Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Mitsubishi Triton VGT AT GL dilancar untuk Malaysia – varian permulaan untuk model VGT, RM103,800

    Mitsubishi Triton VGT AT GL dilancar untuk Malaysia – varian permulaan untuk model VGT, RM103,800

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah memperkenalkan varian baru bagi model Triton, iaitu Triton VGT AT GL, yang dipasarkan pada harga RM103,800 atas jalan tidak termasuk insurans. Model ini menjadi model Triton VGT paling murah, dan berada di bawah varian paling tinggi VGT Adventure X (RM130,900) diikuti VGT Adventure (RM123,130) dan VGT AT/MT (RM114,400 dan RM107,600).

    Sama seperti varian Triton VGT yang lain, varian baru ini menggunakan enjin sama iaitu unit 2.4 liter MIVEC turbodiesel dengan kuasa 181 PS pada 3,500 rpm dan 430 Nm tork pada 2,500 rpm. Transmisi yang digunakan pula adalah automatik lima kelajuan dengan sistem pacuan Easy Select 4WD.

    Varian VGT AT GL ini menggunakan asas VGT AT, dan datang lengkap dengan gril krom gelap, rim 16 inci, pengawal suhu automatik dan tempat duduk fabrik. Walaupun begitu, beberapa kelengkapan telah diubah supaya harganya boleh ditawarkan lebih murah.

    Mitsubishi Triton VGT AT GL dilancar untuk Malaysia – varian permulaan untuk model VGT, RM103,800

    Ini termasuk lampu xenon yang diganti dengan unit halogen reflector, dan ia tidak mempunyai lampu siang dan lampu kabus LED, serta penunjuk arah pada cermin sisi. Pada bahagian dalam, sistem pemasukan tanpa kunci serta skrin sesentuh turut dikeluarkan, diganti dengan sistem double-DIN. Jumlah pembesar suara juga hanya tinggal empat, daripada enam yang terdapat pada VGT AT.

    Satu perkara yang baik adalah kelengkapan keselamatannya masih lagi sama, dengan dua beg udara di hadapan, ABS, EBD, BA, Active Stability Control, Traction Control, Hill-Start Assist, Trailer Stability Assist, pengesan undur dan cagak ISOFIX pada tempat duduk belakang.

    Setiap pembelian Triton VGT AT GL turut datang dengan jaminan lima tahun atau 200,000 km, seterusnya menjadikan Triton VGT satu-satunya trak pikap yang mempunyai jaminan selama itu (sebelum ini tiga tahun atau 100,000 km) sejak April 2017. Untuk mendekati model ini, anda boleh mengunjungi pameran bergerak MMM di AEON Tebrau City, Johor pada 19 hingga 24 September dan di Mid Valley Megamall pada 27 Oktober hingga 1 Oktober.

    Anda juga boleh melihat lebih lanjut berkenaan spesifikasi serta kelengkapan bagi semua model Triton di Malaysia di CarBase.my.

     
     
  • Plat unik AIM 1 hingga AIM 1000 dibuka untuk bidaan

    Plat unik AIM 1 hingga AIM 1000 dibuka untuk bidaan

    Satu lagi siri nombor pendaftaran unik dibuka untuk bidaan di Malaysia iaitu A1M 1 hingga AIM 1000. Nombor plat istimewa ini adalah idea daripada Presiden Yayasan Artis 1Malaysia, Datuk Irwan Shah Abdullah ataupun dikenali sebagai DJ Dave (empat dari kiri). Yayasan ini bertujuan memberi sokongan kepada artis tempatan yang telah berusia, mempunyai masalah kesihatan ataupun meninggal dunia.

    Borang permohonan untuk membida nombor plat ini boleh didapati melalui laman www.plata1m.com.my atau terus ke Tune Hotel PWTC di Kuala Lumpur. Jumlah deposti yang dikenakan untuk bidaan nombor plat ini adalah 10% daripada harga bidaan – ini juga adalah deposit paling rendah bagi plat istimewa. Tarikh akhir bidaan adalah pada 2 Oktober.

    Penjualan dan pemasaran nombor plat A1M dikendalikan secara eksklusif oleh D’City Planners, yang dilantik oleh yayasan tersebut. Satu majlis khas akan diadakan untuk mengumumkan pemenang nombor plat ini dan mereka akan diundang untuk menyertai satu majlis makan malam bersama artis tempatan. Antara plat istimewa lain yang pernah dikeluarkan sebelum ini adalah ‘RIMAU‘, ‘PERFECT‘, ‘NAAM‘, ‘VIP‘, ‘GT’, ‘U’, ‘US’, ‘SMS’ dan ‘PATRIOT’.

     
     
  • Harga bahan api 7 hingga 13 Sept – semua meningkat

    Harga bahan api 7 hingga 13 Sept – semua meningkat

    Selepas menyaksikan pada minggu lepas harga bahan api naik sedikit, minggu ini sekali lagi ia naik bagi semua jenis bahan api. Daripada RM2.16, harga RON 95 naik 4 sen menjadi RM2.20, diikuti naik 4 sen untuk RON 97 menjadi RM2.48, dan naik 1 sen untuk diesel menjadikan RM2.05 untuk Euro 2 dan RM2.15 untuk Euro 5 M. Harga ini akan kekal untuk tempoh seminggu sehingga 13 Ogos.

