Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PKPB: Individu rentas negeri akan diburu – KPN

    PKPB: Individu rentas negeri akan diburu – KPN

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberikan amaran keras kepada mana-mana individu yang didapati berjaya lolos larangan rentas negeri termasuk pada Hari Raya nanti, akan diburu.

    Menurut Abdul Hamid, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengesan individu yang disyaki melakukan kesalahan pergerakan rentas negeri tanpa permit. Ini termasuklah akan mengunjungi kediaman individu yang disyaki melakukan kesalahan pergerakan rentas negeri tanpa permit.

    “Selain daripada melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya, polis akan menjalankan pemeriksaan di kawasan perumahan dan kampung untuk mengesan mereka yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan bergerak melampaui perbatasan negeri untuk balik berhari raya.

    “Bagi tujuan ini, pasukan pemantau PDRM dan ATM akan meninjau rumah di taman perumahan dan kampung di seluruh negara,” katanya kepada Berita Harian.

    Tambahnya lagi, polis akan memeriksa bagi mengesan kenderaan yang tidak mempunyai permit pergerakan.

    PKPB: Individu rentas negeri akan diburu – KPN

    “Polis memiliki rekod butiran individu serta kenderaan mereka yang diberikan permit atau kebenaran untuk melakukan pergerakan antara negeri,” katanya.

    Dalam pengumuman mengenai lanjutan PKPB sehingga 9 Jun ini, Perdana Menteri Tan Sri Mahyuddin Yassin berkata, larangan pergerakan antara negeri masih berkuatkuasa dalam tempoh tersebut.

    Malah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, turut menegaskan mana-mana individu yang cuba melakukan perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran boleh dihukum mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 dan dan Akta Polis 1967.

    Di mana individu yang didapati ingkar, boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 5) 2020 dan berdepan denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

     
     
  • Ford Ranger Thunder – 2.0L EcoBlue berkuasa 213 PS/500 Nm, edisi terhad hanya 4,500 unit di Eropah

    Ford Ranger Thunder – 2.0L EcoBlue berkuasa 213 PS/500 Nm, edisi terhad hanya 4,500 unit di Eropah

    Ford telah memperkenalkan versi terbaharu untuk trak pikap Ranger, diberikan enjin yang sama seperti model berprestasi tinggi Ranger Raptor, digelar sebagai Ranger Thunder. Walau bagaimanapun, ini adalah versi edisi terhad yang hanya dihasilkan sebanyak 4,500 unit dan dijual hanya untuk pasaran Eropah.

    Ya, Ranger Thunder ini dijana oleh unit janakuasa sama seperti Ranger Raptor iaitu enjin diesel EcoBlue 2.0 liter dengan dua pengecas turbo yang berupaya menjana 213 PS dan tork maksima 500 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan.

    Walau bagaimanapun, Ranger Thunder ini hanya diasaskan dari versi Wildtrak, bermaksud ia tidak menerima sistem suspensi Fox Racing dan juga badan lebih lebar seperti Raptor. Menurut Ford, Ranger Thunder ini dihasilkan sebagai sebuah kenderaan praktikal yang menawarkan keselesaan seperti SUV, serta memberikan kebolehan membawa dan menunda beban yang lebih baik.

    Ford Ranger Thunder – 2.0L EcoBlue berkuasa 213 PS/500 Nm, edisi terhad hanya 4,500 unit di Eropah

    Ia masih menerima sistem pacuan empat roda dan akan memberikan kadar penggunaan bahan api bermula 7.8 l/100 km dan emisi CO2 bermula 205 g/km mengikut standard NEDC, atau 9.1 l/100km dan 239 g/km mengikut standard WLTP yang lebih ketat dan realistik.

    Ranger Thunder ini hanya hadir dengan warna badan Sea Grey dan diberikan serlahan-serlahan merah dan kemasan-kemasan Ebony Black pada bahagian tertentu. Muka Ranger edisi terhad ini diberikan rekaan gril dan bampar hadapan yang sama seperti Ranger FX4 pasaran ASEAN, bersama emblem tiga-dimensi “Thunder” berwarna merah di bawah pintu hadapan. Emblem sama turut diletak pada pintu tailgate belakang bersama pelekat ‘RANGER’ berwarna hitam matte.

    Ia masih diberikan rim 18-inci rekaan sama seperti Wildtrak tetapi hadir dengan kemasan hitam berkilat, manakala jalur merah diberikan pada sports hoop. Bed belakang Ranger Thunder ini pula hadir dengan penutup ‘roller shutter’ Black Mountain yang dilapis cat jenis powder coat dan juga pembahagi ruang secara standard. Lampu belakang LED trak pikap ini diberikan bezel yang digelapkan.

    Ford Ranger Thunder – 2.0L EcoBlue berkuasa 213 PS/500 Nm, edisi terhad hanya 4,500 unit di Eropah

    Dalam kabin, Ranger Thunder hadir dengan tempat duduk kulit Ebony bersama sulaman logo “Thunder” berwarna merah. Serlahan-serlahan jahitan benang merah turut kelihatan pada tempat duduk, panel-panel pintu, roda stereng dan juga papan pemuka. Ia hadir standard dengan karpet kaki berwarna hitam bersama plat bendul pintu dengan nyalaan berwarna merah.

    Dari 4,500 unit Ranger Thunder ini di seluruh Eropah, sebanyak 1,400 unit akan diperuntukkan bagi pasaran UK. Ia sudah pun boleh ditempah, namun penghantaran kepada pelanggan terawal hanya akan dibuat pada lewat musim panas nanti.

     
     
  • Geely Azkarra – Boyue Pro pasaran Filipina, bermula RM124k, hanya pilihan enjin 1.5L tiga-silinder turbo

    Geely Azkarra – Boyue Pro pasaran Filipina, bermula RM124k, hanya pilihan enjin 1.5L tiga-silinder turbo

    Sebagai sebuah negara yang menggunakan konfigurasi pemanduan sebelah kiri, Filipina dengan mudah menerima pelbagai model Geely yang diimport terus dari China – bermula dengan model Binyue yang dinamakan semula sebagai Coolray pada tahun lalu, dan kini mereka akan menerima Boyue Pro yang akan dijual menggunakan nama Geely Azkarra.

