Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Civic generasi ke-11 dari Kaeza Shop Thailand – masih nampak macam kereta ‘ayah-ayah’ ke?

    Honda Civic generasi ke-11 dari Kaeza Shop Thailand – masih nampak macam kereta ‘ayah-ayah’ ke?

    Macam biasa, bab modifikasi, Thailand memang pantas betul buat kerja. Honda Civic generasi ke-11 ini telah terlebih dahulu mula dijual di Amerika Syarikat pada bulan Jun, namun belum tular lagi gambar unit yang sudah diubahsuai. Tetapi hanya selepas kira-kira tiga minggu dilancarkan di Thailand, nah, dah ada Civic 2022 yang sudah siap menerima sentuhan semula!

    Civic yang anda lihat ini adalah hasil ubahsuai dari Kaeza Shop Thailand, dan set imej ini dipetik oleh Capsnap. Ia diasaskan dari varian paling sporty ditawarkan di Thailand iaitu Civic RS, jadi hanya sentuhan minimal diberikan bagi memberikan rupa yang jauh lebih garang dari imej ‘ayah-ayah’ pada Civic generasi terbaharu ini.

    Jadi Kaeza Shop bermula dengan perkara asas yang biasanya dibuat terlebih dahulu oleh ‘mat-mat kereta’ di seluruh dunia iaitu dengan merendahkan badan kereta ini untuk lebih rapat dengan permukaan bumi. Untuk itu, set suspensi asal telah dibuka dan digantikan dengan penyerap hentak boleh laras Best*i bersama spring RSR Ti2000 yang dilaras agar satu jari pun tidak lepas untuk masuk ke ruang antara tayar dan fender.

    Honda Civic generasi ke-11 dari Kaeza Shop Thailand – masih nampak macam kereta ‘ayah-ayah’ ke?

    Rim aloi 17-inci asal Civic RS juga sudah tidak lagi digunakan dan digantikan dengan rim aloi forged 18-inci dari Rays, bersama tayar Toyo Proxes R1R bersaiz 225/40ZR18. Juga boleh dilihat disebalik rim sebelah hadapan adalah cakera brek yang sudah ditukar kepada cakera yang ditebuk bersama angkup Brembo yang lebih besar.

    Gril hadapan, spoiler belakang berwarna hitam dan juga bampar belakang dengan diffuser yang menempatkan ruang untuk dua corong ekzos pada Civic ini adalah ciri-ciri standard dari kilang untuk varian RS di Thailand. Walau bagaimanapun, Kaeza telah menukar sistem ekzos asal kepada sistem dari ProDrager yang menampilkan sepasang muffler yang kelihatan lebih agresif.

    Ruang enjin Civic ini masih kelihatan standard, dan penambahan yang dapat dilihat hanyalah sebatang sturt bar. Di Thailand, Civic generasi baharu ini hanya ditawarkan dengan satu pilihan enjin iaitu 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder. Walaupun masih sama dengan generasi FC sebelumnya, enjin berkenaan sebenarnya sudah ditala bagi mendapatkan 178 PS tork maksima 240 Nm, atau 5 PS dan 20 Nm lebih berkuasa dari model sebelum ini.

    Dalam kabin dapat dilihat tempat duduk hadapan telah ditukar dengan sepasang tempat duduk bucket Recaro ASM SR-7. Lain-lain perincian nampaknya masih lagi standard dan tidak disentuh, termasuk plastik pembalut pada pelindung cahaya yang masih belum dibuka.

    Pada awal pengenalan Civic ini, ramai yang mengatakan bahawa ia tidak cukup sporty kerana kelihatan lebih minimalis dan tidak lagi hadir dengan imej robot Gundam seperti pada Civic FC. Tapi lepas lihat unit yang telah diusik oleh Kaeza Shop ini bagaimana pula pandangan anda?

     
     
  • Nissan Z 2023 – ketua jurutera sahkan ia masih guna asas dari Z34 370Z yang telah dirombak semula

    Nissan Z 2023 – ketua jurutera sahkan ia masih guna asas dari Z34 370Z yang telah dirombak semula

    Nissan Z 2023 telah pun didedahkan sepenuhnya minggu lalu dan ia nampaknya menerima respon yang cukup baik dari orang ramai. Model tersebut bukan sahaja dilihat begitu menarik kerana menampilkan rupa retro seakan model generasi pertama Datsun 240Z, malah turut dibekalkan dengan kuasa yang lebih besar dari model generasi sebelumnya, serta masih ditawarkan dengan kotak gear manual.

    Namun tahukah anda Nissan Z 2023 ini sebenarnya bukan model yang 100% baru kerana ia masih menggunakan kerangka asas badan model 370Z Z34 generasi sebelumnya? Perkara ini disahkan sendiri oleh ketua jurutera untuk Nissan Z baharu ini iaitu Hiroshi Tamura dalam satu temuramah bersama Road&Track.

    Platform untuk Z34 pula sebenarnya diasaskan dari platform Z33 350Z, iaitu platform “Front Midship” Nissan yang pertama kali digunakan pada Infiniti G35, muncul pada tahun 2001. Jadi secara asasnya, kerangka yang digunakan ini sudahpun berumur sekitar 20-tahun!

    Nissan Z 2023 – ketua jurutera sahkan ia masih guna asas dari Z34 370Z yang telah dirombak semula

    Nissan 370Z 50th Anniversary Edition

    Menurut Tamura, Nissan Z 2023 ini masih menggunakan kerangka asas Z34 tetapi menerima kejuruteraan semula yang ekstensif bagi menghasilkan kerangka yang jauh lebih kuat. Sistem suspensi hadapan double wishbone juga masih digunakan, namun kali ini ia menampilkan geometri yang telah direka semula bersama sudut caster lebih besar.

    Tetapi ia sudah tidak lagi menggunakan sistem stereng kuasa bantuan hidraulik, dan digantikan dengan sistem bantuan elektrik. Model dalam varian Performance pula turut diberikan rim aloi forged 19-inci buatan Rays Engineering dengan lebar 9.5J di hadapan, 10J di belakang bersama tayar Bridgestone S007 yang turut menyumbang kepada karekter pengendalian lebih baik.

