Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • QJMotor SRV250, SRK250 dan SRK250RR tiba di M’sia – enjin 249 cc EFI dua silinder, harga dari RM16,888

    QJMotor SRV250, SRK250 dan SRK250RR tiba di M’sia – enjin 249 cc EFI dua silinder, harga dari RM16,888

    MForce Bike Holdings Sdn Bhd selaku pengedar rasmi motosikal jenama QJMotor di Malaysia telah melancarkan tiga model baru untuk pasaran, iaitu SRV250, SRK250 dan SRK250RR, dengan harga masing-masing RM16,888 untuk cruiser SRV250 dan naked SRK250, sementara SRK250RR yang berbentuk sports pula RM18,888. Harga ini tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

    Kedua-dua SRK250 dan SRK250RR digerakkan oleh enjin sama, iaitu unit dua silinder selari 249 cc, lapan injap, dengan sistem pembakaran bahan api elektronik (EFI), penyejukan cecair serta DOHC, dan dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan berserta klac jenis slip & assist.

    Namun, jumlah kuasa yang dihasilkan antara dua model ini adalah berbeza, di mana model naked mampu mengeluarkan 31.5 hp pada 11,000 rpm dan tork 21.2 Nm pada 9,000 rpm, sementara model sports menghasilkan 25 hp pada 8,500 rpm dan 24.1 Nm pada 6,500rpm.

    SRV250 pula dipacu oleh oleh enjin v-twin 249 cc, bersama kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan 27.5 hp pada 9,000 rpm dan tork 23.0 Nm pada 7,000rpm. Untuk suspensi, model cruiser ini menggunakan padanan fork USD di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang, sementara rim pula menggunakan kombinasi saiz 16 inci di hadapan dan 15 inci di belakang.

    Tangki bahan api SRV250 meneydiakan kapasiti 13.5 liter, dan perincian lainnya adalah seperti brek cakera depan dan belakang dengan sistem ABS, berat keseluruhan 163 kg dan tinggi tempat duduk 700 mm.

    Pergi kembali kepada SRK250 dan SRK250RR, antara kelengkapan lainnya adalah termasuk fork USD di hadapan, monoshock di belakang, brek cakera depan (SRK250RR mempunyai tetapan cakera berkembar) dan belakang dengan ABS, rim 17 inci serta tangki bahan api 14 liter. Semua motosikal QJMotor ini didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    GALERI: QJMotor SRK250

    GALERI: QJMotor SRK250RR

    GALERI: QJMotor SRV250

     
     
  • Honda Civic Type R FL5 bakal tiba di ASEAN; Vietnam dapat dulu, bakal dilancarkan esok di VMS 2022!

    Honda Civic Type R FL5 bakal tiba di ASEAN; Vietnam dapat dulu, bakal dilancarkan esok di VMS 2022!

    Laman automotif dari Vietnam, Autopro melaporkan bahawa Honda bakal melancarkan hot-hatch generasi baharu Honda Civic Type R di negara berkenaan ketika berlangsungnya Vietnam Motor Show (VMS) 2022 yang bakal bermula esok, 26 Oktober. Ini bermakna Vietnam merupakan negara pertama di pasaran Asia Tenggara menerima model tersebut, dan berkemungkinan besar ia turut akan dijual di pasaran ASEAN yang lain termasuk Malaysia.

    Portal itu turut menyatakan bahawa Honda Civic Type R generasi FL5 ini terus akan dijual selepas dilancarkan, dan pelanggan pertama yang membelinya akan menerima unit mereka selepas VMS 2022 berakhir pada 30 Oktober 2022. Ia dijangka akan dijual di Vietnam pada harga di bawah 2 billion Dong (RM382k).

    Tidak seperti Civic Type R FK2 dan FK8 sebelum ini yang dikilangkan di Swindon, United Kingdom, Civic Type R FL5 kembali dihasilkan semula di Jepun. Ini kerana dengan langkah penstrukturan semula jaringan pembuatan global Honda yang akan menumpukan kepada teknologi elektrik, kilang Honda di Swindon berkenaan terpaksa ditutup tahun lalu.

    Honda Civic Type R FL5 ini telah didedahkan di Amerika Syarikat dan Jepun pada Julai lalu. Ia diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam versi hatchback dan masih dijana oleh enjin K20 2.0 liter VTEC Turbo, tetapi kali ini menjana kuasa lebih besar iaitu 330 PS (326 hp) pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 420 Nm bermula 2,600 hingga 4,000 rpm, berbanding 320 PS (316 hp) dan tork 400 Nm pada FK8.

    Ini menjadikan Civic Type R FL5 ini sebagai Type R paling berkuasa pernah dihasilkan, dan ia masih menyajikan resipi tradisi Type R – hanya memacu roda hadapan dengan pilihan tunggal kotak gear manual enam-kelajuan yang dilengkapi LSD jenis helical.

    Sebelum ini Honda Malaysia pernah membawa dua model Civic Type R secara rasmi ke pasaran tempatan iaitu model FD2R pada tahun 2007 dengan harga RM199,800, diikuti FK8R pada tahun 2017 dijual pada harga RM320,000. Agak-agak bila FL5 ini akan sampai ke Malaysia? Berapa pula harga jualannya nanti?