    Model tersebut akan dilancarkan pada 30 Mei ini dalam satu majlis atas talian yang akan dibuat kerana pandemik Covid-19 yang sedang melanda. Sebelum itu, Geely Filipina sudah pun mengumumkan bahawa Azkarra akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Premium dan Luxury.

    Menurut portal AutoIndustriya.com, model asas Premium akan dijual pada harga 1.438 juta peso (RM123,500) manakala model tertinggi Luxury pula dijual pada harga 1.598 juta peso (RM137,200). Walau bagaimanapun, kedua-dua varian ini hanya akan digerakkan dengan satu pilihan enjin iaitu 1.5 liter turbo tiga-silinder yang menghasilkan 177 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 255 Nm bermula 1,500 rpm hingga 4,000 rpm.

    Geely Azkarra – Boyue Pro pasaran Filipina, bermula RM124k, hanya pilihan enjin 1.5L tiga-silinder turbo

    Ia digandingkan dengan sistem hibrid ringkas Electri Motor Synergy (EMS) Geely 48-volt membolehkan SUV ini menerima kuasa keseluruhan 190 PS dan tork maksima 300 Nm. Model Premium akan menerima kotak gear automatik konvensional enam-kelajuan dari Aisin bagi memacu hanya roda hadapan, manakala model Luxury pula datang dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan dengan sistem pacuan semua roda.

    Dari segi rupa, Azkarra menerima keseluruhan penampilan Boyue Pro, iaitu versi lebih sporty Geely Boyue dan Proton X70 pasaran Malaysia. Ia menerima lampu hadapan LED yang lebih nipis, gril “expanding cosmos” lebih besar, rekaan bampar hadapan dan belakang lebih tersendiri, lampu belakang dengan rekaan disentuh semula dan juga diberikan bar krom merentangi sepenuhnya pintu tailgate belakang.

    Dalam kabin, Azkarra dan Boyue Pro menampilkan papan pemuka yang berbeza sepenuhnya dengan rekaan yang lebih bersegi. Model pasaran Filipina ini juga akan menerima sistem infotainmen terkini Geely Key User Interface (GKUI), GKUI 19 yang dilengkapi skrin utama bersaiz 12.3-inci.

    Geely Azkarra – Boyue Pro pasaran Filipina, bermula RM124k, hanya pilihan enjin 1.5L tiga-silinder turbo

    Antara kelengkapan standard lain yang turut diberikan untuk kedua-dua varian di Filipina ini termasuk rim 18-inci, pendingin hawa dua-zon, upholsteri kulit sintetik, tempat duduk pemandu kawalan berkuasa, kamera 360-darjah, penderia parkir hadapan dan belakang, lapan pembesar suara dan juga pintu tailgate berkuasa.

    Manakala untuk model tertinggi Luxury, ia akan menerima berberapa perincian tambahan seperti upholsteri kulit Nappa dan pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi. Penuras udara kabin dengan gred N95 yang sudah pun ditawarkan pada model-model Geely di China serta Proton X70 di Malaysia akan terus dipasang standard untuk Azkarra ini.

    Untuk sistem keselamatan pula, kedua-dua varian Geely Azkarra pasaran Filipina ini hadir standard dengan enam-beg udara, sistem brek ABS dan EBD lengkap dengan BA, kawalan kestabilan elekronik, bantuan mula mendaki serta kawalan menurun bukit. Namun sistem lebih canggih seperti pada Proton X70 termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, pemantau titik buta dan lampu tinggi automatik tidak diberikan pada Azkarra ini.

    GALERI: Geely Boyue Pro pasaran China

     
     
  • Polis nasihatkan orang ramai agar jangan buang masa mohon kebenaran rentas negeri untuk balik raya

    Polis nasihatkan orang ramai agar jangan buang masa mohon kebenaran rentas negeri untuk balik raya

    Rasanya sudah jelas apa yang diumumkan kerajaan – tiada sebarang perjalanan rentas negeri dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) termasuk untuk pulang berhari raya di kampung. Tetapi, masih juga ramai yang seperti ‘tidak faham bahasa’ dan membuang masa ke balai-balai polis untuk memohon kebenaran untuk berbuat demikian.

    Menurut Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam laporan Bernama, pihaknya kini menerima 1,000 hingga 1,500 permohonan rentas negeri daripada orang ramai setiap hari sejak beberapa hari lepas di balai polis seluruh negeri dengan kira-kira 70 peratus daripadanya adalah permohonan untuk pulang berhari raya di kampung masing-masing.

    Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuang masa memohon perjalanan tersebut kerana memang tiada sebarang kelulusan akan diberikan, di mana satu-satunya permohonan yang akan diluluskan hanya untuk kes kecemasan sahaja.

    “Kita hanya benarkan rentas negeri bagi kes kecemasan sahaja. Oleh itu, jangan buang masa anda membuat permohonan jika itu alasannya mahu rentas negeri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor semalam.

    Polis nasihatkan orang ramai agar jangan buang masa mohon kebenaran rentas negeri untuk balik raya

    Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terus berdegil mengambil kesempatan ketika PKPB ini untuk pulang ke kampung mereka.

    “Jika masih terus berdegil, mereka akan diarahkan berpatah balik di pintu keluar negeri. Masih ada 33 Sekatan Jalan Raya (SJR) di pintu keluar negeri ini termasuk di lebuh raya dan jalan negeri atau kampung dan jika tiada surat kebenaran mereka akan diarahkan berpatah balik,” katanya.

    Sejak Jumaat sehingga semalam, pihak polis telah menahan banyak kenderaan yang cuba curi-curi untuk merentas negeri dengan tujuan untuk berhari raya dikampung; 508 pada Jumaat, 1,248 pada Sabtu dan 1,175 pada Ahad. Kesemua mereka telah pun diarah untuk berpatah balik.

    Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga gusar dengan tindakan degil sebahagian rakyat Malaysia ini kerana sebanyak 18 kluster daripada jumlah keseluruhan 49 kluster yang pernah dicatatkan dalam negara adalah berkaitan dengan aktiviti merentas negeri, dan 10 daripada kluster-kluster tersebut adalah masih aktif.

    Selepas Perdana Menteri mengumumkan PKPB bermula 4 Mei lalu, kerajaan telah memberi kelonggaran bergerak secara beransur-ansur. Buat masa sekarang, rakyat tidak lagi perlu untuk berseorang di dalam kenderaan, perjalanan melebihi radius 10 km sudah dibenarkan, dan tiada lagi had perjalanan hanya sehingga 10 malam. Namun pergerakan untuk merentas negeri masih lagi belum diberikan.

     
     
  • PKPB: 148 sekatan jalan raya rentas negeri dilaksana semalam dengan 1,175 kenderaan diarah patah balik

    PKPB: 148 sekatan jalan raya rentas negeri dilaksana semalam dengan 1,175 kenderaan diarah patah balik

    Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 148 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri (inter-state) di seluruh negara dan memeriksa sebanyak 156,096 kenderaan.

    Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, terdapat sebanyak 1,175 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan yang sama iaitu mahu pulang ke kampung.

    “Yang menghairankan ramai lagi yang nak balik kampung. Walaupun berbagai nasihat dikeluarkan dan tahu polis akan berikan arahan berpatah balik, semalam lebih 1,000 yang cuba balik ke kampung serta telah diarah berpatah balik semula oleh pihak polis,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Selain itu, polis juga telah menahan seramai 156 individu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

    “Seramai 104 individu sudah direman dan 52 lagi diberikan jaminan polis. Saya ingin mengingatkan supaya semua perlu mematuhi semua SOP dan peraturan yang ditetapkan. Kawalan kendiri daripada anda semua amat penting dalam memerangi pandemik COVID-19 ini,” katanya.

    Sebelum ini, Ismail telah mengumumkan program Gerak Malaysia bagi memberikan kebenaran untuk mereka yang terkandas di kampung halaman sejak PKP dilaksanakan dan pulang ke rumah masing-masing hanya berlangsung selama 4 hari sahaja mulai 7 Mei lalu. Selepas itu, pergerakan rentas negeri adalah dilarang termasuk ketika musim perayaan ini, kecuali bagi mereka yang mempunyai urusan mustahak atau kecemasan dan telah mendapatkan kebenaran pihak polis untuk berbuat demikian.

     
     
  • Kia Grand Carnival versi 11 tempat duduk dilancar untuk pasaran Malaysia – satu varian, RM179,888

    Kia Grand Carnival versi 11 tempat duduk dilancar untuk pasaran Malaysia – satu varian, RM179,888

    Naza Kia Malaysia Sdn Bhd telah memperbaharui model Grand Carnival dengan memperkenalkan versi 11 tempat duduk yang dijual pada harga RM179,888 tidak termasuk insurans. Ia datang dengan jaminan lima tahun atau 150,000 km.

    Perubahan utama yang diberikan adalah pada tempat duduk, di mana secara maksimum, ia boleh menempatkan 11 orang dalam kenderaan, sementara sebelum ini cuma ada lapan tempat duduk sahaja. Kesemuanya dibahagikan kepada empat barisan.

    Tiga tempat duduk paling belakang boleh dilipat rata sekiranya pemilik memerlukan ruang meletak barangan, sementara untuk dua barisan di hadapannya, tempat duduk di bahagian tengah boleh dilipat ke atas untuk menyediakan laluan bagi penumpang masuk ke belakang.

    Kebanyakan bahagian lain masih tidak berubah seperti Grand Carnival yang pernah dilancar sebelum ini, termasuklah enjin iaitu unit diesel R 2.2L CRDi 2,199 cc yang digabungkan bersama transmisi automatik lapan kelajuan, untuk menghasilkan kuasa 200 PS pada 3,800 rpm dan 440 Nm tork pada rpm antara 1,750 hingga 2,750.

    Lampu utama MPV ini menggunakan unit projector halogen, bersama lampu siang LED manakala lampu kabus yang terletak di penjuru bampar pula adalah unit projector. Rim menggunakan unit 18 inci yang dibalut tayar 235/60 sementara pintu belakang pula kedua-duanya adalah kuasa elektrik.

    Kemudahan lain yang diberikan pada Grand Carnival baru ini adalah termasuk empat soket pengecas USB, rak bumbung, semua tingkap automatik turun dan naik dengan sentuhan satu butang, cruise control, panel meter Mono TFT LCD 3.5 inci, skrin sesentuh untuk infotainmen tujuh inci, sistem masuk tanpa kunci dan kamera belakang.

    Kia Grand Carnival versi 11 tempat duduk dilancar untuk pasaran Malaysia – satu varian, RM179,888

    Pada bahagian keselamatan pula, MPV ini dilengkapi dengan Electronic Stability Control, Hill Start Assist Control, enam beg udara, cagak ISOFIX, ABS, BA dan Park Assist System. Tangki bahan api berkapasiti 80 liter manakala kapasiti ruang barangan adalah antara 33 hingga 2,335 liter.

    Kia Grand Carnival versi 11 tempat duduk ini boleh didapati dalam empat warna iaitu Snow White Pearl, Silky Silver, Aurora Black Pearl dan Panthera Metal.

     
     
  • Jangan tergesa-gesa perbaharui lesen memandu tamat tempoh ketika PKP, asalkan insurans masih sah – JPJ

    Jangan tergesa-gesa perbaharui lesen memandu tamat tempoh ketika PKP, asalkan insurans masih sah – JPJ

    Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid mengingatkan pemegang Lesen Kenderaan Bermotor (LKM) dan Lesen Memandu (LLM) yang tamat tempoh supaya tidak tergesa-gesa hadir ke JPJ untuk memperbaharui lesen kerana mereka dikecualikan daripada memperbaharuinya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Katanya, orang ramai masih boleh memandu di jalan raya dengan lesen tamat tempoh dengan syarat membawa nota lindung insurans yang masih sah.

