Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • GALERI: DFSK Glory 580 1.5T di Malaysia – RM89,470, 7-tempat duduk, 1.5L Turbo, CVT, CBU dari Indonesia

    GALERI: DFSK Glory 580 1.5T di Malaysia – RM89,470, 7-tempat duduk, 1.5L Turbo, CVT, CBU dari Indonesia

    Minggu lalu kami dah laporkan bahawa SUV dengan saiz segmen-C yang diberikan tujuh-tempat duduk dari jenama China iaitu DFSK Glory 580 telah pun mendarat ke pasaran Malaysia. Dan hari ini kami sajikan kepada anda unit sebenar untuk pasaran tempatan ini dalam satu galeri komprehensif.

    Walaupun jenama Dong Feng Sokon (DFSK) ini berasal dari China, unit CBU untuk pasaran Malaysia ini adalah dari versi pemasangan kilang jenama berkenaan yang terletak di Serang, Indonesia. SUV tujuh tempat duduk dengan saiz seperti Honda CR-V dan Proton X70 ini dijual dengan harga yang jauh lebih rendah iaitu RM89,470 atas jalan tanpa insuran – lebih kurang macam Honda BR-V dan Mitsubishi Xpander.

    Di sini DFSK Glory 580 hanya ditawarkan dalam varian tunggal Luxury dan dijual oleh Dongfeng Commercial Vehicle Malaysia, yang juga pengedar untuk trak komersial ringan Dongfeng Supercab. Ia hadir dalam empat warna badan iaitu Glorious Metallic Red, Elegant White, Phantom Black dan Champagne Silver serta turut dilindungi oleh waranti selama lima-tahun atau 150,000 km.

    Glory 580 juga dijana oleh enjin yang setara dengan saingan SUV segmen-C lain, menampilkan enjin 1.5 liter turbo yang menjana 150 PS dan tork maksima 220 Nm bermula 1,800 hingga 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT automatik yang turut diberikan mod manual, dan kuasa dialirkan hanya pada roda hadapan.

    GALERI: DFSK Glory 580 1.5T di Malaysia – RM89,470, 7-tempat duduk, 1.5L Turbo, CVT, CBU dari Indonesia

    Dari segi dimensi, SUV ini dihasilkan dengan saiz 4,680 mm panjang, 1,845 mm lebar, bersama jarak roda 2,780 mm. Jika dibandingkan dengan Proton X70, Glory 580 ini adalah 161 mm lebih panjang, 14 mm lebih lebar serta jarak roda 110 mm lebih jauh.

    Tempat duduk baris ketiga untuk SUV ini dihasilkan kecil seperti Honda CR-V dan Nissan X-trail dalam versi tujuh tempat duduk seperti yang dijual pada pasaran tertentu. Tempat duduk baris kedua dan ketiga pada SUV ini boleh dilipat rata bagi memberikan ruang kargo tambahan jika anda perlukannya. Malah ia turut diberikan ruang bawah lantai tambahan untuk anda simpan penutup tonneau yang telah dicabut.

    Glory 580 ialah SUV dengan kerangka badan unibody dan diberikan suspensi jenis topang McPherson di hadapan dan torsion beam di belakang. Ia turut diberikan brek cakera di hadapan dan belakang, serta diberikan rim bersaiz 17-inci.

    Tipikal sebuah model dari China, Glory 580 ini menampilkan rekaan ‘rojak’ dari pelbagai jenama lain. Mukanya direka seakan Honda HR-V, profil sisi nampak seperti Hyundai Santa Fe generasi sebelum ini, manakala rekaan belakang pula nampak seperti Audi Q5 generasi pertama dengan rekaan lampu yang diletak pada pintu tailgate sepenuhnya.

    GALERI: DFSK Glory 580 1.5T di Malaysia – RM89,470, 7-tempat duduk, 1.5L Turbo, CVT, CBU dari Indonesia

    Manakala rekaan dalaman pula banyak “inspirasi” yang diambil dari Volkswagen. Walau bagaimanapun, jangan pula anda mengharapkan kualiti material pada SUV ini setanding dengan jenama-jenama yang ‘diinspirasikan’ tersebut. Apa yang anda bayar, itulah yang akan anda dapat.

    Untuk kelengkapan, model pasaran Malaysia ini diberikan ciri-ciri yang sama dengan varian Luxury pada pasaran Indonesia. Ia dibekalkan dengan tempat duduk balutan kulit dengan tema dua tona hitam-perang yang turut meliputi bahagian panel pintu, tempat duduk pemandu larasan elektrik, bumbung suria, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, cruise control dan dashcam secara standard.

    Ia turut diberikan roda stereng pelbagai fungsi, pemantau tekanan angin tayar dengan paparan MID tanpa warna, brek parkir elektronik, kamera undur, skrin infotainmen 10-inci lengkap dengan sistem navigasi.

    Khas untuk penumpang belakang, Glory 580 turut dilengkapi pendingin hawa dengan motor penghembus kabin belakang bersama panel kawalan berasingan – ia bukan diletakkan secara melintang, tetapi diposisikan secara menegak pada kedua-dua sisi kabin bagi memastikan setiap penumpang dibaris kedua dan ketiga menerima udara dingin berkenaan.

    Untuk keselamatan, SUV ini dibekalkan dengan sistem brek ABS bersama EBD, sistem kestabilan elektronik, empat beg udara dan juga cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix. Glory 580 ini masih belum diuji oleh ASEAN NCAP, namun menerusi ujian C-NCAP di China, ia telahpun menerima penarafan lima-bintang.

    Menurut Dongfeng Malaysia, mereka kini berada di Kuala Lumpur dengan ibu pejabat di kawasan perindustrian Batu Caves (berhampiran Nissan dan Cycle & Carriage) dan juga di negeri-negeri lain dalam Semenanjung Malaysia – kesemuanya bersedia bagi servis selepas jualan untuk Glory 580 ini.

    Kami juga diberitahu bahawa kumpulan pertama SUV ini yang terdiri dari 10-unit sudah pun habis dijual kesemuanya. Kumpulan seterusnya dari Indonesia akan sampai ke sini pada 2021. Dongfeng Malaysia juga merancang untuk memasang SUV ini secara pemasangan tempatan (CKD) pada tahun hadapan.

