Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Civic generasi ke-11 – gambar paten terdedah

    Honda Civic generasi ke-11 – gambar paten terdedah

    Honda Civic FC generasi kesepuluh yang berada dalam pasaran sekarang sudah diperkenalkan sejak lima tahun dulu, dan sekarang kita boleh menjangka ketibaan model serba baru. Ia bukanlah lagi rahsia kerana spyshot Civic generasi ke-11 sudah boleh dilihat waktu ia diuji di Thailand dan juga Eropah.

    Walaupun gambar spyshot ini dapat memberikan kita gambaran bagaimana rupa asas Civic baru, pelekat samaran yang diguna walaubagaimanapun sedikit menyembunyikan bentuk sebenarnya. Kini, imej paten pula terdedah, diambil daripada IP Australian (1, 2) dan ditemui oleh forum Civic11 dan Civic XI.

    Ada dua set imej yang tersebar, dengan satu daripadanya adalah versi sedan dan satu lagi versi hatchback. Dua bentuk badan ini sudah memang digunakan pada Civic generasi kesepuluh, tetapi terdapat khabar bahawa Honda tidak akan mengeluarkan versi coupe.

    Bermula dengan versi sedan, kita masih dapat melihat muka yang tidak lari jauh, dan ia masih menggunakan gril Solid Wing Face dan diapit dengan lampu utama yang direka semula bersama lampu DRL. Bahagian bawah bampar juga sedikit berlainan dengan bukaan udara di bucu diasingkan daripada bahagian tengah.

    Apabila dilihat dari tepi, bahagian A-pillar Civic baru ini nampak lebih tegak, bersama profail bentuk badan yang lebih menghampiri Accord. Malah, garis tingkap juga sudah lebih seperti model segmen D itu, dan anda boleh melihatnya pada bahagian atas tempat mengisi minyak yang dinaikkan.

    Pada bahagian belakang, lampu berbentuk C yang membuatkan ia dipanggil sebagai “Civic ketam” telah diganti dengan unit yang lebih tajam. Anda juga boleh melihat bahagian but dipanjangkan lagi sementara pemantul cahaya diletakkan lebih tinggi dan bukaan udara (hiasan) dijadikan lebih nipis.

    Bagi versi hatchback pula, bahagian hadapannya masih sama seperti versi sedan, tetapi bahagian belakang sudah tentu berbeza. Bentuk lampunya sangat berbeza dan dilengkapkan dengan jalur lampu yang bersambung di tengah. Spoiler di atas cermin yang digunakan pada model sebelum ini juga sudah tiada.

    Melalui imej paten ini, jelas sekali Civic akan menerima rombakan yang banyak, tetapi perincian lain seperti platform, teknologi serta penggeraknya masih lagi belum diketahui. Selain enjin petrol dan diesel, kita juga boleh menjangka pilihan hibrid dan PHEV. Beberapa spyshot lain juga memberi kemungkinan kemunculan model prestasi Type R (Civic Type R sebelum ini cuma datang dalam versi hatchback).

    Ada laporan yang mengatakan Honda akan mendedahkan Civic generasi ke-11 hujung tahun ini, tetapi tarikh sebenarnya masih belum diketahui. Jadi apa pendapat anda dengan rekaan baru ini? Terlalu sopan? Cukup garang? Atau anda masih rasakan rekaan Civic ketam lebih menarik?

    GALERI: Imej paten Honda Civic Sedan generasi ke-11

    GALERI: Imej paten Honda Civic Hatchback generasi ke-11

     
     
  • Proton X50 terima peningkatan untuk pengendalian

    Proton X50 terima peningkatan untuk pengendalian

    Menjelang pelancaran SUV X50 tidak lama lagi, pagi ini, Proton sedang menganjurkan sesi pandu uji ringkas bersama pihak media di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Wakil kami, Farid Awaludin bersama Hafriz Shah kini berada di sana, dan akan membawakan lebih banyak perkembangan terkini mengenai SUV yang sedang laku bagai pisang goreng panas ini.

    Salah satu perkembangan terkini yang kami bawakan ialah mengenai suspensinya. Proton mendakwa pengendalian dan keselesaan pemanduan SUV ini telah dipertingkatkan dan ditambahbaik.

    Pelarasan ini termasuklah merombak semula kadar gegelung (spring) dan penyerap hentak (damper) serta memberikannya palang anti-olengan baharu. Sistem stereng berkuasa elektrik juga diberikan talaan semula untuk pasaran termpatan, dan ia didatangkan dengan empat mod berlainan, kebarangkalian juga untuk kawalan berat yang berbeza.

    Proton X50 telah pun dibuka tempahannya, dengan menawarkan empat pilihan varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship. Dibangun berdasarkan Geely Binyue/Coolray, antara ciri yang ditampilkan termasuklah sistem infotainmen GKUI 19 terkini, remote engine start dan pemanduan semi-autonomous Tahap 2.