    Z generasi baharu ini menerima enjin yang sama seperti Infiniti Q50/Nissan Skyline V37 JDM iaitu enjin VR30DDTT 3.0 liter V6 dengan pengecas turbo berkembar, menghasilkan 400 hp dan tork maksima 475 Nm. Berbanding enjin VQ37VHR 3.7 liter V6 tanpa pengecas turbo pada Nissan 370Z Z34 sebelum ini, enjin pada Z 2023 tersebut menghasilkan kuasa 64 hp lebih besar dan tork 30% lebih kuat.

    Ia didatangkan standard dengan kotak gear enam-kelajuan manual dan menampilkan opsyen transmisi sembilan-kelajuan automatik. Seperti enam generasi Z sebelum ini, kuasa dari enjin dialirkan sepenuhnya hanya ke roda belakang. Model Performance dengan kotak gear manual pula datang sekali dengan LSD jenis mekanikal pada gandar belakang, Launch Control, Downshift Rev Matching (heel and toe automatik) serta aci pacu dari kotak gear ke gandar belakang yang diperbuat dari komposit gentian karbon.

    Tamura yang juga ketua program pembangunan untuk Nissan GT-R berkata, walaupun Nissan Z ini menghasilkan kuasa yang lebih besar, ia bukan dibina untuk disasarkan menjadi jentera paling laju di litar seperti GT-R. Sebaliknya ia adalah jentera yang disifatkan sebagai ‘teman menari’ untuk pemandu serta memberikan lebih banyak ‘interaksi’.

    “Ia bukan berkenaan mengejar angka atau kuasa atau pecutan 0-60 bsj. Anda boleh pandunya ke litar, tetapi apa yang lebih penting ialah untuk berseronok dengan ‘berbual’ bersama kereta,” terang Tamura-san.

    Tamura juga menegaskan bahawa adalah penting untuk memberikan kotak gear manual sebagai ciri standard pada Nissan Z ini kerana pelanggan benar-benar mahukannya. “Saya nak tengok pelanggan tersenyum. Ini sentiasa menjadi sasaran saya, jadi mengapa tidak kita pertahankan transmisi manual?” katanya lagi.

    Walau bagaimanapun, fakta bahawa Nissan Z ini menggunakan kerangka lama bukanlah sesuatu yang tidak bagus. Kita lihat Toyota Supra sebagai contoh, model generasi A80 telahpun dihentikan sepenuhnya pada tahun 2002 selepas ia diperkenalkan pada tahun 1993. Jadi untuk menghasilkan model generasi baharu A90, Toyota sudah tidak ada asas yang sesuai, dan untuk bermula semula dari awal sudah tentu memerlukan dana R&D yang cukup besar.

    Penyudahnya, GR Supra A90 terpaksa dihasilkan dengan asas yang sama dengan BMW Z4. Walaupun ia menepati ciri-ciri asas Supra iaitu enjin enam-silinder dengan dua pengecas turbo, Toyota tidak mempunyai kebebasan untuk menghasilkan sebuah model yang benar-benar mirip seperti model konsep Toyota FT-1. Malah sehingga kini, sindiran-sindiran seperti “BMW rebadge”, “Zupra” dan sebagainya masih belum dilupakan.

    Berbanding Nissan Z generasi baharu ini, ia bukan sahaja dapat dihasilkan dengan kos yang lebih rendah (harga jualannya pun dijangka akan lebih rendah dari GR Supra), malah ia kekal dengan DNA Nissan sepenuhnya, dan yang paling penting masih lagi ada kotak gear manual dan juga tuil brek tangan untuk dibuat main. Apa lagi nak?


     
     
  • Honda CB200X dilancar untuk pasaran India – RM8k

    Honda CB200X dilancar untuk pasaran India – RM8k

    Honda telah melancarkan sebuah model touring kelas permulaan, iaitu CB200X di pasaran India dengan harga 144,500 rupee (RM8,159). Gaya badannya mengikut konsep sama seperti CB500X sementara enjin dan mekanikal pula diambil daripada model naked Honda Hornet 2.0 yang juga ada dijual di negara itu.

    Enjin satu silinder 184.4 cc pada model ini menggunakan sistem suntikan bahan api PGM-Fi dan dipadankan bersama kotak gear lima kelajuan untuk menghasilkan kuasa 17 hp pada 8,500 rpm dan 16.1 Nm tork pada 6,000 rpm. Informasi penting dipaparkan pada skrin LCD dan di bahagian pemegang terdapat suiz untuk lampu kecemasan.

    Semua lampu utama pada CB200X menggunakan unit LED, sementara lampu penunjuk arah hadapan pula disepadukan pada pelindung tangan. Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan unit cakera, dan sistem ABS single-channel dipasang untuk mengawal kuasa pada brek hadapan.

    Walaupun mempunyai karekter yang berbeza berbanding Hornet 2.0, CB200X ini masih menggunakan suspensi yang sama, iaitu fork USD berwarna emas di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban, menghasilkan kedudukan dari tanah 167 mm dan tinggi tempat duduk 810 mm.

    Secara keseluruhan, model ini mencatat berat 147 kg (5kg lebih ringan berbanding Hornet 2.0) dan didatangkan terus dengan rim 17 inci dan tayar berbunga kasar untuk menjadikan ia sesuai sekiranya dibawa ke jalan offroad.

     
     
  • Toyota Fortuner GR Sport dilancar di Thai – 2.8L turbodiesel dengan 4WD, 204 PS/500 Nm; RM240,279

    Toyota Fortuner GR Sport dilancar di Thai – 2.8L turbodiesel dengan 4WD, 204 PS/500 Nm; RM240,279

    Toyota telah melancarkan Fortuner GR Sport di Thailand, dengan menerima suntikan gaya ala-permotoran untuk bahagian luar dan dalam. Jika anda perasan, untuk pasaran Thailand, ia adalah berbeza dengan model Fortuner GR Sport yang diperkenalkan di Indonesia baru-baru ini.

    Sebagai permulaan, rekaan lampu utama dan wajah hadapan Fortuner GR Sport versi Thailand ini adalah berbeza dengan apa yang ditawarkan di Indonesia. Versi Thailand lebih ketara miliki DNA Toyota Gazoo Racing dengan gril tengah yang ditempatkan di bawah dan corong sudut sedikit memiliki sentuhan hero rali, GR Yaris.

