Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • TUNGGANG UJI: Honda Vario 150 – mampukah ia jadi lawan kepada Yamaha NVX atau ada di kelas sendiri?

    TUNGGANG UJI: Honda Vario 150 – mampukah ia jadi lawan kepada Yamaha NVX atau ada di kelas sendiri?

    Akhirnya dapat juga kami mencuba Honda Vario 150 ini. Bukannya apa, ia sudah dilancarkan sejak bulan Ogos lagi tapi cuma kini, barulah Boon Siew Honda dapat menyediakan unit tunggang uji untuk kami pinjam. Kami pasti, orang ramai juga ingin tahu maklum balas berkenaan skuter yang dikatakan boleh menjadi pencabar kepada Yamaha NVX ini.

    Biar kami katakan terus di awal artikel ini. Pada pendapat kami, Vario ini bukanlah pesaing terus bagi NVX mahupun NMax. Tetapi, ia mempunyai karekter yang tersendiri, dan jika anda tertarik dengan ciri-ciri itu, barulah boleh membuat keputusan membelinya.

    Pertama sekali, mari kita tengok kepada dimensi terlebih dahulu. Sekali pandang pun sebenarnya anda boleh nampak bahawa Vario ini lebih kecil daripada NVX ataupun NMax. Ini bukan sekadar mainan ilusi tapi memang terbukti pada catatan dimensi sebenarnya.

    Untuk panjang keseluruhan motosikal, Vario kurang 71 mm, lebar kurang 21 mm, tinggi kurang 63 mm dan jarak roda kurang 70 mm berbanding NVX. Jika mencari perbandingan bentuk yang lebih bersesuaian daripada barisan model yang ditawarkan oleh Yamaha, Vario ini lebih hampir kepada Avantiz kerana bezanya cuma 20 mm (Avantiz 1260 mm).

    Dengan saiz seperti ini, Vario menjadikan pengendalian di dalam trafik yang sesak lebih mudah. Anda tidak akan terbeban untuk menggunakan ruang di antara kereta ataupun membuat pusingan yang tajam. Tapi bagi penulis kami ini, ada beberapa perkara yang sedikit mengganggu.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Brabus Mercedes-Benz A 250 PowerXtra B25 S – 270 hp/430, lengkap dengan kit badan lebih aerodinamik

    Brabus Mercedes-Benz A 250 PowerXtra B25 S – 270 hp/430, lengkap dengan kit badan lebih aerodinamik

    Baru sahaja kami melaporkan berkenaan kit prestasi untuk Mercedes-Benz A 250 W177 dari Lorinser, kini satu lagi penala dari Jerman iaitu Brabus turut memperkenalkan kit ubahsuai untuk model yang sama.

    Kit dari Brabus ini dikenali sebagai PowerXtra B25 S – seperti namanya, ia lebih tertumpu dari segi penghasilan kuasa berbanding kit yang ditawarkan oleh Lorinser. Dalam kit berkenaan, ia disertakan dengan kotak angin dengan salur kemasukan udara yang lebih besar, bersama sistem ekzos stainless steel menampilkan injap kawalan aktif yang memberikan pelbagai bunyi tahap bunyi berdasarkan kelajuan enjin.

    Bukan itu sahaja, kotak komputer enjin untuk enjin 2.0 liter turbo tersebut diberikan mapping baharu bersama kawalan boost turbo yang ditala semula. Kesemua ubahsuai ini membolehkan kuasa asal 224 hp/350 Nm ditingkatkan kepada 270 hp/430 Nm, manakala rekod pecutan dari 0-100 kini mampu dicapai hanya 5.9 saat, berbanding 6.2 saat pada model standard.

    Brabus Mercedes-Benz A 250 PowerXtra B25 S – 270 hp/430, lengkap dengan kit badan lebih aerodinamik

    Menurut Brabus, mereka bukan hanya akan memasarkan kit untuk A 250 2.0 liter turbo ini sahaja, malah kini sedang membangunkan kit serupa untuk versi turbodiesel dan juga untuk enjin turbo petrol 1.33 liter pada model A 200.

    Untuk pennampilan, kit badan yang dihasilkan Brabus ini hanya sesuai untuk dipadankan pada model-model yang menerima pakej AMG-Line dari Mercedes-Benz. Kit ini menampilkan logo Brabus menggantikan logo asal pada gril, spoiler hadapan ‘two-piece’ untuk bampar, kemasan pada liang udara sisi, diffuser pada bampar belakang, dan juga spoiler bumbung lebih besar.

    Menurut Brabus, kesemua komponen ini dibina dari material PUR berkualiti dengan tahap sama seperti komponen OEM, dan rekaannya bukan hanya untuk sedap mata memandang, bahkan turut berfungsi untuk memberikan aerodinamik lebih baik. Spoiler hadapan berkenaan akan mengurangkan gandar hadapan dari terangkat keatas pada kelajuan tinggi, sayap pada bahagian sisi membantu aliran udara yang optimal ke liang udara sisi, begitu juga rekabentuk yang diberikan pada sayap belakang, dakwa Brabus.

    Manakala pada bahagian belakang, Brabus menyatakan bahawa tip ekzos boleh dipilih sama ada untuk menyorok di belakang perumah pada bampar, atau diserlahkan keluar bagi menampakkan empat corong yang menyerlahkan kemasan logam tahan karat dan gentian karbon.

    Perubahan luaran dilengkapkan dengan pemadanan rim aloi Brabus Monoblock dengan pilihan saiz 17-, 18-, 19- dan 20-inci. Manakala untuk saiz paling besar, ia ditawarkan dengan lebar 8.5J dan tiga pilihan rekaan iaitu Monoblock F, R atau T,bersama pilihan tayar 235/30R20 dari Continental, Pirelli atau Yokohama.

    Untuk kabin pula, Brabus menyediakan tingkat taraf upholsteri dengan pilihan material dari kulit dan Alcantara serta kemasan lain seperti scuff plate logam tahan karat bersama logo Brbaus, pedal alumimiun dan juga karpet kaki velour dengan logo Brabus. Menurut syarikat berkenaan lagi, kulit Mastik yang digunakan adalah “sangat lembut dan sangat tahan lasak”.

     
     
  • Tiada lagi MAI, akan jadi MARii dengan skop lebih luas

    Tiada lagi MAI, akan jadi MARii dengan skop lebih luas

    Selepas ini, Institut Automotif Malaysia (MAI) akan dijenamakan semula dan dikenali sebagai Institut Automoitf, Robotik dan IoT Malaysia (MARii). Diumumkan ketika majlis anugerah MAI Car of the Year 2018 pada Isnin lalu, agensi berkenaan juga akan memperluas skop tugasan dan akan bertindak selaku pusat koordinasi dan pemikir, bertujuan untuk mempertingkat daya saing di dalam industri automotif tempatan.