    Kesemua varian X50 diberikan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo, namun tiga versi paling rendah hadir dengan sistem suntikan bahan api pelbagai-titik (MPI), manakala varian Flagship menerima sistem suntikan bahan api terus (GDI). Jadi, untuk model Turbo-GDI, kuasa yang dihasilkan adalah sama seperti Geely Binyue 1.5 T-GDI iaitu 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Manakala untuk tiga varian lebih rendah dengan enjin Turbo-MPI pula, ia menjana kuasa lebih rendah iaitu 150 PS dan tork maksima 226 Nm.

    GALERI: Proton X50 1.5 T-GDI Flagship 2020

     
     
  • Suzuki Malaysia bakal lancarkan semula Belang F150?

    Suzuki Malaysia bakal lancarkan semula Belang F150?

    Walaupun kenyataan rasmi masih belum dikeluarkan, kami sudah dapat bayangan bahawa pengedar rasmi motosikal Suzuki di Malaysia kini di bawah pengurusan baru melalui hadiah yang diterima, di mana atas kotaknya tertera Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) dan juga Suzuki Malaysia. Bangunan yang dulunya menempatkan pejabat dan kilang KMSB juga kelihatan sudah dinaikkan dengan papan tanda Suzuki.

    Dalam perkembangan terbaru, Suzuki Malaysia melalui laman Facebook mereka telah menaikkan satu gambar teaser model baru yang cuma menampakkan bahagian lampu hadapan. Bersamanya, diletakkan ayat yang bermaksud “Raja Sudah Kembali.”

    Setelah menyemak barisan model motosikal Suzuki di negara seperti Indonesia dan Vietnam, kami dapati lampu hadapan ini sama dengan model Satria F150 dan Raider R150. Dua model ini berkongsi asas yang sama, dan merupakan penyambung generasi bagi model yang dulunya dikenali sebagai Belang 150 di negara kita. Semasa baru dilancarkan, Belang 150 diberi nama jolokan ‘King’ kerana kapasiti serta kuasa yang tinggi bagi moped.

    Satria F150 dikuasakan oleh enjin empat strok, empat injap, DOHC, suntikan bahan api berkapasiti 147.3 cc dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 18.2 hp pada 10,000 rpm dan 13.8 Nm tork pada 8,500 rpm. Jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding kuasa yang dihasilkan oleh Yamaha Y15ZR dan juga Honda RS150R.

    Berat motosikal ini pula adalah 109 kg (kering) dan menyediakan tangki bahan api berkapasiti 4.0 liter. Kelengkapan lain adalah termasuk rim 17 inci dengan 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, brek cakera depan dan belakang, fork teleskopik, monoshock di belakang, pengecas USB bawah tempat duduk, panel meter digital serta sistem kunci penggera.

    Ketibaan model baru ini pastinya menambahkan kemeriahan bagi segmen motosikal 150 cc yang sedang hangat sekarang dan pengguna bakal diberikan dengan lebih lagi pilihan. Bersama kita nantikan pengumuman lanjut berkenaan pelancaran motosikal ini nanti.

    GALERI: Suzuki Satria F150


     
     
  • Perhimpunan Ford Mustang terbesar di Pavilion KL catat rekod baharu dalam Malaysia Books of Records

    Perhimpunan Ford Mustang terbesar di Pavilion KL catat rekod baharu dalam Malaysia Books of Records

    Kelab Mustang Malaysia telah mencatatkan rekod baharu di dalam Malaysia Book of Records sebagai penganjur perhimpunan Ford Mustang terbesar di negara ini. Perhimpunan yang diadakan pada 27 September 2020 menyaksikan sebanyak 137 Ford Mustang berhimpun di Pavilion Kuala Lumpur dan para pemilik berpeluang beramah mesra dan berkongsi pengalaman berharga sesama sendiri.

    Dalam majlis tersebut, sijil pengiktirafan disampaikan kepada Presiden Kelab, Alfred C.K. Joseph oleh Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book of Records, Christopher Wong.

    “Kami begitu teruja kerana mendapat tempat di dalam Malaysia Book of Records sebagai pemegang rekod penganjur perhimpunan Ford Mustang terbesar di Malaysia. Matlamat kami adalah untuk mengetengahkan perpaduan dan keharmonian semua lapisan masyarakat di dalam negara berbilang kaum ini melalui minat dan aprisasi terhadap kereta,” kata Alfred C.K. Joseph, Presiden Kelab Mustang Malaysia.

    Kelab Mustang Malaysia ditubuhkan pada tahun 2018, dan semenjak itu ia terus berkembang sehingga memiliki 245 ahli berdaftar. Ditubuhkan dengan tujuan berkongsi informasi berkenaan Ford Mustang baharu selain menggalakkan pemanduan yang selamat dan berhemah. Ia juga menyediakan platform kepada para pencinta Ford Mustang memupuk hubungan berdasarkan minat yang sama.

    “Sekalung tahniah kepada Kelab Mustang Malaysia kerana menganjurkan acara ini dan mencatatkan rekod baharu. Ia merupakan kejayaan yang begitu besar apabila berjaya menganjur dan mengumpulkan sebanyak 137 kenderaan Mustang bersama para pemiliknya. Kami amat berbangga dengan segala usaha keras mereka.

