Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Proton Saga kekal sedan segmen-A paling laris, Proton jual 89k unit kenderaan dari Jan hingga Nov 2019

    Proton Saga kekal sedan segmen-A paling laris, Proton jual 89k unit kenderaan dari Jan hingga Nov 2019

    Proton hari ini mengumumkan bahawa mereka telah menjual sebanyak 9,643 unit (eksport + domestik) kenderaan untuk bulan November tahun ini – berbanding bulan sama tahun lalu, peningkatan ini adalah sebanyak 100%. Manakala secara kumulatif pula, dari Januari hingga bulan lalu, pengeluar automotif nasional tersebut telah menjual sebanyak 89,476 unit.

    Jumlah berkenaan menunjukkan pertumbuhan 50.1% untuk jumlah dari tahun ke tahun. Manakala pegangan pasaran juga meningkat dan dianggarkan kini berada pada 16.2% bagi keseluruhan tahun 2019. Dari jumlah tersebut, model paling mampu milik mereka, Proton Saga merupakan model paling laris – telah dijual sebanyak 4,091 unit, sekaligus memecahkan rekod jualan sebanyak 4,000 unit untuk tiga bulan berturut-turut

    Ini membolehkan Saga mendahului jualan dalam kelas sedan segmen A dengan jumlah jualan 34,422 unit sehingga kini. Menurut Proton lagi, pertumbuhan volumnya kini berada pada 32%, merupakan yang terbaik berbanding mana-mana model dalam segmen A buat masa sekarang.

    “Saga merupakan kejayaan besar untuk Proton sejak ia dilancarkan pada bulan Ogos. Dalam tempoh hanya empat bulan, Syarikat telah mendapat lebih daripada 35,000 tempahan dan pada ketika ini, setiap unit yang berada di kilang sudah ada pemiliknya. Oleh itu, ini adalah cabaran kami untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran Saga dan kami juga telah mengadakan perbincangan rapi bersama para pembekal dalam usaha untuk meningkatkan lagi volum pada tahun hadapan,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    Proton Saga kekal sedan segmen-A paling laris, Proton jual 89k unit kenderaan dari Jan hingga Nov 2019

    Menurut Dr. Li lagi, selain daripada saranan nilai, prestasi dinamik terkemuka serta ciri-ciri komprehensif yang ada pada sedan berkenaan, Saga juga berjaya menarik perhatian pembeli melalui pencapaiannya dalam perlumbaan Sepang 1000km (S1K) pada baru-baru ini.

    Dalam perlumbaan tersebut, Saga pasukan Proton R3 yang dipandu oleh pasangan Syafiq Ali dan Admi Sharul berjaya menduduki tempat kedua, di belakang Iriz R3 yang dipandu oleh Farique Hairuman dan Mitchell Cheah. Manakala satu lagi Saga R3 yang dipandu oleh Trio pelumba wanita yang dibentuk dari program MSF-R3 Ladies Driver Search iaitu Leona Chin, Faye Kusairi dan Nurul Husna turut melakukan kejutan – walaupun bermula pada petak ke-26, mereka berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.

    “Untuk menamatkan perlumbaan S1K sahaja sememangnya sukar kerana memerlukan gabungan kelajuan dan ketahanan yang konsisten. PROTON R3 telah melakukannya dengan begitu baik dalam mempersiapkan kereta- kereta yang terlibat dan prestasi hebat yang ditonjolkan menjadi bukti bahawa Proton Saga mempunyai semua kualiti yang diperlukan untuk menjadi pesaing dalam acara perlumbaan terkemuka di Malaysia. Apa yang kami pelajari di litar perlumbaan ini dikongsi bersama dengan barisan pereka dan jurutera Syarikat supaya pelanggan-pelanggan kami juga memperoleh kelebihan daripada kejayaan kami dalam sukan permotoran ini,” tambah Dr Li.

    SUV Segmen-C Proton X70 juga menunjukkan angka jualan yang baik pada November lalu dengan jumlah melebihi 2,000 unit. Model tersebut kini hampir setahun berada dalam pasaran setelah dilancarkan pada 12 Disember 2018.

    Proton Saga kekal sedan segmen-A paling laris, Proton jual 89k unit kenderaan dari Jan hingga Nov 2019

    “Proton X70 telah mencatatkan kejayaan paling bermakna untuk Syarikat bagi tahun 2019. Model ini telah membuka peluang Proton memasuki segmen baharu meskipun tanpa pengalaman dan selepas setahun, Syarikat berjaya mendahului jualan. Sempena hampir setahun model itu diperkenalkan di pasaran, jualan semakin meningkat dan pada bulan November, lebih 2,000 unit telah dijual. Peningkatan ini menunjukkan bahawa pelanggan masih berminat dengan SUV pintar yang ditawarkan dan kami mensasarkan untuk mengekalkan prestasi ini pada tahun akan datang,” ujar CEO Proton itu.

    Dr Li turut menegaskan bahawa barisan jurutera Proton komited untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi berikutan kilang baharu di Tanjung Malim yang akan memulakan operasi tidak lama lagi. Mereka juga telah berikrar untuk menghasilkan produk yang sepadan atau lebih baik berbanding kenderaan yang dihasilkan oleh pengeluar lain daripada kumpulan automotif Geely Auto.

    “Proton telah diarahkan untuk menjadi salah sebuah pusat pengeluaran bagi pemanduan belah kanan bagi kumpulan itu, jadi untuk melaksanakannya dengan baik, kualiti pengeluaran kami mestilah sepadan dengan tahap yang dicapai oleh barisan kumpulan yang lain. Ini adalah satu matlamat yang mencabar tetapi saya yakin Syarikat mempunyai barisan jurutera dan pekerja pengeluaran yang diperlukan untuk membuktikan bahawa kereta-kereta yang dibina di Malaysia adalah setanding dengan saingan di peringkat global,” tambah Dr Li Chunrong.

     
     
  • Hyundai Kona Electric akan masuk Malaysia – COMOS tawarkan versi 39 kWh, 64 kWh dari RM4.3k sebulan

    Hyundai Kona Electric akan masuk Malaysia – COMOS tawarkan versi 39 kWh, 64 kWh dari RM4.3k sebulan

    Cohesive Mobility Solution (COMOS) telah mengumumkan perancangannya untuk memperkenalkan sebuah program pajakan (leasing) kenderaan terbaru. Syarikat ini pada 2015 memperkenalkan program perkongsian kereta elektrik dan menawarkan pakej pajakan kenderaan korporat bagi model Renault Zoe.

    Dalam perancangan terbarunya, kereta yang dimaksudkan ialah Hyundai Kona Electric. Sama seperti pendekatan mereka ketika memperkenalkan Renault Zoe dan Twizy, COMOS bakal membawa masuk Kona Electric ke Malaysia melalui saluran rasmi, iaitu Hyundai Sime Darby Motor, dengan sokongan lepas jualan selengkapnya daripada pengeluar.

