffic Jam Pilot diaktifkan. Apabila sistem ini meminta pemandu mengambil alih semula kawalan, lampu berwarna oren akan berkelip.

    Honda Legend Hybird EX dengan sistem Honda Sensing Elite ini dijual di Jepun menggunakan kaedah sewa-beli. Ia ditawarkan dalam enam warna badan berbeza iaitu Majestic Black Pearl, Platinum White Pearl, Super Platinum Metallic, Premium Deep Rosso Pearl, Modern Steel Metallic dan Obsidian Blue Pearl. Pada bahagian kabin pula, tiga tema warna disediakan untuk dipilih iaitu Premium Black, Deep Brown dan Sea Coast Ivory.

     
     
  • Porsche Taycan Cross Turismo diperkenal – ruang lebih luas, boleh offroad ringan, kuasa hingga 761 PS

    Porsche Taycan Cross Turismo diperkenal – ruang lebih luas, boleh offroad ringan, kuasa hingga 761 PS

    Lebih kurang tiga tahun selepas model konsepnya ditunjuk, kini Porsche akhirnya mendedahkan Taycan Cross Turismo. Model GT elektrik baru ini boleh dikenali melalui bumbung menjunam di belakang, dan Porsche memanggilnya sebagai “flyline“.

    Model ini juga mendapat kemasan plastik hitam di sekeliling bahagian bawah badannya bagi menguatkan lagi identiti lasaknya. Malah, sebelum ia dikeluarkan, Porsche telah melakukan banyak ujian atas jalan kasar untuk Taycan Cross Turismo dan ia juga boleh dilihat dalam gambar di bawah.

    Sekiranya anda adalah jenis yang menggunakan kenderaan ini untuk aktiviti luar, anda boleh memilih pakej Off-Road Design, yang memberikan penghadang khas pada bahagian bucu bampar serta tepi, untuk melindungi badan kenderaan daripada percikan pasir atau batu. Rel bumbung disediakan sebagai pilihan tambahan dan rekaan rim adalah serba baru.

    Porsche Taycan Cross Turismo diperkenal – ruang lebih luas, boleh offroad ringan, kuasa hingga 761 PS

    Masuk ke dalam, keadaannya sama sahaja seperti Taycan biasa, dengan terdapat tiga skrin atas papan pemuka, sementara satu lagi skrin di hadapan penumpang depan disediakan sebagai pilihan tambahan. Mereka yang memilih pakej Off-Road Design akan mendapat kompas di atas papan pemuka ini.

    Hasil daripada garis bumbung yang diubah, Porsche memberitahu, terdapat tambahan 47 mm bagi ruang kepala penumpang, sementara bukaan pintu but pula adalah lebih besar berbanding model sedan. Ruang barangan di belakang yang disediakan adalah 446 liter (406 liter pada model biasa), dan boleh pergi sehingga 1,212 liter apabila tempat duduk belakang dilipat rata. Di bawah bonet hadapan pula terdapat 84 liter ruang simpanan tambahan.

    Dalam keadaan standard, Taycan Cross Turismo datang dengan balutan separa kulit di bahagian dalam, tetapi ia boleh dinaik taraf kepada kulit klasik atau Club Leather OLEA yang menggunakan daun zaitun untuk proses penggelapan. Untuk pilihan lain, pelanggan juga boleh mendapatkan kabin yang tidak menggunakan kulit, diganti dengan bahan gentian mikro yang dipanggil sebagai Race-Tex. Pelapik lantai pula menggunakan jaring menangkap ikan yang dikitar semula.

    Porsche Taycan Cross Turismo diperkenal – ruang lebih luas, boleh offroad ringan, kuasa hingga 761 PS

    Semasa dilancarkan, Taycan Cross Turismo akan didatangkan dalam pilihan empat varian, dan kesemuanya menggunakan dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda. Memandangkan ia berkongsi penggerak yang sama seperti Taycan, kuasa yang dihasilkan, serta prestasinya juga adalah sama.

    Melihat pertamanya kepada Taycan 4 Cross Turismo, varian permulaan ini menyediakan 380 PS secara standard, atau 476 PS dan 500 Nm tork dalam mod overboost atau Launch Control. Ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat, mencapai kelajuan maksimum 220 km/j dan memberikan jarak gerak antara 389 km hingga 456 km.

    Atas daripadanya adalah varian 4S, yang mampu menghasilkan 490 PS (571 PS dan 650 Nm tork waktu overboost), 0-100 km/j dalam masa 4.1 saat, laju maksimum 240 km/j dan jarak gerak antara 388 km hingga 452 km dengan sekali cas penuh.

    Porsche Taycan Cross Turismo diperkenal – ruang lebih luas, boleh offroad ringan, kuasa hingga 761 PS

    Seterusnya adalah Taycan Turbo Cross Turismo. Varian ini mampu menghasilkan kuasa 625 PS (680 PS dan 850 Nm tork dalam mod overboost), sekaligus membenarkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat, mencapai kelajuan maksimum 250 km/j dan menyediakan jarak gerak 395 km hingga 452 km.

    Varian paling tinggi iaitu Turbo S juga menyediakan kuasa 625 PS, tetapi dalam mod overboost, ia boleh mencecah 761 PS dan 1,050 Nm tork. Kuasa ini cukup untuk memacu kereta seberat 2,320 kg ini untuk melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.9 saat, tetapi jarak geraknya berkurang sedikit menjadi antara 388 km hingga 419 km untuk sekali cas penuh. Motor di hadapan menggunakan transmisi satu kelajuan sementara motor di belakang mempunyai transmisi dua kelajuan.

    Semua varian ini dipasang dengan Performance Battery Plus 93.4 kWh (beroperasi pada voltan sistem standard 800 V), dan diberikan dengan pengecas 11 kW (boleh dinaik taraf kepada unit 22 kWh). Sama seperti Taycan biasa, ada dua soket pengecas pada kereta, iaitu satu untuk AC dan satu lagi untuk DC.

    Porsche Taycan Cross Turismo diperkenal – ruang lebih luas, boleh offroad ringan, kuasa hingga 761 PS

    Jika menggunakan pengecas 11 kW, baterinya akan mengambil masa sembilan jam untuk penuh, tetapi sekiranya mempunyai akses kepada pengecas DC 50 kW, anda cuma perlu mengambil masa mengecas 30 minit untuk mendapatkan jarak gerak 100 km. Taycan juga boleh dicas menggunakan pengecas pantas, yang mengambil masa cuma 23 minit untuk menaikkan tahap baterinya daripada 5% ke 80% (di bawah keadaan paling optimum).