    Perbezaan lain yang jelas kelihatan temasuklah kemasan hitam berkilat pada kepingan kemasan untuk emblem, lampu utama dan gril bawah, sementara lampu utamanya juga ditampilkan dengan rekaan yang berbeza dengan empat lampu nyalaan siang DRL yang lebih kurang sama dengan Fortuner 2.8 VRZ untuk pasaran Malaysia, di mana versi Thailand ini berkongsi susunan asas yang sama dengan varian Legender.

    Rekaan yang hampir sama juga kelihatan pada bahagian belakang, di mana Fortuner GR Sport versi Thai mengadaptasi kemasan bampar belakang Fortuner 2.8 VRZ pasaran Malaysia, termasuk kemasan berbentuk-L pada bahagian sudut dengan rona hitam. Malahan bampar belakang juga diberikan kemasan hitam berkilat.

    Jika pembeli di Indonesia berpeluang memilih sama ada enjin 2.7 liter petrol 163 hp/247 Nm atau 2.4 liter turbodiesel 149 hp/400 Nm, Fortuner GR Sport untuk Thailand hanya ditawarkan dengan satu penjana kuasa sahaja iaitu 2.8 liter turbodiesel yang mampu menghasilkan 204 PS dan tork 500 Nm.

    Spesifikasi pemanduan juga berbeza; SUV pasaran Thai menerima pacuan 4WD, sementara Fortuner GR Sport di Indonesia dengan pacuan roda-belakang. Selain itu, versi Thailand juga menerima aloi dark gunmetal bersaiz 20-inci dengan tayar berukuran 265/50, kaliper brek dengan perumah merah untuk bahagian hadapan dan belakang.

    Bagi bahagian dalamannya, Fortuner GR Sport didominasikan dengan sentuhan serba hitam dengan kemasan kontras merah. Tempat duduk hadapannya dengan material kulit rona hitam dan jahitan kontras dan suede pada seksyen tengah dengan warna merah, bersama logo sulaman GR pada perehat kepala. Roda stereng pelbagai-fungsi dengan kemasan kulit bersama logo GR turut diberikan.

    Kemasan perak gelap pula menjadi hiasan pada konsol tengah, malahan permukaan pintu, dan tuil gear dipadankan dengan balutan kulit tiruan rona hitam dengan kemasan perak gelap, sementara seksyen konsol bawah pula menerima kemasan ala gentian-karbon.

    Ia turut diberikan sedikit sentuhan permotoran pada pedal aluminium dan lambang GR pada butang penghidup enjin dan key fob. Untuk aspek keselamatan, Fortuner GR Sport diberikan pakej Toyota Safety Sense yang merangkumi sistem pra-pelanggaran, kepekaan ketibaan lorong, kawalan kelajuan radar dinamik, pemantauan titik buta, dan kepekaan trafik lintasan belakang.

    Toyota Fortuner GR Sport di Thailand ditawarkan dengan tiga warna luaran – Emotional Red dan White Pearl CS yang dipadankan dengan kemasan bumbung hitam dan plihan warna ketiga pula ialah Attitude Black Mica. Ia ditawarkan dengan varian tunggal 2.8 liter turbodiesel 4WD dengan harga THB1,879,000 (RM240,279), dan akan mula berada di bilik pameran di seluruh Thailand mulai 17 September ini.

     
     
  • Toyota GR Supra 2022 di Malaysia dapat Apple CarPlay

    Toyota GR Supra 2022 di Malaysia dapat Apple CarPlay

    Untuk pasaran tempatan, Toyota GR Supra 2022 kini didatangkan dengan peningkatan ciri keterhubungan digital pula. Yang dimaksudkan ialah model berkenaan kini hadir dengan ciri Apple CarPlay (sambungan wayar) untuk memudahkan lagi pengguna peranti mudah alih Apple agar sentiasa terhubung dan terhibur di sepanjang perjalanan. Harga bagaimanapun masih kekal tidak berubah — RM590k.

    Ini melengkapkan lagi ciri sedia ada seperti skrin sentuh 8.8-inci dengan kawalan touch pad, navigasi binaan dalam serta ciri USB dan Bluetooth yang tersedia dalam kereta. GR Supra juga dilengkapi dengan sistem JBL HiFi Surround Sound dengan 12-pembesar suara untuk pengalaman audio terbaik.

    Pertambahan ciri terbaru tersebut merupakan kemaskini kedua yang dilakukan terhadap GR Supra yang didatangkan dalam varian enjin 3.0 liter ini, selepas naik taraf prestasi yang diperkenalkan pada Julai 2020. Ketika itu, naik taraf prestasi yang dilakukan itu melibatkan enjin turbocas enam-silinder sebarisnya yang kini menjana 285 kW (388 PS) kuasa antara 5,800 dan 6,500 rpm, melibatkan pertambahan sebanyak 14%. Tork maksimum kekal 500 Nm, tetapi ia berada di puncak dalam julat yang lebih luas antara 1,800 rpm dan 5,000 rpm berbanding 1,600 rpm hingga 4,500 rpm sebelumnya.

    Toyota GR Supra 2022 di Malaysia dapat Apple CarPlay

    Jurutera Toyota turut meningkatkan janaan kuasa tersebut dengan cara menala semula dan menambah manifold ekzos dua cabang dengan enam port (berbanding hanya dua port), yang memperbaiki pengurusan haba enjin. Rekaan baru untuk piston pula telah mengurangkan nisbah mampatan enjin dari 11:1 kepada 10.2:1.

    Semua penambah baikan itu membolehkan GR Supra yang dilengkapi dengan transmisi automatik 8-kelajuan ini untuk memecut 0-100 km/j dalam masa 4.1 saat, menjadikannya 0.2 saat lebih pantas, berbanding 4.3 saat sebelumnya. Casis GR Supra juga ditala dengan tambahan Performance Rod untuk meningkatkan ketahanannya dan memberikan kestabilan lebih baik ketika di selekoh.