    Perluasan skop itu akan meliputi aspek seperti pengangkutan keseluruhan, termasuk ssitem pintar pengangkutan dan perkhidmatan lain yang berkaitan melalui penggunaan robotik dan internet of things (IoT) ke dalam protfolio institut berkenaan.

    “Kemajuan teknologi automotif akan mewujudkan pertembungan dengan keseluruhan mobiliti ke arah automasi perhubungan ditahap yang lebih tinggi. Ini dijangka akan menggalakkan aplikasi silang-fungsi di dalam bidang pengilangan dan IT yang lebih maju, dengan penggunaan robotik dan IoT akan menjadi keperluan yang penting untuk mencapai taraf Industri 4.0. Di atas sebab-sebab inilah MARii akan ditugaskan untuk menggalas tanggungjawab untuk memperkukuh pembangunan industri automotif negara,” ujar CEO MAI, Datuk Madani Sahari.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Indsutri, Datuk Darell Leiking pula berkata perluasan skop itu selari dengan corak pembangunan ketika ini, dan juga keperluan untuk mencari sumber baru bagi nilai dan pembangunan melalui pertembungan antara teknologi-teknologi baru yang ada.

    Tiada lagi MAI, akan jadi MARii dengan skop lebih luas

    “Dunia pengilangan sedang mengalami perubahan besar, dipacu oleh Industri 4.0 yang termasuk di dalamnya seperti cetakan 3D, IoT, perkomputeran cloud, augmented reality dan persepaduan sistem,” ujar beliau.

    “Diperingkat global, sektor automotif menjadi penggerak utama pelaksanaan pendekatan robotik dan IoT. Aplikasi seperti sistem bantuan pemandu termaju, sistem pengurusan pemanduan, teknologi kamera dan lain-lain kini melengkapi kenderaan moden akan menyumbang kepada perluasan terhadap perniagaan serta peluang baru melalui mobiliti terhubung,” tambah beliau.

    Leiking turut menjelaskan, perkara ini juga akan turut terkandung di dalam penilaian semula Dasar Automotif Nasional, yang akan diumumkan tahun depan. “Dasar yang akan disemak semula ini akan meliputi keseluruhan ekosistem automotif dan akan berteraskan teknologi masa depan, seperi kenderaan generasi akan datang (NXGV), mobiliti sebagai perkhidmatan (MaaS) dan revolusi industri 4.0 termasuk kepintaran buatan (AI),” jelas beliau.

     
     
  • Mercedes-Benz A-Class W177 Lorinser Green Series – 258 hp/420 Nm, lebih garang, hanya 25-unit dihasilkan

    Mercedes-Benz A-Class W177 Lorinser Green Series – 258 hp/420 Nm, lebih garang, hanya 25-unit dihasilkan

    Pepatah melayu ada mengatakan “tiada rotan, akar pun berguna”. Sudah menjadi trend sejak A-Class generasi W176, hatchback ini menerima reaksi positif untuk pelanggan yang lebih muda yang bukan sahaja gemarkan bentuk sporty, malah sukakan prestasinya. Namun tak ramai yang mampu untuk membeli model Mercedes-AMG A45, dan alternatifnya adalah mengubahsuai model A 250 bagi mendapatkan lebih kuasa dan keseronokan memandu.

    Untuk generasi baharu W177 ini, model Mercedes-AMG A45 hanya akan muncul pada tahun hadapan tetapi jenama tersebut telah melancarkan versi AMG sebenar yang lebih mampu milik iaitu A35. Tapi jika model tersebut juga tidak kena dengan bajet anda, jangan risau kerana masih lagi ada penala yang menghasilkan peralatan prestasi untuk A 250 W177.

    Mercedes-Benz A 250 generasi baharu yang anda lihat ini adalah versi talaan oleh penala dari Jerman iaitu Lorinser. Ia digelar sebagai A 250 Green Series dan hanya dihasilkan sebanyak 25 unit. Pada bahagian luaran, model ini diberikan logo Lorinser menggantikan logo bintang Mercedes pada gril, lips spoiler hadapan dan juga kemasan seakan diffuser di belakang, yang turut menempatkan empat tip ekzos dari sistem ekzos sport Lorinser.

    Mercedes-Benz A-Class W177 Lorinser Green Series – 258 hp/420 Nm, lebih garang, hanya 25-unit dihasilkan

    Walaupun ia digelar Green Series, A 250 Lorinser ini diberikan warna badan putih dengan pelekat badan sisi serta serlahan kemasan-kemasan berwarna hitam. Penampilan luaran kereta ini dilengkapkan dengan rim 19-inci RS8 dengan elemen rekaan seperti turbin, dibaluti tayar dari Continental.

    Selain dari ekzos, enjin M260 empat silinder 2.0 liter turbo berkenaan masih dibiar standard. Namun Lorinser telah menala semula kotak komputer enjin tersebut membolehkan kuasa 258 hp dan tork maksima 420 Nm diekstrak, berbanding hanya 224 hp/350 Nm pada keadaan asal. Lorinser tidak menyatakan angka prestasi kereta ini, tetapi ia pasti lebih pantas dari A 250 standard yang mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat.

    Syarikat penala itu juga tidak menyatakan harga sebuah A 250 Green Series ini, namun telah mengumumkan harga komponen-komponen ubahsuai berkenaan. Spoiler bampar hadapan dijual pada harga €690 (RM3,250), kemasan liang udara €540 (RM2,540), diffuser belakang €680 (RM3,200) manakala sistem ekzos pula adalah €1,090 (RM5,140).

     
     
  • Ford Fiesta R2 2019 untuk Junior WRC didedahkan

    Ford Fiesta R2 2019 untuk Junior WRC didedahkan

    Ini sebuah Ford Fiesta R2, sebuah jentera rali yang direka oleh M-Sport Poland dan memenuhi peraturan FIA R2. Menggunakan asas Fiesta ST-Line yang sah untuk kegunaan jalan raya, pasukan itu berkerjasama dengan Ford Motor Company yang mendanai dan menyokong program jentera rali berkenaan.

    Bakal bersaing di dalam kejuaraan Junior WRC Championship 2019, Fiesta R2 ini menampilkan penggunaan suspensi dinaik taraf dengan penyerap hentak Reiger larasan tiga hala untuk bahagian depan, manakala larasan dua hala di belakang. Ini disertai juga dengan spring Eibach (talaan lembut dan keras) serta palang anti-olengan sebagai pilihan.

    Ford Fiesta R2 2019 untuk Junior WRC didedahkan

    Jentera rali ini menggunakan enjin 1.0 liter Ecoboost yang telah ditala untuk menjana sebanyak 200 hp pada 6,500 rpm, dan digandingkan dengan kotak gear sequential lima-kelajuan Sadev. Kotak gear ini mempunyai tiga tetap yang boleh dipilih, dengan limited-slip differential turut tersedia.