    “Kira-kira 1.8 juta lesen kenderaan bermotor turut dikesan tamat tempoh dari 18 Mac sehingga 30 Mei lepas, manakala bagi lesen memandu pula adalah sebanyak 981,883 bagi tempoh yang sama,“ katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

    Dalam hal lain, beliau turut berkata mulai hari ini. semua urus niaga kaunter perkhidmatan jabatan itu beroperasi semula selepas ditutup sejak 18 Mac lalu susulan pelaksanaan PKP. Pihaknya turut menjangkakan dapat mengutip hasil mencecah RM5 juta untuk hari ini sahaja menerusi operasi kaunter yang bermula 8 pagi sehingga 4 petang di seluruh negara.

    Jangan tergesa-gesa perbaharui lesen memandu tamat tempoh ketika PKP, asalkan insurans masih sah – JPJ

    Tambahnya lagi, sebanyak 82 pejabat JPJ telah dibuka di seluruh negara, selain pihaknya turut menggerakkan 17 kenderaan perkhidmatan kaunter JPJ Mobile bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan jabatan berkenaan.

    “Sebelum ini, JPJ turut membuka kaunter bagi beberapa urus niaga secara berperingkat dengan menumpukan kepada kenderaan perdagangan bagi menyokong pembangunan sektor ekonomi negara. Kaunter urus niaga melibatkan kenderaan perdagangan dibuka sejak 29 April lepas dan dalam tempoh itu hingga 12 Mei lalu, sebanyak RM83 juta berjaya dikutip daripada operasi kaunter berkenaan,” katanya.

    Pada Mac lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong telah mengumumkan bahawa mereka dengan lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh ketika PKP sedang berlangsung akan dikecualikan dari memperbaharuinya sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan.

    Menurutnya, dengan kapasiti beliau sebagai menteri pengangkutan telah menggunakan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 66 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dengan memberikan pengecualian kepada semua pemegang lesen memandu daripada keperluan memperbaharui lesen memandu masing-masing melalui suatu undang-undang khusus.

     
     
  • Isuzu Malaysia akan mempercepatkan penghantaran kenderaan yang ditempah selepas beroperasi semula

    Isuzu Malaysia akan mempercepatkan penghantaran kenderaan yang ditempah selepas beroperasi semula

    Selepas beroperasi semula, Isuzu Malaysia nekad untuk memberikan keutamaan bagi mempercepatkan penghantaran kenderaan, terutama bagi pelanggan yang telah membuat tempahan sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

    Menurut Isuzu, sebanyak 300 tempahan telah diterima sebelum PKP dilaksanakan, dan keutamaan akan diberikan untuk memastikan semua pelanggan menerima kenderaan mereka secepat mungkin selepas operasi perniagaan telah disambung semula.

    “Walaupun pelanggan memahami keadaan yang menyebabkan kelewatan ini, kami juga faham bahawa ketika di dalam keadaan mencabar seperti sekarang, mereka memerlukan kenderaan Isuzu untuk membantu mereka terus bergerak. Adalah menjadi matlamat kami untuk memastikan semua pelanggan menerima kenderaan Isuzu D-Max baharu mereka secepat mungkin,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki.

    Isuzu turut berkata, buat masa ini, usaha-usaha sedang dijalankan untuk memastikan tempoh memproses kenderaan-kenderaan terbabit menjadi lebih cepat, bermula dari kilang di Pekan, Pahang dan kemudian dihantar kepada pengedar di seluruh negara.

    Isuzu Malaysia akan mempercepatkan penghantaran kenderaan yang ditempah selepas beroperasi semula

    Malahan proses serahan juga kini diperbaharui dan disesuaikan bagi memastikan pelanggan dan staf dilindungi serta selamat, selari dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan oleh kerajaan bagi membasmi penularan berterusan virus Covid-19.

    “Prosedur bagi Sistem Serahan Isuzu telah dikemaskini untuk diselaraskan dengan cadangan dan saranan kerajaan Malaysia dalam berhadapan dengan pandemik ketika ini. Kami percaya, kenderaan Isuzu yang mempunyai nilai tinggi terhadap semua pelanggan akan terus menerima permintaan bagi memenuhi keperluan mereka. Untuk itu, kami berusaha mewujudkan suasana paling kondusif dan selamat untuk semua,” jelas Suzuki lagi.

    Pemilik kenderaan Isuzu yang tempoh jaminan kenderaan mereka telah tamat ketika tempoh PKP secara automatik akan menikmati lanjutan 30 hari mulai 13 Mei 2020. Sementara bagi kenderaan yang sudah terlepas jadual servis yang sepatutnya pula tidak perlu risau kerana jaminan kenderaan tidak akan terkesan disebabkan kelewatan itu.

    Pelanggan yang berhasrat membawa kenderaan mereka untuk diservis adalah dinasihatkan membuat temujanji terlebih dahulu dengan pusat servis rasmi Isuzu mereka memandangkan semua cawangan beroperasi di bawah peraturan PKPB yang ketat mengikut negeri masing-masing ketika ini.

     
     
  • Volvo S60 T8 CKD 2020 dilancarkan di M’sia – harga RM295,888 tidak berubah, kini dengan Park Assist

    Volvo S60 T8 CKD 2020 dilancarkan di M’sia – harga RM295,888 tidak berubah, kini dengan Park Assist

    Setelah tujuh bulan berada dalam pasaran Malaysia dalam versi diimport sepenuhnya (CBU), sedan generasi baharu Volvo S60 T8 Twin Engine akhirnya kini tampil dalam versi pemasangan tempatan (CBU). Seperti yang sudah disebutkan sebelum ini, versi yang dihasilkan di Shah Alam ini datang dengan spesifikasi yang sama, dijual juga pada harga atas jalan tanpa insuran yang sama iaitu RM295,888, termasuk waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan, dan waranti bateri sistem hibrid selama lapan tahun.