    “Kami akan terus komited dalam mengekalkan hubungan erat dengan pelbagai kelab pemilik Ford dan menyokong aktiviti-aktiviti yang dijalankan bagi membina silaturrahim dan hubungan baik sesama ahli,” ujar Syed Ahmad Muzri Syed Faiz, Pengarah Urusan, Sime Darby Auto ConneXion.

     
     
  • Pengecualian pembaharuan cukai jalan, lesen ketika PKP serta diskaun saman 70% tamat 30 September ini

    Pengecualian pembaharuan cukai jalan, lesen ketika PKP serta diskaun saman 70% tamat 30 September ini

    Kalau-kalau ada yang tak ingat atau buat-buat lupa, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ingin mengingatkan bahawa kelonggaran bagi pengecualian pembaharuan lesen dan cukai jalan untuk kenderaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan berakhir esok, 30 September 2020.

    Bermula 1 Oktober ini, penguatkuasaan akan dilaksanakan semula, dan JPJ menyarankan kepada semua pengguna jalan raya agar menyemak dan menyiapkan semua dokumen berkaitan, sekiranya belum berbuat demikian bagi mengelak dikenakan tindakan serta berpusu-pusu di kaunter dalam minit-minit terakhir, lapor The Star.

    Tempoh pengecualian itu sepatutnya tamat pada 31 Ogos 2020, tetapi pada 29 Ogos, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengumumkan lanjutan tempoh berkenaan sehingga 30 September 2020, selari dengan lanjutan PKP dan bertujuan untuk meringankan beban kewangan orang ramai.

    Sehingga pertengahan Jun lalu, lebih daripada 2.1 juta kenderaan cukai jalannya telah tamat – dengan jumlah lesen luput tarikh – dan perlu dihidupkan semula. Ketika ini, angka berkenaan mungkin telah berkurangan, tetapi sekiranya ada yang belum berbuat demikian, mereka perlu memperbaharuinya sebelum 1 Oktober 2020.

    Selain itu, JPJ juga memaklumkan kempen potongan jumlah saman sebanyak 70% turut akan berakhir pada 30 September ini. Jadi kalau anda masih ada urusan yang tertangguh berkaitan hal ini, esok adalah hari terakhir untuk berbuat demikian.

     
     
  • Kelantan bakal bina litar lumba untuk sukan bermotor?

    Kelantan bakal bina litar lumba untuk sukan bermotor?

    Kerajaan negeri Kelantan dilaporkan bakal membina litar lumba untuk sukan permotoran di negeri tersebut. Perkara ini disebutkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat dalam satu laporan oleh akhbar Sinar Harian.

    Berita tersebut memetik bahawa Wan Roslan menyebut litar berkenaan adalah salah satu projek di atas tanah seluas 60.7 hektar di Bukit Merbau, dan berberapa lokasi lain seperti di Kota Bahru dan Jeli untuk infrastruktur sukan yang dikhususkan negeri berkenaan, terutamanya untuk fasiliti bagi persediaan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 pada 2024.

    Walau bagaimanapun, sebarang perincian untuk litar lumba tersebut masih belum jelas, dan Wan Roslan hanya menyatakan litar ini adalah sebahagian dari fasiliti sukan lain termasuk empat fasiliti utama untuk Sukma iaitu stadium utama, stadium tertutup, pusat renang dan velodrom.

    “Kerajaan negeri telah membelanjakan RM10 juta untuk membayar tanah rakyat di kawasan Bukit Merbau itu sebagai langkah awal untuk pembinaan kompleks sukan tersebut. Insya-ALLAH semuanya akan berjalan lancar nanti,” katanya ketika merasmikan Penutup Seminar Pembangunan Kejurulatihan Bola Sepak Remaja 2020 di Hotel Grand Riverview, di Kota Bharu Kelantan, semalam.

     
     
  • Isuzu MU-X generasi seterusnya – imej paten terdedah

    Isuzu MU-X generasi seterusnya – imej paten terdedah

    Isuzu MU-X yang ada sekarang adalah sebuah SUV tujuh tempat duduk yang menggunakan asas daripada trak pikap D-Max generasi kedua dan sudah berada dalam pasaran sejak tujuh tahun lalu. Memandangkan D-Max generasi ketiga sudah pun keluar tahun lepas, kita boleh menjangka ia kemudiannya akan diikuti oleh MU-X pula.

    Pengeluar Jepun ini masih mengunci mulut dan tidak memberitahu sama ada mereka akan mengeluarkan MU-X generasi kedua, tetapi nampaknya itulah yang akan berlaku. Imej paten SUV tujuh tempat duduk ini dinaikkan oleh Pejabat Paten Jepun, dan ditemui oleh Autoweek.

    Sama seperti model yang ada sekarang, MU-X baru ini akan berkongsi banyak bahagian dengan D-Max termasuk pintu hadapan, bonet dan fender hadapan. Walaubagaimanapun, terdapat sedikit perubahan di depan, di mana MU-X ini kelihatan mempunyai lampu lebih nipis, sementara gril ‘bertaring’ itu pula nampak seperti lebih kecil berbanding D-Max.