    Sistem brek pula dikendalikan oleh kaliper perlumbaan Alcon dengan gandingan cakera berliang AP Racing dan cakera belakang penuh Alcon. Walaupun rekaannya tidak terlalu ekstrim seperti jentera Ford Fiesta WRC, ia tetap mewarisi beberapa penampilan yang diilhamkan dari jentera rali kelas lebih tinggi itu.

     
     
  • Honda Malaysia umum penganjuran kempen penjimatan 3Xtraordinary sehingga 31 Disember 2018

    Honda Malaysia umum penganjuran kempen penjimatan 3Xtraordinary sehingga 31 Disember 2018

    Honda Malaysia telah mengumumkan kempen penjimatan 3Xtraordinary untuk sesiapa sahaja yang berhajat untuk memiliki mana-mana model baharu Honda. Tawaran ini telah pun bermula sejak 1 Disember lalu dan bakal berakhir pada 31 Disember 2018.

    Kempen penjimatan 3Xtraordinary ini membolehkan para pelanggan menikmati kadar faedah rendah atau pilihan tunai, bonus hujung tahun dan rebat tunai ekstra. Bukan itu sahaja, rebat tunai bersama cenderahati eksklusif juga menanti para pelanggan yang menempah model baharu Honda.

    Bagi MPV Odyssey, ia ditawarkan rebat tunai sebanyak RM5,000, begitu juga dengan BR-V, Jazz, dan City. Manakala Accord pula menerima rebat tunai sebanyak RM6,000, RM2,500 untuk Civic dan CR-V pula RM4,000. Untuk menikmati tawaran rebat ini, kenderaan yang ditempah perlu didaftarkan antara 1 Disember 2018 hingga 31 Disember 2018, dan pembelian boleh dibuat di mana-mana 97 pengedar Honda bertauliah di seluruh negara.

    Pada masa yang sama, Honda Malaysia juga bakal memberikan cendehati istimewa buat pelanggan sedia ada Honda Insurance Plus (HIP) apabila mereka memperbaharui insurans HIP sepanjang tempoh kempen ini.

    Kempen penjimatan 3Xtraordinary ini adalah bagi meraikan dan pengiktirafan kepercayaan yang diletakkan oleh pelanggan Malaysia terhadap jenama Honda. Honda Malaysia telah mengekalkan kedudukannya sebagai No.1 dalam Segmen Bukan Nasional dan No.2 dalam Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) setakat ini sejak Januari, berikutan prestasi jualannya yang cemerlang.

    Di antara jualan terbaik bagi model Honda, City menerajui carta dengan berjaya terjual melebihi 30,200 unit dan menyumbang sebanyak 32% dalam keseluruhan jualan bagi Honda Malaysia dari Januari hingga November 2018. Malah City juga mendahului sedan segmen-B sehingga November 2018. Manakala bagi Civic dan CR-V pula, masing-masing menyumbang 16% dan 13% dalam keseluruhan jualan Honda Malaysia sehingga November 2018.

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kempen ini atau mahu memandu uji mana-mana model Honda, pelanggan boleh terus ke antara 97 pusat pengedaran Honda di seluruh negara atau hubungi talian bebas tol 1-800-88-2020 atau pun layari www.honda.com.my.

     
     
  • Nissan Leaf dilancarkan di Thailand – harga RM252k

    Nissan Leaf dilancarkan di Thailand – harga RM252k

    Baru saja dipertontonkan ketika KLIMS 2018 yang lalu, negara jiran kita, Thailand nampaknya terlebih dahulu menerima pengenalan Nissan Leaf generasi kedua. Dipertontonkan di sana ketika Ekspo Permotoran Antarabangsa Thailand 2018, kereta elektrik itu dijual pada harga 1.99 juta bath (RM252,298).

    Serahannya pula akan bermula pada Mac 2019. “Bagi pasaran Asia dan Pasifik, kami merancang untuk memperkenalkan model ini di tujuh negara termasuk Thailand, Malaysia, Singapura dan Hong Kong. Semua pasaran ini akan menerima kehadiran Leaf selepas Thailand,” jelas Naib Presiden Kanan Nissan, Yutaka Sanada.

    Untuk pasaran tempatan di sini, Leaf difahamkan bakal dilancar pada pertengahan tahun depan. Tanpa pemasangan tempatan, antara isu yang menjadi tanda tanya ialah harga model terbabit ketika diperkenalkan di Malaysia nanti. Mungkin juga penilaian semula Dasar Automotif Nasional yang sedang dilakukan ketika ini akan memberi kelebihan kepada model EV terbabit.

    Nissan Leaf dilancarkan di Thailand – harga RM252k

    Leaf baru ini berukuran dimensi 4,480 mm panjang, 1,790 mm lebar dan 1,540 mm tinggi dan mampu menjana kuasa yang lebih banyak berbanding model generasi pertama – motor elektrik EM57 baru kini menghasilkan 38% lebih kuasa dan 26% lebih tork (148 hp dan 320 Nm).

    Bateri lithium-ion 40 kWh yang digunakan meningkatkan jarak perjalanan sehingga 400 km (atau 378 km bagi kitaran NEDC) berbanding 195 km (atau 250 km) oleh model awal sebelum ini. Menurut Nissan, tempoh mengecas model ini memerlukan lapan jam untuk satu cas penuh dengan aliran elektrik 6 kW.

    Turut tersedia ialah kit pengecas pantas, yang mampu membekalkan sehingga 80% tenaga hanya dalam masa 40 minit melalui soket pengecas CHAdeMO. Kadar cas AC maksimum ialah 6.6 kW, atau 50 kW bagi pengecas DC.

    Nissan Leaf dilancarkan di Thailand – harga RM252k

    Ia turut dilengkapi dengan teknologi pemanduan autonomous ProPilot, yang boleh mengawal jarak dari kereta hadapan berdasarkan kelajuan yang ditetapkan pemandu (antara 30 km/j hingga 100 km/j). Stereng pula akan mengekalkannya berada di tengah lorong. Ia juga boleh memberhentikan kereta sepenuhnya dan kembali bergerak selepas itu, sama seperti yang boleh dilakukan Honda Sensing.

    Selain parkir ProPILOT, turut tersedia ialah e-Pedal, fungsi mudah untuk memulakan, memecut, memperlahankan, memberhentikan serta mengekalkan kedudukan kereta menggunakan pedal minyak sahaja.

     
     
  • Perodua X-Concept – kami berbual dengan ketua pereka, Muhamad Zamuren untuk tahu lebih lanjut

    Perodua X-Concept – kami berbual dengan ketua pereka, Muhamad Zamuren untuk tahu lebih lanjut

    Jika anda sempat bertandang ke KLIMS 2018 yang baru saja melabuhkan tirainya hujung minggu lalu, tentu banyak model-model kenderaan yang menggamit pandangan. Tetapi, yang mana satu paling menarik dan penting? Rakan kami dari editorial bahasa Inggeris, Danny Tan berkongsi pandangannya tentang hal ini.