    Memang sukar untuk membezakan versi CBU dan CKD S60 T8 ini kerana ia tampil dengan rupa yang sama. Ia masih lagi diberikan bampar hadapan dengan apron yang agresif, gril enam-poin bersama logo iron mark, tidak ketinggalan juga sepasang lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang LED bina dalam signatur “Tukul Thor”.

    Bahagian belakang S60 ini menampilkan rekaan yang tidak jauh beza dari abangnya, Volvo S90 terutama pada bentuk lampu belakang. Namun ruang letak nombor plat pendaftaran pada S60 ini diletakkan pada penutup but, berbanding S90 yang diletakkan di bampar. Tulisan ‘Volvo’ juga diletakkan lebih keatas, bersama spoiler but yang lebih menyerlah.

    Dengan kemasan pakej R-Design, model pasaran Malaysia ini hadir dengan kit luaran paling agresif, terdiri dari liang kemasukan pada bampar yang lebih besar dan gril dengan elemen pin – kedua-duanya dalam kemasan hitam, manakala jalur perak turut diberikan pada sekeliling gril. Lima warna ditawarkan untuk sedan kacak ini iaitu Fusion Red, Crystal White, Onyx Black dan Pebble Grey – warna Birch Light kini tidak lagi ditawarkan.

    Volvo S60 T8 CKD 2020 dilancarkan di M’sia – harga RM295,888 tidak berubah, kini dengan Park Assist

    Diffuser lebih garang turut dapat dilihat di belakang, yang turut menempatkan perumah tip ekzos kemasan krom yang berbentuk trapezoid. Gaya versi R-Design ini dilengkapkan dengan rim lima jejari kembar tiga kemasan diamond cut/matte black, dibaluti tayar 235/40R19.

    Dalam kabin, S60 diberikan rekaan papan pemuka hampir seiras dengan S90 terutamanya skrin infotaimen Sensus Connect bersaiz sembilan-inci dan sepasang liang penghawa dingin menegak pada bahagian tengah pemuka. Sistem infotainmen tersebut dihubungkan kepada sistem bunyi Harman Kardon dengan 14-pembesar suara berkuasa 600-watt.

    Pemandu pula akan dibekalkan maklumat dari kluster informasi digital sepenuhnya menggunakan skrin bersaiz 12.3-inci, dan keseragaman turut diteruskan pada bahagian konsol tengah yang menampilkan rekaan tombol gear, suis penghidup enjin, butang pilihan mod pemanduan, suis brek parkir elektronik bersama butang auto hold serta pemegang cawan dan juga perehat tangan yang turut diberikan ruang storan di bawahnya sama seperti S90.

    Kelengkapan standard lain yang turut dibekalkan termasuk tempat duduk R-Design balutan kulit Nappa hitam/fabrik Nubuck kemasan Charcoal Black, kemasan-kemasan dengan elemen logam mesh, sistem pendingin hawa dua-zon, bumbung panaromik, Park Assist Pilot, paparan pemantau sekitar 360-darjah, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan fungsi memori, set pedal dan tuil penukar gear R-Design serta sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin.

    Volvo S60 T8 CKD 2020 dilancarkan di M’sia – harga RM295,888 tidak berubah, kini dengan Park Assist

    Sama seperti model-model T8 Twin-Engine lain, roda hadapan S60 ini digerakkan oleh enjin Drive-E 2.0 liter empat-silinder yang disuap dengan pengecas turbo dan supercharger berkuasa 320 hp/400 Nm, bersama motor penghidup/generator yang bersepadu dengan aci engkol dan juga kotak gear Aisin AW TG-81SD lapan-kelajuan automatik.

    Gandar belakang juga mempunyai pemacunya tersendiri terdiri dari motor elektrik berkuasa 87 hp/240 Nm, menjadikan kuasa keseluruhan S60 T8 Twin Engine ini adalah 407 hp/640 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j. Ia juga mencatatkan penggunaan bahan api serendah 2 liter untuk perjalanan 100 km.

    Motor elektrik S60 T8 ini mendapat suapan bateri lithium-ion 11.6 kWj yang diletakkan di bawah terowong transmisi, iaitu diposisikan menegak pada bahagian tengah lantai kereta ini, memberikan jarak gerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya tanpa enjin petrol dihidupkan lebih dari 49 km.

    Volvo S60 T8 CKD 2020 dilancarkan di M’sia – harga RM295,888 tidak berubah, kini dengan Park Assist

    Sebagai model plug-in hybrid (PHEV), bateri berkenaan turut boleh dicas menggunakan stesen pengecas dengan sistem sambungan Type 2, membolehkan ia dicas penuh dalam masa tiga jam dengan kuasa 3.7 kW atau lebih. Varian R-Design ini juga dibekalkan dengan Dynamic Chassis bersama suspensi passive damping bagi memberikan pengendalian lebih sporty.

    Seperti biasa juga, Volvo S60 generasi baharu turut ini tampil dengan sistem keselamatan antara yang paling canggih dalam kelasnya. Ia terdiri dari enam beg udara (depan, belakang dan tirai), brek kecemasan automatik City Safety, Pilot Assist, Bantuan Kekal Lorong, Amaran dan Sokongan Pengelak Pelanggaran Hadapan dan Belakang, Driver Alert Control (DAC), Pengelak Keluar Jalan, Lintasan Trafik Belakang dan pelbagai lagi. Untuk model CKD ini, satu lagi ciri ditambah iaitu ia hadir standard dengan sistem Park Assist.

    Selain itu, terdapat juga berberapa perubahan kecil antara model CBU dan CKD ini. Menurut VCM, tempat duduk belakang sedan versi CKD ini tidak boleh dilipat seperti model CBU, tetapi masih ada satu ruang yang boleh dibuka untuk akses ke ruang kargo but. Selain itu, ia juga kini tidak lagi mempunyai soket 12V dan jaring pada ruang but tersebut.