    GALERI: Honda Civic Type R 2023

     
     
  • Toyota bZ3 2023 didedah di China – sedan EV dengan jarak hingga 600 km, 245 PS; pesaing Tesla Model 3

    Toyota bZ3 2023 didedah di China – sedan EV dengan jarak hingga 600 km, 245 PS; pesaing Tesla Model 3

    Toyota telah mendedahkan bZ3 baharu, yang merupakan model kedua bagi barisan bZ untuk kenderaan elektrik selepas bZ4X. Dibangunkan untuk pasaran China, bZ3 ini adalah hasil kerjasama antara Toyota, syarikat BYD dan FAW Toyota Motor yang bertanggungjawab dalam penghasilan dan pengedaran EV ini di China.

    Dibangunkan dengan platform Toyota e-TNGA dan dipadankan bersama bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) keluaran BYD, bZ3 ini menawarkan jarak sehingga 600 km berdasarkan China Light-Duty Vehicle Test Cycle (CLTC).

    Toyota masih belum mendedahkan perincian mengenai baterinya, tetapi menyatakan bahawa struktur bateri, penyejukan, kawalan dan sistem pemantauan keselamatan adalah rekaan serba baharu untuk EV. Ia diolah untuk mengurangkan kemerosotan bateri, menjamin kapasiti hingga 90% walau selepas penggunaan dalam tempoh 10 tahun secara purata. Memandangkan EV ini akan dijual di China, ia menggunakan penyambung pengecasan GB/T yang khusus untuk pasaran sana.

    Menurut media China, bZ3 ini menampilkan motor elektrik TZ200-XS002 bersumberkan BYD yang ditempatkan pada gandar hadapan yang menawarkan sama ada 245 PS (241 hp atau 180 kW) atau 184 PS (181 hp atau 135 kW). Tiada butiran mengenai masa pecutan atau kelajuan maksimum didedahkan, namun dijangkakan angka yang bakal didedahkan adalah munasabah.

    Toyota bZ3 2023 didedah di China – sedan EV dengan jarak hingga 600 km, 245 PS; pesaing Tesla Model 3

    Bagi rekaannya, EV baharu Toyota ini menerima imej hadapan ibarat-jerung hammerhead sama seperti bZ4X yang dipadankan dengan badan fastback dengan alunan yang menonjol di sepanjang sisinya. Walaupun ia mungkin diklasifikasikan sebagai sedan oleh pengeluarnya, namun jelas kelihatan lapisan gerbang roda yang halus.

    Untuk bahagian belakangnya, bZ3 nampak lebih bergaya dengan lampu yang dihiasi signatur lampu geometrik. Klusternya pula disambungkan dengan kepingan kemasan sepanjang boot lid, yang ditempatkan di bawah logo Toyota.

    Selain itu, bampar belakangnya pula dilunjurkan ke atas dengan plat nombor, bercantum bersama panel hitam besar yang melancarkan aliran udara. Ia bekerjasama dengan air guide, air curtain, pemegang pintu ke dalam dan roda alumnium aero, di mana EV ini didakwa mampu memberikan aerodinamik terbaik dalam kelasnya dengan nilai pekali seretan hanya 0.218.

    bZ3 ini dijangka mampu memberikan saingan terhadap Tesla Model 3 dan jika dibandingkan ia sedikit panjang dan tinggi. Di mana EV Toyota ini memiliki ukuran 4,725 mm panjang (+31 mm berbanding Model 3), 1,835 mm lebar (-14 mm) dan 1,475 mm tinggi (+32 mm). Untuk makluman, bZ4X juga mempunyai jarak keseluruhan lebih pendek berbanding bZ3, dengan 4,690 mm panjang. Crossover ini lebih lebar (1,860 mm) dan lebih tinggi (1,650 mm).

    Bagi jarak rodanya, bZ3 berukuran 2,880 mm (2,875 mm untuk Model 3 dan 2,850 mm bagi bZ4X) untuk memuatkan lima orang penumpang di dalam kabinnya. Konsep dalamnya pula digambarkan sebagai ‘Family Lounge’ dan kelihatan beberapa ciri yang dipengaruhi dari model pertama bZ, termasuk papan pemuka minimalis yang besar dan kluster instrumen digital yang diletakkan di atas papan pemukanya.

    bZ3 juga menampilkan ciri unik termasuk roda stereng squarish dan sistem infotainmen skrin sesentuh dengan format-potret yang ditempatkan di atas konsol tengahnya yang dipanggil ‘Digital Island’ yang hanya menempatkan rotary gear selector dan suis brek parkir elektronik.

    Berdasarkan foto, ruang dalamnya kelihatan agar besar dan luas, dengan kemasan tempat duduk berwarna terang dan upholstery berpaten. Ia juga menampilkan sistem kawalan suhu dwi-zon dengan corong udara belakang, yang dikawal menerusi skrin sesentuh dan banyak lagi.

    Untuk harga dan spesifikasi penuh bZ3, ia akan diumumkan menjelang pelancarannya yang djangka bakal berlangsung pada November ini selepas ia dipamerkan di khalayak umum dalam acara Guangzhou Auto Show tahun ini.