    Satu ciri baru bagi Cross Turismo adalah pilihan mod pemanduan kelima yang dilabelkan sebagai Gravel. Ia membuat penetapan yang lebih baik untuk pemanduan offroad ringan, seperti jalan tidak berturap. Penyampaian kuasa dikawal secara tepat melalui transmisi dua kelajuan di belakang, dan ia mengagihkan tork demi memberikan cengkaman yang optima.

    Varian Turbo dan Turbo S mendapat differential gandar belakang secara standard, dan ini memberikan lebih banyak tork mengunci dan cengkaman. Mod Gravel juga memberi input kepada tetapan spring serta penyerap Porsche Stability Management (PSM), Porsche Torque Vectoring Plus (PTV Plus) serta Porsche Traction Management (PTM). Empat mod lain yang disediakan adalah Range, Normal, Sport dan Sport Plus – sama seperti Taycan biasa.

    Porsche Taycan Cross Turismo diperkenal – ruang lebih luas, boleh offroad ringan, kuasa hingga 761 PS

    Sebagai sebuah kenderaan elektrik mewah, Taycan Cross Turismo datang dengan pelbagai sistem bantuan serta keselesaan. Sistem Porsche InnoDrive antaranya, termasuk Active Lane Keep Assist, Adaptive Cruise Control, Swerve Assist dan Intersection Assist (dengan amaran bunyi dan bantuan brek).

    Sistem ini juga menggunakan data yang diperolehi daripada GPS, radar, kamera, had laju serta topologi jalan (gradien serta lengkung selekoh) untuk memadankannya dengan kelajuan kenderaan. Ia boleh boleh menjangka keadaan sehingga jarak tiga kilometer, serta mengoptimakan strategi pemanduan mengikut masa sebenar. Antara contohnya, bila mendekati selekoh atau bulatan, kenderaan akan diperlahankan secara sendiri.

    GALERI: Porsche Taycan Cross Turismo Turbo S 2021

    GALERI: Porsche Taycan Cross Turismo 4S 2021

     
     
  • Nissan Note e-Power generasi ketiga tiba di S’pura

    Nissan Note e-Power generasi ketiga tiba di S’pura

    Nissan Note generasi ketiga kini telah diperkenalkan secara rasmi di Singapura. Ada dua varian ditawarkan, Lite dan Premium, masing-masing dengan harga bermula S$99,800 (RM303,550)
    temasuk sijil COE di sana.

    Note baru ini ditawarkan dengan satu sistem janaan kuasa sahaja, iaitu hibrid; sistem e-Power petrol. Tiada lagi varian petrol semata-mata bagi Note yang ditawarkan. Sistem e-Power generasi kedua yang digunakan pada kereta ini mengekalkan enjin HR12 1.2 liter tiha-silinder yang bertindak sebagai generator untuk mengecas bateri.

    Namun, ia telah dijadikan lebih cekap, beroperasi pada rpm rendah dan kurang digunakan ketika pemanduan biasa. Ia juga menawarkan penggunaan bahan api yang lebih baik dan pertambahan kuasa, walaupun perincian tepat enjin berkenaan tidak dinyatakan.

    Turut ditampilkan ialah motor elektrik dan inverter baru. Inverternya 40% lebih kecil dan 30% lebih ringan berbanding sebelum ini, dengan motor baru ini meningkatkan tork sebanyak 10%. Dari segi output motor elektrik e-Power ini menawarkan 115 PS dan 280 Nm, naik daripada 109 PS dan 254 Nm sebelum ini.

    Nissan Note e-Power generasi ketiga tiba di S’pura

    Kelengkapan standard termasuk lampu utama automatik LED, lampu kabus, kerusi Zero Gravity depan, paparan instrumen digital TFT tujuh-inci, paparan infotainmen skrin sentuh sembilan-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto serta kawalan pendingin hawa automatik. Masih juga ada kawalan pedal tunggal untuk bergerak dan memperlahan.

    Perbezaan yang terlibat juga sangat sedikit. Lite datang dengan kerusi balutan fabrik, sementara Premium yang dijual pada harga S$102,800 (RM312,680) dilengkapi dengan balutan kerusi kulit Nappa. Ia juga lengkap dengan tujuh beg udara, Intelligent Forward Collision Warning dan Intelligent Forward Emergency Braking (atau AEB), amaran penukaran lorong, bantuan lampu tinggi, sensor parkir depan dan belakang serta kamera belakang. 11 warna badan ditawarkan sebagai pilihan, termasuk skim dwi-tona Vivid Blue/Black Star.

     
     
  • Perodua Ativa – kos penyelenggaraan sehingga 100,000 km berbanding Myvi, Aruz dan Proton X50

    Perodua Ativa – kos penyelenggaraan sehingga 100,000 km berbanding Myvi, Aruz dan Proton X50

    Anda dah tahu hampir semua berkenaan Perodua Ativa yang telah dilancarkan minggu ini serta segala perinciannya yang lain. Dan kami juga telah sempat memandu uji secara ringkas SUV segmen-B berkenaan dan anda boleh baca laporan berkenaan pada PAUTAN INI.

    Ok, sekarang pasti ramai yang tertanya-tanya, dengan teknologi yang kebanyakkanya adalah pertama kali dipadankan pada sebuah Perodua seperti enjin 1.0 liter turbo dan juga kotak gear D-CVT, adakah kos penyelenggaraan Ativa ini lebih mahal dari model-model Perodua yang lain?

    Jadi pada artikel kali ini, kami paparkan kos servis berkala untuk Ativa dan kami bandingkan dua lagi model Perodua yang berada dalam julat harga hampir sama iaitu hatchback Perodua Myvi dan juga MPV SUV tujuh-tempat duduk Perodua Aruz.

    Dan disebabkan harga varian tertinggi Ativa AV yang hanya sedikit murah berbanding varian paling rendah Proton X50 Standard, kami bandingkan juga kos selenggara SUV segmen B dari Proton berkenaan – walaupun kedua-dua model ini berlainan segmen, kami pasti mesti ada pembaca yang kini berada di persimpangan dilema untuk memilih antara dua model berkenaan kerana faktor harga yang tak jauh beza (diingatkan sekali lagi, Ativa dan X50 masing-masing dari segmen jauh berbeza).