     
     
  • Semua pusat pameran dan servis Mitsubishi sudah dibuka – kereta pandu uji boleh dibawa kepada anda

    Semua pusat pameran dan servis Mitsubishi sudah dibuka – kereta pandu uji boleh dibawa kepada anda

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini mengumumkan semua pusat pameran dan servis mereka dalam negara sudah dibuka untuk operasi. Selain daripada itu, MMM juga melancarkan satu servis baru yang dinamakan sebagai Test Drive 2U untuk pelanggan.

    Melalui servis ini, anda boleh menempah sesi pandu uji secara atas talian, iaitu melalui laman https://www.mitsubishi-motors.com.my/testdrive2u/ dan isikan beberapa maklumat penting seperti perincian diri, lokasi serta pilihan kenderaan yang mahu diuji.

    Setelah semuanya selesai, satu sesi khas akan ditempah untuk anda, dan kenderaan pandu uji tersebut akan dibawa ke rumah anda oleh wakil jualan. Beberapa peraturan juga telah ditetapkan untuk menjaga kebersihan dan keselamatan pihak yang terlibat.

    Antaranya, sesi pandu uji tersebut hanya dihadkan untuk satu pelanggan sahaja pada satu-satu masa dan wakil jualan akan duduk di belakang. Keseluruhan kenderaan serta kuncinya akan dibersihkan sebelum dan selepas sesi pandu uji, sementara wakil jualan juga akan sentiasa memakai penutup muka serta cecair pembasmi kuman. Pelanggan juga disarankan membuat perkara sama.

    “Servis atas talian Test Drive 2U memastikan kami masih dapat menyediakan pengalaman tanpa kebimbangan untuk pelanggan yang mahu menguji kenderaan Mitsubishi dari rumah sepanjang perintah kawalan pergerakan ini. Pelanggan boleh melihat model yang dimahukan, berinteraksi dengan wakil jualan dan menempah sesi pandu uji dalam cara yang bertanggung jawab dan selamat untuk semua,” kata ketua pegawai eksekutif MMM, Tomoyuki Shinnishi.

     
     
  • Volvo S60 T8 Twin Engine CKD 2020 – tonton secara langsung pelancarannya ke pasaran tempatan di sini

    Seperti yang telah dijanjikan minggu lalu, hari ini Volvo Cars Malaysia (VCM) akan mendedahkan sedan S60 T8 yang telah pun dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD). Dan berita baik untuk anda ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, majlis pendedahan tersebut boleh ditonton secara langsung menerusi laman facebook VCM, dan telah kami letakkan di atas artikel ini.

    Seperti model-model Volvo lain, model S60 generasi baharu ini terlebih dahulu masuk ke pasaran Malaysia pada hujung tahun lalu dalam versi diimport sepenuhnya (CBU). Sebelum ini, kami telah pun diberitahu bahawa spesifikasi dan juga harga untuk model yang dipasang di kilang Volvo di Shah Alam ini tidak berubah dari unit-unit yang diimport sebelum ini. Untuk mengesahkannya, sama-sama kita tonton siaran langsung tersebut.

    S60 T8 Twin Engine AWD ini dijana oleh unit janakuasa hibrid petrol elektrik yang terdiri daripada enjin petrol 2.0 liter empat silinder turbo bersama supercharge Drive-E berkuasa 320 hp dan tork maksima 400 Nm, serta unit crankshaft-integrated starter/generator (CISG) dan transmisi automatik lapan kelajuan Aisin AW TG-81SD.

    Volvo S60 T8 Twin Engine CKD 2020 – tonton secara langsung pelancarannya ke pasaran tempatan di sini

    Enjin pembakaran dalaman tersebut menyampaikan kuasa ke roda hadapan, sementara motor elektrik 87 hp/240 Nm pula digunakan untuk kuasa kepada roda belakang, sekaligus memberikan pacuan semua roda dan kuasa keseluruhan 407 hp dan tork maksima 640 Nm. Untuk prestasi, S60 T8 boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat, mencecah kelajuan maksimum 250 km/j dan penggunaan bahan api 2.0l/100 km.

    Motor elektrik ini mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 11.6 kWh yang diletakkan di bahagian tengah kenderaan dan mampu memberikan jarak gerak menggunakan elektrik sahaja 49 km. Model sedan juga datang dengan pengecas 3.7 kW yang boleh digunakan dengan sambungan Type 2 di stesen pengecas – mengambil masa sekitar tiga jam untuk penuh.

    Kita menerima S60 dalam versi R-Design, oleh itu ia dilengkapi termasuk Dynamic Chassis dengan penyerap hentak pasif, pakej penggayaan R-Design, rim aloi 19 inci, sistem infotainmen Sensus Connect, panel instrumen digital 12.3 inci, head-up display, pendingin hawa kawalan dua zon dan pelbagai sistem keselamatan dan bantuan pemandu lain.

    GALERI: S60 T8 R-Design (CBU)

     
     
  • Nissan Kicks facelift 2020 – Thailand jadi pasaran pertama, empat varian, enjin e-Power, dari RM121k

    Nissan Kicks facelift 2020 – Thailand jadi pasaran pertama, empat varian, enjin e-Power, dari RM121k

    Thailand akhirnya menjadi negara pertama yang menerima Nissan Kicks facelift 2020 apabila ia kini telah dilancarkan secara rasmi. Selain itu, ia juga menjadikan Thailand sebagai negara kedua di dunia yang mengeluarkan enjin e-hybrid yang digunakan pada model tersebut.

    Kicks pasaran Thailand dikuasakan oleh pakej penggerak e-Power, yang mana berfungsi secara berbeza berbanding sistem hibrid biasa. Enjin pembakaran dalaman petrol tiga silinder 1.2 liter HR12DE yang berkuasa 79 PS pada 5,400 rpm dan 103 Nm tork pada 4,400 rpm digunakan hanya sebagai generator kepada bateri 1.57 kWH, dan bukannya untuk menggerakkan kenderaan.