    Kali terakhir harga bahan api petrol turun adalah bagi minggu antara 29 Jun hingga 5 Julai, di mana harganya berada pada RM1.89 seliter untuk RON 95 dan RM2.15 untuk RON 97 manakala untuk diesel, kali terakhir ia turun adalah pada minggu 24 hingga 30 Ogos, menjadi RM2.01 seliter bagi Euro 2, dan RM2.11 untuk Euro 5 M.

    Sejak daripada itu, harga bahan api terus meningkat tetapi terdapat juga beberapa minggu yang harganya tidak berubah. Pada minggu lepas, peningkatan yang berlaku tidak begitu banyak iaitu 1 sen untuk RON 95 dan RON 97, dan 3 sen untuk diesel.

     
     
  • Nissan Leaf 2018 akan dilancar di M’sia tahun hadapan

    Nissan Leaf 2018 akan dilancar di M’sia tahun hadapan

    Dalam hari yang sama Nissan Leaf 2018 diperkenal buat pertama kali di pentas dunia, pengedar kenderaan Nissan di Malaysia iaitu Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah memberitahu akan melancarkannya di pasaran Malaysia pada tahun hadapan. Walaubagaimanapun, tiada jangkaan harga yang diberi.

    Ini sekaligus menunjukkan pandangan serius syarikat itu terhadap kenderaan elektrik, dan sebelum ini, ETCM juga ada menjual Leaf generasi pertama sejak tahun 2013, dengan harga RM168,800. Ini adalah harga sewaktu kenderaan elektrik dan hibrid import diberi pembebasan cukai import dan duti. Pada tahun 2015, akibat tiada lagi pembebasan cukai tersebut, harganya meningkat menjadi RM180,566.

    Bagi menjadikan harga Leaf generasi kedua ini lebih menarik untuk pelanggan apabila dilancarkan nanti, ETCM perlu memasangnya di sini (CKD), seterusnya menambah pelaburan di kilang mereka di Segambut dan Serendah. Jika tidak, mereka perlu memikirkan perjanjian lain untuk mengelakkan harga tinggi bagi kenderaan elektrik import (CBU).

    Sebagai perbandingan, Leaf generasi kedua baru ini dijual di Jepun pada harga 3,150,360 yen (RM123,222) bermula bulan hadapan, dan Malaysia dikata akan menerima kereta ini tidak lama selepas itu. Pasaran Eropah dan Amerika Utara pula akan menerimanya pada bulan Januari 2018.

    Selaiin rekaan yang lebih bergaya, Leaf generasi kedua ini juga mempunyai prestasi yang dipertingkat, di mana motor elektriknya mampu menghasilkan 38% lebih kuasa dan 26% lebih tork, menjadi 110 kW (148 hp) dan 320 Nm tork. Bateri berkapasiti 40 kWh yang digunakan pada model baru ini juga dapat menjadikan jarak pergerakannya lebih jauh, menjadi 378 km, dalam satu cas penuh. Leaf baru juga dilengkapi dengan ciri berteknologi maju seperti ProPILOT, ProPILOT Park dan e-Pedal.

     
     
  • Toyota C-HR akan dipertonton di 1Utama, Johor Bahru

    Toyota C-HR akan dipertonton di 1Utama, Johor Bahru

    Sekiranya anda ingin menyaksikan lebih dekat crossover terbaru Toyota yang akan dilancarkan tidak lama lagi, iaitu C-HR, UMW Toyota telah mengumumkan tarikh dan tempat sesi pra tonton yang seterusnya. Kenderaan ini akan berada LG Oval Pusat Beli Belah 1 Utama bermula hari ini, 6 September hingga 10 September.

    Seterusnya, ia akan dibawa pula ke AEON Tebrau Center Court di Johor Bahru pada minggu hadapan, iaitu 12 September hingga 17 September. Sebelum ini C-HR pernah dipertontonkan di pusat pameran Toyota, pusat beli-belah lain dan festival perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang bulan lalu.

    Pengunjung juga perlu tahu bahawa kereta yang dipertontokan ini bukanlah mengikut spesifikasi seperti yang akan dilancarkan di Malaysia, tetapi adalah spesifikasi Australia, menggunakan enjin 1.2 liter turbo 8AR-FTS berkuasa 115 PS dan 185 Nm tork. Unit yang akan dilancarkan di Malaysia menggunakan enjin 1.8 liter NA Dual VVT-i dan kotak gear CVT.

    Sekiranya tidak berkesempatan, anda boleh menyaksikan galeri penuh serta video tinjauan awal yang telah kami letakkan di bawah ini.


     
     
  • Nissan Leaf 2018 punya lebih teknologi dan bergaya

    Nissan Leaf 2018 punya lebih teknologi dan bergaya

    Nissan akhirnya mendedahkan model Leaf 2018 serba baru. Model generasi kedua ini diangkat sebagai “kenderaan elektrik paling maju di dunia untuk pasaran massa” dan ikon kepada visi Mobiliti Pintar syarikat itu. Untuk pengetahuan, Tesla bukanlah untuk pasaran massa (besar-besaran) dan Leaf adalah peneraju kenderaan elektrik semasa ia belum popular lagi pada tahun 2010.

    leaf baru ini menggabungkan jarak penggunaan yang lebih jauh dengan rekan lebih dinamik dan teknologi baru. Nadi penggeraknya menawarkan kecekapan tenaga yang diperelok, bersama tambahan kuasa dan tork, yang kini berada pada 110 kW (148 hp) dan 320 Nm. Ini masing-masing adalah peningkatan sebanyak 38% dan 26%.