    Dalam perbandingan kali ini, kami akan paparkan kepada anda kos servis berkala untuk semua model yang kami nyatakan di atas, untuk jarak 100,000 km atau lima tahun pertama (yang mana sampai dulu). Juga, sebelum bermula, ada berberapa perkara yang perlu kami perjelaskan terlebih dahulu tentang perbandingan yang kami buat ini.

    Pertama, Perodua Ativa bukanlah saingan terus untuk kesemua model yang kami senaraikan ini. Umum mengetahui, kegunaan untuk SUV kompak, hatchback kompak, MPV tujuh-tempat duduk adalah sangat berbeza, dan sudah tentu profil pelanggan untuk setiap model berkenaan juga sangat berbeza.

    Perbandingan yang kami buat ini adalah untuk menunjukkan adakah teknologi-teknologi baharu yang diterapkan pada Ativa mempengaruhi kos penjagaannya, dan bagaimana beza kos selenggara antara enjin turbo dan kotak gear D-CVT Perodua berbanding enjin turbo bersama kotak gear klac berkembar Proton. Tapi tak mustahil juga dari segi harga, ada orang bujang yang tak perlukan ruang besar tetapi berkira-kira nak beli Aruz kerana rupanya yang rugged bukan?

    Yang kedua, segala informasi yang kami paparkan ini adalah diambil terus dari laman sesawang rasmi Perodua dan Proton, dan ianya adalah tepat ketika artikel ini ditulis. Jelas? Mari kita mula sekarang.

    Perodua Ativa – kos penyelenggaraan sehingga 100,000 km berbanding Myvi, Aruz dan Proton X50

    Untuk harga jualan, Perodua Ativa dijual pada harga antara RM61,500-RM72,000, manakala Proton X50 varian paling rendah Standard bermula RM79,200 (model paling tinggi Flagship dijual pada harga jauh lebih mahal, RM103,300). Bagi dua lagi model Perodua yang disenaraikan, Myvi dijual pada harga paling mahal RM52,697, manakala Aruz pula berharga antara RM68,526 hingga RM73,226.

    Boleh anda lihat pada jadual yang kami sediakan di atas, walaupun Ativa menggunakan enjin dan transmisi yang lebih canggih, kos selenggara untuk SUV ini sebenarnya tidak jauh beza berbanding Myvi dan Aruz. Dalam tempoh 100,000 km/lima-tahun, kos untuk servis berkala Perodua Ativa, Myvi dan Aruz adalah sekitar RM3.1k hingga RM3.2k.

    Walau bagaimanapun, Perodua turut mengesyorkan pengguna Myvi dan Aruz untuk memilih berberapa servis Pro Care, yang didakwa akan memberikan perlindungan pada kondisi optimum untuk kereta anda. Bagi Myvi, kos tambahan untuk opsyen Pro Care ini adalah berjumlah RM882 untuk tempoh lima-tahun, manakala Aruz pula memerlukan bayaran tambahan RM738 untuk opsyen dan tempoh yang sama.

    Dengan enjin kapasiti lebih kecil, Ativa bukan sahaja untung dari segi bayaran cukai jalan, malah ada sedikit kelebihan dari segi servis. Ini kerana enjin 1KR-VET 1.0 liter turbo berkenaan hanya memerlukan minyak enjin 3.5 liter untuk setiap penukaran, berbanding 4 liter pada enjin 2NR-VE 1.5 liter NA dalam perut Myvi dan Aruz.

    Perodua Ativa – kos penyelenggaraan sehingga 100,000 km berbanding Myvi, Aruz dan Proton X50

    Kos servis berkala Perodua Ativa, klik untuk besarkan

    Oleh kerana enjin Ativa ini hanya menampilkan tiga-silinder berbanding empat silinder pada Myvi dan Aruz, jumlah palam pencucuh (spark plug) pada enjin 1.0 liter berkenaan juga kurang satu unit berbanding enjin NA 1.5 liter Perodua tersebut.

    Namun ini bukan bermaksud kos penukaran palam pencucuh Ativa lebih murah dari Myvi dan Aruz – ia dijual pada harga lebih sekali ganda mahal kerana sistem multi-spark (pencucuhan berlaku dua kali setiap lejang) pada enjin turbo tersebut memerlukan palam pencucuh lebih bergred tinggi digunakan.

    Apa yang menarik, kos penjagaan kotak gear D-CVT pada Ativa adalah lebih murah daripada kotak gear automatik konvensional 4AT pada Myvi dan Aruz. Ini adalah kerana sela masa penukaran minyak CVT pada transmisi Ativa hanya perlu dilakukan setiap 100,000 km/60 bulan berbanding 40,000 km/24 bulan untuk Myvi dan Aruz.

    Penapis udara untuk enjin pada Ativa juga lebih murah, namun untuk penapis udara kabin perlu ditukar lebih kerap iaitu setiap 20,000 km/12 bulan, berbanding setiap 30,000 km/18 bulan pada Myvi dan Aruz.

    Kos servis berkala Perodua Myvi (kiri) dan Perodua Aruz (kanan), klik untuk besarkan

    Berbanding Ativa dan Myvi yang memacu roda hadapan, Aruz adalah model pacuan belakang yang memerlukan minyak pada gandar belakang ditukar secara berkala. Namun kos berkenaan tidaklah besar – ia perlu ditukar setiap 40,000 km/2 tahun, dengan kos minyak dan gasket berjumlah RM55.40 untuk setiap sesi.

    Dan seperti semua model Perodua dalam pasaran sekarang, bukaan injap pada kepala silinder enjin Ativa, Myvi dan Aruz digerakkan dengan sistem timing chain, dan pemilik tidak perlu gusar tentang penjagaannya kerana ia tidak perlu ditukar secara berkala seperti sistem timing belt.

    Manakala untuk X50, model lebih besar, lebih berkuasa dari Proton ini nampaknya hadir dengan kos selenggara yang juga jauh lebih mahal. Pertama sekali kerana enjin 1.5 liter tiga silinder pada X50 memerlukan minyak enjin 5 liter untuk setiap penukaran (semua model yang dibandingkan kali ini menggunakan minyak enjin sintetik penuh dengan kelikatan rendah 0W-20).

    Begitu juga dengan minyak transmisi klac berkembar (DCT) yang lebih mahal diperlukan dan perlu ditukar setiap 90,000 km/54 bulan. Selain itu, Proton X50 turut memerlukan penukaran penapis udara enjin yang lebih kerap, serta penggunaan penapis udara kabin dengan gred N95 yang lebih mahal.