     
     
  • Toyota Innova Zenix 2023 – imej teaser disiar; guna platform TNGA, didedahkan di Indonesia bulan depan?

    Toyota Innova Zenix 2023 – imej teaser disiar; guna platform TNGA, didedahkan di Indonesia bulan depan?

    Nampaknya khabar angin yang bertiup sebelum ini menyatakan bahawa Toyota Innova generasi baharu bakal didedahkan di Indonesia bulan hadapan akan menjadi kenyataan – Toyota Indonesia telahpun menyiarkan imej teaser untuk MPV tujuh tempat duduk berkenaan di laman web rasminya!

    Teaser tersebut menayangkan bahagian muka Innova generasi ketiga tersebut, yang menunjukkan ia menerima gril tinggi berbentuk heksagon, diapit dan bersambung dengan lampu hadapan yang tirus. Gambar yang teaser tersebut digelapkan pada bahagian bawah muka MPV ini, namun apabila kami membuat larasan semula pada warna, rupa bampar Innova 2023 ini dapat dilihat.

    Bampar berkenaan diberikan kemasan seakan liang ambilan udara pada setiap sisi dengan bahagian yang nipis pada bahagian tengah untuk menghubungkan kedua-duanya. Dalam foto intipan yang dilihat sebelum ini, jalur melintang yang ada pada kemasan berkenaan sebenarnya adalah lampu nyalaan siang LED.

    Toyota Innova Zenix 2023 – imej teaser disiar; guna platform TNGA, didedahkan di Indonesia bulan depan?

    Tiada perincian lanjut didedahkan menerusi imej tersebut kecuali kapsyen “The crossing-edge is coming” menandakan kemunculan sulungnya akan dibuat tak lama lagi. Namun dalam laporan sebelum ini, Innova 2023 dikhabarkan dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dan akan didedahkan di Indonesia pada 22 November, diikuti dengan pasaran India sebelum berakhir tahun ini.

    Secara spesifiknya, platform yang digunakan pada Innova baharu ini adalah dari varian TNGA-C bagi menggantikan casis ladder frame yang dikongsi bersama Toyota Hilux pada Innova generasi sedia ada. Seperti yang boleh dilihat pada foto intipan sebelum ini, Innova 2023 tersebut nampak lebih normal dan tidak janggal seperti model generasi sebelumnya.

    Laporan sebelum ini juga menyebut bahawa di Indonesia Innova generasi baharu tersebut mungkin akan diberi nama Innova Zenix atau mungkin hanya akan dikenali sebagai Toyota Zenix bagi varian paling tinggi.

    Ia adalah untuk mengikut apa yang telah dibuat pada MPV tujuh-tempat duduk yang lebih kecil iaitu Toyota Avanza. Buat masa sekarang varian tertinggi Avanza di Indonesia hanya dikenali sebagai Toyota Veloz dan bukan lagi Toyota Avanza Veloz seperti generasi sebelumnya. Ini bagi membolehkan Avanza dipisahkan dengan Veloz bagi memberikan imej lebih premium pada Veloz, seolah-olah ia tiada kaitan dengan Avanza.

    Manakala dalam laporan Autocar India, model generasi baharu ini ia akan dikenali sebagai Innova Hycross di India, mengantikan Innova Crysta generasi sedia ada. Portal tersebut turut menyatakan bahawa Innova Hycross ini menerima unit rangkaian kuasa hibrid, menjadi model kedua hibrid Toyota diperkenalkan di negara berkenaan tahun ini selepas SUV Toyota Hyryder.

    Laporan berkenaan juga menyebut bahawa tiada varian dengan enjin diesel ditawarkan untuk Innova Hycross ini di India di mana ia hanya hadir dengan enjin petrol 2.0 liter bersama sistem hibrid hampir sama ditawarkan pada Toyota Hyryder. Namun, dijangka pelanggan masih boleh membeli Innova dengan enjin diesel kerana model Innova Crysta diesel akan terus dijual bersama Innova Hycross di bilik pameran.

    GALERI: Imej spyshot Toyota Innova 2023 yang diuji di India

     
     
  • JPJ eBid: Siri nombor plat PQN bakal dibuka bidaan

    JPJ eBid: Siri nombor plat PQN bakal dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri plat nombor dari Pulau Pinang, PQN, bersedia untuk dibida menerusi platform bidaan dalam talian, JPJ eBid.

    Bakal mula dibuka bidaan pada 29 Oktober 2022, ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 2 November ini. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 3 November 2022. Kini keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima sebarang perkhabaran (sama ada baik atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Chery kembali ke pasaran Malaysia, tunjuk Omoda 5, barisan SUV Tiggo Pro dalam acara rasmi pertama

    Chery kembali ke pasaran Malaysia, tunjuk Omoda 5, barisan SUV Tiggo Pro dalam acara rasmi pertama

    Pada Disember 2021, kami mendedahkan bahawa jenama Chery akan kembali ke Malaysia, dan akhirnya jenama berkenaan diperkenalkan secara rasmi dalam satu acara rasmi di Setia Alam hari ini. Turut ditunjukkan adalah lima model yang disasarkan untuk pasaran Malaysia — Omoda 5, Tiggo 4 Pro, Tiggo 7 Pro, Tiggo 8 Pro dan the Tiggo 8 Pro PHEV. Model paling akhir ini juga membuat penampilan sulung untuk ASEAN.