    Syarikat tersebut turut menyatakan bahawa sebelum operasi CKD berkenaan bermula, mereka turut akan membawa model Glory i-Auto, iaitu Glory 580 yang dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan lebih baik, serta menampilkan muka dan juga papan pemuka dengan rekaan berbeza.

    Unit berwarna hitam yang anda lihat ini pula telah digunakan sebagai unit ujian DongFeng Malaysia, di mana ia telah dipandu oleh pasukan jualan dan pemasaran ke seluruh semenanjung Malaysia, mencatatkan jarak hampir 18,000 km dalam masa hanya dua bulan, tanpa sebarang masalah.

     
     
  • Honda RoadSync bakal diperkenal untuk model 2021 – boleh sambung dengan telefon pintar, kawalan suara

    Honda RoadSync bakal diperkenal untuk model 2021 – boleh sambung dengan telefon pintar, kawalan suara

    Honda telah memperkenalkan RoadSync, iaitu satu aplikasi yang boleh digunakan bersama sistem sambungan Bluetooth Honda Smartphone Voice Control pada motosikal serta telefon pintar Android penunggang. Melaluinya, penunggang boleh menyimpan telefon waktu menunggang tetapi masih boleh mengawal fungsi penting yang diperlukan.

    Selain butang kawalan khas untuk sistem ini di bahagian pemegang, penunggang juga boleh menggunakan kawalan suara apabila ia disambungkan kepada headset di helmet penunggang. Sistem ini akan dipasang terus pada X-ADV, CB1000R serta Forza 750 tahun 2021 sementara Forza 350, ia akan dijual sebagai pilihan tambahan.

    Ada lima fungsi utama yang boleh dikawal oleh sistem sambungan ini iaitu navigasi, panggilan, mesej, muzik dan navigasi. Bagi setiap satu fungsi ini, operasinya akan terpapar di panel instrumen sekiranya aktif.

    Honda RoadSync bakal diperkenal untuk model 2021 – boleh sambung dengan telefon pintar, kawalan suara

    Untuk kawalan suara itu pula, ia bergantung kepada fungsi, seperti menetapkan destinasi untuk navigasi (setelah memasukkan lima pilihan destinasi lebih awal), membuat panggilan (setelah menyimpan lima nombor pilihan utama lebih awal) dan menghantar mesej (pilihan daripada lima mesej pendek yang telah disimpan).

    Selain paparan navigasi, sistem ini juga boleh menunjukkan ramalan cuaca sehingga lima jam ke hadapan serta keadaan di destinasi yang hendak dituju. Melalui sistem ini, penunggang dapat memberikan lebih fokus kepada tunggangan tapi dalam masa sama masih lagi boleh menikmati sambungan dengan telefon pintar.

     
     
  • Mitsubishi Galant generasi ke-10 – rekaan sudah dipatenkan pada 2009, tak jadi untuk diproduksi

    Mitsubishi Galant generasi ke-10 – rekaan sudah dipatenkan pada 2009, tak jadi untuk diproduksi

    Umum mengetahui, Mitsubishi buat masa sekarang memberikan fokus untuk menghasilkan model-model SUV dan trak pikap, dan kereta yang ada dalam barisan model mereka adalah pasangan kembar Mirage dan Attrage, manakala Lancer pula hanya dijual pada pasaran China dan Taiwan dan masih menggunakan platform yang telahpun berusia 13-tahun.

    Ini adalah kerana Mitsubishi telah mengharungi pelbagai masalah termasuk berberapa skandal syarikat, menyebabkan sumber kewangan mereka untuk R&D terbatas, dan model-model SUV baharu yang dihasilkan betul-betul ditumpukan apa yang mendapat sambutan dalam pasaran buat masa sekarang, serta menggunakan pengetahuan mereka dalam kejohanan rali dunia (WRC) dan Rali Dakar satu ketika dahulu.

    Namun tahukah anda, pada 2009 Mitsubishi telahpun memfailkan rekaan terhadap model sedan segmen-D mereka iaitu Mitsubishi Galant untuk versi generasi ke-10? Perkara ini terdedah apabila fail lukisan paten tersebut ditemui di Pejabat Tanda Perniagaan dan Paten Jepun, disiarkan oleh portal Auto Industriya.

    Mitsubishi Galant generasi ke-10 – rekaan sudah dipatenkan pada 2009, tak jadi untuk diproduksi

    Seperti yang anda boleh lihat, Galant generasi ke-10 ini dihasilkan dengan muka hampir seiras dengan Lancer pada era tersebut. Manakala secara keseluruhan, ia sebenarnya adalah versi produksi yang dirancang untuk model konsep Mitsubishi Concept-ZT yang didedahkan ketika berlangsungnya Tokyo Motor Show 2007.

    Berbanding Lancer, sudah tentu Galant ini menampilkan saiz badan lebih besar, dan ia juga tidak diberikan bahagian but yang tinggi. Malah panel plat pendaftaran belakang juga direka pada penutup but, berbanding pada bampar untuk Lancer.

    Kenapa Mitsubishi tidak meneruskan projek ini? Seperti yang disebutkan tadi, ketika ini Mitsubishi mula menyusun semula strategi perniagaan mereka, menyebabkan Galant terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pesaing-pesaing segmen-D yang lain seperti Honda Accord, Toyota Camry dan Nissan Teanna.

    Agak-agak kalau Galant generasi ke-10 ini masuk ke pasaran, enjin apa yang akan diguna ya? Untuk model generasi ke-sembilan, Galant pasaran Amerika Syarikat diberikan enjin 2.4 liter empat-silinder MIVEC berkuasa 160 hp bersama kotak gear automatik empat-kelajuan, dan juga versi 3.8 liter V6 MIVEC bersama kotak gear automatik lima-kelajuan.

    Manakala pada model Concept-ZT 2007 pula, ia menerima enjin 2.2 liter turbodiesel berkuasa 188 hp dan tork maksima 400 Nm. Jadi berkemungkinan kesemua pilihan enjin ini akan diberikan pada model generasi ke-10 tersebut. Turut dilaporkan, Concept-ZT dihasilkan dengan dimensi 4,950 mm panjang, 1,820 mm lebar dan jarak roda 2,815 mm – saiz Galant generasi ke-10 berkenaan mungkin tidak jauh dari angka-angka ini.