    Menurut syarikat itu, rancangan berkenaan melibatkan pembelian sejumlah Kona Electric untuk program langganan, yang ketika ini rundingannya sedang berjalan, dan bukannya diimport masuk oleh pihak lain (grey import). Untuk mengetahui tahap penerimaan, syarikat berkenaan menjemput orang ramai untuk mendaftar minat mereka terhadap program ini, di sini.

    Hyundai Kona Electric akan masuk Malaysia – COMOS tawarkan versi 39 kWh, 64 kWh dari RM4.3k sebulan

    Walaupun jumlah unit terlibat belum didedahkan, kedua-dua versi untuk pasaran bagi Kona Electric – diperkenalkan tahun lalu – akan ditawarkan melalui program berkenaan. Yang pertama, dengan versi Standard dengan bateri 39.2 kWh, yang menghasilkan 136 PS dan 395 Nm yang menyediakan jarak perjalanan 312 km. Harga pajakan anggaran bagi model ini ialah RM4,300 sebulan, bagi tempoh 60 bulan.

    Satu lagi versi ialah dengan bateri 64 kWh, ditandai sebagai High Spec oleh COMOS. Ia menjana 204 PS dan 295 Nm, dengan jarak perjalanan yang didakwa boleh dicapai ialah 482 km (mod WLTP). Harga pajakan anggaran pula tidak berbeza banyak, dengan RM 4,900 sebulan (tempoh 60 bulan).

    Kelengkapan standard bagi model ini termasuk lampu LED, panel meter LCD berwarna tujuh-inci Supervision, head-unit skrin sentuh tujuh-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, kerusi balutan kulit, pendingin hawa dwi-zon automatik dan sistem tanpa kunci.

    Hyundai Kona Electric akan masuk Malaysia – COMOS tawarkan versi 39 kWh, 64 kWh dari RM4.3k sebulan

    Model 64 kWH High Spec pula menerima tambahan sistem pemantauan tekanan tayar, head-up display, pengecas telefon tanpa wayar, kerusi depan larasan elektrik dan pengilap cermin automatik. Tambahan ciri keselamatan seperti amaran titik buta dan amaran lintasan trafik di belakang turut disertakan.

    Bateri polimer lithium-ion tersebut boleh dicas menggunakan sistem pengecas pantas 100 kW DC (CCS) yang mampu mendapatkan cas 80% dalam masa 54 minit. Manakala dengan pengecas-on-board 7.2 kW, cas dengan arus AC (Type 2) memerlukan sembilan jam 40 minit untuk bateri paling besar, dan enam jam 10 minit untuk pilihan bateri kecil.

    Hyundai Kona Electric akan masuk Malaysia – COMOS tawarkan versi 39 kWh, 64 kWh dari RM4.3k sebulan

    Kos bagi pakej langganan ini termasuk penyediaan pengecas dinding, walaupun tidak termasuk kos pemasangannya. Pakej pajakan juga meliputi kos cukai jalan tahunan serta pembaharuan insurans, servis dan penyelenggaraan berjadual, serta penukaran alat ganti yang terlibat. Dalam kes-kes tertentu, sebuah unit gantian kereta ini juga akan disediakan (tertakluk kepada terma dan syarat.)

    Setakat ini tiada pilihan untuk membeli dan memiliki kereta terbabit dihujung tempoh langganan/pajakan. Bergantung bila program ini dapat dimulakan, nama Kona Electric mungkin akan tiba terlebih dahulu berbanding versi petrolnya, yang sebelum ini dijangka akan masuk pasaran tempatan pada suku kedua tahun ini, tetapi masih belum muncul.

    GALERI: Hyundai Kona Electric di KLIMS 2018

     
     
  • SPYSHOT: Nissan Almera N18 mula diuji di M’sia!

    SPYSHOT: Nissan Almera N18 mula diuji di M’sia!

    Oktober lalu empat buah Nissan Almera generasi kedua dijumpai di KLIA, tetapi bukan dipandu, sebaliknya diangkut di atas lori dan mungkin akan di bawa keluar dari Malaysia untuk ke Jepun bagi diuji di sana. Kemudian, kereta ini secara rasmi masuk ke pasaran ASEAN dengan dilancarkan di Thailand pada bulan lalu.

    Lama lagi ke nak dijual di Malaysia? Rasanya tak lama dah kerana rakan penulis, Kevin Lee telah menjumpai dua buah Almera tersebut diuji di sekitar kawasan Dutamas – lebih kurang lima kilometer dari kilang pemasangan Nissan, Tan Chong Motors Assemblies, Segambut.

    Dua unit kereta yang diuji tersebut nampaknya dari dua varian berbeza. Unit yang berwarna putih mungkin mewakili varian paling tinggi kerana ia dipadankan dengan rim dua tona dengan rekaan seakan pada Nissan Versa varian tertinggi SR di Amerika, tetapi dengan saiz yang lebih kecil – mungkin 15-inci, berbanding 17-inci di AS.

    SPYSHOT: Nissan Almera N18 mula diuji di M’sia!

    Almera berwarna putih berkenaan juga mendedahkan kemasan seakan diffuser pada bampar belakang dan lampu hadapannya seperti menggunakan lampu LED. Almera yang berwarna perak pula hanya diberikan rim kemasan perak 15-inci sama seperti Almera varian tertinggi VL di Thailand, dan lampu hadapan nampak seakan hanya diberikan lampu dari jenis reflektor halogen.

    Di Amerika, Almera/Versa ini dijana oleh enjin petrol NA 1.6 liter HR16DE berkuasa 122 hp/155 Nm. Ia tampil dengan sistem keselamatan penuh Nissan Safety Shield 360 yang menampilkan fungsi seperti Brek Kecemasan Automatik dengan Pengesan Pejalan Kaki, Brek Automatik Belakang, Amaran Keluar Lorong, Bantuan Lampu Tinggi, Amaran Titik Buta dan Lintasan Trafik Belakang serta Cruise Control Pintar.

    SPYSHOT: Nissan Almera N18 mula diuji di M’sia!

    Manakala pada pasaran Thailand pula, Almera kini masuk ke segmen Kereta Eco Thai Fasa 2 yang dibekalkan dengan enjin petrol turbo tiga-silinder HRA0 1.0 liter berkuasa 100 PS dan tork maksima 152 Nm. Ia tidak padankan dengan sistem penuh Safety Shield 360, tetapi varian tertentu hadir dengan enam-beg udara dan sistem seperti amaran pelanggaran hadapan (FCW), brek kecemasan automatik pintar (IEB), monitor pemantau sekeliling pintar (IAVM), pengesan objek bergerak (MOD), sistem amaran titik buta (BSW) dan amaran lintasan trafik belakang (RCTA).

    Segalanya untuk pasaran Malaysia termasuk unit janakuasa dan kelengkapan keselamatan masih lagi menjadi tanda tanya. Rasanya ramai yang mengharapkan kita akan menerima Almera dengan enjin turbo kan? Tetapi tidak mustahil Almera baharu dengan kod casis N18 ini untuk pasaran tempatan akan terus dijana oleh enjin HR15DE 1.5 liter NA dari model sedia ada, yang menghasilkan 102 PS/139 Nm.