    Memberi kuasa kepada motor elektrik EM57 pada kenderaan ini adalah pek bateri lithium-ion 40 kWh. Pada tahun 2016, bateri Leaf telah diberikan naik taraf daripada 24 kWh kepada 30 kWh, jadi ini dianggap sebagai satu langkah yang besar sambil mengekalkan dimensi pek bateri tersebut. Jika dibandingkan dengan Leaf pada tahun 2010, bateri pada model baru ini mempunyai ketumpatan tenaga 67% lebih baik. Selain itu, dengan penggunaan elektrod yang dipertingkat dan formula baru juga, ketahanan bateri ini dapat diperbaiki.

    Nissan Leaf 2018 punya lebih teknologi dan bergaya

    Apabila diuji dalam kitaran Japan Cycle, satu cas penuh bateri 40 kWh Leaf baru dapat memberi jarak pergerakan 400 km, manakala dalam ujian New European Driving Cycle (NEDC) pula, 378 km dan ujian EPA di Amerika Syarikat 241 km (150 batu). Menurut Nissan, mereka akan mengeluarkan versi berkuasa lebih tinggi dengan kapasiti bateri serta kuasa yang lebih tinggi pada penghujung tahun 2018.

    Untuk masa mengecas pula, Nissan meletakkan tempoh lapan jam sekiranya menggunakan sumber 6 kW, manakala apabila menggunakan sumber 3 kW, ia menjadi 16 jam. Terdapat juga mod mengecas pantas apabila menggunakan soket CHAdeMO, dan ia akan mengambil masa 40 minit untuk mencapai tahap 80% penuh. Kadar cas AC maksimum yang boleh digunakan adalah 6.6 kW.

    Untuk memadankan kenderaan ini dengan kuasa yang lebih tinggi, Nissan turut menaik taraf casis Leaf 2018 untuk stabiliti lebih baik, dengan cara meletakkan barang yang berat seperti bateri di bahagian tengah badan, seterusnya mengurangkan kereta menjunam apabila membrek dengan kuat (perkara biasa bagi kenderaan yang menggunakan enjin di hadapan).

    Nissan Leaf 2018 punya lebih teknologi dan bergaya

    Nissan juga memberitahu bahawa stereng kuasa elektrik Leaf mempunyai rasa yang lebih linear dan tindak balas lebih baik. Selain itu, bump stop yang menggunakan bahan urethane sebelum ini telah diganti dengan getah biasa untuk keselesaan. Sistem Intelligent Ride Control pada Leaf dapat menguruskan penghasilan tork semasa mengambil selekoh, mengurangkan getaran dan meningkatkan kualiti pemanduan.

    Biasanya bagi sebuah kenderaan elektrik, disebabkan tiada enjin, bunyi bising angin akan jelas kedengaran. Bagi mengurangkan perkara ini, Nissan telah memberikan peningkatan aerodinamik (Cd 0.28) dan beberapa penghalusan lain pada badannya. Langkah lain yang diambil untuk mengurangkan bunyi dalam kenderaan adalah ketegaran struktur inverter yang direka semula, lapik penyerap bunyi di atas modul penyampai kuasa dan bunyi motor elektrik sendiri dikurangkan.

    Leaf 2018 ini juga dilengkapi dengan teknologi pemanduan pintar antaranya ProPILOT, iaitu sistem pemanduan autonomous dalam satu lorong. Apabila diaktifkan, kenderaan ini dapat mengekalkan jarak dengan kenderaan hadapan pada kelajuan yang ditetapkan (antara 30 km/j hingga 100 km/j), sambil stereng dikawal untuk memastikan kenderaan tetap dalam satu lorong. Ia juga boleh membrek sehingga berhenti sepenuhnya secara automatik apabila perlu.

    Nissan Leaf 2018 punya lebih teknologi dan bergaya

    Seterusnya adalah ProPILOT Park yang menggabungkan teknologi pemprosesan gambar menggunakan empat kamera dan 12 pengesan ultrasonik sekitar kenderaan untuk membantu meletakkan kenderaan dalam petak secara automatik. Sistem ini juga boleh mengambil alih tugas mencari lokasi letak kenderaan, pecutan, brek, kawalan stereng dan brek tangan.

    Satu lagi ciri teknologi baru adalah e-Pedal, yang membenarkan pemandu mengawal pecutan, memperlahankan kenderaan dan membrek dengan hanya menggunakan satu pedal sahaja (pedal pendikit). Untuk memperlahankan kenderaan, anda hanya perlu melepaskan perlahan-lahan pedal tersebut, manakala untuk berhenti, angkat terus kaki daripada pedal. Sekiranya ciri ini sedang aktif, pemandu masih boleh menggunakan pedal brek untuk berhenti, terutamanya dalam waktu kecemasan.

    Pada aspek keselamatan, Leaf dilengkapi dengan pakej Safety Shield, yang termasuk Intelligent Lane Intervention, Lane Departure Warning, Intelligent Emergency Braking, Blind Spot Warning, Traffic Sign Recognition, Rear Cross Traffic Alert, Intelligent Around View Monitor dengan pengesan objek bergerak dan Emergency Assist for Pedal Misapplication.

    Bentuk Leaf baru ini juga tidak lagi pelik seperti dulu. Rekaannya mendapat inspirasi daripada model IDS Concept yang pernah ditunjukkan di Tokyo pada tahun 2015 dan menggunakan konsep rekaan sama seperti March baru, yang lebih dinamik dan sporty. Pada bahagian depan, tempat mengecasnya menggunakan sudut condong 45 darjah supaya lebih mudah dicapai oleh pengguna tanpa menunduk.