    Perodua Ativa – kos penyelenggaraan sehingga 100,000 km berbanding Myvi, Aruz dan Proton X50

    Kos servis berkala Proton X50, klik untuk besarkan

    Perodua tidak menyenaraikan penapis pam bahan api dalam jadual selenggara semua modelnya, manakala Proton pula menetapkan bahawa komponen tersebut pada X50 perlu ditukar setiap 20,000 km/12 bulan – ini antara penyebab mengapa kos servis berkala Proton X50 dilihat lebih mahal. Walau bagaimanapun, Proton ada menawarkan upah percuma untuk tiga servis pertama X50, lebih dari apa yang Perodua tawarkan.

    Berbanding Ativa, Proton X50 masih lagi menggunakan sistem timing belt – komponen ini tidak termasuk dalam jadual 100,000 km pertama, namun ia perlu diperiksa pada 100,000 km, manakala penukarannya pula perlu dibuat pada 110,000 km atau 66 bulan.

    Berapa kos untuk penukaran timing belt berkenaan? Set komponen untuk timing belt ini adalah RM195.16, dan dalam servis yang sama anda turut perlu untuk menukar tali sawat yang memusingkan alternator sekali berharga RM112.89. Kos upah untuk kedua-dua kerja ini disekalikan dengan harga RM150. Jika anda buat penukaran ini sekali dengan servis pada 110,000 km tersebut, kos keseluruhan untuk pakej adalah RM825.27.

    Seperti biasa, kos untuk memiliki sesebuah kereta bukan hanya bergantung pada bayaran bulanan dan servis berkala sahaja, kos seperti cukai jalan dan insuran tahunan juga perlu diambil kira. Ativa dengan enjin paling kecil 1.0 liter hanya dikenakan cukai jalan sebanyak RM20 setahun, manakala Myvi dengan enjin 1.5 liter dikenakan cukai jalan sebanyak RM90. Proton X50 dan Perodua Aruz yang kedua-duanya SUV dengan enjin 1.5 liter perlu membayar cukai jalan berjumlah RM120 setahun.

    Bagi penggunaan bahan api, perkara ini mungkin subjektif kerana ia berbeza mengikut penggunaan dan gaya pemanduan setiap individu. Namun kalau dibandingkan mengikut apa yang didakwa setiap pengeluar, Ativa mampu mencapai kadar 18.9 km/l, Aruz 15.6 km/l, Myvi 20.1 km/l, manakala Proton X50 pula adalah antara 15.4-15.6 km/l – angka ini sukar untuk disamakan dengan situasi pemanduan sebenar, tapi bolehlah digunakan sebagai kayu ukur paling asas.

    Selain dari komponen-komponen servis yang perlu ditukar secara berkala dan perkara-perkara lain yang telah disebutkan di atas, anda turut perlu memikirkan hal lain seperti tayar dan brek – lebih besar saiz roda, sudah tentu harga untuk tayar dan juga pad brek akan menjadi lebih mahal.

    Untuk Ativa, bergantung pada varian, ia dibekalkan dengan rim berdiamter 16- hingga 17-inci. Myvi pula hanya menerima rim dengan saiz paling besar sehingga 15-inci, manakala untuk Aruz semua varian menerima rim berdiamter 17-inci. Untuk X50, model paling asas Standard pun telah dilengkapkan dengan rim-17, dan meningkat kepada 18-inci untuk dua varian paling tinggi.

    Kesimpulan yang boleh kita buat, walaupun Ativa menampilkan teknologi lebih canggih, kos servisnya adalah lebih kurang sama dengan model Perodua yang lain. Jadi jika anda ingin menaiktaraf dari Myvi ke Ativa, kos selenggara selain tayar dan brek, lain-lain adalah lebih kurang saja. Namun jika dibandingkan dengan Proton X50, kosnya adalah jauh lebih mahal, kerana hadir dengan teknologi mekanikal yang juga lebih canggih.

    Sekarang macam mana? Ada jelas sikit situasi perbandingan antara empat model ini?

     
     
  • Kia K8 – bahagian dalam didedah sebelum pelancaran

    Kia K8 – bahagian dalam didedah sebelum pelancaran

    Sedikit demi sedikit bahagian untuk Kia K8 didedah, sebelum ia dilancarkan secara rasmi, dan kali ini kita dapat melihat bahagian dalamnya. Kia menjanjikan “ruang rehat kelas pertama di dalam, yang menggabungkan kemewahan premium dengan gaya tidak keterlaluan dan keselesaan tanpa bandingan.”

    Bahan kayu banyak digunakan untuk kemasan, termasuklah pada panel pintu, konsol tengah serta papan pemuka. Bagi papan pemuka, kayu itu dijadikan mempunyai tekstur bersegi, seperti yang digunakan pada tempat duduk, pelindung pembesar suara serta bahagian lain yang dibalut kulit Nappa.

    Melengkapi penggunaan kemasan kayu serta kulit ini adalah besi, yang mana Kia memberitahu, mempunyai “elemen gaya inspirasi terus daripada kapal layar moden.” Ia juga memberitahu gabungan gaya baru dan lama ini “mencipta rasa muda dan ‘industrial chic‘.”

    Kia K8 – bahagian dalam didedah sebelum pelancaran

    Di atas papan pemuka terdapat panel paparan panoramik yang melengkung, terdiri daripada dua skrin 12 inci. Satu daripadanya adalah untuk panel instrumen sementara satu lagi adalah skrin sesentuh untuk sistem infotainmen. Bawah padanya terdapat panel sesentuh untuk dua fungsi iaitu melaras sistem pendingin hawa dan akses kepada pelbagai fungsi infotainmen.

    Untuk menukar modnya, anda boleh menggunakan butang yang terletak di bahagian tengah panel ini, dan fungsi dua dalam satu ini menjadikan rekaan papan pemuka lebih kemas. Panel ini juga mempunyai bahagian khas untuk butang pemula enjin dan lampu kecemasan.

    Untuk konsol tengah pula, bahagian hadapannya tidak bersambung terus ke atas dengan papan pemuka, membolehkan ia dijadikan sebagai tempat meletak barang. Bahagian ini juga menempatkan tombol gear shift-by-wire serta butang untuk fungsi lain seperti mod pemanduan, tetapan tempat duduk, pengesan jarak serta brek parkir elektronik.

    Kia K8 – bahagian dalam didedah sebelum pelancaran

    Ciri lain yang disebutkan adalah sistem lampu dalam inovatif, Star Cloud yang mampu memancarkan lampu suasana berkilau dan interaktif pada bahagian panel pintu serta papan pemuka. Kia K8 juga akan menjadi model Kia pertama yang mempunyai sistem audio 14 pembesar suara daripada Meridian serta rekaan roda stereng baru.