     
     
  • Hyundai Palisade dilancarkan di Indonesia – SUV tiga barisan, tiga varian janaan diesel, harga dari RM223k

    Hyundai Palisade dilancarkan di Indonesia – SUV tiga barisan, tiga varian janaan diesel, harga dari RM223k

    Pertama kali diperkenalkan pada November 2018, Hyundai Palisade telah dijual di beberapa pasaran kenderaan pemanduan sebelah-kiri (LHD) termasuk negara kelahirannya, Korea Selatan serta Amerika Utara dan Filipina.

    Pada Oktober tahun ini, CarAdvice turut mengesahkan SUV bersaiz besar dengan tiga barisan tempat duduk ini telah dipasang dalam bentuk pemanduan sebelah-kanan (RHD) untuk pasaran Australia dan New Zealand. Versi RHD ini juga dipasang di kilang produksi Hyundai di Ulsan, dan jualannya dijadualkan bermula awal 2021.

    Walau bagaimana pun, Australia dan New Zealand bukan hanya negara yang menerima kemasukan Palisade, malah baru-baru ini Hyundai Indonesia telah mengumumkan model berkenaan akan memasuki bilik pameran di negara Asia Tenggara pada Januari 2021. Maka, adakah negara kita juga bakal menerima kedatangannya? Belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenainya.

    Hyundai Palisade dilancarkan di Indonesia – SUV tiga barisan, tiga varian janaan diesel, harga dari RM223k

    Susulan itu, Hyundai Mobil Indonesia telah mula membuka tempahan untuk SUV ini, yang ditawarkan dengan tiga varian. Bagi model asasnya, Prime, ia ditawarkan dengan harga 777 juta rupiah (RM222,821), diikuti dengan Signature berharga 888 juta rupiah (RM254,653) dan model spesifikasi penuh, Signature 4WD pula berharga 1.078 bilion rupiah (RM309,139).

    Menurut laporan oleh Kompas, Detik dan Otomotifnet, ketiga-tiga varian berkenaan dijanakan oleh enjin 2.2 liter CRDi empat-silinder turbodiesel yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 200 PS (197 hp) dan tork 441 Nm. Penjana kuasa ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan, kecuali model spesifikasi tertinggi yang didatangkan dengan pacuan semua-roda.

    Bagi kelengkapannya, Palisade diberikan pencahayaan LED, roda aloi 18-inci (Prime) dan 20-inci (Signature dan Signature 4WD), sistem mod pemanduan (Comfort, Eco, Sport dan Smart), Multi Terrain Control dan tailgate larasan kuasa.

    Hyundai Palisade dilancarkan di Indonesia – SUV tiga barisan, tiga varian janaan diesel, harga dari RM223k

    Bagi ciri dalamannya pula, SUV ini diberikan bentangan 2-2-3 tempat duduk, iaitu boleh memuatkan tujuh penumpang. Di mana barisan kedua diberikan tempat duduk kapten. Selain itu, kulit Nappa dan dwi bumbung suria turut diberikan pada varian Signature, sementara kelengkapan lain termasuk tujuh USB port, pengecas tanpa wayar, kawalan suhu tiga-zon dengan air ioniser, bersama tempat duduk dengan fungsi haba dan pengaliran udara (untuk barisan pertama dan kedua).

    Selain itu, Prime menerima paparan kluster meter pelbagai-info 3.5-inci dan sistem infotainmen skrin sesentuh lapan-inci. Manakala dua varian tertinggi pula menerima skrin lapan-inci yang untuk bahagian pemandu, dan paparan skrin sesentuh 10.25-inci untuk sistem infotainmen, yang turut menyokong ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Bagi aspek keselamatannya, ia diberikan enam beg udara, paparan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, Safe Exit Assist, kepekaan penumpang belakang dan beberapa sistem pasif. Palisade juga akan ditawarkan dengan beberapa pilihan warna luaran termasuk Timeless Black, White Cream, Steel Graphite dan Moonlight Cloud, manakala warna dalaman pula diberikan sama ada hitam, hitam dan Burgundy, Navy dan Warm Grey.

     
     
  • Hyundai N dilapor sedang bangunkan enjin prestasi tinggi baharu – 2.3 liter turbo, redline 7,000 rpm

    Hyundai N dilapor sedang bangunkan enjin prestasi tinggi baharu – 2.3 liter turbo, redline 7,000 rpm

    Sayap perlumbaan dan divisi prestasi Hyundai iaitu Hyundai N dilaporkan kini sedang membangunkan enjin baharu untuk model produksi jalan raya mereka, menurut portal automotif Korea Selatan, Khan.

    Buat masa sekarang, model-model prestasi tinggi produksi jalan raya jenama berkenaan seperti i30 N dan Veloster N dijana oleh enjin 2.0 liter turbo berkuasa 280 PS/392 Nm, serta enjin lebih kecil 1.6 liter turbo berkuasa 204 PS/275 Nm pada i20 N. Untuk enjin baharu ini, ia dilaporkan turut menampilkan pengecas turbo, namun dengan kapasiti lebih besar iaitu 2.3 liter!

    Laporan tersebut turut menyebut bahawa Hyundai N membangunkan enjin tersebut dengan pengetahuan yang diperolehi dalam Kejuaraan Rali Dunia (WRC) dan menghasilkan blok enjin, gasket bersama kepala silinder dengan ketahanan yang sama seperti jentera WRC mereka, yang telah pun terbukti merangkul gelaran juara dunia dalam kategori pengeluar untuk musim 2019 dan 2020.

    Hyundai N dilapor sedang bangunkan enjin prestasi tinggi baharu – 2.3 liter turbo, redline 7,000 rpm

    Ini membolehkan enjin tersebut bukan sahaja menampilkan beban mekanikal yang rendah, malah enjin dengan kapasiti besar yang didesak pengecas turbo tersebut mampu menjerit hingga 7,000 rpm dengan selamat, kurang hanya 1,500 rpm berbanding enjin perlumbaan i20 N Coupe WRC mereka.