    Isuzu MU-X generasi seterusnya – imej paten terdedah

    Bampar hadapan juga mempunyai bahagian lampu kabus yang lebih kemas di penjuru, manakala bukaan udara di bawah dan skid plate diasingkan. Susunan cermin bahagian tepi juga nampak lebih teratur dan tidak bersambung terus dengan cermin belakang.

    Pada bahagian belakang pula anda akan dapat melihat rekaan lampu yang juga lebih kemas dan nipis, sementara tempat letak nombor plet di bawa ke bawah sedikit, menghampiri bampar. Pada bahagian bawah bampar terdapat pemantul cahaya atau lampu kabus yang besar. Perincian bahagian dalam serta enjin pula masih belum diketahui, tetapi boleh dijangka sama seperti D-Max.

     
     
  • Hyundai Elantra N – teaser disiarkan dalam video

    Hujung minggu lalu, Hyundai telah mendedahkan satu lagi jentera lumba dalam spesifikasi TCR selain i30 N TCR dan Veloster n TCR yang boleh dibeli menerusi program perlumbaan Hyundai Motorsport, iaitu sedan Elantra N TCR. Dalam video pendedahan tersebut yang dibintangi lagenda perlumbaan touring car, Gabriel Tarquini, Hyundai turut sempat menyelitkan teaser untuk model produksi berprestasi tinggi penuh Hyundai Elantra N!

    Walau bagaimanapun, model jalan raya Hyundai Elantra N berkenaan hanya muncul pada sekitar 10 saat terakhir video itu, dengan dibalut sepenuhnya menggunakan pelekat penyamaran, menampakkan bayangan muka dan bahagian sisi, serta kedengaran bunyi enjin yang dihidupkan dan kemudian mula bergerak.

    Buat masa sekarang, model paling agresif dan berkuasa dalam barisan model Elantra generasi ketujuh adalah Elantra N-Line yang didedahkan baru-baru ini, dijana enjin 1.6 liter turbo berkuasa 201 hp/265 Nm dan diberikan penggayaan paling garang.

    Hyundai Elantra N – <em>teaser</em> disiarkan dalam video

    Model N penuh ini pula, walaupun cuba disorokkan, ia jelas hadir dengan imej yang jauh lebih agresif. Dari bahagian muka, dapat dilihat dengan jelas ia menerima unit intercooler lebih besar sebalik bampar hadapan, dan bunyi yang dihasilkan juga seiras dengan bunyi pada i30 N dan Veloster N.

    Menerusi gambar-gambar intipan yang kami terima, unit prototaip berkenaan dipadankan dengan rim 19-inci yang diambil dari Veloster N (model produksi mungkin diberikan rim 19-inci tetapi dengan rekaan berbeza) serta sistem brek yang cukup besar dengan angkup berwarna merah – ini mungkis spesifikasi yang diberikan Performance Package.

    Selain itu, Elantra N ini juga diberikan sepasang tip ekzos logam yang bersaiz besar diserlahkan pada kiri dan kanan diffuser bampar belakang, dan juga spoiler pada penutup but bersaiz penuh.

    Sedan ini dijangka akan menerima unit penjana yang sama seperti jentera N yang lain. Untuk model facelift yang didedahkan minggu lalu, i30 N dengan Performance Package menerima enjin 2.0 liter turbo yang ditala bagi menghasilkan 280 PS/392 Nm.

    Jika sebelum ini ia hanya diberikan kotak gear manual enam-kelajuan, versi kemaskini tersebut menerima transmisi klac berkembar automatik DCT lapan-kelajuan. Ia masih menerima kelengkapan prestasi tinggi lain seperti e-LSD dan juga suspensi jenis adaptif, dan kuasa dari enjin hanya memacu roda hadapan.

    Hyundai Elantra N dijangka akan mula diperkenalkan bermula pada tahun 2021. Jika anda kurang berminat dengan model-model hatchback N yang dibangunkan di Nürburgring tersebut, adakah model sedan empat pintu ini membuatkan anda tertarik?

    GALERI: Spyshot unit prototaip Hyundai Elantra N yang sedang diuji

     
     
  • Pusat 3S Mitsubishi baharu dilancar di Petaling Jaya

    Pusat 3S Mitsubishi baharu dilancar di Petaling Jaya

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah melancarkan pusat 3S baharu yang kedua buat bulan ini. Susulan dengan pembukaan pusat 3S Temerloh dua minggu lalu, kali ini MMM telah memperkenalkan satu lagi fasiliti 3S, kali ini terletak di Petaling Jaya.

    Pusat baharu ini, yang dikendalikan oleh pengedar bertauliah Ingress Motors Centre (IMC), terletak di No. 13, Jalan 225, Seksyen 51A, Petaling Jaya. Ia merupakan fasiliti Mitsubishi yang ke-empat yang dikendalikan oleh IMC di Lembah Klang, dengan tiga lagi pusat yang sama terletak di Puchong, Bangi dan Shah Alam.