    Bagi kami, yang perlu disebutkan tentunya model Perodua X-Concept. Ia penting kerana, meminjam kata-kata Perodua sendiri, rekaan itu mewakili “Perodua Di Masa Hadapan”. Dari sisi lain, model konsep yang dihasilkan ini menunjukkan bahawa Perodua serius sebagai pengeluar kenderaan.

    Diam-diam, walaupun selalu dicemuh sebagai hanya mengeluarkan kenderaan rebadge, Perodua sebenarnya sudah lama meninggalkan imej seperti itu. Sekali-sekala memperkenalkan model konsep rekaannya sendiri, maka khalayak akan dapat melihat hasil dan kemampuan sebenar Perodua, seperti yang ada pada Perodua X-Concept ini.

    Perodua memang pandai menyimpan rahsia; tak siapa di luar keluarga besar Perodua yang tahu bahawa syarikat itu akan mempamerkan sebuah model konsep terbaru sehinggalah pada hari untuk pengenalan kepada media.

    Perodua X-Concept – kami berbual dengan ketua pereka, Muhamad Zamuren untuk tahu lebih lanjut

    Tambahan pula, ia nampak cantik. Sejujurnya, rekaan konsep yang dihasilkan sebelum ini kelihatan agak janggal, tetapi kali ini rekaan yang dihasilkan nampak semakin matang dan mempamerkan keyakinan Perodua terhadap keupayaan reka bentuk yang dibuat sendiri.

    Ia tetap menampakkan ciri praktikal yang sinonim dengan Perodua, direka oleh warga Malaysia untuk memenuhi keperluan pembeli kereta yang mempunyai jangkaan tinggi terhadap produk dan jenama ini. Kami duduk dan berbual dengan ketua pereka Perodua, Muhamad Zamuren Bin Musa untuk tahu lebih lanjut berkenaan X-Concept.

    Apa sebenarnya X-Concept ini? Ia sebuah hatchback lima-pintu, tetapi adakah ia sama saiz dengan Myvi atau lebih kecil? Huruf ‘X’ padanya adakah mencadangkan bahawa ia sebuah crossover? Kami terbayangkan Mazda CX-3 ketika pertama kali melihat sebahagian kecil kereta ini ketika Menteri Pengangkutan, Anthony Loke melakukan kunjungan ke ruang pameran Perodua ketika itu, sebelum pengenalan rasminya. Brosur rasmi juga tidak memaklumkan banyak maklumat mengenainya.

    Menurut Zamuren, 43, X-Concept ini bukanlah sebuah SUV, sebaliknya sebuah hatchback kompak biasa dengan sedikit pendekatan rekaan crossover. Saiz model konsep ini adalah di antara Axia dan Myvi, tetapi bila dilihat depan mata, fizikal model ini nampak jauh lebih besar.

    Perodua X-Concept – kami berbual dengan ketua pereka, Muhamad Zamuren untuk tahu lebih lanjut

    Ia mempunyai dimensi seperti berikut; 3,750 mm panjang dan 1,665 mm lebar. Ukuran ini berada di antara Axia (3,640 mm panjang, 1,620 mm lebar) dan the Myvi (3,895 mm panjang, 1,735 mm lebar). Jarak antara rodanya pula ialah 2,460 mm, berbanding yang dimiliki Axia (2,455 mm) dan Myvi (2,500 mm). Zamuren menjelaskan, saiz yang digunakan ini adalah bagi kereta kompak global, boleh saja merujuk kepada kenderaan segmen A.

    Jika ukuran saiz itu seperti memberi petunjuk bahawa model kereta hatchback A-segmen Perodua akan datang bakal lari dari tradisi kei-car Jepun, penggayaan yang ditampilkan pula tambah mengesahkan perkara itu. “Rekaan mereka tidak 100% menepati citarasa di Malaysia,” jelas Zamuren, merujuk kepada rekaan oleh Daihatsu bagi pasaran Jepun dan Indonesia, serta bagaimana keadaan di setiap negara mempengaruhi rekaan.

    “Persekitaran di Jepun sangat berbeza berbanding di sini. Rumah dan jalan mereka kecil, menjadikannya sangat sesuai dengan kei-car. Di Indonesia pula sangat sesak, dan tidak banyak ruang di jalan raya – prasarana di sana juga sangat berbeza dengan yang kita ada, sebab itu kenderaan di sana biasanya mempunyai jarak kelegaan tanah yang lebih,” tambah Zamuren.

    Menggunakan analogi antara nasi kandar dan sushi, Zamuren menjelaskan bahawa pemandu di Malaysia lebih sukakan kereta yang “rumit tetapi ringkas” – sesuatu yang kaya dari sudut rekaan (nasi kuah campur satu!) tetapi ringkas dari sudut praktikaliti dan kos. Kereta Jepun pula boleh dibayangkan lebih cenderung seperti sushi, yang tampil ringkas (hanya ada ikan mentah dan nasi), tetapi memerlukan kemahiran dan ketepatan yang tinggi untuk disediakan; dan penikmat biasa mungkin tidak menghargai sisi berkenaan.

    Perodua X-Concept – kami berbual dengan ketua pereka, Muhamad Zamuren untuk tahu lebih lanjut

    Zamuren yang telah berkhidmat dengan Perodua selama 21 tahun bersetuju bahawa sebenarnya sukar untuk memuaskan kehendak dan keperluan pembeli kereta di Malaysia. “Bagi pengguna di sini, semuanya perlu nampak sporty,” jelas beliau dan menambah X-Concept ini tampil dengan pendekatan paling sporty yang boleh diperoleh tanpa berkompromi dengan kesediaan ruang dan praktikaliti. “Praktikaliti menjadi keutamaan kami,” ujar Zamuren.

    Untuk mempertimbangkan aspek ruang, termasuk ruang barangan yang memuaskan, itu merupakan suatu cabaran bagi pasukan enam pereka yang terlibat di dalam projek ini, yang memakan masa sehingga enam bulan. Kita sukakan rekaan yang sarat emosi, tetapi untuk mengimbangi aspek ruang dengan praktikaliti sangat sukar sebenarnya, apatah lagi bila berurusan dengan saiz kenderaan yang kecil.

    Zamuren gembira ketika dimaklumkan X-Concept ini nampak lebih besar jika dibandingkan dengan ukuran dimensi yang dinyatakan itu. Menurut beliau, tema penggayaan utama ialah “muskular dan menonjol”, dengan kesan muskular itu dicapai dengan melebihkan sedikit bahagian sisi kereta berkenaan agar memperolehi profile rekaan yang dikehendaki.