    Walau bagaimanapun, perincian lain untuk enjin ini seperti jumlah kuasa sebenar dan juga kereta apa yang akan menerimanya masih belum didedahkan. Tapi ia sangat jelas bahawa Hyundai N amat serius dalam menghasilkan model-model produksi prestasi tinggi mereka dan bakal muncul dengan pelbagai model lebih seronok selepas ini!

     
     
  • Modenas Kriss 110 kini dilengkapi brek cakera depan – bahagian lain turut dipertingkat, harga RM3,877

    Modenas Kriss 110 kini dilengkapi brek cakera depan – bahagian lain turut dipertingkat, harga RM3,877

    Modenas telah melancarkan varian baru bagi Kriss 110 yang kini telah dinaik taraf pada beberapa bahagian termasuk penampilan serta cirinya. Model baru ini dijual pada harga RM3,877 tidak termasuk insurans, iaitu lebih RM500 berbanding Kriss 110 yang dilancarkan pada September tahun lepas.

    Peningkatan utama pada model ini adalah brek, di mana untuk bahagian hadapan, ia sekarang datang dengan brek cakera serta angkup dua piston sementara di bahagian belakang masih lagi menggunakan jenis dram. Sebagai sebuah motosikal mampu milik, ia masih tidak dilengkapi dengan ABS.

    Kemudiannya, beberapa ciri telah dipertingkat, termasuk lampu yang menggunakan jenis multi reflector, pengecas USB di bawah tempat duduk, lampu kecemasan (hazard light), paparan panel meter yang diubah untuk menunjukkan kedudukan gear secara digital serta tempat duduk yang lebih selesa hasil penggunaan bahan baru.

    Bahagian enjin masih lagi sama seperti Kriss 110 yang dilancarkan sebelum ini, iaitu unit satu silinder SOHC penyejukan udara 107 cc (karburetor) bersama padanan kotak gear empat kelajuan yang mampu menghasilkan kuasa 6.6 hp pada 8,000 rpm dan 6.7 Nm tork pada 6,000 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 4.2 liter dan ia juga datang dengan pemula enjin jenis elektrik.

    Selain warna biru dan hitam yang telah diperkenalkan sebelum ini, Kriss 110 2020 yang menggunakan brek cakera hadapan ini turut ditawarkan dengan satu piihan warna baru iaitu merah. Setiap pembelian diberikan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • CEVT jelaskan bahawa enjin 1.5L 3-silinder Proton X50 sama adalah dengan enjin Volvo XC40 Recharged T5

    CEVT jelaskan bahawa enjin 1.5L 3-silinder Proton X50 sama adalah dengan enjin Volvo XC40 Recharged T5

    Sebelum ini ada laporan yang mengatakan bahawa enjin yang digunakan pada Proton X50 dan Geely Binyue adalah tidak sama dengan enjin 1.5L turbo tiga-silinder pada SUV kompak XC40 versi plug-in hybrid (PHEV) iaitu XC40 Recharged T5.

    Namun ketika sesi temu ramah bersama Dr. Håkan Sandquist, pengarah strategi trenkuasa Geely di China Euro Vehicle Technology (CEVT) baru-baru ini, beliau sendiri mendedahkan bahawa enjin yang digunakan oleh ketiga-tiga SUV berkenaan sememangnya dari keluarga yang sama.

    Buat masa sekarang, Volvo XC40 pasaran Malaysia masih hanya ditawarkan dalam versi T5 AWD yang dijana oleh enjin Drive-E 2.0 liter turbo tanpa sistem hibrid. Walau bagaimanapun, model T5 Recharged yang menggunakan enjin 1.5 liter tersebut telah pun dilancarkan di Thailand bulan lalu, dan ia adalah versi CBU yang diimport dari kilang Volvo di Shah Alam, Selangor.

    Jadi model dalam versi lebih mesra alam berkenaan mungkin akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat. Volvo XC40 T5 Recharged ini bukan sahaja menggunakan enjin 1.5 liter yang sama dengan X50 dan Binyue, malah ia juga dibekalkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan 7DCT yang sama.

    CEVT jelaskan bahawa enjin 1.5L 3-silinder Proton X50 sama adalah dengan enjin Volvo XC40 Recharged T5

    New Volvo XC40 T5 plug-in hybrid

    Apa yang berbeza, model PHEV ini menerima motor elektrik yang dipadankan pada kotak gear berkenaan dan ia masih memacu roda hadapan – konfigurasi ini juga sebenarnya sama dengan Geely Binyue PHEV yang dijual pada pasaran China.

    Walau bagaimanapun, Dr Sandquist menjelaskan bahawa pakej akhir untuk kedua-dua versi enjin Volvo dan Geely/Proton ini adalah berbeza. Malah kedua-duanya juga menampilkan kod enjin mengikut konfigurasi jenama masing-masing, di mana enjin Volvo diberikan kod B3154T5, manakala pada Geely/Proton pula ia diberikan kod enjin JLH-3G15TD.

    Apa yang dimaksudkan dengan pakej akhir berkenaan? Enjin 1.5 liter pada Volvo T5 Recharged menghasilkan kuasa 180 PS, manakala untuk Proton X50 Flagship/Geely Binyue dijana enjin 1.5 liter dengan sistem suntikan terus (T-GDI) menghasilkan 177 PS/255 Nm – pastinya ada talaan dan berberapa komponen kecil lain antara kedua-dua enjin ini dihasilkan berbeza.

    Unik untuk pasaran Malaysia, X50 dalam tiga varian lebih rendah diberikan enjin 1.5 liter turbo yang sama tetapi hanya dibekalkan dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik (PFI). Versi ini menghasilkan kuasa lebih rendah iaitu 150 PS/226 Nm.

    CEVT jelaskan bahawa enjin 1.5L 3-silinder Proton X50 sama adalah dengan enjin Volvo XC40 Recharged T5

    Walaupun gandingan enjin dan transmisi antara Volvo XC40 dengan Proton X50/Geely Binyue ini adalah sama, kerangka asas badan kedua-dua model berkenaan adalah berbeza. XC40 dihasilkan dengan platform Compact Modular Architecture (CMA) Volvo, yang turut digunakan pada model Geely yang lebih premium seperti Xingyue, Xingrui dan berberapa model dari divisi mewahnya iaitu Lynk & Co.