    Toyota GR Supra A90 2019

     
     
  • BMW i4 eDrive40 G26 — EV yang bakal tiba di Malaysia

    BMW i4 eDrive40 G26 — EV yang bakal tiba di Malaysia

    Kini sah bahawa BMW Malaysia akan memperkenalkan model elektrik penuh i4 tidak lama lagi. Model yang pertama kali membuat penampilan dalam laman web Malaysia pada Mei lalu, akan menjadi satu daripada tiga model BMW i yang dijual di sini. BMW iX xDrive40e satu-satunya daripada tiga model terbabit yang mula dijual di sini (bermula RM420k), tetapi pendaftaran minat untuk i4 dan iX3 juga kini dibuka.

    Setakat ini, i4 eDrive40 menjadi satu-satunya varian yang tersenarai dalam laman web tempatan, dengan set kelengkapannya diasingkan dengan agak komprehensif. Ini termasuklah ciri configurator yang disediakan, membolehkan pengunjung membangunkan model berkenaan mengikut selera sendiri, dengan pilihan warna badan, rekaan rim, kemasan dalaman dan warna balutan kulit untuk kerusinya. Ada juga i4 dalam penampilan M Sport turut ditampilkan.

    i4 merupakan sebuah coupe empat-pintu yang menggunakan asas 4 Series Gran Coupe G22, tetapi mempunyai kelebaran jejak roda kiri dan kanan bahagian depan yang lebih 26 mm dan belakang 13 mm berbanding 3 Series G20. Kedudukan pek bateri 83.9 kWh juga menyumbang kepada titik graviti yang lebih rendah — 53 mm lebih rendah berbanding 3 Series.

    BMW i4 eDrive40 G26 — EV yang bakal tiba di Malaysia

    Dari segi prestasi, i4 eDrive40 dilengkapi unit kuasa tunggal 250 kW, yang menghasilkan 340 PS dan 430 Nm tork. motor berkenaan menggerakkan roda belakang melalui transmisi kelajuan tunggal, membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat dengan had laju elektronik maksimumm 190 km/j. Agihan berat bagi varian ini ialah 45.1:54.9.

    Bagi jarak pemanduan pula, bateri 83.9 kWh (dengan jaminan lapan-tahun atau 160,000 km) mampu memberikan sehingga 590 km (kitaran WLTP) untuk satu cas penuh. Ia mampu menampung sehingga 200 kW DC pengecasan pantas (sambungan CCS Combo 2) — pengecasan 10 minit akan memberikan jarak 164 km. i4 didatangkan dengan pengecas AC bersepadu 11kW (Type 2) — cas 100% dalam mod ini memakan masa 8.5 jam. Motor elektriknya pula mampu mengendalikan sehingga 195 kW regenerative braking.

    Membandingkan kos selenggara keseluruhannya, BMW memaklumkan i4 ini 30% lebih murah berbanding model sama dengan enjin biasa. Ini selepas mengambil kira perbelanjaan untuk cukai, insurans, penyelenggaraan dan alat ganti. Tiada penukaran minyak enjin diperlukan dan tiada sistem ekzos untuk diselenggara, serta penggunaan brek juga kurang bebanan memandangkan motor elektrik akan memantu memperlahankan kenderaan.

     
     
  • Daihatsu capai produksi 7 juta unit di Indonesia dalam masa 43-tahun, kapasiti tahunan kini cecah 530k unit

    Daihatsu capai produksi 7 juta unit di Indonesia dalam masa 43-tahun, kapasiti tahunan kini cecah 530k unit

    Pakar pembuat kereta kompak dari Jepun, Daihatsu, mengumumkan bahawa mereka telah mencapai angka produksi tujuh juta unit di Indonesia bulan lalu selepas 43-tahun beroperasi di negara berkenaaan. Kejayaan tersebut diraikan dalam suasana pandemik Covid-19 yang belum berakhir oleh Astra Daihatsu Motor (ADM) secara maya minggu lalu.

    Daihatsu mula bertapak di Indonesia pada 1962, percaya atau tidak mereka bermula dengan menjual Daihatsu Midget generasi pertama, yang ketika itu masih dalam bentuk kenderaan tiga-roda dan dikenali sebagai Bemo di pasaran berkenaan. Produksi tempatan pula bermula pada tahun 1978, dan mereka mengambil masa selama 27 tahun bagi mencapai angka produksi satu juta unit pada tahun 2005.

    Model yang dibuat ketika angka tersebut dicapai adalah MPV tujuh-tempat duduk Daihatsu Xenia, iaitu kembar terus kepada Toyota Avanza. Angka 2 juta pula dicapat hanya lima tahun selepas itu iaitu pada 2010, juga menerusi Xenia. Produksi Daihatsu di Indonesia semakin rancak selepas itu di mana angka ke-3 juta hanya dicapai dalam masa tiga tahun iaitu pada 2013.

    Daihatsu capai produksi 7 juta unit di Indonesia dalam masa 43-tahun, kapasiti tahunan kini cecah 530k unit

    Produksi ke-4 dan -5 juta masing-masing dicatatkan pada tahun 2015 dan 2017, seterusnya ADM berjaya mencapai angka produksi ke-6 juta tidak sampai dua tahun iaitu pada 2019. Produksi yang begitu laju ini dicapai adalah kerana permintaan yang tinggi terhadap model mampu milik dibawah undang-undang Kereta Hijau Kos Rendah (LCGC) negara tersebut, iaitu kembar Daihatsu Ayla/Toyota Agya (juga kembar kepada Perodua Axia di Malaysia) dan juga versi MPVnya iaitu kembar Daihatsu Sigra/Toyota Calya (diperkenalkan pada 2016).

    Walaupun perlu melalui protokol yang ketat bagi beroperasi sepanjang tempoh pandemik Covid-19, ADM berupaya mencapai angka produksi ke-7 juta menerusi Daihatsu Rocky (kembar kepada Perodua Ativa) dalam varian 1.2L berwarna kuning pada Julai 2021. Syarikat berkenaan pada awalnya mensasarkan untuk mencapai angka tersebut pada tahun lalu, namun ia tergendala kerana wabak Covid-19.