    “Acara ini penting untuk beberapa sebab. Pertama, ini penampilan pertama Chery untuk pasaran Malaysia di bawah pasukan yang baru. Kedua, ia menandakan penampilan rasmi pertama model-model generasi baru Chery di Malaysia. Ketiga, ini penampilan sulung bagi Tiggo 8 Pro PHEV di Asia Tenggara,” ujar Leo Chen, Pengarah Chery Malaysia.

    “Di Chery, mendekati pelanggan adalah keutamaan kami. Selain memaklumkan tentang kejayaan global terkini kami serta menunjukkan peralihan teknologi, kualiti dan rekaan terkini, acara ini juga adalah sebuah platform untuk kami berhubung terus dengan pengguna di Malaysia dan memahami dengan lebih mendalam hati dan fikiran mereka tentang kenderaan,” tambah beliau.

    Chery kembali ke pasaran Malaysia, tunjuk Omoda 5, barisan SUV Tiggo Pro dalam acara rasmi pertama

    “Acara ini juga akan memperkukuh kajian pasaran yang telah kami lakukan setakat ini dengan membolehkan kami mengumpul maklum balas lanjut daripada tetamu melalui kaji selidik, kali ini bersama-sama dengan kehadiran model-model kenderaan sebenar. Maklum balas berkenaan akan sangat membantu kami untuk memperkemas strategi produk dan penjenamaan terbaik untuk ditawarkan di pasaran tempatan, serta melihat kesesuaian setiap model untuk pasaran di sini,” tambah Chen.

    Perlu juga ambil maklum, bahawa lima SUV yang ditunjukkan ini belum 100% disahkan bakal dilancar di sini, dan semuanya juga bukan hadir dengan spesifikasi Malaysia kerena itu belum ada. Bagaimanapun, adalah dimaklumkan yang kesemuanya sangat hampir dengan apa yang bakal diterima oleh pasaran Malaysia nanti, dan spesifikasi tempatan juga akan ditentukan.

    Omoda 5 adalah model yang paling menarik perhatian antara kesemuanya, dengan rekaan “Art of Motion” yang diterapkan padanya. Siri Tiggo Pro, yang kelihatan lebih konvensional, diterajui oleh SUV besar tujuh-tempat duduk Tiggo 8 Pro. DI bawahnya pula adalah Tiggo 7 lima-tempat duduk dan ada juga untuk SUV segmen B, Tiggo 4 Pro. Semuanya hadir dengan enjin turbo. Versi PHEV pula menggabungkan enjin biasa dengan transmisi hibrid khas dan dua motor elektrik untuk sembilan mod operasi.

    Chery kembali ke pasaran Malaysia, tunjuk Omoda 5, barisan SUV Tiggo Pro dalam acara rasmi pertama

    “Sebagai satu daripada ekonomi terbesar ASEAN dengan pasaran automotif membangun, Malaysia adalah pasaran yang sangat strategik dalam perancangan Chery untuk globalisasi seterusnya. Sebagai pengeksport kenderaan penumpang utama China bagi 19 tahun berturut-turut, dengan kehadirdan di lebih 80 negara dan rantai berbeza, serta dengan jumlah penggguna lebih daripada 10 juta di seluruh dunia, kami percaya akan dapat menyumbang kepakaran kami terhadap industri automotif Malaysia dan merancakkan pertumbuhannya,” ujar Chen.

    Chery juga baru-baru ini membuat penampilan semula di Indonesia. Yang membezakan penawaran jenama ini berbanding yang lain adalah jaminan enam-tahun atau 150,000 km yang diberikan, serta ditambah dengan jaminan ke atas enjin selama 10-tahun atau sejuta kilometer — tawaran yang sama diberikan oleh Chery di Afrika Selatan.

     
     
  • VIDEO: Honda City 2022 1.5L V Sedan atau 1.5L RS e:HEV hatchback — mana lagi menarik dan praktikal?

    VIDEO: Honda City 2022 1.5L V Sedan atau 1.5L RS e:HEV hatchback — mana lagi menarik dan praktikal?

    Honda City 2022 menyaksikan penawaran model hibrid pertama bagi kenderaan segmen B di Malaysia. Bukan itu saja, ia juga kini hadir dengan model rekabentuk sedan dan yang terbaru, hatchback. Versi kedua ini juga telah menggantikan model Jazz dahulu, yang terkenal kompak dan sangat praktikal.

    Ini meletakkan penawaran daripada Honda ini seperti buku bertemu ruas dengan pesaing paling dekatnya dari Toyota, yang sejak beberapa lama ini mempertaruhkan Vios dan juga Yaris — sebuah sedan dan sebuah hatchback dalam segmen yang sama, walaupun menggunakan nama berbeza.