    Manakala untuk Proton X50 dan Geely Binyue pula, ia diasaskan dari platform B-segment Modular Architecture (BMA), yang dihasilkan oleh Geely tanpa penglibatan terus dari Volvo.

    Seperti yang telah kami laporkan sebelum ini, barisan enjin dari keluarga 1.5 liter turbo ini dihasilkan oleh CEVT bagi digunakan untuk pelbagai projek Volvo Cars dan juga Geely Auto, serta jenama-jenama lain di bawah payung kumpulan tersebut termasuk Proton dan Lynk & Co. Sejak ia diperkenalkan, enjin ini telah digunakan pada lebih 600,000 kenderaan, manakala kotak gear 7DCT tersebut pula berada pada lebih satu juta kenderaan.

    Enjin modular dari keluarga Volvo Engine Architecture (VEA) ini dihasilkan dalam saiz yang kompak kerana direka bagi disesuaikan dengan teknologi elektrifikasi seperti sistem hibrid ringkas, penambah jarak, hibrid dan PHEV dengan mudah.

    CEVT jelaskan bahawa enjin 1.5L 3-silinder Proton X50 sama adalah dengan enjin Volvo XC40 Recharged T5

    Selain dari versi T-GDI dan PFI, barisan enjin ini turut menampilkan versi yang beroperasi dalam kitaran Miller – ia menjana kurang kuasa kuda kerana pemasaan injap bervariasinya dilaras bagi memberikan pengunaan bahan api yang lebih efisien, namun kuasa yang berkurang tersebut ditampung dengan penampilan motor elektrik pada sistem hibrid.

    Kami turut bertanya pada Dr Sandquist mengapa sela masa untuk servis pada XC40 Recharge T5 adalah 20,000 km, manakala pada Proton X50 pula hanya 10,000 km. “Sebenarnya, ini adalah soalan yang baik. Ia pastinya berasaskan kualiti minyak enjin dan berberapa perkara lain, tetapi saya tidak pasti perinciannya,” kata Dr. Sandquist.

    “Kami perlu tanya wakil pasaran tempatan. Tetapi ia adalah enjin asas yang sama, jadi satu-satunya perkara yang dapat saya fikirkan adalah perbezaan kualiti minyak enjin,” tambahnya lagi.

     
     
  • JPJ lantik Zailani Hj Hashim sebagai KP baharu

    Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah mengumumkan pelantikan Dato’ Zailani Hj. Hashim sebagai Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, bagi menggantikan Datuk Seri Shaharuddin Khalid yang memegang jawatan berkenaan sebelum ini.

    Dengan pengalaman luas bertugas di pelbagai kementerian dan agensi perkhidmatan awam, sebelum ini Zailani pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Pembangunan Ekosistem Keusahawanan di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Selain itu, beliau juga berpengalaman dalam bidang keselamatan dan ketenteraman awam termasuk pernah menjawat jawatan Pegawai Integriti dengan pengalaman bertugas di Kementerian Dalam Negeri.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, JPJ meyakini pelantikan ini akan terus memacu kecemerlangan jabatan berkenaan dalam menggalas amanah negara sebagai agensi utama yang mengawal selia hal ehwal pengangkutan jalan di negara ini.

     
     
  • X Street Mania Tour – tampil perlumbaan supermoto dari MSF, siri Drift dari Tengku Djan dan McClubz

    X Street Mania Tour – tampil perlumbaan supermoto dari MSF, siri Drift dari Tengku Djan dan McClubz

    Siri perlumbaan peringkat akar umbi dalam negara, Malaysia Speed Festival (MSF) kini bergandingan dengan Prince of Drift Tengku Djan Ley dan juga jenama budaya automotif tempatan McClubz bagi menganjurkan X Street Mania Tour, iaitu siri jelajah sukan permotoran yang bakal berlangsung pada 2021.

    Siri ini bakal menyajikan aksi-aksi lebih ‘liar’ untuk peminat sukan permotoran di Malaysia, dengan pusingan-pusingan yang akan diadakan di Subang Jaya, Melaka, Ipoh dan Terengganu, dengan perlumbaan seperti Supermoto dan juga drift. Setiap pusingan hujung minggu X Street Mania ini akan berlangsung selama dua hari, yang turut akan diserikan dengan persembahan lagak ngeri, pameran dan pertandingan-pertandingan seperti autoshow.

    Untuk perlumbaan supermoto dan drift, ia pastinya bakal memberikan aksi-aksi gelangsar dengan asap tayar yang banyak di litar. Acara ini akan dikendalikan MSF dengan pengalaman kejayaan menganjurkan perlumbaan selama 10-tahun di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

    “Sasaran kami adalah untuk menghidangkan siri sukan permotoran dengan tahap aksi yang lebih menarik dalam negara dan membawa ia lebih dekat kepada peminat, bagi menghasilkan satu acara yang akan memberikan wow kepada penonton. Sejak dari zaman kami di Proton R3, Tengku Djan dan saya sentiasa mahu mewujudkan acara sukan permotoran ekstrem yang difokuskan kepada hiburan. Ini masa yang tepat untuk dilangsungkan,” kata prinsipal MSF, Adian Yein.

    X Street Mania Tour – tampil perlumbaan supermoto dari MSF, siri Drift dari Tengku Djan dan McClubz

    Kejohanan drift pada X Street Mania ini adalah siri Drift McClubz Speed Junkies yang akan menampilkan kejohanan tahunan, disasarkan akan disertai oleh para drifter terbaik di Malaysia. “Kami mahu menaikkan tahap sukan drift di Malaysia dan membawa semula zaman kegemilangan Formula Drift Asia yang dilangsungkan dari 2009 hingga 2012 dulu,” kata Tengku Djan.

    “Pertandingan drift tahap-tinggi akan mempromosikan serta meningkatkan kualiti drifter di Malaysia, dengan sasaran untuk menghasilkan wakil Malaysia yang berkualiti di kejohanan tahunan Piala FIA Intercontinental Drifting,” tambahnya lagi.

    Siri Speed Junkies Drift ini akan dilangsungkan sebanyak dua pusingan untuk setiap acara hujung minggu X Street Mania Tour berkenaan, di mana setiap satu pusingan akan menawarkan pungutan mata untuk peserta bagi mengejar gelaran juara nasional.