    GALERI: Nissan Almera VL 2020 di Thai Motor Expo

    GALERI: Nissan Versa 2020 pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Jangan ambil risiko alih objek di lebuhraya – PLUS

    Jangan ambil risiko alih objek di lebuhraya – PLUS

    Baru-baru ini ada satu rakaman video yang telah tular di laman media sosial yang memaparkan tindakan seorang lelaki mengalihkan halangan atau objek yang tercicir di lebuhraya. Walau bagaimana pun, tindakan tersebut dilihat boleh mendatangkan risiko terhadap individu berkenaan termasuk dibimbingi dilanggar oleh kenderaan lain yang tidak perasan kehadirannya di laluan berkenaan.

    Susulan perkara ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) turut menasihatkan orang awam agar tidak mengambil risiko mengalihkan sebarang halangan atau objek yang tercicir di lebuhraya. Menurut PLUS, pihaknya mempunyai langkah keselamatan yang ditetapkan untuk dilaksanakan oleh petugas lebuhraya yang terlatih seperti anggota PLUSRonda dan penyelenggaraan Propel.

    “Lebuhraya adalah persekitaran yang amat berbahaya dengan kehadiran banyak kenderaan. Oleh itu, PLUS tidak menggalakkan pelanggan yang mengesan kehadiran sebarang objek atau halangan di lebuhraya untuk mengalihkan memandangkan tindakan terbabit boleh mendedahkan mereka kepada risiko dirempuh oleh kenderaan lain sekali gus menyebabkan kemalangan.

    “Sebaliknya, pelanggan dinasihatkan supaya segera menghubungi PLUS menerusi talian bebas tol PLUSLine 1800 88 0000 sebelum pasukan PLUSRonda atau Propel dikerahkan ke lokasi untuk mengalihkan objek berkenaan,” ujar PLUS seperti yang disiarkan oleh Berita Harian.

    Jangan ambil risiko alih objek di lebuhraya – PLUS

    PLUS turut menegaskan tugas mengalihkan objek atau halangan di lebuhraya hanya boleh dikendalikan oleh petugas lebuhraya seperti yang diperuntukkan di dalam Pasport Keselamatan Operasi Lebuhraya (EOSP) yang diperkenalkan oleh syarikat.

    “PLUS tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan semua pelanggan lebuhraya. Justeru, sebagai satu daripada langkah meningkatkan tahap keselamatan, pasukan PLUSRonda dan penyelenggaraan sentiasa membuat rondaan untuk mengesan halangan atau objek yang tercicir di lebuhraya.

    “PLUS juga sudah memperkenalkan penggunaan pasukan kenderaan keselamatan bagi mewujudkan zon keselamatan sementara kerja pengalihan sebarang objek atau halangan di lebuhraya. Pengguna lebuhraya dinasihatkan supaya memberi kerjasama dengan mematuhi arahan serta mengurangkan kelajuan kenderaan ketika pasukan ini sedang beroperasi,” ujar PLUS lagi.

    Tambah PLUS lagi, pihaknya sentiasa berkolaborasi bersama agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau polis untuk mengurangkan kehadiran halangan atau objek yang boleh mendatangkan bahaya kepada pelanggan lebuhraya.

     
     
  • Petron lancar minyak enjin ‘High-Temperature Protection’ – 2 varian, harga RM210-RM265

    Petron lancar minyak enjin <em> ‘High-Temperature Protection’</em> – 2 varian, harga RM210-RM265

    Petron Malaysia telah melancarkan rangkaian produk minyak enjin dan pelincir untuk kenderaan, Petron High-Temperature Protection (HTP) dengan menampilkan Petron Blaze Racing HTP untuk enjin petrol dan Petron Rev-X Turbo HTP bagi enjin diesel.

    Bagi Petron Blaze Racing HTP, minyak enjin sintetik sepenuhnya ini menggunakan polyalphaolefin (PAO) sebagai minyak asas, menghasilkan pengoksidaan yang lebih baik dan kestabilan haba berbanding dengan minyak asas konvensional. Malahan ia turut dilengkapi dengan sistem aditif yang tinggi untuk memenuhi kriteria yang lebih sukar dan ketat bagi enjin petrol berprestasi tinggi.

    Petron turut mendakwa, produk ini direka khas untuk melindungi enjin daripada kehausan dan hakisan bagi hayat enjin yang lebih lama, serta telah diperakui spesifikasinya dan memenuhi API SN, Kelulusan MB 229.5, Kelulusan MB 229.3 dan Porsche A40.

    Petron lancar minyak enjin <em> ‘High-Temperature Protection’</em> – 2 varian, harga RM210-RM265

    Bagi Petron Rev-X Turbo HTP sintetik sepenuhnya pula disyorkan untuk enjin diesel turbocharged atau supercharged yang berkuasa tinggi. Ia juga dirumuskan dengan PAO, minyak enjin ini memberikan perlindungan enjin yang berpanjangan disebabkan oleh pengoksidaan dan kestabilan haba untuk kebersihan dan kecekapan enjin yang mantap.

    Malah minyak enjin untuk kenderaan diesel ini juga diperakui spesifikasinya dan memenuhi API CJ-4/SN, MAN 3575, Cummins CES 20081, Kelulusan MB 228.31, Volvo VDS-4 dan Mack EO-O Premium Plus.

    “Petron HTP dirumus khas untuk memberikan kebersihan enjin, serta kecekapan dan perlindungan enjin yang lebih baik, selain memberikan penjimatan kos untuk pengguna dalam soal penyelenggaraan kenderaan mereka. Ini adalah tawaran Petron untuk pertahanan terbaik terhadap suhu yang panas di negara ini dan juga keadaan pemanduan,” ujar Choong Kum Choy, Ketua Dagangan Runcit dan Perniagaan Komersil Petron.

    Untuk Blaze Racing HTP OW-40 (4 liter) ditawarkan pada harga RM265, manakala Rev-X Turbo HTP 5W-40 (4 liter) pula berharga RM210. Selain minyak enjin, produk di bawah rangkaian Petron HTP juga menawarkan Gear Oil GHTP, Brake Fluid HTP dan HTP Grease yang berharga antara RM23.70 hingga RM37.60. Rangkaian Petron HTP ini sudah boleh didapati di stesen minyak Petron terpilih di seluruh negara, kedai dalam talian Shopee, pengedar sah Petron dan bengkel kenderaan.

     
     
  • Yamaha XSR155 tiba di Indonesia – harga dari RM10.8k

    Yamaha XSR155 tiba di Indonesia – harga dari RM10.8k

    Setelah Thailand, kini Indonesia pula menerima model naked retro XSR155. Ia dilancarkan pada harga bermula 36.27 juta Rupiah (RM10,783) dalam pilihan dua warna iaitu hitam dan perak. Kalau dibandingkan dengan model Yamaha lain di sana, harga XSR155 ini adalah lebih mahal berbanding R15 (36.075 juta Rupiah/RM10,726) dan NVX155 (27.81 juta Rupiah/RM8,269).