    Lebih menarik adalah untuk melihat apa yang ada pada City Hatchback RS e:HEV yang merupakan sebuah model hibrid, dengan janaan kuasa motor elektriknya sebanyak 109 PS/253 Nm, dengan bekalan kuasa juga dari enjin 1.5 liter kitaran Atkinson yang menghasilkan 98 PS pada 5,600 rpm dan 127 Nm dari 4,500 rpm hingga 5,000 rpm. Ruang dalamannya juga dibezakan dengan penggunaan kemasan merah, seperti yang dapat kita lihat kelainannya daripada varian V sedan.

    Kerana perbezaan rekabentuk itu, andara hal yang dibezakan dengan ketara adalah saiz daa kapasiti ruang barangan antara keduanya. Model Sedan memberikan ruang but seluas 519 liter, sementara City Hatchback menyediakan 289 liter (841 jika kerusi belakang dilipat). Jika mengambil kira ruang sampai ke bumbung, maka ruang yang tersedia adalah 1,189 liter.

    Ini, dan banyak lain perkara yang membezakan antara keduanya, baik antara model sedan dan hatchback, mahupun dari sudut pandang model petrol dan hibrid. Semuanya kami tunjukkan dalam video ini. Menurut pandangan anda, versi yang mana satu lagi tampil menarik? Atau mana yang lebih praktikal?

    Honda City Sedan 1.5 V 2022

    Honda City Hatchback e:HEV 1.5 RS 2022

     
     
  • VIDEO: Perodua Alza 2022 — kereta paling menarik dan berbaloi dimiliki kalau ada bajet bawah RM100k?

    VIDEO: Perodua Alza 2022 — kereta paling menarik dan berbaloi dimiliki kalau ada bajet bawah RM100k?

    Pastinya ramai mungkin sedar bahawa ada banyak kelebihan pada Perodua Alza 2022. Yang paling penting mungkin pembaharuan yang diberikan kepadanya, jika dibanding dengan model generasi pertama yang sudah berada dalam pasaran tempatan sekitar 13 tahun. Dah lama sangat, memang patut ada model pengganti, dan lebih menarik ia adalah pengganti yang jauh lebih berkeupayaan, dengan nilai yang besar.

    Kami mencatat banyak perihal model ini dalam laporan pandu uji yang pernah diterbitkan sebelum ini, selepas meluangkan banyak masa dengan MPV tujuh-tempat duduk berkenaan, baik untuk perjalanan dalam bandar mahupun perjalanan jauh, untuk memerhatikan apa yang ada ditawarkan oleh Alza terbaru ini.

    Menjadi nadi utama Alza 2022 ini adalah enjinnya, unit 1.5L Dual VVT-i dengan Eco Idle empat-silinder petrol yang menghasilkan 105 hp pada 6,000 rpm dan 138 Nm pada 4,200 rpm. Ini enjin yang sama dengan Myvi, walaupun antara keduanya ada melibatkan perbezaan output sedikit (Alza lebih 3 hp dan 1 Nm, dengan Perodua memaklumkan bahawa kecekapan penggunaan minyak 40% lebih baik berbanding versi sebelumnya).

    Melengkapi paduan sistem janaan ini adalah kotak gear D-CVT yang pertama kali diperkenalkan untuk SUV Ativa sebelum ini dan kemudiannya diberikan juga kepada Myvi dalam versi facelift yang terkini. Tidak lupa, platformnya juga dari generasi baru: DNGA. Semua ini memberikan kelebihan kepada Alza 2022. Dalam banyak hal, ia bahkan dirasa sangat berbaloi sekiranya mereka yang mempertimbangkan atau sudah menggunakan Myvi untuk beralih kepada Alza.

    Ia rendah, lebih kuasa, dengan tetapan yang cukup selesa. Tambahan pula, ruang kabin yang lebih luas dan praktikal yang sentiasa berguna dalam keadaan yang memerlukan. Jika tidak perlu, konfigurasi tempat duduknya boleh saja dikekalkan kepada lima, dan ruang di belakang digunakan sebagai ruang barangan semata. Banyak lagi kelebihan (tak lupa juga kekurangann) Alza 2022, dan kami soroti semuanya dalam video ini. Tonton untuk tahu lebih lanjut.

     
     
  • Karamjit Singh menang besar di Suwarnadwipa Nusantara Challenge 2022, rangkul 3 gelaran juara!

    Karamjit Singh menang besar di Suwarnadwipa Nusantara Challenge 2022, rangkul 3 gelaran juara!

    Foto milik Adi Wibowo dari Komunitas Rally Indonesia

    Selepas kecundang awal kerana kerosakan mekanikal di APRC Danau Toba Rally 2022, Indonesia bulan lalu, Karamjit Singh dan jururahnya, Jagdev Singh tidak terus membawa pulang Proton Gen2 4WD Turbo mereka balik ke Malaysia. Sebaliknya jentera berkenaan diperbaiki bagi bersiap sedia untuk menyertai pula Suwarnadwipa Nusantara Challenge 2022 yang berlangsung di Sirkuit Suwarnadwipa Nusantara, Muara Bungo, Jambi.

    Tiga perlumbaan serentak berlangsung di litar yang khas dibangunkan untuk rali ini iaitu pusingan keempat Kejurnas Rally Sprint Indonesia yang berlangsung pada 21 Oktober, serta pusingan ketiga dan keempat Kejurnas Rally Indonesia yang berlangsung dari 22 hingga 23 Oktober.