    Untuk perlumbaan Supermoto pula, ia akan diwakili oleh siri MSF SuperMoto. Ia akan menampilkan dua kategori utama iaitu SuperMoto dan HyperMoto. SuperMoto adalah kategoti untuk motosikal 450 cc, dan akan dibahagikan kepada tiga sub-kategori berdasarkan pengalaman penunggang. Manakala untuk HyperMoto pula adalah kategori untuk motosikal lebih dari 450 cc dan akan dibahagi kepada dua sub-kategori; satu-silinder dan dua-silinder.

    “Ramai penunggang MotoGP menggunakan supermoto sebagai asas latihan bagi membina kemahiran menunggang mereka. MSF SuperMoto mensasarkan untuk menaikkan perlumbaan supermoto dengan meningkatkan pendedahan menerusi acara perlumbaan dalam Malaysia, dengan harapan ia akan mewujudkan kumpulan penunggang yang kompetitif dari Malaysia yang kemudiannya boleh berlumba pada peringkat rantau,” kata pengurus komunikasi MSF, Liew Chin Hooi.

    Selain dari perlumbaan-perlumbaan ini, pengunjung yang datang ke setiap acara X Street Mania ini turut akan disajikan dengan hiburan-hiburan tambahan seperti pertunjukan kereta-kereta ubahsuai dari McClubz.

    “Lebih dari 600 kereta hadir pada perhimpunan terakhir Speed Junkies Drift Competition pada 2019. Malangnya kami tak dapat mengadakan aktiviti pada 2020 kerana pandemik, tetapi kami sudahpun mendapat sokongan dari kelab-kelab kereta utama yang mampu untuk menambah warna dan getaran kepada X Street Mania,” kata pengasas McClubz Merlvyn Tan.

    X Street Mania akan diadakan sebanyak lima pusingan pada 2021, dengan pusingan pembukaan di litar Elite Speedway Subang Jaya, Selangor pada 27-28 Februari 2021, diikuti pusingan kedua pada 10-11 April 2021 di Melaka International Motorsports Circuit (MIMC), Melaka.

     
     
  • Proton Iriz RX Supercar 2021 – Iriz R5 lebih liar dengan bekalan 600 hp untuk perlumbaan rallycross Eropah!

    Proton Iriz RX Supercar 2021 – Iriz R5 lebih liar dengan bekalan 600 hp untuk perlumbaan rallycross Eropah!

    Ini satu berita yang tak disangka-sangka – pasukan yang berlumba dalam kejohanan FIA RallyCross Eropah iaitu Team RX Racing mengumumkan mereka akan menghasilkan jentera Proton Iriz RX Supercar yang boleh digunakan dalam kejohanan British Rallycross Championship 5 Nations Trophy, European Rallycross Championship dan World Rallycross Championship bermula pada 2021.

    Jentera ini akan dihasilkan bersama Tony Bardy Motorsport (TBM) dan ia akan diasaskan dari kerangka Proton Iriz R5 yang dibangunkan oleh Mellors Elliot Motorsport (MEM) di UK. Pembinaan jentera Iriz RX Supercar ini kini sedang berjalan di fasiliti MEM di Derbyshire dan jentera ini nanti akan dipandu oleh pelumba utama Team RX Racing iaitu juara RallyCross British 2007, Ollie O’Donovan.

    Menurut pengasas TBM dan ketua jurutera Team RX Racing, Tony Bardy, selepas 15-tahun berlumba dengan pasukan tersebut menggunakan Ford Fiesta dan Ford Focus dengan spesifikasi RX Supercar berkuasa 600 hp, kini Ollie O’Donovon mahu mencuba sesuatu yang lain dari kebiasaan, dan sebab itu mereka kini memilih Proton Iriz untuk berlumba.

    “Kami ada kereta lain yang dirancang untuk masa hadpaan, tapi Ollie tak nak sama dengan orang lain, dia mahu sesuatu yang berlainan. Saya juga memikirkan perkara yang sama, tapi untuk bermula dari asas ia akan mengambil masa bertahun-tahun untuk membina dan membangunkan sesuatu yang benar-benar baru,” kata Tony Bardy.

    Proton Iriz RX Supercar 2021 – Iriz R5 lebih liar dengan bekalan 600 hp untuk perlumbaan rallycross Eropah!

    “Kemudian saya teringat, saya kenal MEM sudah lama, dan Iriz adalah sesuatu yang sangat berbeza. Ia tak ambil masa yang lama untuk kami mengambil keputusan ini, bagi menghasilkan Proton RallyCross Supercar pertama. Pasukan MEM mahu melakukannya, dan mereka komited untuk merealisasikannya.

    “Iriz sudah pun menyertai banyak rali dan membuktikan konsepnya, jadi selagi kami mampu untuk menghasilkan kuasa dari enjin yang kami ada sekarang, yang saya pasti kami boleh, saya tak nampak sebab kenapa kami tak dapat berada pada tahap yang kami mahukan. Kualiti Iriz R5 adalah tinggi, dan untuk terlibat dalam projek baharu ini bersama Iriz RX adalah seperti menghirup udara segar,” jelasnya lagi.

    Menurut Ollie O’Donovan pula, mereka ada cara lebih mudah dengan membeli terus jentera dari kejohanan dunia, tetapi kali ini dia dan pasukannya mahukan sesuatu yang lain dari yang lain.

    “Kereta ini akan diasaskan dari Iriz R5 yang sememangnya sudah berjaya, tetapi ini adalah satu lagi pembangunan yang serba baharu. Ada banyak kerja yang perlu dibuat sebelum kami boleh fikirkan penampilan pertama, tetapi saya sudahpun tak sabar untuk memandunya dalam ujian dan berlumba denganya di litar-litar rallycross terbaik di dunia dalam kejohanan di Britain, Eropah dan Kejohanan Rallycross Dunia,” kata O’Donovan yang juga bertindak sebagai prinsipal pasukan Team RX Racing.

    Proton Iriz RX Supercar 2021 – Iriz R5 lebih liar dengan bekalan 600 hp untuk perlumbaan rallycross Eropah!