    Perincian lain untuk enjin dan sistem keselamatannya akan didedahkan kemudian, sebelum ia dilancarkan secara rasmi di Korea hujung tahun ini, dan diikuti pasaran lain selepas itu. K8 menggantikan K7/Cadenza yang sudah berada dalam pasaran agak lama.

     
     
  • Perodua Ativa – banding spesifikasi antara tiga varian

    Siapa saja yang tidak tahu, Perodua telah melancarkan sebuah SUV baru, dipanggil sebagai Ativa dua hari lepas dan ia seakan menetapkan standard baru bagi pengeluar kenderaan tempatan tersebut, daripada aspek teknologi dan juga keselamatan.

    Pilihan untuk pelanggan telah dijadikan lebih mudah. Hanya ada tiga varian dan kesemuanya menggunakan padanan enjin serta kotak gear yang sama. Walaupun begitu, anda masih perlu tahu apa yang akan diterima apabila membeli model yang berbeza harga ini, dan sebab itulah kami menyiarkan perbandingan spesifikasi.

    Kita lihat kepada harga terlebih dahulu. Ia bermula pada RM61,500 untuk varian asas X, diikuti RM66,100 untuk varian H dan RM71,200 untuk varian paling tinggi, AV. Ini adalah harga atas jalan tidak termasuk insurans dan SST, dan diberikan dengan jaminan lima tahun atau 150,000 km.

    Seperti kebiasaan bagi sebuah SUV yang harganya cuma lebih sedikit daripada RM60,000, varian X nampak ringkas dengan rim yang kecil, tiada lampu kabus, bahagian dalam serba hitam, roda stereng tanpa sebarang butang kawalan, tempat duduk fabrik dan head unit yang biasa. Walaupun begitu, anda masih akan dapat benda yang lebih penting seperti lampu depan dan belakang LED, sistem masuk tanpa kunci, sambungan Bluetooth serta panel kawalan pendingin hawa digital dengan butang memori.

    Malah lebih bagus lagi, Perodua tidak mengabaikan aspek keselamatan. Varian asas juga diberikan dengan enam beg udara, kawalan stabiliti serta sistem Advanced Safety Assist (ASA) versi paling baru. Ia termasuk dengan brek kecemasan autonomous (kini dengan pengesan penunggang basikal dan boleh beroperasi sehingga kelajuan 120 km/j), Lane Keep Assist, Lane Departure Warning serta Automatic High Beam.

    Varian H mendapat lebih lagi teknologi. Selain rim 17 inci, ia juga didatangkan dengan lampu utama LED matriks, yang dapat mematikan sebahagian daripada lampu tingginya bagi mengelakkan silau kepada pengguna jalan yang lain. Pada bahagian dalam, perbezaan paling besar adalah sistem infotainmen yang menggunakan skrin sesentuh sembilan inci serta panel instrumen digital tujuh inci, yang didatangkan dengan beberapa tema serta peringatan hari lahir dan ulang tahun.

    Tetapi, jika anda betul-batul mahukan teknologi canggih, anda perlu mendapatkan varian AV. Ia didatangkan dengan kemampuan pemanduan semi-autonomous Level 2, dengan ciri tambahan Adaptive Cruise Control serta Lane Centring Assist. Anda juga akan mendapat pemerhati titik buta serta amaran trafik dari belakang dalam pakej ini. Secara visualnya, varian AV boleh dikenali dengan balutan tempat duduk gabungan kulit serta suede tiruan, dan banyak kemasan warna merah.

    Tidak kiralah varian mana yang anda pilih, enjinnya masih lagi sama – unit tiga silinder 1.0 liter turbo 1KR-VET yang mampu menghasilkan kuasa 98 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork pada antara 2,400 hingga 4,000 rpm. Semua kuasa ini dihantar kepada roda depan melalui transmisi D-CVT yang mempunyai gear tujuh gear virtual (pertama kali digunakan oleh Perodua).

      Perodua Ativa 1.0T X 2021

      Kelengkapan standard:

      Mekanikal

    • Enjin 1.0 liter 1KR-VET VVT-i DOHC
    • 996 cc turbocas tiga-silinder petrol
    • 98 PS pada 6,000 rpm, 140 Nm tork dari 2,400 hingga 4,000 rpm
    • D-CVT dengan tujuh nisbah maya
    • Pacuan roda depan
    • Enjin Start/Stop automatik
    • Penggunaan minyak 18.9 km per liter
    • Cakera brek berliang (depan), dram (belakang)
    • Suspensi MacPherson strut (depan), torsion beam (belakang)
    • Luaran

    • Lampu utama reflektor dengan lampu tinggi automatik
    • Palang perak atas gril, palang bawah krom
    • Rim 16-inci perak dengan tayar Goodyear Assurance Triplemax 2 205/65
    • Cermin sisi hitam larasan elektrik dengan lipatan manual
    • Pemegang pintu warna badan
    • Tiang-A dan B hitam
    • Lampu belakang LED
    • Antena sirip jerung
    • Kemasan pintu kargo perak
    • Pilihan warna Glittering Silver, Granite Grey dan Cobalt Blue
    • Dalaman

    • Sistem tanpa kunci
    • Butang Push Start
    • Stereng Urethane dengan butang Power
    • Corong pendingin hawa tengah kemasan perak
    • Pemegang pintu hitam
    • Kawalan pendingin hawa digital dengan butang memori
    • Butang kunci sentral di tengah
    • Kerusi balutan fabrik
    • Kluster instrumen analog dengan paparan multi-info
    • Radio dengan sambungan Bluetooth
    • Empat pembesar suara
    • Dua slot USB
    • Penyandar belakang lipatan 60:40 dan boleh direbahkan
    • Lantai but dua tahap (303 liter hingga 369 liter)
    • Tayar ganti saiz penuh
    • Keselamatan

    • Enam beg udara
    • ABS dengan EBD dan Brake Assist
    • Kawalan kestabilan
    • Brek kecemasan autonomous dengan pengesanan pejalan kaki dan pengayuh (kini hingga 120 km/j)
    • Lane Departure Warning and Protection
    • Pedal Misoperation Control (PMC)
    • Front Departure Alert (FDA)
    • Pengingat tali keledar depan dan belakang
    • Isofix di belakang
    • Sensor parkir
    • Perodua Ativa 1.0T H 2021


      Tambahan:

      Luaran

    • Lampu utama LED dengan signal sequential, lampu selekoh dan Adaptive Driving Beam (ADB)
    • Lampu kabus depan LED
    • Gril dengan dua palang krom
    • Skid plate perak di depan dan belakang
    • Rim aloi 17-inci dua tona dengan tayar Bridgestone Turanza T005A 205/60
    • Cermin sisi lipatan automatik elektrik
    • Kemasan pintu kargo krom
    • Pilihan warna Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red
    • Dalaman

    • Stereng balutan kulit
    • Kawalan audio pada stereng
    • Kemasan sudut corong pendingin sudut
    • Kemasan perak konsol tengah
    • Pemegang pintu warna perak
    • Perehat lengan tengah
    • Paparan kluster instrumen tujuh-inci
    • Skrin sentuh infotainmen sembilan-inci dengan SmartLink
    • Satu port HDMI
    • Dua slot USB
    • Keselamatan

    • Sensor parkir depan
    • Kamera undur
    • Perodua Ativa 1.0T AV 2021

      Tambahan:

      Luaran

    • Pemegang pintu krom
    • Bumbung hitam untuk Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red
    • Dalaman

    • Corong pendingin sudut kemasan merah
    • Pemegang pintu krom
    • Tuil gear krom
    • Butang brek tangan krom
    • Ruang storan konsol tengah
    • Kerusi balutan kulit buatan dengan suede
    • Enam pembesar suara
    • Perakam video digital
    • Filem keselamatan Llumar
    • Keselamatan

    • Kawalan melayar adaptif
    • Bantuan mengikut lorong
    • Peninjau titik buta
    • Amaran lintasan trafik di belakang

    Perodua Ativa 1.0L Turbo AV 2021

    Perodua Ativa 1.0L Turbo H 2021

    Perodua Ativa 1.0L Turbo X 2021

    Perodua Ativa 2021 dengan kit Gear Up

     
     
  • PKP 2.0: Rentas negeri mungkin dibenarkan selepas 18 Mac ini jika angka jangkitan Covid-19 menurun

    PKP 2.0: Rentas negeri mungkin dibenarkan selepas 18 Mac ini jika angka jangkitan Covid-19 menurun

    Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang (sebelum ini di bawah PKP), menyertai Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak. Kecuali Sabah, pergerakan rentas daerah di negeri itu juga kini dibenarkan.

    Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, larangan pergerakan rentas negeri mungkin akan ditarik balik paling awal 18 Mac ini, sekiranya angka jangkitan Covid-19 negara menurun ke paras yang boleh dikendalikan dengan berkesan. Namun, ia bukan pembukaan semula sempadan negeri secara menyeluruh seperti sebelum ini. Mungkin, pergerakan akan dinilai berdasarkan tahap keselamatan zon jangkitan (pergerkan zon hijau ke zon hijau akan dibenarkan, misalnya).

    “Kita telah belajar dari PKP, PKPB, PKPD sebelum ini. Sekarang kita tahu, pergerakan rentas negeri adalah cara yang berkesan untuk mengurangkan angka jangkitan,” katanya kepada Malay Mail dalam satu wawancara. “Jadi kita ambil keputusan tidak akan ada pergerakan rentas negeri sehingga 18 Mac ini,” tambahnya.

    Angka jangkitan di Malaysia semakin menunjukkan corak menurun minggu lalu, berada di bawah 1,000 kes; semalam bagaimanapun angka kembali naik kepada 2,063 kes. Bulan lalu, Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, SOP dan pergerakan rentas negeri ketika pandemik ini tidak akan dilonggarkan sehingga kita mencapai “imuniti kelompok”.

    PKP 2.0: Rentas negeri mungkin dibenarkan selepas 18 Mac ini jika angka jangkitan Covid-19 menurun

    Beliau juga menambah, kerajaan memerlukan lebih banyak data dan menggunakan pelan vaksinansi empat peringkat, yang mungkin memakan masa sehingga sembilan bulan, sebelum negara dapat memvaksin sekitar 70 hingga 80 peratus warganya. Beliau berkata, untuk membuka semula sempadan, negara lain juga perlu mencapai tahap vaksinasi yang berjaya juga.

    Diminta mengulas kenyataan Dr. Noor Hisham, Dr. Adham berkata: “Apa yang beliau maksudkan adalah untuk mencapai imuniti kelompok tetapi itu adalah langkah terakhir. Kita akan lakukan lebih cepat kerana ingin mengimbangkan keperluan hidup”.

    Menteri berkenaan menyatakan kerajaan lebih berhati-hati kali ini dan akan mempertimbangkan pergerakan domestik bagi zon-zon hijau terlebih dahulu. “Kami akan ambil langkah untuk membenarkan pergerakan rentas negeri berdasarkan pertimbangan tertentu. Kami akan mewujudkan “gelembung atau laluan kawasan hijau,” ujarnya.

    Pelaksanaan SOP ketat juga wajar diteruskan, dan pengguna perlu mengambil tahu dan peduli tentang status kawasan yang ingin mereka kunjungi itu. “Semua maklumat ini boleh diakses dari aplikasi MySejahtera,” tambah beliau.

     
     
  • VIDEO: Perodua Ativa 2021 — tinjauan terperinci

    Jika anda sudah ikuti laporan pelancaran yang kami bawakan untuk pengenalan rasmi Perodua Ativa 2021, maka itu merupakan liputan yang agak menyeluruh tentang perkara-perkara yang kami rasakan penting dan perlu anda tahu. Tetapi, kalau tak larat nak baca tulisan yang panjang-panjang, ini kami bawakan pula dalam bentuk video untuk memudahkan rujukan anda.

    Sekadar makluman semula secara ringkas, Ativa menampilkan banyak ciri yang pertama kali diperkenalkan pada model Perodua setakat ini. Ia yang pertama menggunakan platform DNGA, enjin turbo yang pertama dan transmisi CVT yang pertama menggantikan kotak gear 4AT.

    DNGA sebuah platform terkini Daihatsu, lebih kukuh, selamat dan senyap. Ia juga sebuah platfrom modular yang direka dengan kesediaan untuk dilanjutkan penggunaannya dengan teknologi elektrifikasi. Dengan kilang Perodua kini bersedia untuk menguruskan platform DNGA ini, kita boleh jangkakan lebih banyak model baru berkualiti tinggi akan dihasilkan kelak. Ativa menjadi teraju pemula.