    Kali ini, Karam menang besar – muncul juara untuk kelas M3 dan kelima secara keseluruhan dalam Rally Sprint, juara kelas M3 dan kelima keseluruhan dalam Kejurnas Rally pusingan ketiga, serta juara kelas M3 dan keempat secara keseluruhan dalam Kejurnas Rally pusingan keempat!

    Karamjit Singh menang besar di Suwarnadwipa Nusantara Challenge 2022, rangkul 3 gelaran juara!

    Walaupun Karamjit Singh hanya memandu Proton Gen2 2.0L Turbo dengan enjin dan sistem 4WD diambil dari Evo 6 yang sudah pun berumur 15 tahun, dan hanya dikelaskan dalam kategori M3 (jentera 4WD 2.0L Turbo yang tidak menerima homologasi FIA), masa yang dicatatkan oleh Karamjit nyata lebih pantas dari beberapa jentera M1 seperti Skoda Fabia R5, dan tidak jauh ketinggalan dari saingan utama kelas M1 seperti Mitsubishi Xpander AP4 yang dipandu Rifat Sungkar (Xpander Rally Team).

    Ini membuktikan Karamjit masih lagi kompetitif untuk bertanding di peringkat antarabangsa, bertarung dengan pasukan-pasukan besar sekurang-kurangnya pada peringkat Asia Pasifik. Harapnya perancangan Karamjit untuk kembali ke kelas utama APRC menjadi kenyataan; mungkin kita boleh tengok pertarungan epik Mitsubishi Xpander AP4 vs. Toyota GR Yaris AP4 vs. Proton Iriz R5 selepas ini?

    Karamjit Singh menang besar di Suwarnadwipa Nusantara Challenge 2022, rangkul 3 gelaran juara!

     
     
  • WRC 2022: Toyota sapu bersih, sah juara pengeluar!

    WRC 2022: Toyota sapu bersih, sah juara pengeluar!

    Selepas pemandu Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR WRT), Kalle Rovanperä mengesahkan mahkota kejuaraan dunia WRC 2022 di Rally New Zealand pada awal bulan ini, kini pasukan tersebut disahkan pula juara WRC 2022 untuk kategori pengeluar selepas menamatkan Rally de España hujung minggu lalu dengan kemenangan 1-3!

    Dalam pusingan yang berlangsung di Sepanyol tersebut, pemandu Toyota Sebastien Ogier berjaya bergelar juara, manakala juara WRC 2022 Kalle Rovenperä pula berada di tempat ketiga. Sementara kedudukan podium kedua pula diisi oleh pemandu pasukan Hyundai, Thierry Neuville.

    Dengan pungutan 93-mata di hadapan Hyundai sudah cukup untuk mengesahkan Toyota sebagai juara kategori pengeluar tahun ini, walaupun musim WRC 2022 masih berbaki satu lagi pusingan iaitu Rally Japan yang dijadualkan berlangsung pada bulan hadapan. Kemenangan ini juga membolehkan Toyota mengekalkan takhta pemandu dan pengeluar WRC yang dikecapi musim lalu.

    Bagi musim ini, Sebastien Ogier yang juga juara WRC tahun lalu tidak berlumba secara sepenuh masa. Beliau mengambil langkah untuk ‘separa bersara’ dan berkongsi jentera ketiga GR Yaris Rally1 dengan Esapekka Lappi. Kemenangannya semalam merupakan yang pertama tahun ini, dan yang pertama dalam era hibrid WRC.

    “Adalah sangat hebat dapat mengesahkan kejuaraan di sini. Rali terakhir di Jepun merupakan pusingan kampung halaman Toyota jadi sekarang kami akan lebih relaks untuk ke sana. Jika kami menang di sana, kami boleh mengadakan sambutan yang lebih besar!” kata prinsipal pasukan TGR WRT, Jarri-Matti Latlava.

    Ketika sambutan besar diraikan oleh Toyota, berita duka terus menyelubungi kem pasukan Hyundai. Selepas berputih mata dua tahun kehilangan gelaran kategori pengeluar yang diraih pada musim 2019 dan 2020, pada Rally de España ini juga pemandu pasukan berkenaan iaitu Ott Tanak mengumumkan bahawa dia akan menarik diri dari Hyundai bermula akhir musim ini walaupun kontraknya berbaki lagi satu tahun.

    Sebelum itu, Hyundai juga telah mengumumkan bahawa ia tidak akan lagi meneruskan kontrak untuk pemandu mudanya iaitu Oliver Solberg untuk WRC musim hadapan.

     
     
  • MotoGP 2022: Bagnaia tawan Litar Sepang, Bastianini kedua – juara keseluruhan ditentukan di Valencia

    MotoGP 2022: Bagnaia tawan Litar Sepang, Bastianini kedua – juara keseluruhan ditentukan di Valencia

    Ducati sekali lagi menunjukkan penguasaan dalam perlumbaan MotoGP apabila dua jentera jenama Itali itu menawan tempat teratas semasa pusingan di Litar Sepang hari ini, dengan Francesco Bagnaia dari pasukan Ducati Lenovo Team di tempat pertama, dan Enea Bastianini dari Gresini Racing MotoGP di tempat kedua.