    Menurut prinsipal MEM, Chris Mellors pula, ketika mereka membangunkan Iriz R5 ini pasukannya turut memikirkan bahawa jentera ini turut boleh dijelmakan sebagai jentera rallycross, dan sebab itu ia telah pun dihasilkan dengan berberapa ciri yang over-engineered.

    Dan seperti apa yang telah dijelaskan sendiri pada kami sebelum ini, Chris sekali lagi menyatakan asas Iriz itu sendiri sudah cukup bagus kerana menampilkan jarak roda yang paling panjang berbanding jentera R5 lain tetapi tetapi agak pendek dari segi dimensi keseluruhan, bersama pergerakan suspensi yang baik serta geometri suspensi hadapan yang sangat mengkagumkan direka oleh jurutera Proton dari kilang.

    “Kami ada banyak talaan yang boleh dibuat dan kami akan buat komponen-komponen khas baru yang sesuai untuk rallycross, tetapi kami sudah tidak jauh dari itu. Kami sudahpun mendapatkan keputusan yang sangat positif dalam ujian rali baru-baru ini, dan kami akan terikat dengan pembangunan jentera baru ini. Kami suka menang, dan itu yang akan kami turut lakukan dalam projek ini,” kata Chris Mellors lagi.

    Perincian teknikal berkenaan jentera ini masih belum diumumkan, namun boleh dijangka ia bakal menampilkan spesifikasi sama seperti jentera-jentera RX Supercar yang lain seperti janaan enjin 2.0 liter turbo menghasilkan hampir 600 hp, berat sekitar 1,300 kg, kotak gear sequential enam-kelajuan, sistem pacuan semua roda, dan juga kelengkapan aerodinamik yang lebih agresif dari jentera R5.

     
     
  • Yamaha Aerox/NVX 155 2020 GP Edition di Indonesia

    Yamaha Aerox/NVX 155 2020 GP Edition di Indonesia

    Penawaran model khas GP Edition pada motosikal Yamaha masih lagi diteruskan melalui yang terbaru, Aerox 155 Connected ABS 2020 pasaran Indonesia. Model ini dijual pada harga 29.5 juta Rupiah (RM8,481) dan cuma lebih mahal 500,000 Rupiah (RM143) berbanding Aerox 155 Connected ABS biasa.

    Seperti yang sudah diketahui, versi GP Edition ini cuma menggunakan grafik inspirasi daripada jentera MotoGP pasukan factory Yamaha, sementara kelengkapan serta perincian teknikalnya masih lagi sama seperti model biasa.

    Aerox 155 2020 diperkenalkan kali pertama di Indonesia November lalu dan ia masih lagi belum tiba di negara kita. Model baru ini menggunakan hampir kesemua panel badan baru termasuklah rekaan lampu LED depan (dengan DRL) dan belakang. Selain daripada itu, ia juga diberikan dengan fungsi lampu kecemasan (hazard light).

    Yamaha Aerox/NVX 155 2020 GP Edition di Indonesia

    Enjin pula masih lagi menggunakan unit satu silinder SOHC 155 cc VVA dengan gerek dan lejang yang sama seperti sebelum ini, tetapi nisbah mampatan lebih tinggi iaitu 11.6:1 (sebelum ini 10.5:1) dan sekaligus meningkatkan kuasanya menjadi 15.2 hp pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Bagi model Connected, Aerox 155 2020 ini menggunakan panel meter digital baru yang boleh disambung terus dengan aplikasi Y-Connect yang boleh memberikan notifikasi telefon bimbit, kedudukan terakhir motosikal, cadangan lokasi bengkel, penggunaan bahan api, notifikasi masalah serta analisa tunggangan Eco Riding.

     
     
  • Sistem sambungan My Triumph akan ditawarkan untuk model lama yang sudah menggunakan skrin TFT

    Sistem sambungan My Triumph akan ditawarkan untuk model lama yang sudah menggunakan skrin TFT

    Triumph baru sahaja mengumumkan bahawa sistem sambungan My Triumph juga bakal ditawarkan kepada model lama dari tahun 2017 yang sudah menggunakan panel instrumen TFT. Kit khas sudah pun dibangunkan dan boleh dipasang pada motosikal dengan bayaran naik taraf yang tidak dinyatakan.

    Bagi model Street Triple tahun 2017 hingga 2019, serta Tiger 800 2018 hingga 2019 (XRX, XCX, XRT, XCA, XRX LRH), kit ini akan sedia ditawarkan bermula 21 Disember 2020 manakala bagi Speed Triple dan Tiger 1200 ia hanya akan bersedia pada tahun depan.

    Setelah dipasang dengan kit naik taraf ini, pemilik boleh memuat turun aplikasi My Triumph pada telefon pintar dan menyambungkannya kepada sistem di motosikal seterusnya memaparkan petunjuk navigasi, serta mengawal muzik, panggilan serta GoPro.

    Sistem ini juga mempunyai ciri My Garage yang boleh memaparkan informasi penting tentang motosikal termasuk odometer, penggunaan bahan api purata serta jarak dan masa untuk servis seterusnya. Bagi model baru, tidak semua dilengkapi dengan sambungan My Triumph ini dan ada di antaranya masih lagi dijual sebagai secara berasingan.

     
     
  • Proton X50 – guna petrol RON 95 sudah cukup bagus kerana enjin tersebut dihasilkan untuk petrol RON 92

    Proton X50 – guna petrol RON 95 sudah cukup bagus kerana enjin tersebut dihasilkan untuk petrol RON 92

    Ketika Geely mendedahkan perincian berkenaan siri enjin 1.5 liter turbo mereka September lalu, di mana ia turut digunakan pada Proton X50 di Malaysia, kami tertarik dengan satu fakta – angka 177 PS/255 Nm yang dihasilkan pada enjin dalam versi T-GDI iaitu pada model Flagship adalah dengan menggunakan petrol RON 92, manakala jika anda gunakan petrol RON 95 ia mampu mencapai kuasa 179 PS/265 Nm.

    Jadi peluang untuk menemuramah Dr. Håkan Sandquist, pengarah strategi trenkuasa Geely di China Euro Vehicle Technology (CEVT, badan yang bertanggungjawab menghasilkan enjin berkenaan) baru-baru ini, kami sempat bertanyakan adakah ia akan menghasilkan kuasa lebih besar sekiranya ia menggunakan petrol RON lebih tinggi seperti RON 97 dan RON 100 yang dijual di Malaysia.