    Hari ini, ADM mempunyai kilang di Sunter dan Karawang dengan jumlah kapasiti produksi tahunan 530,000 unit. Seperti yang dinyatakan tadi, ia turut memproduksi model-model kembar dengan logo Toyota untuk Toyota Astra Motor (rakan kerjasama tempatan yang sama dalam Astra), yang telah menyumbang 40% kenderaan yang dijual di Indonesia dalam lima tahun kebelakangan ini.

    Kembar Daihatsu Ayla dan Toyota Agya (atas) serta kembar Daihatsu Sigra dan Toyota Cayla (bawah) yang kesemuanya diproduksi oleh ADM

    Kereta-kereta yang dihasilkan oleh ADM ini turut dieksport ke 75 negara, dan syarikat tersebut turut mempunyai pusat R&D yang dikatakan paling lengkap di Indonesia, iaitu pasaran terbesar Daihatsu di luar Jepun.

    “Pencapaian produksi mencecah tujuh juta ini merupakan detik yang penting untuk ADM, lebih-lebih lagi ia berlaku di tengah-tengah pandemik. Daihatsu akan terus komited untuk memenuhi keperluan pelanggan kami dengan memberikan produk terbaik dengan standard kualiti global,” kata pegawai eksekutif ADM, Kurniawan Rahardono.

    ADM telah melabur sejumlah 1.7 trilion rupiah (RM494 juta) untuk memproduksi kembar Daihatu Rocky dan Toyota Raize yang diasaskan dari platform terbaharu DNGA, dan ia turut dirancang untuk dieksport ke 50 buah negara dalam bentuk Toyota Raize.

    GALERI: Daihatsu Rocky pasaran Indonesia

    GALERI: Toyota Raize pasaran Indonesia

     
     
  • DBKL umum Lorong Johar, lorong kanan Lebuhraya Sprint ditutup mulai 28 Ogos 2021 hingga Mac 2022

    DBKL umum Lorong Johar, lorong kanan Lebuhraya Sprint ditutup mulai 28 Ogos 2021 hingga Mac 2022

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan laluan trafik dari Kuala Lumpur menghala ke Jalan Johar, Bangsar melalui Lebuh Raya SPRINT akan ditutup sepenuhnya mulai 28 Ogos ini hingga Mac 2022.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan pagi ini, penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja membina jalan raya bertingkat dari persimpangan Lebuh Raya SPRINT/Jalan Maarof ke persimpangan Lebuh Raya Sprint/Jalan Semantan.

    “Laluan trafik lorong kanan dari Lebuh Raya SPRINT KM 7.0 ke Jalan Johar juga ditutup sepenuhnya mulai tarikh tersebut bagi membolehkan kerja-kerja cerucuk dan kerja-kerja pengalihan paip air pembentung dilaksanakan.

    “Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi isyarat papan tanda di tapak sebagai panduan dan langkah keselamatan bagi mengelak kekeliruan dan sebarang kesulitan,” menurut kenyataan itu.

     
     
  • Kawasaki siar teaser model retro baru – Z650RS?

    Kawasaki siar teaser model retro baru – Z650RS?

    Kawasaki melalui laman media sosial mereka telah menyiarkan satu video teaser yang memberi gambaran ketibaan sebuah model baru. Tiada sebarang nama yang disebut, namun di penghujung video itu ia tertulis “Retro-evolution is coming.”

    Daripada situ, kita boleh menjangka model ini menggunakan bentuk ala klasik, apatah lagi dua orang model yang menunggang motosikal di dalam video ini juga menggunakan helmet berkonsep sama manakala cermin sisi pula kelihatan seperti yang biasa digunakan pada model seperti itu.

    Dalam pasaran sekarang, model berbentuk klasik yang ditawarkan oleh Kawasaki terdiri daripada Z900RS dan juga siri W seperti W800, W175 dan W250. Jadi, pada jangkaan anda apakah sebenarnya motosikal ini dan berapakah kapasitinya?

    Kalau mahu mengatakan ini adalah satu lagi versi Z900RS, ia tidak mungkin kerana pam brek pada motosikal di dalam video ini berbeza berbanding pam brek Z900RS. Untuk mengatakan ia adalah satu lagi siri model W pula, ia seakan bertentangan dengan konsep “retrovolution” yang diketengahkan.

    Disebabkan itu, ramai yang menjangkakan ini adalah sebuah model kapasiti pertengahan, berkemungkinan menggunakan asas daripada Z650 sedia ada yang dipacu oleh enjin dua silinder DOHC 649 cc berkuasa 68 PS dan 65.7 Nm tork.

    Selain daripada itu, penggunaan model wanita yang berbadan tidak terlalu besar juga memberi bayangan seakan motosikal ini akan lebih mudah didekati pelbagai golongan dan tidak begitu menakutkan. Bersama kita tunggu berita selanjutnya daripada Kawasaki dan mungkinkah ia akan didedahkan sepenuhnya waktu pameran EICMA November nanti?

     
     
  • BMW iX xDrive40 dilancarkan di Malaysia – CBU, 322 hp dan 630 Nm, jarak 425 km, harga dari RM420k

    BMW iX xDrive40 dilancarkan di Malaysia – CBU, 322 hp dan 630 Nm, jarak 425 km, harga dari RM420k

    BMW Malaysia telah pun melancarkan SUV EV iX, yang boleh didapati dengan versi – xDrive40 dan xDrive40Sport. Pra-tempahannya juga telah mula diambil, dengan harga bermula RM419,630 (atas jalan tanpa insurans) bagi xDrive40 dan tambahan RM53,000 bagi versi Sport dengan harga keseluruhan cecah RM472, 630.

    Harga ini disertakan dengan waranti selama dua tahun, tetapi jika anda inginkan waranti lanjutan dan pakej servis, harga bagi xDrive40 boleh meningkat sehingga RM435,800, sementara xDrive40 Sport pula menjadi RM488,800. Kenderaan elektrik ini juga didatangkan dengan bateri bersama waranti lapan-tahun/160,000 km.

    Untuk makluman, harga tersebut tidak termasuk dengan pengecualian cukai jualan yang sedang berlangsung – 50% bagi model import-sepenuhnya (CBU) – dan unit untuk pelanggan hanya akan memasuki Malaysia pada tahun hadapan.