    Fasiliti di Petaling Jaya ini, yang mengikut imej korporat baharu MMM, dibina atas kawasan seluas 34,000 kaki persegi dan menempatkan bilik pameran yang mampu mempamerkan sehingga empat kenderaan dalam satu masa, turut dilengkapi dengan ruang lounge untuk pelanggan dengan kemudahan WiFi. Pusat servisnya pula lengkap dengan 12 petak penyelenggaraan.

    Pusat 3S Mitsubishi baharu dilancar di Petaling Jaya

    “Tahniah buat Ingress Motors Centre atas pembukaan satu lagi bilik pameran Mitsubishi Motors di Petaling Jaya. MMM dan IMC telah menjadi rakan perniagaan sejak tahun 2013 dan dalam tempoh tujuh tahun ini, IMC telah membuka empat daripada 14 bilik pameran MMM di sekitar Lembah Klang. Ini menunjukkan komitmen IMC bagi memperkukuhkan jenama Mitsubishi di Malaysia,” ujar CEO MMM Tomoyuki Shinnishi.

    Tambah beliau, “Kami yang sedang bekerjasama untuk memperkenalkan Xpander ke pasaran Malaysia tidak lama lagi, justeru pembukaan ruang pameran baharu ini sejajar dengan matlamat kami untuk meletakkan pelanggan kami di barisan hadapan dan keutamaan kami. Ia adalah sasaran kami untuk memberikan perkhidmatan jualan dan selepas jualan yang lebih baik di wilayah tengah.”

    Dengan pembukaan fasiliti PJ yang baharu, buat setakat ini MMM telah mempunyai 52 bilik pameran (46 daripadanya ialah pusat 3S) dan 52 pusat servis di seluruh Malaysia. Baru-baru ini juga MMM telah mengumumkan pemindahan gudang penyimpanan alat ganti baharu yang terletak di Shah Alam, demi memenuhi peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan selepas jualan.

     
     
  • Toyota GR Yaris di Australia habis dalam seminggu

    Toyota GR Yaris di Australia habis dalam seminggu

    Semua 1,000 unit Toyota GR Yaris untuk pasaran Australia telah habis dijual dalam tempoh enam hari sahaja sejak tempahannya mula dibuka di sana. Menurut CarAdvice, Toyota Australia awalnya menjangka tempoh mereka mungkin memerlukan 18 bulan untuk menjual unit pertama model berkenaan.

    Disebabkan sambutan yang sangat menggalakkan itu, laman tempahan awal untuk model terbabit terpaksa ditutup sementara, walaupun sebahagian pengedar masih menerima deposit. Antara sebab kenapa GR Yaris laku keras di sana adalah kerana harganya tawarannya ketika ini AUD$39,950 (RM118k), dengan penjimatan sebanyak AUD$14,000 (RM41k) berbanding harga cadangan penuhnya.

    GR Yaris yang menerima jolokan sebagai kereta produksi dengan enjin tiga-silinder paling berkuasa di dunia ini diposisikan sebagai “kereta bandar”. Di Australia, harga jualan yang dicadangkan untuknya menghampiri pesaing lain seperti Volkswagen Golf R dan Subaru WRX STI.

    GR Yaris menerima kerangka khas dan menampilkan enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder yang menghasilkan sebanyak 272 PS dan 370 Nm tork. Ini angka-angka yang besar untuk enjin tiga-silinder, dengan nisbah kuasa kepada berat ialah 4.706 kg/PS.

    Kotak gear manual enam-kelajuan adalah standard, dengan ada kemungkinan CVT turut diperkenalkan nanti. Kuasa disalurkan ke semua roda melui sistem GR_Four, yang menggunakan dua LSD Torsen. Untuk suspensi, bahagian depan menggunakan jenis MacPherson strut, sementara di belakang dari jenis double wishbone (Yaris standard menggunakan jenis torsion beam).

    Menariknya, model ini turut dijangka akan tiba di Malaysia, selepas UMW Toyota Motor keluarkan teaser Julai lalu. Apa pun, yang pastinya kereta ini tak akan dijual murah, mungkin sekitar harga yang hampir sama dengan model seperti FK8 Honda Civic Type R (RM330k sebelum rebat SST). Ramai yang berminat?

     
     
  • BMW 2 Series Gran Coupé 2020 dipertonton di M’sia

    BMW 2 Series Gran Coupé 2020 dipertonton di M’sia

    BMW Group Malaysia nampaknya kian rancak memperkenalkan model baharu untuk pasaran tempatan. Baru-baru ini, syarikat terbabit telah mempertontonkan model baharunya dalam situasi yang bukan kebiasaan, dengan memandunya di sekitar Kuala Lumpur untuk mendapatkan perhatian ramai. Malah semalam, model tersebut telah dibawa ke premis kami yang terletak di Jaya One untuk tontonan umum.