    Pada bahagian dalam, keadaannya ringkas tetapi tetap bergaya. Kebanyakan bahagian berwarna hitam bersama selingan kemasan biru dan perak, manakala di bahagian tengah papan pemuka terdapat skrin yang memamaparkan operasi kenderaan termasuk kuasa yang tinggal dan jarak pergerakan. Pemilik juga boleh menggunakan aplikasi telefon pintar untuk mengetahui informasi semasa berkenaan kenderaan mereka dan mencari tempat mengecas.

    Nissan Leaf akan mula dijual di Jepun pada bulan Oktober manakala untuk Amerika Utara dan Eropah pula pada awal tahun 2018.


     
     
  • MINI John Cooper Works GP Concept tampil ganas

    MINI John Cooper Works GP Concept tampil ganas

    MINI telah menunjukkan sebuah model konsep ganas yang menggunakan model F56 semasa sebagai asas dan dinamakan sebagai MINI John Cooper Works GP Concept. Ubah suai yang diberikan tidak mempunyai sempadan, dengan lengkuk roda cukup besar, menyembunyikan jarak roda yang lebih lebar, rim Racetrack serba ringan 19 inci serta sayap belakang yang besar. Pada bahagian depan, terdapat pula bukaan udara yang besar dan splitter yang rendah dan berbentuk tajam.

    Pada bahagian tepi, side skirt kenderaan ini menghasilkan lekuk yang lebih dalam, manakala pemegang pintu dijadikan lebih berpetak, menunjukkan binaannya daripada bahan serba ringan. Banyak lagi sirip aerodinamik yang digunakan pada kenderaan ini, termasuk di bahagian atas tayar belakang. Pada lampu belakangnya pula, terdapat pencahayaan yang berbentuk Union Jack, seperti pernah dilihat sebelum ini pada MINI Electric Concept.

    Kebanyakan bahagian badan kenderaan ini menggunakan warna kelabu gelap yang sudah menjadi tanda unik sebuah kenderaan GP, dan ia dihiasi dengan beberapa bahagian lain yang berwarna merah metalik dan oren seperti pada lampu utama, salur udara hadapan, tapak cermin sisi dan pemegang pintu. Nombor 0059 yang boleh dilihat pada atas lengkuk tayar pula adalah sebagai peringatan kepada tahun MINI pertama dikeluarkan iaitu 1959.

    Seperti model sebelum ini, GP Concept baru hanya menggunakan dua tempat duduk, dengan kebanyakan barang dicabut sehingga menampakkan rangkanya. Selain tempat duduk bucket kulit berwarna putih dan hitam, yang tinggal hanyalah roll-cage, tali pinggang five-point dan papan pemuka minimal dengan paparan instrumen digital, head-up display dan skrin sesentuh di bahagian tengah untuk mengubah tetapan suspensi. Turut disediakan adalah pemadam api kecemasan.

    Prestasi kenderaan ini tidak disiarkan, tetapi model produksi boleh dijangka menggunakan enjin biasa John Cooper Works iaitu unit 2.0 liter turbo yang mungkin akan ditingkatkan kuasanya daripada 231 hp yang boleh dihasilkan sekarang. Biasanya bagi enjin ini, kuasa dihantar kepada tayar hadapan menggunakan kotak gear manual enam kelajuan.

     
     
  • Toyota Camry dipertingkat di M’sia – kemasan dalam baharu tanpa kos tambahan, pilihan aksesori ditambah

    Toyota Camry dipertingkat di M’sia – kemasan dalam baharu tanpa kos tambahan, pilihan aksesori ditambah

    Memasuki tahun keenam ia berada di dalam pasaran Malaysia, Toyota Camry diberikan sedikit pembaharuan, iaitu bahagian dalamnya menggunakan kemasan baharu, tanpa sebarang kos tambahan, dan lebih banyak pilihan kelengkapan.

    Semua model Camry kini mendapat kemasan kayu karbon, dengan model paling tinggi iaitu Hybrid Luxury diberikan tambahan balutan kulit Kogane (bermaksud emas dalam Bahasa Jepun). Pembeli juga kini boleh menambah soket pengecas USB pada harga RM212, cermin sisi boleh lipat automatik pada RM371, dan Panoramic View Monitor (PVM) 360 darjah untuk model 2.0G X pada harga RM2,650. Barangan ini turut diperkenalkan kepada model Altis dan Vios.

    Selain daripada itu, senarai kelengkapan masih lagi sama, di mana model asas 2.0E didatangkan dengan lampu utama xenon dengan lampu siang dan lampu belakang LED, lampu kabus, rim 16 inci, sistem pemasukan tanpa kunci, butang pemula, pengawal suhu dua zon, skrin pelbagai info 4.2 inci, tempat duduk larasan manual, pemain CD/DVD, enam pembesar suara dan pam tayar.

    Model Hybrid Premium ditambah dengan lampu utama dan lampu kabus LED, kemasan kulit di dalam, tempat duduk larasan kuasa, pelindung cahaya di tingkap belakang, cruise control, perakam video digital dan filem penapis haba solar dan keselamatan. Model 2.0G X menggunakan lampu utama xenon, tetapi mempunyai rim 17 inci, pengecas Qi tanpa wayar, sistem hiburan dan informasi 2-DIN dengan skrin sesentuh, kamera undur, Bluetooth dan pemain DVD.