    Mereka perlu mengorbankan 15 mm kelebaran kabin belakang untuk ini. Namun, memandangkan ia sebuah rekaan untuk golongan muda dengan cuma kanak-kanak kecil di belakang, Zamuren merasakan hal itu berbaloi dilakukan. Pendekatan dwi-tona pada kabin – kokpit yang gelap dan sporty manakala ruang belakang yang cerah – juga menyumbang kepada rasa luas dalam kabin.

    Perodua X-Concept – kami berbual dengan ketua pereka, Muhamad Zamuren untuk tahu lebih lanjut

    Alur garis-garis yang ada juga lebih tertumpu di tengah, menyumbang kepada kesan maskular yang disebutkan itu. Ini ditambah pula dengan rekaan bumbung terapung yang digunakan, kesan daripada C-pillar warna putih. Garis kemasan pada tingkap juga menjadikan imej rekaan ini berbeza.

    Walaupun Perodua menginginkan model pameran ini hadir dengan nuansa lebih condong kepada sebuah SUV, ia tidak pula dipasangkan dengan bahagian bawah badan serta fender berwarna hitam, seperti yang banyak dilakukan sekiranya ingin mendapatkan imej SUV/crossover. Ini kerana kelegaan tanah kereta ini biasa saja, tidak lebih tinggi. Misalnya, tiada imej seperti pada Volkswagen CrossPolo yang diterapkan.

    Satu perkara di bahagian depan yang dirasakan sangat kemas dipersembahkan ialah penggayaan ‘X’ disekitar logo Perodua. Ia mengikatkan kita kepada lambang Under Armour yang menghiasi bahagian gril kereta konsep ini. Gril pula lengkap dengan pencahayaan, dengan motif ‘X’ yang sama dilanjutkan pada bahagian intake di bawah, serta kluster lampu belakang.

    Tema ‘X’ ini juga dapat dilihat pada keseluruhan wajah depannya. Zamuren menjelaskan, ia adalah arah tuju rekaan Perodua untuk masa depan, dan akan digunakan pada model-model akan datang nanti.

    Perodua X-Concept – kami berbual dengan ketua pereka, Muhamad Zamuren untuk tahu lebih lanjut

    Susunan lampu dan pencahayaan yang dapat dilihat pada model ini juga adalah berbeza, dengan lampu utama LED ditempatkan lebih rendah daripada biasa. Gaya ini, yang meletakkan pula jalur DRL LED pada bahagian atasnya, pernah kita lihat pada Citroen C4 Cactus, dan turut digunakan oleh Hyundai untuk barisan SUV keluarannya. Zamuren maklumkan, penggunaan teknologi LED menggunakan kurang ruang berbanding modul lampu biasa, yang kemudiannya membuka lebih banyak peluang untuk penggayaan.

    Dengan semua pendekatan yang digunakan ini, pasukan pereka di Perodua ingin menyuntik karekter tersendiri pada rekaan sebuah kereta kompak, mengadunkannya dengan imej sporty serta maskular tanpa mengabaikan praktikaliti dan ruang kabin – dari apa yang dapat dilihat pada X-Concept ini, mereka nampaknya telah menunjukkan usaha yang sangat membanggakan. Mungkinkah ini nanti akan menjadi asas kepada rekaan bagi model generasi baru bagi Axia, yang ketika ini usianya dalam pasaran sudah mencecah empat tahun?

    Dari sudut lain pula, Zamuren turut memaklumkan; “Apa yang penting, X-Concept ini menjadi model kajian bagi Perodua untuk mendapatkan maklum balas pelanggan dan khalayak. Kami ingin mendengar pendapat mereka – adakah mereka boleh menerima rekaan seperti ini, atau adakan ia terlalu berlebihan? Ia sebuah eksperimen.”

    Adakah kita boleh menjangkakan lebih sentuhan crossover pada model-model hatchback akan datang dari Perodua, Zamuren berkata jika dilihat pada corak automotif global ketika ini, gaya SUV akan menjadi pelopor bagi tempoh lima hingga 10 tahun ke depan.

    Perodua X-Concept – kami berbual dengan ketua pereka, Muhamad Zamuren untuk tahu lebih lanjut

    Walaupun ini bukanlah kisahnya di Malaysia (segmen berkenaan semakin mendapat perhatian), X-Concept ini merupakan “peluang kepada kami untuk mengetahui sama ada ia sesuai untuk pasaran Malaysia. Kenderaan hatcback ialah teras kami, model paling laris ketika ini dan di masa hadapan.”

    Apa yang penting, rekaan pada X-Concept ini diambil serius oleh pasukan pereka di Perodua, bukan sekadar sebuah projek suka-suka. Dalam ucapannya ketika di KLIMS 2018, Pengarah Urusan Jualan Perodua, Datuk Dr Zahari Husin menyatakan, industri automotif kini sedang menyaksikan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan turut menjadi cerminan kepada gaya hidup pelanggan.

    “Perubahan ini telah mengalihkan pendekatan dan tujuan pembuatan kenderaan. Kereta bukan lagi dilihat sekadar sebuah kaedah pengangkutan, tetapi juga sebagai simbol yang mencerminkan diri dan gaya hidup penggunanya,” ujar beliau.

    Gaya hidup. Kenderaan utilitarian dengan fungsi asas tidak lagi akan memenuhi permintaan dan keperluan ini. Untuk itulah, Perodua X-Concept dihasilkan, untuk melihat dan menjangkakan selera rekaan di masa hadapan. Namun, akan ada satu persamaan yang kekal dari Perodua; kualiti.

     
     
  • Van sekolah swasta perlu didaftar mulai tahun depan

    Van sekolah swasta perlu didaftar mulai tahun depan

    Bermula tahun depan, van persendirian yang membawa murid-murid ke sekolah perlu didaftar dengan pihak berkuasa sebagai sebahagian daripada proses penyeragaman, laporan The Star. Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, ia adalah perlu untuk mewujudkan sistem pengangkutan sekolah yang lebih teratur dan untuk memastikan keselamatan murid-murid.

    “Ia adalah perkhidmatan yang berasaskan komuniti di mana ibu bapa menawarkan pemandu upah untuk menampung kos bahan api. Ia telah berlangsung selama sekurang-kurangnya 30 tahun tetapi pendaftaran perlu dilakukan supaya ibu bapa dapat memastikan sistem yang lebih selamat dan lebih teratur menghantar anak-anak mereka ke sekolah, “katanya semalam.

    Sambungnya lagi, ia hanya mensasarkan kenderaan persendirian seperti van yang membawa murid-murid antara 15 hingga 20 orang dalam satu masa dan buat masa ini kebanyakannya tidak berdaftar. Ibu bapa yang menghantar sendiri anak-anak mereka dan kawan-kawannya ke sekolah dikecualikan.

    Loke mengiktiraf keperluan pengangkutan sekolah swasta kerana terdapat bas sekolah yang tidak mencukupi. “Hanya ada satu bas sekolah untuk setiap 266 pelajar. Ia tidak mencukupi. Bagaimanapun, ia menjadi kebimbangan jika pemandu tidak memenuhi keperluan keselamatan. Mereka tidak mempunyai insurans, mereka tidak pergi untuk pemeriksaan kenderaan dan kerana mereka tidak didaftarkan, kami tidak tahu siapa mereka, “katanya.