    Dalam beberapa pusingan awal, Jorge Martin dari Prima Pramac Ducati yang menguasai perlumbaan di tempat pertama, tetapi beliau akhirnya terjatuh di selekoh kelima, memberikan saingan tempat pertama kepada Bagnaia dan Bastianini.

    Bagnaia juga tidak mendapat tempat pertama dengan mudah, kerana Bastianini terus mengasak sehingga pusingan terakhir. Tempat ketiga dimenangi oleh Fabio Quartararo, dari pasukan Monster Energy Yamaha. Beliau sebenarnya memulakan perlumbaan di tempat ke-12, tetapi berjaya memintas ramai pelumba lain dalam beberapa pusingan awal.

    Walaupun nampak seperti Quartararo mahu mengejar dua jentera Ducati di hadapan dalam beberapa pusingan terakhir, beliau akhirnya memutuskan untuk bertenang dan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. Itu sahaja sudah cukup untuk mengganggu rancangan Bagnaia untuk membolot gelaran juara pelumba keseluruhan di Sepang.

    Pusingan terakhir di Valencia, Sepanyol 6 November nanti nampaknya akan menjadi tempat penentuan untuk melihat siapakah yang akan membawa pulang gelaran tersebut bagi tahun 2022 kerana Quartararo yang berada di tempat kedua masih mempunyai peluang dengan sekarang mencatat kutipan 235 mata sementara Bagnaia pula berada di atas dengan kelebihan 23 mata.

     
     
  • Honda Vario 160 di Litar Sepang – tanda pelancaran?

    Honda Vario 160 di Litar Sepang – tanda pelancaran?

    Honda Vario 160, yang pertama kali diperkenalkan kepada dunia di Indonesia Februari lalu nampaknya sudah tiba di Malaysia, tetapi belum dilancarkan secara rasmi untuk jualan. Tiada sebarang petunjuk yang dikeluarkan oleh Boon Siew Honda untuk pelancaran model ini, namun kehadirannya di tapak pameran Honda di Litar Sepang boleh diambil sebagai petanda.

    Vario 160 ini walaupun masih nampak familiar, keseluruhan panel badan sebenarnya adalah baru dan anda boleh nampak perbezaan utamanya pada bahagian panel dada. Kemudiannya, masalah utama Vario yang kelihatan ‘tergantung’ sebelum ini juga sudah diatasi dengan rekaan fender baru, bersama tayar yang lebih tebal (100/80 di hadapan dan 120/70 di belakang). Saiz rim itu sendiri masih lagi 14 inci, seperti sebelum ini, tetapi ia menggunakan rekaan serta warna baru.

    Melalui namanya, kita sudah boleh tahu Vario 160 menggunakan enjin yang lebih besar. Daripada 149.3 cc, kapasiti enjin satu silinder, suntikan bahan api, dengan sistem penyejukan cecair ini telah ditingkatkan kepada 156.9 cc dan menggunakan nisbah mampatan 12:1 (sebelum ini 10.6:1). Hasilnya, ia dapat menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm (sebelum ini 13.1 PS dan 13.4 Nm).

    Satu lagi peningkatan menarik yang diberikan oleh Honda pada Vario 160 adalah pada sistem brek. Selain versi CBS yang menggunakan padanan brek cakera hadapan dan dram di belakang seperti sebelum ini, Vario 160 turut ditawarkan di Indonesia dengan versi ABS yang bukan sahaja memberikan tambahan sistem keselamatan elektronik itu sahaja, tetapi dipadankan bersama brek cakera di belakang.

    Bahagian lain masih kelihatan sama, termasuklah panel meter LCD, tangki bahan api 5.5 liter, fork teleskopik di hadapan, satu penyerap hentak di belakang dan ruang simpanan di bawah tempat duduk. Skuter ini turut didatangkan dengan sistem tanpa kunci serta pengecas USB di bahagian poket simpanan di bawah pemegang.

     
     
  • JPJ kutip RM286 juta dalam tempoh 10 bulan pertama tahun 2022 menerusi sistem eBid – Ketua Pengarah

    JPJ kutip RM286 juta dalam tempoh 10 bulan pertama tahun 2022 menerusi sistem eBid – Ketua Pengarah

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mencatatkan sejumlah RM286 juta bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini menerusi sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian, JPJeBid.

    Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim, sepanjang tempoh itu, sebanyak 124 siri nombor pendaftaran telah diperkenalkan melalui sistem eBid, dengan purata keuntungan sebanyak RM2.3 juta bagi setiap siri, laporan Bernama.

    “Sejak JPJ memperkenalkan inisiatif eBid ini, ia mendapat sambutan yang mengalakkan daripada orang ramai, kerana sistem dalam talian ini memudahkan semua pihak membida nombor pendaftaran yang mereka suka, walau di mana mereka berada.

    “Sistem itu juga menjadi pemudah cara buat pengguna untuk membida nombor-nombor yang disukai secara telus dan efektif. Kalau dahulu, orang Pulau Pinang tidak boleh bida nombor plat luar, tetapi sekarang boleh bida nombor mana-mana negeri termasuk Sarawak hanya secara dalam talian,” katanya.