    Daripada bateri, kuasa kemudiannya dihantar kepada motor elektrik EM57 berkuasa 129 PS (95 kW) dan 260 Nm untuk menggerakkan roda hadapan. Melalui tetapan ini, serta bateri yang diletakkan di bawah tempat duduk hadapan, ruang simpanan dalam but tidak terganggu dan berkapasiti 432 liter.

    Nissan Kicks facelift 2020 – Thailand jadi pasaran pertama, empat varian, enjin e-Power, dari RM121k

    Kemudiannya, input dari pedal kepada motor elektrik tersebut dikawal oleh sistem shift by wire, di mana ia boleh menyediakan beberapa mod pemanduan termasuk Smart, Eco, Normal dan EV. Terdapat juga fungsi One-Pedal yang membolehkan pemandu memecut dan membrek dengan menggunakan satu pedal, iaitu pedal minyak sahaja seperti Leaf.

    Ini adalah satu-satunya penggerak yang ditawarkan bagi Kicks di Thailand dan ia disediakan dalam empat varian bermula dari S yang berharga 889,000 baht (RM120,522), E pada 949,000 baht (RM128,660), V pada 999,000 baht (RM135,439), dan VL pada 1,049,000 baht (RM142,218).

    Jika dibandingkan dengan Kicks sebelumnya, SUV kompak tersebut sekarang mendapat gril V-Motion yang lebih besar, bentuk lampu (dengan DRL LED) baru yang lebih tajam dan nipis serta bampar yang lebih agresif dengan bukaan udara yang lebih besar di hadapan. Melihat dari tepi tidak banyak yang berubah di mana ia masih menggunakan c-pillar hitam dan warna luar dua tona. Bahagian belakang juga mendapat bampar baru, dengan diffuser hiasan yang lebih besar.

    Nissan Kicks facelift 2020 – Thailand jadi pasaran pertama, empat varian, enjin e-Power, dari RM121k

    Sementara perubahan pada bahagian luar boleh dilihat secara jelas, bahagian dalam pula kebanyakannya masih lagi sama termasuklah susun atur papan pemuka. Antara yang diubah cuma rekaan stereng yang kini sama seperti Leaf dan konsol tengah untuk menempatkan tombol gear serta butang kawalan enjin baru.

    Antara kelengkapan lain yang boleh didapati pada Kicks 2020 ini adalah rim 17 inci, kawalan pendingin hawa dua zon, sistem infotainmen skrin sesentuh lapan inci Nissan Connect yang boleh disambung dengan Apple CarPlay, tempat duduk balutan kulit serta panel instrumen digital tujuh inci.

    Pada bahagian keselamatan, SUV ini datang dengan enam beg udara (depan, tepi dan bidai), ABS, EBD, BA, Vehicle Dynamic Control, Hill Start Assist dan cagak ISOFIX. Terdapat juga pelbagai sistem keselamatan aktif dan bantuan pemandu lain yang berada di bawah pakej Nissan Intelligent Mobility.

    Ini termasuk Intelligent Cruise Control, Rear Cross Traffic Alert, Around View Monitor, Autonomous Emergency Braking, Intelligent Ride Control, Moving Object Detection, Intelligent Forward Collision Warning, Driver Attention Alert, Intelligent Trace Control, Blind Spot Warning dan cermin pandang belakang digital.

    Untuk warna badan, terdapat enam pilihan iaitu Black Star, Brilliant Silver, Monarch Orange, Radiant Red, Gun Metallic (kelabu) dan Storm White. Empat warna terakhir juga ditawarkan dengan pilihan bumbung warna hitam bagi pemilik yang gemarkan warna dua tona.

    Edaran Tan Chong Motor sebelum ini telah mendedahkan mempunyai perancangan untuk memperkenalkan Kicks di Malaysia tetapi waktu sebenarnya masih belum diketahui dan kita juga belum dipastikan akan menerima penggerak e-Power ini.

     
     
  • Diskaun saman trafik hingga 50% mulai 18-21 Mei, boleh bayar di portal atau di kaunter IPD dan IPK

    Diskaun saman trafik hingga 50%  mulai 18-21 Mei, boleh bayar di portal atau di kaunter IPD dan IPK

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah mengumumkan mulai hari ini, 18 hingga 21 Mei 2020, pemberian diskaun sehingga 50% bagi saman-saman terpilih jika membuat pembayaran secara dalam talian melalui dua portal yang ditetapkan JSPT.

    Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata dua portal berkenaan adalah www.myeg.com.my dan www.rilek.com.my.

    “Semua saman layak mendapat diskaun berkenaan kecuali saman kemalangan tahun 2019 dan 2020, saman dalam perbicaraan, saman OP Selamat tahun 2019 dan 2020, saman berstatus NC (Non Compoundable), saman berstatus mahkamah dan berkaitan lori serta saman berstatus waran tangkap,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Beliau turut memaklumkan, membuka kaunter perkhidmatan di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) secara berperingkat juga mulai hari ini. Ia bertujuan memudahkan orang ramai menjelaskan bayaran saman serta pembekalan dokumen-dokumen berkaitan kes kemalangan bagi tuntutan insurans.

    Diskaun saman trafik hingga 50%  mulai 18-21 Mei, boleh bayar di portal atau di kaunter IPD dan IPK

    Di mana kaunter perkhidmatan akan dibuka pada Isnin hingga Rabu bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang bagi IPK Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan).

    Pada hari Jumaat, kaunter akan dibuka pada 9 pagi hingga 12 tengah hari melibatkan kesemua kontinjen berkenaan. Bagi IPK Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu kaunter hanya beroperasi pada hari Isnin, Rabu dan Ahad dari 9 pagi hingga 2 petang.

    Azisman turut menyeru orang ramai yang ingin berurusan di kaunter-kaunter itu agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan.

     
     
  • VIDEO: Mustahil untuk scalp mainan Tomica Happy Meal pilihan di McDonald’s Jepun – ini sebabnya!