    Beliau turut menambah bahawa beliau menjangkakan beberapa tentangan dari pemandu itu, tetapi menegaskan bahawa langkah itu adalah kepentingan terbaik setiap orang. Ia datang selepas kerajaan meletakkan garis masa bagi peraturan pemandu Grab dan e-hailing pada tahun depan yang mesti menjalani kursus Perkhidmatan Awam Kenderaan (PSV) dan mendapatkan lesen PSV, seperti yang ditetapkan untuk pemandu teksi. Tempoh untuk mematuhi peraturan ini adalah dari Januari hingga Julai 2019.

     
     
  • Volkswagen tamatkan pembangunan enjin petrol, diesel baharu pada 2026, tumpu teknologi elektrik

    Volkswagen tamatkan pembangunan enjin petrol, diesel baharu pada 2026, tumpu teknologi elektrik

    Selepas terbabit dalam skandal penipuan ujian pencermaran Dieselgate pada tahun 2015, Volkswagen nekad untuk mengubah haluan mereka bagi menjadi pengeluar yang menumpukan terhadap penghasilan model-model yang dijana oleh elektrik sepenuhnya. Setelah pelbagai model konsep I.D didedahkan bagi menunjukkan hala tuju mereka, kini jenama Jerman tersebut mengumumkan mereka akan menghasilkan enjin pembakaran dalaman konvensional generasi terakhir pada tahun 2026, lapor Automotive News.

    Peralihan ini akan dilakukan secara berperingkat-peringkat. “Rakan sekerja kami sedang membangunkan kenderaan terakhir yang menggunakan platform yang tidak CO2 neutral. Kami secara beransur-ansur menyisihkan enjin pembakaran dalaman seminimum mungkin” kata ketua strategi Volkswagen, Micheal Jost. VW dijangka akan hanya membangunkan model elektrik sepenuhnya selepas plaform yang menggunakan enjin petrol dan diesel generasi terakhir diperkenalkan pada tahun 2026.

    Menerusi undang-undang emisi yang semakin ketat, pembuat-pembuat kenderaan dengan enjin konvensional kini ditekan bagi menghasilkan unit janakuasa yang lebih mesra alam – ini antara faktor mengapa Volkswagen mengambil keputusan yang agak radikal tersebut. Selain dari siri I.D, jenama kereta sport di bawah kumpulan VW, Porsche, turut memperkenalkan Porsche Taycan, iaitu kereta sport janaan elektrik sepenuhnya yang akan muncul tahun hadapan.

    Volkswagen tamatkan pembangunan enjin petrol, diesel baharu pada 2026, tumpu teknologi elektrik

    Transformasi kepada teknologi elektrik ini akan disasarkan kepada 12 jenama di bawah naugan Kumpulan Volkswagen, dijangka melibatkan sejumlah 15 juta kenderaan. Kumpulan automotif tersebut telah menetapkan dana US$50 bilion (sekitar RM208 bilion) untuk lima tahun akan datang bagi digunakan untuk penghasilan kereta elektrik dengan sistem pemanduan automatik.

    Model pertama yag akan diproduksi dalam barisan kereta elektrik sepenuhnya tersebut adalah I.D hatchback, yang telah dirangka untuk diproduksi bermula 12 bulan dari sekarang di Jerman. Model-model lain seperti Crozz dan Vizzion pula akan menyusul selepas itu – sebarang kenyataan belum lagi dikeluarkan namun ada laporan mengatakan kedua-dua model tersebut akan dihasilkan di China pada tahun 2020.

    Dalam perancangan ini, Volkswagen merancang untuk menghasilkan kenderaan elektrik sepenuhnya atau separa elektrik untuk kesemua barisan model mereka terdiri dari lebih 300 kereta, van, trak dan motosikal menjelang tahun 2030. Jost turut mengakui bahawa VW telah membuat kesilapan atas skandal penipuan yang menimpa mereka sebelum ini, dan mereka mengambil tanggungjawab sepenuhnya selepas itu.

    Walau bagaimanapun, Jost menjelaskan platform terakhir yang dilancarkan pada 2026 tersebut akan menerima penambahbaikkan dari masa ke masa, dan selepas 2050 berkemungkinan masih lagi ada model yang menggunakan petrol dan diesel kerana ada pasaran yang masih kekurangan dari segi infrastruktur pengecas.

     
     
  • Kenderaan Singapura tidak boleh tinggalkan Malaysia jika ada saman tertunggak – Ahli Dewan Negara

    Kenderaan Singapura tidak boleh tinggalkan Malaysia jika ada saman tertunggak – Ahli Dewan Negara

    Mana-mana kenderaan dari Singapura yang masih tidak menjelaskan saman tertunggak haruslah tidak dibenarkan keluar dari Malaysia, ia merupakan cadangan yang dikemukakan oleh Senator Datuk Rabiah Ali, ahli Dewan Negara, ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11, semalam.

    Katanya, langkah itu bertujuan mengekang kegiatan menjadikan lebuh raya dalam negara sebagai tempat ‘menguji’ kelajuan kenderaan mereka, menurut Bernama.

    “Masalah lumba haram dan memandu kereta secara melulu oleh pemandu kereta mewah dan motosikal berkuasa tinggi dari Singapura menjadi satu ancaman yang sukar untuk kita selesaikan. Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) dari Johor Bahru ke Melaka menjadi litar ujian kenderaan mewah mereka hampir setiap minggu,” ujarnya.

    Tambahnya lagi, saman kompaun trafik ke atas kenderaan asing perlu dinaikkan ke satu jumlah yang maksimum dan kenderaan ini seharusnya dilarang meninggalkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) selagi saman tidak dijelaskan

     
     
  • Petron anjur kembara media untuk menguji prestasi TriAction Advantage dengan bahan api Blaze 95

    Petron anjur kembara media untuk menguji prestasi TriAction Advantage dengan bahan api Blaze 95

    Baru-baru ini, Petron Malaysia telah membawa sekumpulan media bagi konvoi eksklusif, Pengembaraan Media Prestasi TriAction Advantage Petron, selama dua hari. Konvoi ini menyelusuri antara laluan mencabar termasuk merentasi kawasan kampung dan membelah lebuhraya dari stesen minyak Petron MRR2 Selayang menuju ke Gambang, Pahang. Menyediakan barisan kereta termasuk Honda CR-V, Perodua Myvi, Audi A6 dan Audi Q3, konvoi kami turut diiringi dua buah motor berkuasa tinggi sebagai marshal bagi memastikan perjalanan bertambah lancar.