    Akhir sekali, model Hybrid Luxury didatangkan dengan lampu utama LED, pengelap cermin automatik, cermin pandang belakang malap automatik, ioniser udara, blind spot monitoring dengan rear cross traffic alert, sistem hiburan bersepadu dan 10 pembesar suara JBL GreenEdge. Semua model Camry mendapat tujuh beg udara, ABS, EBD, BA dan Vehicle Stability Control (VSC).

    Spesifikasi mekanikal kenderaan ini masih tidak berubah, di mana model petrol menggunakan enjin 2.0 liter VVT-iW dengan D-4S direct injection, menghasilkan 167 PS dan 199 Nm tork, dan dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan. Varian hibrid pula menggunakan enjin 2.5 liter VVT-i Atkinson-cycle bersama motor elektrik, untuk menghasilkan keseluruhannya 205 PS kuasa.

    Seperti yang dinyatakan tadi, tiada perubahan harga untuk Camry, bermakna varian 2.0E masih dijual pada harga RM148,600, 2.0G X RM155,400, Hybrid Premium RM160,200 dan Hybrid Luxury RM169,900. Semua harga ini adalah tidak termasuk insurans dan datang dengan jaminan lima tahun, tanpa had batuan. Bagi model hibrid, baterinya diberi jaminan selama lapan tahun.

    GALERI: Toyota Camry Hybrid Luxury

    GALERI: Toyota Camry 2.0G X

     
     
  • Toyota Corolla Altis diberi pilihan kelengkapan baharu

    Toyota Corolla Altis diberi pilihan kelengkapan baharu

    UMW Toyota Motor telah memberi sedikit pembaharuan kepada Toyota Corolla Altis, di mana ia kini didatangkan dengan pilihan kelengkapan tambahan baru.

    Sebagai permulaan, Value Package yang berharga RM6,137.40 kini didatangkan dengan perakam video digital (DVR), sistem hiburan dan informasi DVD-AVX dengan kamera undur, filem penapis haba dan keselamatan premium, serta plet tepi pintu yang mempunyai lampu.

    Turut disediakan sebagai pilihan tambahan adalah pandangan panoramik (kamera 360 darjah) untuk RM2,650 dan soket pengecas USB hadapan paa RM212. Masih sama seperti sebelum ini adalah naik taraf sistem navigasi DVD-AVN yang berharga RM1,272 dan kit badan berharga RM2,438 yang termasuk spoiler hadapan dan belakang, side skirt dan spoiler di atas penutup but. Anda juga boleh menggabungkan semua kit badan, navigasi dan kamera 360 pada harga RM6,360.

    Selain kelengkapan pilihan ini, Altis tidak banyak berubah dari aspek spesifikasi, di mana ia masih dilengkapi lampu hadapan halogen dan rim 16 inci untuk varian 1.8E dan 1.8G. Varian 2.0V pula mendapat lampu projector LED dan rim 17 inci. Kelengkapan keselamatan juga sama untuk semua model, termasuk tujuh beg udara, VSC, kawalan cengkaman, ABS dan cagak ISOFIX di tempat duduk belakang.

    Di bawah hudnya, model 1.8 Altis dikuasakan oleh enjin petrol 2ZR-FE 1.8 liter Dual VVT-i 139 PS dan 173 Nm manakala model 2.0V menggunakan unit 3ZR-FE 2.0 liter yang berkuasa 145 PS dan 187 Nm. Semua enjin ini dipadankan dengan transmisi CVT dengan ciri Sport Sequential Shiftmatic Mode tujuh kelajuan

    Corolla Altis dijual bermula pada harga (tidak termasuk insurans) RM117,400 untuk varian 1.8E, diikuti RM120,300 untuk 1.8G dan RM134,900 untuk 2.0V. Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had batuan, dan pilihan enam warna badan. Spesifikasi lengkap Corolla Altis boleh dilihat di CarBase.my.

    GALERI: Toyota Altis 2.0V


    GALERI: Toyota Altis 1.8G

     
     
  • Ford EcoSport facelift – Eropah dapat varian ST-Line, enjin diesel 1.5L EcoBlue baharu dan pacuan AWD

    Ford EcoSport facelift – Eropah dapat varian ST-Line, enjin diesel 1.5L EcoBlue baharu dan pacuan AWD

    Ini adalah satu lagi pembaharuan yang diberikan kepada EcoSport, dan baru diperkenalkan oleh Ford. Model facelift ini pertama kali ditunjukkan untuk pasaran Amerika Syarikat hujung tahun lalu, tetapi ini adalah versi Eropah yang terbaru. Perubahan yang diberikan agak banyak, tetapi asasnya masih sama.

    EcoSport pasaran Eropah kini akan dibuat di Romania, selepas pelaburan sebanyak 200 juta euro dilakukan, dan ini adalah bagi menggantikan India sebagai sumber sebelum ini. Model ini akan mula dijual hujung tahun ini, sebelum crossover “inspirasi SUV” Fiesta Active diperkenalkan kepada pasaran benua tersebut.

    Terdapat enjin baru pada EcoSport facelift, iaitu unit 1.5 liter diesel EcoBlue, berkemampuan 125 PS dan 300 Nm tork, dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan. Ia boleh menghasilkan penggunaan bahan api sekitar 4.5 liter bagi setiap 100 km dan datang dengan sistem pacuan Intelligent AWD yang boleh mengawal penyampaian kuasa sehingga 50/50 antara roda hadapan dan belakang.