    Dan jika anda ingin menambah Power Package, kos tambahan sebanyak RM4,600, yang membolehkan anda menerima BMW i Wallbox dan BMW Public Charging Cable.

    Untuk xDrive40, ia menampilkan dua motor elektrik, dengan diletakkan pada setiap satu gandar yang menyalurkan pacuan semua-roda. Ia memberikan kuasa hingga 326 PS (322 hp atau 240 kW) dan tork 630 Nm, yang membolehkannya dipecut dari titik sifar ke 100 km/j dalam 6.1 saat dan kelajuan maksimum mencecah 200 km/j.

    Kuasa yang disalurkan untuk e-motor dijanakan dari bateri lithium-ion dengan kapasiti tenaga 76.6 kWh (71 kWh) yang mampu memberikan jarak sehingga 425 km mengikut standard WLTP. Untuk pengecasan, xDrive40 menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW menerusi sambungan Type 2, dengan pengecasan penuh mengambil masa sekitar tujuh jam dan 15 minit.

    xDrive40 juga menyokong penggunaan pengecasan pantas DC sehingga 150 kW menerusi sambungan CC52, yang membolehkan SUV tersebut dicas antara 10-80% dalam 31 minit. Sebagai sebahagian daripada promosi pra-tempahan sehingga 22 September 2021, BMW Malaysia juga memberikan 50 pelanggan pertama iX dengan pemasangan pengecasan percuma (tetapi anda perlu membeli sendiri pengecas) dan satu-tahun akses bagi pengecasan awam, yang disediakan dengan rangkaian ChargEV oleh GreenTech Malaysia.

    BMW iX xDrive40 dilancarkan di Malaysia – CBU, 322 hp dan 630 Nm, jarak 425 km, harga dari RM420k

    Bagi kelengkapannya, xDrive40 didatangkan dengan ciri standard termasuk lampu utama LED dengan bantuan lampu tinggi, roda aerodinamik 21-inci serta bingkai dekoratif moulding dan penutup tingkap dengan rona hitam berkilat.

    Untuk dalaman pula, ia diberikan sistem Live Cockpit Professional dengan paparan kluster instrumen digital 12.3-inci dan juga paparan skrin sesentuh sentral 14.9-inci – yang kedua-duanya dikuasakan oleh BMW Operating System 8 baharu.

    Ia turut menawarkan kabin dengan pakej dalaman Atelier bersama kawalan dan komponen terpiilih dalam rona Gold Bronze. Sementara itu, tempat duduk, papan pemuka, konsol tengah dan perehat tangan tengah diberikan kemasan kulit sintetik Sensatec. Tempat duduk hadapan larasan kuasa juga hadir dengan fungsi memori untuk pemandu, pengecas tanpa wayar dan sistem bunyi HiFi.

    Jika berminat dengan pakej Sport, rodanya boleh ditukar ke unit yang lebih besar bersaiz 22-inci, sementara lampu utama boleh dipilih dengan unit BMW Laserlight. Pakej ini juga termasuk dengan ciri Sport Line termasuk brek sport dengan kaliper brek biru, rekaan yang lebih gelap untuk pencahayaan serta kemasan krom pada gril radiator dan rekaan baharu untuk tirai udara hadapan.

    Klik untuk besarkan

    Ciri lain yang didatangkan dengan kos RM53,000 termasuklah bumbung kaca panoramik Sky Lounge, sistem bunyi Harmon Kardon 18-pembesar suara, anthracite headliner, sementara bahagian dalaman menerima Clear&Bold dengan kaca kristal dan kemasan kayuan.

    Untuk keselamatan dan bantuan pemandu, xDrive40 menerima pakej Bantuan Pemanduan dengan amaran ketibaan lorong, amaran menukar lorong, amaran pelanggaran hadapan dengan AEB, amaran lintasan trafik belakang dan pengelak pelanggaran belakang. Selain itu, ia turut diberikan Bantuan Parkir BMW dengan bantuan mengundur, kawalan jarak parking aktif dan kamera pandangan belakang serta kawalan kelajuan pasif.

    Jika anda menambah pakej Sport, ciri lain yang bakal anda dapat termasuklah sistem pemantauan tekanan tayar, Parking Assistant Plus dan kamera pandangan sekeliling, bersama pakej Driving Assistant Professional yang merangkumi kawalan kelajuan adaptif, bantuan kawalan lorong dan stereng, bantuan pengehad kelajuan automatik dan evasion assistant.

    BMW Malaysia juga merancang untuk memasukkan xDrive50 dalam barisan iX pada masa akan datang, yang telah pun dijual di Thailand, tetapi masih belum ada harga untuk varian tersebut. Jika mahu, anda boleh mendaftarkan minat untuk model tersebut atau untuk iX3 atau iX4.

     
     
  • BMW iX3 sah akan tiba di Malaysia dalam versi facelift dengan kuasa 286 PS, 400 Nm dan jarak gerak 460 km

    BMW iX3 sah akan tiba di Malaysia dalam versi facelift dengan kuasa 286 PS, 400 Nm dan jarak gerak 460 km

    Selepas model iX dilancarkan, BMW Malaysia juga mengesahkan bahawa satu lagi SUV elektrik yang lebih kecil, iaitu iX3 juga akan dibawa ke negara kita. Model ini sebenarnya telah didedahkan terlebih dahulu berbanding iX – pada Jun 2020 – tetapi baru sahaja menerima facelift mengikut X3 baru.

    Disebabkan itu, iX3 akan tiba lambat sedikit, berkemungkinan pada waktu hampir sama seperti i4 ataupun X3 facelift. Kita juga dapat mengetahui, Malaysia akan menerima iX3 versi facelift (tidak seperti Thailand dan Singapura) kerana laman web rasmi mereka menunjukkan gambar versi tersebut.