    Objektif utama penganjuran Pengembaraan Media Prestasi TriAction Advantage Petron adalah bagi membuktikan prestasi formula aditif tercanggih, TriAction Advantage dalam minyak Petron terlaris, Blaze 95. Perjalanan sepanjang 280 kilometer ini memberikan pengalaman kepada kami untuk menikmati pemanduan secara bergilir-gilir dengan rakan media berlainan penerbitan

    Daripada Lebuhraya Karak, dan LPT1, ia memberikan pengalaman pemanduan dalam menikmati prestasi bahan api ini. Terasa tidak mengecewakan, malah masih kekal memberikan prestasi yang menguja biarpun melalui pelbagai corak laluan. Tak kiralah sama dalam kelajuan tinggi mahu pun perlahan, merentasi laluan berliku dan berbukit, hinggalah terpaksa memotong kenderaan lain di hadapan, ternyata Blaze 95 sangat bersatu dengan prestasi enjin CR-V yang dipandu penulis.


    Persinggahan pertama konvoi berlokasi di Kuala Gandah Elephant Sanctuary dan untuk ke sana, kami merentasi laluan kampung dengan keadaan laluan yang tidak begitu baik. Sekali lagi pemanduan teruji, walau bagaimana pun, ia tidak mendatangkan sebarang masalah biar pun terpaksa lebih berhati-hati dalam pemanduan, kerana prestasi Blaze 95 memang cukup membantu.

    Kemudian perjalanan diteruskan ke daerah Temerloh untuk menikmati hidangan makan tengahari. Tak sah kalau tak pekena ikan patin masak tempoyak yang cukup sinonim dengan daerah ini. Bandar Temerloh boleh tahan juga banyak persimpangan lampu isyarat yang terpaksa dilalui. Selagi lagi menguji kecekapan Blaze 95, adakah ia mampu memberikan kerjasama baik dengan enjin CR-V? Jawapannya ya, tidak mengecewakan, dari kenderaan terhenti di persimpangan lampu isyarat dan mahu meneruskan kembali perjalanan, memang tidak mendatangkan masalah.

    Selepas sejam rehat, konvoi meneruskan perjalanan menuju ke stesen minyak Petron KM3.5 Mile Jalan Gambang untuk misi kedua yang tidak kurang pentingnya. Selain pihak media dan orang kuat Petron sendiri, konvoi ini turut disertai oleh sekumpulan penyelidik dari Pusat Pembangunan Automotif (ADC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, yang diketuai oleh pengarahnya, Assoc Prof Dr.Mohd Farid Muhamad Said.

    Tujuan kumpulan penyelidik dari UTM mengikuti konvoi ini untuk menentukan ukuran penggunaan bahan api yang digunakan bagi setiap kereta yang dipandu oleh pihak media. Sekaligus memberikan gambaran yang lebih tepat tentang hasil gabungan prestasi Blaze 95 dengan kereta tersebut. Selain kereta perlu ditimbang terlebih dahulu, penentuan penggunaan bahan api tersebut bukan sekadar melihat pada tolok bahan api (fuel gauge) yang tersedia ada di dalam kereta, tetapi menggunakan peralatan khas yang lebih teknikal.

    Menurut Dr.Farid, dalam sesi ini, penggunaan bahan api ditentukan dengan tiga kaedah iaitu kaedah timbangan kereta, tangki minyak dan kluster meter/ECU. Kalau mengikut kaedah timbangan kereta, CR-V yang kami pandu mencatatkan penggunaan bahan api sebanyak 16.2 km/l. Dan jika mengikut tangki minyak pula, kami menggunakan sekitar 21.4 liter untuk perjalanan dari Selayang ke Gambang sepanjang 280 kilometer itu.

    Katanya lagi, penggunaan bahan api bagi sesebuah kenderaan juga berdasarkan banyak faktor, termasuklah cara pemanduan, muatan, keadaan kenderaan itu sendiri dan juga pemilihan minyak enjin.

    Selesai sesi pemanduan ini, kami diberikan taklimat yang lebih terperinci mengenai produk Petron iaitu BLaze 100 Euro 4M Petron, 97 Euro 4M Petron, Blaze 95 Petron dan formulasi TriAction Advantage oleh Chew Choy selaku penasihat khidmat teknikal kanan di Petron. Katanya, “Formula TriAction Advantage menawarkan kuasa yang lebih baik, lebik kilometer dan perlindungan enjin terbaik kerana ia merupakan gabungan dari detergen, pengubah geseran dan penambahan aditif pembakaran organik dalam bahan api.”

    Menurutnya lagi, detergen yang terdapat dalam TriAction Advantage ini memastikan sistem inlet enjin bersih dan beroperasi dengan kecekapan maksimum. Kenderaan akan mengalami penggunaan tenaga dan bahan api yang lebih baik dengan pengubah geseran TriAction Advantage yang membantu mengurangkan antara dinding piston dan silinder.

    Malah TriAction Advantage juga mengandungi penambahan pembakaran organik, sebatian organik bebas dan tidak berabu untuk melancarkan pembakaran bahan api. Ia menghasilkan tindak balas pemangkin, yang memecah rantaian molekul panjang, membolehkan lebih banyak oksigen bergabung dengan molekul karbon, sehingga menghasilkan bahan bakar untuk dibakar sepenuhnya, memberikan lebih kilometer yang lebih baik dan pelepasan kurang berbahaya.

     
     
  • Chevrolet Silverado HD 2020 didedahkan, muncul Feb 2019 – V8 turbodiesel, tork 1,234 Nm, 10-kelajuan auto

    Chevrolet Silverado HD 2020 didedahkan, muncul Feb 2019 – V8 turbodiesel, tork 1,234 Nm, 10-kelajuan auto

    Chevrolet telah mendedahkan rupa luaran trak bersaiz penuh generasi baharunya iaitu Silverado HD 2020. Model ini akan membuat kemunculan sulung pada bulan Februari 2019, dan menurut Chevy, ini adalah model Silverado serba baharu ketiga hanya dalam masa 18-bulan, di mana kesemuanya di reka dengan kemampuan berbeza berdasarkan permintaan pelanggan yang berbeza.

    “Kami tahu keperluan dan keutamaan pelanggan tugas-berat adalah berbeza dengan dari pelanggan tugas-ringan dan tugas-sederhana. Jadi, kami hasilkan trak tugas berat yang direka khas untuk mereka yang banyak berbeza berbanding model tugas-ringan sebelum ini, menawarkan teknologi tundaan bagi menambahbaik keyakinan untuk menunda dan termasuk ciri-ciri bahru seperti pemijak kaki sisi, bagi memudahkan bed diakses ketika sedang menarik treler.” kata ketua jurutera Silverado HD, Jaclyn McQuaid.

    Menurut Chevrolet, model HD ini direka bukan sahaja lebih agresif, malah ia dihasilkan bagi memudahkan ia melakukan tugas-tugas lebih berat dari Silverado lain. Jenama tersebut turut menjelaskan bahawa Silverado HD hanya berkongsi bumbung dengan model Silverado 1500 untuk bahagian luaran, manakala bahagian lain adalah unik hanya untuknya.