    Ford EcoSport facelift – Eropah dapat varian ST-Line, enjin diesel 1.5L EcoBlue baharu dan pacuan AWD

    Menurut Ford, EcoBlue juga akan didatangkan dengan pacuan roda hadapan, dan kotak gear enam kelajuan “serba baru, geseran rendah” enam kelajuan yang boleh memberikan pembebasan karbon lebih rendah dan penggunaan bahan api lebih baik pada pertengahan tahun 2018. Selain 1.5L TDCI AWD, enjin lain yang dilancarkan bersama EcoSport facelift ini adalah 1.5L TDCI 100 PS dan 1.0L EcoBoost petrol dengan kuasa 140 PS dan 125 PS.

    Ford juga memberitahu EcoSport baru ini “akan terus memberikan pemanduan dan kendalian yang ditala secara spesifik untuk pelanggan Eropah,” dengan spring, penyerap, pembantu spring, gear stereng, besi torsion, tetapan ESP dan bantuan stereng yang dioptimakan.

    Bagi pasaran Eropah juga, EcoSport baru ini boleh didapati dalam varian ST-Line, yang menggunakan bampar dan side skirt lebih sporty, rel bumbung hitam, hiasan pada lampu utama, rim aloi 17 inci, lencana ST-Line serta tambahan warna pada bumbung dan cermin sisi. Di dalam, varian sporty ini menggunakan roda stereng rata di bahagian bawah, tempat duduk suede dengan jahitan merah, plet ST-Line dan pedal stainless steel.

    Ford EcoSport facelift – Eropah dapat varian ST-Line, enjin diesel 1.5L EcoBlue baharu dan pacuan AWD

    Pelanggan boleh memilih 12 warna untuk model ini, termasuk Lightning Blue, Ruby Red dan Tiger Eye Metallic Orange. Mereka juga boleh memilih kereta dengan bahagian atas warna kontras. Model baru ini juga tidak mempunyai tayar simpanan yang dilekatkan pada pintu but belakang, tetapi disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Kabin EcoSport baru mempunyai bahan lembut dan kurang butang kawalan pada bahagian konsol tengah. Rekaan tempat duduknya juga adalah baru, manakala lampu suasana pula datang dalam tujuh warna. Lantai but juga mempunyai tinggi yang boleh dilaras, boleh ditutup dan kapasitinya boleh mencecah sehingga 334 liter.

    Sistem hiburan dan informasi SYNC 3 turut ditawarkan, dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Semua fungsinya ditunjukkan pada skrin sesentuh lapan inci. Pilihan skrin lain yang disediakan adalah SYNC 3 dengan skrin sesentuh 6.5 inci dan skrin 4.2 inci.

     
     
  • Nissan 370Z 2018 dipertingkat dengan klac Exedy

    Nissan 370Z 2018 dipertingkat dengan klac Exedy

    Bagi tahun 2018, Nissan 370Z telah diperbaharui dengan sedikit perubahan estetik untuk menjadikannya lebih ‘kontemporari’. Model dua pintu pengganti kepada 350Z ini telah berada di dalam pasaran sejak tahun 2009.

    Perubahan bahagian luar kenderaan ini boleh dilihat pada lampu hadapan yang mempunyai lapisan gelap, kemasan hitam pada pembuka pintu dan bampar belakang, serta lampu kombinasi di belakang (untuk model Nismo sahaja). Rekaan rim 19 inci baru turut ditampilkan untuk semua varian, manakala pilihan warna turut ditambah dengan warna merah metalik.

    Di sebalik badannya, spesifikasi mekanikal 370Z masih lagi sama seperti sebelum ini, dengan menggunakan enjin V6 NA 3.7 liter berkuasa 323 hp secara standard, atau 350 hp untuk versi Nismo. Enjin ini dipadankan dengan sama ada kotak gear automatik tujuh kelajuan atau manual enam kelajuan, yang diperbaharui dengan klac berprestasi tinggi daripada Exedy.

    Versi manual tiga pedal ini juga menampilkan ciri Synchro Rev Control seperti model sebelum ini, yang dapat membantu penurunan gear dengan melakukan blip untuk menyamakan putaran enjin semasa memperlahankan kenderaan. Di dalam, 370Z baru ini mendapat pilihan tambahan sistem hiburan dan informasi NissanConnect Premium, yang termasuk skrin sesentuh tujuh inci, navigasi satelit, pemain DVD dan kamera undur.

    Nissan 370Z 2018 yang dipertingkat ini boleh didapati terus di Eropah, manakala versi Nismo dan Roadster kekal tidak berubah untuk pasaran tahun ini.

     
     
  • Kia Picanto X-Line untuk Frankfurt – 1.0L T-GDI 100 PS

    Kia Picanto X-Line untuk Frankfurt – 1.0L T-GDI 100 PS

    Kereta yang anda lihat ini adalah Kia Picanto X-Line, yang akan dijual di Eropah pada suku keempat tahun ini. Sebelum itu, Picanto generasi ketiga akan membuat penampilan umum pertama di Frankfurt Motor Show.

    Ia dikuasakan oleh enjin petrol T-GDI 1.0 liter dengan kuasa 100 PS pada 4,500 rpm dan 172 Nm tork antara 1,500 hingga 4,500 rpm. Enjin ini juga boleh dilihat dipakai pada model cee’d dan Rio, dan membolehkan Picanto ini mencecah 100 km/j dari pegun dalam masa 10.1 saat. Penggunaan bahan api pula berada pada tahap 4.5 l/100 km.