    Menurut Dr. Sandquist, ketika menghasilkan enjin-enjin 1.5 liter turbo tersebut, mereka hanya menggunakan petrol RON 92 kerana ia adalah petrol yang paling mudah untuk dijumpai di China. Jadi dengan menggunakan petrol RON 92 sudah memadai untuk enjin ini, dan ia boleh berfungsi tanpa sebarang masalah dengan RON 95 malah mampu menghasilkan sedikit lagi kuasa tambahan.

    Proton X50 – guna petrol RON 95 sudah cukup bagus kerana enjin tersebut dihasilkan untuk petrol RON 92

    Namun disebabkan ia adalah enjin dengan pengecas turbo yang sememangnya dihasilkan dengan nisbah mampatan lebih rendah berbanding enjin naturally aspirated (NA) iaitu pada kadar 10.0:1 untuk versi suntikan pelbagai titik (PFI) dan 10.5:1 pada versi suntikan terus (GDI), penggunaan RON lebih tinggi seperti 97 dan 100 tidak akan memberikan sebarang manfaat ketara dari segi penghasilan kuasa, jelas Dr. Sandquist.

    Perkara ini datang sendiri dari mulut jurutera yang menghasilkan enjin 1.5 liter turbo berkenaan, dan di China sendiri kebanyakkan pengguna masih menggunakan petrol RON 92. Jadi untuk pemilik-pemilik Proton X50, jangan gusar untuk menggunakan petrol RON 95 pada kereta anda ya.

     
     
  • Proton X50 – kenapa masih guna timing belt?

    Proton X50 – kenapa masih guna <em>timing belt</em>?

    Macam biasa, antara soalan yang ditanya oleh rakyat Malaysia untuk setiap model baharu yang dilancarkan oleh Proton akhir-akhir ini adalah “enjin pakai timing belt ke timing chain ni?” Begitu juga dengan produk terkini yang baharu sahaja diperkenalkan oleh Proton pada Oktober lalu iaitu Proton X50.

    Seperti yang dah ramai tahu, X50 dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo yang bukan sahaja dikongsi dengan Geely, malah turut digunakan pada berberapa model baharu Volvo – dan enjin ini menggunakan sistem timing belt bagi menggerakkan aci sesondol yang mengawal pemasaan bukaan injap pada kepala silinder.

    Jadi kenapa masih pakai timing belt yang dianggap sebahagian orang sebagai satu “teknologi lama” (yang sebenarnya timing chain juga anda boleh jumpa pada Toyota Corolla generasi pertama KE10 pada tahun 1966)? Perkara ini dijelaskan sendiri oleh Dr. Håkan Sandquist, pengarah strategi trenkuasa Geely di China Euro Vehicle Technology (CEVT) iaitu badan yang bertanggungjawab menghasilkan enjin berkenaan, dalam satu sesi temu ramah bersama media baru-baru ini.

    Proton X50 – kenapa masih guna <em>timing belt</em>?

    Menurut Dr. Håkan Sandquist, pelbagai kerja-kerja penilaian yang dibuat bagi memastikan tahap ketahanan dan prestasi enjin tiga-silinder ini. Ia termasuk ujian pada suhu dalam julat antara -40 darjah selsius sehingga 40 darjah selsius, altitud sehingga 4,000 meter dan juga ujian perjalanan dalam jarak berjuta-juta kilometer.

    Enjin 1.5 liter tersebut adalah dihasilkan untuk pasaran global, dan implementasi oleh Proton pada pasaran Malaysia hanya sebahagian kecil darinya. Jadi CEVT bukan hanya mahu ia berfungsi dengan baik untuk aplikasi Proton, malah ia perlu terampil pada projek-projek Zhejiang Geely Holding yang lain termasuk untuk Volvo Cars dan Geely Auto

    Sandquist turut menyatakan bahawa dia turut “mendengar soalan yang sama dari banyak tempat lain,” namun beliau menegaskan bahawa ada banyak perkara berkenaan kepakaran kejuruteraan dalam merancang rekaan satu-satu enjin itu sama ada mahu menggunakan timing belt atau timing chain. Beliau turut menyatakan ada pengeluar OEM (yang tidak dinyatakan nama) sebelum ini menggunakan timing chain kembali menggunakan timing belt kerana berberapa isu yang timbul.

    Proton X50 – kenapa masih guna <em>timing belt</em>?

    Pengarah CEVT tersebut menjelaskan bahawa Volvo sudah lama menggunakan teknologi timing belt ini, dan ia telah menjalani pelbagai ujian pengesahan sebelum diperkenalkan dalam pasaran, contohnya SUV kompak Volvo yang menggunakan enjin sama seperti X50 iaitu XC40 dalam varian T3, dan T5 Recharged.

    Malah model-model lain Volvo yang lebih besar seperti S60, XC60 dan XC90 (menggunakan enjin 2.0 liter Drive-E) juga menggunakan sistem timing belt. “Jika ia cukup bagus untuk Volvo, ia cukup bagus untuk kami,” kata Sandquist.

    Untuk aplikasi enjin 1.5 liter tiga-silinder ini di Malaysia, Proton tampil dalam dua variasi; model tertinggi Flagship menampilkan sistem suntikan terus (T-GDI) yang menghasilkan kuasa 177 PS/255 Nm, manakala untuk tiga varian lebih rendah menggunakan sistem suntikan pelbagai titik menjana kuasa lebih rendah iaitu 150 PS/226 Nm.

    Proton X50 – kenapa masih guna <em>timing belt</em>?

    Namun kedua-dua enjin ini menggunakan sistem timing belt yang sama, dan menurut jadual selenggara yang dikeluarkan oleh Proton, penukarannya perlu dibuat pada 110,000 km atau 66 bulan.

    Set komponen untuk timing belt ini adalah RM195.16, dan dalam servis yang sama anda turut perlu untuk menukar tali sawat yang memusingkan alternator sekali berharga RM112.89. Kos upah untuk kedua-dua kerja ini disekalikan dengan harga RM150. Jika anda buat penukaran ini sekali dengan servis pada 110,000 km tersebut, kos keseluruhan untuk pakej adalah RM825.27.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025