    Spesifikasi XSR155 pasaran Indonesia ini masih sama dengan model yang diperkenalkan di Thailand, dikuasakan oleh enjin satu silinder suntikan bahan api 155 cc SOHC VVA, bersama padanan kotak gear enam kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm.

    Walaupun menggunakan gaya retro ringkas, motosikal ini masih dilengkapi dengan barangan moden seperti lampu LED depan dan belakang, serta panel meter digital penuh yang berbentuk bulat. Berat keseluruhan adalah 134 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 10.4 liter.

    Rim yang dipasang pada XSR155 adalah unit 17 inci, dibalut dengan tayar pelbagai guna bersaiz 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang. Suspensi pula menggunakan fork teleskopik dan monoshock, manakala brek kedua-dua bahagian adalah unit cakera. Tiada tanda motosikal ini dilengkapi dengan ABS.

    Selain daripada keadaan asal, Yamaha Indonesia juga menyediakan pilihan pelbagai aksesori untuk motosikal ini, yang boleh menjadikannya lebih menarik dan sesuai dengan pengguna, seperti pakej Tracker dan Sport Heritage.

     
     
  • Pengusaha trak tunda di Pulau Pinang lancar mogok

    Pengusaha trak tunda di Pulau Pinang lancar mogok

    Jika anda akan berada di Pulau Pinang nanti, anda mungkin akan berhadapan dengan sedikit kesukaran sekiranya memerlukan perkhidmatan trak tunda di sana sepanjang tarikh 2 Disember hingga 9 Disember 2019. The Sun melaporkan, hal berkenaan disebabkan oleh mogok yang dilakukan oleh pengusaha trak tunda di pulau berkenaan bagi tempoh seperti yang dinyatakan.

    Mogok berkenaan khabarnya disebabkan oleh percanggahan yang berlaku antara persatuan trak tunda negeri itu, pemilik bengkel kenderaan dan syarikat insurans. Kegagalan untuk menemui kata sepakat dalam hal berkenaan telah menyebabkan mogok ini berlangsung.

    Antara punca utama yang dipercayai menyumbang kepada perkembangan ini ialah berkaitan pembayaran lewat daripada beberapa pihak terlibat di dalam industri baik pulih kenderaan. Di dalam hantaran media sosial, Persatuan Pemilik Bengkel Kenderaan Motor Pulau Pinang menyatakan turut akan menutup bengkel baik pulih kenderaan dalam tempoh berkenaan.

    Pengusaha trak tunda di Pulau Pinang lancar mogok

    Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri telah memanggil wakil daripada KPDNHEP, JPJ dan persatuan trak tunda berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian. “Kami ingin memahami dengan lebih tepat situasi ini,” ujar Chow. Kerajaan negeri amat menyesali apa yang berlaku dan berharap semua pihak terlibat akan dapat mencari jalan penyelesaian segera.

    “Memandangkan ini melibatkan tuntutan insurans dan baik pulih kenderaan, kami sangat menghargai sekiranya agensi-agensi terlibat kembali ke meja rundingan untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih baik supaya perkhidmatan trak tunda akan kembali beroperasi untuk pelanggan,” tambah beliau.

     
     
  • Latvala penyebab Toyota kembali ke WRC – A. Toyoda

    Latvala penyebab Toyota kembali ke WRC – A. Toyoda

    Minggu lalu pasukan rali dunia Toyota Gazoo Racing telah mengumumkan barisan pelumba mereka untuk musim 2020 – juara dunia enam-kali Sebastien Ogier, Juara WRC2 2019 Kalle Rovanpera, dan bekas pemandu M-Sport Ford Elfyn Evans. Ini bermakna tiada langsung pemandu sedia ada pada musim ini berjaya mengekalkan jawatan mereka untuk musim hadapan.

    Juara WRC tahun ini, Ott Tänak telah mengesahkan perpindahannya ke pasukan Hyundai, manakala dua lagi pemandu mereka iaitu Jari-Matti Latvala dan Kris Meeke masih terkontang-kanting tanpa kontrak untuk mana-mana pasukan. Walau bagaimanapun, presiden Toyota, Akio Toyoda sangat berterima kasih kepada Latvala dan beliau mendedahkan bahawa Latvala adalah punca kenapa Toyota kembali bersaing dalam WRC selepas menarik diri pada tahun 1999.

    Menurut Toyoda, ketika beliau ke Finland pada tahun 2014 untuk bertemu Latvala yang ketika itu memandu untuk pasukan Volkswagen, Toyota masih belum membuat keputusan sama ada mahu kembali ke WRC setelah 18-tahun menghilang atau tidak.

    “Saya sangat teruja kerana ia adalah acara WRC pertama yang saya hadir dan saya berdiri di lobi hotel dan berjumpa sendiri para pelumba. Jari-Matti merupakan pemandu pertama yang sampai. Ketika saya menegurnya secara teruja, dia menjawab dengan mesra. Ketika berbual, dia melihat saya sebagai seseorang dari Toyota dan gembira bercerita tentang Corolla dan Celica miliknya,” kata Toyoda.

    Latvala penyebab Toyota kembali ke WRC – A. Toyoda

    “Ini adalah detik di mana saya mengambil keputusan untuk kembali. Kami perlu kembali ke WRC ketika pemandu seperti ini masih ingat zaman Toyota sedang bersaing. Anda boleh katakan jika saya tidak berjumpa pemandu VW yang ramah ini dulu, mungkin Toyota tidak ada dalam WRC sekarang!” jelasnya lagi.

    Latvala kemudian diumumkan sebagai pemandu utama Toyota ketika pasukan tersebut mendedahkan jentera Yaris WRC 2017 buat pertama kali setelah kembali semula ke WRC. “Ketika saya mengetahui kamu (Latvala) akan menjadi pemandu kami dua tahun kemudian, saya sangat gembira dengan takdir yang sangat bermakna ini,” tambah presiden Toyota itu lagi.

    Toyoda turut mendedahkan bahawa dia tidak menjangkakan bahawa pasukannya beroleh podium pertama begitu awal setelah Latvala berada di tempat kedua Rali Monte Carlo 2017, iaitu pusingan pertama dalam musim pertama yang mereka sertai.

    “Walau bagaimanapun, kamu terus memberikan podium kepada Toyota di Monte Carlo. Dan selepas itu, kamu bawa kami sekali lagi ke podium sebulan selepas itu di Sweden. Ia merupakan pengalaman seperti dalam mimpi. Saya juga bangga kita akhirnya berdiri bersama di podium tahun lalu di Finland,” kata Toyoda.

    Latvala penyebab Toyota kembali ke WRC – A. Toyoda

    Walaupun secara teknikalnya Latvala dan Toyota kini tiada lagi sebarang ikatan kontrak, Toyoda meminta agar Latvala “sentiasa berhubung” dengan pasukannya, dan prinsipal pasukan Toyota Gazoo Racing, Tommi Makinen mengakui bahawa beliau sedang berusaha untuk mendapatkan tempat untuk Latvala pada penghujung musim ini.