    Menurut Kia, Picanto X-Line ini mendapat inspirasi daripada model crossover dan SUV Kia seperti Sportage dan Sorento. Ini boleh dilihat daripada penggayaannya, yang ranggi dan mempunyai kemasan plastik hitam, bampar baru dengan skid plate dan kemasan berwarna hijau (kemasan berwarna perak juga disediakan sebagai pilihan).

    Sekiranya itu masih tidak mencukupi, X-Line turut ditinggikan, dengan jarak kelegaan 156 mm, iaitu 15 mm lebih tinggi daripada Picanto standard. Senarai kelengkapan lain termasuk rim aluminium 16 inci, lampu siang dan kabus LED, kamera undur serta antena bentuk sirip.

    Pada bahagian dalam pula, X-Line dilengkapi dengan unit informasi dan hiburan skrin sesentuh tujuh inci, pengecas telefon tanpa wayar, soket pengecas USB dan pedal aluminium. X-Line juga menggunakan roda stereng yang berbentuk rata di bawah seperti Picanto GT Line.

    Untuk aspek keselamatan pula, Picanto dilengkapi dengan enam beg udara secara standard (beg udara lutut diberi sebagai pilihan), struktur badan Advanced High Strength Steel (AHSS) dan Vehicle Stability Management (VSM) dengan Electronic Stability Control (ESC). Turut ditawarkan adalah Autonomous Emergency Braking (AEB), sistem amaran perlanggaran hadapan (FCWS) dan sistem pemerhati tekanan angin (TPMS).

     
     
  • Quick Ride sedia cagaran kenderaan Proton untuk pemandu Uber – Saga RM45 sehari, Persona RM55

    Quick Ride sedia cagaran kenderaan Proton untuk pemandu Uber – Saga RM45 sehari, Persona RM55

    Mereka yang ingin menjadi pemandu Uber kini mempunyai pilihan baru untuk memulakan servis apabila Cartrade Group, bersama Koperasi Pelaburan Amanah Berhad (KAPB) telah membuat perjanjian kerjasama dengan Proton untuk mewujudkan Quick Ride, iaitu sebuah syarikat yang akan menyediakan khidmat cagaran kenderaan untuk pemandu Uber.

    Melalui servis Quick Ride ini, pemandu UberX ditawarkan dengan sebuah Proton Saga 1.3 Standard CVT pada harga RM45 sehari dan Proton Persona 1.6 Standard CVT pada harga RM55 sehari, untuk tempoh tiga tahun. Melalui bayaran ini juga, penyelenggaraan kenderaan akan ditanggung oleh Quick Ride (tidak termasuk tayar dan bahan api), bersama cukai jalan, insurans, sebuah tablet dan penyambung Wi-Fi. Sekiranya kenderaan sedang diservis, pelanggan akan diberikan kereta sementara.

    Menurut Quick Ride, servis ini disasarkan kepada graduan yang baru keluar dari kolej atau universiti, mereka yang tidak bekerja dan mereka yang ingin menambah pendapatan. Sebagai permulaan, syarikat ini mempunyai 1,000 buah kenderaan untuk dicagarkan dan berhasrat menambah jumlahnya kepada 10,000 dalam masa dua tahun akan datang.

    “Kami memuji usaha KAPB dan Proton untuk membantu menguatkan ekonomi menggunakan teknologi Uber, terutamanya bagi mereka yang memerlukan,” kata pengurus kanan pembangunan Uber, Karina Ali Noor. “Kerjasama ini menunjukkan usaha inovatif untuk menguatkan ekonomi dan bagaimana khidmat perkongsian kenderaan ini mempunyai potensi untuk memberikan impak positif kepada status sosio ekonomi warga Malaysia.”

     
     
  • Toyota daftar paten enjin nisbah mampatan boleh ubah

    Toyota daftar paten enjin nisbah mampatan boleh ubah

    Enjin produksi dengan nisbah mampatan boleh ubah pertama di dunia telah dikeluarkan oleh Infiniti, dengan penggunaannya bakal ditunjukkan pada model SUV QX-50. Kini, Toyota juga sedang mengusahakan sesuatu yang serupa, mengikut apa yang didaftarkan di pejabat pendaftaran paten dan hak reka cipta Amerika Syarikat.

    Walaubagaimanapun, langkah untuk mendapatkan nisbah mampatan boleh ubah yang dilakukan oleh Toyota adalah berbeza dengan cara Infiniti. Toyota masih menggunakan connecting rod biasa, tetapi menambah sepasang piston hidraulik di atasnya, manakala teknologi VC-T Infiniti menggunakan actuator arm elektrik untuk menaik dan menurunkan piston.

    Bagi paten Toyota, satu suis pin dan injap pemeriksa akan menentukan piston hidraulik mana yang akan dimampatkan, seterusnya menentukan nisbah mampatan yang akan digunakan. Ini secara efektif memberikan connecting rod dua jarak pergerakan, satu untuk nisbah mampatan yang tinggi, dan satu untuk nisbah mampatan yang rendah.

    Toyota daftar paten enjin nisbah mampatan boleh ubah

    Idea asas penggunaan teknologi ini adalah untuk mendapatkan yang terbaik dalam aspek kecekapan dan kuasa, di mana nisbah mampatan yang lebih rendah membantu penggunaan bahan api lebih cekap manakala nisbah mampatan lebih tinggi memberikan kuasa yang lebih baik. Menurut Toyota, tetapan yang digunakan oleh mereka dapat mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan ketahanan alat yang terlibat.