    Walau pun BMW Group Malaysia tidak menyatakan secara jelas apakah model kereta berkenaan – tambahan pula ia dilitupi lapisan camouflage rekaan NGO tempatan – tetapi identitinya masih boleh jelas kelihatan. Dan sudah tentulah ia BMW 2 Series Gran Coupé baharu, versi empat-pintu bagi model 1 Series pacuan-hadapan baharu.

    Belum ada penjelasan yang didedahkan buat masa ini, tetapi berdasarkan spyshot sebelum ini, kebarangkalian kita akan mendapat varian 218i dan M235i.

    BMW 2 Series Gran Coupé 2020 dipertonton di M’sia

    Seperti yang pernah kami maklumkan sebelum ini, ciri standard bagi 218i termasuklah lampu utama dan lampu belakang LED, lampu kabus LED, roda aloi 819 M jejari-berkembar 18-inci, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan suhu dwi-zon (dengan corong udara untuk tempat duduk belakang), tempat duduk sport larasan kuasa dengan fungsi memori untuk bahagian pemandu dan sistem infotaimen BMW Live Cockpit Plus bersama skrin sesentuh 8.8-inci dan kluster instrumen analog.

    Seperti model BMW baharu yang lain. 218i Gran Coupé juga akan didatangkan dengan pakej Driving Assistant. Ini termasuklah brek kecemasan sendiri, amaran ketibaan lorong dan pemantauan titik buta dengan kepekaan trafik lintasan belakang. Dengan adanya penderia radar di bahagian hadapan, model ini tidak menerima kawalan kelajuan adaptif.

    BMW 2 Series Gran Coupé 2020 dipertonton di M’sia

    218i dijanakan oleh enjin B38 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder petrol, dengan hamburan kuasa 140 PS dari 4,600 hingga 6,500 rpm dan tork 220 Nm dari 1,480 hingga 4,200 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi dwi-klac basah lapan-kelajuan, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan.

    Sementara itu, M235i akan menerima versi enjin yang sama dengan M135i iaitu B48 2.0 liter turbo empat-slinder yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 306 PS dari 5,200 hingga 6,250 rpm dan tork 450 Nm antara 1,750 dan 4,500 rpm. Ia juga akan menerima DCT yang sama dengan pacuannya disalurkan ke roda menerusi sistem pacuan semua-roda xDrive, dengan pecutan dari 0-100 km/j boleh dicapai dalam 4.9 saat.

     
     
  • Genesis GV70 dalam teaser – SUV kedua jenama itu

    Genesis GV70 dalam teaser – SUV kedua jenama itu

    Model yang ditawarkan oleh Genesis sekarang cuma ada empat iaitu tiga daripadanya sedan – G70, G80 dan G90 – sementara satu lagi adalah SUV, GV80. Tidak lama lagi, ia akan disertai oleh satu lagi model SUV, apabila Genesis mengeluarkan teaser untuk GV70.

    Unit dalam teaser ini menggunakan pelekat samaran yang dipanggil oleh Genesis sebagai “G-Matrix”. Menurut mereka, corak pelekat ini “mendapat inspirasi daripada pantulan cahaya berlian dan ia merupakan satu bahagian penting dalam identiti jenama Genesis.”

    Tarikh kemunculan rasmi model ini masih belum dinyatakan tetapi Genesis memberitahu unit yang menggunakan pelekat samaran ini akan diuji atas jalan awam di Korea selama satu bulan. Seperti yang boleh dilihat pada namanya, GV70 ini akan duduk di bawah GV80 dan menjadi SUV kedua Genesis yang boleh dibeli oleh pelanggan.

    Walaupun mempunyai pelekat samaran, kita masih dapat melihat konsep rekaan “Athletic Elegance” yang sinonim dengan Genesis pada GV70. Pada bahagian depan ia mendapat gril “Superman-style” yang diapit denan lampu LED nipis.

    Bentuk keseluruhan GV70 ini nampak lebih kemas dan dinamik berbanding GV80 dengan adanya bukaan udara yang besar di hujung bampar sementara cermin belakang pula kelihatan lebih condong. Rupa bahagian dalam masih belum ditunjukkan.

     
     
  • Hyundai Elantra N TCR didedahkan – satu lagi senjata untuk anda pilih bagi berlumba dalam kejohanan TCR

    Hyundai Elantra N TCR didedahkan – satu lagi senjata untuk anda pilih bagi berlumba dalam kejohanan TCR

    Kereta lumba dalam kategori TCR yang dikelola oleh FIA adalah antara kereta lumba yang paling kompetitif buat masa sekarang. Dengan satu spesifikasi, ia boleh berlumba dalam kejohanan peringkat nasional, peringkat benua dan sehingga peringkat dunia iaitu World Touring Car Cup (WTCR).

    FIA juga mensyaratkan bahawa kereta-kereta lumba TCR ini dijalankan secara program perlumbaan pelanggan, membolehkan ia dijual pada harga yang tidak terlalu mahal dan boleh dibeli oleh pasukan-pasukan persendirian, serta menerima terus bantuan teknikal dari pengeluar rasmi.