    Bulan lalu, Citroen mengesahkan akan menarik diri dari WRC untuk musim hadapan – ini bermaksud ruang untuk pemandu yang masih lagi belum menerima kontrak adalah sangat sempit kerana kini hanya tinggal tiga pasukan yang bertanding. Selain Toyota, Hyundai juga telah mengesahkan pemandu mereka iaitu Ott Tänak dan Thierry Neuville. Buat masa sekarang, lapan lagi pelumba yang tiada kontrak sedang menunggu keputusan dari pasukan M-Sport Ford.

    Toyota juga dikhabarkan bakal mewujudkan ‘Pasukan B’ dalam WRC, dengan jentera Yaris yang sama. Latvala berkemungkinan besar dapat berlumba dalam lima pusingan WRC 2020 dalam pasukan tersebut, bersama seorang pelumba muda Jepun yang sedang dibangunkan oleh Toyota sendiri, Takamoto Katsuta.

    Latvala penyebab Toyota kembali ke WRC – A. Toyoda

    Dalam kesempatan yang sama, Akio Toyoda turut berterima kasih dengan Kris Meeke. “Kris, kamu telah berkerja keras untuk Toyota. Kamu sentiasa menyerang sehingga ke tahap maksimum dan memandu kereta sehingga ke hadnya, dan memberikan banyak nasihat dari kaca mata seorang jurutera. Ini telah menjadikan Yaris lebih kuat. Terima kasih untuk sumbangan tahun ini,” kata Toyoda.

    Kriss Meeke adalah bekas jurutera yang bekerja di pasukan M-Sport Ford. Dia pernah dididik oleh mendiang Colin McRae dan memulakan karier dalam WRC sebagai pelumba dalam pasukan Prodrive MINI. Seperti mentornya Colin McRae, Meeke mempunyai gaya pemanduan yang sangat agresif, menyebabkan dia dipecat dari pasukan Citroen pada musim 2018 kerana terlalu banyak kemalangan.

    Dia kemudiannya menerima kontrak dari Toyota Gazoo Racing akhir tahun lalu, bagi membolehkannya memandu untuk pasukan tersebut untuk keseluruhan musim 2019, serta menamatkan musim ini ditempat keenam dengan 98-mata.

     
     
  • GALERI: Modifikasi Isuzu D-Max di Thai Motor Expo

    GALERI: Modifikasi Isuzu D-Max di Thai Motor Expo

    Di Thailand, modifikasi trak pikap adalah satu hal yang biasa dilakukan, dengan pelbagai aksesori dan peralatan serta pendekatan yang diterapkan sekian lama. Ini disumbangkan tentunya oleh saiz pasaran dan industri di sana yang melihat trak pikap sebagai suatu kenderaan yang meriah dan tidak sepatutnya membosankan.

    Untuk itu, sebagai antara model trak pikap yang terlaris dan paling banyak digunakan di sana, Isuzu D-Max tidak terkecuali daripada menjadi tumpuan modifikasi. Ketika acara Thai Motor Expo yang sedang berlangsung, dua unit D-Max yang telah diberikan sentuhan ubahsuai turut ada dipamerkan – satu versi low-rider, dan satu lagi versi dengan komponen prestasi.

    GALERI: Modifikasi Isuzu D-Max di Thai Motor Expo

    Bagi D-Max “rendah” ini, ia sebenarnya berasal daripada model Cab4 Double Cab. Suspensinya kemungkinan besar diambil daripada versi single-cab komersial dan dipasangkan dengan set gegelung spring bertujuan untuk merendahkan lagi kedudukannya. Ia juga menerima lampu utama bi-LED yang ada pada varian lebih tinggi.

    Isuzu juga memasangkan beberapa komponen gentian karbon asli, termasuk pada bahagian bonet yang memiliki bukaan udara, spoiler pada bumbung serta pada bahagian belakang trak berkenaan. Rim pula menggunakan unit Ray Volk Racing TE37 aloi 18-inci dengan balutan tayar 245/45ZR18 Toyo Proxes Sport. Cakera brek pula menggunakan unit dari Endless dengan kaliper depan enam-piston. Ekzos juga dinaik taraf.

    GALERI: Modifikasi Isuzu D-Max di Thai Motor Expo

    Perubahan bahagian dalam bagaimanapun tidak terlalu ketara. Antara yang berbeza ialah penggunaan kerusi “bucket” dari Simpson Racing. Ubahsuai yang ditampilkan ini bagaimanapun tidak murah; kos ubahsuai yang dipaparkan ialah 627,600 baht (RM86,600), hampir sama dengan kos bagi sebuah trak itu sendiri!

    Sebuah lagi contoh, unit D-Max V-Cross 4×4 pula dikenakan ubahsuai yang bertentangan, dengan dijadikan kedudukannya lebih tinggi. Menggunakan rim KMC XD Series 17-inci dengan tayar BFGoodrich Mud Terrain T/A, ia seolah-olah disediakan untuk tujuan meredah laluan off-road dan hutan. Antara kelengkapan lain yang ada ialah Rhino-Rack, tapak mengangkut barangan ARB di atas bumbung serta tombol tunda yang lebih besar di belakang.

    Dah dapat idea untuk ubahsuai trak pikap anda?

    Isuzu D-Max 2020 Cab4 1.9 Ddi Double Cab Mod

    Isuzu D-Max 2020 V-Cross 3.0 Ddi Double Cab Mod

     
     
  • Yamaha WR155R tiba di Indonesia – enjin 155 cc VVA

    Yamaha WR155R tiba di Indonesia – enjin 155 cc VVA

    Sekarang ini di Indonesia sedang berlangsung satu majlis pengenalan motosikal baru oleh Yamaha dan turut dihadiri oleh pelumba MotoGP, Maverick Vinales. Selain NMax 2020, turut diperkenalkan untuk pasaran negara itu adalah model trail WR155R dan klasik XSR155.

    WR155R masuk ke pasaran Indonesia untuk memberi saingan kepada Kawasaki KLX150 dan juga Honda CRF150L, dengan dipacu oleh enjin satu silinder 155 cc SOHC VVA suntikan bahan api, bersama padanan transmisi enam kelajuan, untuk menghasilkan kuasa 16.5 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm.

    Demi menggalas tugas meredah pelbagai permukaan jalan, motosikal ini dilengkapi dengan rim aluminium 21 inci di hadapan, 18 inci di belakang, fork teleskopik 41 mm, monoshock, kerangka jenis semi double cradle, tangki bahan api 8.1 liter, brek cakera depan dan belakang serta berat cuma 133 kg.

    Biasa bagi motosikal jenis seperti ini, panel badan WR155R adalah ringkas, dengan banyak pengaruh daripada motocross, termasuklah tempat duduk yang nipis. Semua lampunya masih menggunakan mentol halogen, tetapi turut didatangkan dengan fungsi lampu kecemasan (hazard light).