    VIDEO: Perodua Ativa 2021 — tinjauan terperinci

    Kalau platform baru, tak bolehlah gunakan enjin lama. Oleh itu, enjin yang ada juga adalah baru; unit 1KR-VET 1.0 liter turbo, DOHC VVT tiga-silinder — keluarga enjin yang sama dengan yang digunakan Axia/Bezza, tetapi dengan tambahan pengecas turbo, yang memberikan banyak perbezaan antara keduanya.

    Enjin ini menghasilkan 98 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork dari 2,400 rpm hingga 4,000 rpm. Ini menyaksikan kelebihan 30 PS dan 50 Nm daripada unit enjin sama tanpa turbo. Namun, tork maksimumnya dicapai lebih awal, bahkan lebih awal daripada enjin 1.5L Myvi (136 Nm pada 4,200 rpm). Perodua maklumkan yang enjin 1.0L turbo ini mampu memberikan prestasi yang sama seperti unit 1.5L.

    Butang Power pada stereng pula memberikan lonjakan respon dari enjin dan CVT-nya, memudahkan lagi pemandu meraih kuasa ketika memotong. Kadar purata penggunaan minyak adalah 18.9 km/l dalam mod ECE. Daihatsu mendakwa 18.6 km/l bagi Rocky dalam kitaran WLTP yang lebih ketat. Ciri Idle Stop yang Perodua perkenalkan sejak pengenalan Bezza datang standard. Untuk tahu lebih lanjut tentang enjin 1KR-VET, rujuk di sini.

    VIDEO: Perodua Ativa 2021 — tinjauan terperinci

    Selain enjin, gandingan transmisi CVT-nya juga penting. Digelar D-CVT atau Dual Mode CVT, penggunaan kali pertama CVT oleh Perodua ini juga merupakan sistem CVT “split gear” pertama di dunia. Ringkasnya, D-CVT menggabungkan pacuan tali sawat dengan pacuan gear untuk memperbaiki kecekapan, pecutan dan kesenyapannya.

    Dari kelajuan rendah/sederhada, D-CVT berfungsi seperti CVT lain, dengan tork dari enjin melalui pengubah tork dan ke dalam input pulley, sebelum dipindahkan kepada output pulley melalui tali sawat dan kemudian ke roda. Bagaimanapun, dalam kelajuan tinggi, D-CVT berubah ke dalam split mode, memanfaatkan pacuan gear untuk memberikan kuasa yang lebih cekap (kurang kehilangan kuasa), dengan putaran pacuan tali sawat diturunkan dengan ketara. Turut ada mod manual dengan tujuh nisbah maya — tolak tombol gear ke kiri untuk menukarnya.

    D-CVT ini juga berbeza daripada Direct Shift-CVT oleh Toyota, yang digunakan pada model seperti RAV4 dan Lexus UX. Tidak sama dengan CVT biasa yang ada pada Vios, Direct Shift-CVT ini melibatkan tambahan “launch gear” yang bertindak sebagai gear pertama bagi transmisi AT biasa. Kalau anda berminat untuk tahu lebih lanjut tentang D-CVT, sila rujuk di sini.

    Perodua Ativa 1.0L Turbo AV 2021

     
     
  • Pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak siap 60%, Sabah pula sudah capai kemajuan 45%

    Pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak siap 60%, Sabah pula sudah capai kemajuan 45%

    Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof telah memaklumkan mengenai perkembangan terkini projek mega Lebuhraya Pan Borneo yang disahkan telah mencapai kemajuan sebanyak 60% di Sarawak dan 45% di Sabah.

    Jelasnya, projek Pan Borneo Sarawak, keseluruhan 11 pakej kerja dari Telok Melano ke Miri masih giat dilaksanakan, melibatkan kos pembinaan sebanyak RM16.117 bilion, laporan Bernama.

    “Susulan penamatan Rakan Pelaksana Projek (PDP) pada 20 Februari 2020, pelaksanaan projek diteruskan menggunakan kaedah konvensional dengan pihak JKR Sarawak sebagai Superitending Officer (pegawai penguasa).

    “Bagi projek di Sabah, sebanyak 11 daripada keseluruhan 35 pakej kerja sedang giat dilaksanakan dengan status 45% siap, manakala lima pakej kerja sedang di peringkat perancangan dan perolehan dan dijangka mula pembinaan pada tahun ini,” katanya lagi ketika membentangkan pencapaian kementeriannya bagi 2020 semalam.

    Pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak siap 60%, Sabah pula sudah capai kemajuan 45%

    Beliau turut berkata, kementeriannya akan mempercepatkan penyiapan projek Lebuhraya Pan Borneo dengan cadangan melantik Perunding Pengurusan Projek bagi membantu Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak melaksanakan projek berkenaan. Bagaimanapun, beliau berkata, pelantikan ini masih lagi dalam peringkat rundingan dan perlu menunggu keputusan muktamad Kementerian Kewangan.

    “Oleh kerana JKR Sabah dan Sarawak mempunyai banyak projek besar sekarang ini, khususnya di Sarawak. Saya tidak fikir JKR Sarawak dapat menguruskan projek-projek tersebut sendirian.

    “Syarikat pengurusan projek akan mengambil kembali mereka yang diberhentikan oleh PDP sebelum ini, dengan memberi keutamaan kepada mereka dari segi pekerjaan bagi pengalaman dan pengetahuan mereka dalam projek yang mereka laksanakan sebelum ini,” katanya.

     
     
  • Honda City – hampir 13,000 unit telah dihantar kepada pelanggan hanya selepas sekitar 4 bulan dilancarkan

    Honda City – hampir 13,000 unit telah dihantar kepada pelanggan hanya selepas sekitar 4 bulan dilancarkan

    November tahun lalu, Honda Malaysia mengumumkan bahawa jumlah Honda City generasi kelima yang telah dihantar kepada pembeli sudah mencecah 5,100 unit, hanya sebulan setengah selepas ia dilancarkan secara rasmi. Dan selepas tiga bulan berada dalam pasaran, sekitar 7,900 unit City berkenaan telah pun selamat diterima pelanggan.

    Menurut Honda Malaysia, sehingga akhir Februari lalu mereka sudahpun menyerahkan hampir 13,000 unit Honda City tersebut kepada pelanggan yang menempahnya. Sebagai perbandingan, Proton X50 yang dilancarkan sedikit lewat (tetapi masih dalam bulan yang sama) hanya berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pelanggan dengan jumlah 8,141 unit sehingga akhir bulan lalu.

    Honda City dalam versi petrol sepenuhnya ini dijual dalam tiga varian iaitu V,E dan S. Honda Malaysia masih belum memperincikan pecahan jualan setiap varian dalam data terbaharu ini, namun sebelum ini dilaporkan bahawa 54% pelanggan menempah City mereka dalam varian tertinggi V.