    Buat masa sekarang, setiap jenama hadir dengan hanya satu jentera TCR, seperti Civic Type R TCR dari Honda, Golf GTI TCR dari Volkswagen, O3 TCR dari Lynk & Co dan banyak lagi pengeluar lain. Tapi tidak Hyundai Motorsport, sebelum ini mereka sudah pun menawarkan dua jentera TCR iaitu i30 N TCR dan Veloster N TCR – terbaharu, jenama Korea berkenaan menawarkan satu lagi pilihan untuk pelanggan iaitu sedan Hyundai Elantra N TCR!

    Kereta lumba ini didedahkan hujung minggu lalu di Beijing Motor Show, bersama pendedahan sulung model produksi Hyundai Elantra generasi ketujuh di negara berkenaan. Ia diperkenalkan setelah di uji selama tiga bulan, dalam jarak 5,000 km, dan bakal ditawarkan kepada pelanggan yang berlumba di negara yang memasarkan Elantra standard.

    Hyundai Elantra N TCR didedahkan – satu lagi senjata untuk anda pilih bagi berlumba dalam kejohanan TCR

    Seperti dua adik beradik hatchbacknya, sedan ini menerima kelengkapan aerodinamik yang merangkumi kit badan lebih lebar bersama sayap GT pada but belakang. Menurut Hyundai, jentera ini dihasilkan oleh divisi perlumbaan pelanggan mereka dengan mengambil kelebihan sepenuhnya model asas yang sememangnya stabil, dihasilkan dari casis berprestasi tinggi.

    Dengan memenuhi undang-undang TCR FIA, Hyundai Elantra N TCR ini dijana oleh enjin 2.0 liter turbo yang diambil dari enjin baharu dalam keluarga enjin kereta produksi jalan raya Hyundai. Manakala untuk transmisi, ia dibekalkan dengan kotak gear manual sequential dengan operasi pedal penukar gear sama seperti pada i30 N TCR dan Veloster N TCR, untuk memacu roda hadapan.

    Kereta ini dihasilkan dalam dua pakej iaitu untuk bersaing dalam perlumbaan bercorak sprint dan juga pakej untuk berlumba dalam acara endurance. Kedua-dua versi tersebut telah diuji dan dibangunkan serentak bermula Jun lalu di pelbagai litar sekitar Eropah.

    “Kami telah menampilkan banyak kemajuan dalam pembangunan casis dengan ramai pemandu yang berlainan bagi menghasilkan pakej keseluruhan yang kukuh untuk pelanggan bagi membolehkan mereka terus berjaya dengan Hyundai Motorsport Customer Racing dalam persaingan TCR,” kata prinsipal Hyundai Motorsport, Andrea Adamo.

    Hyundai Elantra N TCR didedahkan – satu lagi senjata untuk anda pilih bagi berlumba dalam kejohanan TCR

    Antara pemandu yang dimaksudkan oleh Adamo adalah pemandu lagenda dalam dunia touring car iaitu Gabriel Tarquini, yang kini berlumba untuk pasukan BRC Hyundai N Lukoil Squadra Corse dalam WTCR.

    “Sebagai pemandu Elantra N TCR ini dirasakan sebagai kereta yang baik untuk dipandu, walaupun bermula sejak ujian pertama. Saya mampu untuk melengkapkan banyak pusingan lap dalam ujian kereta, memandu kedua-dua versi sprint dan endurance, yang dibangunkan bersama,” kata Tarquini yang turut terlibat dalam pembangunan i30 N TCR sebelum ini.

    “Jelas Elantra N TCR ini adalah lebih besar, tetapi pengendaliannya ketika memandu membuatkan anda tidak terasa perbezaannya. Ini adalah peringkat awal ujian untuk kereta tersebut, jadi masih lagi banyak peluang untuk memperbaiki casis serta menghasilkan pakej lebih kuat untuk pelanggan berlumba,” tambahnya lagi.

    Sejak bermulanya kejuaraan WTCR pada 2018 bagi menggantikan WTCC pada musim sebelumnya, Hyundai merupakan antara pengeluar yang paling berjaya dengan menggondol juara dunia dalam kategori pemandu untuk musim 2018 dan 2019. Secara keseluruhan pasukan-pasukan pelanggan Hyundai telah membolot lapan gelaran juara dalam kejuaraan-kejuaraan TCR di seluruh dunia pada tahun 2019.

    Buat masa sekarang, untuk model produksi Elantra generasi baharu ini hanya hadir dalam model paling berkuasa N-line dengan enjin 1.6 Turbo berkuasa 201 hp/265 Nm. Dengan pendedahan kereta lumba ini mungkin sebagai petanda bahawa model prestasi penuh Elantra N yang dijana oleh enjin 2.0L turbo akan turut diperkenalkan, sama seperti i30 N dan Veloster N.