    Panel meter pula menggunakan unit digital berbentuk petak dan disusun secara ringkas. Yamaha WR155R baru ditawarkan di di Indonesia dalam dua warna iaitu hitam dan biru, dengan harga yang bermula 36.9 juta rupiah (RM10,954).

     
     
  • GALERI: Toyota Corolla Altis GR Sport di Thai Motor Expo 2019 – 1.8L berkuasa 140 PS/177 Nm, RM138k

    GALERI: Toyota Corolla Altis GR Sport di Thai Motor Expo 2019 – 1.8L berkuasa 140 PS/177 Nm, RM138k

    Ketika Toyota Corolla Altis generasi baharu masuk ke pasaran Thailand September lalu, ia turut diperkenalkan dalam varian paling sporty GR Sport. Model tersebut turut dibawa untuk di pamerkan ketika Thai Motor Expo 2019 berlangsung, dan kesempatan ini kami ambil untuk memberikan galeri penuh kereta tersebut untuk tatapan anda.

    Model GR Sport ini adalah satu-satunya varian Corolla Altis yang diberikan enjin NA 1.8L di Thailand, dijana oleh enjin 2ZR-FBE menghasilkan 140 PS dan tork maksima 177 Nm – sedikit lebih berkuasa dari model pasaran Malaysia yang dijana enjin 1.8L 2ZR-FE berkuasa 139 PS/173 Nm.

    Kuasa dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik Super CVT-i, yang akan memberikan tujuh-kelajuan maya jika anda memilih mod manual.

    GALERI: Toyota Corolla Altis GR Sport di Thai Motor Expo 2019 – 1.8L berkuasa 140 PS/177 Nm, RM138k

    Seperti yang anda lihat, Corolla Altis GR Sport pasaran Thailand ini menampilkan kit badan unik yang terdiri dari gril hadapan kemasan hitam bersama serlahan kemasan krom tebal seakan Camry SE pasaran Amerika Syarikat, skirt sisi gabungan warna badan dan hitam, diffuser pada bawah bampar belakang serta rim aloi tujuh-jejari 17-inci.

    Pada bahagian dalaman pula, Corolla GR Sport ini diberikan kabin dengan warna hitam, dengan serlahan-serlahan merah pada tempat duduk dan panel dalaman pintu. Ia juga diberikan kelengkapan tertinggi seperti lampu hadapan LED automatik, upholsteri kulit, skrin sesentuh utama lapan-inci, paparan pelbagai info 4.2-inci, fungsi brake hold automatik, dan pedal penukar gear.

    Untuk keselamatan, kesemua Corolla Altis pasaran Thailand dibekalkan dengan tujuh-beg udara, VSC, ABS, kawalan traction, EBD, BA dan bantuan mula mendaki. Model tertinggi ini pula menerima tambahan penderia parkir, pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang.

    GALERI: Toyota Corolla Altis GR Sport di Thai Motor Expo 2019 – 1.8L berkuasa 140 PS/177 Nm, RM138k

    Termasuk varian GR Sport ini, Toyota menawarkan enam varian Corolla Altis di Thailand. Untuk varian asas 1.6 liter Limo dan 1.6G, ia dijual pada harga masing-masing 829,000 baht (RM114,100) dan 869,000 baht (RM119,600). Model GR Sport pula dijana enjin petrol 1.8 liter dijual pada harga 999,000 baht (RM138,076).

    Tiga varian selebihnya adalah dikuasakan dengan unit janakuasa petrol hibrid, dengan versi asas dijual pada harga 939,000 baht (RM129,200), meningkat kepada 989,000 baht (RM136,100) untuk versi pertengahan Mid. Manakala varian penuh Corolla Hybrid High dijual pada harga 1,099,000 baht (RM151,200).

    GALERI: Toyota Corolla Altis GR Sport di Thai Motor Expo 2019 – 1.8L berkuasa 140 PS/177 Nm, RM138k

    Model-model dari versi 1.6 liter dijana oleh enjin petrol empat silinder 1ZR-FBE berkuasa 125 PS pada takat 6,050 rpm dan tork maksima 156 Nm pada 5,200 rpm. Versi yang dijana enjin 1.8 liter pula menerima enjin 2ZR-FBE berkuasa 140 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 177 Nm bermula 4,000 rpm. Kedua-dua enjin ini digandingkan dengan kotak gear CVT automatik untuk memacu roda hadapan.

    Manakala untuk model-model hibrid, ia menggandingkan enjin petrol 1.8 liter kitaran Atkinson 2ZR-FXE berkuasa 98 PS/142 Nm dan juga motor elektrik berkuasa 72 PS/122 Nm – secara keseluruhan Corolla Altis Hybrid 2019 dibekalkan dengan kuasa 122 PS.

     
     
  • VIDEO: Nissan rai ulangtahun ke-50 GT-R

    Tahun ini genap 50-tahun Nissan menghasilkan model berprestasi terulung mereka iaitu Nissan GT-R. Selain dari menghasilkan model edisi terhad R35 GT-R 50th Anniversary Edition yang menampilkan livery seakan jentera lumba Hakosuka dan juga warna ikonik Bayside Blue dari R34, Nissan turut menerbitkan video istimewa ini bagi meraikan jubli emas tersebut.

    Dalam video ini, Nissan menampilkan kesemua generasi GT-R bermula dari Skyline GT-R KPGC10, Skyline GT-R KPGC110, Skyline GT-R BNR32, Skyline GT-R BNR33, Skyline GT-R BNR34 dan yang terakhir GT-R R35 50th Anniversary Edition.

    Model pertama dengan lencana GT-R hadir pada tahun 1969, dan ia muncul dari Skyline sedan empat pintu dengan kod casis PGC10, hasil jurutera lagenda Nissan Shinichiro Sakurai. Model ini adalah model lanjutan Prince Skyline S54 2000 GT-B iaitu Skyline S54 yang telah disumbatkan enjin enam-silinder oleh Sakurai, menghabiskan perlumbaan pertamanya pada tahun 1964 di tempat kedua, di belakang Porsche 904 GTS.

    VIDEO: Nissan rai ulangtahun ke-50 GT-R

    Dua tahun selepas itu, model coupe KPGC10 Skyline GT-R muncul dalam pasaran dan kemudian tiga buah jentera perlumbaanya (yang menjadi inspirasi pada jalur badan model 50th Anniversary) – putih-merah, putih-biru dan putih-hijau – mendominasi perlumbaan GP Jepun pada era berkenaan, dipandu oleh tiga pelumba lagenda, “Gan-San” Motoharu Kurosawa, Kunimitsu Takahashi dan Masahiro Hasemi. Ia digelar Hakosuka kerana Hako bermaksud kotak dan Suka adalah panggilan pendek untuk Skyline, yang mana orang Jepun menyebutnya dengan bunyi “Sukarain”.