    Spesifikasi iX3 untuk Malaysia masih belum diberitahu, tetapi kita boleh membuat jangkaan kerana di pasaran antarabangsa ia hanya datang dalam satu spesifikasi sahaja, iaitu menggunakan motor elektrik berkuasa 210 kW (286 PS) dan 400 Nm tork di belakang. Dengannya, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum 180 km/j.

    iX3 juga dilengkapi dengan bateri 74 kWh, yang boleh memberikan jarak gerak 460 km sekali cas. Pengecas standard yang diberi dapat menerima kuasa AC triple-phase sehingga 11 kW (7.4 kW bagi single-phase), dan mengambil masa 7.5 jam untuk memenuhkan baterinya. Ia juga boleh digunakan dengan pengecas pantas DC sehingga 150 kW, yang boleh menaikkan tahap bateri dari 10% ke 80% dalam masa cuma 32 minit dan memberikan tambahan jarak gerak 100 km selepas dicas 10 minit.

    Peningkatan visual pada model facelift ini mengikuti apa yang dilakukan pada X3, termasuklah lampu hadapan lebih nipis, gril lebih besar serta lampu belakang tiga dimensi. Pakej M Sport diberikan terus, di mana ia menjadikan rupanya lebih sporty dengan bukaan udara besar pada bampar, kemasan keliling badan sama warna serta diffuser yang besar di belakang.

    Di bahagian dalam, iX3 menerima perubahan rekaan yang ketara, dengan papan pemuka baru lebih tajam dan mendapat beberapa elemen daripada 3 Series G20 termasuk tombol gear dan butang berhampirannya. Skrin sesentuh di bahagian tengah kini lebih besar (12.3 inci), dan ia menjadi sebahagian daripada BMW Live Cockpit Professional yang juga memberikan panel instrumen digital 12.3 inci.

     
     
  • Mercedes-Benz C-Class, S-Class & EQS baru mampu kesan lubang jalan, bagi amaran pada pemandu

    Mercedes-Benz C-Class, S-Class & EQS baru mampu kesan lubang jalan, bagi amaran pada pemandu

    Mercedes-Benz sudah pun memperkenalkan sistem terhubung yang digelar “Car-to-X Communication” sejak tahun 2016 yang mampu memberikan pelbagai informasi kepada pemandu berkenaan halangan yang berada di hadapan ketika memandu. Dan menerusi sistem kawalan casis baharu pada model generasi baharu C-Class W206, S-Class W223 dan model elektrik penuh EQS, sistem berkenaan kini mampu untuk mengesan lubang dan juga bonggol pada jalan seterusnya memberikan amaran kepada pemandu.

    Ketiga-tiga model berkenaan boleh mengesan lubang atau bonggol menerusi bacaan kadar mampatan dan lantunan secara tiba-tiba pada suspensi, dan ia turut dikesan menerusi gandar hadapan dan belakang dengan sela masa tertentu. Selepas mengesan lubang dan bonggol berkenaan menerusi sistem navigasi, maklumat berkenaan lokasinya akan dikongsi kepada sistem Cloud Mercedes-Benz secara masa sebenar menerusi jaringan telefon mudah alih, dan dikongsi kepada pengguna servis Car-to-X Communication yang lain.

    Jadi apabila pemandu C-Class, S-Class dan EQS lain menghampiri kawasan yang telah dikesan mempunyai lubang dan bonggol berkenaan (10-saat sebelum sampai), amaran secara lisan berbunyi “Look out, pothole!” atau “Attention, speed bump” bersama ikon yang boleh dilihat akan keluar menerusi sistem infotainmen kereta.

    Mercedes-Benz C-Class, S-Class & EQS baru mampu kesan lubang jalan, bagi amaran pada pemandu

    Mercedes-Benz expands Car-to-X communication: new information is sent to all vehicles that feature that service
    Mercedes-Benz expands Car-to-X communication: new information is sent to all vehicles that feature that service

    Menurut Mercedes-Benz, sistem ini telah dibangunkan sendiri sepenuhnya oleh mereka dan telah diuji di Pusat Ujian dan Teknologi Immendingen (PTZ) serta lokasi-lokasi lain. Sebanyak 30 laluan ujian tersedia di tapak berkeluasan 520 hektar berkenaan, termasuk litar keselesaan yang mempunyai semua jenis bonggol dan lubang jalan.

    Bagi mengaktifkan fungsi ini pemilik bukan sahaja perlu melanggan sistem Car-to-X Communication secara atas talian, malah mereka juga perlu mempunyai akaun Mercedes me. Menurut Mercedes-Benz lagi, sistem amaran ini kini sudah ditawarkan pada pasaran-pasaran terpilih seluruh dunia, dalam semua 36 bahasa yang telah ditetapkan pada sistem infotainmen.

    Mercedes-Benz menyatakan bahawa sejak ia diperkenalkan pada 2016, servis Car-to-X Communication ini sudah boleh digunakan untuk memberikan amaran kepada sejumlah lebih dari tiga juta kenderaan di seluruh dunia.

    Ia bukan sahaja memberikan amaran terhadap lubang dan bonggol jalan sahaja, menerusi pelbagai penderia dan juga radar yang dilengkapkan pada kereta, sistem ini turut memberikan amaran berkenaan angin lintang, kereta rosak dan kemalangan di hadapan, risiko jalan licin/berais, hujan lebat, kabus, kawasan pembinaan dan sebagainya.

    GALERI: Mercedes-Benz C-Class W206

    GALERI: Mercedes-Benz S-Class W223

    GALERI: Mercedes-Benz EQS

     
     
  • Porsche Taycan 2022 – model kemaskini dengan jarak gerak lebih jauh, caj lebih cepat dan pelbagai lagi

    Porsche Taycan 2022 – model kemaskini dengan jarak gerak lebih jauh, caj lebih cepat dan pelbagai lagi

    Selepas dua tahun diperkenalkan, kereta elektrik keluaran Porsche iaitu Taycan kini hadir dalam versi yang dikemaskini untuk model tahun 2022. Ia menampilkan rupa yang serupa dari versi sebelum ini, namun diberikan tingkat taraf terhadap fungsi motor elektrik, sistem terhubung dalam kereta dan juga sistem bantuan pemanduan keselamatan.

    Taycan 2022 ini masih menampilkan unit rangkaian kuasa yang sama dengan model asas Taycan menjana 408 PS, Taycan 4S menjana 530 PS, Taycan Turbo berkuasa 680 PS dan Taycan Turbo S berkuasa 761 PS. Tetapi sistem operasi motor-motor elektrik berkenaan telah disemak semula bagi beroperasi dengan lebih efisien.