    Honda City – hampir 13,000 unit telah dihantar kepada pelanggan hanya selepas sekitar 4 bulan dilancarkan

    Honda Malaysia masih belum membuka mulut bila varian petrol hybrid City RS e:HEV akan mula dijual dalam pasaran tempatan. Model berkenaan telah diperkenalkan sekali ketika pelancaran model petrol tahun lalu, namun jualannya terpaksa ditunda sepatutnya pada Januari tahun ini kerana masalah produksi yang berlaku akibat pandemik Covid-19.

    Kami difahamkan ia masih ditunda sehingga tarikh yang masih belum diketahui kerana berhadapan masalah seperti harga, namun ia mungkin dapat diselesaikan dalam sedikit masa lagi.

    Honda City S, E dan V dibekalkan dengan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC berkuasa 121 PS dan tork maksima 145 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik. Model paling asas City S dijual pada harga RM74,191, model pertengahan City dijual pada harga RM81,664, manakala model tertinggi City V pula dijual pada harga RM86,561. Semua harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran termasuk pengecualian cukai jualan yang kekal sehingga akhir Jun 2021.

     
     
  • Volvo XC60 2021 terima peningkatan gaya, kit baharu

    Volvo XC60 2021 terima peningkatan gaya, kit baharu

    XC60 Inscription

    Volvo XC60 telah pun diberikan peningkatan, dengan membawakan sedikit perubahan gaya dan penambahan kit baharu. Berdasarkan maklumat yang diperoleh dari laman web jenama Sweden ini, SUV yang dipertingkatkan akan didatangkan dengan tiga penjana kuasa plug-in hybrid, kesemuanya dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dan motor elektrik yang dipasang di belakang untuk pacuan semua-roda.

    Pilihan asas merupakan Recharge T6 AWD, di mana enjin pembakaran dalaman ini mampu memberikan hingga 253 PS (250 hp) dan tork 350 Nm. Dengan e-motor yang menyalurkan kuasa tambahan sebanyak 87 PS (86 hp) dan 240 Nm, keseluruhan sistem output boleh mencecah 340 PS (336 hp) dan 590 Nm, di mana ia bagus untuk pecutan dari sifar ke 100 km/j dalam 5.9 saat.

    Varian pertengahan ialah Recharge T8 AWD, yang juga menggunakan e-motor yang sama, tetapi enjinnya boleh menghasilkan 330 PS (299 hp) dan 400 Nm, jadi kuasa keseluruhan mencecah 390 PS (385 hp) dan 640 Nm. Pecutan dari 0-100km/j mampu dicapai dalam 5.5 saat.

    Manakala model tertinggi pula, Recharge T8 AWD Polestar Engineered mampu menghamburkan sehingga 405 PS (400 hp) dan 670 Nm, dengan penjana kuasa petrol memberikan sehingga 318 PS (313 hp) dan 430 Nm. Pecutan dari 0-100 km/j boleh dicapai dalam 5.4 saat.

    XC60 Inscription

    Bergantung pada pemilihan penjana kuasa, pemilik boleh mendapat sekitar 45 hingga 53 km untuk pacuan elektrik sahaja, dengan penjimatan bahan api lebih kurang dari 2.4 l/100 km untuk T6 dan T8, dan 3.3 l/100 km untuk pilihan enjin yang lebih berkuasa. Tidak diketahui adakah varian PHEV ini untuk semua pasaran, memandangkan Volvo sedang dalam langkah untuk menamatkan pengeluaran model kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman bagi digantikan dengan EV menjelang 2030.

    Bateri lithium-ion 11.6-kWh yang menjanakan e-motor, dan dengan pacuan elektrik sepenuhnya, kelajuan maksimum mampu mencecah 125 km/j. Untuk pengecasan, terdapat pengecas onboard AC berkapasiti 3.7 kW, di mana pengecasan penuh dengan sambungan Type 2 mengambil masa sekitar tiga jam.

    Spesifikasi ini tidak berubah dari apa yang ditawarkan sebelum ini, namun XC60 ini didatangkan dengan rekaan baharu. Bermula dengan Inscription, ia diberikan bampar hadapan baharu dengan seksyen “lampu kabus” yang lebih besar disambungkan dengan kepingan kemasan perak yang melunjur hingga ke tengah.


    XC60 R-Design (kiri), Polestar Engineered (kanan)

    Apron bawah pula disambung dengan kemasan krom yang menggantikan skid plate. Untuk bahagian belakang pula agak ringkas, dengan skid plate dan kemasan ekzos disingkirkan.

    Manakala bagi R-DEsign pula, ia diberikan rekaan yang lebih agresif termasuk profil “X-wing” untuk bahagian bampar dengan lapisan yang sama dengan warna badan. Ia juga diberikan corong pengambilan bawah yang lebih besar dan saluran yang lebih menonjol, serta gril persegi yang lebih menyerlah.

    Bampar hadapan juga diberikan sentuhan yang lebih segar, begitu juga dengan bampar belakang tetapi kemasan ekzos juga disingkirkan. Walau bagaimana pun bampar belakang masih kekal bergaya jika dibandingkan dengan Inscription.

    Volvo XC60 2021 terima peningkatan gaya, kit baharu

    Untuk Polestar Engineered pula lebih menyerlah dan bergaya bagi barisan XC60, ia turut diberikan penjana kuasa PHEV yang paling berkuasa dengan sentuhan yang lebih unik termasuk damper boleh laras Öhlins dan brek Akebono. Penggayaan luaran lebih sama dengan R-Design, tetapi ditambah dengan roda aloi forged dan lencana khas, serta serlahan keemasan untuk kabin.

    Di dalamnya, XC60 tidak banyak perubahannya, ditampilkan dengan kemasan dan upholstery, bergantung pada pemilihan pakej penggayaan. Semakan yang dilakukan ialah upholstery campuran wool yang menurut Volvo, “ia adalah bebas-kuliy, dan lebih kepada penggunaan material semulajadi.”

    Selain itu, perubahan lain termasuklah sistem infotainmen dengan sambungan Android Automotive OS – tapi jangan keliru dengan Android Auto – ia memberikan pengguna akses secara terus untuk beberapa servis Google seperti Google Maps, Google Assistant dan Google Play Store. Sistem ini pertama kali ditampilkan pada XC40 elektrik sepenuhnya dan juga boleh menyokong kemas kini over-the-air.