    Model generasi kedua muncul pada tahun 1973, tetapi “Kenmari” Skyline GT-R KPGC110 tersebut hanya berjaya dibina sebanyak 197 buah sebelum dihentikan produksinya kerana krisis bahan api yang melanda ketika itu, menjadikan ia sebagai generasi Skyline GT-R paling rare dalam sejarah.

    Enjin RB26DETT muncul pada tahun 1989 pada Skyline GT-R generasi ketiga iaitu R32. Bersama sistem pacuan semua roda Atessa ETS Pro, R32 GT-R hampir tidak boleh dikalahkan langsung oleh kereta lain pada perlumbaan Australian Touring Car Championship (ATCC) dari musim 1990 hingga 1992, menyebabkan ia digelar sebagai rasaksa mitos Jepun, Godzilla.

    VIDEO: Nissan rai ulangtahun ke-50 GT-R

    Model generasi keempat (R33) dan kelima (R34) terus menggunakan enjin 2.6 liter turbo berkembar dan pacuan semua roda berkenaan. Model generasi terakhir, R35 muncul pada tahun 2007 dengan enjin VR38DETT baharu, tetapi nama “Skyline” telah digugurkan. Ini kerana Nissan mahu menjadikan GT-R sebagai model sport sepenuhnya, memisahkan Skyline yang masih lagi mempunyai model biasa sedan empat pintu, malah turut dijadikan sebagai sebuah SUV crossover pada pasaran domestik Jepun.

    Untuk Nissan GT-R R35 50th Anniversary Edition, ia adalah model yang diasaskan dari model facelift 2017, dibekalkan enjin VR38DETT 3.8 liter V6 dengan dua pengecas turbo, menghasilkan 565 hp dan tork maksima 633 Nm. Selain dari warna Wangan Blue ini, Nissan turut menawarkan dua lagi opsyen warna iaitu warna badan Pearl White dengan jalur warna merah, dan juga Super Silver dengan jalur putih.

    GALERI: Nissan GT-R 50th Anniversary Edition di Thai Motor Expo 2019

     
     
  • Yamaha NMax baru muncul di Indonesia – dilengkapi kawalan cengkaman dan sambungan kepada telefon

    Yamaha NMax baru muncul di Indonesia – dilengkapi kawalan cengkaman dan sambungan kepada telefon

    Setelah beberapa tahun berada dalam pasaran, Yamaha NMax kini diberikan pembaharuan yang agak besar dan didedahkan di Indonesia. Daripada aspek penampilan, sekali pandang ia mungkin nampak sama tetapi apabila diperhatikan nyata semua panel badannya adalah baru.

    Ini termasuklah lampu hadapan yang sekarang mempunyai lampu DRL LED, penghadang angin depan yang sedikit melengkung, lampu penunjuk arah yang lebih kecil dan direndahkan, panel tepi yang lebih beralun dan lampu belakang LED baru yang terpisah dua seperti XMax 250.

    Perkara yang lebih banyak dinaik taraf pada NMax baru ini sebenarnya adalah kelengkapan dan ciri di mana ia sekarang datang dengan sistem Start Stop, Smart Motor Generator, Traction Control, Sistem tanpa kunci, pengecas USB serta panel meter digital baru berbentuk petak.

    Bukan setakat informasi penting biasa, panel meter NMax baru ini juga boleh disambungkan kepada aplikasi Y-Connect dan telefon pintar, untuk memberikan fungsi paparan mesej dan panggilan, serta pengesan GPS. Selain terpapar pada panel meter tersebut, anda juga boleh melihat informasi berkenaan motosikal melalui telefon pintar dan mengesan kedudukannya.

    Pada bahagian enjin, ia masih lagi unit sama satu silinder SOHC VVA suntikan bahan api yang mampu menghasilkan kuasa 14.9 hp pada 8,000 rpm dan 14.4 Nm tork pada 6,000 rpm. Tangki bahan apinya masih lagi 6.6 liter. Setakat ini harga untuk NMax baru di Indonesia masih belum didedahkan kerana ia hanya akan dijual secara rasmi pada tahun 2020.

     
     
  • GALERI: Isuzu D-Max 2020 ditampilkan di Thailand

    GALERI: Isuzu D-Max 2020 ditampilkan di Thailand

    Oktober lalu, Thailand telah menerima model trak pikap Isuzu D-Max 2020 terbaru untuk pasaran di sana. Model berkenaan kemudiannya membuat penampilan umum yang pertama ketika acara Thai Motor Expo yang mula dibuka minggu lalu.

    Seperti yang dapat kita lihat, model generasi ketiga itu diberi kelainan yang jauh berbeza daripada model sebelumnya, yang untuk pasaran Malaysia baru saja diperkenalkan pada Oktober lalu juga. Rupa bentuknya kini lebih moden dan agresif; misalnya dengan penggunaan rekaan gril besar pada wajah depannya.

    Lampu utama lebih nipis, dengan teknologi bi-LED. Hadir juga palang kemasan krom di atas. DRL juga tidak ketinggalan, dari jenis LED. Lampu isyarat dan lampu kabus pula terletak di bahagian bawah sedikit. Bagaimanapun, pembaharuan rupa depan ini hanya untuk varian yang tertinggi sahaja, seperti pada D-Max V-Cross 3.0 Ddi yang ditunjukkan ini.

    GALERI: Isuzu D-Max 2020 ditampilkan di Thailand

    Profil sisi yang ada kini disifatkan memberi aspek aerodinamik yang lebih baik, dan telah diuji di terowong angin milik Institut Kajian Teknikal Keretapi Japan Railway (JR). Lain-lain kemaskini yang dilakukan ialah pada bahagian bawah badan trak ini, melalui penggunaan pelindung untuk mengurangkan kesan angin di bawah. Lengkuk tayar serta bahu pada badan trak ini juga kini lebih “licin”.

    Bahagian belakang juga kelihatan segar dengan rekaan lampu belakang yang jelas, dengan lampu jenis LED. Begitu juga bahagian bampar yang diserasikan terus bersama bahagian truck bed. Rim aloi 18-inci juga ditawarkan sebagai pilihan terbaru. Bagaimanapun, perubahan yang lebih banyak dilakukan di bahagian dalam kabin.

    Papan pemuka kini lebih menarik dengan sentuhan rekaan yang sedikit bersegi dan moden. Kualiti komponen dan kemasan yang digunakan juga telah dipertingkat dan bertambah baik – misalnya penggunaan material soft touch pada bahagian atas papan pemuka bagi varian tertentu.

    GALERI: Isuzu D-Max 2020 ditampilkan di Thailand

    Bentuk hexagonal di tengah, pembeli boleh memilih untuk mendapatkan skrin sentuh 9-inci untuk sistem infotainmen, lengkap dengan Apple CarPlay dan Android Auto. Konsol tengan juga telah ditinggikan, serta jumlah pembesar suara pula menjadi lapan buah. Versi dalaman yang lebih ringkas tetap ditawarkan bagi D-Max versi komersial.