     
     
  • DBKL akan cari lokasi lain untuk Jalan Palestin, nama Jalan Raja Laut perlu dikekalkan – Annuar Musa

    DBKL akan cari lokasi lain untuk Jalan Palestin, nama Jalan Raja Laut perlu dikekalkan – Annuar Musa

    Baru-baru ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan penukaran nama Jalan Raja Laut 1 kepada Jalan Palestin secara rasminya mulai 26 September 2020. Walau bagaimana pun, semalam Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menuntut penjelasan DBKL di atas tindakan tersebut.

    Beliau melalui ciapan di Twitternya, mempersoalkan kewajaran pemilihan jalan berkenaan. Katanya, ini kerana nama asalnya itu amat bersejarah kepada bangsa Melayu dan ibu kota.

    Justeru, beliau meminta DBKL untuk mencari lokasi lain untuk dinamakan Jalan Palestin kerana nama Jalan Raja Laut perlu dikekalkan, laporan Berita Harian.

    Jelas beliau, Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan diminta mencari jalan lain lebih sesuai bagi tujuan berkenaan.

    “Saya tiada halangan hendak menamakan jalan di Kuala Lumpur dengan Jalan Palestin, tanda sokongan Kuala Lumpur kepada perjuangan pembebasan al-Quds. Namun, saya mahukan penjelasan kenapa memilih untuk tukar nama Jalan Raja Laut, nama besar sejarah Melayu dan Kuala Lumpur,” katanya dalam ciapan menerusi Twitter itu.

     
     
  • Audi Q5 Sportback – bumbung dijadikan seperti coupe

    Audi Q5 Sportback – bumbung dijadikan seperti coupe

    Keterujaan Audi terhadap SUV bentuk coupe diteruskan lagi dengan pengenalan Q5 Sportback baru, yang mengikut jejak langkah Q8, Q3 dan e-tron Sportback. Menurut Audi, Q5 Sportback dapat menawarkan utiliti dan teknologi seperti Q5 biasa, tetapi dengan “rekaan ekspresif dan tersendiri kereta sports.”

    Formula yang digunakan agak mudah. Ambil sahaja Q5 standard dan bumbungnya dijadikan lebih condong di bahagian belakang. Tinggi sebenar kenderaan masih lagi sama (begitu juga dengan lebar), tetapi panjangnya adalah lebih tujuh milimeter (4,690 mm) dan kecekapan rintangan udara bertambah baik (0.30 Cd).

    Daripada aspek rekaan, semuanya hampir sama seperti Q5 facelift generasi kedua, dan model S Line mendapat gril unik, bersama kemasan krom pada bukaan udara bampar hadapan dan muncung ekzos yang dibuang di bampar belakang, digantikan dengan kemasan krom besar.

    Audi Q5 Sportback – bumbung dijadikan seperti coupe

    Pada bahagian dalam, Multi Media Interface (MMI) digunakan, dan sistem infotainmennya terdiri daripada skrin sesentuh 10.1 inci dan kawalan suara yang boleh memahami lenggok bahasa biasa. Pilihan lain yang diberi adalah panel instrumen virtual 12.3 inci, MMI Navigation Plus dengan gambaran satelit Google Earth, pengecas tanpa wayar Qi, serta sistem bunyi 19 pembesar suara Bang & Olufsen.

    Disebabkan bumbung yang lebih rendah di belakang itu, ruang simpanan juga menjadi lebih kecil, iaitu 510 liter. Apabila tempat duduk baris kedua dilungsurkan ke hadapan, ia boleh menjadi 570 liter, dan apabila dibaringkan sepenuhnya, ia menyediakan 1,480 liter.

    Pada bahagian keselamatan, Q5 Sportback boleh dipilih dengan Adaptive Cruise Assist yang boleh memecut, membrek dan membelok stereng secara sendiri pada kelajuan dalam had yang dibenarkan. Terdapat juga pembantu kecekapan yang boleh melaras sendiri kelajuan untuk memadankannya dengan keadaan pemanduan, topografi, had laju atau pengguna jalan raya lain.

    Audi Q5 Sportback – bumbung dijadikan seperti coupe

    Semasa pelancaran, Sportback ditawarkan dengan enjin petrol dan diesel 2.0 liter turbo, yang kedua-duanya menghasilkan 204 PS dan dipadankan bersama transmisi klac berkembar S Tronic tujuh kelajuan. Terdapat juga varian SQ5 TDI yang digerakkan oleh enjin V6 diesel 3.0 liter twin turbo berkuasa 347 PS yang menggunakan transmisi automatik lapan kelajuan.

    Varian yang lebih tinggi ini juga datang dengan sistem pacuan semua roda Quattro dan hibrid ringkas. Sistem hibrid padanya membenarkan kenderaan meluncur dengan enjin tertutup dan mengaktifkan sistem start/stop apabila mengurangkan kelajuan daripada 22 km/j. Dua lagi versi PHEV akan diperkenalkan kemudian.

    Q5 Sportback juga ditawarkan dengan penyerap adaptif (pilihan tambahan), serta sistem suspensi udara yang boleh mengawal tinggi kenderaan dalam lima tahap, dengan pelarasan sehingga 60 mm. Varian SQ5 pula menggunakan suspensi udara yang ditala khas untuknya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025