    Bagi model-model yang datang dengan pacuan semua roda menerusi pemadanan dua motor elektrik (Taycan 4S, Taycan Turbo dan Taycan Turbo S), motor pada gandar hadapan kini hampir tidak digunakan ketika pedal pendikit ditekan sedikit pada mod pemanduan Normal dan Range.

    Pada semua model pula, motor elektrik yang dibekalkan turut akan dimatikan ketika kereta dipandu dalam keadaan meluncur (pedal pendikit tidak ditekan) dan juga ketika tidak bergerak, bagi menjimatkan penggunaan tenaga. Menurut Porsche, model 2022 ini tidak dibawa untuk dihomologasi sekali lagi bagi mendapatkan bacaan penggunaan tenaga WLTP, namun mereka menjanjikan kadar penggunaan tenaga dunia sebenar yang lebih baik untuk pemanduan harian.

    Porsche turut mengemaskini fungsi pengurusan suhu serta pengecaj pada Taycan 2022 ini. Kini, fungsi Turbo Charging Planner mampu untuk memanaskan sedikit bateri bagi membolehkan sistem caj cepat DC dapat berfungsi pada tahap maksima sejurus selepas palam dipasang.

    Walau bagaimanapun, kadar caj maksima yang mampu diterima masih terhad kepada 270 kW (225 kW untuk model 4 dan 4S). Sistem ini juga menggunakan lebih banyak haba buangan dari komponen-komponen eletrkik bagi menyelia suhu bateri.

    Porsche Taycan 2022 – model kemaskini dengan jarak gerak lebih jauh, caj lebih cepat dan pelbagai lagi

    Perincian-perincian baharu lain yang turut dipadankan pada Taycan 2022 ini termasuk bantuan parkit jarak jauh yang membolehkan ia memarkir sendiri dalam kedudukan selari atau serenjang tanpa pemandu perlu berada dalam kereta, menggunakan aplikasi telefon pintar Porsche Connect.

    Sistem infotainmen Porsche Communication Management (PCM) turut dikemaskini, bagi memberikan hubungan Android Auto (Apple CarPlay sudah sedia ada), kawalan arahan suara lebih semula jadi, pengiraan laluan navigasi lebih pantas serta rombakan kecil dibuat pada skrin antaramuka.

    Akhir sekali, Taycan kini sudah boleh ditempah dengan Paint to Sample, menawarkan pembeli dengan pilihan warna yang lebih luas. Imej Taycan 2022 yang anda lihat ini telah menerima warna Rubystar Red, iaitu warna hero untuk model klasik Porsche 911 964 Carerra RS. Ia juga ditawarkan dengan Paint to Sample Plus bagi memadankan apa jua warna pada Taycan anda yang dirasakan sesuai. Kesemua perubahan ini turut diberikan pada model wagon/crossover Taycan Cross Turismo.

     
     
  • Harga minyak 26 Ogos-1 Sept – RON97 turun 2 sen

    Harga minyak 26 Ogos-1 Sept – RON97 turun 2 sen

    Setelah tiga minggu berturut-turut, semua harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api di negara ini kekal, nampak gayanya ada perubahan untuk minggu bertarikh 26 Ogos hingga 1 September 2021. Di mana harga runcit bagi petrol RON97 dilaporkan turun sebanyak 2 sen seliter, kini menjadi RM2.72 seliter berbanding RM2.74 seliter sebelum ini.

    Manakala untuk tempoh minggu yang sama, tiada perubahan harga runcit untuk petrol RON 95 yang masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Harganya tidak berubah sejak Februari yang lalu.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 yang masih kekal pada RM2.15 seliter, manakala gred Euro 5 B7 juga dikekalkan pada paras RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan iaitu pada 1 September 2021.

     
     
  • PPN Fasa 1: Berapa orang dalam 1 kereta? Boleh rentas daerah atau negeri? Bagaimana Grab, teksi?

    PPN Fasa 1: Berapa orang dalam 1 kereta? Boleh rentas daerah atau negeri? Bagaimana Grab, teksi?

    Kementerian Pengangkutan telah mengingatkan orang ramai tentang kapasiti penumpang di dalam kenderaan bagi negeri-negeri yang masih berada di bawah Fasa 1 dalam Pelan Pemulihan Nasional (PPN) adalah kini bergantung sama ada mereka telah lengkap divaksinasi atau pun dos vaksin yang tidak lengkap, gambaran jelas boleh dilihat menerusi muat naik di Facebook yang disertakan dengan infografik Bernama.

    Pada 20 Ogos lalu, kerajaan telah mengumumkan kini jumlah penumpang adalah bergantung pada kapasiti tempat duduk dalam kenderaan jika anda telah lengkap vaksinasi. Dengan vaksinasi lengkap, ini bermakna individu tersebut bukan sahaja telah menerima suntikan dua dos, tetapi perlu selesai tempoh 14 hari selepas menerima dos kedua (untuk Pfizer, AstraZeneca atau Sinovac), atau 28 hari untuk vaksin tunggal seperti Johnson & Johnson dan CanSino.

    Untuk mereka yang belum dilengkapi vaksinasi perlulah terus ikut pematuhan sebelum ini iaitu hanya dua orang sahaja dalam satu kereta, iaitu mesti dari rumah yang sama untuk membeli barangan keperluan. Kelonggaran diberikan untuk maksimum tiga orang dalam kereta bagi tujuan perubatan atau kecemasan, termasuk individu yang memerlukan rawatan.

    PPN Fasa 1: Berapa orang dalam 1 kereta? Boleh rentas daerah atau negeri? Bagaimana Grab, teksi?

    Untuk perkhidmatan teksi dan e-hailing, masih kekal maksimum dua orang termasuk pemandu, dan penumpang perlu duduk di tempat duduk belakang.

    Untuk pengumuman mengikut prosedur operasi standard (SOP) terbaharu itu, tidak lagi dinyatakan pergerakan terhad dalam jarak 10 km, tetapi masih tidak dibenarkan untuk merentas daerah dan negeri. Walau bagaimana pun, ia diberikan kelonggaran untuk pasangan jarak jauh, ibu bapa melawat anak di bawah 18 tahun dan yang mendapat kebenaran pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025