    Binaan atau jaringan elektrikalnya pula sudah dinaik taraf dan bersedia untuk menerima sambungan bagi teknologi autonomous dan elektrifikasi di masa hadapan, walaupun hakikatnya ia kini masih belum dilengkapi dengan AEB. D-Max baru ini datang dengan sehingga maksimum enam beg udara, kawalan kestabilan serta pertama kali dengan ciri tinjauan titik buta dan amaran lintasan trafik di belakang.

    D-Max baru ini memiliki dimensi dan ukuran seperti berikut; 5,265 mm panjang, 1,870 mm lebar dan 1,790 mm tinggi, menjadikannya 30 mm lebih pendek, 10 mm lebih lebar dan lima milimeter lebih rendah; jarak antara rodanya pula ialah 3,125 mm, 30 mm lebih panjang. Ia menggunakan binaan Isuzu Dynamic Platform – walaupun masih dengan struktur ladder frame, banyak penambahbaikan telah dapat dicapai – kini ia lebih selesa dan lebih senyap.

    GALERI: Isuzu D-Max 2020 ditampilkan di Thailand

    Bahagian badannya kini melibatkan lebih banyak penggunaan besi high-tensile, dengan peningkatan keteguhan antara 30% hingga 46% pada bahagian-bahagian tertentu. Ini telah menyumbang kepada peningkatan daya tahan keseluruhan sebanyak 20% dan memperkukuhkan kawasan bumbung. Bahagian suspensi juga telah diperbaharui; titik mounting yang lebih tinggi diberikan bagi suspensi jenis double wishbone agar lebih stabil, manakala jenis leaf spring di belakang menjadi lebih tahan lasak. Stereng juga menjadi lebih mudah dan ringan untuk dikendalikan.

    Dua jenis enjin ditawarkan; 1.9 liter dan 3.0 liter empat-silinder turbodiesel – enjin kecil berkenaan yang sama diperkenalkan untuk pasaran Malaysia sebelum ini. Unit RZ4E-TC berkenaan menghasilkan 150 PS pada 3,600 rpm dan 350 Nm tork dari 1,800 hingga 2,600 rpm dengan gandingan kotak gear yang optimum untuk mendapatkan pecutan yang lebih baik.

    GALERI: Isuzu D-Max 2020 ditampilkan di Thailand

    Enjin 3.0 liter pula dengan kod 4JJ3-TCX turut diberikan banyak peningkatan, terhadap apa yang dilakukan kepada enjin 1.9 liter tersebut. Ini temasuk kebuk pembakaran yang dibentuk semula, penyuntik bertekanan tinggi, selaput ala berlian pada pin piston serta pengecas turbo pemboleh ubah geometri elektronik yang menghasilkan 190 PS dan 450 Nm – naik 13 PS dan 70 Nm berbanding unit 4JJ1-TCX.

    Untuk memperbaiki agihan beban, kedudukan enjin dialihkan sedikit ke belakang dari gandar depan. Kotak gear automatik dan manual enam-kelajuan ditawarkan sebagai gandingannya. Model dengan pacuan empat roda turut melibatkan penambahbaikan lain, termasuk penggunaan propelar shaft aluminium untuk mengurangkan berat. Jarak meredah air ialah 800 mm. Isuzu D-Max di Thailand ditawarkan dalam pelbagai varian, dengan harga bermula antara 510,000 baht (RM70,200) hingga 1,164,000 baht (RM160,300).

    Isuzu D-Max 2020 V-Cross 3.0 Ddi 4×4 M AT Double Cab

    Isuzu D-Max 2020 Cab4 1.9 Ddi 4×2 Z MT Double Cab

    Isuzu D-Max 2020 Hi-Lander 1.9 Ddi 4×2 ZP AT Extended Cab

     
     
  • Honda Vezel Modulo X – HR-V lebih garang di Jepun; Touring Turbo 172 PS/220Nm & Hybrid 132 PS/156 Nm

    Honda Vezel Modulo X – HR-V lebih garang di Jepun; Touring Turbo 172 PS/220Nm & Hybrid 132 PS/156 Nm

    Kita di Malaysia cuma menerima Honda HR-V paling sporty dari varian RS, tetapi di Jepun crossover segmen-B yang dikenali sebagai Honda Vezel berkenaan kini hadir dalam versi Modulo X, tampil dengan muka yang lebih garang.

    Model yang didedahkan di Tokyo Auto Salon 2019 pada Januri lalu ini ditawarkan dalam dua varian iaitu Touring dijual pada harga 3,528,800 yen (RM134,465) dan juga Hybrid berharga 3,617,900 yen (RM137,860).

    Untuk model Touring, ia dijana oleh enjin empat-silinder 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 172 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima bermula 1,700 hingga 5,500 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear CVT, hanya memacu roda hadapan.

    Honda Vezel Modulo X – HR-V lebih garang di Jepun; Touring Turbo 172 PS/220Nm & Hybrid 132 PS/156 Nm

    Manakala untuk model Hybrid, seperti namanya ia menerima enjin petrol dengan hibrid motor elektrik, menggunakan sistem Sport Hybrid i-DCD. Sistem tersebut menggabungkan enjin 1.5L i-VTEC kitaran Atkinson berkuasa 132 PS/156 Nm dan juga motor elektrik berkuasa 22 PS/160 Nm.

    Sama dengan sistem i-DCD untuk HR-V, Jazz dan City Hybrid di Malaysia, ia dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan. Tetapi yang berlainan, Vezel Modulo X Hybrid JDM ini ditawarkan sama ada dalam versi pacuan hadapan atau pacuan semua roda.

    Anda boleh lihat, Modulo X ini diberikan muka yang sedikit berbeza kerana diberikan bampar hadapan yang memberikan elemen ‘X’ besar pada muka, perumah lampu kabus baharu, bar krom pada gril dan kemasan-kemasan berwarna hitam. Bahagian belakang juga diberikan bampar baharu bersama dua tip ekzos dan juga liang udara palsu.

    Honda Vezel Modulo X – HR-V lebih garang di Jepun; Touring Turbo 172 PS/220Nm & Hybrid 132 PS/156 Nm

    Penampilan baharu pada Vezel ini dilengkapkan dengan set rim aloi 18-inci untuk model pacuan hadapan dan 17-inci untuk model AWD. Ia juga diberikan suspensi dengan penyerap hentak dan spring yang berbeza dari model standard.

    Bahagian dalaman model ini turut tampil lebih sporty dengan pemadanan tempat duduk semi-bucket yang diberikan upholsteri Ultrasuede (balutan kulit pada sokongan sisi) dan sulaman Modulo X serta set karpet kaki istimewa Modulo X.

    Untuk keselamatan, model istimewa ini diberikan sistem bantuan pemandu Honda Sensing. Ia ditawarkan dalam empat warna badan iaitu Premium Crystal Blue Metallic, Premium Crystal Red Metallic, Platinum White Pearl dan Crystal Black Pearl.

    GALERI: Honda HR-V Modulo X di Tokyo Auto Salon 2019

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024