    Hidangan Happy Meal sepatutnya hanya dibeli oleh kanak-kanak – ia bukan sahaja menyajikan hidangan-hidangan bersaiz kecil, malah turut hadir dengan mainan-mainan istimewa. Namun, disebabkan kadang kala mainan tersebut dihasilkan dengan kerjasama syarikat mainan pengumpul, ia juga menjadi buruan orang dewasa.

    Misalnya di McDonald’s Malaysia pada tahun 2017, Happy Meal ditawarkan dengan koleksi empat kereta yang dihasilkan oleh Tomica iaitu Lotus Exige R-GT, Toyota 86, Nissan GT-R R35 dan Mazda MX-5 Roadster ND. Kesemua kereta ini dijual pada minggu berasingan dan sudah tentu yang paling menjadi buruan adalah Nissan GT-R.

    Namun ada perkara yang ‘tidak sedap’ berlaku setiap kali McDonald’s melancarkan koleksi permainan sebegini. Ia biasanya dicemari dengan kehadiran ‘scalper’ yang biasanya menumpukan terhadap model yang paling menjadi buruan seperti R35 tersebut – mereka membelinya dengan jumlah yang banyak sehingga tiada lagi stok di premis-premis McD, kemudian menjualnya semula di luar dengan harga berlipat kali ganda.

    Tetapi jika anda tinggal di Jepun, perkara ini agak sukar untuk terjadi. Mengapa? Ok, seperti yang kami siarkan tempoh hari, bermula 1 Mei 2020, McDonald’s Jepun menawarkan hadiah Tomica Toyota GR Supra untuk hidangan Happy Meal (atau dikenali sebagai Happy Set di sana). Walaupun telah membintangi iklan promosi McDonald’s dan Toyota tersebut, pelumba dan drifter Nobuteru Taniguchi tetap perlu untuk ‘memburu’ sendiri GR Supra berkenaan di restoran McDonald’s untuk mendapatkannya.

    Taniguchi memuatnaik video pengalamannya untuk memburu GR Supra berkenaan. Seperti biasa, set koleksi kali ini terdiri dari empat model berlainan; selain GR Supra tersebut, McDonald’s turut menawarkan kereta peronda polis Mazda CX-5, lori pengangkut dinosor dan juga trak pembacuh simen UD Trucks.

    Tidak seperti di Malaysia di mana setiap satu model tersebut ditawarkan dalam minggu berbeza, di Jepun McDonald’s menawarkan kesemunya dalam masa yang sama tetapi ia akan diberikan kepada pelanggan secara rawak! Jadi, agak mustahil untuk seseorang scalper itu untuk tumpu ‘menghabiskan’ satu-satu model yang menjadi buruan paling popular.

    Bagi mencerahkan peluangnya untuk memperolehi GR Supra pada sesi buruannya hari itu, Taniguchi membeli empat Happy Set. Nyata strateginya berjaya kerana dia diberikan empat kereta dari model berbeza, termasuk sebuah GR Supra.

    Walau bagaimanapun, pada hari berkenaan dia sendiri baru mengetahui bahawa McD turut menawarkan satu lagi ‘model misteri’ iaitu sebuah GR Supra berwarna emas yang sangat sukar untuk diperolehi. Ini telah mendorongnya untuk mencuba nasib lagi berberapa kali untuk memburu GR Supra misteri tersebut, namun tidak berjaya.

    Ok, untuk pengumpul mainan-mainan Happy Meal di luar sana, mana anda rasa cara lebih seronok, cara di Malaysia atau di Jepun?

     
     
  • Dr. Noor Hisham gusar dengan mereka yang degil cuba curi-curi rentas negeri pulang ke kampung

    Dr. Noor Hisham gusar dengan mereka yang degil cuba curi-curi rentas negeri pulang ke kampung

    Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg Datuk Dr Noor Hisham Abdullah gusar dengan tindakan sebahagian rakyat Malaysia yang cuba curi-curi merentas negeri untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba hujung bulan ini.

    Menurutnya, sehingga 17 Mei 2020 sebanyak 971 kes positif Covid-19 (atau 14.1 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19 (6,894 kes) telah mempunyai sejarah merentas negeri. Tambahan pula, sebanyak 18 kluster daripada jumlah keseluruhan 49 kluster yang pernah dicatatkan di Malaysia juga adalah berkaitan dengan aktiviti merentas negeri, dan 10 daripada kluster-kluster tersebut adalah masih aktif.

    Beliau juga menjelaskan bahawa kes-kes positif Covid-19 yang berkait rapat dengan aktiviti merentas negeri adalah amat membimbangkan, terutama sekiranya ia terus-menerus berlaku walaupun selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

    Seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sejumlah 508 kenderaan telah ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung halaman masing-masing pada Jumaat lalu. Jumlah berkenaan telah meningkat lebih sekali ganda setelah lagi 1,248 dikesan membuat kesalahan yang sama semalam.

    Dr. Noor Hisham gusar dengan mereka yang degil cuba curi-curi rentas negeri pulang ke kampung

    Dr. Noor Hisham berkata, kementeriannya menghargai usaha dan berterima kasih atas tindakan penguatkuasaan oleh pihak PDRM bagi memastikan pematuhan masyarakat kepada syarat-syarat PKPB terus kekal tinggi. Ini penting supaya orang ramai tidak menyalahgunakan kelonggaran yang telah diberikan oleh Kerajaan.

    Beliau turut menyeru agar masyarakat harus terus berwaspada semasa tempoh perayaan yang bakal tiba kerana ini mungkin menjadi pemangkin kepada penularan jangkitan Covid-19 ke kawasan-kawasan yang kini telah mencapai status Hijau.

    Selepas Perdana Menteri mengumumkan PKPB bermula 4 Mei lalu, kerajaan telah memberi kelonggaran bergerak secara beransur-ansur. Buat masa sekarang, rakyat tidak lagi perlu untuk berseorang di dalam kenderaan, perjalanan melebihi radius 10 km sudah dibenarkan, dan tiada lagi had perjalanan hanya sehingga 10 malam. Namun pergerakan untuk merentas negeri masih lagi belum diberikan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025