    Chevrolet Silverado HD 2020 didedahkan, muncul Feb 2019 – V8 turbodiesel, tork 1,234 Nm, 10-kelajuan auto

    Muka Silverado HD berkenaan direka lebih garang berbanding model sebelumnya, menampilkan gril besar yang dibahagi kepada dua bahagian, dipisahkan dengan bar krom yang turut menempatkan perkataan ‘CHEVROLET’. Bar berkenaan turut memisahkan lampu yang mungkin adalah lampu nyalaan siang pada bahagian atas dengan lampu utama di bahagian bawah.

    Trak ini juga diberikan bampar hadapan dengan elemen krom yang banyak bagi menampakkannya seperti trak era 80’an, bersama penutup bonet enjin yang menerima skup besar seakan muscle car Amerika.

    Pemijak kaki yang disebutkan tadi ditempatkan pada bahagian tepi bed bagi membolehkan bed diakses sekiranya ada halangan pada pintu tailgate. Manakala di belakang, bampar turut menerima elemen krom seperti hadapan, bersama lampu belakang yang direka tidak jauh beza dari model sebelumnya. Tip ekzos dengan corong bersaiz agak besar turut kelihatan di bawah bampar.

    Chevrolet di menyiarkan gambar dalaman untuk versi HD ini, namun menurut mereka ia menerima sebahagian besar ciri dari Silverado 1500, termasuk ruang lutut yang ditambah tiga-inci bagi model crew cab, serta lebih tinggi bersama posisi duduk yang lebih selesa.

    Dua pilihan janakuasa diberikan untuk model HD ini iaitu enjin petrol baharu dengan sistem suntikan bahan api terus (tidak dinyatakan sesaran mahupun kuasa yang dihasilkan) digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan, dan versi turbodiesel dengan enjin Duramax V8 menjana tork gergasi 1234 Nm bersama kotak gear Allison 10-kelajuan.

    Menurut Chevrolet lagi, Silverado HD 2020 ini turut akan menampilkan teknologi trailering yang difokuskan kepada pelanggan, yang bakal meningkatkan kebolehan menunda dan membawa beban secara signifikant serta pelbagai teknologi dan ciri-ciri direka khas untuk pelanggan tugas-berat.

    Trak saiz penuh ini akan di bina dikilang pemasangan GM di Flint, Michigan, dan bakal masuk kepasaran Amerika Syarikat bermula pertengahan tahun hadapan. Lebih perincian akan diumumkan oleh Chevrolet pada masa akan datang.

     
     
  • Siri plat nombor istimewa IM bakal terlihat di jalanan

    Siri plat nombor istimewa IM bakal terlihat di jalanan

    Awal tahun ini, kerajaan mengumumkan siri plat nombor istimewa yang ditawarkan oleh NGO akan ditamatkan. Walau bagaimana pun, bagi siri plat nombor yang telah diluluskan sebelum pengumuman ini dibuat, ia akan diteruskan jualannya, dengan jangkaan hanya setahun sahaja tempoh yang diberikan untuk menjual dan mendaftarkan nombor terbabit. Dan antara siri plat nombor istimewa yang terbaru ialah siri IM.

    Ia telah pun dibuka bidaannya sejak 1 hingga 22 Oktober lalu, dengan keputusannya diumumkan pada 1 November, sebulan yang lalu. Siri ini dari IM 1 hingga IM 9999, telah diluluskan untuk Persatuan Pengurusan dan Penyelidikan Alam Sekitar Malaysia (Ensearch), dengan jualannya diuruskan oleh Nfort MSC mewakili Ensearch.

    Seperti mana kebanyakan siri plat istimewa yang lain, harga bidaan minimi, dan bagi digit tunggal (Diamond) ditawarkan pada harga yang begitu tinggi iaitu mencecah RM100,000, diikuti dengan digit istimewa, berganda, tiga berganda atau empat berganda (12,22,333,6666, yang dilabelkan sebagai Platinum) pada harga RM50,000. Untuk nombor Gold pula, untuk digit yang bukan berganda dan tiga atau empat digit, bermula dengan RM20,000.

    Bagi Super Silver bernilai RM10,000, ia ditetapkan untuk tiga atau empat digit istimewa, dan Silver (RM5,000) dengan sekurang-kurangnya tiga digit istimewa. Akhir sekali, Super Bronze (RM3,000) dan Bronze (RM1,500), sekurang-kurangnya untuk nombor yang ditawarkan dalam siri ini.

    Antara siri nombor plat khas yang diperkenalkan sebelum ini ialah E, Q,FB,G1G-G999G, T1M, NBOS, G, Y, V, NAM, UUU, YA, KEN, XX, UU, SAM, K1M, PERFECT, RIMAU, UA dan beberapa lagi.

     
     
  • Prototaip kereta nasional terbaru ditunjuk tahun depan

    Prototaip kereta nasional terbaru ditunjuk tahun depan

    Menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali, prototaip bagi projek kereta nasional terbaru dijangka akan diperkenalkan seawal tahun hadapan. Bernama melaporkan, perkara itu telah dibincangkan oleh Azmin ketika mesyuarat Majlis Pembangunan Nasional yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad baru-baru ini, dan memaklumkan “kami akan tunjukkan model prototaip dengan khalayak umum paling awal tahun depan.”

    Beliau menambah, untuk menjadikan aspirasi kerajaan untuk menghasilkan kereta nasional baru itu satu kenyataan, kerajaan memberi tumpuan terhadap memajukan daya saing kejuruteraan tempatan dan memwujudkan ekosistem baru yang lebih inovatif dan mesra teknologi. Dengan harapan, usaha itu dapat merancakkan semula industri automotif negara dan membantu industri alat ganti dan komponen yang memacu perusahaan kecil dan sederhana untuk tumbuh lebih pesat.

    Kereta nasional baru ini sudah menjadi buah mulut orang ramai sejak pertama kali disuarakan oleh Tun M pada Jun lalu, dengan menyifatkan industri automotif akan menjadi pemangkin kepada sektor-sektor lain ekonomi, terutama kejuruteraan.

    Oktober lalu, Menteri Pembangunan Usahawan memaklumkan projek berkenaan akan dapat mewujudkan lebih daripada 500 pembekal dan vendor automotif baru serta lebih daripada 100 usahawan baru sebagai kesan kepada pembentukan syarikat atau jenama baru ini.

    Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mendedahkan telah menerima lebih daripada 20 kertas cadangan dari sektor swasta untuk projek berkenaan, yang menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menekankan, ia tidak akan menggunakan dana awam. Nama bagi kereta nasional baru ini akan diumumkan hujung tahun nanti, dan dijangka akan merangkumi teknologi semi-autonomous.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025