    JPJ eBid mula diperkenalkan sejak April 2019, dengan projek perintisnya bermula dengan siri plat FC. Sistem ini boleh digunakan oleh mana-mana individu dan syarikat yang berdaftar di Malaysia, untuk membida nombor pendaftaran kenderaan menerusi platform yang lebih menyenangkan dan telus.

    Proses-proses di dalam JPJeBid meliputi proses pengiklanan, pendaftaran, bidaan, bayaran dan juga ketetapan aplikasi dan akaun. Semua proses ini perlu dilakukan secara kendiri oleh pembida terlibat dan akan dikawal selia oleh pihak JPJ.

     
     
  • PANDU UJI: Honda HR-V 1.5 Turbo V 2022 – RM134,800; masih yang terbaik dalam kelasnya?

    PANDU UJI: Honda HR-V 1.5 Turbo V 2022 –  RM134,800; masih yang terbaik dalam kelasnya?

    Penulis ingat lagi ketika Honda HR-V generasi kedua tiba di Malaysia pada 2015 – ia seakan satu fenomena. Ketika itu SUV segmen-B merupakan sesuatu yang baharu kerana kebanyakkan SUV lain ditawarkan pada segmen-C dan ke atas. Penawaran HR-V di Malaysia seolah-olah mewujudkan satu demografi baharu untuk pembeli kereta di pasaran tempatan.

    Dengan bentuk seakan hatchback, saiz dan harga yang lebih mampu milik dari CR-V, serta logo ‘H’ pada SUV kompak ini menyebabkan ramai yang merasakan mereka perlu mendapatkannya. Umum mengetahui, salah satu tarikan untuk orang ramai memandu SUV (terutamanya wanita) adalah kedudukan pemanduannya yang tinggi sekaligus menambahkan keyakinan sesorang itu untuk memandu.

    HR-V direka seakan sebuah hatchback tetapi mempunyai jarak kelegaan tanah yang tinggi. Namun saiznya pula tidak terlalu besar, dan ia masih mudah untuk dipandu dan diparkir di kawasan bandar yang sesak. Malah harga jualan untuk HR-V ketika itu bermula RM99,800 untuk model gred S hingga RM118,800 untuk gred tertinggi V – yang agak rendah untuk sebuah Honda ketika itu, membuatkan HR-V terus digilai oleh rakyat Malaysia.

    Dengan kehadiran HR-V, semakin ramai pengguna di Malaysia mula beralih dari sedan dan hatchback ke SUV. Malah pengeluar lain turut membawa SUV segmen-B ke pasaran tempatan; Mazda dengan CX-3, Subaru dengan XV, Toyota dengan C-HR, dan pelbagai lagi. Tetapi tiada satu pun yang dapat memberikan saingan sengit kepada HR-V dari segi jualan, sehinggalah Proton memperkenalkan X50 pada Oktober 2020.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • PLUS aktifkan SmartLane pada cuti Deepavali – lorong kecemasan dibuka di laluan Johor, PD-Seremban

    Klik untuk besarkan imej

    PLUS telah mengumumkan pengaktifan SmartLane untuk sesetengah laluan di Lebuhraya Utara-Selatan sepanjang cuti panjang hujung minggu ini sempena perayaan Deepavali. Dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), SmartLane tersebut dibuka di lorong kecemasan untuk meningkatkan kapasiti lorong dan membantu pergerakan trafik yang lebih lancar serta menyuraikan lalu lintas di laluan sesak.

    Dua laluan di lebuhraya PLUS yang akan diaktifkan SmartLane ini ialah di Johor dan Negeri Sembilan. Untuk Johor, SmartLane ini di antara persimpangan Senai Utara hingga persimpangan Kulai, arah utara dari KM19.0 hingga KM27.0. SmartLane ini beroperasi pada 21-22 Oktober, dari jam 10 pagi hingga 6 petang.

    Laluan kedua di selatan yang turut diaktifkan SmartLane ialah dari Port Dikson Utara ke Seremban, arah utama dari KM260 hingga KM263.1. SmartLane ini akan dibuka pada 22-24 Oktober, dari jam 12 tengahari hingga 10 malam.

    Sebelum ini, PLUS terlebih dahulu mengumumkan SmartLane turut dibuka di Pulau Pinang/Kedah. Ia akan diaktifkan untuk trafik arah utara dari Bukit Tambun (KM150) menghala ke plaza tol Juru (KM146.2) dari jam 3 petang hingga 6 petang pada hari ini, 21 Oktober. Untuk trafik arah selatan pula pada 26 Oktober, laluan kecemasan akan dibuka dari Sungai Petani Selatan (KM107.6) menghala ke Tikam Batu (KM113) dari jam 2 petang hingga 6 petang.

    Sila patuhi isyarat papan tanda jalan dan petugas yang berada di lapangan apabila anda tiba di kawasan berkenana. Sila pandu secara berhati-hati dan kekal bersabar sekiranya berhadapan dengan kesesakan lalu lintas. PLUS menjangkakan lebih 1.9 juta kenderaan sehari akan melalui lebuhraya berkenaan sepanjang cuti Deepavali ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024