    Walaupun kini sedang berusaha untuk meningkatkan pembangunan enjin bahan api alternatif, Toyota masih melihat potensi enjin pembakaran dalaman, dengan sedikit inovasi. Syarikat itu masih tidak memberikan gambaran kuasa yang akan dihasilkan, tetapi Infiniti memberitahu enjin nisbah mampatan boleh ubah mereka mampu menyamai prestasi sebuah enjin 2.0 liter petrol turbo, dengan tork dan kecekapan seperti sebuah enjin diesel maju.

    Paten yang didaftar oleh Toyota juga sekadar menunjukkan inovasi connecting rod, dan tidak menyatakan sama ada ia akan menggunakan sistem NA ataupun pendesak kuasa tambahan seperti turbo atau supercharger. Untuk enjin NA, Toyota mempunyai barisan enjin Dynamic Force, yang dipertingkat pada aspek geseran, aliran gas ekzos, penyejukan dan pemasukan udara.


     
     
  • Honda Jazz Hybrid, City Hybrid – kos penukaran bateri RM5,513, kadar penukaran di Jepun hanya 0.1%

    Honda Jazz Hybrid, City Hybrid – kos penukaran bateri RM5,513, kadar penukaran di Jepun hanya 0.1%

    Awal tahun ini, Honda Malaysia (HM) telah melancarkan City Hybrid dan Jazz Hybrid, dengan beberapa beberapa unit telah pun disampaikan kepada pemilik awal. Sementara ada yang menerima baik teknologi Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual-Clutch Drive) yang digunakan, masih ada pula mereka yang masih ragu.

    Oleh itu, Honda Malaysia telah mengeluarkan beberapa perincian berkenaan bukan sahaja teknologi itu, malah juga situasi selepas jualan yang berkaitan kenderaan hibrid tersebut. Ini demi memberikan pelanggan sedia ada serta akan datang lebih informasi dan ketenangan minda.

    Mengikut data yang diperoleh dari Jepun, lebih 256,565 unit Fit Hybrid yang dilengkapi teknologi Sport Hybrid i-DCD telah dijual di sana sejak ia dilancarkan pada September 2013. Sejak itu, hanya 0.103% kenderaan perlu melakukan penukaran bateri hibrid dan ini bersamaan dengan 264 buah kenderaan.

    Bagi model Jazz Hybrid dan City Hybrid sekarang, Honda Malaysia melakukan segala apa yang boleh untuk memberikan khidmat selepas jualan yang baik. Sebab itulah kedua-dua kenderaan ini didatangkan dengan jaminan lapan tahun tanpa had batuan bagi bateri lithium-ion yang digunakan. Jika perlu ditukar pun (selepas habis tempoh jaminan), setiap unit akan memerlukan kos RM5,513, dan Honda Malaysia mendakwa ini adalah kos yang paling mampu milik berbanding pengeluar lain.

    Syarikat itu juga menyiarkan satu jadual perbandingan yang melibatkan dua model hibrid Honda ini dengan Hyundai Ioniq Hybrid (juga model CKD), menunjukkan kos yang jelas – bateri Honda berharga RM5,513 manakala bateri Hyundai RM9,800. Tetapi, mahu dinyatakan di sini bahawa bateri Hyundai lebih besar iaitu berkapasiti 1.56 kWh manakala bateri Honda 0.860 kWh.

    Perbezaan lain yang boleh dilihat adalah kos penukaran starter bateri, kos penyelenggaraan sepanjang lima tahun dan kos penukaran tayar. Walaubagaimanapun, satu lagi perkara yang perlu diingat adalah Ioniq tidak berada dalam segmen yang sama dengan model hibrid Honda iaitu segmen C untuk Ioniq dan segmen B untuk Honda.

    Selain penukaran bateri hibrid, Honda Malaysia turut mendakwa model hibrid baru mereka tidak memerlukan sebarang servis khas untuk menjaga sistem Sport Hybrid i-DCD. Jaminan biasa yang diberi (tidak termasuk bateri hibrid) adalah lima tahun tanpa had batuan (Ioniq tiga tahun), dengan jarak servis berkala 10,000 km, seperti model City biasa. Pelanggan juga akan menerima enam upah servis percuma pada jarak 20,000 km, diselang-selikan dengan servis berbayar.

    Sebagai imbasan kembali, kedua-dua City Hybrid dan Jazz Hybrid mengguakan sistem Sport Hybrid i-DCD yang sama, dan ini adalah teknologi yang lebih maju berbanding Integrated Motor Assist (IMA) yang digunakan pada model hibrid Honda sebelum ini. Kuasa dan kecekapannya adalah lebih baik. Tetapan ini menggunakan gabungan enjin 1.5 liter, kotak gear automatik klac berkembar tujuh kelajuan dengan motor elektrik bersepadu, bateri lithium-ion dan compressor pacuan elektrik.

    Kuasa keseluruhan yang mampu dihasilkan adalah 137 PS dan 170 Nm tork, menjadikan ia lebih berkuasa berbanding Jazz atau City biasa yang menggunakan enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC 120 PS dan 145 Nm. Penggunaan bahan api yang dicatat pula adalah 4.0 l/100 km bagi Jazz Hybrid dan 3.9 L/100 km bagi City Hybrid. Harga jualan pula adalah RM89,200 untuk City Hybrid dan RM84,880 untuk Jazz Hybrid.

    GALERI: Honda City Hybrid


    GALERI: Honda Jazz Hybrid

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jul 04, 2024